DONATE

Selasa, 31 Mac 2009

PERSAINGAN DI ANTARA DATUK DAN SAUDARA-SAUDARA MENURUT PENDAPAT FUQAHA’ 2


oleh: MOHAMAD AZAMHAN BIN MAMAJAN KHAN

1.1 PENDAHULUAN

Datuk merupakan waris yang menerima pusaka melalui fardu. Dalam pada itu datuk juga termasuk dalam golongan 'asabah. Dengan ini kedudukan datuk sama seperti bapa iaitu memperoleh pusaka melalui fardu, melalui casabah dan melalui kedua-duanya sekali fardu dan 'asabah.

Terdapat perbezaan pendapat tentang pembahagian pusaka datuk bila bersama dengan saudara-saudara seibu sebapa atau sebapa (lelaki atau perempuan), sehinggakan para sahabat merasa bimbang untuk mengeluarkan fatwa atau sebarang pandangan berkenaannya.

Diriwayatkan bahawa Ali bin Abu Talib r.a berkata: Sesiapa yang suka menempah api neraka jahanam, jatuhkanlah hukum berkenaan datuk bersama saudara-saudara.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Tanyalah kami tentang sebarang kes tetapi jangan tanya tentang datuk. Binasalah orang yang bertanya.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah kebimbangan beliau kerana kesukaran kes tersebut. Beliau tidak bermaksud mendoakan kecelakaan.

Diriwayatkan setelah Umar bin al-Khattab ditikam oleh Abu Lu’luah dan ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir beliau berkata: Peliharalah tiga perkara daripadaku ini: Aku tidak pernah berkata tentang kes datuk, aku tidak pernah berkata tentang kalalah dan aku tidak pernah menentukan siapakah pemerintah selepas aku. Di bawah ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci lagi tentang permasalahan ini.


2.1 PERSAMAAN DATUK DAN PERBEZAAN DATUK DENGAN BAPA.

Dari segi persamaannya antara bapa dan datuk ialah mempunyai tiga keadaan sama seperti bapa iaitu:

i. Mendapat 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki atau ke bawah.

ii. Mendapat 1/6 dan casabah (baki) jika si mati mempunyai anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau kebawah.

iii. Mendapat 'asabah (baki) jika si mati tidak mempunyai anak secara mutlak (lelaki atau perempuan) atau tidak mempunyai anak lelaki atau perempuan kepada anak lelaki (cucu) atau ke bawah.

Datuk dalam pembahagian harta pusaka, umumnya sepertimana yang berlaku kepada ahli waris gantian yang lainnya, datuk juga akan gugur apabila terdapat bersamanya bapa atau bapa kepada bapa yang lebih dekat kepada si mati atau tegasnya iaitu yang terdekat akan mengeluarkan yang lebih jauh. Oleh itu, apabila datuk berhak mengambil harta pusaka maka ia akan menduduki tempat bapa sepenuhnya.

Datuk dan bapa berbeza dalam tiga keadaan:

i. Jika saudara-saudara lelaki atau perempuan seibu sebapa (al-ikhwah al-ashiqqa’ atau al-akhawat al-shaqiqat) atau sebapa (al-ikhwah atau al-akhawat li-ab) ada bersama datuk, bapa akan menghijab (menghalang) mereka semua daripada menerima pusaka. Sementara datuk pula hanya akan berkongsi pusaka bersama mereka.

ii. Dalam kes Umariyatain, jika tempat bapa digantikan oleh datuk, maka ibu memperoleh satu pertiga (1/3) pusaka bukannya satu pertiga (1/3) baki sebagaimana jika dia bersama bapa.

iii. Bapa akan menghijab ibunya (nenek) tetapi datuk tidak.

Jika si mati mempunyai bapa dan nenek, iaitu ibu kepada bapa, nenek akan dihijab oleh bapa tetapi ia tidak dihijab oleh datuk kerana dia memperoleh pusaka ini tidak melalui datuk.

Sememangnya datuk adalah seperti bapa kerana dia juga menghijab ibunya kerana ibunya ini memperoleh pusaka melaluinya sama sepertimana ibu kepada bapa memperoleh pusaka melalui bapa.

3.1 DALIL PERWARISAN DATUK

Datuk yang dimaksudkan dalam sistem perwarisan Islam sebenarnya ialah datuk casabiyy atau datuk sahih, iaitu yang sampai kepada si mati atau hubungan perantaraannya dengan si mati bukan melalui perempuan. Maka datuk yang termasuk dalam golongan ini ialah bapa kepada bapa dan seterusnya ke atas. Adapun dalil-dalil mengenai hukum perwarisan datuk adalah seperti berikut:

Maksudnya:
dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.

Dalam ayat ini datuk dinamakan sebagai bapa menggantikan tempat bapa sebenar ketika ketiadaannya.

Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh 'imran bin Husin bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: “Sesungguhnya anak lelaki kepada anak lelakiku telah meninggal, maka berapakah bahagian harta untukku?” maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Bagi engkau satu perenam”.

Semua para sahabat r.a telah bersepakat bahawa datuk akan mewarisi ketika ketiadaan bapa. Ini merupakan ijma' di kalangan mereka.


4.1 PERSAINGAN DATUK DENGAN SAUDARA-SAUDARA

Sebenarnya tidak terdapat nas yang jelas mengenai perwarisan datuk dalam kitab Allah s.w.t. Bahkan hukum perwarisan diambil daripada nas yang jelas berdasarkan kepada hukum perwarisan bapa. Oleh itu terdapat perselisihan pendapat mengenai hukum perwarisan dan peranan datuk dikalangan sahabat.

Bahagian datuk dalam menerima harta pusaka adalah berbeza bergantung kepada wujudnya saudara lelaki dan saudara perempuan atau dengan ketiadaan mereka.

i. Kedudukan datuk sekiranya saudara lelaki dan saudara perempuan si mati tidak wujud.

Dalam hal ini, datuk akan mengambil tempat bapa dengan syarat ketiadaan bapa. Oleh itu, datuk akan mendapat bahagian mengikut tiga keadaan bapa seperti yang diterangkan sebelum ini. Sekiranya bapa wujud maka datuk akan terhalang (hajb) daripada pusaka.

Kharijah ibn Zayd meriwayatkan daripada bapanya berkata: “Mirath datuk (bapa kepada bapa) adalah tiga bahagian baginya jika terdapat bapa yang lebih hampir. Jika bersamanya anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki, maka datuk mendapat satu perenam (1/6). Selain daripada situasi itu, apabila si mati tidak meninggalkan saudara lelaki atau perempuan yang bersambung di sebelah bapa, maka datuk akan mewarisi secara casabah. Pengagihan pusaka akan dimulakan dengan waris ashab al-furud yang bersamanya mengikut bahagian yang ditentukan dan jika berbaki sama ada nilainya satu perenam (1/6) atau lebih maka ia menjadi hak datuk”.

ii. Kedudukan datuk sekiranya saudara lelaki dan saudara perempuan si mati wujud.

Dalam hal ini, fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa datuk berperanan seperti bapa untuk mengalang saudara-saudara seibu sama ada lelaki atau perempuan. Ibrahim meriwayatkan: “Zayd tidak mengagihkan perwarisan kepada saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu jika bersamanya datuk”. Riwayat ini menunjukkan, saudara sebelah ibu sama ada lelaki atau perempuan akan terhalang (hajb) dengan kewujudan datuk.

Walau bagaimanapun, berlaku perselisihan pendapat tentang peranan datuk dalam menghalang saudara lelaki dan perempuan seibu sebapa atau sebapa. Pandangan ulama berkaitan masalah ini adalah berikut:

i. Pendapat pertama mengatakan datuk berperanan mendinding (hajb) saudara lelaki dan perempuan seibu sebapa atau sebapa daripada mendapat harta pusaka. Ini menunjukkan kedudukan datuk adalah sama dengan kedudukan bapa.

Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa orang sahabat seperti Abu Bakar, Ubay bin Ka'ab, Mucadh ibn Jabal, 'Aishah, Abu Hurayrah, Abu Darda’, Abu al-Tufayl, Abu Musa, Imran ibn Husayn, Jabir ibn 'Abdullah, 'Ubadah ibn Samit dan Ibn Zubayr. Pendapat ini turut diikuti oleh al-Hasan, 'Ata’, Tawus, jabir ibn Zayd, Qatadah Ibn Sirin, Abu Hanifah, 'Uthman al-Batti, al-Muzani dan Dawud al-Zahiri.

ii. Pendapat kedua mengatakan datuk tidak berperanan mendinding (hajb) mereka daripada mendapat harta pusaka. Golongan ini bersetuju bahawa bahagian pusaka datuk adalah terjamin iaitu tetap mendapat pusaka jika bersamanya saudara-saudara si mati sama ada lelaki atau perempuan. Kedudukan datuk juga menyerupai saudara lelaki sekiranya berlaku perkongsian iaitu bahagian lelaki adalah menyamai dua bahagian perempuan.

Pendapat kedua ini merupakan ijtihad beberapa orang sahabat seperti Ali, Ibn Mas'ud dan Zayd ibn Thabit. Pandangan mereka telah diambil oleh al-Sha'bi, al-Nakha'i, Ibn Abi Layla, Ibn Shubrumah, al-Zuhri, al-Awza'i, al-Thawri, Malik, Ahmad ibn Hanbal, al-Syafici, Abu Yusuf, Muhammad, Shurayh, Masruq, cAlqamah dan jumhur fuqaha’.

Walau bagaimanapun, golongan kedua ini turut berselisih pendapat dalam menentukan bentuk pengagihan yang sempurna dan lebih adil antara datuk dan saudara lelaki dan perempuan seibu sebapa atau sebapa. Secara umumnya, kaedah pengagihan tersebut merujuk kepada pandangan tiga orang sahabat iaitu 'Ali ibn Abi Talib r.a dan Zayd ibn Thabit r.a dan juga cAbdullah ibn Mascud.

4.1.1 Kaedah Pembahagian Harta Kepada Datuk Menurut Pendapat Zayd bin Thabit r.a.

Pendapat Zayd ibn Thabit dalam hal ini ialah pembahagian perlu dibezakan sama ada terdapat waris-waris ashab al-furud lain bersama datuk dan saudara-saudara tersebut atau tidak. Sekiranya tidak terdapat waris-waris ashab al-furud, maka datuk mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mengambil bahagiannya secara berkongsi (muqasamah) atau mengambil sebanyak satu pertiga (1/3). Bahagian satu pertiga (1/3) tersebut diterima apabila kadar yang diperolehinya adalah kurang daripada satu pertiga (1/3).

Terdapat lima contoh keadaan yang menjadikan bahagian datuk secara berkongsi adalah menguntungkan. Ini termasuklah masalah pengagihan yang hanya melibatkan datuk dan seorang saudara perempuan seibu sebapa, datuk dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa, datuk dan tiga orang saudara perempuan seibu sebapa, datuk dan seorang saudara lelaki dan datuk bersama seorang saudara lelaki dan seorang saudara perempuan seibu sebapa. Di samping itu terdapat tiga contoh keadaan yang menjadikan bahagian yang menguntungkan adalah sama mengikut kedua-dua cara. Sebagai contoh, datuk bersama dua orang saudara lelaki seibu sebapa, datuk bersama empat orang saudara perempuan seibu sebapa dan datuk, seorang saudara lelaki dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa. Manakala bahagian yang menguntungkan datuk sebanyak satu pertiga (1/3) pusaka ialah apabila berlakunya persaingan antara datuk dan saudara-saudara tersebut selain daripada keadaan di atas.

Contoh kes yang melibatkan pandangan Zayd dalam keadaan ini ialah riwayat daripada Ibrahim, iaitu si mati meninggalkan datuk dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Maka penyelesaiannya ialah secara berkongsi kerana ia lebih menguntungkan. Oleh itu, datuk mendapat satu perdua (1/2) bahagian dan saudara lelaki juga mendapat satu perdua (1/2) bahagian.

Dalam kes lain, si mati yang meninggalkan datuk dan lima orang saudara lelaki ialah bahagian datuk sebanyak satu pertiga (1/3) dan selebihnya iaitu dua pertiga (2/3) diagihkan kepada saudara-saudara lelaki. Ini kerana, jika pengagihan dibuat secara perkongsian maka bahagian datuk akan kurang daripada satu pertiga (1/3) dan kadar ini tidak akan menguntungkannya.

Zayd juga berpendapat datuk berperanan mengubah kedudukan saudara perempuan dan menerima pusaka secara casabah walaupun ketiadaan saudara lelaki. Contoh penyelesaian Zayd dalam kes ini ialah si mati hanya meninggalkan seorang saudara perempuan seibu sebapa dan datuk. Bahagian yang diperolehi ialah datuk mendapat sebanyak dua pertiga (2/3) dan saudara perempuan mendapat sebanyak satu pertiga (1/3).

Selain itu juga Zayd berpandangan saudara-saudara sebapa akan tetap dikira dalam pengagihan walaupun bahagiannya akan dikembalikan kepada saudara-saudara seibu sebapa. Hal ini berlaku apabila seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang terdiri daripada datuk, saudara-saudara seibu sebapa dan saudara-saudara sebapa sahaja. Keadaan ini disebut sebagai al-mucaddah.

Menurut Ibn Abi Shaybah yang meriwayatkan athar daripada al-Sha'bi, terdapat enam masalah yang diselesaikan oleh Zayd yang melibatkan berhimpunnya datuk, saudara-saudara seibu sebapa dan saudara-saudara sebapa sama ada lelaki atau perempuan sahaja.

Dalam hal kedua iaitu sekiranya terdapat waris-waris ashab al-furud bersama mereka, maka datuk mempunyai pilihan untuk menerima kadar pusaka yang menguntungkan. Namun, pilihan tersebut akan diperolehi selepas setiap waris-waris ashab al-furud mengambil bahagian masing-masing. Pilihan-pilihan tersebut ialah:

i. Kadar satu perenam (1/6) secara fardu adalah menguntungkan sekiranya keseluruhan bahagian diagihkan kepada waris atau sekiranya baki selepas agihan kepada ashab al-furud ialah sebanyak satu perenam (1/6) dan kurang daripadanya. Kesannya, saudara-saudara lelaki atau perempuan tidak akan mendapat bahagian mereka terutama apabila tidak terdapat baki daripada harta tersebut kecuali dalam kes al-Akdariyyah.

ii. Kadar satu pertiga (1/3) adalah menguntungkan sekiranya lebihan bakinya sebanyak satu perdua (1/2) atau lebih dan bilangan saudara lelaki adalah dua kali ganda daripadanya.

iii. Secara berkongsi (muqasamah) adalah menguntungkan sekiranya lebihan bakinya sebanyak satu perdua (1/2) atau lebih dan bilangan saudara lelaki adalah kurang dua kali ganda daripadanya.

Antara pandangan Zayd yang melibatkan keadaan ini adalah seperti kes-kes yang diriwayatkan oleh Ibrahim. Sebagai contoh, si mati meninggalkan seorang anak perempuan, datuk dan tiga orang saudara perempuan seibu sebapa. Keputusan yang dikeluarkan oleh Zayd ialah anak perempuan mendapat satu perdua (1/2) (menyamai 5/10), datuk mendapat dua perlima (2/5) baki selepas bahagian anak perempuan (menyamai 2/10) dan tiga orang saudara perempuan mendapat tiga perlima (3/5) baki (menyamai 3/10 iaitu 1/10 seorang). Dalam kes ini, bahagian yang menguntungkan datuk ialah secara berkongsi dengan saudara perempuan selepas diagihkan kepada waris iaitu anak perempuan si mati.

Dalam kes lain, seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu suami, ibu, datuk dan saudara lelaki sebapa. Penyelesaiannya menurut pandangan Zayd ialah suami mendapat satu perdua (1/2) (menyamai 3/6), ibu mendapat satu pertiga (1/3) (menyamai 2/6), datuk mendapat satu perenam (1/6) dan tiada lebihan baki daripada pusaka. Oleh itu, saudara lelaki tidak mewarisi pusaka kerana kedudukannya sebagai casabah. Bahagian yang menguntungkan bagi datuk dalam kes ini ialah satu perenam (1/6) secara fardu. Ini kerana, baki pusaka selepas diagihkan kepada waris selain datuk dan saudara lelaki ialah satu perenam (1/6) sahaja.

Secara amnya, pandangan Zayd berkaitan bahagian dan kaedah pengagihan yang diperolehi oleh datuk adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibrahim:

“Adapun Zayd telah menjadikan bahagian datuk sebanyak satu pertiga (1/3) secara berkongsi jika bersamanya saudara-saudara lelaki atau perempuan. Sekiranya pusaka mencapai satu pertiga (1/3), maka diberikan kepada datuk sebanyak satu pertiga (1/3) dan selebihnya adalah untuk saudara-saudara tersebut. Manakala saudara-saudara seibu sama ada lelaki atau perempuan tiada bahagian jika bersamanya datuk. Saudara-saudara sebapa akan diambil kira apabila bersama saudara-saudara seibu sebapa tetapi mereka tidak mewarisi. Sekiranya si mati hanya meninggalkan saudara lelaki seibu sebapa dan datuk sahaja, maka datuk mendapat sebanyak satu perdua (1/2). Sekiranya si mati meninggalkan dua saudara lelaki seibu sebapa dan datuk sahaja, maka datuk mendapat sebanyak satu pertiga (1/3). Sekiranya saudara lelaki seibu sebapa melebihi dua orang, maka datuk tetap mendapat sebanyak satu pertiga (1/3) dan selebihnya untuk saudara-saudara tersebut. Sekiranya bersama datuk saudara perempuan dan saudara-saudara lelaki, maka bahagian datuk dan saudara-saudara lelaki sebanyak dua pertiga (2/3) dan bahagian saudara perempuan sebanyak satu pertiga (1/3). Sekiranya bersama datuk dua orang saudara perempuan, maka mereka mendapat satu perdua (1/2) dan datuk juga mendapat satu perdua (1/2) selama mana berkongsi lebih baik bagi datuk.

Sekiranya terdapat waris-waris lain seperti isteri, ibu atau suami, maka perwarisan hendaklah diagihkan kepada mereka terlebih dahulu mengikut kadarnya dan lebihan tersebut diagihkan antara datuk dan saudara-saudara lelaki atau perempuan. Sekiranya satu pertiga (1/3) baki adalah lebih menguntungkan daripada berkongsi, maka datuk mendapat satu pertiga (1/3) baki. Tetapi sekiranya berkongsi lebih baik daripada satu pertiga (1/3) baki, maka diagihkan secara perkongsian. Dan sekiranya satu perenam (1/6) lebih baik daripada keseluruhan harta maka diberikan kepada datuk sebanyak satu perenam (1/6). Tetapi sekiranya berkongsi adalah lebih baik daripada satu perenam (1/6) keseluruhan harta, maka datuk mendapat bahagiannya secara berkongsi”.


4.1.2 Kaedah Pembahagian Harta Kepada Datuk Menurut Pendapat CAli bin Abi Talib r.a.

Menurut pendapat yang dikemukakan oleh Saidina 'Ali bin Abi Talib dan juga disetujui asy-Sya'bi dan Ibn Abi Laila bahawa bahagian pusaka datuk akan berubah-ubah menurut kedudukan saudara-saudara yang mempusakai bersamanya, iaitu:

a) Sama ada datuk mewarisi bersama dengan saudara-saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja.

b) Sama ada datuk bersama dengan saudara-saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa sahaja.

c) Sama ada datuk bersama dengan saudara-saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa dan saudara lelaki yang boleh menta'sibkannya atau ada bersamanya anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki yang juga boleh mentacsibkannya. Oleh kerana datuk itu sendiri tidak berkuasa mentacsibkan saudara perempuan tetapi mengambil bahagian fara’id yang tetap sebanyak 1/6 harta, maka pembahagian yang dipandang adil dalam kes persaingan antara datuk dan saudara-saudara tersebut ialah:

i. Jika datuk mewarisi bersama dengan saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka saudara sebagai ahli waris fardu akan mengambil fara’idnya dan bakinya akan dihabiskan oleh datuk, kecuali ternyata kemudiannya baki harta yang ada adalah kurang daripada 1/6 bahagian setelah diambil oleh saudara-saudara maka ia akan mengambil fara’idnya sebanyak 1/6 bahagian itu.

ii. Jika datuk mewarisi bersama dengan saudara-saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja, maka datuk akan berkongsi dalam harta peninggalan itu sepertimana yang diterima oleh saudara-saudara casabah tersebut, kecuali ternyata dengan perkongsian itu menyebabkan bahagian datuk kurang daripada 1/6, maka datuk akan mengambil fara’idnya sebanyak 1/6 bahagian dan baki selebihnya akan diambil oleh saudara-saudara tersebut. Bagaimanapun pembahagian kepada saudara lelaki seibu sebapa yang mengeluarkan saudara sebapa kekal seolah-olah saudara sebapa tidak ada bersamanya dan oleh kerana itu bahagian yang diterima oleh masing-masing datuk dan saudara seibu sebapa akan bertambah. Jelasnya bahagian saudara lelaki sebapa yang dikeluarkan itu pada mula lagi tidak diambil kira dalam pembahagian (muqasamah) harta kepada waris-waris berkenaan. Umpamanya si mati meninggalkan:

Datuk 1/2
Saudara lelaki seibu sebapa 1/2
Saudara lelaki sebapa -

iii. Jika datuk mewarisi bersama dengan saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa dan saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka datuk akan mengambil sepertimana dengan bahagian yang diterima oleh saudara lelaki iaitu mendapat dua bahagian harta, sedangkan saudara perempuan mendapat satu bahagian, kecuali apabila ternyata bahagian datuk kurang daripada 1/6 bahagian, maka ia akan mengambil fara’idnya sebanyak 1/6. Kedudukan bahagian datuk tidak berubah sama ada terdapat juga bersamanya waris-waris lain seperti anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau ashab al-furud lainnya. Umpamanya si mati meninggalkan:

a) Datuk 1/6
Saudara lelaki sebapa 1/6
Saudara perempuan seibu sebapa 1/2
Ibu 1/6

b) Datuk 1/4 (baki)
Saudara lelaki sebapa -
2 saudara lelaki seibu sebapa 1/4 (baki)
Isteri 1/4

iv. Jika datuk mewarisi bersama dengan anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki dan saudara perempuan kepada anak lelaki dan saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka datuk akan mengambil farai’dnya sebanyak 1/6 bahagian dan bakinya akan diambil oleh maca ghairiha iaitu ia dita'sibkan dengan kehadiran sama ada anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki. Umpamanya si mati meninggalkan:

Datuk 1/6
Anak perempuan 1/2
Saudara perempuan sebapa 1/3 (baki harta)


4.1.3 Kaedah Pembahagian Harta Kepada Datuk Menurut Pendapat 'Abdullah Ibn Mas'ud r.a.

Abdullah ibn Mas'ud r.a berpendapat bahawa cara pembahagian harta pusaka antara datuk ketika mewarisi bersama dengan saudara sama ada seibu sebapa atau sebapa ialah dengan cara penyelesaian bercampur antara pandangan Saidina 'Ali dan Zayd iaitu:

i. Datuk menerima bahagian secara muqasamah dengan saudara seibu sebapa atau sebapa sekiranya dengan cara pembahagian ini bahagian datuk tidak kurang dari satu pertiga (1/3) bahagian. Penyelesaian ini adalah sama dengan pendapat Zayd bin Thabit.

ii. Datuk tidak mentacsibkan saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa tanpa ada waris lain yang boleh mentacsibkannya. Saudara perempuan akan mengambil bahagian mereka secara fardu dan datuk akan mengambil baki harta. Cara ini adalah menyerupai pendapat Saidina 'Ali r.a.

iii. Saudara lelaki dan perempuan sebapa yang didinding oleh saudara seibu sebapa tidak akan diambil kira dalam pembahagian harta. Pendapat ini juga sama dengan pandangan yang dikemukakan oleh Saidina 'Ali r.a. Pendapat ini diikuti oleh golongan tabicin seperti Masruq, 'Alqamah dan Shurayh.


5.1 KESIMPULAN

Wujud dua golongan yang membincangkan tentang pusaka datuk. Golongan pertama mengatakan bahawa datuk boleh mendinding saudara-saudara seibu sebapa atau sebapa (lelaki atau perempuan) dan golongan kedua pula mengatakan bahawa datuk tidak boleh mendinding mereka. Golongan yang mengatakan datuk tidak boleh mendinding saudara-saudara terdapat beberapa perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat mereka ialah dari segi kaedah-kaedah pembahagian harta pusaka yang digunakan oleh mereka dan cara pendekatan yang digunakan oleh mereka melalui ijtihad mereka masing-masing.


RUJUKAN

Al-Quran.

Abdul Rashid Hj. Abdul Latiff. 1997. Hukum pusaka dalam Islam; Satu kajian perbandingan. Kuala Lumpur: Penerbitan hizbi dan al-hidayah publisher.


Abu Dawud Sulayman bin al-cAshcath. 1420H/1999M. Sunan Abi Dawud; Bab ma ja’ fi mirath al-jadd. Kaherah. jld 3: Dar al-Hadis.

Ahmad cAbd al-Jawwad. 1419h/1998M. Usul cilm al-mawarith. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Al-Bayhaqi, Abu Bakar Ahmad ibn al-Husayn. 1414H/1994M. al-Sunan al-Kubra. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Mohd. Redzuwan Awang. Undang-undang & Pentadbiran pusaka, wasiat & wakaf. Bangi: Pendidikan Jarak Jauh UKM.

Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafici; Wakaf, Wasiat, Fara’id. Kuala Lumpur. Jil 5: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Ibn Abi Shaybah, cAbdullah ibn Muhammad. 1409h/1989M. al-Kitab al-musannaf fi al-ahadith wa al-athar. Beirut: Dar Taj.

Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Abdullah bin Ahmad. 1416H/1996M. al-Mughni, Kaherah. juz 8: Dar al-Hadith.

Ibn Rushd, Muhammad Ibn Ahmad. 1416H/1996M. Bidayat al-mujtahid wa nihayat al-muqtasid. Beirut. jil 5: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
Al-Kalwazani, Mahfuz ibn Ahmad. 1417H/1996M. Kitab al-tahdhib fi al-fara’id. Jeddah: Dar al-Kharraz.

Al-Sabuni, Muhammad cAli. 1413H/1993M. al-Mawarith fi al-sharicah al-Islamiyyah. Damshiq: Dar al-Qalam.

al-Sibaciyy, Mustafa. 1417H/1997M. Sharh qanun al-ahwal al-shakhsiyyah. al- Beirut. jld 2: Maktab al-Islamiyy.

Tiada ulasan: