BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 PENGENALAN
Allah s.w.t telah memberi izin kepada kita mencari keuntungan melalui jalan yang halal iaitu berjual beli yang sangat luas dan Allah mengharamkan riba. Dan telah menjadi satu cara Allah s.w.t apabila Dia membuka satu perkara dan menutup satu perkara tanpa Dia tidak memberi satu jalan keluar.
Apabila dinyatakan tentang riba, kita sememangnya telah mengetahui kesan negatifnya kepada ekonomi dunia keseluruhannya, termasuk statistik-statistik dunia yang menunjukkan negara kurang maju yang meminjam dari negara maju, akhirnya dibelit oleh pinjaman-pinjaman yang besar. Seluruh dunia tahu kita perlu keluar dari belitan riba tetapi dunia tidak mempunyai jawapan selain Islam yang memberi jawapan terhadap sistem ini, tetapi malangnya kuasa negara Islam yang sebenar telah runtuh dan oleh kerana itu kita dalam proses memulihkan semula, bukan sahaja kuasa pemerintahan, malah seluruh sistem yang telah diasaskan oleh Islam.
Apa yang telah digembar-gemburkan seperti proses globalisasi iaitu dagangan bebas telah pun ditunjukkan oleh Islam pada zaman dahulu lagi. Pada waktu itu, mata wang tunggal ialah emas, yang dipanggil sebagai dinar diterima pakai di seluruh negara Islam. Oleh kerana itu, kita tidak ada masalah didalam matawang.
Dan kita pada asasnya memiliki hak kewarganegaraan yang tidak memerlukan batas-batas yang memerlukan visa ataupun pasport untuk memasuki mana-mana wilayah-wilayah Islam yang luas bahkan di luar wilayah Islam. Sebab itu, wujud Jalan Sutera dan perdagangan laut sehingga ke kepulauan Maluku. Perkataan Maluku adalah dipercayai berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu al-Mulk atau al-Malik, yang kemudiannya menjadi Maluku, sebagai simbol Islam menguasai jalan perdagangan ini dan kebebasan perdagangan telah berlaku pada waktu itu. Dan kemudiannya hanya apabila Islam runtuh, penjajah-penjajah telah memperkenalkan sempadan-sempadan berasaskan Negara Bangsa. Dan pada waktu itu, diperkenalkan visa yang kadang-kadang hendak memasuki negara Islam dengan negara Islam yang lain memerlukan 14 hari permohonan visa yang menghalang secara otamatik pergerakan perdagangan bebas dan kemudian diperkenalkan mata wang berasaskan negara bangsa tersebut yang telah membataskan lagi kelancaran perdagangan bebas pada waktu itu bagi membolehkan penjajah menguasai perdagangan dunia.
Oleh kerana itu, sebenarnya, globalisasi dari satu segi sebenarnya adalah satu kebangkitan Islam yang universal, yang akan memulihkan semula perdagangan bebas sebenar, yang adil dan saksama kepada masyarakat dunia.
Dalam konteks ini, kita memerlukan pemulihan matawang kita iaitu dinar yang berasaskan pada emas dinar, dan perak iaitu dirham. Oleh kerana itu, kita memerlukan pemulihan penggunaan mata wang kita. Satu masa, pada peringkat kerajaan kita seolah-olah seakan-akan sudah memahami kepentingan dinar dan dirham. Dinar ialah 4.25 gram emas iaitu ukuran yang telah ditetapkan pada Zaman Saidina Umar al-Khattab dan dirham ialah 7 gram perak. Dan satu dinar bersamaan 7 keping dirham.
Dinar emas mempunyai banyak kelebihan tersendiri berbanding dengan wang fiat . Antara kelebihan Dinar Emas adalah emas tidak terkesan dengan inflasi, nilai yang stabil, dan ada nilai intrisik tersendiri. Untuk menghasilkan Dinar Emas ini emas perlu dilombong dan ditempa terlebih dahulu.
Wang kertas fiat pula sebenarnya bernilai sifar, ianya hanya dibezakan angka-angka yang tercetak di atasnya. Dengannya, maka wujudlah money creation dimana bank boleh memberikan pinjaman dengan jumlah yang berganda-ganda melebihi simpanan yang ada. Bank-bank di dunia mengaut keuntungan besar kerana kos mencetak wang kertas yang amat minima berbanding nilai yang tertulis di atas wang tersebut.
1.1 Dinar emas Islam
Penggunaan dinar emas bukan satu perkara yang baru. Emas telah digunakan dalam urusan jual beli seawal zaman empayar Rom di Eropah. Dinar dalam peradaban Islam merupakan salah satu unit matawang syiling yang ditempa oleh orang Islam dan digunapakai sejak zaman permulaan Islam. Nabi Muhammad s.a.w meneruskan tradisi dinar emas empayar Rome itu dan diikuti oleh Khalifah-khalifah Islam selepasnya. Unit-unit matawang lain yang digunapakai juga ialah dirham dan fils. Dinar diperbuat daripada emas, dirham diperbuat daripada perak manakala fals diperbuat daripada tembaga. Ketiga-tiga perkataan ini bukanlah berasal daripada bahasa Arab. Dinar, dirham dan fils merupakan matawang rasmi Islam yang mempunyai nilai tersendiri yang diakui sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Ianya dapat diiktiraf sebagai matawang rasmi dalam sektor ekonomi. Kemasyhurannya sebagai matawang Islam sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah tamadun Islam. Walaubagaimanapun, matawang ini hilang berikutan kejatuhan kerajaan Khalifah Islamiah terakhir iaitu kerajaan Uthmaniah pada tahun 1924.
Dinar berasal daripada perkataan denarius dalam bahasa-bahasa Greek dan Latin dan mungkin juga dalam bahasa Parsi, yang diambil daripada bahasa Aramic, yang memberi erti unit matawang perak atau emas yang digunapakai oleh orang Roman. Daripada bahasa Greek atau Parsi, perkataan ini memasuki bahasa Arab lama sebelum kedatangan Islam. Perkataan dinar disebut dalam al-Quran. Firman Allah:
Maksudnya:
Dan di antara ahli kitab, ada orang Yang kalau Engkau amanahkan Dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadaMu, dan ada pula di antara mereka Yang kalau Engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau Engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya Kami menanggung dosa mengenai orang-orang Yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
Ayat ini membawa maksud iaitu semasa ekonomi yang mana didominasi sepenuhnya oleh golongan Yahudi yang sentiasa ingin menindas orang Islam dalam apa sahaja didalam bidang ekonomi dan meletakkan riba sebagai tunjang kepada ekonomi.
Maksudnya :
Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya Dengan harga yang murah, Iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.
Penggunaan wang dinar telah berlaku dalam urusan perdagangan sejak kemunculan Islam dan ianya sebagai satu-satunya wang dunia Islam yang mana ia menyatukan umat Islam melalui perantaraan didalam urusan perdagangan yang sentiasa pesat. Malangnya sejak kejatuhan Kota Baghdad pada 1258H kuantiti dan penggunaan wang dinar juga menerima tempiasnya akibat beberapa faktor kelemahan dalaman dan luaran dan ianya berlanjutan ke zaman seterusnya. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniah, logam dinar kemudiannya digantikan dengan wang kertas yang mana menyebabkan perpecahan umat Islam serta lahir sistem kewangan yang berdasarkan faedah dan riba.
Asas sistem mata wang dalam Islam ialah sistem dwilogam emas (Dinar Emas) dan perak (Dirham). Sistem inilah yang diamalkan di dalam kerajaan Islamiah bermula dari zaman Rasulallah s.w.t sehinggalah kepada berakhirnya Dawlah Uthmaniyah pada awal abad ke 20 Masihi (1924). Setelah dilupakan kira-kira tiga suku abad, kini sudah ada gerakan untuk mengembalikan semula sistem ini dengan harapan ianya dapat dihidupkan kembali di negara-negara Islam
1.2 APA ITU DINAR EMAS ISLAM
Dinar emas merupakan mata wang berasaskan emas yang digunakan di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam pada sebelum kejatuhan kerajaan Uthmaniyah. Istilah ini dipilih kerana berteraskan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad lagi, iaitu dinar. Dinar emas telah diperluaskan lagi pada zaman Khulafa al-Rasyidin yang tersebar dari Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara kemudiannya. Oleh itu, dinar emas telahpun ditetapkan piawaiannya bagi keseragaman dalam penggunaannya. Ini juga untuk memudahkan dalam segala hal yang memerlukan penggunaannya.
Dinar emas Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 4.25 gram emas 22 karat (917) bagi satu Dinar. Dirham Islam pula mempunyai berat khusus, iaitu, 3.0 gram perak tulin bagi satu Dirham. Sayyidina cUmar al-Khattab juga menetapkam bahawa berat 7 Dinar bersamaan berat 10 Dirham. Disebut juga berat 10 Dirham bersamaan berat 7 mithqal emas (berat Dinar). Ini bermakna kadar pertukaran di antara Dirham dan Dinar emas ialah satu Dirham bersamaan 0.7 Dinar. Berat satu mithqal emas bersamaan 72 gram. Maka berat satu Dirham bersamaan 50.4 gram. Harga Dinar Emas dan Dirham ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
Piawaian ini dikenali sebagai ”Piawaian cUmar al-Khattab” dan piawaian inilah yang berkuatkuasa dari zaman beliau sampailah kepada Khalifah terakhir kerajaan Uthmaniyah (1924).
1.2.1 Pengunaan Dinar Emas Menurut Al-Quran
Penggunaan matawang emas adalah berasaskan dwilogam yang bernilai iaitu emas dan perak yangmana mempunyai kaitan dengan beberapa hukum syarak. Ia berhubung dengan kedua-duanya. Ini menunjukkan bahawa emas dan perak mempunyai dua mekanisme utama yang diiktiraf sebagai wang dalam Islam. Dinar emas juga menjanjikan satu sistem kewangan yang adil dan stabil sambil melindungi harta(mal) dan kedaulatan, agama, budaya serta tamadun Islam itu sendiri. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa ianya sejajar dengan maqasid syariah .
Maksudnya :
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah Dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan Yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah Dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Di dalam kitab tafsir al-Qurtubi, Sahl Ibn ‘Abd.Allah al-Tustari menyatakan bahawa ketaatan kepada pemerintah mempunyai kaitan rapat dengan tujuh perkara. Ianya adalah penempaan dinar dan dirham, penetapan berat dan ukurannya, penghakiman, hukum hakam yang berkaitan haji, jumm’ah (sembahyang Jumaat), Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dan jihad.
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Perkatan Al-Dhahab dan Al-Fiddah merupakan kepada dinar emas dan dirham perak. Ia merupakan dua mekanisme utama dalam proses pengeluaran zakat. Perkataan Al-kinz pula membawa erti simpanan harta iaitu simpanan tehadap dinar dan dirham tanpa mengeluarkan zakat.
Kesimpulanya, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang penggunaan emas dan perak sebagai aspek didalam sistem urusan harian. Ini menunjukkan, penggunaan dinar emas merupakan suatu jalan yang sangat bertepatan dalam menjalankan muamalat bagi menguruskan ekonomi kehidupan seharian.
1.3 SEJARAH DINAR EMAS ISLAM
1.3.1 Wang Dinar Emas Pada Zaman Jahiliyah
Zaman Jahiliyah adalah zaman sebelum kedatangan Islam yang penuh dengan kesesatan serta pemerintahan yang berdasarkan suku kaum (asabiyyah) dan penyembahan berhala. Sebagai merujuk kepada zaman sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w, ia merupakan zaman yang dikuasai oleh kefasadan dan kezaliman dari sudut kehidupan seperti poltik dan kemasyarakatan.
Semasa zaman Jahiliyah, wang-wang yang diguna pakai adalah wang yang mengalir masuk ke Madinah dan pada masa itu ialah dinar emas kerajaan-kerajaan Rom di Syam, dan dirham(perak) daripada kerajaan Sasan di Iraq, dan sedikit daripada wang Yaman di Himyar. Ini kerana mereka tidak mempunyai wang yang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Walau bagaimanapun, pada abad ke enam dan tujuh Masihi mereka menggunakan matawang syiling yang dikeluarkan dan digunakan oleh empayar Byzantium atau empayar Sasan yang berjiran dengan mereka bagi memenuhi keperluan dalam perdagangannya serta perniagaan mereka. Ia juga hasil daripada peninggalan matawang keluarga silam yang terdiri daripada matawang syiling emas dan perak yang dikenali sebagai dinar dan dirham dan sebahagian daripada matawang Yaman yang dikenali sebagai Baghliyah iaitu dirham Parsi.
Dari segi nilaiannya orang-orang Arab masa itu menggunakan dinar beserta dirham menurut nilaian nominalnya. Sebab matawang hanya dianggap sebagai kepingan emas atau perak. Mereka tidak menganggap sebagai matawang yang dicetak malah mereka lebih suka menggunakan piawaian timbangan khusus yang telah mereka miliki.
1.3.2 Wang Dinar Pada Zaman Nabi Muhammad S.A.W
Semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w, masyarakat semenanjung tanah Arab masih menggunakan mata wang dinar dan dirham daripada Byzantium dan Sasan sebagai instrument utama dalam urusan ekonomi mereka. Penduduk Mekah pada masa itu menggunakan emas dan perak yang belum diproses dalam bentuk timbangan bukan bilangan bagi urusan transaksi mereka kerana banyak berlaku penipuan dalam mata wang terutamanya nilai nominal pada mata itu melebihi nilai intrisiknya. Semasa pemerintahan Baginda s.a.w, Baginda tidak membuat sebarang perubahan terhadap mata wang kerana Baginda memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pengukuhan agama Islam di semenanjung Arab. Maka dengan itu, wang-wang emas dan perak dari luar semananjung Arab masih digunapakai oleh masyarakat setempat.
Baginda juga tidak pernah membantah penggunaan mata wang tersebut bahkan mengiktiraf penggunaannya sebagai mata wang utama. Walaupun Baginda tidak membantah, tetapi Baginda mempunyai peranan yang besar dan penting di dalam sejarah matawang Islam dimana Bagindalah yang menentukan berat timbangan bagi dinar tersebut. Cuma Baginda tidak berkesempatan melakukan perubahan ketara terhadap matawang kerana terlalu menitik beratkan kepada pembinaan dakwah di tanah Arab ketika itu.
Ketika itu, kaum muslimin terus menggunakan dinar Romawi dalam bentuk cap dan gambar aslinya sepanjang hidupnya Rasulullah s.a.w. Namun begitu, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad s.a.w dipilih sebagai rasul, dinar telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi dalam urusan sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika inilah reka bentuk beunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar.
1.3.3 Zaman Sayydidina Abu Bakar R.A (11-13H/632-634M)
Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, kedudukan matawang dinar di Semenanjung Arab tidak mengalami sebarang perubahan bahkan menggunakan matawang sebagaimana yang telah digunakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Ini kerana saidina Abu Bakar terpaksa menguruskan perkara yang penting selepas kewafatan Rasulullah s.a.w terutamanya memerangi mereka yang enggan membayar zakat atau al-Riddah. Memandangkan tempoh pemerintahan beliau yang begitu singkat iaitu 2 tahun 4 bulan menyebabkan beliau tidak sempat memberi perhatian kepada soal matawang tersebut malah masih mengekalkan gambar Maharaja Sasan melainkan ditambah pada sesetengahnya dengan mengukir perkataan tauhid huruf kufi.
1.3.4 Zaman Sayyidina Umar al-Khattab (13-24H/634-644M)
Sayyidina Umar al-Khattab yang dilantik menjadi khalifah kedua menggantikan saidina Abu Bakar. Pada permulaan pemerintahannya beliau juga tidak membuat perubahan pada matawang dinar sehinggalah menjelang tahun 18H, beliau telah memperkenalkan dirham Islam yang masih lagi dalam bentuk Sasan dengan ukiran-ukirannya dengan sedikit penambahan lambang tauhid Allah Ta’ala dengan menggunakan tulisan kufi.
Disamping itu, beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% ketulinan atau 22 karat seberat 4.25 gram. Jadi beliau merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menyeragamkan standart matawang tersebut mengikut berat 7dinar haruslah sama dengan 10 dirham.
1.3.5 Zaman Sayyidina Uthman Al-Affan (24-36H/644-656M)
Semasa pemerintahan Sayyidina Uthman, beliau telah menerbitkan dirham dalam bentuk sebagaimana yang telah dibuat oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau tidak membuat sebarang perubahan yang ketara pada wang dinar. Cuma menambah baikkan pada tempat wang itu dicipta tarikh ia dikeluarkan dengan menggunakan huruf Bahlawiyyah atau Parsi.
1.3.6 Zaman Sayyidina Ali r.a
Semasa pemerintahan Sayyidina Ali, wang-wang dirham dicipta mengikut dirham di zaman khalifah sayyidina Uthman, iaitu dengan menggunakan kalimah-kalimah dan perkataan-perkataan Kufi.
1.3.7 Wang Dinar Semasa Zaman Kerajaan Umayyah (661M-750M)
Khalifah Muawiyah merupakan pengasas pertama Dinasti Umawi yang berpusat di Damsyik. Beliau dikatakan telah mengeluarkan dan menempa syiling emas dengan dihiasi oleh gambarnya sebagai khalifah yang sedang memegang pedang. Disamping itu usaha ke arah mewujudkan wang dirham juga di zaman pemerintahan Umawiyyah telah bermula sejak pemerintahan Muawiyah supaya mengikut reka bentuk wang kerajaan Sasan (Parsi) di Iraq dengan meletakkan lambang tauhid sepertimana yang berlaku di zaman khulafa’.
Manakala Abdullah Ibn Zubayr pula dikatakan menjadi khalifah sementara di Mekah dan Madinah telah menempa dirham yang berbentuk bulat. Beliaulah yang dikatakan orang pertama yang memperkenalkan dirham berbentuk bulat serta tertera pada kedua-dua belah muka dengan perkataan Muhammad Rasulullah dan pada sebelah lainnya pula dengan perkataan lain.
1.3.8 Zaman Abbasiyyah (752-1258M)
Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, usaha-usaha untuk mengeluarkan wang dinar diteruskan sepertimana yang dijalankan oleh kerajaan Umawiyyah sebelum ini. Akan tetapi, setelah mana kerajaan Abbasiyyah telah mulai lemah akibat peperangan dan perpecahan yang serius diantara orang Islam sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada musuh untuk mempengaruhi ekonomi Negara. Urusan negara juga dimonopoli oleh orang-orang Turki dan wang negara banyak digunakan untuk projek-projek mewah dimana kerajaan memerlukan belanjawan yang besar bagi tujuan tersebut. Maka sejak itu, gejala penipuan wang-wang dirham muncul semula menyebabkan wang-wang dirham palsu mengambil tempat dalam masyarakat ketika itu. Selepas itu timbul pula masalah inflasi yang menyebabkan turunnya nilai matawang ke peringkat yang paling rendah.
Sejarah penggunaan matawang di zaman Abbasiyyah telah menyaksikan berlakunya pengurangan dalam timbangan matawang dan juga berlaku penipuan terhadap matawang bermula di zaman pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur Ubaid Allah ibn Ziyad (763-775M). beliau dikatakan orang yang mula-mula mengeluarkan matawang dirham palsu sehingga tersebar ke pelusuk kerajaan Bani Buwaih dan Bani Saljuk.
Namun begitu keadaan ini berubah pada zaman pemerintahan Ibn Tulun apabila beliau telah mengeluarkan dinar emas semula yang dikenali sebagai Al-Ahmadiyyah yang menekankan kepada keaslian dan bentuknya yang asal. Pada zaman ini, nilai tukaran dinar dan dirham iaitu 1:15 iaitu 1 dinar bersamaan 15 dirham. Ini adalah salah satu usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi disamping militeri di zaman beliau.
1.3.9 Wang Dinar Pada Zaman Kerajaan Uthmaniyyah (1299-1924M)
Selepas kejatuhan Baghdad pada 656H/1258M di tangan Mongol, kerajaan Uthmaniyyah mengambil alih tampok pemerintahan. Ketika ini penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Uthmaniyyah Turki. Semenjak tahun 1534M (955H) sistem matawang yang digunakan pada masa ini ialah piawaian emas dan perak. Kedua-dua matawang emas dan perak berada di pasaran sebagai transaksi utama dalam urusan harian mereka. Sejak kerajaan Uthamaniyyah memegang takuk pemerintahan pada tahun 955 Hijrah, bersamaan dengan tahun 1534 Masihi, sistem wang yang berjalan pada masa itu ialah mengikut kaedah gabungan dua bentuk logam iaitu emas dan perak dengan nisbah 1:15.
Pada tahun 1839 Masihi, kerajaan Uthmaniyyah telah mengeluarkan matawang baru dikenali sebagai Gaima dalam bentuk wang kertas. Dan pada 1844 Masihi, sistem wang baru diperkenalkan sebagai al-Majidi iaitu daripada perak dan begitu juga wang dinar emas.
Semasa pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah di Turki, sistem penggunaan matawang baru bagi menggantikan matawang logam emas dan perak dimulakan dan kekal sehingga perang dunia pertama pada 1914 Masihi. Namun begitu, apabila berlaku perang Dunia pertama, kerajaan Turki mengisytiharkan bahawa satu-satunya bentuk matawang yang digunakan ialah wang kertas sahaja yang sah diperlakukan, manakala wang emas dan wang perak dimansuhkan. Peraturan ini berkuat kuasa keatas semua negeri-negeri dibawah kuasa kerajaan Uthmaniyyah. Maka sejak tahun 1914 Masihi, penggunaan wang kertas di semua negeri-negeri adalah satu kemestian dan dijadikan matawang asasi dan tidak akan menerima sebarang perubahan. Ini berlaku atas beberapa faktor antaranya pemerintahan di bawah Mustafa Kamal al-Tartuk dan kurangnya stok emas akibat daripada pelbagai peperangan.
Setelah selesai peperangan dunia pertama, emas beserta perak digunakan kembali sebagai matawang tetapi hanya bersifat parsial (sementara). Selepas itu, kerajaan Inggeris telah cuba untuk kembali berpegang kapada sistem lindungan emas demi menjamin keutuhan matawang agar mantap dalam semua keadaan. Ketika negara Islam di Turki hancur pada 1924. Dinar beserta dirham tidak lagi menjadi matawang kaum muslimin. Pada 1925 hingga 1971, jongkong-jongkong emas dijadikan sebagai pelindung dan penaung kepada matawang kertas.
Begitulah usaha-usaha kerajaan Inggeris untuk cuba menerajui program ini yang kemudiannya diikuti oleh Negara Prancis pada tahun 1928 serta seluruh negara-negara yang lain yang mengguna pakai sistem jongkong-jongkong emas.
1.4 KEGUNAAN DINAR EMAS ISLAM
Dalam sistem ekonomi kerajaan Islam, dinar emas adalah alat perantaraan dan pertukaran. Ia adalah wang dan ia juga adalah sebagai matawang. Wang digunakan untuk membuat bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dibeli. Wang diterima sebagai bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dijual.
Selain dari berfungsi sebagai alat perantaraan pertukaran, wang juga berfungsi sebagai alat pengukur nilai, alat bayaran tertangguh, iaitu, alat pembayaran hutang, unit akaun dan alat penyimpan nilai.
Dalam kerajaan Islam, dinar emas juga digunakan sebagai alat pembayaran zakat, mahar perkahwinan dan alat pembayaran denda berkaitan kesalahan jenayah di bawah hukum-hukum Islam seperti hudud dan lain-lain. Dengan ketiadaan dinar emas, semua ini diselesaikan dengan wang kertas dan di Malaysia tentulah dengan ringgit Malaysia(RM). Oleh itu, terdapat satu gagasan yang hendak dilaksanakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad bagi menjadikan dinar emas sebagai alat penyelesaian pembayaran perdagangan antarabangsa bagi menggantikan Dolar Amerika Syarikat. Ini tidak termasuk gagasan untuk menggunakan Dinar Emas sebagai wang dan matawang bagi menggantikan wang kertas iaitu, dalam kontek Malaysia, wang kertas ringgit Malaysia yang dipakai sekarang.
Perlu diingat bahawa hanya satu matawang yang sah diperlakukan di Malaysia, iaitu, Ringgit Malaysia. Semua matawang selain daripada ringgit Malaysia tidak sah diperlakukan dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai perataraan jual-beli dalam mana-mana negeri di Malaysia. Kalau ada mana-mana pihak menggunakan Dinar Emas dan Dirham di Malaysia sebagai alat pertukaran maka perbuatan itu menyalahi undang-undang negara Malaysia.
Jika kita memiliki Dinar Emas, maka Dinar Emas itu hendaklah ditukarkan kepada ringgit Malaysia dahulu dan ringgit itulah yang digunakan untuk berjual-beli. Kadar pertukaran di antara Dinar Emas ialah harga semasa emas di dalam pasaran emas, tempatan atau antarabangsa. Kalau piawaian cUmar Al-Khattab digunakan maka satu Dinar Emas beratnya bersamaan 4.25 gram.
Dalam hukum Islam tiada konsep wang kertas di dalam pengertian wang kertas yang kita ketahui hari ini, dimana wang kertas yang merupakan surat hutang atau surat janji mahu bayar hutang . Oleh yang demikian, pengertian sebenar kepada 'menghidupkan semula sistem wang Dinar Emas Islam' ialah menggantikan wang kertas yang beredar di dalam ekonomi sekarang dengan wang dinar emas dan wang dirham yang benar-benar dibuat dari emas dan perak. Kalau hari ini kita membawa wang kertas ringgit Malaysia dan syiling di dalam saku dan dompet kita, maka dengan hidupnya kembali matawang Dinar Emas Islam, yang kita bawa dalam saku dan dompet kita ialah emas dan perak secara fizikal.
Wang simpanan kita di dalam akaun bank kita pula benar-benar emas dan perak. Kalau kita ada baki 1000 Dinar Emas di dalam akaun kita di bank maka di dalam peti kebal bank itu ada emas seberat 4250 gram di bawah nama kita. Bila kita mengeluarkan simpanan bakinya akan turun dan bila kita tambah simpanan, bakinya akan naik.
Setakat ini, belum ada mana-mana negara Islam yang mengamalkan sistem matawang seperti ini setakat hari ini. Saranan Malaysia untuk menyelesaikan pembayaran perdagangan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan kongsi perdagangannya di kalangan negara ahli OIC belum sampai ke tahap mewujudkan Dinar Emas dan Dirham Perak Islam yang beredar dalam ekonomi sebagai alat perantaraan pertukaran. Tahap inilah dilarang oleh IMF.
Dinar Emas Islam telah dilancarkan di Amiriyyah Arab Bersatu (UAE) pada 7 November 2001 oleh Islamic Mint bergabung tenaga dengan Thomas Cook Rostamani Exchange Company dan Dubai Islamic Bank. Setakat yang diketahui, inilah Dinar Emas Islam yang pertama dilancarkan dalam sejarah dunia moden melalui saluran yang diiktiraf secara rasmi.
Printis gerakan 'kembali ke Dinar Emas Islam,' iaitu Umar Ibrahim Vadillo telah menubuhkan syarikat urusniaga Dinar Emas bernama e-dinar Ltd. berpengkalan di Labuan. Syarikat e-dinar ialah satu sistem pertukaran yang membolehkan pemindahan emas dan perak secara elektronik di antara akaun. Setiap akaun ada baki dinar emas dan dirham secara fizikal. Kalau baki dalam akaun ialah 1000 Dinar Emas Islam maka di dalam bilik simpanan selamat disimpan emas seberat yang bersamaan dengan 1000 Dinar. Kalau satu Dinar beratnya 4.25 gram, maka di dalam peti selamat ada disimpan 4250 gram emas.
BAB II
DINAR EMAS KELANTAN
2.1 Pengenalan
Tidaklah begitu sukar untuk kita benar-benar mengamalkan sistem ekonomi Islam yang tulen. Hanya perlu merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah dan mempelajari serta menyelaminya dengan tokoh-tokoh ekonomi Islam. Islam itu mudah dan memudahkan. Sebenarnya kalau disebutkan sistem ekonomi Islam sememangnya tulen dan bersih dari segala penipuan dan sebagainya. Tetapi lumrah kepada umat Islam sekarang ini, banyak perkara yang bercampur baur halal dan haram. Yang subahat berleluasa. Puncanya kerana orang Islam itu sendiri tidak mahu masuk kepada agamanya secara kaffah atau sepenuhnya. Sebahagiannya mengikut Islam dan sebahagiannya yang lain tidak.
Al-Quran dengan jelas dan tegas melarang riba. Riba itu adalah haram dalam segala hal. Namun kenyatan ini seolah suatu yang tidak dipedulikan. Kesan-kesan riba masih banyak tersirat dalam praktis ekonomi masa kini. Bagaimanapun, masalah timbul bila ajaran al-Quran hendak diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Apa yang dikatakan riba sebenarnya? Secara amnya terdapat dua jenis riba yang diharamkan oleh Islam iaitu riba qarud (riba berkaitan pinjaman) dan riba al-buyu (riba berkaitan perdagangan). Tetapi tidak sedikit pun ada yang membuat definisi dengan mendalam.
Namun yang pasti ‘sistem perbankkan Islam’ Berjaya menjana nilai asset yang besar sehingga mendapat perhatian golongan yang bukan Islam, khususnya pengusaha bank-bank konvensional sehinggakan ramai yang menggunakan dan memperkenalkan ‘produk Syariah’. Sememangnya bagus kalau dapat mengIslamkan senario perbankan dan kewangan dunia. Banyak yang boleh dipelajari daripada bapa Ekonomi Islam iaitu Ibn Khaldun (1332-1406M). Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan ahli ekonomi barat seperti Adam Smith (1723-01790M). Karl Marx (1818-1883M) dan John Marynard Keynes (1883-1946M). kelebihan dinar emas sebagai matawang yang adil dan efektif dikaji dan diakui oelh ibn Khaldun sehingga beliau pernah berkata “ Jika tidak guna emas sebagai matawang, ia akan mengundang kepada krisis ekonomi”.
Kenyataan beliau terbukti apabila kerajaan Uthmaniyyah jatuh pada tahun 1924 setelah menggantikan dinar emas dengan wang kertas. Keadaan sebaliknya akan berlaku jika negara-negara menggunakan sistem mata wang emas atau mana-mana sistem yang bersandarkan emas . Sistem ini tidak memungkinkan sebarang ekonomi palsu melalui percetakan wang dan penciptaan kredit tanpa had. Dinar emaslah jawapannya kepada ketidakstabilan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan riba. Tidak ada dosa lain yang Allah s.w.t dan Rasul s.a.w mengisytiharkan perang terhadapnya.
Maksudnya:
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Islam memerangi orang yang mengamalkan riba kerana ia bersifat zalim. Sistem piawaian Islam berdasarkan piawaian emas seperti yang diamalkan oleh nabi Muhammad s.a.w. semenjak abad ke tujuh sehingga jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah pada abad ke-20, membuktikan keadilannya. Dinar emas juga dapat menyelamatkan harta dan kekayaan orang Islam daripada dihakis oleh riba dan inflasi keran ianya bersandarkan kepada nilai sebenar emas itu. Sistem ini tidak memungkinkan orang kaya bertambah kaya atau orang miskin bertambah miskin. Malang sekali, emas telah dibekukan oleh golongan yang menguasai dunia selepas keruntuhan kerajaan Khalifah Islam terakhir itu pada 1924.
Bermula dengan dinar emas di Emiriyah Arab Bersatu pada 2001 sehinggalah Dinar Emas Kelantan pada 2006. Lahirnya Dinar Emas Kelantan boleh dikatakan sabagai satu usaha kecil untuk mengelak daripada ketidakadilan riba. Pengeluaran dinar Emas Kelantan ini adalah untuk mengembalikan matawang yang sebenar berdasarkan perspektif ekonomi Islam yang adil. Atas dasar ini, pengenalan Dinar Emas Kelantan boleh dianggap sebagai isyarat awal oleh masyarakat Islam dalam memerangi sistem kapitalis. Salah satu perang dalam Islam adalah perang menentang sistem kapitalis yang tidak adil. Terbukti, kapitalis tidak menolong orang yang lemah tetapi menindas orang lemah.
Setakat ini, Dinar Emas Kelantan hanya berperanan sebagai instrumen tabungan, membayar zakat, mahar perkahwinan dan hadiah. Tidak ada undang-undang yang melarang orang ramai daripada menyimpan emas atau menjadikan emas sebagai hadiah. Jabatan Agama Islam Kelantan mengorak langkah awal dengan menjadikan Dinar Emas Kelantan sebagai hadiah kepada kakitangan cemerlang. Dalam soal tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam adalah menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk bayaran nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ianya sendiri mempunyai nilai tersendiri.
2.1.2 Sejarah Dinar Kelantan
Dinar Kelantan telah pun wujud seawal tahun 575 Hijrah lagi iaitu dikenali Al-Julus Al-Kelantan. Ini kerana terdapatnya angka tahun yang tertera pada syiling emas tersebut. . Emas dinar dan dirham perak telahpun digunakan di gagasan tanah melayu sejak abad ke-14 lagi dimana penggunaan kijang emas, kupang Kelantan dan pattani antara abad ke 15 dan 16. Seterusnya pada abad ke 17 dan 18, telahpun berlakunya penggunaan dinar emas matahari Kelantan. Selain itu, dinar emas sultan Abdul Jalil Shah serta dinar emas Kedah juga digunakan pada bad ke 17 dan 18. Pada 1850, pencetakan kijang emas telah dikeluarkan, dimana sekeping duit emas telah digunakan semasa kesultanan Kelantan ketika mana semasa pemerintahan permaisurinya iaitu Che SitiWan Kembang. Kepingan duit emas yang digunakan pada zaman itu, masih lagi tersimpan di muzium Negara Malaysia sekarang sebagai bukti kewujudannya.
2.2 APA ITU DINAR EMAS KELANTAN
Ada maklumat yang menyatakan Dinar Emas digunakan secara persendirian (private) di lebih 22 buah negara. Dinar Emas sekarang dikilang di empat negara. Juga di sana sudah wujud perniaagan jual beli Dinar Emas dan 17 Dirham melalui internet. Oleh itu pelancaran Dinar Emas Kelantan selaras dengan perkembangan ini. Apa yang diumumkan oleh YB Dato’ Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat kelantan ialah untuk menawarkan Dinar Emas dan Dirham sebagai alat tabungan dan pelaburan, bukan sebagai mata wang. Penerbitan Dinar Emas Kelantan bukan sebagai alat perantaraan pertukaran seperti matawang kertas masa kini. Ia tidak diterima untuk membayar barang-barang yang kita beli di pasar atau di kedai dan juga tiada penjual yang boleh menerima bayaran dalam bentuk Dinar Emas.
Idea untuk memperkenalkan dinar emas Kelantan ini adalah daripada tuan guru nik Aziz Nik Mat yang merupakan menteri Besar Kelantan di mana beliau telah merasmikan pelancaran emas Dinar Kelantan pada bulan 20 haribulan 9 tahun 2006. Dinar emas Kelantan merupakan sejenis syiling berbentuk duit syiling yang diperbuat daripada emas sepenuhnya yang mempunyai kadar nilainya sepertimana nilai harga pasaran bagi emas tulin.
Bagi penggunaan di Kelantan, bagi barangan yang dijual, sesiapa yang memiliki Dinar Emas Kelantan maka hendak ianya ditukarkan dahulu kepada ringgit Malaysia mengikut harga emas semasa berdasarkan formula yang diterima pakai apabila hendak berjual beli. Maka ringgit itulah yang digunakan untuk membeli barangan dan diterima apabila menjual barangan. Hanya ringgit Malaysia yang diiktiraf sebagai mata wang di dalam negeri-negeri di Malaysia. Matawang lain tidak sah digunakan sebagai alat pertukaran. Maka, Dinar Emas Kelantan bolehlah digunakan sebagai alat simpanan, membayar zakat, membayar mahar perkahwinan dan sebagai hadiah (untuk ulang tahun perkahwinan, hari jadi, kakitangan cemerlang dan sebagainya). Dalam Daulah Islamiah, ia boleh digunakan untuk membayar denda di bawah pelbagai hukum Islam. Dengan itu, inilah permulan bagi kerajan negeri Kelantan dalam memperkenalkan instrument kewangan Islam yang telah lama di tinggalkan iaitu penggunaan Dinar Emas.
2.3 KADAR NILAI DAN BENTUK DINAR EMAS KELANTAN
2.3.1 Nilaian dinar emas kelantan
Kerajaan negeri Kelantan telah mengeluarkan kepingan-kepingan emas berbentuk syiling sebagai dinar emas yang diperbuat daripada emas tulin 22 karat. Terdapat tiga bentuk dinar emas yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kelantan iaitu 1 dinar, ½ dinar dan ¼ dinar.
Kadar ketumpatan emas bagi dinar emas Kelantan adalah merujuk kepada penggunaan kadar ketumpatan emas yang telah dikuat kuasakan semasa zaman pemerintahan sayyidina cUmar al-Khattab pada 13-24H/634-644M. Tidak terdapat perbezaan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan melainkan lambang yang tertera pada syiling dinar tersebut. Bagi kadar ketulinan emas yang dikeluarkan ini adalah 91.7%. Contoh harga bagi harga emas dinar Kelantan pada 27 haribulan 3 tahun 2008 ialah RM436.52 bagi 1 dinar bersamaan 4.25gram. RM223.78 bagi ½ dinar bersamaan 2.12gram dan RM117.89 bagi ¼ dinar bersamaan 1.06gram. Harga ini termasuk dengan kos perkhidmatan yang dikenakan seperti kos penempaan, kos pengangkutan, penghantaran dan sebagainya. Harga ini tidak tetap kerana ianya akan berubah megikut pasaran semasa antarabangsa.
2.3.2 Bentuk dinar emas Kelantan
Apabila kita diberi gambaran tentang wang dinar emas, maka kita dapat bayangan bahawa dinar emas selalunya dibuat dalam bentuk syiling. Dinar emas Kelantan ditempa dalam bentuk syiling yang berbentuk bulat sepertimana wang syiling yang menjadi mata wang Malaysia pada masa kini.
Pada wang dinar emas Kelantan, terdapat beberapa perkataan dinyatakan padanya. Pada muka hadapan syiling dinar emas Kelantan, terdapat perkataan ‘Dinar Emas kelantan’. Tulisan ini ditulis dalam tulisan jawi dan segala perkataan lain-lain juga adalah dari tulisan jawi. Selain itu, terdapat dinyatakan berat dinar tersebut. Ia mengikut berat timbangan jenis-jenis dan kadar dinar tersebut antaranya bagi 1 dinar berukuran 23mm seberat 4.25gram, ½ dinar berukuran 20mm seberat 2.12gram dan ¼ dinar berukuran 15mm seberat 1.06gram. Selain itu juga terdapat tahun keluaran dinar emas Kelantan ini iaitu 1427 dimana ia adalah tahun Hijrah.
Bagi bahagian belakang dinar emas Kelantan terdapatnya lambang negeri Kelantan dan kubah masjid. Kubah masjid tersebut adalah kubah masjid Muhammad Muhammadi yang berada di Khota Bahru Kelantan. Kubah masjid tersebut menunjukkan lambang kepada negeri Kelantan dan juga simbol keIslaman yang diterapkan oleh kerajaan negeri Kelantan.
2.4 PENGGUNAAN DINAR EMAS KELANTAN
Sebagai satu pendekatan proaktif, kerajaan Kelantan memperkenalkan dinar emas sebagai satu usaha masyarakat bagi mengembalikan fungsi dinar dalam sistem ekonomi Islam. Pada peringkat ini, pihak kerajaan Kelantan hanya menzahirkan fizikal dinar emas itu sahaja dengan mengeluarkan kepingan-kepingan syiling dinar dari emas tulen. Terdapat beberapa bentuk penggunaan yang telah di gariskan oleh kerajaan negeri Kelantan dalam penggunaan dinar emas Kelantan ini antaranya :
Simpanan
Mas kahwin
Bayaran zakat
Hadiah
Simpanan
Simpanan atau tabungan adalah lebihan pendapatan di atas perbelanjaan. Kalau kita berpendapatan sebanyak RM10,000 sebulan dan kita berbelanja sebanyak RM9,000 bagi bulan itu, maka kita akan mempunyai lebihan wang sebanyak RM1,000. Maka, dengan lebihan itu, kita akan membuat simpanan ke atasnya. Bagaimanakah hendak menyimpan lebihan pendapatan ini?. Pada masa kini, terdapat banyak pilihan bagi membuat simpanan. Kita boleh menyimpannya di bawah bantal tanpa mendapat apa-apa pulangan malah terhakis pula nilai atau kuasa belinya oleh inflasi dan bayaran zakat(kalu cukup syarat-syaratnya), ataupun kita mendepositkan wang tersebut di dalam bank dalam bentuk akaun simpanan, akaun deposit berjangka, atau di dalam unit amanah saham dan pelbagai lagi bentuk pelaburan yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan ataupun keistimewaan-keistimewaan seperti pulangan yang berbeza-beza.
Dengan wujudnya dinar emas ini, maka bolehlah wang lebihan tersebut dilaburkan di dalam dinar emas. Risikonya ialah harga emas boleh naik atau turun atau kekal. Ia samalah dengan melabur dalam komuditi-komoditi yang lain. Bukti empiris menunjukkan bahawa harga emas cukup stabil dalam jangka masa panjang dan bebas dari turun naik yang ekstrem dalam jangka masa pendek dan sederhana. Ia cukup adil sebagai pelindung kuasa beli.
Didalam soal tabungan, emas adalah lebih stabil, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana ianya tidak terlalu ekstrem turun naiknya dan tidak merosot akibat inflasi. Dengan hasrat kerajaan negeri Kelantan iaitu ‘seorang satu dinar’ supaya menggalakkan lagi masyarakat terlibat di dalam simpanan dan pelaburan demi menjamin kesejahteraan hidup dan keselamatan ekonomi di masa akan datang.
Selain itu, penggunaan dinar emas Kelantan ini, masyarakat juga digalakkan melakukan pelaburan dengan menggantikan pembelian barang-barang kemas untuk kaum wanita, yang terkenal dengan lebih sukakan perhiasan emas dan perak. Dengan membeli dinar emas Kelantan sebenarnya, mempunyai faedah yang lebih banyak berbanding dengan pembelian barang-barang kemas. Ini kerana apabila terpaksa dijual, ianya akan mencapai harga yang lebih lumayan kerana tidak perlu dipotong harga sehingga 30% atau lebih dari harga emas, seperti mana barang-barang kemas, yang diperbuat daripada emas. Harga barang kemas yang di pakai mempunyai nilai susutnya berbanding dinar emas ini.
selain itu, kos penempaan emas barangan kemas memakan kos yang tinggi berbanding penempaan dinar emas kerana dinar emas hanya berbentuk syiling dan hanya di cop dengan lambang sahaja. Dinar emas juga mempunyai harga yang mengikut pasaran semasa antarabangsa. Bagi tukaran semula, bolehlah dilakukan di kedai-kedai dinar emas dan juga pejabat ar-Rahn di sekitar kawasan negeri Kelantan.
Mas kahwin
Kenapa memberi kepada si dia kertas sedangkan anda boleh member kepada si dia emas?. Dalam melangsungkan perkahwinan, pihak pengantin juga boleh menjadikan dinar emas Kelantan sebagai mahar mahupun wang hantaran. Dengan cara ini, mahar yang diserahkan kepada pihak pengantin perempuan akan dinisbahkan nilainya mengikut harga pasaran. Dengan itu, penyerahan mahar tersebut adalah berbentuk dinar emas. Akan tetapi, semasa berlangsungnya ijab qabul perkahwinan tersebut, hendaklah dinyatakan kadar maharnya mengikut bilangan keping dinar. Ini kerana dinar tersebut akan berubah nilai harganya dari masa ke semasa.
Pasangan Nurul Jalal Abdul Wahab Mujahid dan Shuhaida Hanim Mohammed yang telah diijab qabulkan oleh menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dimana merupakan pasangan pertama di negeri Kelantan yang menggunakan dinar emas sebagai mas kahwih. Nurul Jalal, berumur 26 tahun yang merupakan seorang guru agama menyerahkan 15 keping emas dinar yang berharga RM5,00 kepada pasangannya yang juga berusia 26 tahun, merupakan seorang pelajar Universiti Antarabangsa Malaysia.
Oleh itu, pihak pengantin hendaklah menukarkan wang dengan dinar emas terlebih dahulu di kedai jualan dinar emas dan mendapatkan kepingan-kepingan dinar emas sebelum menjalankan majlis perkahwinan tersebut.
Bayaran zakat
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Zakat harta sepatutnya dibayar dengan harta sebenar. Hampir 1300 tahun, zakat harta sentiasa dibayar dengan menggunakan Dinar dan Dirham.
Maksudnya:
Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah maha mendengar, lagi Maha mengetahui.
Sebagai satu perlaksanaan bagi penggunaan dinar emas , ia boleh dilaksanakan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah. Seperti pembayaran zakat perniagaan dan zakat harta benda. Kadar bayarannya telah disebut secara jelas dalam Islam yang telah ditetapkan nilai dinar serta kadarnya. Islam juga mengariskan tentang bayaran zakat hanya boleh dijelaskan dalam bentuk benda-benda yang bernilai seperti ternakan, tanaman, bijirin, emas dan perak
Fatwa Sheikh Mohammad Alish (1802-1881), Qadi besar Mazhab Maliki selalu disebut dalam hal pembayaran zakat ini dengan menggunakan emas. Menurut beliau, kalau kita membayar zakat dengan wang kertas, maka hanya nilaiannya sebagai cain, iaitu nilai kertas itu dikira sebagai kertas sahaja. Nilai nominal wang kertas itu tidak releven untuk pembayaran zakat. Oleh itu, dengan adanya dinar emas Kelantan, maka bolehlah digunakan untuk pembayaran zakat.
Bagi penggunaan dinar emas Kelantan ini di dalam pembayaran zakat, pihak kerajaan negeri Kelantan telah pun bersama-sama Majlis Agama negeri Kelantan menetapkan minima hisab zakat ialah 20 dinar emas. Daripada 20 dinar yang disimpan selama 1 tahun, maka setengah dinar sahaja yang di kenakan zakat.
Hadiah
Dinar emas Kelantan juga digunakan sebagi hadiah terhadap pemberian sesuatu. Dengan pemberian ini, maka ia akan lebih bermakna, malah lebih bernilai. Bagi Jabatan Agama Islam Negeri Kelantan telah pun mengorak langkah awal dengan menjadikan dinar emas Kelantan sebagai hadiah kepada kakitangannya yang cemerlang didalam pekerjaan.
Selain itu, di dalam ucapan tuan guru Nik Aziz Nik Mat semasa pelancaran dinar emas Kelantan menggalakkan kepada masyarakat yang mana kebiasaannya rakyat Kelantan akan menghadiahkan kepada cucu mereka yang baru dilahirkan dengan gelang kaki emas ditukar dengan pemberian dinar emas Kelantan sebagi satu asset yang akan membawa faedah yang lebih besar. Selain itu juga ia boleh dijadikan sebagai sumbangan tertentu, hadiah ulang tahun dan sebagainya.
Lain-lain
Selain itu, terdapat pelbagai lagi kegunaan dinar emas Kelantan yang dapat kita perolehi daripadanya. Dinar emas Kelantan juga boleh di bawa ke Mekah beberapa keping. Diharapkan peniaga-peniaga di Mekah dapat menerimanya secara peribadi dan menukarnya dengan mata wang asing disana, khasnya apabila mata wang ini telah diketahui oleh pihak-pihak yang terlibat.
2.5 KEISTIMEWAAN DINAR EMAS KELANTAN
Apabila kita menerangkan tentang kelebihan dinar emas Kelantan ini, maka secara atomatik ia dapat dinisbahkan kepada kelebihan emas itu sendiri. Ini kerana dinar emas Kelantan adalah diperbuat daripada emas semata-mata tanpa ada sebarang campuran dengan bahan lain. Dinar emas Kelantan mempunyai ketulinan emas sebanyak 91.7% dan ini mengikut piawaian dinar emas yang ditetapkan dan digunakan semasa pemerintahan Sayyidina cUmar al-Khattab. Oleh itu, dinar emas Kelantan mempunyai banyak keistimewaan di dalam penggunaannya.
Tiada inflasi
Emas merupakan barang dagangan yang tidak boleh digelembungkan . Harga emas juga boleh mengalami kenaikan dan penurunan seperti barang dagangan lain, walaubagimanapun turun akan nilainya tidaklah terlampau ketara dan biasanya kurang daripada barang dagangan lain. Ini beerti, pengelembungannya kekal sifar. Oleh itu, dinar emas Kelantan merupakan satu barangan yang tidak boleh digelembungkan dengan mudah dan mempunyai nilai turun naik kadarnya adalah tidak ketara.
Selain itu, wang sebenar ialah wang yang tulen nilainya merupakan satu-satunya cara untuk menghapuskan inflasi. Inflasi bermaksud kenaikan tingkat harga umum secara berterusan di sesebuah negara dalam tempoh masa tertentu.
Dinar emas mempunyai nilai instriknya jika dibandingkan dengan mata wang kertas( jika tidak disandarkan kepada emas, ia akan menjadi wang fiat atau kertas biasa yang terapung-apung). Sebagai contoh, jika sekilo emas ditanam, walaupun 10 tahun berlalu, hasilnya tetap emas. Jika bagi wang kertas, tempoh tersebut sudah pun menghasilkan faedah atau bunga kepada penyimpan. Tetapi, emas tidak mempunyai bunga, malah tidak boleh memanipulasikan atau dicetak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan lebihan yang dikenal sebagai riba. Dengan perkataan lain, emas seperti mana dinar emas Kelantan ini berupaya mengekang bunga atau faedah, inflasi, manipulasi dan penciptaan kredit.
Oleh itu, dengan penggunaan dinar emas Kelantan ini, dapatlah kita sama-sama mengekang daripada inflasi dan menjadikan sistem muamalat sejajar dengan kehendak Islam.
Mudah diperolehi
Kemudahan untuk mendapatkan dinar emas Kelantan telah disediakan bagi rakyat negeri Kelantan amnya. Ini kerana, telah pun tertubuhnya kedai dinar emas Kelantan di setiap bandar-bandar di setiap daerah di negeri Kelantan. Setiap individu hanya perlu pergi ke kaunter kedai tersebut dengan membuat pembayaran terhadap nilai dinar emas yang hendak ditukar. Bagi setiap pembelian, tidaklah memerlukan sebarang urusan lain seperti perlu adanya penjamin dan sebagainya. Pembelian dinar emas ini adalah secara tunai. Selain itu, pembeliannya adalah terbuka kepada setiap golongan masyarakat.
Tahan lasak
Dinar emas Kelantan merupakan kepingan-kepingan syiling yang diperbuat daripada emas yang ketulinannya sebanyak 91.7%. Apabila kita diceritakan tentang emas, maka terbayang pada fikiran kita bahawa emas merupakan suatu barang yang keras dan kuat. Dengan itu, ianya sentiasa akan kekal dalam bentuknya selama-lamanya. Kepingan-kepingan dinar ini, adalah sukar dipalsukan kerana beberapa keistimewaan yang wujud padanya seperti warna, dengung bunyinya dan kekerasannya. Ia juga dikatakan mempunyai kilauan kilat yang istimewa di mana ia tidak boleh dihilangkan walaupun diuji dengan asid yang kuat.
Abu Hayyan al-Dalusi iaitu penulis Bahrul Muhit ada menyatakan:
“ emas dan perak ialah harta yang paling bernilai, ini kerana sesiapa yang memilikinya mugkin mempunyai harta lain. Dan digunakan untuk memenuhi keperluan manusia….’
Wang fiat membawa banyak masalah sosio-ekonomi kerana sifatnya mudah dicipta dan mudah pula terhapus. Masalah inflasi,dan masalah kemelesetan ekonomi serta sebagainya akan dating apabila ia dicipta, dan masalah pengangguran dan lain-lain apabila ia terhapus. Bagi emas pula, ia adalah sebaliknya. Ia tidak boleh dicipta begitu sahaja dan tidak boleh terhapus dengan begitu sahaja. Oleh itu, ia boleh terus memainkan peranan sebagai wang. Penggunaannya pula tidak terbatas kerana ianya tidak mudah koyak seperti wang kertas dan sentiasa dalam keadaan asal jika dimasukkan dilam air atau sebaginya.
Stabil dan kebal
Dari segi kimia emas adalah satu elemen yang jarang bertindak balas dengan elemen yang lain. Ia sangat tidak aktif sehinggakan ia dikeluarkan dari tanah sebagai sebagai emas juga(bukan dalam bentuk oksida besi). Emas juga tidak berkarat. Oleh yang demikian, harta karun emas yang terbenam dalam tanah atau laut untuk berkurun lamanya masih kelihatan seperti baru ditemui. Emas juga tidak terhapus oleh haba dan tekanan ekstrim.
Pergerakan harga emas adalah lebih perlahan dan lebih stabil berbanding pelaburan yang lain, jesteru itu membolehkan ia bertindak sebagai platform terhadap kekerapan turun dan naiknya nilai pasaran saham. Dengan penggunaan dinar emas Kelantan ini yangmana berteraskan emas semata-mata, maka nilainya tidak dipengaruhi oleh keuntungan syarikat, tidak seperti nilai saham dan bond. Apabila nilai saham menurun berterusan, nilai emas kebiasaannya akan naik, menjadikannya portfolio pelaburan pilihan.
Nilaian antarabangsa
Emas mempunyai nilai yang sama di seluruk pelusuk Negara. Emas juga boleh mudah untuk melakukan pemantauan bagi nilainya kerana pusat urusniaga antarabangsa memberikan maklumat berterusan selama 24 jam sehari mengenai harga emas dan kadar pertukaran mata wang. Hampir kebanyakkan akhbar akan memaparkan harga emas semasa dalam sesebuah negara mahupun antarabangsa. Bagi penduduk negeri Kelantan, kadar tersebut boleh juga mendapatkannya di setiap kedai dinar emas yang berdekatan. Selain itu, kita juga akan mendapatkannya di dalam internet seperti didalam laman web www.dinarkel.com.
2.6 Kesimpulan
Penggunaan dinar emas pada masa kini adalah sebagai simpanan kerana ia mempunyai nilai intrinsik, digunakan sebagai mas kahwin, hantaran, pembayaran zakat, hadiah anugerah bagi kejayaan sesuatu pekerjaan dan sebagainya. Wang dinar tidak seharusnya disimpan atau disorok malah ia seharusnya beredar di kalangan masyarakat.
Kerajaan negeri Kelantan telah pun mengambil inisiatif dengan menerbitkan dinar emas Kelantan. Dinar emas Kelantan ini berkonsepkan dinar emas yang dikeluarkan oleh khalifah sayyidina Umar al-Khattab semasa pemerintahannya. Tiada sebarang perbezaan antaranya samada dari segi ketulinan, kadarnya. Cuma yang membezakannya adalah lambang dan tulisan yang tertera pada dinar emas tersebut. Dinar emas Kelantan telah meletakkan lambang dan simbol yang menunjukkan negeri Kelantan itu sendiri.hal ini kerana kelahiran dinar emas Kelantan ini adalah untuk mengembalikan sistem ekonomi umat Islam pada zaman keagungan Islam itu sendiri selain daripada memartabatkan tuntutan agama agar urusan ekonomi dijalankan dengan bersih dan telus sekaligus dapat mengelakkan masyarakat dari terlibat dalam masalah riba’.
Walaupun dinar emas Kelantan ini tidak dapat untuk dijadikan sebagai mata wang, kerana ia tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan Malaysia, akan tetapi ia di jadikan sebagi asset alternatif kepada masyarakat untuk di jadikan sebagai simpanan, mas kahwin dan lain-lain. Walaupun begitu, ia tidak menyalahi undang-undang apabila masyarat menggunakannya. Cuma ia tidah sah dalam penggunan sebagai mata wang sahaja. Masyarakat tidak akan mendapat sebarang kerugian daripadanya kerana dinar emas Kelantan diperbuat daripada emas semata-mata dan ia mempunyai nilai di seluruh dunia. Malah dengan penggunaannya akan mendatangkan pelbagai faedah darinya.
Kita pun sudah diterangkan tentang keistimewaan yang terdapat pada emas dan dinar emas Kelantan. Dengan itu, pihak kerajaan negeri Kelantan telah pun mencadangkan akan penggunaan dinar emas Kelantan ini. Selain itu, telah pun disediakan kepada masyarakat Kelantan amnya, tempat-tempat untuk mendapatkan dinar emas Kelantan dengan mudah dan dekat.
BAB III
3.1 PERLAKSANAAN DINAR EMAS KELANTAN
3.1.2 Pendahuluan
Emas telah memainkan peranan sebagai wang dalam sejarah Islam dimana pada zaman-zaman keagungannya yang telah memperlihatkan penguasaannya serta pengembangan bermacam-macam ilmu, perkembangan perdagangan dan pembangunan ekonomi dunia Islam sejagat. Keagungan ini sehinggalah kepada kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924. Selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, dunia Islam berpecah belah, tiada tanah yang tidak dijajah oleh barat. Kekuasaan serta martabat orang Islam kian jatuh, orang Islam semakin mundur dan terpinggir dari segala aspek sama ada dari aspek pendidikan, ekonomi, politik, ketenteraan dan sebagainya.
Dari segi sejarah, bagi perlaksanaan wang dinar emas ini, sebelum kedatangan Islam, pelbagai sistem jual beli digunakan oleh manusia. Pada mulanya mereka menggunakan sistem tukar barang (dinamakan sebagai sistem barter), kemudiannya sistem wang. Ketika orang-orang Arab pulang berdagang dari Syam, mereka membawa dinar emas Romawi (Byzantium), dan dari Iraq pula membawa Dirham perak Parsi (Sasanid), dan dirham Himyar dari Yaman. Jadi, di saat itulah pelbagai bentuk mata wang asing mula diperkenalkan kepada masyarakat Arab.
Setelah kedatangan Islam dan Rasulullah s.a.w diangkat sebagai Nabi, manusia ketika itu menggunakan wang Romawi dan Parsi yang berasaskan dinar emas dan dirham perak. Mereka bermuamalat dengan wang tersebut mengikut timbangan pada asas, timbangan dengan timbangan, serupa dengan serupa, sama dengan sama.
Zaman berganti zaman, masa berganti masa, manusia menjalani kehidupan semakin maju, maka manusia telah mencipta cara bagi memudahkan membawa wang bagi perbelanjaan. Ekoran dari itulah, manusia mula menggunakan wang berbentuk kertas, cek, kad kredit dan sebagainya.
Pada hari ini, semasa dunia sedang mengalami proses globalisasi, wang bukan lagi dalam bentuk emas atau perak, tetapi dalam bentuk mata wang kertas serta syiling tampang dan akaun semasa bank, berdasarkan definisi wang yang paling sempit. Walaupun pada mulanya akaun bank boleh digunakan sebagai wang melalui perantaraan cek, tetapi ia kini juga boleh berfungsi sebagai wang melalui perpindahan elektronik. Anehnya, semua bentuk wang baru tersebut adalah wang fiat yang mempunyai nilai pertukaran atau kuasa beli tetapi tidak mempunyai kandungan atau nilai intrinsik. Wang tersebut telah mudah dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu dengan begitu banyak sehingga kemampuannya untuk menjalankan fungsi-fungsi asasnya telah diragui.
Perbincangan untuk mengembalikan peranan emas dalam sistem kewangan dunia telah banyak dilakukan di peringkat antarabangsa iaitu semenjak mata wang negara-negara dunia tidak lagi disandarkan kepada emas pada tahun 1971.
Sejak idea ini mula diperkenalkan di Malaysia pada 2001, banyak pihak menyambut baik penggunaan dinar emas dalam urusan perdagangan. Akan tetapi, disebabkan kurangnya kefahaman masyarakat terhadap penggunaannya, maka ia menjadi tenggelam begitu sahaja tanpa sebarang susulan yang meyakinkan.
Namun begitu, isu ini tiba-tiba kembali mendapat perhatian apabila kerajaan negeri Kelantan membuat pengumuman untuk melaksanakan penggunaan dinar emas di negeri yang digelar ‘serambi Mekah’ itu. Pada 21 Mei 2006, media massa Negara ini melaporkan bahawa negeri Kelantan akan mula melaksanakan penggunaan dinar emas.
Pada September 2006, tuan guru Nik Aziz Nik Mat, menteri besar negeri Kelantan telah pun merasmikan dinar emas yang diberi nama ‘Dinar Emas Kelantan’ sempena kerajaan negeri Kelantan. Perasmian itu menunjukkan pihak kerajaan negeri Kelantan akan mengeluarkan dinar emas Kelantan yang diperbuat dari emas tulin mengikut piawaian Sayyidina cUmar al-Khattab semasa zaman pemerintahannya.
3.2 PENGURUSAN DINAR EMAS KELANTAN
Inisiatif kerajaan Malaysia untuk menggunakan emas sebagai jalan penyelesaian dagangan antarabangsa, menunjukkan mustahaknya emas sebagai matawang dalam abad ke-21 Masihi, wang kertas adalah tertakluk kepada inflasi dan spekulasi, dan nilai sering hilang dari semasa ke semasa. Sebagai langkah proaktif, kerajaan negeri Kelantan memperkenalkan emas dinar kepada masyarakat sebagai usaha mengembalikan peranan atau fungsi dinar di dalam ekonomi Islam. Tedapat beberapa pihak yang telah menyokong dan bersama-sama mengambil bahagian dalam memperkenalkannya kepada masyarakat.
Permodalan Kelantan Berhad
Permodalan Kelantan berhad (PKB) merupakan sebuah anak syarikat negeri Kelantan. Ditubuhkan pada 30 April 1981 yang bertempat di Kota Bharu Kelantan. PKB mempunyai unit-unit syarikat subsidiari di dalam perniagaannya. Antaranya ialah aktiviti lagsung seperti Ar-Rahn (sistem pajak gadai Islam), Hostcare Sdn. Bhd (Al-Nisa’), Infra Quest Sdn. Bhd. Dari segi pelaburan ialah Binaraya PKINK Sdn. Bhd, Kelkon Sdn. Bhd, Prokel Mnagment Sdn. Bhd dan bagi pelaburan harta pula PKB mempunyai bangunan Hotel Ansar, bangunan ITD dan Kem Rehlah.
Dalam pengurusan dinar emas Kelantan ini, pihak PKB merupakan syarikat yang diberi tanggung jawab oleh pihak kerajaan negeri Kelantan bagi segala penguruasan. Segala pengurusan sama ada dari segi pengendalian seperti bertanggung jawab untuk mendapatkan tempahan stok dinar emas Kelantan. PKB juga bertanggungjawab ke atas pengurusan kedai-kedai dinar emas yang di buka di setiap daerah di negeri Kelantan yang menyediakan khidmat pembelian serta pajakan dinar emas Kelantan. Penyelarasan harga bagi dinar emas Kelantan juga dikeluarkan oleh pihak PKB agar sentiasa selaras dengan harga pasaran serta pemantauan terhadap harga tersebut.
Dengan pengeluaran dinar emas Kelantan ini, pihak PKB telah membuka sebanyak 11 rangkaian pajak gadai Ar-Rahn dan dinar emas Kelantan. Selain itu, terdapat juga rangkaiannya berada di Kuala Lumpur. Rangkaian ini adalah untuk mereka yang ingin mendapatkan dinar emas emas Kelantan dan juga perkhidmatan pajak gadai bagi penggunaan dinar Kelantan tersebut.
Kedai Dinar Kelantan /Ar-Rahn
Ahmad Azhar Baysir mentakrifkan ar-rahnu sebagai “menjadikan sesuatu benda yang bernialai menurut pandangan syarak sebagai tanggungan hutang. Dengan adanya benda yang menjadi tanggungan itu seluruh atau sebahagian hutang dapat diterima”.
H.M. Arsjad Thalib Lubis mentakrifkan ar-rahnu sebagai “ menjadi suatu barang yang serupa harta dan ada harganya menjadi jaminan hutang dan ia akan dijadikan pembayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar”
Kedai dinar Kelantan ataupun ar-rahn telah pun di buka oleh pihak negeri Kelantan di bawah pengendalian koperasi PKB adalah bertujuan sebagai ejen pengedar dinar emas Kelantan. Masyarakat boleh mendapatkan dinar emas Kelantan ini di setiap kedai tersebut yang terdapat di setiap daerah di negeri Kelantan.
Penubuhan kedai dinar /Ar-Rahn, sistem gadaian Islam, selain daripada menjual dan menerima tempahan terhadap pembelian dinar emas Kelantan, ia juga bertujuan membantu masyarakat semasa kesempitan wang secara memeberi hutang bercagar menurut landasan hukum dan syariat. Ia mengutamakan keadilan, ketelusan dan mudah serta cepat kepada pelanggan. Bagi pengendalian dinar emas pihak kerajaan Kelantan, menamakan ‘ar-Rahn’ sempena penggunaan pajak gadai dinar emas ini boleh digunakan di dalam sistem ar-rahnu. Nama ar-rahn ini hanya digunakan untuk kedai-kedai pajak yang dibuka oleh pihak PKB sahaja.
Keistimewaan yang terdapat pada sistem yang disediakan oleh ar-rahn ialah sistemnya mematuhi syariat Islam, dimana menekankan konsep adil, telus, mudah dan cepat. Selain itu, hutang bercagar tanpa riba, kadar upah simpan barang berpatutan seperti, jika nilai barang gadaian (marhun) sehingga mencecah RM400, hanya RM0.060 bagi kadar bulanan pada setiap nilaian RM100. Bagi RM401 hingga ke RM2,000, kadarnya ialah RM0.080 dan bagi RM2,001 sehingga RM10,000, kadar upah simpanannya ialah RM0.90 pada nilai setiap RM100.
Bagi perkhidmatan khusus kepada masyarakat Kelantan oleh pihak Ar-Rhn adalah seperti gadaian dan tebusan. Masyarakat boleh membuat sebarang gadaian kepada pihak Ar-Rahn, tetapi ia adalah barang-barang sandaran (marhun) daripada barang-barang kemas (emas) dan dinar emas sahaja. Selain itu, pihak Ar-Rahn juga menyediakan perkhidmatan membeli surat pajak dimana ia hendaklah hak milik sendiri sahaja. Pihak Ar-Rahn juga membeli lelongan emas terpakai dimana ia melalui Koperasi Permodalan Kelantan Berhad. Segala perkhidmatan ini, pihak Ar-Rahn hanya mengenakan kadar bayaran perkhidmatan yang rendah dan berpatutan.
Hal ini sejajar dengan konsep penubuhannya yang bermatlamatkan memberi peluang kepada masyarakat bermuamalah dengan berlandaskan syariat. Ar-rahn mementingkan aspek halal di dalam urusniaga agar menjadi pilihan utama kepada umat Islam khususnya.
Maksudnya:
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka Sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Mariwasa Kraftangan Sdn.Bhd
Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd merupakan sebuah syarikat yang mengambil tempahan kepada penempaan syiling dinar emas Kelantan. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1975 dan merupakan salah sebuah anak syarikat kepada Royal Mint of Malaysia. Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. berlokasi di Kuala Kangsar, Perak. Mariwasa kraftangan merupakan sebuah syarikat yang membuat barangan-barangan hiasan seperti bekas-bekas yang diperbuat daripada perak dan gangsa, hadiah-hadiah yang disadur oleh emas dan sebagainya.
Pihak Mariwasa telah mengambil tempahan dari permodalan Kelantan berhad untuk membuat penempaan terhadap dinar emas Kelantan iaitu syiling dinar 1 dinar, ½ dinar dan ¼ dinar. Pihak PKB akan membuat tempahan terlebih dahulu sebelum pihak Mariwasa melakukan penempaan dinar tersebut. Dengan itu, pihak Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd akan membuat penempaan syiling yang diperbuat daripada emas mengikut gaya dan bentuk yang dinyatakan oleh pihak PKB. Penempaan bagi ketulinan emas pada syiling tersebut adalah 91.7%, dimana ia mengikut piawaian cUmar al-Khattab.
3.3 SAMBUTAN
Dinar emas Kelantan telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kelantan sebagai intrumen tabungan serta pelaburan dan sebagainya kepada masyarakat bagi mengembalikan keagungan sistem muamalah Islam. Selain itu, ia dapat menjamin kestabilan ekonomi kerana emas merupakan suatu yang tidak akan terhapus nilainya. Semenjak pelancaran dinar emas Kelantan pada September 2006, sambutan masyarakat terhadap dinar emas Kelantan ini semakin meningkat dari masa ke semasa.
kita rumuskan bahawa sambutan masyarakat tehadap dinar emas Kelantan, meningkat saban hari. Walaupun dinar Kelantan masih belum boleh digunakan sebagai mata wang, akan tetapi penggunaanya amatlah meluas bagi seseorang individu itu untuk memperolehinya.
3.4 PELABURAN DINAR EMAS KELANTAN
3.4.1 Pendahuluan
Pelaburan merupakan suatu bentuk muamalah yang boleh mendapatkan keuntungan kepada sesiapa yang melakukan. Akan tetapi, ia juga mempunyai risiko. Di Malaysia, dinar emas seperti kijang emas merupakan satu instumen pelaburan yang sah dan mampu memberikan pulangan yang selain kaedah urus niaga atau pelaburan lain. Di Malaysia, pelaburan atau urus niaga menggunakan dinar emas ini di uruskan oleh IGD Exchange Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh e-Qirad Sdn. Bhd. yang berpusat di Kuala Lumpur. E-Qirad Sdn. Bhd. melantik wakil-wakilnya di seluruh Malaysia bagi mengendalikan pelaburan emas. Antara wakil-wakil dalam melaksanakan urusan dinar emas ini adalah Koperasi Permodalan Johor (Johor), Mukafaah Sdn. Bhd. (Pahang), Singgahsana Emas Sdn. Bhd. (Melaka), In-Gold Consulting Sdn. Bhd. (Pulau Pinang, Gold Word Access Sdn. Bhd. (Selangor), Gold Desingns Sdn. Bhd. , Wakala Equities Sdn. Bhd., Perwira Gold Sdn. Bhd. dan Dynsty Gold Fortune Sdn. Bhd. (Kuala Lumpur).
Menurut kamus dewan bahasa, edisi ketiga, pelaburan bermaksud jumlah wang (modal dan sebagainya) yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga dan sebagainya, penanaman modal dan sebagainya. Selain itu, pelaburan juga membawa maksud sesuatu yang dibeli dengan harapan akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Pelaburan juga dapat diberikan dengan pelbagai maksud. Setiap orang akan memberi maksud yang berlainan mengikut kefahaman tersendiri.
Pelaburan terdiri daripada dua aspek secara umumnya iaitu pelaburan dari aspek sosial dan pelaburan dari aspek ekonomi. Pelaburan dari segi sosial merupakan sumber kepada kekayaan. Ianya adalah pertambahan pelaburan yang menunjukkan pertumbuhan kekayaan. Bagi aspek ekonomi pula, merupakan penglibatan dana pada masa sekarang bagi memperolehi pendapatan pada masa hadapan. Ia dianggap bagi tujuan untuk menyediakan pendapatan dan menambahkan nilai kewangan. Oleh itu, pelaburan dari aspek ekonomi ini terbahagi kepada dua golongan iaitu pelaburan modal dan pelaburan dalam asset kewangan seta aset benar.
Dalam mengawal ekonomi serta untuk mengumpul kekayaan, lazimnya tedapat empat cara untuk mendapatkannya antaranya memiliki atau membeli barang yang nilainya akan meningkat pada masa akan datang, membeli harta tanah, membeli unit amanah, saham atau insurans, memulakan perniagaan apabila kita mempunyai kemahiran keusahawanan. Dalam penggunaan dinar emas ini, kita dapat menggunakan cara yang pertama iaitu memiliki dan membeli barang yang nilainya akan meningkat pada masa akan datang. Ini kerana kita semua telah ketahui bahawa nilai emas mempunyai potensi yang amat tinggi untuk meningkat dari semasa ke semasa.
Oleh itu, dapat kita katakan bahawa dengan pembelian dinar emas ataupun dinar emas Kelantan , dapatlah kita membuatkannya sebagai satu bentuk pelaburan yang mana dapat kita gadaikannya pada masa ia meningkat akan harganya.
3.4.2 Kaedah Pelaburan Dinar Emas Kelantan
Simpanan/ Tabungan
Penggunaan dinar emas Kelantan tidak lagi boleh disamakan dengan penggunaan dinar emas kijang keluaran Bank Negara Malaysia sepenuhnya. Ini kerana dinar emas Kelantan masih lagi di dalam proses pengenalan atau memperkenalkan kepada masyarakat umum. Untuk memperkenalkan kepada masyarakat, maka ia akan mengambil masa yang agak lama agar masyarakat dapat memahaminya dengan lebih mendalam akan kelebihan mahupun faedah-faedah yang diperolehi daripadanya.
Akan tetapi, penggunaannya di dalam bentuk simpanan atau tabungan seperti mana yang di cadangkan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan, merupakan suatu yang di kira sebagai pelaburan. Apabila kita membeli dinar emas pada harga semasa, secara tidak langsung kita telah pun membuat satu pelaburan dengan memilki asset yang akan membawa kepada keuntungan seperti kenaikan harga dinar tersebut, pada masa akan datang. Kita boleh menjualnya semula, dan mendapatkan keuntungan daripada kenaikan nilai harga dinar emas tersebut. Kita dapat lihat berikutan harga dinar emas Kelantan pada pelancaran dinar emas Kelantan iaitu pada 21 haribulan 9 tahun 2006, bagi 1 dinar ialah RM 332.25, ½ dinar ialah RM 176.76 dan bagi ¼ dinar ialah RM99.38. Dan jika kita lihat peningkatannya pada 27 haribulan 3 tahun 2008, iaitu bagi 1 dinar ialah RM 436.52, bagi ½ dinar ialah RM223.78, dan bagi ¼ dinar ialah RM117.89. Ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang membelinya pada tahun 2006, akan mendapat keuntungannya pada tahun 2008. Hal ini jelas menampakkan bahawa dengan kita membuat simpanan terhadap dinar emas Kelantan, kita akan mendapatkan keuntungan daripadanya di masa kelak. Ia dikira sebagai satu pelaburan yang sah di sisi syariat Islam. Gambarajah 4 dan 5 menunjukkan pergerakan harga ( dalam USD bagi tempoh lima tahun dan 10 tahun bagi harga dinar emas.
Ar-Rahnu
Menurut Mokhtar Abdul Razak, ar-rahnu ditakrifkan sebagai “ keadaan dimana penghutang atau penerima pinjaman menyandarkan barangan kepunyaannya sebagai jaminan kepada hutang atau pinjaman yang diterima daripada pemiutang atau pemberi hutang”. Selain itu, menurut Abdul Rahman Al-Jaziri menerangkan bahawa ar-rahnu menurut syarak’ bermaksud “menjadikan barang yang ada harganya menurut pandangan syarak’ sebagai jaminan kepercayaan hutang piutang. Ini bermakna seluruh hutang atau sebahagiannya dapat diambil, sebab sudah ada barang jaminan tersebut’.
Kerajaan negeri Kelantan telah mengambil langkah alternatif bagi penggunaan dinar emas kelantan dengan menubuhkan pejabat-pejabat Ar-Rahn bagi segala urusan dinar emas tersebut. Ia lebih menekankan kepada penggunaan di dalam kaedah ar-rahnu. Penubuhan Ar-Rahn, sistem gadaian Islam bertujuan membantu masyarakat semasa kesempitan wang secara memberi hutang bercagar menurut landasan hukum dan syariat. Ia mengutamakan keadilan, ketelusan dan mudah serta cepat.
Bagi tatacara gadaian yang dibuat di Ar-Rahn adalah seperti perkhidmatannya dibuka kepada semua yang berumur 18 tahun dan keatas. Selain itu, barang-barang sandaran (marhun) hendaklah daripada barang-barang kemas (emas) dan emas dinar sahaja yang diterima. Bagi kadar hutang pula dihadkan kepada 60% dari nilai semasa barang sandaran (marhun). Gadaian dikira sah dan sempurna setelah ijab & qabul antara penggadai dan pemegang gadai serta saksi menanda tangani surat gadaian menandakan bersetuju menerima syarat-suarat yang dikenakan.
Bagi tempoh gadaian pula, adalah selama enam bulan dari tarikh gadaian. Bagaimanapun penggadai boleh melanjutkan tempoh tebus mengikut persetujuan kedua belah pihak, sesudah membayar upah simpan marhun untuk tempoh gadaian terdahulu. Jika penggadai gagal menebus, Ar-Rahn akan memberi “notis lelong” sebelum menjual Marhun secara lelong oleh pelelong yang berlesen. Penggadai diberi peluang untuk berunding, menjual cagaran berdasarkan kepada harga emas semasa. Baki harga lelong itu, sesudah ditolak upah, kos dan jumlah hutang, akan dikembalikan kepada penggadai.
Dalam sistem ar-rahnu ini, dinar emas Kelantan dapat di gunakan sebaik-baiknya. Ini kerana, pihak Ar-Rahn akan mengenakan dengan harga mengikut harga pasaran semasa. Berlainan jika kita membuatnya di kedai-kedai emas barang-barang kemas. Mereka akan mengenakan harga barangan terpakai atau ‘second hand’. Ini akan mengurangkan lagi harga pada emas tersebut berbanding dengan harga semasa.
3.5 KESIMPULAN
Dinar emas Kelantan masih menjadi perkara baru bagi rakyat Malaysia, amnya masyarakat di Kelantan kerana ia baru diperkenalkan pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, penggunaannya diterima baik oleh masyrakat. Disebabkan keunikan yang terdapat pada dinar emas Kelantan ini tidak ada pada mata wang lain seperti nilai tersimpan (intrinsic value), stabil, tahan lasak, sesuai untuk pelaburan dan banyak lagi. Oleh itu, tidak hairanlah jika emas disebut sebagai harta yang paling bernilai bagi umat Islam dan sekaligus sebagai pelaburan yang terbaik dalam melipatgandakan keuntungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan