DONATE

Khamis, 12 Mac 2009

KAJIAN EKONOMI SEMASA-HUBUNGAN KADAR PULANGAN DEPOSIT PERBANKAN ISLAM DENGAN KADAR BUNGA DI MALAYSIA: SATU ANALISIS PENUMPUAN STOKASTIK


Penulis:
Mansor Jusoh*
Antoni**

Abstract

Sistem perbankan Malaysia dicirikan oleh sistem perbankan berkembar dalam erti kata
perbankan Islam dan konvensional wujud bersama-sama dan bersaing dalam satu pasaran.
Pada prinsipnya perbankan Islam menawarkan deposit yang berbeza berbanding perbankan
konvensional. Perbezaan ini beserta wujudnya segmen pasaran yang khusus untuknya membolehkan perbankan Islam mempunyai kadar pulangan bagi deposit yang berbeza dan
mungkin bergerak pada arah yang berlainan berbanding kadar bunga bagi deposit
perbankan konvensional. Bagaimana pun, data dan analisis empirik terdahulu mendapati
kadar pulangan umumnya lebih rendah dan mengekori (Ahmad Kaleem dan Mansor Md Isa
2006) dan berkointegrasi, iaitu seolah-olah perbankan Islam mengabaikan prinsip
perkongsian untung dan sebaliknya memancang kadar pulangan kepada kadar bunga deposit
konvensional (Chong dan Liu 2007). Kajian ini menggunakan ujian penumpuan stokastik
Bernard dan Durlauf (1996) untuk menentukan arah hubungan jangka panjang antara kadar
pulangan dengan kadar bunga deposit perbankan dengan pelbagai tempoh matang. Dapatan
kajian menunjukkan bagi deposit yang tempoh matang kurang dari 6 bulan hubungan
penyebab jangka panjang adalah sehala dengan kadar pulangan adalah penyebab kadar
bunga. Bagi hubungan sebab menyebab jangka pendek, tidak wujud pola tertentu antara
kadar pulangan dengan kadar Bunga. Keputusan ujian penumpuan stokastik mendapati
bahawa rata-rata tidak wujud penumpuan dan tiada proses merapati bagi kadar pulangan
kepada kadar bunga bagi deposit jangka pendek dengan tempoh matang kurang daripada 6
bulan. Sedangkan bagi deposit tempoh matang 12 bulan didapati wujud penumpuan.
Kod JEL : E.43; G.21;

Kata Kunci : Sistem perbankan perkembar, sebab-menyebab Granger, Penumpuan
Stokastik, kadar pulangan, kadar bunga.

1.0 Pengenalan

Malaysia adalah antara beberapa negara di Asia Barat dan Asia Tenggara yang mengamalkan sistem perbankan berkembar (dual banking system). Dalam sistem ini perbankan Islam dan perbankan konvensional wujud secara bersama dan bersaing dalam satu pasaran. Perbankan

1 Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Ekonomi Islam Peringkat Kebangsaan 2009, di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, pada 10-11 Februari 2009
2 Kertas Kerja ini merupakan sebahagian daripada hasil penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang bertajuk Ketahanan Fiskal dan Kadar Bunga : Dampak terhadap Inflasi dan Ekonomi Benar.
* Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, FEP, UKM, e-mail : mansorj@pkrisc.cc.ukm.my.
** Fakultas Ekonomi Universitas Bung Hatta Padang, Indonesia, Kandidat Doktor Falsafah Ekonomi,
FEP, UKM, e-mail : antoni_yoga@yahoo.com

Islam agak baru, hanya diperkenalkan di Malaysia sejak dua dekad yang lepas. Bagaimanapun, perbankan Islam telah berkembang pesat sehingga kini merangkumi 12 buah bank Islam sepenuhnya, dan 8 buah bank yang ikut serta dalam skim bank Islam dalam bank komersil, yang menawarkan pelbagai jenis deposit dengan pelbagai tempoh matang. Perbankan Islam adalah perbankan patuh syariah. Dalam penawaran deposit, perbankan Islam tidak menggunakan prinsip kadar bunga sebagaimana perbankan konvensional. Sebaliknya perbankan Islam menggunakan prinsip perkongsian untung rugi (al-Mudharabah).

Berdasarkan prinsip ini, kadar pulangan bagi deposit adalah tidak pasti tetapi bergantung kepada untung unit-unit perbankan. Ini berbeza dengan kadar bunga yang secara nominal adalah pasti dan tidak dipengaruhi oleh untung unit perbankan. Wujudnya deposit perbankan Islam yang patuh syariah membolehkan pendeposit muslim menyertai pasaran deposit. Sehingga pasaran deposit dalam sistem perbankan berkembar boleh dibahagikan kepada dua segmen. Satu segmen pasaran terdiri daripada pendeposit yang hanya menerima deposit patuh syariah-pendeposit perbankan Islam. Satu lagi segmen pasaran yang lebih besar saiznya terdiri daripada pendeposit yang menerima semua jenis deposit. Dalam segmen pasaran ini kedua-dua perbankan Islam dan perbankan konvensional bersaing dalam menawarkan
deposit.

Ciri-ciri deposit perbankan Islam tersebut boleh menghasilkan kadar pulangan yang berbeza berbanding kadar bunga deposit perbankan konvensional. Bagaimana pun, dalam sistem perbankan bercampur, dengan segmen pasaran yang menerima kadar bunga yang besar saiznya, persaingan boleh memaksa kadar pulangan ditentukan secara lebih kompetitif. Hasilnya, kadar pulangan bukan sahaja bergerak mengikut kadar bunga, atau sebaliknya, tetapi juga akan menyamainya dalam jangka panjang. Dalam keadaan ini, kadar pulangan dan kadar bunga dikatakan bertumpu (converge).
Terdapat kajian yang meneliti perkaitan antara perbankan Islam dan konvensional dalam
sistem perbankan berkembar. Kajian-kajian ini lebih terfokus kepada aspek kecekapan atau prestasi industri perbankan (misalnya Metwally, 1997; Yudistira, 2004; Moktar, Abdullah dan Al Habshi, 2006) atau kestabilan firma perbankan (misalnya, Cihak dan Hesse, 2008), atau terhadap instrumen perbankan Islam dan implikasinya terhadap kawalan dan penyeliaan autoriti kewangan (misalnya, Sundarajan dan Errico, 2002; Chong dan Liu, 2008; Sole, 2007; dan Jobst, 2007). Beberapa kajian tentang hubungan antara kadar pulangan dan kadar bunga terhad kepada pendekatan sebab-menyebab Granger. Kajian Ahmad Kaleem dan Mansor Md Isa (2006) mendapati kadar pulangan deposit perbankan Islam di Malaysia mengikuti kadar bunga.

Kertas ini meneliti hubungan antara kadar pulangan deposit perbankan Islam dengan kadar bunga deposit perbankan konvensional. Tujuan utama kajian adalah untuk menentukan sama ada kadar pulangan bergerak pada arah yang berbeza berbanding kadar bunga atau kedua-duanya bergerak pada arah yang sama dan bertumpu dalam jangka panjang. Untuk itu, analisis kointegrasi, kaedah sebab-menyebab Granger dan analisis penumpuan stokastik cadangan Bernard dan Durlauf (1995) akan digunakan. Penemuan kajian tentang penumpuan boleh dipengaruhi perlaksanaan dasar kewangan di negara dengan sistem perbankan berkembar. Kewujudan penumpuan membawa implikasi bahawa dasar kewangan yang mempengaruhi kadar bunga deposit akan memberikan kesan yang sama terhadap kadar pulangan yang dengan demikian tidak memerlukan dasar yang berasingan terhadap perbankan Islam.

2.0 Kadar Pulangan dan Kadar Bunga Deposit.

Dengan merujuk kepada deposit yang ditawarkan, kelihatan yang perbankan Islam
menawarkan jenis-jenis deposit yang tidak berbeza berbanding perbankan konvensional.
Kedua-dua perbankan menawarkan deposit semasa, yang tiada pulangan, dan deposit bermasa yang terdiri daripada deposit tabungan dan deposit tetap (dikenali sebagai deposit pelaburan bagi perbankan Islam) dengan tempoh matang yang pelbagai daripada 1 bulan hingga 12 bulan. Deposit-deposit tersebut ditawarkan kepada semua pendeposit tanpa sebarang sekatan.

Dalam perkataan lain, deposit-deposit perbankan Islam dan perbankan konvensional bersaing secara terbuka dalam pasaran yang sama.
Carta 1 menunjukkan kadar pulangan dan kadar bunga akhir tahun untuk beberapa jenis
deposit bermasa terpilih bagi perbankan Islam dan perbankan konvensional. Dua perkara
dapat dirumuskan daripada maklumat pada Carta. Pertama, kadar pulangan deposit perbankan Islam adalah tidak sama dan secara konsisten lebih rendah daripada kadar bunga deposit perbankan konvensional yang sama tempoh matang. Kedua, walaupun berbeza, perbezaan tersebut tidak semakin membesar, menandakan yang kedua-dua kadar pulangan dan kadar bunga mungkin bergerak pada arah yang sama. Sehubungan itu timbul beberapa persoalan.

Mengapa berbeza?. Adakah kadar pulangan menghampiri kadar bunga?. Adakah kadar
pulangan dan kadar bunga saling mempengaruhi?.
Walaupun kelihatan serupa, deposit perbankan Islam dan konvensional adalah produk yang dicipta berasaskan konsep yang berbeza. Dalam menawarkan deposit, perbankan
konvensional mengguna pakai konsep kadar bunga yang tetap atau ditentu awal. Jadi, kadar bunga adalah pasti dan deposit perbankan konvensional adalah aset bebas risiko nominal. Ini berbeza dengan deposit perbankan Islam yang dicipta berasaskan konsep pekongsian untung dan rugi (PLS). Kontrak deposit nisbah perkongsian untung tetapi tidak kadar pulangan yang hanya diketahui apabila unit perbankan direalisasi. Dalam hal ini, kontrak PLS membolehkan unit perbankan Islam memindahkan risiko sebelah asetnya, misalnya risiko kerugian kontrak al-Musqarakah, kepada sebelah liabiliti, iaitu deposit (Cihak dan Hesse, 2008). Ini menjadikan deposit perbankan Islam lebih berisiko berbanding deposit perbankan konvensional. Ciri ini, bagaimanapun tidak dapat menjelaskan gelagat kadar pulangan relatif kepada kadar bunga di Malaysia sebagaimana pada Carta 1. Malah, jika berdasarkan teori perletakan harga aset modal (CAPM) deposit perbankan Islam sepatutnya dibayar kadar pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar bunga iaitu sebagai bayaran premium risiko.

Chong dan Liu (2008) mendakwa perbankan Islam di Malaysia pada praktiknya tidak
mengamalkan sepenuhnya prinsip PLS. Berdasarkan dapatan analisis kointegrasi, mereka
juga merumuskan bahawa, deposit perbankan Islam bukanlah benar-benar bebas kadar bunga tetapi kadar pulangan dipancang kepada kadar bunga deposit perbankan konvensional. Merujuk kepada Carta 1, didapati kadar pulangan kelihatan bergerak pada arah yang sama seperti kadar bunga, jadi, dakwaan wujudnya amalan pancangan ini mungkin ada benarnya. Bagaimana pun, kami beranganggapan bahawa penjelasan yang lebih baik tentang pergerakan kadar pulangan relatif kepada kadar bunga memerlukan penelitian terhadap struktur pasaran deposit dalam sistem perbankan berkembar. Dalam hal ini, hakikat bahawa deposit perbankan Islam adalah patuh syariah tetapi tidak bagi deposit perbankan konvensional harus diberi penekanan. Berdasarkan hakikat ini, pasaran deposit perbankan di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua segmen: segmen pasaran patuh syariah yang terdiri daripada pendeposit yang hanya menerima deposit patuh syariah dan segmen pasaran terbuka, yang lebih besar saiznya, yang terdiri daripada pendeposit yang menerima semua jenis deposit perbankan Islam dan perbankan konvensional. Segmen pasaran patuh syariah adalah pasar tertutup (captive market) bagi perbankan Islam. Dalam segmen pasaran ini, kadar bunga adalah tidak relevan, dalam erti kata, perbankan Islam menguasai sepenuhnya pasaran deposit tanpa dipengaruhi oleh kadar bunga. Dalam segmen pasaran terbuka, deposit perbankan Islam
dan konvensional adalah bersaing. Jadi, untuk menarik deposit, perbankan Islam perlu
menawarkan kadar pulangan yang kompetitif, iaitu berbanding kadar bunga. Dalam konteks PLS, ini boleh dilakukan oleh unit perbankan Islam dengan mengubah nisbah perkongsian untung pada awal kontrak deposit, iaitu setelah mengambil kira jangkaan untung dan perubahan deposit yang dijangka berlaku ekoran pengubahsuaian tersebut.
Keupayaan mengubah suai kadar pulangan tanpa mengabaikan prinsip PLS membolehkan
perbankan Islam menentukan satu kadar pulangan optimum bagi kedua-dua segmen pasaran
deposit. Kadar pulangan yang ditentu itu dijangka bergantung kepada kepentingan relatif setiap segmen pasaran. Sekiranya perbankan Islam lebih bergantung kepada segmen pasaran terbuka untuk deposit, kadar pulangan yang ditentukan dijangka bergerak pada arah yang sama seperti kadar bunga dan menyamainya dalam jangka panjang. Sebaliknya, jika perbankan Islam hanya bergantung kepada pasaran patuh syariah, maka kadar pulangan tidak dipengaruhi kadar bunga dan malah mungkin lebih rendah. Justeru, bentuk perkaitan antara kadar pulangan dan kadar bunga dalam sistem perbankan berkembar adalah isu empirik yang boleh dipengaruhi oleh kekuatan relatif segmen pasaran patuh syariah.

3.0 Metodologi dan Data

Kajian ini menggunakan pendekatan siri masa untuk menguji penumpuan kadar pulangan dan kadar bunga deposit perbankan Islam dan konvensional di Malaysia. Data yang digunakan ialah data bulanan 2000:1 hingga 2006:12 yang terdiri daripada kadar pulangan deposit tabungan dan deposit pelaburan dengan pelbagai tempoh matang bagi perbankan Islam dan kadar bunga bagi kategori deposit yang sepadan bagi perbankan konvensional. Sumber data adalah Bank Negara Malaysia.
Kajian ini menggunakan dua kaedah ujian penumpuan ialah kaedah kointegrasi Bernard dan Durlauf (1995, 1996) dan kaedah ujian penumpuan tak pegun, Nahar dan Inder (2002).

Ujian Penumpuan Bernard-Durlauf

Bernard dan Durlauf (1996) menakrifkan penumpuan sebagai keadaan apabila ramalan jangka panjang bagi dua atau lebih siri masa adalah sama pada satu masa yang ditetapkan. Bagi kadar pulangan dan kadar bunga, dalam sebutan logaritma, ri dan rj, dua siri ini bertumpu jika: had E (ri,t+k – rj, t+k| It) = 0 ; k → ∞ (1)
Dengan It ialah set maklumat pada masa t. Satu syarat penumpuan ialah apabila siri sisihan ri– rj adalah pegun dengan min sifar (zero mean stationary). Sebaliknya jika siri sisihan mengandungi punca satu (unit root) dua siri tersebut tidak bertumpu.

Bernard dan Durlauf (1996) juga menakrifkan konsep penumpuan yang memberi gambaran bahawa dua siri adalah dalam proses merapati (catching-up process), iaitu:
had E (ri,t+k – rj, t+k| It) < (ri,0 – rj,0) ; k → ∞ (2)
Dengan ri,0 dan rj,0 ialah realisasi siri pada satu tempoh mula. Dalam kes ini, siri tidak bertumpu jika ri – rj mempunyai punca satu.Ujian penumpuan boleh dilakukan dengan menguji kehadiran punca satu bagi sisihan kadar pulangan dan kadar bunga, dalam sebutan logaritma.

Sekiranya wujud punca satu, β =1 , maka kedua-dua siri tidak bertumpu yang bererti kadar pulangan dan kadar bunga masing-masing mempunyai tren stokastik yang bergerak pada arah berlainan yang tidak berkaitan. Jika tidak wujud punca satu, β <1, maka dua kemungkinan penumpuan yang terjadi: sama ada dua siri itu bertumpu iaitu apabila α dan δ adalah tidak signifikan atau dua siri tersebut saling merapati iaitu apabila kedua-dua parameter tersebut signifikan (Robinson, 2007)

Ujian Penumpuan Tak Pegun Nahar-Inder

Nahar dan Inder (2002) menunjukkan bahawa kepegunan bukanlah syarat mesti bagi
penumpuan. Siri tak pegun juga boleh bertumpu. Mereka seterusnya mencadangkan satu ujian yang boleh mengambil kira penumpuan siri tak pegun. Berikut dihuraikan secara ringkas kaedah ujian Nahar-Inder berdasarkan prosedur yang digunakan Robinson (2007).
Tandakan Zit = (rit – rij)2 (4)
dengan ri dan rj adalah kadar pulangan dan kadar bunga dalam sebutan logaritma. Maka, jika berlaku penumpuan sebagaimana takrifan Bernard dan Durlauf (1996),
had Et (Zi,t+k) = 0 ; k → ∞ (5).
Oleh sebabm Zit ≥ 0, penumpuan dalam (E) bererti syarat berikut dipenuhi;
∂ Zit / ∂t < 0 dan Zi,t+k → 0 apabila k → ∞ (6)
Justeru, terbitan ∂ Zit / ∂t memberikan asas untuk ujian penumpuan.
Untuk menguji secara empirik, takrifakan Zit satu fungsi bagi masa:
Zit = θ0 + θ1t +................. θk tk + εit (7)
Fungsi ini merosot sekiranya sisihan kadar pulangan dan kadar bunga semakin mengecil. Jadi ujian penumpuan boleh dilakukan dengan menguji nilai negatif bagi fungsi kecerunan ∂ Zit /∂t.


Untuk menguji hipotesis ini, perlu diperoleh W dan anggaran bagi θ dan kovarian baginya.Vektor W diperoleh berdasarkan persamaan (8). Anggaran vektor θ dan kovarians diperoleh dengan melakukan OLS terhadap persamaan (7). Seterusnya ujian - t digunakan dengan penolakan hipotesis nol diertikan sebagai wujud penumpuan.

Ujian Penumpuan Tak Linear Chong, T.T.L, et al

Ujian penumpuan Bernard dan Durlauf adalah berdasarkan andaian bahawa proses
penumpuan adalah linear dan oleh itu kurang berkuasa untuk mengesan penumpuan tak linear Datta (2003). Kaedah Nahar dan Inder (2002) pula tidak dapat mengesan penumpuan yang dalam proses transisi. Chong, T.T.L, et al. (2008) mencadangkan satu ujian yang mengambil kira kemungkinan proses penumpuan tak linear. Ujian ini juga membezakan penumpuan dengan proses merapati (Catching-up process).
Ujian yang dicadangkan oleh Chong T.T.L, et al (2008) adalah pengubahsuaian ujian punca satu Kapetanios et al (2003) dan boleh dilaksanakan seperti berikut. Tandakan
it it jt Dv =r -r dengan rit dan rjt ialah kadar pulangan dan kadar bunga dalam sebutan logaritma. Maka ujian penumpuan tak linear Chong T.T.L et al (2008) boleh dilakukan dengan menggunakan model.

G(trend) adalah komponen tren masa berbentuk fungsi linear, kuadratik atau sebagainya dan εi,t ialah sebutan ralat. Parameter dalam persamaan (9) boleh ditafsirkan seperti berikut. Jika β = 0, wujud punca satu yang bererti siri kadar pulangan dan kadar bunga tidak bertumpu. Jika β < 0, iaitu tiada punca satu, dari θ ≠ 0, iaitu wujud tren deterministik maka kadar pulangan dan kadar bunga saling merapati (catching-up); dan jika β < 0 dan θ = 0, maka kadar pulangan dan kadar bunga adalah bertumpu.Persamaan (9) boleh dianggarkan sama seperti seperti persamaan (3).

Mengikut Chong T.T.L et al (2008) ujian terhadap parameter β dan θ boleh menggunakan statistik ujian – t. Bagaimana pun taburan asimptot bagi statistik ujian ini tidak diketahui. Chong T.T.L et al (2008) memberikan nilai kritikal simulasi pada 10%, 5% dan 1%.

4.0 Keputusan Empirikal

Dapatan Ujian Sebab Menyebab Granger

Jadual 1 menunjukkan dapatan ujian sebab menyebab Granger hubungan antara kadar
pulangan perbankan Islam dengan kadar bunga perbankan konvensional. Dapatan kajian
menunjukkan hubungan sebab-menyebab dua hala hanya berlaku untuk tempoh matang 3
bulan dalam jangka panjang. Sedangkan, kadar pulangan bagi perbankan Islam penyebab
Granger bagi kadar bunga perbankan konvensional untuk tempoh matang 12 bulan. Walau
bagaimanapun kadar pulangan perbankan Islam tidak signifikan menjadi penyebab Granger
kadar bunga perbankan konvensional untuk tempoh matang 3 bulan, 6 bulan, 12 bulan dan
bagi deposit tabungan dan berlaku hubungan sehala. Sedangkan kadar bunga perbankan
konvensional signifikan menjadi penyebab Granger kadar pulangan perbankan Islam untuk
tempoh matang 3 bulan, 6 bulan, 9 bulan, 12 bulan dan bagi deposit tabungan dan berlaku hubungan sehala.

Menurut Ahmad Kaleem & Mansor Md Isa (2002) yang mengkaji hubungan penyebab
diantara perbankan Islam dan perbankan konvensional di Malaysia dengan tidak mengambil kira kaedah kointegrasi. Hasil kajian yang didapati hubungan sebab-menyebab sehala dengan kadar bunga adalah penyebab Granger kadar pulangan bagi semua jenis deposit.

Keputusan ujian kointegrasi yang dijalankan menunjukkan wujud keseimbangan jangka
panjang diatara hubungan kadar bunga perbankan konvensional dengan kadar pulangan
perbankan Islam dengan bagi tempoh matang 6 bulan, 9 bulan dengan aras keertian 1%.
Bagaimanapun sebaliknya hubungan kadar pulangan perbankan Islam dengan kadar bunga
perbankan konvensional wujud hubungan jangka panjang bagi tempoh 1 bulan dan bagi
deposit tabungan pada aras keertian 1% dan 5%. Sedangkan hubungan kadar pulangan
perbankan Islam dengan kadar bunga perbankan konvensional dan sebaliknya tiada wujud
hubungan jangka panjang bagi tempoh matang 3 bulan dan 12 bulan.

Ujian Penumpuan Bernard-Durlauf

Ujian penumpuan berasaskan persamaan (3) menghasilkan dapatan seperti yang diringkaskan.Berdasarkan ujian ADF di dapati semua siri sisihan antara log kadar pulangan dengan kadar bunga adalah tidak signifikan kecuali bagi deposit 6 bulan. Bagi semua jenis deposit ini, wujud punca satu dan kadar pulangan masing-masing adalah tidak bertumpu, iaitu masingmasing adalah berbeza dalam jangka panjang. Bagi deposit 6 bulan, kadar pulangan dan kadar bunga adalah bertumpu, iaitu masing-masing adalah sama dalam jangka panjang. Anggaran bagi pitasan ( ˆ a ) dan pekali tren masa ( ˆd) adalah tidak signifikan bagi semua jenis deposit. Ini menandakan tidak wujud fenomena merapati, iaitu kadar pulangan deposit perbankan Islam tidak akan menyamai kadar bunga deposit perbankan (atau perbezaan kadar pulangan dengan kadar bunga tidak semakin mengecil) dalam jangka panjang.

Ujian Penumpuan Tak Pegun Nahar-Inder

Ujian penumpuan dalam persamaan (7) dianggarkan dengan mengunakan kaedah ujian
penumpuan tak pegun Nahar-Inder berdasarkan prosedur yang digunakan Robinson (2007).
Penganggaran pertama dilakukan dengan menghitung min kecerunan dan nilai t- statistik.
Jadual 3. Min kecerunan dan ujian t- statistik untuk penumpuan
Deposit Lag Min kecerunan t-statistik
Tabungan 0 -0.0005238 -3.8800**
1 Bulan 1 0.0002058 -0.5365
3 bulan 1 0.0002680 1.1350
6 bulan 2 0.0002611 2.9240
9 Bulan 1 0.0000593 0.6837
12 Bulan 0 -0.0010870 -8.0530**
Nota: - **, Nilai kritikal bagi ujian- t pada 1% dan 5% ialah
masing-masing -2.32 dan -1.645

Jadual 3 menunjukkan dapatan ujian min kecerunan dan ujian t- statistik bagi kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional. Didapati bahawa min kecerunan kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional adalah negatif untuk tempoh matang 12 bulan dan bagi deposit tabungan dan hubungannya signifikan pada aras keertian 1% dan 5%. Menurut Nahar dan Inder (2002) ini bererti bahawa kadar pulangan adalah bertumpu (convergence) kepada kadar bunga perbankan konvensional bagi deposit dengan tempoh matang tersebut. Seterusnya bagi min kecerunan untuk tempoh matang 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan dan 9 bulan adalah tidak signifikan. Ini bererti kedua-dua siri tidak bertumpu yang bererti kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional masing-masing mempunyai tren stokastik yang bergerak pada arah berlainan dan tidak berkaitan.

Ujian Penumpuan Tak Linear

Ujian penumpuan sebagaimana digunakan Chong, T.T.L, et al. (2008) mencadangkan satu
ujian yang mengambil kira kemungkinan proses penumpuan tak linear. Ujian ini juga
membezakan penumpuan dengan proses merapati (Catching-up process) Dapatan kajian
seperti pada Jadual 4 dan Jadual 5.

Jadual 4. Dapatan Ujian Penumpuan konstant dan tren linear
Deposit b Θ
Parameter t-Statistik Parameter t-Statistik
Tabungan -1.5128 -1.8349 -0.0002 -0.3422
1 Bulan -0.4987 -2.2504 0.0002 0.4973
3 Bulan -0.8106 -1.9445 0.00005 0.1489
6 Bulan -8.8031 -3.9204** -0.0006 -1.4146
9 Bulan -6.4255 -2.7573 -0.0004 -1.0464
12 Bulan -0.3663 -4.0356** 0.00037 0.4001
Nota: - Nilai kritikal bagi b pada 5% bagi model tren linear dan tren
tak linear ialah masing masing -3.38
- Nilai kritikal bagi θ pada 5% bagi model tren linear dan tren tak
linear ialah masing-masing -3.07 dan 3.02; 10% ialah masing-masing
-2.63 dan 2.62

Jadual 4 menunjukkan penganggaran ujian penumpuan konstant dan tren linear bagi kadar
pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional Didapati bahawa perbezaan gap kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional adalah bertumpu (convergence) pada aras keertian 5% dengan nilai kritikal -3.38 bagi tempoh matang 6 bulan dan 12 bulan. Sedangkan penganggaran b bagi deposit tabungan tidak signifikan dan tidak bertumpu (convergence) bagi tempoh matang 1 bulan, 3 bulan dan 9 bulan dan deposit tabungan.

Jadual 5. Dapatan Ujian Penumpuan konstant dan tren tak linear
Deposit b Θ
Parameter t-Statistik Parameter t-Statistik
Tabungan -2.2188 -1.7991 -0.000007 -0.9993
1 Bulan -0.4982 -2.2881 0.0000037 0.7326
3 Bulan -0.7915 -1.9383 0.000002 0.4513
6 Bulan -9.1197 -4.0051** -0.000008 -1.5873
9 Bulan -6.8345 -2.9155 -0.000007 -1.4041
12 Bulan -0.3654 -4.0351** 0.000007 0.6369

Nota: - Nilai kritikal bagi b pada 5% bagi model tren linear dan
tren tak linear ialah masing masing -3.44
- Nilai kritikal bagi θ pada 5% bagi model tren linear dan tren tak
linear ialah masing-masing -3.02 dan 2.99; 10% ialah masing-masing
-2.66 dan 2.65

Jadual 5 pula menunjukkan penganggaran ujian penumpuan konstant dan tren tak linear bagi kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional. Didapati bahawa nilai kritikal t pada aras keertian 5% adalah -3.44. Sedangkan nilai kritikan bagi θ -3.02(2.99) pada aras kertian 5%, dan -2.66(2.65) pada aras keertian 10%. Penganggaran b tidak signifikan dan tidak bertumpu (convergence) bagi tempoh matang 1 bulan, 3 bulan, 9 bulan dan deposit tabungan. Sedangkan bagi tempoh matang 6 bulan dan 12 bulan adalah signifikan dan ini menandakan wujud penumpuan.

5.0 Rumusan dan Implikasi Dasar

Objektif utama kertas kerja ini ialah untuk menyiasat hubungan kadar pulangan perbankan Islam dan kadar bunga perbankan konvensional. Kajian ini cuba menentukan hubungan sebab menyebab dengan menggunakan kaedah Granger dengan menggunakan model pembetulan ralat. Seterusnya kajian juga cuba menentukan kewujudan penumpuan stokastik antara kadar pulangan dengan kadar bunga. Untuk tujuan ini tiga kaedah ujian digunakan iaitu ujian Bernard-Durlauf seperti yang digunakan oleh Robinson (2007), ujian Nahar dan Inder (2002) dan ujian penumpuan tak linear Chong T.T.L et al. (2008).

Dapatan daripada ujian sebab menyebab menunjukkan yang kadar bunga rata-rata bukan
penyebab Granger kadar pulangan, sama ada dalam jangka panjang mahu pun jangka pendek. Sebaliknya hubungan sebab menyebab adalah bercampur-campur. Bagi deposit yang tempoh matang kurang daripada 6 bulan, hubungan penyebab jangka panjang adalah sehala dengan kadar pulangan adalah penyebab kadar bunga, tetapi hubungan adalah sebaliknya bagi deposit dengan tempoh matang melebihi 6 bulan. Bagi hubungan sebab menyebab jangka pendek, tidak wujud pola tertentu antara kadar pulangan dengan kadar bunga. Dapatan ini berbeza dengan dapatan kajian terdahulu yang mendapati hubungan adalah sehala dengan kadar bunga adalah penyebab Granger kadar pulangan bagi semua jenis deposit.

Keputusan ujian penumpuan stokastik mendapati bahawa rata-rata tidak wujud penumpuan
dan tiada proses merapati bagi kadar pulangan kepada kadar bunga bagi deposit jangka
pendek, iaitu dengan tempoh matang kurang daripada 6 bulan. Ini menunjukkan kadar
pulangan bagi deposit-deposit ini adalah berbeza dan tidak cenderung untuk menyamai antara satu sama lain dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang. Bagaimanapun, bagi deposit dengan tempoh matang 6 bulan dan 12 bulan didapati wujud penumpuan. Dapatan ini menunjukkan bahawa kadar pulangan perbankan Islam bagi deposit-deposit ini adalah menyamai kadar bunga perbankan konvensional dalam jangka panjang. Berdasarkan penemuan ini, dapat dirumuskan bahawa secara keseluruhannya, kadar pulangan bagi deposit perbankan Islam adalah dipancang kepada kadar bunga deposit perbankan konvensional sebagaimana yang didakwa oleh Chong dan Liu (20028). Sebaliknya wujud tendency untuk kadar pulangan untuk terus berbeza daripada kadar bunga. Dalam hal ini persaingan untuk mendapatkan deposit antara perbankan Islam dengan perbankan konvensional boleh dianggap gagal untuk membawa kepada penyamaan kadar pulangan/kadar bunga bagi deposit. Sebaliknya kewujudan pasaran khusus untuk perbankan Islam yang menjadikan pasaran deposit di Malaysia bersifat segmentasi membolehkan deposit perbankan Islam menawarkan kadar pulangan yang tidak semestinya sama atau mengikuti kadar bunga yang ditawarkan oleh perbankan konvensional.
Dapatan kajian ini mempunyai beberapa implikasi terhadap perlaksanaan dasar kewangan di negara yang mengamalkan sistem perbankan berkembar seperti Malaysia dan beberapa
negara Islam yang lain. Khususnya dasar kewangan dalam bentuk mensasarkan kadar bunga
memerlukan mekanisme yang berbeza untuk perbankan konvensional dan untuk perbankan
Islam. Ini kerana penetapan kadar antar bank umpamanya boleh mempengaruhi kadar bunga
tetapi mungkin tidak mempengaruhi kadar pulangan perbankan Islam, atau besarnya tidak
sebagaimana terhadap kadar bunga

Rujukan

Ahmad Kaleem dan Mansor Md Isa. 2006. Causal relationship between Islamic and
conventional banking instruments in Malaysia
Bernard, A.B and Durlauf S. N.1995. Convergence in international output. Journal of
Applied Econometrics, 10,97-108
Bernard, A.B and Durlauf S. N.1995.1996. Interpreting tests of the convergence hypothesis.
Journal of Econometrics. 71.161-173
Cihak dan Hesse. 2008. Islamic Banks and Financial Stability: An Empirical Analysis.IMF
Working Paper No. 08/16. Washington: International Monetary Fund
Chong dan Liu. 2008. Islamic Banking: Interest-Free or Interest-Based?” Pacific-Basic
Finance Journal xx (2008) xxx–xxx
Datta. A. 2003. Time-series tests of convergence and transitional dynamics. Economics
Letters 81 (2003) 233–240
Jobst. 2007.The Economics of Islamic Finance and Securitization. IMF Working Paper No.
07/117.Washington: International Monetary Fund.
Kapetanios et.al. 2003. Testing for a unit root in the nonlinear STAR framework. Journal of
Econometrics 112, 359–379.
Moktar, Hamim S., Naziruddin Abdullah, and Syed M. Al-Habshi. 2006. Efficiency of
Islamic Banks in Malaysia: A Stochastic Frontier Approach. Journal of
Economic Cooperation among Islamic Countries. Vol. 27. No. 2. pp. 37–70
Metwally. M.M 1997. Differences between the financial characteristics of interest-free Banks
and Conventional Banks. European Business Review, Vol 97, No 2, pp. 92-98.
Nahar.Sand Inder.B. 2002. Testing convergence in economic growth for OECD countries.
Applied Economics 34, 2011–2022.
Robinson.T. 2007. Have European gas prices converged?. Energy Policy 35.(2007. 2347–
2351
Sundararajan, Vasudevan, and Luca Errico. 2002. Islamic Financial Institutions and Products
in the Global Financial System: Key Issues in Risk Management and Challenges
Ahead,” IMF Working Paper No. 02/192.Washington: International Monetary
Fund.
Sole, Juan. 2007. Introducing Islamic Banks into Conventional Banking Systems. IMF
Working Paper 07/175 (Washington: International Monetary Fund).
Yudistira, Donsyah. 2004. Efficiency in Islamic Banking: An Empirical Analysis of Eighteen
Banks. Islamic Economic Studies. Vol. 12. No. 1, pp. 1–19
Catat Ulasan