|
KONSEP HARTA PUSAKA
2.1 PENGENALAN
Harta pusaka
mempunyai definisi dan maksud yang tersendiri mengikut perspektif Islam dan
sivil. Ia amat penting untuk membezakan harta pusaka dengan harta-harta yang
lain agar jelas dapat dibezakan. Di dalam bab ini akan menyentuh beberapa
definisi pusaka atau harta pusaka menurut Islam dan harta pusaka menurut
undang-undang ciptaan manusia (civil law). Selain itu juga, di dalam bab
ini juga penulis akan menyentuh aspek pensyariatan pusaka di dalam Islam,
hak-hak yang berkaitan sebelum dibahagikan harta pusaka, jenis-jenis harta
pusaka, dan juga peruntukan undang-undang berkaitan harta pusaka yang digunakan
di negara kita kini.
2.2 DEFINISI HARTA PUSAKA
2.2.1 Definisi Harta Pusaka Menurut Islam
Pusaka atau al-mīrāth
(الميراث) dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqā’
(البقاء) iaitu kekal dan perpindahan suatu daripada seseorang kepada
seseorang yang lain. Al-mīrāth (الميراث) merupakan ism
mafcul (إسم المفعول) yang bermaksud
asal atau baki.[1]
Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati
daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh
ahli-ahli
waris disebabkan kematian pewaris.[2]
Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mīrāth pada istilah
ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih
hidup sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindahkan,
harta yang tidak boleh dipindahkan, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh
syarak (seperti hak khiyār dalam jual beli, hak shufcah,
dan hak qisās).[3]
Menurut
istilah ilmu farāid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tārikah. Dari
segi bahasa, al-tārikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau
dibiarkan oleh si mati.[4]
Manakala definisi al-tārikah dari segi istilah syarak pula berlaku
perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat
seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha’ (iaitu Al-Mālikiyyah, Al-Shāficiyyah,
dan Al-Hanābilah) mendefinisikan al-tārikah ialah segala sesuatu
yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda atau hak-hak miliknya.[5]
Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris.[6]
Mengikut mazhab Hanafi pula telah
mendefinisikan al-tārikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan
yang menjadi milik si mati. Harta itu termasuklah harta alih dan harta tak alih
serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun
terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tārikah ialah segala
harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya.
Oleh itu, al-tārikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta
peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan
diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.[7]
Menurut Imam Al-Ramli iaitu ulama
mazhab Shafici di dalam kitab penulisannya Nihayāt Al-Muhtaj
telah mendefinisikan harta pusaka sebagai:
Apa-apa
yang ditinggalkan (oleh si mati) untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak
seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah
menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil daripada pembunuhnya
kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk
ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya ketika di masa hidupnya.[8]
2.2.2 Pensyariatan Pusaka Di Dalam Islam
Pensyariatan
pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam adalah terkandung di dalam Al-Quran.
Ia dapat dilihat di dalam surah an-Nisa’ ayat 11, 12, 176 yang dikenali sebagai
ayat al-Mawārith. Ketiga-tiga ayat tersebut telah menjelaskan secara
terperinci (yang juga dikenali sebagai ayat mufassal) tentang pusaka di
dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian-bahagian mereka, dan sebab
perwarisan. Contoh firman Allah s.w.t di dalam ayat 11, 12, 176 surah an-Nisa’
iaitu:
Maksudnya:
Allah perintahkan kamu mengenai
(pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak
lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak
perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta
yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja,
maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si
mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati
tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka
bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa
orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh
si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu,
kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak
manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian
masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[10]
Maksudnya:
Dan bagi kamu satu perdua dari
harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai
anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari
harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan
dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu
perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak.
Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu)
ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat
yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang
diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa,
dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan
(seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau
pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka
bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan
perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan
sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak
mendatangkan mudarat (kepada waris-waris).[12]
Allah menetapkan wasiat itu (sebagai ketetapan dari Allah). Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyantun.
Maksudnya:
Mereka meminta fatwa kepadamu
(wahai Muhammad mengenai masalah Kalālah).[14]
Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalālah
itu, Iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai
seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari
harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi
(semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai
anak. Kalau saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua
pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka
(saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang
lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan kepada
kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
Menurut Ibnu Kathīr telah memberikan
tafsiran yang jelas di dalam kitabnya iaitu Tafsir Al-Quran Al-cAẓim
bahawa hukum asal dalam sistem faraid adalah seperti apa yang dinyatakan di
dalam Surah An-Nisa’ ayat 11 dan 12.[15]
Menurut pandangan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Harussani bin Zakaria juga
menegaskan bahawa pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid adalah suatu
keutamaan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah qatci.[16]
Malahan pula menurut Noh bin Abdullah berdasarkan penulisannya di dalam majalah
Dewan Masyarakat telah mengambil pandangan Sheikh Mahmud bin Ahmad dalam buku Economic
of Islam menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka yang ditetapkan Allah
adalah adil yang mana dapat membantu ekonomi Islam.[17]
Di samping itu, terdapat beberapa
ayat lain yang menjelaskan tentang pensyariatan pusaka, tetapi tidak menyatakan
secara terperinci dan hanya berbentuk umum (yang dikenali juga sebagai ayat
mujmal).[18]
Antaranya ialah firman Allah s.w.t yang berbunyi:
Maksudnya:
Dan orang-orang yang beriman
sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka
mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian
kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut Kitab
Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Maksudnya:
Bagi orang-orang lelaki ada
bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama
ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan (ditentukan oleh
Allah).
Selain daripada nas-nas Al-Quran di
atas, terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan tentang
waris-waris dan bahagian masing-masing. Antaranya hadis daripada cAbdullah
Ibnu Mascūd, Rasulullah S.A.W bersabda:
للإبنة
النصف ولإبنة الإبن السدس وما بقي فللأخت[21]
Maksudnya:
Bagi seseorang anak perempuan ½,
seseorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 dan baki (casabah)
itu untuk seorang saudara perempuan.
Hadis yang
diriwayatkan daripada cAbdullah Ibnu cAbbas, sabda
Rasulullah S.A.W:
ألحقوا الفرائض بأهلهما
فما بقي فهو لأولى رجل ذكر[22]
Maksudnya:
Berikanlah harta pusaka kepada
orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang
lebih utama.
Di samping itu juga, ijmāc
ulama saling bersepakat mengenai pensyariatan pusaka. Jika terdapat masalah
pembahagian pusaka yang tidak jelas di dalam Al-Qur’an dan As-sunnah, maka ia
akan dapat diselesaikan melalui ijmāc ulama dan ijtihad mereka. Contohnya
seperti kedudukan saudara-saudara yang mewarisi bersama datuk. Hal ini tidak
jelas di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Oleh itu, kebanyakan sahabat-sahabat
dan imam-imam mazhab berpendapat bahawa saudara-saudara itu mendapat harta
pusaka secara muqasamah[23]
dengan datuk. Ini adalah mengikut pendapat Zayd bin Thābit, cUmar
Al-Khaṭṭāb, cAlī bin Abī Ṭalib, dan Ibnu Mascud. Pendapat
tersebut diikuti oleh Imam Malik, Al-Auzaci, Abū Yūsuf, As-Shafici,
dan Ahmad bin Hanbal.[24]
Terdapat juga ulama yang sepakat
mengatakan bahawa anak lelaki kepada anak lelaki (iaitu cucu lelaki) adalah
seperti anak lelaki tatkala ketiadaan ayahnya (anak lelaki) dan anak perempuan
kepada anak lelaki (iaitu cucu perempuan) seperti anak perempuan ketika
ketiadaannya.[25]
2.3 JENIS-JENIS HARTA PUSAKA
Berdasarkan
undang-undang yang terdapat di Malaysia telah menunjukkan bahawa harta pusaka
dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta pusaka kecil, harta pusaka besar
(dikenali juga harta pusaka biasa), dan harta pusaka ringkas. Undang-undang
yang merujuk kepada ketiga-tiga jenis harta pusaka ialah Akta Harta Pusaka
Kecil (Pembahagian) 1955, Akta Probet dan Pentadbiran 1959, dan Akta Perbadanan
Amanah Raya 1995.
2.3.1 Harta Pusaka Kecil
Harta pusaka
kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri
daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak
alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 2 juta (sebelum ini jumlah nilainya
tidak melebihi RM600,000).[26]
Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta
Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar (dahulunya dipegang oleh Kementerian Tanah dan Pembangunan
Koperasi) mengikut peredaran dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta
pusaka kecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat
Pusaka Kecil yang terdapat di dalam Pejabat Tanah Daerah di hadapan Pegawai
Penyelesai Pusaka.[27]
Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia yang mana setiap
unit mengawasi dua atau tiga daerah. Terdapat juga daerah yang tidak mempunyai
Unit Pusaka Kecil, justeru itu urusan penerimaan permohonan Borang A dan Borang
P adalah dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah masing-masing.[28]
Unit ini diletakkan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)
serta Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian
harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati
terletak.[29]
Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak merata tempat sama ada di negeri
yang sama atau negeri yang berlainan, maka daerah yang mempunyai nilai harta si
mati yang paling tinggi akan mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan
pembahagian harta pusaka kecil si mati tersebut.[30]
Setiap permohonan untuk pembahagian
harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang
ini boleh didapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian
Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Setiap permohonan
tidak dikenakan bayaran pendaftaran semasa pendaftaran dibuat.[31]
Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur untuk tujuan merekod dan ia juga bertujuan mengelakkan
pertindihan kes. Semasa mengemukakan borang A terdapat beberapa dokumen yang
perlu disertakan iaitu[32]:
a. Dokumen bukti kematian si mati yang
telah meninggal dunia seperti sijil kematian atau permit pengkebumian, surat
sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan
(terpakai bagi kematian semasa pendudukan Jepun atau sebelumnya) ataupun
perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi (terpakai bagi
keadaan di mana kematian tanpa kubur, si mati hilang di laut, hilang semasa pendudukan
Jepun, mati ketika tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan sebagainya).
Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut
hilang dan tiada dengar perkhabaran berita.[33]
b. Salinan dokumen hak milik keluaran
seperti contohnya geran tanah bagi harta tak alih[34]
dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang
menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, geran
pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP, dan sebagainya.
c. Salinan Kad Pengenalan waris-waris,
surat beranak (jika ada), dan surat nikah pasangan si mati.
d. Sekiranya pembahagian hendak dibuat
mengikut hukum faraid, pemohon yang terdiri daripada waris-waris si mati
perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.
Menurut seksyen 8 Akta Pusaka
Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian
harta pusaka kecil ialah[35]:
a. Waris-waris pusaka si mati
(benefisiari) seperti suami ataupun isteri, ibu atau bapa, dan Majlis Agama
Islam (baitulmal) jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.
b. Si Pemiutang (creditors) dan
pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah
kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.
c. Si pembeli (yang membeli melalui
perjanjian jual beli yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi
pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).
d. Orang-orang ataupun badan-badan yang
berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan
pajakan. Contohnya seperti pihak bank.
e. Penghulu atau pegawai tempatan dengan
arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18 Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
terpakai apabila di dalam tempoh enam bulan selepas kematian si mati. Tiada
sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir
pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil
(Pembahagian) 1955.
f. Amanah Raya Berhad (terpakai apabila
waris si mati membuat tuntutan melalui ARB).[36]
2.3.2 Harta Pusaka Besar (Biasa)
Harta pusaka
besar atau dikenali juga harta pusaka biasa merupakan semua jenis harta
peninggalan si mati yang jumlah nilainya RM 2 juta atau lebih sama ada terdiri
daripada harta tak alih semuanya atau harta alih kesemuanya atau campuran
kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 2
juta tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.[37]
Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan
hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat
tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bagi
orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat),
ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar (bagi si mati yang
meninggalkan wasiat untuk sebahagian hartanya.[38]
Bagi orang yang beragama Islam, si
mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 daripada harta kepada
pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan
di kalangan ahli waris. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan
harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut
harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh
dibuat oleh waris-waris si mati atau si pemiutang sama ada secara persendirian,
melalui khidmat peguam, ataupun menerusi Amanah Raya Berhad (ARB). Setiap
permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah
dituntut atau sebaliknya.[39]
Kebiasaannya orang yang diberi
probet (wasiat) atau surat kuasa mentadbir pusaka disyaratkan mendapatkan
seorang atau dua orang penjamin kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka dan ARB.
Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin
yang layak dan sesuai, maka dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi
mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau
pendapat khidmat penjamin profesional iaitu seperti syarikat insuran atau
institusi-institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh
syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka.[40]
Surat kuasa mentadbir pusaka dan
surat kuasa probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian
penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah
ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen telah memperoleh surat
kuasa tersebut, maka dia hendaklah mendaftarkan dirinya di pejabat tanah supaya
semua surat-surat hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai
wakil peribadi si mati.[41]
Pempetisyen juga bertanggungjawab untuk memohon membuat satu perintah
pembahagian terhadap harta pusaka mengikut hukum faraid ataupun Ordinan
Pentadbiran Harta Pusaka kepada mahkamah sebaik sahaja dia menyenaraikan semua
aset harta si mati.
2.3.3 Harta Pusaka Ringkas
Harta pusaka
ringkas ialah harta pusaka yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 2 juta yang
terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai,
saham-saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional
(ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta, wang simpanan di dalam bank atau
lain-lain, dan sebagainya. Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas
ini hendaklah dibuat melalui Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.[42]
Terdapat satu peruntukan khas dalam
Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pemegang Amanah Raya
Berhad untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu
membuat permohonan surat kuasa mentadbir daripada Mahkamah Tinggi Sivil.
Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak
mengikut kadar tertentu seperti mana yang dinyatakan di dalam sijil faraid
daripada mahkamah syariah.[43]
2.4 KESIMPULAN
Setelah kita
melihat definisi-definisi harta pusaka menurut undang-undang Islam dan
undang-undang ciptaan manusia, maka dapatlah kita lihat di sini bahawa terdapat
persamaan dari segi definisi tersebut iaitu harta pusaka merupakan harta
peninggalan si mati yang meninggal dunia. Melalui bab ini juga, kita dapat
memahami hak-hak si mati sebelum harta peninggalannya dibahagikan kepada ahli
waris mengikut pandangan ulama secara umum. Di samping itu juga, kita dapat
mengenal beberapa peruntukan yang digunakan berkaitan dalam pengurusan dan
pembahagian harta pusaka di negara kita.
[1] Muhammad Mustafā
Shalābi, Ahkām al-mawārith bayna al-fiqh wa al-qānun, dar al-nahdah al-cArabiyyah,
Beirut, 1978, hlm 21.
[2] Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang
dan Pentadbiran Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, Pengajian Jarak Jauh, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2003, hlm 100.
[3] Al-Khaṭib al-Sharbinīy,
Shamsuddin Muhammad ibn Muhammad, Mughnī Muhtāj ilā macanīy alfāz
al-Minhaj, jil.4, Dar al-Kutub al-cIlmiyyah, Beirut, 1994, hlm
8.
[4] Majmac al-Lughah
al-cArabiyyah, al-Mucjam al-wāsit, juz 1, Sharikat
al-Iclanat al-Sharqiyyah, t.tp, 1985, hlm 8
[5] Ibn cArfah,
Muhammad ibn Ahmad ibn cArfah Ad-Dusūkī Al-Malikī, Hāsyiyyah Al-Dusūkī
cala Al-Syarh Al-Kabīr, jilid 4, Dar Ihyā’ Al-Kutub Al-cArabiyyah,
Kaherah, t.th, hlm 457.
[6] Mohd Zamro Muda &
Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan di Malaysia,
Syarikat Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd, Bangi, 2006, hlm 2.
[7] Al-Sabunī,
Sheikh Muhammad cAli, al-Mawārith fi as-Sharicah fi
Dhau’i al-Kitāb wa as-Sunnah, edisi kelima, Dar As-Sabunī,
Makkah al-Mukarramah, 1987, hlm 32.
[8] Al-Ramlī, Syihabuddin, Nihayāt
al-Muhtaj, juz 6, Mustafā al-Bābī al-Halabī Wa Aulāduh,
Kaherah, 1938, hlm 3.
[10] Semua terjemahan
ayat-ayat Al-Qur’an dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan Al-Rahman
kepada pengertian Al-Qur’an, edisi kesembilan, (Kuala Lumpur; Bahagian Hal
Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1995). [Semua terjemahan ayat al-Qur’an
dalam tulisan ini dibuat oleh penulis kecuali kalau dinyatakan sebaliknya.]
[12] Iaitu memberi mudharat kepada waris itu seperti
tindakan-tindakan: a) mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta pusaka. b) berwasiat dengan maksud mengurangi harta
pusaka, sekalipun kurang dari satupertiga akan tetapi apabila ada niat mengurangi hak waris, juga tidak
diperbolehkan.
[14] Kalālah ialah seseorang
mati yang tidak meninggalkan ibu bapa dan anak, tetapi ada saudara perempuan
seibu sebapa atau sebapa. Pendapat ini dipersetujui oleh para fuqaha’. Lihat
Muhammad Jawad Mughniah, at-Tafsir al-Kasyif, jil.2, Dar al-cilm
lil Malāyīn, Beirut, 1968, hlm 261 dan 507.
[15] Ibnu Kathīr, Al-Hafiẓ cImaduddin
Abī al-Fidā’ Ismacil ibn Kathīr al-Qarshi al-Dimashqi, Tafsir
Al-Quran Al-cAẓīm, jil.1, Dar Ihya’ al-Kutub al-cArabiyah,
Mesir, t.th, hlm 457.
[16] Noorzila Jamaluddin
& Nor Shamsinor Baharin, Undang-Undang Pastikan Waris Jalankan Tanggungjawab,
Al-Islam, Utusan Karya Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, Julai 2004/Jamadilawal
1425, hlm 25.
[17] Noh Abdullah, Pemecahan
Tanah Pusaka dalam Islam, Dewan Masyarakat, bil.4, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 15 April 1974, hlm 35.
[21] Ibnu Hajar Al-cAsqalanī,
Ahmad ibn cAli, Fath Al-Bari’ bi Sharh Sahih Bukhārī,
juz 13, Dar Al-Fikr, Beirut, 1992, hlm 510.
[22] Muslim, Sahih,
Imam Abī
Husīn Muslim ibn Al-Hajjaj Al-Qusyairiy An-Nisāburiy, Kitab Al-Fara’id, bab
Alhiqu Al-Fara’id bi Ahlihā famā baqiya Falil ‘Ula Rajulun Zakarun, Al-Musnad
As-Sohih Al-Mukhtasar min As-Sunani binaqliy Al-cadl cani
Ar-Rasulullah Sallallahu cAlayhi Wasallam, juz 11, Dar ibn Hazm,
Beirut, 1998, hlm 52.
[23] Muqasamah beerti
dibahagikan sama rata bersama-sama antara saudara-saudara dengan datuk.
[24] Mustofā Al-Bughō &
Mustofā Al-Khin, Bab cilm Al-Fara’id, Fiqh Al-Manhājīy
cala Madhhab Al-Imam As-Syaficiy, jilid
kedua, Dar Al-Qalam, Damsyiq, 1998, hlm 268.
[25] Imam An-Nawawīy, Abī
Zakariyā Yahya bin Sharaf an-Nawawīy, Minhaj al-Ṭolibīn wa cUmdah
al-Muftīn fi al-Fiqh, Matbacah Dar Ihya’ al-Kutub al-cArabiyah,
jil.1, Mesir, t.th, hlm 75 .
[26] Nilai had RM 2 juta bagi
harta pusaka kecil merupakan pindaan terbaru daripada Sidang Parlimen Malaysia
yang telah berkuatkuasa dan diwartakan
pada 1 September 2009. Sila lihat Sittaparam, R, “RM2m limit to Small
Estates From Sept 1”, akhbar New Sunday Times, 16 Ogos 2009, hlm
13.
[27]Pawancheek Merican, Distribution
of Intestate Estate Under The Small Estates (Distribution) Act 1955,
Malayan Law Journal, Petaling Jaya, 2007, hlm 91.
[28]Buku Panduan Permohonan
Harta Pusaka Kecil,
Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, putrajaya, 2009, hlm 1.
[29] Seh Nilamuddin Hassan, Menganalisis Trend Permohonan Pembahagian
Harta Pusaka Kecil dan Mendapatkan Kaedah Peramalan Terbaik Serta Kesannya Ke
Atas Bebanan Kerja Pegawai Pembahagian Pusaka Semenanjung Malaysia,
Tesis Sarjana Program Sains Pengurusan, Fakulti Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia, Sintok, 2004, hlm 36-37.
[30] Mohd Ridzuan Awang, Pentadbiran
dan Pengurusan Harta Undang-Undang Islam di Malaysia; Undang-Undang Tanah
Islam: Pendekatan Perbandingan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,
1994, hlm 355.
[31] Sebelum ini setiap
permohonan akan dikenakan yuran pendaftaran permohonan sebanyak RM10.00 bagi
bagi borang A dan borang P. Namun bermula 1 September 2009, yuran daftar
permohonan bagi borang A dan borang P tidak akan dikenakan lagi untuk setiap
permohonan.
[32] Mohd. Fitri Abdul
Rahman, Bagaimana Mengurus Harta Pusaka, PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2007, hlm 43-45.
[33] Seksyen 108, Akta
Keterangan 1950.
[34] Salinan dokumen hak
milik harta tak alih hendaklah diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Percukaian
Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih si mati atau surat
perjanjian bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan.
[35] Sila lihat seksyen 8,
Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil Tahun 1955.
[36] Walaupun ARB ini hanya
ada bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah pembahagian dalam bentuk “Surat
Arahan atau Surat Akuan” bagi “harta pusaka ringkas” tetapi bagi “harta pusaka
kecil” dia boleh mengemukakan permohonan. Sila lihat Sulaiman Kadimi, Prosedur
Pembahagian Harta Pusaka Kecil di Malaysia, kertas kerja Prosiding
Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, anjuran
MAIDAM & Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, 18 &19 Oktober
2008, hlm 38.
[37] Tanpa terikat kepada
batasan nilai yang dinyatakan, sebarang harta si mati orang-orang bukan Islam
yang mengandungi wasiat di bawah Ordinan Wasiat No. 38 Tahun 1959 bukan lagi
ditakrifkan sebagai pusaka kecil. Ia dianggap sebagai pusaka besar dan menjadi
tanggungjawab Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun peruntukan tersebut tidak boleh
dipakai bagi kematian seorang Islam kerana ianya bertentangan dengan syarat
dan peraturan pewasiatan dalam Islam. Sila lihat Portal Rasmi Jabatan
Ketua Pengarah dan Galian (Persekutuan), Kementerian Sumber Asli dan Tanah,
2009, http://www.kptg.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=95%3Apengumuman&catid=1%3Aberita-terkini&lang=ms
[1 Oktober 2009].
[38] Rafidah Mohamad Cusairi
@ Khushairi, Isu-Isu Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka Orang-Orang Islam di
Malaysia: Satu Kajian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kertas kerja
Seminar Penyelidikan Jangka Pendek 2003, anjuran Jabatan Syariah dan
Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam UM, Kuala Lumpur, 11-12hb Mac 2003, hlm
2.
[39] Mohd Ridzuan Awang,
1994, hlm 354.
[40] Wan Mohamed Wan Mustapha,
Undang-Undang yang Bersangkutan dengan Pentadbiran Harta di Malaysia Sebagai
Kajian Untuk Diselaraskan dengan Undang-Undang Islam, kertas kerja Seminar
Perundangan Islam, anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM,
bangi, 8-10hb Ogos 1981, hlm 13.
[41] Sila lihat seksyen 346,
Kanun Tanah Negara 1965.
[42] Sila lihat seksyen 17,
Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
[43] Mohd Zamro Muda &
Mohd Ridzuan Awang, 2006, hlm 209.
PENGURUSAN
HARTA PUSAKA DI KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK FELDA KEMAHANG TIGA DAN KAJIAN
KES MENGENAINYA
4.1
PENGENALAN
Harta
pusaka merupakan suatu aset peninggalan yang penting yang diwariskan daripada
si mati kepada para warisnya. Berdasarkan kepada nas Al-Quran dan As-sunnah
telah menetapkan cara pembahagian adalah mengikut ketetapan hukum faraid. Namun
begitu bagi peneroka-peneroka FELDA telah terdapat suatu akta khas iaitu Akta
Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang telah menetapkan
bahawa tanah pusaka yang ditinggalkan oleh arwah peneroka hendaklah diturunkan
kepada dua orang ahli waris sahaja. Hal ini telah menimbulkan masalah bagi para
ahli waris lain yang berhak ke atas harta pusaka bapa mereka (peneroka) di mana
terpaksa berbincang untuk memilih dua orang di antara mereka untuk mewarisi
tanah pusaka tersebut.
Di
samping itu juga, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960
telah mempengaruhi pengurusan harta pusaka bagi penduduk-penduduk Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok FELDA khususnya FELDA Kemahang Tiga. Bahkan terdapat
kes-kes pengurusan harta pusaka penduduk FELDA Kemahang Tiga yang masih belum
diselesaikan lagi. Justeru itu di dalam bab ini, penulis mendedahkan ketetapan
yang digariskan di dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960, prosedur pengurusan harta pusaka bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga
berlandaskan akta tersebut, kes contoh berkaitan hasil kajian penulis ketika di
FELDA itu, serta menyenaraikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak FELDA dan
waris-waris peneroka ketika menjalankan proses pengurusan harta pusaka.
4.2 SEKATAN-SEKATAN YANG
DITETAPKAN AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK) 1960 KEPADA
PEMILIKAN TANAH PENEROKA FELDA
Sebelum
kita mengetahui prosedur pengurusan harta pusaka penduduk FELDA khususnya FELDA
Kemahang Tiga, maka adalah lebih baik untuk kita mengenal dahulu
sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 kepada pemilikan tanah bagi peneroka-peneroka
FELDA. Sekatan-sekatan yang diperuntukkan tersebut tidak memungkinkan semua
ahli waris peneroka mendaftarkan nama-nama mereka dalam geran tanah itu. Bahkan
dalam masa yang sama juga tanah tersebut tidak boleh dibahagi-bahagikan sempadan
dan sebagainya.
Menurut Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 atau dikenali juga sebagai Land (Group
Settlement Areas) Act 1960 (Act 530) telah memperuntukkan sekatan bahawa
segala hak pemilikan tanah yang diperolehi oleh peneroka FELDA daripada pihak
FELDA adalah tidak bersifat mutlak. Walaupun surat hak milik tanah telah
diserahkan, namun peneroka tidak boleh secara bebas membuat urus niaga ke atas
tanah tersebut seperti menjual, mencagar, atau memindah milik secara sesuka hati.
Hal ini disebabkan surat hak milik tanah tersebut mengandungi pernyataan
sekatan kepentingan yang memberitahu bahawa segala urus niaga ke atas tanah
yang diberi hak milik itu hanya dapat dilakukan dengan kebenaran Pihak Berkuasa
Negeri. Justeru itu sekiranya peneroka bercadang ingin membuat urus niaga ke
atas tanah-tanah mereka yang telah mendapat hak milik, maka mereka perlu
membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan demikian.[1]
Tujuan sekatan oleh kerajaan negeri
dilakukan ialah untuk mengelak penyalahgunaan tanah yang telah diberi hak milik
kepada para peneroka. Selain itu, syarat khas perjanjian di antara pihak FELDA
dengan peneroka telah termeterai semasa pemberian surat hak milik tanah di mana
telah disebutkan bahawa syarat khas tersebut ialah Syarat Nyata yang terkandung
dalam surat hak milik tanah seperti berikut iaitu “Tanah ini mestilah ditadbir
oleh Lembaga Tanah Persekutuan, sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah
Undang-Undang Kemajuan Tanah 1955 (No.20/1956)…”
Syarat Nyata demikian telah
ditetapkan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam peruntukan
Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Hal ini bermaksud
bahawa keputusan memperuntukkan pentadbiran rancangan tanah FELDA yang telah diberi
hak milik kepada FELDA adalah merupakan kehendak Kerajaan Negeri.
Terdapat beberapa sekatan yang
dimasukkan di dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, yakni
bertujuan bagi menjamin pembangunan tanah pertanian agar dilaksanakan secara berterusan
dengan pengeluaran hasil yang maksimum bagi memberi keuntungan kepada peneroka.
Di antara sekatan-sekatan tersebut ialah:
a. Seksyen
14 yang memperuntukkan tidak membenarkan Pegangan Luar Bandar dikeluarkan
kepada lebih daripada dua orang pemegang yang dikira sebagai pegangan bersama
atau pemilik bersama.[2]
b. Seksyen
15 pula memperuntukkan kawasan Pegangan Desa tidak boleh pada bila-bila masa
dibelah bahagi (subdivided or partitioned). Sekyen ini juga tidak
membenarkan pegangan desa dipajak (leased) sebahagian atau kesemuanya.[3]
c. Seksyen
17 akta tersebut mengehadkan penggunaan kawasan Pegangan Luar Bandar hanya
untuk tanaman tertentu sahaja seperti yang dipersetujui dalam perjanjian antara
Kerajaan Negeri atau Agensi Pelaksana. Kawasan tersebut tidak boleh digunakan
selain daripada tujuan yang telah dipersetujui di dalam perjanjian.[4]
d. Seksyen
7 (3) pula mengehadkan penggunaan Pegangan Bandar hanya untuk kegunaan
perumahan, kegunaan awam, perdagangan, industri atau kegunaan-kegunaan lain
seperti yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.[5]
Mengikut seksyen 19, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960, individu yang layak memiliki tanah rancangan
FELDA adalah seorang warganegara Malaysia yang tidak memiliki tanah kecuali
tanah desa yang luasnya tidak melebihi dua ekar atau satu lot tanah bandar
untuk tapak rumah atau kedua-duanya sekali. Namun begitu, syarat ini tidak
terlalu ketat dan ianya bergantung kepada dasar kerajaan. Pada asalnya menurut seksyen
15 Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan bahawa
tanah rancangan FELDA tidak boleh dipecah sempadan, tidak boleh dipegang secara
bahagian yang tidak dipecahkan, dan tidak boleh dipajak atau disewakan sama ada
semua atau sebahagian daripadanya. Pindaan akta dalam tahun 2002, seksyen 15
(2A) menyatakan Pihak Berkuasa Negeri boleh membenarkan peneroka dan isteri atau
bekas isteri atau waris didaftarkan sebagai pemegang bersama dengan syarat
permohonan dibuat melalui Borang AA.[6]
Berdasarkan seksyen 11 Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960, beberapa syarat khas dikenakan kepada peneroka.
Di antara syarat yang telah ditetapkan adalah peneroka perlu membayar cukai
atau bayaran tahunan dan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelakkan
penarikan balik pegangan dan pembatalan hakmilik seperti yang ternyata dalam undang-undang
tanah negeri.[7] Bagi
tanah-tanah yang dikeluarkan hakmilik kepada peneroka, sekatan kepentingan
dikenakan berkaitan hakmilik lot kediaman dan lot ladang saling mengikat antara
satu sama lain. Ini bererti, sebarang urus niaga di atas tanah rancangan FELDA
tidak boleh dibuat secara berasingan. Hal ini kerana, segala urusniaga mestilah
dibuat secara bersama bagi setiap suratan hakmilik yang dipunyai oleh peneroka.
4.2.1 Beberapa Persoalan yang Timbul dan Pandangan
Ulama Berkenaan Isu Sekatan-Sekatan Akta Tanah
Berdasarkan
sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960, maka penulis tertarik untuk menimbulkan dua
persoalan yang mana telah ditimbulkan oleh penulisan Zulkifli bin Mohamad di
dalam kertas kerjanya di Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat,
dan Wakaf pada 2008 yang bertajuk “Isu Pusaka Tanah Rancangan FELDA: Kajian
Kes FELDA Lurah Bilut Bentong Pahang Darul Makmur”. Di dalam kertas kerja
tersebut beliau telah mengemukakan dua persoalan iaitu mengenai: [8]
a. Apakah
status sebenar pemilikan tanah FELDA oleh peneroka dengan syarat-syarat begitu
ketat mengikut akta yang ditetapkan?
b. Adakah
peruntukan sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 adalah selari dengan kehendak Islam khususnya
kontrak akad di dalam Islam dan juga hukum faraid?
Melalui penelitian penulis melalui pengkajian kertas kerja Zulkifli bin
Mohamad berkenaan persoalan pertama yang ditimbulkan, maka penulis bersetuju
dengan pandangan beliau yang menjelaskan bahawa status sebenar pemilikan
peneroka terhadap tanah FELDA adalah merupakan pemilikan manfaat sahaja
bukannya pemilikan tanah sempurna (milk al-tam). Penulis juga
berpendapat sedemikian kerana pemilikan secara manfaat oleh peneroka merupakan
suatu keizinan daripada pihak pemerintah iaitu pihak berkuasa negeri dan agensi
FELDA kepada pihak peneroka untuk mengusahakan tanah serta mendapatkan manfaat
daripada tanah tersebut sehinggalah tamat tempoh pajakan selama 99 tahun
(tertakluk pada Surat Perjanjian Antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
dengan peneroka). Bahkan disebabkan pemilikan tanah FELDA oleh peneroka hanya
pemilikan manfaat sahaja menyebabkan terdapat banyak syarat ketat yang
ditetapkan oleh akta perlu dipatuhi kerana hakikatnya tanah tersebut adalah
milik kerajaan.[9]
Berkaitan dengan persoalan yang kedua pula, penulis berpendapat bahawa
peruntukan sekatan-sekatan hak milik dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 adalah selari dengan kehendak Islam khususnya
kontrak akad di dalam Islam. Hal ini jelas kerana setiap peruntukan sekatan
yang digubal adalah bertujuan untuk kemaslahatan kerajaan dan kebaikan rakyat
iaitu bermatlamat mencapai pembukaan tanah ladang secara berskala besar bagi
membasmi kemiskinan rakyat serta memajukan ekonomi negara. Penulis tidak
berpendapat bahawa melalui sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh akta tersebut
adalah bertujuan untuk menzalimi para peneroka kerana akad perjanjian telah
termeterai ketika mana peserta peneroka ingin menyertai tanah rancangan FELDA.
Malahan pula akad perjanjian tersebut sudah sedia maklum dan dipersetujui oleh
para peneroka mengikut apa yang telah ditetapkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960.
Terdapat empat jenis surat perjanjian yang perlu
ditandatangani oleh peneroka. Surat perjanjian tersebut adalah seperti berikut:[10]
a. Surat Perjanjian Mula Masuk ke Tanah
Rancangan
Surat
perjanjian ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama perlu
ditandatangani sebaik sahaja peneroka memasuki ke tanah rancangan. Terdapat
peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap peneroka dari mula mereka
memasuki tanah rancangan sehingga kebun mengeluarkan hasil. Ini bermakna
peneroka tersebut perlu bermastautin di tanah rancangan, diberi bayaran sara
hidup, mematuhi tatatertib serta keperluan menandatangani Surat Perjanjian
Tambahan apabila tanah rancangan telah mengeluarkan hasil.
Bahagian kedua pula ditandatangani selepas tanah rancangan
mengeluarkan hasil. Surat perjanjian ini mengandungi peraturan tambahan selepas
tanah rancangan peneroka mengeluarkan hasil di mana mereka akan didaftarkan
dalam Buku Daftar Pegangan (Register of Holding) sebagai pemegang
pegangan desa sehingga peneroka menjelaskan hutang dan menerima surat hakmilik,
seperti bayaran kembali, penjualan hasil, mengerjakan ladang, mematuhi
tatatertib yang telah ditetapkan, hak pewarisan dan pengeluaran surat hakmilik.
b. Surat Perjanjian Berkuatkuasa Selepas
Hakmilik
Surat
perjanjian ini ditandatangani semasa permohonan hakmilik bagi peneroka sedang
diproses oleh FELDA. Ianya mengandungi persetujuan peneroka bagi membenarkan
dan membolehkan FELDA mentadbir tanah rancangan serta memberi perkhidmatan
kepada peneroka semasa menunggu hakmilik diserahkan oleh Kerajaan Negeri.
c. Surat Perjanjian Tanam Semula
Perjanjian
tanam semula ini ditandatangani sebelum kerja-kerja tanam semula dilaksanakan.
Surat perjanjian ini mengandungi persetujuan peneroka supaya FELDA
mengendalikan kerja-kerja tanam semula bagi tanah rancangan mereka termasuk
kemudahan pinjaman sara hidup, bekalan benih dan penjualan hasil.
d. Surat Perjanjian Pindaan
Perjanjian ini mengandungi persetujuan peneroka mengubah
Sistem Hakmilik Kumpulan kepada Sistem Hakmilik Lot. Perjanjian ini ditujukan
kepada tanah rancangan sawit sistem blok yang awalnya diberikan hakmilik secara
kumpulan. Pada tahun 1988, hakmilik kumpulan telah digantikan dengan hakmilik lot
individu.[11]
Ia ditandatangani oleh peneroka yang dahulunya di bawah Sistem Hakmilik
Kumpulan bagi membolehkan urusan pemberian lot atau Hakmilik Lot dilaksanakan.
4.2.2 Beberapa
Pandangan Ulama Kontemporari Berkenaan Isu Perwarisan Pusaka Orang Islam
Mengikut Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960
Dari
sudut hal perwarisan harta pusaka orang Islam pula, penulis telah menemukan dua
pandangan ulama masa kini yang khilaf berkenaan dengan sekatan akta tersebut
terhadap perwarisan harta pusaka peneroka yang meninggal dunia. Pandangan dua
orang ulama yang terkemuka iaitu Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaylī (penulis kitab al-Fiqh
al-Islāmīy wa Adillatuh) dan al-Sheikh Dr. cIkrima bin Sacid
Ṣobri (Mufti Palestin) ini penulis petik daripada kertas kerja Zulkifli bin
Mohamad memandangkan ia penting untuk dibahaskan. Ketika mana diajukan
persoalan tentang mengehadkan perwarisan hanya dua nama sahaja yang boleh
didaftarkan pada geran tanah arwah peneroka, adakah ia seiring dengan syariat
ataupun sebaliknya, maka Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaylī telah berpendapat bahawa
amalan ini tidak bertentangan dengan syariat kerana ia hanya bersifat
pentadbiran sahaja. Beliau turut mengulas bahawa yang paling utama ialah penama
yang didaftarkan sebagai pemilik geran tanah perlu mengagih-agihkan hasil
berkenaan mengikut faraid atau kadar yang dipersetujui oleh ahli-ahli waris si
mati yang lain. Berbeza pula dengan pandangan yang dikemukakan oleh al-Sheikh
Dr. cIkrima bin Sacid Ṣobri ketika ditanyakan persoalan
tersebut, maka beliau berpendapat bahawa amalan tersebut tidak wajar kerana
boleh menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli waris.[12]
Pandangan al-Sheikh Dr. cIkrima bin Sacid Ṣobri
disokong dengan pendapat yang diutarakan di dalam tesis sarjana yang ditulis
oleh Yusuf bin Ramli di mana beliau juga menyatakan bahawa amalan mengehadkan
perwarisan hanya kepada dua penama sahaja adalah tidak wajar. Antara
sebab-sebab dianggap tidak wajar amalan tersebut bagi beliau kerana:[13]
a. Memberikan
semua tanah pusaka peninggalan si mati kepada dua orang sahaja pengganti dengan
mengenepikan hak-hak ahli waris yang lain adalah bertentangan dengan prinsip
hukum faraid. Prinsip hukum faraid telah menetapkan bahawa semua ahli waris
berhak mestilah diberi hak bahagian mereka.
b. Walaupun
terdapat pembahagian saguhati diberikan kepada ahli-ahli waris yang tidak
dilantik menjadi pengganti, tetapi mendapat saguhati yang tidak sama nilainya
dengan hak habuan ahli waris dalam harta pusaka si mati, maka ia adalah
bertentangan dengan hukum pembahagian harta pusaka di dalam Islam. Sekalipun
Islam membenarkan tolak ansur dibuat dalam pembahagian harta pusaka iaitu ahli
waris boleh meminta menarik diri daripada menerima cain harta pusaka
itu dengan gantian harta lain yang mempunyai nilai yang sama dengan hak
bahagiannya.
c. Dengan
hanya memberikan hak perwarisan harta pusaka si mati kepada ahli-ahli waris
yang berumur 18 tahun ke atas beerti FELDA telah menafikan hak anak-anak si
mati yang belum menjangkau umur tersebut untuk mewarisi harta pusaka si mati.
Dalam Islam semua anak si mati tidak kira sama ada dirinya lelaki atau
perempuan ataupun khuntha sekalipun, maka mereka berhak menerima harta pusaka
si mati hinggakan walaupun anak masih dalam kandungan ibunya.[14]
Menurut pandangan penulis sendiri berkenaan dengan sekatan yang
ditetapkan oleh Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 di
dalam perwarisan tanah pusaka peneroka, maka penulis lebih cenderung menyatakan
tindakan atau amalan sekatan seksyen 14 (2) akta itu tidak bertentangan dengan
syariat. Hal ini disebabkan terdapat dua
keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu sidang yang diadakan
pada 13 hingga 14 haribulan April 1982[15]
dan sidang diadakan pada 21 haribulan Jun 1995 telah memutuskan bersetuju
bahawa amalan perwarisan harta yang dilaksanakan oleh Rancangan FELDA yang
berdasarkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 adalah
tidak bertentangan dengan syarak kerana persetujuan meletakkan satu penama
(sebelum pindaan) itu dibuat atas persepakatan semua ahli waris.[16]
Namun begitu ia bukanlah bermakna penulis bersetuju sepenuhnya dengan
apa yang tertakluk pada sekatan akta ini kerana ada kalanya wujudnya sekatan
seperti ini menimbulkan kesusahan terhadap ahli-ahli waris ketika mana ingin
menjalankan pembahagian harta pusaka. Bahkan Islam merupakan agama yang mudah
bagi penganutnya, maka sudah pasti segala aturan yang ditetapkan syarak lebih
praktikal berbanding dengan undang-undang ciptaan manusia. Walaupun sekatan
tersebut hanyalah bersifat pentadbiran sekalipun, penulis berpendapat beberapa
penambahbaikan terhadap akta tersebut perlu dilakukan agar ia lebih selari
dengan hukum syarak serta memudahkan pengurusan harta pusaka si mati. Hal ini
perlu agar pengurusan harta pusaka peneroka FELDA tidak mengambil masa yang
terlalu lama untuk diselesaikan terutama mengelak daripada berlaku
pertelingkahan sesama ahli waris si mati.
4.2.3 Pendaftaran Pegangan
(Register of Holding) dan Bayaran Tahunan Disatukan (Consolidated Annual
Charge) ke atas Peneroka FELDA
Hampir
kesemua rancangan pembangunan tanah kawasan berkelompok yang dikendalikan oleh
FELDA adalah menurut prinsip yang diperuntukkan di dalam Akta Tanah
(Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Tanaman yang biasanya diusahakan
di setiap tanah rancangan seluruh negeri adalah seperti tanaman kelapa sawit,
getah, tebu, dan koko. Kebiasaannya setelah calon peserta peneroka mendapat
kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dan permohonan penyertaannya diproses oleh
FELDA, maka seorang peneroka diperuntukkan dengan sebidang tanah pertanian
seluas lebih kurang enam hingga sepuluh ekar serta sebidang tanah lagi untuk
rumah kediaman.
Justeru itu selepas diberikan tanah pertanian untuk dimajukan, maka
tiap-tiap peserta rancangan tanah FELDA akan dibuka satu daftar pegangan (Register
of Holding) dan menempatkan mereka di kawasan rancangan tersebut. Nama-nama
peserta peneroka akan didaftarkan dalam Buku Daftar Pegangan (Register of
Holding) sebagai tanda bahawa mereka mempunyai kepentingan atau faedah di
atas tanah yang diusahakan. Jika surat hakmilik yang dikeluarkan merupakan
hakmilik individu, maka Buku Daftar Pegangan (Register of Holding)
adalah di dalam borang A di bawah seksyen 12 (1) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960.[17]
Apa-apa pindaan ke atas nama dalam Buku Daftar Pegangan boleh dibuat apabila
berlaku perkara-perkara berikut melalui kebenaran pegawai yang diberi kuasa
seperti Pengurus Rancangan FELDA, Pentadbir Tanah Daerah, atau Pihak Berkuasa
Negeri:
a. Pindahmilik melalui “Assignment of
Right” dengan menggunakan borang C.[18]
b. Menyerahkan
balik kepentingan pegangan kepada FELDA atau Pihak Berkuasa Negeri dengan
menggunakan borang khas.
c. Pindahmilik
berganti (Cross Transfer) atau menukar lot kelapa sawit, getah, dusun,
dan lot rumah di antara peserta dalam rancangan berkenaan.
d. Perintah
penyingkiran kerana melanggar syarat perjanjian di bawah seksyen 22 Akta Tanah
(Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.[19]
Sebelum ladang-ladang yang
diusahakan oleh peneroka mengeluarkan hasil, maka peneroka akan dibayar elaun
sara hidup sebagai upah kerja. Peneroka dibayar sekurang-kurangnya RM 175
sebulan berasaskan 25 hari bekerja atas kadar RM 7 sehari. Elaun sara hidup
tersebut adalah sebahagian daripada kos pembangunan utama yang akan dibayar
semula oleh peneroka kelak setelah ladang tanaman mereka mengeluarkan hasil.
Jadi setelah ladang penanaman peneroka mula mengeluarkan hasil, maka mereka
tidak lagi menerima elaun sara hidup dan dikehendaki membayar
perbelanjaan-perbelanjaan premium seperti:[20]
a. Kos
pembangunan pertanian termasuk pembersihan tanah dan menanam, kerja-kerja
penjagaan yang dilakukan oleh kontraktor.
b. Kos
pembinaan rumah dan tapak rumah.
c. Elaun
sara hidup yang diterima oleh peneroka sebelum ladang mengeluarkan hasil
d. Kos
baja, bahan kimia, peralatan ladang yang dibekalkan.[21]
Pembayaran bagi kos-kos tersebut boleh dijelaskan secara beransur-ansur
dengan cara Bayaran Tahunan Disatukan (Consolidated Annual Charge).
Bayaran ini mula dijelaskan oleh peneroka FELDA setelah tanah rancangan mereka
itu mengeluarkan hasil, kebiasaannya selepas tempoh enam tahun daripada tarikh
pembukaan rancangan. Tempoh bayaran CAC (Consolidated Annual Charge)
adalah selama 15 tahun. Kebiasaannya pihak pengurusan FELDA akan membuat
potongan terus melalui paysheet bulanan atas kadar RM 9 bagi ukuran 10
ekar tanah.[22]
Hak milik tanah itu akan hanya didaftarkan dan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah
Daerah negeri masing-masing setelah tanah itu diukur dan bayaran CAC sudah
dijelaskan sepenuhnya. Peneroka yang telah membayar habis bayaran CAC (Consolidated
Annual Charge) juga akan menerima geran tanah yang diberikan oleh pejabat
FELDA namun masih terikat dengan surat perjanjian yang telah termeterai antara
peneroka dengan FELDA.[23]
4.3 PROSEDUR PENGURUSAN HARTA
PUSAKA PENDUDUK FELDA KEMAHANG TIGA MENGIKUT AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN
PENEMPATAN BERKELOMPOK) 1960
Mana-mana
orang yang mempunyai tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960 sama ada telah mendapat surat hakmilik ataupun masih
didaftarkan dalam buku daftar pegangan jika berlaku kematian ke atas dirinya,
maka hartanya itu telah dicampurkan dengan harta-harta lain lalu nilainya tidak
melebihi RM 2 juta. Jadi pembahagian harta pusakanya itu adalah tertakluk di
bawah Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 iaitu di bawah bidangkuasa Unit
Pembahagian Pusaka Kecil yang terletak di dalam Pejabat Tanah dan Jajahan.
Sekiranya harta tersebut dicampurkan dengan harta lain dan nilainya kurang dari
RM 2 juta tetapi ada meninggalkan wasiat di bawah Will Ordinance 1959, maka
pembahagian hartanya tertakluk di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 iaitu
di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi.[24]
Pengurusan pembahagian atau penurunan tanah pusaka di bawah Buku Daftar
Pegangan Desa (Register of Holding) dalam rancangan pembangunan FELDA
yang tertakluk di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960 adalah berkisar di sekitar seksyen 14, 15, dan 19 akta tersebut. Seperti
mana yang kita sedia maklum, seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 hanya membenarkan dua penama didaftarkan di dalam
buku Daftar Pegangan (Register of Holding) adalah masih baru dalam
masyarakat kita.[25]
Di samping itu, perlu juga diingati bahawa tanah pusaka si mati peneroka FELDA
tidak boleh dicagarkan, dijual beli, dan tidak boleh dibahagi-bahagikan secara
pecah milik. Malah di dalam Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960 hanya menetapkan bahawa tanah-tanah yang diusahakan oleh peneroka hanya
dibolehkan untuk menukarkan hak milik sahaja.[26]
Hal ini bermakna tanah FELDA yang diusahakan oleh peneroka tidak boleh
dibahagikan secara faraid. Jadi apabila berlaku kematian kepada mana-mana
peneroka, maka ahli-ahli waris yang berhak ke atas harta pusaka itu hendaklah
membuat persetujuan untuk menyerahkan hakmilik tanah itu kepada dua orang
sahaja di kalangan mereka bagi menggantikan tempat si mati. Jika ahli-ahli
waris tidak bersetuju untuk menyerahkannya kepada dua orang waris pengganti,
maka hasil tanaman daripada tanah itu hendaklah dijual dan harga jualannya itu
dibahagikan mengikut undang-undang peribadi si mati. Jadi bagi si mati yang
beragama Islam, maka undang-undang pembahagian harta pusaka adalah mengikut
hukum faraid.[27]
Perbicaraan terhadap pembahagian harta pusaka
peneroka yang meninggal dunia bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga dibuat di
Pejabat Tanah Jajahan Tanah Merah iaitu di Unit Pembahagian Pusaka Kecil.
Prosedur pengurusan harta pusaka bagi penduduk FELDA Kemahang Tiga bermula
tatkala si mati (peneroka) meninggal dunia dan pihak FELDA mengetahui kematian
si mati. Pengurus FELDA Kemahang Tiga secepat mungkin berusaha menekankan
kepada mencari pengganti yang sesuai daripada kalangan ahli waris bagi
menggantikan peneroka yang meninggal dunia. FELDA melakukan demikian jika
peneroka yang mati tersebut masih belum habis menjelaskan Bayaran Tahunan
Disatukan (Consolidated Annual Charge) dan nama si mati masih ada di
dalam buku Daftar Pegangan Desa. Hal ini disebabkan FELDA masih ada kepentingan
dalam tanah yang diusahakan si mati, maka segala pengurusan dokumen mengenai
pemindahan milik harta pusaka si mati adalah dikendalikan oleh FELDA itu
sendiri.[28]
Pada peringkat awalnya, Pengurus FELDA Kemahang Tiga akan melaporkan
kematian peneroka kepada Pengarah Jabatan Ukur, Tanah, dan Penempatan Peneroka
di ibu pejabat FELDA dengan menggunakan borang tertentu. Kemudian Pengurus
FELDA Kemahang Tiga akan mengarahkan Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA
Kemahang Tiga untuk mengumpulkan dokumen-dokumen penting si mati daripada
ahli-ahli waris si mati seperti:[29]
a. Dokumen
bukti kematian si mati yang telah meninggal dunia seperti sijil kematian atau
permit pengkebumian, ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Tinggi (terpakai bagi keadaan di mana kematian tanpa kubur atau si
mati hilangkan diri). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari
tarikh orang tersebut hilang dan tiada dengar perkhabaran berita.[30]
b. Salinan
dokumen hak milik berkenaan tanah pusaka FELDA, buku Daftar Pegangan, borang-borang
yang berkaitan dengan penurunan hakmilik tanah pusaka kepada dua orang penama
sahaja iaitu borang A iaitu borang menamakan dua penama yang mengambil alih
milik tanah si mati, borang F iaitu borang proses mentadbir, dan borang khas
persetujuan ahli keluarga si mati. Borang-borang tersebut disediakan di Pejabat
FELDA.
c. Salinan
Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si
mati.
d. Sekiranya
pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon yang terdiri daripada
waris-waris si mati perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah
yang berdekatan.
Setelah segala dokumen penting telah
dikumpulkan oleh Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka), maka Pengurus FELDA
Kemahang Tiga akan memeriksa kembali dokumen-dokumen yang telah dikumpulkan
lalu membuat pengesahan ke atas setiap helaian dokumen tersebut. Selepas itu,
Pengurus FELDA Kemahang Tiga atau Penyelia tersebut sebagai wakil berserta
dengan seorang kerani akan memanggil ahli-ahli waris yang hanya berumur lebih
18 tahun ke atas sahaja untuk memilih pengganti milik tanah dan menerangkan
berkenaan tentang kedudukan tanah pusaka dalam Buku Daftar Pegangan (Register
of Holding) si mati di bawah Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960. Ahli-ahli waris yang sudah mempunyai pekerjaan yang tetap
dan ahli-ahli waris yang cacat juga turut dipanggil hadir dalam pemilihan
pengganti tersebut. Di sini hendaklah difahami bahawa pihak FELDA Kemahang Tiga
hanyalah berperanan mengumpulkan dokumen, mengesahkannya, dan mengumpulkan
semua waris si mati untuk memilih dua pengganti terdahulu sebelum dibicarakan
di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah. Selepas daripada pengumpulan itu,
maka pihak FELDA tidak akan mencampuri proses perbicaraan ketika di Pejabat
Tanah dan Jajahan Tanah Merah.[31]
Selepas mendengar penjelasan pihak pejabat FELDA Kemahang Tiga
berkenaan harta pusaka si mati, maka para ahli waris yang ingin membuat
tuntutan harta pusaka si mati dikehendaki mendaftarkan diri dan kes di
Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang terletak di dalam Pejabat Tanah dan Jajahan
Tanah Merah tanpa perlu membayar yuran pendaftaran kes iaitu
sebanyak RM 10. Kemudian, para ahli waris dikehendaki mengisi borang A di
hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka di Unit Pembahagian Pusaka Kecil dalam
pejabat tanah tersebut.[32]
Apabila sudah mendaftarkan kes, maka tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh
pihak unit tersebut. Ketika mana tarikh perbicaraan telah pun tiba, semua ahli
waris si mati yang menuntut dikehendaki hadir untuk menjalani proses
perbicaraan di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka.[33]
Pada peringkat permulaan perbicaraan, Pegawai Penyelesai Pusaka akan
menyuruh para ahli waris yang hadir untuk mengangkat sumpah bahawa mereka
adalah ahli waris si mati. Dalam perbicaraan tersebut, Pegawai Penyelesai
Pusaka akan menjelaskan juga kedudukan tanah pusaka tersebut dalam Buku Daftar
Pegangan (Register of Holding) si mati di bawah Akta Tanah
(Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Maka selepas itu, Pegawai
Penyelesai Pusaka akan meminta para ahli waris untuk membuat perbincangan dan
persetujuan mengenai dua orang pengganti yang akan menggantikan tempat si mati
serta memiliki tanah tersebut. Hal ini berdasarkan apa yang termaktub di dalam
seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
Setelah mendapat persetujuan semua ahli waris yang hadir dalam perbicaraan itu
tentang dua orang yang akan menggantikan tempat si mati (kebiasaannya yang
menggantikan itu ialah isteri si mati[34]
dan seorang anak), maka mereka dikehendaki menandatangani satu borang khas
iaitu borang E untuk tujuan itu. Setelah nama kedua-dua waris yang dipilih
tersebut didaftarkan di dalam Buku Daftar Pegangan Desa, maka kedua-dua mereka
akan menerima segala faedah dan tanggungan serta baki bayaran CAC (Consolidated
Annual Charge) yang belum dijelaskan oleh si mati dahulu.[35]
Jika tiada persepakatan di antara ahli waris dalam menentukan dua orang
pengganti yang mengambil alih tanah pusaka si mati, maka Pegawai Penyelesai
Pusaka boleh menangguhkan perbicaraan itu kepada suatu tarikh lain yang
difikirkan sesuai untuk memberi peluang kepada ahli-ahli waris membuat
rundingan. Jika pesetujuan tidak dicapai juga melalui rundingan antara
ahli-ahli waris, maka urusan pemilihan dua orang pengganti ini akan dirujukkan
kembali kepada pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah untuk membuat
keputusan mengenai orang yang akan dilantik menggantikan tempat peneroka. Jadi
apabila perbicaraan diadakan kembali, maka Pegawai Penyelesai Pusaka akan
membuat perintah dengan melantik dua orang pengganti yang akan bertanggungjawab
ke atas tanah pusaka tersebut. Perintah tersebut merupakan perintah sementara
dan sekiranya ada permohonan ulang bicara, ia boleh membatalkan perintah
tersebut dengan melantik dua orang pentadbir baru atau perintah-perintah lain
yang sesuai dengan undang-undang.[36]
Justeru itu perlulah diingatkan juga bahawa perlantikan dua orang pengganti
tersebut adalah sebagai pentadbir atau pemegang amanah sahaja di mana segala
manfaat dan hasil jualan ladang tersebut akan diagih-agihkan secara faraid atas
kadar yang dipersetujui oleh ahli-ahli waris.[37]
Sekiranya salah seorang atau dua pemegang amanah sanggup untuk membayar hak
harta yang sepatutnya diterima oleh para waris lain lalu waris-waris bersetuju
dengan harga yang dicadangkan, maka Pegawai Penyelesai Pusaka boleh
mengeluarkan perintah supaya dua orang pemegang amanah tersebut membayar hak
bahagian waris lain mengikut hukum faraid kepada mereka yang berhak. Perintah
tersebut adalah dengan menggunakan borang T. Ini merupakan cara terakhir bagi
menyelesaikan pembahagian pusaka FELDA berdasarkan jualan atas kawalan FELDA.[38]
Oleh kerana tanah yang diperuntukkan kepada setiap peneroka tanah
rancangan FELDA adalah dianggap sebagai harta sepencarian, maka kebiasaannya
isteri kepada si mati akan diberi keutamaan untuk dilantik sebagai pengganti
bersama dengan seorang anak. Jika si mati ada meninggalkan lebih daripada
seorang isteri, maka dalam menentukan siapa pengganti di kalangan mereka akan
diputuskan melalui rundingan persetujuan isteri-isteri tersebut. Sekiranya
persetujuan itu tidak dicapai, maka dua orang yang dilantik sebagai pengganti
dikehendaki membayar saguhati kepada balu-balu yang tidak dilantik mengikut
kadar yang telah mereka persetujui bersama. Pada akhir prosedur perbicaraan
mengenai kes pembahagian harta pusaka, segala keputusan kes pusaka yang
diputuskan oleh Pegawai Penyelesai Pusaka Kecil akan menjadi simpanan pejabat
Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil dan juga akan dihantarkan ke Mahkamah Tinggi
Sivil untuk tujuan direkodkan.[39]
Menurut temubual yang penulis adakan bersama Encik Aziz bin Umar iaitu
selaku Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka) FELDA Kemahang Tiga, beliau menyatakan
bahawa pihaknya bersama Pengurus FELDA Kemahang Tiga hanya menguruskan
dokumen-dokumen hak milik si mati peneroka serta borang-borang tertentu
berkenaan penurunan hak milik tatkala mengetahui berita kematian. Beliau juga
menyatakan bahawa segala perbicaraan berkenaan pemilihan dua orang waris yang
akan mengambil alih mengikut seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960 dan pembahagian harta pusaka para ahli waris si
mati adalah di bawah bicara kuasa sepenuhnya oleh Unit Pembahagian Pusaka Kecil
di Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah iaitu di hadapan Pegawai Penyelesai
Pusaka. Tempoh satu kes pusaka menurut beliau mengambil masa enam bulan untuk
menunggu penyelesaian kes pengurusan harta pusaka bagi peneroka FELDA yang
meninggal dunia.[40]
[1] Sulaiman Kadimi, Pembahagian
Harta Orang-Orang Yang Telah Mati dan Mempunyai Tanah di bawah Akta Tanah
(Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) Tahun 1960, kertas kerja Seminar
Kebangsaan Pengurusan Harta Dalam Islam, anjuran Jabatan Syariah Fakulti
Pengajian Islam UKM & Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Bangi, 8 &
9 Ogos 2006, hlm 46.
[2] Seksyen 14 (1) Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960
menyatakan bahawa tertakluk pada subseksyen (2), pegangan luar bandar boleh
dikeluarkan kepada seorang sahaja yang dibenarkan mengikut peruntukan di bawah
seksyen 19 dan tidak dibenarkan tuan punya bersekutu memiliki pada bila-bila
masa. Seksyen 14 (2) pula menyatakan pegangan desa boleh dikeluarkan dan
bersekutu memiliki oleh tidak lebih dua orang pemegang. Sila lihat seksyen
14, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
[3] Seksyen 15 (1) Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960
menyatakan tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh pada
bila-bila masa dibelah bahagi. Manakala seksyen 15 (2) akta itu juga
menyatakan bahawa tertakluk pada subseksyen (2A) dan (2B), bahawa tanah yang
terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh dipegang secara undivided
shares. Sila lihat seksyen 15, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960.
[4] Sila lihat seksyen 17, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960.
[5] Sila lihat seksyen 7 (3), Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960.
[6] Seksyen 15 (2A) menyatakan bahawa Kerajaan Negeri membenarkan
pegangan desa dipegang oleh pemegang dan isterinya, bekas isterinya, atau
warisnya sebagai pemegang bersama, permohonan terdapat pada borang AA. Sila
lihat seksyen 15 (2A), Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
[7] Sila lihat seksyen 11 (1) dan 11 (2), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
[8] Zulkifli Mohamad, Isu Pusaka Tanah Rancangan FELDA: Kajian Kes FELDA
Lurah Bilut Bentong Pahang Darul Makmur, kertas kerja Prosiding Konvensyen
Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, anjuran MAIDAM &
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Bangi, 18 &19 Oktober 2008, hlm
208-209.
[9] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 208-209.
[10]Low Siong Khim, Hakmilik Tanah GSA FELDA dan Isu
Kelewatan Pengeluarannya. Kajian Kes: Tanah Rancangan FELDA di Negeri Johor,
Tesis Sarjana Sains Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi,
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 2007, hlm 24-25.
[11] Sistem hakmilik kumpulan telah digantikan dengan sistem hakmilik
individu disebabkan seseorang peneroka tidak dapat menentukan secara khusus
bahagian mana kepunyaan di dalam sistem hakmilik kumpulan kerana di dalam
hakmilik tersebut diperuntukkan seluas 200 hingga 250 ekar tanah untuk 20
hingga 25 orang peneroka FELDA. Oleh disebabkan itu, pada 30 haribulan Oktober
1988, Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan bahawa sistem blok di
rancangan FELDA dibatalkan dan peneroka-peneroka FELDA akan diberikan hakmilik
secara individu ke atas tanah yang mereka usahakan dalam rancangan FELDA.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika
Perhimpunan Agung UMNO tahun itu.
[12] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 211.
[13] Yusof Ramli, Pemakaian Hukum Faraid dan Pentadbiran Harta Pusaka Umat
Islam di Semenanjung Malaysia: Penekanan Kepada Pelaksanaannya di Negeri
Selangor, Tesis Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2007, hlm 297.
[14] Yusof Ramli, 2007, hlm 298.
[15] Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan pada
13-14 April 1982 telah bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan pemilikan
tanah pertanian seluas setengah ekar kepada seorang pemilik sahaja.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengambil ingatan bahawa pembahagian harta
pusaka yang bercorak tanah tidak dapat diselesaikan secara hak milik, maka pihak
berkuasa boleh selesaikan dengan apa jua cara asalkan sesuai dengan syarak.
Malah di dalam Islam, pembahagian harta pusaka tidak semestinya bercorak bahagi
tanah, jadi pembahagian boleh dibuat mengikut bahagian syer ahli-ahli waris.
Sila lihat Arshad Ayub, Nik Mohd Zain Nik Yusof, & Mohd Helmi Md. Hussain, Harta
Perolehan dari Agensi-Agensi Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah,
Kertas kerja Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan, anjuran Jabatan
Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Bangi, 4hb-5hb Jun 1983, hlm 8.
[16] Keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-38 yang bersidang pada 21 Jun 1995
bersetuju bahawa amalan yang dilaksanakan di tanah Rancangan FELDA mengenai
“Perwarisan Harta” berdasarkan Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960 adalah tidak bercanggah dengan syarak kerana persetujuan
meletakkan satu penama dibuat melalui persepakatan semua yang terlibat.
Sekiranya tiada persetujuan waris-waris untuk perlantikan seorang penama, maka
harta pusaka itu dijual dan hasil daripada penjualan dibahagikan kepada ahli
waris mengikut bahagian faraid.Sila lihat Mohd. Zaidi Ramli, Wajibkah Hasil
Pusaka Tanah FELDA Diagih-agihkan Kepada Adik Beradik, Ruangan Anda Musykil,
Al-Islam, Utusan Karya Sdn. Bhd, Bangi, September 2009/Ramadan 1430H, hlm
80.
[17] Sila lihat seksyen 12 (1), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960.
[18] Sila lihat seksyen 24 (1), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960.
[19] Sila lihat seksyen 22, Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960.
[20] Ahmad Raddi Abdullah, Sistem Pemberian Hakmilik Tanah FELDA Kemahang
Mengikut Pandangan Islam, Tesis Sarjana Muda Syariah, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1997, hlm 65.
[21] Sila lihat seksyen 20 (2), Akta Tanah (Kawasan-Kawasan Penempatan
Berkelompok) 1960.
[22] Jadi ukuran satu ekar tanah FELDA yang dibangunkan peneroka adalah
bernilai RM 0.90 sen sahaja.
[23] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga
pada 28 haribulan September 2009.
[25] Jika sebelum pindaan akta tersebut dilakukan, terdapat seksyen 16 yang
telah dikeluarkan di mana menetapkan bahawa hanya membenarkan seorang sahaja
penama yang didaftarkan bagi geran tanah pusaka si mati peneroka. Akan tetapi
setelah pindaan menetapkan hanya dua penama dibenarkan untuk mewarisi tanah
pusaka peneroka. Sila lihat seksyen 14 (2) Akta Tanah (Kawasan-Kawasan
Penempatan Berkelompok) 1960.
[26] Abdul Wahid Md. Ali, Pentadbiran Pesaka: Satu Penilaian dan
Pelaksanaannya di Daerah Maran Pahang, Tesis Sarjana Muda Syariah, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1986, hlm 57.
[27] Yusof Ramli, 2007, hlm 289.
[28] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga
pada 28 haribulan September 2009.
[29]Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka)
FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[30] Seksyen 108, Akta Keterangan 1950.
[31] Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka)
FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
[32]
Borang A yang diisi di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka Kecil ialah borang
harta pusaka kecil dan menyertakan segala dokumen yang diperlukan untuk
pengurusan pusaka di dalam borang tersebut.
[33] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga
pada 28 haribulan September 2009.
[34] Jikalau isteri si mati tidak sempurna seperti gila, sakit, dan
sebagainya, maka anak akan dilantik mengikut persetujuan ahli-ahli waris yang
lain.
[35]Sulaiman Kadimi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 48-49.
[36] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga
pada 28 haribulan September 2009.
[37] Zulkifli Mohamad, 18 &19 Oktober 2008, hlm 213.
[38] Sulaiman Kadimi, 8 & 9 Ogos 2006, hlm 52.
[39] Temu bual bersama Encik Che Noh Che Pa, Pengurus FELDA Kemahang Tiga
pada 28 haribulan September 2009.
[40] Temu bual bersama Encik Aziz Umar, Penyelia Ladang (Bahagian Pusaka)
FELDA Kemahang Tiga pada 28 haribulan September 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan