DONATE

Jumaat, 10 Julai 2009

PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN: KAJIAN DI PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT SELANGOR



PENGENALAN KAUNSELING DAN KEPENTINGANNYA


PERMASALAHAN KAJIAN

Permasalahan kajian yang ingin dirungkai oleh penyelidik ialah perbezaan yang berlaku di antara Mazhab Syafie dan Mazhab Hanafi dalam menentukan halal haram dalam pemakanana. Secara umumnya, apa yang berlaku pada zaman yang serba moden dan berteknologi sekarang ini, masyarakat kurang mengambil peduli tentang perbezaan dan percanggahan di antara Mazhab Sunni tersebut sehingga masyarakat tidak dapat membezakan pendapat mazhab yang mana satu mereka pegang.

Pada dasarnya, terdapat banyak perbezaan dan percanggahan pendapat yang berlaku di kalangan Mazhah Syafie dan Mazhab Hanafi bekenaan halal dan haram dari sudut pemakanan. Maka dengan ini, penyelidik akan mengkaji kaedah yang diguna pakai oleh Mazhab Syafie dan juga kaedah yang diguna pakai oleh Mazhab Hanafi seterusnya membuat perbandingan di antara keduanya. Penyelidik juga berminat dengan tajuk ini kerana masih belum ada sesiapa yang mengkaji dan membuat perbandingan diantara kedua-dua mazhab ini berkenaan halal haram dari sudut pemakanan.




1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN

Institusi keluarga adalah sebuah pusat yang menjadi asas pembentukan organisasi sosial yang tersusun, aman, maju serta cemerlang dalam apa juga lapangan kehidupan. Pembinaan institusi keluarga yang sempurna melambangkan bangsa yang aman dan makmur. Sebaliknya keruntuhan institusi keluarga membayangkan keadaan huru-hara dan ketidakstabilan sesebuah bangsa dan negeri itu sendiri. Oleh yang demikian bantuan dari aspek kaunseling amat diperlukan untuk mengekalkan keutuhan institusi keluarga.


2.1 PENDAHULUAN


Banyak telah diperkatakan dalam media cetak dan elektronik tentang bagaimana kaunseling seharusnya digunakan untuk menangani masalah sosial seperti keruntuhan unit keluarga, keruntuhan institusi perkahwinan, penderaan kanak-kanak dan sebagainya. Hal ini menyebabkan timbulnya pelbagai salah anggap, salah tafsir dan salah penggunaan terhadap kaunseling itu sendiri. Telah timbul dalam masyarakat kita hari ini pelbagai jenis kaunseling saperti kaunseling perkahwinan, kaunseling keluarga dan kaunseling remaja tanpa meneliti terlebih dahulu adakah pengendaliannya dijalankan dengan betul. Adakah aktiviti itu dinamakan kaunseling kerana aktiviti itu melibatkan pemberian pertolongan? Bab 2 ini cuba membincangkan tentang maksud kaunseling yang diberikan oleh pakar yang menghuraikan dan mendefinisikannya dan sejauh mana teori kaunseling Barat mempunyai persamaan atau bercanggah dengan teori kaunseling Islam serta kepentingan kaunseling dalam kehidupan manusia seharian terutamanya dalam bab kekeluargaan.


2.2 DEFINISI KAUNSELING


Kaunseling adalah salah satu proses menolong tetapi bukan merupakan aktiviti memberi nasihat sahaja. Dalam proses menolong itu, kaunselor perlu membina satu perhubungan professional dengan kliennya dan membimbingnya supaya menjadi lebih memahami mengenai dirinya, kebolehannya, kemampuan dan keupayaannya.
Dalam proses ini juga klien akan dibimbing supaya menjadi lebih peka tentang interaksi dan tindak balas dengan masyarakat dan suasana yang mempengaruhi hidupnya. Dengan kesedaran ini, klien akan memahami realiti hidupnya lalu bolehlah ia membuat rancangan untuk masa depan.

Segala keputusan dan pilihan yang klien itu buat bukanlah datang daripada kaunselor tetapi daripada klien itu sendiri. Peranan kaunselor adalah untuk membimbing kliennya dalam proses membuat keputusan dan pilihan.

Perkataan kaunseling berasal daripada perkataan Inggeris iaitu coun’sel dan digunakan dengan perkataan counseling atau counselling yang bermaksud nasihat, teguran, ingatan atau memberitahu. Dalam Dictionary of Psychology (1991:99) menjelaskan kaunseling ialah perbincangan dengan seseorang yang menghadapi masalah dan dinasihati oleh seseorang sama ada dia seorang pakar atau tidak.

Manakala kaunseling menurut Kamus Dewan ialah proses teratur yang melibatkan perbincangan yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.

Menurut Blocher (Shertzer & Stone,1974 ), kaunseling adalah satu proses interaksi yang menggerakkan pemahaman yang bermakna terhadap diri dan persekitaran dan menghasilkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai terhadap perubahan tingkah laku.

Menurut Burks dan Stefflre (George & Cristiani, 1990) pula, kaunseling melambangkan satu perhubungan yang professional di antara seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang klien. Perhubungan ini kadangkala melibatkan lebih daripada dua individu. Ianya bertujuan membantu klien memahami dan menjelaskan pandangan mereka terhadap ruang kehidupan dan belajar mencapai matlamat yang mereka tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna dan melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emosional atau antara individu.

Blocher (1974) mengatakan kaunseling merupakan satu proses menolong individu supaya lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia bergerak balas kepada pengaruh-pengaruh alam sekelilingnya. Ia menolong individu membentuk satu pengertian peribadi bagi tingkah lakunya dan juga mengembangkan serta menjelaskan satu set matlamat dan nilai untuk tingkah laku pada masa hadapan.

Menurut Pepinsky, kaunseling ialah suatu proses yang membabitkan interaksi antara seorang kaunselor dengan kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit, dengan tujuan membantu klien mengubah tingkah lakunya sehinggalah resolusi yang diambilnya memuaskan kehendaknya. Pepinsky juga menekankan bahawa sesi hubungan antara klien dengan kaunselor barlaku dalam suasana yang tertutup, sulit, tidak dilihat dan didengari oleh orang lain.

Krumboltz (George & Cristiani, 1990) mentakrifkan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh seorang kaunselor dalam usaha membantu klien melibatkan diri dengan jenis-jenis tingkah laku yang akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah klien.

Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) pula telah membantu Majlis Kaunseling Kebangsaan mendefinisikan kaunseling dalam Rang Undang-undang Akta Kaunselor 1996 sebagai suatu proses menolong yang sistematik berasaskan ilmu psikologi tentang manusia agar lebih memahami diri dan persekitarannya (sumber-sumber dalaman dan luaran) ke arah memperolehi satu keputusan untuk menyelesaikan masalah dan menyesuaikan dirinya dengan baik.

Carls Rogers dalam bukunya Counseling and Psychotheraphy menyebut kaunseling itu sebagai satu proses pembetulan diri untuk berkembang secara biasa dengan pertolongan pakar dan dapat pula menerima pengalaman yang belum pernah dirasai supaya ia dapat disesuaikan dengan diri seseorang itu.

Huraian di atas menjelaskan bahawa kaunseling bukan khidmat nasihat walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta berinteraksi dengan baik. Manakala klien memperihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan mengambil tindakan mengurus masalah tadi. Proses aksi dan reaksi antara kaunselor dengan klien turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapinya.

Dalam konteks kaunseling Islam, keputusan atau pemilihan klien hendaklah berdasarkan kepada ajaran al-Quran, hadis, sunnah Nabi, dan ijmak ulama’. Ini disebabkan manusia yang bersifat lemah boleh membuat keputusan atau pilihan sendiri secara sedar dan terbuka, tetapi tidak terkeluar daripada keredhaan Allah. Dalam melakukan sesuatu, kita tidak boleh lupa daripada mengingati Allah. Allah yang kita sembah dan kepada-Nyalah kita meminta hidayat dan pertolongan. Sebagaimana firman Allah s.w.t :


Maksudnya:

“Berdoalah kamu kepadaKu, nescayai Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Definisi kaunseling mengikut perspektif Islam menurut Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai masalah psikologikal dengan seorang kaunselor terlatih untuk membantu klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Suradi Salim (1996) menyatakan kaunseling sebagai hubungan peribadi bersemuka antara dua orang, yang seorang ialah kaunselor dan seorang lagi ialah klien. Kaunselor, melalui hubungan dan dengan menggunakan kemahiran khususnya menyediakan satu situasi dan suasana, apabila klien seorang yang normal dibantu memahami atau mengetahui masa hadapannya supaya dia boleh menggunakan sifat-sifat keperibadiannya dan potensinya dengan cara memuaskan dirinya dan memberikan faedah kepada masyarakat dan selanjutnya mempelajari cara-cara menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluannya pada masa akan datang.

Dari perspektif Islam, kaunseling keluarga merupakan proses membantu yang dilakukan oleh seorang kaunselor terhadap ahli keluarga yang mengalami konflik. Proses kaunseling yang terlibat masih sama dengan kaunseling individu. Namun apa yang membezakannya ialah proses membantu ini akan mengalami beberapa tahap awal seperti kaunseling individu bersama kedua-dua pihak yang berkonflik terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk mengumpul maklumat berkenaan konflik dari perspektif diri klien secara individu sebelum menyatukan mereka dalam satu sesi yang dipanggil kaunseling keluarga.


2.3 TEORI KAUNSELING ISLAM DAN BARAT


Seorang kaunselor sama ada sedar atau tidak sedar mempunyai pendekatan yang tertentu dalam melaksanakan kaunseling. Mereka berpegang kepada salah satu teori untuk menjadi panduan dalam kerja-kerjanya. Teori kaunseling juga dijadikan sebagai panduan bagi manusia memahami manusia serta keperluannya. Oleh itu teori merupakan nilai dan kepercayaan manusia terhadap manusia sendiri dan menterjemahkan kepada prinsip dan pendekatan yang boleh diikuti.

Kebanyakan teori kaunseling dan psikoterapi boleh digunakan di dalam proses kaunseling keluarga kerana institusi keluarga terdiri daripada individu atau kelompok. Teori hanya menyediakan asas untuk sesiapa yang terlibat dalam memberi pertolongan yang sistematik untuk dijadikan panduan. Keperluan klien, pengalaman dan personaliti akan membantu kaunselor membina pendekatan dan teori yang sesuai untuk dipraktikkan.

Chenault (1968) mengatakan, “teori kaunseling adalah lebih daripada sekadar hubungan antara teori personality dengan amalan kaunsling. Namun, pendekatan-pendekatan kepada kaunseling ini yang dikenali sebagai teori kaunseling kaunseling adalah tidak sesuai sebagai definisi-definisi teori semasa dalam sains tingkah laku.”

Manakala Landsman (1967) menyatakan pula bahawa teori kaunseling bukanlah semata-mata sebagai satu cabang dunia sains tetapi ia juga mempersembahkan semacam hubungan erat antara penggunaan teori pembelajaran itu sendiri. Wolberg (1965) menegaskan pula, “teori-teori yang lahir daripada beratus-ratus tatacara itu adalah berdasarkan kepada spekulasi, di mana spekulasi ini pula merupakan perniagaan layan diri.

Carkhuff (1966) menyetujui pendapat ahli-ahli psikologi yang lain dengan mengatakan bahawa seharusnya ada suatu pemusatan dimensi yang harus dinikmat bersama oleh kaunseling dan proses teraputik yang mengusulkan beberapa faedah rawatan yang boleh memberikan manfaat kepada interaksi kaunselor-klien dan sesiapa juga yang saling berkenaan.

Antara teori-teori utama yang sesuai untuk digunakan dalam kaunseling keluarga ialah teori tingkah laku yang diperkenalkan oleh Skinner, teori psikoanalisis yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud, teori rasional emotif oleh Albert Ellis dan teori pemusatan insan oleh Rogers. Semua teori di atas berlandaskan kepada teori yang datangnya dari Barat.


2.3.1 Teori Tingkah laku

Kesemua teori mempunyai matlamat untuk mengubah tingkah laku maladaptif klien kepada tingkah laku adaptif melalui proses membina kembali struktur perhubungan di antara individu secara berkesan. Teori ini mengubah tingkah laku klien melalui proses pembelajaran dan latihan yang sistematik.

Masalah tingkah laku timbul kerana faktor berikut seperti hukuman yang berlebihan, kurang peneguhan positif dan peneguhan terhadap tingkah laku yang tidak sesuai, konflik personaliti dan tingkah laku salah terima.

Teori tingkah laku merupakan teori yang berorientasikan teknik. Kaunselor bebas menggunakan mana-mana teknik yang difikirkan sesuai dengan masalah kilen . Beberapa teknik tingkah laku adalah seperti berikut:


a) Latihan bertenang (Relaxation Training)


Teknik ini sesuai untuk klien yang sedang menghadapi ketegangan. Klien diajar bersantai dalam suasana tenang dan berkeadaan pasif menegang dan mengendurkan otot-otot seluruh badan. Klien dilatih merasai ketegangan dan kekenduran otot-otot. Latihan cara-cara menarik dan melepaskan pernafasan juga diajar. Mereka juga dilatih membayangkan gambaran-gambaran yang memberi ketenangan dan kerisauan mengikut mana yang dipersetujui. Latihan-latihan dilakukan setiap hari sehingga menjadi amalan harian.

b) Penghapusan deria secara bersistem (Desensitiasi bersistem)

Klien diajar untuk menghapuskan kerisauan dan tindakan mengelakkannya. Kaunselor dan klien menganalisis perasaan risau dan takut yang dialami oleh klien dan keadaan-keadaan yang boleh mendatangkan kerisauan atau ketakutan. Situasi kemudiannya disusun mengikut yang paling kuat membangkitkan rasa risau di atas sekali dan yang paling lemah di bawah sekali. Rasa risau ini kemudiannya dipadankan dengan keadaan yang bertentangan iaitu bertenang. Klien diajar bertenang sambil memadamkan situasi yang paling lemah dahulu dan kemudian meningkat kepada situasi yang lebih kuat sehingga rasa risau klien dapat diatasi.


c) Modeling

Modeling boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. Ianya dapat memberikan tindak balas baru dalam kemahiran dan penampilan diri terhadap perasaan takut dan mengamalkan apa yang dipelajari. Modeling dijalankan dengan memerhatikan tingkah laku ataupun cara orang lain. Secara langsung, kaunselor mengajar klien tingkah laku yang ingin dipelajari. Secara tidak langsung, modeling boleh dilaksanakan melalui filem, video atau alat perakam. Dalam kaunseling kelompok, ahli boleh menjadi model kepada klien. Di antara masalah yang boleh ditangani melalui kaedah modeling ialah cara berinteraksi dengan orang lain dan masalah perhubungan suami isteri.


d) Pembentukan

Pembentukan ialah proses melaksanakan sesuatu tingkah laku secara berperingkat-peringkat. Contohnya pasangan suami isteri belajar bercakap dan bertindak dengan lebih erat. Suami bermain dengan anak kecil sambil isteri memasak apabila sama-sama balik dari bekerja. Kemudian isteri memandikan dan menyiapkan anak sambil suami mandi dan bersiap. Selepas itu isteri pula mandi dan bersiap dan suami memberi anak makan. Suami isteri kemudiannya makan bersama-sama dan berbual-bual.

e) Pelaziman klasik

Pelaziman klasik ialah kaedah yang tertua dalam menangani tingkah laku bermasalah, rangsangan digunakan dan tindak balas yang diberikan bertujuan menghasilkan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini. Contohnya apabila anak mengenakan pakaiannya dengan betul, ibu menepuk belakangnya sambil memujinya serta merta. Pujian ini mengajar anak bahawa tingkah laku yang baru dilakukan adalah baik dan perlu diteruskan.

f) Tunjuk ajar

Melalui kaedah ini, kaunselor mengajar klien melakukan sesuatu untuk mendapatkan tindak balas dari orang lain. Contohnya suami dan isteri inginkan pasangan memberikan perhatian dan mendengar apa yang hendak dikatakan. Isteri diajar bercakap dengan suami. Apabila isteri sedang bercakap, suami mesti melihat ke arah isteri dan mendengarnya sehingga dia habis bercakap, barulah suami boleh menjawab.

g) Penghapusan

Penghapusan ialah proses melenyapkan amalan peneguhan yang tidak sesuai kerana mendatangkan masalah. Ianya melibatkan proses menurunkan kadar atau kekerapan tingkah laku dengan cara mengalihkan peneguhan yang menggalakkan tingkah laku berlaku. Lazimnya kaedah ini dilakukan secara gabungan dengan teknik-teknik lain supaya tingkah laku yang dihapuskan dapat digantikan dengan tingkah laku baru yang lebih sesuai. Bagi mengalihkan peneguhan dan menghapuskan tingkah laku yang ditetapkan, pemimpin dan ahli lain mengambil langkah tidak endah sekiranya ahli yang bermasalah terus mempamerkan tingkah laku itu. Ahli hanya diberi perhatian selepas dia meninggalkan tingkah laku itu ataupun menggantikannya dengan tingkah laku baru. Contohnya anak yang mengamuk di khalayak ramai kerana menginginkan sesuatu permainan di kedai. Ibu dilarang membelikan permainan tersebut dan membiarkan anak menangis. Kemudian, apabila keadaan sudah reda, satu perjanjian boleh dibuat dengan anak sekiranyan inginkan permainan tersebut.

h) Peneguhan positif

Dalam suasana kelompok, ahli membantu memberi peneguhan antara satu sama lain bagi mengubah tingkah laku yang tidak diingini. Peneguhan positif sama ada dalam bentuk lisan seperti galakan, pujian dan lain-lain ataupun bukan lisan seperti pelukan, senyuman dan lain-lain adalah digalakkan dalam kelompok. Peneguhan positif dalam bentuk kebendaan seperti makanan, wang mahupun senyuman atau pujian yang boleh meningkatkan tindakan atau tingkah laku yang diingini. Contohnya kanak-kanak di peringkat sekolah rela melakukan sesuatu tugasan di rumah seperti mengelap lantai apabila diberikan ganjaran wang. Orang dewasa pula biasanya akan meningkatkan sesuatu tingkah laku apabila dipuji atau diberi senyuman.

i) Quid Pro Quo (sesuatu untuk sesuatu)

Ungkapan bahasa Latin ini bermaksud ‘sesuatu untuk sesuatu’. Perjanjian di antara suami isteri dalam melaksanakan tugasan harian di rumah merupakan contoh yang sesuai menggunakan kaedah ini. Suami mahu membasuh dan melipat kain jika isteri memasak dan mengemas dapur. Senarai tugasan seperti ini boleh ditulis dan dilaksanakan bersama.


j) Timbal balik

Teknik timbal balas mengandaikan bahawa dua insan memberi peneguhan sesame sendiri yang berterusan. Contohnya seorang isteri yang mengemas dengan teliti tetapi tidak menerima apa-apa penghargaan dari suaminya, akan bertindak sebaliknya dan membiarkan rumahnya berselerak.

k) Tempoh pengasingan

Pengasingan dilakukan ke atas kanak-kanak yang tidak menunjukkan kelakuan yang sesuai dengan keadaan pada masa ini. Pengasingan seketika (misalnya selama lima minit) bertujuan menghapuskan kelakuan atau tindakan tersebut. Contohnya kanak-kanak yang merampas alat permainan orang lain ketika bermain, dibawa keluar dari ruang permainan setiap kali kelakuan ini diulangi. Kaedah ini digandingkan dengan memberi ganjaran dalam bentuk kebendaan atau pujian jika kanak-kanak tersebut menepati janjinya tidak mengulangi kelakuan yang tidak diingini.

l) Membentuk carta

Pembentukan carta yang lengkap dan terperinci dilakukan oleh klien terhadap sesuatu tingkah laku yang bermasalah. Ini bertujuan untuk mawujudkan ‘baseline’ mengenai kekerapan berlakunya tingkah laku yang bermasalah untuk membantu memulihkannya. Contohnya suami dan isteri diminta mencatatkan setiap pergaduhan yang berlaku antara mereka.


2.3.2 Teori Psikoanalisis

Teori psikonalisis digunakan dalam kaunseling keluarga untuk menyedarkan bahawa pengalaman masa lampau mempengaruhi diri mereka sekarang. Pengalaman ini wujud secara tidak disedari. Halangan yang mencengkam keluarga dan ahli-ahlinya secara tidak sedar dapat dibebaskan supaya keluarga dapat berfungsi berlandaskan kenyataan masa kini.

Matlamat psikoanalisis adalah untuk membentuk semula watak individu agar segala tingkah laku terpendam di alam tidak sedar dapat dialami di alam sedar. Selain itu, teori ini menekankan konsep id, ego dan superego yang menentukan keseimbangan diri manusia. Matlamat kedua pula ialah mencari pengalaman masa lau bagi memandu dan membentuk peringkat kefahaman kendiri yang diperlukan untuk membuat perubahan perwatakan. Antara teknik kaunseling yang diperkenalkan ialah:

a) Analisis mimpi

Ahli-ahli dalam keluarga berbincang tentang mimpi mereka untuk mengesan keperluan yang tidak /belum dipenuhi. Contohnya seseorang ibu bermimpi selalu diketepikan mungkin ingin didengari dan diberi penghargaan. Strategi untuk memberi perhatian dan menghargai ibu perlu dibuat oleh keluarga seperti berbincang dengannya mengenai percutian, memberi hadiah pada hari perayaan tertentu.

b) Riwayat keluarga

Riwayat hidup keluarga yang diterokai dalam sesi kaunseling dapat memberi perbandingan pola interaksi dahulu dan sekarang dalam kehidupan keluarga berkenaan. Ahli keluarga mentaksir teknik ini sebagai keperihatinan dan penerimaan kaunselor tanpa syarat. Ini mengukuhkan lagi kepercayaan keluarga sebagai klien terhadap kaunselor. Klien juga diberikan celik akal mengenai riwayat mereka sendiri. Celik akal bermaksud kesedaran atas punca masalah yang sedang dihadapi. Dengan adanya celik akal , ahli dapat membetulkan struktur personalitinya terutama ego supaya dapat mengawal id dan superego supaya beroperasi dengan lebih berkesan dalam realiti kehidupan.

c) Perkaitan bebas

Perkaitan bebas adalah teknik apabila ahli diminta menyatakan apa sahaja yang tergambar di fikirannya tanpa mengira sama ada ia menyakitkan, tidak logik, ataupun tidak relevan. Ahli kelompok disuruh membuat perkaitan bebas dengan memberi mereka sesuatu isu ataupun sekadar membuat perkaitan bebas berkaitan satu sama lain. Perkaitan bebas sesama ahli dapat dilaksanakan selepas hubungan yang baik terbentuk di kalangan ahli. Dalam hal ini, perkaitan bebas dilakukan dalam bulatan. Ini memberi peluang kepada setiap ahli bagi memberi pendapatnya berkaitan setiap ahli dalam kumpulan. Perkaitan bebas selalunya dilakukan secara spontan dan tidak berstruktur.

2.3.3 Teori Rasional Emotif

Kaedah Rasional Emotif mengandaikan bahawa manusia boleh berfikir secara rasional dan tidak rasional. Gangguan dan masalah psikologi berpunca dari pola pemikiran yang tidak betul, tidak tepat, tidak rasional dan tidak logik. Pemikiran ini menjadi sebahagian daripada sistem kepercayaan asas individu yang bermasalah. Pemikiran begitu menyebabkan gangguan emosi/psikologi yang boleh menjadikan individu itu neurotik. Fikiran yang tidak rasional ini adalah hasil daripada pengalaman, pembelajaran dari ibu bapa, keluarga, jiran, rakan dan kebudayaan masyarakatnya.

Selain itu, teori ini juga melihat manusia mempunyai kecenderungan negatif seperti memusnahkan diri, mengulangi kesalahan, mempunyai kepercayaan karut dan sebagainya. Kaunseling dapat menyusun semula persepsi dan fikiran yang tidak rasional kepada rasional dan logik kerana fikiran tidak rasional ini berpunca dari individu, bukan dari peristiwa yang terjadi. Matlamat teori ini adalah untuk mencapai kesederhanaan yang boleh dicapai daripada perkara-perkara yang tidak rasional kepada yang rasional dan daripada yang tidak realistik kepada realistik.

Matlamat teori ini ialah memininmakan pandangan klien yang membawa kepada kekalahan diri dan memperolehi falsafah hidup yang lebih realistik dan toleransi. Adalah diharapakan dengan berubahnya pemikiran, klien akan wujud dalam individu sebahagian daripada perkara-perkara berikut: (i) minat terhadap diri sendiri dan ada kepercayaan; (ii) minat untuk hidup bermasyarakat; dan (iii) sedia suka mengambil risiko yang berpatutan.


Teknik-teknik yang digunakan di dalam teori rasional emotif ini dilakukan melalui arahan dari kaunselor :

a) Secara kognitif
Kaedah kognitif bertujuan mengajar klien menguruskan sistem kepercayaan yang tidak rasional dan menerima hakikat sebenar walaupun pahit.

i. Mengajar

ii. Tugasan kognitif
Kaunselor menyuruh klien memikirkan semula kepercayaan yang ada pada dirinya dan dilihat secara tidak rasional kepercayaan tersebut sehingga klien dapat rasionalkan pemikirannya. Dengan cara ini, klien berupaya mengubah sistem kepercayaan yang mendatangkan kerisauan kepada bentuk yang rasional dan boleh melenyapkan kerisauannya.

iii. Biblioterapi
Teknik biblioterapi menggunakan bahan-bahan pendidikan seperti buku, rencana atau buletin mengenai masalah yang sama seperti yang dihadapi klien. Ianya bertujuan menyedarkan klien bahawa ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Contohnya ibu atau bapa tunggal dan anak-anak mereka berasa lega apabila menyedari ada orang lain seperti mereka. Buletin dan buku panduan boleh membantu memberi panduan kepada mereka.

iv. Deduktif

v. Menggunakan pernyataan kendiri yang baru
Kaunseling mengajar klien menggunakan penyataan diri yang baru dengan tujuan menghapuskan kepercayaan diri yang tidak betul.

vi. Berdebat/ menghujah
Kaunselor mengajak klien berdebat atau berhujah mengenai kepercayaan klien yang tidak rasional sehingga dapat diterimanya iaitu dirasionalkan

vii. Memberikan pendidikan dan penerangan

viii. Memberi cadangan

b) Secara emotif
Kaedah ini bertujuan mengubah teras nilai klien dengan berbagai-bagai cara untuk menyatakan perasaan di antara klien dengan orang yang terlibat.

i. Main peranan
ii. Modeling
iii. Pernyataan/ pendedahan kendiri
iv. Latihan “shame-attacking”


Latihan ini digunakan bersama dalam kaedah main peranan. Ianya memperlihatkan ahli keluarga (klien) mengambil tindakan yang selamat tetapi sukar dan enggan dilakukan sebelumnya. Misalnya meminta wang saku tambahan. Klien tahu bahawa tanpa wang ini dia masih boleh terus hidup.

c) Secara tingkah laku
Teknik ini digunakan untuk menolong klien mengubah kaedah yang tidak berdaya untuk berfungsi dan mengganti hanya dengan usaha untuk membiasakan diri dengan cara baru. Kaunselor mengajar klien untuk mengambil risiko dan melibatkan diri dalam aktiviti baru.


2.3.4 Teori Pemusatan Insan

Teori pemusatan insan pula melihat manusia mampu berkembang secara positif dan membina jika wujud perasaan percaya mempercayai dan hormat-menghormati. Manusia memang dari mula lagi mempunyai kecenderungan untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah kesempurnaan sendiri. Bagi membolehkan manusia berkembang mesti wujud tiga perkara iaitu kekongruenan, empati beserta kefahaman yang mendalam dan menerima tanpa syarat.

Teori pemusatan insan menekankan pemusatan diri klien sendiri iaitu menekankan kepada sikap positif kaunselor dan penerimaan diri. Teori ini menekankan penerimaan hakikat diri (klien) di dalam konteks yang sedia ada. Biasanya masalah timbul apabila klien enggan menerima hakikat dirinya yang sebenar dari segi psikologi, kekuatan fizikal, mental, keintelektualan, kebolehan menyesuaikan diri dan berinteraksi.

Metodologi ini mengajar dan melatih penerokaan kendiri, keterbukaan kendiri dan terhadap orang lain. Menggerakkan diri untuk berfikir dan bertindak secara realistik. Beberapa teknik digunakan di dalam proses kaunseling seperti teknik refleksi isi, refleksi perasaan, peneguhan minima dan soalan terbuka.

Matlamat di dalam kaunseling Pemusatan Insan bukanlah sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi apa yang lebih diutamakan ialah tk mencapai perasaan bebas dan sepadu bagi diri seseorang individu itu. Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya supaya klien dapat menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di masa hadapan.

Manakala teori kaunseling Islam menurut pandangan Imam Ghazali lebih kepada pendekatan berdasarkan ayat al-Quran. Firman Allah S.W.T:


Maksudnya:
“Serulah ke jalan Allah dengan bijaksana dan peringatan yang baik, berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik”.

a) Cara bijaksana

Bijaksana sama ertinya dengan hikmah yang merangkumi keadilan, tahan marah, bersifat kenabian, menolak kejahilan, menegakkan kebenaran, meletakkan sesuatu di tempatnya, perkataan yang benar, mencegah berlaku kerosakan, memahami dan prihatin dengan ilmu yang mendalam, menegakkan kebenaran dengan hujah-hujah yang jitu dan berpandukan al-Quran.

b) Nasihat yang baik

Sesetengah ahli tafsir menjelaskan maksud nasihat membawa makna:

• Memberi rangsangan kepada meninggalkan perkara yang buruk.
• Memberi nasihat secara yang meyakinkan bahawa nasihat itu untuk kebaikan dirinya.
Sesetengah ahli tafsir menyatakan nasihat yang baik membawa makna nasihat secara yang lurus, bukan dengan maki hamun atau herdik, kerana dengan lemah lembut ia membawa kesedaran dan keinsafan. Ini akan membawa kepada perkara yang baik.

c) Perbincangan yang terbaik

Maksud perbincangan yang terbaik dengan cara tidak menyinggung peribadi, menghina dan menjatuhkan martabat, malah merasakan kaunselor memahami dan cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Klien yang bermasalah akan sama-sama berbincang dan meluahkan kepada kaunselor masalah sebenar. Atas bantuan kaunselor, klien merasakan ada orang yang memandunya menyelesaikan masalahnya secara bersama.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaaan antara teori kaunseling Islam dan teori kaunseling Barat. Kebanyakan teori kaunseling Barat tidak memberi penekanan sangat terhadap aspek-aspek spiritual manusia itu. Aspek-aspek spiritual manusia sangat jelas diterangkan dalam ayat al-Quran:


Maksudnya:

“ Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka ia akan memberikan kepadanya jalan keluar (dari kesulitan) dan akan memberinya rezeki yang tiada ia duga dari mana berasal ”

Sigmund Freud dalam teori psikoanalisisnya lebih cenderung untuk mengkaji hal-hal yang berlaku pada masa lampau kerana masa lampau dianggap berkaitan dengan masa kini berdasarkan psikologi. Dalam teori ini, kaunselor harus melihat kliennya daripada tiga aspek iaitu id, ego dan superego. Aspek ini secara amnya bermaksud setiap insan dikuasai oleh rasa hatinya. Manusia akan bertindak berdasarkan kepada kuasa mana yang kuat mempengaruhi dirinya. Dalam Islam kuasa yang dimaksudkan itu ialah nafsu sama ada ingin buat baik atau sebaliknya. Berhubung dengan nafsu manusia, ia hendaklah dilihat daripada fitrah kejadian manusia itu sendiri.

Manusia terbina daripada dua unsur iaitu unsur rohani dan unsur jasmani. Unsur rohani manusia terdiri daripada roh. Hakikat roh diketahui Allah sahaja, manusia hanya mengetahui sedikit sahaja. Unsur rohani yang kedua ialah nafsu iaitu kehendak nafsu dan perasaan. Nafsu boleh dibahagikan kepada lima iaitu nafsu amarah, nafsu lawwamah, nafsu mutmainnah dan nafsu radhiah mardhiah.

Ketiga, hawa iaitu kekuatan atau tenaga batiniah (hakikat) yang menjadi penggerak kepada nafsu amarah. Nafsu amarah ini merupakan pendorong kepada manusia agar berbuat jahat. Keempat, akal. Akal merupakan satu anugerah Allah yang berfungsi untuk membezakan yang baik dan yang buruk.

Unsur jasmani pula ialah unsur yang dapat dilihat atau dirasa terdiri daripada kulit, urat, darah, tulang dan sebagainya. Unsur jasmani ini telah dijelaskan oleh Allah:


Maksudnya:

“ٍٍSesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”

Teori beorientasi behavioristik pula melihat manusia seperti mesin atau robot yang boleh dimanipulasi oleh persekitaran dan menjadi mangsa kepada persekitarannya. Walaupun teori ini tidak merujuk kepada personaliti secara langsung tetapi rujukannya kepada perlakuan-perlakuan yang spesifik dan tidak spesifik yang dipelajari daripada persekitaran adalah berbeza dengan pandangan Islam yang tidak menganggap manusia itu pasif kerana manusia mempunyai akal fikiran, pengetahuan dan kepintaran, dan manusia berupaya mencorakkan kehidupannya di dunia.

Penentu tingkah laku manusia bagi Islam ialah akidah dan takwa kepada Tuhan bukan semata-mata ditentukan oleh persekitaran atau proses-proses pembelajaran. Sebagaimana firman Allah:

Maksudnya:

“ Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya memperhambakan diri kepada-Ku ”

Carl Rogers dalam teori pemusatan insan pula menganggap manusia sebagai makhluk yang positif, rasional dan sentiasa bergerak maju. Manusia cenderung ke arah penyempurnaan kendiri sekiranya ia diberi kebebasan mengalami, memenuhi dan menyempurnakan keperluan-keperluan asasnya. Teori Rogers ada titik persamaan dengan pandangan Islam di mana manusia secara fitrahnya adalah baik. Manusia dianugerah Allah s.w.t. akal yang membolehkannya menuju ke tingkat kehidupan yang lebih sempurna.

Pandangan Rogers terhadap manusia yang dianggapnya mempunyai kebebasan mutlak dalam menentukan matlamat-matlamat hidupnya berbeza dengan Islam di mana manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T dianugerahkan akal dan mempunyai kebebasan yang terbatas. Manusia terikat kepada perintah dan takdir Allah.

Albert Ellis pula mengemukakan teori Terapi Rasional Emotif (RET) yang mengandaikan manusia mempunyai potensi untuk bertindak secara rasional dan berfikiran waras. Teori ini tidak dinafikan oleh Islam tetapi tentang fungsi akal itu agak berbeza dengan pandangan Islam. Menurut pandangan Islam, kemampuan akal itu adalah terbatas. Manusia tidak mampu memikirkan apa sahaja yang ingin difikirkannya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T menjelaskan tentang keupayaan akal manusia. Sebagaimana firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:

“Allah tidak menimbulkan beban kepada seseorang itu melainkan sekadar apa yang telah Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”
Oleh itu manusia tidak boleh bergantung kepada rasionaliti semata-mata dalam menyelesaikan masalah dan persoalan-persoalan mengenai dirinya seperti andaian RET. Akidah dan taqwa adalah lebih penting daripada rasionaliti.

Walaupun terdapat perbezaan antara pandangan beberapa teori barat dengan Islam,ini bukan bermakna bahawa keseluruhan teori-teori mengenai manusia dari barat itu ditolak. Teori-teori ini perlu diubahsuai atau diadaptasi supaya tidak bercanggah dengan agama yang dianuti dalam masyarakat Islam yang bertujuan mencari kesempurnaan manusia dalam konteks kesedaran tentang kewujudan Tuhan.

2.4 TUJUAN KAUNSELING

Fungsi kaunselor dalam proses kaunseling ialah sebagai pemandu atau penunjuk kepada klien untuk mencari jalan membuat pemilihan yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan sunah nabi. Justeru itu, secara ringkas, di antara tujuan kaunseling boleh dilihat seperti berikut:


1. Menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seseorang klien. Kita wajib bersimpati dan menolong insan lain yang ditimpa kesusahan. Kita sendiri memerlukan pertolongan orang lain sekiranya kita menghadapi masalah dan buntu untuk mencari jalan penyelesaiannya. Oleh sebab itu kita dituntut oleh agar menyayangi orang lain seperti kita menyayangi diri kita sendiri. Seseorang yang membantu seseorang yang lain ketika mereka dalam kesusahan akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

2. Membantu dan memberi kefahaman kepada klien menghadapi situasi sekitar atau cabaran-cabarannya bagi membolehkan berlaku perubahan tingkah laku ke arah matlamat yang diingini untuk mencapai kebebasan Allah s.w.t. untuk membuat pelbagai pilihan dalam hidup. Manusia boleh memilih jalan baik atau sebaliknya, tetapi Allah s.w.t telah berjanji akan memberikan ganjaran baik kepada manusia yang berbuat baik dan begitulah sebaliknya. Bagi membantu seseorang membuat pilihan yang tepat dan mendapat keredhaan Allah s.w.t tentulah memerlukan kaunseling, bimbingan dan panduan yang benar dan ikhlas.

3. Membimbing klien membuat keputusan yang bijaksana serta memahami dan bertanggungjawab secara sedar ke atas setiap keputusan yang dibuat. Mereka disedarkan tentang risiko dan manfaat-manfaat yang bakal diterima. Dalam proses rundingcara, klien akan terus-menerus belajar mengenali dirinya dalam dunia yang fana ini, matlamat hidupnya yang sebenar serta kesudahan kehidupan ini.

4. Bertindak secara logik, waras dan atas dasar keimanan dan bukannya atas dasar hasutan nafsu atau syaitan yang dimurkai Allah s.w.t. Apabila seseorang bertindak atas dasar keimanan, sudah tentu tindakannya itu membahagiakan dirinya serta diredai Allah. Oleh sebab itu, orang yang beriman sentiasa memohon agar Allah s.w.t memberikan mereka hidayat dan sentiasa boleh membuat tindakan yang baik.

5. Membantu klien mewujudkan perhubungan yang baik, mesra, harmoni, baik sangka dan ikhlas sesama suami dan isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat seluruhnya. Perhubungan yang baik boleh wujud daripada sikap dan tutur kata yang baik. Jauhilah daripada kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan atau kata-kata yang kurang sedap di dengar.

6. Membentuk tabiat diri agar sentiasa berdisiplin dengan sesiapa sahaja dan menjadikan klien sebagai insan yang dihormati dan disukai.

Semua tujuan kaunseling yang dinyatakan di atas itu adalah untuk melahirkan dan mewujudkan insan yang beraspirasi tinggi, berakhlak mulia dalam mencapai kesempurnaan hidup secara amr makruf iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan nahy munkar iaitu mencegah melakukan kejahatan. Amr makruf dan nahy munkar adalah wajib kepada setiap insan yang hidup.


Antara matlamat kaunseling lain, Imam al-Ghazali menyatakan:

1. Memperkembangkan personaliti individu ke arah yang positif untuk menyelesaikan kerumitan-kerumitan dengan berkesan dalam kehidupannya.

2. Membantu individu menyesuaikan dirinya dengan masyarakat dan menuruti masyarakat melalui perkembangan konsep sendiri.

3. Membekalkan pengalaman-pengalaman baru yang dapat mewujudkan peluang-peluang kepada klien supaya mereka memahami perbezaan diri mereka dengan kehidupan, perbezaan untuk menimba pengalaman dengan menyatakan perasaan-perasaan mereka dan berkelakuan dengan cara-cara yang baru untuk mendapat pengalaman tersebut. Semua pengalaman baru ini akan dapat dirasai melalui perhubungan yang terjalin antara kaunselor dengan kliennya.

4. Membantu klien memahami diri sendiri dan menyesuaikan dirinya dengan persekitaran serta orang lain. Tegasnya matlamat kaunseling adalah untuk membentuk individu ke arah kesempurnaan yang kemudian dapat hidup bersama-sama masyarakat dengan kehidupan yang sederhana.

5. Dalam Islam, matlamat terakhir seorang insan adalah untuk berjaya menjadi khalifah Allah s.w.t. di bumi ini dan beribadat kepada-Nya. Seseorang kaunselor mesti memahami matlamat khusus dan yang terakhir ini.


Menurut Norazman Amat (2004) selaku ketua kaunselor di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, tujuan kaunseling dijalankan:

1. Menghasilkan perhubungan yang produktif dan mengubah keadaan intrapsikik.

2. Mengutamakan komunikasi yang menghasilkan perubahan dalam perhubungan transeksional.

3. Melakukan perawatan hasilan dari krisis atau sintom yang mengganggu rumah tangga.

4. Mempengaruhi pasangan untuk berubah dan mengatasi agenda peribadi untuk kebaikan rumah tangga.



Manakala menurut Rosnah Ismail (2000) tujuan kaunseling diadakan untuk:


1. meningkatkan pembangunan personal, potensi diri dan kematangan sosial klien.

2. membolehkan klien menjadi lebih bertanggungjawab, bebas dan mampu mengendalikan diri dalam menentukan tingkah lakunya.

3. menjadikan sikap dan pemikiran klien lebih terbuka, sistematik dan mampu membuat pilihan yang sesuai bagi dirinya.

4. membantu klien mengatasi gangguan emosi, mencapai kekuatan diri dan kepuasan hidup selaras dengan nilai moral, agama dan norma masyarakat.

5. menolong klien menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran dan cabaran-cabaran baru.

Menurut Mizan Adiliah (2006), matlamat kaunseling diwujudkan untuk:

1. Mengajar klien untuk bertanggungjawab ke atas dirinya
2. Memperbaiki imej diri yang negatif
3. Mengajar Klien menyesuaikan diri dengan keadaan
4. Mempermudah atau menggerakkan perubahan tingkah laku
5. Membantu klien menjadi lebih produktif
6. Membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman
7. Mempertingkatkan kemampuan klien membuat keputusan
8. Membantu klien mengurus masalah yang ‘belum selesai’ dalam hidupnya.


2.5 KEPENTINGAN KAUNSELING

Perubahan teknologi yang cepat dan pesat telah mendedahkan manusia kepada kehidupan yang semakin rumit khasnya dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Hal inilah yang menyebabkan terjadinya pelbagai krisis yang melibatkan emosi dan nilai lalu menyebabkan manusia tersepit. Sesiapa yang tidak berdaya akan menjadi mangsa kepada keadaan.

Menerusi bukunya, Future Shock, Alvin Toffler telah membayangkan betapa hebatnya generasi kini mengalami perubahan. Generasi yang akan datang lebih banyak mengalami perubahan dalam masa yang lebih singkat. Mereka akan menjadi mangsa kepada pertelagahan perkembangan mental dan fizikal. Perkembangan ini dapat dilihat dengan meningkatnya masalah sosial di barat dan di negara-negara yang sedang membangun. Walaupun ini merupakan petanda kegelisahan sosio-ekonomi, tetapi yang lebih hebat tekanan jiwa dan kepercayaan terhadap keupayaan sendiri telah berkurangan. Mereka lebih tertarik kepada jalan yang menyalahi Undang-undang.

Kaunseling amat penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses tolong-menolong di antara seseorang dengan seorang yang lain. Islam mewajibkan setiap orang yang berkuasa membantu orang yang tidak berkuasa. Setiap manusia tidak terlepas daripada pelbagai masalah hidup. Ini disebabkan fitrah manusia sudah dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai makhluk yang lemah.

Hanya dengan akal fikiran sahajalah manusia boleh mengatasi kelemahan dan menentukan baik buruk tingkah laku seseorang. Sekiranya mereka lemah menguasai fikiran iaitu kuat dipengaruhi oleh nafsu syaitan, maka mereka akan bertindak di atas jalan yang dilarang oleh Allah. Sekiranya mereka bertindak dengan bijak dan dengan keredhaan Allah S.W.T. sudah pasti mereka mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Allah S.W.T. sendiri mengakui yang manusia menghadapi pelbagai masalah hidup sebagai percubaan dari-Nya. Sebagaimana firman Allah:

Maksudnya:

“Allah ingin memberikan keringanan bagimu kerana manusia itu dicipta bersifat lemah”

Masalah hidup tetap dihadapi oleh setiap makhluk kerana dunia ini penuh dengan segala ujian, cubaan dan masalah sebagai satu cara Allah menguji iman seseorang. Manusia yang kuat imannya akan mendapat kejayaan dan orang yang lemah imannya akan menemui kegagalan. Justeru itu, seseorang yang didapati lemah imannya atau yang menuju ke arah jalan yang tidak diredhai Allah, hendaklah dibantu, ditolong atau dibimbing ke arah kejayaan atau jalan yang diredhai Allah. Orang yang sanggup membantu orang lain yang menghadapi kesusahan akan diberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak. Ini dapat diperhatikan daripada sabda Rasullah s.a.w.:

من أقر عين مؤمن أقر الله عينه يوم القيامة

Maksudnya: “ Sesiapa yang menyejukkan mata seorang mukmin (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di hari Kiamat ”

Perubahan drastik dalam pelbagai arah dan aktiviti kemanusiaan telah menjadikan manusia itu dalam keadaan serba kelam kabut sama ada untuk menghadapi, mengejar atau menyesuaikan diri masing-masing dengan perubahan tersebut. Ekoran suasana yang penuh cabaran ini, manusia sering menghadapi pelbagai masalah diri, keluarga, masyarakat, nilai dan keagamaan.

Dalam usaha membantu ahli masyarakat atau individu untuk menghadapi atau menyelesaikan pelbagai cabaran dan permasalahan diri seharian, maka beberapa elemen pertolongan boleh dijalankan. Antaranya termasuk usaha menyediakan perkhidmatan memberitahu (information giving services), perkhidmatan memberi nasihat (advice-giving services), perkhidmatan memberi bimbingan (guidance-giving services) dan perkhidmatan kaunseling (counseling services ).

Setiap perkhidmatan menolong di atas adalah berbeza dari segi kaedah, teori dan pendekatannya. Penggunaan setiap pendekatan tersebut juga addalah berbeza mengikut keperluan individu, suasana masalah dan “setting” perkhidmatan yang ingin diberikan. Namun, apa yang serupa ialah semua perkhidmatan menolong termasuk kaunseling merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia seharian ke arah melahirkan generasi yang sejahtera dan berkualiti.

Kepentingan kaunseling juga berhubung rapat dengan tuntutan Agama Islam yang sentiasa mewajibkan ke atas setiap umatnya yang mampu, berilmu dan berkemahiran untuk membantu mereka yang lain yang memerlukan pertolongan atau bantuan. Apa yang penting dalam proses membantu, semua pihak yang ingin membantu hendaklah membantu dengan jujur dan ikhlas dan tidak mengeruhkan lagi keadaan yang ada. Oleh itu kaunseling amat penting dalam menangani pasangan atau keluarga yang bermasalah bagi mengelakkan perhubungan itu berakhir dengan perceraian. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

“ Sebaik-baik manusia di sisi ku adalah mereka yang dapat membantu dan memberi manafaat kepada manusia yang lain.”


2.6 PERBEZAAN ANTARA PERKHIDMATAN KAUNSELING, PSIKOTERAPI, SULH DAN NASIHAT


Dalam usaha seseorang membantu atau memberi pertolongan kepada orang lain, terdapat lima perkhidmatan iaitu kaunseling, psikoterapi, sulh, hisbah dan penasihatan. Jika ditinjau sepintas lalu, kelima-lima perkhidmatan itu kelihatan sama. Walau bagaimanapun jika ditinjau dari beberapa faktor, kelima-lima perkhidmatan itu berbeza.

2.6.1 Perkhidmatan Kaunseling

Perkhidmatan ini dijalankan oleh individu yang digelar kaunselor. Ia mendapat latihan khusus dalam bidang kaunseling secara formal. Guru juga dalam konteks ini boleh dikategorikan sebagai kaunselor kerana peranannya secara langsung sebagai pendidik atau pembimbing.

Klien kaunseling ialah klien normal iaitu klien yang tidak mengalami masalah atau tekanan emosi yang berat. Masalahnya cuma berkisar di sekitar kebuntuan fikiran bagi membuat sesuatu pilihan, keputusan dan masalah-masalah biasa. Kebuntuan fikiran itu berkaitan dengan hal-hal yang muncul secara tiba-tiba atau secara spontan. Sebagai contoh, klien yang sukar membuat pilihan dan keputusan sama ada ingin terus belajar atau menerima tawaran kerja yang baik dan diminati. Kaunseling dijalankan di tempat khas atau di tempat-tempat yang sesuai demi menjaga rahsianya.

2.6.2 Perkhidmatan Psikoterapi

Perkhidmatan ini dijalankan oleh pakar atau orang yang ahli dan mahir dalam bidang kejiwaan. Pakar ini mendapat latihan khas secara khusus dalam aspek rawatan jiwa atau psikiataris. Perkhidmatan ini juga dijalankan oleh doktor selain daripada “doktor jiwa”.

Klien psikoterapi terdiri daripada individu-individu yang tertekan atau terganggu fikirannya secara agak serius atau berat. Ketergangguan ini biasanya melibatkan konflik emosi yang agak kronik dan kompleks. Gangguan atau tekanan emosi yang berat ini biasanya berpunca daripada gangguan-gangguan masa lalu, masa kini dan masa hadapan klien berkenaan. Tempat perawatan psikoterapi ini juga dijalankan di tempat khas bagi tujuan menjaga rahsia atau implikasi-implikasi yang mungkin tidak diingini atau pun risiko-risiko yang tidak dijangka.

2.6.3 Perkhidmatan Sulh

Perkhidmatan ini dijalankan oleh pegawai sulh dalam mengendalikan majlis sulh. Sulh merupakan salah satu pendekatan Islam dalam menggalakkan untuk membantu menangani konflik antara suami dan isteri. Klien sulh terdiri daripada pihak-pihak yang bertikai yang memerlukan kepada perdamaian.

Proses sulh ini di jalankan di mahkamah syariah yang dibuat secara sukarela, tidak ada paksaan atau tekanan daripada sesiapa pun. Penyelesaian secara sulh ini adalah tepat kepada keadilan kerana kedua-dua pihak lebih mengetahui daripada apa yang mereka sepatutnya berhak ke atas apa yang didakwa.

2.6.4 Perkhidmatan Nasihat

Khidmat nasihat ini boleh diberikan oleh sesiapa dan tidak semestinya perlu mendapat latihan khas seperti kaunselor atau psikiataris. Kliennya pula bukanlah yang menghadapi masalah jiwa tetapi lebih kepada hal-hal biasa dalam kehidupan harian. Prinsip nasihat lebih condong kepada memberi arahan atau pemberitahuan dan bukannya saranan yang diberikan oleh kaunselor.

Misalnya, arahan atau pemberitahuan ibu bapa kepada anak-anak, arahan abang kepada adik, makluman guru kepada murid dan sebagainya. Memberi nasihat boleh dibuat di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja kerana mungkin hal yang hendak diberi nasihat itu timbul secara mendadak, tiada kaitan dengan masa lalu atau masa hadapan.


2.7 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, kaunseling sebenarnya adalah satu proses bantuan yang dijalankan oleh kaunselor bagi mengubah tingkah laku kliennya, membantu kliennya membuat pilihan, keputusan dan menyelesaikan masalahnya dengan baik serta menjalinkan hubungan yang erat sehingga klien benar-benar merasai ada orang lain dalam hidupnya yang dapat membantu.

Tujuan kaunseling adalah untuk membantu individu dalam membuat penyelesaian peribadi, sosial dan emosi agar ia dapat berfungsi dengan lebih dinamik dalam alam persekitarannya. Individu juga dibantu untuk belajar menghadapi kenyataan secara lebih berkesan. Ini dapat dilakukan dengan menghapuskan pelbagai halangan yang menyekat individu tersebut daripada melihat kenyataan alam persekitarannya secara yang lebih berfaedah dan lebih penting lagi memperolehi makna daripada pengertian tersebut sehingga membolehkan ia membuat persepsi masa depannya secara lebih tepat.

Para kaunselor Islam perlu berhati-hati dalam menggunakan teori-teori kaunseling yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji Barat. Setiap pendekatan teori kaunseling mempunyai elemen-elemen seperti pandangan terhadap tabii manusia, peranan kaunselor, matlamat kaunseling, teknik-teknik, serta kekuatan dan kelemahan teori itu. Terdapat percanggahan yang jelas dengan Islam dari segi tabii manusia. Oleh itu kaunselor perlu mengenepikan persoalan tersebut.

Namun begitu kaunselor masih boleh mengamalkan teknik-teknik yang dianjurkan, selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Kaunselor muslim tidak sepatutnya mengikut model kaunseling Barat yang jelas terkecuali daripada nilai-nilai serta kepercayaan agama. Oleh itu pendekatan psikologi barat perlu di sesuaikan dengan sifat semula jadi manusia menurut perspektif Islam dan juga matlamat penciptaan manusia.

Kesimpulannya, kaunseling amat diperlukan dalam kehidupan manusia terutamanya bagi individu yang berkeluarga. Ini kerana terdapat pelbagai masalah dan krisis yang timbul dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Oleh itu, kaunseling yang merupakan salah satu cara perkhidmatan dapat membantu menyelesaikan sebarang krisis yang berlaku kepada suami atau isteri dan menggalakkan pasangan kepada perdamaian.



PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN


3.1 PENDAHULUAN



Manusia sentiasa akan menghadapi pelbagai masalah yang berbentuk cabaran atau dugaan di dalam kehidupan seharian mereka sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau melibatkan individu lain dari pelbagai bidang dalam aktiviti harian seperti dalam bidang kerjaya, kemasyarakatan, pendidikan, perkahwinan atau kekeluargaan. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi memerlukan kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi untuk menempuhinya. Kadangkala terdapat individu yang tidak mampu untuk menghadapi segala masalah yang menimpa seorang diri dan boleh mengakibatkan masalah menjadi terus berpanjangan. Semua ini memerlukan sikap keprihatinan semua pihak dalam masalahnya agar tidak berlarutan.

Mereka memerlukan bimbingan dan bantuan daripada orang lain untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi atau sekurang-kurangnya seseorang yang boleh menjadi pendengar untuk meluahkan masalah yang dialami. Dalam bab ini, penyelidik membicarakan mengenai proses perlaksanaan atau bagaimana pengendalian sesuatu sesi kaunseling itu dilakukan. Di samping itu juga, penyelidik turut menjelaskan teknik dan kemahiran kaunseling serta etika kaunselor bagi memastikan proses kaunseling berjalan dengan lancar serta berkesan dan pihak yang bertikai berpuas hati dengan keputusan yang dibuat berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.

3.2 PROSES KAUNSELING DI UNIT PERUNDANGAN KELUARGA PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT

Banyak faktor yang telah mempengaruhi keberkesanan sesuatu perkara, tidak terkecuali di dalam sesi kaunseling. Prosedur yang telah ditetapkan akan menjamin perkhidmatan yang terbaik untuk kepentingan bersama. Khidmat kaunseling di unit Perundangan Keluarga (UPK) adalah suatu program yang disediakan kepada pasangan suami isteri yang mengalami konflik dalam rumahtangga di daerah Hulu Langat, Selangor. Selain daripada itu, khidmat kaunseling ini disediakan kepada semua pasangan suami isteri yang bermastautin dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Khidmat kaunseling ini disediakan kepada semua pasangan yang bermasalah, yang datang membuat pengaduan di UPK pada setiap hari bekerja iaitu dari hari Isnin hingga hari Jumaat dalam waktu pejabat kecuali hari Ahad dan cuti umum.

Secara umumnya, dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi mana-mana konflik atau permasalahan, kaunselor akan memanggil kedua-dua belah pihak dan mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Selepas itu, kaunselor akan mengkaji secara mendalam dan menggariskan beberapa tindakan yang perlu. Bahagian UPK telah menggariskan beberapa langkah dan proses yang perlu dilalui oleh klien untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan. Begitu juga dengan para pegawai dan kakitangannya yang perlu melakukan tugas mengikut manual tugasan yang telah ditentukan. Langkah-langkah tersebut ialah:-

3.2.1 Borang Aduan

Di Unit Perundangan Keluarga, langkah awal adalah dari pihak klien itu sendiri, iaitu klien akan mengisi borang aduan khas yang disediakan oleh Unit Perundangan Keluarga. Maklumat-maklumat yang dikehendaki adalah meliputi butiran diri pihak yang mengadu dan yang kena adu, seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, taraf pendidikan, bilangan anak dan sebagainya. Beberapa dokumen penting perlu disertakan iaitu salinan kad pengenalan dan salinan sijil nikah atau sijil rujuk. Pengadu juga perlu menyatakan masalah yang dihadapi di dalam ruangan yang telah disediakan di dalam borang. Selepas itu pengadu dikehendaki menandatangani borang tersebut sebalum diserahkan kepada kaunselor atau mana-mana wakil kaunselor.

3.2.2 Proses Panggilan


Borang yang telah diterima oleh kaunselor akan disemak untuk tandatangan pengadu, kemudian akan direkodkan ke dalam Buku Daftar Aduan (BDA). Kaunselor akan meneliti dan mengenal pasti masalah pengadu atau klien itu berdasarkan kenyataan pengadu di ruangan yang telah disediakan. Setelah itu, satu fail akan dibuka sementara menetapkan tarikh panggilan. Kaunselor akan mencatatkan butiran penting pengadu seperti nama, alamat, masalah, cadangan dan tindakan atau sebarang catatan yang berkaitan. Panggilan akan dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh fail dibuka.

3.2.3 Menghantar Surat kepada Pengadu dan Pasangan Pengadu

Surat panggilan akan dihantar kepada Pihak Yang Mengadu (PYM) dan Pihak Yang Kena Adu (PKA) atau boleh juga dihubungi melalui telefon. Tujuan surat panggilan dihantar adalah sebagai peringatan dan undangan kepada mereka yang menghadiri sesi kaunseling pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.

3.2.4 Sesi Kaunseling

Sesi kaunseling akan dijalankan berdasarkan tarikh yang telah ditetapkan. Sekiranya salah seorang daripada PYM atau PKA atau kedua-duanya tidak dapat hadir dengan sebab, kaunselor akan menetapkan semula temujanji pada tarikh yang lain. Jika kedua-duanya tidak hadir untuk sesi kaunseling tanpa sebarang sebab, kes akan dianggap selesai selepas enam bulan dan fail akan ditutup.

Sekiranya kedua-duanya hadir di dalam sesi kaunseling yang telah ditetapkan, sesi kaunseling akan dijalankan mengikut garis panduan khidmat nasihat dan arahan kerja yang telah digariskan. Menurut Akmala Md. Amin (2008), ketika membuat pertemuan dengan klien dalam sesi, pegawai yang bertugas akan memberi penerangan dahulu sejauhmana klien faham apa makna kaunseling dan rundingcara agar klien tidak salah anggap apabila klien datang sesi kaunseling atau rundingcara atau khidmat nasihat. Apabila klien sudah tahu perjalanan itu dinamakan kaunseling atau tidak, barulah pegawai yang bertugas akan memulakan sama ada rundingcara atau kaunseling.

Apabila kes-kes yang dikendalikan dapat diselesaikan, maka fail tersebut akan ditutup. Namun begitu seandainya kaunseling atau nasihat yang dibuat menemui jalan buntu, maka kes tersebut dirujuk kepada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk (PNCR). Sebarang tindakan yang dilakukan adalah bergantung kepada keputusan atau rumusan perundingan yang dibuat berdasarkan persetujuan klien. PNCR akan mengarahkan semula kaunselor untuk tindakan semula sekiranya rumusan kaunseling telah dibuat.

Menurut Akmala Md. Amin (2008) lagi, dalam kes yang memerlukan sesi ulangan, terdapat juga klien yang datang dan enggan datang. Kadangkala dalam satu keadaan, klien mempelihatkan di dalam sesi pertama bahawa mereka tidak akan datang, atau mereka mengemukakan alasan-alasan tertentu. Apabila berlaku perkara sedemikian, Unit Perundangan Keluarga meanggap mereka yang enggan datang ini mugkin sudah damai kerana sekiranya mereka tidak lagi berdamai dan tidak boleh menyelesaikan masalah buat sementara waktu, mereka akan datang juga mendapatkan khidmat bantuan di UPK, PAID Hulu Langat.

3.2.5 Penutupan Fail

Sekiranya hasil kaunseling merumuskan kes tersebut dapat didamaikan atau diselesaikan, fail kes hendaklah ditutup atau ditangguhkan persetujuan klien. Dan sekiranya hasil rundingan merumuskan kes tersebut perlu dipanjangkan ke mahkamah, PNCR akan mengarahkan kaunselor menaipkan satu laporan kaunseling untuk pemohon mendaftarkan kesnya ke mahkamah. Ia akan dibuat dan diserahkan kepada klien untuk didaftarkan ke mahkamah mengikut permohonan mereka.

Melalui proses-proses yang telah disebutkan, sebenarnya, kejayaan sesuatu sesi kaunseling banyak bergantung kepada komitmen pelanggan iaitu PYM dan PKA. Tiada sebarang tindakan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak terutamanya PKA sekiranya ingkar atau enggan hadir untuk sesi kaunseling. Ini disebabkan kehadiran klien untuk mendapatkan perkhidmatan adalah secara sukarela dan atas inisiatif sendiri. Perkhidmatan bergantung kepada situasi klien antaranya menggariskan bahawa tujuan kaunseling adalah untuk mengembangkan kemahuan dan keinginan seseorang mencari manfaat dan meninggalkan yang mudarat menerusi penyuluhan dan usaha yang meyakinkan. Sebagai seorang kaunselor Muslim, kaunselor akan memberi kaunseling sesuai dengan hukum Syariah dan bidang kuasa yang diberikan kepadanya.


3.3 LATAR BELAKANG PEGAWAI PERUNDING KELUARGA DAN PASANGAN BERMASALAH DI PAID HULU LANGAT

Di Unit Perundangan Keluarga, PAID Hulu Langat, kebanyakan pegawai yang ditugaskan mengendalikan urusan di bahagian ini adalah termasuk memberikan perkhidmatan kaunsling khidmat nasihat kepada klien. Kajian ini mendapati mereka mempunyai latar belakang dan pengalaman serta keterlibatan kaunseling yang berbeza. Manakala pasangan yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di bahagian ini juga mempunyai latar belakang yang berbeza.

3.3.1 Pegawai Perunding Keluarga

Kajian ini mendapati bahawa pegawai perunding keluarga di PAID Hulu Langat adalah berlatar belakangkan pendidikan agama, malah pegawai tersebut mempunyai kelayakan akademik sebagai pemegang ijazah dalam jurusan Syariah di universiti tempatan dan universiti al-Azhar, Mesir.. Selain itu, ada di antara mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di peringkat Ijazah Sarjana. Kelayakan mereka ini bersesuaian dengan tugas mereka yang mengetahui hukum syarak dalam bidang kekeluargaan.

Selain itu, pegawai perunding keluarga juga mempunyai pengalaman berkaitan bimbingan dan kaunseling semenjak bekerja di PAID Hulu Langat melalui program, kursus dan seminar kaunseling yang diikuti. Malah ada di antara mereka yang menjadi penceramah bagi Kursus Pra Perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ini membuktikan bahawa pegawai perunding keluarga di bahagian ini merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang kaunseling.

3.3.2 Pasangan Bermasalah

Kebanyakan pasangan suami isteri yang bermasalah yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan umur. Ada di kalangan mereka yang berstatus datuk (VIP) atau golongan atasan dan ada juga pasangan bermasalah yang tidak bekerja iaitu menganggur. Selain itu, pasangan bermasalah ini, ada yang terdiri daripada pasangan yang baru berkahwin dan yang sudah lama berkahwin. Perkhidmatan kaunseling ini terbuka kepada semua pasangan yang bermasalah tanpa mengira darjat dan umur.

3.4 PUNCA KONFLIK RUMAH TANGGA PASANGAN SUAMI ISTERI

Terdapat pelbagai jenis masalah yang selalu diadukan oleh pasangan bermasalah di PAID Hulu Langat. Antaranya ialah poligami, tiada nafkah batin, campur tangan pihak ketiga, tiada persefahaman, penagih dadah, hubungan sulit, nusyuz dan sebagainya. Menurut Akmala Md. Amin, kes nusyuz adalah paling banyak di Selangor, tidak kurang juga kes isteri yang main kayu tiga.

Punca-punca yang selalu menimbulkan konflik rumah tangga yang sering diadukan ke mahkamah-mahkamah syariah ialah seperti:

i. Campur tangan mertua
ii. Sikap suami yang bengis
iii. Suami atau isteri yang suka berfoya-foya
iv. Isteri yang terlalu cemburu
v. Suami yang mempunyai hubungan dengan wanita lain
vi. Suami yang tidak mampu memberi nafkah
vii. Perzinaan
viii. Ketidakseimbangan dalam kemampuan seksual
ix. Isteri enggan dimadukan
x. Isteri mandul

Dapat dilihat di antara masalah yang sering dihadapi oleh pasangan yang berumahtangga hingga boleh menyebabkan berlakunya dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu:

a) Ekonomi
b) Peribadi (emosi dan fizikal)
c) Seks
d) Sosial

3.4.1 Ekonomi

Di samping memenuhi keperluan psikologi, perkahwinan juga mestilah memenuhi keperluan ekonomi. Dengan kata lain, di samping memberi kasih sayang kepada isteri, seorang suami juga berkewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Terdapat beberapa masalah dari aspek ekonomi yang sering mencetuskan masalah rumahtangga seperti:

i. Suami yang sememangnya tidak mampu menyediakan nafkah yang mencukupi.
ii. Suami yang sengaja cuai memberi nafkah yang mencukupi
iii. Sikap isteri yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak dapat diadakan oleh suami.
iv. Sikap suami yang memeras harta isteri
v. Jika kedua suami isteri sama-sama bekerja, terdapat pula sikap berkira di antara keduanya di dalam menguruskan ekonomi rumahtangga. Firman Allah :

Maksudnya:

“ Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan apa yang Allah berikan kepadanya. Allah telah akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

3.4.2 Peribadi (emosi dan fizikal)

Apa yang dimaksudkan dengan masalah yang berpunca dari peribadi ialah masalah yang melibatkan sikap fizikal dan emosi seseorang suami atau isteri.umpamanya masalah kesihatan fizikal suami atau isteri yang menghidapi penyakit yang tidak membolehkannya mencari nafkah atau melayani isterinya. Begitu juga dengan isteri yang terlantar sakit atau tidak dapat melahirkan zuriat. Manakala masalah emosi pula seperi sikap suami yang panas baran, pemarah atau mempunyai kebiasaan melakukan kekerasan fizikal terhadap isteri. Atau terdapat juga keadaan dimana isteri mengalami masalah emosi seperti garang atau terlalu cemburu.

Di dalam suatu kes yang pernah berlaku, si suami terlalu cemburu dan tidak mempercayai pihak isteri kerana isteri mempunyai hubungan yang karib dengan teman lelaki sepejabatnya. Dia telah dua kali menceraikan isterinya. Apabila dianalisa tentang latar belakangnya ternyata pihak suami telah mengalami satu trauma kesan dari perkahwinan ibu bapanya yang hancur dan begitu juga dengan perkahwinan saudara-saudara perempuan yang lain.

3.4.3 Seksual

Suami isteri adalah individu asas dalam unit keluarga yang baru terbentuk. Hubungan yang terjalin ini akan membentuk corak interaksi dan hidup dalam keluarga. Hubungan rutin dan layanan akan mencorakkan cara hidup keluarga kelak. Oleh itu suami isteri perlu membentuk hubungan dan memberi layanan yang sempurna. Menurut Ustazah Robiah (2003) permasalahan yang berlaku ialah semakin lama tempoh perkahwinan semakin kurang layanan dan semakin hilang nikmat hubungan suami isteri.

Lazimnya masalah ini terjadi kerana ketidakseimbangan dalam aktiviti seksual. Pertama suami atau isteri mempunyai keinginan seksual yang terlalu kuat atau sebaliknya suami terlalu dingin atau sememangnya telah hilang keupayaan seksualnya. Kedua, kejahilan atau kurang pengetahuan untuk mencapai kepuasan seksual sehingga menganggap pasangannya kurang mampu untuk melayaninya. Ketiga, suami mempunyai sikap suka melakukan hubungan seksual secara kasar atau luar biasa. Dan keempat, suami atau isteri mempunyai hubungan seksual dengan orang lain.

3.4.4 Sosial

Aspek sosial yang seringkali mencetuskan konflik dalam rumahtangga merangkumi hubungan sosial di kalangan ahli keluarga dan hubungan sosial dengan orang lain. Konflik rumahtangga yang melibatkan hubungan di kalangan ahli keluarga terjadi apabila menantu enggan menghormati mertua dan tidak mesra dengan saudara mara. Begitu juga konflik boleh berlaku jika ibu bapa tidak begitu mesra dengan anak-anak.

Malahan lebih buruk lagi jika tidak terdapat kemesraan antara kedua suami isteri. Umpamanya pihak suami selalu memikirkan soal pekerjaannya sehingga tidak ada masa yang terluang untuk dihabiskan bersama-sama isteri dan anak-anaknya.Manakala hubungan yang melibatkan orang lain di luar hubungan kekeluargaan berlaku apabila suami atau istari mempunyai hubungan kasih dengan orang lain atau telah melakukan perzinaan. Begitu juga dengan sikap suami atau isteri yang suka berfoya-foya.

Terlalu banyak faktor atau punca yang boleh mencetuskan konflik. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Muhd, isu yang paling kerap mencetuskan konflik ialah gaya komunikasi, seks, cemburu, kerja-kerja rumah dan wang. Ia juga berlaku dalam empat keadaan iaitu:

a) Apabila satu pihak mengkritik pihak yang lain
b) Apbila satu pihak membuat permintaan yang tidak patut
c) Apabila satu pihak sudah lama menyimpan rasa sakit hati
d) Apabila satu pihak berasa dirinya dianggap remeh dan tidak dihargai

Semua faktor di atas boleh mencetuskan konflik yang lebih serius malahan boleh menyebabkan perceraian. Selain itu, punca lain yang boleh menimbulkan konflik rumahtangga ialah campur tangan mertua, suami bersikap kasar, suami curang, tidak bertanggungjawab, tidak adil dalam berpoligami dan sebagainya.

3.5 HASIL KAJIAN


Berdasarkan kepada punca-punca perceraian di atas ia pasti membawa kesan yang mendalam dalam jiwa dan kehidupan pasangan yang telah bercerai tersebut khususnya kepada kesejahteraan psikologi mereka. Kesejahteraan psikologi yang berubah adalah dari sudut fizikal, emosi dan sikap, seterusnya ia membawa perubahan kepada psikologi yang tidak baik seperti tekanan dan ia berbeza mengikut tahap umur dan jantina.
Perubahan fizikal adalah seperti sakit, terlalu kurus atau gemuk, hilang keceriaan diri, lesu atau letih, terlalu atau tidak langsung berhias, agresif, suka mengelamun, sering lupa dan mengasingkan diri. Perubahan emosi pula adalah seperti terlalu cemburu, sedih dan sensitif, terlalu gembira atau riang, ego dan mementingkan diri, kemurungan dan bimbang. Perubahan sikap pula adalah seperti cepat marah, mudah bosan, tidak mampu mengendalikan urusan rutin dan bersikap negatif.

Kesan tekanan terbahagi kepada dua iaitu kesan positif dan kesan negatif. Kesan positif ialah menjadi sumber motivasi diri, berlaku perubahan yang positif pada diri, kecemerlangan diri meningkat, kuat berusaha, merasakan persaingan pada diri dan menimbulkan keyakinan pada diri. Manakala kesan negatif ialah prestasi menurun dari segi kerjaya, penampilan dan kesihatan, resah gelisah, hilang kesabaran diri, rasa bersalah, rendah diri dan sensitif serta hilang pertimbangan diri.

Faktor umur boleh juga dikatakan memainkan peranan utama dalam konteks stability rumahtangga kerana suami atau isteri yang berumur terlalu muda selalunya mudah terdedah kepada konflik rumahtangga. Perbezaan dari segi umur boleh membawa kepada perbezaan dari segi risiko ke atas konflik dalam rumahtangga. Ini adalah kerana pasangan suami isteri yang lebih berumur selalunya dipercayai lebih matang dan mempunyai kestabilan dari segi emosi.

Konflik rumahtangga kebanyakannya juga terjadi dalam masa 5 hingga 8 tahun pertama perkahwinan. Ini kerana dalam tempoh yang singkat itu pasangan suami isteri masih dalam proses penyesuaian diri sama ada dalam konteks personality, sikap dan tingkah laku masing-masing. Berdasarkan Journal of Marriage and Family, masalah perceraian ini lebih melemahkan kesejahteraan psikologi kedua-dua pasangan terutamanya kepada wanita yang bercerai muda. Manakala lelaki pula akan cuba untuk melupakan masalah mereka dengan cara mengambil alkohol secara berlebihan.

Berdasarkan kepada hasil kajian yang telah diperbincangkan di atas, terdapat beberapa cara untuk menghadapi gejala perceraian tersebut seperti melalui kaunseling keluarga sebagai dasar untuk menyelesaikan masalah. Cara ini digunakan sama ada di Barat dan di Negara Islam Cuma yang membezakannya hanyalah dari sudut matlamat dan pelaksanaannya.


3.6 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJAYAAN PROSES KAUNSELING

Kejayaan proses kaunseling dalam kajian ini adalah diukur berdasarkan kepada sejauhmana suami isteri yang mendapat perkhidmatan kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat bersetuju untuk berdamai setelah sesi kaunseling berakhir sedangkan kuasa atau hak untuk bercerai atau berdamai banyak terletak di tangan suami. Ini adalah kerana dari segi syarak, hak untuk menjatuhkan cerai, diberi kuasa kepada suami.

Oleh itu, walaupun golongan isteri lebih tinggi peratusnya mengambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian dan perdamaian bagi menyelamatkan sebuah rumahtangga yang telah dibina, namun jika suami tidak mahu kerjasama dan ingin bercerai maka terjadi juga perceraian. Keputusan yang dibuat oleh suami untuk bercerai dan tidak mahu untuk berdamai akan menjadikan proses kaunseling yang diberikan oleh UPK, PAID, Hulu Langat tidak berjaya.

Antara faktor penting yang memberi pengaruh besar terhadap kejayaan proses kaunseling ialah faktor pendidikan pengadu dan pasangannya serta faktor anak.

3.6.1 Faktor Pendidikan Pengadu dan Pasangannya

Dalam konteks yang lebih luas, pendidikan adalah satu kegiatan dalam proses sosialisasi. Orang yang lebih tinggi pendidikannya selalunya telah melalui proses sosialisasi yang lebih lengkap. Individu yang melalui proses sosialisasi yang lebih lengkap mampu menjadi manusia yang sempurna pula selalunya tidak cemderung menimbulkan masalah kepada orang lain. Walaupun ada konflik rumahtangga yang timbul, individu berpendidikan akan mudah mengambil jalan penyelesaian kerana mereka boleh berfikir tentang baik atau buruk sesuatu kejadian khususnya jika berlaku perceraian.

Selain itu, mampu bertindak selaras dengan kehendak dan jangkaan masyarakat. Dalam jiwanya terdapat ciri-ciri tanggungjawab, sabar, rajin, jujur, amanah dan pelbagai ciri-ciri positif yang lain. Apabila sesorang itu mempunyai ciri-ciri tersbut, maka perilakunya semasa berinteraksi dengan orang lain akan selaras dengan jangkaan kebanyakan ahli masyarakat lain. Kesabaran, kejujuran serta amanah merupakan satu gerak kuasa yang ada dalam diri manusia yang boleh mewujudkan persefahaman dan mengurangkan konflik. Interaksi individu yang mempunyai sifat-sifat ini dengan orang lain boleh mewujudkan persefahaman. Dalam konteks rumahtanga, individu seperti ini tidak banyak menimbulkan konflik. Apabila tiada konflik dalam rumahtangga, maka rumahtangga mereka akan menjadi aman.

Individu yang berpendidikan mudah menerima idea atau nasihat jika didapati ia berguna dalam kehidupannya. Mereka selalunya meangap idea atau nasihat orang lain sebagai perangsang kepada mereka untuk mengubah diri dan keluarga. Individu yang kurang pendidikan pula selalunya tidak mudah menerima idea atau nasihat orang lain walaupun nasihat tersebut adalah berguna untuk mereka. Mereka bersikap pasif untuk menghadapi perubahan. Keadaan ini menyebabkan proses kaunseling lebih berjaya di kalangan pasangan yang mempunyai pendidikan tinggi.

3.6.2 Faktor Anak

Anak merupakan anugerah Allah yang tiada nilainya bagi pasangan suami isteri. Ramai kalangan pasangan suami isteri bersetuju bahawa kehadiran anak akan memberikan sinar kebahagiaan ke dalam rumahtangga. Anak dan ibu bapa saling memerlukan di antara satu sama lain dan masing-masing perlu memahami perasaan serta tanggungjawab mereka dengan lebih jelas lagi. Ia bukanlah suatu yang mudah. Malah sebelum mendirikan rumahtangga, pasangan yang bakal menjadi ibu bapa perlu ada ilmu tentang keibubapaan supaya institusi perkahwinan itu dapat mencapai fungsi yang diharapkan oleh individu dan masyarakat.

Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan ibadat sejak mereka kecil lagi. Anak boleh dijadikan sebagai tempat bergantung apabila mereka mencapai umur tua. Sekiranya perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak, mereka merasa seolah-olah perkahwinan mereka tidak sempurna. Anak dianggap sebagai penyeri rumahtangga. Tanpa anak rumahtangga kurang menarik.

Anak-anak adalah penting kepada ibu bapa apabila mereka telah mati. Anak yang soleh dapat membantu ibu bapa mereka di alam kubur dengan doa mereka. Oleh kerana anak adalah penting khususnya dari segi didikan, asuhan dan kasih sayang maka jika terjadi konflik dalam rumahtangga maka suami isteri yang berfikir tentang masa depan anak-anak mereka tidak mudah untuk bercerai.

3.7 KEMAHIRAN DAN TEKNIK KAUNSELING


Kemahiran dan teknik kaunseling merupakan cara kaunselor melayan dan berinteraksi dengan klien yang datang mendapatkan perkhidmatannya. Kaunselor akan menggunakan teknik dan kemahiran yang difikirkan sesuai dan berkesan. Kedua-dua faktor ini akan memberikan keyakinan yang lebih kepada kaunselor dan juga klien. Di mana kaunselor yang mempunyai kemahiran berupaya mempamerkan kematangan di dalam memberikan perkhidmatan dan seterusnya memberikan keyakinan untuk klien mendapatkan khidmat daripadanya. Selain daripada itu, kemahiran dan teknik kaunseling akan memudahkan kaunselor mengendalikan sesi kaunseling serta dapat meminimakan kemungkinan melakukan kesilapan semasa mengedalikannya.

Memandangkan kemahiran dan teknik kaunseling memberikan sumbangan yang besar di dalam profesion kaunseling, kaunselor sewajarnya menguasai kedua-dua bidang ini. Teknik dan kemahiran yang digunakan dalam proses kaunseling merupakan strategi dalam perhubungan kaunseling. Ia boleh berbentuk perlakuan dan juga gerak balas yang memberitahu sesuatu kepada klien. Ia tidak berhubung rapat dengan teori kaunseling, harus berbentuk fleksibel, teratur dan praktikal sesuai dengan klien yang pelbagai ragam.

3.7.1 Kemahiran Menghadapi klien

Kemahiran menghadapi klien merupakan aspek penting dalam pengendalian kaunseling. Kemahiran dalam bidang ini akan memudahkan kaunselor membentuk perhubungan yang mesra dengan klien. Ia juga akan memberikan keyakinan kepada klien bahawa kaunselor boleh menghormati orang lain. Dengan cara ini klien akan merasa yakin dirinya diterima oleh kaunselor dengan baik tanpa sebarang prasangka, sebagaimana firman Allah:

Maksudnya:

“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (dugaan-dugaan) terhadap orang, kerana setengah sangkaan-sangkaan itu ialah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat orang yang lain. Sukakah salah seorang di antaramu memakan daging saudaranya yang telah mati(bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya (sebab itu janganlah kamu mengumpatnya). Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat lagi penyayang.”

Memberi perhatian merupakan salah satu cara kaunselor mempamerkan dirinya secara fizikal atau psikologikal kepada klien. Layanan yang berkesan akan melahirkan perkara-perkara berikut; iaitu dapat memberitahu klien bahawa kaunselor bersama mereka dan meletakkan kaunselor dalam situasi mendengar.

Terdapat pelbagai kemahiran dan teknik kaunselor menghadapi kilen. Bagaimanapun sebagai seorang kaunselor muslim yang berhadapan dengan klienmuslim dia perlu menghadapi kliennya dalam suasana yang menggambarkan suasana Islam.

a) Memulakan dengan salam dan bersalaman.

Memberi salam dan bersalaman akan memudahkan kaunselor menjalinkan perhubungan yang mesra dan membentuk pertalian persahabatan. Seterusnya akan memberikan keyakinan kepada klien untuk bekerjasama dengan kaunselor dan memudahkan kaunselor melaksanakan proses memberikan pertolongan. Cara ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengkehendaki setiap orang Islam memulakan percakapan atau perbincangan dengan salam.

عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : (( حق المسلم على المسلم ست )). قيل: ما هن؟ يا رسول الله ! قال: إذا لقيته فسلم عليه. وإذا دعاك فأجبه. وإذا استنصحك فأنصح له. وإذا عطس فحمد الله فسمته. وإذا مرض فمده. وإذا مات فاتبعه ))

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda: “ Hak seorang muslim ke atas seorang muslim ada enam perkara”. Ditanyakan kepada Rasulullah: “Apakah perkara-perkara tersebut?”. Baginda berkata: “Apabila berjumpa memberi salam, apabila dipanggil hendaklah menyahut, apabila meminta nasihat hendaklah menasihatinya, apabila bersin, hendaklah menyebut Alhamdulillah, apabila sakit hendaklah menziarahi dan apabila mati iringilah ke kubur”.

b) Kedudukan kaunselor dengan klien

Cara klien dan kaunselor duduk semasa dalam sesi juga memberi kesan kepada proses kaunseling. Kedudukan yang selesa dan bersesuaian dapat mempengaruhi perjalanan kaunseling. Oleh itu dalam perlaksanan kaunseling, cara klien dan kaunseling duduk juga turut diberikan perhatian kerana kedudukan dan gaya kaunselor menjadi perhatian klien.

Cara kaunselor duduk menyilang kaki atau berpeluk tubuh selalunya dirujukkan sebagai pengunduran diri iaitu tidak mahu masuk campur atau bertanggungjawab terhadap masalah yang diluahkan. Sebaliknya jika dia mendorongkan badan agak ke hadapan sedikit menunjukkan kaunselor memberi perhatian kepada klien dan bersedia memberikan perhatian kepada apa yang dikatakan atau diluahkan.

Kedudukan kaunselor dengan klien seharusnya tidak ada penghalang seperti meja dan seumpamanya. Cara duduk yang bersetentangan dan berhadapan merupakan yang terbaik kerana kedudukan seperti ini dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada kedua-dua pihak. Bagaimanapun klien boleh memilih posisi kedudukannya mengikut keselesaan.

Bagi sesi kaunseling yang melibatkan berlainan jantina, suasana kedudukan kaunselor dengan klien memerlukan susunan dan jarak yang formal. Selain daripada itu, adalah lebih baik jika terdapat meja yang terletak di antara kedudukan kaunselor dengan klien. Ini akan memberikan lebih keselesaan kepada mereka berdua. Semasa sesi kaunseling dijalankan perlu ada seseorang yang menemani klien sekiranya pasangannya tidak ikut serta. Cara ini bukan sahaja dapat mengelakkan tohmahan bahkan tidak menyalahi hukum syarak.

c) Hubungan/ kontak Mata

Semasa bercakap, mata kaunselor dengan mata klien hendaklah bertentangan. Ini menunjukkan kaunselor mendengar percakapan klien dengan teliti dan ini menjadi penggerak kepada klien untuk terus menceritakan masalahnya tanpa ragu-ragu. Sekiranya kaunselor mendapati klien tidak begitu senang dengan cara bertentang mata kerana malu dan seumpamanya, maka kaunselor boleh mengalihkan pandangan ke tempat lain sekali sekala. Namun begitu, kaunselor tidak boleh mengalihkan terus pandangannya kerana ini akan menghilangkan tumpuan dan menyebabkan dia tidak memahami masalah yang disampaikan oleh klien.

d) Memahami Mesej Tanpa Lisan

Selain daripada mendengar dengan teliti percakapan klien, kaunselor juga perlu memberikan tumpuan kepada tingkah laku tanpa lisan yang ditunjukkan oleh klien. Tingkah laku tersebut mengandungi mesej tertentu yang perlu difahami oleh kaunselor. Kegagalan kaunselor memahami mesej tersebut menjadikan proses kaunseling semakin kurang berkesan bermula dari peringkat awal sesi lagi.

Memandangkan besarnya peranan bahasa tanpa pertuturan dalam membantu kaunselor memahami masalah yang dibentangkan oleh klien, kaunselor perlulah peka terhadap gerak geri klien. Kemampuan kaunselor memahami mesej tersebut boleh mewujudkan gerak geri positif daripada kliendan melahirkan sikap yang lebih terbuka serta kesedaran untuk berkongsi masalah bersama-sama klien.

Terdapat banyak gerak geri tanpa pertuturan yang lazim diperlihatkan oleh klien semasa sesi kaunseling berjalan. Gerak geri dan tingkah laku klien memberikan mesej atau makana tertentu kepada kaunselor. Berikut disenaraikan perlakuan atau gerak geri klien serta mesej yang hendak disampaikan oleh mereka.


Jadual 3.6.1 : Perlakuan dan Gerak Geri Tanpa lisan


Mata
Bola mata berair sedang bermain dengan perasaan
Tidak berkelip-kelip membayangkan pengalaman berlalu
Memandang ke lantai sedang berfikir
Memandang ke dinding membayangkan pengalaman lalu
Kerap berkelip-kelip sedang sensitif
Pejam mata menahan emosi marah, sedih dan takut
Memandang kaunselor dalam keadaan sedar
Membeliakkan mata sedang marah, geram
Mengesatkan mata gangguan perasaan sebak

Suara
Kuat dan lantang marah, geram, tidak puas hati
Perlahan sayu, kesal dan sedih
Terputus-putus sebak,sedih, menahan perasaan
Lambat sedang bermain dengan perasaan
Tinggi marah, mengancam
Menggeletar menahan perasaan marah, takut
Tersedu-sedu sedih, pilu,sebak
Ketawa gembira, perli
Gagap perasaan terganggu, ketakutan
Bunyi nafas panjang tertekan
Senyap berfikir, berkecamuk, terganggu

Pergerakan Anggota
Berpeluk tubuh belum cukup relaks, belum selesa
Bersilang kaki belum cukup relaks
Bersila panggung relaks
Condong ke belakang kelesuan, perasaan terganggu
Condong ke hadapan serius, memberi perhatian
Memicit jari cemas, separuh sedar
Mengetap bibir menahan marah, sedih, sayu
Mengetap gigi murah, geram
Memandang ke siling kecewa, bosan
Menggenggam tangan geram, marah
Menggerakkan kaki separuh sedar
Memegang tengkok bosan, tidak selesa
Memegang kepala menyesal
Menggeleng kepala tidak percaya, tidak setuju
Menutup mata tersangat sedih, malu, menyesal

Mimik Muka
Senyum gembira, puas hati, lega
Berkerut dahi bengang, tidak setuju
Berkerut muka takut, tidak puas hati
Tenang lega, sedar
Gamam terperanjat, terkejut
Serius terancam, tertekan, marah
Selamba terancam, bosan, ingin berhenti

Kontak Mata
Kontak mata yang tepat memberi perhatian, rela berkomunikasi dan rela
dan konsisten mencurah perasaan
Kontak mata yang terputus mahu mengalihkan tajuk perbincangan, menarik diri, malu, resah, tidak selesa dan sangat hormat kepada kaunselor
Merenung sesuatu mengingatkan sesuatu dan dalam keadaan kaku
Berkerut kening kekeliruan, mengingati sesuatu
Mata yang kecil berada dalam keadaan resah dan cemas
Mata yang basah dan berair menunjukkan kesedihan, kehampaan atau mungkin juga kegembiraan
Mata yang bergerak-gerak sedang memproses sesuatu, mengingati, merasa puas, mencurah minat atau mencurigai sesuatu
Mata yang terkebil-kebil keadaan resah dan cemas
Anak mata yang membesar perasaan yang terkejut, menunjukkan minat atau rasa puas hati

Setelah memahami mesej yang ditunjukkan oleh klien melalui pergerakan tanpa lisan, kaunselor dijangka masuk ke dalam ruang rujukan dalam klien dengan lebih mudah lagi untuk memahami permasalahan klien melalui penerokaan.



3.7.2 Memahami Kemahiran Asas Mendorong

Kaunselor memerlukan maklumat yang lengkap untuk membolehkan dia memberi pertolongan yang berkesan. Sering terjadi klien bercerita semua perkara yang dialaminya. Mereka juga bercerita dalam keadaan yang tidak teratur dan menyebut fakta yang sama berulang kali. Ini akan membuatkan kaunselor susah untuk memahami apa yang disampaikan oleh klien. Oleh itu menjadi tanggungjawab kaunselor untuk merangsang klien supaya bercerita secara terbuka, jujur dan bercerita perkara yang berkaitan sahaja. Satu cara yang boleh dilakukan oleh kaunselor bagi menolong klien bercakap dan tidak kering idea ialah mengemukakan soalan-soalan terbuka.

Soalan terbuka merupakan soalan yang memerlukan jawapan yang panjang daripada klien. Bagaimana pun kaunselor juga boleh mengemukakan soalan tertutup apabila kaunselor berkehendakkan ketegasan daripada klien Soalan jenis ini hanya memerlukan jawapan yang paling pendek daripada klien misalnya ‘ya’, ‘tidak’, ‘salah’, ‘ benar’ dan sebagainya.

Kaunselor juga boleh menggunakan dorongan minima bagi menggalakkan klien agar terus bercerita sama ada dengan cara gerak-geri badan seperti anggukan kepala, gerakan mata, angkat kening atau dengan kata-kata seperti ‘lepas itu’, ‘jadi’, ‘bagaimana’, ‘kesannya’, ‘teruskan’, ‘aha’, ‘mmm’ dan sebagainya. Manakala kata-kata sempati dan empati hendaklah digunakan apabila sesuai dan perlu sahaja seperti ‘Allahuakhbar’, ‘MasyaAllah’, ‘Astaghfirullah’, ‘Alhamdulillah’ dan sebagainya.

3.7.3 Kemahiran Mendengar


Kemahiran mendengar sangat penting dalam pengendalian kaunseling. Kaunselor yang kurang mahir mendengar atau kurang mendengar tentang apa yang diceritakan oleh klien, akan menjadikan klien terasa tidak dihargai, tidak diterima dan terasa malas untuk bercerita.
Kaunselor yang mendengar dengan teliti serta penuh minat tentang apa yang disampaikan oleh klien akan dapat memahami keadaan emosi klien dengan mendalam. Dengan demikian kaunselor akan dapat melahirkan ciri-ciri empati kepada klien. Ia juga mampu merumus semula percakapan serta perasaan yang dialami oleh klien.

3.7.4 Kemahiran Mengenal Pasti Masalah

Biasanya dalam proses kaunseling, klien akan menceritakan pelbagai perkara. Kadang-kadang apa yang diceritakannya itu bukanlah merupakan masalahnya yang sebenar masalah klien. Hasil daripada mendengar dengan teliti, kaunselor akan dapat menyelami masalah sebenar klien. Kaunselor juga hendaklah berupaya untuk melihat apa yang tersurat dan tersirat.

Bagi membolehkan kaunselor memahami dengan tepat masalah sebenar yang dihadapi oleh klien, kaunselor hendaklah cuba membuat rumusan tentang perkara penting yang disampaikan oleh klien. Rumusan tersebut hendaklah dijelaskan kepada klien bagi mendapatkan kepastian. Dengan cara ini akan membolehkan kaunselor menentukan masalah sebenar klien. Cara itu juga akan dapat memecahkan kesulitan klien yang malu untuk berterus terang dengan kaunselor terutama hal-hal yang terlalu peribadi seperti isu hubungan kelamin.

3.7.5 Kemahiran Mendorong Klien

Menjadi sebahagian tanggungjawab kaunselor memberikan dorongan kepada klien untuk memahami diri, keperluan, bentuk bela diri dan cara-cara menyelesaikan masalah diri. Tugas ini bukanlah tugas yang mudah, sebaliknya ia memerlukan kemahiran dalam bidang tersebut. Kemahiran ini boleh dilakukan dengan cara menimbulkan pertanyaan berbentuk refleksi kepada apa yang telah diucapkan. Dengan cara ini klien akan sentiasa bercakap dalam keadaan sedar dan waras tanpa memasukkan hal-hal yang tidak perlu atau tidak bersangkutan dengan masalah sebenar yang dihadapinya.

3.7.6 Kemahiran Mendapatkan Penjelasan

Kaunselor perlu mengumpulkan sebanyak mugkin maklumat bagi membolehkannya memahami masalah yang sedang dihadapi oleh klien. Untuk tujuan itu kaunselor perlu mendapatkan penjelasan, keterangan dan maklumat yang lebih lanjut daripada klien. Kaunselor hendaklah menggunakan soalan-soalan yang membolehkan klien bercakap dengan panjang lebar dan terus-menerus. Sebaliknya kaunselor patut mengelakkan daripada menggunakan soalan-soalan yang membuatkan klien tidak boleh bercakap panjang atau memberikan huraian.

Selain daripada itu, kaunselor hendaklah cuba mengelakkan lebih banyak bercakap daripada kliennya kerana semakin banyak masa yang diambil oleh kaunselor untuk bercakap semakin kurang peluang klien bercakap. Keadaan seperti ini akan melambatkan proses kaunselor mengenal pasti masalah klien.

3.7.7 Kemahiran Memberi Nasihat

Memberi nasihat kepada klien adalah perkara penting dalam kaunseling. Nasihat yang dimaksudkan di sini ialah cadangan-cadangan atau saranan-saranan yang baik dengan kata-kata yang lemah-lembut serta menarik hati dan bukannya dengan kritikan, cemuhan, paksaan, ugutan dan sebagainya.

Perkataan nasihat yang dimaksudkan dengan memberi nasihat atau tunjuk ajar tidak sesuai untuk digunakan bagi pengertian kaunseling kerana kaunseling bukanlah semata-mata memberi nasihat kepada klien. Walau bagaimanapun memberi nasihat boleh dijadikan satu kaedah kaunseling yang sangat baik tetapi bukanlah yang terbaik.

Apa yang penting bagi kemahiran ini ialah klien disediakan dengan maklumat yang cukup dan diberikan kesedaran yang mendalam oleh kaunselor untuk membuat pilihan yang tepat dan baik. Setiap pilihan yang dibuat hendaklah atas kesedaran klien sendiri. Justeru itu, hendaklah berhati-hati memberi nasihat agar kaunselor tidak persalahkan oleh klien sekiranya pilihan yang dibuat mendatangkan implikasi yang kurang baik atau yang tidak sesuai dengan diri klien. Kaunselor sekali-kali tidak boleh membuat keputusan bagi pihak klien. Klien bebas membuat keputusan dan pilihan berdasarkan kepada pertimbangannya sendiri setelah dibimbing sebaik mungkin oleh kaunselor.

3.7.8 Kemahiran Konfrantasi

Mengkonfrantasi bererti menghujah seseorang dengan kata-kata yang mencabar perasaan, pandangan dan juga tingkah laku tanpa pertuturan mereka. Walaupun pada dasarnya temubual dalam kaunseling dilakukan dengan lemah lembut dan mesra tetapi kadang kala cara ini tidak memberi kesan. Terdapat sebilangan klien yang tidak mahu bercerita dengan benar dan jujur malahan kadang kala menipu dan memutar belitkan fakta. Dalam keadaan ini kaunselor kerap kali melakukan konfrantasi dengan cara mencabar dan menghujah klien bagi menentang perbezaan tingkah laku klien dan seterusnya menyedarkannya serta bertingkah laku yang sebenarnya.

Konfrantasi boleh memberi kesan yang negatif apabila terdapat kesilapan semasa melakukannya. Ia boleh membinasakan perhubungan yang baik di antara kaunselor dengan klien serta boleh menghapuskan keyakinan terhadap kaunseling. Namun begitu, sekiranya ia dilakukan dengan berhati-hati, ia boleh menjadi satu teknik yang dapat membantu kaunselor. Oleh itu ia perlu dilakukan dengan baik dan dalam suasana yang tidak menyinggungkan perasaan klien. Pada kebiasaannya di dalam konfrantasi masing-masing ingin menegakkan hujah sendiri dan mengenepikan hujah orang lain. Setiap hujah yang tidak dipersetujui pula hendaklah ditolak dengan baik.

Satu perkara yang penting semasa perbincangan ialah melakukan dengan cara yang baik supaya ia dapat mengelakkan daripada klien merasai kaunselor menyerang peribadinya, merendahkan serta menghinanya. Malahan kaunselor perlu menyediakan kepadanya perasaan bahawa mereka berdua sama seperti dua orang sahabat yang sama-sama menuju ke arah mencari penyelesaian kepada perkara yang dibincangkan, seolah-olahnya masalah yang dibincangkan itu masalah mereka berdua.

3.7.9 Kemahiran Pemfrasaan

Pemfrasaan merupakan satu kaedah menyatakan semula mesej asas klien dengan cara yang sama tetapi dengan menggunakan perkataan yang lebih ringkas. Tujuan utama kaunselor melakukan pemfrasaan ialah untuk menguji kefahamannya tentang apa yang telah dikatakan oleh klien. Selain daripada itu, ia juga dilakukan sebagai memberitahu klien bahawa kaunselor sedang cuba memahami mesej yang disampaikannya. Semasa melakukan pemfrasaan, kaunselor lebih banyak menumpukan kepada kognitif klien daripada perasaannya.

Kaunselor harus bertindak bijak semasa melakukan pemfrasaan kerana jika dia tidak berhati-hati dia mungkin menimbulkan rasa marah klien apabila terdapat pertentangan dengan apa yang dinyatakan olehnya. Bagi mengelakkan berlakunya percanggahan dengan apa yang diperkatakan oleh klien, aunselor perlu mengikuti langkah berikut semasa melakukan pemfrasaan.

i. Ingatkan mesej klien
ii. Kenalpasti bahagian isi dalam mesej klien
iii. Beri respon kepada isi dengan menyebut ayat itu dengan menggunakan perkataan sendiri.

3.7.10 Kemahiran Membuat Refleksi

Refleksi merupakan satu cara menyatakan kepada klien bahawa kaunselor berada di dalam rangka rujuk dalamannya. Terdapt tiga bidang refleksi iaitu perasaan, pengalaman dan isi. Tujuan utama kaunselor membuat refleksi ialah untuk memahami pengalaman klien dan untuk menyatakan kepadanya yang kaunselor sedang berusaha melihat alamnya sebagaimana yang dilihat oleh klien.

i. Refleksi Perasaan
Kaunselor membuat refleksi perasaan/ emosi dengan cara membuat pernyataan yang menggunakan perkataan sendiri berhubungan dengan perasaan klien. Tujuan utama melakukan refleksi perasaan ialah untuk memberikan tumpuan kepada perasaan dan bukan kepada isi, serta merasakan dengan lebih jelas perasaan yang telah dinyatakan oleh klien secara kabur dan juga untuk menolong klien memiliki perasaannya.

ii. Refleksi Pengalaman
Refleksi jenis ini berlaku apabila kausnelor memberikan perhatian sama kepada gerak geri tubuh badan yang turut menyatakan perasaan yang diaplikasikan tanpa bahasa. Ia merupakan gerak balas kepada pengalaman meyeluruh yang diperhatikan dalam diri klien seperti keputusan pertuturan, pernafasan yang kuat, keluhan, muka yang merah padam, cara duduk yang tidak tetap, renungan dan pandangan yang tajam. Dalam melakukan refleksi adalah lebih baik bagi kaunselor menghuraikan tingkah laku yang diperhatikan kemudian baru menumpukan kepada isi.

iii. Refleksi Isi
Ia digunakan dengan cara kaunselor menyatakan semula idea-idea penting klien dengan menggunakan perkataan baru dan lebih ringkas. Ia juga digunakan bagi menjelaskan idea-idea yang sukar untuk dinyatakan oleh klien.


3.8 SIFAT-SIFAT KAUNSELOR

Kejayaan dan kegagalan sesi kaunseling adalah bergantung kepada sifat, peribadi sahsiah seseorang kaunselor. Terdapat beberapa sifat kaunselor yang harus dipandang secara serius seperti berikut:

3.8.1 Cerdik

Kecerdikan yang ada pada kaunselor termasuklah juga seperti kebolehan bertutur dengan fasih dan mempunyai kuantitatif yang cukup untuk berfikir, mencari alasan dan membantu menyelesaikan masalah logik dan penuh persepsi. Contohnya, boleh memberikan pelbagai alternatif lain dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dialami oleh klien.

3.8.2 Berminat dan berkemahiran

Kaunselor harus mempunyai minat dan kemahiran untuk bekerja dengan orang ramai dan dalam masa yang sama lebih bersifat saintifik untuk megimbangi penggunaan sains individu dan tingkah lakunya. Contohnya, kaunselor yang pandai menambat hati klien menyebabkan klien merasa dirinya masih mempunyai potensi yang tinggi untuk pulih seperti sedia kala.

3.8.3 Menerima diri sendiri

Dalam hal ini, kaunselor harus boleh menerima akan hakikat sebenar tentang dirinya mengambil kesempatan ke atas diri klien bagi memenuhi impian dirinya dengan melebihi batasan yang telah dihadkan oleh pakar-pakar dalam bidang ini. Contohnya, kaunselor tidak boleh melanggar etika kaunseling yang telah ditetapkan semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadinya.


3.8.4 Menunjukkan kemampuan

Kaunselor harus menunjukkan kemampuannya dalam menghadapi ketidaksamaan dan ketidakpastiannya sebagai punca yang mengganggu aspek kehidupan professional dan peribadinya.

3.8.5 Mempunyai nilai bertanggungjawab

Kaunselor harus bertangungjawab ke atas kliennya. Ini adalah penting dalam memastikan proses kaunseling berjalan dengan baik. Contohnya ialah jangan membuka rahsia klien kepada orang lain.

3.8.6 Menerima klien tanpa syarat

Kaunselor harus menerima seorang klien tanpa syarat. Kaunselor perlu melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dengan cerita yang berbagai-bagai. Secara umumnya, penerimaan dengan melakukan penghayatan yang teliti ke atas diri klien sambil mengambil pelbagai aspek positif klien akan membantu melancarkan ssi kaunseling. Contohnya, kaunselor yang melayan kerenah klien dengan baik di samping mengamati apa sebenarnya permasalahan mereka akan memudahkan proses kaunseling itu dijalankan.

3.8.7 Kejujuran dan keikhlasan

Kaunselor yang jujur adalah tidak berpura-pura dalam perhubungannya dengan klien. Dia harus bersifat neutral, spontan dan konsisten. Dia mampu berkongsi aksi dan reaksi dari segi mental dan emosi serta tidak teragak-agak untuk memberi maklum balas. Contohnya, kaunselor yang tidak mengambil kesempatan di dalam kesempitan yang dialami oleh kliennya.

3.8.8 Mesra

Kemesraan kaunselor sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada klien untuk isi hatinya yang tertekan. Tanda-tanda kaunselor itu bersifat mesra di samping kliennya seperti klien tidak kekok untuk bercakap, selesa dan rasa dirinya sudah diterima. Dengan cara ini, klien mudah menceritakan segala kekusutan dalam fikirannya yang menjadi permasalahannya selama ini.

3.8.9 Penglibatan

Kaunselor seharusnya melibatkan dirinya sepenuh hati dalam sesi kaunseling yang sudah dirancangkan. Ini kerana tanpa kaunselor, siapalah klien. Tambahan pula, sebagai seorang kaunselor yang berkesan, beliau seharusnya mampu melibatkan dirinya dengan matlamat atau tujuan yang benar-benar boleh membantunya atau meninggikan taraf hidupnya, orang lain dan juga kelompok organisasi di mana dia berada. Contohnya, penglibatan kaunselor secara sepenuh hati dan sukarela membantu klien memastikan perjalanan sesi kaunseling yang lebih sempurna di samping dapat mencapai matlamat yang diinginkan.

3.8.10 Membekalkan maklumat

Kaunselor yang professional juga seharusnya mampu bertindak sebagai seorang guru dalam hal-hal membekalkan maklumat kepada kliennya. Fenomena ini memudahkan sesuatu sesi kaunseling dijalankan. Contohnya, kaunselor yang membekalkan maklumat tentang pendidikan dan pembelajaran sehingga klien dapat membuat pilihan dan mengambil keputusan secara terbuka.

3.8.11 Mendapat latihan yang formal

Latihan formal secara langsung dapat menambahkan penetahuan dan pengalaman seorang kaunselor. Dengan cara ini, kaunselor mampu meningkatkan lagi kadar kecekapannya dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh klien. Kecekapan sebegini sekaligus akan membolehkan seorang kaunselor itu diiktiraf oleh masyarakat dan juga di sisi undang-undang.


3.8.12 Berempati

Sikap sebegini disemai oleh setiap kaunselor. Ini membolehkan mereka merasa apa yang klien mereka rasakan dengan mudah. Hanya dengan berkeadaan demikian barulah wujudnya kepercayaan dan keyakinan pada diri klien. Kemahiran berempati adalah kebolehan kaunselor untuk memasuki ruang dunia klien dan membenarkan dirinya mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien. Disinilah peluang kaunselor untuk menggunakan kemahiran yang ada untuk mencungkil dengan lebih lanjut permasalahan klien berlandaskan proses berempati.

3.8.13 Tidak Menghukum

Semua kaunselor tidak boleh menghukum atau menilai sesuatu terhadap kelakuan klien. Ini untuk mengelakkan daripada pandangan serong oleh klien. Kaunselor dalam konteks ini bukan pengadil, hakim, pendamai. Namun begitu, dalam konteks Islam ianya perlu mengambil kira prinsip dan hukum agama itu sendiri supaya tidak bertentangan.

Menurut Malik Badri, konsep mudah dalam Islam tidak menghukum adalah satu penolakan konsep baik, jahat, tanggungjawab, moral dan agama. Dalam Islam ada perkara halal dan haram. Hal ini berkait rapat dengan konsep hidup muslim dan kepatuhan kepada Allah yang bukan hanya tertakluk kepada matlamat dunia, malah kehidupan akhirat jua sebagai tempat menerima pembalasan.

3.8.14 Tenang, Sabar dan Berterus Terang

Semasa menjalankan sesi kaunseling, kaunselor hendaklah bersikap tenang, sabar dan berterus terang kepada klien. Kaunselor tidak boleh berpura-pura kerana boleh menimbulkan curiga kepada klien. Kaunselor hendaklah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh klien, tepat dan sesuai.

Dalam keadaan tertentu, bantuan kaunselor diperlukan untuk membantu menjelaskan lagi curahan perasaan yang di buat oleh klien. Kaunselor hendaklah cepat memahami segala percakapan klien secara jelas dan tepat. Etika yang ada tidak menjamin seseorang kaunselor boleh berjaya tanpa persediaan yang rapi untuk menjadi seorang kaunselor. Persediaan sebagai kaunselor secara umumnya harus mempunyai sifat peribadi yang sabar, jujur dan sensitif kepada keperluan orang lain, kecerdasan, kefahaman, kematian dan personaliti kaunselor akan menghidupkan prosedur dan teknik kaunseling.

3.8.15 Ketepatan Masa dan Kerahsiaan

Berhubung dengan sifat kaunselor, Muhd Mansur menjelaskan bahawa kaunselor harus mempunyai kesedaran meluangkan masa dan tenaga bagi menolong orang lain terutama dalam membantu manusia dalam kepayahan (bermasalah). Perkhidmatan yang diberikan ini merupakan satu suruhan Allah yang sentiasa dituntut oleh Islam. Kaunselor dikehendaki amanah dalam erti kata sanggup menyimpan rahsia dan membahagikan pelanggan. Ini juga merupakan tuntutan Islam. Seorang kaunselor yang baik ialah seorang yang dapat menggunakan teknik dan kaedahnya tersendiri.

Berhubung dengan kerahsiaan ini, Hassan Langgulung menjelaskan kod etika kaunseling disimpulkan dalam tiga perkara iaitu spesialisasi secara ilmiah dan professional, kesediaan peribadi dan berpegang kepada Code of Ethics. Spesialisasi secara ilmiah dan professional bermaksud ada pengetahuan tentang kaunseling dari segi teknik dan kaedahnya dan juga pengalaman melaksanakannya dalam pelbagai suasana dalam kehidupan seharian. Kaunselor dalam konteks ini tahu untuk melaksanakannya. Keperluan ilmu pengetahuan yang pelbagai seperti psikologi, sosiologi, kerja sosial dan pendidikan syariat Islam.

Dalam Islam kaunselor merupakan orang yang boleh dicontohi oleh klien. Model terbaik sebagai kaunselor ideal adalah seperti Rasulullah dalam mengendalikan pelbagai masalah yang dihadapi. Kaunselor perlu kepada kekuatan dalaman dan bersih jiwanya daripada unsur yang boleh menjelaskan perkhidmatan. Oleh itu, sebilangan sifat asas dan terpuji perlu ada pada seorang kaunselor. Sementara itu, cabaran luaran pula kaunselor terpaksa berdepan dengan persekitaran dan asas perkembangan kaunseling itu sendiri. Kadangkala kaunselor muslim berdepan dengan ancaman seperti sekularisme yang berbentuk ilmiah yang berkaitan dengan falsafah, prinsip dan teori kaunseling itu sendiri.

Dalam hal ini, kaunselor muslim mestilah meletakkan diri dengan niat yang jitu dengan memberi perkhidmatan kerana Allah semata-mata di samping mengharapkan rahmat daripadnya. Para kaunselor muslim mestilah yakin bahawa Allah sentiasa membantu hambanya yang bekerja untuk mendapat keredaannya. Dengan itu juga kaunselor muslim mestilah membuat persediaan yang rapi dalam semua hal termasuklah memperolehi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kaunselor muslim juga mestilah menghiasi dirinya dengan ketekunan, kesabaran dan tabah menghadapi kerenah klien.

3.9 PENELITIAN SECARA UMUM: PROSES KAUNSELING YANG DIGUNAKAN DALAM MENGURUSKAN KONFLIK RUMAHTANGGA

3.9.1 Kajian Kes


Ahmad berumur 33 tahun, seorang pengarah yang telah berkahwin dengan isterinya, Siti berumur 28 tahun, seorang pengurus dalam jenis pekerjaan yang sama dengan suaminya tetapi berbeza syarikat. Selama 2 tahun mereka berkahwin, mereka tidak mengalami masalah dalam perkahwinan kerana mereka mempunyai komitmen yang kuat terhadap kerjaya dan saling memberi sokongan kepada pasangan untuk berjaya. Dengan taraf ekonomi yang kukuh, mereka tidak mengalami krisis kewangan.
Dalam pada kebahagiaan yang dikecapi, Siti telah mendapati bahawa dirinya mengandung. Berita itu membuatkan dirinya teramat gembira dan tidak sabar untuk menantikan saat paling membahagiakan iaitu kelahiran anak sulung mereka. Perasaan gembira itu bercampur aduk dengan kebimbangan jika dirinya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anak yang bakal lahir nanti. Justeru, tanpa kebenaran daripada Ahmad maka Siti telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Selain itu, tanpa disedarinya, Siti mengalami maslah kedinginan seks sejak mendapat berita yang dirinya mengandung. Situasi ini pada dasarnya telah mengundang konflik dalam rumahtangga mereka.

Keputusan Siti untuk berhenti kerja tanpa kebenaran Ahmad menyebabkan Ahmad naik darah. Ahmad mula merasa bimbang tentang kedudukan ekonomi keluarganya dan berasa tidak selesa dengan masalah kedinginan seks isterinya serta tidak bersetuju kehadiran anak baru yang menyekat hubungan sosial mereka serta membebankan mereka lagi.

Ketidakpuasan oleh Ahmad tidak disampaikan dengan saluran yang betul kepada Siti. Malah dia membuat keputusan memikulnya dengan bekerja keras lagi dalam pekerjaannya, selalu keluar malam dan balik pada lewat malam. Tingkah lakunya tidak difahami oleh Siti dan Siti berasa sedih serta marah. Namun begitu, Ahmad tidak menghiraukannya dan keluar ketika isterinya mula ingin bertelingkah dengannya.

Perang dingin ini berlanjutan selama tiga bulan. Kebimbangan Siti terhadap tingkah laku suaminya telah menyebabkannya berprasangka bahawa Ahmad mempunyai wanita lain di luar. Keadaan ini bertambah teruk apabila Siti mulai bimbang seandainya suaminya akan menceraikannya dan selalu berada dalam keadaan takut, cemas, prasangka dan sedih. Siti telah berusaha mendapatkan maklumat tentang tingkah laku suaminya di luar dan cuba menyiasat suaminya serta memeriksa dengan rapi terhadap pakaian, telefon bimbit dan beg duit suaminya.

Tingkah laku Siti telah membangkitkan lagi perasaan marah Ahmad sehinggakan mereka sentiasa bergaduh dan bertengkar. Keadaan tegang ini telah menyebabkan keadaan rumahtangga mereka porak peranda dan tiada keharmonian lagi. Kali ini Ahmad tidak tahan lagi bersabar, dan terus mengkritik, mengutk dan mengganggu keadaan mental Siti yang sedang mengandungkan anak sulung mereka. Keadaan itu akhirnya diambil oleh Siti untuk berbalas dendam dengan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Akhirnya atas dasar masih sayang menyayangi antara satu sama lain dan masih ingin mengekalkan hubungan sebagai suami isteri maka mereka membuat keputusan untuk berjumpa kaunselor bagi penyelesaian yang terbaik demi memulihkan perhubungan mereka.

3.9.2 Pendekatan Kaunseling (Individu dan Keluarga)
3.9.2.1 Pendekatan Kaunseling Individu


Terlebih dahulu, kaunseling individu diperkenalkan kepada kedua-dua suami isteri untuk meluahkan segala isi hati supaya kaunselor dapat mengumpul maklumat dengan lebih terperinci daripada kedua-dua pihak yang berkonflik. Tujuannya adalah bagi membolehkan kaunselor bersifat adil dan saksama terhadap klien dan bukan hanya mendengar perasaan dan pengalaman sebelah pihak sahaja. Langkah-langkah yang digunakan dalam sesi kaunseling ialah (menggunakan pernyataan Siti sebagai contoh):

Langkah 1: Membina Hubungan

Dalam sesi pertama, kaunselor akan menggunakan kemahiran melayan sama ada secara lisan atau bukan lisan bagi membina hubungan saling mempercayai antara klien dan juga kaunselor. Kemahiran melayan ini bertujuan meyakinkan klien untuk meluahkan perasaan hatinya tanpa menyembunyikan sesuatu. Dalam proses ini kaunselor juga akan membuat penstrukturan. Penstrukturan merupakan langkah pertama dalam proses kaunseling. Ia juga ditakrifkan sebagai satu bentuk penjelasan mengenai proses kaunseling. Penstrukturan akan membincangkan empat aspek utama iaitu memberitahu klien tentang tujuan, tanggungjawab, pemfokusan dan limitasi kaunseling. Antaranya meliputi tiga unsur masa, tingkah laku yang dikehendaki tahu peranan klien dalam proses kaunseling, peranan kaunselor, kekerapan sesi/ limitasi dan menjaga etika kerahsiaan yang dicurahkan.

Langkah 2: Penerokaan Masalah

Pada peringkat permulaan kaunseling, langkah ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah sebenar klien dan memahami diri klien. Kamahiran-kemahiran seperti mendengar dengan aktif, empati, respon lisan, meminta penjelasan dan menggalakkan klien meneruskan cerita amat diperlukan. Dalam peringkat ini, kaunselor akan menggunakan teknik-teknik untuk meneroka maslah klien. Antaranya:

1. Teknik membuat parafrasa
Teknik ini digunakan oleh kaunselor dengan menyatakan semula pernyataan klien menggunakan ayat yang lebih ringkas tanpa menambah apa-apa idea. Sebagai contoh,

Klien: “ Setiap malam, saya tunggu dia di rumah selepas saya balik dari tempat kerja, tetapi apa yang saya dapat hanyalah seperti menunggu bilik kosong, katil kosong, semuanya kosong…”
Kaunselor: “ Anda tidak dapat tunggu dia.”

2. Teknik membias
Teknik ini seolah-olah hampir sama dengan parafrasa, tetapi membias lebih memfokus kepada konotasi perasaan atau emosi yang dibawa dalam sesuatu mesej yang disampaikan oleh klien. Teknik ini digunakan untuk memahami pengalaman klien seolah-olah dari sudut pandangan klien, menggalakkan klien meluahkan perasaan mereka dan menyedarkan klien tentang sesuatu perasaan yang dialaminya. Antara contohnya,

Klien: “ Saya dan dia selalu bertengkar, bergaduh tak habis-habis. Saya tak tahu apa nak buat lagi…saya macam putus asa… saya tak tau macam mana nak buat dengan hubungan saya…” Kaunselor: “ Anda sangat kecewa dengan pertengkaran yang tak mendatangkan sebarang hasil dan tidak tahu pula macam mana nak memperbaiki keadaan…”

3. Teknik merumus
Teknik ini pula digunakan untuk menonjolkan perkara-perkara yang penting atau tema-tema yang dibawa oleh klien semasa proses kaunseling.ia juga bertujuan untuk memudahkan usaha memfokus permasalahan supaya kaunselor boleh memberi bantuan tanpa mencari-cari apa masalah utama yang ingin diselesaikan klien. Contohnya,

Kaunselor: “ Dalam sesi ini, kita telah berbincang tentang suami anda dan perbalahan yang berlaku antara anda dengannya. Anda mengatakan anda merasa kecewa dan juga marah. Hubungan anda dengan suami anda tidak baik..Kita juga telah membincangkan tingkah laku atau tindakan yang telah anda jalankan terhadap suami anda.”

Selain daripada teknk-teknik tersebut, masih terdapat pelbagai teknik yang sering digunakan oleh kaunselr dalam usaha membuat penerokaan. Malahan teknik-teknik itu juga akan senantiasa digunakan oleh kausnelor sepanjang proses kaunseling berlangsung. Antara teknik yang digunakan ialah seperti menyoal (soalan terbuka), interpretasi isi dan perasaan, melayan secara lisan dan bukan lisan,memberikan dorongan minimum, berempati dan sebagainya.

Langkah 3: Pencapaian matlamat

Pada peringkat penerokaan masalah, klien dibantu untuk memahami masalahnya dengan lebih jelas berdasarkan perspektif klien itu sendiri. Perspektif klien ini mungkin tidak cukup luas tetapi ia merupakan tahap permulaan untuk mengendalikan masalah itu nanti. Apa yang mustahak di sini ialah kebijaksanaan kaunselor dalam membantu klien mendapatkan ‘celik akal’ (pemahaman kendiri yang rasional) dan berfikiran positif.

Pada peringkat ini, terdapat 3 perkara yang harus dilakukan oleh kaunselor iaitu membantu klien menyusun semula semua data atau maklumat yang diperolehi pada peringkat penerokaan masalah supaya klien dapat melihatnya dari perspektif yang lebih luas; membantu klien untuk melihat masalah itu secara lebih objektif yang membolehkan klien menentukan matlamat yang sewajarnya iaitu cara mengendalikan masalah dan juga membantu klien menentukan matlamat berdasarkan pemahaman klien tentang masalahnya. Matlamat hendaklah realistik dan wajar serta boleh dilaksanakan. Keputusan tentang matlamat yang diambil mestilah berdasarkan nilai klien bukan nilai kaunselor. Cotohnya,

Klien: “ Setiap hari selepas makan, saya akan berbincang dengan suami saya tentang masalah yang kami hadapi pada hari itu.”

Langkah 4: Pemilihan strategi

Terdapat beberapa strategi yang boleh diaplikasikan oleh kaunselor dalam perihal membantu klien yang berkonflik. Strategi yang dimaksudkan di sini adalah daripada pelbagai teori kaunseling yang telah diterima pakai oleh semua pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi. Antaranya:

1. Strategi Transferens

Dalam kes ini, strategi yang dipilih ialah transferens, kerusi kosong dan penggunaan ganti nama diri. Dalam strategi transferens yang berdasarkan Teori Keluarga Psikoanalitik, klien akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang dirasainya dahulu kepada kaunselor yang bersikap neutral, objektif dan pasif.

Konsep ini meletakkan klien dalam satu keadaan minda bahawa kaunselor sebenarnya adalah ibu bapa atau orang yang signifikan dalam hidupnya yang lampau. Dalam proses ini, seorang klien itu akan menghidupkan semula tanpa disedari tingkah laku patogeniknya kepada kaunselor. Kaunselor cuba memahami curahan isi hati dan pengalaman ini kemudiannya mentafsirkan kepada klien dan ahli keluarganya supaya benar-benar memahami sebab-sebab mengapa ia sering bertindak secara tidak rasional. Melalui kefahaman dan celik akal sebegini bolehlah ia berkembang dengan sewajarnya dari segi intelektual dan emosi.

Sebagai contohnya, Siti akan memindahkan perasaan dan pengalamannya semasa tempoh kedinginan hubungannya dengan suami kepada kaunelor supaya kaunselor dapat membantunya memahami dan mentafsir. Kaunselor di sini akan membantu klien untuk memahami perasaannya di ketika itu dan bekerjasama dengan kaunselor dalam pentafsirannya.

2. Strategi Kerusi Kosong

Strategi kerusi kosong yang dikemukakan oleh Teori Gestalt, membenarkan klien berpeluang berlagak terkeluar daripada apa yang sepatutnya dan dia bersikap atau bercakap terhadap orang lain yang digambarkan sebagai orang sedang duduk pada kerusi yang kosong. Peranan yang dimainkan ini akan membantu klien berhubung dengan bahagian dirinya sendiri yang mana mereka sendiri tidak sedar ataupun mungkin sengaja menafikannya. Memainkan peranan ini juga membolehkan klien meraptaikan dirinya dalam satu bentuk peranan baru yang akan dicubanya di luar kaunseling nanti. Raptai ini akan menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan klien bahawa tingkah lakunya yang baru itu nanti memang boleh dijalankan.

Contohnya, Siti berpeluang meluahkan apa sahaja yang dia ingin sampaikan kepada suaminya dalam masa inilah dia akan dibantu untuk mengetahui bahagian yang tidak sedar diri atau dinafikan. Antaranya, dia marah terhadap suaminya yang tidak menimbangkan perasaannya ketika suaminya balik lewat, dalam keadaan tidak sedar dia amat cinta kepada suaminya sehingga ingin suaminya meluangkan lebih masa kepadanya.

3. Strategi Penggunaan Ganti Nama Diri

Kaunselor juga menggunakan strategi penggunaan ganti nama diri dalam Teori Gestalt kepada klien, Siti. Ini kerana Siti selalu menggunakan kata dia dalam sepanjang sesi kaunseling. Penukaran ganti nama dari ‘dia’ kepada ‘saya’ amat diperlukan untuk membantu klien memiliki tingkah laku diri dan lebih bercakap mengenai diri dan bukannya orang lain.



3.9.2.2 Pendekatan Kaunseling Keluarga

Setelah kaunseling individu, dapatlah kedua-dua pasangan memahami perasaan dan pengalaman yang telah mereka hadapi selama ini. Mereka juga sedar akan bahagian-bahagian diri sendiri yang tidak sedar atau sengaja dinafikan serta lebih memberi tumpuan kepada tingkah laku atau perkara mengenai diri sendiri.

Menurut pandangan Sistem Berorinetasi Interpersonal yang dikemukakan oleh Goldenberg (1986), kaunseling akan lebih berkesan jika diberi fokus yang tinggi iaitu melibatkan kedua-dua pasangan. Kognisi mengetahui adalah keperluan bagi langkah pertama untuk mengurs semula sistem hubungan yang salah. Oleh itu, kaunselor dengan penuh hikmahnya mempersilakan mereka (Siti dan Ahmad) menyertai kaunseling keluarga untuk menyelesaikan masalah atau konflik rumahtangga mereka.

1. Teori Kaunseling Keluarga Bowen

Dalam Kaunseling Keluarga, beberapa teori digunakan untuk membantu keluarga Ahmad dan Siti dalam menyelesaikan masalah keluarga mereka. Teori Kaunseling Keluarga Bowen adalah salah satu teori yang digunakan, teknik rawatan yang digunkan ialah Pulang ke rumah semula atau ‘going home’, ‘Detriangulation’, Perhubungan individu ke individu atau ‘person to person relationship’ dan menanya soalan.

Dalam teknik rawatan pulang ke rumah semula, kedua-dua pasangan dikehendaki pulang ke rumah semula untuk mengenali keluarga dengan lebih rapat. Teknik ini memudahkan Siti dan Ahmad untuk membuat proses pembezaan dan memiliki kendiri yang stabil. Sebelum mereka pulang ke rumah, mereka telah diajar untuk banyak bertenang dan bersabar menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Ini bermakna Siti dan Ahmad akan kenal-mengenali semula antara satu sama lain dengan lebih rapat, di mana pertengkaran dan pergaduhan mereka akan diberhentikan atau ditukarkan dengan kesabaran dan ketenangan yang lebih.

Bagi ‘Detriangulation’ pula, melibatkan Siti dan Ahmad untuk mempunyai kontrak dan berpisah secara emosi dari kalangan ahli keluarga. Ia beroperasi pada dua tahap. Pertama Siti atau Ahmad akan menyelesaikan kebimbangannya mengenai keluarganya dan tidak membuat projeksi. Kedua, membantu Siti atau Ahmad untuk tidak memberi fokus kepada diri sendiri apabila masalah muncul dalam keluarga. Dalam hal ini, tiada siapa yang akan dilempar-salahkan.

Perhubungan individu ke individu, teknik ini melibatkan kedua-dua pasangan yang bercakap antara satu sama lain mengenai diri mereka sendiri. Mereka tidak akan bercakap tentang orang lain dan mereka tidak akan menjadi terlampau personal. Dalam keadaan ini, Siti dan Ahmad boleh menrangkan sebab-sebab atau kenapa dia bertingkah laku demikian, apakah perasaan dia, apa yang dia harap daripada pasangan dan lain-lain.

Selain itu, mereka juga boleh menanyakan soalan yang berkaitan dengan masalah akan membolehkan pasangan meluahkan perasaan untuk sama-sama difahami oleh pihak yang lain. Contoh soalan isteri tanya kepada suaminya, kenapa kamu selalu keluar malam tanpa memikirkan perasaan saya? Kenapa kamu tidak sayang saya seperti dahulu? Dengan soalan-soalan inilah dapat isteri faham jawapan kepada soalan-soalan yang tidak ada jawapan selama ini.

2. Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial

Dalam Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial pula, teknik-teknik yang digunakan ialah modeling dan mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, kenyataan ‘saya’, menuduh atau ‘blamer’ dan pengelak atau ‘placater’.

Bagi modeling dan mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, dalam hal ini,beberapa teknik telah disenaraikan. Ahli keluarga seperti Siti dan Ahmad dibawa melalui mana-mana teknik berikut dalam keadaan yang lebih ‘exaggerated’ agar mereka akan sedar apa yang sedang berlaku dan apakah maklumat yang telah mereka sampaikan. Dengan ini, mereka boleh mengubah atau memilih cara komunikasi yang lebih berkesan daripada apa yang mereka amalkan selama ini.

Kenyataan ‘saya’, melibatkan luahan dalam bentuk yang lebih peribadi dan lebih bertanggungjawab. Ia boleh meninggalkan keselarasan dalam proses komunikasi. Ia akan menjadi lebih berterus-terang, tulen dan kenyataan yang sebenar dalam konteks yang lebih sesuai. Ia adalah serupa dengan penggunaan ganti nama diri dalam Teori Gestalt.

Menuduh adalah keadaan di mana seseorang yang suka menuduh akan mengalihkan fokus daripada dirinya kepada orang lain atau melepaskan dirinya daripada tanggungjawab. Manakala, pengelak akan sentiasa melakukan perkara yang tidak berkaitan dengan apa yang sering berlaku dalam konteks. Siti dan Ahmad yang selama ini berperanan sebagai penuduh dan pengelak akan ditunjukkan di dalam sesi kaunseling supaya mereka sedar lalu memilih cara komunikasi yang berkesan.

3. Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif

Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif, telah memberi fokus kepada Terapi Perkahwinan, Rawatan Ketidakfungsian Seksual, Latihan Keibubapaan dan lain-lain. Sebagai pasangan suami isteri Terapi Perkahwinan telah membantu mereka menjalankan fungsi perkahwinan dengan lebih baik. Terdapat 4 komponen iaitu,

1. analisis tingkah laku mengenai tekanan yang dihadapi oleh pasangan berdasarkan temuduga, laporan soal-selidik dan pemerhatian tingkah laku.
2. Mewujudkan rasa positif yang bertimbal-balik melalui teknik ‘caring days’ dan kontrak
3. Latihan kemahiran komunikasi, berlatih menggunakan kenyataan ‘saya’, fokus kepada masalah kini dan berlatih memberi maklum balas yang positif kepada pasangan
4. Latihan menyelesaikan masalah, melengkapkan pasangan dengan kemahiran menyelesaikan masalah yang lebih khusus terhadap apa yang mereka perlukan, berunding dan membuat kontrak.

Rawatan Ketidakfungsian Seksual, secara umumnya banyak memperlihatkan rawatan terhadap mengurangkan aras kebimbangan dalam perlakuan seksual, pendidikan seks termasuk penggunaan teknik-teknik seksual, latihan kemahiran dalam komunikasi dan kaedah mengubah sikap dan perlakuan seksual.
Ringkasnya, kaunselor bukan sahaja memberi rawatan ke atas pengalaman lampau tetapi tumpuan juga diberikan kepada masalah kini dan akan datang, supaya dapat mencegah pengulangan tingkah laku yang akan berlakunya konflik atau masalah di kalangan ahli keluarga. Contohnya, Teori Kaunseling Keluarga Bowen telah membantu klien dalam masa lampau manakala Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif adalah membantunya dalam masalah kini atau akan datang. Di samping itu, Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial digunakan untuk mengatasi masa lampau dan kini.


3.10 KESIMPULAN

Secara umumnya dapat dilihat peranan utama kaunselor dalam konteks intervensi masalah keluarga ialah bertujuan untuk membantu pasangan suami isteri dan keluarga yang bermasalah bagi mencari jalan mengeratkan hubungan kasih sayang dan kemesraan di samping mengelakkan berlakunya kes perceraian yang membawa risiko timbulnya pelbagai masalah. Justeru itu kaunseling dilihat sebagai salah satu terapi yang dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang menghadapi masalah dalam rumahtangga.

Namun perlu diingatkan dan difahami di sini ialah tentang keberkesanan proses kaunseling ini tidak harus diletakkan sewenang-wenangnya di atas tanggungjawab kausnelor seorang. Keberkesanannya adalah sesuatu yang subjektif dan ianya memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu proses kaunseling iaitu kaunselor dan klien. Perkara inilah yang perlu ditekankan secara lebih rasional kerana komitmen klien untuk menyelesaikan masalah atau konflik yang dihadapi adalah perkara yang amat penting. Tanpa kesedaran, kefahaman dan inisiatif klien untuk melaksanakan sebarang bentuk usaha penyelesaian maka sudah pastinya proses kaunseling tidak akan memberi sebarang makna. Maka dengan ini wujud peranan kaunselor dalam membantu klien mendapatkan kefahaman tentang diri dan situasi yang dialami.

Secara ringkasnya, kerjasama di antara kaunselor dan klien merupakan asas keberkesanan sesuatu sesi kaunseling dalam mencapai matlamat kaunseling tersebut. Menerusi proses kaunseling, kaunselor akan menggunakan kemahiran memerhati yang lebih sistematik, berfikir dengan lebih mendalam dan menumpukan perhatian kepada maklumat-maklumat yang disampaikan oleh klien. Dengan itu, kaunselor dapat memahami klien dan sekaligus membolehkan klien memahami dirinya.



PENUTUP


4.1 PENDAHULUAN



Dalam Bab ini, perkara yang akan diberi tumpuan ialah rumusan keseluruhan kajian, impilkasi dan cadangan kajian. Bab V ini merupakan bab penutup yang bertujuan untuk membincangkan keseluruhan hasil kajian dalam kajian ini dan ia dapat memberi satu impak yang positif kepada semua pihak ke arah penambahbaikan kualiti Unit Perundangan Keluarga Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat Selangor dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri.


4.2 RUMUSAN KESELURUHAN KAJIAN

Kajian ini merupakan satu kajian kes yang dilaksanakan di Unit Perundangan Keluarga (UPK), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat Selangor. Dalam menjalani kehidupan berumahtangga, setiap pasangan tidak dapat lari daripada berlakunya konflik yang boleh mengakibatkan perceraian berlaku sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Perceraian memberikan impak yang besar kepada keluarga, anak-anak, masyarakat dan negara. Kewujudan UPK di PAID Hulu Langat adalah salah satu tempat untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri melalui pendekatan kaunseling yang diamalkan ketika sesi kaunseling dijalankan. Walaupun perkhidmatan kaunseling ini berjalan setiap masa, namun isu perceraian tetap meningkat. Apakah peranan kaunseling di unit ini tidak berkesan dalam menangani konflik pasangan suami isteri. Oleh itu, kajian ini lebih menjurus kepada peranan kaunseling yang digunakan di UPK, PAID Hulu Langat dalam menangani konflik rumahtangga.

Justeru itu, beberapa objektif kajian telah digariskan untuk mencapai matlamat kajian ini. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti proses kaunseling serta perlaksanaannya di kalangan suami isteri yang bermasalah. Di samping itu, kajian ini dibuat untuk mengenalpasti ciri-ciri latarbelakang pegawai perunding keluarga yang berkhidmat sebagai kaunselor dan pasangan suami isteri yang bermasalah dalam perkahwinan yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat. Selain itu kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti jenis masalah yang menjadi punca konflik rumahtangga pasangan suami isteri dan faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan proses kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat.

Daripada dapatan kajian yang diperolehi, satu kesimpulan umum dapat dilakukan. Dapatan kajian difokuskan kepada peranan UPK yang meliputi tugas yang dimainkan oleh pegawai perunding keluarga atau kaunselor, prosedur dan etika menunjukkan bahawa matlamat utama UPK di PAID Hulu Langat adalah untuk memberikan perkhidmatan kaunseling bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga. Dalam melaksanakan tugas ini, unit tersebut telah menubuhkan sistem pentadbiran yang teratur dan bersistematik di samping para kaunselornya yang telah mempraktikkan pendekatan amalan kaunseling yang khusus dan teratur bagi menangani konflik yang dihadapi oleh klien. Pendekatan amalan kaunseling yang digunakan adalah mengikut kepada keperluan dan matlamat klien dalam keluarga. Setiap klien yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling keluarga di PAID Hulu Langat, kaunselor akan mendekati mereka dengan menggunakan kemahiran kaunseling seperti kemahiran menghadapai klien, kemahiran asas mendorong, kemahiran mendengar, kemahiran mengenalpasti masalah, kemahiran memberi nasihat dan kemahiran membuat rumusan.

Selain itu, dapatan kajian menunjukkan punca yang sering dihadapi oleh pasangan yang berumahtangga hingga boleh menyebabkan berlakunya konflik dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu ekonomi, peribadi (emosi dan fizikal), seks dan sosial. Dari sudut ekonomi, masalah kewangan sering menjadi punca utama konflik rumahtangga seperti suami yang sengaja cuai memberi nafkah yang mencukupi, sikap isteri yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak dapat diadakan oleh suami, sikap isteri yang memeras harta suami dan jika kedua-dua suami isteri bekerja, terdapat pula sikap berkira di anatara keduanya di dalam menguruskan ekonomi rumahtangga. Dari segi peribadi pula iaitu emosi dan fizikal, masalah yang sering timbul berpunca dari sikap fizikal dan emosi seseorang suami atau isteri seperti masalah kesihatan fizikal suami isteri. Dari sudut seksual pula lazimnya masalah ini terjadi kerana ketidakseimbangan dalam aktiviti seksual sama ada suami atau isteri mempunyai keinginan seksual yang terlalu kuat atau sebaliknya. Manakala dari segi aspek sosial yang seringkali mencetuskan konflik dalam rumahtangga merangkumi hubungan sosial di kalangan ahli keluarga dan hubungan sosial dengan orang lain.

Secara umumnya, walaupun UPK menggunakan kemahiran kaunseling dalam perkhidmatan kaunseling keluarga di PAID Hulu Langat, namun kajian ini mendapati kaunseling keluarga yang dipraktikkan oleh kaunselor kepada klien tidak menggunakan sebarang teori khusus dalam kaunseling keluarga. Pendekatan amalan kaunseling yang digunakan oleh kaunselor di PAID Hulu Langat lebih merujuk kepada kebijaksanaan kaunselor itu sendiri dengan menggunakan pengetahuan dan maklumat berkaitan hukum hakam dalam perkahwinan tetapi dalam masa yang sama kaunselor juga turut menggunakan kaedah-kaedah kaunseling secara tidak langsung bagi menangani konflik rumahtangga.

Ringkasnya dapat dinyatakan disini kaunseling sebagai satu profesion amat diperlukan sebagai langkah ke arah penyelesaian masalah masa kini. Dalam konteks perkhidmatan kaunseling, kaunselor adalah orang yang bertanggungjawab membimbing klien yang bermasalah. Di mana dalam proses tersebut kaunselor cuba membantu klien untuk membuat penyesuaian peribadi, sosial dan emosi agar ia dapat berfungsi dengan lebih dinamik dan seterusnya mampu membuat persepsi masa hadapan sendiri secara yang lebih tepat selaras dengan amalan tradisi yang berteraskan agamanya.

Kesedaran tentang peri pentingnya perkhidmatan kaunseling bukan sahaja dirasakan di peringkat individu. Bahkan ia telah berkembang di kalangan masyarakat termasuk suami isteri.

Namun begitu, jangkaan dan harapan suami isteri terhadap perkhidmatan kaunseling lebih banyak bergantung kepada sejauhmana kefahaman mereka terhadap pengertian perkhidmatan itu sendiri. Terutama dari aspek peranan kaunselor, penglibatan klien, pendekatan yang digunakan dan teknik serta proses kaunseling tersebut.

Begitu juga dengan kes-kes yang dirujukkan ke unit kaunseling kebanyakannya melibatkan pasangan suami isteri yang bermasalah dan kes-kes yang dihadapi agak serius, sudah tentu ia memerlukan pendekatan yang bukan hanya dapat menyelesaikan masalah mereka tetapi apa yang penting lagi ialah pendekatan tersebut dapat menyedarkan sifat naluri yang ada pada individu ini.


4.3 IMPLIKASI KAJIAN

Sepanjang menjalankan kajian ini, penyelidik dapat mengenalpasti beberapa implikasi terhadap peranan kaunseling di UPK dalam menangani konflik pasangan bermasalah dalam rumahtangga. PAID Hulu Langat, sebuah institusi agama yang menjalankan perkhidmatan kaunseling kepada klien atau pasangan bermasalah telah memberi sumbangan kepada masyarakat ke arah membentuk dan melahirkan masyarakat yang sejahtera di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Implikasi kajian yang dapat dikemukakan dalam kajian ini ialah:

4.3.1 Melalui perkhidmatan kaunseling yang dijalankan, secara khususnya ia memberi kesan kepada perubahan yang positif dalam kehidupan dalam semua aspek sama ada emosi, cara berfikir, tingkah laku dan hubungan dengan masyarakat lain.

4.3.2 Melalui perubahan yang dilakukan, setiap pasangan yang mengalami masalah akan berusaha menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumahtangga. Mereka juga akan mengelakkan konflik yang tercetus membawa kepada keadaan yang serius sehingga menyebabkan berlaku perceraian. Ini kerana perceraian itu adalah perkara halal yang dibenci dalam Islam.

4.3.3 Kesan dari pelaksanaan kaunseling yang sistematik dan personaliti kaunselor yang baik, penerimaan klien terhadap perkhidmatan tersebut diterima dengan baik. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi klien atau pasangan untuk berfikir secara positif dalam menentukan alternatif terhadap masalahnya agar dapat diselesaikan secara baik.

4.3.4 Prosedur yang sistematik dalam pelaksanaan kaunseling penting bagi memastikan sesuatu kes yang diberikan bantuan mencapai matlamat dan dapat diselesaikan dengan baik. Teknik dan pendekatan Islam dalam sesi kaunseling adalah penting kerana kaunseling yang dijalankan dengan cara yang dikehendaki oleh Islam akan mempengaruhi klien membuat keputusan. Tetapi tidak dinafikan bahawa pendekatan Barat juga boleh digunapakai sekiranya ia tidak bertentangan dengan syarak.

4.3.5 Masalah dalam rumahtangga seringkali berpunca dari pasangan suami isteri. Oleh itu, perkhidmatan kaunseling adalah jalan bagi membantu pasangan menangani masalah dan mencari jalan bagi mengelakkan maslah berterusan. Ia secara tidak langsung membawa pasangan berfikir dan menjalankan tanggungjawab dengan baik serta membina hidup yang bahagia.

4.4 CADANGAN

Banyak usaha daripada pelbagai aspek boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kekeluargaan di UPK. Tujuannya supaya kewujudan institusi ini mendapat pengiktirafan masyarakat sebagai salah satu alternatif di dalam mencari jalan perdamaian terhadap konflik rumahtangga yang dihadapi dan mengelakkan daripada terus berlaku penganiayaan di dalam rumahtangga terutamanya terhadap wanita. Kerjasama dan sokongan perlu diberikan oleh semua pihak bagi mencapai matlamat tersebut. Ia juga bagi mengelakkan pelbagai isu dan kritikan terhadap kaunselor seperti kurang professional, tiada kewibawaan, usia dan pengalaman yang kurang, kelewatan kes dan sebagainya daripada terus dilemparkan.

Antara cadangan yang dikemukakan agar dapat memberi impak kepada pelbagai pihak ialah:

4.4.1 Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat seharusnya membuat pulisiti tentang kewujudan dan fungsi Unit Perunding Keluarga (UPK) sebagai unit yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan dalam rumahtangga. Ini kerana, masih terdapat pasangan yang tidak tahu tentang kewujudan dan fungsi UPK yang memberikan perkhidmatan kaunseling dan khidmat nasihat sekiranya berlaku konflik dalam rumahtangga.

4.4.2 Salah satu cara mengembalikan keadaan rumahtangga yang mengalami konflik ialah dengan mengadakan banyak program keagamaan, kekeluargaan dan konflik dalam rumahtangga kepada pasangan yang sudah berumahtangga. Aktiviti tersebut ialah seperti ceramah, seminar atau forum sebagai langkah dan panduan kepada mereka yang sudah berkahwin tentang kepentingan membina dan menghidupkan keluarga bahagia dan harmoni.

4.4.3 Pihak PAID Hulu Langat juga boleh menyediakan teks-teks khutbah yang mengandungi nasihat ke arah pembinaan keluarga Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang, perihal tanggungjawab suami isteri, cara-cara mendidik anak-anak dan ke arah melahirkan rumahtangga yang berlandaskan syariat Islam. Teks-teks khutbah ini perlu diedarkan ke setiap masjid di seluruh kawasan Hulu Langat dan dibacakan oleh Imam pada setiap hari Jumaat secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali. Diharapkan dengan cara ini, dapat menyedarkan para suami akan tanggungjawab mereka seterusnya dapat mengelakkan berlakunya konflik rumahtangga.

4.4.4 Cadangan untuk kajian akan datang seharusnya menggunakan kajian berbentuk kuantitatif dan kualitatif agar dapat mengumpul lebih banyak maklumat mengenai peranan kaunseling di PAID Hulu Langat dalam kes-kes kekeluargaan. Selain itu, penyelidik berharap kajian yang akan datang dapat menyediakan maklumat mengenai statistik rundingcara keluarga. Ini kerana penyelidik tidak dapat menyediakannya di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

4.4.5 Mutu dan perkhidmatan unit kaunseling perlu dipertingkatkan dengan lebih baik. Pengamal kaunseling harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling di samping modul-modul pemulihan ke arah perkhidmatan yang bermutu pada masa akan datang.

4.4.6 Masyarakat perlu berfikiran lebih terbuka terhadap kaunselor dan tidak melemparkan tuduhan-tuduhan tanpa fakta-fakta yang terbukti kesahihannya. Pada masa kini terdapat pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan kaunselor di dalam menangani permasalahan yang diajukan kepadanya sehingga ada yang mendesak supaya jawatan dan perkhidmatan ini dimansuhkan. Masyarakat diharapkan agar dapat mengemukakan cadangan-cadangan membina untuk perkhidmatan yang lebih berkesan dan memuaskan hati semua pihak, tidak hanya mengkritik atau membuat pelbagai kesimpulan sendiri. Bagi klien yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan pula, mereka perlu bertanggungjawab terhadap aduan yang dibuat, sama ada mahu meneruskan prosedur ataupun memberhentikannya kerana telah ada perubahan terhadap konflik yang dialaminya. Ia bagi tujuan penutupan fail secara rasmi dan aduan kes tidak tertangguh. Situasi sebegini berlaku kerana perkhidmatan yang diberikan diperolehi secara percuma, menyebabkan klien datang dan berurusan sesuka hati mereka.

Mudah-mudahan kajian yang lebih mendalam dapat menghasilkan keputusan yang lebih bernilai. Adalah dicadangkan agar kajian akan datang mengkaji persepsi masyarakat mengenai perkhidmatan kaunseling yang disediakan di UPK, PAID Hulu Langat seterusnya memperluaskan skop kajian.


RUJUKAN


Al-Qur’an al-Karim.

Abdullah Fahim, Hassan Pahmi, Abd. Latif Ibrahim, Abd. Hamid Mohd. Salleh, Mohamad Saari, Fatimah Saad & Norkhalidah Abd Rashid. 1995. Rumahku Syurgaku. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 1999. Kemahiran Menyelesaikan Krisis Rumahtangga. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Abdul Manan Mulla Bar. 1990. Kaunseling dalam Konteks Budaya Islam. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

Abdu Rahman bin Ibrahim. 2001. Peranan Kaunseling dalam Dakwah: Kajian khusus di unit kerjaya dan kaunseling Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam. Tesis Sarjana. Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Adawiyah Ismail. 2007. Kaunseling Islam ke arah pembentukan keluarga dinamik. Shah Alam : Karisma Publications Sdn Bhd.

Akmala Md. Amin. 2008. Proses Kaunseling di PAID Hulu Langat, Selangor. Temu bual. 15 Februari.

Ali haji Yaacob. 1995. Perkhidmatan Kaunseling: Kes di Tanah Suci. Kajang: Makruf Publisher & Distributors.

Al- Muslim,Abi al- Husayn Muslim ibn al-Hajjaj. 1412H/1991. Sahih. Jil.4. Kaherah: Dar al-Fikr.

Asmawati Baharuddin & Norhalim Ibrahim. 1996. Peranan Ibu Bapa. Kajang: Makruf Publisher & Distributors Sdn Bhd.

Aziz Salleh. 1996. Kaunseling Islam Asas, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj Tibek & Othman Hj Talib. 2006. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Fatiyah binti Mohamed Nor. 2007. Pendekatan Amalan Kaunseling Keluarga dalam menangani Konflik Rumahtangga di Pejabat Agama Islam Kuala Selangor. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Hassan Langgulung. 1979. Kaunseling dalam Masyarakat Islam. Kertas kerja Seminar Kaunseling Islam, Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

Hushim Haji Salleh. 2000. Ibu, Oktober: 49.

Ida Hartina Ahmed Tharbe. 2006. Memimpin kaunseling kelompok. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

Ishamuddin Haji Ismail. 1993. Panduan Asas Kaunselor Muslim. Kajang : Aras Mega Sdn Bhd.

Kamal Abd. Manaf. 1995. Kaunseling Islam Perbandingan Antara Amalan dan Teori Kaunseling Barat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Kamal Abd Manaf. 2000. Kaunseling Islam: Satu Alternatif Baru di Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Kamus Dewan. 1998. Ed. Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Malik Badri. 1996. Success With Islamic Counseling and Psychotherapy. Seminar Kebangsaan Kaunseling Islam IV, Kuala Lumpur, 26 Ogos.

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali & Hanif Osman. 2006. Kaunseling dalam Islam. Nilai: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Malaysia.

Muhd Mansur Abdullah. 1984. Ke arah Sistem Tolongbantu Masa Kini: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur : Penerbitan Tra Tra Sdn. Bhd.

Muhd Mansur Abdullah. 1986. Kaunseling: Teori,Proses dan Kaedah. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Muhd. Mansur Abdullah & S. Nordinar Mohd Tamin. 1996. Proses Kaunseling. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raudhatuljannah bte Sarun. 2006. Peranan Unit Kaunseling & Rundingcara dalam menangani konflik pasangan bermasalah di Pejabat Agama Daerah Kluang Johor. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Rosnah Ismail. 2000. Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Satu Kaedah Menangani Cabaran. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

Sabariah Siron. 2005. Teori Kaunseling & Psikoterapi. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd.

Sapora Sipon & Wan Anor Wan Sulaiman. 2002. Pengantar Kaunseling. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Sheikh Ghazali. 2006. Penyelesaian kes-kes kekeluargaan Islam melalui manual kerja sulh. Penyt. Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah Md. Supi. Manual Undang-undang Keluarga Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Siti Fatimah Binti Hj Abdul Ghani. 2005. Perkhidmatan Kaunseling Sebagai Satu Alternatif Dalam Pengurusan Konflik Rumahtangga. Kertas Kerja Persidangan Kaunseling Universiti Malaya 2005. Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, 28-29 November.

Siti Zalikhah Md. Nor. 1992. Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam. Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn Bhd.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. 2000. Kuala Lumpur: Darul Fikir.

Wan Abd. Kader Wan Ahmad & Ismail Abdul Ghani. 2006. Islam dan Kaunseling: Satu Penilaian Kritikal Terhadap Teori dan Pendekatan. Penyt. Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj Tibek & Othman Hj Talib. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Hussain Azmi Abdul Kadir. 1994. Kaunseling dan psikologi Menurut Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainab Ismail. 2001. Proses Kaunseling Islam di Kalangan Pasangan yang Bermasalah: Satu Kajian Kes Di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tesis Dr Fal. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Zainon Mohamad.1991. Memahami Erti Kaunseling. Ummi, Oktober: 34.

Zawanah Muhammad. 1998. Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan di Jabatan-jabatan Agama Islam. Tesis Sarjana. Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Zulkifli bin Yusof. 1992. Bimbingan Manusia dan Agama Perspektif Bimbingan Kaunseling. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.

Zuraidah Abdul Rahman. 1994. Kaunseling dalam Pengurusan. Shah Alam : Times Books International.

3 ulasan:

aira berkata...

salam ramadhan qareem

izin share maklumat utk tugasan kaunseling islam..syukran

Tanpa Nama berkata...

terima di atas maklumat ini, izin kn sy share ye utk tugasan

mahirdanial berkata...

Wa'alaikumsalam warahmatullah

Silakan sahabat2 ambil maklumat. Terima kasih kerana sudi membaca post ini :)