DONATE

Selasa, 8 Januari 2019

REMAJA DAN AKHLAK: SUATU PERSPEKTIF MENURUT ISLAM DAN BARAT



 
 



BAB II


REMAJA DAN AKHLAK: SUATU KAJIAN SECARA TUNTAS


2.1       PENGENALAN

Di zaman kemajuan dunia ini, masalah umat Islam menjadi semakin besar apabila telah memasuki era globalisasi dan kemajuan sains, menjadikan perkembangan komunikasi, elektronik, internet dan lain-lain secara meluas dan tiada sempadan. Ditambahi pula dengan media massa yang beraneka warna dan tidak terkawal menyebabkan semakin berkembangnya pengaruh budaya pengagungan material secara berlebihan, pemisahan kehidupan duniawi dari agama, pemujaan kesenangan hidup yang mengejar kenikmatan dunia semata-mata dan berlaku kerosakan akhlak yang semakin ketara. Gejala ini merupakan penyimpangan jauh dari budaya luhur turun temurun serta telah menimbulkan berbagai bentuk krisis moral secara meluas.

Dunia pendidikan pula sejak akhir-akhir ini dikejutkan dengan fenomena yang kurang menggembirakan. Kelihatan banyak perlakuan yang begitu menyedihkan berlaku di kalangan remaja seperti pergaulan bebas di kalangan remaja, menonton filem dan gambar pornografi, masalah pakaian yang terlalu mendedahkan dan menjolok mata, mempercayai perkara mistik, suka kepada hiburan yang melalaikan, dadah dan sebagainya.

Sebenarnya golongan remaja dan akhlak adalah dua aset yang sangat penting di dalam penerusan tamadun dan bangsa. Golongan remaja akan menjadi aktor utama dalam pentas kesejagatan (millenium ketiga), kerana itu generasi muda yakni remaja harus dibina dengan budaya yang kuat berintikan nilai-nilai dinamik yang relevan dengan realiti kemajuan di era globalisasi. Budaya adalah wahana kebangkitan bangsa. Maju mundurnya suatu bangsa ditentukan oleh kekuatan budayanya. Keutuhan budaya bertumpu kepada individu dan himpunan institusi masyarakat yang memiliki kapasiti berkemampuan dalam mempersatukan seluruh potensi yang ada. Perkembangan masa hadapan banyak ditentukan oleh peranan remaja sebagai generasi penerus dan pewaris dengan pemilikan ruang interaksi yang jelas menjadi agen sosialisasi untuk menggerakkan kelanjutan survival kehidupan di masa depan. Ketakutan di atas keruntuhan perilaku moral dan akhlak, kehilangan kendalian para remaja, sepatutnya menjadi kerisauan semua pihak. Ini kerana ketahanan bangsa akan lenyap dengan lemahnya remaja (Abidin t.th.).

Permasalahan akhlak pula adalah merupakan permasalahan besar yang dihadapi oleh semua ummah di dunia, kerana akhlak adalah merupakan tonggak atau asas sesebuah tamadun manusia. Jatuh bangunnya sesebuah masyarakat adalah berpunca daripada akhlaknya (Ghazali 1997). Sejarah telah menyaksikan bahawa antara sebab yang membawa kemusnahan dan kehancuran sesuatu bangsa ialah akibat daripada kerakusan manusia dan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan serta akhlak dalam kehidupan. Al-Quran berkali-kali menegaskan bahawa kebinasaan sesuatu bangsa atau kaum itu hakikatnya adalah akibat daripada kecuaian manusia tentang permasalahan akhlak (Asmawati 2009) seperti mana firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang ada sebelummu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datng kepada mereka rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih jua tidak beriman. Demikianlah kami membalas kaum yang melakukan kesalahan (Al-Qur’an, Yunus 10:13).

Dengan itu jelaslah bahawa turun naiknya sesuatu bangsa dan tamadun itu terletak pada akhlak dan penerus generasi iaitu remaja. Oleh itu sebagai manusia yang beriman kepada Allah s.w.t pastinya kita akan berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah serta ijtihad sebagai panduan dan bimbingan kita khususnya pada bimbingan akhlak yang komprehensif mencakupi setiap aspek kehidupan manusia dan meliputi dunia dan akhirat. Setiap persoalan akhlak pasti akan terjawab dan akan ada penyelesaiannya di dalam Islam.

Oleh itu, menerusi bab ini pengkaji memfokuskan perbincangan tentang definisi bagi remaja dan akhlak kerana keperluan memahami konsep remaja dan akhlak ini perlu difahami terlebih dahulu sebelum melakukan langkahan seterusnya. Definisi remaja akan dikupas melalui definisi semasa, menurut perspektif Islam dan Barat. Kupasan akhlak juga perlu dilihat melalui definisi semasa, menurut Islam dan Barat dan dikembangkan dengan melihat tentang keistimewaan akhlak Islam. Ini kerana dengan melihat kepada beberapa perspektif, pengkaji akan dapat membuat perbandingan dengan lebih jelas terhadap definisi tersebut. Sesungguhnya akhlak boleh membentuk tingkah laku remaja. Dengan itu kupasan dan perbincangan tentang keperluan berakhlak mulia ke atas remaja dan kebinasaan ke atas remaja yang tidak berakhlak turut juga dititikberatkan di dalam bab ini.

2.2       DEFINISI REMAJA

Definisi remaja boleh dilihat kepada tiga bahagian iaitu definisi semasa, definisi remaja perempuan menurut Islam dan definisi remaja menurut Barat.

2.2.1    Definisi semasa

Remaja menurut Kamus Dewan (1998) ialah peringkat umur mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan mulai timbul rasa cinta berahi (Zainal Abidin 1995).

Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai ‘adolescent’ iaitu suatu proses meningkat dewasa, pertambahan umur manusia di mana tempoh perkembangan dari zaman kanak-kanak ke zaman dewasa. Pada lazimnya remaja perempuan berumur dari 12 hingga 21 tahun (The Oxford English Dictionary 2004).
Menurut Philip Bobcock Gove, perkataan remaja disebut sebagai ‘adolescence’ dari perkataan bahasa latin ‘adolescere’ bermaksud meningkat, beransur-ansur kepada kematangan tubuh badan, jantina, emosi dan akal (Gove 1966: 28). Melalui perkataan ini remaja bererti satu proses yang lebih tepat dari tempoh masa iaitu proses mencapai satu tingkah laku dan kepercayaan yang diperlukan untuk memberi kesan kepada penyertaan dalam masyarakat (Rogers 1997).

‘Adolescence’ juga menunjukkan kepada masa remaja dalam usia antara kanak-kanak dan dewasa iaitu secara kasar antara umur 13 dan 17 tahun (Hornby 2000).

Dalam bahasa arab remaja disebut sebagai ‘shab’ ataupun ‘fata’. Kedua-dua perkataan ini digunakan untuk menunjukkan peringkat individu yang telah baligh sebelum masuknya peringkat dewasa (Ibn Manzur t.th.).

Menurut perspektif pendidikan, remaja ialah tempoh masa yang berlangsung dari kira-kira 12 atau 13 tahun hingga ke akhir belasan tahun atau awal dua puluhan. Perbezaan tempoh masa ini bergantung kepada perbezaan individu dan kebudayaan. Contohnya remaja Barat lebih cepat matang berbanding remaja Melayu. Ia juga merupakan tempoh masa penyesuaian kepada perubahan sosial dan fizikal yang membezakan tingkah laku kanak-kanak dengan tingkah laku orang dewasa (Sharifah Alwiah 1992).

Manakala melihat dari sudut perspektif psikologi pula, zaman remaja adalah jambatan di antara kanak-kanak dan alam dewasa. Ia merupakan satu tempoh di mana seorang individu perlu menyesuaikan dan mengubah tingkah laku zaman kanak-kanak kepada bentuk dewasa untuk diterima sebagai satu budaya (Dusek 1991).

Di dalam perspektif perundangan Malaysia tiada istilah yang khusus mengenai remaja dinyatakan. Namun, terdapat beberapa akta yang berkaitan dengan umur golongan ini, diantaranya ialah:

a.         Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 menyatakan bahawa kanak-kanak ialah yang berumur 18 tahun ke bawah (Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991).
b.         Akta Mahkamah juvana 1947 mentakrifkan kanak-kanak sebagai mereka yang berada di bawah umur 18 tahun ke bawah (Akta Mahkamah Juvana 1947).
c.         Akta Pekerjaan Kanak-kanak dan Orang Muda 1996 mendefinisikan kanak-kanak sebagai mereka yang berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Manakala orang muda ialah bukan lagi kanak-kanak tetapi belum mencapai umur 16 tahun (Akta Pekerjaan Kanak-kanak dan Orang Muda 1996).
d.         Akta Kanak-kanak 2001, seksyen 2(a) mentakrifkan kanak-kanak sebagai individu yang berumur 18 tahun ke bawah (Akta Kanak-kanak 2001).
e.         Akta Pentafsiran 1948 dan 1967 menyatakan minor bermaksud individu yang tidak mencapai umur dewasa yang telah ditafsirkan oleh undang-undang yang sesuai dengannya (Akta Pentafsiran 1948 dan 1976).

Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa remaja ini merupakan satu tempoh masa atau jambatan yang berada di tengah-tengah alam antara alam kanak-kanak dan alam orang dewasa. Tempoh masa remaja ini adalah berbeza bergantung kepada perbezaan individu dan kebudayaan. Setiap individu remaja itu perlu mengubah tingkah laku dan cuba menyesuaikan dirinya dari alam kanak-kanak kepada alam dewasa untuk diterima sebagai satu budaya. Ini perlu kerana dikatakan remaja itu apabila berlaku perubahan dalam proses penyesuaian kematangan sama ada pada tingkah laku, sosial atau fizikal remaja itu daripada kanak-kanak kepada alam dewasa. Secara umumnya bolehlah dikatakan tempoh masa remaja ini adalah di antara umur 12 tahun hingga awal dua puluhan kerana inilah tempoh yang paling sesuai menurut beberapa pandangan melihat kepada perbezaan individu dan kebudayaan.

2.2.2    Definisi remaja perempuan menurut Islam

Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab remaja perempuan disebut sebagai al-murahiqah. Ia membawa maksud al-ghulam iaitu budak. Al-murahiqah juga bermaksud orang yang hampir baligh (al-Razi 1993).
Menurut Ahmad Zaki, al-murahiqah ialah peringkat perkembangan yang bermula dari umur baligh iaitu kira-kira umur 13 tahun dan berakhir pada umur matang iaitu sekitar 18 atau 20 tahun. Di mana kematangan dari segi akal, perbuatan dan hubungan sosial (Ahmad Zaki 1987).

Di dalam Mu‘jam mustalahat ‘ilmi al-Nafs pula menyebutkan, al-murahiqah ialah tempoh kehidupan individu di antara tempoh baligh dan umur dewasa. Terdapat perbezaan dalam perkembangan yang berlaku pada beberapa anggota badan dan juga terdapat perubahan dari sudut pengaruh dalaman serta sosial (Abdul Majid et al.1998).

Walaupun tiada istilah khusus mengenai definisi remaja perempuan dalam Islam, namun begitu dalam Islam usia baligh boleh dijadikan sebagai asas takrif ke alam remaja (Ellias 1998). Pembahagian remaja ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat umur iaitu pra remaja berumur 10 hingga 12 tahun, awal remaja berumur 13 hingga 16 tahun dan akhir remaja berumur 17 hingga 21 tahun (Mustafa 1971).

Jadi, boleh dikatakan bahawa umur remaja perempuan adalah bermula dari usia baligh hingga umur 21 tahun (al-Zarad 1997).

Persoalan baligh ini menjadi satu perbahasan ulama di mana ia menjadi sebagai asas takrif ke alam remaja. Di antara perbahasan ulama fiqh terhadap baligh:

Perkataan baligh berasal dari kata dasar ‘balaghan’ atau ‘bulughan’ yang memberi maksud ‘adruku’ iaitu mengetahui. Perkataan mengetahui membawa maksud seseorang yang telah baligh adalah seseorang yang mengetahui erti tanggungjawab dirinya terhadap agama (Ibrahim t.th: 69). Ia juga diertikan dengan ‘al-wusul’ yang memberi maksud sampai. Perkataan sampai tersebut membawa maksud telah sampai taklif agama terhadap siri seseorang yang telah baligh (Muhammad Rawwas & Hamid Sadiq 1985).

Penentuan baligh ditentukan dengan dua cara iaitu melalui tabi’i dan perkiraan umur. Terdapat beberapa khilaf ulama di dalam menentukan tanda-tanda baligh melalui cara tabi’i:
Pertama, mengikut mazhab Hanafi bahawa tanda baligh bagi anak lelaki adalah dengan bermimpi, keluar air mani atau menghamilkan perempuan. Yang dimaksudkan dengan mimpi ialah keluar air mani waktu tidur atau jaga (sedar), melalui persetubuhan atau cara-cara lain (al-Zuhayli 1985). Dalilnya ialah firman Allah s.w.t:

Maksudnya :

Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin…’(Al-Quran, al-Nur 24:59).

Bagi kanak-kanak perempuan tanda-tandanya adalah keluar haid dan hamil. Hamil membuktikan bahawa kanak-kanak perempuan sudah mengeluarkan air mani, jadi ia dihukum baligh sebaik saja ia hamil (al-Zuhayli 1985).

Kedua, mengikut mazhab Maliki, tanda-tanda baligh melalui cara tabi’i ada tujuh. Lima daripada tanda-tanda tersebut ada pada lelaki dan perempuan manakala dua lagi  tanda tersebut khas untuk perempuan. Tanda pertama adalah keluar air mani sama ada di dalam tidur atau jaga. Keduanya adalah tumbuh bulu yang kasar di bawah pusat dekat dengan kemaluan. Ketiganya adalah tumbuh bulu ketiak. Keempatnya adalah hujung hidung mengembang apabila ditekan dan kelimanya adalah berubah suara menjadi garau dan kasar (al-Zuhayli 1985).

Bagi mazhab Shafie dan Hanbali pula, tanda-tanda baligh bagi lelaki dan perempuan ialah keluar air mani dan tumbuh bulu kasar di pangkal kemaluan yang memerlukan pencukuran. Tanda-tanda khas bagi perempuan adalah haid. Adapun mengenai bulu ketiak dan janggut tidak boleh dipegang sangat kerana amat jarang seseorang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ditumbuhi tersebut (al-Zuhayli 1985).

Menurut ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, air mani tersebut mestilah setelah berumur 9 tahun, sekiranya air mani itu keluar sebelum usia tersebut ia dikira sebagai penyakit (al-Jaziri t.th).
Terdapat juga permasalahan khilaf ulama tentang penentuan baligh melalui perkiraan umur bagi remaja perempuan:

Pendapat pertama  menurut Imam Ahmad, Imam Malik dan al-Zahiri mengatakan bahawa umur tidak boleh menentukan tanda baligh kanak-kanak jika tidak bermimpi. Mereka tidak dianggap mencapai baligh walaupun umur mereka mencapai 40 tahun atau 50 tahun (Mahmud 2002).

Pendapat kedua pula mengatakan terdapat umur tertentu bagi menjelaskan umur baligh walaupun tiada sedikit dari tanda-tanda baligh yang lain. Pendapat ini disepakati oleh jumhur fuqaha’. Mereka berselisih pendapat tentang penentuan umur bagi kanak-kanak yang mencapai umur mukallaf. Pendapat ini di bahagi kepada lima iaitu:

a.         Apabila kanak-kanak perempuan telah mencapai umur 15 tahun maka mereka telah baligh dengan hukum syara’. Ini adalah pendapat golongan Syafi‘iyyah, Hanabilah dan Zaidiyyah.
b.         Umur baligh bagi kanak-kanak perempuan adalah apabila mereka mencapai umur 17 tahun. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah.
c.         Apabila sempurna umur 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan. Pendapat ini disepakati oleh golongan Malikiyyah.
d.         Apabila kanak-kanak perempuan mencapai umur 16 tahun. Pendapat ini menjadi perselisihan di kalangan Malikiyyah.
e.         Kanak-kanak perempuan mencapai umur 19 tahun. Imam Ibn Hazm berpegang dengan pendapat ini.

Berdasarkan kepada lima pendapat ulama yang telah disebutkan, maka jumhur ulama’ berpendapat, pandangan yang pertama merupakan ukuran yang paling tepat dalam menentukan umur baligh bagi remaja perempuan (Mahmud 2002).

Tanda baligh melalui penentuan umur adalah berbeza mengikut semula jadi manusia, keadaan persekitaran dan kekuatan tumbesaran kanak-kanak. Ahli perubatan mendapati kanak-kanak mencapai baligh pada umur 5 tahun di India, 6 tahun di Afrika dan had maksima umur baligh adalah 17 tahun (Muhammad Rawwas 2000).

Menurut Wahbah al-Zuhayli, individu baligh merupakan seorang mukallaf yang bertanggung jawab pada semua kewajipan syarak dengan menunaikan suruhan agama Islam. Mereka dituntut beriman dengan rukun iman, melaksanakan lima rukun Islam, menjauhi perkara maksiat dan kemungkaran yang memudaratkan kemaslahatan individu serta masyarakat (al-Zuhayli 1997).

Jumhur ulama tidak menentukan umur al-rushd (kematangan) kerana tiada nas syarak yang menentukannya. Namun, ia bergantung kepada persediaan individu, pendidikan yang diterima dan persekitarannya. Negara Syria menetapkan individu berusia 18 tahun sebagai al-rushd, manakala negara Mesir pula menetapkannya pada umur 21 tahun (al-Zuhayli 1997).

Secara umumnya penulis-penulis Islam mengatakan usia remaja hanya berakhir apabila seseorang itu memasuki alam dewasa. Walau bagaimanapun sebahagian pendapat mengatakan bahawa ianya berakhir sehingga usia 30 tahun, manakala sebahagian lainnya mengatakan sehingga 32 tahun (al-Zubaydi 1967).

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah bahawa berlaku percanggahan pendapat para ulama terhadap definisi remaja. Ini berlaku kerana tidak ada istilah yang khusus di dalam agama terhadap remaja ini dan kesukaran dalam menentukan had umurnya. Sebab itulah dikatakan awal berlaku proses remaja ini ialah bermulanya proses baligh dan baligh itu mempunyai masa tempoh yang tidak dapat ditetapkan kerana berlaku perbezaan mengikut semula jadi manusia, pengaruh persekitaran dan kekuatan tumbesaran kanak-kanak itu. Namun demikian bolehlah diambil pendapat jumhur ulama yang menyatakan bahawa umur 15 tahun itu adalah had umur terakhir bagi tempoh awal remaja perempuan. Begitu pula dengan tempoh akhir remaja tidak dapat dipastikan tempoh masanya yang sebenar mengikut had umur remaja itu. Kebanyakan para ulama menentukan akhir remaja itu dengan umur kematangan yang mana ia bergantung kepada persediaan individu, pendidikan yang diterima dan persekitarannya. Berakhirnya alam remaja itu ialah apabila ia telah memasuki kepada alam dewasa.

2.2.3    Definisi remaja menurut Barat

Menurut Garrison, remaja boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu remaja sebagai fenomena fisiologi, remaja sebagai fenomena sosial, remaja sebagai fenomena budaya dan remaja merupakan peringkat zaman peralihan (Garrison 1975).

Bagi Thomas pula, remaja itu adalah satu peringkat pertumbuhan manusia dari peringkat kanak-kanak kepada manusia dewasa (Jersild 1963).

Menurut E. Muuss, remaja boleh dilihat dari tiga sudut iaitu sudut sosiologi, psikologi dan kronologi. Dari sudut sosiologi beliau menyatakan bahawa remaja sebagai individu yang mengalami proses perubahan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Pada peringkat ini remaja mula berdikari. Dari sudut psikologi pula beliau menyatakan bahawa remaja sebagai individu yang berada di dalam keadaan mencari penyesuaian untuk menukar sifat kanak-kanak kepada sifat dewasa (Muuss 1968: 108). Ia merujuk kepada keadaan fikiran, sikap, cara hidup yang bermula pada masa kematangan jantina dan berakhir apabila seseorang itu dapat berdikari tanpa pertolongan keluarganya (Adams 1976). Dari sudut kronologi pula beliau berpendapat bahawa remaja sebagai individu yang berada dari jarak 12 hingga 20 tahun (Muuss 1968).

Remaja dari segi fisiologi pula, bolehlah ditetapkan apabila lelaki itu bertukar suaranya, tumbuh rerambut tertentu di tubuh badannya, meningkat tinggi dan mengalami peningkatan berat yang begitu ketara sekali. Bagi perempuan pula masa haid yang pertama merupakan petanda ke alam remaja diikuti dengan perubahan-perubahan bentuk badan terutama pada bahagian dada dan punggungnya yang begitu ketara pembesarannya (Malm & Jamison 1952).  Begitu juga dengan Theron Alexander menyatakan bahawa bermulanya tanda remaja bagi lelaki ialah dada dan bahunya membesar, tumbuhnya misai dan janggut dan mempunyai suara yang garau. Manakala bagi perempuan ialah membesarnya buah dada, punggung yang mula melebar dan datang haid (Alexander 1969).

Zaman remaja merupakan zaman ketegangan dan tekanan kerana zaman ini menunjukkan zaman peralihan yang penuh dengan berbagai-bagai masalah seperti konflik diri, konflik nilai, tekanan persekitaran dan lain-lain yang jika tidak dikawal sedar awal akan membawa akibat yang tidak baik (Lester & Alice 1965). Ini menjadikan proses pencapaian kematangan dan kepercayaan yang lebih berkesan terhadap remaja di dalam masyarakat. Mereka sudah mengerti tentang matlamat hidup dan fungsinya sekali secara dinamis (Rogers 1977).

Melihat kepada pembahagian perkembangan remaja, Luella Cole dan Irma Nelson Hall telah membahagikan remaja kepada tiga peringkat perkembangan iaitu remaja peringkat awal berumur di antara 14 hingga 15 tahun bagi lelaki dan perempuan di antara 13 hingga 14 tahun. Peringkat pertengahan remaja ialah pada umur 16 hingga 18 tahun bagi lelaki dan 15 hingga 17 bagi perempuan. Peringkat akhir remaja berumur 19 hingga 20 tahun bagi lelaki dan perempuan ialah 18 hingga 20 tahun. Mereka menyatakan bahawa remaja pada peringkat awal remaja mengalami perubahan dari segi tubuh badan dan sedikit sebanyak kematangan kognitif. Manakala pada peringkat pertengahan pula remaja mula mencari identiti yang baru, mula bertemu janji dan banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya. Sementara pada peringkat akhir pula banyak keputusan penting dibuat seperti keputusan mengenai kerjaya dan proses pemikiran juga sudah matang (Cole & Hall 1970). Jadi, penentuan umur remaja secara purata iaitu remaja perempuan umur antara 13 hingga 18 tahun dan remaja lelaki pada umur 14 hingga 18 tahun (Hurlock 1973).

Melihat kepada perkara asas yang berkaitan dengan remaja, Robert Irving Watson dan Henry Clay Lindgren telah menyenaraikan 9 perkara asas iaitu :

a.         Penerimaan fizikal dan peranan kejantinaan.
b.         Mencapai hubungan baru dan hubungan yang lebih matang dengan rakan sebaya bagi kedua-dua jantina.
c.         Membina emosi ingin bebas dari ibubapa dan orang dewasa yang lain.
d.         Mencapai keinginan ketidak bergantungan ekonomi.
e.         Memilih dan bersedia untuk bekerja.
f.         Membina skil-skil intelektual dan konsep-konsep yang perlu untuk kecekapan sivik.
g.         Berkeinginan untuk mencapai tingkahlaku dan tanggung jawab sosial.
h.         Membuat persediaan untuk berkahwin dan hidup berkeluarga.
i.          Membina nilai-nilai sedar dalam keadaan harmoni dengan gambaran dunia saintifik yang diingini (Watson & Lindgren t.th).

Melihat kepada definisi-definisi remaja menurut Islam dan Barat, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa persamaan dan perbezaan di antara Islam dan Barat.  Di antara persamaan antara keduanya ialah dari sudut fisiologi iaitu apabila lelaki mencapai usia remaja akan bertukar suaranya menjadi kasar dan garau, tumbuh rerambut tertentu di tubuh badannya dan bagi perempuan pula ialah dengan kedatangan haid.

Dilihat pula perbezaannya, Islam tidak menentukan had umur terhadap remaja sebaliknya berlaku proses awal remaja ialah bermulanya proses baligh dan baligh itu mempunyai masa tempoh yang tidak dapat ditetapkan kerana berlaku perbezaan mengikut semula jadi manusia, pengaruh persekitaran dan kekuatan tumbesaran kanak-kanak itu. Namun demikian bolehlah diambil pendapat jumhur ulama yang menyatakan bahawa umur 15 tahun itu adalah had umur terakhir bagi tempoh awal remaja perempuan. Begitu pula dengan tempoh akhir remaja tidak dapat dipastikan tempoh masanya yang sebenar mengikut had umur remaja itu. Kebanyakan para ulama menentukan akhir remaja itu dengan umur kematangan yang mana ia bergantung kepada persediaan individu, pendidikan yang diterima dan persekitarannya. Berakhirnya alam remaja itu ialah apabila ia telah memasuki kepada alam dewasa. Manakala Barat pula telah membahagikan perkembangan remaja kepada tiga peringkat perkembangan iaitu remaja peringkat awal berumur di antara 14 hingga 15 tahun bagi lelaki dan perempuan di antara 13 hingga 14 tahun. Peringkat pertengahan remaja ialah pada umur 16 hingga 18 tahun bagi lelaki dan 15 hingga 17 bagi perempuan. Peringkat akhir remaja berumur 19 hingga 20 tahun bagi lelaki dan perempuan ialah 18 hingga 20 tahun. Jadi, penentuan umur remaja secara purata iaitu remaja perempuan umur antara 13 hingga 18 tahun dan remaja lelaki pada umur 14 hingga 18 tahun.

2.3       DEFINISI AKHLAK

Definisi akhlak ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu definisi semasa, definisi menurut Islam dan definisi menurut pandangan Barat.

2.3.1    Definisi semasa

Menurut Kamus Dewan (1998) akhlak ialah budi pekerti, kelakuan dan tabiat. Dalam bahasa Inggeris akhlak disebutkan sebagai ‘behave’ yang membawa maksud bertindak atau bersikap dengan cara tertentu atau berkelakuan dengan cara yang khusus. ‘Behavior’ ialah cara memperlakukan orang lain; perangai, cara bertindak atau bertugas, kelakuan dan perilaku (Hornby 2000).

Akhlak menurut bahasa Arab dari sudut bahasa merupakan bentuk jama’ kepada perkataan al-khuluq atau al-khulq, yang bererti tabiat atau budi pekerti (Ibn Manzur 1968).

Dari sudut istilah ialah suatu keadaan yang melekat pada jiwa manusia, yang daripadanya lahir perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa melalui proses pemikiran atau pertimbangan (Ibn Mishkawayh 1966).

Keadaan jiwa ini terbahagi kepada dua macam. Pertama, sifat-sifat yang telah ada semenjak semulajadi manusia, seperti seseorang lekas marah hanya kerana sebab terkecil, dan seseorang pengecut kerana perkara ringan; dan seseorang lekas tertawa. Kedua, sifat-sifat yang diperolehi dengan pembiasaan dan latihan, yang pada mula-mula ianya dengan pertimbangan dan pemikiran, kemudian diamalkan secara berterusan sehingga ia menjadi sifat dan tabiat (Ibn Mishkawayh 1966).

Jika keadaan jiwa melahirkan perbuatan yang baik dan terpuji mengikut pandangan akal dan syara’ maka disebut akhlak mulia. Tetapi jika perbuatan-perbuatan yang ditimbulkan itu tidak baik maka dinamakan akhlak yang buruk (Ensiklopedia Islam 1994:102).

Meskipun perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab namun ia tidak disebut dalam al-Quran kecuali dalam dua bentuk mufrad (tunggal) yang disebutkan sebanyak dua kali, iaitu salah satu pada ayat berikut:


            Maksudnya:

Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”(al-Quran, al-Qalam 68:4).

Dan ayat lainnya:


            Maksudnya:

(Agama kami) Ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang dahulu.”(al-Quran, al-Shu‘ara’ 26:137).

Dalam hadis ia sering digunakan sama ada dalam bentuk tunggal atau bentuk jama’ seperti hadis :
انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

            Maksudnya:

“Saya dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Malik Ibn Anas, al-Muwatta’ t.th: 904).

2.3.2    Definisi akhlak menurut Islam

Menurut kamus al-Muhit akhlak berasal daripada kalimah al-Khuluq yang membawa kepada empat pengertian iaitu perangai, tabiat, maruah dan agama (Ghazali 1997). Akhlak itu juga disebutkan sebagai budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat (al-Munjid fi al-Lughah wa al-‘Ilam 1989: 164).

Di dalam kamus Lisan al-‘Arab akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang telah menjadi tabiat dan merupakan satu gambaran bagi menunjukkan zahir dan batin seseorang. Ia juga membawa maksud kejadian yang semula jadi al-khuluq iaitu setiap manusia mempunyai sifat-sifat semula jadi yang memang sedia ada pada dirinya sama ada yang telah menjadi pembawaan diri dari segi tingkah laku atau perangai (Ghazali 1997).

Menurut Ibn Athir, al-khuluq atau akhlak itu ialah bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang batin, sementara al-khalq pula ialah bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang lahir. Pendapat Ibn Athir ini jelas menghubungkan akhlak itu dengan bentuk kejadian manusia; iaitu paduan antara bentuk kejadian yang lahir yang biasa disebut dengan jasmani dan bentuk kejadian yang batin yang biasa disebut dengan rohani (Mohd Sulaiman 1992).

Menurut Ibn Maskawayh, al-khuluq itu ialah suatu hai’ah atau keadaan bagi diri/jiwa yang sifatnya mendorong pada diri/jiwa itu untuk melakukan perbuatan atau tindakan dengan senang dan mudah tanpa didahului oleh daya pemikiran, kerana sudah menjadi sifat atau kebiasaan (Mohd Sulaiman 1992).

Manakala Imam al-Ghazali pula menyatakan bahawa akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa yang menimbulkan perbuatan-perbuatan dengan senang dan mudah, tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan (al-Ghazali 1989). Ini bermakna sesorang yang dikatakan baik bentuk kejadiannya dan akhlaknya ialah baik lahir dan batinnya.

Menurut Ahmad al-Hufi, akhlak ialah ‘azimah (kemahuan) yang kuat tentang sesuatu yang dilakukan berulang-ulang sehingga menjadi adat (membudaya) yang mengarah kepada kebaikan atau keburukan (al-Hufi 1970).

‘Abd al-Karim Zaydan pula menyatakan akhlak adalah nilai-nilai dan sifat-sifat yang tertanam dalam jiwa yang dengan sorotan dan timbangannya seseorang dapat menilai perbuatannya baik atau buruk, kemudian memilih untuk melakukan atau meninggalkannya (Zaydan 1976).

Menurut Ibrahim Anis akhlak ialah sifat yang tertanam dalam jiwa, yang dengannya lahirlah macam-macam perbuatan, baik atau buruk, tanpa memerlukan pemikiran atau pertimbangan (Ibrahim 1972).

Menurut tokoh-tokoh ilmu psikologi Islam definisi akhlak boleh dilihat dari dua sudut iaitu dari sudut batiniah dan zahiriah. Batiniah ialah satu ilmu yang membahaskan masalah-masalah dalaman manusia khasnya yang mengupas hal-hal kejiwaan. Manakala zahiriah pula ialah satu cara atau jalan yang memperlihatkan sesuatu yang berbentuk zahir. Aliran al-Aqli ini sama pendapatnya dengan fahaman Mu’tazilah kerana kedua-duanya berpegang kepada prinsip akal dalam memahami masalah akhlak (Ghazali 1997).

Menurut ahli falsafah Islam pula akhlak mengandungi tiga maksud mengikut aliran-aliran tertentu. Pertama, aliran al-‘Aqli ; Shaykh Rashid Reda menyebutkan akhlak ialah al-‘Aqli iaitu akal fikiran. Akal fikiran memancarkan akhlak, akal yang dipandu oleh wahyu seperti para nabi dan rasul akan melahirkan akhlak yang bersih dan terpuji, ertinya hanya manusia sahaja yang memiliki akhlak kerana manusia sahaja yang mempunyai akal. Kedua, aliran Ruhi ; telah dipelopori oleh tokoh-tokoh tasawuf Islam yang membataskan tasawuf itu kepada akhlak sahaja. Ibn al-‘Arabi apabila ditanya tentang tasawuf, beliau menyatakan bahawa tasawuf itu ialah memasuki setiap perkara baik dan keluar daripada setiap perkara yang jahat. Ketiga, aliran al-Aqli dan al-Ruhi; aliran ini terjelma pada Imam al-Ghazali dalam analisisnya yang memahami dan menyelesaikan akhlak dalam dua konsepsi iaitu menerusi aliran falsafah dan tasawuf. Beliau telah mementingkan analisis jiwa dan roh yang banyak dipraktikkan pada sepanjang hayatnya termasuk cara-cara membersihkan jiwa dan batin menerusi pembuangan sifat-sifat buruk dan menggantikannya dengan hiasan diri sifat-sifat fadail (Ghazali 1997).

Menurut para tokoh akhlak menyimpulkan definisi akhlak ialah gambaran daripada prinsip dan kaedah-kaedah yang tersusun bagi tindak tanduk manusia yang telah diatur oleh wahyu bagi kehidupan manusia untuk mencapai matlamat adanya manusia dalam dunia ini serta bertujuan mencapai tahap-tahap manusia yang sempurna (Ghazali 1997).

Daripada definisi-definisi di atas disimpulkan bahawa akhlak itu adalah suatu keadaan atau sifat yang telah tetap tertanam di dalam jiwa manusia, yang melahirkan tindakan atau perbuatan atau perlakuan atau perilaku amalan sama ada baik atau buruk dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan terlebih dahulu, serta tidak memerlukan dorongan dari luar.

Dengan itu jelaslah suatu perilaku yang bersifat akhlak sama ada baik atau buruk itu memerlukan dua syarat iaitu mudah dan senang untuk dilakukan dan tidak memerlukan pemikiran dan perancangan ketika adanya suatu peristiwa atau suasana yang menyentuh sifat yang telah tetap dalam diri kerana telah menjadi tabiat dan kebiasaan. Sebagai contoh seorang yang bersifat pemurah, apabila melihat orang yang memerlukan bantuan dan pertolongan, maka dengan mudah dan senang segera menghulurkan bantuan tanpa memikir-mikir atau merancang-rancang. Demikian juga seorang yang bersifat pemarah, apabila tersinggung perasaannya maka dengan mudah ia akan naik darah dan marah-marah (Mohd Sulaiman 1992).

Oleh itu sekiranya seseorang itu sekali sekala sahaja memberikan bantuan dan pertolongan, maka sifat pemurah itu belum lagi menjadi sifatnya atau akhlaknya begitulah juga dengan orang yang jarang-jarang marah apabila tersinggung perasaannya maka ia juga belum dikatakan akhlak lagi. Ini kerana sifat itu belum menetap dan tertanam dalam dirinya.

2.3.3    Definisi akhlak menurut Barat

Menurut ahli sosiologi barat seperti Larry Bruh telah mengupas tentang akhlak dengan tiga definisi. Katanya, pertama, akhlak ialah himpunan pemikiran dan hukum-hukum perasaan serta kebiasaan yang berhubung dengan hak-hak manusia dan kewajipan kepada diri dan orang lain yang diterima dan diakui oleh individu dalam sesuatu masa tertentu. Kedua, akhlak ialah ilmu yang mengkaji tentang gejala-gejala tingkah laku dan tindak tanduk manusia termasuklah cita rasa, perangai, kehendak, keinginan yang dijelmakan melalui sifat dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perasaan dan ketiga, akhlak ialah perlaksanaannya itu sendiri (Ghazali 1997).
Tokoh aliran Idealisme atau al-Mithali menyatakan akhlak ialah tindak tanduk manusia sebagaimana sepatutnya bersesuaian dengan contoh-contoh agama yang tinggi. Atau satu keadaan yang melakukan sesuatu perkara kerana ia dipandang ideal dan baik di samping kerana terlebih dahulu ia difikirkan sebagai yang semestinya begitu. Di antara pelopor aliran ini ialah Kent (Ghazali 1997).

Manakala tokoh aliran Pragmatik pula seperti John Denway dan Wiliam James secara keseluruhannya berpegang kepada manfaat al-‘ammah yang mementingkan hasil sesuatu perbuatan tetapi tidak mementingkan unsur-unsur perbuatan itu sendiri. Aliran ini tidak bersetuju dengan kumpulan Idealisme dalam menanggapi akhlak kerana masalah akhlak ialah masalah metafizik (ketuhanan) iaitu satu tahap di mana manusia harus menerima apa sahaja yang datang daripada tuhan tanpa bersoal jawab (Ghazali 1997).

Apa yang jelas di sini bahawa akhlak mengikut pandangan mereka ialah ilmu yang mengkaji tentang gejala tingkah laku dan tindak tanduk manusia berkaitan perasaan dan kebiasaan termasuklah cita rasa, perangai, kehendak, keinginan yang dijelmakan melalui sifat dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perasaan. Akhlak ini menurut mereka juga sepatutnya bersesuaian dengan contoh-contoh agama yang tinggi.

Setelah melihat kepada definisi-definisi akhlak menurut perspektif Islam dan Barat, dapatlah disimpulkan bahawa pandangan yang dibawakan oleh Islam dan Barat hampir sama maksudnya kerana dikatakan akhlak itu ialah tingkah laku dan perbuatan manusia yang dijelmakan dari dalam diri manusia itu sendiri. Namun Islam telah menekankan akhlak itu suatu sifat yang tertanam dalam diri manusia tanpa perlu kepada perhitungan pemikiran dan pertimbangan untuk melahirkan tindakan atau perbuatan atau perlakuan sama ada baik atau buruk. Berbanding akhlak menurut Barat ialah sifat dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perasaan yang melahirkan tindak tanduk manusia yang terlebih dahulu difikirkan sebagai mana yang semestinya di pandang ideal. Dengan itu perlakuan yang akan lahir hanyalah perbuatan yang baik-baik sahaja.

2.3.4    Keistimewaan akhlak Islam

Islam adalah agama yang berbeza dengan agama-agama yang lain sama ada dari segi nama, sumber dan asas ajarannya, biarpun agama itu berasal dari langit seperti agama kristian dan yahudi ataupun agama yang datang dari ciptaan manusia yang disebut sebagai agama budaya seperti agama hindu dan buddha. Dalam keluasan dan dan kedalaman Islam itu tersimpul dan tersaring beberapa ciri-ciri keistimewaan yang bersifat universal dan meluas itu. Ciri-ciri keistimewaan Islam ini menyusupi dan dan menyerapi setiap sistem yang terkandung dala Islam, termasuklah sistem akhlaknya. Di antara ciri-ciri keistimewaan akhlak yang telah digambarkan oleh al-Quran dan al-Hadith ialah:

a.         Akhlak Islam bersifat al-Ilzam

Akhlak ini ditentukan atau dicipta oleh Allah dan rasulnya. Dengan itu akhlak Islam bersifat sempurna seperti mana firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

(Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya. Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbirkan segala-galanya (Al-Qur’an, al-‘An‘am 6:101-102).

Oleh kerana Allah lah yang menciptakan segala sesuatu di atas muka bumi ini maka sewajarnyalah dia mengetahui setiap sesuatu perkara itu sama ada baik atau buruk serta yang bersesuaian atau yang bertentangan dengan manusia. Maka di atas kesempurnaan itu jugalah maka akhlak juga termasuk di dalam perkara ciptaannya yang ditentukan untuk makhluknya daripada jenis manusia sahaja. Kelahiran manusia ke muka bumi ini adalah berturutan dengan kelahiran akhlak sebagai tabiat manusia untuknya bertingkah laku terhadap Allah, manusia dan alam. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya (Al-Qur’an, al-Saf 61:9).

Akhlak yang Allah perturunkan bersama-sama dengan kelahiran manusia ditentukan prinsip-prinsip asasnya, tatacara, sifat-sifat mahmudah, mazmumah, cara memperoleh akhlak dan cara membuang sifat-sifat buruk oleh Rasulullah s.a.w melalui hadithnya. Rasulullah mendidik dan membentuk akhlak manusia melalui dua cara:

a.         Menerusi percakapan, teguran, nasihat yang baik berupa rangsangan atau ancaman.
b.         Menerusi contoh teladan daripada gerak geri dan perlakuannya.

Melalui dua cara tersebut Rasulullah berjaya membentuk akhlak terpuji ditengah-tengah kejahilan masyarakat Arab Quraysh Mekah dalam marhalah pertama dakwahnya (Ghazali 1997).

b.         Akhlak Islam bersifat rabbani.

Ajaran akhlak Islam bersumber dari wahyu tuhan yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Di dalam al-Quran terdapat kira-kira 1500 ayat yang mengandungi ajaran akhlak, baik secara teori mahupun secara praktikal. Begitu juga dengan hadith-hadith nabi amat banyak memberikan pedoman tentang akhlak. Sifat rabbani dari akhlak juga bersangkut dengan tujuannya iaitu untuk memperoleh kebaikan dan kebahagiaan  di dunia mahupun di akhirat. Sifat rabbani juga menegaskan bahawa akhlak dalam Islam bukanlah moral yang kondisional dan situasional, tetapi akhlak yang benar-benar memiliki nilai yang mutlak. Akhlak rabbanilah yang mampu menghindari kekacauan dan keruntuhan nilai-nilai moral dalam kehidupan manusia (Ilyas 1999). Firman Allah s.w.t :


Maksudnya:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa (Al-Qur’an, al-‘An‘am 6:153).

c.         Akhlak Islam bersifat manusiawi.

Akhlak Islam adalah selaras dengan fitrah semulajadi manusia dalam kehidupan dan ketamadunannya, bukan bertentangan dan bercanggahan dengan fitrahnya. Sebagaimana Islam itu sendiri seperti yang ditegaskan oleh nas adalah selaras dengan fitrah manusia maka demikian jugalah dengan sudut akhlak dan sudut-sudut lain yang terkandung di dalam Islam (Mohd Sulaiman 1992). Kerinduan jiwa manusia kepada kebaikan akan dapat dipenuhi dengan mengikuti ajaran akhlak dalam Islam. Ajaran akhlak dalam Islam diperuntukkan bagi manusia yang merindukan kebahagiaan dalam hakikat yang sebenar sahaja. Ia benar-benar memelihara eksistensi manusia sebagai makhluk yang terhormat dan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia itu sendiri (Ilyas 1999).

d.         Akhlak Islam bersifat syumul dan universal.

Sifat ini mencakupi segala bidang kehidupan manusia baik dalam aktiviti berpolitik, ekonomi, sosial, pendidikan, pentadbiran, pemerintahan dan sebagainya. Ini telah dinukilkan oleh Mohd Nasir Omar melalui pendapat al-Qardawi terhadap kesyumulan akhlak Islam kepada:
i.          Akhlak terhadap diri sendiri, seperti memelihara kesihatan diri, membersihkan jiwa dari sebarang kekotoran, melatih jiwa supaya berfikir dan menganalisa, tidak melampaui batas dan sebagainya.
ii.         Akhlak terhadap keluarga, seperti suami perlu bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik, berbuat baik kepada kedua ibubapa, kepada orang yang lebih tua atau muda dari kita, jangan membunuh anak kerana bimbangkan kemiskinan, berlaku adil kepada semua orang, anak-anak dan isteri-isteri, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum keluarga yang dekat dan yang jauh.
iii.        Akhlak terhadap masyarakat, antaranya jangan memasuki sesebuah rumah kecuali mendapat izin dan memberi salam kepada penghuninya, jangan mengurangkan timbangan, kembalikan amanah kepada empunyanya, hakimlah di antara manusia dengan adil dan sebagainya.
iv.        Akhlak terhadap alam, seperti menyedari bahawa alam semulajadi ini diamanahkan oleh Allah kepada manusia untuk mentadbirnya. Kepelbagaian alam ini memanisfestasikan kekuasaan Allah, dalam meneroka dan mengguna setiap kurnia yang wujud didalamnya, manusia harus sederhana, bermatlamatkan kepentingan bersama, tidak menipu, mengeksploitasi, melakukan monopoli, sorok dan perlu dijiwai dengan rasa syukur.
v.         Akhlak terhadap Allah. Akhlak yang paling tinggi dan mengatasi segala-galanya adalah akhlak manusia terhadap Allah, darinya sumber segala hukum dan nilai hidup. Tuhan yang berhak mendapat semua pujian, segala ketaatan. Dialah sahaja yang layak dan perlu disembah, tempat meminta-minta pertolongan, pengampunan dan hidayah (Mohd Nasir 1986).

Dengan melihat kepada keshumulan di atas telah memperlihatkan keistimewaan akhlak Islam yang tidak ada pada suatu agama pun selain Islam. Ini dijelaskan lagi oleh Mohd Sulaiman melalui ciri akhlak Islam dalam hubungan antara bangsa. Pilihan ini adalah kerana adanya dakwaan mengatakan bahawa tidak ada hubungan da tidak ada tempat bagi akhlak dalam hubungan antara bangsa. Oleh kerana itu penipuan, pengkhianatan, pendustaan dan bermuka-muka menjadi nilai kepada kepintaran dalam percaturan politik. Islam tetap menafikan pandangan salah ini. Apa yang dianggap buruk pada individu adalah buruk juga pada hubungan antara bangsa dan begitulah juga sebaliknya. Islam menetapkan dan memutuskan agar negara Islam mematuhi ciri-ciri akhlak dalam hubungan antara bangsa yang lebih luas (Mohd Sulaiman 1992).

e.         Akhlak Islam bersifat seimbang

Ajaran akhlak Islam berada di tengah-tengah antara menjadikan manusia seperti malaikat yang menitik beratkan kebaikannya sahaja dan menjadikan manusia seperti haiwan yang menitik beratkan sifat keburukannya sahaja. Manusia menurut pandangan Islam memiliki dua kekuatan dalam dirinya, kekuatan baik pada hati nurani dan akal dan kekuatan buruk pada hawa nafsunya.Manusia juga memiliki unsur rohani dan jasmani yang memerlukan pemakanan secara seimbang. Manusia bukan sahaja hidup untuk di dunia sahaja bahkan diteruskan kehidupannya sampai akhirat. Dengan itu akhlak Islam telah memenuhi tuntutan keperluan manusia, jasmani dan rohani secara seimbang menuruti fitrah manusia, dan memenuhi tuntutan hidup bahagia di dunia dan di akhirat secara seimbang juga. Bahkan memenuhi keperluan peribadi harus juga seimbang dengan keperluan terhadap masyarakat seperti mana Rasulullah s.a.w membenarkan ucapan Salman kepada Abu Darda’: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak yang wajib kau penuhi, dirimu mempunyai hak yang wajib kau penuhi, isterimu mempunyai hak yang wajib kau penuhi, berikanlah orang-orang yang mempunyai hak akan haknya (Ilyas 1999).”

f.         Akhlak Islam bersifat realistik

Ajaran akhlak dalam Islam melihat kepada kenyataan hidup manusia yang sebenar. Walaupun manusia terdiri di kalangan makhluk Allah s.w.t yang terbaik kerana memiliki kelebihannya seperti akal fikiran namun manusia juga tidak terlepas daripada mempunyai kelemahan-kelemahan seperti kecenderungan untuk keperluan material dan spritual. Dengan kelemahan-kelemahan itu manusia berkemungkinan akan melakukan kesalahan dan perlanggaran. Oleh sebab itu Islam memberikan kesempatan kepada manusia yang melakukan kesalahan untuk memperbaiki diri dengan cara bertaubat. Bahkan dalam keadaan terpaksa, Islam membenarkan manusia melakukan sesuatu yang mana sekiranya dalam keadaan biasa adalah tidak dibenarkan (Ahmad Azhar 1993). Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Al-Qur’an, al-Baqarah 2:173).

g.         Akhlak Islam bersifat mudah (al-yusra).

Sifat ini bermaksud senang dan mampu untuk diikuti oleh manusia. Ciri-ciri akhlak Islam sesuai dengan tabiat manusia tidak menyusahkan untuk diamalkan dan mampu dilaksanakan oleh semua lapisan manusia. Islam ialah al-Din yang mudah dilaksanakan. Begitu juga dengan sifat akhlaknya. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir (Al-Quran, al-Baqarah 2:286).

Islam juga merupakan ajaran yang tidak membebankan penganutnya dengan bermacam-macam perintah yang berat-berat di luar kemampuan manusia untuk melaksanankannya. Apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t adalah sesuai dengan kemampuan manusia (Ghazali 1997).

h.         Akhlak Islam bersifat tetap dan umum (al-thubut wa al-‘umum).

Prinsip-prinsip akhlak bersifat tetap adalah tidak berubah seperti Allah s.w.t mewajibkan anak-anak untuk menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Perlakuan berbuat baik kepada kedua ibubapa itu bersifat tetap dan tidak akan berubah dalam apa keadaan sekalipun tetapi cara dan bagaimana hendak melakukan kebaikan itu adalah bersifat umum, terpulanglah kepada si anak itu untuk melakukannya sama ada dengan cara memberikan wang kepada mereka atau membina rumah, memelihara dan menggembirakan hati mereka, membelikan kereta kepada mereka dan sebagainya, sebenarnya tidak ditentukan syarak terhadap ketetapan ini. Dengan itu boleh lah dikatakan bahawa ajaran-ajaran yang terkandung dalam akhlak Islam bersifat tetap dan cara perlaksanaannya adalah bersifat umum diserahkan kepada individu itu bagaimana harus melakukan asalkan tidak terkeluar daripada ajaran akhlak tetap tersebut (Ghazali 1997).

i.          Akhlak Islam bersifat kebaikan yang mutlak

Walau bagaimana besar usaha dan daya pemerasan akal fikiran manusia sekalipun seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli falsafah akhlak zaman berzaman, namun tidak akan dapat menjamin manusia dengan kenaikan yang sempurna dan shumul yang bersih daripada faktor-faktor kepentingan diri atau kepentingan satu golongan ke atas satu golongan yang lain, atau dari tarikan dan runtunan hawa nafsu ataupun dari pengaruh alam persekitaran ataupun sekurang-kurangnya dari kekeliruan yang dapat menjamin umat manusia dengan kebaikan tersebut. Kehadiran Islam telah membentuk akhlak manusia menjadi ideal dan berjaya melahirkan kebaikan yang bersih dan suci kepada individu juga kepada seluruh manusia, pada semua masyarakat dalam semua keadaan dan suasana, pada semua peringkat masa. Islam telah menyuruh kepada sifat-sifat mulia dan menggalakkannya kerana ia adalah kebaikan yang wajib dilakukan. Demikian juga Islam melarang sifat yang keji dan tercela dan menyekat dari dilakukan kerana ia kejahatan yang wajib ditinggalkan. Islam telah menjadikan mereka yang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan bersih dan suci dan tinggi kemuliaan kerana tidak mengharapkan dari kebaikannya itu sesuatu balasan dari manusia, sebab balasan yang sebenarnya adalah datang daripada Allah .s.w.t. Demikianlah Islam membersihkan mereka dari menjadikan bahan kebaikan itu sebagai tangga untuk mencapai kemasyhuran, kedudukan, kebanggaan, pengaruh, kekuasaan, seronok, kelazatan atau mendapat kepentingan material sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang, kerana kebaikan itu wajib diqasadkan kerana Allah Ta‘ala jua. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali (bisikan-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi pahala yang amat besar (Al-Qur’an, al-Nisa’ 4:114).

Dan firman Allah s.w.t lagi :   

Maksudnya :

Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau berterang-terang; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itulah disediakan baginya balasan yang sebaik-baik (Al-Qur’an, al-Ra‘d 13:22).

j.          Akhlak Islam bersifat meraikan apa yang berlaku di alam nyata

Akhlak Islam bukan suatu alam yang ideal sehingga tidak berpijak di bumi nyata dan tidak dapat dipraktikkan di dala berbagai bidang kehidupan. Akhlak Islam merupakan suatu latihan yang bersungguh menerusi amalan yang benar-benar nyata dalam kehidupan manusia kerana ia selaras dan sesuai dengan tabiat manusia itu sendiri, sehingga ia merasakan ingin melakukannya. Akhlak Islam dengan kerelaan hatinya sendiri bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Setiap akhlak Islam, sama ada akhlak yang asasi ataupun akhlak yang juz’I adalah merupakan suatu yang disukai oleh manusia yang berjiwa normal dan biasa serta waras ftrah semula jadinya. Sifat-sifat seperti bermaruah, menjaga kehormatan, perasaan malu, mengutamakan orang lain, menghormati jiran dan tetamu, merasa belas kepada anak yatim dan fakir miskin adalah sifat yang disukai oleh jiwa manusia. Dengan adanya perasaan ini membuktikan keupayaan manusia untuk melaksanankan sifat-sifat tersebut seterusnya menjadi amalan yang berterusan dalam hidupnya sehingga meningkat ke taraf yang lebih sempurna dan ideal (Mohd Sulaiman 1992).

k.         Akhlak Islam bersifat hidup dan positif

Oleh kerana akhlak Islam selaras dengan tabiat manusia dan selaras pula dengan kehidupan di alam nyata serta bersifat mudah dan menyeluruh dalam semua bidang kegiatan hidup manusia maka dengan sendirinya akhlak Islam adalah akhlak yang hidup dan bersifat positif atau ijabi. Denagn erti bahawa akhlak Islam yang sebenar tidak membentuk sikap yang negatif yang membawa gejala yang merugikan dalam kehidupan manusia di dunianya lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Sebaliknya akhlak Islam yang sebenar sentiasa membawa kepada sikap dan tindakan yang positif yang melahirkan fenomena kebaikan dan kebajikan dalam kehidupan manusia. Dalam setiap juzu’ akhlak Islam menyeru dan mendorong, menarik dan menggerakkan kepada unsur kebaikan, sama ada pada tubuh badannya, pada fikirannya, pada rohaninya. Seiring dengan itu juga mencela dan melarang, menegah dan menghalang dari kejahatan dan keburukan dalam semua bentuknya (Mohd Sulaiman 1992).

l.          Akhlak Islam bersifat selari antara wasilah dan ghayah

Akhlak Islam bertentangan dan bercanggah sama sekali dengan dasar ”matlamat menghalalkan cara”. Konsep, metode dan perlaksanaan mestilah selari dengan matlamat. Islam menolak sesuatu perkara yang matlamatnya baik tetapi perlaksanaannya tidak baik, seperti mana mengikut kaedah usul fiqh “matlamat tidak menghalalkan cara”. Umpamanya bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram walaupun tujuannya untuk merapatkan hubungan (Ghazali 1997). Akhlak Islam hanya tertegak di atas dasar ketepatan dan keselarasan antara wasilah (jalan) dengan ghayah (matlamat). Niat dan tujuan yang baik sahaja tidak cukup dalam penilaian akhlak tetapi mestilah selaras dengan wasilah yang baik juga. Allah menegaskan bahawa keagongan akhlak Muhammad adalah kerana menepati dengan akhlak al-Quran. Tidak ada keagongan sebenar melainkan keagongan yang diberikan oleh Allah s.w.t yang mempunyai sifat-sifat maha Tinggi dan nama-nama yang maha indah.

Pengakuan dan pengiktirafan dari Allah inilah juga satu kelayakan yang mutlak untuk menjadi contoh ikutan dan suri tauladan yang abdi kepada umat manusia. Sebagaimana panduan akhlak yang tersurat itu dijamin kekal dalam kekudusan dan kesuciannya, demikian juga panduan akhlak yang tersirat dalam surah Muhammad adalah terjamin kekal dan terpelihara.

Berdasarkan kepada hakikat ini maka perjuangan nafsu untuk membersihkan jiwa dan menyucikan hati pastilah mengikut panduan al-Quran dan al-Sunnah. Tegasnya berakhlak dengan akhlak Allah sebagai wasilah untuk mencapai matlamat dan tasawwuf itu pastilah sewajibnya mengikut panduan akhlak Rasulullah s.a.w. Hanya itulah panduan yang akan menyampaikan kepada matlamat sufi yang sebenar dan hakiki sehingga melayakkan diri untuk menerima gelaran insan rabbani (Mohd Sulaiman 1992).

2.4       AKHLAK MEMBENTUK TINGKAHLAKU REMAJA

Menurut Ibn Mishkawayh terhadap metode terbaik dalam mendidik kanak-kanak ialah metode tabi’i iaitu menyelaraskan penyemaian akhlak dengan pertumbuhan dan perkembangan kekuatan jiwa yang ada di dalam diri kanak-kanak. Kekuatan yang paling awal wujud hendaklah dipilih sebagai perkara yang pertama-tama pula diluruskan, dan kemudian dilanjutkan dengan meluruskan kekuatan-kekuatan yang muncul kemudiannya. Dapat diketahui bahawa kekuatan yang mula-mula wujud dalam diri kanak-kanak adalah kekuatan makanan, kemudian kekuatan marah dan cinta kepada kemuliaan, dan seterusnya kekuatan cinta kepada ilmu pengetahuan. Oleh itu, akhlak yang pertama sekali perlu ditanamkan pada diri kanak-kanak adalah tentang adab makan dan minum, kemudian melatih mereka mengawal kekuatan marah dan keinginan kepada kemuliaan dan seterusnya yang terakhir adalah dengan memenuhi kekuatan cintanya terhadap ilmu pengetahuan (Ibn Mishkawayh 1966).

2.4.1    Keperluan berakhlak mulia ke atas remaja

Akhlak adalah satu topik penting yang perlu diperbincangkan dalam mana-mana bahagian cara hidup muslim. Ini kerana akhlak boleh mempengaruhi manusia khususnya remaja sama ada menjadi manusia yang berguna atau sebaliknya. Keperluan berakhlak mulia ini sangat diperhitungkan kerana setiap rangka ibadah, baik yang khusus mahupun umum, yang ijmali atau tafsili tidak akan terlepas daripada pengaruh akhlak. Menurut Ghazali (1997) beliau telah menggariskan keperluan manusia kepada akhlak ini ialah :

a.         Ia merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Sebagaimana firman Allah s.w.t:   

Maksudnya :

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah), dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai (Al-Qur’an, al-A‘raf 7:179).

b.         Akhlak merupakan roh bagi Islam. Agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan al-Asnam wa al-Ausan oleh pengikutnya yang telah menyeleweng. Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliah, akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka tidak berakhlak tidak ada bezanya dengan yang tidak beragama.

c.         Akhlak juga merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap mereka yang tidak berakhlak tempatnya di neraka. Umpamanya seseorang itu melakukan maksiat, menderhaka kepada kedua ibubapanya, melakukan kezaliman dan sebagainya. Sudah pastinya Allah akan menolak mereka untuk menjadi penghuni syurga.

d.         Ia merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda di dalam hadith yang bermaksud “Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”

e.         Kekalnya sesuatu ummah kerana kukuh akhlaknya dan sebaliknya runtuh sesuatu ummah itu kerana lemah akhlaknya. Hakikat kenyataan ini dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran. Lihatlah kisah kaum Lut, Thamud, kaum nabi Allah Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Bahkan hakikat itu juga ialah undang-undang Allah ke atas manusia dalam kehidupannya. Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) bagi orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu (Al-Qur’an, al-An‘am 6:11).”

Juga firman Allah s.w.t : 

Maksudnya:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (Rasul-rasul) (Al-Qur’an, Ali ‘Imran 3:137).”

Dimaksudkan dengan sunnah Allah di sini ialah hukuman Allah berupa mala petaka atau bencana yang ditimpakan kepada orang yang mendustakan rasul. Dengan itu tegap sesuatu ummah itu adalah kerana berpandukan kepada satu sunnah (undang-undang) Allah. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah ummah seperti ummah Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu.

f.         Ketiadaan akhlak baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumah tangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dahulu pernah berkata: “Kekalahan Perancis di tangan Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak.”
g.                     Dalam Islam tamadun manusia berasaskan kepada akhlak yang murni sedangkan tamadun dunia menghala ke arah kehancuran akhlak. Perlunya akhlak dalam kehidupan seseorang ialah untuk mengharmonikan (menyatukan) di antara ketamadunan manusia dengan ketamadunan dunia (Ghazali 1997).

Sebab itulah keperluan akhlak di dalam kehidupan manusia sangat penting untuk diambil beratkan kerana ia menjadi suatu asas penting di dalam ketamadunan manusia. Namun, perlu dilihat bahawa manusia itu sendiri mempunyai pelbagai jenis golongan seperti yang diungkapkan oleh al-Ghazali.

Al-Ghazali telah membahagikan manusia kepada empat golongan. Pertama, manusia yang lalai dan tidak boleh membezakan antara kebaikan dan keburukan. Mendidik orang seperti ini adalah yang paling mudah. Jika dibimbing oleh seorang guru maka akan baik budi pekertinya dalam waktu yang relatif singkat. Kedua, manusia yang dapat membezakan antara mana yang baik dengan yang buruk namun dia melakukan keburukan. Manusia seperti ini lebih sulit untuk dibentuk daripada kelompok yang pertama. Ketiga, manusia berkeyakinan bahawa akhlak-akhlak yang buruk merupakan kewajipan yang dianggap baik. Manusia seperti ini hampir saja tidak dapat diubati lagi. Keempat, manusia yang sejak kecilnya telah berkembang dengan keyakinan yang salah. Ia telah terbiasa dengan akhlak yang buruk dan merasa bangga dengannya. Manusia yang tergolong ke dalam kelompok ini merupakan orang yang paling sukar untuk dididik atau diperbaiki lagi akhlaknya (al-Ghazali 1979).

Secara keseluruhannya, diketahui bahawa baiknya akhlak itu kembali kepada kesempurnaan  akal dan hikmah dan kesempurnaan amarah dan nafsu keinginan. Dan adanya sifat-sifat itu patuh kepada akal dan juga agama. Kesempurnaan akhlak manusia dapat dicapai melalui dua jalan. Pertama, melalui kurnia tuhan yang menciptakan manusia dengan fitrah dan akal sempurna, akhlak yang baik, dan nafsu syahwat serta nafsu amarahnya sentiasa tunduk dengan akal dan agama. Manusia tersebut dapat memperolehi ilmu tanpa belajar dan terdidik tanpa melalui proses pendidikan. Manusia yang tergolong ke dalam kelompok pertama ini adalah para nabi dan rasul Allah. Kedua, akhlak tersebut diusahakan dengan cara mujahadah (berjuang secara bersungguh-sungguh) dan riyadhah (latihan) iaitu membiasakan diri melakukan akhlak-akhlak mulia (al-Ghazali t.th).

Akhlak Islam tidak akan melekat pada diri seseorang selama mana ia tidak dibiasakan  menjadi seperti adat kebiasaan yang baik, dan selama mana ia tidak meninggalkan perbuatan yang buruk. Dan perlu dibiasakan seperti orang yang rindukan kepada perbuatan-perbuatan yang baik. Ia merasa nikmat dengan perbuatan yang baik dan merasa benci kepada perbuatan yang keji, sebagaimana hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “Dijadikan ketetapan mataku (kesenanganku) pada sembahyang (al-Ghazali 1980).”

Jelasnya, menurut Islam seperti yang digariskan oleh al-Quran bahawa akhlak adalah menjadi syarat mutlak kepada kemajuan dan ketinggian umat dan tamadunnya, seterusnya menjadi syarat mutlak kepada kekal dan keterusan umat dan tamadunnya. Menganalisa kisah sejarah umat manusia seperti yang dirakamkan oleh al-Quran akan sampai kepada kesimpulan bahawa kehancuran dan kemusnahan umat dan tamadunnya tidak terpisah sama sekali dari faktor akhlak, iaitu tiada sistem akhlak dalam kegiatan hidup bermasyarakat dan bernegaranya. Jelasnya krisis moral dan keruntuhan akhlak adalah sebab awal dan terakhir kepada kerosakan tamadun dan kehancurannya (Mohd Sulaiman 1992).

2.4.2    Kebinasaan ke atas remaja yang tidak berakhlak

Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kerosakan akhlak di kalangan remaja khususnya berpunca dari dalam diri remaja itu sendiri. Di antara fenomena yang dikenal pasti ialah:

a.         Meninggalkan amalan dan penghayatan Islam.
Islam adalah agama wahyu yang diredhai oleh Alah. Ia mengatur sistem dan cara hidup yang lengkap dalam segenap bidang kehidupan manusia, sama ada di dunia atau di akhirat. Berbahagialah kehidupan orang yang mengikuti dan menghayati ajarannya, dan rugilah orang yang tidak mengikut dan mengamalkan ajaran tersebut. Firman Allah s.w.t :¨

Maksudnya:

Dan sesungguhnya inilah jalan Ku (agamaku) yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya, dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain, kelak akan memporak perandakan kamu (menyesatkan kamu) dari jalan-nya (Al-Qur’an, al-An‘am 6:153).

b.         Mengabaikan solat fardhu.
Solat fardhu sehari semalam lima waktu merupakan kewajipan yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam. Solat fardhu lima waktu ini menjadi rukun Islam kedua. Ia menjadi tiang agama. Ia merupakan identiti penting yang membezakan orang Islam dengan bukan Islam. Fungsi solat sebagai pencegah kejahatan telah dilupakan. Berdasarkan realiti dala kehidupan hari ini, ada sesetengah pelajar dan remaja mengabaikan amalan solat ini, terutamanya ketika subuh, asar dan isyak. Mafhum hadith Nabi s.a.w: “Solat itu tiang agama. Maka sesiapa yang meninggalkannya ia telah meruntuhkan agamanya”.

c.         Ketandusan adab sopan dan penghayatan nilai-nilai murni.
Adab sopan adalah tingkah laku serta tutur kata yang halus. Setiap muslim hendklah menjaga adab sopan yang telah ditetapkan supaya kesejahteraan hidup di dunia dn akhirat dapat dijaminkan. Adab sopan dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Penyair arab ada berkata: “Ketinggian umat bergantung kepada ketinggian akhlak dan adab sopannya. Sebaliknya jika akhlak itu runtuh maka runtuhlah umat tersebut”.

d.         Mudah terpengaruh dengan gaya hidup barat dan budaya senang (hedonisme).
Di zaman pembangunan teknologi maklumat yang canggih, dunia telah menjadi global, melalui arus globalosasi dan perkembangan teknologi maklumat telah membawa pensejagatan budaya dalam kehidupan individu. Secara tidak langsung, arus tersebut berjaya memeperkenalkan gaya hidup barat kepada seluruh dunia. Gaya hidup tersebut seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berpeleseran di tempat hiburan pub dan disko, cara berpakaian mendedahkan aurat, fesyen rambut, meminum arak, mengedar dadah, menjadi samseng dan lain-lain budaya yang boleh meruntuhkan akhlak serta menghakis budaya timur yang diwarisi sejak zaman berzaman. Mafhum hadith Rasulullah s.a.w: “Malu itu sebahagian daripada iman”. (Riwayat al-Bukhari)

e.         Sikap negatif yang menghalang kejayaan.
Terdapat beberapa sikap negatif yang masih wujud dalam diri seseorang individu seperti malas berusaha, mudah berputus asa, mudah menyerah dan memadai dengan pencapaian yang ada. Sikap negatif ini boleh menghalang kejayaan kita, terutama jika kita seorang pelajar.

Sikap negatif ini berpunca daripada sikap malas berusaha dan berfikir, sukakan hiburan dan kemewahan hidup. Sikap malas belajar mengakibatkan mereka ponteng sekolah. Apabila mereka terlibat dengan masalah disiplin mereka akan dibuang sekolah. Begitu juga dengan sikap gemarkan hiburan yang boleh melalaikan, merugikan masa dan wang. Mereka akan lupa tanggung jawab diri kepada Allah, masyarakat dan negara. Akhirnya akan ketinggalan untuk mengejar kejayaan (Seminar Pembangunan Remaja 2000:5-8).

Inilah keadaan bagi remaja yang telah rosak akhlaknya. Menurut al-Ghazali, kerosakan akhlak ini berlaku dan ada kaitan yang sangat kuat dengan iman. Kuat dan lemahnya iman seseorang itu dapat diukur dan diketahui dari perilaku akhlaknya. Iman yang kuat akan mewujudkan akhlak yang baik dan mulia, sedang iman yang lemah mewujudkan akhlak yang hina dan buruk laku, mudah melakukan perbuatan keji yang merugikan diri sendiri dan orang lain.

Allah s.w.t dalam firmannya yang termaktub dalam al-Quran banyak menyeru manusia untuk berbuat baik dan melarang berbuat jahat, sebagai tuntutan iman dan taqwa kepadanya. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya :

“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar (Al-Qur’an, al-Taubah 9:119).”

Begitu pula sabda Nabi Muhammad s.a.w dalam menilai keadaan orang yang lemah imannya, yang diwujudkan dalam bentuk perilaku buruk dan jahat, diantaranya digambarkan oleh nabi, orang yang tidak punya rasa malu dalam melakukan perbuatan keji dan hina serta suka menganggu tetangganya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Rasa malu dan iman itu sebenarnya berpadu menjadi satu maka bila mana lenyap salah satunya hilang pula lah yang lain.” (Hadith riwayat Hakim & Tabrani).

Jelaslah di sini bahawa rasa malu itu sangat berkaitan dengan iman hingga boleh dikatakan bahawa tiap-tiap yang beriman itu pastilah ia seorang yang pemalu dan tiap-tiap orang yang tidak pemalu itu tidak ada iman di dalam jiwanya walaupun lidahnya mengatakan aku telah beriman (al-Ghazali 2002).

Oleh sebab itu apabila berlaku perlanggaran di dalam perlakuan akhlak ini akan mendapat balasan dan hukuman kerana ia merupakan ciri khas dalam Islam. Kerana itu juga Islam telah menetapkan dalam perlaksanaan akhlaknya adanya perintah dan larangan, setiap perlanggaran terhadap perintah Allah bererti di ancam dengan seksaan dan azab, seperti mana firman Allah .s.w.t : 

Maksudnya:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji (Al-Qur’an, al-Humazah 104:1).”

Sebaliknya akan mendapat pahala bagi orang yang mentaati perintah dan mematuhi ajaran akhlak yang telah ditetapkan Islam. Hukum perlanggaran akhlak sering dijatuhkan kepada mereka yang melanggar akhlak, atau dengan kata lain hukuman dijatuhkan kepada mereka yang berakhlak buruk. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Bahawasanya telah binasa mereka yang sebelum kamu, kerana apabila ada orang-orang bangsawan mereka mencuri, mereka tidak diapa-apakan (tidak diambil tindakan untuk dihukum), tetapi apabila yang mencuri orang-orang yang lemah, barulah mereka mengambil tindakan.”

Syariat Islam telah menetapkan hukuman ta’zir kepada mereka yang mengemukakan persaksian palsu, kifarat kepada mereka yang melanggar sumpah, hukuman hudud kepada mereka yang mencuri dan berzina, bahkan selalu diperlihatkan balasan kepada mereka yang derhaka kepada kedua ibubapanya semasa di dunia lagi.

Inilah beberapa perlanggaran yang sering berlaku terhadap akhlak manusia yang menyebabkan keruntuhan  dan kerosakan akhlak. Namun demikian Allah s.w.t tidak menutup pintu bagi mereka yang telah sedar dan bertaubat kepadanya demi untuk memperbaiki diri mereka. Firman Allah s.w.t :   

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri (Al-Qur’an, al-Baqarah 2:222).”

Ayat ini memberikan kesan kepada orang yang bertaubat itu akan memperolehi kebersihan dosa dan memperoleh kesayangan dan kecintaan dari Allah s.w.t. Jadi, sebagai manusia biasa tentumya kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan melanggar larangan Allah s.w.t baik dengan sengaja ataupun tidak sengaja. Dalam hal ini hendaknya kita selalu memperbanyakkan perbuatan yang baik sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud  : “Berbaktilah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan iringkanlah kejahatan dengan kebajikan, supaya ia menghapuskan dan bergaullah dengan manusia ramai dengan perangai yang baik dan tinggi(al-Ghazali 2002).”

2.5       KESIMPULAN

Masa depan sesebuah negara dan bangsa ditentukan oleh generasi muda iaitu remaja. Kuatnya satu generasi muda itu ialah kerana kuatnya pegangan dan keyakinan mereka dengan agamanya. Kejayaan generasi ini apabila mereka memelihara akidah dan iman mereka kepada Allah .s.w.t. seterusnya meneladani akhlak yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. seperti mana firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia Al-Qur’an, al-Qalam 68:4).”

Contoh teladan yang dibawakan oleh baginda s.a.w adalah contoh ikutan paling baik yang mendapat pengiktirafan dan perakuan sendiri oleh Allah s.w.t seperti yang dijelaskan daripada firman Allah s.w.t di atas. Kita sebagai manusia yang jelas dengan agama kita Islam sebagai al-Din, adalah merupakan agama yang syumul dan menyeluruh di dalam segenap aspek kehidupan. Maka di atas segala apa-apa masalah di dalam kehidupan manusia sekalipun agamalah yang menjadi pedomannya. Pedoman hidup di dunia mahupun di akhirat. Atas sebab itulah sebenarnya kehidupan di dunia ini sekiranya dihiasi dengan amal kebajikan, mengikut syariat Islam dalam apa jua aspek kehidupan, percayalah sesungguhnya sesuatu masalah itu akan dapat diselesaikan dengan mudah, dengan berhikmah dan mendapat ganjaran dari Allah bahkan akan dinilai pula sebagai satu ibadah.

Konsep taubat yang diterapkan di dalam Islam adalah untuk menjamin penerusan hidup manusia yang mempunyai kesedaran dan penyesalan di dalam hidupnya. Allah tidak sekali-kali mengabaikan manusia yang seperti ini kerana mereka juga berhak untuk hidup dan orang yang mempunyai penyesalan seperti ini kadang-kadang akan lebih kuat taqwanya berbanding orang yang tidak pernah berbuat salah. Ini kerana kesedaran, penyesalan dan taubat yang bersungguh-sungguh dari kesalahannya akan membuatkannya lebih bertaqarrub kepada yang maha Esa. Begitulah indahnya Islam, walaupun adanya manusia yang berbuat durjana dan kesalahan di atas muka bumi ini namun masih lagi Islam memberi ruang dan kesempatan kepada umatnya untuk bertaubat. Taubat yang bersungguh-sungguh akan diampunkan oleh Allah s.w.t. dan boleh memasuki syurga Allah s.w.t di akhirat kelak.

Tiada ulasan: