Isnin, 11 Ogos 2008

Persamaan-persamaan yang wujud antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan


1.0 Pendahuluan

Undang-undang merupakan suatu peraturan yang amat penting bagi menjamin kebaikan dan mencegah keburukan hidup manusia. Di Malaysia terdapat dua sistem undang-undang yang dijalankan iaitu undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan. Undang-undang Islam yang berasaskan syariah lebih kecil bidangkuasanya berbanding dengan undang-undang ciptaan. Walaupun begitu undang-undang Islam hanya untuk mereka yang beragama Islam sahaja, namun bagi umat Islam tidak dapat lari daripada undang-undang ciptaan.

Walau apa pun yang berlaku, apa yang penting di sini ialah memahami tentang persamaan di antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan. Berbagai-bagai pandangan yang salah mengenai undang-undang Islam yang menyatakan undang-undang Islam sama sahaja seperti undang-undang ciptaan. Namun begitu perlulah diselidik terlebih dahulu kefahaman kita tentang persamaan yang berlaku di antara kedua-dua undang-undang tersebut.

2.0 Definisi Undang-Undang Islam (Syariah)

Kalimah perundangan (al-Tashric) dalam bahasa Arab mempunyai dua pengertian iaitu pertamanya: jalan yang lurus. Ini di ambil daripada firman Allah Taala di dalam Al-Quran iaitu:

Maksudnya:

Dan Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Pengertian kedua dari segi bahasa pula bermaksud saluran air yang mengalir menjadi sumber minuman. Dalam bahasa Arab ada dikatakan:

“Unta menuju ke saluran apabila ia sampai ke tempatnya. ”

Tetapi pengertian perundangan Islam (syariah) menurut fuqaha’ ialah segala hukum yang diturunkan Allah ke atas hamba-Nya supaya mereka beriman kepada-Nya, yang boleh membawa kepada mereka kebahagiaan, baik di dunia mahupun akhirat. Hukum tersebut dipanggil syarat kerana kedudukannya yang lurus serta tidak menyimpang daripada tujuannya. Namun begitu, terdapat sebahagian ulama pula menganggap syariat (undang-undang Islam) serupa seperti fiqh, walhal syariat mempunyai definisi yang umum daripada fiqh sebab syariat beerti: tiap-tiap perkara yang diturunkan Allah dalam agama-Nya sama ada melalui Al-Quran atau Sunnah Rasul-Nya yang merangkumi hukum-hukum fiqh, akidah, akhlak dan sebagainya.

Dato’ Dr. Haron Din telah memberikan definisi undang-undang Islam (syariah) sebagai hukum-hukum Allah atau undang-undang Allah yang diturunkan kepada manusia meliputi segenap urusan kehidupan manusia mencakupi persoalan-persoalan akidah, syariat, dan segala sesuatu yang berhubung dengan kehidupan (muamalat) dan sebagainya. Pendapat beliau berpandukan melalui firman Allah Taala:

Maksudnya:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Menurut daripada penulisan Dr. Muhammad Muslehuddin di dalam bukunya Philosophy of Islamic Law and The Orientalist telah menyatakan bahawa undang-undang Islam (syariah) menurut teori tradisi ialah perintah Allah yang disampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Allah mempunyai kekuasaan dan kedaulatan bagi seluruh alam dan kepada-Nya mempunyai hak kekuasaan untuk mengawal makhluk-Nya. Allah telah mewahyukan Al-Quran sebagai perlembagaan untuk panduan bagi manusia.

Berdasarkan kepada teori daripada Abu Jacfar Muhammad At-Thobari mengatakan bahawa undang-undang Islam (syariah) adalah meliputi segala isi kandungan daripada Al-Quran yang datangnya dari sumber-sumber yang terkemudian difahami sebagai:
1. Petunjuk dari Tuhan yang merangkumi segala aktiviti manusia
2. Meliputi segala ciptaan (semua makhluk patuh)
3. Falsafah Islam pernah memberikan maksud seerti dengan ‘nomos’ iaitu undang-undang alam semesta.

S. Mahmassani di dalam bukunya yang bertajuk Falsafat Al-Tashric Fi Al-Islam telah memberikan definisi undang-undang Islam (syariah) sebagai undang-undang yang ditetapkan Allah Tacala yang disampaikan kepada Rasul-Nya sebagai saksi berlandaskan Al-Quran. Hal ini dapat dilihat pada firman Allah Tacala:


Maksudnya:

Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang ia tetapkan hukumNya, apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang Engkau seru mereka kepadaNya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama Tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamanya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadanya (dengan taat).

Maka dapat kita lihat di sini bahawa Allah merupakan penggubal undang-undang yang mana telah mewahyukan syariah Islam termasuk agama dan sistem perundangan. Berdasarkan pendapat Said Hawwa telah berpendapat bahawa undang-undang Islam (syariah) ialah undang-undang yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah di mana kaum muslimin dilarang membuat undang-undang yang bertentangan dengan syariat Allah Tacala.

Selain itu juga, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mendefinisikan undang-undang Islam sebagai prinsip dan peraturan yang diberikan Allah di dalam Al-Quran melalui Rasulullah S.A.W yang mengatur kehidupan manusia di dalam pelbagai aspek dan menunjukkan kepada mereka (manusia) apa yang Allah suka mereka laksanakan dan apa yang ditegah Allah dari melakukan. Definisi ini disandarkan melalui riwayat Abu Darda’ di mana Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

“Apa yang Allah benarkan di dalam Kitab-Nya (Al-Quran) adalah halal dan apa yang Allah larang di dalam kitab-Nya (Al-Quran) adalah haram. Apa yang tidak disebut Allah (di dalam Al-Quran), maka ia merupakan kurniaan Allah, jadi ambillah kurniaan Allah kerana Allah tidak pernah melupakan sesuatu.”

Lantas Rasulullah S.A.W membacakan sepotong ayat Al-Quran:

Maksudnya:

Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan Dengan perintah Tuhanmu (Wahai Muhammad); Dialah jua Yang Menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.



3.0 Definisi Undang-Undang Ciptaan

Perkataan al-Qanun di dalam bahasa arab membawa erti undang-undang yang ditakrifkan sebagai satu perintah yang dikuatkuasakan ke atas semua pihak. Terdapat beberapa pendapat yang memperkatakan tentang pengertian sebenar undang-undang. Di antaranya ialah pendapat John Austin yang menyatakan undang-undang itu adalah peraturan berkenaan dengan tindakan yang dikenakan dan dikuatkuasakan oleh pemerintah. Menurut takrifan ini menjelaskan bahawa apa yang sahaja peraturan yang dikenakan ke atas rakyat atau sesebuah masyarakat adalah merupakan undang-undang. Begitu juga dengan penguatkuasaan peraturan, maka ia dianggap sebagai undang-undang.

Salmond yang merupakan tokoh perundangan sivil pula berpendapat bahawa undang-undang merupakan himpunan hukum yang diiktiraf dan dilaksanakan oleh sesebuah negara dalam pentadbiran keadilan. Takrif ini menggambarkan bahawa matlamat utama penggubalan undang-undang adalah menjurus kepada keadilan sejagat.Hal ini disebabkan wujudnya undang-undang itu adalah hasil daripada apa yang telah diamalkan dan diterima oleh masyarakat.

Pengertian undang-undang menurut kamus A Dictionary of Law telah mendefinisikan undang-undang sebagai peraturan yang dibuat oleh pihak berkuasa untuk aturan yang baik kepada komuniti atau masyarakat atau untuk tindakan yang betul dalam kehidupan. Menurut pendapat Hans Kelsen telah mendefinisikan undang-undang sebagai sistem atau hierarki biasa menyeluruh yang patut diikuti.


4.0 Persamaan-Persamaan yang Wujud Antara Undang-Undang Islam dengan Undang-Undang Ciptaan


Seperti mana yang kita maklum bahawa lebih banyak percanggahan yang wujud di antara undang-undang ciptaan dengan undang-undang Islam. Hal ini disebabkan undang-undang ciptaan adalah ciptaan manusia semata-mata. Berbeza dengan undang-undang Islam yang telah ditentukan Allah Tacala yang merupakan Tuhan yang menciptakan alam semesta ini, maka sudah tentu terdapat banyak perbezaannya berbanding undang-undang ciptaan.

Namun begitu, terdapat persamaan yang wujud di antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan. Antaranya ialah:

4.1 Persamaan Dari Segi Beban Membuktikan

Menurut Von Kremer yang merupakan seorang pengamal undang-undang barat telah mengariskan bahawa persamaan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan dari segi beban membukti yang disandarkan kepada plaintif. Hal ini dapat dibuktikan melalui kaedah fiqh yang menyebut bahawa “asal pada sesuatu itu bebas daripada tanggungan”(الأصل برأة الذ مة ) dan kaedah fiqh “Keterangan ke atas pendakwa dan sumpah atas mengingkarinya (dakwaan tersebut)”( البينة على المدعي واليمين على ما أنكره) di mana ia digunakan dalam perundangan Islam.

Matlamat beban membukti di dalam undang-undang jenayah Islam adalah untuk mencapai kepastian dan keyakinan. Maka beban pembuktian itu mestilah hingga ke peringkat yakin dan pasti. Begitu juga dengan matlamat beban membukti di dalan undang-undang jenayah ciptaan di mana beban pembuktian tersebut mestilah yakin hingga tidak ada keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt).Maka di sini kita dapat melihat bahawa terdapat persamaan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan.

4.2 Persamaan Dari Segi Had Umur Dewasa

Persamaan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan mengikut pandangan Von Kremer ialah dari segi had umur dewasa. Hal ini dapat dilihat bahawa undang-undang Islam mensyaratkan had umur manusia mengikut al-ahliyyah yang terbahagi kepada lima peringkat iaitu janin, kanak-kanak belum mumayyiz, kanak-kanak mumayyiz, baligh, dan rushd. Di antara kelima-lima peringkat al-ahliyyah, hanya manusia yang mencapai peringkat baligh dan rushd diterima urusan di dalam syariah Islam.

Begitu juga dengan undang-undang ciptaan di mana telah ditetapkan had umur bagi manusia, misalnya di Malaysia usia seseorang mestilah berumur 18 tahun ke atas untuk mensabitkan ia benar-benar dewasa dan akan dikenakan hukuman setimpal jika melakukan kesalahan jenayah dan pelanggaran undang-undang. Justeru itu, kita dapati terdapat titik persamaan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan.

4.3 Persamaan Dari Segi Peraturan Kontrak atau Transaksi Perdagangan

Von Kremer telah memberikan pendapatnya lagi berkenaan persamaan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan iaitu kedua-dua undang-undang tersebut mempunyai persamaan dari segi peraturan kontrak dan transaksi perdagangan. Hal ini dilihat dari segi terdapat persamaan undang-undang kontrak di antara undang-undang muamalat Islam dengan undang-undang kontrak sivil.

Kita sendiri dapat melihat bahawa di dalam undang-undang kontrak sivil membincangkan berkenaan dengan peraturan penawaran kontrak, penerimaan sesuatu kontrak tidak kira sama ada sesuatu barang atau perkhidmatan, pembatalan kontrak, dan sebagainya. Maka ia lebih mirip kepada syariah muamalat Islam yang menekankan juga konsep akad di dalam sesuatu kontrak iaitu seperti akad jual beli yang terdiri daripada beberapa syaratnya yang perlu dipenuhi iaitu pembeli, penjual, barangan atau perkhidmatan, dan lafaz sighah. Di dalam syariah muamalat Islam, prinsip redha di dalam akad adalah asas yang dikehendaki di dalam membuat kontrak. Hal ini jelas di dalam firman Allah:

Maksudnya:

Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Profesor Nallino di dalam bukunya yang bertajuk Influence of Roman Law On Muslim Law: Islamic Review menyatakan bahawa satu perkara yang ketara dan diketahui umum di dalam falsafah undang-undang ciptaan ialah jual beli dianggap sebagai “kontrak benar”, sedangkan semua madzhab Islam menganggapnya sebagai “kontrak persetujuan” semata-mata. Perkara ini disokong oleh Profesor Schacht di mana beliau mengakui bahawa prinsip ini mula-mula telah diperkenalkan oleh Al-Quran. Maka ia menunjukkan bahawa terdapat persamaan di antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan manusia.

4.4 Persamaan Dari Segi Tujuan Digubal Undang-Undang Tersebut

Menurut pendapat penulis dengan berpandukan buku karangan Yusuf Al-Qaradhawi yang bertajuk “Syari’ah al-Islam”, maka penulis merasakan bahawa terdapat persamaan dari segi tujuan undang-undang itu diadakan di antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan iaitu:


4.4.1 Keadilan Untuk Semua Manusia


Terdapat persamaan tujuan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan iaitu untuk mencapai keadilan untuk semua manusia tidak kira mengenal bangsa atau warna kulit. Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah berpendapat bahawa syariah Islam adalah keadilan Allah. Maka Allah jualah sebagai Hakim Yang Maha Adil menetapkan undang-undang Islam untuk kehidupan manusia sekalian. Hal ini jelas di dalam firman Allah Taala di dalam Al-Quran iaitu:

Maksudnya:

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat.

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas maka dapatlah kita lihat bahawa Allah memerintahkan manusia supaya berkenal-kenalan dan bersatu-padu sesama mereka. Oleh disebabkan itu untuk mencapai hidup kesatuan di antara mereka, maka amat diperlukan keadilan untuk menjamin keamanan hidup dan perpaduan sesama mereka. Sepertimana yang kita tahu, agama Islam merupakan agama yang mementingkan keadilan. Hal ini jelas dilihat dari segi aspek perundangan Islam yang digubal Allah Taala lebih menekankan keadilan dan melarang kezaliman di mana hukum-hukum yang ditetapkan mengikut kesesuaian masa seperti perkara politik (سياسة), ibadah, kekeluargaan, undang-undang jenayah, dan sebagainya. Segala apa yang ditetapkan Allah di dalam Al-Quran adalah untuk mencapai keadilan umat manusia umumnya. Hal ini jelas melalui firman Allah:

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Malah junjungan Rasulullah S.A.W juga telah bersabda mengenai perintah untuk mengutamakan keadilan iaitu:

يقول صلى الله عليه والسلام: ان من أعظم الجهاد: كلمة عدل عند سلطان جائر

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya sebesar-sebesar jihad adalah berkata adil di sisi pemerintah yang zalim. ”

Jika menurut undang-undang ciptaan pula, maka tujuan penggubalan undang-undang ciptaan oleh manusia di barat tidak lain lagi bahawa untuk mencapai keadilan di kalangan manusia. Hal ini dapat dilihat dengan tergubalnya undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan jenayah serta hukuman-hukumannya, undang-undang perdagangan, undang-undang kontrak, undang-undang antarabangsa, dan sebagainya adalah bertujuan untuk menjamin keadilan hak manusia di dunia.

Sebagai contoh di dalam undang-undang jenayah mempunyai suatu teori yang dipanggil teori pembalasan di mana di dalam teori ini amat mementingkan berpatutan atau adil (fairness). Sebab dengan tindakan jenayah, penjenayah mendapat sesuatu dan orang lain mendapat padahnya. Jadi, dengan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa disebabkan oleh perbuatan penjenayah dan keuntungan oleh penjenayah daripada tindakannya itu, maka sewajarnyalah dia dibalas dengan tindakan yang setimpal dengan perbuatannya yang melanggar undang-undang. Justeru itu, tujuan bagi undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan adalah sama iaitu semata-mata untuk keadilan.

4.4.2 Pembebasan Wanita daripada Kezaliman


Persamaan tujuan antara undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan iaitu untuk pembebasan wanita daripada penindasan dan kezaliman. Hal ini jelas di dalam undang-undang Islam (syaricah) di mana wanita diberikan hak yang adil setelah dia dizalimi pada zaman jahiliyah sehinggakan martabat wanita telah dimuliakan kembali kedudukannya sebagai seorang manusia, anak perempuan, isteri, ibu, dan anggota keluarga serta masyarakat.

Di dalam tujuan penggubalan undang-undang ciptaan juga adalah bertujuan untuk membela kaum wanita daripada penderaan dari segi zahir dan batin. Selain itu juga, perkara-perkara yang melibatkan wanita seperti kegiatan pelacuran, kegiatan mengeksploitasi wanita, kegiatan seludup wanita, dan lain-lain adalah salah di sisi undang-undang sivil. Maka ini menampakkan persamaan tujuan undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan adalah untuk memelihara martabat kaum wanita daripada dizalimi.

4.4.3 Membina Keluarga yang Stabil

Persamaan seterusnya bagi tujuan penggubalan undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan adalah bertujuan untuk membina keluarga yang stabil. Hal ini dilihat aspek yang sangat asas di mana ia amat penting bagi pembangunan masyarakat dan modal insan. Selaras dengan matlamat tersebut, maka undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan amat mementingkan hubungan kekeluargaan yang erat dan stabil.

Di dalam undang-undang Islam (syariah) khususnya menekankan konsep kasih sayang di dalam hubungan kekeluargaan, saling tolong menolong di dalam kekeluargaan, dan pengukuhan didikan agama di dalam institusi kekeluargaan. Kesan daripada pembinaan keluarga yang stabil akan mewujudkan rumahtangga yang aman iaitu isteri yang taat lagi setia, suami yang ikhlas lagi amanah, bapa yang pengasih dan penyayang, ibu yang lembut lagi menenangkan, anak-anak lelaki yang soleh lagi taat, anak-anak perempuan yang berakhlak lagi beradab, dan kaum kerabat yang saling berhubungan.

Selain itu juga, undang-undang Islam (syariah) menyedari bahawa suatu masyarakat tidak akan bebas daripada berlaku pergolakan rumahtangga atau perceraian. Akibat daripada itu, undang-undang Islam telah menggariskan peraturan berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan talaq, khuluc, fasakh, li’an, hadhanah, dan lain-lain bertujuan untuk menjamin hak suami, isteri, dan anak-anak daripada diabaikan. Di samping itu juga, undang-undang Islam mencegah daripada berlaku kesalahan di dalam keluarga seperti kesalahan matrimoni iaitu penderaan, pengabaian nafkah kepada isteri dan anak-anak, dan lain-lain lagi.

Berdasarkan undang-undang ciptaan pula, ia digubal bertujuan untuk menjamin kekeluargaan yang stabil. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya akta-akta khusus berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, pemberian nafkah, kesahtarafan anak, akta pengangkatan, dan lain-lain lagi. Ini menampakkan bahawa undang-undang ciptaa juga mempunyai tujuan yang sama seperti undang-undang Islam di mana kedua-duanya digubal bertujuan untuk membina kekeluargaan yang stabil.

4.4.4 Membela Kebebasan Hak Asasi

Persamaan seterusnya berkenaan tujuan undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan digubal ialah bertujuan untuk mendapatkan kebebasan hak asasi manusia. Hal ini dilihat pada zaman jahiliyyah khususnya telah wujudnya diskriminasi berasaskan jantina dan agama. Oleh disebabkan itu, kehadiran Islam yang menetapkan syariahnya telah mengubah keadaan tersebut dengan berperingkat-peringkat penurunan wahyu Allah Taala di dalam Al-Quran.

Berdasarkan undang-undang Islam (syariah), tujuan digubal undang-undang tersebut adalah untuk memperjuangkan kebebasan hak asasi. Menurut Majid Khadduri di dalam kertas kerjanya “Human Right in Islam” telah memperkatakan mengenai hak asasi manusia di dalam Islam iaitu:

“Hak asasi manusia dalam Islam seperti yang dijelaskan dalam undang-undang syariah adalah hanya menjadi milik orang-orang yang mempunyai kapasiti perundangan yang penuh. Mereka adalah manusia yang matang, bebas, dan beragama Islam. Dengan itu non-muslim dan hamba yang hidup di negara Islam hanya mendapat sebahagian perlindungan undang-undang dan tidak mempunyai sebarang kapasiti perundangan. ”

Pendapat beliau telah menggambarkan konsep hak asasi manusia di dalam Islam. Menurut undang-undang Islam (syariah), kebebasan hak asasi boleh diperolehi oleh sekalian manusia tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Menurut syariah lagi, orang yang bukan beragama Islam juga boleh hidup di negara muslim dengan status dzimmah bagi warganegara non-muslim, atau dengan status aman (janji keselamatan dan layanan baik) bagi non-muslim yang bukan warganegara. Mereka yang bukan beragama Islam juga diberi kebebasan untuk menganut agama masing-masing mengikut syarat yang ditetapkan oleh syariat.

Undang-undang ciptaan juga digubal bertujuan untuk memperjuangkan kebebasan hak asasi manusia. Hal ini dapat dibuktikan melalui Artikel 1 Konvensyen Antarabangsa tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita 1979 telah mentakrifkan diskriminasi terhadap wanita sebagai “sebarang perbezaan, pengecualian atau pengekangan yang dibuat berasaskan jantina yang bertujuan menafikan atau menghapuskan hak asasi dan kebebasan wanita, tanpa mengira status perkahwinan, atas dasar kesetaraan antara lelaki dan wanita, dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya, sivil, atau bidang-bidang lain. ”Berdasarkan artikel konvensyen antarabangsa tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa undang-undang ciptaan mempunyai tujuan yang sama seperti undang-undang Islam iaitu membela kebebasan hak asasi manusia.

4.4.5 Menjamin Keamanan dan Keselamatan Sesebuah Negara

Persamaan undang-undang Islam dengan undang-undang ciptaan adalah dari segi tujuan iaitu menjamin keamanan dan keselamatan sesebuah negara. Hal ini jelas di mana kedua-dua undang-undang tersebut digubal untuk mengambil langkah-langkah bersama bagi mengelak dan menghapuskan ancaman kepada keamanan. Selain itu juga, kedua-dua undang-undang tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan di dalam sesebuah negara. Ia jelas dengan peruntukan yang wujud di dalam kedua-dua undang-undang tersebut sudah pasti mengekalkan keselamatan negara agar tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

5.0 Kesimpulan

Walaupun dari segi perbandingan undang-undang Islam dengan undang ciptaan kita dapati banyak perbezaan daripada persamaan. Namun paling tidak masih wujud lagi persamaan di antara kedua-duanya yang boleh diperlihatkan. Bukanlah kajian mengenai persamaan kedua-dua undang-undang tersebut dibentangkan sebagai usaha untuk menyamakan undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan manusia. Akan tetapi kajian ini hanya merungkai persamaan yang wujud secara tidak sengaja daripada tergubalnya kedua-dua undang-undang tersebut.

Malahan lagi kita sedia maklum bahawa undang-undang Allah lebih bersifat fleksibel dan sesuai dengan zaman dan keadaan. Ia amat berbeza dengan undang-undang ciptaan yang hanya sesuai digubal pada waktu itu sahaja. Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang buruk adalah kesilapan diri saya sendiri. Wallahu a’lam.

6.0 Rujukan

Dr. Abdul Karim Zaidan. 2002. Nizhom al-qadha fi al-syariah al-Islamiah. Cet. Ketiga. Beirut-Lubanon: Muassasah al-risalah

Amir Husin Mohd Nor, Abdul Basir Mohamad, Mohd Nasran Mohamad & Zaini Nasohah. 2002. Falsafah Perundangan Islam. Kuala Lumpur:Mahzum Book Services.

Anderson , J.N.D. 1959. Islamic Law in The Modern World. Unites State : New York University Press.

An-Na’im, Abdullahi Ahmed. 2006. Menuju Reformasi Perundangan Islam. Kuala Lumpur: Middle-Eastern Graduates Centre Sdn. Bhd.

Abdul Hamid bin Mohamad. 2001. Bidangkuasa Mahkamah Sivil Dalam Pentadbiran Harta Amanah di Malaysia. Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang- Orang Islam di Malaysia. Anjuran Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 10 November

Majid Khadduri. 1946. Human Right in Islam. Kertas Kerja Seminar Annals of the American Academy of Political and Social Science. United States.

Hashim Mehat. 1977. Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Jenayah Malaysia dengan Undang-Undang Jenayah Islam. Tesis Sarjana, Fakulti Undang-Undang. Universiti Malaya.

Al-Zuhayli, Wahbah. T.t. Nazariyyah Al-Dhorurah Al-Syarciyyah Muqaranah ma’a Al- Qanun Al-Wadci. Damsyiq: t.tp.

Al-Qaradhawi, Yusuf. 1997. Introduction to Islam. Cairo: Islamic Inc. Publishing & Distribution.

Al-Qaradhawi, Yusuf. 1998. Syari’ah Al-Islam Pelaksanaan Syariah Islam. bangi: Maktabah al-Qaradhawi.

Sacid Hawwa. 1992. Al-Islam Sistem Bermasyarakat dan Bernegara. Jakarta:Al-Ishlahy Press.

Said Ramadan. 1991. Undang-Undang Islam Skop dan Ekuiti. Kuala Lumpur:Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Riazul Hassan. T.t. The Reconstruction of Legal Thought in Islam. Lahore: Law Publishing Company,

Elizabeth A. Martin. 2002. A Dictionary of Law. London: Oxford University Press.

Mahmassani, Subhi. 1961. Falsafat Al-Tashric Fi Al-Islam (The Philosophy of Jurisprudence in Islam). leiden : Tuta Subaegide Pallas.

Ashk P. Dahlen. 1985. Islamic Law Epistemology and Modernity. Routledge: t.tp.

Muhammad Muslehuddin. 1980. Philosophy of Islamic Law and The Orientalist (A Comparative Study of Islamic Legal System). Lahore : Islamic Publication Ltd.

Haron Din. 2007. Islam Keadilan Membebaskan Manusia. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Hassan Salleh. 1986. Kesesuaian Undang-Undang Islam dengan Segala Keadaan dan Zaman; Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam. bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Zalikhah Md. Nor. 1999. Al-Syariah Konsep dan Perundangan Islam. Kuala
Lumpur: Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka

Tiada ulasan: