BAB I
PENGENALAN
Poligami boleh ditakrifkan sebagai perkahwinan yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan samada lelaki atupun perempuan untuk satu-satu ketika. Poligami ini pula dibahagikan kepada dua iaitu poliandri dan poligini. Poliandri ialah keadaan seseorang wanita mempunyai lebih daripada seorang lelaki manakala poligini ialah keadaan seorang lelaki mempunyai lebih daripada seorang wanita. Kedua-dua perkahwinan ini masih diamalkan dalam beberapa masyarakat di dunia.
Penulisan dan kajian tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia perundangan Islam. Penulisan dan kajian yang dilakukan kebanyakannya berkisar dari sudut perbahasan hukum. Sejarah poligami sebelum dan selepas Islam, penentangan Barat terhadap poligami, pembaharuan hukum berpoligami melalui penguatkuasaan Undang-undang Keluarga Islam dan juga amalan poligami dalam sesuatu masyarakat.
Dalam beberapa penulisan tentang hukum berkaitan poligami, mereka secara keseluruhannya bersetuju bahawa poligami diharuskan oleh al-Quran. Bagaimanapun pada lewat kurun ke-19, seorang reformer yang juga Mufti Besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Abduh telah berhujah dalam bukunya "Tafsir al-Manar" bahawa poligami adalah sangat praktikal dan berguna bagi masyarakat Islam yang awal tetapi tidak kepada generasi sekarang kerana penyalahgunaan dan penindasan terhadap wanita telah banyak berlaku. Buah fikirannya telah disokong oleh banyak ulama dan cendekiawan dalam penulisan mereka termasuklah Rashid Reda Amin, Huda Sharawi, al-Ghazali, Madani, Schact, Coulson, Anderson, dan Esposito.
Sebaliknya pemikiran menghadkan poligami telah ditentang dan dibantah oleh sebilangan kecil yang menyatakan bahawa poligmi telah dibenarkan oleh wahyu. Antaranya ialah Syaltut, Abu Zahrah, Bintu Syati', Zainab al-Ghazali, al-Siba'i dan Maududi. Mereka mencabar pihak yang menyokong Syeikh Muhammad Abduh dan berhujah bahawa sesiapa yang cuba untuk mentafsir semula al-Quran dianggap bertentangan dengan Islam. Ronald dalam kajiannya berkaitan dengan poligami telah mengenal pasti pandangan Syeikh Muhammad Abduh sebagai 'pengenalan pemikiran Barat Muhmmad Abduh' telah mendapat sokongan daripada golongan feminis Islam seperti Azizah Al-Hibry, Baidawi, Taha dan Raf.
Walaupun wujud dua pandangan yang berbeza dalam menilai tafsiran poligami, kebanyakan Negara-negara Islam telah membuat pembaharuan Undang-undang Keluarga Islam mereka seawal tahun 1917. Terdapat beberapa kajian perbandingan yang dilakukan oleh Hinchcliffe, Mehrun dan Gupta yang berkisar kepada peruntukan poligami di Asia Barat, Afrika Utara, Benua kecil India, Malaysia dan Singapura.
Selain itu, terdapat juga penulisan yang hanya tertumpu kepada Negara-negara tertentu sahaja. manakala sesetengah yang lain pula lebih berorientasikan feminisme. Beberapa penulisan yang dihasilkan oleh Layish, Shaham, Welchman, Lobban, Sonbol, dan Ziba Hossein pula membuat analisa mengenai poligami dari sudut keberkesanan Undang-undang. Tidak kurang juga terdapat beberapa kajian empirikal tentang poligami dari perspektif antropologi.
Walaupun banyak perbincangan dan penulisan dilakukan, namun poligami tetap menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering dijadikan polemik dalam masyarakat sehingga menimbulkan ketegangan antara pihak-pihak tertentu. Seperti kata Profesor Azizah Kassim, apabila sahaja isu poligami diperbahaskan, kesimpulan yang boleh dibuat ialah kaum lelaki menyenanginya manakala kaum wanita mencemuhnya.
Bahkan penentangan terhadap poligami selalunya dikaitkan dengan wanita dan pertubuhan-pertubuhan wanita sehingga ada yang beranggapan bahawa penentangan itu adalah penentangan kepada soal hukum yang akan membawa kepada kepincangan akidah. Persoalannya ialah mengapakah terjadinya polemik sedemikian di kalangan masyarakat dan apakah punca di sebalik konflik yang digambarkan terhadap poligami terutamanya apabila poligami pada hari ini dianggap sebagai sebuah institusi yang gagal untuk membela kaum wanita.
Oleh sebab itu, penulisan ini bertujuan untuk membincangkan konsep poligami dan pelaksanaannya dengan memberi fokus kepada keberkesanan peruntukan Undang-undang kekeluargaan Islam di Malaysia. Penulisan ini juga bertujuan untuk menyelidiki sejauh mana pandangan masyarakat Bandar dan luar Bandar berkaitan isu poligami ini, sejauh mana penerimaan mereka dalam membahaskan isu ini.
1.2 Latar Belakang Kajian
Permasalahan kajian yang ingin dirungkai oleh penyelidik ialah berkaitan dengan persepsi masyarakat bandar dan luar bandar berkaitan dengan isu poligami kerana pada akhir-akhir ini isu ini merupakan isu yang paling hangat diperkatakan oleh masyarakat. Justeru penyelidik terpanggil untuk merungkaikan dan mendapatkan pandangan masyarakat berkaitan isu ini dan menjelaskannya tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Tahap permasalahan yang ingin dirungkai dan dikaji ialah meliputi faktor-faktor lelaki mengamalkan poligami, bagaimana dengan hak-hak wanita, keadilan suami selepas berpoligami, dan lain-lain lagi. Hal ini adalah kerana sering berlakunya kepincangan dalam rumah tangga disebabkan suami yang mengamalkan poligami tidak melakukan keadilan dalam rumahtangga menyebabkan rumahtangga yang terbina bertahun lamanya hancur begitu sahaja.
Sekiranya ini berlaku sudah tentu menyebabkan keluarga yang dibina selama ini mengalami porak peranda di mana anak-anak akan terbiar dan tidak terdidik dengan sempurna. Justeru itu penyelidik terpanggil untuk mencari punca ia berlaku dan bagaimana untuk mengatasinya dan bagaimana cara mengamalkan poligami yang sebenar seperti yang telah di ajar oleh Islam supaya pengamalan poligami ini tidak menindas kaum wanita umumnya dan supaya ia selari dengan aturan syariat Islam itu sendiri.
1.3 Matlamat Kajian
Matlamat kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana pengetahuan masyarakat berkaitan isu poligami yang sering diperkatakan akhir-akhir ini.
1.4 Objektif Kajian
Bagi mencapai matlamat tersebut penyelidik telah meletakkan beberapa objektif yang perlu dicapai dalam kajian ini antaranya:
1.4.1 Membandingkan pemahaman masyarakat bandar dan luar bandar dari segi penerimaan dan pengetahuan mereka berkaitan isu ini.
1.4.2 Mengenal pasti syarat poligami mengikut syarak dan keharusan poligami dan keistimewaannya mengikut alQuran dan hadis.
1.4.3 Menjelaskan tentang peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi isu poligami ini.
1.5 Limitasi Kajian
Kajian ini hanya dilakukan dalam ruang lingkup:
1.5.1 Limitasi masa : Skop kajian yang dilakukan penyelidikan adalah pada tahun
2007- 2008
1.5.2 Limitasi bidang kajian: Kajian ini hanya tertumpu pada tahap persepsi masyarakat bandar dan luar bandar sahaja.
1.5.3 Limitasi lokasi kajian: Kajian ini hanya dijalankan di sekitar daerah Teluk Intan dan Bandar Baru Bangi sahaja.
1.6 Definisi Kajian
1.6.1 Persepsi: Menurut Kamus Dewan edisi ketiga mentakrifkan persepsi ialah
gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran tentang sesuatu.
1.6.2 Masyarakat: Menurut Kamus Dewan edisi ketiga juga diertikan dengan kata lain iaitu kumpulan manusia yang hidup bersama (di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu)
1.6.3 Bandar: di takrifkan sebagai tempat atau pusat yang ramai penduduknya dan terdapat banyak urusan dan perniagaan dijalankan, kota.
1.6.4 Luar Bandar : Ditakrifkan sebagai kawasan kampung atau desa.
1.6.5 Poligami: Amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa yang sama.
1.7 Hipotesis Kajian
Melalui pemerhatian dan pengamatan, beberapa andaian dapat dibuat:
1.7.1 Bahawa terdapat sesetengah di kalangan golongan wanita ini tidak bersetuju dengan pengamalan poligami ini kerana mereka berpendapat pengamalan poligami ini seolah-olah merampas hak mereka sebagai seorang isteri kerana terpaksa berkongsi kasih sayang suami dengan orang lain.
BAB II
POLIGAMI DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM
2.1 Definisi Poligami
Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut kamus dewan, poligami bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam bahasa arab, poligami disebut Ta'addad al zawjat . Asal perkataan ta'addad bererti bilangan, manakala perkataan al zawjat diambil daripada perkataan al zawjat yang bererti isteri. Dua perkataan tersebut apabila digabungkan membawa erti isteri yang banyak atau berbilang-bilang. Maka poligami bolehlah dimaksudkan sebagai berkahwin lebih daripada seorang iaitu lawan kepada perkataan monogami yang membawa erti berkahwin dengan seorang wanita sahaja. Ia juga berlawanan dengan perkataan poliandri iaitu amalan bersuami lebih daripada seorang dalam satu-satu masa.
2.2 Sejarah Poligami
Dari segi sejarah poligami ini akan dibincangkan adakah poligami ini diwujudkan oleh hukum Islam ataupun ianya memang telah wujud sejak zaman manusia mendiami planet bumi ini. Mengenai hal ini, Ameer Ali telah mengupasnya secara baik. Menurutnya bahawa semua bangsa-bangsa Barat di masa purbakala, poligami dianggap sebagai satu kebiasaan yang dibolehkan kerana ia dilakukan oleh raja-raja sebagai melambangkan ketuhanan, kebanyakan orang menganggapnya sebagai satu perbuatan suci. Bagi penganut agama Hindu, poligami dilakukan dengan meluas sejak zaman Bahari seperti juga pada orang Median dahulu kala, orang Babilonia, Assiria, dan bangsa Parsi pun tidak membatasi mengenai jumlah wanita yang boleh dikahwini oleh seorang lelaki. Seorang Brahmana berkasta tinggi bahkan juga di zaman moden ini boleh mengahwini wanita sebanyak mana yang ia sukai.
Poligami diamalkan oleh orang Israel sebelum zaman Nabi Musa a.s. yang mana mereka meneruskan kebiasaan itu tanpa adanya pembatasan mengenai jumlah isteri yang boleh dilakukan oleh seorang suami bangsa Ibrani. Pada zaman kemudian , Talmud di Jerusalem membatasi jumlah itu menurut kemampuan si suami untuk memelihara isteri-isterinya dengan baik. Meskipun Rabbi-rabbi menasihatkan supaya seorang lelaki tidak boleh mempunyai lebih darpadai empat orang isteri, manakala Kaum Karait berbeza pula pendapat dengan mereka di mana tidak mengakui pembatasan jumlah isteri. Bagi orang Parsi, agama memberikan hadiah kepada orang yang mempunyai isteri yang banyak. Bagi bangsa-bangsa Siria, Funisia yang digantikan, dikalahkan, atau dibinasakan oleh orang Israel, poligami akan menurunkan darjatnya menjadi taraf kebinatangan.
Kerajaan Romawi didirikan dalam keadaan yang aneh. Poligami sememangnya diamalkan sejak zaman awal pemerintahannya. Pada umumnya di sekitar Negaranya terutama orang Etruska, berkahwin banyak adalah satu kebiasaan. Hubungan dengan bangsa-bangsa lain yang telah berabad-abad lamanya terjalin, peperangan dan penaklukan dari masa ke semasa ditambah pula dengan kemewahan–kemewahan yang dicapai setelah kemenangan, pada akhirnya menjadikan kesucian perkahwinan itu semata-mata hanya satu ejekan sahaja bagi orang Romawi.
Berkenaan dengan masalah poligami, Islam bukanlah agama pertama yang mengamalkannya. Bahkan amalan poligami ini terbuka tanpa ada had batasannya dan tanpa sebarang syarat semenjak agama Yahudi lagi yang merupakan asal-usul daripada agama Kristian. Di dalam kedua-dua agama itu, poligami tberlaku di kalangan Nabi-nabi Perjanjian kitab lama (Taurat) bermula dari zaman Nabi Ibrahim a.s. yang dianggap oleh orang Arab sebagai bapa para Nabi dan demikian juga dianggap oleh orang Yahudi dan orang Islam. Poligami dalam praktiknya terdapat dalam bentuk tidak legal di kalangan orang-orang yang menentangnya sebagaimana diketahui oleh semua orang bahawa ia akan merosakkan sistem moral dan sosial, baik terhadap suami, isteri mahupun terhadap anak-anak kerana itu Islam telah memberikan penyelesaian terhadap masalah ini iaitu pertamanya dengan mengeluarkan suami dilarang untuk berkahwin lebih daripada empat orang isteri.
Dengan demikian pintu yang terbuka dengan luasnya tentang poligami itu masih lagi terdapat batasannya dengan syariat-syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Islam juga telah mensyaratkan bahawa suami perlu berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam hal hak-hak mereka. Para isteri diberi hak untuk mengadu kepada hakim jika ia diperlakukan dengan tidak adil. Ia berhak meminta keadilan kepada hakim atau meminta perkahwinannya dibatalkan.
2.3 Poligami Sebelum Kedatangan Islam.
Beristeri tunggal adalah sistem pokok dalam Islam sejak dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini, sistem itu berlaku secara majoriti dalam masyarakat Islam. Tegasnya masyarakat Islam tidaklah boleh disifatkan sebagai masyarakat berbilang isteri. Amalannya adalah terbatas kepada beberapa golongan kecil saja. kelemahan sesuatu perkara tertentu memaksa kaum lelaki untuk berpoligami. Pada beberapa peringkat dalam perkembangan sosial dan masyarakat, sistem poligami merupakan satu hal yang tidak boleh dielakkan. Faktor-faktor peperangan yang sering berlaku mengurangkan bilangan kaum lelaki yang biasanya berkuasa dan menjadi pemimpin kaum perempuan. Faktor-faktor tersebut adalah di antara perkara yang tidak dapat dielakkan pada zaman silam walaupun dianggap oleh kebanyakan orang pada zaman ini sebagai satu keburukan yang tidak boleh dibiarkan.
Pada zaman silam, peperangan di antara kabilah-kabilah sering berlaku . Kebanyakan yang terlibat di dalam peperangan itu ialah kaum lelaki, terutamanya dari kalangan belia amat berkurangan. Kekurangan ini menimbulkan suatu sikap masyarakat menggalakkan berkahwin banyak untuk menyeimbangkan bilangan anggota kabilah. Galakan sedemikian tidak pula ditentang oleh golongan wanita. Bahkan mereka menerima secara sukarela untuk menikmati sesuatu yang sepatutnya mereka nikmati dan memberi peluang kepada kaum mereka berada di samping lelaki yang sah. Mereka gembira berada di bawah satu keluarga yang besar tanpa perasaan cemburu dan tamak. Kaum lelaki bagi mereka adalah pemimpin atau tempat berlindung.
Ini membuktikan bahawa poligami bukanlah satu institusi yang diwujudkan oleh Islam. Di waktu Islam datang menyinarkan sinar ilahinya, masyarakat seluruhnya di waktu itu sudah secara lumrahnya mengamalkan dasar berpoligami. Sejarah telah membuktikan bahawa amalan poligami di Barat dianggap sebagai satu kebiasaan yang dibolehkan. Walaupun pada hakikat perundangannya adalah haram dan ditegah tetapi tidak dapat dijalankan, kerana anggapan umum bahawa kaum lelaki yang dapat beristeri lebih dari satu itu mulia dan dihormati. Orang ramai menyanjunginya kerana kesanggupan membentuk keluarga yang besar dan memeluk wanita lebih daripada biasa. Para isteri juga merasa bertuah dan gembira kerana dapat berdamping dengan lelaki yang lebih bertenaga dan berkuasa dapat memiliki ramai isteri.
Keadaan ini berjalan dengan baik dalam bentuk yang nyata sehingga tiba kepada zaman pemerintahan Constantin raja Roman Tua. Memandangkan amalan poligami berkembang biak di negeri dan jajahan taklukan yang berhampiran, maka beliau pun menggubal undang-undang baru dalam soal perkahwinan. Poligami diharuskan dengan syarat-syarat tertentu. Itupun sebagai satu keistimewaan bagi pembesar-pembesar sahaja. Poligami mestilah dengan kesukaan dan kerelaan isteri pertama dan segala keistimewaan tertentu hanya bagi yang pertama sahaja. Anak-anak yang dilahirkan dari isteri yang kedua dan yang ketiga dan seterusnya ditegah mempusakai harta pusaka dan tidak mempunyai hak dalam pertalian keluarga. Mereka diperlakukan sebagai hamba dalam masyarakat.
Walaupun perundangan ini sangat ketat dan kemas, tetapi perkembangannya tidak juga dapat diatasi. Poligami dalam berbagai-bagai bentuk berkembang di merata tempat. Kehidupan kaum wanita lebih hina daripada sebelumnya. Alam keluarga penuh dengan pergelisiran dan perpecahan. Golongan wanita hanya merupakan alat pemuas nafsu dan tidak lebih daripada itu. Mereka merupakan tidak lebih daripada tempat menghilangkan perasaan durjana kaum lelaki sahaja. Keadaan yang sedemikian melibatkan semua golongan masyarakat sehinggakan golongan pendeta pun sering lupa akan sumpah mereka tidak akan berkahwin. Mereka mengadakan hubungan dengan lebih daripada seorang wanita hingga akhirnya amalan poligami sudah tidak dianggap perkara yang tercela lagi. St. Augustine sendiri pun tidak pernah menganggap poligami itu suatu yang di luar moral atau satu dosa. Bahkan beliau menerangkan bahawa poligami bukan amalan yang buruk kalau ianya dilakukan berdasarkan undang-undang . Berdasarkan inilah kebanyakan negeri-negeri di Barat mengakui sah perkahwinan kedua dan ketiga jika ada alasan-alasan tertentu yang munasabah.
Telah menjadi kebiasaan orang Romawi di zaman purba hinggalah kepada zaman pertama pemerintahan Kaisar, amalan poligami diterima sebagai satu adat atau kebiasaan yang halal. Kebanyakan Kaisar memiliki ramai isteri. Bahkan Kaisar Valen Tinianus II telah mengeluarkan peraturan memperkenankan semua warganegara mengahwini beberapa orang wanita jika mereka mahu. Tidak ada bukti dari sejarah gereja pada waktu itu yang mencabar peraturan tersebut. Sebaliknya semua Kaisar yang datang selepas itu mengamalkan poligami dan kebanyakan rakyat tidak ketinggalan mengikuti dan mentauladaninya .
Kedatangan Justinianus yang mengubah peraturan kahwin dan melarang peraturan poligami tidak berhasil menahan kecenderungan pada masa itu. Dengan adanya masyarakat yang sebegini rupa terjadilah pergaulan di antara lelaki dan perempuan tanpa batas dan tidak bersopan. Pelacuran tersebar luas di segenap ceruk. Akhirnya perempuan pada anggapan mereka ialah makhluk Tuhan yang hina, tidak ubah pada pandangan mereka seperti syaitan. Boleh dijual dan dibeli, boleh tawar menawar untuk memilikinya Siapa yang berkesanggupan membayar mahal dan berkuasa pula maka ia boleh memeluk dan menguasai sebanyak-banyaknya dengan sekehendak hati. Penguasaan sebegini hanya merupakan simpanan untuk dijadikan alat melepaskan nafsu semata-mata. Tidaklah untuk menjaga atau mengurus rumahtangga. Anggapan mereka golongan wanita tidak layak untuk itu.
Lanjutan dari sikap dan anggapan yang tidak betul itu lahirlah satu konsep kebudayaan mengenai wanita yang dapat diringkaskan dalam kata-kata Socrates: Wanita adalah sumber kekacauan dan ledakan yang paling besar di dunia. Mereka seperti pohon Dafali. Dari luar kelihatan sangat indah, tetapi sekiranya dimakan burung, burung itu mesti mati. Anderosky pula ada mengatakan: Dibakar api atau digigit ulat boleh diubati, tetapi adalah tidak mungkin untuk menahan tipudaya perempuan.
Anggapan sedemikian bukanlah terlalu disebabkan oleh keadaan wanita pada waktu itu yang boleh diperlakukan sekehendak hati kaum lelaki, tetapi disebabkan oleh pengajaran gereja sendiri yang secara tidak langsung meminta supaya melakuka demikian. Mengikut pendapat orang Kristian bahawa dosa asal manusia adalah tanggungjawab wanita. Siti hawalah yang mempengaruhi Nabi Adam supaya makan buah kuldi yang diharamkan oleh Allah untuk mendekatinya. Dengan demikian Hawa yang mewakili seluruh kaum wanita adalah bertanggungjawab atas dosa tersebut dan berhak diperlakukan sedemikian rupa.
Di Timur juga tidak ketinggalan dari kebiasaan berpoligami. Peristiwa perang yang sering terjadi, kedudukan wanita dalam masyarkat yang tidak diiktirafkan dan peranan secara tidak langsung dari ahli-ahli ugama Hindu dan Budha, semuanya merupakan faktor-faktor yang menolong merebaknya amalan poligami secara bebas. Banyak ajaran dalam ugama Hindu yang merupakan penghinaan yang nyata terhadap kaum wanita. Seorang isteri yang tidak dapat melahirkan anak lelaki diharuskan berseketiduran dengan lelaki lain yang difikirkan boleh melahirkan anak lelaki. Seorang bapa diharuskan menjual anak gadisnya kepada orang lain, terutamanya kepada yang berkasta lebih tinggi daripada keluarga gadis itu atau kepada ahli-ahli ugama atau kepada Dhamakarta iaitu orang lelaki yang ada hubungan dengan tempat ibadat.
Konsep wanita dalam ugama Budha pula lebih menghinakan lagi. Ajaran mereka yang jelas ada mengatakan bahawa keselamatan seseorang itu tidak akan dapat dicapai apabila seseorang itu terlibat dalam pergaulan dengan wanita. Hidup berdampingan dengan wanita adalah berlawanan dengan cita-cita tertinggi dalam ugama Budha. Ahli-ahli ugama mereka membandingkan wanita itu seperti jerat yang ditebarkan ke dalam diri kaum lelaki. Jerat itu apabila terlekat sangat berbahaya sekali, kerana dalam diri wanita itu terdapat segala tenaga yang boleh membodohkan atau membutakan fikiran dunia.
Orang-orang yahudi baik sebelum atau sesudah Nabi Musa tidak asing dengan kebiasaan berpoligami. Kitab suci Talmud Baitul Muqaddis hanya menerangkan bahawa setiap orang tidak boleh berkahwin lebih daripada beberapa orang perempuan yang ia sanggup membelanjai dan memeliharanya. Para ulama mereka kemudiannya menetapkan tidak lebih daripada empat orang. Tetapi di kalangan orang ramai tidak mahu mematuhi fatwa ulama itu, bahkan mereka menyimpan wanita-wanita lebih daripada yang ditetapkan mengikut kemahuan dan kesanggupan peribadi tanpa adanya batasan.
Bagi bangsa Parsi pula timbul anggapan bahawa sesiapa yang dapat berkahwin lebih daripada seorang perempuan akan mendapat pahala yang berganda-ganda di akhirat kelak. Oleh itu keburukan akhlak di sana terutamanya ketika kebangkitan Nabi Muhammad .S.a.w. amat menyedihkan. Di kalangan mereka tidak ada peraturan berkahwin yang boleh dihormati. Mereka berkahwin sesuka hati. Gagasan akhlak yang tidak terbatas ini menimbulkan pengaruh yang amat buruk bagi masyarakat waktu itu.
Dalam masyarakat orang-orang Cina terdapat satu tradisi berbilang isteri yang dikenali dengan nama gundik, iaitu suatu tradisi yang membolehkan seorang suami mempunyai perempuan –perempuan lain secara simpanan di samping isteri-isteri yang sah. Tradisi ini berkembang kerana faktor kepercayaan mereka yang menggalakkan beranak ramai untuk merela dan menyukakan datuk nenek mereka yang akan berbangga dengan adanya keturunan yang ramai lebih-lebih lagi ketika pengkelaminan mereka tidak mendatangkan anak. Pergundikan di waktu ini diamalkan sebagai jalan keluar untuk menghindarkan mereka daripada penceraian yang memecahbelahkan keluarga.
Bagi Bangsa Arab pula baik di waktu kelahiran Nabi Muhammad S.a.w atau sebelumnya adalah sangat lumrah dengan amalan poligami. Di samping itu terdapat adat-adat perkahwinan yang sungguh mendukacitakan dan menyedihkan seluruh masyarakat berkebudayaan,. Jeritan dan pekikan kaum wanita sayup-sayup kedengaran menuntut kebaikan nasib mereka terbela di dalam erti kata yang sebenar. Kebanyakan amalan perkahwinan adalah ditradisikan dengan tujuan untuk melepaskan nafsu syahwat kaum lelaki sahaja. Antaranya terdapat perkahwinan yang dinamakan nikah al-Badal ertinya perkahwinan tukar menukar isteri, adik-adik perempuan, dan keluarga wanita lain yang cantik-cantik. Suami yang ingin mengalih rasa boleh menawarkan diri untuk mendapatkan rasa baru dari isteri orang lain atau dari salah seorang dari keluarga orang itu, dengan syarat ia berkesanggupan pula menyerahkan kehormatan isterinya atau kehormatan salah seorang dari ahli keluarganya kepada orang lain.
Perkahwinan secara sewa atau gadai tidak kurang juga diamalkan. Contohnya seorang miskin yang berjiran dengan orang kaya. Sekiranya ia berkeputusan membelanja bolehlah disewa atau digadaikan anak perempuan atau isteri atau salah seorang dari anggota keluarga wanitanya kepada si kaya tadi seberapa lama yang ditentukan mengikut perjanjian yang dibuat. Nikah Mut'ah sejenis cara perkahwinan yang paling digemari di kalangan ahli-ahli perniagaan yang tiba di kota Mekah waktu itu. Mereka yang baru tiba di kota tersebut ingin mendapatkan teman beberapa ketika semasa berda di situ dan akhirnya dicari seorang wanita dan dikahwininya secara Mut'ah ertinya berkahwin sementara dengan cara menentukan tarikh berakhir dan bayaran.
Terdapat juga perkahwinan yang dinamakan nikahul Muqti iaitu perkahwinan yang membolehkan anak lelaki sulung mempusakai isteri ayahnya setelah ayahnya meninggal atau ayahnya menceraikan isterinya. Sekiranya bekas ibu tirinya itu tidak begitu menarik kecantikannya atau ia memerlukan wang maka ibu tiri itu boleh juga diperlakukan kepada orang lain dengan cara sewaan, gadaian dan seumpamanya. Selain daripada itu terdapat lagi perkahwinan yang dinamakan Ziwajul Akhdan, iaitu perkahwinan kongsi. Contohnya di suatu kampung ada seorang perempuan yang sangat cantik yang dicintai dan dikehendaki oleh kebanyakan lelaki. Lelaki-lelaki yang mencintai itu bolehlah berkahwin dengan wanita cantik itu secara kongsi maka mereka berhak ke atas diri perempuan tersebut.
Masih banyak lagi tradisi perkahwinan yang diamalkan oleh orang-orang Arab Jahiliah. Semuanya sangat kejam, bengis dan tidak berlandaskan di atas perikemanusiaan. Dalam suasana kebiadapan yang berlaku dengan pesat dan subur inilah maka lahir seorang manusia yang didatangkanoleh Allah untuk membawa manusia ke arah kebaikan dan kemuliaan. Manusia itu ialah Nabi Muhammad S.a.w. yang ditugaskan untuk menghapuskan segala kemungkaran dan membimbing seluruh umat yang tidak mengetahui susila masyarakat dan kemanusiaan kepada masyarakat yang bersopan dan berperaturan.
2.4 Dalil Pensyariatan Poligami
Terdapat beberapa dalil pensyariatan berkaitan poligami iaitu :
Dalil dari al- Quran
Firman Allah S.w.t:
Maksudnya:
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(an- Nisa': 3)
Dalil dari Sunnah
Dalam pensyariatan poligami, sunnah juga memperakui tentang pengharusannya. Antaranya ialah tentang peristiwa seorang sahabat bernama Ghailan al- Damsyiqi yang mempunyai sepuluh orang isteri ketika beliau memeluk agama Islam. Rasulullah S.a.w telah mengarahkannya agar memilih empat orang sahaja dari isteri-isterinya dan menceraikan yang lain-lainnya apabila beliau memeluk agama Islam. Sabda Rasulullah S.a.w
وعن ابن عمر قال : اسلم غيلان بن سلمة وتحته عشرة فقال له النبس (ص) خذ منهن اربعا
"Dari Ibn Umar telah berkata: Telah masuk Islam, Ghailan Bin Damsyiqi dan di sampingnya ada sepuluh orang isteri, maka Rasulullah S.a.w bersabda kepadanya: Ambillah dari kalangan mereka itu empat orang sahaja"
(Ibn Majah)
Begitu juga dalam peristiwa Qais bin al-Harith, sebelum beliau memeluk agama Islam, beliau telah mempunyai lapan orang isteri. Kemudiannya apabila beliau memeluk agama Islam, Rasulullah telah memerintahkan Qais agar memilih empat orang sahaja dari isteri-isterinya dan menceraikan yang lainnya. Rasulullah S.a.w bersabda:
عن قيس بن الحارث قال : اسلمت وعندي ثمان نسوة فاءتيت النبى (ص) قذكرت له ذلك ققال اختر منهن اربعا"
"Daripada Qais bin al-Harith, beliau berkata: Ketika aku masuk Islam, aku mempunyai lapan orang isteri kemudian datang Rasulullah S.a.w menyuruh aku memilih dari kalangan mereka empat orang"
(Abu Daud)
2.4.3 Dalil Ijma'
Baginda Rasulullah S.a.w sendiri telah mengamalkan poligami dan kemudiannya diikuti oleh para sahabat dan tabiin. Mereka memandang amalan poligami itu sebagai suatu yang baik dan tidak pernah ditentangi oleh seorang Islam yang taat. Sementara itu, Imam-imam Mujtahid di seluruh Negara Islam turut memperakui pensyariatannya. Tidak ada yang pernah membantah syariat tersebut sehingga ke hari ini.
Syarat-Syarat Poligami
Penetapan berlakunya poligami oleh Islam beserta dengan batasan-batasan tertentu dengan cara menetapkan poligami itu dengan syarat-syaratnya sendiri, sebenarnya mempunyai tujuan jangka panjang iaitu untuk meratakan kesejahteraan keluarga dan untuk menjaga ketinggian nilai di kalangan masyarakat Islam seterusnya meningkatkan budi pekerti kaum muslimin. Berikut adalah syarat-syarat berpoligami yang telah digariskan oleh syarak iaitu:
Wanita yang dikumpulkan dalam satu masa itu bukan bersaudara.
Islam telah menetapkan bahawa poligami itu adalah untuk memelihara keluarga muslim dan memelihara kaum wanita. Oleh itu, Islam telah melarang sama sekali untuk seseorang lelaki yang berpoligami itu mengumpulkan kakak dengan adik, ibu dengan anak perempuan atau seorang wanita dengan saudara ayahnya atau saudara ibunya dalam satu-satu masa. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) Yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa Yang telah berlaku pada masa Yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara Yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui Dalam perkahwinan).
(An-Nisa':22)
Bersikap Adil
Adil merupakan syarat utama yang membolehkan seseorang lelaki itu mengamalkan poligami. Syarak amat menitikberatkan keadilan dalam amalan tersebut. Adil yang dimaksudkan ini merangkumi pelbagai segi lahiriah, iaitu dari segi pembahagian nafkah, makan minum, pakaian, tempat tinggal, dan pembahagian waktu untuk bersama setiap isteri serta perkara-perkara lain yang berbentuk kebendaan.
Manakala keadilan dalam bentuk cinta dan kasih sayang pula tidaklah menjadi satu syarat utama kerana ia termasuk dalam kekuasaan Allah S.w.t sekalipun manusia sendiri merupakan faktor utama dalam mewujudkan kasih sayang tersebut. Seandainya keadilan dari segi cinta dan kasih sayang merupakan satu syarat yang wajib, maka mustahil bagi seorang hamba dapat berbuat demikian. Ini jelas melalui sejarah yang berlaku ke atas Rasulullah S.a.w sendiri.
Rasulullah S.a.w sendiri gagal mengasihi ke semua isteri baginda dalam tahap yang sama. Sebaliknya baginda lebih mengasihi Saidatina Aisyah berbanding isteri-isteri yang lain. Ketetapan ini menunjukkan bahawa Islam tidak membebankan umatnya dengan sesuatu yang diluar kemampuan manusia. Namun begitu, perasaan lebih mengasihi seseorang isteri melebihi isteri-isteri yang lain ini tidak boleh ditunjukkan kepada isteri-isteri yang ada kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan fitnah. Keadaan ini terpulang kepada suami untuk mengawalnya.
Giliran
Seseorang suami yang mengamalkan poligami wajib untuk menyediakan giliran yang sama dan adil terhadap isteri-isterinya. Sekiranya suami mempunyai dua orang isteri dan salah seorang isterinya itu adalah merdeka dan seorang lagi hamba, maka giliran bagi isteri yang merdeka itu adalah dua malam dan bagi yang hamba pula ialah satu malam.
Apabila suami berkahwin lagi dan isteri barunya itu masih lagi seorang gadis, maka gadis tersebut berhak mendapat giliran selama tujuh malam berturut-turut bermula dari hari perkahwinan mereka. Sekiranya wanita yang baru dikahwini itu merupakan seorang janda, maka dia berhak untuk mendapat giliran selama tiga malam berturut-turut dari tarikh perkahwinan.
Namun begitu giliran mereka akan kembali seperti biasa dan sama dengan isteri-isteri yang lain selepas dari tempoh tujuh dan tiga hari tersebut kerana tempoh yang diberi tadi adalah sebagai satu cara meraikan perkahwinan mereka yang baru berlangsung. Ketetapan ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah S.a.w:
للبكرسبع وللثيب ثلاث
"Tujuh malam bagi dara dan tiga malam bagi janda"
(Ibn Majah)
Ulama' tabiin berpendapat tentang masalah ini bahawa si suami hanya boleh bermalam padanya selama tiga hari tiga malam bagi isteri yang baru yang masih perawan. Sedangkan bagi isteri baru yang sudah janda hanya selama dua hari dua malam. Dari kedua pendapat ini, adalah pendapat yang pertama lebih kuat sesuai dengan zahir hadis itu.
Pembahagian giliran di antara para isteri ini adalah bergantung kepada keadaan suami itu sendiri. Jika suami bekerja pada siang hari, dia mestilah membuat giliran untuk sebelah malam dan begitu juga sebaliknya kecuali para isteri mengizinkan suaminya untuk mengubah giliran pada masa-masa tertentu.
Berkuasa menanggung nafkah
Apa yang dimaksudkan dengan nafkah di sini ialah nafkah zahir. Para ulama bersetuju dan sependapat bahawa apa yang dikatakan berkuasa menanggung nafkah ialah sanggup menyediakan makanan, tempat tinggal, pakaian, dan perkara-perkara lain yang berbentuk kebendaan dan diperlukan oleh isteri.
Ringkasnya nafkah zahir yang dimaksudkan itu ialah segala keperluan berbentuk kebendaan yang menjadi keperluan asasi setiap orang. Cuma nilai-nilainya sahaja yang berbeza-beza berdasarkan nilaian semasa dan kemampuan suami. Jika suami merupakan seorang yang agak susah maka kadar nafkah yang perlu diberikan kepada para isterinya adalah mengikut kadar nafkah yang biasa diberikan oleh orang yang susah kepada isteri mereka walaupun isteri tadi berasal dari golongan berada.
Sekiranya suami itu adalah dari golongan kaya dan mewah, maka nafkah yang perlu diberikan kepada setiap isterinya adalah seperti nafkah yang diberikan mengikut kebiasaan orang kaya tidak kira samada isterinya dari golongan kaya ataupun miskin.
2.5.5 Pembatasan Jumlah Isteri
Mengenai jumlah isteri yang dibolehkan dalam poligami terdapat empat pendapat ulama' sebagaimana berikut:
Pendapat Jumhur
Pendapat ini memandangkan bahawa kebolehan berpoligami terbatas pada empat wanita demikian menurut jumhur Ulama'. Alasan-alasan yang dipegang oleh golongan ini ialah Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 3:
"Nikahilah wanita-wanita yang baik bagimu, dua, tiga, atau empat"
(Surah an-Nisa:3)
Pendapat Mazhab Zahiri
Pendapat kedua memandang bahawa kebolehan berpoligami terbatas kepada sembilan wanita demikian menurut Nakha'i, Ibn Abi Laila, Qasim Bin Ibrahim, dan Mazhab Zahiri. Alasan yang dipegang oleh golongan ini ialah firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 3:
"Nikahilah wanita-wanita yang baik bagimu, dua, tiga atau empat"
(Surah an-Nisa:3)
Pengertian huruf 'و' dalam ayat ini tetap menuruti erti asalnya iaitu "dan" yang gunanya untuk menambah jumlah bilangan sedangkan lafaz masna, sulasa, dan ruba' tidak dapat diertikan menurut erti asalnya iaitu dua,tiga dan empat. Jadi diertikan dengan dua,dan tiga ,dan empat. Oleh kerana erti waw itu unutk menambah, maka dua tambah tiga tambah empat sama dengan sembilan. Dan ini sesuai dengan perbuatan Rasul yang ketika wafatnya meninggalkan isteri sebanyak sembilan orang. Perbuatan Rasul tersebut, di samping menjadi qarinah yang menunjukkan erti yang dimaksudkan dari bilangan masna, sulasa, dan rubaa' adalah sunnah Rasulullah yang patut diikuti. Oleh itu beristeri kurang daripada sembilan tidak mengikuti sunnah Rasulullah S.a.w.
Pendapat khawarij dan sebahagian Syiah
Pendapat ketiga memandang bahawa kebolehan berpoligami terbatas sampai kepada 18 wanita, demikian menurut Khawarij dan sebahagian Syiah. Alasan yang dipegang oleh golongan ini ialah firman Allah dalm surah an-Nisa ayat 3:
"Nikahilah wanita-wanita yang baik bagimu, dua dan tiga dan empat"
Pengertian masna adalah dua-dua kerana ia menunjukkan berulang-ulang yang sekurang-kurangnya dua kali. Jadi dua-dua (dua kali) sama dengan empat, demikian juga erti sulasa (tiga-tiga) dan rubaa' (empat-empat). Jadi dua-dua sama dengan empat, tiga-tiga sama dengan enam, dan empat-empat sama dengan lapan. Oleh kerana huruf waw untuk menambah bilangan, maka empat tambah enam tambah lapan sama dengan lapan belas.
Pendapat sebahagian Fuqaha'
Pendapat keempat memandang bahawa kebolehan berpoligami itu tanpa ada batasnya dan hanya bergantung pada kesanggupan. Demikian menurut sebahagian Ulama' Fiqh. Alasan yang dipegang oleh golongan ini ialah sebagai berikut:
a) Firman Allah S.w.t قانكحوا ماطاب لكنمadalah mutlaq, tanpa ada pembatasan.
b) Penyebutan bilangan berupa masna, sulasa dan rubaa' tidak mengandungi mafhum mukhalafah. Penyebutan ini hanya sekadar untuk menghilangkan kebingungan mukhatah yang mungkin menyangka bahawa menikah lebih dari seorang wanita tidak dibolehkan.
c) Huruf waw dalam ayat tersebut tidak dapat dipalingkan dari erti asalnya.
d) Dari riwayat mutawatir diketahui, ketika Rasulullah S.a.w wafat, beliau meninggalkan isteri sebanyak sembilan orang dan dari suatu riwayat malahan sebelas orang, sedangkan tidak ada dalil khususiyah bagi Rasul. Hal tersebut menunjukkan bahawa penyebutan masna, sulasa, dan rubaa' bukan untuk pembatasan kerana tidak ada mafhum adad menurut jumhur Ahli Usul. Demikianlah pendapat para ulama' fiqh mengenai ketentuan batas jumlah wanita yang berhubung dengan masalah poligami.
Islam telah meletakkan hukum membolehkan poligami ini tetapi dibatasi hanya sampai empat orang sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Islam menutup pintu poligami tanpa batas yang dijalankan oleh agama-agama dahulu kala. Inilah perbaikan pertama yang dijalankan oleh Islam, sedangkan perbaikan kedua ialah diadakan syarat-syarat harus berlaku adil terhadap isteri-isteri itu dalam segala hal dan hak-haknya. Di berikan juga kepada perempuan akan hak meminta fasakh jika suaminya tidak berlaku adil kepadanya.
Menurut tanggapan ulama' apabila seseorang berkahwin lagi dengan seorang gadis yang masih perawan tambahan dari isterinya yang sudah ada, maka si suami hendaklah bermalam pada isteri yang baru selama tujuh hari tujuh malam setelah itu baru diatur seadil-adilnya, dan apabila ia mengahwini perempuan yang sudah janda, maka ianya mendapat kelonggaran selama tiga hari tiga malam. Dalam hal ini Imam Malik, Imam Syafii dan Ishaq sependapat.
2.6 HUKUM BERPOLIGAMI
Poligami mempunyai hukum-hukum yang membolehkan seseorang berpoligami iaitu:
2.6.1 Wajib
Jika lelaki tersebut perlu kepada isteri yang lain seperti isteri pertama tidak mampu melayan lagi, sakit dan mandul. Dalam kes mandul, wajar dipastikan dahulu siapakah yang mandul samada suami atau isteri. Dia juga mestilah ada sangkaan yang kuat bahawa dia iaitu suami mampu berlaku adil.
Makruh
Jika hanya sekadar untuk berseronok sahaja dan ragu-ragu samada ia mampu
berlaku adil ataupun tidak.
Haram
Jika kuat sangkaan lelaki bahawa dia tidak mampu berlaku adil mungkin kerana faktor kemiskinan atau kelemahannya. Dalam hal ini, poligami akan membawa bahaya dan mudharat sedangkan dalam Islam tidak ada mudharat dan tidak memudharatkan orang lain seperti dalam prinsip fiqh iaitu:
لا ضرر ولا ضرا
2.7 HIKMAH DI SYARIATKAN POLIGAMI
Hikmah di syariatkan poligami dalam Islam banyak dibincangkan oleh para Ulama. Berkenaan hal tersebut Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
"Dan jika kalian takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap hak-hak perempuan yatim (bilamana kalian menikahinya) maka nikahilah wanita-wanita lain yang kalian senangi: dua, tiga, empat. Kemudian jika kalian takut tidak akan berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja atau budak-budak yang kalian memiliki yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berlaku aniaya" (Al-nisa: 3)
Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Ghailan bin Salamah ketika ia memeluk Islam sedangkan ia mempunyai sepuluh orang isteri, "Pertahankan empat sahaja dan ceraikan selebihnya"
Naufal bin Muawiyah bercerita, aku memeluk Islam sedang aku masih mempunyai lima isteri, maka Nabi s.a.w. berkata "Ceraikanlah satu daripada mereka". Kedua hadis tersebut diriwayatkan oleh Syafii dalam musnadnya. Jadi ayat di atas dimaksudkan untuk memberikan pilihan, jika berkehendakkan seseorang boleh menikahi dua orang wanita atau tiga atau empat sahaja. Sebagaimana Firman Allah Taala:
Maksudnya:
Segala puji tertentu bagi Allah Yang menciptakan langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat utusan-utusan Yang bersayap: dua, tiga dan empat; ia menambah pada bentuk kejadian makhluk Yang diciptakannya apa jua Yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al- Fathir:1)
Allah S.w.t telah membolehkan hamba-hambanya yang beriman untuk menikahi lebih dari satu orang wanita tetapi tidak boleh lebih daripada empat, dengan syarat harus adil dalam memberikan giliran, nafkah, pakaian, tempat tinggal dan lain-lainnya. Jika seorang laki-laki takut atau yakin tidak akan dapat bersikap adil, maka wajib baginya satu isteri sahaja. Yang demikian itu dimaksudkan supaya:
"Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berlaku aniaya"
(al-Nisa': 3)
Ertinya satu isteri lebih baik baginya dan jauh daripada berbuat kezaliman.
Islam adalah agama yang mengatur tentang kemasyarakatan. Islam mempunyai konsep kemanusiaan yang luhur yang dibebankan kepada manusia untuk menegakkannya dan harus disebarluaskan kepada seluruh umat manusia. Risalah Islamiyyah tidak akan tegak melainkan apabila ada kekuatan yang mendukung adanya pemerintahan yang meliputi segala segi, pertahanankan keamanan, pendidikan, perdagangan, pertanian, industri dan sektor-sektor lain yang menunjang tegaknya suatu pemerintahan. Semuanya itu tidak akan sempurna tanpa adanya orang-orang yang hidup pada setiap generasi yang banyak jumlahnya kerana itu terdapat pepatah arab berbunyi:
العزة للكاثر
"Kemegahan itu di pihak terbanyak"
Dan jalan untuk mendapatkan masa yang banyak ini ialah dengan berkahwin dan memperbanyakkan keturunan. Negara-negara yang maju banyak memerlukan tenaga manusia untuk tenaga kerja mahupun untuk keperluan pertahanan dan keamanan. Di Negara-negara yang sedang dilanda peperangan terdapat banyak rakyat-rakyatnya yang gugur di medan peperangan dan terdapat banyak janda-janda yang harus dilindungi.
Tidak ada jalan yng terbaik untuk melindungi mereka selain dengan mengahwini mereka dan tidak ada jalan lain untuk menggantikan orang yang gugur di peperangan itu selain dengan memperbanyakkan keturunan dan poligami adalah jalan untuk memperbanyakkan keturunan.
Demikian pula di beberapa buah Negara, penduduk wanitanya lebih banyak daripada lelakinya seperti yang lazim terjadi di Negara-negara yang berperang. Bahkan pertambahan jumlah kaum wanita pasti terjadi pada banyak Negara meskipun dalam Suasana yang damai kerana kesibukan kerja menyebabkan kaum lelaki cepat tua dan membuatkan mereka cepat mati, disebabkan hal itu, jumlah kaum wanita akan melebihi jumlah kaum lelaki. Perbezaan jumlah ini mengharuskn adanya poligami untuk menjaga dan melindungi kaum wanita. Apabila mereka dibiarkan hidup sendiri mereka lebih mudah terumbang-ambing dan terjerumus ke dalam perbutan nista yang akan merosakkan kehidupan masyarakat, akhlak dan diri mereka sendiri.
Kesanggupan seorang lelaki untuk berketurunan lebih kuat daripada kaum wanita. Lelaki sanggup melaksanakan tugas biologisnya sejak ia baligh sampailah ke akhir usianya sedangkan kaum wanita tidak mampu melaksanakannya di waktu sedang haid, nifas, hamil dan waktu menyusui. Kesanggupan kaum wanita untuk berketurunan terbatas sampai usia antara 40 hingga 50 tahun sedangkan kaum lelaki berkesanggupan sehingga sampai usia 60 tahun lebih. Apabila perempuan dalam keadaan seperti tersebut di atas, mereka tidak dapat melaksnakan fungsinya sebagai seorang isteri lantas apa yang harus dilakukan oleh suaminya? Apakah ia harus menyalurkannya kepada isterinya yang halal untuk menjaga kehormatannya ataukah harus mencari penyaluran seperti yang dilakukan oleh binatang? Tanpa perkahwinan yang sah padahal Islam secara tegas melarang pelacuran.
ولا تقربوا الزنا انه كان فاحشة وساء سبيلا
Janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya zina itu keji dan jalan yang
buruk.
(Surah al- Isra':33)
buruk.
(Surah al- Isra':33)
Apabila dilihat di Negara Jerman, di mana pada tahun 1948 dalam perhimpunan Pemuda Sedunia di Munich Jerman telah diputuskan bahawa poligami dibolehkan untuk mengatasi masalah jumlah orang perempuan yang terlalu ramai melebihi jumlah orang lelaki akibat daripada kesan berlakunya perang dunia kedua di mana ramai suami mereka terbunuh sedangkan di dalam Islam sudah lama dipraktikkan bagi membantu kaum wanita yang kehilangan kasaih sayang suami.
Kadangkala terdapat ada sesetengah suami yang mempunyai isteri yang mandul atau berpenyakit yang tidak dapat diharapkan sembuhnya pada hal isteri ingin tetap bersama suaminya, sedangkan suami menginginkan adanya anak serta punya isteri yang dapat mengatur rumahtangganya. Apakah suami harus tetap rela dengan keadaan yang menyedihkan?
Kadangkala terdapat juga lelaki yang jiwanya sangat kuat nafsu berahinya, ia tidak akan puas jikalau hanya dilayani oleh seorang isteri, maka ia akan berpoligami untuk menyalurkan nafsunya. Masyarakat yang melarang poligami di dalamnya banyak terjadi kefasikan dan kejahatan sehingga pelacuran meningkat dan sebagai akibatnya banyak anak luar nikah dilahirkan sehingga mencapai 50% dari angka kelahiran. Di Amerika Syarikat setiap tahun lebih dari 100 ribu anak yang lahir tanpa ayah yang sah. Ini terjadi pada tahun 1959. Pergaulan bebas yang keji telah melahirkan bermacam-macam penyakit yang merosakkan moral, mengganggu kehidupan rumah tangga dan merosakkan hubungan suami isteri dan banyak rumahtangga yang berantakan disebabkan hal ini. Salasilah keturunan tidak lagi dihiraukan dan banyak anak-anak yang lahir tidak mengenal siapakah ayah mereka.
Demikianlah Hakikat poligami dan sebenarnya poligami dalam Islam itu tidaklah wajib juga bukanlah sunat tetapi hanya dibolehkan sahaja dan tujuannya adalah untuk kebaikan seluruh Umat Islam
BAB III
SEJAUH MANA PENERIMAAN MASYARAKAT BANDAR DAN LUAR BANDAR BERKAITAN ISU POLIGAMI BERDASARKAN SOALAN KAJI SELIDIK
3.1 Masyarakat Bandar
Berdasarkan soalan kaji selidik yang telah di buat di kalangan responden yang tinggal di kawasan penempatan Bandar Baru Bangi di dapati mereka lebih terdedah kepada persekitaran di kawasan perumahan dan tempat kerja di mana rata-rata responden mempunyai pekerjaan yang baik dan fikiran mereka lebih terbuka untuk menjawab permasalahan ini.
Dalam soal selidik ini, sebanyak 30 orang responden diperlukan bagi menjawab 23 soalan kaji selidik yang telah diedarkan. Dalam hal ini, mereka terdiri daripada pelbagai jenis pekerjaan ada yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri di mana rata-rata mereka mempunyai pelbagai persepsi yang berbeza berkaitan isu poligami ini. Kebanyakan mereka apabila diajukan untuk menjawab persoalan ini tidaklah terlalu susah untuk memberikan kerjasama hanya segelintir responden yang tidak memberi kerjasama yang baik disebabkan kemungkinan faktor masa mereka yang agak suntuk.
Soalan kaji selidik ini hanya perlu ditandakan oleh responden samada jawapan 'YA'ataupun 'TIDAK' sahaja. Ianya boleh dikategorikan kepada soalan pemahaman. Soalan berkaitan Undang-undang dan soalan berkaitan pengetahuan agama. Jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh responden di sini tidak akan dikira samada betul ataupun salah kerana semua jawapan adalah hak individu itu sendiri dan semua jawapan adalah rahsia. Dalam penilaian soalan-soalan ini penyelidik menskopkan soalan-soalan seperti soalan pemahaman berkaitan isu poligami, berkaitan agama, Undang-undang poligami dan seumpamanya.
Secara rawaknya kesimpulan daripada soal selidik ini, di dapati masyarakat Bandar boleh dikatakan menerima isu poligami ini sebagai satu perkara yang biasa di mana kebanyakan mereka sudah terdedah dengan persekitaran dan kebanyakan isteri-isteri yang bekerja , mereka mempunyai pendapatan yang tetap adakalanya pendapatan bulanan lebih tinggi daripada suami mereka, justeru itu mereka lebih bersikap terbuka dalam isu ini. Tambahan pula mereka yang bekerjaya pandai membawa diri dan membuat sesuatu keputusan tanpa perlu terlalu bergantung kepada suami.
Melalui soalan kaji selidik ini, berdasarkan soalan yang berkisarkan tentang pemahaman mereka mengenai isu poligami itu sendiri samada mereka pernah mendengar atupun tidak isu poligami ataupun apakah yang dimaksudkan dengan poligami itu sendiri. Seramai 23 orang responden menjawab 'ya', manakala seramai 7 orang responden lagi menjawab 'tidak'. Keputusan dibuat adalah berdasarkan reaksi responden terhadap soalan dengan menandakan samada jawapan 'ya' ataupun 'tidak' di dalam kertas soal selidik. Bagi jawapan responden yang mengatakan 'tidak', penyelidik beranggapan bahawa mereka ini berkemungkinan tidak memahami kepada soalan yang ditanya tetapi bukanlah kepada isu poligami itu sendiri.
Merujuk kepada soalan yang berkisar tentang pandangan mereka berkaitan lelaki yang mengamalkan poligami itu sendiri, adakah ianya menindas kaum wanita ataupun pandangan mereka terhadap lelaki yang mengamalkan poligami dianggap lelaki yang mempunyai akhlak yang tidak baik ataupun bagaimana? seperti apa yang dapat dilihat ialah seramai 15 orang responden mengatakan 'tidak' ini bermakna responden berpandangan bahawa lelaki yang mengamalkan poligami tidaklah jahat dan pengamalan poligami ini tidaklah menindas kaum wanita itu sendiri. Manakala seramai 15 responden lagi menganggap lelaki yang mengamalkan poligami adalah jenis lelaki yang mempunyai akhlak yang kurang baik dan juga sering menindas kaum wanita terutamanya.
Bagi soalan yang berkisar tentang Undang-undang yang ditetapkan di Malaysia samada adakah perlu jika seorang lelaki yang hendak mengamalkan poligami perlu mendapatkan persetujuan ataupun tandatangan daripada pihak isteri yang sedia ada atau pun adakah pengamalan poligami ini dalam Undang –undang Islam ini ianya menjaga hak kaum wanita ataupun sebaliknya. Maka jawapan yang diterima daripada responden seramai 20 orang responden mengatakan "ya" ini bermakna mereka bersetuju bahawa sekiranya undang-undang menetapkan bahawa sekiranya seseorang suami yang ingin berkahwin lain maka ia perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak isteri terlebih dahulu. Manakala seramai 10 orang responden lagi apabila ditanya berkaitan isu Undang-undang ini adakah perlu ataupun tidak maka jawapan mereka adalah "tidak".
Manakala bagi soalan yang berkisar tentang soal nafkah seperti tempat tinggal dan keupayaan seorang suami untuk memberi nafkah dengan adil untuk isteri-isterinya. Seramai 25 orang responden mengatakan "ya" di mana mereka berpendapat bahawa seorang suami yang ingin melakukan poligami perlu mampu dari segi kewangan yang mencukupi bagi menanggung nafkah isteri dan anak-anak. Di dalam soalan penyelidik berkaitan isu adakah bersetuju ataupun tidak jika isteri-isteri yang bermadu diletakkan di dalam rumah yang sama bersama-sama isteri-iseri yang lain, majoriti responden mengatakan tidak bersetuju jika berlaku hal keadaan sedemikian.
Bagi soalan yang terakhir yang terpaksa dijawab oleh responden adalah berkisar tentang keagamaan di mana dalam berpoligami adakah soal agama dititik beratka. Dalam soalan ini seramai 30 orang responden menjawab "ya" untuk soalan ini di mana bagi penyelidik sendiri beranggapan bahawa dalam soal berpoligami, agama adalah sangat penting dan seseorang perlu mempunyai pendidikan agama yang cukup bagi membimbing seseorang itu supaya berada di landasan yang telah digariskan oleh hukum syarak.
Jawapan –jawapan yang telah dijawab oleh responden di sini telah dikira oleh penyelidik secara rawak dan tidaklah secara terperinci. Oleh sebab itu secara kesimpulan yang dapat dibuat oleh penyelidik daripada soal kaji selidik berkaitan isu penerimaan masyarakat Bandar ini adalah masyarakat Bandar kebanyakannya boleh menerima isu poligami dan tidaklah terlalu bermain dengan emosi sendiri. Kebanyakannya boleh menerima isu ini dengan baik walaupun terdapat sesetengah responden yang tidak memberikan kerjasama dengan baik kerana sering mengangap isu poligami ini ialah isu yang paling menyakitkan hati.
3.2 Masyarakat Luar Bandar
Berdasarkan soalan kaji selidik yang telah dilakukan terhadap masyarakat luar Bandar iaitu di Kawasan Teluk Intan didapati mereka kurang terdedah kepada pengetahuan berkaitan isu poligami ini, justeru itu mereka tidak banyak terdedah kepada dunia persekitaran yang begitu mencabar di luar.
Kebanyakan responden luar Bandar ini terdiri daripada suri rumah sepenuh masa di mana rutin hidup seharian mereka adalah bersama suami dan anak-anak sepanjang hari. Sekiranya jika terdapat yang bekerja pun hanyalah bekerja sebagai seorang pesawah, pemungut buah kelapa sawit yang hanya apabila selesai kerja mereka harus pulang terus ke rumah untuk bersama isteri dan anak-anak yang menanti kepulangan mereka. Pergaulan aktiviti sosial seperti bertukar-tukar pandangan amatlah kurang sekiranya adapun hanyalah segelintir masyarakat sahaja.
Daripada penelitian penyelidik berdasarkan soal kaji selidik ini di dapati masyarakat luar bandar lebih cenderung untuk terus tidak langsung bercakap mengenai isu poligami ini terutama bagi kaum wanita kerana apabila diaju pendapat mereka majoriti daripada kaum wanita mudah beremosi dan bertindak bercakap mengikut perasaan tanpa berfikir panjang. Pada pemerhatian penyelidik secara rawaknya kaum wanita di luar Bandar begitu sensitif apabila dibicarakan soal isu ini. Apabila penyelidik bertanya mengapa mereka begitu sensitf apabila disoal berkaitan isu ini, ada di antara mereka menjawab bahawa mereka tidak mahu berkongsi dengan mana-mana perempuan akan suami mereka dan sanggup meminta cerai daripada suami sekiranya hal seumpama ini berlaku dalam hidup mereka.
Melalui soalan kaji selidik ini, berpandukan soalan yang berkisarkan tentang pemahaman mereka mengenai isu poligami itu sendiri samada mereka pernah mendengar ataupun tidak isu poligami ataupun apakah yang dimaksudkan dengan poligami itu sendiri, seramai 19 orang responden menjawab"ya" dan selebihnya seramai 11 orang responden lagi menjawab "tidak". Adakalanya bagi responden yang menjawab "tidak" ini berkemungkinan tidak memahami istilah poligami itu sendiri tetapi apabila diaju soalan tentang suami berkahwin lebih mereka ramai yang mengetahuinya. Berkemungkinan mereka ini tidak pernah mendengar dari segi penggunaan istilahnya sahaja tetapi memahami jika penyelidik mengatakan suami berkahwin lain.
Bagi soalan yang berkisar tentang pandangan mereka berkaitan lelaki yang mengamalkan poligami itu sendiri, adakah ianya menindas kaum wanita ataupun pandangan mereka terhadap lelaki yang mengamalkan poligami dianggap lelaki yang mempunyai akhlak yang tidak baik ataupun bagaimana? seramai 20 orang responden mengatakan "tidak" ini bermaksud mereka tidak beranggapan bahawa lelaki yang mengamalkan poligami itu adalah tidak baik dan apabila penyelidik bertanya mengapa jawapan sedemikian mereka menjawab kebanyakan dikampung yang berkahwin lebih daripada seorang isteri adalah mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan hanya segelintir sahaja tidak mempunyai akhlak sebegitu. Manakala seramai 10 orang responden lagi menjawab "tidak" ini bermakna mereka beranggapan bahawa lelaki yang mengamalkan poligami adalah tidak berkelakuan baik di mana ada sesetengah .
Hal ini penyelidik dapat membuat keputusan dan beranggapan bahawa, berkemungkinan responden melihat bahawa sesetengahn lelaki yang mengamalkan poligami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya dan sering mengutamakan isteri baru daripada isteri yang sedia ada.
3.3 Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Isu Poligami
Seperti mana yang telah dilihat daripada soal selidik ini ialah di mana penyelidik boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat banyak faktor yang mendorong responden-responden berpendapat dalam memberikan jawapan terhadap isu poligami ini di mana berkemungkinan pengaruh daripada persekitaran tempat tinggal responden, pengalaman hidup responden ataupun faktor-faktor lain yang seumpama dengannya.
Walaubagaimanapun, faktor yang sering dikemukakan oleh pengaml poligami di Malaysia ialah keretakan hubungan rumah tangga. Poligami di egara kita biasa berlaku rentetan dari keretakan hubungan suami isteri atas sebab tertentu. Hubungan yang dinin itu menyebabkan tidak ada keharmonian dalam rumahtangga dan ia akan semakin hambar. Apabila keadaan ini berterusan dalam tempoh yang agak panjang, suami kadang-kadang mengambil jalan keluar dengan cara berkahwin lagi tanpa menceraikan isteri yang sedia ada.
Keadaan sedemikin mungkin boleh terjadi jika suami merasakan ia tidak ada sebab kukuh untuk menceraikan isterinya atau disebabkan kepentingan menjaga hubungan dengan anak-anak atau atas sebab harta ataupun mungkin juga kerana in gin menjaga hubungan kekeluargaan. Pada hakikatnya jrang berlaku pihak suami berkahwin lain sekiranya rumah tangga yang sedia ada itu bahagia dan keluarga mereka juga berada dalam kadaan aman damai. Namun andaian ini mungkin boleh dipertikaikan kerana memang diakui ada lelaki berpoligami kerana suka-suka. Lantas mereka sengaja mencari sebab untuk meretakkan hubungan rumah tangga yangh sedia ada.
Antara sebab yang lain lagi ialah Isteri yang mandul. Dalam kehidupan harian suami isteri, kadang-kadang terjadi wanita yang tidak dapat memenuhi semua keperluan dan hajat suami termasuklah tidak dapat melahirkan zuriat disebabkan mandul secara semula jadi ataupun akibat penyakit yang dihidapi. Situasi ini menghalang suami daripada mendapat zuriat sedangkan antara matlamat perkahwinan adalah untuk mengembangkan keturunan. Apabila ia berlaku sudah tentu suami akan merasa serba salah di antara perasaan sayang kepada isteri dan perasaan mahukan zuriat.
Sebagai jalan pentelesaian dan menyelamatkan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri, suami diharuskan berkahwin dengan wanita lain dengan niat untuk mendapatkan zuriat atau anak. Pada masa yang sama isteri sedia ada yang mandul tidak diceraikan ataupun dipersiakan hidupnya.
Selain itu juga terdapat jutga kes-kes poligami disebabkan pihak isteri menghidap penyakit tertentu yang boleh menyebabkan tidak mampu menguruskan hal ehwal rumah tangganya, menghalang maksud persetubuhan ataupun kewajipan-kewajipan lain sebagai seorang isteri. Dalam masalah seperti ini, menceraikan isteri sdi ada bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana ia bukan sahaja akan lebih menyeksakan hidupnya bahkan si suami akan dianggap mensia-siakan dan menzalimi isyteri yang sedang sakit. Pada masa yang sama, suami sebenarnya memerlukan layanan dari segi zahir dan batin.
Untuk mengelakkan berlaku hubungan tidak halal ataupun suami mencari kepuasan atau layanan wanita lain, adalah lebih wajar sekiranya suami berkahwin lagi tanpa menceraikan dan mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri yang sedia ada. Jadi poligami di sini adalah alternatif terbaik bagi kesejahteraan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri.
Tidak dpat dinafikan ada segelintir lelaki yang mempunyai kehendak dan naluri seks yang agak luar biasa berbanding orang lain sehinggakan isterinya sendiri tidak mampu untuk melayannya. Ataupun mungkin juga disebabkan sifat kelelakian yang luarbiasa itu, suami tidak mendapat kepuasan dalam hubungan kelamin bersama isteri yang sedia ada. Sekiranya benteng iamn mereka tidak kukuh, ia boleh mendorong mereka mencari kepuasan di luar dengan cara yang tidak halal.
Hambatan tersebut ditambah lagi dengan sifat semula jadi wanit yang kan mengalami tempoh haid pada setiap bulan dan juga tempoh nifas setiap kali melahirkan anak. Ada lelaki yang sukar mengawal nafsu mereka dalam tempoh masa yang agak panjang. Oleh kerana itu, bagi lelaki yang beriman, poligami adalah lebih baik daripada mereka mencari jalan memuskan nafsu dengan cara lain seperti melanggani pelacur ataupun mengadakn hubungn sulit dengan wanita lain.
Terdapat juga faktor yang lain iaitu isteri putus haid dan tidak berminat lagi dengan kehidupan social. Terdapat juga kes-kes poligami yang berpunca dari faktor ini. Ia melibatkan golongan suami berusia sekitar 40-an atau 50-an. Dan isteri sedia ada juga dalam lingkungan usia yang sama. Pada usia sedemikian, wanita biasanya akan mengalami menopous ataupun putus haid. Ini akan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan social. Wanita yang sudah putus haid biasanya tidak akan berminat lagi dengan hubungan kelamin sedangkan si suami pda usia sedemikian biasanya masih kuat dan ada keinginan jantina untuk dipenuhi. Ia boleh mendorong suami untuk berpoligami.
Tidak ada perubahan, pembaharuan dan kreativiti isteri dalam melayani suami juga boleh mendorong suami berkahwin lain. Umpamanay isteri jarang berhias semasa di rumah, tidak mengwujudkan imej atau suasana menarik serta memikat ataupun bentuk layanan yang tidak pernah berubah dari hari ke sehari sehinggakan suami merasa jemu. Suasana jemu dan ingin dalam rumahtangga boleh mendorong suami mengalih perhatian kepada wanita lain yang lebih pandai melayan sehinggakan suami tersebut mencari alasan untuk berpoligami.
Jika dilihat kepada beberapa aspek pendorong lelaki di Malatysia berpoligami di atas, mungkin akan da pihak yang mendakwa bahawa lebih banyk kesalahan dan kelemahan diletkkan pada pihak perempuan ataupun isteri. Namun begitu, ia bukalh suatu tiket kepada suami untuk mengambil peluang menganiaya wanita semata-mata memenuhi kehendk nafsunya. Pertimbangan yang seadil-adilnya perlu dibuat sebelum seseorang lelaki itu mengambil keputusan untuk berpoligami. Ini amat penting agar poligami tidak dilihat sebagai pemusnah rumah tangga sebaliknya sebagai penyelesai kepada permasalahan dalam hubungan suami isteri yang juga permasalahan kepada masyarakat.
Bagi pandangan penyelidik secara rawaknya faktor yang mendorong mereka berpendapat sedemikian ialah di mana responden melihat berkemungkinan kebanyakan lelaki yang mengamalkan poligami tidak berlaku adil di antara isteri-isterinya di mana kadangkala isteri yang lebih muda paling diutamakan daripada isteri yang tua ataupun isteri yang sedia ada. Hal ini membuatkan mereka menganggap bahawa poligami itu adalah tidak adil bagi kaum wanita terutamanya kerana di situ berlaku pengabaian hak wanita dan anak- anak. Justeru itu dalam menjawab soal selidik ini terdapat pihak-pihak yang menandakan "ya" bagi soalan yng berkaitan samada berrlaku penganiayaan ataupun tidak dalam poligami ini kerana mereka menganggap bahawa poligmi akan mengundang masalah dalam kehidupan mereka.
Faktor yang kedua pula ialah di mana persepsi masyarakat terhadap orang yang mengamalkan poligami ini adalah kuat nafsu dan tidak cukup dengan layanan daripada seorang isteri sahaja maka dengan sebab itu mereka mahu memiliki lebih ramai isteri dalam satu masa. Maka dengan itu terdapat jawapan "ya" daripada responden pada soalan berkisar tentang pendapat mereka berkaitan pesepsi mereka pada lelaki yang mengamalkan poligmi ini.
3.4 Cadangan-Cadangan Dalam Memahami Isu Poligami Yang Di Syariatkan Oleh Islam.
Bagi membendung masalah poligami ini, poligami harus ditangani secara bijak dengan menyebarkan maklumat yang tepat dan betul tentang konsep poligami dalam Islam. Kursus-kursus perkahwinan perlu membincangkan soal poligami agar kedua-dua pihak, yakni bakal suami dan isteri akan memahami tanggungjawab sebenar dan hak-hak mereka dalam berpoligami.
Penekanan harus diberikan kepada konsep keadilan berpoligami kerana dengan adanya elemen inilah maka al-Quran mengharuskan poligami. Sekiranya poligami tidak didasarkan atas hawa nafsu, maka kehidupan poligami akan menjadi seperti amalan berpoligami Rasulullah S.a.w . Bahkan Islam sendiri, walaupun membenarkan penceraian dan poligami, tidak menggalakkannya terutama apabila unsur-unsur penganiayaan dan kezaliman berlaku.
Sekiranya masyarakat pada hari ini merasakan bahawa Undang-undang yang ada dalam mengawal poligami gagal untuk membela kehidupan wanita, maka tidak menjadi satu kesalahan sekiranya Undang-undang ini dinilai semula. Ini kerana tafsiran ayat mengenai poligami masih terbuka luas. Bahkan al-Quran sendiri diturunkan dengan tujuan untuk membela kaum wanita. Sekiranya masih kedengaran suara-suara tidak puas hati, ini bermakna langkah-langkah yang diambil masih belum lagi memenuhi falsafah poligami anjuran al- Quran. Yang pastinya persoalan yang selesai ialah konsep poligami menurut Islam. Tetapi tidak penghayatan kepada amalan tersebut.
Walau apa pun bentuk perkahwinan samada monogami mahupun poligami, seseorang yang bergelar ketua keluarga itu mesti memastikan supaya rumahtangganya dipenuhi dengan unsur-unsur yang dianjurkan oleh al-Quran seperti mana dalam surah ar-Ruum ayat 3, Surah an-Nisaa' ayat 19, Surah al-Baqarah 237 dan Surah an-Nur ayat 32. Sekiranya tuntutan ayat tersebut dapat diterapkan, nescaya kezaliman dan ketidakadilan serta penyelewengan dalam institusi kekeluargaan Islam dapat dielakkan. Berdasarkan fakta meningkatnya jumlah poligami yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah, dapat disimpulkan bahawa Undang-undang Syariah yang sedia ada di Malaysia telah gagal untuk mengawalnya.
Bagi memulih dan memperbaiki situasi yang sedemikian, maka pembentukan satu bentuk Undang-undang Syariah yang seragam dan boleh diterima pakai di peringkat nasional amat diperlukan . Selain itu, penilaian yang lebih teliti dan mendalam terhadap permohonan yang dikemukakan juga mesti dilakukan. Hakim juga perlu berperanan memastikan pemohon berkemampuan dari segi kewangan untuk menyara orang-orang di bawahnya. Di samping itu, pandangan isteri sedia ada juga perlu diambil kira . Langkah perlu diambil untuk memastikan bahawa cadangan beristeri lain dimaklumkan terhadap isteri yang sedia ada.
Lelaki yang berhasrat untuk berpoligami juga boleh berpindah ke negeri lain sebagai alternatif untuk mengelak daripada mematuhi syarat-syarat berpoligami di sesebuah negeri. Hukuman yang terlalu ringan dan masalah bidang kuasa antara negeri-negeri tidak mampu untuk menyekat berlakunya perlanggaran Undang-undang. Denda minimum RM 1000 dan penjara mandatori selama sebulan (hingga maksimum satu tahun terutama bagi kesalahan berulang) patut dikenakan ke atas pesalah. Berdasarkan kepada penurunan kadar jenayah rumahtangga di Negara-negara yang mengenakan hukuman penjara mandatori, dipercayai hukuman yang serupa dapat membantu mengawal poligami yang dilangsungkan tanpa kebenaran mahkamah.
Bagi mencapai keadilan yang menjadi objektif sesebuah perkahwinan poligami, atau sekurang-kurangnya untuk mengelakkan daripada berlakunya ketidakadilan, maka disarankan agar isteri diberi kemudahan untuk membuat tuntutan kewangan terhadap suaminya selain disegerakan penguatkuasaan ke atas hak-hak lainnya seperti :
Penyediaan nafkah.
Tuntutan sebahagian harta (harta sepencarian)
Disarankan juga, agar peruntukan Undang-undang Syariah berkaitan tuntutan nafkah yang telah dimansuhkan dimasukkan kembali. Antaranya ialah peruntukan yang melarang suami yang berpoligami daripada mengurangkan secara langsung atau tidak, taraf kehidupan isteri dan anak-anaknya yang sedia ada.
Selain itu, disarankan juga agar satu penilaian terhadap jumlah nafkah yang dibayar kepada isteri dilakukan sebelum kebenaran untuk berpoligami diberikan oleh mahkamah. Ini perlu dilakukan tanpa perlunya isteri memfailkan permohonan bagi tuntutan nafkah. Peruntukan juga perlu dibuat untuk memberi kuasa mengeluarkan pendapatan bagi menjamin pembayaran segera dibuat kepada isteri.
Berkaitan harta sepencarian, secara umumnya mana-mana pihak samada suami atau isteri berhak membuat tuntutan apabila berlaku penceraian. Disyorkan agar isteri yang suaminya berpoligami diberikan hak untuk membuat tuntutan terhadap harta sepencarian sebaik sahaja suami memasuki perkahwinan poligami. Tidak adil kepada isteri yang berhempas pulas mengharungi kesusahan dan kepayahan untuk membolehkan suaminya mengumpulkan harta dan apabila sudah menjadi kaya, dia berkahwin dengan wanita lain.
Malah Islam juga menekankan keadilan kepada isteri dalam perkahwinan poligami dan poligami hanya dibenarkan sekiranya tidak berlaku sebarang ketidakadilan kepada isteri. Peruntukan yang memberi hak kepada isteri untuk menuntut sebahagian harta yang dikumpul sebelum suaminya berkahwin lain sekurang-kurangnya dapat menyeimbangkan ketidakadilan yang berlaku dari sudut kewangan.
Disyorkan juga supaya suami mendapatkan pandangan daripada isteri yang sedia ada bagi mengelakkan kemurungan dan ketidakadilan yang selalu dialami dalam perkahwinan poligami. Ini boleh dikuatkuasakan samada melalui peruntukan statut atau melalui persetujuan yang dibuat oleh kedua pihak dalam perkahwinan.
Bagi memastikan tiada wanita dipaksa untuk menerima perkahwinan poligami, dicadangkan supaya terma-terma tambahan atau sampingan dalam perjanjian taklik diberi pengiktirafan. Selain perjanjian taklik yang terdapat di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia bagi kes-kes yang melibatkan kes-kes meninggalkan pasangan, tidak memberi nafkah, atau kekejaman, disyorkan agar ditambah terma sampingan bagi pasangan membolehkan isteri memohon cerai taklik sekiranya suami berkahwin lain. Terpulang kepada pasangan tersebut untuk menggunakan lafaz yang sesuai kerana sesetengah pasangan mungkin ingin untuk memasuki perjanjian bagi hak hak isteri untuk mendapat cerai taklik sekiranya suami berkahwin lain tanpa persetujuannya tanpa perlu isteri memohon cerai taklik.
BAB IV
PENGAMALAN UNDANG-UNDANG POLIGAMI DI MALAYSIA
4.1 Undang-undang Poligami di Malaysia
Sebagaimana dengan kebanyakan Negara-negara Islam yang lain, Malaysia tidak mengambil keputusan unutuk mengharamkan amalan poligami di kalangan masyarakatnya melalui penguatkuasaan Undang-undang. Sebaliknya Malaysia menggubal Undang-undang poligami bertujuan untuk mengawal amalan tersebut agar tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini akibat amalan poligami yang tidak betul. Poligami bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
Walaupun pengamal poligami tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan jumlah perkahwinan, namun poligami sering menjadi perbahasan dan perdebatan. Kajian menunjukkan bahawa poligami sebagaimana yang didaftarkan adalah di sekitar 2% hingga 4% mengikut kawasan-kawasan tertentu. Ini disokong oleh statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.27 Jadual 1 menunjukkan kadar poligami di negeri-negeri di Malaysia pada tahun 1990 hingga 2001 adalah seperti berikut:
Jadual 1: Kadar Poligami di Negeri-negeri di Malaysia (1990-2001)
NEGERI/TAHUN | 1990 | 1991 | 1992 | 1993 | 1994 | 1995 | 1996 | 1997 | 1998 | 1999 | 2000 |
PERLIS | 19 | 34 | 29 | 26 | 19 | 26 | 59 | 48 | 47 | 18 | 26 |
KEDAH | 111 | 117 | 228 | 266 | 225 | 247 | 273 | 302 | 268 | 210 | 138 |
PULAU PINANG | 34 | 40 | 69 | 49 | 32 | 79 | 26 | 5 | 69 | - | - |
PERAK | 75 | 87 | 120 | 123 | 217 | 120 | 168 | 149 | 105 | 167 | 138 |
SELANGOR | 30 | 3 | 3 | 78 | 103 | 82 | 137 | 86 | 77 | 39 | 478 |
W.P KUALA LUMPUR | * | 5 | 8 | 4 | 11 | 4 | 11 | 10 | 28 | 37 | 48 |
N.SEMBILAN | 20 | 41 | 28 | 16 | 80 | 98 | 94 | 110 | 111 | 85 | 21 |
MELAKA | * | 46 | 59 | 58 | 71 | 64 | 68 | 71 | 64 | 36 | 44 |
JOHOR | 223 | 214 | 256 | 207 | 118 | 169 | 78 | 446 | 109 | 136 | 173 |
PAHANG | 43 | 75 | 66 | 54 | 68 | 74 | 69 | 110 | 130 | 106 | 73 |
TERENGGANU | 370 | 287 | 222 | 214 | 220 | 227 | 221 | 212 | - | 204 | 229 |
KELANTAN | 126 | 639 | 203 | 174 | 161 | 209 | 121 | 382 | 84 | - | 313 |
SARAWAK | 31 | 17 | * | * | * | 4 | * | * | 23 | 24 | 25 |
SABAH | 13 | 67 | 18 | 69 | 42 | 86 | 76 | 44 | 52 | 27 | 19 |
W.P LABUAN | 5 | 6 | 9 | 6 | 8 | 9 | 4 | * | 3 | - | 34 |
MALAYSIA | 1100 | 1678 | 1321 | 1344 | 1375 | 1498 | 1405 | 1975 | 1170 | 970 | 1759 |
* Maklumat tidak didapati dan maklumat sehingga September 2001
Jadual tersebut menunjukkan bahawa negeri-negeri yang bersempadan dengan negar-negara jiran lain seperti Thailand dan Singapura mempunyai jumlah poligami yang tinggi. Sebagai contoh Kelantan, Kedah, dan Johor mempunyai jumlah yang tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Walaubagaimanapun Terengganu yang tidak bersempadan dengan Negara lain juga mempunyai kadar yang tinggi. Satu kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan ke atas negeri Terengganu bagi mengenal pasti punca kenapa keadaan sedemikian berlaku.
Kajian ke atas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga perlu dilakukan untuk mengetahui kenapa jumlah poligami adalah sedikit. Ini amatlah penting kerana model Undang-undang Keluarga Islam terpakai di Wilayah Persekutuan. Walaubagaimanapun, kita harus berhati-hati terhadap statistik yang ada kerana terdapat banyak perkahwinan poligami yang tidak didaftarkan. Ini jelas kelihatan sekiranya perbandingan dibuat dengan statistik yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. Daripada kedua-dua jadual tersebut, terdapat percanggahan angka yang dikeluarkan oleh dua institusi yang berbeza. Sebagai contoh, jadual 2 menunjukkan amalan poligami di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semakin meningkat.
Data terkini dalam jadual 1 bagi keseluruhan negeri Kelantan dari tahun 1991 hingga 1997 mencatatkan kes yang tertinggi iaitu antara seratus hingga tiga ratus kes setahun. Walaupun jumlah itu tinggi, secara perbandingan ia merupakan jumlah yang menurun dengan kadar poligami pada tahun-tahun sebelumnya. Penurunan kadar poligami ini antaranya disebabkan oleh tahap pendidikan dan kefahaman wanita dan lelaki mengenai konsep poligami dan keadilan antara isteri-isteri semakin meningkat.
Manakala dalam kajian yang dibuat oleh Wan Makalsum menunjukkan bahawa pengurangan tersebut bukanlah kerana pihak hakim yang meyekat daripada berpoligami, tetapi kerana kurangnya individu yang dapat melengkapi syarat-syarat yang dikehendaki oleh pihak mahkamah, kerana itu terdapt hampir separuh daripada permohonan berpoligami ditolak kerana pemohon tidak dapat memenuhi syarat-syarat berpoligami.
Jadual 2 menunjukkan bilangan kes poligami yang ditolak oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Kadar permohonan yang gagal adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar permohonan yang diluluskan. Ini bermakna peluang bagi permohonan poligami ditolak adalah tipis.
Jadual 2: Bilangan kes Poligami yang Ditolak oleh mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (1991-1996)
JENIS KES | 1991 | 1992 | 1993 | 1994 | 1995 | 1996 |
YANG DILULUSKAN | 34 | 30 | 25 | 27 | 21 | 7 |
TIDAK BERKEMAMPUAN | 2 | 4 | 1 | 1 | - | - |
TOLAK PERMOHONAN | 3 | 3 | 4 | 5 | 5 | 2 |
DIBATALKAN | 1 | 5 | 8 | 9 | 6 | 2 |
PEMOHON TARIK BALIK | 3 | 9 | 6 | 9 | 3 | 1 |
TIADA KEPUTUSAN | 5 | 6 | 12 | 13 | 15 | 8 |
JUMLAH PENDAFTARAN | 56 | 57 | 56 | 64 | 50 | 18 |
Walaupun kadar peratusan poligami adalah di bawah 4% berbanding dengan perkahwinan, namun poligami tetap menjadi isu apabila disalahgunakan sehingga menganiaya kaum wanita dan anak-anak. Perkara ini berlaku kerana masih terdapat pengamal-pengamal poligami yang belum memahami konsep sebenar keadilan. Kalau adapun yang mendakwa faham tentang keadilan sebagaimana dalam kajian Shu Le Co, namun masih ada terutamanya wanita yang tetap beranggapan bahawa suami mereka tidak berlaku adil.
Perkara ini terjadi mungkin kerana keadilan yang dilihat melalui kemampuan material suami tidak dijadikan kayu pengukur. Mahkamah akan meluluskan permohonan poligami bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM 1000 sebulan. Ini kerana Mahkamah tetap mengambil kira faktor –faktor lain untuk berpoligami seperti khalwat, nafsu, isteri mandul dan berpenyakit, isteri buruk akhlak, keretakan rumah tangga, membantu janda, tuntutan agama dan juga menambah zuriat.
Akibatnya, kaum wanita dan anak-anak mereka berasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk sesetengah suami yang tidak memberikan keadilan yang sewajarnya kepada isteri-isterinya. Dan inilah yang menyebabkan satu kawalan yang tegas perlu di adakan bagi mengelakkan berlakunya penganiayaan terhadap isteri dan bakal isteri serta anak-anak mereka. Persoalan poligami ini bukan sahaja berlaku dalam Undang-undang Keluarga Islam, tetapi telah menampakkan kemungkinan berlaku kezaliman dan ketidak adilan dalam pembayaran pencen dari perkahwinan poligami. Ini telah dibahaskan dalam Dewan Negara apabila dikatakan suami yang berpoligami menerima pencen daripada isteri-isterinya manakala isteri-isteri daripada perkahwinan poligami terpaksa berkongsi pencen antara mereka.
Walaupun satu program penyusunan semula Undang-undang Keluarga Islam berasaskan doktrin al-Siyasah al-Syari'yyah telah diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1970-an dan awal 80-an. Realitinya menunjukkan peruntukan undang-undang poligami yang dikatakan lebih efisien dan efektif itu tidak dapat menjamin keadilan yang disarankan oleh al-Quran.
4.2 Syarat-Syarat Pengamalan Poligami Di Malaysia
Undang-undang Poligami yang diterima pakai sekarang mempunyai persamaan dengan Undang-undang yang diadaptasi di Pakistan. Seksyen 23(1)-(8) Akta Undang-undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan) 1984 (selepas ini dirujuk sebagai AUKIWP), mengandungi peruntukan-peruntukan khusus berkaitan poligami. Selain Kelantan, Terengganu, Perlis dan Perak, peruntukan seumpama ini juga diterima pakai oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Oleh itu kebanyakan negeri mempunyai peruntukan jelas berkaitan keperluan pemohon mendapatkan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah untuk berpoligami, contoh yang paling jelas ialah seksyen 23(1) AUKIWP 1984.
Dalam Seksyen 23(!), AUKIWP 1984 memperuntukkan dengan jelas tentang perkara ini. Campur tangan Mahkamah Syariah dalam memberi kebenaran berpoligami dibuat kerana masyarakat sendiri yang gagal untuk menjaga kebaikan poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Sekiranya perkahwinan poligami ini dibuat tanpa mendapat kebenaran daripada Mahkamah, maka dia akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bahkan seseorang isteri mempunyai hak untuk menuntut fasakh perkahwinannya jika terbukti suaminya berlaku tidak adil dalam perkahwinan poligaminya. Manakala dari segi pelaksananan dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut, terdapat perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Umpamanya Kelantan tidak memperuntukkan supaya suami yang ingin berpoligami perlu mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada. Pihak yang berkuasa berhujah bahawa syarat meminta keizinan daripada isteri yang sedia ada sebelum berpoligami bukan daripada Hukum Syarak.
Pandangan ini sebenarnya mengundang banyak masalah. Ini kerana perkara-perkara seperti memohon kebenaran mahkamah untuk berpoligami serta pendaftarannya juga tidak pernah disebut dalam al-Quran. Jadi sekiranya memohon keizinan daripada isteri-isteri ada kebaikannya. Maka jelas ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Ini kerana tujuan diadakan peraturan-peraturan sedemikian adalah untuk mencari cara yang terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan melalui amalan poligami. Manakala di negeri lain pula, keizinan isteri sedia ada adalah perlu. Ketidakseragaman ini menyebabkan mereka yang ingin berpoligami akan lari ke tempat lain yang membenarkan poligami tanpa sebarang halangan. Seperti kata-kata Jones"…..to 'shop around' and find another state where his application will succeed"
Mahkamah berfungsi untuk menentukan apakah seorang suami mampu untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang. Ini bertujuan untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang. Ini bertujuan untuk menjaga kemaslahatan diri wanita dan memastikan bahawa perkahwinan poligami tersebut berlaku dalam kedaan yang adil dan sempurna. Peranan mahkamah hendaklah dilihat bukan sebagai penghalang kepada poligami tetapi sebagai kawalan terhadap amalan tersebut. Mahkamah perlu menjalankan penyiasatan terperinci sama ada suami mampu dari sudut kewangan dan mampu berlaku adil terhadap kedua-dua isteri dan anak-anaknya.
Kajian menunjukkan bahawa peruntukan mengenai poligami antara negeri-negeri tidak seragam.. Ini dapat dilihat umpamanya negeri-negeri seperti negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sarawak, Perlis dan Sabah telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum sesuatu permohonan poligami diluluskan. Seksyen 23(3) Akta 1987, umpamanya telah memperuntukkan bahawa:
"Permohonan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dn tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, temasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan samada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinyan yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu"
Subseksyen 3 ini memberi gambaran sebenar di dalam borang permohonan poligami. Sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami mesti melengkapkan borang tersebut dengan maklumat-maklumat yang dikehendaki sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(3) ini. Umpamanya di dalam borang permohonan poligami di Wilayah Persekutuan, seorang pemohon dikehendaki memberi maklumat antara lainnya:
-Maklumat peribadi pemohon dan bakal isteri yang akan dikahwininya.
-Alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami itu perlu
-Latar belakang kewangan suami.
-Tanggungan kewangan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia
ada dan juga bakal isteri, dan
-Sama ada cadangan pernikahan poligami itu telah mendapat persetujuan daripada
isteri yang sedia ada.
Mengikut kajian yang dijalankan, lelaki yang berusia antara 20 hingga 30 tahun mencatatkan peratusan yang kecil untuk permohonan poligami. Bagi suami yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, mereka masih lagi dalam usaha untuk membina rumahtangga yang baru bermula dan mungkin tiada masa memikir untuk menambah cawangan baru. Kajian yang sama menunjukkan status pekerjaan ialah faktor yang diambil kira untuk seseorang memohon kebenaran untuk berpoligami. Sebagai contoh, kebanyakan pemohon adalah di kalangan mereka yang terlibat dalam sektor pengurusan dan profesionalnya yang rata-ratanya berpendapatan RM3000 ke atas. Terdapat juga keadaan apabila pemohon berpendapatan kurang daripada RM 2000 diberi kebenaran berpoligami kerana kos sara diri yang agak rendah di sesetengah negeri.
Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan daripada perbincangan di atas bahawa kebanyakan pemohon yang dibenarkan berpoligami ialah mereka yang berkemampuan untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang dikahwini dari segi material dan fizikal. Pendapatan yang agak kecil mungkin akan menyebabkan kesukaran untuk menanggung lebih daripada dua buah keluarga terutama di Bandar-bandar yang besar seperti Shah Alam dan Kuala Lumpur .
Walau bagaimanapun, kita mesti mengambil kira faktor dengan keadaan seseorang lelaki yang berkahwin di luar nregara kerana menyedari kemungkinan besar bahawa permohonan untuk berpoligami mereka ditolak ekoran ketidak mampuan mereka dari perspektif Undang-undang. Ini disokong oleh data yang menunjukkan banyakknya perkahwinan yang dilakukan di Selatan Thailand dan di Medan Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa Undang-undang berkaitan poligami sekarang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang memang 'law abiding citizens'
4.3 Prosedur Permohonan Poligami
Bagi lelaki yang ingin berpoligami, kebanyakan negeri mensyaratkan mereka membuat permohonan dan terdapat negeri-negeri tertentu dengan mahkamah akan mengeluarkan surat saman kepada isteri untuk hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23 (4)Akta 1984:
"Apabila menerima permohonan itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup"
Ini bermakna, sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami melalui mahkamah di negeri-negeri tersebut, dengan sendirinya isteri atau isteri yang sedia ada akan mengetahuinya apabila mahkamah mengeluarkan surat saman tersebut sekalipun tidak diberitahu hasrat suami itu terlebih dahulu. Surat saman ini dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada isteri sebagai langkah untuk memaklumkan bahawa suaminya ingin berpoligami.
Soal untuk mendapat tandatangan isteri untuk berpoligami tidak disebut dalam Undang-undang Keluarga Islam. Sebaliknya apa yang perlu ialah pengakuan daripada suami dibuat dengan menyatakan samada isterinya bersetuju ataupun tidak dengan permohonan itu. Apabila segala-galanya telah lengkap dan isteri telah datang pada hari perbicaraan dalam mahkamah tertutup, maka mahkamah akan meluluskan permohonan sekiranya pemohon dapat memenuhi syarat sebagaimana yang terdapat dalam seksyen 23(4) (a) (b) (c) (d) dan (e) iaitu:
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk memulihkan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan Dharar Syarie kepada isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tidak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.
Oleh sebab itu sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa seseorang pemohon itu telah mematuhi syarat-syarat dalam seksyen 23(4), maka mahkamah akan meluluskan permohonannya sekalipun isterinya tidak bersetuju permohonan poligami suaminya itu. Sebaliknya mahkamah juga akan tetap menolak permohonan poligami sekiranya syarat-syarat dalam seksyen 23 (4) tidak dapat dipenuhi sekalipun isterinya bersetuju dengan rela hati. Ini menunjukkan bahawa kebenaran dan keengganan isteri untuk membenarkan poligami suaminya adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah. Sebaliknya maklumat yang diberi oleh isteri adalah sebagai keterangan yang boleh digunakan oleh mahkamh untuk membantu mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak satu-satu permohonan poligami.
4.3.1 CONTOH KES
Dalam kes Aishah bte Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman Jawatankuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor telah membenarkan rayuan pemohon dan membatalkan perintah memberi kebenaran poligami oleh Y.A Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa keempat-empat syarat yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (No.4/48), itu adalah sama pentingnya dan mestilah dibuktikan secara berasingan. Ini kerana Y.A Hakim hanya mengambil perhatian terhadap syarat (b) tetapi mengabaikan syarat-syarat (a), (c) dan (d) . Bagi jawatankuasa Rayuan, pemohon telah gagal membuktikan apakah perkahwinan poligaminya itu sesuatu yang patut dan perlu sebagaimana dalam syarat (a). Pengakuan juga dibuat oleh pemohon dengan mengatakan bahawa isteri yang sedia ada tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal yang boleh menghalang daripada perhubungan kelamin serta tidak pernah ingkar terhadap keperluan batin suami. Oleh sebab itu pemohon tidak mempunyai suatu alasan yang munasabah mengapa harus berpoligami. Bukan setakat itu sahaja, Jawatankuasa Rayuan tidak berpuas hati dengan hanya pengakuan dibuat oleh pemohon terhadap syarat-syarat (c) dan (d). Pembuktian terhadap syarat-syarat (c) dan (d) perlu kepada saksi-saksi yang akan memberi keterangan terhadap ketakwaan pemohon kepada Allah dan sesama manusia. Syarat-syarat yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) ini pada pendapat Jawatankuasa Rayuan bertujuan untuk memastikan keadilan antara isteri-isteri yang dituntut sebagai wajib oleh al-Quran. Jawatankuasa tersebut menjelaskan bahawa seksyen 23(4) bukanlah bertujuan untuk menghapuskan poligami tetapi memperuntukkan syarat-syarat yang membina dengan harapan keadilan bagi keluarga Islam dapat tercapai dengan lebih berkesan lagi.
Manakala dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab, mahkamah memutuskan bahawa pihak suami mesti membuktikan bahawa beliau memenuhi segala syarat untuk berpoligami seperti yang telah diperuntukkan oleh Undang-undang. Walau bagaimanapun, dalam kes Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman, Isteri memohon fasakh berdasarkan faktor-faktor berikut:
Pihak responden telah gagal untuk menyediakan nafkah kepada beliau selama setahun
Pihak responden telah gagal untuk melaksanakan tanggungjawab rumah tangganya sebagai seorang suami selama setahun tanpa sebab yang kukuh dan
Pihak responden mengamalkan poligami dan telah gagal untuk berlaku adil terhadap responden mengikut tuntutan Hukum Syarak.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah meluluskan permohonan fasakh atas sebab yang dikemukakan oleh pihak isteri. Kes ini jelas menunjukkan dalam perkahwinan poligami yang terdapat penganiayaan terhadap isteri, isteri mempunyai hak untuk meminta fasakh. Sekiranya apa yang dinyatakan itu dapat dibuktikan, mahkamah akan mengeluarkan perintah penceraian.
Berikut adalah contoh kes dalam tuntutan poligami berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Syariah (Mahkamah Rayuan Selangor No.5 Tahun 1990. Di dalam kes ini pihak pemohon (suami) telah membuat permohonan kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk mendapat kebenaran bertulis berpoligami. Hakim telah memberi kebenaran berpoligami atas alasan:
-Pemohon (suami) ada kemampuan memberi nafkah zahir dan batin.
-Pemohon takut dari melakukan zina atau maksiat dengan wanita yang bukan
isterinya.
-Pihak Responden (isteri) merasa terkilan lalu membuat rayuan kepada Jawatankuasa
Rayuan , Mahkamah Syariah.
Mahkamah Rayuan akhirnya telah meluluskan rayuan pihak isteri dan membatalkan perintah kebenaran berpoligami yang telah diberi oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah atas alasan suami tidak memenuhi ke semua 4 syarat yang dinyatakan dalam seksyen 23 (5) EUKIS, iaitu:
Poligami adalah patut dan perlu kerana keuzuran isteri dari sudut seksual dan fizikal
Suami mampu memberi nafkah untuk semua tanggungan dan bakal tanggungannya.
Suami berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya.
Poligami tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri yang sedia ada.
Hakim Mahkamah Rendah hanya menekankan syarat (b) tetapi mengabaikan syarat (a), (c) dan (d) sedangkan menurut pertimbangan jawatankuasa Rayuan kesemua syarat-syarat itu mesti dipenuhi. Di dalam perbicaraan, tiada keterangan yang memuaskan daripada pihak suami mengenai syarat (a), (c), (d)
Syarat-syarat ini sebenarnya dibuat bagi memastikan keadilan beristeri yang dituntut sebagai satu kewajipan oleh al-Quran. Ia tidak bertujuan untuk menghapuskan poligami tetapi ia bertujuan untuk membina harapan keadilan bagi keluarga Islam agar dapat dicapai dengan lebih berkesan. Oleh itu dengan kegagalan suami memenuhi satu syarat sahaja pun telah memadai bagi Hakim untuk menolak permohonan suami berpoligami.
Bagaimanapun terdapat beberapa buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang yang telah membatalkan seksyen 23(4) (e) kerana berpendapat seksyen ini didapati bertentangan dengan Syarak. Manakala bagi negeri-negeri yang lain, syarat (e) ini masih tetap dikekalkan. Di samping itu, bagi negeri-negeri seperti Kelantan ,Terengganu dan Perak, peraturan poligaminya berbeza dengan negeri-negeri yang lain. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Kelantan, Terengganu dan Perak tidak meletakkan syarat-syarat untuk berpoligami seperti yang dinyatakan di atas. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983 Cuma menyatakan dalam seksyen 19 bahawa:
"Tidak boleh seorang lelaki mengahwini seorang wanita lain di mana-mna tempat dia masih berkahwin kecuali dia mendapat kebenaran bertulis dari Mahkamah Kadi"
Enakmen tersebut juga tidak menyatakan keadaan-keadaan yang membolehkan mahkamah samada untuk membenarkan atau menolak sebarang permohonan untuk berpoligami. Seksyen 21 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam Terengganu 1985 juga mengandungi peruntukan yang sama dengan Enakmen di Kelantan. Sementara itu, seksyen 21 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984 dilihat secara perbandingan sebagai peruntukan yang longgar dalam mengawal selia institusi poligami. Seksyen tersebut menyatakan:
"Tidak dibolehkan bagi seseorang lelaki ketika masih dalam perkahwinan, berkahwin lain tanpa mendapat kebenaran bertulis dari hakim dengan membuat pengakuan di depan hakim bahawa beliau akan berlaku adil kepada isteri-isterinya"
Apa yang dapat difahami daripada intipati seksyen di atas ialah, seorang suami hanya perlu membuat pengakuan di depan hakim bahawa beliau akan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Walaubagaimanapun secara praktikalnya tidaklah sebegitu mudah. Hakim atau pendaftar akan menemuduga lelaki tersebut dan isterinya bagi menentukan samada dia mempunyai kemampuan untuk berpoligami atau tidak. Sekiranya didapati lelaki tersebut tidak berupaya dari segi kewangan untuk menyara seorang lagi isteri dan keluarga, hakim biasanya akan menolak permohonannya.
Walau bagaimanapun dalam sesetengah kes yang mana isteri pemohon bersetuju suaminya berkahwin lain, maka hakim biasanya akan membenarkannya meskipun suami tidak berkemampuan dari segi kewangan. Kajian menunjukkan wanita yang bakal dikahwini rata-ratanya merupakan mereka yang mempunyai pekerjaan. Lelaki yang ingin berpoligami lebih tertarik kepada wanita yang mempunyai pekerjaan kerana mereka tidak perlu lagi menyediakan perbelanjaan yang tinggi untuk isteri baru mereka
Ketiadaan sebarang peraturan bertulis mahupun peruntukan undang-undang yang jelas memaksa hakim untuk menggunakan budi bicaranya dalam menentukan kedudukan sesuatu isu. Perkara sebegini memungkinkan wujudnya ketidakadilan kepada sesetengah pihak terutamanya isteri dan anak-anak kerana suami mungkin lebih memberatkan isteri yang baru. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan bakal isteri ialah mereka yang belum berkahwin sebelum ini. Peratusan wanita yang pernah berkahwin untuk menjadi isteri kedua atau ketiga adalah sedikit dalam kes-kes poligami.
Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia memperuntukkan bahawa penalti yang dikenakan bagi kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah ialah denda tidak lebih daripada RM 1000 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali Bagaimanapun bagi negeri Kelantan, Poligami di luar kebenaran mahkamah hanya dikenakan penalti yang paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain iaitu denda tidak lebih daripda RM300 atau penjara tidak lebih daripada satu bulan atau kedua-duanya. Manakala bagi negeri Kedah pula, penalti yang dikenakan ialah denda tidak lebih daripada RM 500 dan apa-apa pampasan yang masih terhutang. Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak penalti yang dikenakan adalah agak tinggi iaitu denda tidak melebihi daripada RM 3000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, Melaka tidak mengenakan sebarang penalti bagi mereka yang berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Ini bermakna poligami di luar kebenaran mahkamah bukanlah suatu kesalahan di negeri Melaka.
Poligami di luar kebenaran mahkamah akan mengakibatkan perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan . Seksyen 12 Akta Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa:
"Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini"
Memandangkan poligami di luar kebenaran mahkamah adalah suatu kesalahan matrimoni yang melanggar seksyen 123 Akta 1984, maka sesiapa sahaja yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu, perkahwinannya tidak akan didaftarkan sekalipun perkahwinan itu adalah sah di sisi syarak. Kesannya ialah, sebarang tuntutan seperti nafkah di bawah Undang-undang berkenaan tidak dibenarkan. Ini kerana perkahwinan tersebut tidak sah di sisi undang-undang keluarga di Malaysia.
Peruntukan sedemikian telah menimbulkan masalah kepada isteri dan anak-anak daripada perkahwinan poligami yang tidak didaftarkan. Maka atas desakan masyarakat, peruntukan mengenai perkara tersebut telah dipinda. Pindaan yang dimaksudkan itu ialah perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah dibenarkan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut tetapi tertakluk kepada penalti yang ditetapkan. Ini bermakna sebelum perkahwinan poligami tersebut didaftarkan, seseorang itu akan dikenakan penalti atas kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Negeri yang pertama sekali meminda peraturan tersebut ialah Kelantan iaitu pada tahun 1991, Wilayah Persekutuan dan Pulau pinang pada tahun 1994.
Manakala di Negeri-negeri lain seperti Melaka, Kedah, Perak, Pahang, Johor dan Sabah, pendaftaran tidak dibenarkan sekalipun mereka telah membayar penalti atas kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah. Bagi negeri Sarawak dan Perlis , penggubalan Undang-undang terus memasukkan peruntukan untuk membenarkan pendaftaran kerana kedua-dua negeri ini mula menguatkuasakan Undang-undang di sekitar tahun 90-an. Bagaimanapun bagi negeri Terengganu, tidak disebut samada dibenarkan pendaftaran atau tidak.
Selain kesalahan ini, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia juga mengenakan penalti ke atas suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Negeri Kedah telah mengenakan penalti yang paling rendah iaitu denda tidak melebihi daripada RM300 atau penjara tidak lebih daripada dua bulan atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi negeri Kelantan, penaltinya ialah denda tidak melebihi RM 500 atau penjara tidak lebih daripada empat bulan atau kedua-duanya sekali. Penalti bagi kesalahan tidak berlaku adil kepada ister-isteri adalah lebih berat sedikit daripada kesalahan berpoligami di luar kebenaran mahkamah bagi negeri Kelantan.
Undang-undang Keluarga Islam juga memberi hak kepada seseorang isteri untuk membubarkan perkahwinannya melalui fasakh. Bagaimanapun tidak semua negeri memperuntukkan secara jelas dan nyata bahawa seseorang isteri boleh menuntut fasakh atas alasan suami tidak berlaku adil antara isteri-isterinya. Hanya negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sarawak, perlis dan Sabah telah memperuntukkan salah satu daripada alasan yang membolehkan fasakh ialah:
"Jika ia mempunyai lebih daripada seorang isteri, dia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum Syarak"
Bagaimanapun bagi negeri-negeri seperti Kelantan, Melaka, Perak dan Pahang menerima pakai suatu peruntukan umum yang boleh digunakan bagi maksud ketidakadilan antara isteri-isteri iaitu:
"Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sah bagi membubarkan atau bagi fasakh mengikut Hukum Syarak"
4.4 Poligami Di Selangor
Poligami hanya dibenarkan kepada lelaki yang mampu berlaku adil, maka adalah perlu kemampuan suami itu dibuktikan terlebih dahulu. Oleh itu, dalam konteks undang-undang, kebenaran untuk berpoligami adalah diperlukan sebelum seseorang lelaki boleh berpoligami. Kebenaran tersebut perlu dipohon di Mahkamah Syariah oleh lelaki yang bermastautin dalam negeri Selangor, atau mana-mana lelaki yang ingin menjalankan pernikahan poligami dalam negeri Selangor.
Peraturan ini dibuat bagi menjamin poligami yang hendak dilakukan itu tidak akan menyebabkan ketidakadilan kepada isteri sedia ada dan bakal isteri. Ia juga dibuat supaya tidak membebankan suami sendiri di kemudian hari.
4.5 Peruntukan Enakmen
Peraturan mengenai poligami telah diperuntukkan dalam seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Secara rumusannya seksyen tersebut memperuntukkan:
23: (1) Lelaki yang masih beristeri hendaklah mendapat kebenaran bertulis dari
Mahkamah Syariah sebelum melakukan poligami.
Poligami tanpa kebenaran tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan setelah mendapat perintah dan pengesahan daripada Mahkamah Syariah serta tertakluk kepada penalti.
Kebenaran poligami diwajibkan kepada semua lelaki yang hendak melakukan poligami di dalam negeri Selangor, dan bagi lelaki pemastautin yang hendak berpoligami di luar Negeri Selangor.
Permohonan poligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah yang dimulai dengan saman dan penyata tuntutan dan disertai dengan suatu iqrar menyatakan alas an pemohon untuk berpoligam, pendapatan semasa, butir-butir perbelanjaan dan tanggungan kewangan, jumlah tanggungan dan bakal tanggungannya. Keizinan isteri sedia ada bukanlah satu kemestian tetapi Mahkamah wajar mendapatkan pandangan isteri sedia ada tentang poligami tersebut
.
Dalam perbicaraan, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan orang lain yang boleh memberi keterangan mengenai poligami itu. Perbicaraan hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup. Kebenaran berpoligami boleh diberikan oleh Mahkamah jika:
Poligami adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lainnya, kemandulan (isteri sedia ada ) keuzuran jasmani (seperti isteri terlalu tua atau sakit), tiada kelayakan jasmani untuk persetubuhan ( seperti isteri sedia ada belum baligh), (isteri) tidak mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan, atau isteri sedia ada gila; DAN
Suami berkemampuan untuk menanggung nafkah semua isteri , anak , tanggungan dan bakal tanggungan hasil poligami; DAN
Suami berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya mengikut Hukum Syarak; DAN
Poligami itu tidak menyebabkan dharar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Satu salinan Saman, penyata tuntutan poligami, iqrar yang dikehendaki dan surat panggilan hendaklah disampaikan kepada isteri-isteri sedia ada.
Suami atau isteri yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah boleh merayu kepada Mahkamah Syariah yang lebih tinggi.
Suami yang berpoligami tanpa kebenaran hendaklah membayar semua jumlah mas kahwin dan pemberian terhutang kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Jika ia tidak dibayar, isteri boleh menuntutnya sebagai hutang.
Acara bagi akad nikah dan pendaftaran poligami mengikut seksyen ini adalah sama seperti perkahwinan lain yng dibuat mengikut peraturan.
Mahkamah Syariah yang memberi kebenaran poligami atau yang mengeluarkan perintah pendaftaran poligami (yang dibuat tanpa kebenaran), berbidang kuasa menerima permohonan untuk;
Memerintahkan seseorang untuk membayar nafkah isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
Memerintahkan pembahagian harta sepencarian yang diperolehi dengan usaha bersama antara suami dan isteri sedia ada (tidak termasuk usaha tunggal).
4.6 Penalti Poligami Tanpa Kebenaran.
Adalah satu kesalahan bagi seseorang lelaki jika berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Penalti yang boleh dikenakan adalah berdasarkan kepada peruntukan seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, iaitu:
-Denda tidak melebihi RM 1000 ATAU
-Penjara tidk melebihi 6 bulan ATAU
-Kedua-dua denda dan penjara.
Penalti ke atas lelaki berpoligami yang tidak mengikut Akta ataupun Enakmen sepertimana yang telah ditetapkan oleh negeri Selangor ialah di mana seseorang lelaki yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada mahkamah boleh dihukum denda tidak lebih RM 1000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Selain itu, perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. Lelaki itu juga akan dikehendaki membayar dengan serta merta jumlah mas kahwin dan pemberian yang perlu dibayar kepada isteri atau isteri-isterinya.
Manakala penalti ke atas suami yang melanggar syarat dalam keizinan poligami (tidak berlaku adil) bagi negeri Selangor ialah di mana seseorang lelaki yang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara dengan tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi penalti kepada kesalahan membuat sumpah atau maklumat palsu dalam mendapatkan kebenaran berkahwin di negeri Selangor ialah di mana seseorang yang dengan sengaja membuat sesuatu akuan atau penyataan yang palsu adalah melakukan kesalahan dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi suami yang tidak adil boleh menjadi alasan untuk isteri memohon fasakh (pembubaran perkahwinan ) di Mahkamah Syariah. Di Selangor adalah seperti berikut:
""…..Jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, ia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syarak…"
Kesalahan ini juga turut tertakluk kepada beberapa lagi kesalahan lain berkaitan dengan tatacara perkahwinan yang ditetapkan oleh Enakmen di atas.
4.7 Poligami Di Negeri Perak
Di negeri perak seperti mana juga seperti yang terdapat di negeri-negeri yang lain di mana dari segi peruntukan Undang-undangnya adalah sama hanya dalam beberapa perkara ia tidak sama.
4.7.1 Senarai Semakan Penerimaan Pendaftaran Kes Mal Negeri Perak
Setiap pendaftaran kes hendaklah lengkap mengikut kehendak Undang-undang dan pentadbiran. Dalam kes mal (poligami) adalah seperti berikut:
Pelanggan Bermastautin / bermukim di dalam Daerah Mahkamah.
Kad pengenalan atau
Surat pengesahan tempat tinggal/ Bil elektrik/Bil air/ Telefon/Cukai Taksiran atau
Pengesahan Majikan.
Kes poligami
Salinan Borang Permohonan kebenaran Nikah bagi lelaki
Penyata Pendapatan /Slip gaji/Penyata tuntutan dari LHDN
Sijil nikah Perkahwinan dengan isteri/isteri yang sedia ada.
Saman dan Penyata tuntutan
Wakalah Peguam Syarie
Fee Mahkamah.
BAB V
PENUTUP
Polemik poligami di Malaysia berpunca daripada ketidakfahaman masyarakat tentang konsep dan falsafah poligami sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Sekalipun perkahwinan poligami dibenarkan sebagiaiamana penceraian, namun kedua-duanya tidak digalakkan. Sebaliknya poligami dan penceraian hanya boleh dilaksanakan sekiranya berfungsi sebagai penyelesai kepada masalah masyarakat. Seperti kata Khan"Islam neither originated not advocated nor even encouraged polygamy" Bagaimanapun, apa yang berlaku di Malyasia adalah pengamal poligami kebanyakannya tidak mematuhi samada panduan yang ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis mahupun apa yang diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam.
Atas sebab-sebab untuk berpoligami yang kadangkala tidak munasabh menyebabkan rami yang cuba mempersoalkan poligami. Punca konflik poligami samada di Malaysia mahupun di mana-mana jua sebenarnya bertolak dari penghayatan tentang amalan keadilan dalam berpoligami. Ketidakfahaman tentang konsep keadilan dalam berpoligami dan juga keengganan suami untuk berlaku adil menyebabkan konflik poligami ini berlarutan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.
Apa yang pasti terdapat pengakuan yang dibuat oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bahawa mereka tidak menyekat dan menentang poligami sebaliknya mahukn pentadbiran berhubung dengan soal poligami tidak disalahgunakan. Ini diakui sendiri oleh Menteri di jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdul Hamid Othman bahawa "Penolakan oleh pertubuhan wanita sekarang bukanlah terhadap Hukum Syarak tetapi cara pelaksanaannyayang meliputi soal keadilan dan kebajikan isteri dan anak-anak" kerana itu, selagi berlaku penyelewengan dan kezaliman akibat dari berpoligami, maka selagi itulah isu ini tidak akan habis dibincangkan. Keadaan ini agak berbeza dengan pandangan yang mengatakan bahawa isu poligami di Malaysia ialah isu remeh-temeh. Dan yang pastinya, kezaliman daripada berpoligami bukanlah kerana system tersebut tetapi kerana masyarakat yang gagal untuk menghayatinya.
Daripada perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa Undang-undang dan penguatkuasaannya walau bagaimana cekap sekalipun tidak akan dapat menjawab pelbagai persoalan tentang penyalahgunaan poligami. Pendidikan sering dikatakan sebagai salah satu cara penyelesaian kepada masalah tersebut. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang bukti yang kukuh yang menyokong kenyataan tersebut. Kami mencadangkan agar beberapa kajian mendalam dapat diadakan untuk mengenal pasti beberapa perkara yang berkaitan poligami.
Antaranya ialah persepsi wanita Malaysia tentang poligami terutama golongan wanita muda, keberkesanan pelaksanaan penalti kepada mereka yang melanggar peruntukan Undang-undang, kesan poligami terhadap institusi kekeluargaan terutama terhadap kanak-kanak dan isu-isu berkaitan dengan kesihatan mental. Diharapkan dengan kajian-kajian tersebut kita dapat memahami secara mendalam mengapa penyalahgunaan poligami terus berlaku dan dapat mengenal pasti secara tepat jalan penyelesaiannya.
Rujukan ringkasAzizah Kassim, Wanita dan masyarakat, Utusan Publications & Distributors, 1985, Halaman 185.
Wahbah al-Zuhaily, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Dar al-Fiqh, 1989, jilid 7
Ibn Rushd, Bidayat al- Mujtahid wa Nihayat al-Muqtasid, Dar Kutub Islamiyyah, 1983,: Al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Dar al-Basya'ir al Islamiyyah, 2000,
Muhammad Abduh, Tafsir al- Manar, Dar al-Fikri, t.t, Kaherah
Qasim Amin, Tahrir al- Mar'ah, Maktab al-Turqiy, 1899, Kaherah
Mahmud Syaltut, Al-Islam, Aqidah wa Syariah, Dar al-Syuruq, 1985, Beirut.
Anne sofie Roald, Women in Islam, Routledge, 2001, London.
Azizah al-Hibri, A Study of Islamic History, Penerbit Fajar Bakti, 1992, Kuala Lumpur.
Doreen Hinchcliffe, Polygamy in Traditional and Contemporary Islamic Law,
Ahilemah Joned, Keupayaan dan hak Wanita Islam untuk berkahwin, Dewan Bahasa danPustaka, 1988, Kuala Lumpur
Azizah Kassim, Wanita dan Masyarakat, Utusan Publications & Distributors, 1985, Halaman 183
Dakwah, Bil: 233, Oktober 1996, Halaman 6
Zaini Nasohah, Poligami Hak Keistimewaan Menurut Syariat Islam, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur, Halaman 1-2.
Abdul Qadir Djaelani, Rumahku Syurgaku Keluarga Sakinah, Pustaka Dini, Selangor, Halaman 169.
Syeikh Ali Hassan Ahmad, Munakahat Membahas Soal-soal Perkahwinan Dan Rumahtangga,
Penerbitan Kintan, Kuala Lumpur, Halaman 95-96
Ibrahim Hosen, Fiqh Perbandingan Masalah Perkahwinan, Pustaka Firdaus, Jakarta, Halaman 140
Muhammad Alwi al- Maliki al-Hasani, Etika Dalam Rumahtangga Islam, Pustaka Islamiyyah, Perlis Halaman 141
Syeikh Ali Hassan Ahmad, Munakahat Membahas Soal-soal Perkahwinan Dan Rumahtangga,
Penerbitan Kintan, Kuala Lumpur, Halaman 95-96
Mohamad Nidzam Abd Kadir, Soal Jawab Nikah Kahwin, Telaga Biru, Kuala Lumpur, Halaman 112
Berlaku adil adalah perlakuan yang adil dalam memberikan pelayanan terhadp isteri, misalnya
pakaian, Tempat tinggal, giliran dan lain-lainnya yang bersifat lahiriah.M.Abdul Ghoffar E.M, Pernikahan Dini, Pustaka an-Nabaa', halaman 201
Tiada ulasan:
Catat Ulasan