Sabtu, 5 Mac 2011

PENDAKWAAN JENAYAH SIHIR : PRINSIP-PRINSIP PEMBUKTIAN DAN AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH

Oleh:
DR. ZULFAKAR RAMLEE SAAD
Protector



1. PENDAHULUAN

Sihir merupakan satu perbuatan jenayah kerana pensihir (sahir) dengan niat jahatnya berhasrat untuk merosakkan anggota badan termasuk mental si mangsa. Kesan sihir juga boleh (dengan izin Allah) meruntuh institusi kekeluargaan.
Sudah tiba masanya jenayah sihir ini dikanunkan agar pendakwaan jenayah boleh diambil terhadap pengamal sihir dan mereka yang mendapat khidmat sihir ini untuk merosakkan orang lain semada secara langsung atau tidak langsung.
Kertas kerja ini akan menjurus kepada persoalan pembuktian dalam kes pendakwaan terhadap pengamal sihir atau orang yang menggunakannya terhadap orang lain.


2. PRINSIP-PRINSIP PEMBUKTIAN

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha-bijaksana dengan apa yang kamu lakukan.”

(Al-Maidah (5):8. Lihat juga al-Nisa (4):145.)


Pengajaran dari ayat di atas ialah Islam menekankan konsep keadilan hinggakan terhadap orang yang kita benci sekalipun, kita diminta untuk berlaku adil.

Hadis Nabi SAW:

 “ Sekiranya diberi ruang kepada manusia untuk membuat dakwaan/ tuntutan (tanpa bukti) nescaya mereka akan mendakwa / menuntut nyawa (darah) dan harta benda orang lain, tetapi sumpah diminta ke atas yang menafikan.”


Keterangan dikenakan ke atas Penuntut dan sumpah ke atas yang menafikan.”


3. AKTA KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (WP) 1997.

Ada beberapa seksyen yang menarik dalam AKS 1997 ini antaranya:

Seksyen 2 :

“ Akta ini hendaklah terpakai bagi segala prosiding kehakiman di dalam atau di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah.”

Seksyen 3:
“ Hukum Syarak” ertinya hukum Syarak mengikut mana-mana Mazhab yang diiktiraf;

Seksyen 130:

(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tak konsisten dengan Hukum Syarak adalah tidak sah setakat yang ia tak konsisten itu.
(2) Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukan atau tidak dinyatakan dengan jelas dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah merujuk kepada Hukum Syarak.


4. PERUNTUKAN MEMBERI KETERANGAN DALAM KES PENDAKWAAN JENAYAH SIHIR

Seksyen 72 AKS menyatakan:
Beban untuk mengemukakan keterangan dalam seseuatu kes mal terletak pada
orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-Mudda` ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Mudda‟a „alaih) .

Seksyen 73 AKS menyatakan:

(1)Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.

(2)apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.

Begitu juga Seksyen 96 Akta Tatacara Jenayah (WP) 1997, subseksyen (c) dan (d), dengan jelas menegaskan bahawa beban pembuktian ( burden of proof ) adalah ke atas pendakwa atau pengadu.

Perlulah ditegaskan bahawa kehendak seksyen-seksyen di atas adalah bertepatan sekali dengan prinsip syariah yang dinyatakan dalam al-Qur‟an, Sunnah dan Qawa‟id Fiqhiyah.

Maka jelaslah bahawa dalam perbicaraan/prosiding jenayah tugas pendakwa atau pengadu ialah membawa keterangan bagi menyokong dakwaan tersebut.


5. JENIS-JENIS KETERANGAN

Seksyen 3 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WP) 1997 dalam mendefinisikan makna „keterangan‟ menyatakan bahawa „keterangan‟ termasuklah:

“ (a) bayyinah dan syahadah;
(b) ……. keterangan lisan;
(c) ……. keterangan dokumentar; “

dan makna „ bayyinah‟ pula ialah „ keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.‟
Ringkasnya, pihak-pihak yang terlibat dalam menyokong atau membuktikan kesnya bolehlah mengemukakan:

1) Iqrar (Pengakuan tertuduh). Seperti yang dipersetujui oleh para ulama‟, iqrar merupakan satu kaedah yang tidak dipertikaikan dan merupakan hujah yang kuat mencapai peringkat “yaqin”. Kaedah ini diperuntukkan dibawah seksyen 17 dan 18 AKS 1997. Iqrar yang dibuat di dalam Mahkamah adalah kaedah yang mempercepatkan urusan pendakwaan.
Sebagai contoh, sekiranya pengamal sihir (sahir) membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim di dalam mahkamah bahawa dia ..... (bergantung kepada takrifan kesalahan)
Begitu juga sekiranya si isteri (tertuduh) membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim dalam mahkamah bahawa dia telah menggunakan sihir ke atas suaminya dengan tujuan untuk .....

Bagaimanapun, iqrar yang dibuat diluar Mahkamah terpaksa menepati beberapa syarat antaranya mestilah dibuat di hadapan dua orang saksi lelaki yang adil, baligh dan adil.Sekiranya si isteri membuat kenyataan berunsur iqrar bahawa dia telah menggunakan sihir ke atas suaminya dengan tujuan untuk ....., maka iqrar ini boleh dijadikan sebagai kaedah keterangan terhadap dirinya.Sekiranya salah satu syarat di atas tidak dipenuhi, umpamanya dua orang saksi itu tidak bersifat adil, maka kenyataan yang dibuat oleh si isteri itu boleh diterimapakai sebagai qarinah sahaja.

2) Shahadah ( Kesaksian ). Juga dipersetujui oleh semua ulama‟ dan merupakan kaedah yang sangat kuat mencapai tahap „ yaqin.‟ Kaedah ini diperuntukkan di bawah seksyan 3 dan seksyen 83 hingga 86 AKS 1997. Bagaimanapun kaedah ini amat sukar dikemukakan kerana perlu mematuhi 6 syarat seperti Islam, Aqil, Baligh, Adil, Ingatan yang baik dan tidak berprasangka. Untuk memenuhi syarat „adalah‟ adalah satu yang amat susah walaupun tidak mustahil.

Selain dari memenuhi syarat sebagai saksi dalam kesaksian, ada syarat lain iaitu bilangan saksi (Nisab al-shahadah/ adad al-shuhud) yang perlu dipenuhi sekiranya pihak terbabit ingin mengemukakan saksi dalam kesaksian seperti dakwaan oleh seseorang yang dikenali sebagai kaya bahawa dia telah menjadi papa perlu disokong oleh kesaksian tiga orang saksi lelaki.

Dalam hal melihat anak bulan, keterangan (sepatutnya kesaksian) seorang lelaki yang „adil adalah mencukupi untuk membuktikan fakta itu.
Keterangan (sepatutnya kesaksian) seorang perempuan adalah mencukupi untuk membuktikan apa-apa fakta yang biasanya dilihat oleh atau dalam pengetahuan seorang perempuan seperti dalam perkara haidh, kelahiran dan penyusuan.10
Dalam kes-kes yang tidak dinyatakan dalam seksyen 86 ini, keterangan (kesaksian)
hendaklah diberikan oleh 2 orang saksi lelaki atau oleh seorang saksi lelaki dan dua wanita.


Peruntukan dibawah seksyen 86 ini banyak menimbulkan persoalan antaranya:

Pertama: Dalam kes jenayah sihir, adakah ianya satu kesalahan hudud atau ta‟zir? Ini melibatkan kehendak pencapaian kepada tahap pembuktian samada diperingkat prima facie atau diperingkat penghakiman. Sekiranya diletakkan dibawah kesalahan hudud yang akan dihukum dengan hukuman hudud maka sudah pasti tahap yang diperlukan ialah „Yaqin‟ dan tahap ini lazimnya memerlukan kesaksian dua orang saksi yang memenuhi 6 syarat yang disebutkan di atas.

Kedua: Sekiranya Ta‟zir. Berapakah bilangan saksi minima yang diperlukan? Adakah seksyen 86(5) yang membolehkan kesaksian seorang lelaki dan dua saksi perempuan terpakai?

Ketiga: Seksyen 3 AKS 1997 meminta agar seorang saksi yang hendak memberi “shahadah” mestilah mengunakan lafaz “asyhadu”. Secara amalinya bagaimana? Apakah kesan dari tidak mengunakan lafaz ini?

Keempat: Adakah saksi-saksi perlu kepada Tazkiyah al-Shuhud? Tuntutan kepada Tazkiyyah al-Shuhud amat dituntut terutama dalam kes-kes yang melibatkan kesalahan hudud.

3) Bayyinah ( Keterangan). Ini adalah keterangan lisan yang dibuat oleh saksi-saksi yang tidak layak untuk memberi kesaksian kerana tidak memenuhi syarat sabagai seorang saksi yang diperuntukan dalam seksyen 83(1). Saksi-saksi ini tidak memberi kesaksian (shahadah) tetapi hanyalah bayyinah. Mereka terdiri daripada bukan Islam atau seorang fasik atau kanak-kanak atau seorang dewasa yang lemah ingatan atau seorang yang adil tetapi mempunyai kepentingan dalam kes tersebut.


Sebenarnya perkataan “bayyinah” ini adalah cukup luas seperti yang dikatakan oleh Al-Asqalani iaitu :
Maka termasuklah dalam ertikata bayyinah itu ialah keterangan material seperti alat-alat jampi, tangkal dan seumpamanya. Dalam keadaan tertentu, kewujudan benda-benda ini boleh juga diterima sebagai qarinah.

4) Qarinah (Fakta kaitan samada melalui lisan, perbuatan, niat/motif, kelakuan/perangai, keadaan persekitaran, pandangan/pendapat, dll.). Qarinah merupakan kaedah pembuktian yang sangat sesuai digunakan buat masa ini kerana keluasan skopnya dan kemudahan memporolehinya di kala keterangan langsung (iqrar dan shahadah) sukar diperolehi.15
Sekiranya si mangsa membuat aduan/dakwaan bahawa dia telah disihir oleh seseorang maka qarinah mimpi ngeri yang sering dialami, bunyi-bunyian yang menyeramkan, bauan yang busuk adalah relevan dan boleh diterima sekiranya kesan dari gangguan ini dapat dibuktikan secara zahir umpamanya si mangsa mengalami kemurungan, gangguan emosi, susut berat badan dan pelbagai simtom yang telah disepakati oleh pakar perubatan Islam mengenai tanda-tanda gangguan makhluk halus atau terkena sihir.

Adalah merupakan satu qarinah yang kuat sekiranya si mangsa yang mengalami atau menderita sakit tetapi gagal dikesan atau didiagnos oleh doktor perubatan. Sebaliknya bila dirawati melalui kaedah „perubatan Islam, si mangsa menunjukkan tanda-tanda kesembuhan.


Motif juga merupakan qarinah yang kuat dalam pendakwan jenayah sihir. Umpamanya balas dendam, dengki, iri hati dan seumpamanya tetapi pihak pendakwaan mestilah menggabungkan qarinah motif ini dengan qarinah-qarinah lain seperti yang dibincangkan di atas.

5) Kitabah ( Dokumen ). Amat menarik sekali bahawa AKS 1997 dan juga Enakmen Keterangan negeri-negeri telah mendefinisikan makna dokumen dalam bentuk yang kontemporari dan luas. Ringkasnya dokumen termasuklah tulisan; perkataan yang dicetak, dilitograf atau difotograf ; peta, pelan, graf atau lakaran; inskripsi pada kayu, logam, batu, atau apa-apa benda, bahan atau barang lain; lukisan, citra, gambar atau karikatur; fotograf atau negatif; rakaman pita komunikasi telefon, termasuklah rakaman komunikasi sedemikian yang dipancarkan dari suatu jarak; hal yang dirakamkan, disimpan, diproses, didapatkan semula atau dikeluarkan oleh komputer.

Maka segala catatan atau rakaman mengenai perilaku pengamal sihir atau orang yang menggunakan ilmu sihir ini boleh dikemukan sebagai bukti. Kekuatan penerimaan bahan bukti ini bagaimanapun bergantung kepada samada ianya jenis primier atau sekunder, awam atau persendirian.

6) Ray al-Khabir ( Pendapat Pakar). Ini diperuntukkan dalam seksyen 33-34 AKS 1997. Amat menarik kerana Mahkamah Syariah telah mula menerima pendapat pakar ini sejak tahun 1990 lagi dalam menentukan kebenaran dakwaan suami bahawa dia disihirkan. Dalam kes rayuan Mustafah Bin Batcha lwn a. Habeeba 18, Mahkamah menerima hakikat bahawa sihir walaupun haram di sisi hukum Syara‟ tetapi ianya masih diamalkan oleh masyarakat Melayu dan dalam kes ini bilamana si suami mendakwa bahawa ketikamana ia melafazkan cerai terhadap isterinya, ia (suami) berada dalam pengaruh sihir. Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa fakta ini (suami di bawah pengaruh sihir) perlu dibuktikan dan pakar (bomoh) perlu dipanggil untuk menentukan kebenaran dakwaan tersebut.

7) Keterangan Forensik. Ini adalah kaedah pembuktian yang paling kotemporari lagi mudah untuk diperolehi disamping ketepatan yang diyakini. Satu kaedah yang telah diperkenalkan oleh Nabi SAW dan dipraktikan oleh sahabat-sahabat R.A.

Isu yang sering timbul ialah bolehkah ujian DNA ini diterimapakai di Mahkamah Syariah di Malaysia. Ini adalah persoalan yang menarik dan amat relevan kerana kini kita berada di zaman yang canggih di mana penjenayah juga bijak dalam menyembunyikan bahan kes.
Dalam menjawab soalan ini, rujukan perlulah dibuat kepada statut yang paling relevan sekali iaitu Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WP)1997. Akta ini telah menerima pakai konsep al-bayyinah yang cukup luas. Seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 3 al-bayyinah telah ditakrifkan sebagai “ keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.”

Maka jelaslah disini bahawa hasil ujian DNA boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah sebagai salah satu keterangan yang berupaya membuktikan sesuatu dakwaan atau tuntutan.
Hasil ujian DNA juga boleh diterimapakai di Mahkamah Syariah sebagai satu juzuk dari pandangan pakar. Seksyen 33 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WP)1997 memperuntukkan:

(1) Apabila Mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada orang yang mempunyai kemahiran khusus dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu, atau dalam soal tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan dengan penentuan nasab ialah qarinah.

(2) Orang sedemikian itu dipanggil pakar.
Seksyen ini dengan jelas memberi ruang yang luas untuk pihak-pihak terbabit mengemukakan pandangan dari seorang pakar atau lebih berdasarkan hasil ujikaji sains termasuklah ujian DNA ini. Sebagai contoh, analisa dari pakar kimia dapat mnyelesaikan isu keaslian atau ketulenan sesuatu penulisan atau dokumen. Seterusnya
analisa dari pakar genetik dapat merungkaikan isu pewarisan atau yang berhubungkait dengan isu anak tak sah taraf.

Pembuktian berdasarkan analisa dari pakar perubatan mengenai sesuatu kecederaan atau pembunuhan dapat menyelesaikan kes-kes jenayah atau tuntutan pampasan di atas kecederaan yang dialami. Hasil ujian forensik ini juga dapat digunakan dalam membuktikan sesuatu kesalahan jenayah termasuk jenayah sihir yang dilakukan ke atas mangsa dan pada masa yang sama ia juga boleh menafikan penglibatan seseorang dalam sesuatu kes yang di dakwa.


6. PENUTUP

Dari perbincangan yang ringkas ini dapat disimpulkan bahawa Islam yang merupakan satu “Manhaj al-haya” telah menetapkan satu kaedah perbicaraan yang “ keadilan” adalah menjadi dasar utamanya. Prinsip asas mengenai keterangan dan prosedur telah digariskan oleh Islam dan kini Akta/Enakmen Keterangan juga telah tersedia.Kita akui, setiap peruntukan yang tidak jelas atau kurang boleh dipinda dari semasa kesemasa. Pemakaian konsep „bayyinah‟ yang luas dan terkini yang mencakupi keterangan forensik dapat menyelesaikan masalah yang rumit lagi canggih. Dan yang paling penting ialah penggunaan “kadar pembuktian yang betul” dapat mengatasi dilemma yang dihadapi sebelum ini. Tanpa dinafikan peranan para peguam, ahli akademik dan para hakim sendiri dapat membantu memperkemaskinikan lagi statut-statut yang sedia ada.

Tiada ulasan: