DONATE

Jumaat, 19 Disember 2008

BOLEHKAH KAFIR ZHIMMI MENJAWAT JAWATAN HAKIM?

1.0 PENGENALAN

Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang tertinggi di dalam pentadbiran sesebuah Negara. Tugas mereka amatlah berat demi memastikan keadilan dan kemaslahatan umum akan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Institusi kehakiman seharusnya berada di tempat yang sepatutnya bagi mengekalkan status mereka sebagai majlis pengadilan yang dihormati lagi disegani. Di dalam suasana hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutamanya terhadap hubungan dan perpaduan masyarakat seperti pertelingkahan, perbalahan dan sebagainya.

Hakim merupakan satu jawatan yang sangat penting dalam sistem kehakiman dimana mempunyai tugas dalam memberikan penghakiman terhadap segala persengketaan yang timbul. Dalam menegakkan keadilan kepada manusia, sesebuah institusi kehakiman itu hendaklah mempunyai hakim-hakim yang cekap, berketerampilan, berilmu, beretika, bijaksana dan bermoral tinggi. Ini adalah supaya mereka terkawal sepanjang mereka menjalankan tugasnya dengan tepat dan adil.

1.1 Struktur Kehakiman Islam Dan Organisasinya.

Secara mudah, institusi kehakiman bermaksud satu saluran untuk mengadili dan menyelesaikan kes kesalahan menerusi penghakiman dan pemutusan hukum berdasarkan undang-undang yang sedia ada satu ijtihad hakim. Justeru itu, organisasinya di dalam bentuk yang mudah, sekurang-kurangnya meliputi hakim, para saksi dan pencatat. Hakim dan para saksi adalah memainkan peranan yang sangat penting dalam penghakiman dan pemutusan hukum.

Jawatan hakim merupakan suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca mata syarak, hingga dikatakan lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada di antara ulama’ yang mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan pemerintah atau sultan. dalam membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dititik beratkan antaranya hokum perlantikan hakim, kuasa melantik hakim, cara pemilihan hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan, syarat perlantikan dan permohonan jawatan hakim.

2.0 TUGAS SEORANG HAKIM

Dr. Wahbah al-Zuhaili (6:487) telah menyenaraikan sepuluh tanggungjawab yang dianggap sebagai tugas seseorang hakim:

1. Menyelesaikan pergaduhan di antara dua pihak sama ada dengan cara berdamai atau menerusi hokum yang diwajibkan.
2. Membenteraskan kezaliman, pencerobohan dan lain-lain serta melindungi mereka yang menzalimi disamping menyampaikan hak kepada yang berhak.
3. Melaksanakan hudud dan memelihara kesemua hak Allah.
4. Menguruskan kes-kes jenayah nyawa dan kecederaan.
5. Menguruskan harta anak-anak yatim dan orang gila serta melantik pengawal bagi memelihara harta benda mereka.
6. Menguruskan harta-harta wakaf.
7. Melaksanakan wasiat.
8. Melaksanakan akad perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali atau walinya ingkar.
9. Mengawasi apa saja yang berkaitan dengan kepentingan umum seperti pengawasan terhadap jalanraya dan lain-lain.
10. Menyuruh melakukan kebaikan (ma’ruf) dan melarang melakukan kemungkaran (mungkar) sama ada menerusi ucapan atau perbuatan.

2.1 Syarat Kelayakan Menjadi Hakim

Memandangkan kepada tugas-tugas di atas dengan berdasarkan kepada nas-nas tertentu dan pemahaman mereka tentang tuntutan syara’ (maqasid syari’ah), para fuqaha’ telah meletakkan beberapa syarat kelayakan dirin yang ketat pada calon hakim yang berperanan di dalam penghakiman sesuatu kesalahan, seperti:

1. syarat berakal,
2. baligh,
3. merdeka,
4. beragama Islam,
5. boleh mendengar,
6. melihat,
7. bercakap,
8. bersifat adil,
9. lelaki dan
10. mampu berijtihad

Tiga di antara syarat-syarat tersebut, iaitu bersifat adil, lelaki dan mampu berijtihad adalah di antara syarat yang dipertikai oleh para fuqaha’ tetang kepentingan dan keperluannya pada diri hakim.

Bersifat Adil:

Ia menjadi syarat menurut mazhab Maliki, Syafi’I dan Hanbali. Dengan itu mereka tidak mengharuskan seorang fasiq dan siapa saja yang tidak diterima kesaksiaannya menjadi hakim.
Berbeza dengan pendapat ulama mazhab Hanafiyang menatakan seseorangitu biarpun fasiq adalah layak untuk menjadi hakim. Walaupun begitu, mereka tidak menggalakkan tugas besar itu diserahkan kepadanya (orang yang fasiq).

Lelaki:

Hakim hendaklah seorang lelaki. Ini adalah pendapat ulama mazhab-mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Kelemahan akal dan fizikal adalah di antara sebab wanita tidak layak untuk menjadi hakim (pada sebahagian kes) disamping itu kerja-kerja penghakiman sentiasa akan berdampingan dengan orang-orang lelaki seperti fuqaha, para saksi dan mereka yang terlibat di dalam dakwaan.
Ulama mazhab Hanafi membolehkan seorang perempuan menjadi hakim di dalam kes-kes harta benda kerana kesaksiannya harus terima di dalam kes tersebut. tetapi di dalam kes hudud dan qisas, mereka adalah sependapat dengan ulama-ulama lain.
Hanya Ibn Jarir al-Tabari sahaja yang megatakan adalah harus secara mutlak orang-orang perempuan menjadi hakim kerana jika mereka harus menjadi mufti maka tentulah mereka diharuskan menjadi hakim.\

Mampu Berijtihad:

Kemampuan ini menjadi syarat pada diri seorang hakim menurut ulama mazhab Maliki, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Hanafi. Lantaran itu seorang yang jahil tentang hukum-hukum syara’ dan juga seorang muqallid tidak harus menjadi hakim kerana kedua-duanya tidak layak untuk memberi fatwa, maka sudah tentu mereka lebih tidaak berkelayakan untuk menjadi hakim.
Biarpun begitu, di dalam mazhab Maliki, seorang muqallid harus menjadi hakim jika bersama-samanya terdapat seorang yang mampu berijtihad (mujtahid).

Menurut jumhur mazhab Hanafi, hakim tidak disyaratkan dari kalangan mujtahid. Pada mereka, kelayakan beritihad itu hanya merupakan syarat utama sahaja. Dengan itu adalah harus melantik seorang bukan mujtahid menjadi hakim dan dia dibenarkan menjatuhkan hukum dengan cara bertaqlid kepada pandapat seorang yang mujtahid dan dengan cara begini dia sudah mampu melaksanakan ytanggungjawabnya. Tetapi keadaan sebegini tidaklah digalakkan.

Sekalipun ulama mazhab Syafi’e menekankan tentang perlunya syarat ini, tetapi di dalam suasana yang lain mereka mengatakan, jika seorang pemerintah yang berkuasa di dalam sesebuah kawasan melantik seorang fasik atau muqllid menjadi hakim maka penghakimannya adalah diharuskan kerana darurat.

Beragama Islam:

Syarat ini pada dasarnya diterima oleh semua ulama, tetapi di dalam perlaksanaannya mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan. Ulama mazhab Hanafi, misalnya membolehkan perlantikan seorang hakim bukan Islam untuk mengendalikan kes-kes kesalahan mereka sendiri. Begitu juga halnya dengan saksi-saksi bukan Islam, mereka dibenarkan memberi kenyataan di dalam kes-kes yang khusus di dalam kelompok mereka kerana, pada pendapat ulama mazhab ini, kelayakan menjadi hakim dibina atas kelayakan menjadi saksi, sedangkan seorang
Dhimmi adalah layak untuk memberi kesaksiannya terhadap dhimmi yang lain.

Memandangkan hakim adalah satu jawatan dalam sebuah kerajaan kerana itu ditentukan oleh kahalifah atau sultan sama seperti jawatan menteri, maka Islam telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada mereka yang ingin menduduki jawatan tersebut. Jester itu, para khlifah dan pemimpi terdahulu sangat teliti dan berwaspada dalam memilih calon yang benar-benar berkelayakan. Oleh itu, perlantikan hakim-hakim perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib dengan menetiliti sifat-sifat dan syarat-syarat yang digariskan oleh syarak.

Sharbini al-Khatib mengatakan: “tidak ada jalan yang lebih menonjol (dalam menyelesaikan pertelingkahan) selain daripada kehakiman. Jadi, ia tidak boleh diberikan kepada orang kafir kerana matlamatnya ialah menyelesaikan pertelingkahan, sedangkan orang kafir jahil mengenainya.” Ini menunjukkan kepada bahawa penegahan terhadap jawatan hakim di pegang oleh orang kafir.(al-syariah, kehakiman Islam, jilid 2)

Namun demikian, mazhab Hanafi membolehkan orang bukan Islam menjadi hakim untuk menyelesaikan pertelingkahan diantara mereka yang seagama dengannya kerana perlantikan itu tidak mendatangkan kemudaratan sebagaimana perlantikan orang Islam untuk menjadi hakim bago orang-orang Islam. Selain itu, mereka juga berhujah dengan Qiyas iaitu, sekiranya persaksian orang bukan Islam sesame mereka diterima, maka penghakiman sesame mereka juga seharusnya diterima. Madkur, salah seorang ulama’ mutakhir memilih pendapat ini. Beliau juga membolehkan penghakiman orang kafir ke atas orang Islam dalam masalah sivil, tetapi tidak didalam masalah kekeluargaan.
Ulama mazhab Hanbali di dalam satu kes yang khusus telah mengharuskan penerimaan kesaksian saksi seorang bukan Islam, iaitu kes wasiat seorang Islam ketika di dalam perjalanan. Penerimaan ini, kemungkinan besar berdasarkan kepada kesedaran mereka tentang suasana darurat yang berlaku.

Begitu juga diriwayatkan daripada Imam Malik, beliau telah mengharuskan kesaksian dua doktor bukan Islam dalam menetukan kadar kecederaan dan sebahagian kecacatan anggota ketika ketiadaan saksi-saksi Islam. Sikap ini juga boleh dianggap sebagai mengambil kira suasana darurat seperti kes wasiat di atas.

Jika di dalam suasana darurat ulama telah mengharuskan penerimaan kesaksian saksi-saksi bukan Islam di dalam kes-kes wasiat dan kecederaan, maka lanjutan keadaan ini apakah tidak harus diterima kesaksian mereka di dalam kes-kes lain di mana tidak terdapat saksi-saksi Islam? Ini juga merupakan suasana darurat. Maka kita dapati bahawa Ulama mutakhir Hanbali membolehkannya. Di dalam hubungan ini Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahamad Barakah berpendapat, setelah beliau meneliti pelbagai nas berkaitan dengan saksi dan juga pendapat para fuqaha, bahawa kesaksian saksi bukan Islam hanya tidak diharuskan terhadap orang-orang Islam di dalam kes talak dan seumpamanya yang berkaitan dengan hukum-hukum kekeluargaan. Tetapi dalam kes-kes kesalahan sivil lain, kesaksian harus diterima tanpa mengambil kira perbezaan agama. Berdasarkan kepada kenyataan ini, bolehlah dirumuskan dari sudut siyasah shar’iyyah, bahawa adalah tidak sah pengahakiman hakim bukan Islam di dalam .kes-kes berkaitan dengan undang-undang diri, sekalipun boleh dikatakan keharusannya di dalam kes-kes sivil dan seumpamanya.

Hal ini disebabkan realiti masyarakat memaksa syarat ini diberi sifat murunah (flexibility) khususnya apabila sesuatu kes itu berlaku di dalam masyarakat yang berbilang etnik dan agama seperti apa yang sedang kita hadapi di Malaysia hari ini.
Jika kita andaikan sesuatu kesalahan itu berlaku di kalangan orang-orang Islam sahaja, maka sudah tentu syarat Islam seseorang hakim itu dapat diselaraskan, tetapi bagaimana dengan kes yang berlaku di antara orang-orang bukan Islam sahaja. Jika mereka merujuk kepada kehakiman Islam, tentulah hakimnya seorang Islam. Tetapi bagaimana jika mereka merujuk kepada kehakiman mereka (berdasarkan kepada pendapat yang mengharuskannya)? Tentulah hakim mereka adalah ahli agama mereka sendiri yang tidak beragama Islam. Dengan itu di dalam kes seperti ini, syarat beragama Islam pada diri seorang hakim tidak dapat dipertahankan.

3.0 HAKIM BUKAN ISLAM

Pendapat fuqaha:

Dalam isu perlantikan hakim bukan Islam ini didapati para fuqaha mazhab-mazhab Islam telah berpecah kepada tiga kelompok besar,

Kelompok Pertama:

Tidak harus sama sekali bagi pemerintah melantik hakim bukan Islam sama ada untuk menghakimi kes orang-orang Islam atau bukan Islam. Mereka berhujah dengan kedudukan seorang bukan Islam yang tidak layak untuk menjadi saksi sekalipun ke atas orang-orang bukan Islam. Jika dia tidak layak untuk menjadi saksi, maka sudah tentu dia tidak layak diterima untuk menjadi hakim. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha.

Kelompok Kedua:

Harus bagi pemerintah melantik seorang bukan Islam menjadi hakim sekalipun penghakimannya tidak sah bagi kesalahan seorang Islam. Pada mereka, seorang hakim dhimmi harus menghakimi kes ahl al-dhimmiah. Kedudukannya sebagai hakim khusus bagi mereka tidak menjejaskan apa-apa sudut kuasanya (wilayahnya) sama seperti mengkhususkan hakim Islam menghakimi kesalahan orang-orang Islam. Mereka berhujah dengan kedudukan seorang dhimmi yang berkelayakan menjadi saksi bagi kes orang-orang dhimmi dan musta’min maka sudah tentu dia berkelayakan untuk menghakimi kes-kes kesalahan mereka kerana kelayakan seseorang menjadi hakim dibina atas kelayakannya menjadi saksi. Ini adalah pendapat ulama mazhab Hanafi.

Kelompok Ketiga:

Pendapat kelompok ini bertolak dari dua asas penting, iaitu kelayakan menjadi saksi (pegangan kelompok kedua), harus menerima kesaksian dari orang bukan Islam di dalam kes harta benda orang-orang Islam seperti saksi kepada wasiat seorang Islam di dalam perjalanan, begitu juga di dalam kes pepusakaan (menurut pendapat ulama mazhab Hanbali). Bertolak dari dua asas ini, Ibn Taimiyyah berpendapat, kesaksian seorang bukan Islam harus diterima sama ada sesuatu kes itu berlaku ketika di dalam masa perjalanan atau bermukim apabila sempurna kesemua syarat-syarat penerimaannya seperti yang ditentukan oleh fuqaha’. Di dalam pendapat lain, Imam Malik juga mengharuskan diterima pakai kesaksian dua orang doktor bukan Islam di dalam kes kecederaan kerana terdapat keperluan (al-hajah) kepada kesaksiannya.
Berdasarkan kepada semua di atas, ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah dan lain-lain, telah berani mengesahkan perlantikan hakim bukan Islam di dalam kes-kes sivil orang-orang Islam dan seumpamanya, melainkan kes-kes ahwal shakhsiyyah dan lain-lain yang termasuk di dalam bidang urusan dan hukum kekeluargaan Islam. Kedudukan ini agak lebih ketara (advanced) dari kedudukannya pada pendapat kelompok kedua yang membenarkannya menghakimi kes-kes khusus mereka sahaja.

Saya tidak mengatakan bahawa pendapat ketiga itu ada rasionalnya (kemunasabahannya) kerana kita dapati ia bertentangan dengan pendapat jumhur dan juga pendapat ulama mazhab Hanafi, satu kelompok yang amat besar bilangannya. Tetapi jika kita berpegang kepada pendapat pertama, maka sama sekali tidak ada ruang untuk kita menempatkan hakim bukan Islam di dalam urusan kehakiman negara sekalipun kes-kes yang dibentangkan itu adalah kes-kes mereka sendiri atau yang berkaitan dengan akidah dan urusan kekeluargaan mereka. mereka sudah tentu di dalam keadaan ,begini dipaksa menerima pakai keputusan hakim Islam yang berdasarkan kepada syariat Islam. Jika dilihat dari segi kebebasan berakidah yang diperuntukkan bagi mereka, keadaan ini adalah bercanggah.

Jika kita berpegang kepada pendapat kedua, maka ruang akan terbuka untuk mereka berperanan di dalam kehakiman negara setakat mana yang dibolehkan, iaitu bagi kes-kes khusus mereka. dengan itu tokoh-tokoh agama di kalangan mereka akan bertindak sebagai hakim-hakim yang sah di dalam menghakimi kes-kes tersebut. Tetapi pendapat ini juga tidak memberi jawapan kepada kes yang berlaku di antara orang Islam dan bukan Islam? Adakah dipisahkan kedua-dua yang terlibat di dalam penghakiman masing-masing? atau dibentuk satu mahkamah campuran di mana kes itu diadili oleh hakim dari kedua-dua belah pihak Islam dan bukan Islam? Atau ia diadili di mahkamah Islam berdasarkan kepada hukum Islam?
Di dalam sebuah negara di Malaysia, apabila sebuah perlembagaan bersepadu dapat diwujudkan, di mana tidak ada lagi pertentangan-pertantangan di antara perlembagaan negara dengan Syari’ah, maka pada peringkat ini mungkin akan timbul persoalan, bolehkah seorang hakim bukan Islam menghakimi kesemua kes orang-orang Islam atau hanya pada kes-kes tertentu sahaja? Inilah di antara sebahagian persoalan yang ingin dicari jawapannya oleh kertas ini.

Sebelum kita menerima atau menolak pandapat ketiga, saya rasa elok juga kita merenung kepada beberapa kenyataan berikut:

1. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa dua orang Yahudi yang berzina telah menawarkan kes itu untuk diadili dan dihukum oleh ahli-ahli agama mereka, tetapi apabila terbukti di hadapan baginda bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya kerana mereka sudah menjadi lemah dan tidak gemar berbunuh-bunuhan, maka baginda meminta empat orang saksi bagi menyabitkan kes tersebut, sesudah itu kedua-duanya diarahkan supaya direjam. Di dalam peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa baginda telah membenarkan orang-orang Yahudi merujuk kepada ahli-ahli agama mereka untuk menghakimi serta menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua pesalah tersebut. Ini ternyata sebagai satu keharusan yang membolehkan hakim-hakim bukan Islam berfungsi di negara Madinah pada masa itu. (rujuk al-Qurtubi, 5:84 dan Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah. 250).

2. Pada peringkat awal perkembangan Islam, para penganutnya menghadapi dua empayar besar, iaitu Rom dan Parsi. Kedua-duanya mempunyai sejarah dan tamadunnya yang tinggi mengatasi orang-orang Arab di dalam urusan pentadbiran negara khususnya di dalam bidang kehakiman.
Sepanjang catatan sejarawan dan fuqaha, tidak ada kenyataan yang menyebut bahawa para pemerintah Islam telah mengarahkan agar semua sistem kehakiman yang ada di negara-negara yang mereka tawan seperti Iraq, Syria dan Sepanyol dihapuskan atau diliucutkan hakim-hakimnya dari jawatan masing-masing. Begitu juga ketika kekuasaan Islam sampai ke India dan lain-lain.
Sebagai contohnya, ketika Mesir ditawan oleh tentera Islam di bawah pimpinan ‘Amru bin al-‘As, beliau telah melantik seorang hakim Qibti bagi setiap daerah di seluruh negara itu yang bertugas menyelesaikan kesemua permasalahan sama ada keagamaan, urusan kekeluargaan atau sivil bagi orang-orang bukan Islam bersesuaian dengan syari’at mereka. Begitu juga halnya dengan orang-orang dhimmi lainnya selain dari orang-orang Qibti.
Mu‘awiyyah bin Abi Sufyan, ketika menjadi gabenor di Syria, telah menyerahkan kesemua kes keagamaan orang-orang bukan Islam kepada hakim-hakim mereka sendiri menyelesaikannya secara berasingan. Tetapi di dalam kes-kes sivil yang lain, beliau melantik seorang hakim Islam disamping hakim Islam untuk sama-sama bekerjasama menghakimi kes-kes tertentu. (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 250,251).

3. Prinsip kebebasan beragama yang dipertahankan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam di sepanjang sejarah mereka adalah satu suasana yang memaksa wujudnya hakim-hakim bukan Islam bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan atau perbalahan yang berkaitan dengan aqidah mereka, khasnya pada zaman-zaman permulaan Islam, kerana urusan-urusan keagamaan yang sebahagiannya meliputi kekeluargaan hanya diketahui oleh ahli-ahli agama mereka sahaja. Dengan kedudukan ini, amatlah tidak wajar jika urusan-urusan mereka khususnya keagamaan diselesaikan oleh hakim-hakim Islam yang kurang maklumat tentang akidah dan persoalan-persoalan lain berhubung dengan agama mereka. Dengan itu, pendapat yang meletakkan beragama Islam sebagai salah satu syarat kelayakan diri yang mutlak pada seseorang hakim khususnya yang bertugas menyelesaikan pelbagai kes keagamaan orang-orang bukan Islam adalah tidak tepat dan perlu dirujuk semula (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 251).

4. Pertentangan pendapat di kalangan Imam-imam mazhab Sunni tentang tanggungjawab hakim Islam yang mengendalikan kes orang-orang bukan Islam. Imam al-Shafi’I, misalnya, mengatakan bahawa seorang hakim Islam boleh memilih, sama ada dia mahu menghakimi kes orang-orang dhimmi atau menolaknya kepada hakim dan kehakiman mereka sendiri. Tetapi jika mereka itu dari kalangan orang-orang musta’min, maka disyaratkan wujud kerelaan kedua-dua belah pihak yang terlibat (pendakwa dan orang yang didakwa) terhadap keputusan hakim Islam dan juga, pada waktu yang sama, memiliki hak pilihan sama ada menghakimi kes mereka atau menolaknya. Imam Malik pula mengatakan, hakim Islam wajib menerima kes orang-orang dhimmi dan menghakiminya. Beliau mengkhususkan hak pilihan bagi hakim Islam itu hanya pada aduan orang-orang musta’min sahaja. Imam Abu Hanifah berpendapat, di dalam kes dakwaan perempuan bukan Islam, disyaratkan suaminya bersetuju dengan keputusan hakim Islam. Tetapi jika suaminya tidak bersetuju, maka hakim Islam tidak harus membuat apa-apa keputusan mengenainya (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 252).

Sekali imbas kita dapat membuat kesimpulan dari pertentangan pendapat di atas, bahawa sebahagian ulama Islam lebih cenderung tidak membenarkan hakim Islam menghakimi kes orang-orang bukan Islam yang berlaku di negara Islam. Jika keadaan sedemikian maka siapakah yang akan menghakimi kes-kes mereka? Tentunya hakim dari kalangan mereka sendiri. Keadaan ini, menurut pandangan kita, tentulah mengharuskan pihak berkuasa Islam melantik hakim-hakim bukan Islam dengan mengecualikan syarat beragama Islam di dalam perlantikan itu.

Pendapat sebahagian fuqaha seperti di atas, iaitu apabila mereka membenarkan orang-orang Islam bebas dari keputusan hakim Islam, kemungkinan juga dipengaruhi oleh prinsip kebebasan berakidah yang dipertahankan Islam disepanjang sejarahnya. Lagipun konsep kedaulatan undang-undang, yang memaksa semua orang yang menetapdi dalam sebuah negara, sama ada rakyatnya atau pendatang, patuh kepada satu institusi kehakiman negara seperti yang diamalkan sekarang ini, belum lagi dikenali pada masa itu.

5. Jika kita perincikan syarat-syarat kelayakan diri pada seorang calon hakim seperti yang dibincangkan oleh fuqaha’, kita dapati bahawa syarat-syarat itu hanya khusus bagi calon hakim yang akan melaksanakan hokum-hukum Islam sahaja, seperti di dalam kes-kes kesalahan hudud, qisas, akidah, ibadat, kekeluargaan yang termasuk juga pepusakaan dan seumpamanya. Ini terbukti apabila mereka mensyaratkan seorang hakim yang perlu berilmu (mujtahid) dan mengetahui tentang sumber-sumber hukum syara’ (al-Mawardi: 73,74; Dr. Muhammad Salam Madkur: 37 dan Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 253).

Sudah tentu seorang hakim yang akan mengendalikan kes-kes hudud, atau menjatuhkan hukum di dalam kes-kes akidah, ibadat dan urusan kekeluargaan (yang melibatkan urusan perkahwinan, perceraian, pepusakaan dan seumpamanya) dikehendaki beragama Islam kerana seorang bukan Islam tentulah tidak beriman dengan hukum-hukum Islam mereka, seperti yang kita tahu, membohongi al-Qur’an dan al-Sunnah. Lagipun pengetahuan tentang sumber-sumber hukum syara’ dan juga pengetahuan tentang ijtihad berkaitan dengan hukum-hukum furu’ di dalam persoalan fiqh tidak mungkin berlaku dengan sempurna kecuali apabila seseorang itu menganut agama Islam itu sendiri.
Dengan itu jelas kepada kita bahawa syarat beragama Islam yang dikehendaki oleh para fuqaha, itu adalah kerana pengamalan hukum-hukum Islam itu sendiri yang memaksanya. Dengan itu juga jelas bahawa syarat itu bukanlah syarat yang terasing dan tersendiri dan yang membabitkan ke semua mereka yang bakal menjadi hakim.

6. Jika diqiyaskan syarat-syarat kelayakan seseorang menjadi hakim kepada syarat-syarat kelayakan menjadi saksi dan beragama Islam dijadikan salah satu syarat kelayakan pada diri seorang saksi, maka sudah tentu ia juga akan menjadi syarat pada diri bakal seorang hakim. Tetapi pendapat ini mungkin tidak tepat kerana di antara fuqaha ada yang berpendapat bahawa kesaksian bukan Islam adalah sah diterima sekalipun ia berkaitan dengan kes seorang Islam. Begitu juga beragama Islam bukanlah satu syarat berasingan dan memadai di dalam penerimaan kesaksian seseorang kerana kesaksian seorang Islam yang fasiq tidak harus diterima, begitu juga dengan kesaksian seorang Islam yang diragui, seperti terdapat permusuhan diantaranya dengan orang yang didakwa dan seumpamanya. Lantaran itu meletakkan syarat beragama Islam sebagai sesuatu yang menghalang perlantikan seseorang bukan Islam menjjadi hakim, biarpun di dalam kelompoknya sendiri, adalah satu pendapat yang kurang tepat (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 254).

Ibn al-Qaiyyim di dalam rumusannya berkata: “Seorang kafir kadang-kadang merupakan seorang yang adil di sisi agama dan kaumnya, benar tutur katanya, maka dengan itu kekufurannya tidak harus menjadi penghalang untuk diterima pakai kesaksiannya ke atas mereka apabila mereka bersetuju menerimanya. Sesungguhnya kita sering melihat ramai orang-orang kafir yang benar tutur kata dan beramanah hinggakan mereka menjadi terkenal dengan sifat itu di kalangan kaumnya dan juga orang-orang Islam, hinggakan hati (kita ini) merasa mudah mempunyainya, menerima berita dan kesaksiannya, sesuatu yang mungkin jarang berlaku pada diri sebilangan mereka yang menganut agama Islam. Sesungguguhnya Allah telah mengharuskan kita bermua’malah dengan mereka, memakan makanan mereka dan Allah juga telah menghalalkan perempuan-perempuan mereka (kepada lelaki kita untuk dikahwininya). Keadaan sedemikian membolehkan kita merujuk kepada berita yang mereka sampaikan. Apabila kita diharuskan bergantung kepada berita yang mereka sampaikan yang ada kaitan dengan perkara-perkara halal dan haram, maka sudah tentu lebih utama kita diharuskan merujuk kepada berita yang mereka bawa kepada perkara-perkara berkaitan dengan diri mereka. jika anda berkata: ini adalah kerana keperluan, maka dijawab: Itu (iaitu menjadi saksi atau hakim) lebih tinggi keperluannya”. (Ibn al-Qaiyyim: 241,242).

4.0 ULASAN DAN RUMUSAN SEMENTARA

1. Di dalam sejarahnya, Islam tidak pernah menghapuskan institusi kehakiman negara-negara yang didudukinya, malah ia membiarkan orang-orang bukan Islam bebas dengan urusan agama dan kehakiman mereka. Hakim-hakim mereka dikekalkan pada tempat dan tugas masing-masing menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku di kalangan mereka, khasnya urusan dalaman agama mereka sendiri.
2. Beragama Islam akan menjadi syarat kepada sesiapa yang bakal menjadi hakim untuk melaksanakan hukum-hukum Islam yang asas, sama ada di dalam kes-kes kesalahan hudud dan qisas atau urusan ibadat atau urusan kekeluargaan seperti perkahwinan, perceraian, pepusakaan dan seumpamanya, iaitu urusan-urusan yang tidak layak bagi seorang hakim bukan Islam mengadilinya kerana dia tidak beriman dengan hukum-hukum tersebut.
3. Di dalam urusan sivil lainya, selain dari urusan-urusan di atas (seperti urusan yang berkaitan dengan jual beli dan seumpamanya), hakim bukan Islam adalah layak untuk mengadilinya sekalipun ke atas orang-orang Islam jika seseorang itu dapat memenuhi pelbagai syarat kelayakan yang diperakui oleh pemeritah Islam.
4. Jika pandangan di atas diterima, sudah tentu akan wujud dua institusi kehakiman; Islam dan bukan Islam, dan dua orang hakim; Islam dan bukan Islam. Adakah hakikat ini boleh diterima oleh kedaulatan agama dan hukum Islam, negara dan masyarakatnya ? Bila kesemuanya sudah dikanunkan serta mudah pula memperolehinya, adakah harus graduan bukan Islam di pusat-pusat pengajian tinggi seperti U.I.A. di dalam bidang Ilmu Wahyu Dan Undang-undang menduduki kerusi hakim serta menghakimi kes orang-orang Islam dan bukan Islam setakat mana yang dibenarkan?
5. Bagi mengelak dari pelbagai spekulasi yang negatif dan bertindihnya tanggungjawab di antara dua institusi tersebut, dicadangkan agar institusi kahakiman bukan Islam hanya mengadili kes-kes yang berkaitan dengan ibadat, akidah, kekeluargaandan pepusakaan mereka yang tidak mampu diadili oleh hakim Islam.
6. Biarpun pandangan di atas ada rasionalnya dari sudut sejarah dan amalan salaf, tetapi ia tidak disenangi oleh sebahagian ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dan lain-lain. Beliau sama sekali tidak bersetuju untuk membenarkan perlantikan hakim bukan Islam (dhimmi) biarpun tugasnya hanya mengadili kes orang-orang dhimmi sahaja. Di dalam bukunya Ahkam al-Dhimmiyyah wa al-Musta’minini, antara lain beliau memberi hujahnya: Jika diharuskan perlantikan seorang dhimmi menjadi hakim, menurut pendapat ulama Mazhab Hanafi, ke atas orang-orang dhimmi sahaja, apakah undang-undang yang akan digunakan ketika menjatuhkan hukumnya? Apakah dia akan menjatuhkan hukum dengan berdasarkan undang-undang Syari’at Islam ataupun syari’atnya sendiri ?

Saya belum lagi menemui pendapat yang jelas dari ulama Mazhab Hanafi di dalam masalah ini. Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi telah menyebut, adalah harus bagi seorang pemeritah Islam mengendalikan kes orang-orang dhimmi dan manjatuhkan hukum berdasarkan syari’at mereka kerana seorang pemerintah Islam dituntut agar melaksanakan pelbagai kebajikan kepada orang-orang dhimmi (Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi : 19,44). Walaubagaimanapun, pendapatnya itu menimbulkan sedikit kemusykilan, kerana bagaimana harus di dalam sebuah negara Islam hakim menjatuhka hukum bukan dari syariat Islam? Bagaimanakah dilaksanakan hukum-hukum tersebut (hukum-hukum yang bukan dari syari’at Islam) jika perlaksanaannya dikehendaki menerusi kuasa pemerintah (Islam) ? Bagaimana harus dibiarkan syari’at bukan Islam dilaksanakan di dalam negara Islam, sedangkan Syari’at Islam adalah universal, jika tidak kerana suasana darurat dan ketiadaan kuasa negara Islam ke atas negara harbi, sudah tentu ia dilaksanakan di seluruh dunia, bagaimanakah harus dikatakan syari’at ini tidak dapat dilaksanakan pada sebahagian kes atau ke atas sebahagian orang yang menetap di dalam negara Islam, pada hal masih terdapat kemudahan untuk melaksanakannya ?

Kemudian ulama Mazhab hanafi menegaskan bahawa seorang hakim itu adalah pembantu kepada Imam (pemerintah) di dalam menjatuhkan hukum di kalangan orang ramai, bagaimanakah harus bagi seorang pembantu Imam menjatuhkan hukum bukan dari Syari’at Islam sedangkan Imam sendiri adalah orang yang terikat dengan hukum itu dan dia dilarang menggunakan hukum syari’at lain? Dan lagi ulama Mazhab Hanafi berkata, diantara syarat penghakiman, hendaklah penghakiman itu dengan hukum yang hak/benar, iaitu yang sabit di sisi Allah kebenarannya bagi sesuatu kes, sama ada qat’I ataupun zahiri. Dengan itu jika seseorang hakim menjatuhkan hukum pada kes yang berbeza, maka tindakannya itu adalahtidak diharuskan kerana ia merupakan tindakan yang berasaskan kepada sesuatu yang batil, begitu juga jika dia menghakimi satu kes yang menjadi tajuk pertelingkahan fuqaha’ dan menjatuhkan hukum yang terkeluar dari pendapat seluruh fuqaha’, maka tindakannya itu tidak diharuskan kerana kebenaran yang sebenar tidak terkeluar kesemua pendapat mereka. Ini adalah pendapat ulama Mazhab Hanafi menurut laporan Imam al-Kasani. Mereka tidak membezakan di dalam pendapat ini di antara hakim Islam dan hakim dhimmi di dalam kes orang dhimmi. Seperti yang termaklum bahawa hukum yang diputuskan hakim dhimmi berdasarkan hukum-hukum syari’atnya yang sudah mansukh adalah hukum yang batil, dengan itu ia tidak diharuskan. Dengan itu, menurtu pendapat yang terkuat, adalah tidak harus menjatuhkan hukum berdasarkan kepada hukum syari’at yang lain selain dari Islam di dalam Negara Islam sama ada dari pihak hakim dhimmi atau hakim Islam. Ini menunjukkan bahawa pendapat ulama Mazhab Hanafi lebih merupakan keharusan perlantikan bagi tujuan timbang tara (tahkim) sahaja bukannya perlantikan hakim bagi tujuan menjatuhkan hukum. Pendapat ini adalah sama seperti yang dikatakan oleh al-Mawardi… (Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan: 598-600 dan lihat ulasan ‘Abd Kahliq al-Nawawi: 230-234)
Di sini kita berhadapan dengan dua sikap, iaitu sama ada membolehkan perlantikan hakim bukan Islam atau tidak membolehkannya. Di dalam realiti masyarakat di Malaysia hari ini, apakah amalan pemerintahan Islam pada peringkat awal Islam tidak wajar diberikan perhatian? Atau kita tidak perlu kepada mereka kerana kita mampu menyelesaikan semua kes kesalahan? Tidakkah boleh kita wujudkan satu akta kesalahan yang lengkap agar ia dapat dirujuk oleh sesiapa saja sama ada hakim Islam atau bukan Islam ketika menjatuhkan hukum? Dan pada saat ini hakim bukan Islam tidak melebihi kedudukannya dari seorang wazir tanfiz di dalam Institusi Pentaadbiran yang harus dilantik dari kalangan bukan Islam dengan tertakluk kepada syarat-syarat peribadi seperti ikhlas, beramanah, jujur (berakhlak mulia), berpengalaman dan mampu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

5.0 PENUTUP
Jawatan hakim merupakan suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca mata syarak, hingga dikatakan lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada di antara ulama’ yang mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan pemerintah atau sultan. Dalam membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dititik beratkan antaranya hukum perlantikan hakim, kuasa melantik hakim, cara pemilihan hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan, syarat perlantikan dan permohonan jawatan hakim.Oleh itu, segala panduan dalam hendaklah berlandaskan diatas apa yang ditunutkan oleh agama Islam itu agar segala kesempurnaan dapat di kecapi di dunia mahupun akhirat.


RUJUKAN

Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Damsyiq, 1405H/1985M.
Dr. ‘Abd Al-Mun’im Ahmad Barakah, Al-Islam Wa Al-Musawah Bain Al-Muslimin Wa Ghair Al-Muslimin Fi ‘Usur Al-Takrikh Al-Islami Wa Fi Al-‘Asr Al-Hadith, Mesir, Iskandariyyah:Mu’ssasat Shabab Al-Jami’ah, 1410H/1990M.
Dr. Badranabu Al-‘Ainaian Badran, Al-‘Alaqat Al-Ijtim’iyyah Bain Al-Muslimin Wag Hair Al-Muslimin, Mesir, Iskandariyyah: Muassat Al-Shabab Al-Jami’ah, 1984m.
‘Abd Al-Khaliq Al-Namawi, Al-‘Alaqat Al-Daulaiyyah Wa Al-Nuzum Al-Qada’iyyah Fi Al-Shariah Al-Islamiyyah, Beirut: Dar Al-Kitab Al-‘Arabi, 1394H/1974M.
‘Abd Karim Zaidan, Ahkam Al-Dhimmiyyin Wa Al-Musta’minin Fi Dar Al-Islam, Beirut: Mu’assat Al-Risalah, 1396H/1976M.

Tiada ulasan: