DONATE

Rabu, 20 April 2011

Penerangan Mengenai Prosedur Pendakwa Syarie JAWI Menjalankan Pendakwaan

1) Siapakah yang akan merangka pertuduhan? Kes?


Setelah proses siasatan selesai, kertas siasatan (selepas dari ini dirujuk sebagai Investigation Paper/IP) akan diangkat ke Bahagian Pendakwaan. Pendakwa Syarie (selepas dari ini dirujuk sebagai PS) akan merangka pertuduhan sekiranya semua elemen-elemen pertuduhan wujud dan mencapai tahap prima facie.

Terdapat pertuduhan-pertuduhan yang memerlukan kebenaran mendakwa daripada Ketua Pendakwa Syarie (selepas dari ini dirujuk sebagai KPS). Sebagai contoh, kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah seksyen 35-40 Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (selepas dari ini dirujuk sebagai AUKI 1984) seperti berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk (selepas dari ini dirujuk sebagai Pendaftar NCR) memerlukan kebenaran bertulis daripada KPS.

Selain itu, seksyen 73 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (selepas dari ini dirujuk sebagai APJS 1997) juga menyatakan kesalahan-kesalahan di bawah peruntukan seksyen 4 (doktrin palsu), 8 (mempersendakan ayat Quran atau Hadith), 9 (Menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama), 12 (pendapat yang bertentangan dengan fatwa) atau 13 (penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syarak) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Selepas dari ini dirujuk sebagai AKJS 1997) memerlukan keizinan mendakwa KPS.

Sebagai tambahan, pihak mahkamah yang mengendalikan sebutan kes juga berautoriti untuk meminda atau menambah mana-mana pertuduhan sebelum keputusan atau penghakiman sesuatu kes diumumkan. Ini adalah berdasarkan kepada peruntukan seksyen 83 APJS 1997.


3) Jika tertuduh mengaku salah, adakah mahkamah akan tanya samada tertuduh faham kesan dari pengakuan salahnya atau tidak? Jika tidak faham? Sek. berapa dalam enakmen? Kes?

Soalan yang bagus. Ya, mahkamah akan bertanya kepada Orang Kena Tuduh (selepas dari ini dirujuk sebagai OKT) samada beliau faham kesan dan akibat pengakuan salah yang dibuatnya. Ini adalah berdasarkan seksyen 96(b) APJS 1997 yang menyatakan jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan, sama ada atas pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan.


Dengan syarat bahawa sebelum suatu akuan bersalah direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu. Amalan ini juga adalah bertepatan dengan Hukum Syara’ iaitu Rasulullah bertanya kepada seorang lelaki dari kaum Aslam yang datang kepada Baginda dan beliau mengaku melakukan zina. Baginda bertanya kepadanya. “Apakah engkau berpenyakit gila?” sebelum Rasulullah mensabitkan hukuman ke atas lelaki tersebut.

Sekiranya OKT seorang berbangsa asing atau tidak fasih berbahasa Melayu maka pihak mahkamah akan menangguhkan prosiding ke satu tarikh lain supaya pihak mahkamah dapat menyediakan penterjemah yang sesuai. OKT tersebut pula akan dilepaskan dengan membayar deposit atau dengan mengikat bon dengan penjamin untuk memastikan kehadiran pada tarikh yang telah ditetapkan untuk hadir.


Hal ini adalah penting kerana undang-undang bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi perlu juga dilihat untuk dilaksanakan. Seseorang yang dituduh melakukan kesalahan boleh diberi jaminan berdasarkan kisah Nabi Yusuf dan adik-beradiknya yang datang ke kota untuk mendapatkan bekalan makanan pada waktu kemarau melanda. Allah berfirman di dalam surah Yusuf: maksudnya “dan untuk siapa yang boleh membawanya (alat penyukat) kembali ia akan dibayar upah sebanyak satu kadar muatan unta dan Allah tetap menjaminnya”.



5) Jika tertuduh tidak mengaku salah, apa yang akan berlaku?

-Perbicaraan diteruskan?

-Perbicaraan ditangguhkan ke satu tarikh baru?

-Sek. berapa dalam enakmen?

-Kes?



Sekiranya OKT tidak mengaku salah maka beliau diberi peluang untuk mempertahankan diri. Amalannya, apabila OKT tidak mengaku salah maka PS akan memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh perbicaraan dan memohon OKT dilepaskan samada dengan membayar deposit atau bon dengan penjamin. Ini adalah bertujuan supaya OKT mempunyai peluang untuk melantik peguam bagi mewakilinya dalam proses mengendalikan perbicaraan dan persediaan rapi pihak pendakwaan untuk mengemukakan saksi-saksi untuk membuktikan kes tersebut. Proses ini telah dinyatakan secara terperinci dalam seksyen 96 APJS 1997.



Mahkamah telah mengarahkan pendakwa untuk kemukakan saksi setelah YKT1 dan YKT2 faham dengan pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka tetapi tidak mengaku salah, mahu bicara di dalam kes

Pendakwa Mahkamah Syariah Perak lwn. Abdul Mubin dan Zainab [1407] Jld. V 298,



7) Bagaimana sekiranya tertuduh lebih dari seorang? Adakah akan dituduh bersama? Sek. berapa dalam enakmen? Kes?


Secara asasnya, sekiranya terdapat beberapa orang OKT di dalam kesalahan yang dipertuduhkan dilakukan pada masa, waktu dan tempat yang sama sebagai contoh OKT lelaki dan perempuan dalam kes khalwat, nikah tanpa kebenaran, poligami tanpa kebenaran dan sebagainya maka lebih wajar dipertuduh secara bersama bagi menjimatkan masa dan kos serta memudahkan pihak mahkamah kerana berkemungkinan besar saksi-saksi pendakwaan di dalam kes tersebut adalah individu-individu yang sama juga.


Namun, perlu difahami bahawa setiap OKT akan dituduh berasingan melalui kertas pertuduhan yang berasingan berdasarkan kepada peruntukan seksyen 88 APJS 1997. Sebagai contoh, di dalam kes khalwat OKT lelaki akan dituduh di bawah peruntukan seksyen 27(a) manakala OKT perempuan pula akan dituduh di bawah seksyen 27(b). Hanyasanya, kedua-dua OKT ini boleh dipertuduh dan dibicarakan secara bersesama berdasarkan peruntukan seksyen 95 APJS 1997 yang menyatakan apabila lebih daripada seorang dituduh atas kesalahan yang sama atau kesalahan-kesalahan yang berlainan yang dilakukan dalam transaksi yang sama, atau apabila seseorang dituduh melakukan suatu kesalahan dan seseorang yang lain dituduh bersubahat atau cuba melakukan kesalahan yang sama, maka mereka boleh dipertuduh dan dibicarakan bersama atau berasingan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.



9) Apa kesan jika saksi engkar sapina?



Berdasarkan peruntukan seksyen 219 APJS 1997, mana-mana Mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan atau prosiding lain di bawah Akta ini, memanggil mana-mana orang sebagai saksi, atau memeriksa mana-mana orang yang hadir walaupun dia tidak dipanggil sebagai saksi, atau memanggil semula dan memeriksa semula mana-mana orang yang telah diperiksa, dan Mahkamah hendaklah memanggil dan memeriksa atau memanggil semula dan memeriksa semula mana-mana orang itu jika keterangannya didapati perlu demi keputusan yang adil dalam kes itu.


Sekiranya saksi engkar sapina dan tidak hadir pada hari yang telah ditetapkan supaya hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan tanpa sebarang sebab yang munasabah maka saksi tersebut bolehlah didenda sebanyak RM5.



11) Apakah yang dimaksudkan dengan keterangan lisan saksi dalam bentuk syahadah dan bayyinah? Apa beza antara keduanya?

"Keterangan" di dalam mahkamah boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu keterangan lisan dan keterangan dokumentar. Keterangan secara lisan termasuklah :-


(a) bayyinah dan syahadah;


(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubungan dengan perkara-pekara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;


Manakala segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah: dokumen sedemikian disebut sebagai keterangan dokumentar;


Dari segi bahasa, bayyinah bermakna jelas, terang dan nyata. Dinyatakan di dalam takrifan seksyen 3 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah) Persekutuan 1997 (selepas ini dirujuk sebagai AKMS 1997) bahawa bayyinah dan syahadah membawa erti yang berbeza iaitulah "bayyinah" ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah.


Sebaliknya, "syahadah" ertinya apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz "asyhadu" untuk membuktikan suatu hak atau kepentingan. Oleh sebab itu, tidaklah salah untuk kita katakan bahawa ”syahadah” merupakan salah satu jenis ”bayyinah” selain daripada ”qarinah” yang telah disebutkan.


Namun demikian, perbezaan antara keduanya juga boleh dilihat dari segi kekompetenan seorang saksi. Seseorang yang tidak 'adil, belum baligh, seseorang yang tak sempurna akal, mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau mengidap hilang ingatan, kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya atau buruknya dengan dan mempunyai kepentingan dalam pihak menentang, adalah kompeten untuk memberikan bayyinah tetapi tidak kompeten memberikan syahadah.



13) Apa itu keterangan qarinah? Adakah ianya terhad kepada keterangan dalam bentuk circumstantial / keadaan sekeliling yang diambil dalam sesuatu kes (seperti barang kes)? Atau adakah qarinah juga boleh termasuk apa jua bentuk keterangan lain selain dari syahadah dan iqrar yang mensabitkan yang boleh menyokong pendakwaan?
Mengikut takrifan yang diperuntukkan di bawah seksyen 3 AUKP 1997 "qarinah" ertinya fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebut dalam Akta sama.


Bahagian 1 Bab 2 dalam AUKP 1997 menerangkan aplikasi qarinah dalam beberapa bentuk. Sebagai contoh, motif atau persediaan melakukan sesuatu yang berkaitan dengan suatu fakta boleh diklasifikasikan sebagai qarinah. Dengan kata lain, sekiranya OKT dituduh melakukan suatu jenayah, fakta bahawa sejurus selepas berlakunya jenayah yang dikatakan itu dia telah melarikan diri , atau telah cuba menyembunyikan benda yang telah atau mungkin telah digunakan dalam melakukan jenayah itu ialah qarinah.


Dari segi Hukum Syara’ pula, qarinah adalah diterima pakai sebagai salah satu mekanisme dalam pembuktian. Contohnya, seorang perempuan telah datang mengadu bahawa seorang sahabat telah melakukan persetubuhan dengannya. Lalu, perempuan tersebut mendatangkan bukti terdapat kesan seakan-akan air mani pada kain yang dipakainya didakwa milik lelaki tersebut. Kemudian, Saidina Ali telah mencurahkan air panas ke atas kain tersebut lalu kesan yang dikatakan tadi menjadi masak dan terbukti merupakan putih telur.



15) Apa keterangan-keterangan lain?
Bagi menjawab persoalan ini, kita pertama-pertamanya perlulah melihat kepada jenis sesuatu kes itu. Pengemukaan keterangan di mahkamah adalah bersangkut-paut dengan bagaimana seseorang PS itu dapat menentukan keutamaan bukti-bukti atau keterangan kerana ia hendaklah sesuai dengan elemen-elemen pertuduhan yang perlu dibuktikan.
Selain itu faktor kebolehterimaan sesuatu keterangan juga perlu dipertimbangkan. Di dalam kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah [1415H] Jld IX 195 telah diputuskan surat keterangan nikah dan pengesahan nikah yang dikeluarkan dalam negeri atau luar negeri adalah di antara dokumen awam yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja kecuali diboktikan pihak tertuduh memperolehi dokumen-dokumen tersebut melalui tindakan pemalsuan dan penyelewengan mengikut hukum Syara’ dan Undang-undang.



17) Apa itu beban bukti?


Secara umumnya, beban bukti yang diterima pakai di mahkamah ialah tahap yakin dan ghalabah al-dzan memadai dengan melihat jenis kes yang dibicarakan. Walaubagaimanapun syak dan waham tidak diambil kira, dan hendaklah ditolak. Mahkamah dikehendaki mematuhi bilangan, kedudukan atau kualiti saksi atau keterangan yang dikehendaki oleh Hukum Syara’ bagi membuktikan sesuatu fakta. – s. 226 A559.

Apabila dilihat secara khusus pula, berdasarkan Hukum Syara’ – Yang diperlukan adalah ditahap yakin ( tanpa ada keraguan ). Tetapi dalam kes takzir tahap yakin tidak disyaratkan dan mengikut Dr. Abdul Kadir Audah dalam Kitabnya al-Tasyri’ al-Jinai’e al-Islami, juz 1 hlm. 83 bahawa sabitan kesalahan takzir mencukupi dengan shahadah seorang saksi lelaki. Shahadah seorang saksi lelaki adalah bukan ditahap yakin tetapi pada tahap zan al-ghalib sahaja.

Jika dirujuk Akta 561 ( Akta Keterangan ) bilangana saksi yang diperlukan adalah 2 orang lelaki atau seorang lelaki beserta dengan 2 orang perempuan. – Lihat s. 86 ( 5 ) A561.


Apa yang penting untuk difahami bahawa mengikut Hukum Syara’ takzir tidak tertolak dengan wujudnnya shubhah. Jika keterangan 2 orang saksi atau seorang saksi lelaki bersama dengan seorang perempuan mempunyai keraguan, maka prinsip tidak tertolak takzir dengan sebab shubhah hendaklah diguna pakai.



19) Apa tahap pembuktian kes di pihak pendakwa di akhir kes pendakwaan (iaitu sebelum tertuduh dipanggil untuk membela diri)? Kes?


Perkataan Prima Facie tidak disebut dengan jelas di bawah seksyen 96(f) APJS 1997 tetapi dapat di fahami daripada peruntukkan seksyen tersebut iaitu “kes terhadap tertuduh diwujudkan yang jika tak dipatahkan akan mewajarkan sabitannya”
Maksud prima facie secara mudahnya adalah bukti/keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang jika tidak dibuktikan sebaliknya atau dicacatkan oleh OKT, adalah mencukupi untuk kesalahan disabitkan.



21) Apakah tahap pembuktian kes di pihak tertuduh / peguambela tertuduh? Kes?


Jika didapati ada prima facie sama ada pada kesalahan yang dipertuduhkan atau kesalahan lain yang tidak dipertuduhkan, mahkamah hendaklah menimbang sama ada pertuduhan perlu dipinda atau tidak. Jika perlu dipinda, mahkamah hendaklah membacakan pertuduhan pindaan kepada OKT.

Jika OKT mengaku salah, sabitkan hukuman. Jika sebaliknya atau tidak mengaku salah atau jika tidak ada pindaan dibuat, mahkamah akan perintahkan OKT membela diri.


Seksyen 96 ( h ) APJS 1997 menyatakan jika, apabila keterangan itu telah diambil, Mahkamah berpendapat bahawa ada alasan untuk menganggap bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dipertuduh itu atau kesalahan lain yang Mahkamah itu kompeten untuk membicarakannya dan yang pada pendapatnya patut dibicarakannya, ia hendaklah menimbangkan pertuduhan yang direkodkan terhadap tertuduh dan memutuskan sama ada pertuduhan itu mencukupi dan, jika perlu, hendaklah meminda pertuduhan itu.


Tambahan itu seksyen 96 ( j ) seterusnya menyatakan jika tertuduh tidak mengaku salah kepada pertuduhan itu sebagaimana yang dipinda atau jika tiada pindaan dibuat, tertuduh hendaklah dipanggil untuk membuat pembelaannya dan mengemukakan keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila dia membuat pembelaannya dibenarkan untuk memanggil semula dan memeriksa balas mana-mana saksi melalui Hakim.


Jika dipanggil membela diri, OKT berhak untuk memanggil dan memeriksa semula mana-mana saksi pendakwa dan boleh memohon saman dikeluarkan kepada saksi untuk dipaksa kehadirannya. – s. 96 ( j ) dan s. 96 ( l ).


Prosedur bagi OKT membuat pembelaan di bawah seksyen ini hendaklah dibaca bersama seksyen 106.
Catat Ulasan