1. Pengenalan
Ditinjau dari sudut bahasa syariah bermakna jalan menuju sumber air. Sedangkan makna istilahnya, syariah adalah penerapan seluruh aspek kehidupan sesuai ajaran Islam, yang mengandungi masalah ibadah dan sebagainya yang dinisbahkan pada al-Quran dan sunnah rasulullah s.a.w. Mahmut Syaltut yang mendefinisikan syariah sebagai jalan atau sistem kehidupan yang dibuat oleh Allah bagi manusia dalam hubungan dengan Allah s.w.t, sesama muslim, sesama manusia, kehidupan dan alam semesta. Oleh itu pengertian syariah ialah meliputi seluruh hal dan perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah s.w.t untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan syariah, kebiasaannya syariah akan lebih dimengertikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.
Tujuan-tujuan syariat Islam atau maqasid syarie ialah rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Allah di dalam setiap ketentuan hukumnya. Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekalian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan atau keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka (Syatibi. 1996). Dan diantara nas-nas al-Quran yang mengatakan tujuan diturunkan syariat ialah di dalam surah huud ayat 88:
“Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih mampu”.
2. Jenis-jenis kemaslahatan
Syariat Islam sebagaimana syariat-syariat yang lainnya adalah bertujuan untuk menjaga dan memelihara lima benda ataupun dikenali sebagai kulliyat al-khams atau al-dharuriyat al-khams. Lima perkara tersebut ialah memelihara agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Ini kerana kelima-lima perkara ini amat penting bagi menjamin umat Islam sentiasa terpelihara, dapat melaksanakan syariat Allah dengan sempurna dan dapat menahan daripada serangan musuh-musuh Islam. Manakala cara untuk memelihara lima kepentingan ini dapat dibahagikan kepada tiga tingkatan, yang mana setiap tingkatan mempunyai keutamaan masing-masing. Dan tingkatan-tingkatan ini dikenali dikalangan ulama dengan istilah al-dharuriyat, al-hajiyat dan al-tahsiniyat.
Al-dharuriyat bermaksud segala sesuatu yang tidak dapat ditinggalkan dalam kehidupan keagamaan dan keduniaan manusia. Dalam erti kata lain, jika ia tidak ada maka kehidupan manusia di dunia ini akan menjadi rosak dan tidak teratur. Contohnya untuk memelihara keadilan dan keamanan manusia, maka telah di syariatkan hukuman hudud. Al-hajiyat pula bermaksud sesuatu yang diperlukan oleh manusia dalam menghindari kesempitan dan menolak kesulitan. Yang mana jika ia tidak ada maka manusia akan mengalami kesulitan dan kesempitan, akan tetapi ia tidak sampai merosakkan kehidupan. Contohnya diberi ‘rukhsah’ kepada orang yang sakit dan bermusafir untuk berbuka puasa di bulan ramadhan. Al-tahsiniyat bermaksud hal-hal yang menjadi tuntutan dari martabat diri dan akhlak yang mulia untuk mendapat kehidupan yang baik. boleh dikatakan bahawa perkara tahsiniyat ini ialah perkara pelengkap untuk mempunyai kehidupan yang lebih selesa. Contohnya telah disyariatkan prinsip mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan kebaikan-kebaikan yang disunatkan berupa sedekah dan amalan-amalan baik yang lainnya (Syeikh Muhammad Tohir Bin ‘Asyur. 1998).
Ketiga-tiga bahagian ini mempunyai martabatnya masing-masing. Di dalam satu-satu masalah, perkara al-dharuriyat akan menjadi keutamaan daripada perkara al-hajiyat. Dan jika terdapat pertembungan diantara perkara al-hajiyat dan al-tahsiniyat, maka perkara al-hajiyat lebih utama dan al-tahsiniyat tidak sekali-kali akan mendahului al-hajiyat. Akan tetapi, perbincangan di dalam kertas kerja ini akan tertumpu kepada al-hajiyat dari segi makna, bahagian dan kepentingannya di dalam kehidupan manusia.
3. Makna al-hajiyat
Makna al-hajiyat menurut Syeikh Muhammad Tohir ialah apa yang diperlukan oleh manusia untuk mendapat kebaikannya dan mengatur semua perkara kepada keadaan yang lebih baik (Syeikh Muhammad Tohir. 1998). Yang mana jika tidak dijaga perkara ini, ia akan menjejaskan aturan kehidupan akan tetapi ianya cuma merangkumi perkara yang kurang penting yang tidak sampai ke tahap al-dharuriyat. Telah berkata Syartibi “al-hajiyat ialah apa yang berkehendakkan dari segi kesenangan dan mengangkat kesulitan. Jika ia tidak dijaga, maka ia akan menyebabkan kesulitan dan kesempitan akan tetapi ia tidak sampai kepada kerosakan yang teruk kepada maslahah umum” (Syeikh Muhammad Tohir. 1998). Iaitu masalah yang tidak sampai ke tahap terdesak, tanpanya tidak menjejaskan lima perkara yang wajib dijaga tadi. Sementara Imam Syatibi menyatakan sekiranya tidak dilaksanakan maslahah ini akan menyebabkan sedikit bebanan dan kepayahan namun tidak membawa kepada kerosakan kepada lima perkara tersebut.
Syarak amat menekankan penjagaan terhadap maslahah ini terutamanya dalam ibadat, muamalat dan jenayah. Kehidupan manusia tidak sempurna dan stabil sekiranya hilang maslahah ini yang akhirnya akan menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam keadaan kesempitan. Umpamanya dalam masalah sewaan pada asalnya tidak harus kerana mengambil manfaat pada benda yang tiada,akan tetapi kerana hajat manusia maka dibolehkan dan sebagaimana kata Imam Sayuti “al-Hajah jika secara umumnya seperti dharurah”. Begitu juga dalam masalah mudharabah pada asalnya juga tidak diharuskan kerana keuntungan tersebut majhul akan tetapi sebagai rukhsah untuk keperluan manusia juga dibenarkan. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Rusyd: “Sesungguhnya rukhsah pada dharurah adalah untuk memberi rezki (kurniaan) kepada manusia” (http//www.Free.ProHosting.com).
4. Pembahagian al-hajiyat
Di sini penulis akan membahagikan al-hajiyat kepada beberapa bahagian mengikut beberapa aspek;
1) Dari segi muamalat
Islam menuntut usaha pengembangan harta dan memeliharanya agar tidak musnah kerana harta itu adalah salah satu kekuatan bagi umat Islam. Di samping itu disyariatkan juga beberapa transaksi yang mencakupi pengaturan yang tidak ada seperti transaksi pesanan, sewa-menyewa, pengairan dan seumpamanya. Di dalam sewa menyewa misalnya, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Qashash ayat 26 hingga 27:
“Salah seorang dari kedua wanita itu berkata:
"Wahai bapaku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya"(26). Berkatalah dia (Syu'aib): "Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahwa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun, maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu dan kamu jika dikehendaki oleh Allah akan mendapatiku termasuk orang- orang yang baik"(27).
Manakala transaksi-transaksi yang lain seperti jual beli seperti rukun dan syarat jualan, maka semuanya telah diatur oleh Islam atas dasar keadilan dan kerelaan (Muhamad Hj. Md. Daud, Ahmad Kamaruddin Hj. Hamzah. 2001).
2) Dari segi hal yang berkaitan dengan agama atau ibadat
Dalam hal yang berkaitan dengan agama dan ibadat pula telah disyariatkan berbagai keringanan seperti dibenarkan mengucapkan kata yang menunjukkan kekafiran ketika dalam keadaan terpaksa sekali. Selain itu, dibolehkan berbuka bagi orang yang sakit dan dalam perjalanan di bulan ramadhan. Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 184:
“Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (bolehlah ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”.
Ayat di atas menunjukkan keharusan berbuka puasa di bulan ramadhan bagi mereka yang tidak mampu. Ini bagi mengangkat kemudharatan dan memberikan keringanan kepada umat Islam. Antara perkara lain ialah mengurangkan jumlah rakaat ketika bermusafir. Gugurnya kewajipan bersolat bagi wanita yang didatangi haid dan nifas. Mengusap dua sepatu (mashu al-khuff) diwaktu terdesak ketika berada di dalam perjalanan.
3) Dari segi jiwa atau adat istiadat manusia
Dalam hal ini, telah dibolehkan berburu dan menikmati kelazatan makanan. Contohnya di dalam masalah buruan, Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 2:
“dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu”...
Ayat di atas membolehkan manusia memburu binatang untuk dimakan (Wahbah al-Zuhaili. 2002). Ini kerana ia adalah kehendak manusia untuk menikmati daging haiwan. Dan dibolehkan berburu menggunakan binatang buruan bagi memudahkan lagi manusia. Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Adiy Bin Hatim yang bermaksud:
“Jika engkau menghantar atau melepaskan anjing kamu dan kamu dan kamu mengucapkan nama Allah, lalu anjing itu menangkap dan membunuh buruannya,engkau makanlah, tetapi jika ia sendiri memakan tangkapannya maka janganlah engkau memakannya kerana ia menangkap untuknya sendiri”.
4) Dari segi pemeliharaan keturunan
Dari segi pemeliaraan keturunan, syariat telah menetapkan beberapa syarat bagi akad perkawinan seperti adanya dua saksi yang adil dan pemberian mahar bagi memelihara masyarakat daripada berbagai-bagai penyakit yang timbul akibat daripada penzinaan. Selain itu, dibolehkan pula cerai di saat dharurat supaya perkahwinan tetap merupakan jalan untuk memelihara diri, kasih sayang, sikap tolong menolong dan sebagai pusat kedamaian dan ketenteraman.
5. Kepentingan al-hajiyat
1) Al-hajiyat boleh dikatakan sebagai pelengkap kepada al-dharurat kerana tanpanya manusia akan hidup di dalam kesusahan dan kesempitan. Ia juga seakan-akan al-dharurat, Cuma yang berbeza ialah tahap kerosakan yang dihadapi oleh al-hajiyat lebih ringan berbanding al-dharurat.
2) al-Hajiyat ini boleh juga dikatakan sebagai salah satu sifat umum pada syariat Islam. Ini kerana syariat Islam pada asal serta kaedahnya merupakan asas umum dari segi zaman dan tempat. Datangnya syariat Islam itu adalah bersesuaian dengan setiap zaman. Ini kerana ianya bersifat syumul dan selari dengan fitrah manusia. Syariat Islam tidak diturunkan mengikut zaman atau masa-masa tertentu sahaja.
3) Islam sebagai agama fitrah, maka pensyariatannya juga adalah bersesuaian dengan fitrah manusia. Segala apa yang diturunkan kepada umat manusia bukanlah untuk menyusahkan, mengongkong apatah lagi menzalimi, bahkan ia adalah untuk menjaga dan memelihara dengan kadar yang sepatutnya demi kebahagiaan manusia (Munir Hamid al-Bayati. 1994).
4) al-Hajiyat sebagai jalan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah. Dengan adanya al-hajiyat maka ia akan memudahkan manusia beribadah kepada Allah. Oleh itu semakin banyaklah ibadah yang mampu dilakukan oleh manusia dan semakin dekatlah manusia itu dengan keredhaan Allah.
6. kesimpulan
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan sesuatu itu dengan penuh hikmah. Dan tujuan diturunkan sesuatu itu bukanlah untuk menyusahkan hamba-hambanya. Bahkan untuk menjamin keselamatan dan kebaikan manusia itu sendiri. Untuk tujuan itu, Allah s.w.t telah menurunkan syariat bersesuaian dengan fitrah dan kehendak manusia. al-Hajiyat merupakan keperluan oleh manusia untuk mereka menjalani kehidupan di dunia ini dengan lancar dan menolak kemudharatan. Oleh itu sewajarnya keperluan ini digunakan dengan sebaik mungkin dan bukannya digunakan sehingga menyalahi syarak.
7. Rujukan
al-Quran
Http//www.Free.ProHosting.com
Muhammad Hj. Md daud, Ahmad Kamaruddin Hj. Hamzah. Fiqh Muamalat Dan Jenayah. 2001. Pusat Pengajian Jarak Jauh, UKM.
Munir Hamid al-Bayati. al-Nuzumu al-Islamiyyah. 1994. Dar al-Basyir.
Syatibi. al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah. jil: 2. 1996. Dar al-Ma'rifah, Beirut.
Syeikh Muhammad Tohir Bin ‘Asyur. Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah. 1998. al- Bashair.
Wahbah Zuhaili. Nazariyyah al-Dharurah al-Syar’iyyah. 1997. Muassasah al-Risalah.
Wahbah Zuhaili. terj. Syed Ahmad Syed Hussain. Fiqh Dan Perundangan Islam. Jil. 3. 2002. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan