DONATE

Isnin, 3 Julai 2017

PENGURUSAN HARTA PUSAKA: ISU WARIS DHAWI AL-ARHAM


Nor Azlina binti Abd. Wahab, Norafifah binti Ab Hamid, Norajila binti Che Man
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Melaka

azlina406@melaka.uitm.edu.my


ABSTRACT. Dhawi al-arham merupakan kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain ashab al-furud dan ashab al-casabah. Menurut amalan di Malaysia harta pusaka yang tidak mempunyai waris yang berhak atau ada waris, tetapi masih terdapat lebihan setelah diberikan kepada waris yang berhak. Harta tersebut akan diserahkan kepada baitulmal. Hasil kajian ini mendapati sistem faraid dilaksanakan menurut pendapat mazhab Shafici yang menolak dhawi al-arham dari menerima harta pusaka, dan baki harta tidak berwaris diserahkan kepada Baitulmal.
Kata
kata kunci:Harta Pusaka, Waris, Dhawi al-Arham, Baitulmal

Pendahuluan

Allah S.W.T telah menerangkan secara terperinci mengenai pembahagian pusaka di dalam Al-Qur’an, di mana di dalamnya telah dijelaskan mengenai bahagian setiap waris serta kedudukan mereka dalam mewarisi harta peninggalan si mati. Sepertimana yang telah disebut di dalam surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176. Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian yang telah ditetapkan kepada waris-waris adalah berbeza bergantung kepada jauh atau dekatnya hubungan waris-waris tersebut dengan si mati.

Apabila berlaku kematian, pembahagian dan pengurusan harta pusaka merupakan satu perkara yang mesti dilaksanakan mengikut kaedah dan prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak dan undang-undang (Mohd Ridzuan bin Awang, 1988).

Sebagaimana yang telah diketahui, sistem faraid di dalam Islam merupakan satu sistem pembahagian pusaka yang adil dan seimbang. Ini kerana sistem tersebut telah mengakui hak setiap waris terhadap harta peninggalan si mati, tanpa membezakan samada ianya lelaki atau perempuan, besar atau kecil. Malah ianya juga memberi ruang yang luas-seluasnya kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan si mati samada melalui hubungan darah atau perkahwinan untuk mewarisi harta peninggalan tersebut.

Malah sistem ini juga, melindungi bahagian setiap waris dengan menetapkan kadaryang tertentu dan menghadkan kadar wasiat yang hanya pada kadar satu pertiga sahaja dari hartanya, demi untuk mengelak si mati meninggalkan warisnya dalam kemiskinan. Selain itu, Islam juga telah menentukan waris-waris yang berhak ke atas harta peninggalan si mati iaitu waris ashab al-furud, casabah dan dhawi al-arham.

Walau bagaimanapun, bahagian waris dhawi al-arham tidak dinyatakan di dalam Al-Qur’an, al-Sunnah mahupun Ijmak sepertimana waris ashab al-furud dan casabah. Keadaan inilah yang menjadi punca kepada pertikaian para ulama samada waris dhawi al-arham berhak ataupun tidak untuk menerima harta peninggalan si mati.


Definisi Harta Pusaka

Harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta dan segala hak-hak yang menjadi miliknya semasa hidup, dan hak tersebut akan menjadi milik waris selepas kematiannya.

Al-Mirath dalam bahasa Arab adalah masdar daripada perkataan [ورث] [يرث] [إرثا] [وميراثا].

Maksud pusaka atau al-mirath dari segi bahasa ialah kekal, atau memindahkan sesuatu, samada ianya berbentuk harta, ilmu atau kemuliaan dan kehormatan daripada seseorang kepada seseorang yang lain atau daripada satu kaum kepada kaum yang lain (Mustafa al-Khin, Mustafa al-Buqha &cAli al-Syarbaji, 2000). Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya ulama itu pewaris nabi-nabi, mereka itu mewarisi ilmu, maka siapa mengambil (ilmu itu) dia akan beruntung”.(H.Riwayat Bukhari)
Manakala dari segi istilah pula, harta pusaka ialah seseuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh waris disebabkan kematian pewaris. Al-Mirath atau pusaka juga boleh dimaksudkan sebagai pindahnya hak milik orang yang meninggal dunia kepada warisnya yang masih hidup, dan apa yang ditinggalkan itu sama ada harta alih atau harta tak alih atau hak-hak menurut hukum syarak (al-Sabuni, Muhammad cAli, 2002).

Berdasarkan daripada definisi di atas dapatlah disimpulkan bahawa harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati samada berbentuk harta benda dan sifat-sifat yang mempunyai nilai kebendaan, seperti hak untuk melalui jalan yang dibuat oleh si mati, atau hak-hak berbentuk harta benda, atau hak-hak yang bukan berbentuk harta benda.


JENIS-JENIS WARIS DAN KEDUDUKAN MEREKA DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Dalam undang-undang pusaka Islam terdapat tiga golongan waris yang berhak menerima dan mewarisi harta peninggalan si mati, iaitu waris ashab al-furud, waris casabah dan waris dhawi al-arham. Namun begitu, jumhur ulama telah berselisih pendapat mengenai perwarisan dhawi al-arham.


Waris Ashab al-Furud

Ashab al-furud ialah gabungan daripada dua perkataan yang bermaksud waris yang telah ditetapkan bahagiannya di dalam Al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijmak.
Di dalam Al-Qur’an Allah S.W.T telah menetapkan secara jelas mengenai bahagian-bahagian tertentu untuk waris-waris yang berhak menerima harta peninggalan si mati secara fardu, yang mana bahagian-bahagian tersebut ada enam iaitu: 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3 dan 1/6.

Waris al-cAsabah

 Al-cAsabah adalah jamac daripada perkataan casib yang bermaksud kaum kerabat lelaki di sebelah bapa(Ibrahim Mustafa, 1972). Manakala al-casabah dari segi istilah ilmu pusaka pula ialah waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka.

Namun begitu, mereka mempunyai pertalian yang kuat dengan si mati kerana mereka di sebelah pertalian bapa. Walau bagaimanapun, mereka kadangkala menerima semua harta pusaka si mati sekiranya waris ashab al-furud tiada, kadangkala juga mereka menerima baki dari harta pusaka tersebut setelah dibahagikan kepada ashab al-furud dan kadangkala pula mereka tidak menerima sebarang harta, kerana harta pusaka tersebut telah habis dibahagikan kepada ashab al-furud (al-Bahuti, Mansur ibn Yunus ibn Idris, 1982).

cAsabah terbahagi kepada dua bahagian iaitu: cAsabah Sababiyah dan cAsabah Nasabiyah (keturunan). Manakala cAsabahNasabiyah pula terbahagi kepadacAsabah bi al-nafs ,cAsabah bi al-ghayr dan cAsabah maca al-ghayr.


Waris Dhawi al-Arham

Al-Arham adalah jamac daripada perkataan al-rahim yang bermaksud tempat terbentuknya janin di dalam perut ibunya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakinya. Tiada tuhan (yang berhak di sembah) melainkan dia, yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(Ali-cImran: 2:26)

Manakala dhawial-arham dari segi istilah ulama faraid ialah waris yang mempunyai hubungan keluarga atau darah dengan si mati selain dari waris ashab al-furud dan casabah samada lelaki atau perempuan (Ibn cAbidin, Muhammad Amin al-Shahir,1994). Contohnya, anak lelaki dan perempuan kepada anak perempuan, anak lelaki dan perempuan kepada saudara-saudara perempuan, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.


KEDUDUKAN WARIS DHAWI AL-ARHAM DALAM PENERIMAAN HARTA

PUSAKA

 

Sekiranya waris dhawi al-arham dibenarkan menerima harta pusaka, mereka adalah waris terakhir sekali yang akan menerimanya, iaitu setelah tiada lagi waris-waris di kalangan ashab al-furud dan casabah selain suami atau isteri, kerana mereka tidak boleh menghalang waris dhawi al-arham dari menerima bahagian mereka.

Namun begitu, disebabkan keadaan mereka yang terakhir dalam menerima pusaka tidak semestinya mereka mempunyai hubungan yang jauh dengan si mati, malah ada di antara mereka yang tergolong sebagai ahli keluarga yang dekat dengan si mati, seperti bapa kepada ibu, anak kepada anak perempuan, anak perempuan kepada saudara lelaki dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, para fuqaha telah berselisih pendapat dalam memberikan hak kepada waris dhawi al-arham ini samada mereka berhak atau tidak. Perselisihan tersebut boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu:


a)      Imam Shafici (al-Nawawi, Abi Zakaria Yahya ibn Sharaf: t.th) dan Malik (al-Dardir, Ahmad ibn Muhammad ibn Ahmad). Mereka berpendapat bahawa waris dhawi al-arham tidak berhak menerima harta pusaka sekiranya waris-waris ashabal-furud dan casabah tidak ada, dan harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal sama ada baitulmal ditadbirkan dengan baik oleh pemerintah yang adil atau tidak.

b)      Imam Abu Hanifah(Ibn cAbidin, Muhammad Amin al-Shahir: 1994) dan Ahmad bin Hanbal (Ibn Qudamah, Abu Muhammad cAbd Allah ibn Ahmad ibn Muhammad: 1969) berpendapat bahawa waris dhawial-arham berhak mewarisi harta pusaka sekiranya waris-waris ashab al-furud dan casabah tiada, kecuali suami atau isteri.



SYARAT DAN CARA PEWARISAN WARIS DHAWI AL-ARHAM

Bagi golongan yang mengatakan bahawa waris dhawi al-arham berhak menerima harta pusaka, telah menetapkan dua syarat yang membolehkan mereka menerimanya iaitu:

a)      Waris ashab al-furud tidak ada. Jika terdapat waris ashab al-furud mereka akan mengambil bahagiannya secara fardu kemudian baki secara al-radd, pengambilan baki secara al-radd didahulukan dari memberi harta pusaka kepada waris dhawi al-arham.

b)      Waris casabah tidak ada. Jika terdapat wariscasabah keseluruhan harta pusaka akan diberikan kepada mereka, jika mereka bersendirian iaitu tanpa waris ashab al-furud. Waris casabah akan mengambil baki selepas waris ashab al-furud apabila mereka bersama.

Namun begitu, jika terdapat salah seorang suami atau isteri, maka salah seorang daripada mereka akan mengambil bahagian secara fardu dan baki harta tersebut akan diserahkan kepada waris dhawi al-arham.


Di kalangan fuqaha’ yang membolehkan dhawi al-arham menerima harta pusaka, mereka berbeza pendapat pula tentang cara pewarisannya seperti berikut:

1)      Kaedah Ahl al-Rahm-kaedah ini dikenali sebagai aliran al-taswiyah iaitu menyamaratakan ahli waris-ahli waris dhawi al-arham dalam menerima harta pusaka. Oleh itu tidak ada perbezaan di antara ahli waris yang dekat dan ahli waris yang jauh dan antara lelaki dengan perempuan. Dasar pembahagian pusaka adalah secara sama rata kerana pewarisan mereka semata-mata atas dasar hubungan kerabat (rahim) dengan si mati (Musa, t.th).

2)      Kaedah Ahl al-Tanzil-kaedah ini dikenali sebagai kaedah penggantian kerana mereka meletakkan anak keturunan si mati daripada golongan dhawi al-arham pada tempat orang tua mereka yang menghubungkan mereka dengan si mati samada dari kalangan ashab al-Furud atau casabah dan bahagian mereka juga sama, samada secara fardu atau casabah serta bahagian seorang lelaki dua kali ganda bahagian perempuan (al-Ramli, 2001).

3)      Kaedah Ahl al-Qarabah-kaedah ini melihat kepada keakraban dan kekuatan hubungan antara ahli waris dhawi al-arham dengan si mati samada dari segi jihat, darjat atau kekuatan hubungan darah (qarabah) seperti mana yang berlaku dalam pewarisan casabah bi al-nafs(Zahrah, t.th). 



PENGAMALAN  DI MALAYSIA


Mengikut pengamalan di Malaysia, sistem faraid dilaksanakan mengikut pendapat mazhab Shafici iaitu menolak waris dhawi al-arham dari menerima harta pusaka. Baki harta tidak berwaris diserahkan kepada baitulmal, maka dalam hal ini jelaslah bahawa baitulmal berhak menerima harta pusaka sekiranya ia ditadbir secara teratur dan adil iaitu diuruskan oleh pentadbir atau penguasa yang adil (Nor Azlina Abd.Wahab, 2007).

Namun begitu sehingga kini, tidak timbul perdebatan perundangan mengenai waris dhawi al-arham dalam pembahagian pusaka, setelah Mahkamah Syariah negeri-negeri memutuskan untuk tidak memberikan hak mewarisi kepada dhawi al-arham(Abidin, 2012).

Selain itu, baitulmal juga turut memberi keizinan kepada waris-waris yang tidak berhak (anak angkat, dhawi al-arham dan sebagainya) untuk menebus harta pusaka miliknya, dengan syarat permohonan tersebut mestilah terlebihdahulu dipertimbangkan oleh Setiausaha Baitulmal dan Jawatankuasa Baitulmal.

Dalam hal ini, bermakna hak waris dhawi al-arham terbela kerana mereka juga diberi kebenaran untuk menebus harta pusaka tersebut.Sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam sek.7, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah No.9 Tahun 1962. Begitu juga dengan sek. 81(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Justeru itu, berdasarkan enakmen di atas menunjukkan bahawa bagi harta pusaka yang menjadi milik baitulmal, dengan kebenaran Majilis Agama Islam Negeri (MAIN) waris-waris si mati dibenarkan menebus kembali hartanah tersebut dengan harga semasa yang telah dinilaikan oleh Pegawai Petempatan Pejabat Tanah Daerah, atau Pejabat Penilaian yang berkaitan dengan berdasarkan kepada prosedur yang telah ditetapkan. Selain itu juga, sekiranya harta pusaka milik baitulmal ini telah didaftarkan di dalam Suratan Hakmilik, disebabkan tempoh tawaran penebusan telah tamat, pihak waris yang berhak juga dibenarkan membuat penebusan, jika hartanah tersebut tidak sesuai dan tidak berpotensi untuk dimajukan sendiri oleh pihak baitulmal (Nor Azlina Abd. Wahab, 2007).

Namun begitu, sekalipun fuqaha mutaakhir mazhab Maliki (Qalyubi, t.th) selepas kurun ketiga hijrah dan fuqaha mutaakhirmazhab Shafici (al-ramli, t.th) kemudiannya membolehkan waris dhawi al-arham menerima harta pusaka dengan syarat pentadbiran baitulmal tidak teratur demi untuk menjaga kemaslahatan umat Islam. Akan tetapi tiada peruntukan perundangan secara bertulis berkaitan faraid yang telah dilaksanakan di Malaysia, berkaitan pewarisan waris dhawi al-arham. Walau pun pihak baitulmal membenarkan mereka menebus harta pusaka yang menjadi miliknya, tetapi dengan cara penebusan (membeli balik daripada baitulmal). Persoalannya adakah waris dhawi al-arham ini mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian.

Dalam hal ini setelah membuat penilitian dan pemerhatian, segala keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Syariah berpandukan hukum fiqh mazhab Shafici, menunjukkan bahawa undang-undang telah menyediakan ruang yang lebih terbuka untuk membolehkan waris dhawi al-arham menerima pusaka menurut pandangan mazhab-mazhab lain. Dengan adanya ruang dan peluang ini membolehkan pihak-pihak berautoriti, seperti Mahkamah Syariah dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri menggunakan keterbukaan tersebut, dan seterusnya mengesyorkan supaya kebebasan menggunakan kepelbagaian mazhab dizahirkan dalam pembahagian harta pusaka (Abidin, 2012). Dengan cara ini berkemugkinan hak-hak waris dhawi al-arham akan terbela, dan masalah harta pusaka milik baitulmal yang berbentuk harta tak alih terbiar tanpa diusahakan kerana tidak berpotensi untuk dimajukan oleh pihak baitulmal tidak akan berlaku.

Kesimpulan

Islam juga telah menyusun waris-waris yang berhak, untuk menerima harta pusaka si mati kepada ashab al-furud, casabah dan dhawi al-arham, serta ketetapan bahagian masing-masing di mana penentuan bahagian-bahagian tersebut pula, akan dapat menghapus kemungkinan ketidakadilan dalam pembahagian harta atau seumpamanya sehingga boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan dalam keluarga. Walau bagaimanapun, tidak semua waris-waris mempunyai kedudukan yang sama dalam mewarisi harta pusaka tersebut.

Sekalipun Islam mengutamakan waris berdasarkan kedudukan kerabat dan darjatnya yang lebih hampir dengan si mati, tetapi dalam masa yang sama waris-waris lain tidak diabaikan termasuklah waris dhawi al-arham. Walaupun bahagian waris dhawi al-arham tidak disebut secara jelas di dalam Al-Qur’an.

Dalam konteks di Malaysia, berdasarkan kepada syarat-syarat dan prosedur yang telah ditetapkan dan bersesuaian dengan statusnya sebagai unit yang bertanggungjawab untuk memegang amanah umat Islam di negara ini, baitulmal berhak terhadap keseluruhan harta pusaka si mati yang tidak mempunyai waris atau ada waris tetapi terdapat lebihan setelah diberikan kepada waris mengikut bahagian masing-masing. Walau bagaimanapun, dengan kebenaran majlis waris si mati yang berhak boleh membeli balik harta pusaka yang menjadi milik baitulmal dengan mengikut nilaian yang telah ditetapkan.






Bibliografi

Al-Quran
Abdul Rashid bin Abdul Latiff. 1997. Undang-undang pusaka dalam Islam suatu kajian  perbandingan. Ed. Ke-3. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
al-Bahuti, Mansur ibn Yunus ibn Idris . 1402H/1982. Kashaf al-qinaccan matn al-iqnac. Jil. 4. Beirut: Dar al-Fikr.
al-Dardir, Ahmad ibn Muhammad ibn Ahmad. t.th. Sharh al-saghir. Jil. 4. t.tp: Dar al-Macarif.
al-Kabir, al-Ramli. Abi al-cAbbas ibn Ahmad. 1422H/2001 Asna al-matalib sharh Rawd  al-talib. Jil. 6. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
al-Khin Mustafa, al-Bugha Mustafa &cAli al-Syarbaji 1421H/2000. Al-Fiqh al-manhaji cala madhhab al-Imam al-Shafici. Ed. Ke-4. Jil. 2. Damsyiq: Dar-al-Qalam.
al-Muwassal, cAbd Allah ibn Mahmud ibn Mawdud ibn Mahmud Abi al-Fadl  Maj al-Din.1384H/1964. Al-Ikhtiyar li al-taclil al-mukhtar. Jil. 5. al-Qahirah: Matbacah al-Madani.
al-Nawawi, Abi Zakaria Yahya ibn Sharf. t.th. Minhaj al-talibin. Jil. 4. t.tp:t.pt.
al-Ramli, Shams al-Din Muhammad ibn Abi al-cAbbas Ahmad ibn Shihab al-Din. t.th. Nihayat al-muhtaj ila sharh al-minhaj. Juz. 6. t.tp. al-Maktabah al-Islamiyyah.
al-Sabuni, Muhammad cAli. 1423H/2002. Al-Mawarith fi al-sharicah al-Islamiyyah fi daw’ al-kitab wa al-sunnah. t.tp: Dar al-Sabuni.
al-Sarakhsi, Shams al-Din. t.th. Al-Mabsut. Jil. 15. Juz. 30. Beirut: Dar al-Macrifah.
Amirudin Putera Bin Zainol Abidin. 2012. Kedudukan Dhawi Al-Arhām Dalam Sistem Pembahagian Pusaka Islam: Satu Kajian Di Negeri Kedah Darul Aman. Tesis diserahkan kepada UUM Collage Arts and Sciences bagi memenuhi keperluan pengijazahan Ijazah Sarjana Sastera Universiti Utara Malaysia.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Ibn cAbidin, Muhamad Amin al-Shahir. 1415H/1994. Radd al-muhtar cala al-dur al-mukhtar sharh tanwir al-absar. Jil. 6. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
Ibn Qudamah, Abi Muhammad cAbd Allah ibn Ahmad. 1389H/1969. Al-Mughni. Jil. 6. Maktabah al-Qahirah.
Ibrahim Mustafa, Ahmad Hasan al-Ziyat, Hamid cAbd al-Qadir & Muhammad cAli al-Najar. 1972. Mucjam al-wasit. Jil. 2. Mesir: Dar al-Macarif.
Muhammad Abu Zuhrah. t.th. Ahkam al-tarikat wa al-mawarith. t.tp: Dar al-Fikr al-cArabi.
Muhammad bin Basmih, cAbd Allah. 2002. Tafsir pimpinan al-rahman kepada pengertian Al-Quran. Kuala Lumpur: Dar al-Fikr. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Muhammad Yusuf Musa. t.th. Al-Tarikah wa al-mirath fi al- Islam. Qahirah: Dar al-Macrifah.
Nor Azlina bini Abd. Wahab. 2007. Amalan Baitulmal dalam Pengurusan Harta Pusaka Orang Islam di Selangor dan Kedah. Disertasi Yang Dikemukakan Untuk Memenuhi sebahagian Daripada Syarat Memperolehi Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Qalyubi, Shihab al-Din. t.th.cUmairah hashiyatayn al-imamayn al-muhaqqiqayn. t.tp:t.pt.
Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam Negeri Kedah No. 9 Tahun 1962.

Wan Muhammad bin Wan Mustapha. 1988. Pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam. Dlm. Mohd Ridzuan bin Awang. (pnyt.). Undang-undang pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia, hlm. 153-166. Kuala Lumpur: Al-Rahmaniah.

Tiada ulasan: