DONATE

Jumaat, 19 Disember 2008

BOLEHKAH KAFIR ZHIMMI MENJAWAT JAWATAN HAKIM?

1.0 PENGENALAN

Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang tertinggi di dalam pentadbiran sesebuah Negara. Tugas mereka amatlah berat demi memastikan keadilan dan kemaslahatan umum akan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Institusi kehakiman seharusnya berada di tempat yang sepatutnya bagi mengekalkan status mereka sebagai majlis pengadilan yang dihormati lagi disegani. Di dalam suasana hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutamanya terhadap hubungan dan perpaduan masyarakat seperti pertelingkahan, perbalahan dan sebagainya.

Hakim merupakan satu jawatan yang sangat penting dalam sistem kehakiman dimana mempunyai tugas dalam memberikan penghakiman terhadap segala persengketaan yang timbul. Dalam menegakkan keadilan kepada manusia, sesebuah institusi kehakiman itu hendaklah mempunyai hakim-hakim yang cekap, berketerampilan, berilmu, beretika, bijaksana dan bermoral tinggi. Ini adalah supaya mereka terkawal sepanjang mereka menjalankan tugasnya dengan tepat dan adil.

1.1 Struktur Kehakiman Islam Dan Organisasinya.

Secara mudah, institusi kehakiman bermaksud satu saluran untuk mengadili dan menyelesaikan kes kesalahan menerusi penghakiman dan pemutusan hukum berdasarkan undang-undang yang sedia ada satu ijtihad hakim. Justeru itu, organisasinya di dalam bentuk yang mudah, sekurang-kurangnya meliputi hakim, para saksi dan pencatat. Hakim dan para saksi adalah memainkan peranan yang sangat penting dalam penghakiman dan pemutusan hukum.

Jawatan hakim merupakan suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca mata syarak, hingga dikatakan lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada di antara ulama’ yang mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan pemerintah atau sultan. dalam membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dititik beratkan antaranya hokum perlantikan hakim, kuasa melantik hakim, cara pemilihan hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan, syarat perlantikan dan permohonan jawatan hakim.

2.0 TUGAS SEORANG HAKIM

Dr. Wahbah al-Zuhaili (6:487) telah menyenaraikan sepuluh tanggungjawab yang dianggap sebagai tugas seseorang hakim:

1. Menyelesaikan pergaduhan di antara dua pihak sama ada dengan cara berdamai atau menerusi hokum yang diwajibkan.
2. Membenteraskan kezaliman, pencerobohan dan lain-lain serta melindungi mereka yang menzalimi disamping menyampaikan hak kepada yang berhak.
3. Melaksanakan hudud dan memelihara kesemua hak Allah.
4. Menguruskan kes-kes jenayah nyawa dan kecederaan.
5. Menguruskan harta anak-anak yatim dan orang gila serta melantik pengawal bagi memelihara harta benda mereka.
6. Menguruskan harta-harta wakaf.
7. Melaksanakan wasiat.
8. Melaksanakan akad perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali atau walinya ingkar.
9. Mengawasi apa saja yang berkaitan dengan kepentingan umum seperti pengawasan terhadap jalanraya dan lain-lain.
10. Menyuruh melakukan kebaikan (ma’ruf) dan melarang melakukan kemungkaran (mungkar) sama ada menerusi ucapan atau perbuatan.

2.1 Syarat Kelayakan Menjadi Hakim

Memandangkan kepada tugas-tugas di atas dengan berdasarkan kepada nas-nas tertentu dan pemahaman mereka tentang tuntutan syara’ (maqasid syari’ah), para fuqaha’ telah meletakkan beberapa syarat kelayakan dirin yang ketat pada calon hakim yang berperanan di dalam penghakiman sesuatu kesalahan, seperti:

1. syarat berakal,
2. baligh,
3. merdeka,
4. beragama Islam,
5. boleh mendengar,
6. melihat,
7. bercakap,
8. bersifat adil,
9. lelaki dan
10. mampu berijtihad

Tiga di antara syarat-syarat tersebut, iaitu bersifat adil, lelaki dan mampu berijtihad adalah di antara syarat yang dipertikai oleh para fuqaha’ tetang kepentingan dan keperluannya pada diri hakim.

Bersifat Adil:

Ia menjadi syarat menurut mazhab Maliki, Syafi’I dan Hanbali. Dengan itu mereka tidak mengharuskan seorang fasiq dan siapa saja yang tidak diterima kesaksiaannya menjadi hakim.
Berbeza dengan pendapat ulama mazhab Hanafiyang menatakan seseorangitu biarpun fasiq adalah layak untuk menjadi hakim. Walaupun begitu, mereka tidak menggalakkan tugas besar itu diserahkan kepadanya (orang yang fasiq).

Lelaki:

Hakim hendaklah seorang lelaki. Ini adalah pendapat ulama mazhab-mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Kelemahan akal dan fizikal adalah di antara sebab wanita tidak layak untuk menjadi hakim (pada sebahagian kes) disamping itu kerja-kerja penghakiman sentiasa akan berdampingan dengan orang-orang lelaki seperti fuqaha, para saksi dan mereka yang terlibat di dalam dakwaan.
Ulama mazhab Hanafi membolehkan seorang perempuan menjadi hakim di dalam kes-kes harta benda kerana kesaksiannya harus terima di dalam kes tersebut. tetapi di dalam kes hudud dan qisas, mereka adalah sependapat dengan ulama-ulama lain.
Hanya Ibn Jarir al-Tabari sahaja yang megatakan adalah harus secara mutlak orang-orang perempuan menjadi hakim kerana jika mereka harus menjadi mufti maka tentulah mereka diharuskan menjadi hakim.\

Mampu Berijtihad:

Kemampuan ini menjadi syarat pada diri seorang hakim menurut ulama mazhab Maliki, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Hanafi. Lantaran itu seorang yang jahil tentang hukum-hukum syara’ dan juga seorang muqallid tidak harus menjadi hakim kerana kedua-duanya tidak layak untuk memberi fatwa, maka sudah tentu mereka lebih tidaak berkelayakan untuk menjadi hakim.
Biarpun begitu, di dalam mazhab Maliki, seorang muqallid harus menjadi hakim jika bersama-samanya terdapat seorang yang mampu berijtihad (mujtahid).

Menurut jumhur mazhab Hanafi, hakim tidak disyaratkan dari kalangan mujtahid. Pada mereka, kelayakan beritihad itu hanya merupakan syarat utama sahaja. Dengan itu adalah harus melantik seorang bukan mujtahid menjadi hakim dan dia dibenarkan menjatuhkan hukum dengan cara bertaqlid kepada pandapat seorang yang mujtahid dan dengan cara begini dia sudah mampu melaksanakan ytanggungjawabnya. Tetapi keadaan sebegini tidaklah digalakkan.

Sekalipun ulama mazhab Syafi’e menekankan tentang perlunya syarat ini, tetapi di dalam suasana yang lain mereka mengatakan, jika seorang pemerintah yang berkuasa di dalam sesebuah kawasan melantik seorang fasik atau muqllid menjadi hakim maka penghakimannya adalah diharuskan kerana darurat.

Beragama Islam:

Syarat ini pada dasarnya diterima oleh semua ulama, tetapi di dalam perlaksanaannya mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan. Ulama mazhab Hanafi, misalnya membolehkan perlantikan seorang hakim bukan Islam untuk mengendalikan kes-kes kesalahan mereka sendiri. Begitu juga halnya dengan saksi-saksi bukan Islam, mereka dibenarkan memberi kenyataan di dalam kes-kes yang khusus di dalam kelompok mereka kerana, pada pendapat ulama mazhab ini, kelayakan menjadi hakim dibina atas kelayakan menjadi saksi, sedangkan seorang
Dhimmi adalah layak untuk memberi kesaksiannya terhadap dhimmi yang lain.

Memandangkan hakim adalah satu jawatan dalam sebuah kerajaan kerana itu ditentukan oleh kahalifah atau sultan sama seperti jawatan menteri, maka Islam telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada mereka yang ingin menduduki jawatan tersebut. Jester itu, para khlifah dan pemimpi terdahulu sangat teliti dan berwaspada dalam memilih calon yang benar-benar berkelayakan. Oleh itu, perlantikan hakim-hakim perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib dengan menetiliti sifat-sifat dan syarat-syarat yang digariskan oleh syarak.

Sharbini al-Khatib mengatakan: “tidak ada jalan yang lebih menonjol (dalam menyelesaikan pertelingkahan) selain daripada kehakiman. Jadi, ia tidak boleh diberikan kepada orang kafir kerana matlamatnya ialah menyelesaikan pertelingkahan, sedangkan orang kafir jahil mengenainya.” Ini menunjukkan kepada bahawa penegahan terhadap jawatan hakim di pegang oleh orang kafir.(al-syariah, kehakiman Islam, jilid 2)

Namun demikian, mazhab Hanafi membolehkan orang bukan Islam menjadi hakim untuk menyelesaikan pertelingkahan diantara mereka yang seagama dengannya kerana perlantikan itu tidak mendatangkan kemudaratan sebagaimana perlantikan orang Islam untuk menjadi hakim bago orang-orang Islam. Selain itu, mereka juga berhujah dengan Qiyas iaitu, sekiranya persaksian orang bukan Islam sesame mereka diterima, maka penghakiman sesame mereka juga seharusnya diterima. Madkur, salah seorang ulama’ mutakhir memilih pendapat ini. Beliau juga membolehkan penghakiman orang kafir ke atas orang Islam dalam masalah sivil, tetapi tidak didalam masalah kekeluargaan.
Ulama mazhab Hanbali di dalam satu kes yang khusus telah mengharuskan penerimaan kesaksian saksi seorang bukan Islam, iaitu kes wasiat seorang Islam ketika di dalam perjalanan. Penerimaan ini, kemungkinan besar berdasarkan kepada kesedaran mereka tentang suasana darurat yang berlaku.

Begitu juga diriwayatkan daripada Imam Malik, beliau telah mengharuskan kesaksian dua doktor bukan Islam dalam menetukan kadar kecederaan dan sebahagian kecacatan anggota ketika ketiadaan saksi-saksi Islam. Sikap ini juga boleh dianggap sebagai mengambil kira suasana darurat seperti kes wasiat di atas.

Jika di dalam suasana darurat ulama telah mengharuskan penerimaan kesaksian saksi-saksi bukan Islam di dalam kes-kes wasiat dan kecederaan, maka lanjutan keadaan ini apakah tidak harus diterima kesaksian mereka di dalam kes-kes lain di mana tidak terdapat saksi-saksi Islam? Ini juga merupakan suasana darurat. Maka kita dapati bahawa Ulama mutakhir Hanbali membolehkannya. Di dalam hubungan ini Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahamad Barakah berpendapat, setelah beliau meneliti pelbagai nas berkaitan dengan saksi dan juga pendapat para fuqaha, bahawa kesaksian saksi bukan Islam hanya tidak diharuskan terhadap orang-orang Islam di dalam kes talak dan seumpamanya yang berkaitan dengan hukum-hukum kekeluargaan. Tetapi dalam kes-kes kesalahan sivil lain, kesaksian harus diterima tanpa mengambil kira perbezaan agama. Berdasarkan kepada kenyataan ini, bolehlah dirumuskan dari sudut siyasah shar’iyyah, bahawa adalah tidak sah pengahakiman hakim bukan Islam di dalam .kes-kes berkaitan dengan undang-undang diri, sekalipun boleh dikatakan keharusannya di dalam kes-kes sivil dan seumpamanya.

Hal ini disebabkan realiti masyarakat memaksa syarat ini diberi sifat murunah (flexibility) khususnya apabila sesuatu kes itu berlaku di dalam masyarakat yang berbilang etnik dan agama seperti apa yang sedang kita hadapi di Malaysia hari ini.
Jika kita andaikan sesuatu kesalahan itu berlaku di kalangan orang-orang Islam sahaja, maka sudah tentu syarat Islam seseorang hakim itu dapat diselaraskan, tetapi bagaimana dengan kes yang berlaku di antara orang-orang bukan Islam sahaja. Jika mereka merujuk kepada kehakiman Islam, tentulah hakimnya seorang Islam. Tetapi bagaimana jika mereka merujuk kepada kehakiman mereka (berdasarkan kepada pendapat yang mengharuskannya)? Tentulah hakim mereka adalah ahli agama mereka sendiri yang tidak beragama Islam. Dengan itu di dalam kes seperti ini, syarat beragama Islam pada diri seorang hakim tidak dapat dipertahankan.

3.0 HAKIM BUKAN ISLAM

Pendapat fuqaha:

Dalam isu perlantikan hakim bukan Islam ini didapati para fuqaha mazhab-mazhab Islam telah berpecah kepada tiga kelompok besar,

Kelompok Pertama:

Tidak harus sama sekali bagi pemerintah melantik hakim bukan Islam sama ada untuk menghakimi kes orang-orang Islam atau bukan Islam. Mereka berhujah dengan kedudukan seorang bukan Islam yang tidak layak untuk menjadi saksi sekalipun ke atas orang-orang bukan Islam. Jika dia tidak layak untuk menjadi saksi, maka sudah tentu dia tidak layak diterima untuk menjadi hakim. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha.

Kelompok Kedua:

Harus bagi pemerintah melantik seorang bukan Islam menjadi hakim sekalipun penghakimannya tidak sah bagi kesalahan seorang Islam. Pada mereka, seorang hakim dhimmi harus menghakimi kes ahl al-dhimmiah. Kedudukannya sebagai hakim khusus bagi mereka tidak menjejaskan apa-apa sudut kuasanya (wilayahnya) sama seperti mengkhususkan hakim Islam menghakimi kesalahan orang-orang Islam. Mereka berhujah dengan kedudukan seorang dhimmi yang berkelayakan menjadi saksi bagi kes orang-orang dhimmi dan musta’min maka sudah tentu dia berkelayakan untuk menghakimi kes-kes kesalahan mereka kerana kelayakan seseorang menjadi hakim dibina atas kelayakannya menjadi saksi. Ini adalah pendapat ulama mazhab Hanafi.

Kelompok Ketiga:

Pendapat kelompok ini bertolak dari dua asas penting, iaitu kelayakan menjadi saksi (pegangan kelompok kedua), harus menerima kesaksian dari orang bukan Islam di dalam kes harta benda orang-orang Islam seperti saksi kepada wasiat seorang Islam di dalam perjalanan, begitu juga di dalam kes pepusakaan (menurut pendapat ulama mazhab Hanbali). Bertolak dari dua asas ini, Ibn Taimiyyah berpendapat, kesaksian seorang bukan Islam harus diterima sama ada sesuatu kes itu berlaku ketika di dalam masa perjalanan atau bermukim apabila sempurna kesemua syarat-syarat penerimaannya seperti yang ditentukan oleh fuqaha’. Di dalam pendapat lain, Imam Malik juga mengharuskan diterima pakai kesaksian dua orang doktor bukan Islam di dalam kes kecederaan kerana terdapat keperluan (al-hajah) kepada kesaksiannya.
Berdasarkan kepada semua di atas, ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah dan lain-lain, telah berani mengesahkan perlantikan hakim bukan Islam di dalam kes-kes sivil orang-orang Islam dan seumpamanya, melainkan kes-kes ahwal shakhsiyyah dan lain-lain yang termasuk di dalam bidang urusan dan hukum kekeluargaan Islam. Kedudukan ini agak lebih ketara (advanced) dari kedudukannya pada pendapat kelompok kedua yang membenarkannya menghakimi kes-kes khusus mereka sahaja.

Saya tidak mengatakan bahawa pendapat ketiga itu ada rasionalnya (kemunasabahannya) kerana kita dapati ia bertentangan dengan pendapat jumhur dan juga pendapat ulama mazhab Hanafi, satu kelompok yang amat besar bilangannya. Tetapi jika kita berpegang kepada pendapat pertama, maka sama sekali tidak ada ruang untuk kita menempatkan hakim bukan Islam di dalam urusan kehakiman negara sekalipun kes-kes yang dibentangkan itu adalah kes-kes mereka sendiri atau yang berkaitan dengan akidah dan urusan kekeluargaan mereka. mereka sudah tentu di dalam keadaan ,begini dipaksa menerima pakai keputusan hakim Islam yang berdasarkan kepada syariat Islam. Jika dilihat dari segi kebebasan berakidah yang diperuntukkan bagi mereka, keadaan ini adalah bercanggah.

Jika kita berpegang kepada pendapat kedua, maka ruang akan terbuka untuk mereka berperanan di dalam kehakiman negara setakat mana yang dibolehkan, iaitu bagi kes-kes khusus mereka. dengan itu tokoh-tokoh agama di kalangan mereka akan bertindak sebagai hakim-hakim yang sah di dalam menghakimi kes-kes tersebut. Tetapi pendapat ini juga tidak memberi jawapan kepada kes yang berlaku di antara orang Islam dan bukan Islam? Adakah dipisahkan kedua-dua yang terlibat di dalam penghakiman masing-masing? atau dibentuk satu mahkamah campuran di mana kes itu diadili oleh hakim dari kedua-dua belah pihak Islam dan bukan Islam? Atau ia diadili di mahkamah Islam berdasarkan kepada hukum Islam?
Di dalam sebuah negara di Malaysia, apabila sebuah perlembagaan bersepadu dapat diwujudkan, di mana tidak ada lagi pertentangan-pertantangan di antara perlembagaan negara dengan Syari’ah, maka pada peringkat ini mungkin akan timbul persoalan, bolehkah seorang hakim bukan Islam menghakimi kesemua kes orang-orang Islam atau hanya pada kes-kes tertentu sahaja? Inilah di antara sebahagian persoalan yang ingin dicari jawapannya oleh kertas ini.

Sebelum kita menerima atau menolak pandapat ketiga, saya rasa elok juga kita merenung kepada beberapa kenyataan berikut:

1. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa dua orang Yahudi yang berzina telah menawarkan kes itu untuk diadili dan dihukum oleh ahli-ahli agama mereka, tetapi apabila terbukti di hadapan baginda bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya kerana mereka sudah menjadi lemah dan tidak gemar berbunuh-bunuhan, maka baginda meminta empat orang saksi bagi menyabitkan kes tersebut, sesudah itu kedua-duanya diarahkan supaya direjam. Di dalam peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa baginda telah membenarkan orang-orang Yahudi merujuk kepada ahli-ahli agama mereka untuk menghakimi serta menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua pesalah tersebut. Ini ternyata sebagai satu keharusan yang membolehkan hakim-hakim bukan Islam berfungsi di negara Madinah pada masa itu. (rujuk al-Qurtubi, 5:84 dan Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah. 250).

2. Pada peringkat awal perkembangan Islam, para penganutnya menghadapi dua empayar besar, iaitu Rom dan Parsi. Kedua-duanya mempunyai sejarah dan tamadunnya yang tinggi mengatasi orang-orang Arab di dalam urusan pentadbiran negara khususnya di dalam bidang kehakiman.
Sepanjang catatan sejarawan dan fuqaha, tidak ada kenyataan yang menyebut bahawa para pemerintah Islam telah mengarahkan agar semua sistem kehakiman yang ada di negara-negara yang mereka tawan seperti Iraq, Syria dan Sepanyol dihapuskan atau diliucutkan hakim-hakimnya dari jawatan masing-masing. Begitu juga ketika kekuasaan Islam sampai ke India dan lain-lain.
Sebagai contohnya, ketika Mesir ditawan oleh tentera Islam di bawah pimpinan ‘Amru bin al-‘As, beliau telah melantik seorang hakim Qibti bagi setiap daerah di seluruh negara itu yang bertugas menyelesaikan kesemua permasalahan sama ada keagamaan, urusan kekeluargaan atau sivil bagi orang-orang bukan Islam bersesuaian dengan syari’at mereka. Begitu juga halnya dengan orang-orang dhimmi lainnya selain dari orang-orang Qibti.
Mu‘awiyyah bin Abi Sufyan, ketika menjadi gabenor di Syria, telah menyerahkan kesemua kes keagamaan orang-orang bukan Islam kepada hakim-hakim mereka sendiri menyelesaikannya secara berasingan. Tetapi di dalam kes-kes sivil yang lain, beliau melantik seorang hakim Islam disamping hakim Islam untuk sama-sama bekerjasama menghakimi kes-kes tertentu. (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 250,251).

3. Prinsip kebebasan beragama yang dipertahankan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam di sepanjang sejarah mereka adalah satu suasana yang memaksa wujudnya hakim-hakim bukan Islam bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan atau perbalahan yang berkaitan dengan aqidah mereka, khasnya pada zaman-zaman permulaan Islam, kerana urusan-urusan keagamaan yang sebahagiannya meliputi kekeluargaan hanya diketahui oleh ahli-ahli agama mereka sahaja. Dengan kedudukan ini, amatlah tidak wajar jika urusan-urusan mereka khususnya keagamaan diselesaikan oleh hakim-hakim Islam yang kurang maklumat tentang akidah dan persoalan-persoalan lain berhubung dengan agama mereka. Dengan itu, pendapat yang meletakkan beragama Islam sebagai salah satu syarat kelayakan diri yang mutlak pada seseorang hakim khususnya yang bertugas menyelesaikan pelbagai kes keagamaan orang-orang bukan Islam adalah tidak tepat dan perlu dirujuk semula (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 251).

4. Pertentangan pendapat di kalangan Imam-imam mazhab Sunni tentang tanggungjawab hakim Islam yang mengendalikan kes orang-orang bukan Islam. Imam al-Shafi’I, misalnya, mengatakan bahawa seorang hakim Islam boleh memilih, sama ada dia mahu menghakimi kes orang-orang dhimmi atau menolaknya kepada hakim dan kehakiman mereka sendiri. Tetapi jika mereka itu dari kalangan orang-orang musta’min, maka disyaratkan wujud kerelaan kedua-dua belah pihak yang terlibat (pendakwa dan orang yang didakwa) terhadap keputusan hakim Islam dan juga, pada waktu yang sama, memiliki hak pilihan sama ada menghakimi kes mereka atau menolaknya. Imam Malik pula mengatakan, hakim Islam wajib menerima kes orang-orang dhimmi dan menghakiminya. Beliau mengkhususkan hak pilihan bagi hakim Islam itu hanya pada aduan orang-orang musta’min sahaja. Imam Abu Hanifah berpendapat, di dalam kes dakwaan perempuan bukan Islam, disyaratkan suaminya bersetuju dengan keputusan hakim Islam. Tetapi jika suaminya tidak bersetuju, maka hakim Islam tidak harus membuat apa-apa keputusan mengenainya (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 252).

Sekali imbas kita dapat membuat kesimpulan dari pertentangan pendapat di atas, bahawa sebahagian ulama Islam lebih cenderung tidak membenarkan hakim Islam menghakimi kes orang-orang bukan Islam yang berlaku di negara Islam. Jika keadaan sedemikian maka siapakah yang akan menghakimi kes-kes mereka? Tentunya hakim dari kalangan mereka sendiri. Keadaan ini, menurut pandangan kita, tentulah mengharuskan pihak berkuasa Islam melantik hakim-hakim bukan Islam dengan mengecualikan syarat beragama Islam di dalam perlantikan itu.

Pendapat sebahagian fuqaha seperti di atas, iaitu apabila mereka membenarkan orang-orang Islam bebas dari keputusan hakim Islam, kemungkinan juga dipengaruhi oleh prinsip kebebasan berakidah yang dipertahankan Islam disepanjang sejarahnya. Lagipun konsep kedaulatan undang-undang, yang memaksa semua orang yang menetapdi dalam sebuah negara, sama ada rakyatnya atau pendatang, patuh kepada satu institusi kehakiman negara seperti yang diamalkan sekarang ini, belum lagi dikenali pada masa itu.

5. Jika kita perincikan syarat-syarat kelayakan diri pada seorang calon hakim seperti yang dibincangkan oleh fuqaha’, kita dapati bahawa syarat-syarat itu hanya khusus bagi calon hakim yang akan melaksanakan hokum-hukum Islam sahaja, seperti di dalam kes-kes kesalahan hudud, qisas, akidah, ibadat, kekeluargaan yang termasuk juga pepusakaan dan seumpamanya. Ini terbukti apabila mereka mensyaratkan seorang hakim yang perlu berilmu (mujtahid) dan mengetahui tentang sumber-sumber hukum syara’ (al-Mawardi: 73,74; Dr. Muhammad Salam Madkur: 37 dan Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 253).

Sudah tentu seorang hakim yang akan mengendalikan kes-kes hudud, atau menjatuhkan hukum di dalam kes-kes akidah, ibadat dan urusan kekeluargaan (yang melibatkan urusan perkahwinan, perceraian, pepusakaan dan seumpamanya) dikehendaki beragama Islam kerana seorang bukan Islam tentulah tidak beriman dengan hukum-hukum Islam mereka, seperti yang kita tahu, membohongi al-Qur’an dan al-Sunnah. Lagipun pengetahuan tentang sumber-sumber hukum syara’ dan juga pengetahuan tentang ijtihad berkaitan dengan hukum-hukum furu’ di dalam persoalan fiqh tidak mungkin berlaku dengan sempurna kecuali apabila seseorang itu menganut agama Islam itu sendiri.
Dengan itu jelas kepada kita bahawa syarat beragama Islam yang dikehendaki oleh para fuqaha, itu adalah kerana pengamalan hukum-hukum Islam itu sendiri yang memaksanya. Dengan itu juga jelas bahawa syarat itu bukanlah syarat yang terasing dan tersendiri dan yang membabitkan ke semua mereka yang bakal menjadi hakim.

6. Jika diqiyaskan syarat-syarat kelayakan seseorang menjadi hakim kepada syarat-syarat kelayakan menjadi saksi dan beragama Islam dijadikan salah satu syarat kelayakan pada diri seorang saksi, maka sudah tentu ia juga akan menjadi syarat pada diri bakal seorang hakim. Tetapi pendapat ini mungkin tidak tepat kerana di antara fuqaha ada yang berpendapat bahawa kesaksian bukan Islam adalah sah diterima sekalipun ia berkaitan dengan kes seorang Islam. Begitu juga beragama Islam bukanlah satu syarat berasingan dan memadai di dalam penerimaan kesaksian seseorang kerana kesaksian seorang Islam yang fasiq tidak harus diterima, begitu juga dengan kesaksian seorang Islam yang diragui, seperti terdapat permusuhan diantaranya dengan orang yang didakwa dan seumpamanya. Lantaran itu meletakkan syarat beragama Islam sebagai sesuatu yang menghalang perlantikan seseorang bukan Islam menjjadi hakim, biarpun di dalam kelompoknya sendiri, adalah satu pendapat yang kurang tepat (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 254).

Ibn al-Qaiyyim di dalam rumusannya berkata: “Seorang kafir kadang-kadang merupakan seorang yang adil di sisi agama dan kaumnya, benar tutur katanya, maka dengan itu kekufurannya tidak harus menjadi penghalang untuk diterima pakai kesaksiannya ke atas mereka apabila mereka bersetuju menerimanya. Sesungguhnya kita sering melihat ramai orang-orang kafir yang benar tutur kata dan beramanah hinggakan mereka menjadi terkenal dengan sifat itu di kalangan kaumnya dan juga orang-orang Islam, hinggakan hati (kita ini) merasa mudah mempunyainya, menerima berita dan kesaksiannya, sesuatu yang mungkin jarang berlaku pada diri sebilangan mereka yang menganut agama Islam. Sesungguguhnya Allah telah mengharuskan kita bermua’malah dengan mereka, memakan makanan mereka dan Allah juga telah menghalalkan perempuan-perempuan mereka (kepada lelaki kita untuk dikahwininya). Keadaan sedemikian membolehkan kita merujuk kepada berita yang mereka sampaikan. Apabila kita diharuskan bergantung kepada berita yang mereka sampaikan yang ada kaitan dengan perkara-perkara halal dan haram, maka sudah tentu lebih utama kita diharuskan merujuk kepada berita yang mereka bawa kepada perkara-perkara berkaitan dengan diri mereka. jika anda berkata: ini adalah kerana keperluan, maka dijawab: Itu (iaitu menjadi saksi atau hakim) lebih tinggi keperluannya”. (Ibn al-Qaiyyim: 241,242).

4.0 ULASAN DAN RUMUSAN SEMENTARA

1. Di dalam sejarahnya, Islam tidak pernah menghapuskan institusi kehakiman negara-negara yang didudukinya, malah ia membiarkan orang-orang bukan Islam bebas dengan urusan agama dan kehakiman mereka. Hakim-hakim mereka dikekalkan pada tempat dan tugas masing-masing menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku di kalangan mereka, khasnya urusan dalaman agama mereka sendiri.
2. Beragama Islam akan menjadi syarat kepada sesiapa yang bakal menjadi hakim untuk melaksanakan hukum-hukum Islam yang asas, sama ada di dalam kes-kes kesalahan hudud dan qisas atau urusan ibadat atau urusan kekeluargaan seperti perkahwinan, perceraian, pepusakaan dan seumpamanya, iaitu urusan-urusan yang tidak layak bagi seorang hakim bukan Islam mengadilinya kerana dia tidak beriman dengan hukum-hukum tersebut.
3. Di dalam urusan sivil lainya, selain dari urusan-urusan di atas (seperti urusan yang berkaitan dengan jual beli dan seumpamanya), hakim bukan Islam adalah layak untuk mengadilinya sekalipun ke atas orang-orang Islam jika seseorang itu dapat memenuhi pelbagai syarat kelayakan yang diperakui oleh pemeritah Islam.
4. Jika pandangan di atas diterima, sudah tentu akan wujud dua institusi kehakiman; Islam dan bukan Islam, dan dua orang hakim; Islam dan bukan Islam. Adakah hakikat ini boleh diterima oleh kedaulatan agama dan hukum Islam, negara dan masyarakatnya ? Bila kesemuanya sudah dikanunkan serta mudah pula memperolehinya, adakah harus graduan bukan Islam di pusat-pusat pengajian tinggi seperti U.I.A. di dalam bidang Ilmu Wahyu Dan Undang-undang menduduki kerusi hakim serta menghakimi kes orang-orang Islam dan bukan Islam setakat mana yang dibenarkan?
5. Bagi mengelak dari pelbagai spekulasi yang negatif dan bertindihnya tanggungjawab di antara dua institusi tersebut, dicadangkan agar institusi kahakiman bukan Islam hanya mengadili kes-kes yang berkaitan dengan ibadat, akidah, kekeluargaandan pepusakaan mereka yang tidak mampu diadili oleh hakim Islam.
6. Biarpun pandangan di atas ada rasionalnya dari sudut sejarah dan amalan salaf, tetapi ia tidak disenangi oleh sebahagian ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dan lain-lain. Beliau sama sekali tidak bersetuju untuk membenarkan perlantikan hakim bukan Islam (dhimmi) biarpun tugasnya hanya mengadili kes orang-orang dhimmi sahaja. Di dalam bukunya Ahkam al-Dhimmiyyah wa al-Musta’minini, antara lain beliau memberi hujahnya: Jika diharuskan perlantikan seorang dhimmi menjadi hakim, menurut pendapat ulama Mazhab Hanafi, ke atas orang-orang dhimmi sahaja, apakah undang-undang yang akan digunakan ketika menjatuhkan hukumnya? Apakah dia akan menjatuhkan hukum dengan berdasarkan undang-undang Syari’at Islam ataupun syari’atnya sendiri ?

Saya belum lagi menemui pendapat yang jelas dari ulama Mazhab Hanafi di dalam masalah ini. Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi telah menyebut, adalah harus bagi seorang pemeritah Islam mengendalikan kes orang-orang dhimmi dan manjatuhkan hukum berdasarkan syari’at mereka kerana seorang pemerintah Islam dituntut agar melaksanakan pelbagai kebajikan kepada orang-orang dhimmi (Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi : 19,44). Walaubagaimanapun, pendapatnya itu menimbulkan sedikit kemusykilan, kerana bagaimana harus di dalam sebuah negara Islam hakim menjatuhka hukum bukan dari syariat Islam? Bagaimanakah dilaksanakan hukum-hukum tersebut (hukum-hukum yang bukan dari syari’at Islam) jika perlaksanaannya dikehendaki menerusi kuasa pemerintah (Islam) ? Bagaimana harus dibiarkan syari’at bukan Islam dilaksanakan di dalam negara Islam, sedangkan Syari’at Islam adalah universal, jika tidak kerana suasana darurat dan ketiadaan kuasa negara Islam ke atas negara harbi, sudah tentu ia dilaksanakan di seluruh dunia, bagaimanakah harus dikatakan syari’at ini tidak dapat dilaksanakan pada sebahagian kes atau ke atas sebahagian orang yang menetap di dalam negara Islam, pada hal masih terdapat kemudahan untuk melaksanakannya ?

Kemudian ulama Mazhab hanafi menegaskan bahawa seorang hakim itu adalah pembantu kepada Imam (pemerintah) di dalam menjatuhkan hukum di kalangan orang ramai, bagaimanakah harus bagi seorang pembantu Imam menjatuhkan hukum bukan dari Syari’at Islam sedangkan Imam sendiri adalah orang yang terikat dengan hukum itu dan dia dilarang menggunakan hukum syari’at lain? Dan lagi ulama Mazhab Hanafi berkata, diantara syarat penghakiman, hendaklah penghakiman itu dengan hukum yang hak/benar, iaitu yang sabit di sisi Allah kebenarannya bagi sesuatu kes, sama ada qat’I ataupun zahiri. Dengan itu jika seseorang hakim menjatuhkan hukum pada kes yang berbeza, maka tindakannya itu adalahtidak diharuskan kerana ia merupakan tindakan yang berasaskan kepada sesuatu yang batil, begitu juga jika dia menghakimi satu kes yang menjadi tajuk pertelingkahan fuqaha’ dan menjatuhkan hukum yang terkeluar dari pendapat seluruh fuqaha’, maka tindakannya itu tidak diharuskan kerana kebenaran yang sebenar tidak terkeluar kesemua pendapat mereka. Ini adalah pendapat ulama Mazhab Hanafi menurut laporan Imam al-Kasani. Mereka tidak membezakan di dalam pendapat ini di antara hakim Islam dan hakim dhimmi di dalam kes orang dhimmi. Seperti yang termaklum bahawa hukum yang diputuskan hakim dhimmi berdasarkan hukum-hukum syari’atnya yang sudah mansukh adalah hukum yang batil, dengan itu ia tidak diharuskan. Dengan itu, menurtu pendapat yang terkuat, adalah tidak harus menjatuhkan hukum berdasarkan kepada hukum syari’at yang lain selain dari Islam di dalam Negara Islam sama ada dari pihak hakim dhimmi atau hakim Islam. Ini menunjukkan bahawa pendapat ulama Mazhab Hanafi lebih merupakan keharusan perlantikan bagi tujuan timbang tara (tahkim) sahaja bukannya perlantikan hakim bagi tujuan menjatuhkan hukum. Pendapat ini adalah sama seperti yang dikatakan oleh al-Mawardi… (Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan: 598-600 dan lihat ulasan ‘Abd Kahliq al-Nawawi: 230-234)
Di sini kita berhadapan dengan dua sikap, iaitu sama ada membolehkan perlantikan hakim bukan Islam atau tidak membolehkannya. Di dalam realiti masyarakat di Malaysia hari ini, apakah amalan pemerintahan Islam pada peringkat awal Islam tidak wajar diberikan perhatian? Atau kita tidak perlu kepada mereka kerana kita mampu menyelesaikan semua kes kesalahan? Tidakkah boleh kita wujudkan satu akta kesalahan yang lengkap agar ia dapat dirujuk oleh sesiapa saja sama ada hakim Islam atau bukan Islam ketika menjatuhkan hukum? Dan pada saat ini hakim bukan Islam tidak melebihi kedudukannya dari seorang wazir tanfiz di dalam Institusi Pentaadbiran yang harus dilantik dari kalangan bukan Islam dengan tertakluk kepada syarat-syarat peribadi seperti ikhlas, beramanah, jujur (berakhlak mulia), berpengalaman dan mampu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

5.0 PENUTUP
Jawatan hakim merupakan suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca mata syarak, hingga dikatakan lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada di antara ulama’ yang mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan pemerintah atau sultan. Dalam membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dititik beratkan antaranya hukum perlantikan hakim, kuasa melantik hakim, cara pemilihan hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan, syarat perlantikan dan permohonan jawatan hakim.Oleh itu, segala panduan dalam hendaklah berlandaskan diatas apa yang ditunutkan oleh agama Islam itu agar segala kesempurnaan dapat di kecapi di dunia mahupun akhirat.


RUJUKAN

Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Damsyiq, 1405H/1985M.
Dr. ‘Abd Al-Mun’im Ahmad Barakah, Al-Islam Wa Al-Musawah Bain Al-Muslimin Wa Ghair Al-Muslimin Fi ‘Usur Al-Takrikh Al-Islami Wa Fi Al-‘Asr Al-Hadith, Mesir, Iskandariyyah:Mu’ssasat Shabab Al-Jami’ah, 1410H/1990M.
Dr. Badranabu Al-‘Ainaian Badran, Al-‘Alaqat Al-Ijtim’iyyah Bain Al-Muslimin Wag Hair Al-Muslimin, Mesir, Iskandariyyah: Muassat Al-Shabab Al-Jami’ah, 1984m.
‘Abd Al-Khaliq Al-Namawi, Al-‘Alaqat Al-Daulaiyyah Wa Al-Nuzum Al-Qada’iyyah Fi Al-Shariah Al-Islamiyyah, Beirut: Dar Al-Kitab Al-‘Arabi, 1394H/1974M.
‘Abd Karim Zaidan, Ahkam Al-Dhimmiyyin Wa Al-Musta’minin Fi Dar Al-Islam, Beirut: Mu’assat Al-Risalah, 1396H/1976M.

UNDANG-UNDANG TANAH: KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK MENGIKUT AKTA TANAH 1960

1.0 PENDAHULUAN

Kawasan–kawasan penempatan berkelompok yang ditubuhkan merupakan dasar pembangunan luar bandar yang bertujuan untuk memperbaiki status ekonomi penduduk luar bandar terutamanya golongan miskin. Ia melibatkan peluang pekerjaan dan memanjangkan faedah pembangunan kepada golongan miskin. Dasar ini juga melibatkan pembasmian kemiskinan, peningkatan produktiviti dan kualiti hidup serta kesampaian kemudahan asas kepada golongan miskin.

Kini keadaan di kawasan-kawasan penempatan berkelompok boleh dikatakan bahawa maksud sebenar kerajaan untuk membasmi kemiskinan sudah tercapai. Jika dilihat di sekitar kawasan-kawasan penempatan tersebut seperti FELDA telah menunjukkan suasana penempatan yang begitu baik. Apa yang dapat dilihat ialah di kawasan-kawasan penempatan tesebut sudah memiliki kemudahan-kemudahan asas yang menjadi keperluan penduduk. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan seperti hospital yang berdekatan, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya termasuklah wujudnya pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terletak di jengka.

Walaupun demikian berkenaan dengan kemajuan yang telah dicapai di kawasan-kawasan penempatan berkelompok, namun terdapat juga masalah yang boleh dikaitkan dengan masalah pembahagian harta menurut syara’. Perlu disedari bahawa kawasan-kawasan penempatan berkelompok itu merupakan tanah yang tertakluk kepada seksyen 16 Akta Tanah 1960 di mana akta ini menghendaki supaya tanah itu hendahlah diturun milik kepada seorang waris yang berhak sahaja. Sekiranya semua ahli waris bersetuju supaya tanah itu diberikan kepada seorang sahaja maka urusan tersebut tidaklah sampai menyebabkan tanah tersebut dijual. Ini adalah kerana apabila tidak ada persetujuan dikalangan ahli waris berkenaan dengan penurunan milik kepada seorang sahaja, maka pentadbir boleh menjual tanah tersebut dan hasilnya akan dibahagikan mengikut faraid.



2.0 DEFINISI TANAH

Mengikut kamus undang-undang, tanah merupakan bahagian yang keras dipermukaan bumi. Menurut ahli-ahli ekonomi pula, tanah ialah semua jenis bahan-bahan semulajadi. Pengertian tanah sebagaimana yang diperuntukan di dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara pula ialah permukaan bumi dan segala benda yang menjadi permukaan bumi tersebut, bumi dibawah permukaan bumi tersebut dan segala benda yang ada di dalamnya, segala tumbuh-tumbuhan dan lain-lain keluaran semulajadi sama ada atau tidak memerlukan penggunaan buruh secara berkala untuk pengeluarannya, dan sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi, segala benda yang tercamtum kepada bumi atau yang terpasang dengan kekal kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi dan juga tanah yang diliputi air .

Dalam istilah Latin harta tanah membawa maksud “ad caelo usque ad centrum”. Ia bererti dari ruang udara hingga ke pusat bumi. Berdasarkan kepada takrif tersebut bahawa tanah pada teorinya adalah merupakan apa-apa sahaja di atas permukaan bumi, bumi itu sendiri dan apa-apa yang di bawahnya hingga ke pusat bumi .

Di dalam undang-undang Islam, konsep tanahnya adalah hampir-hampir sama dengan konsep tanah sepertimana di dalam undang-undang sivil. Mengikut undang-undang Islam, apa-apa benda yang telah dilekat atau dipasang kepada tanah bagi tujuan-tujuan tertentu adalah dianggap sebahagian daripadanya sehinggalah benda itu ditanggalkan atau diasingkan.

Walaupun konsep tanah tidak dijelaskan secara terperinci di dalam undang-undang Islam, namun apa yang penting disini ialah bahawa apabila tanah itu sudah menjadi milik seseorang secara sah mengikut undang-undang, maka tanah itu menjadi hartanya. Apabila berlaku kematian tuan tanah, maka tanah tersebut akan diwarisi oleh ahli-ahli waris. Terdapat perbezaan berkenaan dengan pembahagian harta mengikut undang-undang Sivil dan undang-undang Islam.


3.0 JENIS-JENIS TANAH

1. tanah ladang kecil

Tanah ini boleh dimiliki oleh seseorang secara keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai harta yang tidak boleh dibahagikan. Tanah ladang kecil biasanya dimilinya oleh pekebun-pekebun kecil dan menjadi warisan yang didaftarkan. Kegunaan tanah ini adalah untuk aktiviti penanaman seperti getah, kelapa sawit, nanas, koko dan lain-lain lagi.


2. tanah pusaka

Tanah ini dikenali juga sebagai tanah warisan, ia diturunkan hak miliknya dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Sebagai contoh hak milik tanah A diturunkan daripada seorang bapa kepada anaknya setelah kematiannya dan begitulah seterusnya . Berkenaan dengan tanah pusaka ini, di dalam undang-undang Islam ia dibahaskan di dalam satu skop yang sangat mendalam.

4.0 TAKRIF TANAH BAGI KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK MENGIKUT AKTA TANAH 1960

Walau apapun definisi tanah menurut undang-undang sivil dan undang-undang Islam, namun mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960 mempunyai peruntukan-peruntukan tertentu yang mesti dipatuhi. Dalam akta ini hanya melibatkan seksyen 14, 15 dan 16 sahaja. Dalam seksyen tersebut memperuntukan bahawa:

Seksyen 14: pegangan luar bandar hanya boleh dikeluarkan kepada seorang sahaja yang dibenarkan mengikut peruntukan di bawah seksyen 19 dan tidak dibenarkan tuan punya bersekutu memilik pada bila-bila masa.

Seksyen 15:
1. tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh pada bila-bila masa di belah bagi.
2. tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh dipegang secara Undivided Shares.
3. tanah di bawah pegangan luar bandar tidak boleh dipajak atau dipajak kecil kesemua atau sebahagiannya.

Seksyen 16: di mana mengikut seksyen 15 tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar apabila di atas kematian pemegangnya diboleh kerana perbicaraan kuasa dengan cara belah bagi atau pembahagian Undivided Shares, orang-orang yang yang berhak di atas pegangan ini hendaklah memulangkan hak-hak mereka kepada seorang pemegang dan sekiranya tidak dapat dibuat penyerahan, pegangan itu handaklah dijualkan mengikut perintah Pemungut dan hasil jualan pegangan itu mengikut hak masing-masing dibahagikan mengikut undang-undang .

Di dalam seksyan 16 itulah ada yang menyatakan bahawa ia bercanggah dengan sistem pusaka Islam. Ini adalah kerana dalam sistem pusaka Islam, setiap ahli waris sama-sama berhak terhadap harta benda yang diperolehi dari peninggalan simati kecuali di atas beberapa sebab tertentu yang menjadi halangan dalam pewarisan harta.

Mengikut sistem pembahagian harta Islam, konsep pembahagian harta dengan cara tidak dipecah-pecah bentuk fizikalnya adalah tidak bercanggahan. Apa yang bercanggahan dengan dengan sistem pembahagian harta Islam ialah apabila habuan ke atas ahli-ahli waris itu dinafikan. Sebagai contoh apabila berlaku bicara kuasa, ahli-ahli waris yang berumur kurang dari 18 tahun tidak dipanggil untuk hadir bersama, sedangkan mereka merupakan ahli-ahli waris yang sah dari segi hukum faraid yang mereka mempunyai hak ke atas harta-harta tersebut .


5.0 HARTA PENINGGALAN SIMATI BAGI KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK

Di dalam kawasan-kawasan penempatan berkelompok sebagai contoh di penempatan FELDA, jenis-jenis tanaman yang diusahakan di kawasan tersebut adalah seperti kelapa sawit, getah, tebu, dan juga koko. Kebanyakannya seorang peneroka diberikan sebidang tanah seluas antara 6 hingga 10 ekar beserta sebidang tanah untuk kediaman.

Mengenai pembayaran untuk memiliki tanah tersebut ia dibuat dengan cara Bayaran Tahunan Disatukan atau Consolidated Annual Charge (C.A.C). Ia dibayar setelah tanah tersebut mengeluarkan hasil. Kebiasaanya memakan masa selama 6 tahun. Pembayaran tanah tersebut dapat dilangsaikan dalam masa lebih kurang 15 tahun. Setelah bayaran sepenuhnya telah dibuat dan juga tanah itu sudah pun diukur, maka pejabat tanah daerah berkenaan akan mendaftarkannya serta memberikan pemilikan.


6.0 ISU-ISU YANG TIMBUL SETELAH KEMATIAN PEMILIK TANAH

Berdasarkan kepada seksyen 16, apabila pemilik telah meninggal dunia, maka tanah tersebut hendaklah diwariskan kepada seorang pemegang sahaja dari kalangan ahli-ahli waris. Jika persetujuan dari kalangan ahli-ahli waris tersebut gagal dicapai, maka tanah tersebut hendaklah dijual dan dibahagikan mengikut undang-undang. Bagi yang masih belum mendapat hak milik kerana belum menghabiskan bayaran, maka tanah tersebut terikat dengan FELDA dan segala pengurusan akan dikendalikan mengikut FELDA.

Bagi yang telah melangsaikan pembayaran dan telah didaftarkan sebagai hak milik, maka urusan yang berkaitan dengan kematian akan dilakukan oleh pihak yang namanya didaftarkan dalam hak milik tersebut. Dalam hal ini ahli-ahli warislah yang akan menguruskannya mengikut amalan-amalan pembahagian sebagaimana yang telah diperuntukan di bawah seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960.

Persolan yang timbul ialah bagaimana pembahagian tanah tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid. Walaupun cara untuk membahagikan tanah tersebut adalah mengikut akta tersebut, namun di sini perlu pula dilihat kepada takrif tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok sama ada ia tergolong dalam Akta (pembahagian) Pusaka Kecil 1955 atau sebagainya.

Jika dilihat kepada tanah yang dipegang oleh pemilik tanah di kawasan-kawasan penempatan berkelompok khususnya di rancangan FELDA, nilai tanah tersebut adalah kurang daripada RM 600.000. Maka tanah tersebut termasuk di bawah Akta (pembahagian) Pusaka Kecil dan pembahagiannya juga termasuk di bawah akta ini. Tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok ini juga disebut sebagai “harta takalih”. Ini adalah kerana ciri-ciri harta tak alih adalah seperti berikut:

1. tanah termasuk tanah lombong dan kepentingan (tanah atau bahagian yang tidak dibelah bagi gadaian, pajakan yang didaftarkan dengan nama simati sebagai tuan punya, sebagai pentadbir atau sebagai tuan tanah);
2. tanah yang dicatitkan di dalam Daftar Permohonan Yang Diluluskan (‘Roll of Approved Applications)
3. tanah atau bahagiannya yang dipegang oleh seorang Pemegang Amanah bagi pihak simati;
4. tanah atau bahagiannya yang patut diturunkan kepada simati daripada satu pusaka yang sedang dibahagikan;
5. pegangan yang dimaksudkan oleh Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960;
6. kepentingan seorang yang belum dewasa di dalam sebidang tanah yang dipegang untuknya oleh pemegang amanah;
7. sesuatu kepentingan dalam gadaian atau pajakan.

Berdasarkan kepada ciri-ciri tersebut, maka jelaslah bahawa tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok merupakan harta takalih dan pembahagiannya mestilah dibuat berdasarkan undang-undang pusaka iaitu seperti mana yang diperuntukan di bawah Akta (pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955. Seperti mana yang telah dijelaskan mengenai peruntukan di bawah seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, maka pembahagiaannya juga seperti mana yang telah diperuntukan dalam seksyen tersebut.

Oleh yang demikian ada pula pihak yang mempertikai bahawa, jika pembahagiannya mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, bolehkah ianya menepati hukum syarak? Bagi menjawab persoalan tersebut, maka ucapan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri pada 27 April 1960 ketika membentangkan Rang Undang-Undang bagi Akta tersebut dijadikan hujah dalam menentukan sama ada pembahagian boleh dibahagikan mengikut hukum syara’ ataupun tidak. Diantara petikan daripada ucapan tersebut ialah:

“section 16 prohibits, upon the death of a holder, the distribution of a holding among a number of beneficiaries. It will be necessary for the beneficiaries to agree that the interest in the land should be assigned to a single holder and in default of such assignment, collector has the right to close the holding and dispose of the proceeds. I have been advised that the provisior will not infringe the principles of the Islamic Law as the land before alienation is subject to this condition already and therefore the settlers when they take up the land must accept the land together with the condition already attached to the land”

Apa yang dapat difahami daripada petikan ucapan Tun Abdul razak tersebut, bahawa dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa apa yang diperuntukan dalam seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelopok) 1960 ialah bahawa apabila berlaku kematian pemilik tanah, maka pemilikan itu mesti diturunkan pemilikannya kepada seorang ahli waris. Sebelum tanah tersebut diberi pemilikan kepada seorang pewaris, ahli-ahli waris yang lain mestilah memberikan persetujuan mereka berkenaan dengan perkara itu. Dalam hal ini juga pentadbir tanah berhak untuk melucutkan hak dengan menjual tanah tersebut dan membahagikannya mengikut undang-undang.

Dalam ucapan itu juga, Tun Abdul Razak ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak bercanggah dengan undang-undang Islam. Ini adalah kerana dalam mewarisi harta tersebut, terlebih dahulu mestilah mendapat persetujuan bersama dikalangan ahli waris. Selepas itu barulah harta tersebut diberi milik kepada seorang sebagai penama. Akan tetapi jika persetujuan untuk mewariskan tanah tersebut kepada salah sorang ahli waris gagal dibuat, maka tanah tersebut akan dijual dan hasilnya dibahagikan mengikut hukum faraid. Oleh yang demikian semua ahli waris akan mendapat habuan mereka masing-masing .




7.0 PENDAPAT MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA BERKENAAN DENGAN SEKSYEN 16 AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK) 1960.

Muzakarah jawatankuasa fatwa telah bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 di mana dalam muzakarah tersebut isu ini dibincangkan dengan lebih terperinci. Walaubagaimanapun dalam muzakarah tersebut terdapat beberapa peringatan yang perlu diambil perhatian secara serius. Diantara peringatan yang diberikan ialah:

a. pembahagian harta pusaka yang bercorak tanah, yang tidak dapat diselesaikan secara hak milik, maka pihak berkuasa bolehlah menyelesaikan dengan apa cara juga yang sesuai dan munasabah mengikut hukum syara’.

b. Di dalam Islam pembahagian harta pusaka merupakan syer atau saham dan sekiranya tidak mendatangkan faedah, pemerintah bolehlah menggunakan kuasanya dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut tanpa mendapat persetujuan daripada semua waris.

Berdasarkan kepada pendapat muzakarah jawatankuasa fatwa tersebut, pihak pemerintah diberikan kuasa dalam menyelesaikan masalah pembahagian hartanah tersebut yang mana jika ianya gagal diselesaikan dengan cara yang munasabah walaupun tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.

Oleh yang demikian di dalam peringatan tersebut ada menyebut bahawa kuasa yang telah diberikan itu mestilah tidak digunakan dengan cara yang salah sehingga melampaui hukum syara’. Ini adalah supaya setiap syer atau saham yang sepatutnya diperolehi oleh setiap ahli-ahli waris tersebut tidak diketepikan. Walaupun sistem faraid Islam mengakui berkenaan dengan penurunan hak milik kepada seorang ahli waris dengan cara persetujuan diantara mereka, namun apa yang penting untuk diberi perhatian ialah habuan dan peruntukan yang telah ditetapkan kepada mana-mana ahli waris seperti mana yang telah ditetapkan dalam ilmu faraid yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali .


8.0 PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian bermaksud harta yang diperoleh secara usaha sama oleh suami dan isteri. Apa yang penting dalam hal ini ialah syaratnya iaitu sumbangan masing-masing ketika mendapatkan harta tersebut. Bagi negeri-negeri di Malaysia, pambahagian harta tersebut adalah berbeza. Perbezaan ini adalah disebabkan pemahaman yang berbeza terhadap konsep harta sepencarian itu sendiri. Walaubagaimanapun bagi konsep harta sepencarian ini, ianya terdapat dua konsep yang berbeza iaitu:

a. sumbangan isteri terhadap harta yang diperoleh bersama ketika berkahwin dinilai sebagai upah. Oleh yang demikian pihak isteri hanya layak menerima bahagian yang setimpal dengan sumbangannya terhadap harta tersebut.

b. Sumbangan isteri terhadap harta tersebut tidak dianggap sebagai upah. Malah pihak isteri berhak mendapat setengah daripada harta yang diperoleh semasa perkahwinan. Wujud dibeberapa buah negeri yang menentukan bahawa pihak isteri berhak mendapat satu pertiga daripada harta yang diperoleh semasa perkahwinan .


9.0 PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN BAGI KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK

Setelah perbincangan mengenai pembahagian harta simati, maka timbul lagi satu isu iaitu pembahagian harta sepencarian. Dalam kes seperti ini, FELDA juga turut menyelesaikan tuntutan-tuntutan harta sepencarian yang dibuat oleh isteri-isteri peneroka. Tuntutan ini dibuat kerana berlaku perceraian diantara suami dan isteri. Tuntutan boleh dibuat kerana ianya selaras dengan dasar FELDA bahawa “tanah yang telah diperuntukan kepada simati adalah merupakan harta sepencarian”. Oleh yang demikian sibalu akan diberi keutamaan sebagai pengganti kerana dia telah bersama masuk kerancangan bersama simati. Maka dengan dasar inilah wujudnya garis panduan untuk menyelesaikan masalah tuntutan harta sepencarian terhadap suami yang menceraikan suaminya.

FELDA telah meletakkan garis panduan dalam pembahagian harta sepencarian yang dituntut oleh isteri setelah diceraikan oleh suaminya. Diantara peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh FELDA adalah seperti berikut:

a. harta sepencarian hendaklah diertikan sebagai nilai jumlah bayaran kembali yang telah dijelaskan oleh peneroka FELDA sehingga tarikh perceraian berlaku dan takrif “bayaran kembali” ialah hutang kembali serta faedah kepada FELDA tetapi tidak termasuk:

1. bayaran tahunan yang disatukan yang dibayar kepada kerajaan negeri
2. bayaran penyelenggaraan
3. bayaran caruman simpanan tanaman semula; dan
4. bayaran caruman untuk tabung pemilihan ladang dan insuran rumah

b. kadar pembahagian harta sepencarian kepada janda ialah 50% daripada nilai jumlah bayaran kembali yang dijelaskan sehingga perceraian berlaku.

c. Cara bayaran harta sepencarian kepada janda dibuat secara bayaran sekaligus atau secara ansuran, kadar bayaran tidak akan kurang dari RM75.00 dan tidak akan melebihi RM150.00 sebulan.

d. Peraturan ini akan meliputi semua peneroka tanpa mengira agama dan keturunan.

Berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang dibuat, maka ia menunjukkan bahawa kadar pembahagian harta tersebut ialah 50%. Ini bermakna pihak isteri mendapat sebahagian daripada harta tersebut. Kadar tersebut diberikan sedemikian kerana syarat kemasukan peneroka ke rancangan mestilah bagi mereka yang sudah berkahwin. Maka takat sumbangan isteri dalam usaha memperolehi tanah tersebut adalah sangat besar. Dengan itu wajarlah siisteri mendapat dengan jumlah tersebut .

Wujud sedikit percanggahan berkenaan dengan tuntutan harta sepencarian dimana jika suami tersebut bepoligami. Dalam kes seperti ini, hanya diperuntukan bagi isteri yang berada di rancangan itu sahaja yang berhak menuntut harta sepencarian. Maka jelas disini bahawa prinsip ini bercanggah dengan hukum faraid Islam dimana semua isteri berhak ke atas harta peninggalan simati. Isteri-isteri berhak mendapat harta peninggalan simati tersebut secara kongsi sama ada satu perempat (jika tidak mempunyai anak) atau satu perlapan (jika mempunyai anak) daripada harta peninggalan simati . Walaubagaimanapun perbincangan antara mereka perlu dibuat, agar keadialan dalam pembahagian harta tersebut tercapai.


10.0 KESIMPULAN

Setelah meneliti kaedah-kaedah pembahagian tanah mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, maka sebernarnya ia boleh dibahagikan mengikut pembahagian hukum faraid Islam. Kajian yang mendalam perlu dibuat sebelum membuat keputusan sama ada ianya bercanggah dengan atau tidak. Setelah dikupas berdasarkan kepada beberapa prinsip undang-undang, maka terjawablah beberapa persoalan yang sering menjadi perbincangan hangat terutama sekali dari kalangan penduduk di kawasan-kawasan penempatan berkelompok itu sendiri.

Berdasarkan kepada pendapat hasil daripada muzakarah jawatankuasa fatwa, ia banyak membantu untuk merongkai permasalahan ini yang sudah sekian lama menjadi persoalan. FELDA sendiri mempunyai garis panduan yang tidak bercanggah dengan hukum syara’ mengenai kadar pembahagian harta tersebut. Peraturan-peraturan tersebut perlu diikuti kerana wujud prinsip-prinsip keadilan seperti mana yang dikehendaki dalam Islam.

Walaubagaimanapun terdapat sedikit percanggahan dalam penbahagian harta sepencarian bagi suami yang berpoligami. Walaupun FELDA hanya menetapkan perturan mengenai tuntutan harta sepencarian untuk isteri yang berada dirancangan tersebut sahaja, namun perbincangan boleh dibuat untuk mencapai keadilan sepertimana yang digalakkan oleh Islam.









BIBLIOGRAFI


Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960

Kertas kerja Tan Sri Datuk Hj. Arsad Ayub, “ Harta Perolehan Dari Agensi-Agensi Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah”, dlm. Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan, di Bahagian Pentadbiran Dan Perundangan Tanah, Kuala Lumpur, pada bulan Mei, 1983.

Ridzuan awang, 1994, Undang-undang tanah Islam pendekatan pembadingan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahriza Osman Shahril, 2006, asas pengurusan harta tanah. Universiti Utara Malaysia.

Siti Zalikhah Md. Nor, 1996, Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khamis, 4 Disember 2008

FIQH MUAMALAT: KAJIAN PENGURUSAN RISIKO DALAM PELABURAN UNIT AMANAH

BAB 1


BAHAGIAN 1

PENDAHULUAN

Pelaburan merupakan salah satu cara untuk menggandakan wang yang telah sedia ada oleh sesorang. Ia adalah untuk memastikan agar wang yang ada itu tidak beku. Oleh yang demikian Unit Amanah adalah salah satu cabang pelaburan yang tersenarai di dalam papan utama Bursa Saham yang menjadi pilihan ramai individu untuk melabur di dalamnya kerana ia berisiko kecil. Beberapa badan-badan tertentu di negara ini membuka ruang kepada mana-mana individu untuk membuat pelaburan dalam Unit Amanah sebagai contoh ialah CIMB Wealth Advisors, Public Mutual, Am Mutual, ASB serta beberapa lagi badan tertentu yang terlibat dalam pengurusan Unit Trust.

Melabur dalam Unit Amanah adalah cara yang ideal bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran serta masa untuk menyelidiki pasaran pelaburan. Walaupun Unit Amanah banyak kebaikannya kepada pelabur, namun ianya tetap berisiko. Ia adalah seperti memandu kereta, walaupun cepat sampai ke destinasi dan banyak mendatangkan manfaat, akan tetapi ia tetap berisiko. Walaupun jarang-jarang berlaku, namun ianya juga kadang-kadang tidak dapat dielakkan dan tetap berlaku. Apatah lagi apabila menjelang musim perayaan. Hal yang sedemikian juga turut berlaku dalam pelaburan.

Harus diingat bahawa setiap pelaburan ada risikonya. Sebagai langkah berhati-hati, risiko dalam pelaburan adalah sangat penting untuk diketahui
oleh setiap pelabur sebelum membuat keputusan untuk melabur. Bagi sesetengah individu ia menganggap bahawa tingginya risiko dalam pelaburan itu akan membawa keuntungan yang tinggi. Walaubagaimanapun demikian anggapan oleh sesetengah individu bahawa tingginya risiko dalam pelaburan akan membawa keuntungan yang lebih tinggi, ia adalah bergantung kepada pengurusan yang di buat oleh perunding bagi tiap-tiap pelabur tersebut. Bagi mencapai sasaran dalam pelaburan Unit Amanah, kefahaman tentang risikonya adalah amat penting. Walaupun risiko dalam Unit Amanah itu rendah dan hampir kepada tidak ada, namun ianya tetap berisiko.

Pengurusan risiko dalam pelaburan Unit Amanah adalah bermula daripada pemilihan skim-skim yang mana pelabur-pelabur akan menggunakan wang mereka untuk dilaburkan ke dalam skim-skim yang telah dicadangkan. Apa yang perlu dikenalpasti dalam skim-skim tersebut bukan hanya risiko-risiko pelaburan yang akan mengakibatkan untung rugi sahaja, malah sistem yang bercorak Islamik ataupun Konvesional juga perlu dinilai. Begitu juga tentang harga bagi setiap unit.

Asas keuntungan dengan menggunakan Formula 72 digunakan dalam Unit Amanah bagi penggandaan untuk memastikan agar keuntungan akan diperoleh dalam jangkamasa yang telah dirancang berdasarkan peratus keuntungan setiap tahun.


PENYATAAN MASALAH

Ramai di kalangan pelabur-pelabur yang masih kabur mengenai risiko-risiko yang wujud dalam Unit Amanah. Kebanyakannya hanya melabur sahaja tanpa mengira risiko-risiko yang bakal dihadapi. Hal yang demikian adalah disebabkan melihat Unit Amanah itu hanya dari segi keuntungannya sahaja. Pelabur juga tidak boleh terus terpedaya dengan apa sahaja yang disyorkan oleh perunding-perunding Unit Amanah yang tampil dihadapan mereka, sebaliknya perlu mengenalpasti mengenai risiko-risiko yang bakal dihadapi apabila melabur dalam mana-mana skim yang difikirkan akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi.
PERSOALAN KAJIAN

Persoalan kajian ini adalah untuk mengetahui berkenaan dengan risiko dalam pelaburan Unit Amanah yang mesti diketahui oleh pelabur-pelabur sebelum mereka melabur.

TEORI PELABURAN

Asas bagi pelaburan itu adalah penggandaan. Ia bererti apabila wang dilaburkan, maka wang itu akan berganda. Oleh yang demikian apabila pelaburan tersebut menghadapi risiko, maka wang yang telah dilaburkan akan menjadi kurang atau terus habis. Akan tetapi situasi sebegini tidak berlaku kepada Unit Amanah kerana risikonya rendah dan ada yang mengatakan risiko dalam unit amanah adalah hampir kepada tidak ada. Kerugian dalam pelaburan adalah merupakan risiko pelaburan, apabila tujuan pelaburan iaitu keuntungan tidak dapat dicapai .

Oleh yang demikian apa yang ingin dijelaskan di sini bahawa teori merupakan sesuatu yang boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Maka dalam pelaburan juga, apabila disebut berkenaan dengan harga saham adakalanya naik dan adakalanya turun berikutan dengan faktor-faktor yang telah berlaku atau belum berlaku dan tiada siapa yang tahu secara tepat mengenainya. Hal yang demikian dapat dibuktikan dengan apa yang telah berlaku pada pasaran saham ketika mana Saddam Hussain menceroboh Kuwait pada bulan Ogos 1990 yang lalu. Maka kesan daripada pencerobohan tersebut telah mengakibatkan pasaran saham turun dengan mendadak.

Pada bulan Ogos 1991, setelah pengumuman mengenai penggulingan Gorbachev di Soviet Union, dalam masa beberapa jam sahaja pasaran-pasaran saham dunia pada ketika itu secara purata jatuh antara empat hingga tujuh peratus. Oleh yang demikian adalah amat sukar untuk meramal tentang kejadian-kejadian yang akan menjadi faktor naik atau turunnya pasaran saham . Maka apa yang perlu dilakukan ialah dengan mengatur strategi yang terbaik dalam pelaburan dan mengawal risiko-risiko dengan cara yang bijak.

BAB 2

SEJARAH DAN DEFINISI


PENDAHULUAN

Tajuk ini membincangkan tentang bagaimana untuk mengurus risiko yang wujud dalam pelaburan khususnya Unit Amanah. Apa sahaja jenis pelaburan yang ingin di buat maka risikonya perlu dihadapi. Dalam Unit Amanah walaupun ianya mempunyai risiko yang rendah namun ianya tetap berisiko, malah ia juga mempunyai tahap-tahap yang berbeza mengikut dana-dana yang dipilih oleh pelabur. Walaupun tahap risikonya berbeza, akan bahaya yang dihadapi oleh pelabur adalah sama yang mana ia melibatkan pengecutan modal, pendapatan ataupun dividen.

Setelah mengetahui tahap-tahap risiko yang wujud dalam sesuatu dana, maka perlu mengetahui tentang risiko-risiko yang bakal dihadapi sekiranya melabur dalam Unit Amanah. Terdapat beberapa jenis risiko yang bakal dihadapi oleh palabur yang membuat pelaburan dalam Unit Amanah akan diperjelaskan lagi dalam bab-bab yang seterusnya. Setiap risiko perlu diurus secara Profesional. Ini adalah untuk memenuhi hasrat pelabur yang mana jika ia inginkan pulangan yang tinggi, maka risiko yang tinggi juga perlu diambil. Demikian juga bagi pelabur yang hanya mahu mengahdapi risiko yang rendah, maka pulangan yang akan diperolehi juga rendah.

Ini tidak bererti pelabur yang mengambil pelaburan yang berisiko tinggi untuk mendapat pulangan yang tinggi. Ia adalah bergantung kepada pengurusan
atau kawalan yang dibuat terhadap risiko berkenaan. Sebagai contoh yang boleh diambil ialah, apabila pelabur melaburkan sejumlah wangnya ke dalam sesuatu dana dan dana berkenaan telah mengalami risiko mata wang yang ianya telah menyebabkan harga bagi setiap unit terjejas dan pada masa yang sama pelabur menjual unit-unitnya pada ketika itu maka sudah tentu pelabur berkenaan menghadapi kerugian.

Setiap pelaburan sudah tentu akan berhasil. Namun apa yang membezakan ialah hasil yang bagaimanakah yang akan diperoleh. Terdapat tiga jenis hasil yang mana salah satunya bakal diperoleh oleh pelabur, antaranya ialah:

1. Keuntungan : Ini merupakan matlamat utama pelaburan dibuat. Ia juga adalah merupakan kejayaan dalam mengendalikan risiko atau peringkat-peringkat kritikal.

2. Kerugian : Inilah yang dikatakan risiko palaburan. Apabila suatu dana tidak diuruskan dengan baik maka kerugianlah implikasinya. Beberapa aspek penting perlu dilihat bagi mengatasi masalah ini, yang mana semuanya akan dijelaskan dalam bab-bab yang akan datang.

3. Balik modal : Kesannya ialah tiada keuntungan yang diperoleh dan tiada pula melibatkan kerugian, akan tetapi ia merugikan masa . Implikasi sebegini juga dapat dikaitkan dengan kegagalan dalam pengurusan risiko diperingkat awal. Sebagai contohnya ialah caj jualan yang tinggi telah menyebabkan pengurus dana hanya mendapat wang yang sedikit untuk diguna pakai. Terdapat beberapa syarikat Unit Amanah mengenakan caj jualan yang tinggi sehingga melebihi 5%. Ada yang mengenakan caj jualan sehingga 6.95%. kesannya apabila wang sejumlah RM1000 dilaburkan dengan caj jualan sebanyak 6.95% maka pengurus dana hanya mendapat wang untuk diburkan sejumlah RM930.50. Sekiranya keuntungan pada tahun tersebut sebanyak 6.95%, maka wang yang akan diperoleh hanya RM1000. Inilah yang dikatakan hanya balik modal.


Oleh yang demikian jika risiko dapat diurus serta dikawal dengan baik, maka peluang bagi pelabur untuk mendapat keuntungan yang tinggi adalah cerah. Walabagaimanapun teknik-teknik pengurusan serta pengawalan risiko dalam pelaburan akan diperincikan di dalam bab-bab yang berikutnya.


SEJARAH PENUBUHAN


The Foreign and Colonial Government Trust adalah Unit Amanah pertama yang telah ditubuhkan di London pada tahun 1868. Skim Unit Amanah hanya popular hanya setelah beberapa tahun kemudian. Begitu juga di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1950-an, skim palaburan kolektif yang sama dengan skim Unit Amanah menjadi popular, iaitu sebuah syarikat pelaburan terbuka yang dikenali sebagai tabung bersama (Mutual Fund).

Seterusnya ia semakin polular iaitu pada tahun 1960-an dan 1970-an apabila berkembang ke beberapa negara termasuklah di United Kingdom dan Australia. Manakala di Asia pula Malaysia boleh dikatakan sebagai negara yang agak awal dalam memperkenalkan Skim Unit Amanah berbanding dengan negara-negara Asia yang lain. Maka pada ketika itu sebuah syarikat di Malaysia yang bernama Malayan Unit Trust Limited adalah merupakan syarikat pengurusan Unit Amanah yang pertama ditubuhkan iaitu pada tahun 1959 . Ekoran daripada itu, maka wujud pula pelancaran Second Malayan Fund dan diikuti pula oleh Third Malayan Fund iaitu pada tahun yang berikutnya.

Asia Unit Trust Berhad yang merupakan syarikat pengurusan unit amanah yang kedua iaitu anak syarikat South East Asia Development Corporation telah ditubuhkan pada tahun 1966. Manakala pada tahun yang berikutnya Unit Amanah Mara Berhad (ASMB) telah ditubuhkan dan ia juga merupakan Dana Bumiputra Pertama yang dilancarkan. Berikutnya dua buah dana lagi yang hanya untuk bumiputra, akan tetapi industri ini tidak menonjol sehinggalah pada penghujung 1980.

Apabila munculnya bapa kepada segala unit amanah iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilancarkan pada bulan April 1981, maka keadaan telah berubah. Ia telah dikendalikan oleh anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Dana yang ditubuhkan pula adalah bertujuan untuk menambah pemilikan Bumiputra dalam sektor korporat.

Pada tahun pertama setelah ia dilancarkan, pulangan yang diberika ialah sebanyak 20%. Pada tahun kedua pula pulangan yang diberikan ialah sebanyak 18%. Dengan pulangan yang begitu memberangsangkan itu, ramai dikalangan orang yang membuat keputusan untuk melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN). Akhirnya Amanah Saham Nasional (ASN) menjadi semakin maju serta menjadi pelopor kepada unit amanah dan dapat mengatasi unit amanah yang lain. Pada tahun 1990, saiz bagi dana ini telah berkembang sehingga mencecah 11 bilion unit.

Seterusnya setelah Amanah Saham Nasional (ASN) dibuka kepada orang ramai pada tahun 1990, maka Amanah Saham Bumiputra (ASB) telah mengambil serta menguasai bidang ini. Pada tahun 1993 iaitu dalam masa tiga tahun sahaja saiz dananya adalah 82% daripada industri. Pada masa kini terutamanya di Malaysia industri ini adalah tidak asing lagi. Sehingga bulan Disember 2005 sudah terdapat 36 syarikat unit amanah yang telah menguruskan 340 dana dengan nilai aset bersih (NAB) sebanyak RM98.5 bilion .




DEFINISI RISIKO

PENGENALAN

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelaburan yang di buat oleh mana-mana pelabur akan terdedah kepada risiko. Setiap risiko mempunyai teknik-teknik tertentu untuk diurus agar matlamat pelaburan dapat dicapai. Secara amnya dalam pengurusan risiko perkataan bagi risiko itu adalah merujuk kepada kerugian keawangan daripada pendedahan yang wujud atau berada di sekeliling. Begitu juga apabila wujudnya kebarangkalian yang kukuh yang mana sesuatu perkara yang akan berlaku dapat diramal, adalah juga dikatakan sebagai risiko.

Dalam pelaburan Unit Amanah, adalah amat penting bagi pelabur untuk mengetahui apa risiko yang bakal dihadapinya. Adalah sangat penting bagi setiap pelabur untuk mengetahui jenis-jenis risiko sebelum membuat pelaburan. Sebelum jenis-jenis risiko dibahagikan dengan lebih lanjut, definisi mengenai pengurusan risiko perlu dan definisi pelaburan Unit Trust perlu diperincikan terlebih dahulu, memandangkan ia merupakan topik yang paling penting dalam kajian ini.


MAKNA RISIKO SECARA UMUM

Dalam memahami risiko, adalah sangat perlu memahami terlebih dahulu maknanya secara umum antraranya ialah :

1. Kemungkinan berlakunya kejadian atau kesan buruk.
2. Kombinasi atau gabungan bahaya.
3. Tidak dapat diramal, iaitu cenderung kepada keputusan yang berbeza daripada keputusan yang diramal.
4. Kerugian yang tidak dapat dipastikan.
5. Kemungkinan kerugian akan berlaku .

Berdasakan kepada makna risiko yang ditakrifkan secara umum tersebut, jika dilihat pula dari aspek kewangan ialah sebagai kemungkinan mengalami kerugian apabila apa yang dijangkakan tidak menjadi kenyataan. Contohnya, apabila seseorang pelabur yang menjangkakan bahawa ia akan mendapat pulangan sebanyak 15% dalam pelaburannya, maka kemungkinan untuk mendapat pulangan yang kurang daripada itu atau negatif merupakan sesuatu yang mungkin. Seperti mana yang telah diketahui bahawa secara umumnya apabila semakin tinggi kadar pulangan yang dijangka akan diperoleh, maka risiko yang bakal ditempuhinya juga adalah tinggi.

Risiko juga boleh dikatakan sebagai satu peluang untuk rugi atau satu kemungkinan berlakunya sisihan antara pulangan yang dijangka dan pulangan yang diterima oleh seseorang pelabur dalam jangkamasa tertentu .

Risiko juga boleh dikaitkan dengan kemungkinan pulangan sebenar sesuatu pelaburan yang berbeza daripada pulangan yang dijangkakan. Jelasnya lebih banyak risiko yang duambil maka banyaklah pulangannya. Tetapi jika dilihat maknanya secara pesimis ia membawa erti lebih banyak risiko yang diambil, maka banyaklah kerugian yang akan ditanggung. Untuk mendapat keuntungan dari pelaburan adalah mustahil jika seseorang yang ingin membuat pelaburan itu ingin mengelak daripada sebarang risiko .



RISIKO INDIVIDU

1. RISIKO PERIBADI

Risiko sebegini adalah merujuk kepada risiko yang akan berlaku secara lansung keatas mana-mana individu. Ia dapat dikaitkan seperti keadaan seseorang yang mengalami kekurangan pendapatan, berlakunya perbelanjaan tambahan, penurunan nilai harta benda dan sebagainya. Terdapat empat jenis risiko peribadi utama, antaranya ialah :

a) Kematian Awal

Tidak dapat dinafikan bahawa kematian juga akan berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira usia. Apa yang sering berlaku ialah tanggungan si mati terhadap waris yang masih hidup, antaranya adalah seperti hutang dan sebagainya. Kebiasaanya risiko sebegini berlaku akibat kejadian yang tidak diduga seperti kemalangan jalan raya, kebakaran, bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Kesan daripada kematian itu juga telah menyebabkan masalah kewangan yang rumit kepada waris atau keluarga jika si mati mempunyai hutang yang banyak dan juga tanggungan yang belum dijelaskan seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, kredit kad dan sebagainya.

b) Umur Tua Atau Persaraan

Apabila umur menjelang tua, risiko yang dihadapinya ialah tidak mempunyai perbelanjaan yang cukup serta persaraan. Di Malaysia kebanyakan individu bersara ketika berumur ketika berusia 55 tahun. Kebanyakan daripada individu yang bersara hanya mengharapkan perbelanjaan daripada wang pencen atau wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)



c) Tahap Kesihatan Merosot

Akibat daripada kenaikan inflasi diseluruh dunia maka kos perubatan di Malaysia juga turut meningkat. Apabila kesihatan seseorang itu terjejas maka sudah tentu dia terpaksa menanggung bil perubatan walaupun ianya mahal. Lebih teruk lagi jika seseorang individu itu kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

d) Pengangguran

Krisis ekonomi yang berlaku merupakan salah satu faktor berlakunya pengangguran. Ia telah mengakibatkan banyak syarikat di Malaysia gagal untuk pulih sepenuhnya. Kesannya ialah ada sesetengah syarikat-syarikat yang ditutup dan ada juga yang mengambil keputusan untuk membuang pekerja dengan memberikan pampasan. Dalam bidang pelaburan juga terjejas kerana terdapat syarikat-syarikat asing yang membuat keputusan untuk menarik balik pelaburan mereka dan melabur di negara lain. Diantara kesan-kesan lain terhadap individu ialah kehilangan sumber pendapatan akibat tiada pekerjaan. Maka secara tidak lansung individu tersebut akan kehilangan sumber pendapatan. Jika dia mempunyai wang simpanan dalam tempoh pengangguran tersebut, maka tekanan yang dihadapi tidaklah seperti tidak mempunyai wang simpanan. Walaupun terdapat wang simpanan, perlu diingat bahawa ia akan kehabisan jika pengangguran berterusan .









2. RISIKO HARTA

Risiko harta ini adalah melibatkan kerugian akibat daripada bencana atau kerosakan yang berlaku keatas harta benda. Risiko harta melibatkan dua jenis kerugian iaitu:

1. Kerugian Lansung

Kerugian yang seperti adalah melibatkan kerugian yang dialami oleh seseorang dari segi kewangan di mana hartanya mengalami kerosakan, kemusnahan atau kehilangan fizikal secara lansung. Contoh kerugian lansung ini adalah seperti sebuah kedai milik seseorang individu itu rosak akibat kebakaran, maka pemilik kedai tersebut memerlukan kos untuk memperbaiki kedai tersebut.

2. Kerugian Tidak Lansung

Kerugian tidak lansung ini juga melibatkan kerugian kewangan yang dialami oleh seseorang akibat daripada kerosakan, kemusnahan atau kehilangan. Walaupun kerugian secara lansung telah dialaminya akibat daripada kerosakan harta tersebut, namun sebaliknya pemilik harta tersebut juga menanggung kerugian secara tidak lansung. Contohnya pemilik kedai yang telah mengalami kerugian lansung akibat kos yang dikeluarkan untuk membaik pulih kedainya, namun secara tidak lansung dia mengalami kerugian secara tidak lansung kerana kedainya tidak dapat dibuka selama beberapa hari. Keadaan seperti telah menyebabkan pemilik kedai tersebut tidak dapat menjalan aktiviti perniagaannya .

3. Risiko Liabiliti

Risiko ini melibatkan kes-kes mahkamah seperti perceraian, saman trafik, kemalangan jalan raya dan lain-lain lagi. Risiko sebegini adalah sukar untuk menduga berkenaan dengan kerugian yang bakal dihadapi. Kerugian yang dialami juga tidak terhad. Contohnya kes perceraian, dimana kos guaman sudah tentu menelan belanja yang agak tinggi. Begitu juga apabila kes itu melibatkan soal harta seperti tuntutan harta sepencarian atau belanja seperti tuntutan nafkah, maka ia juga melibatkan kerugian bagi pihak yang dituntut .


RISIKO-RISIKO PELABURAN UNIT AMANAH

Seperti mana yang telah dijelaskan mengenai pengertian risiko yang mesti dilalui oleh setiap yang bernyawa, namun dalam pelaburan unit amanah juga mempunyai risiko-risiko yang bakal menimpa kepada pelabur. Setiap dana unit amanah mempunyai risiko yang berbeza diantara satu sama lain. setiap pelabur perlu mengatur sendiri tahap risiko yang bersesuaian dengan tahap diri mereka. Diantara risiko-risiko yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:


1. Risiko Pasaran Saham

Wang kolektif para pelabur yang telah dipungut adalah digunakan untuk membeli saham-saham di pasaran saham. Beberapa faktor seperti keadaan ekonomi dan juga aliran keluar masuk dana daripada pelabur asing akan menyebabkan berlakunya perubahan terhadap harga saham-saham . Maka dengan sebab itulah unit amanah juga terdedah kepada turun naik pasaran saham.

Walaupun pelabur menggunakan langkah yang bijak dengan melabur dalam pelbagai jenis saham, namun dalam hal yang demikian risiko pasaran saham dan risiko bersistem masih juga wujud. Mungkin mana-mana pelabur akan berasa selesa dengan membuat pelaburan dalam pelbagai jenis saham, akan tetapi jika sekiranya pasaran saham pada ketika itu jatuh seperti yang yelah berlaku pada tahun 1987 dan juga pada akhir tahun 1997, maka kesemua dana akan terjejas dan wajarlah nilai dana akan mengalami kejatuhan.

Turun naik harga boleh berlaku dalam masa yang amat singkat dengan sebab-sebab yang berbeza. Secara umumnya faktor psikologi juga boleh dijadikan sebab berlakunya turun naik harga pasaran berdasarkan kepada sikap setiap pelabur terhadap ekuiti atau terhadap satu kelompok sekuriti. Reaksi pelabur terhadap kejadian nyata dan tidak nyata juga akan memberi kesan terhadap harga pasaran. Kejadian nyata adalah seperti berlakunnya aktiviti politik ganas yang mana ia akan memberi kesan negatif terhadap pasaran sekuriti. Keadaan ini merupakan sesuatu yang sukar untuk diduga dan dikawal oleh pelabur. Kejadian tidak nyata pula adalah berkaitan dengan psikologi pasaran akibat daripada kejadian nyata yang telah menyebabkan kejatuhan harga pasaran yang sedikit. Akibatnya pelabur mungkin tidak lagi yakin dengan pasaran dan akan membuat keputusan untuk menjual sahamnya secara berlebihan dan seterusnya ia akan memberi tekanan terhadap harga .

2. Risiko Jenis Syarikat

Dalam pelaburan unit amanah, saham pada kebiasannya dikeluarkan oleh syarikat yang menjalankan perniagaan yang berbentuk dagangan barangan atau perkhidmatan. Maka dalam keadaan sedemikian, sekiranya perniagaan tersebut telah dipengaruhi oleh beberapa faktor yang mana ia boleh mencetuskan perubahan, maka dengan sebab itulah pengurus dana perlu mempelbagaikan dana unit amanah agar risiko ini dapat dikawal .

Risiko ini juga dapat dikaitkan dengan kecekapan aktiviti operasi sesebuah syariakat. Oleh yang demikian kesan daripada risiko ini akan menyebabkan dividen pelabur akan terjejas kerana kemerosotan perolehan atau permasalahan yang dialami oleh syarikat. Apabila syarikat menunjukkan kestabilan dalam perolehan, pelabur juga akan sanggup untuk melabur dengan wang yang lebih banyak berbanding dengan syarikat yang mengalami perolehan turun naik yang tidak menentu. Antara sebab-sebab lain yang menyebabkan syarikat mengalami turun naik dalam perolehannya ialah:

a. Syarikat tersebut mengalami kehilangan syer pasaran saham kerana persaingan yang sengit;
b. Syarikat tersebut lemah dari segi pengurusan;
c. Syarikat tersebut menggunakan alat teknologi yang sudah lapok;
d. Syarikat tersebut tidak mendapat perhatian daripada kerajaan sebagai contoh perubahan dalam polisi monetari dan fizikal;
e. Syarikat tersebut juga terpengaruh dengan kitaran perniagaan yang memberi kesan hebat terhadap sesetengah pengeluaran seperti seperti citarasa pengguna, saman undang-undang, perubahan industri, keadaan operasi seharian dan kesilapan pihak pengurusan syarikat .
f. Syarikat tersebut mengalami perubahan dalam faktor demografik

Apabila syarikat mengalami masalah yang diakibatkan oleh faktor-faktor yang telah disebutkan di atas, maka daripadanya ialah ia akan menjejaskan perolehan syarikat . Dengan kelemahan-kelemahan ini, unit amanah juga menanggung risikonya.

3. Risiko Kecairan.

Walaupun kecairan merupakan faktor yang menjadikan ramai pelabura ingin membuat pelaburan dalam unit amanah, maka disebalik kecairan tersebut ada risikonya. Ini adalah kerana dalam unit amanah setiap hari berlaku urusan jual beli seperti ada pelabur yang menjual unit, ada pelabur yang membeli unit dan ada pelabur membuat panambahan terhadap unit.
Dalam urusan jual beli tersebut mungkin akan berlaku penjualan unit pada tahap tinggi sehingga dana tidak memiliki aset cair yang cukup ataupun tunai pada masa itu dan pada ketika itu aset bukan tunai akan dijual dalam keadaan keterpaksaan. Pengurus dana akan mengawal dengan memastikan tahap kecairan mencukupi supaya aset tidak cair tidak perlu dicairkan agar ia tidak memberi kemudharatan kepada dana.

4. Risiko Kadar Faedah

Kebanyakan dana unit amanah dilaburkan dalam saham. Oleh yang demikian pengurus dana unit amanah ada juga melabur di dalam dalam instrument bon. Di sini perlu dijelaskan bahawa perubahan harga bon akan menjejaskan juga harga bagi dana unit amanah dan secara tidak lansung ia akan memberi kesan kepada nilai aset bersih (NAB) bagi dana unit amanah tersebut. Harga bon ini apabila berlaku penurunan, maka harga saham akan naik dan apabila berlaku kanaikan pada harga bon, maka harga saham akan menurun. Maka dengan penurunan harga bon inilah akan menyebebkan kenaikan kadar faedah .

Perubahan kadar faedah ini juga memberi kesan terhadap keseluruhan pasaran secara sistemik. Perubahan ini adalah perubahan yang melibatkan harga sekuriti bergerak secara songsang dengan kadar faedah. Oleh yang demikian, sekiranya kadar faedah ini naik, maka harga sekuriti akan turun. Kesan daripada kenaikan kadar faedah pasaran, maka semakin rendahlah harga sekuriti.

Kesan daripada risiko kadar faedah ini, maka kesannya ialah terhadap sekuriti berpandapatan tetap berbanding dengan ekuiti. Oleh yang demikian secara tidak lansung ia juga memberi kesan terhadap ekuiti dengan dua cara iaitu:

1. kadar faedah pasaran yang tinggi telah menyebabkan pembeli saham dengan margin tidak lagi menarik. Kesannya ialah permintaan akan berkurangan dan menyebabkan harga turun. Apabila harga turun, pelabur juga boleh kehilangan modal.
2. sesetengah syarikat membiayai operasi dengan membuat pinjaman. Apabila kadar faedah meningkat, pembiayaan projek secara tidak lansung akan manjadi mahal dan dengan bayaran yang sedemikian akan menyebabkan perolehan syarikat akan berkurangan. Dengan itu ia akan memberikesan kepada harga dan dividen .

5. Risiko Kredit

Risiko kredit merupakan risiko yang berkaitan dengan pelaburan bon. Apa yang menjadi masalah disini ialah apabila pihak yang menerbitkan bon yang membuat seperti membayar balik faedah dan modal, namun janji tersebut tidak dapat dikotakan. Maka dengan berlakunya perkara sebegini, akan berlakulah satu risiko kepada pelabur yang dinamakan sebagai risiko kredit .

6. Risiko Pengurus Dana

Syarikat pengurusan perlu memainkan peranan yang tinggi dan ia juga perlu menunjukkan kemampuannya dalam mengurus dana-dana unit amanah dengan baik. Pelabur mestilah memilih syarikat pengurusan yang terbaik kerana pelaburan unit amanah merupakan pelaburan dalam jangka masa panjang. Dalam tempoh masa tersebut prestasi syarikat adalah berbeza-beza .

7. Risiko Pinjaman

Pelabur adalah dinasihatkan agar tidak membuat pinjaman semata-mata untuk melabur dalam unit amanah. Walaupun pelabur berfikir bahawa dengan membuat pinjaman tersebut, maka lebih banyak wang yang akan dilabur dan sudah tentulah kentungan yang diperoleh akan lebih banyak. Ini adalah kerana pelaburan dalam unit amanah merupakan pelaburan masa yang agak panjang, maka dengan melakukan pinjaman adalah tidak sesuai. Dalam jangka masa tersebut, bermacam-macam kemungkinan yang akan berlaku disebabkan risiko-risiko yang boleh menjejaskan prestasi unit amanah.

Walaupun dengan pinjaman tersebut pada fikiran pelabur boleh menguntungkannya, namun sebenarnya pelabur tersebut mungkin telah melakukan perbuatan yang merugikan. Sebagai contoh, apabila pasaran menurun, maka pelabur yang membuat pinjaman tersebut terpaksa mendapatkan sumber kewangan bagi manambahkan margin pinjaman.

Keuntungan yang diperoleh setelah penolakan faedah pinjaman mungkin tidaklah sebanyak mana. Jika dikira balik keuntungan yang diperoleh setelah penolakan faedah pinjaman dibuat seperti faedah pinjaman ialah sembilan peratus sedangkan keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan tersebut ialah sepuluh peratus, maka keuntungan yang diperoleh hanya satu peratus.

Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi apabila kadar faedah pinjaman yang dibat semakin meningkat yang mana ia telah menyebabkan ansuran bulanan juga turut meningkat. Kaedah pinaman ini mungkin sesuai dibuat apabila keadaan pasaran berfungsi dengan normal, akan tetapi malangnya keadaan unit amanah ini dari segi kadar faedahnya adalah tidak menentu. Begitu juga apabila keadaan menjadi lebih mendesak, maka pelabur mingki terpaksa menjual unitnya untuk mendapatkan wang walaupun dengan cara yang sedemikian merugikannya .

8. Risiko Inflasi

Inflasi merupakan satu keadaan yang mengalami kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berterusan. Maka secara umumnya ia berlaku apabila terdapat terlalu banyak wang yang mengejar barangan yang sedikit. Secara tidak lansung harga barang tersebut akan meningkat. Pelabur perlu sedar bahawa inflasi sentiasa berada disampingnya . Ini adalah kerana keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan unit amanah sama ada keuntungan tersebut berasaskan penambahan modal atau pembayaran dividen mungkin tidak sama padan dengan kadar kenaikan inflasi tersebut

Contoh yang dapat dikaitkan di sini ialah apabila pelabur ingin memastikan bahawa keuntungan sebanyak 10% dapat menggandakan wangnya sehingga mencecah RM100.000 dalam masa sepuluh tahun untuk membeli sebuah rumah. Dengan peningkatan kadar inflasi, harga rumah yang ingin dibelinya sudah mencecah sehingga RM120.000. Maka dalam hal yang sedemikian, pelabur terpaksa mencari altenatif lain untuk mandapatkan wang supaya dapat membeli rumah tersebut.

9. Risiko Melanggar Peraturan

Risiko ini berlaku apabila pengurus dan pentadbiran yang mengendalikan perniagaan unit amanah tidak mengikut undang-undang serta tidak mengikut garis panduan atau peraturan yang telah ditetapkan.

10. Risiko Kewangan Dan Mata Wang

Risiko yang melibatkan kewangan ialah risiko yang berkaitan dengan kesan yang akan ditanggung oleh sebuah syarikat dari segi aktivitinya yang melibatkan struktur modal. Ia berlaku apabila sebuah syarikat memiliki hutang yang perlu dibayar. Dengan keadaan sebeginilah yang akan menyebabkan terjejasnya pembayaran dividen terhadap pelabur. Dari segi teorinya pula apabila hutang dalam struktur modal itu meningkat, maka semakin besarlah risiko yang akan menimpa terhadap pendapatan pelabur.

Oleh yang demikian sekiranya tidak berlakunya pinjaman, mungkin risiko ini dapat dielakkan. Terdapat dua kesan terhadap pelabur apabila berlakunya risiko ini seperti:

1. meninggalkan variasi dalam pulangan pelabur.
2. memberi kesan terhadap jangkaan pulangan pelabur .

Dalam unit amanah portfolio yang mengandungi pelaburan di luar Negara, maka dengan pasaran mata wang yang sering berubah-ubah akan menyebebkan berlakunya turun naik harga saham luar negara . Dengan perubahan pasaran mata wang tersebut, maka nilai aset bersih (NAB) unit amanah tempatan juga turut memberi kesan sepertimana yang berlaku di luar negara.

11. Risiko Negara

Seperti mana risiko-risiko yang berlaku dalam unit manaha yang telah dijelaskan sebelum ini, maka apa sahaja keadaan yang berlaku seperti keadaan pilitik semasa, iklim ekonomi, kewangan dan juga yang melibatkan ssebuah negara, maka ia akan memberi kesan terhadap nilai aset bersih (NAB) unit amanah terutamanya yang dilaburkan dalam pasaran saham negara luar .


DEFINISI PENGURUSAN RISIKO

Pengurusan risiko adalah merupakan suatu proses yang sistematik untuk mengenal pasti dan menilai risiko yang mungkin dihadapi oleh individu atau organisasi dan kemudian memilih dan melaksanakan teknik-teknik pengendalian risiko yang paling sesuai untuk mengawasi risiko yang telah dikenal pasti selaras dengan matlamat dan objektif individu atau organisasi tersebut . Berdasarkan kepada definisi tersebut, apa yang penting ialah suatu risiko itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum ianya dinilai. Setelah implikasinya dikaji serta dibuat penilaian, maka barulah langkah-langkah yang sesuai untuk mengurus risiko dipilih untuk dilaksanakan.

DEFINISI UMUM PELABURAN

Pelaburan ialah penukaran wang yang sedikit pada masa sekarang untuk wang yang lebih banyak pada masa hadapan sambil mengurangkan risiko dengan mengambil kira peruntukan aset, kepelbagaian dan lain-lain. Ia bererti bahawa semua pelaburan adalah berkaitan dengan penukaran wang iaitu wang yang ada sekarang adalah untuk masa hadapan. Berdasarkan kepada definisi tersebut, maka dapatlah dikaitkan dengan pelabur yang bijak dalam pelaburan yang mana ia berusaha menukarkan wangnya yang sedikit pada masa sekarang untuk mengaut wang yang banyak pada masa hadapan dan dalam pada waktu yang sama ia menguruskan risiko .


DEFINISI KHUSUS PELABURAN

Apabila definisi pelaburan itu diertikan secara khusus, maka apa yang penting ialah melihat dari aspek kaca mata seorang pelabur individu atau seorang yang mempunyai modal. Maka secara khususnya pelaburan itu dapat didefinasikan sebagai penanaman modal pada hari ini dengan tujuan untuk untuk mendapatkan keuntungan pada masa hadapan sama ada dalam bentuk faedah, dividen, sewaan atau kenaikan harga. Berdasarkan kepada definisi tersebut dan jika dilihat dari segi pelaburan aset kewangan, maka dapatlah kita membuat rumusan bahawa pelaburan juga merupakan satuaktiviti penanaman modal kini dengan jangkaan untuk mendapatkan pulangan positif pada masa akan datang selepas mengambil kira risiko.

Setelah melihat kepada definisi pelaburan secara khusus, maka terdapat empat ciri utama yang terkandung di dalam konsep pelaburan itu. Di antara ciri-cirinya ialah:

1. penanaman “modal”. Iaitu sejumlah wang atau dana yang perlu dikorbankan.
2. melibatkan pertukaran “masa”. Iaitu hari ini dan akan datang.
3. menjangkakan “pulangan” positif. Iaitu kadar keuntungan.
4. terdedah kepada “risiko”. Iaitu kemungkinan mengalami kerugian.

Berdasarkan kepada ciri-ciri tersebut, maka apa yang terkandung di dalamnya iaitu dari segi saiz dan darjahnya adalah bergantung kepada jenis pelaburan yang dibuat. Jenis-jenis pelaburan akan diperincikan dalam perbincangan seterusnya .


DEFINISI PELABURAN UNIT AMANAH

Unit Amanah merupakan skim pelaburan yang mengumpul wang daripada pelaburan untuk melaksanakan salah satu objektif kewangan. Pengurus dana kemudiannya melaburkan wang itu dalam pelbagai sekuriti seperti saham atau bon dengan harapan untuk mencapai objektif utama dana tersebut . Dalam pelaburan Unit Amanah pemegang boleh melakukan jual beli melalui pengurus-pengurus tabung tertentu yang terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan yang mempunyai kepakaran serta kemahiran mengurus portfolio . Berdasarkan kepada surat perjanjian amanah, maka dikalangan pengurus untuk berjual beli dengan pemegang unit mengikut harga belian dan jualan seperti mana yang telah ditetapkan dari masa ke semasa berdasarkan kepada ekonomi, syarikat, industri dan pasaran saham .

Apabila kedua-dua definisi ini digabungkan iaitu pengurusan risiko dan pelaburan Unit Amanah, maka bolehlah ditakrifkan bahawa pengurusan risiko dalam pelaburan Unit Amanah itu adalah satu analisis mengenai risiko serta implikasinya yang dibuat terhadap sesuatu dana dan juga mengenalpasti tentang apakah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum melabur ke dalam dana tersebut. Sebagai contohnya ialah mengenali jenis-jenis dana Unit Amanah terlebih dahulu sebelum melabur. Ini adalah kerana bagi setiap jenis dana Unit Amanah itu mempunyai tahap risiko dan pulangannya yang tertentu. Jenis-jenis dana Unit Amanah akan diperjelaskan pula dalam bab yang akan datang.


KONSEP PELABURAN UNIT AMANAH

Unit amanah merupakan satu pentuk pelaburan secara berkumpulan atau koperatif. Secara umumnya, amanah ini pada mulanya memilih saham-saham untuk dibeli dan kemudiannya saham-saham ini akan dijual pula kepada orang ramai dalam bentuk yang saham unit amanah. Maka setiap daripada saham unit amanah tersebut akan menggambarkan sebahagian daripada jumlah kumpulan saham pelaburan yang dipegang dalam tabung amanah yang mana pemegang saham unit amanah tersebut merupakan pemilik-pemilik pelaburan dalam unit amanah.

Dari segi pengiraan harga unit amanah pula, ia akan dikira berdasarkan kepada formula yang mengambil kira harga-harga saham pelaburan sebenar yang dipegang. Harga-harga ini pula akan dikira setiap hari dan ianya akan berubah apabila harga di pasaran saham-saham pelaburan yang dipegang itu mengalami perubahan. Maka dengan perubahan harga inilah yang akan menunjukkan prestasi sesuatu saham unit amanah itu .

Kewujudan sesuatu pelaburan Unit Amanah ialah apabila hidupnya dokumen yang dipanggil Surat Ikatan Amanah. Terbentuknya Surat Ikatan ini adalah setelah wujudnya gabungan diantara pemegang unit iaitu pelabur, syarikat pengurusan dana dan pemegang amanah (trustee). Maka dapat disimpulkan bahawa wujudnya tiga pihak sebelum bermulanya pelaburan. Tiga pihak tersebut akan dijelaskan seperti di bawah ini iaitu:

1.Pelabur

Pelabur atau pemegang unit adalah merupakan pihak yang mengamanahkan wangnya untuk dilaburkan. Pihak ini adalah terdiri daripada idividu, institusi, syrikat, koperasi, pertubuhan dan berbagai-bagai lagi pihak yang inginkan wang mereka dilaburkan. Bukan semua dana amanah yang memberi kelayakan untuk membuat pelaburan untuk semua orang. Ada juga dana unit amanah yang mengenakan syarat tertentu terhadap pelabur, sebagai contoh ialah syarat bagi mereka yang ingin membuat pelaburan di dalam dana Amanah Saham Bumiputra (ASB) yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) ialah khusus untuk pelabur dari kalangan bumiputera sahaja.

2. Syarikat Pengurusan

Pihak syarikat pengurusan ini adalah merupakan pihak yang diamanahkan supaya melaburkan wang yang telah dimanahkan kepada mereka untuk dilaburkan. Pihak ini memikul tanggungjawab daripada pelabur atau pemegang unit. Syarikat pengurusan ini juga menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan dana unit amanah seperti pendaftara, pentadbiran urusniaga, pengeluaran laporan, pelaburan dana dan berbagai-bagai lagi tertakluk kepada Garis Panduan Unit Amanah dan Surat Ikatan Amanah, undang-undang yang berkaitan dan peraturan yang mengawal operasi unit amanah.

3. Pemegang Amanah

Pihak pemegang amanah ini merupakan pihak yang dilantik untuk menjaga kepentingan pelabur atau pemegang unit serta menyelia syarikat pengurusan agar sentiasa mematuhi garis panduan unit amanah dan juga untuk memastikan agar syarikat pengurusan amanah tersebut mengurus dana mengikut surat ikatan amanah. Diantara fungsi pemegang unit juga ialah memegang dan mengawasi aset dana unit amanah bagi pihak pemegang unit serta memastikan agar syarikat pengurusan unit amanah tidak menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya dalam mengurus dana amanah saham.

Berdasarkan kepada pertalian diantara ketiga-tiga pihak tersebut, maka pelabur tidak perlu bimbang berkenaan dengan pelaburan mereka dalam unit amanah. Kewujudan pihak-pihak ini adalah untuk melindungi kepentingan dan hak-hak pelabur. Apa yang penting di sini ialah bahawa pemegang amanah adalah dipertanggungjawabkan dalam memisahkan dalam memisahkan aset dana (wang pelabur) daripada syarikat pengurusan. Walaupun sesuatu dana itu menghadapi masalah, namun wang pelabur tetap selamat. Dalam hal ini pemegang amanah tidak boleh melaburkan wang itu dengan sewenang-wenangnya. Ia hanya memastikan supaya wang pelabur itu akan dilaburkan mengikut seperti mana yang telah tercatat dalam surat ikatan unit amanah .

BAB 3

PERSEDIAAN PELABURAN UNIT AMANAH


PENDAHULUAN

Sebelum memulakan pelaburan, mana-mana pelabur yang ingin membuat pelaburan dalam unit amanah hendaklah mengetahui sedikit sebanyak berkenaan dengan profil pelaburan. Profil ini adalah berkaitan dengan umur, risiko, emosi, pelan kewangan, kekuatan dan kelemahan wang, latar belakang kewangan, masa, minat kepada skim-skim pelaburan, IQ kewangan, kemahiran pelaburan dan faktor-faktor sosial.

Perkara-perkara yang telah disebutkan di atas merupakan tidak boleh diambil mudah. Ini adalah kerana ia akan memberi kesan terhadap pelaburan. Didalam bab ini juga ada menyentuh berkenaan dengan klasifikasi dan kategori unit amanah. Klasifikasi dan kategori ini penting bagi mereka yang ingin memulakan pelaburan, ini adalah kerana ia berkait dengan profil pelaburan.

Apa yang sering berlaku sekarang ialah kebanyakan pelabur-pelabur terus membuat pelaburan tanpa memperlengkapkan diri terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan. Akhirnya ada sesetengah pelabur yang kesal dengan pelaburan mereka kerana mereka tidak mendapat seperti apa yang dirancang. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu sebelum membuat pelaburan ialah berinteraksi dengan perunding-perunding unit amanah terlebih dahulu. Interaksi ini adalah menyentuh berkenaan dengan unit amanah yang ditawarkan.

Berkenaan dengan interaksi, jika dilihat kepada fenomena yang sering berlaku sekarang bahawa perunding unit amanah yang datang kepada mana-mana indinidu dengan terus mempromosikan produk-produknya. Mereka yang lebih bercakap berbanding dengan pelabur itu sendiri, sedangkan pelabur itulah yang perlu banyak bercakap dengan perunding yang datang kepadanya berkenaan dengan produk-produk yang dipromosikan itu. Setelah berpuas hati dengan penerangan-penerangan yang diberikan berkenaan dengan pelaburan unit amanah, maka pelabur bolehlah membuat pelaburan dalam unit amanah. Dalam bab ini juga akan menyentuh berkenaan dengan interaksi diantara pelabur dengan perunding unit amanah. Ini penting bagi memperlengkapkan pengetahuan pelabur sebelum membuat pelaburan dalam unit amanah agar keputusan dibuat berdasarkan pilihan yang tepat.


PROFIL PELABURAN SEORANG PELABUR

Umur

Apabila umur seseorang pelabur itu muda, maka ia lebih layak untuk menghadapi risiko yanh lebih tinggi atau lebih besar. Sekiranya risiko besar tidak boleh dihadapi ketika muda, maka risiko ini juga akan dighadapi juga ketika pelabur itu tua nanti. Walaubagaimanapun bergantung kepada individu itu sendiri samaada untuk memilih risiko yang lebih besar atau sebaliknya. Pemahaman mengenai risiko bagi sesuatu pelaburan dapat membantu seseorang pelabur itu dalam membuat keputusan. Apa yang penting di sini ialah potensi pulangan daripada pelaburan tersebut . Walaubagaimanapun setiap golongan pelabur mempunyai tahap kesedian yang berbeza mengikut umur. Terdapat beberapa tahap golongan umur yang perlu membuat pilihan dana yang berbeza iaitu:


a. Pelabur Yang Berumur Diantara 18 Hingga 30 Tahun.

Kebanyakan mereka yang terdiri daripada golongan ini mempunyai yahap pendidikan menengah atau sudah menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi. Mereka kebanyakannya sudah bekerja sama ada bekerja dengan kerajaan, swasta ataupun bekerja sendiri.
Status bagi golongan ini kebiasannya adalah masih bujang serta giat untuk menjalani kehidupan moden. Ini adalah kerana mereka mungkin beranggapan bahawa mereka masih muda serta banyak lagi peluang yang perlu direbut. Oleh kerana belum mendirikan rumah tangga, maka kebanyakan daripada golongan ini masih belum membeli rumah. Akan tetapi mereka sudah memiliki kereta sendiri bagi memudahkan mereka ke sana dan ke mari. Di tahap umur yang sebegini, kebanyakan mereka sedang membina kerjaya dalam bidang masing-masing dan mereka juga mungkin akan berubah ke tempat yang sesuai untuk mereka.

Jika dilihat dari segi kewangan mereka pula, jika berdasarkan kepada umur mereka yang masih ditahap muda dan ada juga yang sedang membina kerjaya, sudah tentulah kedudukan kewangan mereka dapat memberi gambaran bahawa ianya masih kurang stabil. Walaupun begitu keadaannya, golongan ini sebenarnya mempunyai tempoh melabur yang panjang.

Oleh yang demikian sekiranya mereka ingin membuat pelaburan dalam unit amanah, maka amat sesuai bagi mereka untuk melabur didalam dana syarikat kecil berkembang. Ini adalah kerana berdasarkan kepada umur mereka yang layak untuk mengambil risiko tinggi kerana mereka mempunyai tempoh melabur untuk jangka masa yang panjang. Sekiranya mereka tidak berani untuk berhadapan dengan pelaburan yang berisiko tinggi, maka dana indeks ekuiti adalah amat sesuai untuk mereka kerana ia berisiko rendah.



b. Pelabur Yang Berumur Diantara 31 Hingga 40 Tahun

Golongan ini pula kebanyakannya terdiri daripada mereka yang sudah memikul tanggung jawab kerana telah mendirikan rumah tangga. Tetapi walaupun telah mendirikan rumah tangga, namun anak mereka masih kecil. Golongan ini juga selalunya sudah mempunyai rumah serta kenderaan milik sendiri. Oleh kerana sudah mempunyai tanggungan tertentu, ramai dari kalangan golongan ini sudah bijak merancang kewangan demi masa depan mereka.

Mereka juga sudah memulakan langkah langkah bijak bagi mengatur kewangan merekan dengan membuat pelaburan kecil seperti membuat skim perlindungan insurans, simpanan tetap dan juga membuat pelaburan dalam unit amanah. Berdasarkan kepada kerjaya mereka yang sudah stabil, maka ia memberi gambaran bahawa kedudukan kewangan mereka juga lebih stabil berbanding dengan golongan yang berumur diantara 18 hingga 30 tahun. Kestabilan kewangan mereka juga dinilai dari segi persediaan mereka dalam membuat perancangan untuk pengajian anak-anak mereka.

Berdasarkan kepada kestabilan kewangan mereka berbanding dengan golongan yang berumur antara 18 hingga 30 tahun tersebut, maka mereka lebih berkemampuan untuk melabur dengan sejumlah wang lebih banyak. Oleh kerana mereka sudah mempunyai tanggungan terhadap keluarga, maka kecenderungan mereka dalam memilih dana unit amanah adalah yang berisiko sederhana, tepapi dapat memberi pulangan yang memuaskan dalam jangkamasa yang sederhana dan panjang.

Oleh yang demikian dana unit amanah yang sesuai bagi golongan ini ialah dana pertumbuhan jika mereka mahukan pengambangan modal yang tinggi. Tetapi sekiranya mereka inginkan dana yang dapat memberikan pengembangan modal dan dividen, maka dana yang sesuai ialah dana pertumbuhan dan pendapatan



c. Pelabur Yang Berumur Diantara 41 Hingga 50 Tahun

Golongan ini merupakan yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak pada tahap remaja yang sedang meningkat dewasa. Anak anak yang ditanggung oleh mereka sudah besar dan mungkin sedang menyambung pengajian di mana-mana institusi pengajian tinngi. Mereka kebanyakannya sudah memiliki kenderaan serta rumah sendiri. Perlu juga diambil perhatian bahawa mereka mungkin masih mempunyai hutang yang masih belum selesai.

Dari segi perancangan kewangan pula, mereka kebanyakannya mempunyai pelaburan-pelaburan yang dibuat sama ada didalam simpanan tetap, saham amanah atau di bursa saham. Taraf kewangan mereka juga stabil dan mereka menabung untuk meningkatkan taraf kahidupan mereka. Ini mungkin disebabkan kerana langkah persediaan awal untuk mendapatkan modal untuk menceburkan diri dalam perniagaan atau apa sahaja perancangan untuk meningkatkan taraf kehidupan.

Kecenderungan risiko bagi golongan ini ialah terhadap pelaburan yang risikonya agak rendah. Walaubagaimanapun dari segi pulangan pula, mereka inginkan pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang memuaskan serta berterusan untuk jangka masa sederhana dan panjang. Jika dibandingkan dengan dua golongan yang sebelum ini dari segi kemampuan mereka untuk membuat pelaburan, maka mereka lebih mampu untuk melabur dengan jumlah wang yang lebih banyak.

Dana unit amanah yang sesuai untuk golongan ini ialah dana seimbang, sekiranya mereka inginkan pengembangan modal dan dividen yang sederhana. Tetapi jika mereka inginkan dividen yang berterusan, maka dana pendapatan seimbang adalah sesuai untuk mereka.




d. Pelabur Yang Berumur 50 Tahun Ke Atas

Bagi mereka yang sudah berumur 50 tahun ke atas, kebanyakan mereka sedang menuju persaraan atau telah bersara. Pelabur yang masih bekerja pada tahap umur ini, sebenarnya mereka sedang mengecapi kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi. Anak-anak mereka juga kebanyakannya telah menamatkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi dan sudah mula untuk membina kerjaya sendiri.

Hutang-hutang mereka yang terdiri daripada pinjaman perumahan atau kenderaan mungkin sudah habis dilangsaikan. Maka dengan keadaan sedemikian, mereka berkemampuan untuk melabur dengan jumlah yang besar, kerana mereka tidak mempunyai tanggunan seperti mana golongan-golongan sebelumnya. Oleh kerana mereka sudah tiada lagi tanggungan untuk anak-anak mereka, maka kedudukan kewangan mereka adalah sangat stabil. Maka dengan sebab itulah mereka hidup dengan gaya hidup mewah. Oleh kerana itu mereka hanya nerminat untuk melabur dalam pelaburan yang berisiko rendah dan mereka juga sanggup menerima pulangan yang rendah daripada pelaburan mereka tersebut. Dana unit amanah yang sesuai bagi golongan ini ialah dana bon dan dana berpendapatan tetap .


Profil Risiko

Profil risiko juga boleh disebut sebagai perasaan takut kehilangan wang atau terlepas peluang untuk menjana wang. Perlu diketahui bahawa setiap orang mempunyai cara yang berbeza dalam mengurus risiko. Ada sesetengah orang yang menggunakan cara yang terlalu konservatif dan ada juga yang menggunakan cara yang terlalu agresif dan ada juga yang menggunakan cara mempertaruhkan segala-galanya. Ia bergantung kepada individu itu sendiri tentang bagaimana cara yang ingin digunakan, kerana ia lebih mengenali dirinya sendiri. Satu perkara yang agak sukar ialah apabila orang lain yang hendak mengenali atau mengetahui berkenaan dengan pelaburan yang sesuai dengan profil risiko anda. Perlu diingat bahawa prifil risiko akan berubah apabila wujudnya perubahan ke atas seseorang itu seperti apabila umur semakin meningkat, lebih bijak dan juga apabila pengalaman tentang pelaburan semakin bertambah.
Minda Dan Emosi

Apabila seseorang itu melabur dalam sesuatu pelaburan, maka kadang kala akan menyebabkan seseorang itu beremosi. Ini adalah disebabkan kerana wang hasil daripada titik peluhnya menjadi taruhan dalam pelaburannya. Bermacam-macam perasaan yang timbul dan diantaranya ialah perasaan tamak, takut, sabar, disiplin, cekal, ego, risau, rasa tidak menentu dan sebagainya. Jika perasaan ini tidak mampu dikawal dengan baik, maka pelabur tersebut sedang bermusuhan dengan dirinya sendiri. Keadaan seperti ini berlaku kadang-kadang disebabkan dengan melihat orang lain yang telah mendapat keuntungan hasil daripada pelaburan mereka, sedangkan dia masih ditahap yang masih belum mandapat keuntungan. Dengan demikian pelabur itu mula tergugat, dan akan membuat keputusan yang tidak sepatutnya kerana hilang sabar, sedangkan pelanburannya itu sedang mananti keuntungan.


Kelajuan Pelan Kewangan Dan Panjangnya Batasan Waktu

Ia bermaksud apabila seseorang pelabur yang inginkan kekayaan dengan cepat, maka lebih banyak risiko yang telah dikenalpasti terpaksa diambil. Contohnya seorang pelabur yang mahu mendapatkan RM 1 juta dala masa lima tahun akan datang, maka risiko yang mesti diambil adalah lebih besar berbandung dengan pelabur yang bercadang untuk mendapatkan RM 1 juta dalam masa sepuluh tahun yang akan datang. Ringkasnya lebih cepat kelajuan pada pelan kewangan atau jangkamasa yang pendek, maka risikonya juga lebih banyak.


Kekuatan Dan Kelemahan Dari Segi Kewangan

Kekuatan dan kelemahan kewangan ini walaubagaimanapun melibatkan kekuatan dan kelemahan seseorang. Untuk memahami profil ini, ia perlu kepada contoh. Katakan seorang pelabur lemah dari sudut komunikasi, sedangkan ia berminat untuk melabur dalam pelaburan hartanah. Dalam pelaburan hartanah, apa yang perlu ialah berurusan dengan orang ramai seperti perunding hartanah, pihak bank, penjual, peguam, penuawa dan sebagainya. Apabila pelabur tersebut sedar bahawa dia gagal untuk berurusan dengan pihak-pihak tersebut kerana ketidakmampuannya dalam komunikasi dengan orang ramai, maka keputusan yang diambil adalah untuk melabur dalam pelaburan unit amanah. Ini adalah kerana pelaburan dalam unit amanah tidak perlu berurusan dengan ramai orang dan hanya berurusan dengan perundinnya sahaja.

Latarbelakang Atau Kedudukan Kewangan

Dalam hal menyelidik dan menganalisa latarbelakang dan kedudukan kewangan pelabur, maka tugas ini akan dilakukan oleh perunding kewangan yang terlatih dan berpengalaman. Penganalisaan ini melibatkan penyata pendapatan, perbelanjaan dan kunci kira-kira yang menyenaraikan aset dan liabiliti seseorang pelabur. Hasil daripada analisa yang dibuat, maka beberapa maklumat mengenai kewangan dapat diketahui samaada pendapatannya terhad atau tidak. Jika pendapatannya terhad maka pelabur tersebut perlu mengambil pelaburan yang berisiko rendah berbanding dengan pelabur yang mempunyai pendapatan yang tidak terhad. Dalam analisis yang telah dibuat, maka gaya hidup pelabur tersebut dapat dikesan samaada dia tergolong dalam golongan yang boros atau yang berjimat cermat. Begitu juga dengan simpanan pelabur, jenis-jenis aset serta pulangannya dan juga tanggungjawab terhadap pinjaman yang dibuat.

Masa

Setiap orang mempunyai masa yang berbeza. Ini adalah kerana wujudnya perbezaan yang berbeza bagi tiap-tiap orang. Ada sesetengan orang yang bekerja sendiri dan ada orang yang bekerja dengan orang lain atau makan gaji. Masa adalah penting untuk mempelajari berkenaan dengan ilmu pelaburan. Dengan masa juga seseorang itu boleh memantau keadaan pasaran dan juga boleh melakukan sesuatu untuk kebaikan pelaburannya. Maka dengan itu bolehlah seseorang pelabur itu membuat pilihan yang tepat berkenaan dengan produk pelaburan dan cara pelaburan.

Untuk menjadi pelabur yang berjaya, maka pelabur tersebut mestilah menyediakan masa yang cukup untuk pelaburannya. Pelabur-pelabur yang hebat didunia ini juga mempertaruhkan masa sepenuhnya terhadap pelaburannya. Orang yang terkaya didunia buat masa sekarang ialah Warren Buffet adalah merupakan pelabur sepsenuh masa. Begitu juga Peter Lynch, beliau juga merupakan pelabur sepenuh yang berjaya. Ada yang mengatakan bahawa adalah sukar untuk berjaya dalam pelaburan jika ia dilakukan secara separuh masa, namun ia bukanlah satu perkara yang mustahil.

Walaupun bagaimanapun perlu diingat bahawa perbincangan ini adalah berkaitan dengan unit amanah. Maka bagi mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor mungkin tidak mampu untuk menjadi pelabur sepenuh masa. Kebanyakan pelabur yang membuat pelaburan dalam unit amanah menggunakan perkhidmatan daripada perunding-perunding unit amanah yang terlatih dan profesional. Oleh yang demikian kajian ini juga merupakan sebagai panduan bagi mereka yang tidak mengetahui berkenaan dengan pelaburan unit secara mendalam. Ini juga tidak lain dan tidak bukan adalah untuk pelabur bagi mengelak kerugian akibat risiko-risiko yang terlepas pandang dan akhirnya matlamat pelaburan itu gagal untuk mencapai matlamat yang sepatutnya.

Berbalik kepada masa yang diperlukan sekiranya seseorang itu mahu menjadi seorang pelabur yang berjaya, maka perlu diingat bahawa lebih banyak masa yang diluangkan terhadap pelaburan, maka lebih besarlah peluang untuk berjaya.
Minat Terhadap Produk-Produk Pelaburan.

Apabila seseorang pelabur mempunyai minat terhadap produk-produk pelaburan, maka sudah tentu dia akan mengambil tahu berkenaan dengan selok-belok produk tersebut. Maka dengan itu dia akan mengetahui sedikit sebanyak berkenaan dengan produk-produk tersebut dan begitu juga dengan dia mengetahui akan kewujudan produk-produk yang baru. Seharusnya perbandingan akan dibuat secara tidak lansung. Maka kesannya dia akan dapat membezakan kebaikan antara produk-produk sama ada produk baru atau yang telah sedia ada. Dengan minat ini juga, pelabur dengan sendirinya ingin mengetahui berkenaan dengan produk-pruduk ini dari masa ke semasa. Pelabur sebegini akan bertanya kepada perunding-perunding yang datang kepadanya dengan berbagai-bagai soalan yang berkaitan dengan produk-produk yang dipromosi oleh perunding-perunding tersebut dan ini juga merupakan cara mengurus risiko yang baik.

Pengetahun Dan Pengalaman Pelaburan

Pelabur yang mengetahui dan mempunyai pengalaman mengenai pelaburan, maka kuranglah risiko yang akan dihadapinya. Sebenarnya pembelajaran mengenai pelaburan bukanlah daripada wang yang berjaya diperolehi hasil daripada pelaburannya, tetapi pembelajaran sebenar ialah daripada kesilapan yang telah dilakukan. Oleh yang demikian, adalah perlu diketahui bahawa pengalaman sebenar dalam pelaburan bukanlah diambil daripada buku-buku dan seminar-seminar pelaburan, akan tetapi ia datang dalam berbagai-bagai situasi dan keadaan.

Faktor-Faktor Sosial

Apa yang perlu diambil kira oleh pelabur ialah berkenaan dengan status dirinya. Ia dinilai dari aspek samaada ia masih bujang atau sudah berkahwin, bilangan anak dan tanggungan yang dihadapinya. Tanggungan terhadap ibu bapa juga termasuk dalam faktor-faktor sosial dan begitu juga dengan tanggungan-tanggungan lain .


JENIS-JENIS UNIT AMANAH

1. Unit Amanah Tersenarai

Sesuai dengan namanya iaitu unit amanah tersenarai, maka maksud sebenarnya ialah unit amanah yang tesenarai yang di bursa saham, sebagai contoh Amanah Millenia Fund Berhad. Ia juga dikenali sebagai dana tertutup kerana ia mempunyai bilangan unit yang terhad. Bagi unit amanah tersenarai ini, unit hanya akan dijual pada tempoh tawaran awal dan selepas itu unitnya hanya boleh dibeli atau dijual melalui broker sepertimana yang berlaku pada saham tersenarai di bursa saham. Oleh itu syarikat pengurusan tidak akan membeli semula unit daripada pelabur yang ingin mengambil keputusan untuk menarik diri. Maka harga unit bagi dana tertutup ditentukan berdasarkan kepada penawaran dan permintaan.


2. Unit Amanah Yang Tidak Tersenarai

Unit amanah yang tidak tersenarai merupakan unit amanah yang tidak tersenarai atau diniagakan di bursa saham. Ia merupakan dana terbuka dan mengeluarkan unit baru untuk bakal pelabur. Akan tetapi sekiranya pelabur ingin membuat keputusan untuk menarik diri, maka syarikat pengurusan hendaklah membelinya semula daripada pelabur. Harga unit amanah tidak tersenarai ini adalah bergantung kepada nilai aset bersih beserta caj cualan.

Syarikat pengurusan boleh mengeluarkan unit selagi mana ada pembeli. Ini adalah kerana unit amanah jenis ini tidak mempunyai had terhadap unit dan boleh dikeluarkan oleh syarikat pengurusan. Bagi unit amanah di Malaysia, ianya dikawal oleh Suruhanjaya Sekuri. Oleh yang demikian, bilangan unit yang akan dikeluarkan oleh syarikat pengurusan kebiasaannya 300 atau 500 ribu unit sahaja. Sekiranya syarikat pengurusan ingin mengeluarkan apa-apa unit lagi setelah mencapai had yang telah ditetapkan, maka ia mestilah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuri .


KATEGORI-KATEGORI UNIT AMANAH

Didalam dana unit amanah yang tidak tersenarai terdapat beberapa kategori yang perlu diketahui oleh pelabur agar supaya ia lebih selesa dengan kepelbagain tersebut. Setiap istitilah-istilah bagi tiap-tiap kategori ini mempunyai tahap risiko yang berbeza. Kefahaman mengenai istilah-istilah tersebut akan lebih jelas jika dirujuk dalam prospektus. Ini adalah kerana dengan adanya kepelbagaian tersebut, pelabur boleh membuat keputusan yang paling baik mengikut tahap risiko yang termampu olehnya.

1. Dana Ekuiti

Dana ini merupakan antara dana amanah yang paling digemari oleh pelabur. Ini adalah kerana dana ini membari pendedahan kepada pelabur kepada pasaran saham. Dana ini disifatkan umum kerana ia malaburkan semua wang dalam pasaran ekuiti, pasaran saham, pasaran rantau dan juga dalam pasaran global. Maka dengan sebab itu itulah prestasi dana ini menggambarkan prestasi pasaran saham. Naik atau turun dana ini juga bergantung kepada nilai pasaran saham. Sekiranya nilai pasaran saham meningkat, maka nilai dana ini juga turut meningkat dan begitulah sebaliknya. Bagi dana ini terdapat empat dana yang berbeza, antaranya ialah:

a. Dana Pendapatan

dana ini tidak memberi banyak risiko kepada pelabur, maka ia amat sesuai bagi pelabur yang mencari pendapatan tetap. Disamping dana ini membayar dividen yang tinggi, namun dana ini juga memberikan bayaran yang konsisten. Apa yang menguntungkan pelabur ialah ini tetap akan membayar dividen walau bagaimana keadaan pasaran sekalipun. Maka jelas disini bahawa risiko yang dihadapi oleh pelabur adalah rendah, kerana dividen dibayar secara konsisten. Walaupun demikian terjadinya dana ini, perlu diingat bahawa pertumbuhan tidaklah sehebat mana.

b. Dana Pertumbuhan

dana pertumbuhan ini membuat pelaburan dalam yang lebih kecil dan syarikat yang baru yang ingin bertapak. Kelebihan bagi dani ini ialah ia mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang. Perlu diingat bahawa dana ini mempunyai risiko yang lebih jika dibandingkan dengan dana pendapatan. Ini adalah adalah kerana syarikat yang ditubuhkan adalah untuk tujuan ini. Mengenai pembayaran dividen biasanya sedikit dan berkemungkinan dividen lansung tidak dibayar.

c. Dana Pertumbuhan Agresif

jika dilihat kepada namanya, ia menunjukkan bahawa pulangan yang diberikan juga tinggi. Sememangnya dana ini memberi pulangan yang tinggi. Akan tetapi berdasarkan kepada takrif-takrif pelaburan, jika satu pelaburan yang berpotensi untuk memberi pulangan yang tinggi, maka risikonya juga tinggi. Dana ini membuat pelaburan di dalam syarikat yang berpotensi untuk tumbuh dengan pesat walaupun ia masih belum terbukti. Bersesuaian dengan namanya juga, maka objektif dana ini adalah untuk mendapat pertumbuhan yang tinggi. Pulangan bagi dana ini adalah tidak menentu. Dana ini juga memberikan dividen yang sedikit atau lansung tidak diberikan.

d. Dana Seimbang

objektif dana ini adalah untuk melindungi modal dengan aliran pendapatan yang munasabah, yang mana ianya diperoleh melalui pelaburan bercampur-campur termasuk saham cip biru, bongred tinggi dan pengurusan wang tunai yang seimbang. kewujudan dana seimbang ini adalah merupakan gabungan antara ekuiti dan pendapatan tetap ataupun gandingan antara dana pengembangan dan pendapatan dengan dana pasaran wang. Dana ini secara amnya melabur sabahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen pasaran wang. Ia mempunyai kelebihan yang mana ia berkeupayaan memberi pulangan yang tinggi daripada dana pasaran wang. Risikonya pula adalah lebih rendah daripada dana pengembangan dan pendapatan. Kebiasaannya pemegang unit bagi dana ini mangharapkan pulangan antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di bursa saham .

2. Dana Pendapatan Tetap

Objektif bagi dana ini adalah untuk memberi pendapatan yang tekal kepada pelabur dan bukannya memberi penekanan untuk memberi kuntungan modal. Dana ini melaburkan wang di dalam bon, sekuriti kerajaan serta wang tunai dalam bil. Risiko untuk melabur dalam dana ini adalah lebih kecil berbanding dengan dana ekuiti.

3. Dana Islam Atau Syariah

Dana ini menghadkan pelaburannya yang mana ia hanya boleh melabur dalam syarikat yang telah dililiuskan oleh syariah sahaja. Pelaburan hanya terhad di kaunter halal sahaja. Syarikat ini tidak melibatkan pelaburannya dalam perjudian, minuman keras dan juga yang transaksi yang bertentangan dengan hukum syara’ seperti riba, mengeluarkan dan menjual barangan yang haram serta yang mempunyai unsur-unsur gharar atau ketidakpastian seperti perniagaan insurans konvesional. Contoh bagi dana Islam atau Syariah ialah Dana Ittikal Public dan Dana al-Faiz CIMB . Bagi memastikan dana ini tidak melanggar prinsip-prinsip pelaburan yang berasaskan syariah, maka setiap dana ini dikehendaki mempunyai penasihat syariah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam selok belok yang berkaitan dengan Fiqh Muamalat. Panel penasihat inilah yang bertanggungjawab bagi memastikan pelaburan yang dibuat oleh dana ini berlanlandaskan perinsip-prinsip syariah.

1. Dana Pendapatan Seimbang

Dari segi nama ia hampir sama dengan dana seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Perbezaannya ialah dari segi pendapatan yang diperoleh dari dana ini ialah dalam satu tahun kewangan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk dividen. Dana ini memberikan pulangan pengembangan modal lebih rendah daripada dana seimbang, tetapi pulangan yang diberikan dalam bentuk dividen adalah lebih menarik daripada dana seimbang.

2. Dana Negeri

dana saham amanah yang diuruskan oleh institusi kerajaan negeri dinamakan sebagai dana negeri. Dana ini kadang-kadang memberi syarat-syarat tertentu kepada pelabur seperti hanya membuka peluang untuk melabur kepada pelabur bumiputera sahaja.

3. Dana Pasaran Wang

Dana ini hanya melabur dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja. Pelaburan tidak dibuat dalam sekuriti atau ekuiti di bursa saham seperti mana yang dilakukan oleh dana-dana yng lain. Risiko bagi dana pasaran wang ini adalah lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Oleh yang demikian pulangan yang diberikan terhadap pemegang unit adalah lebih rendah kerana adalah menjadi satu kelaziman bahawa pelaburan dalam instrumen pasaran wang akan mendapat pulangan yang lebih rendah berbanding dengan pelaburan di bursa saham.

4. Dana Syarikat Kecil Berkembang

Dana jenis ini adalah mempunyai risiko yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan dana saham amanah yang lain. Pelaburan dana ini biasanya dalam sekuriti ataupun ekuiti syarikat kecil yang sedang berkembang dan kebiasaannya belum stabil seperti mana syarikat-syarikat besar. Berdasarkan kepada definisi dana ini yang mana ia mengambil kira saiz syarikat di mana modal dana itu dilaburkan, seperti terdapat dana yang mengehadkan pelaburan dalam sekuriti syarikat yang mempunyai permodalan pasaran tidak melebihi RM800 juta.

5. Dana Bon

Dana ini pelaburannya hanya dihadkan dalam bon dan sekuriti hutang persendirian atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan dalam sekuriti ataupun ekuiti di bursa saham sepertimana yang dilakukan oleh dana saham amanah yang lain. Pulangan yang diberikan kepada pelabur juga lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan dana amanah yang melabur di bursa saham. Namun begitu risikonya juga adalah rendah.

6. Dana Modal Dijamin Atau Dilindungi

Dana ini merupakan dana tertutup selepas selesai satu jangkamasa ataupun setelah jumlah unit tertentu sudah dibeli oleh mana-mana pelabur. Tujuan dana ini diwujudkan ialah untuk memberi jaminan pada modal permulaan semasa melabur untuk pertama kali. Sekiranya pelabur ingin menjualnya semula, maka kadang-kadang pelabur tersebut akan dikenakan yuran yang dipanggil exit fee. Begitu juga sekiranya pelabur ingin menebus dana tersebut sebelum tiba masanya, maka dalam keadaan sedemikian pelabur tersebut akan dikenakan yuran penalti.

7. Dana Global

Tujuan dana ini diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan portfolio dari segi negara dan ekonomi yang berbeza dengan situasi tempatan.

8. Dana Informasi Dan Teknologi

Berdasarkan kepada namanya ia telah memberikan gambaran bahawa pelabuarannya mesti melibatkan industri tersebut. Dana ini membuat pelaburan aset dalam ekuiti syarikat industri teknologi dan informasi seperti infrastruktur internet, pngeluar komputer, pengeluar semikondukter dan telekomunikasi .

13. Dana Hartanah

Melabur dalan dana hartanah merupakan satu peluang kepada pelabur untuk menceburkan diri dalam pasaran hartanah. Ini adalah kerana hartanah memerlukan modal yang sangat tinggi iaitu dengan harga beribu-ribu dan ia boleh mencecah jutaan ringgit. Namun dengan dana hartanah ini, pelabur-pelabur kecil dengan modal yang sederhana mampu untuk menceburkan diri dalam pelaburan hartanah melalui dana ini. Pulangan yang diperoleh daripada pelaburan ini adalah daripada sewaan yang terkumpul dan juga daripada peningkatan harta tanah yang dimiliki. Kebanyakan dana ini tersenarai di pasaran saham berikutan sifatnya yang tidak cair. Contoh bagi dana amanah ini ialah seperti Am Global Property Equities Fund . Kepada pelabur yang ingin melabur dalam dana hartanah terlebih dahulu hendaklah mengenalpasti tentang dana hartanah ini. Ini adalah kerana ada saham yang namanya seperti dana hartanah ini, contohnya REIT (real estate investment trust). REIT bukanlah dana hartanah, akan tetapi ia adalah saham yang diniagakan seperti saham biasa .


PEMILIHAN DANA YANG SESUAI

Setelah memahami kategori unit amanaha secara terperinci, maka apa yang perlu dibuat seterusnya ialah memilih dana yang sesuai untuk dilaburkan. Ini adalah kerana unit amanah itu tidak mempunyai persamaan diantara satu sama lain. Setiap dana unit amanah mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Pemilihan ini perlu dibuat adalah untuk memberi jaminan memberi pulangan yang baik. Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria yang ada pada dana tersebut. Dianatara kriteria tersebut ialah:

1.Dana Unit Amanah Yang Dapat Memenuhi Objektif Yang Diingini

Apa membuat penting dalam membuat pemilihan mengenai dana unit amanah ialah bahawa dana tersebut dapat memenuhi objektif kewangan pelabur tersebut. Setiap pelabur mempunyai objektif pelaburan yang berneza. Ada sesetengah pelabur yang meletakkan pertumbuhan modal sebagai obtektif utama pelaburannya. Maka dalam hal yang sedemikian, pelabur berkenaan mestilah memilih dana yang meletakkan pertumbuhan modal sebagai objektif utamanya.

Jika pelabur gagal membuat pilihan dana mengikut objektif yang diingini, mungkin pelabur tersebut juga tidak akan dapat seperti mana yang dihajati, sebagai contoh sekiranya seseorang pelabur yang inginkan pelaburan yang dapat memberikan pertubuhan modal kepadanya, akan tetapi dia memilih dana bon, maka dengan itu sudah tentu objektifnya gagal kerana dana bon tidak dapat memberi pertumbuhan modal seperti mana yang diingini. Begitu juga jika pelabur inginkan pelaburan yang boleh memberikan pendapatan, maka pilihlah dana yang membayar dividen secara tekal. Sekiranya pelabur memilih dana pertumbuhan yang agresif, maka sudah tentulah objektif kewangan pelabur tersebut tidak tercapai, kerana dana ini kebiasaannya membayar dividen yang amat sedikit

2. Pengurusan Dana Unit Amanah Yang Baik

Dalam kehidupan ini apa sahaja perkara mestilah diurus dengan baik. Apatah dana unit amanah, ia mesti diurus dengan baik kerana ia melibatkan wang kolektif daripada pelabur-pelabur yang sangat banyak. Oleh yang demikian, syarikat pengurusan unit amanah perlu sentiasa konsisten dalam mencapai objektifnya. Apa yang perlu diingatkan kepada pelabur-pelabur agar berhati-hati dengan mana syarikat pelaburan yang sentiasa berubah-ubah polisinya.

3. Mempunyai Rekod Pencapaian Yang Baik

Sudah tentu sebagai pelabur yang bijak akan memilih dana-dana unit amanah yang mempunyai rekod yang baik. Rekod pencapaian tersebut mestilah sekurang-kurangnya tiga tahun dalam prestasi memuaskan berbanding dengan dana yang mempunyai objektif kewangan yang sama. Harus juga diingatkan kepada pelabur bahawa prestasi lepas bukanlah satu petunjuk yang sah untuk menentukan dana tersebut akan menunjukkan prestasi yang sama untuk masa yang akan datang.

4. Perkhidmatan Yang Cemerlang

Setelah memilih dana yang mempunyai rekod pencapaian yang baik, pelabur juga mesti memilih syarikat pengurusan yang mempunyai atau sentiasa menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggannya. Perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat pengurusan boleh dijadikan sebagai ukuran bagi menentukan kecemerlangannya.

Salah satu bentuk perkhidmatan yang cemerlang yang diberikan oleh syarikat pengurusan kepada pelanggannya ialah dengan menyebarkan maklumat yang cepat serta tepat pada masanya. Syarikat pengurusan itu juga hendaklah segera memberi tidak balas terhadap segala pertanyaan serta mempunyai rekod yang tepat.

Sekiranya terdapat perkara yang menyebabkan pelabur kurang selesa dengan perkhidmatan yang diberikan seperti berlaku kelewatan dalam pembayaran dividen atau penebusan, maka syarikat tersebut boleh diragui kecemerlangannya. Maka dengan perkhidmatan yang diberikan oleh mana-mana syarikat pengurusan, bolehlah dijadikan ukuran bagi pelabur untuk menilai kecemerlangannya sebelum memilihnya.

5. Kos Yang Tidak Tinggi

Untuk mendapat pulangan yang baik dalam pelaburan unit amanah, pelabur tidak perlu untuk memilih dana yang mengenakan kos yang tinggi. Dengan pemilihan dana yang mengenakan kos operasi yang tinggi kemungkinan ianya akan memjejaskan prestasi dan begitu juga dengan kos yang tinngi tersebut akan mengurangkan pulangan kepada pemegang unit. Jika pulangan yang diberikan adalah rendah, maka sudah tentu pelabur akan merasa tidak puas hati. Oleh itu pelabur digalakkan untuk memilih dana yang mempunyai kos yang rendah kerana dana tersebut mengenakan caj jualan yang rendah atau lansung tidak mengenakan sebarang caj jualan .