DONATE

Jumaat, 19 Disember 2008

UNDANG-UNDANG TANAH: KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK MENGIKUT AKTA TANAH 1960

1.0 PENDAHULUAN

Kawasan–kawasan penempatan berkelompok yang ditubuhkan merupakan dasar pembangunan luar bandar yang bertujuan untuk memperbaiki status ekonomi penduduk luar bandar terutamanya golongan miskin. Ia melibatkan peluang pekerjaan dan memanjangkan faedah pembangunan kepada golongan miskin. Dasar ini juga melibatkan pembasmian kemiskinan, peningkatan produktiviti dan kualiti hidup serta kesampaian kemudahan asas kepada golongan miskin.

Kini keadaan di kawasan-kawasan penempatan berkelompok boleh dikatakan bahawa maksud sebenar kerajaan untuk membasmi kemiskinan sudah tercapai. Jika dilihat di sekitar kawasan-kawasan penempatan tersebut seperti FELDA telah menunjukkan suasana penempatan yang begitu baik. Apa yang dapat dilihat ialah di kawasan-kawasan penempatan tesebut sudah memiliki kemudahan-kemudahan asas yang menjadi keperluan penduduk. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan seperti hospital yang berdekatan, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya termasuklah wujudnya pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terletak di jengka.

Walaupun demikian berkenaan dengan kemajuan yang telah dicapai di kawasan-kawasan penempatan berkelompok, namun terdapat juga masalah yang boleh dikaitkan dengan masalah pembahagian harta menurut syara’. Perlu disedari bahawa kawasan-kawasan penempatan berkelompok itu merupakan tanah yang tertakluk kepada seksyen 16 Akta Tanah 1960 di mana akta ini menghendaki supaya tanah itu hendahlah diturun milik kepada seorang waris yang berhak sahaja. Sekiranya semua ahli waris bersetuju supaya tanah itu diberikan kepada seorang sahaja maka urusan tersebut tidaklah sampai menyebabkan tanah tersebut dijual. Ini adalah kerana apabila tidak ada persetujuan dikalangan ahli waris berkenaan dengan penurunan milik kepada seorang sahaja, maka pentadbir boleh menjual tanah tersebut dan hasilnya akan dibahagikan mengikut faraid.



2.0 DEFINISI TANAH

Mengikut kamus undang-undang, tanah merupakan bahagian yang keras dipermukaan bumi. Menurut ahli-ahli ekonomi pula, tanah ialah semua jenis bahan-bahan semulajadi. Pengertian tanah sebagaimana yang diperuntukan di dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara pula ialah permukaan bumi dan segala benda yang menjadi permukaan bumi tersebut, bumi dibawah permukaan bumi tersebut dan segala benda yang ada di dalamnya, segala tumbuh-tumbuhan dan lain-lain keluaran semulajadi sama ada atau tidak memerlukan penggunaan buruh secara berkala untuk pengeluarannya, dan sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi, segala benda yang tercamtum kepada bumi atau yang terpasang dengan kekal kepada apa-apa benda yang bercantum kepada bumi sama ada di atas atau di bawah permukaan bumi dan juga tanah yang diliputi air .

Dalam istilah Latin harta tanah membawa maksud “ad caelo usque ad centrum”. Ia bererti dari ruang udara hingga ke pusat bumi. Berdasarkan kepada takrif tersebut bahawa tanah pada teorinya adalah merupakan apa-apa sahaja di atas permukaan bumi, bumi itu sendiri dan apa-apa yang di bawahnya hingga ke pusat bumi .

Di dalam undang-undang Islam, konsep tanahnya adalah hampir-hampir sama dengan konsep tanah sepertimana di dalam undang-undang sivil. Mengikut undang-undang Islam, apa-apa benda yang telah dilekat atau dipasang kepada tanah bagi tujuan-tujuan tertentu adalah dianggap sebahagian daripadanya sehinggalah benda itu ditanggalkan atau diasingkan.

Walaupun konsep tanah tidak dijelaskan secara terperinci di dalam undang-undang Islam, namun apa yang penting disini ialah bahawa apabila tanah itu sudah menjadi milik seseorang secara sah mengikut undang-undang, maka tanah itu menjadi hartanya. Apabila berlaku kematian tuan tanah, maka tanah tersebut akan diwarisi oleh ahli-ahli waris. Terdapat perbezaan berkenaan dengan pembahagian harta mengikut undang-undang Sivil dan undang-undang Islam.


3.0 JENIS-JENIS TANAH

1. tanah ladang kecil

Tanah ini boleh dimiliki oleh seseorang secara keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai harta yang tidak boleh dibahagikan. Tanah ladang kecil biasanya dimilinya oleh pekebun-pekebun kecil dan menjadi warisan yang didaftarkan. Kegunaan tanah ini adalah untuk aktiviti penanaman seperti getah, kelapa sawit, nanas, koko dan lain-lain lagi.


2. tanah pusaka

Tanah ini dikenali juga sebagai tanah warisan, ia diturunkan hak miliknya dari satu generasi ke satu generasi yang seterusnya. Sebagai contoh hak milik tanah A diturunkan daripada seorang bapa kepada anaknya setelah kematiannya dan begitulah seterusnya . Berkenaan dengan tanah pusaka ini, di dalam undang-undang Islam ia dibahaskan di dalam satu skop yang sangat mendalam.

4.0 TAKRIF TANAH BAGI KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK MENGIKUT AKTA TANAH 1960

Walau apapun definisi tanah menurut undang-undang sivil dan undang-undang Islam, namun mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960 mempunyai peruntukan-peruntukan tertentu yang mesti dipatuhi. Dalam akta ini hanya melibatkan seksyen 14, 15 dan 16 sahaja. Dalam seksyen tersebut memperuntukan bahawa:

Seksyen 14: pegangan luar bandar hanya boleh dikeluarkan kepada seorang sahaja yang dibenarkan mengikut peruntukan di bawah seksyen 19 dan tidak dibenarkan tuan punya bersekutu memilik pada bila-bila masa.

Seksyen 15:
1. tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh pada bila-bila masa di belah bagi.
2. tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar tidak boleh dipegang secara Undivided Shares.
3. tanah di bawah pegangan luar bandar tidak boleh dipajak atau dipajak kecil kesemua atau sebahagiannya.

Seksyen 16: di mana mengikut seksyen 15 tanah yang terkandung dalam pegangan luar bandar apabila di atas kematian pemegangnya diboleh kerana perbicaraan kuasa dengan cara belah bagi atau pembahagian Undivided Shares, orang-orang yang yang berhak di atas pegangan ini hendaklah memulangkan hak-hak mereka kepada seorang pemegang dan sekiranya tidak dapat dibuat penyerahan, pegangan itu handaklah dijualkan mengikut perintah Pemungut dan hasil jualan pegangan itu mengikut hak masing-masing dibahagikan mengikut undang-undang .

Di dalam seksyan 16 itulah ada yang menyatakan bahawa ia bercanggah dengan sistem pusaka Islam. Ini adalah kerana dalam sistem pusaka Islam, setiap ahli waris sama-sama berhak terhadap harta benda yang diperolehi dari peninggalan simati kecuali di atas beberapa sebab tertentu yang menjadi halangan dalam pewarisan harta.

Mengikut sistem pembahagian harta Islam, konsep pembahagian harta dengan cara tidak dipecah-pecah bentuk fizikalnya adalah tidak bercanggahan. Apa yang bercanggahan dengan dengan sistem pembahagian harta Islam ialah apabila habuan ke atas ahli-ahli waris itu dinafikan. Sebagai contoh apabila berlaku bicara kuasa, ahli-ahli waris yang berumur kurang dari 18 tahun tidak dipanggil untuk hadir bersama, sedangkan mereka merupakan ahli-ahli waris yang sah dari segi hukum faraid yang mereka mempunyai hak ke atas harta-harta tersebut .


5.0 HARTA PENINGGALAN SIMATI BAGI KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK

Di dalam kawasan-kawasan penempatan berkelompok sebagai contoh di penempatan FELDA, jenis-jenis tanaman yang diusahakan di kawasan tersebut adalah seperti kelapa sawit, getah, tebu, dan juga koko. Kebanyakannya seorang peneroka diberikan sebidang tanah seluas antara 6 hingga 10 ekar beserta sebidang tanah untuk kediaman.

Mengenai pembayaran untuk memiliki tanah tersebut ia dibuat dengan cara Bayaran Tahunan Disatukan atau Consolidated Annual Charge (C.A.C). Ia dibayar setelah tanah tersebut mengeluarkan hasil. Kebiasaanya memakan masa selama 6 tahun. Pembayaran tanah tersebut dapat dilangsaikan dalam masa lebih kurang 15 tahun. Setelah bayaran sepenuhnya telah dibuat dan juga tanah itu sudah pun diukur, maka pejabat tanah daerah berkenaan akan mendaftarkannya serta memberikan pemilikan.


6.0 ISU-ISU YANG TIMBUL SETELAH KEMATIAN PEMILIK TANAH

Berdasarkan kepada seksyen 16, apabila pemilik telah meninggal dunia, maka tanah tersebut hendaklah diwariskan kepada seorang pemegang sahaja dari kalangan ahli-ahli waris. Jika persetujuan dari kalangan ahli-ahli waris tersebut gagal dicapai, maka tanah tersebut hendaklah dijual dan dibahagikan mengikut undang-undang. Bagi yang masih belum mendapat hak milik kerana belum menghabiskan bayaran, maka tanah tersebut terikat dengan FELDA dan segala pengurusan akan dikendalikan mengikut FELDA.

Bagi yang telah melangsaikan pembayaran dan telah didaftarkan sebagai hak milik, maka urusan yang berkaitan dengan kematian akan dilakukan oleh pihak yang namanya didaftarkan dalam hak milik tersebut. Dalam hal ini ahli-ahli warislah yang akan menguruskannya mengikut amalan-amalan pembahagian sebagaimana yang telah diperuntukan di bawah seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960.

Persolan yang timbul ialah bagaimana pembahagian tanah tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid. Walaupun cara untuk membahagikan tanah tersebut adalah mengikut akta tersebut, namun di sini perlu pula dilihat kepada takrif tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok sama ada ia tergolong dalam Akta (pembahagian) Pusaka Kecil 1955 atau sebagainya.

Jika dilihat kepada tanah yang dipegang oleh pemilik tanah di kawasan-kawasan penempatan berkelompok khususnya di rancangan FELDA, nilai tanah tersebut adalah kurang daripada RM 600.000. Maka tanah tersebut termasuk di bawah Akta (pembahagian) Pusaka Kecil dan pembahagiannya juga termasuk di bawah akta ini. Tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok ini juga disebut sebagai “harta takalih”. Ini adalah kerana ciri-ciri harta tak alih adalah seperti berikut:

1. tanah termasuk tanah lombong dan kepentingan (tanah atau bahagian yang tidak dibelah bagi gadaian, pajakan yang didaftarkan dengan nama simati sebagai tuan punya, sebagai pentadbir atau sebagai tuan tanah);
2. tanah yang dicatitkan di dalam Daftar Permohonan Yang Diluluskan (‘Roll of Approved Applications)
3. tanah atau bahagiannya yang dipegang oleh seorang Pemegang Amanah bagi pihak simati;
4. tanah atau bahagiannya yang patut diturunkan kepada simati daripada satu pusaka yang sedang dibahagikan;
5. pegangan yang dimaksudkan oleh Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960;
6. kepentingan seorang yang belum dewasa di dalam sebidang tanah yang dipegang untuknya oleh pemegang amanah;
7. sesuatu kepentingan dalam gadaian atau pajakan.

Berdasarkan kepada ciri-ciri tersebut, maka jelaslah bahawa tanah bagi kawasan-kawasan penempatan berkelompok merupakan harta takalih dan pembahagiannya mestilah dibuat berdasarkan undang-undang pusaka iaitu seperti mana yang diperuntukan di bawah Akta (pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955. Seperti mana yang telah dijelaskan mengenai peruntukan di bawah seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, maka pembahagiaannya juga seperti mana yang telah diperuntukan dalam seksyen tersebut.

Oleh yang demikian ada pula pihak yang mempertikai bahawa, jika pembahagiannya mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, bolehkah ianya menepati hukum syarak? Bagi menjawab persoalan tersebut, maka ucapan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri pada 27 April 1960 ketika membentangkan Rang Undang-Undang bagi Akta tersebut dijadikan hujah dalam menentukan sama ada pembahagian boleh dibahagikan mengikut hukum syara’ ataupun tidak. Diantara petikan daripada ucapan tersebut ialah:

“section 16 prohibits, upon the death of a holder, the distribution of a holding among a number of beneficiaries. It will be necessary for the beneficiaries to agree that the interest in the land should be assigned to a single holder and in default of such assignment, collector has the right to close the holding and dispose of the proceeds. I have been advised that the provisior will not infringe the principles of the Islamic Law as the land before alienation is subject to this condition already and therefore the settlers when they take up the land must accept the land together with the condition already attached to the land”

Apa yang dapat difahami daripada petikan ucapan Tun Abdul razak tersebut, bahawa dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa apa yang diperuntukan dalam seksyen 16 Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelopok) 1960 ialah bahawa apabila berlaku kematian pemilik tanah, maka pemilikan itu mesti diturunkan pemilikannya kepada seorang ahli waris. Sebelum tanah tersebut diberi pemilikan kepada seorang pewaris, ahli-ahli waris yang lain mestilah memberikan persetujuan mereka berkenaan dengan perkara itu. Dalam hal ini juga pentadbir tanah berhak untuk melucutkan hak dengan menjual tanah tersebut dan membahagikannya mengikut undang-undang.

Dalam ucapan itu juga, Tun Abdul Razak ada menyatakan bahawa peruntukan ini tidak bercanggah dengan undang-undang Islam. Ini adalah kerana dalam mewarisi harta tersebut, terlebih dahulu mestilah mendapat persetujuan bersama dikalangan ahli waris. Selepas itu barulah harta tersebut diberi milik kepada seorang sebagai penama. Akan tetapi jika persetujuan untuk mewariskan tanah tersebut kepada salah sorang ahli waris gagal dibuat, maka tanah tersebut akan dijual dan hasilnya dibahagikan mengikut hukum faraid. Oleh yang demikian semua ahli waris akan mendapat habuan mereka masing-masing .




7.0 PENDAPAT MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA BERKENAAN DENGAN SEKSYEN 16 AKTA TANAH (KAWASAN-KAWASAN BERKELOMPOK) 1960.

Muzakarah jawatankuasa fatwa telah bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 di mana dalam muzakarah tersebut isu ini dibincangkan dengan lebih terperinci. Walaubagaimanapun dalam muzakarah tersebut terdapat beberapa peringatan yang perlu diambil perhatian secara serius. Diantara peringatan yang diberikan ialah:

a. pembahagian harta pusaka yang bercorak tanah, yang tidak dapat diselesaikan secara hak milik, maka pihak berkuasa bolehlah menyelesaikan dengan apa cara juga yang sesuai dan munasabah mengikut hukum syara’.

b. Di dalam Islam pembahagian harta pusaka merupakan syer atau saham dan sekiranya tidak mendatangkan faedah, pemerintah bolehlah menggunakan kuasanya dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut tanpa mendapat persetujuan daripada semua waris.

Berdasarkan kepada pendapat muzakarah jawatankuasa fatwa tersebut, pihak pemerintah diberikan kuasa dalam menyelesaikan masalah pembahagian hartanah tersebut yang mana jika ianya gagal diselesaikan dengan cara yang munasabah walaupun tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.

Oleh yang demikian di dalam peringatan tersebut ada menyebut bahawa kuasa yang telah diberikan itu mestilah tidak digunakan dengan cara yang salah sehingga melampaui hukum syara’. Ini adalah supaya setiap syer atau saham yang sepatutnya diperolehi oleh setiap ahli-ahli waris tersebut tidak diketepikan. Walaupun sistem faraid Islam mengakui berkenaan dengan penurunan hak milik kepada seorang ahli waris dengan cara persetujuan diantara mereka, namun apa yang penting untuk diberi perhatian ialah habuan dan peruntukan yang telah ditetapkan kepada mana-mana ahli waris seperti mana yang telah ditetapkan dalam ilmu faraid yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali .


8.0 PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian bermaksud harta yang diperoleh secara usaha sama oleh suami dan isteri. Apa yang penting dalam hal ini ialah syaratnya iaitu sumbangan masing-masing ketika mendapatkan harta tersebut. Bagi negeri-negeri di Malaysia, pambahagian harta tersebut adalah berbeza. Perbezaan ini adalah disebabkan pemahaman yang berbeza terhadap konsep harta sepencarian itu sendiri. Walaubagaimanapun bagi konsep harta sepencarian ini, ianya terdapat dua konsep yang berbeza iaitu:

a. sumbangan isteri terhadap harta yang diperoleh bersama ketika berkahwin dinilai sebagai upah. Oleh yang demikian pihak isteri hanya layak menerima bahagian yang setimpal dengan sumbangannya terhadap harta tersebut.

b. Sumbangan isteri terhadap harta tersebut tidak dianggap sebagai upah. Malah pihak isteri berhak mendapat setengah daripada harta yang diperoleh semasa perkahwinan. Wujud dibeberapa buah negeri yang menentukan bahawa pihak isteri berhak mendapat satu pertiga daripada harta yang diperoleh semasa perkahwinan .


9.0 PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN BAGI KAWASAN-KAWASAN PENEMPATAN BERKELOMPOK

Setelah perbincangan mengenai pembahagian harta simati, maka timbul lagi satu isu iaitu pembahagian harta sepencarian. Dalam kes seperti ini, FELDA juga turut menyelesaikan tuntutan-tuntutan harta sepencarian yang dibuat oleh isteri-isteri peneroka. Tuntutan ini dibuat kerana berlaku perceraian diantara suami dan isteri. Tuntutan boleh dibuat kerana ianya selaras dengan dasar FELDA bahawa “tanah yang telah diperuntukan kepada simati adalah merupakan harta sepencarian”. Oleh yang demikian sibalu akan diberi keutamaan sebagai pengganti kerana dia telah bersama masuk kerancangan bersama simati. Maka dengan dasar inilah wujudnya garis panduan untuk menyelesaikan masalah tuntutan harta sepencarian terhadap suami yang menceraikan suaminya.

FELDA telah meletakkan garis panduan dalam pembahagian harta sepencarian yang dituntut oleh isteri setelah diceraikan oleh suaminya. Diantara peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh FELDA adalah seperti berikut:

a. harta sepencarian hendaklah diertikan sebagai nilai jumlah bayaran kembali yang telah dijelaskan oleh peneroka FELDA sehingga tarikh perceraian berlaku dan takrif “bayaran kembali” ialah hutang kembali serta faedah kepada FELDA tetapi tidak termasuk:

1. bayaran tahunan yang disatukan yang dibayar kepada kerajaan negeri
2. bayaran penyelenggaraan
3. bayaran caruman simpanan tanaman semula; dan
4. bayaran caruman untuk tabung pemilihan ladang dan insuran rumah

b. kadar pembahagian harta sepencarian kepada janda ialah 50% daripada nilai jumlah bayaran kembali yang dijelaskan sehingga perceraian berlaku.

c. Cara bayaran harta sepencarian kepada janda dibuat secara bayaran sekaligus atau secara ansuran, kadar bayaran tidak akan kurang dari RM75.00 dan tidak akan melebihi RM150.00 sebulan.

d. Peraturan ini akan meliputi semua peneroka tanpa mengira agama dan keturunan.

Berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang dibuat, maka ia menunjukkan bahawa kadar pembahagian harta tersebut ialah 50%. Ini bermakna pihak isteri mendapat sebahagian daripada harta tersebut. Kadar tersebut diberikan sedemikian kerana syarat kemasukan peneroka ke rancangan mestilah bagi mereka yang sudah berkahwin. Maka takat sumbangan isteri dalam usaha memperolehi tanah tersebut adalah sangat besar. Dengan itu wajarlah siisteri mendapat dengan jumlah tersebut .

Wujud sedikit percanggahan berkenaan dengan tuntutan harta sepencarian dimana jika suami tersebut bepoligami. Dalam kes seperti ini, hanya diperuntukan bagi isteri yang berada di rancangan itu sahaja yang berhak menuntut harta sepencarian. Maka jelas disini bahawa prinsip ini bercanggah dengan hukum faraid Islam dimana semua isteri berhak ke atas harta peninggalan simati. Isteri-isteri berhak mendapat harta peninggalan simati tersebut secara kongsi sama ada satu perempat (jika tidak mempunyai anak) atau satu perlapan (jika mempunyai anak) daripada harta peninggalan simati . Walaubagaimanapun perbincangan antara mereka perlu dibuat, agar keadialan dalam pembahagian harta tersebut tercapai.


10.0 KESIMPULAN

Setelah meneliti kaedah-kaedah pembahagian tanah mengikut Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960, maka sebernarnya ia boleh dibahagikan mengikut pembahagian hukum faraid Islam. Kajian yang mendalam perlu dibuat sebelum membuat keputusan sama ada ianya bercanggah dengan atau tidak. Setelah dikupas berdasarkan kepada beberapa prinsip undang-undang, maka terjawablah beberapa persoalan yang sering menjadi perbincangan hangat terutama sekali dari kalangan penduduk di kawasan-kawasan penempatan berkelompok itu sendiri.

Berdasarkan kepada pendapat hasil daripada muzakarah jawatankuasa fatwa, ia banyak membantu untuk merongkai permasalahan ini yang sudah sekian lama menjadi persoalan. FELDA sendiri mempunyai garis panduan yang tidak bercanggah dengan hukum syara’ mengenai kadar pembahagian harta tersebut. Peraturan-peraturan tersebut perlu diikuti kerana wujud prinsip-prinsip keadilan seperti mana yang dikehendaki dalam Islam.

Walaubagaimanapun terdapat sedikit percanggahan dalam penbahagian harta sepencarian bagi suami yang berpoligami. Walaupun FELDA hanya menetapkan perturan mengenai tuntutan harta sepencarian untuk isteri yang berada dirancangan tersebut sahaja, namun perbincangan boleh dibuat untuk mencapai keadilan sepertimana yang digalakkan oleh Islam.









BIBLIOGRAFI


Akta Tanah (kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960

Kertas kerja Tan Sri Datuk Hj. Arsad Ayub, “ Harta Perolehan Dari Agensi-Agensi Kementerian Kemajuan Tanah Dan Kemajuan Wilayah”, dlm. Seminar Faraid Peringkat Kebangsaan, di Bahagian Pentadbiran Dan Perundangan Tanah, Kuala Lumpur, pada bulan Mei, 1983.

Ridzuan awang, 1994, Undang-undang tanah Islam pendekatan pembadingan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahriza Osman Shahril, 2006, asas pengurusan harta tanah. Universiti Utara Malaysia.

Siti Zalikhah Md. Nor, 1996, Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: