DONATE

Selasa, 11 Julai 2017

Amalan Ilmu Hitam dan Sihir: Suatu Kajian Terhadap Jenayah Syariah

Melaksanakan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

2.              Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 telah membincangkan isu berkaitan amalan ilmu hitam dan sihir. Muzakarah telah memutuskan bahawa :

(i)        Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
(ii)      Pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/ hudud.
(iii)     Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.

3.              Keputusan yang dicapai ini menunjukkan bahawa isu berkaitan ilmu dan amalan sihir ini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib. Malangnya, sehingga ke hari ini, peruntukan undang-undang yang disyorkan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa masih belum digubal oleh mana-mana pihak berkuasa negeri. Justeru, ia menimbulkan pelbagai persoalan terutama mengenai kuasa yang dimiliki oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan sejauh manakah pematuhan kepada keputusan yang dicapai pada tahun 1993 itu. Oleh itu, masanya sudah tiba bagi pihak-pihak berwajib untuk merealisasikan keputusan tersebut.

Melaksanakan Resolusi-Resolusi yang dicapai dalam Muzakarah dan Seminar

4.              Resolusi yang disepakati dalam beberapa muzakarah dan seminar berkaitan jenayah sihir mendesak agar pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menggubal undang-undang yang boleh menghukum pengamal sihir. Antara muzakarah tersebut ialah:

(i)        Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis yang telah diadakan pada 17 Disember 2009;
(ii)      Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli Sihir di Mahkamah yang telah diadakan pada 21 Julai 2010;
(iii)     Seminar Undang-undang Jenayah Sihir yang telah diadakan pada 10 Oktober 2010;
(iv)    Seminar Isu-isu Semasa Mahkamah Syariah ke-12 yang telah diadakan pada 2 November 2011;
(v)      Persidangan Meja Bulat bagi mewujudkan Modul Istitabah Baitul Iman yang telah diadakan pada 17-20 Januari 2012; dan
(vi)    Muzakarah bagi membincangkan undang-undang sihir yang telah diadakan pada 28-30 April 2013.

Merealisasikan Komitmen Kerajaan untuk Membanteras Jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)

5.                Pihak kerajaan amat komited dalam usaha membenteras kegiatan jenayah. Perkara ini diterjemahkan melalui misi untuk mengurangkan jenayah sebagai salah satu matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi tonggak kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP). Justeru, pihak berkuasa juga perlu memberi perhatian kepada masalah jenayah yang dilakukan dengan menggunakan ilmu sihir.

Memacu Agenda Transformasi Sistem Perundangan Islam yang diperkenalkan oleh Kerajaan

6.                Selaras dengan dasar Kerajaan di bawah Government Transformation Programme (GTP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil langkah proaktif dengan membentangkan Dokumen Pelan Strategik JAKIM 2009-2014. Pelan ini digubal dengan mengambil kira isu-isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam. Pelbagai agenda kritikal telah ditentukan untuk diberi tumpuan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Isu-isu berkaitan jenayah sihir yang sudah lama tertangguh perlu diberi tumpuan dalam agenda transformasi ini.

Kajian tentang ilmu dan amalan sihir yang dilakukan di Malaysia

7.                Satu kajian telah dilakukan oleh William Shaw tentang amalan sihir oleh masyarakat di Malaysia sekitar tahun 1975. Dalam bukunya Aspects of Malaysian Magic yang diterbitkan oleh Muzium Negara, beliau menyatakan bahawa hampir saban tahun, sebilangan masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa sihir dan telah mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan tradisional di samping ’menghantar balik’ sihir itu kepada tuannya.

8.               Pada tahun 2012, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan menyatakan bahawa kerugian akibat penipuan oleh pengamal perubatan tradisional pada tahun 2012 adalah sebanyak RM12.5 juta iaitu pertambahan sebanyak 63.4%.

9.                Tinjauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 pula menunjukkan bahawa sebanyak 69.4% rakyat Malaysia pernah menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) sekurang-kurangnya sekali semasa hayat mereka. Justeru, bagi tujuan mengawal selia perkhidmatan pengamal PT&K di Malaysia, Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 telah diwartakan pada 7 Februari 2013.

Kes-kes yang dilaporkan di mahkamah

10.            Dari aspek perundangan, terdapat beberapa kes yang mempunyai kaitan dengan penggunaan ilmu sihir telah dibicarakan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Antara kes-kes yang terkenal ialah :

(i)        Kes Pendakwa Raya lwn. Mat Saad Mat Isa & 2 Lagi [2005] 1 AMR 29 dan Sabarudin Bin Non & Ors v. PP [2005] 4 MLJ 37 yang menyebut secara terang-terangan bahawa sihir berbentuk santau telah digunakan sebagai salah satu cara untuk membunuh mangsa.
(ii)             Kes Juraimi Bin Husin v. PP dan Mohd Affandi b. Abdul Rahman & Anor v. PP [1998] 1 MLJ 537 yang menyaksikan seorang pengamal ilmu hitam, Mona Fandey, yang telah didakwa membunuh Allahyarham Dato’ Mazlan.
(iii)           Kes Tan Mui Choo & Anor v. PP [1987] 1 MLJ 267 berkaitan pembunuhan ke atas dua kanak-kanak yang turut melibatkan upacara pemujaan dan sihir.
(iv)           Kes Dato Mokhtar Bin Hashim & Anor v. PP [1983] 2 MLJ 232 yang menunjukkan adanya penggunaan ilmu sihir untuk melemah dan melumpuhkan mangsa sebelum dibunuh.
(v)            Kes Francis A/L Anthonysamy v. PP [2003] 2 MLJ 49 pula melibatkan peranan bomoh yang menyarankan supaya tertuduh mendapatkan kepala manusia untuk dipuja bagi memenangi nombor ekor.
(vi)           Kes PP v. Vasavan Sathiadew & Ors [1990] 1 MLJ 151 berkaitan penggunaan khidmat ahli sihir oleh isteri si mati apabila dia mengetahui bahawa suaminya telah curang.
(vii)         Kes Muniandy & Ors v. PP [1966] 1 MLJ 257 dan kes B v. P [1998] 5 MLJ 787 melibatkan dakwaan penggunakan ilmu hitam sehingga menyebabkan ahli keluarga mereka berpecah dan bergaduh sesama sendiri.
(viii)        Kes Safura Bte Ya'cob v. Saripah Raziah Bte Mustafa [2003] MLJU 9 (Malayan Unreported Judgments) melibatkan defendan yang didakwa memfitnah plaintif mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyihir beliau.
(ix)           Kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman [1410] JH 41 melibatkan dakwaan oleh suami bahawa beliau melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir.
(x)            Kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 melibatkan pemohon yang mendakwa berada di bawah pengaruh sihir ketika melangsungkan perkahwinan.

11.            Kes-kes di atas menunjukkan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, disebabkan ketiadaan peruntukan undang-undang, maka pengamal-pengamal sihir dan individu-individu yang mendapatkan perkhidmatan mereka terlepas dari sebarang tindakan undang-undang.


PERKARA-PERKARA YANG HENDAK DICADANGKAN

Mewartakan amalan sihir sebagai jenayah Syariah

12.            Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, Jawatankuasa Kajian Undang-Undang Sihir mencadangkan agar satu peruntukan tambahan dalam enakmen atau akta kesalahan jenayah Syariah yang mengandungi definisi, senarai kesalahan-kesalahan dan hukumannya telah didraf sebagaimana yang berikut :

Definisi Sihir
“Sihir” ertinya apa-apa jampi, mantera, perkataan, ungkapan atau perbuatan tertentu dengan menggunakan bahan atau peralatan, atau apa-apa cara lain, yang menyalahi hukum Syarak, sama ada kesan daripada amalan itu menyebabkan dharar kepada seseorang atau tidak.

Peruntukan Kesalahan
(1)   Mana-mana orang yang mengamalkan sihir adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan disebat tidak melebihi enam sebatan dan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

(2)   Mana-mana orang yang menggunakan amalan sihir terhadap orang lain adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan disebat tidak melebihi enam sebatan dan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

(3)   Mana-mana orang yang mendapatkan khidmat pengamal sihir untuk mencapai apa-apa tujuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan disebat tidak melebihi enam sebatan dan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.
(4)   Mana-mana orang yang menyebabkan sesuatu sihir itu diamalkan atau disebarkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan disebat tidak melebihi enam sebatan dan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

(5)   Mahkamah boleh memerintahkan supaya apa-apa peranti, dokumen, barang atau benda yang digunakan dalam pelakuan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1), (2), (3) atau (4) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu.

(6)   Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah subseksyen (1), (2), (3) atau (4) Mahkamah itu boleh, sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan mana-mana orang sedemikian dikomitkan ke pusat pemulihan diluluskan untuk menjalani apa-apa kaunseling atau pemulihan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi satu tahun sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa hukuman pemenjaraan dikenakan sekali dengan kaunseling atau pemulihan, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.

Perbuatan Sebagai Persediaan Untuk Melakukan Sihir
(1)   Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk mengamalkan atau menggunakan sihir adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan disebat tidak melebihi enam sebatan dan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit.

Misalan
(a) Seseorang itu dikatakan mengamalkan sihir dalam keadaan-keadaan berikut:

(i) A memakai tangkal yang diperbuat dari taring harimau yang telah dijampi dengan tujuan dipandang gerun oleh orang lain. A adalah mengamalkan sihir.

(ii) A, dengan bacaan jampi, membelah abdomen B dengan tangan kosong dan berjaya mengeluarkan batu karang dari abdomen B. A adalah mengamalkan sihir walaupun B sembuh dari penyakitnya itu.

(b) Seseorang itu dikatakan menggunakan amalan sihir terhadap orag lain dalam keadaan-keadaan berikut:

(i) A menaburkan pasir kubur yang telah dibacakan mantera di laluan masuk premis perniagaan B dengan niat menutup pandangan pelanggan yang datang ke premis B. A telah menggunakan amalan sihir terhadap B.

(ii) A, sambil membaca mantera, menikamkan pisau yang dibalut kain kuning ke bahagian abdomen patung yang dililit padanya gambar B dengan menggunakan benang tiga warna. A telah menggunakan amalan sihir terhadap B.

(c) Seseorang itu dikatakan mendapatkan khidmat pengamal sihir dalam keadaan-keadaan berikut:

(i)          A mengupah B untuk memasang susuk ke mukanya supaya kelihatan cantik. B memasukkan susuk jarum emas yang telah dijampi ke muka A. A mendapatkan khidmat dari pengamal sihir iaitu B manakala B adalah mengamalkan sihir.
(ii)         A meminta B, iaitu seorang bomoh, supaya menyebabkan C dan isterinya D, bercerai berai. B lalu membaca mantera terhadap tulang kucing dan tulang anjing yang dibalut bersama dengan nama C dan D, lalu ditanam di bawah rumah C dan D. B adalah melakukan sihir manakala A mendapatkan khidmat sihir dari B.

(d) Seseorang itu dikatakan menyebabkan sesuatu sihir itu diamalkan atau disebarkan dalam keadaan-keadaan berikut:

(i) A mengajarkan B ilmu santau bagi tujuan untuk membalas dendam terhadap C. B melakukan seperti yang diajar. A adalah melakukan kesalahan menyebarkan sihir manakala B adalah melakukan sihir.


Pemakaian prosedur siasatan, geledahan, tangkapan dan sitaan

13.            Adalah dicadangkan agar prosedur siasatan bagi kes-kes melibatkan ilmu sihir dibahagikan kepada beberapa peringkat:

(i)        Aduan kepada pegawai penyiasat;
(ii)      Siasatan;
(iii)     Siasatan Lanjut;
(iv)    Tangkapan;
(v)     Geledahan;
(vi)    Sitaan; dan
(vii)   Laporan Kertas siasatan kepada bahagian pendakwaan.

(Sila rujuk Carta Alir Proses Siasatan di Lampiran C dan Lampiran D)

14.          Adalah dicadangkan juga agar pegawai yang melakukan siasatan mempunyai segala kuasa siasatan yang diperuntukkan dalam seksyen 54 hingga seksyen 66 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) untuk membuat rakaman percakapan saksi-saksi, penggeledahan dan pengumpulan keterangan dan eksibit, tangkapan dan tahanan serta soal siasat sehingga selesai penyiasatan kes di mana OYDS dituduh di Mahkamah.

15.          Pegawai penyiasat ini akan mempunyai peranan-peranan seperti yang berikut:

(i)        menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan berkaitan sihir dan melakukan siasatan;
(ii)      mengesan dan menyiasat apa-apa pelakuan yang menimbulkan keraguan dan syak yang munasabah, percubaan atau komplot untuk melakukan apa-apa kesalahan berkaitan sihir;
(iii)     meneliti dan mengkaji segala aspek amalan serta kaedah-kaedah dan bahan-bahan bukti yang mensabitkan kepada amalan sihir yang biasa digunakan dengan tujuan untuk memudahkan penemuan dan pembuktian kesalahan berkaitan sihir;
(iv)    mempermudahkan siasatan dan menghasilkan kualiti siasatan yang jelas lagi konkrit bagi tujuan pendakwaan OYDS di mahkamah;

16.          Mana-mana pihak yang mempunyai sebab yang munasabah bahawa satu kesalahan berkaitan sihir dilakukan, maka beliau perlu membuat aduan kepada pegawai penguatkuasa agama dengan mengisi Borang 5. Mangsa juga dikehendaki mengisi Borang Aduan Mangsa Sihir. (Sila rujuk Lampiran E)

Aduan kepada pegawai penguatkuasa agama

17.          Apabila pengaduan atau laporan dibuat kepada seorang Pegawai Penguatkuasa Agama berkenaan suatu kesalahan berkaitan sihir, maka Pegawai Penguatkuasa Agama tersebut atau mana-mana pegawai lain di bawah arahannya hendaklah menulis maklumat itu dan setelah menulis hendaklah dibaca semula kepada pengadu. Setiap pengaduan hendaklah ditulis dalam buku laporan yang disimpan oleh Ketua Penguatkuasa Agama dan hendaklah ditulis tarikh dan waktu aduan dibuat, sama ada diberi dengan tulisan atau percakapan. Setelah membuat pengaduan, ia hendaklah ditandatangani oleh pengadu itu sendiri.

18.          Maklumat dalam Borang 5 hendaklah mengandungi butiran-butiran berikut:

(i)       Apakah kejadian yang hendak dilaporkan;
(ii)      Bilakah tarikh dan masa berlakunya kejadian itu;
(iii)     Di manakah tempat atau lokasi berlakunya kejadian;
(iv)    Siapa orang terlibat atau disyaki sekiranya ada saksi yang melihat dan sebagainya;
(v)      Bagaimana cara atau bagaimana kes itu berlaku dan cara jenayah itu dilakukan;
(vi)    Akibat yang ditanggung oleh mangsa seperti kerosakan, kerugian, kecederaan yang dialami.

19.          Maklumat yang dibuat perlu memenuhi syarat-syarat yang berikut:

(i)        Maklumat dibuat atas kesedaran sendiri, bukannya kerana percaya kepada telahan atau ramalan seseorang;
(ii)      Maklumat dibuat setelah pengadu atau warisnya itu, mengalami tanda-tanda yang mempunyai kaitan dengan simptom-simptom lazim terkena sihir.
(iii)     Pengadu atau warisnya itu mesti mempunyai bukti-bukti yang boleh menyebabkan beliau atau warisnya itu percaya bahawa beliau atau warisnya itu telah disihir;
(iv)    Maklumat mesti dilakukan tanpa prejudis kepada sesiapa dan demi untuk mencari keadilan bagi dirinya atau diri mangsa.

20.          Apabila sesuatu aduan dibuat, pengadu atau mangsa hendaklah dirujuk kepada pegawai penyiasat terlebih dahulu bagi dilakukan siasatan awal. Siasatan ini dilakukan dengan tujuan untuk memastikan bahawa pengadu atau mangsa mengalami simptom lazim gangguan makhluk halus.

Siasatan Awal
21.          Dalam siasatan awal ini, pengadu atau mangsa dikehendaki menjawab satu set soalan dalam Borang Soal Siasat Aduan Sihir (Sila rujuk Lampiran F) yang merupakan saringan pertama bagi memastikan simptom yang dialami oleh pengadu atau mangsa benar-benar berpunca dari gangguan makhluk halus. Borang tersebut mengandungi 120 soalan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti berikut:

(i)        Latar belakang diri pengadu atau mangsa;
(ii)                      Keadaan emosi dan perasaan pengadu atau mangsa;
(iii)                     Keadaan sosial pengadu atau mangsa;
(iv)                    Keadaan fikiran pengadu atau mangsa semasa jaga;
(v)                     Keadaan fizikal pengadu atau mangsa semasa tidur;
(vi)    Latar belakang keluarga pengadu atau mangsa;
(vii)   Keadaan rumahtangga pengadu atau mangsa (sekiranya sudah berumahtangga);
(viii)  Keadaan kediaman atau premis perniagaan pengadu atau mangsa; dan
(ix)                    Soalan khusus untuk pengadu atau mangsa wanita.

22.          Setelah menerima borang tersebut yang diisi lengkap, Pegawai Penyiasat hendaklah membuat analisa untuk memastikan bahawa simptom yang dialami pengadu atau mangsa benar-benar berpunca akibat gangguan makhluk halus. Sekiranya terdapat kemungkinan bahawa simptom tersebut benar, maka pegawai tersebut bolehlah menjalankan sesi soal jawab bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang punca sebenar gangguan tersebut.

23.          Dalam soal jawab ini, perkara-perkara berikut mesti ditanya secara terperinci oleh pegawai penyiasat berkenaan perubahan mendadak kepada kehidupan mangsa sebelum dan selepas mengalami gangguan yang merangkumi :

(i)        Kesihatan fizikal. Contohnya, jika mangsa seorang yang sihat, tiba-tiba jatuh sakit tanpa diketahui puncanya.
(ii)      Kewarasan akal dan perasaan. Contohnya, jika mangsa seorang yang rasional, tiba-tiba berubah menjadi tidak waras dan berfikiran yang bukan-bukan. Jika mangsa yang bersifat penyayang tiba-tiba berubah menjadi seorang yang pembenci.
(iii)     Tingkah laku dan tabiat. Jika mangsa seorang yang sabar dan bertolak ansur tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang pemarah dan pendendam.
(iv)    Rutin hidup seharian. Jika mangsa seorang yang rajin secara tiba-tiba menjadi pemalas.

24.            Melalui jawapan yang diberikan, pegawai penyiasat perlu meneliti sama ada perubahan-perubahan tersebut adalah akibat perbuatan sihir atau faktor lain seperti saka keturunan, amalan khurafat, kerasukan biasa atau kesan akibat perbomohan.

25.            Untuk menentukan apa yang berlaku tadi adalah berpunca dari akibat disihir, biasanya:

(i)                    Perubahan itu berlaku secara mendadak tanpa sebab;
(ii)      Perubahan tersebut hampir seratus peratus berlawanan dengan keadaan asal mangsa sebelum disihir. Jika ditanya saudara atau kenalan yang rapat dengannya, pasti mereka mengatakan bahawa itu bukanlah keadaan diri mangsa yang mereka kenali.
(iii)     Perubahan tersebut berlaku setelah mangsa, sama ada secara sedar atau tidak, melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan mana-mana orang merasa dengki, irihati, marah, dendam, hasad, meluat dan seumpamanya. Sebagai contoh, pengadu mula jatuh sakit setelah dia menolak pinangan seorang lelaki yang datang melamarnya.

26.            Pegawai penyiasat perlu menyiasat sama ada mangsa, keluarga mangsa atau keturunannya pernah terlibat dalam amalan perubatan tradisional, sihir, perbomohan atau apa-apa ilmu-ilmu berunsur mistik dan kebatinan. Perkara ini sangat penting bagi menentukan sama ada gangguan yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari sihir, bukan selainnya.

27.            Seorang pegawai penyiasat perlu mahir untuk menentukan sama ada mangsa disihir atau diganggu saka. Antara panduan untuk membezakan antara saka dan sihir ialah:

(i)        Gangguan saka biasanya menyeluruh ke atas ahli keluarga dan simptom yang dialami oleh mereka hampir sama manakala kesan serangan sihir hanya dialami oleh orang yang hendak di sihir sahaja.
(ii)      Gangguan saka berlaku apabila tuannya meninggal dunia, atau sekiranya berlaku pelanggaran pantang larang atau perjanjian dengan makhluk halus yang dibelanya. Berlainan pula dengan sihir. Ia berlaku secara mendadak, biasanya selepas mangsa melakukan sesuatu yang menyakiti hati seseorang.
(iii)     Saka biasanya berlaku melalui pewarisan barang-barang kepunyaan tuan yang membela saka manakala sihir berlaku melalui pemujaan makhluk halus dengan disertai bahan-bahan sihir yang tertentu.

28.            Pegawai penyiasat perlu menyiasat sama ada mangsa pernah terlibat dalam amalan-amalan berbentuk kebatinan, mistik dan luarbiasa seperti bertapa, pati geni dan seumpamanya. Adakalanya simptom mangsa terkena sihir hampir menyamai simptom akibat amalan khurafat. Cara mudah untuk membezakannya ialah simptom tersebut dialami mangsa setelah beramal dengan suatu amalan mistik untuk satu tempoh.

29.            Pegawai penyiasat juga perlu menyiasat sama ada mangsa pernah mendapatkan rawatan atau berjumpa dengan seseorang yang mendakwa mempunyai kebolehan luar biasa untuk merawat penyakit misteri seperti bomoh, pawang, dukun, tukang tilik dan ahli nujum. Adakalanya simptom mangsa terkena sihir hampir menyamai simptom akibat amalan perbomohan. Cara mudah untuk membezakannya ialah simptom tersebut dialami mangsa setelah mendapatkan rawatan dari perawat-perawat tersebut.

30.            Sekiranya pengadu, semasa sesi soal jawab itu, ada menyatakan pernah terjumpa sesuatu yang pelik seperti patung tergantung atau beras kunyit di laluan masuk, bangkai haiwan yang dibakar atau digantung depan pagar, atau telur mentah dibaling di laman rumah, atau yang seumpamanya, maka semua perkara itu mesti diambil kira dalam siasatan dan disimpan sebagai bukti oleh pegawai penyiasat. Besar kemungkinan bahan-bahan tersebut ada kaitan dengan kes. Ia juga boleh membantu pakar bagi menentukan jenis sihir yang digunakan dan individu yang mungkin terlibat.

31.            Selain pengadu, individu-individu yang terdekat seperti ahli keluarga dan rakan-rakan rapat beliau juga perlu ditemubual bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam.

32.            Sekiranya Pegawai penyiasat mendapati, berdasarkan maklumat yang diperolehi, bahawa pengadu atau saudara terdekatnya memang terkena sihir, maka satu siasatan lanjut perlu dijalankan ke atas mangsa bagi memastikan jenis sihir yang digunakan, bagaimana sihir itu dilakukan dan siapa yang melakukannya.

Siasatan Lanjut
33.          Untuk melakukan siasatan lanjut, bantuan dan kerjasama dari pengamal pengubatan Islam yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari diperlukan.

34.            Pegawai penyiasat perlu bekerjasama dengan pengamal pengubatan Islam untuk mengenal pasti perkara-perkara berikut :

(i)        Simptom-simptom yang dialami oleh pengadu atau mangsa;
(ii)      Tanda-tanda yang terdapat pada tubuh pengadu atau mangsa;
(iii)     Perkataan yang disebut oleh pengadu atau mangsa semasa proses rawatan;
(iv)    Bahan yang keluar daripada tubuh pengadu atau mangsa semasa rawatan dijalankan;
(v)      Bahan yang digunakan.

35.            Bahan-bahan yang ditemui dalam proses siasatan perlu diserahkan kepada pakar forensik untuk menentukan kaitan antara pengadu atau mangsa dan bahan tersebut seperti cap jari, rambut, darah dan sebagainya.

36.            Dalam proses rawatan yang dilakukan oleh perawat ini, adakalanya pengadu atau mangsa akan pengsan atau tidak sedar diri. Ini menunjukkan bahawa mangsa telah dikuasai oleh khadam sihir. Antara tanda untuk mengenalinya ialah:

(i)        Suara mangsa berubah dari suara asalnya. Sebagai contoh, jika mangsa seorang wanita, suaranya bertukar menjadi garau dan kasar persis suara seorang lelaki. Sekiranya dia seorang yang muda, suaranya seperti suara orang tua. Adakalanya mangsa bercakap menggunakan bahasa asing.
(ii)      Sikap dan perangai mangsa berubah sama sekali. Kalau beliau seorang yang penyantun tiba-tiba berubah menjadi kasar, ganas dan bengis. Kalau dia seorang yang bercakap lemah lembut tiba-tiba menengking, ketawa mengilai-ngilai dan memarahi orang sekeliling dengan sesuka hati.
(iii)     Kekuatan fizikalnya bertambah dan kekuatan tersebut amat luarbiasa. Kadang-kadang kekuatan seorang wanita yang dikuasai khadam sihir menyamai dengan kekuatan 4 atau 5 orang lelaki.
(iv)    Matanya bersinar liar dan tidak berkelip-kelip, dan renungannya kelihatan sangat tajam.

37.          Apabila ini berlaku, maklumat berkaitan kes ini lebih mudah untuk diperolehi. Pegawai yang melakukan siasatan, dengan dibantu perawat, perlu mengambil peluang ini untuk melakukan soal siasat terhadap khadam sihir yang menyerang pengadu atau mangsa. Antara soalan yang mesti ditanya ialah:

(i)        Nama dan asalnya;
                                     
(ii)      Sama ada ia datang akibat dihantar ahli sihir atau disebabkan pengadu atau mangsa yang mengganggunya; dan sekiranya ia dihantar oleh ahli sihir, dengan siapa dia berkhidmat;
(iii)     Sebab ia menyerang pengadu atau mangsa;
(iv)    Jenis sihir yang dikenakan kepada pengadu atau mangsa, bahan sihir yang digunakan dan tempat barang-barang tersebut diletakkan;
(v)      Cara ia memasuki tubuh pengadu atau mangsa dan di mana duduknya;
(vi)    Sama ada sihir itu dilakukan untuk tuannya atau untuk mana-mana orang lain yang mendapatkan khidmatnya; dan di mana lokasinya;
(vii)   Cara hendak melepaskan pengadu atau mangsa dari sihirnya;
(viii)  Jenis upah atau ganjaran yang diterima sebagai balasan atas perjanjiannya dengan penyihir; dan
(ix)    lain-lain maklumat yang difikirkan perlu.

38.          Sekiranya khadam sihir itu memberitahu jenis bahan yang digunakan dan di mana kedudukannya, maka pegawai penyiasat boleh memastikan kebenaran dakwaan khadam sihir tersebut dengan pergi ke lokasi yang dinyatakan dan melakukan pengeledahan. Bahan-bahan tersebut boleh jadi ditanam, digantung, ditabur, diikat, disiram, diselit, dibakar atau dipaku. Kebiasaannya bahan-bahan tersebut memang ada kecuali ia telah reput akibat masa yang terlalu lama.

39.          Sekiranya bahan yang dinyatakan itu ditemui, maka pakar forensik hendaklah menjalankan ujian ke atas bahan tersebut untuk mengesan sebarang petanda yang mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat. Sebagai contoh, jenis-jenis bahan dan kuantiti yang digunakan, cap jari yang terdapat pada bahan tersebut, apa-apa bahan yang berasal dari tubuh mangsa, atau apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai bahan bukti bahawa sihir tersebut telah dilakukan.

40.          Sebarang percakapan dan perbualan antara pengadu dan pegawai penyiasat sepanjang siasatan berjalan hendaklah dirakamkan. Setiap aduan dan hasil siasatan yang dibuat hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada orang selain pegawai penyiasat dan pendakwa sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas sesuatu kesalahan. Ini bagi mengelakkan sebarang salah tafsir terhadap pengadu.

41.           Sekiranya pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan berpuas hati berdasarkan maklumat dan bukti-bukti yang diberikan kepadanya bahawa satu kesalahan berkaitan sihir telah dilakukan, maka prosedur tangkapan, geledahan dan penyiasatan boleh dijalankan.

Prosedur Tangkapan
42.            Tangkapan adalah tindakan pertama yang diambil terhadap seseorang yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan tersebut. Oleh itu adalah penting untuk memastikan tangkapan yang dibuat itu adalah sah di sisi undang-undang. Persoalan sama ada satu tangkapan itu sah atau tidak adalah mustahak kerana ia akan menentukan kesahihan tindakan-tindakan susulan yang akan diambil sewaktu menjalankan siasatan. (Sila rujuk seksyen 10 Akta Tatacara Jenayah Syariah).

43.            Proses menangkap seorang penjenayah yang mahir dalam ilmu sihir mungkin tidak semudah menangkap penjenayah biasa. Oleh itu, para pegawai penyiasat perlu mematuhi arahan dan prosedur yang telah ditetapkan. Sila rujuk Garis Panduan Siasatan, Tangkapan, Geledahan Dan Sitaan Bagi Kesalahan Berkaitan Amalan Sihir di Lampiran G.

44.            Sekiranya orang yang hendak ditangkap menghalang dengan apa cara jua usaha untuk menangkapnya atau cuba mengelakkan tangkapan, mana-mana pegawai penguatkuasa agama atau polis atau mana-mana orang lain boleh menggunakan apa jua cara untuk menangkapnya, termasuk menggunakan kekerasan yang berpatutan, tetapi tidak melampau hingga menyebabkan kematian.

45.            Apabila seorang suspek ditangkap, maka dia boleh ditahan di balai polis bagi tujuan siasatan dalam tempoh yang tidak melebihi 24 jam.

46.            Penggeledahan perlu disertai oleh seorang pengamal pengubatan Islam yang diiktiraf. Sekiranya pegawai-pegawai yang ingin menangkap pengamal sihir mengalami kesukaran untuk melaksanakannya, maka mereka perlu mendapatkan pandangan dan kerjasama dari pengamal tersebut tentang kaedah-kaedah dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi membolehkan tangkapan itu dibuat.

Prosedur Geledahan
47.           Maklumat yang diperolehi dari siasatan dan siasatan lanjut boleh digunakan untuk mengetahui lokasi bahan-bahan yang digunakan dalam upacara sihir. Berdasarkan maklumat tersebut, pegawai penyiasat perlu melakukan penggeledahan ke atas premis atau lokasi tersebut. Selain mencari bukti-bukti yang mempunyai kaitan dengan kesalahan yang dilakukan, penggeledahan ini juga bertujuan untuk melepaskan mangsa dari ikatan sihir.

48.            Penggeledahan pada premis adalah dalam dua bentuk:
(i)                       Penggeledahan ke atas lokasi bahan-bahan sihir diletak.
Kebiasaannya, bahan-bahan sihir lazimnya ditanam atau ditabur dilaluan mangsa atau di sekitar kediaman mangsa, disapu pada barang-barang kepunyaan mangsa, digantung atau diselit di mana-mana premis mangsa atau tempat yang jauh, dibuang ke dalam perigi buta atau di mana tempat yang difikir dapat memberi kesan yang kuat (seperti di bawah dapur, di bawah tilam) atau susah untuk ditemui (telaga buta). Bagi memudahkan siasatan, kerjasama unit forensik amat diperlukan bagi mengenalpasti bahan yang digunakan, cap jari yang terdapat pada bahan tersebut sekiranya ada, tempoh ianya berada di situ dan apa-apa petunjuk yang boleh dihubungkait dengan perlakuan sihir.

(ii)      Penggeledahan premis kediaman tukang sihir atau pusat upacara sihir.
Penggeledahan ini perlu dilakukan bagi mendapatkan bahan-bahan yang digunakan oleh tukang sihir untuk menjalankan upacara sihir. Bahan-bahan tersebut menjadi bukti yang kuat bahawa orang yang ditangkap itu sememangnya tukang sihir. Kerjasama pengamal pengubatan Islam diperlukan bagi mengenal pasti bahan-bahan yang terdapat dalam premis tersebut dan signifikannya dalam amalan sihir.

Pemeriksaan dan Penyitaan 
49.            Pegawai penyiasat juga perlu diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan pada tubuh orang yang ditangkap. Sekiranya OYDS yang ditangkap disyaki pengamal sihir, maka apa-apa sahaja bahan yang terdapat pada tubuh OYDS, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah sihir boleh disita sehinggalah OYDS yang ditangkap itu dilepaskan dari sebarang pertuduhan. Antara bahan yang mungkin dijumpai pada tubuh OYDS ialah tangkal, azimat, pakaian atau bahan-bahan berbentuk rajah yang diperbuat dari kulit binatang atau yang seumpama dengannya. Sila rujuk Panduan Bahan-Bahan Sihir Yang Perlu Disita di Lampiran H.

50.            Setelah siasatan selesai dilakukan dan apabila segala butiran siasatan telah lengkap, maka kertas siasatan yang disediakan hendaklah diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie. Pada peringkat ini, adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk membentangkan hasil siasatan dan mengemukakan segala keterangan bagi menjustifikasikan tindakan seterusnya yang akan diambil.

Pemakaian jenis keterangan yang boleh menjadi bahan bukti dan diterima pakai di dalam perbicaraan mahkamah.

51.          Proses memberi dan menerima keterangan dalam mahkamah bagi kes-kes jenayah adalah antara proses yang rumit kerana kerelevanan fakta yang dikemukakan sangat mempengaruhi keputusan hakim.

52.          Bagi tujuan memastikan mekanisma yang digunakan dalam proses memberi keterangan dalam mahkamah dapat disesuaikan dengan situasi dan keadaan kes, maka terdapat empat (4) kaedah yang boleh diguna pakai iaitu:

(i)        Keterangan lisan;
Keterangan lisan adalah keterangan secara langsung sama ada dari pengamal sihir itu sendiri berupa pengakuan, atau keterangan lisan dari mangsa, saksi yang melihat kejadian atau saksi pakar;
(ii)      Keterangan dokumentar;
Keterangan dokumentar ialah keterangan dalam bentuk dokumen yang ketara seperti laporan pakar perubatan, fotograf, video atau apa-apa rakaman elektronik atau digital.
(iii)     Keterangan fizikal;
Keterangan fizikal ialah keterangan yang terdapat pada bahan-bahan yang dijumpai di lokasi kejadian atau pada tubuh mangsa dan seumpamanya dan termasuk lawatan ke tempat kejadian.
(iv)    Keterangan mengikut keadaan (qarinah).
Keterangan mengikut keadaan ialah keterangan yang relevan kepada fakta persoalan. Contohnya:
(a)     Jika isu yang timbul, adakah A menyihir B, maka fakta A bermusuhan dengan B adalah qarinah.
(b)     B disihir oleh C (pengamal sihir) atas permintaan A. Maka, fakta A bermusuhan dengan B, A bertemu dengan C dan C memiliki barang-barang kepunyaan B, adalah qarinah.
Pengakuan
53.          Pengakuan salah ialah pengakuan yang dibuat pada bila-bila masa oleh OYDS atas suatu kesalahan, menyatakan atau menyarankan kesimpulan bahawa dia telah melakukan kesalahan itu. Jika tertuduh dalam keadaan yang waras dan berumur dewasa membuat pengakuan bahawa beliau adalah seorang pengamal sihir dan telah melakukan jenayah dengan menggunakan sihir, maka pengakuan sedemikian membolehkan pensabitan dikenakan terhadapnya.

54.            Pengakuan hendaklah memenuhi kehendak peruntukan berikut:
(i)        Seksyen 18 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1997 [Akta 561] ;
(ii)      Seksyen 17(1) Akta 561; dan
(iii)     Seksyen 17(2) dibaca bersama seksyen 62 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560].

55.            Sekiranya pengakuan dibuat dalam mahkamah, sebelum sesuatu pengakuan direkodkan, seorang hakim mesti memastikan bahawa tertuduh faham akan jenis dan akibat daripada pengakuannya dan ianya dibuat secara sukarela.

   Keterangan Saksi
56.            Keterangan saksi merupakan salah satu cara pembuktian yang diterima mahkamah dalam kes jenayah. Melalui cara ini, individu yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan jenayah yang dilakukan akan dipanggil bagi memberikan keterangan. Bagi tujuan pembuktian melalui saksi dalam kes jenayah sihir, terdapat 2 kategori saksi yang boleh dipanggil untuk memberi keterangan:

(i)        Saksi yang menjalankan penyiasatan, penggeledahan dan tangkapan
Saksi ini terdiri daripada pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan. Begitu juga pegawai yang melakukan penggeledahan ke lokasi-lokasi yang disyaki menjadi tempat dijalankan jenayah sihir atau disimpan barang-barang sihir, pegawai yang melakukan tangkapan ke atas pengamal sihir, pegawai yang menjalankan ujian pengesanan ke atas bahan sihir dan pegawai yang memperolehi maklumat dari pengadu atau mangsa. Keterangan yang dikemukakan oleh mereka boleh disokong dengan apa-apa catatan, dokumen, ujikaji atau rakaman yang dibuat sepanjang siasatan dijalankan.

(ii)      Saksi biasa
Saksi ini terdiri dari ahli keluarga atau kenalan rapat mangsa yang mempunyai pengetahuan tentang apa yang berlaku kepada diri mangsa. Selain itu, mana-mana orang yang berada di tempat kejadian, atau melihat OYDS melakukan sesuatu yang dikira sebagai amalan sihir juga boleh dipanggil bagi memberikan keterangan. Keterangan mereka boleh diberikan dalam bentuk lisan.

(iii)     Agen Pemerangkap
Dalam membuktikan kesalahan sihir yang agak rumit ini, adalah disarankan agar khidmat agen pemerangkap (agent provocateur) digunapakai. Isu agent provocateur acap kali dibangkitkan di mahkamah Sivil atas alasan bukti yang diperolehi hasil dari ‘pemerangkapan’ (entrapment) tidak boleh digunapakai kerana ianya diperolehi secara tidak sah. Mahkamah Agung dalam  kes Ramli Bin Kechik v PP [1986] 2 MLJ 33 telah memutuskan bahawa hujah dalihan pemerangkapan (entrapment as a defence) tidak diterimapakai berdasarkan keputusan Privy Council dalam kes R v Sang [1980] AC 402. Berdasarkan kitab Qawa’id al-Ahkam yang dikarang oleh Sheikh Izzuddin Ibn Salam, bolehlah dirumuskan bahawa terdapat maslahah yang lebih besar dalam penggunaan agent provocateur (iaitu untuk menjaga akidah) walaupun terdapat mafsadah pada zahirnya. Adalah disarankan agar peruntukan yang jelas dimasukkan dalam peruntukan kesalahan berkaitan amalan sihir mengenai pemakaian agen pemerangkapan ini. Contoh terbaik adalah seksyen 40A Akta Dadah Merbahaya  1952 (Dangerous Drugs Act 1952).

 Keterangan Saksi Pakar  
57.            Keterangan saksi pakar sangat membantu hakim dalam menilai bukti-bukti yang melibatkan sains dan teknikal. Seksyen 33 Akta 561 memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil saksi pakar dalam sesuatu perkara sama ada mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari untuk memberikan pendapat mereka bagi tujuan memudahkan pembuktian dalam penyiasatan.

58.            Syarat utama untuk menjadi pakar ialah seseorang itu mesti berkemahiran dan kemahiran tersebut mesti dibuktikan kepada mahkamah. Kemahiran tersebut tidak semestinya melalui pendidikan dan pengajian khusus, tetapi juga melalui pengalaman. Hakim mempunyai kuasa untuk menerima keterangan seseorang pakar atau menolaknya.

59.            Saranan oleh YAA Hakim Mahkamah Rayuan Shariah dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman [1410] JH 41 supaya dukun yang merawat perayu diminta memberi keterangan dan diterima sebagai pendapat pakar (ra’yu al khabir) menunjukkan keperluan pakar dalam bidang ini.

60.            Menurut sesetengah ulama dari Mazab Shafie, sekiranya seorang ahli sihir berkata: “Aku telah menyihirnya dengan cara begini” dan ia disaksikan oleh dua orang saksi, yang dahulunya adalah ahli sihir tetapi telah bertaubat darinya, dan kedua-duanya mengesahkan bahawa cara yang digunakan itu boleh menyebabkan kematian ke atas mangsanya, maka penyaksian oleh dua orang bekas ahli sihir tersebut boleh digunakan untuk membuktikan dakwaan. Inilah pendapat Ibn Rifa’ah sebagaimana yang disebutkan oleh Khatib Sharbiniy dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Keterangan Dokumentar
61.            Seksyen 3 Akta 561 telah meluaskan lagi skop keterangan dokumentar. Foto dan rakaman video boleh dikemukakan sebagai keterangan dokumentar.

62.            Sebarang dokumen yang dikemukakan oleh mana-mana saksi boleh dijadikan sebagai keterangan. Sebagai contoh, laporan perubatan oleh doktor perubatan yang menyatakan bahawa mangsa tidak mengalami masalah kesihatan sedangkan keadaan fizikal mangsa menunjukkan sebaliknya.

63.            Sebarang bahan, alat, kesan yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir yang ditemui oleh pegawai penyiasat boleh dikemukakan kepada mahkamah sebagai keterangan.

Keterangan Mengikut Keadaan
64.          Kewujudan sesuatu petunjuk sama ada melalui rentetan kejadian yang berlaku (part of the same transaction) atau bahan-bahan tertentu yang mempunyai kaitan dengan kejadian boleh menjadi qarinah dalam mahkamah. Dalam sistem perundangan sivil, keterangan mengikut keadaan ini diterima pakai dalam proses pensabitan jenayah di mahkamah dan biasanya ianya boleh digunakan untuk menyokong dengan keterangan dari saksi atau pendapat pakar.

65.          Keterangan mengikut keadaan bagi jenayah sihir boleh wujud dalam rentetan daripada keadaan berikut :

(i)        Mangsa telah melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan penyihir merasa irihati, sakit hati, dengki, dendam, cemburu, marah, benci, meluat dan seumpamanya. Sebagai contoh, mangsa telah dinaikkan pangkat; mangsa telah menolak pinangan orang; mangsa telah berjaya dalam perniagaan atau pelajaran; mangsa telah memarahi atau membuang pekerja; mangsa memadukan isteri atau mangsa ialah isteri yang dimadukan; mangsa memberi layanan yang tidak sama kepada kakitangan dan yang seumpamanya (Rujuk seksyen 6, 7 dan 8 Akta 561).

(ii)      Apabila keadaan (i) telah berlaku, OYDS didapati pernah, sama ada dengan lisan atau perbuatan, membuat satu isyarat yang difahami oleh mangsa, sebagai ugutan untuk melakukan sihir; atau mungkin dilihat pernah melakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir seperti menabur sesuatu di sekeliling rumah mangsa, atau dilihat menemui seorang tukang sihir dengan membawa apa-apa yang mempunyai kaitan dengan sihir (Rujuk Seksyen 11 Akta 561).

(iii)     Apabila keadaan-keadaan (ii) di atas wujud, mangsa tiba-tiba mengalami hal-hal luarbiasa dan aneh seperti kerap mengalami mimpi ngeri, melihat bayangan yang menakutkan; atau berlaku perkara-perkara pelik seperti penemuan bangkai ayam atau burung tanpa berkepala, langau berkeliaran dan cermin rumah tiba-tiba pecah meletup (Rujuk Seksyen 7 Akta 561).

(iv)    Apabila kejadian (iii) telah berlaku, mangsa mula menunjukkan perubahan ketara sama ada dari segi fizikal mahupun mental, emosi dan perasaan, prestasi kerja dan perniagaan, hubungan sosial dan rumahtangga dan lain-lain yang berkaitan (Rujuk Seksyen 7 Akta 561).


Pemakaian prinsip anggapan (presumption)
66.           Penemuan bahan-bahan yang biasa digunakan dalam amalan sihir dalam milikan seseorang boleh menjadi bukti anggapan (presumptive proof) bahawa pemiliknya adalah pengamal ilmu sihir. Sebagai contoh tengkorak manusia, bilik khas yang mengandungi alatan pemujaan dan sebagainya.

67.          Kaedah anggapan (presumption) boleh digunakan apabila pra syarat berikut telah dipenuhi:
(a)          Anggapan tersebut boleh disanggah (rebuttable) dan sanggahan tersebut bersifat human possibility; dan
(b)          Anggapan tidak memerlukan kadar pembuktian yang tinggi.
           

68.          Seksyen 82, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa mahkamah boleh menganggap kewujudan apa-apa fakta yang difikirkannya mungkin telah berlaku, setelah mengambil perhatian akan perjalanan biasa kejadian semula jadi, kelakuan manusia, dan urusan awam dan persendirian, dalam hubungannya dengan fakta kes yang tertentu itu. Justeru, berdasarkan provisi tersebut, maka seseorang yang ada dalam miliknya barang-barang yang lazimnya digunapakai untuk tujuan sihir boleh dianggap sebagai penyihir atau mengamalkan sihir, melainkan jika dia boleh menerangkan bagaimana barang itu berada dalam miliknya.

69.          Dalam penggulungan perbicaraan, mahkamah hendaklah menimbangkan kesemua keterangan yang dikemukakan di hadapannya dan hendaklah memutuskan sama ada pendakwa telah membuktikan kesnya hingga tiada keraguan munasabah. Jika mahkamah mendapati bahawa pendakwa telah berjaya membuktikan kesnya hingga tiada keraguan munasabah, maka mahkamah akan mensabitkan tertuduh atas kesalahan tersebut. Jika sebaliknya, maka tertuduh hendaklah dibebaskan.

70.            Bagi tujuan pembuktian di dalam mahkamah, cara yang berunsur mistik, misteri, aneh, luarbiasa yang tidak dapat disokong dengan keterangan oleh pengamal pengubatan Islam atau pakar forensik tidak akan diterima.

Mewujudkan dan mengiktiraf kepakaran berkaitan amalan sihir

71.            Kepakaran dalam bidang forensik sihir perlu dibangun bagi membantu pihak mahkamah untuk mencapai satu keputusan yang adil. Untuk mengiktiraf kepakaran dalam bidang ini, adalah dicadangkan agar diwujudkan satu jaringan kepakaran antara bidang-bidang yang berikut:
(i)        Pakar perubatan;
Khidmat pakar perubatan diperlukan bagi mengesahkan keadaan fizikal pengadu atau mangsa.

(ii)      Pakar psikiatrik;
Khidmat pakar psikiatrik diperlukan bagi mengesahkan keadaan mental pengadu atau mangsa.

(iii)     Pakar forensik;
Khidmat pakar forensik diperlukan untuk membantu mengenalpasti kesan atau petunjuk biologi yang terdapat pada peralatan dan bahan yang ditemui oleh pasukan penyiasat.

(iv)           Pengamal pengubatan Islam;
Khidmat pengamal pengubatan Islam diperlukan bagi membantu pihak penyiasat dalam usaha mendapatkan maklumat daripada pengadu atau mangsa sihir selain membantu operasi dan memberi pandangan pakar. Keterangan pakar ini diperlukan bagi mengenal pasti bahan-bahan yang digunakan dalam amalan sihir seperti darah, rambut, kaca, senjata, simpulan, bacaan mantera, pemujaan dan sebagainya.

72.          Berhubung dengan pengiktirafan kepakaran dalam bidang pengubatan Islam, seksyen 23 Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 memperuntukkan bahawa setiap pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari wajib berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari. Oleh itu, sesiapa yang diperakukan sebagai pengamal berdaftar PT&K boleh dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan di dalam mahkamah.

73.          Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari akan diwujudkan apabila Akta PT&K 2013 dikuatkuasa kelak. Justeru, dicadangkan agar diwujudkan satu daftar pengamal Pengubatan Islam bagi mengenal pasti daftar pakar-pakar pengamal berdaftar. Ini akan membantu dalam keterangan pakar dengan saranan Majlis PT&K.

Peranan Pengamal Pengubatan Islam

74.          Pengamal-pengamal pengubatan Islam ini yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari akan mempunyai peranan untuk :

(i)        menasihati pegawai penyiasat tentang segala aspek dan permasalahan yang berhubung kait dengan ilmu dan amalan sihir;
(ii)      menyediakan panduan yang perlu dipatuhi oleh pegawai penyiasat dalam menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan jenayah sihir;
(iii)     memberi pemahaman kepada pegawai penyiasat dari aspek penyediaan diri sama ada fizikal dan mental, ritual dan spiritual selain pengetahuan-pengetahuan yang dihubung kait dengan amalan sihir;
(iv)    menjalankan rawatan pemulihan kepada mangsa atau pengadu sekiranya diminta oleh pegawai penyiasat;
(v)      menjadi rujukan bagi membantu pegawai penyiasat untuk melakukan siasatan khas ke atas mangsa sihir; dan
(vi)    memberi dan mengemukakan pendapat serta kepakarannya di dalam mahkamah, sekiranya diperlukan.

75.          Pengamal-pengamal pengubatan Islam yang dijadikan rujukan mestilah seorang individu yang mempunyai integriti, kredibiliti dan reputasi yang baik, sama ada dari segi akademik atau pengalaman yang luas. Beliau juga perlu mempunyai kebolehan untuk menjelaskan selok belok ilmu sihir. Beliau perlu mempunyai latar belakang yang bersih dari terlibat dalam apa-apa bentuk penyelewengan dan pemesongan fahaman agama dan akhlak, apa-apa perbuatan yang tidak bermoral atau bertentangan dengan adat.


76.          Pengiktirafan kepada kepakaran dalam bidang jenayah sihir ini perlu diberikan perhatian khusus memandangkan ianya akan memberi satu impak yang positif kepada sistem perundangan di Malaysia. Usaha untuk mewujudkan tenaga pakar yang berkemahiran dalam membanteras serta mencegah jenayah sihir ini juga sangat penting.

Tiada ulasan: