Oleh:
Anzaruddin Ahmad
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Pendahuluan
Setiap tahun kerajaan Malaysia sejak lebih dari tiga dekad yang lalu sentiasa menyediakan program penajaan untuk para pelajar menyambung pendidikan mereka di pelbagai universiti terkemuka di luar negara. Di antara program penajaan tersebut ialah program ijazah Perancis di mana setakat ini terdapat lebih dari 20 perjanjian perkongsian antara institusi-institusi pengajian tinggi Perancis dan Malaysia. Di antaranya ialah program latihan penuh jurutera-jurutera Malaysia, program latihan lanjutan guru-guru bahasa Perancis, Institut Teknologi Perancis-Malaysia (MFI), ijazah bersama dalam bidang pelancongan di Taylor’s College, dan seumpamanya (www.ambafrance-my.org/article.php3 ?Id_article=40).
Malah, Universiti Perancis-Malaysia juga sedang dalam proses penubuhannya di Kuala Lumpur. Antara lain, matlamat penubuhannya ialah untuk menyatukan segala perjanjian yang telah sedia-ada di samping mempromosikan perjanjian baru agar dapat memenuhi hasrat yang dilahirkan oleh Malaysia terutamanya dalam sesetengah bidang seperti penyelidikan, teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi, dan lain-lain lagi (www.ambafrance-my.org/article.php3?id_article=40).
Selain dari Perancis, program kejuruteraan di Jerman juga dijangka akan terus berkembang pada masa hadapan. Buktinya, semakin ramai rakyat Malaysia kini berusaha untuk menguasai bahasa Jerman kerana sedar bahawa bahasa itu dapat memberi banyak kelebihan dalam bidang pelajaran. Buat masa sekarang kira-kira 800 orang pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan peringkat di Jerman dan jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding tiga tahun yang lepas (Bernama, 7 Mac 2007).
Bagi membantu para pelajar dan profesional dari Malaysia membuat persediaan dari segi bahasa dan kebudayaan Perancis, kerajaan Perancis meyediakan dua buah 'Alliance Française' yang terletak di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang. Alliance Française di Kuala Lumpur setakat ini menerima lebih kurang 1,200 orang pelajar setiap tahun. Pusat ini dilengkapi dengan sebuah perpustakaan, bilik pameran dan dewan persidangan (www.ambafrance-my.org/article.php3?id_article=40).
Bagaimanapun agak menyedihkan kerana tiada program khas disediakan untuk membimbing para pelajar dan profesional ini dengan kefahaman yang cukup terutamanya yang berkait dengan cara hidup individu Muslim di negara minoriti Muslim. Disebabkan tiada sebarang program yang disediakan untuk mereka, mereka sendiri perlu membuat persiapan sebelum ke sana. Di sini penulis ingin mencadangkan supaya mereka dapat mula menyiapkan diri dengan membaca dan cuba memahami kitab-kitab yang berkaitan dengan Fiqh Perbandingan.
Hal ini sangat mustahak kerana pada pemerhatian penulis masyarakat Malaysia (baik golongan pelajar mahupun pekerja) yang telah, sedang dan akan keluar negara khususnya ke negara-negara Barat setakat ini tidak banyak didedahkan dengan kitab-kitab perbandingan fiqh pelbagai mazhab. Kitab-kitab ini mengandungi pelbagai panduan yang dapat membantu mereka menghadapi situasi kehidupan sebagai golongan minoriti Muslim.
Apabila menyebut tentang Fiqh Perbandingan ini, penulis tidak bermaksud bahawa golongan pelajar mahupun pekerja ini tidak perlu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis. Tiada siapa yang menafikan bahawa rujukan utama bagi segala ilmu pengetahuan ialah wahyu Ilahi. Namun oleh kerana umat Islam sudah jarang menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai tatapan harian, mereka sebenarnya sudah jauh dari panduan kedua-dua sumber wahyu tersebut. Maka sebagai alternatif segera mereka perlu menjadikan kitab-kitab Fiqh Perbandingan sebagai panduan dalam meneruskan hidup sebagai individu Muslim di negara-negara minoriti Muslim.
Dalam kertas ini penulis menyebut tentang Jerman dan Perancis kerana buat beberapa tahun kebelakangan ini kedua-dua negara ini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan sepertimana yang telah dinyatakan di awal kertas ini. Sebab yang kedua ialah kerana komuniti Muslim yang tinggal di sana, malah para sarjana Islam yang ada di sana tidak seramai mereka yang berada di benua Amerika Utara dan United Kingdom. Maka para pelajar dan profesional dari Malaysia yang akan ke sana perlu diberikan pendedahan tentang bagaimana cara untuk terus hidup sebagai seorang Muslim di kedua-dua buah negara minoriti Muslim ini.
Lantas, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh para pelajar dan pekerja Malaysia yang sedang dan akan berada di Jerman dan Perancis ialah mereka mesti turun padang bergaul dengan masyarakat Muslim di sana, dan bersikap lebih terbuka dalam menerima pandangan-pandangan yang berbeza daripada mazhab selain Syafi'iy. Mereka tidak boleh mengasingkan diri dengan hanya bergaul sesama sendiri ketika berada di sana. Jika hal ini terjadi, citra umat Islam Malaysia akan menjadi buruk di mata komuniti Muslim yang lain.
Namun sebelum mereka turun ke gelanggang, persediaan secukupnya perlu dibuat. Oleh kerana kitab-kitab Fiqh Perbandingan merupakan tafsiran praktikal kepada nas-nas al-Quran dan al-Hadis, tidak ada alternatif lain bagi para pelajar dan pekerja Malaysia ini untuk meneruskan hidup sebagai Muslim yang berjaya melainkan dengan mula mempelajari isi kandungan kitab-kitab Fiqh Perbandingan ini.
Pernyataan Masalah
Banyak dakwaan di kalangan masyarakat Islam antarabangsa yang menetap di negara-negara minoriti Muslim bahawa para pelajar dan pekerja Malaysia yang berada di sana agak rigid dari segi fiqh dan sukar menerima pandangan saudara-saudara seagama dari pelbagai latarbelakang fiqh. Dalam perkataan lain, mereka didakwa agak fanatik dengan pandangan Fiqh Syafi'iy sehingga kerap berselisih pendapat dengan rakan-rakan seakidah mereka yang berlainan mazhab. Sikap jumud seperti ini juga menyebabkan beberapa amalan utama seperti solat Jumaat tidak dilaksanakan oleh sebahagian pelajar dan pekerja Malaysia di beberapa buah tempat semata-mata kerana beralasan bahawa jumlah ahli jamaah Solat Jumaat di situ kurang dari 40 orang lelaki.
Contoh yang sangat jelas dapat dilihat pada salah satu soalan yang dikemukakan oleh Mohamad Khusairy Ahmad (khusairy76@yahoo.com) yang beralamat di 875-0935, Japan, Oita-ken, Beppu-shi, Ekimae-cho, 3-3, Gurando Raifu Beppu, 102. Soalan tersebut beliau tujukan kepada "Laman Interaksi Mufti Negeri Melaka" yang bertarikh 29-09-2005 (Jumaat), di bawah tajuk. "Syarat Sah Solat Jumaat". Soalan beliau berbunyi :-
"Sebagai Muslim di sebuah negara bukan Islam (Jepun), bolehkah kami menunaikan solat Jumaat walaupun tidak cukup 40 orang. Apa yang berlaku sekarang terdapat rakyat Muslim Malaysia bersama-sama dengan rakyat Muslim negara lain menunaikan solat Jumaat walaupun tidak cukup 40 orang, dan solat Jumaat tersebut diadakan di tempat yang berubah-ubah mengikut minggu. Adakah sah solat Jumaat tersebut. Bolehkah Datuk sertakan sekali syarat sah solat Jumaat mengikut 4 mazhab".
Maka jawapan yang diberikan oleh "Laman Interaksi Mufti Negeri Melaka" ialah :-
"Berdasarkan keadaan atau situasi di tempat itu, sah solat Jumaat tersebut dengan berpegang kepada pendapat al-Imam Abu Hanifah yang mensyaratkan sekurang-kurang jamaah itu ialah 3 orang lelaki selain Imam (pemerintah / penguasa). Manakala tempat untuk didirikan Jumaat mestilah dalam pekan atau kawasan yang bersambung dengannya. Tidak mengapa Jumaat diadakan di tempat (dalam bangunan) yang berubah-ubah mengikut minggu dalam pekan itu kerana kesulitan asalkan tidak dilakukan berbilang-bilang Jumaat dalam satu masa" (http://alhuda.mmu.edu.my/jawapan/baca.php?id= 642).
Satu lagi contoh yang hampir sama dapat dilihat pada salah satu soalan yang di tujukan kepada "Laman Interaksi Mufti Negeri Perak" yang bertarikh 8 Oktober 2004 :-
"Tuan, Saya salah seorang dari penuntut Malaysia di Jepun. Di sini saya hendak mengemukakan soalan mengenai sembahyang Jumaat. Di tempat saya ada melakukan sembahyang Jumaat tetapi jumlah makmum tidak mencukupi 40 orang. Ada pendapat mengatakan bahawa sembahyang Jumaat itu sah dan ada yang tidak. Saya sudah 2 tahun tidak pulang ke Malaysia dan mungkin ada sebarang perubahan yang mungkin saya atau pelajar Malaysia di sini yang tidak mendapat informasi mengenai fatwa sembahyang Jumaat. Di samping itu juga pelajar-pelajar Islam di sini terdiri dari pelbagai mazhab jadi adakah sah jika imam bagi sembahyang Jumaat itu daripada mazhab lain? Di sebabkan oleh masaalah ini ada daripada pelajar Malaysia di sini solat zohor di rumah dan tidak pergi sembahyang Jumaat. Jadi saya sangatlah berharap Tuan dapat menjawab soalan ini dengan terperinci dan panjang lebar supaya saya dapat memberi informasi kepada pelajar lain yang berada di sini".
Lantas jawapan yang diberikan oleh "Laman Interaksi Mufti Negeri Perak" ialah :-
"Berdasarkan penerangan saudara, saudara berada di luar negara, yang mempunyai bilangan orang Islam yang sedikit berbanding di Malaysia. Berkenaan solat Jumaat yang didirikan tidak mencukupi bilangan 40 orang maka sah solatnya kerana berada di tempat yang penduduk Islamnya sedikit berbanding yang tidak beragama Islam".
Mengenai mengikut Imam yang berlainan mazhab maka sembahyang itu tetap dikira sah asalkan rukun dalam sembahyang itu sempurna dan tiada perkara yang dilakukan yang boleh membatalkan solat itu dan bertentangan dengan ajaran Islam (http://mufti.perak.gov. my/kemusykilan/).
Dua soalan di atas merupakan sebahagian daripada puluhan atau mungkin ratusan soalan yang menyentuh permasalahan Solat Jumaat. Soalan-soalan sebegini sebenarnya tidak patut menimbulkan kehairanan kepada kita kerana sebelum ke luar negara kebanyakan para pelajar dan pekerja Malaysia ini tidak pernah terdedah dengan pandangan mana-mana mazhab selain Syafi'iy. Akibatnya mereka menganggap pandangan-pandangan dari pelbagai mazhab lain semacam tidak sejalan dengan ajaran Islam.
Sesuai dengan era globalisasi di mana banyak syarikat multinasional tempatan (SMT) mula melangkah ke persada antarabangsa, ramai kakitangan diperlukan untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat ini termasuk di negara-negara minoriti Muslim. Demikian juga dalam bidang akademik ramai pelajar Malaysia yang berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Maka timbul pelbagai isu tentang kaedah pengamalan Islam (dalam konteks kertas ini – Solat Jumaat) di negara-negara tersebut.
Bagaimanapun oleh kerana perbincangan mengenai hukum hakam yang berkaitan dengan Solat Jumaat adalah luas, dalam kertas ini penulis hanya akan memberi fokus kepada isu bilangan minimum ahli Jumaat yang dihadapi oleh sebahagian pelajar dan pekerja Malaysia di luar negara. Penulis akan mengemukakan jalan penyelesaiannya iaitu dengan menimbulkan kesedaran tentang betapa perlunya setiap Muslim di Malaysia terutamanya yang akan ke luar negara sedikit sebanyak didedahkan dengan pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy. Penulis juga akan cuba meyakinkan bahawa tidak ada cara yang lebih baik untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menyahut cabaran globalisasi melainkan melalui keterbukaan terhadap pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy sebagai alternatif segera kepada kemelut yang mereka hadapi.
Hukum Solat Jumaat Bagi Orang Musafir
Penulis mendapati ada di kalangan para pelajar dan pekerja Malaysia di luar negara yang menganggap diri mereka tetap berstatus musafir walaupun tinggal di sesuatu tempat selama beberapa tahun. Namun bukanlah tujuan kertas ini untuk membincangkan tentang status mereka. Penulis hanya ingin menyatakan di sini bahawa walaupun mereka menganggap diri mereka masih musafir, bukanlah bermakna mereka patut dengan sengaja meninggalkan Solat Jumaat setiap minggu dan menggantikannya dengan solat zuhr.
Berdasarkan sedikit pemerhatian, penulis mengakui bahawa tidak ditemui sebarang riwayat sahih yang menceritakan Nabi s.a.w. semasa hayatnya ada melaksanakan Solat Jumaat dalam mana-mana ekspedisi perjalanan. Demikian juga tidak dinukilkan sebarang riwayat dari para sahabat Baginda, samada ketika hayat atau selepas kewafatan Baginda, bahawa mereka ada melakukan Solat Jumaat semasa bermusafir (al-Zuhailiy, 1996 : J2/284-286; Sayyid Sabiq, J2/252). Apa yang ada hanyalah dua riwayat yang daif yang selalu dijadikan hujah oleh sebahagian fuqaha' untuk mengecualikan para musafir daripada kewajipan mengerjakan Solat Jumaat. Kedua-dua riwayat itu ialah :-
a) Maksudnya :- "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka wajib ke atasnya Solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit. Hadis ini tersangat daif statusnya (Riwayat di atas ditakhrij oleh al-Imam al-Daruquthniy dan al-Imam al-Baihaqiy dari Jabir bin Abdillah, didaifkan oleh al-Imam al-Syawkaniy dalam Nail al-Awtar, J3/527-528).
b) Maksudnya :- "Tidak wajib Jumaat ke atas orang yang bermusafir". Juga daif statusnya (Maksud hadis dari Abdullah Ibn 'Umar diriwayatkan oleh al-Tabraniy dalam al-Mu'jam al-Ausath, dan didaifkan oleh al-Imam al-San'aniy dalam Subul al-Salam, J2/236).
Ringkasnya, oleh kerana kedua-dua riwayat di atas adalah daif, ia tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum. Walaubagaimanapun kita juga tidak boleh menafikan bahawa di sana juga tidak ada riwayat yang sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w. pernah mengecualikan seseorang musafir dari mengerjakan Solat Jumaat. Apa yang ada hanyalah pengecualian yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. terhadap empat golongan iaitu :- hamba sahaya, wanita, kanak-kanak yang belum baligh, dan orang yang sakit. Hal ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :-"Jumaat adalah benar, wajib atas semua umat Islam dengan berjamaah kecuali empat golongan - hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang yang sakit (Hadis ke-1026 dalam Sunan Abu Daud dari Thariq bin Syihab). Hadis ini telah disahihkan oleh Ibn Hajar al-'Asqalaniy, al-'Iraqiy dan al-Syawkaniy (Nail al-Awtar, J3/527).
Semua kenyataan di atas telah menyebabkan berlakunya perselisihan di kalangan 'ulama tentang kewajipan seseorang musafir mengerjakan Solat Jumaat. Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa oleh kerana tiada dalil yang sahih yang mengecualikan seseorang musafir dari mengerjakan Solat Jumaat, maka hukum Solat Jumaat dikembalikan kepada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang samada mustautin mahupun musafir.
Ada yang mencadangkan agar seseorang musafir itu tetap berusaha untuk mengerjakan Solat Jumaat bagi mengelak dari perbezaan dengan pendapat lain yang mengatakan Solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang yang bermusafir. Ada juga yang memilih hukum pertengahan dengan mencadangkan agar orang yang bermusafir tidak wajib melaksanakan Solat Jumaat ketika dalam perjalanan tetapi hanya melaksanakannya ketika berada di persinggahan atau di destinasi (al-San'aniy - Subul al-Salam, J2/237). Lihat juga analisa serta tahqiq yang dilakukan oleh Prof. T.M. Hasbi as-Shiddieqie dalam kitabnya Koleksi Hadis-hadis Hukum, J3/235.
Justeru itu sekalipun majoriti para fuqaha berpendapat bahawa Solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, adalah amat digalakkan bagi seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri Solat Jumaat berjamaah. Anjuran ini menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat-fadilat Hari Jumaat itu sendiri beserta keutamaan solatnya, sebagaimana yang kerap dipesan oleh Baginda Nabi s.a.w. Malah jika dilihat dari sudut persaudaraan Islam, Solat Jumaat semasa kita bermusafir dapat membuka peluang untuk kita berkenalan dengan masyarakat setempat.
Persoalan Berkaitan Solat Jumaat Yang Didirikan Dengan Jumlah Ahli Jamaah Yang Kurang Dari Empat Puluh Orang
Kadangkala apabila para pelajar dan pekerja Malaysia menghadiri Solat Jumaat di negara-negara minoriti Muslim, didapati bahawa Solat Jumaat tersebut dihadiri oleh bilangan ahli jamaah yang kurang daripada 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum Solat Jumaat tersebut kerana selama ini di Malaysia kita telah terbiasa didedahkan dengan pendapat yang masyhur bahawa bilangan minimum bagi ahli jamaah Solat Jumaat di sesebuah tempat mestilah sekurang-kurangnya 40 orang ? Untuk menjawab persoalan ini marilah sama-sama kita meneliti perbincangan berikut.
Dalam kitab al-Umm pada bab (العدد الذين إذا كانوا في قرية وجبت عليهم الجمعة), al-Imam al-Syafi'iy menyebut tentang kewajipan mendirikan Solat Jumaat apabila jumlah ahli jamaahnya mencapai sekurang-kurangnya 40 orang lelaki (1983 : J1/219-220) :-
(قال الشافعي) ... أن الجمعة تجب على أقل من أربعين رجلا ...
(قال الشافعي) ... تجب الجمعة على أهل دار مقام إذا كانوا أربعين رجلا ...
أخبرنا إبراهيم بن محمد، حدثني عبد العزيز بن عمر بن عبد العزيز، عن أبيه، عن عبيد الله بن عتبة قال : « كل قرية فيها أربعون رجلا فعليهم الجمعة »
Riwayat yang sama juga disebut dalam Musnad al-Syafi'iy (J1/248, hadis ke-242), dan dikutip oleh al-Imam al-Baihaqiy dalam kitab al-Sunan al-Kubra (J3/178). Demikian juga al-Nawawiy menyebut hal yang sama dalam kitab al-Majmu' (T.T. : J4/504) :-
في مذاهب العلماء في العدد الذى يشترط لانعقاد الجمعة * قد ذكرنا أن مذهبنا اشتراط أربعين.
Selain daripada riwayat yang disebut dalam Musnad al-Syafi'iy (J1/248) dan dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqiy (J3/178), sebenarnya pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum ahli jamaah Solat Jumaat ialah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadis yang berikut ini :-
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ وَكَانَ قَائِدَ أَبِيهِ بَعْدَ مَا ذَهَبَ بَصَرُهُ عَنْ أَبِيهِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ (أَنَّهُ كَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ تَرَحَّمَ لِأَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ) فَقُلْتُ لَهُ إِذَا سَمِعْتَ النِّدَاءَ تَرَحَّمْتَ لِأَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ. قَالَ لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ جَمَّعَ بِنَا فِي هَزْمِ النَّبِيتِ مِنْ حَرَّةِ بَنِي بَيَاضَةَ فِي نَقِيعٍ يُقَالُ لَهُ نَقِيعُ الْخَضَمَاتِ. قُلْتُ كَمْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ قَالَ أَرْبَعُونَ.
Maksudnya :- Dari Abdurrahman bin Ka'ab bin Malik – dan dialah yang biasa memimpin / menuntun ayahnya sesudah ayahnya (menjadi) buta – dari ayahnya iaitu Ka'ab bin Malik bahawa ayahnya apabila mendengar seruan azan pada hari Jumaat, maka dia meminta (mendoakan) rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku :- "Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ?
Jawab ayahku :- "Kerana dialah orang yang pertama kali melakukan Solat Jumaat bersama kami di Hazm al-Nabit, yang terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi' (dikatakan Naqi' al-Khadhamat). Aku bertanya :- "Berapa ramaikah bilangan kamu (yang hadir) pada hari itu ?" Jawab ayahku :- "40 orang" (Maksud hadis ke-1028 dalam Sunan Abu Daud. Ia dihasankan oleh al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalaniy, Nail al-Awtar, J3/535) dan (Hadis ke-903 dalam 'Aun al-Ma'bud, J3/35).
Hadis di atas dijadikan sumber rujukan oleh sebahagian fuqaha' Syafi'iyyah yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi sesebuah jamaah Solat Jumaat ialah 40 orang. Namun sebahagian para muhaddithin serta fuqaha' mendapati bahawa hadis di atas tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk menghukum bahawa bilangan minimum bagi sesebuah jamaah Solat Jumaat ialah 40 orang.
Hal ini demikian kerana jawapan (40 orang) untuk soalan (Berapa ramaikah bilangan kamu (yang hadir) pada hari itu ?) tidak langsung mengisyaratkan tentang syarat kehadiran 40 orang untuk menjadikan sesebuah Jumaat itu sah. Dalam erti kata lain, keterangan tentang jumlah 40 orang itu hanya satu kejadian secara kebetulan (Waqi' al-'Ain / Waqai' al-A'yan), dan tidak ada keterangan dalam hadis itu yang menunjukkan / menyebut bahawa jumlah yang kurang dari 40 orang menyebabkan Solat Jumaat menjadi tidak sah.
Kata Mufti Perak, Dato' Harussani :- "Kita tidak boleh mengambil penetapan tidak sah sembahyang Jumaat apabila bilangan makmum kurang dari 40 orang berdasarkan kisah tersebut kerana ia bukan dengan perintah Nabi tetapi dengan kebetulan sahaja. Ianya tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak mencukupi 40 orang makmumnya selagi tiada masyaqqah atau kesulitan yang timbul yang menyebabkan tidak boleh menunaikannya".
Dalam Usul al-Fiqh ditetapkan bahawa Waqi' al-'Ain / Waqai' al-A'yan itu secara umum tidak boleh dijadikan sebagai hujah (Hadis ke-903 dalam 'Aun al-Ma'bud, J3/35) :-
(وَقَدْ تَقَرَّرَ أَنَّ وَقَائِع الْأَعْيَان لَا يُحْتَجّ بِهَا عَلَى الْعُمُوم).
Al-Imam al-Syawkaniy juga menyebut hal yang sama :- "Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadis di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum (al-Syawkaniy - Nail al-Awtar, J5/536).
Perkataan sebahagian 'ulama bahawa Nabi s.a.w. tidak pernah Solat Jumaat dengan jumlah yang kurang dari 40 orang dibantah oleh hadis riwayat Jabir bin 'Abdillah sepertimana yang terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhariy (J7/213) dan (J3/480) :-
بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أَقْبَلَتْ مِنْ الشَّأْمِ عِيرٌ تَحْمِلُ طَعَامًا فَالْتَفَتُوا إِلَيْهَا حَتَّى مَا بَقِيَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا فَنَزَلَتْ (هَذِهِ الْآيَةُ) {وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا}.
Maksudnya :- "Ketika kami solat bersama Nabi s.a.w., tiba-tiba datang dari (negeri) Syam kafilah (rombongan) yang membawa makanan. Lantas orang ramai berpaling kepadanya (mendatanginya), hingga tidak ada yang tinggal bersama Nabi s.a.w. melainkan 12 orang lelaki, lalu turunlah ayat ini "Apabila mereka melihat perniagaan dan permainan, mereka pergi kepadanya…hingga akhir ayat".
Hadis yang hampir sama ini juga disebut dalam kitab Syarh al-Nawawiy 'Ala Muslim (J3/240), Sahih Muslim (J4/350 hadis ke-1428), dan kitab Subul al-Salam (al-San'aniy, J2/437, hadis ke-415), dari Jabir (bin Abdillah) r.a. :-
{أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا، فَجَاءَتْ عِيرٌ مِنْ الشَّامِ، فَانْفَتَلَ النَّاسُ إلَيْهَا، حَتَّى لَمْ يَبْقَ إلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا}.
Maksudnya :- "Bahawasanya Nabi s.a.w. sedang berkhutbah (pada hari Jumaat) dalam keadaan berdiri, tiba-tiba datang kafilah (rombongan) dari (negeri) Syam. Lantas orang ramai bergegas (mendatangi)nya, hingga tidak ada yang tinggal melainkan 12 orang lelaki (Riwayat Muslim).
Perkataan ('Ir) bermaksud setiap kafilah / rombongan yang membawa barang-barang makanan dan perniagaan yang terdiri daripada unta, baghal atau keldai. Manakala perkataan (Infital) bermakna (Insiraf) yakni beredar keluar (Musnad Abi Ya'la al-Musiliy, J4/452) dan (Sahih Ibn Khuzaimah, J7/1).
Abu Hayyan meriwayatkan dalam al-Bahr al-Muhith, bahawa yang meyebabkan para Sahabat bergegas keluar ialah kerana penduduk Madinah pada ketika itu sedang dilanda musim kemarau, meyebabkan harga barang-barang keperluan melambung tinggi. Menurut kebiasaan adat mereka, jika ada kafilah yang masuk ke dalam kota diharuskan memukul gendang dan bunyi-bunyian lain. Demikianlah apabila mereka mendengar bunyi-bunyian tersebut mereka bubar untuk menontonnya, sedangkan Rasulullah s.a.w. sedang berdiri di atas mimbar (al-Sabuniy, 1995 : J2/535).
al-San'aniy (Subul al-Salam, J2/398, hadis ke-415) Dari Jabir (bin Abdillah) r.a. :-
الْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ يُشْرَعُ فِي الْخُطْبَةِ أَنْ يَخْطُبَ قَائِمًا، وَأَنَّهُ لَا يُشْتَرَطُ لَهَا عَدَدٌ مُعَيَّنٌ كَمَا قِيلَ : إنَّهُ يُشْتَرَطُ لَهَا أَرْبَعُونَ رَجُلًا ، وَلَا مَا قِيلَ : إنَّ أَقَلَّ مَا تَنْعَقِدُ بِهِ اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا كَمَا رُوِيَ عَنْ مَالِكٍ ؛ لِأَنَّهُ لَا دَلِيلَ أَنَّهَا لَا تَنْعَقِدُ بِأَقَلَّ .
Maksudnya :- Hadis ini merupakan dalil bahawasanya diwajibkan khutbah itu dilaksanakan dalam keadaan berdiri. Demikian juga tidak disyaratkan bagi Solat Jumaat itu bilangan yang tertentu, sepertimana dikatakan :- disyaratkan bagi Solat Jumaat itu bilangan 40 orang lelaki. Demikian juga tidak disyaratkan sahnya sesuatu Solat Jumaat itu dengan bilangan 12 orang lelaki sepertimana diriwayatkan dari Malik, kerana tidak ada dalil bahawa Solat Jumaat itu tidak sah dengan bilangan yang kurang (daripada 12 orang lelaki).
Ketahuilah bahawa perselisihan tentang masalah ini sangat banyak sekali, yang mana al-Hafiz (Ibn Hajar) dalam Fath al-Bari menyebut 15 pendapat dalam bab yang bertajuk (Apabila orang ramai meninggalkan Imam semasa Solat Jumaat, maka solat Imam dan mereka yang tetap tinggal bersamanya adalah tetap sah) sepertimana berikut (al-'Aqalaniy, 1993 : J3/349) :-
(بَاب إِذَا نَفَرَ النَّاسُ عَنْ الْإِمَامِ فِي صَلَاةِ الْجُمُعَةِ فَصَلَاةُ الْإِمَامِ وَمَنْ بَقِيَ جَائِزَةٌ)
ظَاهِر اَلتَّرْجَمَةِ أَنَّ اِسْتِمْرَارَ اَلْجَمَاعَةِ اَلَّذِينَ تَنْعَقِدُ بِهِمْ اَلْجُمُعَة إِلَى تَمَامِهَا لَيْسَ بِشَرْطٍ فِي صِحَّتِهَا، بَلْ اَلشَّرْط أَنْ تَبْقَى مِنْهُمْ بَقِيَّةٌ مَا. وَلَمْ يَتَعَرَّضْ اَلْبُخَارِيّ لِعَدَد مَنْ تَقُومُ بِهِمْ اَلْجُمُعَة لِأَنَّهُ لَمْ يَثْبُتْ مِنْهُ شَيْءٌ عَلَى شَرْطِهِ ، وَجُمْلَة مَا لِلْعُلَمَاءِ فِيهِ خَمْسَة عَشَرَ قَوْلًا :- أَحَدُهَا تَصِحُّ مِنْ اَلْوَاحِدِ، نَقَلَه اِبْن حَزْم. اَلثَّانِي اِثْنَانِ كَالْجَمَاعَةِ، وَهُوَ قَوْل اَلنَّخَعِيّ وَأَهْل اَلظَّاهِر وَالْحَسَن بْن حَيّ. اَلثَّالِثُ اِثْنَانِ مَعَ اَلْإِمَامِ، عِنْد أَبِي يُوسُف وَمُحَمَّد. اَلرَّابِعُ ثَلَاثَة مَعَهُ، عِنْد أَبِي حَنِيفَة.
اَلْخَامِس سَبْعَة، عِنْدَ عِكْرِمَةَ. اَلسَّادِسُ تِسْعَة عِنْدَ رَبِيعَة. اَلسَّابِعُ اِثْنَا عَشَر عَنْهُ فِي رِوَايَة. اَلثَّامِنُ مِثْله غَيْر اَلْإِمَامِ عِنْدَ إِسْحَاق. اَلتَّاسِعُ عِشْرُونَ فِي رِوَايَةِ اِبْن حَبِيب عَنْ مَالِك. اَلْعَاشِرُ ثَلَاثُونَ كَذَلِكَ. اَلْحَادِي عَشَر أَرْبَعُونَ بِالْإِمَامِ عِنْدَ اَلشَّافِعِيِّ. اَلثَّانِي عَشَر غَيْر اَلْإِمَامِ عَنْهُ وَبِهِ قَالَ عُمَر بْن عَبْد اَلْعَزِيز وَطَائِفَة. اَلثَّالِث عَشَر خَمْسُونَ عَنْ أَحْمَدَ فِي رِوَايَةٍ وَحُكِيَ عَنْ عُمَر بْن عَبْد اَلْعَزِيز. اَلرَّابِع عَشَر ثَمَانُونَ حَكَاهُ اَلْمَازِرِيُّ. اَلْخَامِس عَشَر جَمْع كَثِير بِغَيْرِ قَيْد. وَلَعَلَّ هَذَا اَلْأَخِيرَ أَرْجَحُهَا مِنْ حَيْثُ اَلدَّلِيل.
Maksudnya :- Secara zahir, bab itu menerangkan bahawa kehadiran jamaah bersama Imam sehingga selesai solat bukanlah menjadi syarat sahnya Solat Jumaat. Apa yang disyaratkan hanyalah kehadiran makmum (jamaah) bersama Imam tanpa mengambil kira berapapun jumlah mereka selama mana solat itu dilaksanakan.
Al-Bukhariy tidak menetapkan berapa jumlah orang yang melaksanakan Solat Jumaat, kerana menurutnya riwayat yang menerangkannya tidak ada yang memenuhi kriteria hadis sahih. Ada 15 pendapat 'ulama tentang jumlah dibolehkan melaksanakan Solat Jumaat :-
a) Seorang diri menurut Ibn Hazm.
b) 2 orang (imam dan makmum) seperti solat berjamaah. Ini adalah pendapat al-Nakha'iy, Ahl Zahir (kelompok Zahiriyyah), dan al-Hasan bin Hayy.
c) 2 orang bersama imam (pemerintah / penguasa) (3 orang). Ini adalah pendapat Abu Yusuf dan Muhammad (bin al-Hasan al-Syaibaniy).
d) 3 orang bersama imam (pemerintah / penguasa) (4 orang). Ini adalah pendapat Abu Hanifah.
e) 7 orang menurut 'Ikrimah
f) 9 orang menurut Rabi'ah.
g) 12 orang, ini juga menurut Rabi'ah.
h) 12 orang selain Imam. Ini adalah pendapat Ishaq (bin Rahawaih).
i) 20 orang dalam riwayat Ibn Habib dari Malik (bin Anas).
j) 30 orang.
k) 40 orang bersama imam (pemerintah / penguasa) menurut pendapat al-Syafi'iy.
l) 40 orang selain imam menurut pendapat 'Umar bin Abd' 'Aziz dan segolongan 'ulama.
m) 50 orang menurut al-Imam Ahmad.
n) 80 orang sebagaimana yang disebut oleh al-Maziriy.
o) Orang ramai, tanpa ada batasan tertentu.
Mudah-mudahan pendapat terakhir inilah yang paling kuat berdasakan kepada dalil yang ada. Manakala al-Syaukaniy menambah (J5/284) :-
قَوْلُهُ : ( أَرْبَعُونَ رَجُلًا ) اسْتَدَلَّ بِهِ مَنْ قَالَ : إنَّ الْجُمُعَةَ لَا تَنْعَقِدُ إلَّا بِأَرْبَعِينَ رَجُلًا ، وَإِلَى ذَلِكَ ذَهَبَ الشَّافِعِيُّ وَأَحْمَدُ فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ ، وَبِهِ قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةُ وَعُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيز.
وَوَجْه الِاسْتِدْلَال بِحَدِيثِ الْبَابِ أَنَّ الْأُمَّة أَجْمَعَتْ عَلَى اشْتِرَاط الْعَدَد ، وَالْأَصْل الظُّهْر ، فَلَا تَصِحّ الْجُمُعَة إلَّا بِعَدَدٍ أُثْبِت بِدَلِيلٍ ، وَقَدْ ثَبَتَ جَوَازهَا بِأَرْبَعِينَ فَلَا يَجُوز بِأَقَلّ مِنْهُ ، إلَّا بِدَلِيلٍ صَحِيحٍ .
وَثَبَتَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : { صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي } قَالُوا : وَلَمْ تَثْبُت صَلَاته لَهَا بِأَقَلّ مِنْ أَرْبَعِينَ .
وَأُجِيبَ عَنْ ذَلِكَ : بِأَنَّهُ لَا دَلَالَة فِي الْحَدِيث عَلَى اشْتِرَاط الْأَرْبَعِينَ ، لِأَنَّ هَذِهِ وَاقِعَة عَيْن .
Seterusnya al-Syaukaniy menyebut dalam Nail al-Awtar (J5/287-288) :-
وَأَمَّا مَنْ قَالَ إنَّهَا تَصِحّ بِاثْنَيْنِ فَاسْتَدَلَّ بِأَنَّ الْعَدَد وَاجِبٌ بِالْحَدِيثِ وَالْإِجْمَاع، وَرَأَى أَنَّهُ لَمْ يَثْبُت دَلِيل عَلَى اشْتِرَاط عَدَد مَخْصُوص، وَقَدْ صَحَّتْ الْجَمَاعَة فِي سَائِر الصَّلَوَات بِاثْنَيْنِ، وَلَا فَرْق بَيْنَهَا وَبَيْن الْجَمَاعَةِ، وَلَمْ يَأْتِ نَصٌّ مِنْ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَنَّ الْجُمُعَة لَا تَنْعَقِد إلَّا بِكَذَا، وَهَذَا الْقَوْل هُوَ الرَّاجِحُ عِنْدِي.
Maksudnya :- "Adapun mereka yang menganggap sahnya Solat Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadis dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jamaah dalam solat apa jua pun sudah sah hanya dengan 2 orang. Tidak ada perbezaan antara Solat Jumaat dan solat berjama'ah (yang lain). Dan tidak ada satu pun nas dari Rasulullah s.a.w. bahawa Solat Jumaat tidak sah kecuali jika ahlinya berjumlah sekian (banyak). Pendapat inilah yang paling rajih (kuat) menurut saya (al-Syawkaniy - Nail al-Awtar, J5/287-288).
Justeru itu hadis ke-1028 dalam Sunan Abu Daud yang diriwayatkan oleh 'Abdurrahman bin Ka'ab bin Malik tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jamaah (40 orang) bagi satu-satu Solat Jumaat yang dilaksanakan.
Secara umumnya dalam hal ini tidak ada jumlah minimum bilangan sesebuah jamaah yang disyaratkan oleh Islam bagi memastikan kesahan sesuatu Solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat yang lain jelas tertera bahawa Solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi s.a.w. dengan jumlah yang kurang daripada 40 orang (A. Chodri Romli, 1994 : 113-124).
Manakala hadis ke-1428 dalam Sahih Muslim (J4/350) yang diriwayatkan oleh Jabir bin 'Abdillah yang menceritakan tentang ketibaan satu rombongan perdagangan dari Syam ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah Jumaat adalah dalil bahawa bilangan 40 orang bukanlah satu kemestian. Hal ini kerana walaupun sebahagian Sahabah keluar menuju kepada rombongan tersebut sehingga tinggal 12 orang sahaja dalam masjid, Rasulullah s.a.w. tetap meneruskan Solat Jumaat itu dengan jumlah 12 orang yang masih tinggal. Baginda tidak menangguhkan solat ataupun mengulanginya selepas itu. Hadis tersebut yang juga disebut dalam kitab Sahih al-Bukhariy (J7/213) dan (J3/480), dan Sunan al-Tirmidziy (hadis ke-3365) dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhailiy dalam kitab Fiqh dan Perundangan Islam, J2/294; dan A. Chodri Romli, 1994 : 27-28).
'Aun al-Ma'bud (J3/35, hadis ke-903)
وَوَجْه الِاسْتِدْلَال بِحَدِيثِ الْبَابِ أَنَّ الْأُمَّة أَجْمَعَتْ عَلَى اشْتِرَاط الْعَدَد، وَالْأَصْل الظُّهْر، فَلَا تَصِحّ الْجُمُعَة إلَّا بِعَدَدٍ أُثْبِت بِدَلِيلٍ، وَقَدْ ثَبَتَ جَوَازهَا بِأَرْبَعِينَ فَلَا يَجُوز بِأَقَلّ مِنْهُ، إلَّا بِدَلِيلٍ صَحِيحٍ.
وَثَبَتَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : { صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي } قَالُوا : وَلَمْ تَثْبُت صَلَاته لَهَا بِأَقَلّ مِنْ أَرْبَعِينَ.
وَأُجِيبَ عَنْ ذَلِكَ : بِأَنَّهُ لَا دَلَالَة فِي الْحَدِيث عَلَى اشْتِرَاط الْأَرْبَعِينَ، لِأَنَّ هَذِهِ وَاقِعَة عَيْن.
Tidak ada petunjuk di dalam hadis untuk mensyaratkan (bilangan) 40 orang, kerana sesungguhnya ia hanyalah / adalah suatu kebetulan.
Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhailiy juga telah menulis :- "Jelas kepada pengarang bahawa Solat Jumaat perlu kepada perhimpunan jamaah. Apabila tercapai jamaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan Solat Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jamaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi Solat Jumaat kerana sudah maklum dalam syara' bahawa jamaah itu terdapat ketika solat (al-Zuhailiy, 1989 : J2/296).
Manakala al-Syeikh al-Albaniy pula menyebut (al-Silsilah al-Da'ifah, J3/203, hadis no.1204) :-
لقد اختلفت أقوال العلماء كثيرا في العدد الذي يشترط لصحة صلاة الجمعة حتى بلغت إلى خمسة عشر قولا، قال الإمام الشوكاني في "السيل الجرار" (1/298) : "وليس على شيء منها دليل يستدل به قط، إلا قول من قال : إنها تنعقد جماعة الجمعة بما تنعقد به سائر الجماعات". قلت : و هذا هو الصواب إن شاء الله تعالى.
Maksudnya :- Sesungguhnya para 'ulama banyak berselisih pandangan - sehingga mencapai 15 pendapat - tentang bilangan yang menjadi syarat sahnya Solat Jumaat. Kata al-Imam al-Syaukaniy dalam kitab al-Sail al-Jarar (J1/298) :-
"Tidak ada satupun daripada semua pendapat ini yang didasari oleh dalil kecuali pendapat yang mengatakan bahawa jumlah jamaah Solat Jumaat adalah seperti jamaah solat biasa". Menurut saya : inilah pendapat yang benar InsyaAllah Taala.
Kesimpulan ringkas yang boleh kita buat dalam perbincangan ini ialah bahawa tidak ada jumlah minimum jamaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah Solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jamaah, iaitu ada al-Imam dan ada makmum maka itu sudah dianggap memadai. Tidak dinafikan bahawa semakin ramai jamaah maka sudah tentu semakin afdal solat tersebut. Namun hal ini hanya jika solat itu dilihat dari segi keutamaan bukan syarat sahnya. Oleh itu seseorang Muslim yang menyertai Solat Jumaat yang berhimpun di dalamnya bilangan ahli jamaah yang kurang daripada 40 orang, samada di negara majoriti atau minoriti Muslim, maka solatnya itu adalah tetap dianggap sah.
Pelan Tindakan
Daripada perbincangan di atas jelas terdapat beberapa perbezaan dalam kehidupan beragama golongan minoriti Muslim berbanding dengan umat Islam yang tinggal di Malaysia di mana umat Islam adalah golongan majoriti. Justeru itu para sarjana dan cendekiawan Islam di Malaysia mesti membantu dalam memberi kefahaman yang menyeluruh kepada para pelajar dan pekerja Malaysia tentang perbezaan realiti yang harus dihadapi oleh mereka di luar negara dan sifat khusus amalan-amalan Islam yang sepatutnya dipraktikkan.
Jika para pelajar dan pekerja Malaysia ini tidak diberikan kefahaman yang jelas, dibimbangi mereka akan bersikap fanatik dengan hukum-hukum yang biasa mereka amalkan di Malaysia. Pendirian seperti ini mungkin akan menimbulkan kesulitan bagi seseorang pelajar atau pekerja yang berada di negara-negara minoriti Muslim. Justeru itu tanggungjawab besar para sarjana Islam ini ialah untuk menggali dan membongkar semula khazanah dan tradisi fiqh yang masih tersimpan dalam kutub khanah Islam. Kemudian mereka perlu merangkanya semula untuk kegunaan umat Islam hari ini yang hidup dalam realiti yang sudah agak jauh berbeza.
Satu hal yang perlu difahami oleh setiap Muslim terutamanya yang akan bermusafir ke luar negara ialah hakikat bahawa fiqh yang popular pada hari ini sebenarnya merupakan warisan para ulama terdahulu yang kebanyakannya dihasilkan di zaman umat Islam mendominasi pemerintahan negara. Maknanya pada ketika itu umat Islam yang merupakan kaum majoriti menguasai percaturan politik negara. Pada masa itu tamadun Islam berada di zaman kegemilangannya, rata-rata umat Islam semua bernaung di bawah kerajaan Islam yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Maknanya tidak timbul halangan atau hambatan untuk melaksanakan solat Jumaat kerana mereka diberikan ruang dan peluang yang secukupnya oleh pemerintah.
Namun, umat Islam sekarang bernanung di bawah pemerintah yang bukan Islam yang tidak memberikan cuti pada hari Jumaat atau sekurang-kurangnya pelepasan bagi para pekerjanya untuk keluar menunaikan Solat Jumaat. Sebagai satu contoh yang mudah, para majikan tidak peduli samada masuknya waktu zuhur itu berada di antara pukul 1.00 hingga 2.00 petang (waktu rehat makan tengahari) atau tidak. Kesannya, jika permulaan waktu zuhr berada pada waktu itu dapatlah umat Islam yang bekerja menunaikan Solat Jumaat dengan selesa, jika tidak mereka mungkin tidak dapat melaksanakannya. Bagaimanapun, dengan mengambil kira pelbagai pandangan daripada mazhab selain Syafi'iy permasalahan ini InsyaAllah dapat diselesaikan.
Walaupun majoriti 'ulama Syafi'iyyah silam dan kontemporari bersepakat bahawa bilangan ahli jamaah Solat Jumaat mestilah sekurang-kurangnya 40 orang, namun bilangan minimum ini adakalanya agak mustahil dicapai di setengah-setengah kawasan di negara-negara Barat di mana masyarakat Islamnya merupakan golongan minoriti di sana.
Oleh sebab itu, tidak semua pandangan yang popular yang dipraktikkan di Malaysia sesuai untuk diterima-pakai oleh para pelajar dan pekerja Malaysia di negara-negara minoriti Muslim. Jika mereka tetap berkeras untuk mempertahankannya, dibimbangi praktik ibadah mereka akan menjadi sulit, tidak praktikal dan tidak realistik.
Oleh itu kertas ini ditulis atas premis bahawa minoriti Muslim menghadapi persekitaran yang berbeza dari umat Islam yang berada di negara-negara Islam. Disebabkan perbezaan persekitaran dan realiti, minoriti Muslim memerlukan fiqh yang berbeza.
Hakikat ini juga dibina atas perspektif bahawa pengamalan Islam haruslah mengambil kira persekitaran dan realiti semasa, selain dari meraikan prinsip-prinsip Syari'ah yang tetap.
Dalam kertas yang serba ringkas ini, penulis tidak bercadang untuk membicarakan secara komprehensif persoalan fiqh perbandingan. Dalam kertas ini penulis hanya bercadang untuk mendedahkan apa yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh perbandingan. Pendedahan yang dilakukan ini diharap akan dapat mencetus kajian selanjutnya. Khususnya, perbahasan terperinci berkaitan Solat Jumaat yang telah ditimbulkan oleh penulis.
Antara kepentingan mengkaji fiqh perbandingan, ialah umat Islam akan mendapat gambaran yang lebih lengkap dan terperinci tentang kehidupan Rasulullah. Apa yang kita hadapi sekarang ialah hakikat bahawa kebanyakan individu Muslim di Malaysia hanya terdedah kepada Fiqh Syafi'iy dan tidak terdedah langsung kepada mazhab Fiqh yang lain. Oleh itu, dalam kertas ini penulis ingin membincangkan mengenai betapa perlunya setiap Muslim di Malaysia terutamanya yang akan ke luar negara didedahkan dengan pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy sebagai jalan penyelesaian dalam menghadapi cabaran kehidupan dunia tanpa sempadan.
Masanya sudah tiba bagi para pelajar dan pekerja Malaysia yang berada di negara-negara minoriti Muslim untuk mula mempelajari dan menguasai pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy dan seterusnya bersikap lebih terbuka untuk beramal dengannya. Dengan mempelajari dan menguasai pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy, para pelajar dan pekerja Malaysia ini akan mampu membina kesefahaman di antara sesama umat Islam yang datang dari latarbelakang mazhab fiqh yang berbeza. Seterusnya akan terhasil lah keharmonian dan kesejahteraan hidup di kalangan mereka.
Umumnya, golongan pelajar dan pekerja Malaysia perlu mempunyai pemikiran yang lebih bebas dan terbuka, di samping mempunyai fahaman tajdid untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Hadith. Meskipun pada zahirnya mereka masih lagi bermazhab Syafi'iy, mereka sepatutnya tidak lagi terikat dengan sistem ‘taqlid buta’, kerana mereka merupakan golongan terpelajar. Begitu juga, sepatutnya mereka tidak terbawa-bawa dengan fahaman fanatik terhadap sesuatu mazhab kerana mereka sedang berada di negara asing yang berbeza realitinya dengan negara asal mereka.
Kelebihan mereka yang dapat memahami atau sekurang-kurangnya pernah didedah-kan dengan pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy ialah keupayaan untuk berinteraksi dan melakukan respon terhadap pelbagai permasalahan fiqh. Jika para pelajar dan pekerja Malaysia ini dapat bersikap lebih terbuka dalam menerima perbezaan pandangan fiqh, agama Islam yang mereka anuti akan nampak lebih fleksibel. Keindahan Islam juga akan lebih terserlah sepertimana yang akan dapat disaksikan dalam masyarakat.
Kesimpulan
Jika kita perhatikan semua hujah yang dikemukakan oleh para 'ulama mujtahidin di atas, jelas kepada kita bahawa sebab berlakunya perbezaan dalam menentukan jumlah minimum ahli jamaah Solat Jumaat ialah kerana ketidaksamaan mereka dalam menilai status sesuatu hadis di samping perbezaan pendekatan dalam memahami dan menginterpretasi sesuatu hadis.
Sebagai contoh, oleh kerana Solat Jumaat pertama yang didirikan oleh As'ad bin Zurarah dihadiri oleh 40 orang (Riwayat Abu Daud yang dihasankan oleh Ibn Hajar al-'Asqalaniy), maka para 'ulama Syafi'iyyah menganggap bilangan 40 itu sebagai syarat sahnya sesuatu Solat Jumaat. Manakala para 'ulama Malikiyyah pula menganggap bilangan 40 itu hanya sebagai kebetulan (waqi' al-'ayn) sahaja.
Demikian juga walaupun al-Imam Malik berpendapat bahawa semua Solat Jumaat mesti dilaksanakan di masjid sebagai salah satu syarat sahnya, al-Imam al-Syafi'iy tidak meletakkan syarat yang demikian. Dalam menangani permasalahan ini sudah tentu cara yang terbaik ialah dengan berlapang dada dalam menerima perbezaan dan bertoleransi dalam mencari kesatuan sesama umat Islam. Maknanya walaupun sebagai seorang Muslim yang dibesarkan dalam situasi mazhab Syafi'iy seboleh-bolehnya seseorang itu mahu terus berpegang dengan pandangan 'ulama Syafi'iyyah, namun apabila berlaku kesulitan untuk mempraktikkan amalan yang sudah biasa dilakukannya seseorang itu perlu bersikap lebih terbuka dan bertolak ansur dalam menerima pandangan daripada mazhab selain Syafi'iy.
Syari'ah Islam yang diturunkan oleh Allah sangat fleksibel sifatnya kerana ia sentiasa mengambil kira sifat-sifat semulajadi yang ada pada diri seseorang manusia itu serta semua keperluan hidupnya. Demikian juga Syari'ah Islam sangat praktikal sifatnya kerana ia sentiasa meraikan situasi dan lokasi di mana seseorang insan itu tinggal.
Ajaran Islam memiliki keistimewaan kerana ia realistik, mudah dilaksanakan, dan tidak memberatkan umatnya. Maknanya, dalam konteks Solat Jumaat seseorang yang bermazhab Syafi'iy itu tidak perlu bermusafir beratus-ratus batu hanya untuk sampai ke tempat di mana terdapat lebih daripada 40 orang lelaki Muslim yang tertanggung di atas bahunya kewajipan menunaikan Solat Jumaat. Dia tetap boleh mengerjakan Solat Jumaat tersebut berdekatan dengan tempat di mana dia belajar atau bekerja, walaupun jumlah jamaahnya hanya beberapa orang sahaja. Ini kerana dalam hal ini dia boleh mengguna-pakai pandangan para Imam dari pelbagai mazhab selain Syafi'iy.
Jelas di sini, Islam adalah agama yang mengkehendaki kelapangan dan sangat memberikan kemudahan kepada umatnya untuk mengamalkan Islam walau di mana jua mereka berada. Islam bukan agama yang suka memberati dan membebankan umatnya, jauh sekali mahu menimbulkan kesulitan dan penderitaan. Semua hal ini merupakan bukti bahawa Islam itu penyelesai kepada masalah yang dihadapi oleh umatnya.
Bukanlah bermakna kita mahu bermudah-mudah dalam berhukum, tetapi inilah yang dinamakan sebagai fleksibiliti Islam. Kita sangat menghormati pendirian dan sikap berhati-hati al-Imam al-Syafi'iy dalam menentukan hukum, namun realiti kehidupan di mana kita tinggal kadang-kala tidak mengizinkan kita untuk berpegang dengan pendapat beliau. Kertas ini cuba memperlihatkan dan membuktikan bahawa Islam adalah rahmatan lil 'alamin, kerana Islam bukan hanya terbatas untuk sesuatu wilayah dan sesebuah negara tertentu, tetapi sifatnya universal untuk semua makhluk di seluruh alam semesta.
Apabila umat Islam di sesebuah tempat mampu melakukan Solat Jumaat dengan jumlah jamaah sekurang-kurangnya 40 orang maka itulah pandangan dan praktik yang lebih sempurna. Namun jika jumlah jamaah di sesebuah tempat hanya beberapa orang, tidak ada halangan bagi mereka (dalam konteks kajian ini para pengikut mazhab Syafi'iy) untuk mengambil pandangan mazhab Hanafiy yang menganggap sudah memadai sesebuah jamaah Solat Jumaat yang hanya terdiri daripada 3 orang. Hal ini dilakukan dalam rangka memenuhi keperluan yang mendesak dan merealisasikan ciri-ciri kelenturan agama Islam.
Jika para pelajar dan pekerja Malaysia yang menetap di negara-negara minoriti Muslim ini dapat membuang sikap jumud mereka dan mempraktikkan sikap yang lebih terbuka dalam menerima pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy, sudah tentu kemelut yang mereka hadapi akan dapat dicari jalan penyelesaiannya. Dalam erti kata lain, penerimaan pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy merupakan alternatif segera dan jalan keluar terbaik kepada dilema yang dihadapi oleh golongan Muslim global.
Kertas ini hanyalah satu usaha penulis untuk mendedahkan terutamanya kepada bakal-bakal pelajar dan pekerja dari Malaysia yang akan bermusafir ke negara-negara bukan Islam tentang keperluan untuk didedahkan dengan pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy sebagai jalan penyelesaian dalam menghadapi cabaran globalisasi. Penulis juga akan cuba meyakinkan bahawa tidak ada kaedah yang lebih baik untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menyahut cabaran globalisasi melainkan melalui keterbukaan terhadap pandangan pelbagai mazhab selain Syafi'iy sebagai alternatif segera kepada dilema yang mereka hadapi.
Penulis meyakini bahawa pendedahan ini nanti akan membolehkan bakal-bakal pelajar dan pekerja Malaysia ini meluaskan perspektif dan seterusnya memberikan panduan kepada mereka dalam menghadapi situasi kehidupan sebagai minoriti Muslim.
Pendedahan ini juga diharapkan akan membuka jalan dan mendorong mana-mana pihak yang berminat untuk mengkaji dengan lebih mendalam beberapa persoalan yang dibincangkan dalam kertas ini dan seterusnya membuat huraian yang lebih komprehensif. Para sarjana Islam tidak boleh sekadar melihat dan membiarkan bakal-bakal pelajar dan pekerja Malaysia ini sendirian dalam membuat persiapan. Kita tidak boleh sekadar berdiam diri melihat sahaja mereka ini terkial-kial mencari arah. Semoga Allah memberikan hidayah dan taufiqNya kepada kita smua agar dapat mengikuti petunjuk wahyu walau di mana jua kita berada.
Bibliografi
Al-Abadiy, Muhammad Syams al-Haq 'Azim. (1410 H). 'Aun al-Ma'bud Fi Syarh Sunan Abi Dawud. Beirut : Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.
Al-'Asqalaniy, Ibn Hajr. (1993). Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhariy. Jilid 7 dan 10. Beirut : Dar al-Fikr.
Al-Baihaqiy, Abu Bakr Ahmad bin al-Husain bin 'Aliy. (Tanpa Tarikh). Al-Sunan Al-Kubra. Jilid 3. Beirut : Dar al-Fikr.
Al-Bukhariy, Muhammad bin Isma'il. (1987). Sahih al-Bukhariy. Ed. Mustafa Dib al-Bughah. Jilid 4 dan 7. Beirut : Dar Ibn Kathir.
Al-Butiy, Muhammad Sa'id Ramadhan. (1994). Al-Qadhaya Al-Fiqhiyyah Al-Mu'asirah. Dimasyq : Dar al-Farabiy.
A. Chodri Romli. (1994). Solat Jumaat : Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya. Kuala Lumpur : Al-Hidayah.
Bernama. (7 Mac, 2007). Pendidikan Terus Jadi Fokus Utama Hubungan Jerman-Malaysia.
Dar al-Ifta' al-Misriyyah. Fatawa al-Azhar. al-Syeikh 'Atiyyah Saqr, Mei (1997).
Al-Daruquthniy, 'Aliy bin 'Umar. (1386 H). Sunan al-Daruqitniy. Al-Madinah Al-Munawwarah : 'Abdullah Hashim Yamaniy al-Madaniy.
Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Khuzaimah. Jilid 7.
Laman Interaksi Mufti Perak (http://mufti.perak.gov.my/kemusykilan/) 8 Oktober 2004.
Laman Interaksi Mufti Melaka (http://alhuda.mmu.edu.my/jawapan/baca.php?id= 642).
Al-Nawawiy, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syarf. (Tarikh Tarikh). Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab. Jilid 4. Beirut : Dar al-Fikr.
Al-Musiliy, Abi Ya'la. (Tanpa Tarikh). Musnad Abi Ya'la. Jilid 4. Tanpa Penerbit.
Al-Sabuniy, Muhammad 'Aliy. (1995). Rawai' Al-Bayan : Tafsir Ayat Al-Ahkam Min Al-Quran. Al-Qahirah : Dar al-Salam.
Al-San'aniy. Subul al-Salam. Jilid 2. (versi al-Maktabah al-Syamilah)
Al-Syafi'iy, Muhammad bin Idris. (1983). Al-Umm. Cetakan ke-2. Beirut : Dar al-Fikr.
Al-Syafi'iy, Muhammad bin Idris. (1983). Musnad al-Syafi'iy. Jilid 1.
Al-Syawkaniy. Nail al-Awtar. J3/527-528.
As-Shiddieqie, Teungku Muhammad Hasbi. (2001). Koleksi Hadis-hadis Hukum. Jilid 3. Semarang : PT Pustaka Rizki Putra.
(www.ambafrance-my.org/article.php3?id_article=40) Hubungan Dua Hala Perancis-Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan