DONATE

Khamis, 30 Julai 2009

Kedudukan Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan

Oleh : ABDUL AZIZ BARI



Abstrak


Kedudukan Syariah di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam
Perlembagaan Malaysia amnya masih dianggap melukut di tepi gantang atau samar.
Bagaimanapun jika tanggapan itu diteliti dengan lebih lanjut kedudukan Syariah
sebenarnya tidaklah seburuk itu. Yang pasti perlembagaan tidak menafikan secara jelas
kedudukan Syariah. Dokumen awal perlembagaan juga tidak berbuat demikian. Dalam
pada itu keseluruhan kerangka perlembagaan dan sistem perundangan kita sebenarnya
mengizinkan tafsiran dan pendekatan yang boleh dikatakan mesra-Islam; asalkan
prosedur yang telah ditetapkan dipatuhi.


I. PENDAHULUAN


Kertas ringkas ini cuba menghujah bahawa Islam umumnya dan Syariah
khususnya mempunyai tempat yang tertentu di dalam sistem dan kerangka
perlembagaan kita. Ini tentunya memeranjatkan kerana tanggapan umum
beranggapan sebaliknya. Apa pun keadaannya kita harus sedar bahawa
perlembagaan ini beroperasi di tengah-tengah umat Islam yang bilangannya
kian meningkat. Selain itu negara ini juga pernah melaksanakan Islam sebelum
ia dipinggirkan oleh British. Faktor-faktor ini menyebabkan Islam sentiasa
berlegar di sekitar perlembagaan. Dan sebab itulah pengaruh Islam tidak dapat
dielakkan dan ini turut memberi kesan kepada tafsiran perlembagaan.

Walaupun Syariah mempunyai pengertian yang khusus dan tersendiri kertas ini
melihatnya dalam konteks yang luas; yang merangkum peraturan-peraturan
yang berasaskan ajaran Islam. Penulis berpendapat bahawa undang-undang
yang bukan bersumberkan kepada Al-Qur’an dan Sunnah tetapi tidak
bertentangan dengan ketetapan dan maksud umum Syariah harus diterima
sebagai Islamik, walaupun tidak sebagai undang-undang Syariah dalam
pengertian khususnya.

Di dalam kertas ini ungkapan perlembagaan turut merangkum perlembagaanperlembagaan
negeri: tidak hanya Perlembagaan Persekutuan sahaja. Di dalam
negara persekutuan seperti Malaysia perlembagaan-perlembagaan negeri
penting kerana Perlembagaan Persekutuan hanya bersifat utama dan muktamad
dalam hal-hal yang terletak di dalam bidang kuasa persekutuan sahaja.


II. KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN


Kedudukan Islam sering dilihat dalam konteks Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan, khususnya Perkara 3(1)3. Ini kurang tepat kerana kedudukan Islam
– sebagaimana yang akan dibincangkan di bawah - perlu juga dilihat dalam
konteks peruntukan-peruntukan yang lain. Pendapat yang lebih kuat
mensifatkan Perkara 3 sebagai peruntukan yang memberi ciri atau sifat kepada
perlembagaan dan persekutuan.

Melihat kepada ungkapan yang digunakan Perkata 3 seolah-olah membekalkan akidah, ideologi atau sifat bagi perlembagaan dan negara ini. Walaupun ini kadangkala disifatkan sebagai label atau kulit4 sahaja ia tetap bermakna dan signifikan. Inilah peruntukan yang memberi landasan atau hujah untuk amalan-amalan rasmi seperti pembacaan doa di dalam sidang parlimen dan seumpamanya.


Perbahasan mengenai kedudukan Islam di dalam perlembagaan tidak dapat
mengelak dari menyentuh isu-isu kontroversial seperti negara Islam, negara
sekular dan seumpamanya perlu juga disentuh5. Bagaimanapun perlembagaan
tidak mempunyai apa-apa peruntukan untuk menyokong atau menolak konsepkonsep
tersebut. Apa pun tentunya lebih realistik sekiranya perbahasan
mengenai kontroversi-kontroversi itu dilakukan dengan merujuk kepada
kerangka perlembagaan keseluruhannya dan tidak tertumpu kepada Perkara 3
sahaja.


Persoalan negara Islam mungkin boleh dianalogikan dengan kedudukan
Malaysia sebagai negara demokrasi. Walaupun Perlembagaan Malaysia
umumnya hendak melaksanakan demokrasi6 tetapi ada peruntukan-peruntukan
yang boleh mengancam atau menggantung demokrasi seperti Perkara 1497
mengenai subversif, keganasan dll. atau Perkara 150 mengenai darurat8. Ini
menunjukkan bahawa perlembagaan kita sebenarnya tidak mempunyai sifat
atau ciri tertentu yang tetap dan tidak berubah. Dengan itu kita boleh
mengatakan bahawa perlembagaan kita memberi ruang kepada pelbagai konsep
dan gagasan yang dapat disesuaikan dengan kerangka dan batasan yang ada.


Sebab itu kita perlu juga mengambil maklum dasar-dasar tertentu yang dibentuk
dan dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini, baik di peringkat pusat dan negeri,
yang dicipta dan dilaksanakan untuk membangun dan mempertahankan Islam.
Ini termasuklah penerapan nilai-nilai Islam9, membangun bersama Islam10 dan
Islam hadhari11. Dari segi hujah dasar-dasar ini mengisyaratkan kepada kita
bahawa ada inisiatif dan perubahan tertentu yang boleh dilakukan tanpa
meminda perlembagaan yang ada sekarang. Dasar-dasar itu juga membolehkan
kita menghujah bahawa perlembagaan turut menyediakan kerangka untuk
pelaksanaan aspek-aspek tertentu Islam. Sama ada ini mencukupi atau
sebaliknya adalah soal yang lain.


Dari segi struktur perlembagaan persoalan Islam di dalam perlembagaan perlu
dilihat dalam konteks Malaysia sebagai negara persekutuan. Dengan itu kita
harus mengambilkira prinsip-prinsip asas konsep federalisme bagi menangani
masalah-masalah yang timbul apabila berlaku konflik di antara pihak berkuasa
pusat dan negeri. Pembahagian kuasa antara pihak berkuasa persekutuan dan
negeri inilah yang turut menjadi punca kepada terbatasnya pelaksanaan undangundang
Syariah dalam bentuk hudud dan qisas.


Perbahasan mengenai kedudukan Islam tidak harus mencemaskan orang bukan
Islam. Mereka tidak harus berasa bimbang apabila umat Islam mengimbau
sejarah masa lalu kerana hak-hak yang mereka nikmati sekarang –
kewarganegaraan, hak sivil dan politik dan sebagainya – juga bersumberkan
sejarah; khususnya tolak ansur ketika negara mencapai kemerdekaan.


Sesungguhnya semua pihak di negara ini perlu memahami dan mengambilkira
sejarah dalam menuntut apa yang mereka dakwa sebagai hak atau kebebasan.
Antara contoh-contoh yang boleh disebut di sini ialah Perkara 3(4)13 dan Perkara
8(5)14. Sementara peruntukan-peruntukan yang mempunyai kesan menggantung
peruntukan-peruntukan perlembagaan tertentu yang lain ialah Perkara 149 dan
Perkara 150.


III. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN YANG RELEVAN


Perlembagaan Persekutuan tidak dilengkapi dengan pengenalan umum, objektif
yang hendak dicapai atau dasar-dasar asas sebagaimana perlembagaanperlembagaan
negara-negara tertentu. Yang ada hanyalah beberapa peruntukan
yang menyentuh atau berkaitan dengan Islam. Dengan demikian peruntukanperuntukan
itu perlu dianalisis, terutama dari segi ruang lingkup dan
latarbelakangnya.

Di dalam pentafsiran perlembagaan peruntukan-peruntukan perlu diberi makna yang harfiah kecuali jika pendekatan sedemikian menimbulkan kesan atau implikasi yang tidak munasabah. Penulis berpendapat bahawa tiap-tiap peruntukan perlembagaan berdiri sendiri dan tidak dibataskan oleh peruntukan-peruntukan lain, kecuali sekiranya hal itu dinyatakan secara jelas oleh peruntukan berkenaan.


Peruntukan perlembagaan yang sering dihujahkan sebagai menghalang
pelaksanaan Syariah di Malaysia ialah Perkara 4(1)16 yang mengisytiharkan
Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Pendapat ini
tidaklah semestinya benar kerana perlembagaan sendiri turut membenarkan
pelaksanaan prinsip-prinsip Syariah yang tertentu sebagaimana yang kelihatan,
antara lain, dalam Jadual Kesembilan. Dengan kata lain prinsip-prinsip Syariah
turut mengisi peruntukan perlembagaan. Ini juga dapat dihujahkan dalam soal
kelayakan Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara yang diregulisasikan
oleh perlembagaan-perlembagaan negeri. Sementara itu Perlembagaan Negeri
Johor menyebut ungkapan ahl al-hal wa al-‘aqd. Ini menarik kerana ia penting di
dalam konsep pemerintahan Islam. Ini juga secara tidak langsung membawa
masuk prinsip-prinsip Syariah yang terkandung di dalam karya-karya klasik
para ilmuan Islam silam yang dimaktubkan oleh perlembagaan-perlembagaan
negeri. Peruntukan-peruntukan ini harus diteliti. Kita tidak harus melihat
Perkara 3(4), 4(1) atau 160(2)17 semata-mata tanpa melihat kesan dan signifkan
peruntukan-peruntukan yang disebutkan di atas tadi. Walaupun ada pihak yang
mencadangkan supaya Perkara 4(1) dipinda dengan memasukkan Al-Qur’an
dan Sunnah18 satu perbahasan yang mendalam perlu dilakukan untuk
memastikan kesannya di samping mengambilkira pengalaman negara-negara
muslim yang lain yang sudah berbuat demikian.


Selain itu kandungan dan kesan Perkara 11(1) dan (4)19 serta 12(2)20 yang
mengangkat kedudukan Islam melebihi agama-agama lain selalu disebut bagi
menunjukkan kedudukan istimewa Islam. Sebab itu undang-undang murtad
yang bersumberkan undang-undang Syariah boleh diluluskan oleh parlimen
atau dewan-dewan undangan negeri. Kedudukan Islam yang tidak boleh
disentuh oleh parlimen atau kuasa darurat. Ini tentunya turut melindungi
prinsip-prinsip Syariah.


Selain itu sudah sekian banyak undang-undang – walaupun diakui masih belum
mencukupi –yang dibuat oleh parlimen dan dewan-dewan undangan negeri
yang mengkanunkan prinsip-prinsip Syariah. Prinsip-prinsip yang melatari
peruntukan-peruntukan di dalam pelbagai undang-undang keluarga Islam serta
perbankan dan kewangan Islam adalah prinsip-prinsip Syariah. Ini dengan
sendirinya menandakan bahawa Syariah mempunyai kedudukan yang tertentu
di dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita. Selain itu di masa akan
dating, kita tidak harus menjangka pengaruh dan kedudukan yang lebih kukuh
sekiranya kita dapat meyakinkan kemampuan Syariah menjadi sumber untuk
reformasi perlembagaan dan undang-undang negara.


IV. KES-KES MAHKAMAH YANG PENTING


Di dalam system undang-undang common law seperti Malaysia dan negaranegara
Komanwel – bahkan di Amerika Syarikat juga – kes-kes yang diputuskan
oleh mahkamah mempunyai peranan penting di dalam menjelaskan ruang
lingkup perlembagaan dan undang-undang yang lain. Ini menyebabkan
perlunya kita membuat rujukan kepada kes-kes mahkamah. Dalam soal
kedudukan Islam kes-kes yang diputuskan setakat ini tidak banyak
menjernihkan keadaan.

Antara sebab mengapa ini berlaku ialah tidak adanya kes yang membuat analisis terhadap kes-kes yang terdahulu di dalam isu berkenaan. Kes-kes yang ada ini juga tidak membuat analisis menyeluruh terhadap peruntukan dan kerangka perlembagaan serta dokumen-dokumen penting termasuk Laporan Suruhanjaya Reid. Setengah daripada kes-kes ini diputuskan di atas pertimbangan semasa – yang mengambilkira sensitiviti
politik – dan tidak seratus peratus di atas dasar perlembagaan dan undang-undang.


Kes yang sering disebut di dalam perbincangan mengenai Islam di dalam
Perlembagaan Malaysia ialah kes Che Omar bin Che Soh22. Kes ini memutuskan
bahawa kedudukan undang-undang Islam terbatas kepada hal-hal peribadi
seperti nikah kahwin, cerai dan penjagaan anak. Mahkamah juga mengatakan
bahawa perlembagaan mengekalkan kedudukan undang-undang sekular.


Keputusan ini dibuat terhadap tindakan mencabar keesahan undang-undang
dadah yang didakwa tidak mengikut ajaran Islam dan dengan itu bertentangan
dengan perlembagaan. Mahkamah menolak hujah ini kerana mahkamah
memutuskan bahawa Syariah bukan undang-undang utama persekutuan.


Kes ini sebenarnya menyamai kes-kes yang diputuskan oleh hakim-hakim
Inggeris sebelum merdeka; contohnya Wong Ah Fook dan Anchom bte Lampong.
Kedua-dua kes ini menolak hujah bahawa undang-undang Islam sebagai
undang-undang negara. Mungkin perlu ditekankan bahawa hanya kerana
undang-undang Islam bukan undang-undang utama ia tidak bermakna bahawa
undang-undang Syariah tidak mempunyai tempat atau merempat. Undangundang
Inggeris pun sebenarnya, jika kita faham maksud peruntukan yang
berkaitan di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956, tidak mempunyai tempat
yang terlalu signifikan di Malaysia.


Di dalam Che Omar bin Che Soh Syariah cuba dihujahkan sebagai undangundang
utama untuk mengisytiharkan undang-undang yang diluluskan oleh
parlimen sebagai tidak sah. Mungkin boleh dikatakan bahawa Che Omar bin Che
Soh sebenarnya tidaklah menolak kedudukan Islam umumnya dan Syariah
khususnya. Kes tersebut cuma mengatakan bahawa kedudukan undang-undang
Islam terbatas. Tetapi penghakiman mahkamah yang memutuskan bahawa
perlembagaan mengekalkan dikotomi antara undang-undang sekular dan Islam
boleh dipersoalkan. Ini kerana mahkamah tidak menunjukkan dengan jelas
bagaimana Perkara 160(2) berbuat demikian. Hanya kerana undang-undang
Islam atau Syariah tidak disebut sebagai sumber undang-undang itu tidak
bermakna bahawa Syariah tidak mempunyai tempat. Seperti yang disebutkan di
atas tadi Islam masih boleh diserapkan ke dalam sistem perlembagaan dan
perundangan kita melalui proses pembuatan undang-undang biasa di parlimen.


Selain itu ada beberapa ungkapan di bawah Perkara 160(2) itu yang mungkin
boleh membawa masuk prinsip-prinsip Syariah; seperti “undang-undang
bertulis”, “undang-undang negeri”, “undang-undang persekutuan” dan
“undang-undang yang sedia ada”. Isu ini adalah antara persoalan-persoalan
menarik yang perlu dibahaskan secara mendalam.


Sementara itu ada keputusan-keputusan mahkamah yang menghukumkan
bahawa Islam mengatasi agama-agama lain. Ini mewakili aliran yang lebih
mutakhir di dalam jurisprudens mengenai kedudukan Islam di dalam
perlembagaan. Inilah yang agak menonjol di dalam kes-kes seperti Meor
Atiqulrahman dan Lina Joy. Kes-kes ini bagaimanapun lebih bertumpu kepada
hak kebebebasan beragama dan bukan kedudukan Islam dalam perlembagaan.
Penulis berpendapat bahawa kelebihan yang diberikan kepada Islam memang
ada di bawah peruntukan mengenai kebebasan asasi – yakni Perkara 11(4) - dan
tidak bergantung kepada Perkara 3(1).


Islam dan Syariah juga boleh memainkan peranan secara tidak langsung di
dalam kes-kes tertentu yang melibatkan hak asasi seperti kebebasan beragama.
Ini berlaku dalam kes Fatimah binti Sihi29 apabila Mahkamah Rayuan
memutuskan bahawa hak tersebut perlu dirujuk kepada agama yang berkenaan.
Meskipun keputusan kes ini tidak memihak kepada Islam prinsip yang
digariskan itu amat penting, terutama dalam kes-kes yang akan datang atas
persoalan berkenaan. Bagaimanapun ini banyak bergantung kepada kefahaman
hakim-hakim mahkamah sivil terhadap Islam amnya dan Syariah khususnya.


Apa pun penulis berpendapat bahawa untuk membuat keputusan yang adil dan
selaras dengan perlembagaan para hakim mahkamah sivil perlu mengetahui
prinsip-prinsip Islam dan Syariah. Dan ini tidak terbatas kepada hakim-hakim
yang beragama Islam sahaja: para hakim bukan Islam juga perlu memahami
Islam. Perlu dicatatkan bahawa di dalam sumpah jawatan mereka para hakim
diminta mempertahankan perlembagaan dan di atas tadi kita telah
menunjukkan bahawa prinsip Islam dan Syariah turut dikandung oleh
perlembagaan kita.


V. PENUTUP


Agak jelas bahawa Syariah mempunyai kedudukan tertentu yang signifikan.
Malah boleh dihujah bahawa kedudukan itu agak kukuh. Apa pun kedudukan
itu tidak boleh dipadam oleh proses demokrasi biasa kerana ia melibatkan
kedudukan dan kuasa Raja-Raja31 serta Majlis Raja-Raja32. Kuasa darurat juga
tidak boleh menggugat kedudukan Islam.


Apa yang dipaparkan di atas memerlukan perancangan yang teliti dan untuk itu
ada beberapa persiapan dan pendekatan yang perlu dimulakan. Ini melibatkan
banyak pihak dan sektor. Para hakim di mahkamah sivil – termasuk yang bukan
Islam – perlu mempelajari Islam dan undang-undang Syariah. Selain itu tenaga
yang perlu untuk memacu perubahan dimaksudkan juga perlu dilatih dari
sekarang.


Di kalangan masyarakat terbanyak Islam perlu diperkenalkan. Ini perlu
dipimpin oleh kerajaan dan pihak-pihak lain termasuk NGO dan seumpamanya.
Dalam rangka ini sudah tentulah umat Islam perlu menjadi contoh yang baik
yang menjadi rujukan dan model hidup buat segala kebaikan dan kehebatan
yang dikaitkan dengan Islam.


*Kertas yang dibentangkan dalam Wacana Ilmiah anjuran Bahagian Penasihat, Jabatan
Peguam Negara Malaysia di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2005.
**Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI ialah pensyarah di Kuliah Undang-undang Ahmad
Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga adalah
Penyelaras Kursus Undang-undang Perlembagaan dan Editor, IIUM Law Journal.



Rujukan


1 Untuk perbincangan lanjut tentang segala konsep ini lihat Ahmad Hasan, The Early Development of
Islamic Jurisprudence, Islamabad: Islamic Research Institute, 1982, hh. 1-11, Mohammad Hashim Kamali,
Principles of Islamic Jurisprudence, Kuala Lumpur: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd., 1998, hh.1-13 dan
Seyyed Hossein Nasr, Ideals and Realities of Islam, London: Acquarian, 1994, hh.93-120.
2 Untuk gambaran yang lebih terperinci lihat Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan Malaysia,
Petaling Jaya: Intel Multimedia & Publication, 2005.
3 Peruntukan ini berbunyi “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan”
4 L.A. Sheridan, The Federation of Malaya Constitution: Text, Annotation and Commentary, Singapura:
University of Malaya Press, 1961, hal.4
5 Untuk perbincangan lanjut lihat, umpamanya, Abdul Aziz Bari, Perlembagaan Malaysia: Asas dan
Masalah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hh.249-255
6 Selain pilihan raya (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 113-120), sifat demokrasi kita turut ditekankan
dengan hak sama rata (ibid, Perkara 8) dan kebebasan bersuara (ibid, Perkara 10) kewajipan bertindak
mengikut nasihat ke atas ketua negara dan negeri (ibid, Perkara 40) dan perlunya kerajaan
bertanggungjawab kepada parlimen (ibid, Perkara 43(3).
7 Peruntukan ini – yang menangani soal subversive, keganasan dan seumpamanya - memberi justifikasi
untuk pembuatan undang-undang yang menafikan hak-hak asasi. Lihat Abdul Aziz Bari, Malaysian
Constitution: A Critical Introduction, Kuala Lumpur: The Other Press, 2003, hh.187-197
8 Peruntukan ini memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengisytiharkan darurat dan
menggantung sebahagian besar peruntukan perlembagaan: lihat Abdul Aziz Bari, ibid, hh.183-187
9 Dasar ini dibuat pada awal 1980an dan di bawahnya dilaksanakan beberapa projek seperti perbankan
Islam, universiti Islam dan seumpamanya.
10 Ini diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Parti PAS sebaik sahaja mereka menguasai
negeri tersebut dalam Pilihan Raya Kebangsaan 1990.
11 Slogan ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sekitar awal 2004, beberapa
bulan selepas beliau menjadi ketua kerajaan persekutuan.
12 Lihat Abdul Aziz Bari, “Enforcement of Shariah in Malaysia: Divine Provisions in Constitutional
Democracy” dlm Hussin Mutalib (ed), Islam and Democracy: The Southeast Asian Experience, Singapore:
CCIS & KAF, 2004, hh.33-52.
13 Peruntukan ini berbunyi “Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan
lain dalam Perlembagaan ini”.
14 Peruntukan ini menyatakan beberapa pengecualian terhadap hak sama rata; termasuk undang-undang
diri, kedudukan orang asli dll.
15 Lihat Abdul Aziz Bari & Farid Sufian Shuaib, Constitution of Malaysia: Text and Commentary, Kuala
Lumpur: Pearson-Prentice Hall, 2004
11
16 Peruntukan ini berbunyi “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa
undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah
tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.
17 Peruntukan ini memberi beberapa definisi untuk ungkapan-ungkapan tertentu di dalam Perlembagaan
Persekutuan.
18 Lihat Ahmad Ibrahim, Perundangan Islam: Dasar, Matlamat dan Pelaksanaannya di Malaysia, Kuala
Lumpur: Islamic Research Institute, 1981, hh.37-38. Lihat juga, Zainon Ahmad, “Laws must conform with
Syariah: Don”, New Straits Times, 30 September 1987, hal.1
19 Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama; yakni hak untuk menganut, mengamal dan
mengembangkan agama itu manakala Perkara 11(4) pula membenarkan sekatan ke atas penyebaran agamaagama
selain Islam ke atas orang Islam.
20 Peruntukan ini, antara lain, menyediakan landasan bagi pihak berkuasa membelanjakan wang awam
untuk tujuan agama Islam.
21 Lihat komen A.Harding ke atas kes Susie Teoh [1990] 2 MLJ 306: Law, Government and the
Constitution in Malaysia, Kuala Lumpur: MLJ Sdn. Bhd., 1996, hh.202-205
22 Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55. Lihat komen kes ini dalam L.A. Sheridan,
“Religion of the Federation” [1988] 2 MLJ viii
23 Wong Ah Fook v State of Johore [1939] MLJ 128
24 Anchom bte Lampong v Public Prosecutor [1940] MLJ 22
25 Lihat pemerhatian Reay JC dalam kes Leonard v Nachiappa Chetty (1923) 4 FMSLR 265, 267-268
26 Lihat Ahmad Ibrahim, “The Position of Islam in the Constitution of Malaysia” dlm Sufian, Lee &
Trindade (eds), The Constitution of Malaysia: Its Development 1957-1977, Kuala Lumpur: Oxford
University Press, 1978, hh.41-68, 65.
27 Meor Atiqulrahman bin Ishak v & Ors v Fatimah bte Sihi & Ors [2000] 5 MLJ 375. Lihat ulasannya
dalam Abdul Aziz Bari, “Islam in the Federal Constitution: A Commentary on the decision in Meor
Atiqulrahman” [2000] 2 MLJ cxxxix
28 Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah & Anor [2004] 2 MLJ 119. Lihat ulasannya dalam Abdul Aziz
Bari, “The Relationship between the Position of Islam in the Constitution and the Scope of Religious
Freedom: A Case Note on Lina Joy v Majlis Agama Islam & Anor” (2004) 12 IIUMLJ 145
29 Fatimah binti Sihi v Meor Atiqulrahman [2005] 2 MLJ 25
30 Lihat Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keenam.
31 Lihat Abdul Aziz Bari, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, supra, hh.51-76. Lihat juga Abdul Aziz
Bari, The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia, Tesis PhD yang tidak
diterbitkan, Universiti Birmingham, England, 1996.
32 Lihat Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
33 Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa, Seksyen Syariah di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam
Negara dan Komuniti Syariah adalah antara langkah-langkah yang relevan dengan hasrat ini. Selain itu
Persatuan Peguam Syarie Malaysia juga kelihatan telah memainkan peranan yang aktif selama ini.

Tiada ulasan: