2.1 PENGERTIAN HUKUMAN DALAM ISLAM
Perkataan am bagi hukuman ialah 'uqubah yang berasal daripada 'aqb yang bermaksud “suatu perkara yang datang selepas yang lain”; ini kerana, hukuman menyusuli pelanggaran had yang ditetapkan oleh syariah. Inilah sebabnya kenapa Undang-undang Jenayah Islam dipanggil 'Uqubah seperti yang dinyatakan sebelum ini. ('Abdur Rahman I.Doi, 2003: 287)
Hukuman jika diterjemahkan dalam bahasa Arab disebut 'uqubah yang bermaksud balasan atau seksaan yang setimpal dengan kesalahan. (Hamid Sadiq Qunaibi. et. al 1988: 316)
'Abd al-Qadir 'Awdah (1989: 1/609) mendefinisikan hukuman 'uqubah sebagai satu balasan yang ditetapkan oleh syarak ke atas mereka yang melanggar dan mengingkari perintah Allah dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan umum.
Ahmad Fathi Bahansiyy (1970: 13) mentakrifkan 'uqubah sebagai balasan yang ditentukan oleh Allah untuk mencegah dari perlakuan yang dilarang dan meninggalkan perkara-perkara yang disuruh.
'Uqubah ialah langkah pencegahan sebelum kesalahan dilakukan dan menjadi balasan selepas melakukannya. Kesan dari pengetahuan mengenai peruntukan undang-undang yang menghalang perlakuan jenayah dan jika jenayah telah dilakukan ada peruntukan yang akan mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatannya. (Ibn Humam 1316H: 4/112).
Penjelasan di atas merumuskan bahawa segala bentuk hukuman yang dipraktikkan dianggap sebagai satu balasan dari Allah, yang ditetapkan melalui wahyu-Nya ke atas mereka yang melanggar segala perintah larangan dan meninggalkan segala suruhan-Nya dan ia mempunyai kaitan rapat dengan keseluruhan corak kehidupan agama Islam itu sendiri. Hukuman disyariatkan dengan tegas demi menjaga kepentingan kehidupan yang sempurna seperti yang dituntut oleh Islam, kehidupan manusia mesti diatur sesuai dengan fitrah manusia sendiri agar ia tidak malampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.
2.2 SUMBER-SUMBER HUKUMAN
Para ulama telah bersepakat untuk menyandarkan sebarang hukum kepada empat sumber utama dalam Islam iaitu; al-Qur’an, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.
2.2.1 Al-Qur’an
Al-Qur’an adalah kitab Allah yang diturunkan kepada rasul-Nya dengan lafaz dan maknanya, yang termaktub dalam mashaf serta dipindahkan kepada kita melalui nabi Muhammad s.a.w dengan cara mutawatir untuk I’jaz melemahkan makhluk-Nya. ('Abd al-Rahman Ibrahim 'Abd al-cAziz 1989: 323)
Terdapat ayat-ayat di dalam al-Qur’an yang menyentuh tentang undang-undang yang berkaitan dengan jenayah serta menjelaskan aspek pemeliharaan lima perkara yang disebut al-Maqasid al-Khamsah iaitu; memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta benda. Kesemua perkara tersebut telah dinyatakan dalam lebih kurang tiga puluh ayat ('Abd al-Karim Zaydan 1968: 33).
Di antara hukum-hakam yang sering disebut dengan jelas dalam al-Qur’an ialah; hukuman ke atas penzina seratus kali sebebatn, hukuman ke atas pencuri potong tangan manakala hukuman ke atas tuduhan zina al-Qazf lapan puluh kali sebatan.
Secara jelasnya dapatlah digariskan bahawa hukum-hakam yang terdapat dalam al-Qur’an dapat dikelaskan kepada tiga bahagian iaitu:
(i) Hukum 'I’tiqadiyyah (aqidah) iaitu berkaitan hubungan manusia dengan Allah s.w.t.
(ii) Hukum Khuluqiyah (akhlak) dalam bentuk mengatur hubungan manusia dengan manusia lain dan dengan dirinya sendiri.
(iii) Hukum Shar’iyyah (syariah) hukum ini mengatur hubungan hidup lahiriyah antara manusia dengan makhluk lain dan dengan alam sekitarnya, yang tergolong dalam dalam bahagian ini adalah ibadat dan mu’amalah (Wahbah al-Zuhailiyy 1968: 1/ 438; 'Abd al-Rahman Ibrahim 'Abd al-'Aziz 1989: 329-30).
2.2.2 Sunnah
Sunnah juga dikira sebagai sumber perundangan Islam dalam kedudukan di martabat kedua selepas al-Qur’an. Sunnah diertikan sebagai percakapan, pertuturan, dan juga pengakuan Rasulullah s.a.w.(Muhamad Yusuf Musa 1961: 178).
Umat Islam telah bersepakat (ijmak) menyatakan bahawa segala percakapan, perbuatan Rasulullah ataupun taqrir baginda, dipindahkan kepada umat Islam dengan sanad yang sahih, merupakan hukum-hakam yang wajib diikuti, ia digunakan oleh para mujtahid dalam mengeluarkan sebarang hukm syarak, ini dapat dilihat melalui ayat suci al-Qur’an di mana Allah s.w.t telah berfirman antaranya:
Maksudnya:
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya”.
Sunnah dalam hubungannya dengan undang-undang jenayah syariah, mempunyai peranannya yang sangat penting iaitu; menjelaskan maksud ayat al-Qur’an tentang syarat-syarat dan tempat seperti hukum potong tangan dalam jenayah curi dan menerangkan cara-cara bagaimana hukuman sebat dilakukan ke atas penzina dan tuduhan zina. Sunnah juga mengeluarkan hukum-hakam baru yang tidak kedapatan dalam al-Qur’an, ini bermakna baginda mengubal hukum sendiri melalui ijtihad baginda. Walaupun hukum tersebut melalui ijtihad baginda sendiri namun pada dasarnya ia merupakan ilham ataupun wahyu daripada Allah S.W.T ke atas rasul-Nya. Sebagai contoh, kewajipan membayar diyat janin, cara-cara sebatan bagi peminum arak dan cara rejam dan sebagainya yang mana semua hukum ini wajib diikuti. ('Abd al-Karim Zaydan 1990: 163).
2.2.3 Ijmak
Mengikut pendapat ulama usul, ijmak ditakrifkan sebagai pemuafakatan seluruh mujtahidin dari umat nabi Muhammad s.a.w dalam sesuatu masa selepas wafat Rasulullah s.a.w ke atas sesuatu hukum syarak. (Abd al-Wahab Khalaf 1968: 45)
Ijmak merupakan sumber perundangan ketiga selepas al-Qur’an dan Sunnah, segala hukum yang diputuskan oleh para mujtahidin yang lahir kemudian. Oleh itu para ulama sekarang tidak berhak mempertikaikan segala hukum-hakam yang telah diijmakkan pada masa lampau.
Apabila sesuatu masalah ditetapkan dengan cara ijmak, maka menjadi hujah yang kuat sekalipun bersandarkan pada hadith Ahad, diantara contoh hukum yang telah ditetapkan dengan cara ijmak ialah memerangi golongan murtad semasa zaman Abu Bakar al-Siddiq iaitu Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
2.2.4 Qiyas
Qiyas ialah sumber perundangan di martabat ke empat, diantara takrifan qiyas ialah menyamakan hukum bagi sesuatu perkara yang belum ada ketentuan sama ada di dalam al-Qur’an dan Sunnah dengan hukum yang sudah ada ketentuan kerana terdapat illah yang sama pada kedua-dua masalah ini. ('Abd al-Wahab Khalaf 1968: 52; Wahbah al-Zuhailiy 1986: 1/603)
Sesuatu hukum yang diperolehi secara qiyas, menjadi hujah yang mesti dipakai kerana ia sebagai perundangan Islam. Hanya golongan Muktazilah dan Syiah Imamiyah sahaja yang menolaknya (Jamal cAbd Nasir 1386H: 1/19; Md Akhir Hj Yaacub 1997: 137). Walaubagaimanapun qiyas bukanlah sumber mutlak untuk menetapkan sesuatu hukum atau mengeluarkan hukum baru sebagaimana al-Qur’an dan Sunnah. ('Abd al-Qadir cAwdah: 1/ 184-185)
Qiyas banyak digunakan sebagai sumber hukum bagi kesalahan ta’zir, kerana ianya berdasarkan kepada pertimbangan pihak hakim atau pemerintah untuk menentukan hukuman yang sesuai dengan kesalahan, diantara contoh qiyas seperti menyamakan liwat dengan zina dan arak dengan tuak.
Selain dari keempat-empat sumber yang disepakati di atas, terdapat di sana beberapa sumber lain yang dianggap sebagai cabang atau pelengkap, di mana para ulama atau fuqaha’ mempunyai pandangan yang berbeza diantara satu sama lain dalam pengambilannya sebagai hukum, diantaranya ialah; Istishab, Istihsan, Masalih al-Mursalah, Urf, Syariat Umat Terdahulu dan lain-lain lagi.
2.3 MATLAMAT HUKUMAN DALAM ISLAM
cUqubah yang dikenakan ke atas penjenayah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan manusia sejagat dan menghindari dari kejahatan (mafsadat) baik di dunia dan akhirat, tujuan tersebut akan tercapai melalui penguatkuasaan. (H. Fathurrahman Djamil, 1997:125)
Para penulis kitab jenayah Islam moden, telah meletakkan beberapa matlamat utama sebagai unsur pencegahan, mana-mana jalan atau perkara yang boleh membawa kerosakan akan disekat awal-awal bertujuan menjaga kemaslahatan awam.
Tujuan utama hukuman ialah untuk mendidik manusia menjadi insan kamil yang bermanfaat kepada dirinya sendiri, alam sejagat, dan mencegahnya daripada mengulangi kejahatan yang sama. Ini adalah bertujuan khusus, manakala tujuan yang umum ialah untuk melindungi maslahah umum, masyarakat dan negara. (Abd Ghani Azmi Idris, 1997: 10)
Di antara beberapa matlamat yang didapati dari hasil karya pengarang mutakhir ialah merangkumi unsur-unsur pencegahan, pembalasan, pemulihan dan pendidikan serta keadilan yang sama rata.
2.3.1 Pembalasan
Pembalasan akan membawa kebaikan dan bukannya penderitaan, dengan pembalasan diharap akan dapat menghalang sesuatu pihak daripada melakukan jenayah seterusnya. Sesuai dengan konsep ini Allah berfirman:
(surah al-Syura (42):40)
Maksudnya:
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya”;
Unsur pembalasan ini dinyatakan dengan tegasnya dalam undang-undang jenayah Islam seperti mana yang terdapat dalam al-Qur’an, diantaranya Allah s.w.t berfirman:
(surah al-Ma’idah (5): 38)
Maksudnya:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan yengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Islam menegaskan bahawa pembalasan itu mestilah setimpal dan sepadan dengan apa yang dilakukan, umpamanya dalam hukuman qisas orang yang membunuh dengan sengaja tanpa hak akan dikenakan qisas iaitu dibunuh balas sebagai balasan atas perbuatannya. (Mahmood Zuhdi Hj. 'Abd. Majid. 1992. 37-39)
Hukuman itu sendiri adalah pembalasan yang dikenakan ke atas penjenayah kerana mencerobohi kepentingan orang. Unsur pembalasan akan dapat mengubat, menghilangkan rasa dendam dan menuntut bela oleh pihak yang disakiti, kerana pesalah telah membayar gantirugi dalam bentuk hukuman yang diterima dari pengadilan di atas. ('Abd al-Qadir cAwdah, 1989: 1/609)
2.3.2 Pencegahan
Islam telah meletakkan unsur pencegahan sebagai matlamat penting dalam menjaga kemaslahatan manusia dan alam sejagat. Pencegahan yang universal akan dapat mencegah sebelum jenayah dilakukan atau setelah dilakukan, maka hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada penjenayah lain dari menirunya. (Ahmad Ibrahim, 1978: 19)
Hukuman secara amnya untuk mencegah perbuatan jenayah yang sama, apa yang telah berlaku hanyalah melibatkan seorang individu, kesalahan yang serupa mungkin melibatkan semua. Mencegah kesalahan dari berulang ialah langkah yang sangat penting jesteru itu hukuman dikenakan ke atas pasalah. (Muhammad Muslehuddin 1992: 40)
cUqubah akan menjadi pencegah mawanic sebelum jenayah dilakukan dan menjadi deraan selepas melakukannya, maka dengan mengetahui penguatkuasaan dan deraan itu akan menghalang dari melakukan jenayah atau bila dikenakan deraan selepas melakukan jenayah itu dapat menghalangnya dari mengulangi perbuatan itu, (Ibn Humam 1316H: 4/ 112; Mahmood Zuhdi Hj. 'Abd. Majid. 1992. 41)
2.3.3 Pemulihan dan Pendidikan
Hukuman yang terdapat dalam undang-undang Islam bukanlah bermotifkan penyeksaan dan balas dendam, sebaliknya ia bermatlamatkan ta’dib (pengajaran dan pendidikan) serta istislah (pemulihan dan pembaikan).
Kalau dilihat pada bentuk hukuman ta’zir, ia dapat memulihkan jiwa yang sakit untuk kembali normal, kerana jiwa yang sakit kalau dibiarkan akan merebak dan boleh menjangkiti orang lain, oleh itu rawatan dan pemulihan haruslah diberikan bagi menjamin keamanan dan kebahgiaan hidup di dunia dan akhirat. (Mahmood Zuhdi Hj. 'Abd. Majid. 1992. 46)
Matlamat hukuman untuk menyelamat dan membaik pulih, seperti doktor yang telah membuat pemeriksaan yang teliti ke atas pesakit, maka didapati tiada cara lain yang dapat menyelamatkannya kecuali dengan memotong sebahagian kecil daripada anggota badannya. (Sheikh Mahmud Shaltut 1963M: 273)
2.3.4 Melindungi Kemaslahatan Awam
Matlamat hukuman dalam Islam bertujuan untuk melindungi maslahah manusia agar terhindar daripada kerosakan dan kebinasaan. Dalam konteks melindungi maslahah awam, ianya berkait rapat dengan tiga perkara utama iaitu:
(i) Maslahah daruriyyat iaitu memelihara keperluan asas.
(ii) Maslahah hajiyyah iaitu memelihara kepentingan manusia dalam memenuhi keperluan sampingan.
(iii) Maslahah tahsiniyah iaitu memelihara keselesaan dan keharmonian serta kecerian hidup. (cAbd al-Karim Zaydan 1989: 41)
Walaubagaimanapun kaedah perundangan Islam meletakkan maslahah daruriyyat sebagai paling utama dalam susunan maslahah. Ia merupakan perkara asas dalam kehidupan manusia, maslahah daruriyyat dapat dibahagikan kepada lima perkara iaitu:
1. Memelihara agama, untuk tujuan itu Islam melaksanakan hukuman hudud (bunuh) ke atas orang murtad.
2. Memelihara diri, untuk tujuan itu Islam mengenakan hukuman qisas ke atas pembunuh yang melakukan pembunuhan dengan sengaja.
3. Memelihara harta benda, untuk tujuan itu hukuman potong tangan ke atas pencuri bagi melindungi da memelihara harta benda.
4. Memelihara keturunan, Islam mengenakan hukuman rejam dan sebatan ke atas penzina muhsan dan tidak muhsan agar keturunan terpelihara.
5. Memelihara akal, hukuman sebat ke atas peminum arak bagi tujuan menjaga akal fikiran. (Yusuf Hamid al-Alim t. th: 162-63)
Sesungguhnya mencari matlamat dan menghindari kemudaratan tujuan hidup manusia, maslahah manusia akan tercapai melalui pencapaian tujuan hidup manusia, tetapi apa yang kita maksudkan dengan maslahah ialah menjaga perkara yang menjadi tuntutan syarak ke atas manusia, iaitu lima perkara yang disebutkan di atas tadi, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan memelihara harta benda. (Imam al-Ghazaliy 1322H: 1/ 286-287)
2.3.5 Mewujudkan Keadilan
Hukuman yang dilaksanakan bertujuan untuk mewujudkan keadilan kepada manusia bagi menjamin kebahagiaan hidup, keadilan dalam menjalankan hukuman akan menghasilkan kemakmuran dan kedamaian dalam masyarakat.
Tujuan cuqubah dalam Islam untuk menjamin tertegaknya keadilan, perkara ini dapat dilihat dari beberapa sudut, diantaranya ialah:
(i) Setiap hukuman mestilah mempunyai peruntukan dalam syariah, supaya ia tidak terkeluar dari batasan yang ditentukan oleh syarak.
(ii) Syarak mensyaratkan setiap manusia akan memikul dosanya sendiri, ia tidak boleh ditanggung oleh orang lain.
(iii) Pembalasan haruslah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.
(iv) Semua orang akan mendapat persamaan di sisi undang-undang, tanpa mengira pangkat, kedudukan dan kekayaan. (Ahmad Fathi Bahansiyy 1984: 108-109)
Diantara ciri-ciri cuqubah yang dianggap sebagai asas untuk menjamin tertegaknya keadilan ialah:
1. Uqubah mestilah boleh menghalang orang lain daripada melakukan jenayah dengan mengenakan hukuman yang berat, tetapi dalam batas-batas keadilan.
2. Mestilah ada kesesuaian antara cuqubah dengan jenayah yang dilakukan, hukuman yang tidak sesuai haruslah dielakkan.
3. Mestilah mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan dalam masyarakat
4. Ia mesti dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan tiada siapa yang terlepas dari sebarang hukuman ke atas kesalahannya.
2.4 PEMBAHAGIAN JENIS HUKUMAN DALAM ISLAM
Hukuman dalam undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada babarapa bahagian berdasarkan kepada ciri-ciri tertentu, di antara bahagian tersebut ialah:
(i) Pembahagian berdasarkan kepada hubungan antara jenayah dan hukuman, yang mana ia dipecahkan kepada empat bahagian:
1) Hukuman asal
2) Hukuman gantian
3) Hukuman ikutan
4) Hukuman pelengkap
Hukuman asal, ialah hukuman yang telah disabitkan oleh nas al-Qur’an dan Sunnah. Hukuman jenis ini termasuklah potong tangan ke atas pencuri dan hukuman qisas, yang mana ianya tidak boleh ditokok tambah atau ditukar ganti.
Hukuman gantian, ialah sebagai gantian kepada hukuman asal, ketika mana hukuman asal tidak dapat dilaksanakan disebabkan halangan dari syarak atau kerana ianya tidak mencukupi syarat-syaratnya.
Hukuman ikutan, ialah ekoran dari hukuman asal yang tidak perlu dijatuhkan hukuman oleh pihak hakim, seperti anak yang membunuh bapanya tidak berhak menerima harta pusaka.
Hukuman pelengkap (tambahan), ialah hukuman yang dikenakan kepada penjenayah sebagai tambahan kepada hukuman asal, seperti menggantung tangan pencuri di lehernya untuk waktu tertentu. ('Abd al-Karim Zaydan 1986: 387-398)
(ii) Pembahagian hukuman mengikut bidang kuasa hakim atau ketentuan syarak dan sebaliknya, bahagian ini dipecahkan kepada dua bahagian:
1) Hukuman yang ditentukan oleh al-Qur’an dan Sunnah, tiada kuasa bagi hakim untuk menambah atau mengurangkannya seperti hukuman bagi kesalahan hudud.
2) Hukuman yang terpulang kepada budi bicara pihak hakim atau pemerintah, hukuman jenis ini tidak ditentukan oleh syarak tetapi ianya terpulang kepada kebijaksanaan pihak hakim untuk melaksanakan berdasarkan kemaslahatn awam, hukuman ini dinamakan sebagai ta’zir.
(iii) Pembahagian hukuman berdasarkan bahagian mana atau tempat mana dikenakan ke atas penjenayah, bahagian ini dipecahkan kepada tiga bahagian:
1) Hukuman ke atas anggota badan penjenayah, seperti sebat dan potong tangan ke atas pencuri.
2) Hukuman dikenakan ke atas harta benda seperti pengenaan denda atau diyat.
3) Hukuman yang berbentuk psikologi seperti celaan, memberi malu di hadapan masyarakat dan penjara serta amaran yang diberikan oleh hakim, hukuman ini dinamakan ta’zir yang menjurus ke arah mendidik dan memulihkan penjenayah. (Abd al-Qadir Awdah 1989: 1/ 632)
(iv) Pembahagian hukuman mengikut jenayah yang diwajibkan, pembahagian ini sangat penting dan ianya dipecahkan kepada tiga bahagian:
1) Hukuman bagi jenayah hudud
2) Hukuman bagi jenayah qisas dan diyat
3) Hukuman bagi jenayah ta’zir
2.5 PENGERTIAN JENAYAH DALAM ISLAM
Perkataan jenayah atau jarimah berasal daripada perkataan jarama yang bermaksud berusaha ke arah melakukan perkara keji dan tidak baik di sisi syarak, iaitu sesuatu kejahatan yang membawa kepada dosa besar. (Ibrahim Anis, 'Abd Halim al-Muntasar et.al. 1972: 1/ 118). Ini bermakna jenayah atau jarimah ialah sesuatu tindakan yang dilakukan amat bertentangan dengan keharmonian hidup bermasyarakat, kebaikan, kebenaran dan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh syarak.
Perkataan jenayah mengikut istilah, ialah perkara larangan syarak yang dikenakan hukuman oleh Allah s.w.t ke atas perbuatan yang melibatkan nyawa, harta benda dan seumpamanya. (Wahbah al-Zuhailiyy 1989: 6/ 215)
Muhammad Abu Zahrah (t. th: 23), mendefinisikan jenayah sebagai melakukan perbuatan haram yang dikenakan hukuman kerana melakukannya dan meninggalkan perkara suruhan yang dikenakan hukuman sebab meninggalkannya.
Jenayah merupakan perbuatan yang melanggar undang-undang atau perbuatan yang dapat dihukum dengan undang-undang. (Muhammad Muslehuddin 1992: 1)
2.6 KATEGORI KESALAHAN JENAYAH DALAM ISLAM
Terdapat berbagai-bagai pembahagian bentuk hukuman yang terdapat dalam perundangan Islam, ini dapat dilihat dalam buku-buku yang dikarang oleh para ahli fikah di zaman moden. Pembahagian tersebut berdasarkan kepada kriteria tertentu dan jenis-jenis jenayah yang dilakukan, di antaranya ialah:
2.6.1 Kesalahan Hudud
Hudud kata jamak, mufradnya haddun, manakala perkataan hadd ialah sesuatu yang memisahkan antara dua perkara dan digunakan atas sesuatu yang membezakan dengan sesuatu yang lain. (Ibrahim Anis, 'Abd al-Halim al-Muntasar et. al. 1972: 1/ 160)
Hudud dari segi bahasa bermakna tegahan al-Man'u iaitu mencegah manusia daripada terlibat dalam sesuatu kesalahan , yang membawa kepada pelaksanaan hukuman hadd. (Abu Bakar al-Jaza’ir 1964: 524)
Menurut istilah syarak, iaitu kesalahan yang dihukum dengan hukuman hadd yang ditetapka oleh Allah s.w.t terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah. Pelaksanaan hukuman ini merupakan hak Allah yang tetap, tiada sebarang kuasa untuk mengurang, menambah atau menggantikannya dengan hukuman lain. Tujuannya untuk menjaga kepentingan masyarakat umum dan menghindari keburukan (mafsadat). ('Abd al-Karim Zaydan 1986: 399; Wahbah al-Zuhailiyy 1989: 6/ 12)
Hudud Allah terbahagi kepada dua kategori. Pertama, peruntukan yang ditetapkan untuk manusia dalam perkara yang berhubung dengan makanan dan minuman, perkahwinan dan perceraian, dan sebagainya, yakni apa yang yang halal atau haram.
Kedua, hukuman yang ditetapkan atau dikenakan tehadap orang yang terhadap orang yang melakukan perbuatan yang diharamkan. Perkataan hudud alam fiqh hanya dihadkan kepada hukuman bagi jenayah yang disebut dalam kitab suci al-Qur’an atau sunnah Rasulullah s.a.w. sahaja, manakala hukuman lain terpulang kepada kebijaksanaan kadi atau hakim, atau merupakan peraturan yang dipanggil ta’zir (memalukan penjenayah).
Jenis-jenis Dan Hukuman Bagi Kesalahan Hudud.
Antara kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam jenayah hudud mengikut jumhur ulama ialah; zina, qazaf, minum minuman memabukkan (arak), mencuri, merompak (hirabah), murtad, dan penderhakaan (buqhah). Kesalahan-kesalahan ini menghendaki hukuman berat yang tidak boleh ditokok tambah dan ditukar ganti dengan hukuman lain.
1. Bagi Kesalahan Zina
Hukuman hudud tertentu bagi penzina dalam al-Qur’an telah diterangkan dengan jelas. Wahyu yang diturunkan dengan menyebut hukuman khusus bagi penzina, iaitu firman Allah:
(surah an-Nur (24):2)
Maksudnya:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
Hukumannya adalah berbeza-beza bergantung kepada keadaan penzina. Jika penzina itu muhsan hukuman yang dikenakan ke atas ialah direjam sampai mati, ini adalah pendapat para jumhur ulama. ( Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 56; Ibn Rusdh 1995: 4/ 1718; Ibn Qudamah 1988: 5/ 207)
Manakala penzina yang bukan muhsan hukumannya disebat seratus kali dan dibuang negeri atas pendapat jumhur ulama. (Ibn Rusdh 1995: 4/ 1712; al-Zarqaniy 1306H: 8/ 83)
Abu Hanifah berpendapat hukuman buang negeri tidak perlu, kecuali tindakan tersebut mendatangkan manfaat kepada pesalah. (Wahbah al-Zuhailiy 1989: 6/ 39; al-Kasaniy 1328H: 7/ 55)
2. Qazaf
Fitnah (qazf) merupakan kesalahan yang berlaku apabila seseorang secara palsu, menuduh seorang Islam melakukan zina atau meragui siapa bapanya. Perbuatan tersebut ialah jenayah besar dalam Islam. Orang yang melakukannya disebut dalam al-Qur’an sebagai fasik.
Hukumannya seperti mana yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah, iaitu lapan puluh kali sebatan serta menolak kesaksiannya sehingga ia bertaubat. (al-Syarbiniy 1994: 2/ 454)
Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an antaranya:
(surah an-Nur (24): 4-5)
Maksudnya:
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” –
3. Minum Arak
Syarak telah meletakkan arak sebagai benda najis dan ibu segala kejahatan yang mana hukumannya adalah disebat empat puluh kali sebatan, kemudian hukuman itu ditambah sebanyak lapan puluh kali sebatan pada zaman khalifah Umar.
(al-Syarbiniy 1994: 2/ 461; Ibn Qudamah 1969: 9/ 161)
Meminum arak atau mengambil sesuatu yang memabukkan adalah dosa besar dalam Islam. Walaupun terdapat beberapa faedah jika diminumnya, tetapi menurut al-Qur’an , keburukannya lebih besar dari faedahnya, terutama apabila seseorang melihat dari sudut sosial dan juga individu. Sebagai mana firman Allah:
(surah al-Ma’idah (5): 90)
Maksudnya:
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada”:
Hukuman ini terkandung dalam hadith riwayat muslim, bahawa 'Ali r.a. merotan al-Walid bin Uqbah sebanyak empat puluh kali, kemudian beliau berkata yang bermaksud:
“Rasulullah S.A.W telah merotan empat puluh kali rotan, Abu Bakar merotan empat puluh kali rotan dan Umar lapan puluh kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah dan saya lebih menyukai ini (empat puluh kali rotan)”.(Ibn Majah. 1996: 3/ 234)
4. Mencuri (sariqah)
Apabila seseorang itu mencuri sesuatu barang, disertakan dengan syarat-syaratnya yang mencukupi, seperti nisabnya dan ada pengakuan dari dua orang saksi yang adil, maka hendaklah dijatuhkan hukuman potong tangan seperti yang terkandung dalam al-Qur’an Allah s.w.t berfirman:
(surah al-Ma’idah (5): 38)
Maksudnya:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan yengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
5. Jenayah Merompak
Ayat al-Qur’an tentang rompakan (qatc al-tariq) juga meliputi penjenayah “yang melakukan pengkhianatan” di atas muka bumi Allah serta berkomplot menentang kepentingan negara Islam. Berdasarkan firman Allah yang berbunyi:
(surah al-Ma’idah (5): 33)
Yang membawa maksud:
“Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar”.
Mengikut para ulama fikah telah membahagikan kumpulan ini dan hukumannya kepada empat bahagian iaitu:
1) Mereka yang hanya menakut-nakutkan mangsanya tanpa merompak dan membunuh, hukumannya adalah ta’zir iaitu penjara atau diserahkan kepada pihak hakim untuk menentukan hukuman yang sesai baginya.
2) Mereka yang hanya merompak harta benda sahaja tanpa membunuh mangsanya, hukumannya adalah potong tangan dan kaki secara bersilang.
3) Mereka yang hanya membunuh mangsanya tetapi tidak mengambil harta bendanya, hukumannya mati tanpa disalib.
4) Mereka yang merompak harta benda dan juga membunuh mangsanya, hukumannya dubunuh dan disalib. (Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 83)
6. Murtad
Murtad (riddah) bermaksud penafian terhadap agama Islam sambil memihak kepada agama lain sama ada melalui perbuatan atau perkataan. Orang murtad tidak lagi dianggap Islam. Ayat al-Qur’an yang berikut menjelaskan tentang beratnya dosa dan jenayah murtad:
Tentang jenayah murtad ini, Allah s.w.t berfirman:
(surah Ali-Imran (3): 85)
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”.
Firman Allah lagi,
(surah al-Baqarah (2): 217)
Maksudnya:
“Sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat”,
Ia tergolong dalam jenayah hudud, di mana hukuman berat dikenakan ke atas orang terbabit. Terdapat berbagai-bagai hukuman bagi kesalahan murtad diantaranya hukuman asal, iaitu seperti yang termaktub dalam hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Barang siapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah akan dia”
(al-Khahlaniy. t,th: 4/ 265)
Manakala hukuman alternatif, iaitu rotan atau dipenjara setelah orang murtad itu bertaubat dan boleh merampas semua harta bendanya serta mengurangkan kuasa pengurusan terhadap hartanya. (al-Hattab 1329H: 6/ 281)
7. Pemberontakan (buqhah)
al-Bughah sering diertikan sebagai seseorang yang tidak mentaati ketua atau pemerintahnya yang sah tanpa alasan. Sebahagian ulama mendefinisikan bughah sebagai satu kelompok orang-orang Islam yang menentang pemerintah atau wakil-wakilnya. (Drs. Makhrus Munajat, M. Hun 2004: 122)
Hukum bunuh bagi pemberontak difahami oleh sebahagian sebagai serangan balik yang hanya ditujukan untuk menghalang pemberontakan. Memerangi pemberontakan hukumnya adalah wajib, kerana menegakkan hukum Allah, sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an:
(surah al-Hujurat (49): 9)
Yang membawa maksud:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
Para fuqaha’ telah membahagikan golongan ini kepada empat bahagian iaitu:
1) Golongan yang tidak patuh pada pemerintah yang adil, iaitu sengaja untuk merosakkan keamanan dan kedamaian, mereka ini tidak termasuk dalam golongan perompak.
2) Golongan yang tidak patuh kepada pemerintahan, kerana salah faham atau takwil keliru, golongan ini termasuk dalam pemberontakan.
3) Golongan Kahwarij, yang mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar termasuklah mengkafirkan para Sahabat. Jumhur ulama berpendapat orang-orang Khawarij termasuk golongan pemberontakan.
4) Golongan Ahli-Haq, yang menetang pemerintahan dan bertujuan untuk menggulingkan kerana takwil keliru, mereka mempunyai kekuatan sendiri, golongan inilah yang dimaksudkan dengan pemberontakan. (Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 98-99; Abd Ghani Azmi Idris 1997: 128)
Kebangkitan golongan yang menentang pemerintahan adil adalah merupakan salah satu jenayah yang mesti ditentang dengan cara apa sekali pun.
Sesetangah ulama berpendapat sebelum mereka diperangi, hendaklah didahulukan dengan nasihat, amaran dan memujuk sebagaimana yang dilakukan oleh saidina 'Ali r.a., dengan menghantar 'Abdullah bin cAbbas untuk memujuk mereka kembali ke jalan yang benar. Kalau mereka ingkar maka hendaklah diperangi dengan kekerasan sebagai hukuman ke atas mereka. (Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 100)
2.6.2 Kesalahan Qisas Dan Diyat
Perkataan qisas berasal daripada perkataan arab, qassa yang bermaksud potong atau mengikut. Oleh itu, qisas yang membawa makna undang-undang kesamarataan atau pembalasan yang sama bagi pembunuhan yang telah dilakukan. ('Abdur Rahman I.Doi, 2003: 301)
Qisas juga membawa erti persamaan dan keadilan (al-musawah wa al-ta’adul), iaitu pembalasan yang serupa ke atas kejahatan yang dilakukan ke atas orang lain, seperti jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, tangan dibalas dengan tangan dan sebagainya. (Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 335; Abd Ghani Azmi Idris 1997: 157)
Perintah qisas dalam al-Qur’an berdasarkan prinsip keadilan yang tegas dan persamaan nilai kehidupan manusia, seperti mana firman Allah yang berbunyi:
(surah al-Baqarah (2): 178)
Yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) yalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka yengan orang merdeka, dan hamba yengan hamba, dan perempuan yengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
Jenis jenayah yang melibatkan hukuman qisas, ialah seperti membunuh orang dengan sengaja tanpa hak dan juga kesalahan mencederakan tubuh badan orang dengan sengaja. Bagi kesalahan-kesalahan membunuh orang dengan sengaja, Islam mengenakan qisas iaitu dibunuh balas atau melunaskannya dengan diyat tertentu sekiranya pihak mangsa atau walinya sanggup memaafkan kesalahan yang dilakukannya. Bagi kesalahan mencederakan orang dengan sengaja, setelah ia disabitkan maka akan dijatuhkan hukuman qisas seperti yang dilakukan pada mangsanya ataupun memebayar diyat kalau dipersetujui oleh mangsa dan walinya.
Diantara kesalahan yang tergolong dalam qisas ialah; pembunuhan sengaja, pembunuhan seumpama sengaja, pembunuhan tidak sengaja, kecederaan sengaja, kecederaan seumpama sengaja dan kecederaan tidak sengaja.
Hukuman Jenayah Membunuh
Hukuman Bagi Jenayah Pembunuhan Dengan Sengaja
1) Hukuman asal, sesetengah fuqaha’ berpendapat bahawa hukuman asal bagi jenayah membunuh dengan sengaja ialah qisas dan kaffarah.
2) Hukuman alternatif, ada tiga bentuk hukuman iaitu diyat seratus ekor unta atau diyat dalam bentuk emas seribu dinar dan dua belas ribu dirham dalam bentuk perak. Ta’zia dan juga puasa merupakan alternatif dari memerdekakan seorang hamba sebagai hukuman kaffarah.
3) Hukuman ikutan (tab'iyyah), terdapat dua hukuman bagi kesalahan membunuh dengan sengaja, iaitu haram menerima harta pusaka dan haram menerima wasiat. (Mustafa al-Khin et. al. 1989: 8/ 52; al-Syarbiniy 1994: 2/ 397)
Hukuman Bagi Jenayah Pembunuhan Menyerupau Sengaja
1) Hukuman asal, hukuman bagi kesalahan ini ialah diyat seperti dalam kes pembunuhan sengaja dan hukuman kaffarah.
2) Hukuman alternatif, bagi kesalahan ini dikenakankan ta’zir sebagai hukuman alternatif kepada hukuman diyat dan puasa sebagai alternatif bagi hukuman kaffarah.
3) Hukuman ikutan (tab'iyyah), terdapat dua hukuman bagi kesalahan ini ialah haram menerima pusaka dan juga haram menerima wasiat. (Wahbah al-Zuhailiyy 1989: 6/ 317, 326)
Hukuman Bagi Kesalahan Pembunuhan Tidak Sengaja
1) Hukuman asal, hukuman bagi kesalahan ini adalah diyat sama seperti dalam kes yang terdahulu dan juga hukuman kaffarah.
2) Hukuman alternatif, ialah memerdekakan hamba, tiada hukuman ta’zir dikenakan.
3) Hukuman ikutan (tab’iyyah), iaitu haram menerima pusaka dan juga haram menerima wasiat. (Wahbah al-Zuhailiy 1989: 6/ 328, 330)
Hukuman Bagi Jenayah Kecederaan
Hukuman Bagi Jenayah Kecederaan Yang Disengajakan
Hukuman asal, atas jenayah yang disengajakan ialah qisas dan hukuman diyat, manakala ta’zir sebagai hukuman alternatif kepada hukuman asal.
Hukuman Bagi Jenayah Kecederaan Tidak Sengaja
Hanya ada satu bentuk hukuman sahaja bagi kes kecederaan tidak sengaja iaitu diyat. Tidak terdapat hukuman alternatif bagi kes seperti ini, walaubagaimanapun pihak hakim boleh mengenakan hukuman alternatif seperti ta’zir kalau ianya mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada persalah.
Dalam kesalahan qisas, Syariah telah memberi hak kepada waris mangsa dan walinya dua pilihan, sama ada memaafkan atau mengenakan qisas kepada penjenayah, kerana jenayah qisas yang melibatkan pembunuhan dan kecederaan adalah merupakan hak manusia. Jadi terpulang kepada mereka sama ada memberi kemaafan atau menghendaki hukuman qisas.
2.6.3 Kesalahan Ta’zir
Secara harafiah, ta’zir bermakna mengaibkan penjenayah disebabkan perbuatan jenayahnya yang memalukan. Hukuman dalam ta’zir tidak ditetapkan oleh undang-undang. Oleh sebab itu terpulanglah kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan bentuk dan cara hukuman yang akan dikenakan. Hukuman yang mengikut kebijaksanaan pemerintah ini diberi berdasarkan pertimbangan khas daripada pelbagai faktor yang mempengaruhi perubahan sosial dalam tamadun manusia, dan faktor yang berasaskan perubahan pola perlakuan atau jenis perubahan jenayah yang boleh didakwa di bawah undang-undang. Kesalahan yang boleh dihukum dengan kaedah ini merupakan kesalahan yang mengancam nyawa manusia, harta dan ketenteraman serta kesejahteraan awam. ('Abdur Rahman I.Doi, 2003: 293)
Hukumannya adalah berbeza mengikut kesesuaian kesalahan yang dilakukan dan tidak ditentukan oleh nas, meskipun demikian syarak telah menggariskan beberapa hukuman tertentu bagi kesalahan ini. ('Abd al-Karim Zaydan 1986: 421-22; Wahbah al-Zuhailiyy 1989: 6/ 200-201)
1) Celaan (al-Tawbikh), celaan ialah matlamat utama dalam ta’zir. Celaan dengan kata-kata kesat dan keji akan menyedarkan pesalah terhadap perbuatannya.
2) Amaran keras (al-Wa’z), ini biasa dikenakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan kecil dengan tujuan memperingati dan memberitahunya.
3) Ancaman (al-Tahdid), seperti tindakan hakim memberi amaran kepada pesalah dengan hukuman yang lebih keras kalau dia mengulangi perbuatannya.
4) Pendedahan di khalayak ramai (al-Tasyir), bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang perbuatan buruknya.
5) Merampas harta benda (al-Gharamah wa al-Musadarah), iaitu merampas harta benda dan denda khasnya bagi kesalahan mencuri. Menurut mazhab Ahmad bin Hambal, Abu Yusuf, Maliki dan beberapa orang dari mazhab Shafi’e, hukuman dalam bentuk ini dinamakan sebagai ta’zir.
6) Penjara (al-Habs), hukuman ini berbeza-beza begantung kepada keadaan pesalah dan nemtuk kesalahan yang dilakukan. Hukuman ini adalah disepakati oleh para ulama, bahkan hukuman inilah yang paling banyak diamalkan di kebanyakan negara termasuklah Malaysia.
7) Sebat (al-Jald) para fuqaha’ bercanggah pendapat tentang jumlah sebatan. Mengikut Shaficiy, Malik dan Zaid bin 'Ali, tidak membenarkan sampai ke tahap hukuman had. Bagi Abu Yusuf, tidak sampai lapan puluh kali dan yang paling minimum ialah lima kali sebatan.
8) Hukuman mati (Ta’zir bi al-Qatl), hukuman mati dibolehkan dalam ta’zir seperti hukuman bunuh ke atas pengintip bagi musuh.
Pada hari ini, struktur dan undang-undang jenayah Islam (al-siyasat al-syara’i) adalah berdasarkan prinsip ta’zir. Dalam kata lain ta’zir membentuk hukuman menerusi budi bicara yang dikenakan oleh hakim sendiri bagi kesalahan yang hukumannya tidak ditetapkan atau bagi perbuatan prasangka terhadap jiran seseorang. Kesimpulannya, ta’zir boleh ditakrifkan seperti berikut:
Ta’zir merupakan hukuman tatatertib bagi jenayah yang tidak dikenakan hukuman hudud atau sesuatu bentuk menebus dosa (diyat atau kaffarah). (cAbdur Rahman I.Doi , 2003: 293-294)
Kalau dikaji dari bentuk hukuman yang dijalankan oleh mahkamah Syariah di seluruh nagara, kebanyakannya menjurus ke arah hukuman ta’zir walaupun kesalahan yang dilakukan itu termasuk dalam kesalahan hudud atau qisas.
Meskipun ada sesetengah negeri memperuntukkan hukuman hudud dan qisas seperti mana yang mahu dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan, melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) 1993, tetapi pelaksanaannya masih belum tercapai. Maka sebagai jalan pilihannya mahkamah- mahkamah di Malaysia ini hanya mampu mengenakan hukuman ta’zir, meskipun kesalahan tersebut tergolong dalam jenis kesalahan hudud dan qisas.
2.7 SEJARAH PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MALAYSIA
2.7.1 Zaman Melayu Melaka
Melaka adalah negeri Melayu pertama yang mengasaskan perundangan Islam dalam pentadbirannya, umpamanya dalam undang-undang Melaka terkandung dalamnya 44 fasal. Semuanya merangkumi jenayah (hudud, qisas, ta’zir), sistem ekonomi, pentadbiran dan lain-lain lagi. (Liaw Yock Fang, Undang-Undang Melaka 1976)
Undang-undang berkaitan jenayah dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu: hudud, qisas dan ta’zir.
1. Hukuman Hudud:
1) Zina – memperuntukan seratus kali sebatan, fasal ( 4: 2 )
2) Qazf Zina – memperuntukan lapan puluh kali sebatan, fasal ( 12: 3 )
3) Mencuri – dihukum potong tangan, fasal ( 7: 2, 11: 1 )
4) Minum arak – dihukum empat puluh kali sebatan, fasal ( 42 )
5) Merompak – fasal ( 43: 6 )
6) Penderhakaan – fasal ( 43: 2 dan 5 )
7) Murtad – dihukum bunuh setelah enggan bertaubat, fasal ( 36: 1 )
2. Hukuman Qisas. Iaitu hukuman balas terkandung dalam fasal (5: 1, 5: 3, 8: 2, 8: 3, 8: 4)
3. Hukuman Ta’zir
Diantara kesalahan ta’zir adalah seperti bercumbuan dalam fasal ( 43: 5 ), menuduh zina, fasal ( 41 ), fitnah, fasal ( 41 dan 41: 5 ) dan penyaksian palsu, fasal ( 36 ).
Dari peruntukan di atas, jelas memperlihatkan kepada kita bahawa undang-undang Islam telah pun dilaksanakan sepenuhnya dalam semua bidang di samping ia dijadikan sebagai undang-undang dasar negara sebelum kedatangan penjajah Inggeris.
2.7.2 Zaman Penjajahan British
Kedatangan Inggeris ke tanah Melayu telah merubahkan keadaan yang sedia ada., serta memberi kesan negatif ke atas perkembangan undang-undang Islam. Campurtangan Inggeris telah melebarkan pengaruh mereka dan berjaya mengecilkan peranan undang-undang Islam, ini kerana mereka berjaya memaksa raja-raja Melayu menerima mereka sebagai penasihat, tindakan tersebut telah berjaya memisahkan agama dari pemerintahan negara.
Pelaksanaan undang-undang Islam hanya dibenarkan dalam soal-soal perkahwinan, perceraian, wasiat dan perkara yang bersangkut paut dengan hal ehwal orang Islam. Zaman ini dapatlah dikatakan bahawa kedudukan undang-undang Islam dan peranannya adalah amat terhad dan berada dalam bidang yang sempit, iaitu hanya perkara yang bersangkut paut dengan orang-orang Islam.
2.7.3 Zaman Merdeka
Kedudukan agama Islam selepas kemerdekaan ada dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, peruntukan di dalam Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan menyatakan:
“Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agam-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”
Walaupun Islam agama Persekutuan, tidaklah bermakna undang-undang Islam menjadi undang-undang dasar negara. Tidak pula ia menjadi sumber kepada perlembagaan negara. Tujuan Islam dimasukkan bukan untuk menjadi negara ini sebagai negara Islam, tetapi untuk tujuan dalam upacara rasmi negara, umpamanya untuk membolehkan doa dibaca dalam upacara pertabalan Yang diPertuan Agong dan Hari Kemerdekaan. (Mahmud Saedon A. Othman 1996: 226-27)
Tambah cemas lagi, bila mana Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai undang-undang tertinggi negara seperti mana yang terkandung dalam peruntukan Perlembagaan Perkara 4 ( 1 ) berbunyi:
“Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Kemerdekaan dan berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu”
Jadi setiap undang-undang yang digubal mestilah sesuai dengan kehendak Perlembagaan dan tidak bercanggah dengannya, kalau ada percanggahan undang-undang itu terbatal dengan sendirinya termasuklah undang-undang Islam dan segala enakmen yang digubal oleh kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan