KESAN MEMINUM ARAK DAN SEUMPAMANYA : SUATU PERINGATAN
ISLAM melalui syariahnya telah menetapkan sesuatu perbuatan
bukan berdiri sendiri tetapi mengandungi kesan-kesan atau natijah kepada
perkara yang lain. Syariah merupakan undang-undang yang disyariatkan oleh Allah
kepada makhluknya melalui al-Quran dan juga as-Sunnah.
Tidak ada pertikaian yang boleh dibuat terhadap syariah dan
hukum-hukumnya kerana ia jelas daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala apa
yang diciptakan-Nya berbanding dengan hukum dan undang-undang ciptaan manusia.
Bagaimanapun, masih ada manusia yang mempertikaikan kerelevanan syariah Islam
dalam memelihara kesejahteraan manusia pada zaman ini.
Zaman semakin dewasa dan manusia pula semakin bijak mengatur
hidup dengan segala kemudahan dan kebebasan yang ada. Namun, hukum syariah
tidak boleh diabaikan atau dipermudahkan mengikut acuan semasa. Ini kerana
syariah itu sendiri telah lengkap, malah meliputi segala aspek yang berkaitan
dengan dunia dan akhirat. Bagaimanapun, banyak perkara yang melibatkan hukum
Islam diperlekehkan sedangkan segala hukum itu telah jelas terkandung di dalam
al-Quran. Firman Allah s.w.t melalui surah al-Ahzab, ayat 36 yang bermaksud:
“Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki yang beriman dan juga
perempuan, bilamana Allah dan Rasul-Nya tetapkan suatu ketetapan, ada bagi
mereka pilihan yang lain. Dan sesiapa sahaja yang menderhakai Allah dan
Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.
Undang-undang syariah diasaskan di atas prinsip menghasilkan
‘maslahah’ (kebaikan) dan menolak ‘mafsadah’ (keburukan). Oleh hal yang
demikian itu, apa-apa perkara pun yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t
mempunyai sebab-sebab tertentu dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya.
Al-Quran menjadi panduan kepada manusia dalam memahami dan menghayati syariah
yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Hari ini, masyarakat mula memperkatakan tentang pelaksanaan
syariah. Itupun kerana beberapa perkara yang dirasakan hak mereka tertindas
seperti isu penceraian, hak kebebasan untuk beragama, hak penjagaan anak dan
perkara-perkara yang bersangkutan dengan perkahwinan semata. Padahal, syariah
meliputi segala aspek yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan
Penciptanya, manusia dengan manusia, dan juga manusia dengan alam sekeliling.
Tahukah bahawa arak merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam hukum
syariah?
Suatu waktu dulu, pada zaman nabi, telah disyariatkan oleh Allah
s.w.t melalui perutusannya, Nabi Muhammad s.a.w bahawa arak merupakan minuman
yang memabukkan dan boleh membawa kepada kemudaratan. Pengharaman arak juga
dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa peristiwa yang berlaku
ketika itu.
Arak merupakan sejenis minuman kegemaran bangsa Arab jahiliah.
Malahan sesudah kedatangan Islam, para sahabat Rasulullah masih lagi meminumnya
kerana pada waktu itu larangan meminum arak masih belum berkuatkuasa walaupun
Rasulullah sendiri telah mengetahui kemudaratannya kepada pertimbangan akal.
Pernah terjadi suatu waktu dahulu ketika Abdul Rahman bin Auf
mengadakan kenduri dan mengundang para sahabat termasuklah Saidina Ali bin Abi
Talib. Semua tetamu telah dihidangkan dengan minuman arak dan ketika masuk
waktu Maghrib, Saidina Ali telah mengimamkan solat dan telah membaca surah
al-Kafirun ayat 1-3 dalam keadaan mabuk, lantas mengubah makna ayat tersebut menjadi
seperti yang berikut:
“Katakan wahai orang-orang kafir, aku akan menyembah apa yang
kamu sembah dan kami telah pun menyembah apa yang kamu sembah.”
Begitu juga dengan peristiwa seorang lelaki Ansar bernama Utban
bin Malik yang telah mengadakan jamuan yang dihadiri oleh kaum Ansar dan
Muhajirin. Jamuan yang menghidangkan arak sebagai minuman itu, telah
menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair
memuji-muji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian
itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya
menyebabkan huru-hara.
Akibat daripada peristiwa itu, Allah s.w.t menurunkan wahyu yang
mengharamkan arak sepenuhnya melalui surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan
judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah
adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud
mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan
judi, dan mahu memalingkan kamu daripada Allah dan daripada mengerjakan solat.
Masihkah kamu berdegil lagi?”
Dan selepas turunkan ayat yang melarang perbuatan meminum arak,
masyarakat Islam pada ketika itu berlumba-lumba membuang botol-botol arak dan
memecahkannya di jalan-jalan raya. Sesungguhnya kesan arak dan pengharamannya
oleh Allah sungguh terkesan dalam hati mereka.
Suatu ketika dahulu juga, namun pada era moden, sekitar tahun
1930-an, Amerika syarikat telah mengesan keburukan arak. Mereka telah
menggunakan segala kemudahan yang ada untuk memberitahu tentang keburukannya.
65 juta Dolar Amerika telah dihabiskan dan mencetak 9,000 juta helaian kertas
untuk menyatakan keburukan arak dan juga hukuman yang akan dikenakan ke atas
penjual, pembeli, dan pembekal arak. Sehingga tahun 1933, mereka telah membunuh
200 orang dan telah memenjarakan lebih kurang setengah juta orang dan mendenda
mereka dengan jutaan ringgit. Namun, mereka gagal membendung gejala ini. Dan
undang-undang pengharaman arak telah dibuang.
Apabila diteliti kembali, memang banyak bezanya antara kesan
perundangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan undang-undang yang dicipta
oleh manusia. Namun, beberapa pandangan yang mengatakan undang-undang syariah
sudah tidak relevan pada zaman sains dan teknologi ini dan juga tidak bersifat
universal adalah pandangan yang jahil, sesat lagi menyesatkan.
Hari ini, ada yang berpendapat, pengambilan arak adalah perkara
biasa dan sudah menjadi budaya, terutama bagi remaja dan golongan belia. Kata
mereka, arak bukanlah apa-apa selagi boleh dikawal pengambilannya. Penjualan
arak di Malaysia juga sudah dilakukan secara terbuka tanpa meletak label HARAM
bagi masyarakat Muslim.
“…Hari ini, seramai 2000 orang remaja Melayu terlibat dalam
pesta tarian secara terbuka di Genting Highland (yang menyediakan arak sebagai
minuman) yang bermula pada jam 6.00 petang hari Sabtu dan berakhir pada 4 pagi
keesokan harinya. Lebih 10 ribu pengunjung telah hadir ke pesta tersebut…”
(Berita Harian, 9 Mac 2005)
“… Hari ini juga, tiga orang anak muda Melayu telah berjaya
memenangi pertandingan Belvedere Bartender of The Year 2007 (Malaysia) anjuran
syarikat Malaysia Bervedere Vodka. Pertandingan ini merupakan acara yang
melibatkan penyediaan koktail bagi minuman arak jenis Belvedere Vodka…” (The
Star, 15 Jun 2007)
Itu baru sekadar dua contoh yang mendapat liputan di dada
akhbar. Tidak termasuk beberapa pesta yang tidak dilaporkan dan dianjurkan oleh
pihak-pihak tertentu, yang dihadiri oleh belia dan remaja Islam. Apatah lagi
kes-kes yang meminum arak sewenang-wenangnya di khalayak dan tempat-tempat
umum.
Mereka kata tidak salah meraikan orang bukan Islam. Jadi, mereka
tafsirkan hal sebegini sebagai dosa kecil yang boleh dihapus melalui
amalan-amalan lain. Ada juga yang menyatakan alasan bahawa mereka terpaksa.
Terutama bagi Muslim yang bekerja di hotel-hotel mewah. Penyediaan arak sudah
menjadi suatu kebiasaan bagi mereka sehingga terlupa pada undang-undang Islam
sejak dahulu sehingga kini.
Begitu juga dengan tumbuhnya pusat-pusat hiburan di
bandar-bandar besar yang merangkumi pub, disko, bar, café, dan restoran untuk
pengunjung dari luar. Bukan sahaja pengunjung dari luar berasa selesa apabila
menjengah ke Malaysia dengan penyediaan pusat hiburan yang terlalu banyak ini,
malah masyarakat tempatan juga mengambil peluang keadaan yang wujud. Masyarakat
tempatan yang beragama Islam bukan sahaja menjadi pekerja di pusat-pusat hiburan,
malah menjadi pengunjung tegar mengalahkan pelancong asing dengan bangganya
menyediakan dan meminum arak dikhalayak ramai.
Ibnu Tarmizi dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:
“Rasulullah s.a.w melaknat sepuluh golongan yang berkaitan
dengan arak: yang memerasnya (memerahnya), yang minta diperaskannya, yang
meminum, yang membawa, yang minta dihantari, yang menuangkannya, yang menjual,
yang makan harganya, yang membeli dan yang meminta dibeli.”
Jelas, apa sahaja perkara yang berkaitan dengan arak hukumnya
adalah haram dan dilaknat oleh Allah s.w.t. oleh itu, adakah kita masih mahu
‘bertarik tali’ dengan hukum pengharaman arak?
Perjuangan menyedarkan masyarakat tentang keburukan meminum arak
bukan mudah. Apatah lagi jika mereka menggunakan alasan bahawa arak tidak
mendatangkan mudarat jika peminum itu sendiri boleh mengawal tahap
ketagihannya. Berbalik kepada syariah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, setiap
masyarakat Islam wajib memberi peringatan atau menegah saudaranya dari
melakukan perbuatan itu, walau dengan apa cara sekalipun.
Kajian ilmiah menunjukkan arak memberi kesan yang serius dari
aspek sosial, budaya, psikologi dan seterusnya membawa kepada kesan kepada
masyarakat, bangsa, agama dan negara.
Seorang ilmuwan Barat, Profesor A.J Arberry, pernah menjelaskan,
“peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu,
malahan mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat angin
ahmar atau lumpuh. Selain itu, seorang yang mabuk arak juga akan hilang
pertimbangan akal. Secara tidak sedar dia akan mmbuka rahsia keburukan dirinya
sendiri kepada orang lain.”
Kajian sains juga mendapati secara jelas, arak apabila diminum
secara berlebihan boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang
meresap dengan cepat ke dalam tubuh manusia, terutamanya jantung dan buah
pinggang, sesak nafas dan boleh menyebabkan kematian mengejut akibat tekanan
kuat kepada hati dan jantung. Pengambilan dua hingga tiga gelas arak, tidak
kiralah jenis rum, wain, scotch, wiskey, khamar atau samsu, sudah memadai untuk
menjadikan seseorang tidak stabil, sawan, dan halusinasi.
Dari aspek sosial, masyarakat boleh berpecah belah dan hancur
hasil penangan arak. Lihat sahaja peristiwa kaum Ansar dan Muhajirin yang
bertelagah akibat kesan pengambilan arak yang menyebabkan peminumnya hilang
pertimbangan lalu mengeluarkan kata-kata yang mencalar hati pihak lain.
Hari ini pula lihat sahaja betapa banyak kemalangan jalan raya
yang berlaku akibat pemanduan dalam keadaan mabuk. Rumahtangga musnah akibat
arak yang menghilangkan daya siuman seorang bapa atau ibu, lantas melupakan
tanggungjawab terhadap keluarga. Itu belum lagi beberapa kejadian zina dan
bunuh yang berlaku akibat pertimbangan akal yang semakin beku kerana melanggar
larangan Allah s.w.t – Arak itu haram! Masyarakat apakah yang akan terhasil
nanti jika minuman jenis arak yang memabukkan ini tidak disekat pengambilannya.
Pendedahan tentang keburukan arak sejak dahulu sehingga kini
belum mampu menegah masyarakat terutama belia dan remaja untuk menghindari
arak. Didikan ibu bapa juga belum mampu menegah anak-anak mereka dari
terpengaruh dan terjerumus dalam gejala ini. Malahan kempen-kempen yang
dianjurkan oleh kerajaan dan badan-badan tertentu tidak begitu bermakna jika
kemasukan dan pengeluaran arak ke dalam negara Islam tidak disekat.
Arak bukanlah aspek wajib yang harus disediakan untuk
menggalakkan pelancong asing ke Malaysia. Malahan, kita tetap boleh maju dan
berdaya saing jika meninggalkan budaya meminum arak sebagai satu cara
menghilangkan tekanan. Bagi remaja, permulaan hidup sebagai warganegara yang
sihat dan cemerlang adalah dengan mengatakan ‘tidak’ kepada minuman memabukkan
ini. Banyak lagi cara yang lebih baik dan menguntungkan boleh dilakukan untuk
menghindari tekanan atau mengisi masa lapang.
Melalui kesedaran menjauhi arak, bukan sahaja negara Islam
bertungkus lumus menyekat masyarakatnya dari meminum arak tetapi negara barat
juga sedaya upaya mengawal pengambilan arak dikalangan rakyatnya. Sebagaimana
bahayanya candu sehingga menyebabkan negara China hancur dalam kemuflisan dan
kebuluran pada tahun 1840, begitu juga dengan bahayanya arak jika dibiarkan
keterlaluan menguasai budaya dan cara hidup masyarakat hari ini. Bagaimana
budaya kita pada hari ini menentukan arah dan hala tuju masa depan yang sedang
kita telusuri
Ikhwanul muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
Subhanahu Wata’ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah
Subhanahu Wata’ala serta berusaha melaksanakan segala sunnah Rasulullah S.A.W.,
mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di
akhirat.
Muslimin yang dihormati,
Apabila kita menyingkap sejarah bermulanya arak diharamkan pada zaman
perkembangan Islam dahulu, jelas membuktikan bahawa mudharat arak yang membawa
kerosakan adalah melebihi manfaat atau kebaikannya. Arak adalah sejenis minuman
kegemaran bangsa Arab pada zaman Jahiliah sebelum diharamkan, malah sesudah
kedatangan Islam sebahagian para sahabat Rasulullah s.a.w. pun masih lagi
meminumnya, kerana ketika itu larangan meminumnya belum lagi berkuatkuasa. Arak
dijadikan sebagai minuman utama dalam sesuatu majlis serta diterima sebagai
suatu adat.
Dalam satu kejadian, seorang sahabat Rasulullah telah mengadakan keramaian
di rumahnya dan di antara tetamunya termasuklah salah seorang sahabat yang
kanan. Apabila arak dijadikan hidangan, hasilnya mereka menjadi mabuk dan
apabila masuk waktu maghrib, beliau mengimami solat maghrib dengan membaca
sepotong ayat dari Surah Al-Kaafirun. Akibat mabuk arak beliau telah
mengubah ayat dalam surah tersebut tanpa sedar menjadi makna, “Aku
sembah seperti apa yang kamu sembah, wahai orang-orang kafir”.
Dalam peristiwa yang lain seorang lelaki Ansar telah mengadakan jamuan di
rumahnya dan tetamunya termasuklah seorang Muhajirin. Dalam keadaan mabuk lalu
ia bangun dan bersyair dengan memuji kaumnya yang gagah berani sambil menghina
dan mencaci kaum Ansar yang dikatakannya sebagai penakut. Mendengar cacian itu
seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah. Selepas kejadian itu
wahyu pun diturunkan iaitu pada Surah Al Maaidah ayat 91:
“Sesungguhnya syaitan mahu menimbulkan
permusuhan dan perasaan saling benci-membenci di antara kamu dengan sebab
meminum arak dan permainan judi serta memalingkan kamu dari mengingati Allah
dan mengerjakan sembahyang, maka mahukah kamu berhenti dari melakukan perbuatan
yang keji dan kotor itu?”
Semenjak peristiwa itulah arak telah diharamkan secara muktamad oleh Allah
Subhanahu Wata’ala.
Arak sememangnya sinonim dengan alkohol. Ia merupakan perosak masyarakat
sejak zaman berzaman. Ketagihan alkohol secara berterusan akan mengakibatkan
kehilangan nyawa yang tidak terkira serta menyebabkan kesengsaraan kepada
jutaan manusia di seluruh dunia. Alkohol merupakan punca pelbagai masalah yang
dihadapi oleh masyarakat. Statistik kadar jenayah yang meninggi, kekerapan
kemalangan jalan raya, pertambahan kes penyakit mental, bunuh diri, perzinaan
dan keruntuhan institusi keluarga di serata dunia menjadi bukti kepada kuasa
perosak alkohol.
Pengharaman alkohol atau arak jelas dinyatakan dalam Al-Quran surah
Al-Maidah ayat 90:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya
arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah, adalah
perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu
menjauhinya agar kamu berjaya”.
Muslimin yang dikasihi Allah,
Ketegasan hukum Islam menyatakan bahawa peminum arak, pengangkat dulang
arak, orang yang menyediakan arak, yang menjual arak akan terlibat dengan
kesalahan dan dosa. Ini bermakna, pendirian agama sangat keras ke atas arak.
Pada zaman ini, sudah ada van atau lori jenama arak pemandunya beragama
Islam. Kita lihat telah ada pemuda-pemuda Islam menjual arak di gerai-gerai
berpayung di tempat-tempat pelancongan atau peranginan, bekerja di kedai atau
pasar raya yang menjual arak dan mabuk terhoyong- hayang kerana arak.
Pada hari ini juga kita telah terdengar muda-mudi Melayu seramai 2,000
orang terlibat dalam Pesta Tarian secara terbuka di Genting
Highland yang menyediakan arak sebagai minuman daripada waktu petang
sehingga ke esok paginya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian 09 Mac 2005.
Barangkali, sudah ada Syarikat Arak di Papan Pertama, Kedua di Bursa Saham
dan sudah ada Kapitalis Melayu, orang Islam yang melabur dalam Sektor
Perkilangan Arak.
Tetapi jelas ketika turunnya ayat mengenai arak apakah ada kesedaran di
kalangan masyarakat Islam yang terlibat dengan arak sama ada minum atau bekerja
atau bergelumang dengan arak dapat berhenti setelah faham dan sedar bahawa
Islam tidak pernah menghalalkan semua aktiviti yang berkait dengan arak ini?.
Duhai muslimin yang dimuliakan,
Pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita bertanya pada diri kita
kenapa arak membawa kesan yang sangat buruk dalam kehidupan manusia dan kenapa
ia diharamkan oleh Islam?. Sebahagian sebabnya adalah:
1. Merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman
kepada Allah S.W.T dan merosakkan syakhsiahnya.
2. Dari aspek sosial boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian di
antara manusia, memporak-perandakan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan
negara.
3. Merosakkan kesihatan manusia seperti tekanan darah tidak menentu,
rosaknya urat saraf, menyebabkan hepatitis, jantung, rosak buah pinggang,
kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan, dan gila.
4. Ketagihan arak atau alkohol akan mengakibatkan kehilangan nyawa
serta menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia di seluruh dunia.
5. Kesan panjang alkohol akan membawa perubahan metabolisma kepada
akal fikiran, organ hati dan menyekat peranan otak dari berfungsi
dengan baik.
6. Kes zina, rogol, sumbang mahram dan AIDS lebih tinggi di kalangan
peminum alkohol. Menurut kajian Biro Keadilan Mangsa Jenayah Kebangsaan
(Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes
rogol berlaku setiap hari. Statistik ini menunjukkan bahawa kebanyakkan perogol
mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.
7. Menurut statistik rasmi di United Kingdom, alkohol menyebabkan
hampir 45-46% kejadian jenayah, ia juga melibatkan 39% keganasan dalam
rumah tangga dan kajian juga menunjukkan hampir sejuta serangan ganas yang
berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang
mabuk atau separa mabuk.
8. Minum arak adalah ibu segala kejahatan dan merupakan sebesar-besar
dosa. Ini dijelaskan oleh hadis Nabi s.a.w. riwayat At-Tabrani:
“Arak adalah ibu segala kejahatan dan ianya
adalah sebesar-besar dosa”.
9. Sesuatu yang banyak memabukkan sekalipun sedikit hukumnya tetap
haram berdasarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Ahmad, Tirmizi, An-Nasai dan
Abu Daud:
“Tiap-tiap suatu yang memabukkan dalam jumlah
yang banyak atau sedikit maka hukumnya adalah haram”.
Oleh itu tidak ada alasan untuk meminum arak walau pun seteguk atau pun
setitik.
10. Orang yang minum arak dan urusan yang berkaitan dengannya akan dilaknat
dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi,
Ibnu Majah daripada Anas Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud;
“Sepuluh orang yang dikutuk Allah berkaitan
dengan arak ialah pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya,
penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.”
Dengan ini jelaslah semua urusan yang berkaitan dengan arak menjadi haram
dan dilaknat oleh Allah S.W.T.
Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah sekalian,
Hukum Islam menjelaskan, bahawa pesalah minum arak akan dikenakan hukuman
berupa sebatan, sebagaimana dijelaskan oleh hadis Nabi s.a.w. riwayat Abu Daud:
“Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan
kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum
lagi, sebatlah mereka”.
Apa yang penting kita sebagai umat Islam hendaklah ‘akur dengan
undang-undang Jenayah Syari’ah dan mengambil ‘iktibar daripadanya dan tidak
terjebak sama sekali untuk melakukannya. Inilah hikmah pelaksanaan Hukum
Syarak, ianya mampu membendung jenayah secara berleluasa.
Justeru, di antara tujuan syarak itu diturunkan ialah menjaga akal agar
manusia boleh hidup dalam keadaan aman dan tenteram, tidak
berpandukan akal yang cacat dan keliru kerana mabuk,
yang natijahnya akan membawa kepada kerosakan moral, kecacatan iman,
memporak-peranda dan mengacau-bilaukan masyarakat.
Kita bersyukur dengan kepekaan Kerajaan, Negeri Selangor yang berusaha
bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kembali Islam kepada kedudukan yang
tinggi dengan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syari’ah seperti
pengharaman penjualan arak di premis-premis majoritinya umat Islam,
dengan tujuan menjaga dan memelihara akal manusia agar terhindar daripada
kerosakan. Apabila rosak akal, maka rosaklah agama, sebaliknya jika akal
sejahtera, maka sejahteralah agama dan seluruh alam ini.
Marilah sama-sama kita memastikan persekitaran kita bebas daripada
perkara-perkara penderhakaan kepada Allah termasuk bebas daripada arak yang
mengundang seribu maksiat, mudah-mudahan pembendungan gejala sosial akan
berjaya kita tangani dengan sebaiknya.
“Wahai sekalian manusia!, makanlah dari apa yang
ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah
syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang dan nyata bagi
kamu”.
(Al-Baqarah:168)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan