DONATE

Isnin, 26 Januari 2009

CIRI-CIRI DAN KEISTIMEWAAN PERUNDANGAN ISLAM. ( Ketuhanan-Universal-Menyeluruh-Keaslian dan Keabadian-Memudahkan dan Menghilangkan Kesulitan )

Pendahuluan.

Syariat Islam merupakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammmad s.a.w sama ada ia berkaitan dengan:

a) Pembaikan aqidah untuk membebaskan akal manusia daripada cengkaman berhala, taklid dan khurafat.

b) Pembaikan aqidah untuk membebaskan akal manusia daripada pengaruh dan penyelewengan hawa nafsu.

c) Pembaikan masyarakat untuk membebaskan umat daripada kezaliman, kacau bilau dan penindasan.

Untuk mencapai semua keperluan diatas, syaricah datang membawa satu sistem sivil yang menyusun hubungan manusia sesama manusia, manusia dengan tuhan, dan memelihara hak-hak mereka di muka bumi. Kenyataan ini menjelaskan kepada kita bahawa syaricah itu terdiri daripada tiga dasar utama, iaitu caqidah caqliyah, cibadah ruhiyyah dan sistem perundangan kehakiman. Firman Allah:

Maksudnya: “Pada hari ini telahKu sempurnakan untuk kamu agama kamu, telahKu cukupkan kepadamu nikmatKu, redha Islam itu menjadi agama bagimu.”

Antara perkara yang diterima dan disepakati oleh ahli fiqh dan undang-undang ialah, setiap sistem yang ada, sama ada yang berasal daripada Allah (rabbani) ataupun ciptaan manusia (wad’iy) mestilah mempunyai kelebihan-kelebihan dan ciri-cirinya tersendiri. Kita perlu memahami dan mengetahui dengan sebenar-benarnya ciri-ciri undang-undang Islam untuk melihat keistimewaannya berbanding dengan undang-undang ciptaan manusia. Oleh yang demikian, penulisan ini akan membincangkan sebahagian daripada ciri-ciri dan keistimewaan perundangan Islam iaitu; ketuhanan, universal, menyeluruh, keaslian dan keabadian, serta memudahkan dan menghilangkan kesulitan.


1.0 Ketuhanan (Rabbaniyyah).

Yang dimaksudkan dengan rabbaniyyah di sini ialah hukum-hukum syaricah serta sistem-sistemnya bukan merupakan ciptaan manusia yang diliputi oleh sifat-sifat kelemahan dan keterbatasan. Ia juga tidak terpengaruh dengan faktor-faktor tempat, masa dan budaya serta faktor warisan, iaitu watak dan hawa nafsu. Tetapi Allah S.W.T adalah penggubalnya serta pemilik makhluk dan pentadbiran ala mini. Dialah Rabb seluruh isi alam yang telah menjadikan segala sesuatu dengan sebaik-baiknya.

Seorang mukmin yang sebenar ketika dia melaksanakan manhaj rabbani ini akan melaksanakan seluruh perintah Allah dengan perasaan gembira dan senang hati berasaskan sifat kejujuran serta keikhlasannya. Ini adalah kerana:

a) Dia benar-benar mengetahui bahawa Allah adalah Pencipta Yang Maha Berkuasa. Dia berhak berbuat sekehendak-Nya terhadap perihal makhluk-Nya. Manusia merupakan makhluk yang yang lemah dan terbatas serta tidak berhak berbuat sesuatu melainkan hanya patuh kepada apa yang telah dipilih oleh Allah baginya tanpa perasaan ragu-ragu dan sangsi. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dia kehendaki dan memilih-Nya. Sekali-kali tidak diberi pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan (dengan Dia).”

b) Dia mengetahui dengan yakin bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Allah lebih mengetahui tentang hukum-hukum yang disyaricat untuk hamba-hamba-Nya dan lebih tahu tentang masalah yang diwujudkan oleh mereka. Firman Allah:

Maksudnya: “Tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib.”

c) Dia tahu sebenar-benarnya, bahawa Allahlah Yang Maha Bijaksana tentang apa-apa yang disyariacatkan-Nya. Maksud kebijaksanaan Allah S.W.T ialah Dia meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai dengan bentuk yang dapat membawa kepada kemaslahatan dan menolak kebinasaan. Firman Allah:

“Allahlah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

d) Dia mengetahui dengan sesungguhnya bahawa manusia tetap lemah pada dasarnya dan tidak mampu untuk sampai ke tingkat kesempurnaan walaubagaimana matang ilmu pengetahuan dan tinggi kebudayaannya. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan manusia dijadikan bersifat lemah.”

Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan bahawa manusia dipengaruhi oleh suasana alam sekeliling, hawa nafsu. warisan dan dibentuk oleh aqidah yang dianutinya. Manusia juga mudah dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu yang berkaitan dengan dirinya. Realiti antarabangsa, persaingan sosial dan pertentangan pemikiran yang manusia cenderung kepadanya sekarang ini adalah merupakan bukti yang paling nyata bahawa manusia mudah terpengaruh dengan semua faktor tersebut. Akal dan ilmunya adalah terbatas dan ia lemah untuk mencipta undang-undang bagi dirinya walaubagaimana matang dan sempurna dirinya. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan diatas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu adalah lagi Yang Maha Mengetahui.”

Oleh kerana itulah kita lihat bahawa seorang mukmin yang mempunyai pandangan yang matang, faham tentang hakikat dirinya akan segera melaksanakan syaricat Allah. Dia bergerak untuk melaksanakan manhaj rabbani dengan keyakinan bahawa pembinaan manusia hanya terjamin dengan mengikut Yang Maha Sempurna, menyerahkan diri kepada Yang Maha Suci daripada kekurangan dan berserah diri kepada Yang Maha Agung, iaitu Allah semata-mata. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang yang yakin?”

Oleh kerana rabbāni inilah seseorang muslim tidak mempunyai pilihan lain untuk menerima atau menolak syaricah kerana menerimanya adalah tuntutan keimanan dan fitrah seorang insan. Benarlah Allah Yang Maha Agung berfirman:

Maksudnya: “Dan tidaklah patut bagi laki-laki mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.”

1.1 Implikasi Perundangan Allah dengan Perundangan Manusia.

Umumnya, perundangan dibentuk samada perundangan Islam mahupun selainnya, adalah untuk menjaga kemaslahatan umat manusia sejagat. Meskipun ia dilihat seperti mempunyai persamaan, namun ada segi-segi perbezaan yang jauh sekali.

Pertama: Kehendak Tuhan tidak boleh disamakan dengan kehendak manusia yang selalu mengalami kekurangan yang sesuai dengan sifatnya. Oleh kerana itu, undang-undang yang diciptakan oleh manusia tidak dapat memberikan kebahagiaan individu mahupun masyarakat.

Kedua: Nas-nas dari al-Qur’an dan al-Hadith terjamin dari kesalahan, akan tetapi seelok manapun manusia, ia tidak terlepas daripada kesalahan.

Ketiga: Undang-undang manusia tidak memperoleh penghormatan yang tinggi dan suci seperti yang diperoleh oleh hukum Islam, dan hal ini disebabkan kerana hukum Islam bersumberkan pada wahyu Tuhan, sedang hukum manusia bersumberkan kepada sifat dan perbuatan manusia itu sendiri.

Oleh yang demikian, hukum Islam boleh mengalami kestabilan dan perlaksanaannya dapat didasarkan atas kerelaan selam dasar-dasar hokum tersebut dating dari Tuhan di mana semua perbuatan-perbuatan dan perintah-perintah-Nya hanya dimaksudkan untuk mewujudkan kebaikan keatas manusia.


2.0 Universal (Al-'Ālamiyyah).

Syariat Islam dalam semua hukum, sistem dan prinsipnya mempunyai corak kemanusiaan (insāniyyah) dan bersifat universal. Syariat Islam merupakan rahmat bagi seluruh alam, petunjuk dan pedoman kepada semua manusia dan jalan hidup bagi semua manusia. Hukum Syariah diturunkan bukan untuk kawasan atau puak tertentu tetapi adalah untuk manusia seluruhnya tanpa melihat warna kulit, jenis bahasa atau tempat. Oleh itu, tidak ada perkauman dalam dakwah Islam, tidak ada asabiyyah dalam hukum dan tidak ada kasta dalam Islam. Semua manusia adalah sama, tidak ada kelebihan bagi mereka yang berbangsa Arab ke atas bangsa bukan Arab kecuali dengan takwa.

Ciri universal perundangan ini diterangkan oleh Allah dalam beberapa ayat, antaranya firman Allah:

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Katakanlah: Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada semua.”

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya bagi pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan.”

Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku berikan lima perkara yang tidak diberikan kepada nabi-nabi sebelumku. Aku ditolong oleh Allah dengan Dia mendatangkan perasaan ru’b (gentar) dalam hati orang-orang kafir selama sebulan, bumi ini dijadiak masjid bagiku dan suci (untuk tayamum), siapa saja daripada umatku apabila masuk waktu solat hendaklah dia solat, dihalalkan bagiku ghanimah (harta rampasan), nabi-nabi dahulu diutus kepada kaum mereka khususnya sedangkan aku diutus kepada seluruh umat manusia dan diberikan kepadaku syafaat.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Disebut dalam hadith sahih bahawa Rasulullah s.a.w menghantar utusan kepada raja-raja dan pembesar-pembesar seperti Al-Najasyi, Heraklius, Kisra dan Muqauqis untuk mengajak mereka kepada Islam. Surat Nabi kepada mereka yang bermaksud:

“Dengan ini saya mengajak tuan menuruti ajaran Islam. Terimalah ajaran Islam, tuan akan selamat, Tuhan akan memberi pahala dua kali ganda kepada tuan. Kalau tuan menolak, maka dosa orang-orang arisiyin menjadi tanggung jawab tuan. Wahai orang-orang Ahli Kitab, marilah sama-sama kita berpegang pada kata yang sama antara kami dan kamu yakni bahawa tidah ada yang kita sembah selain Allah dan kita tidak akan mempersekutukan-Nya dengan apapun, bahawa yang satu takkan mengambil yang lain menjadi tuhan selain Allah. Tetapi kalau mereka menolak juga, katakanlah kepada mereka, saksikanlah bahawa kami ini orang Islam.”

Antara faktor-faktor cālamiyyah (universal) undang-undang ini adalah tugas yang diberikan oleh Allah kepada umat Islam di setiap masa dan tempat untuk menyampaikan dakwah dan risalah Islam agar ia menjangkau ke seluruh pelosok muka bumi. Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh manusia berbuat baik, melarang mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah.”

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Begitulah kami menjadikan kamu sebagai umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas manusia dan rasul menjadi saksi atas kamu.”

Bertolak daripada arahan-arahan rabbāni mengenai ciri-ciri universal dakwah ini, umat Islam di seluruh muka bumi bergerak menyampaikan risalah Allah sambil merasa takut kepada-Nya dan tidak ada yang mereka takuti selain daripada Allah semata-mata. Slogan-slogan yang mereka laungkan di seluruh dunia ialah:

“Allah mengutus kami untuk membebaskan manusia daripada kesempitan dunia ini kepada kelapangan-Nya dan daripada kezaliman agama-agama kepada keaslian Islam.”

Ciri calamiyyah ini hanyalah merupakan kesan daripada corak rabbani dalam undang-undang Islam. Andaikata penciptanya seorang manusia atau kelompok manusia, nescaya dia akan memihak, secara disedari atau tidak kepada bangsa, kasta dan kepentingan masing-masing. Tetapi penggubalnya adalah Allah, di mana mereka semua adalah hamba-Nya. Tidak ada kelebihan seseorang ke atas yang lain atau suatu kelompok ke atas kelompok yang lain melainkan dengan sifat taqwa.

3.0 Menyeluruh (Syumūliyyah).


Seterusnya, fiqh Islam berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ia mencakupi tiga bidang perhubungan manusia iaitu hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan masyarakatnya. Ini kerana fiqh Islam adalah untuk kepentingan dunia dan akhirat, kerana fiqh ialah agama dan kerajaan serta kerana fiqh adalah untuk seluruh manusia dan kekal hingga ke Hari Akhirat.

Ia mencakupi sistem dan perundangan yang meliputi dalam tiap-tiap aspek kemasyarakatan dan kehidupan sama ada yang berkaitan dengan aqidah, ibadah atau akhlak atau yang berhubung dengan undang-undang umum seperti masalah sivil, jenayah, keluarga, sosial, antarabangsa, pemerintahan, ekonomi dan lain-lain. Semuanya itu terkandung dalam prinsip-prinsip yang terperinci lagi bijaksana dan undang-undang rabbāni yang abadi. Semuanya itu adalah wahyu daripada Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Al-Qur’an sendiri telah menyatakan ciri menyeluruh serta ketinggian prinsip-prinsip dan sistemnya dengan keterangan yang cukup jelas. Allah berfirman:

Maksudnya: “Tidaklah Kami lupakan sesuatupun dalam al-Kitab.”

Firman-Nya lagi:

Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang menyerah diri.”

Berdasarkan maksud dan matlamat tersebut, maka hukum-hukum fiqh mengandungi dua jenis:

1) Hukum ibadah yang terdiri daripada sembahyang, puasa, haji, zakat, nazar, sumpah yang lain-lain hukum yang bertujuan untuk menyusun hubungan antara manusia dengan Tuhannya. Al-Qur’an telah menyebut hal-hal yang berkaitan dengan ibadah dan jenisnya dalam kira-kira 140 ayat.

2) Hukum Muamalah yang terdiri daripada kontrak, keseksaan, jenayah, jaminan dan lain-lain yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan manusia, sama ada secara individu atau jamacah. Hukum-hukum ini boleh dibahagikan kepada berikut:

a) Undang-undang Keluarga (al-Ahwāl al-Shakhsiyyah), iaitu hukum-hukum yang berhubung dengan kekeluargaan yang bermula daripada pembentukannya hinggalah ke akhir perkahwinan; mengandungi antara lain perkahwinan, talak, nasab, nafkah, perwarisan dan lain-lain. Undang-undang ini bertujuan menyusun hubungan suami isteri dan keluarga.

b) Undang-undang Sivil, iaitu undang-undang berhubung dengan kira bicara seseorang, seperti jual-beli dan sewa menyewa, gadaian, jaminan, syarikat, pinjam-meminjam dan penyempurnaan tanggungan. Undang-undang ini bertujuan untuk mengatur hubungan individu dengan individu dari segi harta kekayaan serta memelihara hak kepentingan seseorang. Al-Qur’an telah menyebutkan hukum-hukum sivil ini lebih kurang dalam 70 ayat.

c) Undang-undang jenayah, iaitu undang-undang yang berhubung dengan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh sesorang mukallaf yang menyebabkan ia wajar untuk menerima hukuman. Tujuannya kehormatan dan hak-hak mereka. Ia mengatur juga hubungan di antara penjenayah dengan mangsa dan masyarakat. Ia juga bertujuan menjaga keamanan. Al-Qur’an telah menyebutkan hukum jenayah ini dalam lebih kurang 30 ayat.

d) Undang-undang acara sivil dan jenayah, iaitu undang-undang yang berhubung dengan kehakiman, pendakwaan, tuntutan dan cara pembuktian dengan penyaksian, sumpah, qarinah dan seterusnya. Undang-undang ini bertujuan untuk menyusun acara untuk menegakkan keadilan di antara manusia. Al-Qur’an telah menyebutkan lebih kurang 20 ayat berhubung dengan kehakiman dan kesaksian.

e) Undang-undang perlembagaan, iaitu undang-undang yang berhubung dengan sisitem dan asas pemerintahan. Undang-undang ini bertujuan untuk menentukan hubungan antara pemerintah dengan orang yang diperintah (rakyat) dan menetapkan kewajipan dan hak-hak individu dan masyarakat.

f) Undang-undang antarabangsa, iaitu undang-undang yang berhubung dengan sistem dan asas hubungan antara negara Islam dengan negara yang bukan Islam semasa damai dan perang, juga hubungan rakyat bukan Islam dengan negara Islam. Undang-undang ini juga meliputi hal-hal yang berkaitan denagn jihad dan perjanjian. Tujuan undang-undang ini adalah untuk menetapkan jenis hubungan, kerjasama dan hormat-menghormati di antara negara.

g) Undang-undang ekonomi dan kewangan, iaitu yang berhubung dengan hak individu tentang kewangan dan harta serta tanggungan mereka dalam sistem dan peraturan kewangan, menentukan hak dan kewajipan Negara dari segi kewangan, mengatur hasil dan pendapatan serta perbelanjaan negara. Undang-undang ini bertujuan untuk mengatur dan menyusun hubungan kewangan dan pembahagian kekayaan diantara yang kaya dengan miskin dan diantara negara dan rakyatnya.

Banyak lagi kaedah dan prinsip lain yang ditetapkan sama ada dalam al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijmac dan al-Qiyas. Semuanya itu tidak lain merupakan dalil yang nyata bahawa Islam adalah agama dan negara serta merupakan penegasan yang pasti bahawa Islam adalah syumul bagi setiap masa dan tempat. Kesyumulan Islam diakui juga oleh para sarjana Barat seperti Dr. Moris (Perancis), katanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya adalah sebaik-baik kitab yang dikeluarkan oleh inayah ketuhanan kepada anak Adam dan sebenarnya ia sebuah kitab yang tidak ada sebarang prasangka.”
Henry de Costrie berkata, maksudnya:

“Bahawasanya al-Qur’an menawan fikiran dan lubuk hati manusia, dan ianya telah diturunkan kepada Muhammad yang membuktikan kebenaran risalahnya.”

Alex Loison pula berkata, maksudnya:

“Muhammad telah meninggalkan kepada dunia sebuah kitab yang menjadi lambing keindahan bahasa dan sastera dan dasar akhlak, iaitu kitab suci dan tidak ada masalah-masalah ilmiah yang baru dibongkari atau penemuan-penemuan baru satu masalah pun yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, maka persesuaian yang sempurna ada di antara pengajaran al-Qur’an dan undang-undang alam.”


4.0 Keaslian dan Keabadian.

Antara ciri-ciri syariah Islam yang nyata sekali ialah ia mempunyai sifat-sifat asli yang tetap serta keabadian yang kekal dalam nas dan sumber-sumbernya tanpa mengalami penyelewengan dan perubahan. Al-Qur’an yang merupakan sumber utama perundangan Islam telah dijamin oleh Allah terpelihara sehingga hari kebangkitan dan tidak dapat dikotori dengan tangan-tangan jahat, dengan penyelewengan atau sebarang perubahan. Itulah al-Qur’an yang telah melalui peredaran masa lebih 14 abad sejak ia mula diturunkan. Ia adalah al-Qur’an yang sama pada hari ini, pada lafaz, makna, tajwid dan bacaannya. Firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

Musuh-musuh Islam telah berusaha sepanjang masa untuk merubah isi kandungan al-Qur’an walaupun dalam satu kalimah. Dunia mengetahui dan sejarah menyaksikan bahawa segala percubaan mereka yang berdosa berakhir dengan kegagalan dan kehancuran, bahkan mereka tidak dapat apa-apa daripada usaha mereka melainkan kehinaan, kenistaan dan celaan semua generasi. Al-quran telah merakamkan ketika mana Allah mencabar golongan yang kafir untuk mendatangkan sesuatu yang lebih baik daripada al-Qur’an. Namun mereka gagal berbuat sedemikian. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sesuatu yang setanding dengan al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang setanding dengannya, walaupun mereka saling bantu-membantu sesama mereka sendiri.”

Keaslian al-Qur’an bukan sahaja wajib diyakini oleh setiap muslim bahkan bagi mereka yang bukan Islam seperti sarjana-sarjana Barat yang berfikiran terbuka juga mengakui tentang keaslian dan keabadiannya yang kekal sepanjang generasi. Mereka telah mengatakan sesuatu yang benar secara bersih dan objektif. Mereka menjelaskan kesahihan hakikat al-Qur’an dengan terperinci dan jujur. Antara mereka ialah Prof. Reynold Nicholson yang menyebut;

“Al-Qur’an merupakan dokumen kemanusiaan yang tinggi menerangkan secara terperinci rahsia kelakuan Nabi Muhammad s.a.w pada setiap peristiwa hidupnya, sehingga kita benar-benar menemui di dalamnya suatu unsur unik yang tidak boleh diragui dan diperdebatkan. Kita boleh menyingkap semula al-Qur’an, (sejarah) Islam sejak pertama kali ia muncul dalam sejarah. Ini merupakan suatu yang tidak boleh ditemui dalam agama-agama lain seperti Buddha, Kristian atau apa-apa agama daripada agama kuno.”

Sunnah Nabawiyyah pula merupakan sumber kedua daripada sumber-sumber syaricah. Ia merupakan penjelasan bagi al-Qur’an dan sebagai pelengkap bagi sistem-sistem Islam. Allah telah memilih dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk memelihara al-Qur’an daripda dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Allah menyerahkan kepada ulama-ulama yang tegas, mujahhidin yang berwibawa dan orang-orang yang dipercayai. Sejarah manusia belum pernah menyaksikan kemampuan manusia seperti mereka, ketelitian mereka dalam menerangkan tingkatan suatu hadith, pengetahuan tentang perihal sanad dan matan, asal-usul riwayat dan kefahaman mengenainya sehingga sampailah sunnah kepada kita pada hari ini dalam keadaan bersih dan suci serta tidak dicampuri oleh sebarang subahat. Setiap mereka yang berpengetahuan ketika merujuk kitab-kitab sunnah dan rujukan hadith yang besar akan tahu darjat sesuatu hadith. Mereka dapat memastikan kesahihan atau kelemahannya dan dapat meneliti semula sanad dari segi tacdil (keadilan) atau jarahnya (kecatatan). Semua itu adalah hasil daripada kerja keras ahli hadith yang dipercayai, berwibawa dan kritis di sepanjang masa.

Sekiranya Allah menjamin terpeliharanya al-Qur’an sehingga hari kiamat maka secara tabici juga Allah menjamin terpeliharanya Sunnah Nabawiyyah sampai akhir zaman kerana kedudukannya adalah untuk menjelaskan al-Qur’an. Al-Qur’an juga sebagai penyempurnaan sistem-sistem Islam seperti yang telah disebutkan tadi. Jadi al-Qur’an dan Sunnah adalah pasangan yang rapat yang tidak boleh dipisahkan di antara satu dengan yang lain. Pemeliharaan Allah terhadap al-Qur’an adalah termasuk juga dengan pemeliharaan Sunnah, dan hal ini berlaku terus menerus sehingga Allah mewarisi bumi ini dengan segala isinya. Firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

Kesimpulannya, al-Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah adalah pasangan yang rapat bahkan merupakan dua dokumen yang asli dan sumber yang kekal untuk memelihara prinsip-prinsip syaricah dan keabadian hukum-hukumnya sehingga hari kiamat.

5.0 Memudahkan dan Menghilangkan Kesukaran.

Matlamat utama penurunan syaricah adalah bagi memberi kemudahan kepada manusia dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kehidupan di samping menegakkan keadilan di muka bumi.

Demikian juga Muhammad berkata yang bermaksud, “agama itu mudah, tidak mampu seseorang untuk menyusahkan masalah agama melainkan ia akan menghadapi kebuntuan.”

Ciri ini dilaksanakan dalam semua aspek perundangan Islam termasuk dalam jenayah, perhubungan dan sebagainya.

Seseorang yang banyak mengikuti ajaran syaricah akan mendapati ia mempunyai sifat-sifat kemudahan, tidak sukar dan menghilangkan kesulitan. Bahkan mereka mendapati matlamat daripada tasyric (perundangan) itu sendiri bukanlah menimpakan kesusahan kepada manusia, tekanan dan paksaan dengan tugas-tugas tetapi membawa kemaslahatan-kemaslahatan hidup mereka di dunia dan akhirat sesuai dengan kemampuan dan batas-batas fitrah mereka. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak mengkehendaki kesusahan bagimu.”

Dalam surah al-Hajj ayat ke-78 firman Allah:

Maksudnya: “Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.”

Surah al-Bāqarah ayat ke-286 firman Allah:

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

Nas-nas ini dan lainnya menguatkan serta membuktikan bahawa Islam yang membawa prinsip yang bertimbang rasa tidak membebankan manusia di luar kemampuan mereka dan tidak membebankan manusia dengan tanggungjawab di luar jangkauannya. Ini adalah untuk menyedarkan mereka bahawa mereka tidak mempunyai alasan dan dalih untuk lari daripada perintah syarac atau meninggalkan larangannya. Bagaimanapun para fuqaha’ telah menggariskan sebab-sebab yang meringankan taklif kewajipan agama disebabkan tujuh perkara, iaitu:

i) Perjalanan (bermusafir)-dibolehkan untuk tidak berpuasa, solat jamac dan qasar, gugur solat Jumaat dan berjemaah.

ii) Sakit-dibolehkan berbuka puasa, tayamum dan solat duduk.

iii) Paksaan-dibolehkan mengucapkan kalimah kufur, meninggalkan yang wajib, membinasakan harta orang lain, memakan bangkai dan meminum khamar.

iv) Lupa-dimanfaatkan makan di siang hari di bulan Ramadhan dan tidak haram sembelihan bagi yang lupa menyebut Basmalah.

v) Jahil-dibolehkan mengembalikan barang kerana ada caib yang tidak diketahui (Ummu Balwa)-dimaafkan percikan najis daripada Lumpur di jalan yang sukar dielakkan.

vi) Kekurangan-dihapuskan taklif orang yang hilang kelayakan seperti kanak-kanak dan orang gila.

Antara bukti-bukti yang menghilangkan kesulitan dalam agama ialah menerima syahadah (kesaksian) perempuan pada hal-hal yang tidak boleh dilihat oleh lelaki seperti kesaksian kelahiran untuk menetapkan keturunannya dan juga dibolehkan dengan kuat sangka (tidak mesti dengan keyakinan yang pasti) dalam menentukan arah kiblat, bersihnya tempat dan air, adilnya seorang saksi dan keputusan qadi.

Perlu diperhatikan bahawa prinsip mudah dan menghilangkan kesulitan ini tidak boleh digunakan sebagai wasilah (cara) untuk menggugurkan pelbagai kewajipan tanpa ada alasan yang dibolehkan oleh syarak.

Penutup.

Seluruh undang-undang pemerintahan dalam dunia hari ini bertujuan untuk mengatur kehidupan duniawi semata-mata. Sedangkan manusia itu adalah makhluk yang akan terus hidup di alam yang lebih luas dan lebih panjang daripada alam dunia ini selepas mereka mati. Kehidupan manusia di alam ini hanyalah buat sementara waktu, iaitu sementara menunggu waktu mati untuk memulakan hidup baru. Undang-undang Islam tidak mengabaikan aspek duniawi seperti yang difikirkan oleh penggubal undang-undang ciptaan. Malah undang-undang Islam lebih mementingkan harga diri insan yang sebenar, iaitu keimanannya kepada Allah Yang Maha Esa. Demi menjaga keimanan itu, Islam menurunkan peraturan dan undang-undang untuk menjaga manusia seluruh keperluannya.

Imam Ghazali ada menyebut dalam kitabnya al-Mustasfa Jilid I halaman 287, yang bermaksud:

“Sesungguhnya menjaga kemaslahatan dan mencegah kerosakan adalah impian dan cita-cita murni seluruh makhluk. Kebaikan dan kebahagiaan sepenuhnya terletak atas tercapainya cita-cita tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan maslahah ialah memelihara tujuan syarac iaitu menjaga agama, nyawa akal, keturunan dan harta benda. Apa sahaja yang membawa kepada terpeliharanya lima perkara itu atau seluruhnya, maka itu adalah keburukan dan kerosakan yang mesti ditentang.”

Syariat Islam mengutamakan maslahah manusia, sama ada maslahah duniawi mahupun ukhrawi. Segala peraturan dan perundangan yang dilaksanakan dalam masyarakat manusia adalah untuk menjamin kelima-lima perkara yang tersebut di atas itu supaya terpelihara dengan sebaik-baiknya.

Rujukan.

Al-Qur’an Al-Karim.

Abdul Jalil Borhan. Pengantar Perundangan Islam. 2000. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Abdullah Nasih ‘Ulwan. Pengenalan Syariah Islamiyyah: Fiqh dan Sumber-sumbernya. 1989. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

A. Hanafi M.A. Pengantar dan Sejarah Hukum Islam. 1970. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Ali Audah (terj.). Sejarah Hidup Muhammad. 1980. Jakarta: Pustaka Jaya.

Haron Din. Manusia dan Islam. 1988. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd.

Mohd Azam Hamzah, Md. Akhir Haji Yaacoob. Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam. 1986. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Reynold Nicholson. The History of Arabic Culture. 1987. Oxford: Oxford University press.

Tiada ulasan: