DONATE

Rabu, 24 Jun 2009

JENIS-JENIS KONTRAK: UNDANG-UNDANG KONTRAK ISLAM




1) Kontrak Memberi Milik (Al-Tamlikāt).

Kontrak al-Tamlikat iaitu sesuatu kontrak yang dimaksudkan untuk memiliki sesuatu sama ada ia berupa benda (cain) ataupun manfaat. Kontrak jenis pertama ini terbahagi pula kepada kontrak mucawadat (pertukaran) dan kontrak tabarrucat (sukarela).

Kontrak pertukaran adalah suatu kontrak yang mana pihak-pihak yang mengikat kontrak akan mendapat balasan sebagai hasil pertukaran daripada kontrak yang dilakukan itu. Pertukaran balasan boleh berlaku melalui beberapa keadaan seperti pertukaran harta dengan harta contohnya kontrak jual beli iaitu pembeli akan mendapat barang dan penjual akan mendapat wang hasil daripada jualan barang itu. Selain itu juga pertukaran harta dengan manfaat seperti kontrak sewa menyewa di mana pemberi sewa akan mendapat wang dan penyewa akan mendapat manfaat daripada barang yang disewa itu. Antara kontrak pertukaran lain adalah seperti tukaran wang, sulh, qismah, istisnac, muzāracah, musāqāt, perkahwinan dan lain-lain jenis yang mempunyai pertukaran antara dua pihak.

Manakala, jika kontrak berlaku secara percuma iaitu tanpa bayaran atau gantian maka ia dinamakan sebagai kontrak pemberian secara sukarela ataupun derma. Atau dengan kata lain, hanya kontak di mana salah satu pihak sahaja yang menerima balasan. Contohnya hibah, sedekah, wakaf, pinjaman, dan pemindahan tanggungjawab membayar hutang.

Pembahagian kontrak kepada kontrak pertukaran dan kontrak sukarela adalah perlu terutama sekali untuk menentukan bilakah pihak-pihak yang mengikat kontrak itu dianggap mempunyai milik yang sebenarnya ke atas sesuatu perkara yang dikontrakkan itu.

Merujuk kepada perkara yang diakadkan macqud calaih, seluruh ahli perundangan berpandangan sempurna sesuatu akad pertukaran sebaik sahaja tawaran dan penerimaan berlaku samada wujud perkara yang diakadkan itu ataupun tidak, sekalipun pembeli dan penjual belum lagi memiliki (qabadh) benda dan wangnya.

Akan tetapi, dalam kontrak sukarela timbul perselisihan pendapat dikalangan ahli-ahli perundangan Islam dalam menentukan ketika manakah pihak-pihak yang berkontrak mempunyai milik sempurna keatas perkara yang dikontrakkan itu. Menurut Mohd Ali dalam bukunya yang bertajuk Undang-Undang Kontrak Perbandingan Islam dan Inggeris, terdapat tiga golongan yang mempunyai pendapat yang berbeza dalam menentukan hak milik bagi kontrak ini.

a) Golongan pertama ini terdiri daripada Imam Malik, Abu Thaur dan Daud adh-Dhahiri. Mereka menganggap bahawa kontrak sukarela itu sama kedudukannya dengan kontrak pertukaran iaitu memadai dengam adanya tawaran dan penerimaan bagi menjadikan perkara yang dikontrakkan sebagai milik sempurna pihak-pihak yang mengikat kontrak sekalipun mereka tidak berpegang (qabadh).

b) Golongan kedua antaranya ialah Imam Abu Hanifah, Syafie, Auzaci dan lain-lain lagi. Mereka mengatakan bahawa penawaran dan penerimaan sahaja tidak memadai malah perlu adanya pemegangan (qabadh) benda yang di kontrakkan itu.

c) Golongan ini didukungi oleh Imam Ahmad dan pengikut-pemgikutnya sahaja. Mereka bependapat bahawa tidak sah kontrak sukarela pada perkara-perkara yang memerlukan timbangan atau sukatan. Manakala dalam kontrak yang selain daripada yang disebutkan itu adalah sah semata-mata dengan akad itu sahaja.

Pada umumnya, kontrak pertukaran digolongkan dalam kontrak dua pihak (bilateral contract) sementara kontrak sukarela pula digolongkan sebagai kontrak sepihak. Walaubagaimanapun terdapat juga keadaan iaitu kontrak dua pihak berlaku dalam kontrak sukarela, seperti hibah yang diwajibkan (hibah wajibah) iaitu wajib dihibahkan harta seseorang yang telah mati lantaran kewajipan yang belum dilaksanakan di masa hidupnya. Sebaliknya pula berlaku juga kontrak sepihak dalam kontrak pertukaran misalnya kontrak pinjaman tanpa faedah.

Malah, kadang-kadang berlaku sesuatu kontrak sukarela bertukar menjadi kontrak pertukaran. Ini bergantung kepada keinginan atau niat pihak yang berkontrak itu sendiri. Misalnya kontrak hutang adalah pada asalnya adalah merupakan kontrak sukarela, di mana pemberi hutang tidak mendapat apa-apa faedah daripada penghutang, tetapi bertukar menjadi kontrak pertukaran jika kedua-dua pihak yang berkontrak itu setuju supaya kontrak hutang itu dilakukan dengan pembayaran faedah tertentu. Demikian juga halnya dengan kontrak jaminan dan kontrak simpanan yang pada asalnya merupakan kontrak sukarela, akan bertukar menjadi kontrak pertukaran apabila disyaratkan pembayaran upah terhadap simpanan dan jaminan tersebut.

2) Kontrak Sepihak.

Kontrak ini ditakrifkan sebagai satu janji atau sepasang janji dari satu pihak dan janji-janji itu dibalas dengan perbuatan dari pihak lain. Seperti satu pihak berjanji untuk membayar sejumlah wang, melakukan kerja-kerja lain atau menahan diri dari melakukan sesuatu.

Mengikut Undang-Undang Kontrak Islam, kontrak-kontrak yang tergolong dalam kontrak sepihak ini ialah kontrak jualan (upah) atau kontrak hadiah (mukafah) yang diberi setelah melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan tertentu sebagai balasannya, tidak kepada hadiah yang diberi tanpa pekerjaan atau tindakan tersebut seperti hadiah yang diberi semata-mata sebagai hadiah, kerana hadiah seperti ini digolongkan di dalam kontrak sukarela.

Kebanyakan ahli perundangan Islam mentakrifkan kontrak jualan atau kontrak hadiah (mukafah) sebagai pemberian yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain sebagai ganjaran di atas kerja yang dilakukannya tanpa ditetapkan masa yang tertentu dan orang yang berjanji itu terikat untuk menunaikan janji itu.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Maka tatkala ia membekalkan dengan bekalan makanan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bejana minuman raja di kenderaan saudaranya (bunyamin) kemudian menyeru seorang penyeru: “Wahai orang- orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri.”

Mereka bertanya sambil menghadap kearah orang-orang menteri yang menuduh tu: “Apa benda yang kamu kehilangan?”

Orang-orang menteri menjawab, “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.”

Rasulullah s.a.w bersabda semasa perang Badar yang bermaksud:

"Sesiapa yang dapat membunuh seorang musuh dia akan diberi sekian hadiah tertentu dan sesiapa dapat menawan seorang tawanan ia akan diberi sekian."

Seperti juga kontrak sepihak, tawaran juga boleh dibuat kepada individu tertentu atau kepada umum. Bermakna penerimaan tawaran boleh dilakukan sesiapa sahaja yang mengetahui adanya tawaran tersebut.

Selalunya tawaran meminta melakukan sesuatu perkara kadang-kadang dibuat dengan bersyarat. Seperti dikatakan, “Sesiapa dapat mengembalikan dompetku yang hilang, maka dia berhak mendapat sebanyak RM 10.00.”

Daripada apa yang diterangkan di atas jelas menunjukkan bahawa penerimaan yang dilakukan itu bukanlah dengan janji terhadap apa yang dijanjikan oleh penawar janji, akan tetapi dilakukan dengan tindakan atau perbuatan. Hal yang demikian membezakan kontrak sepihak dengan kontrak dua pihak yang memerlukan penerimaan dilakukan dengan janji terhadap apa yang dijanjikan oleh orang yang membuat tawaran.

Mohd Ali Baharum mengatakan, oleh sebab penerimaan janji itu dilakukan dengan perbuatan atau tindakan tanpa sebarang janji, maka orang yang membuat tawaran adalah seorang sahaja yang terikat untuk melaksanakan janjinya apabila apabila penerimaan dibuat. Sebelum penerimaan dibuat, penerimaan mempunyai kebebasan memilih sama ada hendak menerima atau menolaknya. Apabila terima sahaja maka ia berhak mendapat apa yang dijanjikan itu. Ini dapat dilihat seperti berikut:

Ahmad telah berjanji untuk memberikan hadiah sebanyak RM10 kepada Yusuf jika dapat menamatkan perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya. Yusuf boleh membuat pilihan sama ada hendak menerima janji tersebut atau sebaliknya. Jika Yusuf menerimanya maka berlakulah kontrak dan Ahmad berkewajipan member hadiah yang dijanjikan itu. Sekiranya Ahmad gagal berbuat demikian maka Yusuf boleh mendakwanya di mahkamah kerana Ahmad telah terikat dengan janjinya itu.

Dapat dilihat disini beberapa ciri khusus berhubung dengan tawaran dan penerimaan bagi kontrak yang dilakukan dengan cara ini iaitu, pertama: tawaran dianggap telah diterima hanya dengan melakukan tindakan atau menahan diri daripada melakukan apa yang dikehendaki dalam tawaran itu. Kedua, tidak perlu dikomunikasikan keinginan penerima untuk menerimanya sebelum penerimaan itu dibuat. Ketiga, seperti juga tawaran dalam kontrak-kontrak lain ia boleh ditarik balik sebelum penerimaan dibuat.

Mengenai maklum atau tidak tentang tawaran yang dibuat, golongan terbanyak ahli perundangan Islam yang diantara mereka Imam Syafie, Imam Ahmad dan pendapat yang menonjol dari golongan Maliki mensyaratkan bahawa penerima janji mestilah maklum adanya tawaran hadiah atau upah sebelum ia melakukannya. Sekiranya ia melakukan tanpa pengetahuan tersebut, maka dia tidak berhak mendapat hadiah atau upah kerana kerja yang dilakukan itu dianggap sukarela.

Untuk sesuatu penerimaan itu menjadi sah, penerima tidak disyaratkan supaya mesti mengetahui sendiri secara terus daripada mulut orang yang membuat tawaran tentang sesuatu tawaran itu. Akan tetapi memadailah jika diketahui daripada orang lain asalkan sebelum sesuatu kerja itu dimulakan. Ini berdasarkan apa yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya mughni muhtaj iaitu;

Sekiranya penerima itu memulangkan (hamba yang hilang) telah menghetahui adanya tawaran berhubung dengannya maka dia berhak mendapat hadiah atau upah yang dijanjikan sama ada dia mengetahui melalui perantaraan ataupun tidak.

Keadaan berbeza sekiranya satu penentuan dibuat yang menetapkan bahawa sesuatu penerimaan tidak boleh dibuat kecuali si penerima tawaran mendengar secara terang daripada orang yang membuat tawaran sahaja. Maka pada ketika itu mereka yang melakukan dengan semata-mata berdasarkan maklumatnya daripada orang lain adalah tidak berhak mendapatkan tawaran itu. Seperti katanya;

Sesiapa yang telah mendengar tawaran daripada aku untuk mengembalikan dompetku yang hilang maka dia berhak mendapat Rm 100 daripada aku.

Tiba-tiba datang seseorang yang mengetahui akan tawaran itu memulangkannya, akan tetapi dia tidak mendengar sendiri daripada orang yang membuat tawaran maka perbuatan itu tidak berhak ke atas tawaran yang dibuat.

Dalam hal sekiranya seseorang yang melakukan apa yang ditawarkan dengan ikhlas atau terlupa tentang tawaran atau melakukannya dengan terlupa maka pekerjaannya itu dianggap sah dan dia berhak mendapat hadiah yang dijanjikan.

Dalam keadaan sekiranya pembuat tawaran ingin menarik balik tawaran hadiah atau upah, ia boleh melakukannya selagi penerimaan belum dibuat. Begitu juga sekiranya penerima telah memulakan kerja yang ditawarkan tetapi belum sempurna, maka ia dianggap tidak melengkapi kontrak sehinggalah tindakan atau kerja yang dikehendaki dilaksanakan sepenuhnya. Ini bererti orang yang membuat tawaran boleh membatalkan tawarannya sekalipun tindakan atau kerja yang dikehendaki telah dilaksanakan. Akan tetapi sekiranya sesuatu perbuatan tadi berlaku, Islam tidak menghalang pembayaran ganti rugi diberikan kepada penerima itu upah yang berpatutan setakat mana kerja yang dilaksanakan ini.

Tawaran ke atas sesuatu kerja yang boleh dipecah-pecahkan, contohnya A menawarkan kepada umum untuk memberi upah kepada sesiapa yang mampu meruntuhkan bangunan rumahnya yang lama. B telah menyambut tawaran tersebut, akan tetapi setelah hampir separuh rumah tersebut dirobohkan, dia terpaksa berhenti kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Oleh itu B wajib dibayar upah berdsarkan kerja yang telah dilakukan.

Ganti rugi merujuk kepada keadaan dimana penerima tawaran mampu melaksanakan tugas yang dikehendaki tetapi tawaran itu dibatalkan oleh orang yang membuat tawaran. Tetapi jika penerima tawaran tidak berkemampuan menyempurnakan kerja tersebut, maka pembatalan tawaran yang dilakukan oleh orang yang membuat tawaran tidak memberikan hak kepadanya (penerima) untuk menuntut sebarang ganti rugi atau upah yang munasabah terhadap kerja yang dilakukan.

Islam mensyaratkan penerima janji mestilah tidak mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untruk melakukan kerja atau tindakan keatas perkara yang ditawarkan sebelum tawaran dibuat. Contohnya A membuat tawaran sesiapa yang dapat mengembalikan dompetnya yang hilang, maka dia berhak mendapat rm 100. Kebetulan pada masa tersebut telah pun berada ditangan B atau telah diketahui di mana dompet tersebut berada. Dalam keadaan ini B tidak berhak mendapat hadiah sekiranya dia mengembalikan kepada A. Ini disebabkan B berkewajipan dari segi undang-undang untuk mengembalikan dompet tersebut kepada A atau menunjukkan dimana tempat dompet itu berada sebaik sahaja B mengetahuinya.

Islam mensyaratkan bahawa hadiah atau upah yang hendak diberi itu mestilah diketahui kadarnya oleh penerima tawaran sekiranya hadiah atau upah tersebut memang sudah berada di tangan pembuat tawaran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengupah seorang maka dia hendaklah menentukan upahnya."

Sekiranya upah atau hadiah yang hendak diberi itu belum lagi berada di tangan pembuat tawaran dan ia akan diambil daripada hasil kerja penerima upah itu sendiri. Ini diharuskan supaya tidak diketahuinya, kerana tidak mengetahuinya itu tidak menghalang daripada menyerahkan dan tidak membawa kepada pertelingkahan. Misalnya kerajaan menawarkan kepada orang ramai bahawa sesiapa yang menemui bahan-bahan minyak maka akan diberi hadiah atau upah sebanyak 1/3 hasil daripada galian tersebut.

Undang-undang kontrak Islam menetapkan bahawa hadiah atau upah terhadap sesuatu tindakan itu boleh ditangguhkan atau disegerakan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka sendiri kecuali syarat yang menghalalkan sesuatu yang haram atau mengharamkan sesuatu yang halal”

Sekiranya ditentukan masa pembayaran, maka dia tertakluk kepada masa yang ditetapkan itu wajib dilaksanakannya sebaik sahaja tamt waktu tersebut. Timbul perselisihan pendapat dikalangan ahli-ahli perundangan Islam sekiranya masa pembayaran tidak ditentukan.

a) Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; upah tersebut wajib dibayar secara beransur-ansur berdasarkan kepada banyak mana faedah yang diterima oleh pemberi upah daripada kerja atau tindakan yang dilakukan.
b) Imam Syafie dan Imam Ahmad pula mengatakan bahawa yang member upah wajib membayar semua upah yang ditawarkannya sebaik sahaja pemberi upah mula menerima faedah daripada kerja atau tindakan yang telah dilakukan.

Di samping kontrak upah dan hadiah, terdapat beberapa konrak lain yang digolongkan oleh Islam sebagai kontrak sepihak seperti kontrak talak, rujuk, sumpah, pelepasan hutang, wakaf dan wasiat. Daripada semua kontrak ini hanya kontrak wakaf dan kontrak wasiat sahaja yang ditujukan kepada orang-orang yang tertentu yang memerlukan kepada penerimaan seperti kontrak upah dan hadiah. Ini disebabkan kemungkinan orang-orang yang ditentukan wakaf dan wasiat itu menolak atau menerimanya, ia berdasarkan kepada prinsip bahawa tidak mungkin seseorang itu boleh memberi milik berhubung dengan sesuatu kepada seseorang lain tanpa persetujuannya.

Manakala kontrak wasiat dan wakaf yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu seperti institusi atau badan-badan kebajikan, adalah sama dengan kontrak-kontrak lai seperti talak, rujuk, sumpah dan pelepasan hutang yang tidak memerlukan kepada penerimaan daripada pihak penerima. Pernyataan tawaran dan pembuat tawaran itu sendiri telah mengikat dirinya dan menjadikan kontrak tersebut sempurna. Contohnya dalam kontrak talak, lafaz suami yang menceraikan isterinya sudah menyebabkan jatuhnya talak tanpa memerlukan penerimaan daripada pihak isterinya.

3) Kontrak Dua Pihak

Berbeza dengan kontrak sepihak kerana kontrak dua pihak ini terdapat dua pihak yang saling berjanji antara satu sama lain. Ia boleh ditakrifkan sebagai kontrak dua belah pihak adalah sebagai satu janji atau set janji dari pihak yang lain.

Misalnya:

A berjanji dengan B untuk menjual keretanya kepada B jika B berjanji membayarnya dengan harga Rm 10 ribu.

Kedua-dua pihak (A dan B) yang berjanji itu adalah terikat untuk melaksanakan janji masing-masing. Kegagalan salah satu pihak dari menunaikannya akan membolehkan pihak yang satu lagi mendakwanya di mahkamah.

Ini berbeza dengan kontrak sepihak. Janji hanya dibuat oleh satu pihak sahaja dan pihak yang terikat untuk melaksanakan janji itu hanya pihak pembuat janji itu sendiri, sedangkan pihak yang lain tidak terikat untuk melaksanakan tindakan atau kerja yng dijanjikan untuk memberi upah atau hadiah itu.

4) Kontrak Segera (cAqd al-Faur) dan Kontrak Berterusan (cAqd al-Mumtadah).

Kontrak segera ialah suatu kontrak yang dapat disempurnakan pada masa ianya dilakukan seperti yang biasa berlaku dalam kontrak jual beli iaitu sesuatu kontrak itu sempurna sebaik sahaja penjual menyerahkan barang dan diikuti dengan pembayaran harga oleh pembeli. Dalam keadaan yang tertentu, berlaku juga penangguhan penyerahan di dalam kontrak ini sama ada secara pilihan atau terpaksa. Apa yang dimaksudkan cara pilihan iaitu apabila berlaku persetujuan untuk menangguhkan penyerahan barang atau pembayaran harga. Manakala paksaan pula seperti menjual atau membeli sesuatu yang akan wujud pada masa akan datang.

Bagaimanapun penangguhan perlaksanaan di dalam kontrak sama ada secara pilhan atau terpaksa tidak memberi kesan kepada diri kontrak itu sendiri, bahkan kontrak itu tetap dianggap sebagai kontrak segera kerana dengan masuknya unsur masa di dalamnya dianggap sebagai memasuki sesuatu benda yang tidak memberi kesan ke atas kadar harga atau pada barang yang dijual itu.

Kontrak berterusan ialah suatu kontrak yang sempurna perlaksanaannya di dalam jangka masa tertentu sahaja. Di dalam kontrak sewa misalnya penyewa berhak menerima faedah daripada sewaannya itu selagi selagi kontrak sewa itu berkuat kuasa. Di dalam kontrak ini masa adalah unsur yang penting kerana penentuan harga sewa bergantung kepada jangka masa sewaan. Sementara kadar faedah pula ditentukan berdasar masa faedah itu didapati atau diperolehi.

5) Kontrak Pengguguran.

Kontrak pengguguran ialah suatu kontrak yang dibuat oleh suatu pihak bagi menggugurkan haknya ataupun miliknya. Misalnya kontrak pengguguran talak dan pemberian kemaafan daripada hukum qisas kepada seseorang yang perlu diqisaskan tanpa sebarang tebusan. Kadang-kadang kontrak pengguguran ini juga merangkumi makna kontrak sukarela (cAqd al-Tabarrac) seperti melepaskan tanggungan hutang daripadanya atau mewakafkan hartanya.

6) Kontrak Pemeliharaan (cAqd al-Hifz).

Kontrak Pemeliharaan ialah suatu kontrak yang dilakukan di antara satu pihak dengan pihak yang lain bagi memelihara sesuatu benda atau barang. Misalnya kontrak simpanan* dan kontrak pengawasan.

7) Kontrak Jaminan.

Kontrak Jaminan ialah suatu konrak apabila berlaku persetujuan di antara satu pihak dengan pihak lain untuk menjamin seseorang tertentu, seperti seorang penjamin berjanji akan menjamin segala hutang yang dibuat oleh si piutang kepada pemberi hutang. Mengikut undang-undang, apabila sahaja kontrak jaminan dibuat, penjamin bertanggungjawab untuk menjamin keselamatan hutang tersebut. Ini bermakna ia mesti membayar segala hutang yang dijaminnya kepada pemberi hutang andainya si piutang itu tidak dapat membayarnya. Selain daripada itu kontrak gadaian juga termasuk di bawah jenis ini.


RUJUKAN


Al-Quran.

Al-Bayhaqi. 1352 Sunan al-Kubra. Beirut: Dar Sadir.

Abi Daud. 1373. Sunan. Al-Matbac al-Mujidi.


Mohd Ali Bin Haji Baharum. 1999. Undang-undang Kontrak: Perbandingan Islam dan Inggeris. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wahbah al-Zuhaili. 1996. Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 4. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah al-Ahkam al-cAdliyyah.


Subhi Mahmasani: Al-Nazariyyah al-cAmmah li al-Mujibat wa al-Uqud fi al-Syaricah. Jil. 2.

Al-Nawawi. Mughni al-Muhtaj. Jil. 2. Dar al-Fikr. (t.t).

Ibn Rushd. Muqaddimat Ibn Rushd. (t.t), Beirut: Dar Sadir.

Mohammad Salam Madkur. 1963. al-Madkhal li al-Fiqh al-Islami. Dar al-Nahdhah al-CArabiyyah.

Saiyyid Sabiq. 1971. Fiqh Sunnah. Beirut: Dar al-Kitab al-cArabi.

Jumaat, 19 Jun 2009

HUKUM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: TERHADAP AMALAN TABARRUJ PADA MASA KINI



BAB 1


PENDAHULUAN


1.1 PENGENALAN

Tabarruj adalah perhiasan untuk menampakkan kecantikan dan keindahan yang dilakukan oleh seseorang wanita sama ada pada wajahnya atau pada tubuh badannya. Namun begitu, takrif tabarruj lebih khusus kepada perhiasan wajah. Iaitu persolekan pada wajah untuk menyerlahkan kejelitaan dan keayuan seseorang wanita.


Pada masa kini amalan tabarruj amat berleluasa dan adakalanya agak keterlaluan hingga boleh membangkitkan shahwat kaum lelaki. Kebanyakan masyarakat kita hari ini mengamalkan tabarruj tidak kira di mana tempat sama ada di pejabat, di tempat belajar dan juga tempat lain khususnya di dalam sebuah majlis rasmi.


Tabarruj dari segi pakaian adalah mengikut zaman dan masa. Iaitu cara berpakaian dan juga fesyen berpakaian sentiasa berubah mengikut zaman dan masa. Ini dapat dilihat disekeliling masyarakat kita hari ini. Terdapat segelintir masyarakat mengaggap cara dan fesyen berpakaian masa kini adalah moden dan maju. Pada hakikatnya, cara berpakaian itu tidak salah sekiranya ia menutup aurat tetapi cara berpakaian bagi segelintir wanita hari ini amatlah menyedihkan dan membimbangkan. Ini kerana kebanyakan pakaian yang mereka gunakan adalah terlalu nipis dan ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan mereka. Ini adalah bercanggah dengan Sharic at Islam. Agama Islam telah memerintahkan kepada umatnya supaya menutup aurat khususnya kepada kaum wanita. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang fitnah berlaku kepada mereka.


Selain itu kebanyakan wanita hari ini juga suka menghias wajah mereka dengan alat-alat persolekan bagi menampakkan kecantikan wajahnya. Semua amalan ini adalah dilarang dalam Islam. Namun begitu, adakalanya amalan bertabarruj diharuskan mengikut keadaan tertentu seperti berhias untuk suami. Maka dalam kajian ini penulis akan mengkaji dan membincangkan amalan bertabarruj dan hukumnya menurut Islam.


1.2 PERMASALAHAN KAJIAN

Tabarruj pada masa kini semakin banyak diamalkan dikalangan wanita. Ia dilakukan bukanlah untuk suami tetapi untuk ditunjukkan kepada orang awam. Ini bermakna mereka tidak mengendahkan segala perintah dan larangan yang ditetapkan oleh Sharac . Terdapat sebahagian wanita pula menganggap amalan tabarruj itu adalah perkara biasa sedangkan ianya dilarang dan berdosa besar. Hal ini berlaku adalah disebabkan kurangnya didikan agama mereka atau kurang pengetahuan tentang Islam.


Amalan tabarruj dilarang dalam Islam ada kebaikannya. Ini kerana amalan tersebut boleh merangsang dan membangkitkan shahwat kaum lelaki. Hal ini terjadi disebabkan perhiasan yang ditonjolkan oleh wanita tersebut. Maka tidak hairanlah jika kita lihat dan baca di dalam keratan akhbar pada hari ini tentang kes-kes rogol, bunuh dan sebagainya. Ini berlaku kerana lelaki tersebut tidak dapat mengawal nafsunya. Amat menyedihkan lagi jika kes rogol tersebut berlaku kepada kanak-kanak yang tidak berdosa.


Di samping itu, kita juga perlu lihat bahan-bahan yang digunakan dalam tabarruj khususnya bahan-bahan dalam alat persolekan. Terdapat sebahagian produk dan alat yang digunakan dalam persolekan mengandungi bahan-bahan yang dilarang dalam Islam. Contohnya, bahan tersebut mengandungi lemak babi dan alat yang digunakan dalam persolekan pula menggunakan bulu babi. Penggunaan tersebut sudah tentu haram dan dilarang. Namun begitu, terdapat sebahagian pendapat yang mengharuskan berdasarkan keadaan dan cara tertentu. Isu tersebut akan dibincangkan dalam kajian ini. Selain itu, terdapat juga sebahagian produk dalam persolekan memberi kesan yang buruk jika digunakan, Ini kerana produk tersebut mengandungi bahan kimia yang berlebihan. Maka ia perlu diambil perhatian dalam penggunaan sesuatu produk.


BAB II


PENGERTIAN TABARRUJ


2.1 PENDAHULUAN

Apabila seseorang mendedahkan kecantikan rupa paras, sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan. Maka perbuatan tersebut adalah bertabarruj. Al-Bukhari Rahmatullahi cAlaihi ada berkata: “Tabarruj ialah seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya”. Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan. Maka, Allah S.W.T. melarang setiap wanita yang berakal dan baligh dari bermake-up (tabarruj) untuk dipersembahkan kepada selain mahramnya. Dalam Islam hukum bersolek bagi wanita ada pelbagai keadaan, ada hukumnya wajib, sunat, haram dan makruh. Ia adalah bergantung kepada masa dan keadaan tertentu..


2.2 DEFINISI TABARRUJ

1. Memperlihatkan seseorang wanita itu akan kecantikannya yang wajib ditutup kepada lelaki yang bukan mahram kepadanya.


2. Menampakkan wanita akan kecantikannya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Iaitu menampakkan kecantikan dengan membuka dan mempamerkan keelokan bahagian-bahagian yang mengghairahkan seperti pinggul, lengan, betis, dada, leher dan wajah.


3. Menampakkan kecantikan dan menonjolkan keelokan wajah dan tubuh badan dan fitnah kedua-duanya. Sepertimana kata Imam Bukhari, tabarruj adalah mempertontonkan seseorang wanita akan kecantikannya (Mohd Hanif 2007:33).


Syaikh Abul Ac la al-Maududi mengatakan bahawa: “Jika kata tabarruj ditujukan kepada wanita, maka ia memiliki tiga pengertian seperti berikut:


1. Tindakan mendedahkan kecantikan wajahnya dan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengundang berahi kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.


2. Mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki-lelaki yang bukan mahramnya.


3. Mendedahkan dirinya melalui cara berjalan, kegenitan dan juga kesombongannya kepada mereka (al-Jarullah 1990:12).


Untuk menjelaskan makna perhiasan, kita lihat kamus Dewan Bahasa dan Pustaka cetakan keempat Edisi Ketiga 1998 muka surat 453. Perhiasan adalah sesuatu yang digunakan untuk berhias atau menghias. Sedangkan makna ‘berhias’ adalah berdandan diri dengan pakaian (barang kemas dan sebagainya) yang cantik. Makna ‘menghias’ pula adalah menjadikan sesuatu lebih cantik atau elok.

Manakala di dalam kamus Lisan al-Arab yang terkenal, perhiasan (al-Zinah) adalah segala benda yang menambahkan kecantikan dan kehebatan. Ia tidak terhad kepada barang dandanan atau solekan wanita atau pakaian semata-mata, bahkan perhiasan yang paling berharga kepada wanita adalah apa yang diciptakan oleh Allah S.W.T. pada tubuh badannya daripada fitnah-fitnah dan kecantikan yang seimbang dan sesuai (Mohd Hanif 2007: 35).


2.2.1 Perbahasan Ulama Tentang Tabarruj

Tabarruj dapatlah dirumuskan sebagai: Wanita yang memperlihatkan perhiasan dan kecantikan dirinya kepada lelaki. Para mufassirin telah mentakrifkan makna dan pengertian tabarruj sebagai berkata:


1. Berkata Mujahid, salah seorang ulama tafsir yang terkenal, tentang makna tabarruj ialah: Wanita yang keluar rumah dan berjalan dihadapan lelaki.


2. Berkata pula Qatadah: Tabarruj ialah wanita yang berjalan dalam keadaan mendedahkan aurat sambil memperlihatkan jelingan manja dan mengenyit mata.


3. Berkata Maqatil bin Hayyan: Tabarruj ialah setiap wanita yang membuka kain tudungnya sehingga menampakkan kepala dan memperlihatkan rantai perhiasannya, anting-antingnya sehingga menampakkan tengkuknya dan lain-lain anggota.


4. Berkata Abu Ubaidah: Tabarruj ialah wanita yang keluar dengan aksi kecantikannya dan memikat shahwat lelaki apabila melihatnya (Lutpi 2007:169).
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh para ulama tersebut dapatlah kita simpulkan bahawa pengertian tabarruj ini amat luas. Iaitu wanita yang keluar dengan memperlihatkan kecantikan dirinya kepada kaum lelaki dan mengenakan perhiasan pada tubuh badannya serta pakaian yang mendedahkan aurat. Di samping itu, lagaknya atau gayanya pula cuba menggoda dan memikat keinginan lelaki terhadap dirinya.


Perkara ini telah pun dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sepotong hadith tentang sifat dan tabiat wanita yang suka menghiaskan diri tanpa mengikut Sharic at yang telah ditetapkan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

صنفا ن من أهل النار لم أرهما: قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس و نساء كاسيات عاريات مائلات مميلات رئوسهن كأسنمة البخت المائلة لايدخلن الجنة و لا يجدن ريحها و إن ريحها ليوجد من مسيرة كذا و كذا......


Maksudnya:

“Dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dipukul kepada manusia dan wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian… Di dalam satu riwayat yang lain, bau syurga itu tercium sejauh lima ratus tahun perjalanan”.

(al-Muslim, Kitab al-Libas wa al-Zinah, 3971)



2.3 KONSEP TABARRUJ

Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa konsep tabarruj yang tepat adalah melibatkan segala bentuk benda yang bertujuan perhiasan. Perhiasan itu dibahagikan kepada dua jenis:


1. Perhiasan semulajadi
Merangkumi segala kecantikan semula jadi anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Seperti rambut ikal mayang, gerakan badan yang menarik bak kijang berlari dan kulit halus bak kulit dikupas.


2. Perhiasan buatan. Umpamanya:

• Pakaian
• Pewarna rambut
• Wangi-wangian
• Celak dan solekan
• Tatu
• Tindik
• Barang-barang emas asli atau tiruan
• Alat-alat palsu yang menyerupai anggota badan seperti rambut palsu dan kuku palsu. Alat-alat palsu yang diharuskan Sharac adalah terkecuali seperti gigi palsu dan tangan palsu (Mohd Hanif 2007:36).


Perlu diterangkan di sini bahawa perhiasan buatan tidaklah semuanya haram. Jika dilihat dari segi zat asalnya ada yang halal dan ada yang haram. Oleh itu, perlu difahami bahawa perhiasan buatan yang halal menjadi haram kerana perkara yang mendatang iaitu ia digunakan untuk tujuan tabarruj.

2.4 HUKUM TABARRUJ

Tabarruj adalah haram hukumnya menurut al-Qur’an dan al-Hadith, begitu juga menurut Ijmac kaum muslimin. Oleh itu, wanita adalah aurat seluruhnya dan tidak boleh dipandang oleh lelaki ajnabi sama ada memandang tubuhnya, rambutnya, perhiasannya dan pakaiannya yang batin.


Berdasarkan pemerhatian kaum wanita pada zaman sekarang, mereka suka memakai pakaian yang terbelah di sana dan di sini. Di samping itu, mereka juga gemar mempamerkan perhiasan mereka iaitu bertabarruj. Sesungguhnya ini adalah suatu perbuatan maksiat yang nyata. Mereka melakukannya kerana mencontohi wanita-wanita kafir dan untuk kelihatan lebih mempesona.


Pada masa kini juga, apabila kaum wanita mahu keluar dari rumahnya tanpa rasa segan silu mereka akan membuka kepalanya, mendedahkan tengkuk atau lehernya, memakai baju yang boleh menampakkan kedua-dua lengannya serta menampakkan kedua-dua betisnya. Hakikatnya, perbuatan mereka itu adalah kemungkaran yang besar dan bertentangan dengan ajaran agama yang suci.


Begitu juga apabila mereka keluar dengan pakaian yang ketat dan nipis sehingga menampakkan lekuk-lekuk serta setiap inci bentuk tubuh mereka. Perbuatan tersebut dinamakan tabarruj. Sedarlah wahai kaum wanita bahawa tabarruj itu diharamkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


Salah satu dosa besar dan fitnah yang paling dahsyat ialah apabila kaum wanita itu keluar dari rumah mereka dalam keadaan pemfitnah dan terfitnah dengan cara tabarruj sama ada dengan perhiasan pakaian yang cantik-cantik, mendedahkan anggota-anggota yang dapat menggoda nafsu lelaki di tubuh mereka serta bercampur-baur dengan kaum lelaki. Wanita yang berkelakuan seperti inilah yang dimarahi Allah S.W.T dan wajib ke atasnya seksaan dan laknat Allah S.W.T (al-Jarullah et al. 2003: 66).


2.5 DALIL-DALIL TENTANG TABARRUJ

Al-Qur’an dan al-Hadith yang menjadi dua sumber utama perundangan Islam secara jelasnya telah mengharamkan amalan tabarruj serta memberikan ancaman yang keras. Ini kerana ia mengandungi bahaya-bahaya akibat dari perbuatan tersebut.


1. Di antaranya firman Allah S.W.T. yang berbunyi:


Maksudnya:

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah yang pertama dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak

menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "ahl al-bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Frasa تبرجن “mendedahkan diri” dalam ayat di atas bermakna kaum wanita yang memakai kain penutup di atas kepalanya tetapi tidak mengemaskannya, maka terlihat leher, anting-anting dan rantai lehernya.


Pengajaran daripada ayat di atas ialah Allah S.W.T. telah menganjurkan kepada kaum wanita agar sabar tinggal di rumah, tidak boleh keluar rumah tanpa ada hajat yang penting kerana yang demikian itu lebih selamat dan terjamin daripada fitnah.


Di samping itu, Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda:

إن المرأة عورة فإذا خرجت إستشر فيها الشيطان.
.

Maksudnya:

“Bahawasanya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar rumah dia diperhatikan atau diintipkan oleh shaitan”.

(al-Tirmidhi, Kitab al-Radhac , 1093)


Dua perintah Allah S.W.T. ini mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini kerana apabila seseorang wanita itu keluar dari rumahnya, maka kesempatan ini menjadi waktu yang paling sesuai untuknya ‘pasang badan’.


Jadi ayat ini seolah-olah ingin mengatakan bahawa rumah adalah tempat yang paling baik dan selamat bagi seseorang wanita. Jika mereka terpaksa keluar kerana ada kecemasan atau keperluan, mereka hendaklah menjaga kehormatan dirinya dan menjauhi tabarruj.


Secara khusus ayat al-Qur’an di atas ditujukan kepada para Ummahat al- Mukminin (isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w.). Namun begitu, secara umumnya ia juga ditujukan kepada seluruh wanita Islam. Ini kerana isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. adalah ibu-ibu bagi semua orang Islam. Mereka adalah contoh tauladan kepada orang lain. Iaitu kepada semua wanita Islam pada semua zaman dan tempat. Dalil yang menunjukkan demikian ialah umumnya hukum-hukum yang disebutkan sebelum ini dan sesudahnya iaitu perintah tidak boleh merendahkan suara kepada lelaki-lelaki ajnabi dan menyuruh mereka bercakap dengan percakapan yang baik. Iaitu percakapan yang tidak boleh menarik perhatian orang-orang lelaki . Di samping itu juga, melarang wanita supaya tidak melakukan tabarruj iaitu mendedahkan perhiasan dan kecantikan, menyuruh mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mentaati suruhan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Semua perintah tersebut adalah hukum-hukum bagi semua wanita Islam, isteri-isteri Nabi dan bukan isteri-isteri Nabi (al-Jarullah 1990:15).


Al-Qurtubi telah berpendapat, erti ayat “tinggallah di rumah-rumah kamu” adalah perintah supaya menetap di rumah. Walaupun ia ditujukan kepada isteri-isteri Nabi tetapi wanita-wanita lain pun termasuk di dalamnya, sekalipun tiada dalil serupa yang ditujukan kepada semua wanita. Ia dapat difahami betapa banyaknya peraturan-peraturan dalam Islam yang memerintahkan agar kaum wanita tetap tinggal di dalam rumah. Keluar dari rumah harus hukumnya hanya dalam keadaan darurat dan mengikut keperluan (Mohd Hanif 2007: 45).


Dalam sebuah kisah diceritakan bahawa Siti Sac udah r.a. isteri Rasulullah s.a.w. telah ditanya oleh seseorang, “Mengapa kamu tidak berhaji dan berumrah seperti saudara-saudaramu?”. Dia menjawab, “Saya telah berhaji dan berumrah kemudian Allah S.W.T. memerintahkan agar saya diam di rumah”. Perawi berkata, “Demi Allah dia (Siti Sac udah) tidak pernah keluar daripada pintu biliknya sampai jenazahnya dilkeluarkan” (Mohd Hanif 2007:45).


Perbincangan di atas adalah tentang larangan Allah S.W.T. kepada isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak melakukan tabarruj seperti yang telah dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyah untuk menunjukkan bahawa hukum tabarruj adalah haram. Jika dilihat di dalam firman Allah S.W.T. yang berbunyi:


Maksudnya:
“…dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti tabarruj orang-orang jahiliyah yang pertama dahulu…”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Sebenarnya, ayat tersebut membawa erti bahawa janganlah seseorang wanita itu sering keluar dari rumahnya dengan berhias (bersolek) atau memakai wangi-wangian seperti adat orang-orang jahiliyah dahulu yang tidak mempunyai ilmu dan agama.


Berdasarkan ayat tersebut juga, kita hendaklah memahami tentang maksud firman Allah S.W.T. itu. Mengapa Allah S.W.T. menyebut ‘jahiliyah pertama dahulu?’. Seolah-olah adanya jahiliyah kedua atau ketiga atau seterusnya. Fahamilah betul-betul maksud ayat tersebut. Ini bermakna jahiliyah akan datang menjelma setiap kali manusia ingkar akan arahan Tuhan-Nya atau meninggalkan ajaran-Nya atau manusia membelakangkan ajaran dari Tuhan-Nya atau manusia sudah lagi tidak beramal dengan ajaran yang diturunkan oleh Tuhan-Nya. Maka jahiliyah itu sudah pasti akan menjadi pengganti untuk meresap masuk ke dalam degup jantung hati manusia. Jahiliyah itu akan muncul buat kali kedua selepas jahiliyah yang pertama dahulu. Namun kemunculannya lebih bersifat moden dan tersusun dengan aksi dan lagak serta budaya yang diiktiraf oleh masyarakat pada masa kini. Bahkan ianya menjadi perhatian untuk tatapan dan tarikan masyarakat dunia moden (Lutpi 2007:167).


Adakalanya, wanita moden hari ini disolek dan dihias bertujuan untuk melariskan jualan alat kosmetik. Di samping itu, adalah untuk menarik perhatian kaum lelaki supaya berada di sampingnya. Akhirnya mereka menjadi wanita murahan yang tidak lagi mempunyai maruah dan harga diri. Ini kerana mereka sering dibawa oleh setiap lelaki yang ingin mendampingi dirinya. Walaupun mereka dibayar dengan wang ringgit tetapi hakikatnya mereka telah meruntuhkan nilai dan martabat kewanitaan yang ada pada dirinya.


Islam awal-awal lagi menentang sekeras-kerasnya cara yang dilakukan ke atas wanita sebegini rupa. Ini kerana wanita telah dijadikan alat dan bahan tarikan untuk sesuatu tujuan. Ini adalah suatu penghinaan yang sungguh kejam dan sungguh tidak bermoral. Wanita telah digadai maruah hidupnya dan diperdagangkan dengan sebegitu rupa untuk kepentingan duniawi yang bersifat sementara (Lutpi 2007:169).


2. Selain itu, dalil Qur’an yang mengharamkan tabarruj ialah firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara perempuan mereka, atau perempuan-perempuan mereka atau hamba-hamba mereka atau orang-orang gaji lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya”.

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 31)


Ayat yang telah dijelaskan di atas sarat dengan perintah dan larangan Allah S.W.T. kepada muslimah dalam menjaga akhlak mulia dan kehormatan diri.


Perkataan zinah mengandungi tiga erti seperti berikut:

a. Pakaian-pakaian yang cantik.
b. Perhiasan-perhiasan.
c. Bahan-bahan yang umumnya digunakan oleh wanita-wanita untuk berhias di kepala, muka dan lain-lain anggota badan. Sekarang ini dikenali berhias (mencantikkan diri).


Ketiga-tiga perkara yang disebutkan di atas adalah perhiasan-perhiasan yang Allah S.W.T. perintahkan kepada kaum wanita supaya tidak mendedahkannya kepada kaum lelaki kecuali lelaki-lelaki yang telah dikecualikan oleh Allah S.W.T. seperti suami, saudara-saudara lelaki dan lain-lain yang dibolehkan. Adapun erti kalimah “melainkan yang nampak daripadanya” ( إلا ما ظهر منها) ialah perkara zahir yang tidak boleh disembunyikan seperti pakaian luar atau baju c Abac ah atau yang nampak tanpa sengaja. Ayat ini menunjukkan bahawa wanita tidak boleh dengan sengaja menampakkan perhiasan-perhiasan tersebut (al-Jarullah 1990:17).


Ayat di atas juga adalah perintah Allah S.W.T. agar wanita muslimah menutup dada, tengkuk dan leher dengan tudung. Ini bermakna bukanlah kepala semata-mata. Perkara ini sangat jelas dalam kewajipan menutup kepala dan dada. Maka sesiapa yang mencabut tudung dan menampakkan kepala atau dada, dia berhak mendapat kemurkaan Allah S.W.T.


Allah S.W.T. sekali lagi mengulangi perintah-Nya agar kaum muslimah tidak menampakkan perhiasan mereka kepada kaum lelaki kecuali beberapa golongan tertentu. Pengulangan perintah itu menunjukkan betapa pentingnya kaum muslimah menjaga tingkah laku mereka dan juga betapa buruknya kesan yang akan timbul jika mereka tidak memperdulikan perintah Allah S.W.T. itu.


Al-Qurtubi pula telah memberi tafsirannya tentang makna perhiasan yang diperintahkan Allah S.W.T. kepada muslimah agar tidak menampakkannya. Beliau berkata: “Perhiasan itu ada dua jenis:


a. Perhiasan semulajadi iaitu muka. Muka adalah perhiasan yang asli dan kecantikan semula jadi yang mempunyai banyak manfaat dan jalan untuk mendapat ilmu.
b. Perhiasan yang diusahakan. Iaitu usaha-usaha yang dilakukan oleh wanita-wanita untuk mencantikkan dirinya seperti berpakaian dan perhiasan” (al-Jarullah 1990:17).
c.
Semuanya itu termasuk dalam firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nuur ayat 31 yang berbunyi ‘ولا يبد ين زينتهن’ iaitu yang bermaksud “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka”. Kesimpulan daripada tafsiran al-Qurtubi di atas tidak berbeza atau bercanggah dengan perbincangan maksud al-Zinah sebelum ini.


Daripada sudut lain, ayat tersebut tidak menentukan apakah perhiasan itu pada anggota atau pakaian. Maka itu menunjukkan dengan jelas setiap anggota mungkin boleh jadi fitnah dan perhiasan.


Sesungguhnya Allah S.W.T. telah menurunkan ayat ini padahal Dia mengetahui ada segelintir wanita yang berhijab untuk berhias dan fitnah. Seperti bergaya dengan tudung lilit ke kiri dan ke kanan atau tudungnya dibentuk dengan pelbagai bentuk yang menarik sehingga tudung itu sendiri menjadi perhiasan kepada orang yang melihat (Mohd Hanif 2007:49).


Ini adalah berlawanan dengan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T. iaitu tudung sebagai mekanisma menutup perhiasannya atau fitnahnya, kemudian wanita itu mendakwa dia mentaati Allah S.W.T. dan bertudung seperti yang disuruh. Ketahuilah bahawa Allah Taala Maha Mengetahui penipuan yang ada dalam keinginan mereka untuk berhias dan bercantik-cantik sekalipun dengan mengenakan tudung. Ini kerana tudung itu digunakan untuk menarik perhatian orang-orang di sekelilingnya. Seolah-olah Allah S.W.T. mengatakan tudung semata-mata tidak mencukupi dengan berhias dan perhiasan.


Kesimpulannya, Allah S.W.T. melarang kepada para muslimah supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali muka dan tapak tangan kepada lelaki yang bukan mahramnya dan menunjukkan bahawa tabarruj itu adalah haram (Mohd Hanif 2007:50).


3. Dalil yang mengharamkan tabarruj juga terdapat di dalam surah an-Nuur, ayat 60 yang berbunyi:

Maksudnya:
“Dan mana-mana wanita-wanita tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian (luar) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 60)


Ayat di atas menjelaskan adab berpakaian bagi perempuan yang telah berumur. Perempuan-perempuan tua yang dimaksudkan di sini adalah perempuan yang sudah tidak boleh hamil lagi kerana ketuaannya atau lanjut usia. Di samping itu, mereka sudah tiada keinginan untuk berkahwin lagi kerana mereka sudah tidak mempunyai rasa cinta terhadap lelaki dan mereka pun tidak lagi disukai oleh lelaki-lelaki.
Maksud menanggalkan pakaian bukanlah bererti menanggalkan semua pakaian yang ada pada tubuh perempuan itu sehingga tidak terdapat seurat benang. Dalam hal ini, ahli fiqh dan ahli tafsir bersepakat mengatakan bahawa perkataan ثيا بهن yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah jilbab iaitu Allah S.W.T. telah memerintahkan kaum wanita agar menutup perhiasannya dengan baju tersebut (Mohd Hanif 2007: 51).


Namun begitu, ulama telah berbeza pendapat tentang apakah hakikat jilbab yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Ada yang berpendapat jilbab itu adalah pakaian yang lebih besar daripada tudung. Diriwayatkan daripada Ibnu cAbbas r.a. dan Ibnu Masc ud r.a. jilbab adalah jubah (Mohd Hanif 2007:51).


Seorang ulama tafsir, Abu Bakar bin Arabiy telah mengulas dalam tafsir beliau, Ahkam Al-Qur’an bahawa orang ramai telah berselisih pendapat pada pentafsiran jilbab dalam perkataan yang hampir sama tetapi asasnya ia adalah pakaian yang menutup seluruh badan.


Berdasarkan makna di atas, ayat ini menyuruh semua wanita Islam menutup tubuh badannya. Jika digabungkan dengan ayat 25 surah an-Nuur, maka penutupan itu hendaklah daripada hujung kepala hingga ke hujung tapak kaki selain muka dan tapak tangan.


Pada hakikatnya tabarruj adalah menampakkan apa sahaja yang wajib ditutup, tentunya ditujukan kepada kaum wanita agar tidak menampakkan perhiasan dan kecantikannya yang wajib ditutup kepada lelaki yang bukan mahramnya.


Dalam ayat 60 surah an-Nuur, bukanlah menunjukkan keharusan menanggalkan jilbab tetapi menunjukkan pengecualian bagi wanita yang sudah tidak bernafsu dan bershahwat terhadap lelaki kerana faktor tua. Walaupun mereka sudah hilang shahwatnya namun memakai jilbab lebih baik bagi mereka.


Apabila hukum yang dibincangkan di atas adalah untuk perempuan-perempuan tua yang sudah tidak bershahwat dan sudah tidak mempunyai daya tarikan seks, jadi bagaimana pula bagi kaum wanita muda yang masih dapat merangsang kaum lelaki dan kaum lelaki pun memang tertarik kepadanya.


Kesimpulannya, perintah Allah S.W.T. adalah kepada semua muslimah kecuali yang telah berumur, supaya tidak menanggalkan pakaian luar mereka dan menunjukkan tabarruj adalah haram.


4. Dalil haram tabarruj juga terdapat di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

صنفان من أهل النار لم أرهما: قوم معهم سياط كأ ذنا ب البقر يضر بون بها الناس, و نساء كاسيا ت عا ريات مائلا ت مميلا ت رؤوسهن كأسنمة البخت الما ئلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا و كذا..


Maksudnya:

“Ada dua kumpulan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, satu kaum yang mempunyai cemeti-cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul orang dengannya. Satu lagi ialah wanita-wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang lenggok, yang menyimpang dari perintah Allah S.W.T. dan mengajar orang yang berbuat seperti mereka, sanggul di kepalanya seperti bonggol atau punuk unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga malah tidak dapat mencium bau syurga. Sedangkan bau syurga itu dapat dicium baunya dalam jarak perjalanan sekian-sekian”.

(al-Muslim, Kitab al-Libas wa al-Zinah, 3971)


Hadith ini adalah ancaman keras terhadap amalan tabarruj, pendedahan aurat, memakai pakaian yang tipis dan pendek (singkat) serta ancaman keras terhadap kezaliman. Ancaman terhadap orang yang melakukan sedemikian pula ialah dengan pengharaman masuk syurga. Perkataan “Saya tidak pernah melihatnya” ialah pada masa hidup Rasulullah s.a.w. Hadith ini di antara mac jizat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu pada zaman sekarang ini terdapat wanita-wanita yang berpakaian singkat dan berbogel yang menampakkan tubuh badan mereka. Selain itu, terdapat juga wanita-wanita yang berpakaian dengan pakaian dan tudung yang tipis. Hakikatnya, pakaian yang mereka gunakan itu adalah tidak menutup anggota badan. Ini kerana dapat mempamerkan susuk tubuh badan mereka. Mereka juga boleh dikatakan berbogel kerana tubuh badan mereka boleh nampak disebalik pakaian yang mereka gunakan. Mereka seperti bertelanjang dan lebih mempesonakan lagi jika mereka memakai pakaian yang ketat yang menampakkan daya-daya tarik godaan wanita (bakat-bakat terpendam).


Erti perkataan ‘Maailat’ ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah menyimpang dari kepatuhan Allah S.W.T. Iaitu mereka ingkar dengan perintah Allah S.W.T. yang mengamanahkan kepada mereka supaya menjaganya. Manakala perkataan ‘Mumilat’ bererti mereka yang mengajar kepada orang lain akan perbuatan mereka yang tercela itu. Namun ada pula pendapat lain yang mengatakan bahawa erti perkataan ‘Maailat’ ialah wanita-wanita yang menyisirkan rambutnya seperti rambut pelacur dan erti ‘Mumilat’ pula ialah wanita-wanita yang menyikat rambut orang lain seperti rambutnya (al-Jarullah 1990:22).


Adapun perkataan ‘sanggulnya seperti bonggol atau punuk unta yang gila’ ialah mereka membesarkan rambut di kepalanya dengan menggunakan rambut palsu atau sebagainya. Ini dilakukan kononnya rambut mereka itu akan kelihatan lebih menawan dan dirinya kelihatan semakin anggun (al-Jarullah 1990:22).


5. Seterusnya hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Perumpamaan perempuan yang memperagakan perhiasannya kepada bukan ahli keluarganya adalah seperti kegelapan hari Kiamat, tiada cahaya baginya”.

( al-Tirmidhi, Kitab al-Radhac , 1087)


Berdasarkan hadith di atas Rasulullah s.a.w. telah menggambarkan perempuan-perempuan yang terbabit menayangkan kecantikan, kejelitaan, keanggunan dan juga perhiasannya seumpama kegelapan di hari Kiamat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah sangat buruk akibatnya. Orang–orang yang telah melakukannya adalah berdosa besar dan seterusnya tidak mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah S.W.T.

Perempuan yang telah mempertontonkan perhiasan-perhiasannya bermakna dia telah melakukan dua dosa sekaligus. Pertama, dia telah menanggalkan pakaian kebiasaannya dan menggantikannya dengan perhiasan-perhiasan yang tidak diharuskan baginya. Kedua, dia dengan sengaja mempertontonkan pakaian yang dipakainya kepada lelaki yang bukan suaminya.


Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan kaum wanita supaya jangan meletakkan (membuka) pakaiannya di luar rumah suaminya. Jika dilakukan juga, maka dia telah melakukan dosa besar.


Apabila seseorang perempuan yang mengagumi dirinya sendiri dan menggalakkan lawan jantinanya supaya mengaguminya, maka hal itu bererti dia telah menghalalkan barang yang tidak halal di sisi Islam. Maka tidak diragukan lagi bahawa dia adalah calon penghuni neraka jahannam.


Kesimpulannya, perkataan Rasulullah s.a.w. yang menyamakan wanita tabarruj dengan kegelapan hari Kiamat menunjukkan tabarruj adalah haram. Pelaku tabarruj akan mendapat dosa hingga mengakibatkan dirinya tidak mendapat cahaya hidayah Allah S.W.T.


6. Seterusnya hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Mana-mana perempuan yang memakai wangi-wangian, kemudian dia keluar menemui
kaumnya (sekumpulan orang) dengan maksud supaya mereka dapat mencium bau wanginya, maka perempuan tersebut adalah penzina”.


(al-Nasaie, Kitab al-Zinah, 5036)


Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah s.a.w. telah menyifatkan kaum wanita yang memakai wangi-wangian dan mereka sasarkannya kepada kaum lelaki yang bukan suaminya, mereka adalah golongan penzina. Setiap mata yang memandangnya juga dikatakan mata penzina. Ini kerana perbuatan itu akan membuka pintu-pintu penzinaan yang sebenar dan ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

Kesimpulannya, perkataan Rasulullah s.a.w. di dalam menghukum kaum wanita yang memakai wangi-wangian, kemudian keluar dari rumahnya untuk menarik perhatian lelaki-lelaki lain selain suaminya. Maka dia adalah penzina walaupun dia belum melakukan zina yang sebenar. Perbuatan tersebut termasuk dalam makna tabarruj. Ia adalah haram dan perlu dijauhi (Mohd Hanif 2007:56).


7. Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Aisyah r.a. berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w. duduk di masjid, tiba-tiba seorang perempuan masuk dengan memakai perhiasan dan pakaian yang tidak patut, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada orang ramai yang berada di situ,”Wahai manusia, tegahlah isteri-isteri kamu daripada memakai perhiasan dan bermegah-megah di masjid. Sesungguhnya Bani Israil dilaknat kerana isteri-isteri mereka memakai perhiasan dan bermegah-megah di dalam masjid”.

(Ibnu Majah, Kitab al-Fitna, 3991)


Hadith di atas adalah penguat kepada hadith sebelumnya. Baginda s.a.w. mengharamkan perbuatan kaum wanita yang sengaja bermegah-megah dengan memakai wangian dan perhiasan. Lalu mereka pergi ke masjid untuk mengerjakan solat. Larangan itu bertujuan agar mereka tidak memfitnah kaum lelaki yang solat di masjid dengan wangian dan perhiasan mereka.


Namun, hadith ini bukanlah membenarkan kaum wanita memakai perhiasan dan wangian kemudian mereka bermegah-megah di luar masjid. Tafsiran yang sebenar adalah kesucian masjid sebagai tempat ibadat perlulah dihormati dan tidak wajar masjid itu dijadikan sebagai pertemuan-pertemuan riyak atau takbur sehingga menimbulkan gangguan kepada jemaah lain.

Daripada sudut lain, kita telah sedia maklum bahawa masjid adalah tempat perhimpunan orang-orang yang saleh dan warac untuk beribadat kepada Allah S.W.T. Jadi pasti mereka tidak akan terpengaruh dengan perhiasan dan wangian kaum wanita yang datang ke masjid.


Walaupun begitu, kita dapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w. amat prihatin tentang masalah ini. Baginda s.a.w. tetap melarang kaum wanita yang datang ke masjid daripada memakai wangian dan perhiasan. Ini kerana Baginda s.a.w. pasti fenomena ini lambat laun akan memberi kesan negatif kepada jemaah masjid sebagaimana yang telah menimpa Bani Israel.


Kita juga boleh perhatikan dan bayangkan situasi di luar masjid. Iaitu berlaku percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan. Lelaki-lelaki buaya darat pula sentiasa berkeliaran mencari mangsa yang lalai dan leka.


Kesimpulannya, perintah Nabi Muhammad s.a.w. kepada para suami supaya menegah isteri-isteri mereka daripada memakai wangian dan perhiasan. Ini kerana ia termasuk dalam makna tabarruj. Menunjukkan tabarruj adalah haram dan berdosa (Mohd Hanif 2007:58).


2.6 SEBAB-SEBAB WANITA TABARRUJ

1. Lemahnya iman di dalam jiwa. Iman yang kuat apabila sudah melekat di hati akan nampak pengaruhnya pada seluruh anggota. Maka ia akan teguh dalam menjalankan perintah Allah S.W.T. dan menjauhi larangan-Nya. Sebaliknya, apabila iman lemah, dia akan menilai perkara yang baik jadi buruk dan yang buruk jadi baik.

2. Kendurnya semangat umat Islam untuk berdakwah ke jalan Allah S.W.T. dan malasnya melaksanakan kewajipan jihad fi sabilillah. Akibatnya kemungkaran berleluasa. Firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:

“ Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

(Al-Qur’an, Al-Ruum 30, 41)


3. Sedikitnya ilmu pengetahuan agama yang dipelajari menonjolkan kebodohan dan sedikitnya ulama yang mengamalkan ilmunya demi memberikan contoh kepada masyarakat dalam mengerjakan ibadat kebajikan. Pada masa yang sama, orang-orang jahil yang memberikan dorongan kepada kejahatan sangat ramai.


4. Lambakan atau pendedahan media elektronik, penerbitan majalah dan surat khabar yang sangat berani memuatkan budaya-budaya tabarruj. Hal ini akan mempengaruhi masyarakat dan mereka akan terikut-ikut dengan budaya tersebut.

5. Pandangan sebahagian besar manusia yang cenderung kepada gaya hidup Barat yang sekular. Mereka menjadikan Barat sebagai ‘trendsetter’. Setiap apa yang datang daripada Barat adalah trend yang mesti diikuti supaya mereka sentiasa ‘up-to-date’ dan maju serba-serbi. Pada anggapan mereka, mengikut Barat dalam solekan dan seumpamanya akan menjadikan dirinya maju dan moden seperti Barat juga. Kepada golongan ini, perhatikanlah firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:
“Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan”.

(Al-Qur’an, Ali cImran 3,196-197)


2.7 BAHAYA TABARRUJ

1. Tabarruj itu membahayakan kaum wanita dan juga kaum lelaki di dunia dan di akhirat kelak. Perbuatan tersebut akan menjatuhkan kehormatan seseorang wanita dan menunjukkan tentang kejahilannya. Ia telah diharamkan kepada wanita muda, wanita tua, wanita cantik dan wanita yang tidak cantik.

2. Menimbulkan keinginan lelaki-lelaki yang jahat agar menggoda dan merosakkan wanita yang menyolekkan dirinya sama ada dia sengaja untuk menarik perhatian lelaki atau tidak.


3. Menyemai benih-benih riak dan fakhar dengan diri sendiri akibat kecantikan hasil tabarruj. Ia juga boleh menimbulkan sikap melebih-lebihkan diri sendiri dan merendah-rendahkan orang lain.


4. Menyemarakkan api cemburu dan hasad dengki orang lain terhadap individu yang bersolek. Ini kerana orang yang bersolek akan mendapat lebih perhatian.


5. Berlaku pembaziran dalam pembelian alat-alat solek kerana tidak puas hati dengan kualiti tubuh yang sedia ada dan ingin berlumba-lumba siapa yang lebih cantik.


6. Tabarruj juga boleh membawa bahaya dan mudarat kepada diri sendiri jika tersilap pilih alat solek atau rawatan kecantikan yang mengakibatkan kerosakan kulit, payudara atau anggota-anggota lain. Seperti suntikan botox yang boleh menyebabkan barah.


7. Mendatangkan kehinaan dan keaiban serta membawa fitnah dan keruntuhan. Wanita yang mengamalkan tabarruj sebenarnya telah mengikuti langkah-angkah shaitan, menyimpang dari al-Qur’an dan al-Sunnah, melanggar batas-batas Allah S.W.T. dan dengan beraninya telah melakukan perbuatan fasik dan maksiat (al-Jarullah 1990:22).

8. Merosakkan keharmonian dan kerukunan rumahtangga. Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:“Yang paling ku takutkan terjadi kepada kamu ialah fitnah wanita”. Sahabat bertanya: Bagaimana yang demikian wahai Rasulullah?. Rasulullah menjawab: “Apabila mereka memakai kain selimut dari Syam, kain baju dari Iraq dan memakai kain pembalut kepala (serban) dari Yaman. Mereka berlagak seperti orang kaya. Apabila berlaku demikian, nescaya akan menyusahkan orang-orang miskin (suaminya)” (Abdul Mun' im 2002:40).


Hadith di atas menerangkan perangai perempuan yang suka berlagak dengan memakai pakaian-pakaian mahal dan memakai perhiasan-perhiasan import. Contoh perhiasan pada zaman moden ialah minyak wangi dari Paris atau pakaian berfesyen dari Itali atau beg tangan dari London dan sebagainya. Sedangkan suami mereka tidak mampu sehingga perkara tersebut pasti menyusahkannya.


Perempuan seperti ini mendesak suaminya supaya memenuhi kehendaknya dengan membeli barang-barang yang mahal di luar kemampuan suami untuk membelinya. Hal ini mendorong suaminya berhutang (dengan bantuan kemudahan kad kredit atau along) untuk memenuhi keperluan isterinya.


Jika suaminya orang senang dan kaya mungkin tiada masalah. Namun jika suaminya orang sederhana atau susah tidak mungkin suami itu mampu memenuhi segala kehendak isterinya. Perselisihan faham dan pertengkaran sangat mudah meletus. Jika tidak dikawal, tidak mustahil penceraian akan berlaku umpama menyiram minyak ke atas api.


Jika seseorang perempuan itu memakai pakaian atau perhiasan yang mahal, dengan sendirinya dia juga menjadi ikutan kaum sejenisnya. Mereka terikut-ikut tanpa berfikir panjang dan tanpa pertimbangan yang waras (Mohd Hanif 2007:63).


Kaum wanita perlu menjauhi amalan tabarruj atau mendedahkan perhiasan kepada lelaki-lelaki yang bukan mahram. Di samping itu, elakkan dari sering keluar rumah tanpa ada alasan Shar'ie kerana patuh kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya serta untuk menjaga diri, agama dan kehormatan dari keruntuhan.


Di antara sebesar-besar kerosakan ialah wanita-wanita Islam menyerupai wanita-wanita kafir dengan memakai pakaian pendek, menampakkan rambut dan kecantikan serta mendandan rambut mengikut cara orang-orang kafir dan golongan fasiq yang memakai barukah (rambut palsu) di kepalanya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم.


Maksudnya:

“Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka termasuklah ia ke dalam golongan mereka”.

( Abu Daud, Kitab al-Libas, 3512)


2.8 HIKMAH LARANGAN TABARRUJ

1. Supaya wanita muslim tidak kembali menjadi golongan hina sepertimana wanita pada zaman jahiliyah, ditonton dan dilihat oleh orang ramai bagai barangan murah yang terdedah di pasar-pasar.


2. Mengelak daripada berlaku krisis sosial, khususnya menggalakkan penzinaan.


3. Mengelakkan krisis rumahtangga. Apabila wanita bebas dan mudah dipandang oleh lelaki, maka ia boleh menimbulkan tawar hati lelaki kepada isterinya. Ia juga mungkin terlibat dengan kisah asmara dengan perempuan lain. Apabila seseorang wanita yang sudah bergelar isteri bebas keluar dari rumah dan terpaut pula dengan lelaki lain. Sudah tentu akan berlaku krisis dengan suaminya.


4. Wanita dan lelaki mudah terperangkap dengan tipu daya shaitan. Mereka dengan mudah akan melanggar perintah Allah S.W.T.


5. Oleh itu selaku wanita Islam yang tinggi nilai akhlak dan harga diri, mereka perlulah menjaga diri agar tidak meniru bentuk perhiasan dan pakaian wanita jahiliyah. Ini kerana wanita yang mengamalkan tabarruj seperti wanita jahiliyah akan mudah menimbulkan fitnah dan inilah yang ditakuti oleh Rasulullah s.a.w.


Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Tidak aku tinggalkan sesudahku suatu fitnah yang lebih dahsyat ke atas kaum lelaki itu,
ialah berpunca daripada wanita”.


(al-Bukhari, Kitab al-Nikah, 4706)


Wahai para muslimah, jagalah diri daripada tergolong di dalam golongan yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. Masuklah di dalam golongan ikhwan, iaitu golongan pembela agama Allah di akhir zaman.


BAB III


AMALAN TABARRUJ PADA MASA KINI DAN HUKUMNYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


3.1 TABARRUJ PADA WAJAH DAN HUKUMNYA

Tabarruj pada wajah ialah bersolek atau bermake-up supaya muka kelihatan cantik dan ayu. Ia adalah amalan yang sering dilakukan oleh kaum wanita. Berdasarkan pemerhatian, orang-orang perempuan di zaman ini terutamanya anak-anak gadis, mereka tidak akan keluar ke tempat-tempat belajar, kelab-kelab, tempat-tempat kenduri dan sebagainya sebelum muka mereka ditempel dengan berbagai alat make-up. Tujuan perbuatan ini adalah untuk menarik setiap lelaki yang ditemui di jalan. Apatah lagi bagi pemuda-pemuda di kaki lima, mereka bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Perbuatan wanita yang bertabarruj ini seolah-olah membentangkan santapan mata kepada kaum lelaki. Kepuasan melalui pandangan merupakan salah satu kepuasan yang amat besar. Memang benar apa yang dikatakan: “Makanan mata lebih berharga dari makanan mulut.”


Oleh itu, kaum wanita perlu berwaspada dan memikirkan bahawa ada barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat. Di samping itu, ada pula yang tidak boleh dipamerkan atau dilihat. Memang tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan (emosi) seperti suka-duka, inginkan pemandangan yang indah tetapi itu adalah perkara biasa atau normal sahaja. Dorongan shahwat tidak akan bertindak ganas jika tidak dilayani dengan mendedahkan perkara-perkara yang membangkitkan berahi di hadapannya. Punca keberahian tidak akan lahir tanpa pancaindera. Oleh itu, memang tepat apa yang dikatakan oleh penyac ir “punca maksiat terbit dari penglihatan.” Rangkaian maksud syac ir dapat dilihat seperti di bawah:


Setiap kejadian dari pandangan
Bagaikan kebakaran dari serpihan
Banyak kerlingan menikam kalbu
Kalbu ditikam tanpa panahan
Selagi manusia mengikut perasaan
Bahaya di hadapan tidak kesedaran
Relakan bencana datang melanda kemuliaan
Usah disambut andai datang membawa kehancuran
(Nic mat 2002:26).


Sebenarnya, wanita yang gemar bersolek menandakan lemah mentalnya. Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

النساء ناقصات عقل ودين


Maksudnya:

Setiap wanita ada kelemahannya, lemah tenaga berfikir dan lemah soal-soal agama.

( al-Tirmidhi, Kitab al-Iman, 2538)


Di zaman silam, amalan bersolek atau bermake-up dikalangan wanita adalah satu tradisi. Di zaman moden ini juga, masih ada lagi golongan wanita yang cuba memulihkan setiap amalan kolot dahulu malah dipopularkan pula dengan cara dan teknik yang moden.

Allah S.W.T. melarang sikap wanita yang bertabarruj. Larangan ini termaktub di dalam firman Allah .S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:

“…dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti tabarruj orang-orang jahiliyah yang pertama dahulu…”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Di dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari al-Tirmidhi ada menjelaskan:
إن المرأة عورة فإذا خرجت إستشر فيها الشيطان.
.

Maksudnya:

“Bahawasanya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar rumah dia diperhatikan atau diintipkan oleh shaitan”.

(al-Tirmidhi, Kitab al-Radhac , 1093)


Allah S.W.T. juga ada berfirman:

Maksudnya:
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, melainkan yang (biasa) nampak daripadanya……..”.

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 31)


Firman Allah S.W.T. yang lain di dalam surah an-Nuur ayat 60:

Maksudnya:

“Dan mana-mana wanita-wanita tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian (luar) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 60)


Pujangga Arab pula ada berkata:”Otak kolot gemarkan perhiasan. Mental terpelajar tidak berhajat sebarang perhiasan.” Keadaan hidup orang yang terpelajar Islam adalah normal. Mereka tidak tamak perhiasan yang banyak, malahan ilmu pengetahuan yang ada di dada mereka sudah cukup sebagai perhiasan diri. Beginilah keadaan manusia, andai kata perhatian ditumpukan kepada kerohanian sepenuhnya, alamat berkuranglah di bidang material. Namun tidak mengapa, ukuran manusia di hati dan lisannya dan bukannya terletak di kot atau di gaunnya. Seorang penyac ir cArab pernah bersyac ir dengan katanya:


Ambillah jiwa yang suci
Lengkapkan pula budi pekerti
Tidak kebahagiaan dirupa paras
Tapi berbahagia di jiwa yang murni!
(Nic mat 2002:32).


Berdasarkan pemerhatian masa kini, terdapat juga sebahagian siswazah yang terikut-ikut dengan suasana dan keadaan. Mereka juga bermake-up dan berpakaian seperti orang yang tidak berpelajaran. Amat menyedihkan sekali jika wanita tersebut berilmu dalam bidang agama tetapi mereka tetap mengamalkan tabarruj. Sedangkan mereka mengetahui hukum-hakamnya. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghayati sepenuhnya ilmu yang mereka perolehi. Dalam hal ini, Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Al-Qashash ayat 50:

Maksudnya:

“…dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)”.

(Al-Qur’an, Al-Qashash 28, 50)


Siksaan yang lebih dahsyat juga akan diberikan kepada wanita yang terpelajar jika mereka tidak menghayati apa yang mereka pelajari. Penjelasan tersebut dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T. yang berbunyi:


Maksudnya:

“Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadaNya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

(Al-Qur’an, Al-Jaatsiyah 45, 7-8)


Namun, ada pula sebahagian wanita yang berpendapat bahawa Allah S.W.T. tidak memaksa sesiapa, malah memberi kuasa kepada manusia untuk memilih. Bagi pandangan mereka, jika ada Sharic at Islam yang sesuai dengan kehendaknya, boleh dikerjakan dan jika tidak ada, boleh ditinggalkan begitu sahaja. Terhadap golongan ini jangan lupa bahawa Allah S.W.T. ada berfirman:


Maksudnya:

“....Adakah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”.

( Al-Qur’an, Al-Baqarah 2, 85)


Sebenarnya, bukan semua perundangan dan suruhan Allah S.W.T. mengikut kehendak dan hawa nafsu manusia seperti firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

Maksudnya:

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya….”

(Al-Qur’an, Al-Muc minuun 23, 71)


Allah S.W.T. juga ada berfirman di dalam ayat yang lain:


Maksudnya:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 36)


Beginilah situasi hidup manusia jika hidup dikuasai nafsu, suruhan yang baik dirasai bagai hempedu, maksiat terkutuk disangkakan madu. Manusia seperti ini terdapat dalam firman Allah S.W.T. yang berbunyi:


Maksudnya:

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”.

(Al-Qur’an, Al-Jaatsiyah 45, 23)


Kesimpulannya amalan tabarruj atau bersolek adalah haram dan dilarang. Larangan ini telah dijelaskan di dalam al-Qur’an dan hadith Nabi sepertimana yang telah dijelaskan lalu.


3.2 TABARRUJ DARI SEGI PAKAIAN DAN HUKUMNYA

Pakaian merupakan nikmat yang sangat besar. Ia tidak hanya melindungi tubuh badan kita dari perubahan cuaca tetapi ia juga merupakan perhiasan yang dapat memperindah diri kita. Allah S.W.T . ada berfirman:


Maksudnya:

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” .

(Al-Qur’an, Al-Ac raaf 7, 26)


Allah S.W.T. menguji hamba-hamba-Nya dengan pakaian yang mereka senangi. Allah S.W.T. juga menjelaskan bahawa pakaian yang sebenarnya adalah ketaqwaan, iaitu sebaik-baik pakaian untuk tubuh. Ini kerana sesiapa yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. konsisten dengan ajaran agamanya nescaya ia akan bahagia di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya menjaga ketaqwaan kepada Allah S.W.T. merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan muslimat. Maka, hindarilah dari menggunakan pakaian yang diharamkan sekalipun ia kelihatan cantik. Ini kerana pakaian ketaqwaan adalah lebih baik, lebih kekal dan lebih suci (al-Fauzaan 2006: 19).


Tabarruj pada pakaian ialah apabila seseorang wanita itu menggunakan pakaian yang ketat, terbelah, singkat, pakaian yang terlalu nipis atau memakai pakaian yang bukaan lehernya terlalu luas. Selain itu, perkara-perkara yang dianggap tabarruj juga adalah seperti tidak memakai sarung tangan atau sarung kaki, memakai kasut tumit tinggi, memakai pakaian yang bersulam, bermanik dan segala perhiasan yang seumpamanya yang boleh menarik perhatian orang lain. Semua yang disebutkan tadi hukumnya tidak diharuskan oleh Sharac . Ini bukanlah ciri pakaian ketaqwaan sepertimana yang telah dibincangkan lalu. Ini kerana pakaian yang menunjukkan perhiasan adalah bahagian dari tabarruj. Sepertimana yang diketahui pengertian tabarruj adalah wanita-wanita yang mempamerkan perhiasan dan kecantikannya. Hal ini dilarang oleh agama kerana dapat membangkitkan berahi kaum lelaki. Maka tidak diragukan lagi jika wanita-wanita keluar dari rumah dengan pakaian yang menjolok mata serta dapat membangkitkan hawa nafsu kaum lelaki. Ia adalah sebab utama timbulnya fitnah dan kerosakan akhlak.


Pada kebiasaannya, gejala pemakaian yang berunsur tabarruj banyak berlaku di majlis-majlis perkahwinan, pusat membeli-belah, hospital, sekolah, ketika keluar, menziarahi kaum kerabat dan lain-lain. Berdasarkan pemerhatian juga, sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru. Apabila keluar dari rumah, mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Misalnya mereka menggunakan pakaian yang terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perbuatan ini seolah-olah mereka berkata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membaluti tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan tingkahlaku ku, dan siapa...?” (al-Fauzaan 2006:27).


Pada hakikatnya, perbuatan tersebut seperti penjual manik di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti akan memerhatikan. Jika tidak melihat, penjual sendiri yang akan menawarkan diri tetapi sayang kerana ramai pemerhati dari pembeli. Andainya orang yang melakukan perbuatan tersebut berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu.


Allah S.W.T. ada berfirman:

Maksudnya:

“…dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti tabarruj orang-orang jahiliyah yang pertama dahulu…”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Berdasarkan ayat di atas dapat disimpulkan bahawa wanita-wanita yang menggunakan pakaian yang berbentuk perhiasan boleh membangkitkan nafsu kaum lelaki . Ia adalah tabarruj zaman jahiliyah dahulu. Perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa.


Pada hakikatnya, fesyen dan wanita tidak dapat dipisahkan. Namun begitu biarlah kita berfesyen berlandaskan Sharic at Islam. Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang hendak dipakai oleh wanita Islam. Islam menuntut agar pakaian tersebut memenuhi Sharic at iaitu pakaian yang menutup aurat dan tidak melampau. Pakailah apa yang kita suka tetapi pastikan ia memenuhi apa yang digariskan oleh Sharic at Islam.


Bentuk fesyen pakaian wanita Islam hendaklah menutup seluruh badan kecuali apa yang terdapat di dalam Sharic at. untuk mengecualikannya. Pakaian tersebut juga hendaklah labuh sehingga menutup kaki atau dipakai stokin, tidak mengenakan bau-bauan yang melampau, warna pakaian tidak berwarna-warni, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir dan ia juga hendaklah tidak menyerupai pakaian pembesar jahiliyah atau golongan bangsawan (Abdul Aziz 2007:128).


Di samping itu, seseorang wanita muslimah juga hendaklah menggunakan pakaian yang longgar dan tidak sempit. Dengan demikian bentuk tubuhnya tidak dapat digambarkan. Kain pada pakaian yang digunakan pula hendaklah tebal iaitu tidak telus pandang, tidak menjolok mata dan tiada perhiasan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki (Jamal 1997:54-56).


3.3 TABARRUJ DI HARI PERKAHWINAN DAN HUKUMNYA


Perkahwinan di dalam Islam adalah suatu akad yang mulia antara lelaki dan wanita. Ia menghalalkan setiap keduanya untuk yang lain. Dengan itu mereka akan saling mengasihani, tolong-menolong, bergabung dan bertolak ansur. Al-Qur’an telah menggambarkan hubungan ini dengan suatu gambaran yang menarik. Iaitu Allah S.W.T telah berfirman:

Maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

(Al-Qur’an, Al-Ruum 30, 21)


Maksud tabarruj di hari perkahwinan ialah menghiaskan diri ketika hari perkahwinannya. Jika kita pergi ke tempat kenduri majlis perkahwinan, pasti kita akan melihat pengantin perempuan disolek dan dihias dengan pakaian yang cantik oleh pesolek atau dikenali juga sebagai mak andam. Apabila sudah selesai disolek dan digunakan pakaian pengantin, pengantin perempuan tersebut bagaikan seorang puteri. Hal ini sesuailah dengan gelaran ‘raja sehari’ bagi dirinya. Begitu juga dengan pengantin lelaki yang kelihatan segak bagaikan seorang raja. Jika kedua-dua mempelai tersebut digandingkan bersama bagaikan pinang dibelah dua.


Namun, timbul pula persoalan apakah hukum pengantin perempuan tersebut bertabarruj ketika hari perkahwinannya. Dalam hal ini pengantin perempuan tersebut dibolehkan berhias. Berhias untuk menyenangkan hati suami dapat melahirkan kebahagiaan dan kegembiraan di dalam hati seorang lelaki yang bergelar suami. Terutamanya pada saat pertama melangkahkan kaki dalam kehidupan rumahtangga dengan seorang wanita yang sama sekali masih baru bagi dirinya. Seorang muslimat yang baik akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tetap mentaati Allah S.W.T., Rasul-Nya dan patuh kepada suami. Seorang wanita yang telah sah bergelar isteri perlulah berusaha untuk menggembirakan hati suami sedaya upaya. Ini kerana suami adalah syurga dan neraka bagi isteri. Hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi:

أيما امرأة ماتت وزوجها عنها راض دخلت الجنة


Maksudnya:

“Mana-mana isteri yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya menyukainya, maka ia masuk syurga”.

(al-Tirmidhi, Kitab Al-Radhac , 1081)




Hadith yang lain pula ada menjelaskan:

إذا صلت المرأة خمسها وصامت شهرها وأطاعت بعلها (زوجها) فلتدخل من أي أبواب الجنة شاءت


Maksudnya:

“Apabila isteri mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa penuh sebulan (Ramadhan), mematuhi suaminya, maka bolehlah ia masuk ke dalam syurga melalui pintu mana sahaja yang disukainya”.

(Ahmad, Kitab Musnad al-c Asharah al-Mubashirin bi al-Jannah, 1573)


Berhias dan bergaya dengan cara yang baik, membuatkan hati suami itu akan merasa bahagia atas apa yang dilihatnya. Asmac binti Yazid r.a. ada menceritakan tentang malam pertama Aisyah r.a.: “Aku pernah menghias Aisyah untuk Rasulullah s.a.w. Setelah itu kuhantar dia dan kupanggil Rasulullah s.a.w. untuk bertemu dengan Aisyah dan melihatnya. Lalu baginda menghampirinya dan duduk di sisinya sambil membawa semangkuk susu. Baginda meminumnya dan yang separuhnya diberikan kepada isterinya itu tetapi Aisyah menundukkan kepala kerana malu. Maka Asmac berkata: Aku memberinya isyarat, dan kukatakan: “Terimalah, itu dari Rasulullah.” Aisyah pun menerimanya dan meminum sebahagiannya. Aisyah berkata: “Lalu aku mengambilnya dan meminumnya sedikit” (Abdul Mun cim 2000:64).


Dibolehkan berhias pada saat pernikahan itu juga dapat dilihat pada kisah Aisyah yang pernah meminjam seutas rantai dari Asmac lalu hilang. Maka Rasulullah s.a.w. mengirimkan salah seorang sahabatnya untuk mencarinya. Ketika itu masuk waktu solat sehingga mereka terpaksa melakukan solat tanpa berwuduk. Ketika mereka datang menemui Nabi Muhammad s.a.w, mereka pun mengadu perihal mereka, lantas turun ayat tayamum. Usaid bin Khudzai berkata: “Semoga Allah S.W.T. memberi ganjaran kepada Aisyah suatu kebaikan. Demi Allah tidak ada suatu urusan pun padamu melainkan Allah S.W.T. mencarikan jalan keluarnya dan menjadikan berkat bagi orang-orang Islam.

(al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, 3489)


Islam telah mewajibkan wanita berhias untuk suaminya dengan segala sesuatu yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. sama ada dari segi pakaian , wangi-wangian dan sebagainya selagi ia masih di dalam batasan-batasan yang dibolehkan agama. Islam telah memberikan banyak keringanan kepada wanita dalam hal perhiasan berbanding dengan lelaki. Ini adalah sesuai dengan fitrah seorang wanita dan sifat kewanitaannya. Di samping itu dapat menjaga keabadian cinta kasih dan kemesraan hubungan suami isteri (al-Fauzaan 2006:73).


Walaupun Islam membolehkan wanita berhias, namun Islam tidak membiarkan mereka lepas dari panduan. Islam telah memberikan panduan dan kaedah-kaedah agar tujuan dari perhiasan tersebut dapat tercapai, ini dari satu sisi. Dari sisi lain, Islam mengharamkan sebahagian bentuk perhiasan seperti mencukur alis mata, mengukir gigi, dan perkara-perkara lain yang boleh mengubah ciptaan Tuhan, keluar dari fitrah dan penipuan.


Maka, perlu diperhatikan bahawa berhias yang dibolehkan bagi seorang wanita untuk suaminya harus sesuai dengan ketentuan-ketentuan Sharic at. Sesungguhnya mereka tidak boleh menghiasi diri dengan sesuatu yang dilarang seperti yang telah dijelaskan lalu. Berhias ketika hari perkahwinan, mereka tidak boleh menggunakan pakaian yang boleh mendedahkan auratnya. Walaupun perhiasan itu untuk suaminya tetapi dalam keadaan ini pengantin perempuan akan berhadapan dengan tetamu-tetamu yang hadir. Maka dia perlulah menjauhi pakaian yang boleh menampakkan aurat kepada tetamu yang hadir. Pakaian yang digunakan hendaklah sopan dan menutup aurat.

Berdasarkan pemerhatian, memang tidak dinafikan bahawa terdapat sebahagian pengantin perempuan menggunakan pakaian seksi, nipis dan menjolok mata. Hal ini dilarang di dalam Islam. Ini kerana pengantin perempuan tersebut akan memperlihatkan auratnya kepada undangan yang hadir. Pada hakikatnya, tujuan dia berhias adalah untuk suaminya dan bukanlah untuk ditunjukkan kepada tetamu undangan yang hadir di majlis perkahwinannya. Maka, pengantin perempuan perlulah menjaga auratnya. Mereka dibolehkan berhias tetapi perlu menjaga dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum agama. Sesungguhnya setiap wanita itu wajib menjaga auratnya. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T. yang berbunyi:


Maksudnya:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara perempuan mereka, atau perempuan-perempuan mereka atau hamba-hamba mereka atau orang-orang gaji lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 31)


Firman Allah S.W.T. yang lain:

Maksudnya:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 59)


Allah S.W.T. juga ada berfirman:


Maksudnya:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "ahl al-bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa wanita itu wajib menjaga auratnya dan menjauhi tabarruj terutamanya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda:

صنفان من أهل النار لم أرهما: قوم معهم سياط كأ ذنا ب البقر يضر بون بها الناس, و نساء كاسيا ت عا ريات مائلا ت مميلا ت رؤوسهن كأسنمة البخت الما ئلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا و كذا..


Maksudnya:

“Ada dua kumpulan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, satu kaum yang mempunyai cemeti-cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul orang dengannya.Satu lagi ialah wanita-wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang lenggok, yang menyimpang dari perintah Allah S.W.T. dan mengajar orang yang berbuat seperti mereka, sanggul di kepalanya seperti bonggol atau punuk unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga malah tidak dapat mencium bau syurga. Sedangkan bau syurga itu dapat dicium baunya dalam jarak perjalanan sekian-sekian”.

(al-Muslim, Kitab al-Libas wa al-Zinah, 3971)


Syeikh Bin Baz berkata: “Ia merupakan suatu larangan keras terhadap gejala umpama tabarruj, tidak memakai tudung, memakai pakaian-pakaian singkat dan nipis, menyimpang dari kebenaran (hak) yang menyebabkan orang ramai cenderung ke arah kebatilan” (al-Jubrin 2006:27).


Larangan keras dari melakukan perkara yang boleh menzalimi manusia serta menceroboh keamanan mereka. Di dalam hadith tersebut, Rasulullah s.a.w. memberi amaran kepada mereka yang melakukan perkara tersebut bahawa mereka tidak akan masuk syurga.


3.4 TABARRUJ KEPADA SUAMI DAN HUKUMNYA

Setiap wanita yang sah bergelar isteri wajib bertabarruj atau bersolek kepada suami. Islam tidak melarang wanita bersolek untuk kecantikan fizikal bagi tujuan yang diharuskan oleh Sharic at. Bahkan bersolek itu hukumnya wajib jika untuk suami tetapi haram jika diperlihatkan kepada lelaki ajnabi atau untuk keluar rumah dengan mendedahkan aurat dan persolekan. Hukum haram juga, jika bersolek sehingga mengubah ciptaan Allah S.W.T. dan menyerupai persolekan wanita jahiliyah.


Di dalam kitab al-Wac yu al-Islami ada menjelaskan bahawa: Adapun perhiasan atau alat kecantikan (alat solek) wanita selagi tidak mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan penipuan, hukumnya adalah mubah (harus) bagi wanita tidak bersuami dan tidak bertujuan untuk menampakkan kepada lelaki ajnabi serta tidak berlebih-lebihan dalam pemakaiannya. Akan tetapi apabila wanita itu bersuami dan suaminya menghendaki ia bersolek untuknya, maka hukumnya wajib ia bersolek untuk suaminya. Jika suaminya orang yang tidak suka isteri bersolek dan berdandan dan ia melarang, maka haram hukumnya ia berbuat demikian kerana terjatuh kepada menderhakai suami. Tapi jika suami diam, maka hukumnya harus ia bersolek (Jaafar 2006:109).


Seorang isteri hendaklah taat dan patuh kepada suaminya. Wanita Islam yang bijaksana sentiasa mahu mencari keredaan Allah S.W.T. dengan taat kepada suaminya dalam perkara yang bukan maksiat, berbakti untuk suaminya dan sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati suaminya. Dia akan reda dengan kesusahan atau kesempitan hidupnya, sebagaimana yang telah dicatatkan di dalam sejarah Islam unggulnya peribadi Fatimah r.a (Khairul 2003:17).


Wanita Islam yang benar, rela berkhidmat di rumah untuk suaminya dan dia tahu hak suami ke atasnya. Ketaatan juga adalah suatu penyebab untuk seseorang wanita itu ke syurga sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi: “Apabila wanita itu telah melakukan solat lima waktu, puasa pada bulannya, taat kepada suaminya, menjaga kemaluannya, akan dikatakan kepada dia: “Masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu sukai.”

(Ahmad, Kitab Musnad al-c Asharah al-Mubashirin bi al-Jannah, 1531)


Walaupun seorang isteri wajib taat kepada suaminya tetapi jika suaminya menyuruh isterinya melaksanakan perkara-perkara yang bertentangan dengan Sharac. Maka isteri itu tidak perlu patuh kepada suruhan suaminya itu. Contohnya suami itu menyuruh supaya isterinya bersolek atau bermake-up apabila keluar rumah. Sepertimana perbicangan yang lalu, Allah S.W.T. melarang seseorang wanita itu bertabaruj untuk diperlihatkan kepada lelaki ajnabi. Dalam hal ini seorang isteri perlu mentaati suruhan Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu daripada suruhan suaminya. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق

Maksudnya:

“Jangan kamu taat kepada sesama manusia hingga kamu sanggup derhaka kepada Allah, Allah Pencipta manusia”.

(Ahmad, Kitab Musnad al-c Asyarah al-Mubashirin bi al- Jannah, 1041)


Hadith lain juga ada menjelaskan:

لا طاعة إلا في معروف


Maksudnya:

“Tiada kepatuhan melainkan pada kebaikan”.

(Abu Daud, Kitab al-Jihad, 2206)


Allah S.W.T. juga ada berfirman:

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu”.

(Al-Qur’an, Al-Nisaac 4, 59)

Berdasarkan kepada maksud hadith dan ayat al-Qur’an yang dijelaskan tadi, mematuhi suruhan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya adalah lebih utama daripada mentaati orang-orang yang bertanggungjawab terhadap diri kita, seperti mentaati kedua ibu bapa, suami dan pemerintah. Taat setia ini kita berikan kepada mereka tersebut selama mana suruhan mereka tidak berlawanan dengan suruhan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Jika suruhan mereka didapati bertentangan dengan suruhan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, mestilah kita kembali kepada ajaran Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.


Suami yang tidak mentaati suruhan Allah S.W.T. dan menyuruh isterinya jangan mentaati suruhan Allah S.W.T. Maka isteri itu tidak perlu mematuhi suruhan suaminya itu walaupun isteri itu terpaksa mengalami berbagai-bagai masalah. Umpamanya berkemungkinan isteri itu akan ditinggalkan jika dia diceraikan.


Namun, perlu diingatkan, jika si isteri itu seorang yang beriman dan taat kepada ajaran Islam tidak mungkin dia dapat hidup bahagia di samping seorang suami yang runtuh moralnya, tidak berbudi pekerti yang mulia dan derhaka kepada ajaran Allah S.W.T. Jiwa yang suci murni tidak akan bahagia di samping yang bertuhankan benda walaupun dibendung istana yang bertatahkan ratna mutu-manikam (Nic mat 2002:54).


Allah S.W.T. juga ada berfirman:

Maksudnya:

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya, merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”.

(Al-Qur’an, Al-Mujaadilah 58, 22)


3.5 TABARRUJ DI DALAM RUMAH DAN HUKUMNYA

Tabarruj di dalam rumah ialah seseorang wanita itu bersolek atau menghiaskan dirinya ketika berada di rumah. Pada kebiasaannya, wanita yang melakukan perbuatan sedemikian adalah berhias untuk suaminya. Namun, adakalanya ada juga wanita yang belum bersuami tetapi gemar menghiaskan dirinya ketika berada di rumah. Ini mungkin kerana hobinya yang gemarkan perhiasan seiring dengan fitrah semula jadinya sebagai seorang wanita. Bagi wanita seperti ini tiada masalah jika dia hanya bertabarruj di rumah tetapi amat membahayakan dirinya jika dia melakukan perbuatan tersebut di luar rumah.


Wanita muslimah dibenarkan melakukan tabarruj di dalam rumah. Ini kerana di dalam rumah dia tidak dapat mempamerkan perhiasannya kepada lelaki ajnabi. Pada kebiasaannya yang terdapat di rumah adalah ahli keluarganya dan lelaki pula terdiri daripada mahramnya. Mahram ialah keluarga terdekat dari kalangan lelaki yang tidak halal baginya untuk mengahwini wanita tersebut seperti anak lelaki, bapa saudara dan orang yang seumpama mereka. Golongan-golongan yang menjadi mahram kepada wanita itu juga adalah golongan yng boleh melihat aurat wanita tersebut mengikut kadar yang ditentukan, sepertimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T. di dalam surah An-Nuur ayat 31:

Maksudnya:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara lelaki mereka atau anak lelaki bagi saudara-saudara perempuan mereka, atau perempuan-perempuan mereka atau hamba-hamba mereka atau orang-orang gaji lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

(Al-Qur’an, An-Nuur 24, 31)


Ayat tersebut menjelaskan golongan yang dibolehkan melihat aurat wanita adalah seperti berikut:

1) Suami
2) bapa sendiri (bapa kandung)
3) bapa suami atau bapa mertua
4) anak lelaki
5) anak lelaki suaminya iaitu anak tiri atau anak isteri lain bagi suaminya (anak madunya atau anak bekas isteri suaminya bersama suaminya) sama ada isteri suaminya itu telah mati atau telah bercerai (masih hidup). Tetapi bukan anak bekas isteri suaminya dengan suami lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
6) Saudara lelaki iaitu adik atau abang kandung seibu dan sebapa atau seibu berlainan bapa atau sebapa berlainan ibu.
7) Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
8) Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
9) Wanita Islam iaitu yang berakhlak
10) Hamba lelaki yang mereka miliki.
11) Pelayan lelaki (khadam) yang sudah tiada syahwat kepada wanita.
12) Kanak-kanak lelaki (yang bukan mahram), yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz). Di dalam ayat al-Qur’an tersebut hanya menyebut 12 golongan. Manakala 5 golongan lagi ada disebut di dalam hadith. Mereka ialah;
13) Anak lelaki susuan
14) Bapa susuan
15) Saudara susuan
16) Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas dan anak saudara sususan hingga ke bawah
17) Menantu lelaki


Inilah golongan-golongan yang dibolehkan melihat aurat wanita mengikut kadar dan batas yang ditetapkan. Selain golongan yang disebutkan itu, mereka (lelaki ajnabi) dilarang melihat aurat perempuan tersebut. Begitu juga dilarang wanita itu memperlihatkan perhiasannya kepada mereka iaitu lelaki ajnabi.


Hiasan dan keindahan yang dimiliki oleh seseorang wanita sangat menyenangkan hatinya bila dilihat orang. Akan tetapi kesenangan yang menuju ke arah neraka adalah kebinasaan. Oleh itu, menutup perhiasan dirinya adalah suatu jihad dan ia merupakan satu ibadat yang banyak godaannya. Hiasan seorang isteri apabila dilihat oleh mahramnya, suaminya dan ibu bapanya tidak menjadi peransang yang boleh menyeret kepada perlanggaran hukum.


3.6 TABARRUJ DI LUAR RUMAH DAN HUKUMNYA

Sepertimana yang dibincangkan lalu, tabarruj untuk ditunjukkan kepada lelaki ajnabi adalah dilarang dan haram secara mutlak. Perbuatan sedemikian dapat menarik perhatian lelaki ajnabi serta membangkitkan nafsu mereka apabila melihatnya. Sekiranya seseorang wanita bertabarruj di luar rumah sudah tentu akan dipersembahkan dan dilihat oleh lelaki ajnabi. Perbuatan ini dilarang kerana ia juga akan mengundang bahaya yang besar kepada diri wanita itu. Setiap wanita hendaklah menjaga auratnya dan juga dirinya dari sebarang fitnah. Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "ahl al-bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)”.

(Al-Qur’an, Al-Ahzab 33, 33)


Ibnu Hajar dalam Az-Zawajir ada berkata: Apabila wanita keluar rumah dengan berwangian dan berhiasan, walaupun dengan kebenaran suami, tetap berdosa besar (Abdul Aziz 2007:120).


Penulis ingin menjelaskan dan menegaskan di sini bahawa berhias itu dilarang melalui pelbagai cara dan gaya. Ia termasuklah menggunakan rambut palsu, mencukur rambut di kepala, mencukur atau menipiskan alis mata, mengukir gigi, mengecat kuku dan membuat tatu.


Rambut palsu ialah mempertebal rambut dengan menyambung rambut lain sama ada dengan rambut asli ataupun yang diperbuat daripada plastik, benang atau bulu binatang. Istilah hari ini disebut sebagai ‘wig’. Hukum perbuatan ini adalah haram dan dilarang oleh Islam (Jaafar 2006:120).


Pengharaman memakai rambut palsu telah lama dibincangkan oleh para ulama terdahulu. Terdapat juga hadith yang cukup tegas menetapkan hukum bahawa memakai rambut palsu adalah haram bahkan mengutuk sesiapa yang memasang rambut palsu pada rambutnya dan meminta dipasangkannya. Ini dapat dilihat berdasarkan hadith yang berbunyi:

لعن رسول الله صلى الله عليه و سلم الواصلة والموتصلة والواشمة والموتشمة


Maksudnya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan wanita yang meminta disambungkan rambutnya, wanita yang mentatu (kulitnya) dan wanita yang meminta dibuatkan tatu”.

(al-Nasaie, Kitab al-Zinah, 5156)


Mengikut pendapat Imam Malik, para ulama Mazhab Hanafi dan yang lain, memakai rambut palsu adalah dilarang sama ada dengan menggunakan rambut, wol ataupun carikan kain (Nur Hidayah 2000:71).


Menurut para ulama Syafic i, perbuatan wanita menyambung rambutnya dengan rambut manusia lain adalah haram. Ini kerana memanfaatkan rambut manusia memang diharamkan demi kehormatan dan kemuliaan manusia itu sendiri. Diharamkan juga menyambung rambut dengan rambut najis. Iaitu rambut bangkai dan rambut binatang yang haram dagingnya. Manakala, jika wanita itu menyambung rambutnya dengan rambut yang suci pula. Hukumnya tetap haram jika wanita itu belum bersuami. Jika wanita itu telah bersuami dan suaminya mengizinkan, maka hukumnya boleh. Akan tetapi jika sebaliknya, maka hukumnya adalah haram (Nur Hidayah 2000:71).


Imam Nawawi, ulama bermadhhab Syafic i telah berpendapat bahawa haram secara mutlak menyambung rambut adalah pendapat yang terkuat, kerana nas hadithnya sahih dan jelas serta ternyata mutlak (Jaafar 2006:124).


Ulama Madhhab Hambali pula telah berpendapat, haram secara mutlak menyambung dengan rambut anak Adam, kerana perbuatan itu mengandungi unsur-unsur penipuan. Begitu juga haram menyambung dengan selain dari rambut anak Adam seperti kain perca atau lainnya (Jaafar 2006:124).


Ibnu Hazm ada mengatakan bahawa menyambung rambut merupakan salah satu perbuatan dosa besar (Syaikh Kamil 1998:656).


Mencukur rambut di kepala juga adalah haram kepada wanita kerana ia menyerupai lelaki yang bererti keluar dari tabiat kewanitaannya. Akan tetapi jika rambut itu terpaksa dicukur kerana darurat seperti banyak kutu atau terdapat luka-luka di kulit kepala. Maka wanita itu boleh mencukur rambut di kepalanya. Imam Ahmad juga ada menjelaskan bahawa wanita boleh mencukur rambutnya jika ada darurat yang memaksa dia berbuat demikian tetapi dia tidak boleh memperlihatkan kepala yang dicukur kepada orang lain sehingga luka-lukanya sembuh dan kulit kepalanya bersih kembali seperti sediakala. Menurut Imam Ahmad lagi, jika rambut itu dapat diatasi dengan menggunakan minyak atau cara lain hingga tidak perlu mencukurnya, maka itu adalah lebih baik (Nur Hidayah 2000:72).


Dari Ali Bin Abi Talib r.a, dia berkata:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن تحلق المرأة رأسها

Maksudnya:

“Rasulullah s.a.w. telah melarang wanita mencukur rambutnya”.

(al-Tirmidhi, Kitab al-Hajj, 838)


Begitu juga perbuatan mencukur alis mata, mengukir gigi dan membuat tatu, semua itu adalah diharamkan. Pada kebiasaannya gigi diukir supaya ia nampak kecil dan menarik. Perbuatan ini adalah diharamkan ke atas tukang kikir mahupun orang yang dikikir. Ia diharamkan jika tujuannya semata-mata untuk keindahan tetapi jika tujuannya untuk memperbaiki aib atau mengatur gigi yang tidak teratur, maka ia boleh dilakukan (Nur Hidayah 2000:73).


Bertatu pula ialah mencacah (melukai) pada bahagian telapak tangan atau bahagian anggota badan yang lain dengan menusukkan jarum padanya hingga keluar darah. Kemudian diletakkan celak atau bahan lainnya hingga nampak bertanda dan kehijau-hijauan. Hukumnya adalah haram ke atas orang yang membuat tatu dan juga orang yang memintanya.


Menurut Syafii, tempat yang ditatu itu menjadi najis dan jika boleh wajib dihilangkan. Jika tidak dapat kecuali dengan cara melukai, ia masih tetap wajib dihilangkan dengan segera sekiranya tidak menimbulkan kesulitan, bahaya ataupun kebinasaan. Jika dikhuatirkan akan menimbulkan kerosakan, hilangnya salah satu anggota tubuh badan ataupun luka berat. Maka ia tidak wajib menghilangkannya.


Dalil pengharaman mencukur alis mata, mengukir gigi dan membuat tatu ialah dari Abdullah Bin Mas cud r.a. , Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لعن الله الواشمات والمستوشمات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله تعالى ( متفق عليه )


Maksudnya:

“Allah melaknat perempuan yang membuat tatu (pada kulitnya) dan wanita yang meminta dibuatkan tatu, yang mencukur alisnya dan wanita yang meminta direnggangkan giginya untuk mempercantik diri, yang mereka semua mengubah ciptaan Allah”.

(al-Bukhari, Kitab al-Libas, 5487)


Selain itu hukum mengecat kuku untuk tujuan perhiasan juga adalah haram. Ia merupakan satu budaya barat yang bertentangan dengan Islam. Berdasarkan pemerhatian pada masa kini, terdapat segelintir wanita Islam yang melakukan perbuatan ini. Pada kebiasaannya, wanita itu sengaja menyimpan kuku panjang untuk tujuan kecantikan dan kemudian disapu dengan pewarna kuku yang di beli di kedai-kedai alat solek. Pewarna tersebut adalah bahan kimia yang boleh menghalang air daripada meresap masuk pada permukaan kuku atau kulit. Jika cat itu disapu sebelum mengambil wuduk atau mandi hadas besar, maka kedua-duanya itu adalah tidak sah. Hukum perbuatan itu adalah haram
kerana apabila wuduk itu tidak sah. Maka sembahyang pun tidak sah. Hal ini berlainan dengan inai. Ia boleh menyerap air dan boleh digunakan. Sekiranya menggunakan alat solek kuku yang tidak meresap air, maka wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk ataupun mandi hadas besar.


Wanita muslimah telah pun mengetahui bahawa Sharic at telah membenarkan kaum wanita memakai emas. Namun demikian, dia dimakruhkan memperlihatkan perhiasan emas yang dikenakannya. Dalil tentang hal ini ialah berdasarkan hadith:

Dari Tsauban, dia menceritakan bahawa Bintu Hubairah pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan di tangannya terdapat sebentuk cincin yang besar. Maka baginda memukul tangannya itu. Lalu dia masuk menemui Fatimah Binti Rasulullah dan mengadu tentang perbuatan Rasulullah s.a.w. terhadapnya itu. Kemudian Fatimah melepaskan rantai emas yang berada di lehernya dan berkata: “rantai ini hadiah daripada Abu Hasan”. Maka Rasulullah s.a.w. masuk dan rantai itu masih berada ditangan Fatimah. Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai Fatimah, adakah kamu senang orang-orang menyebutmu sebagai puteri Rasulullah s.a.w. sedangkan di tangannya terdapat rantai dari api”. Kemudian baginda keluar dan tidak duduk. Lalu Fatimah membawa rantai tersebut ke pasar dan menjualnya. Dengan wang hasil jualan tersebut, dia membeli pelayan atau budak lalu dia memerdekakannya. Kemudian hal itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda pun berkata: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.

(al-Nasaie, Kitab al-Zinah, 5050)


3.7 TABARRUJ KETIKA IHDAD DAN HUKUMNYA

Ihdad ialah berkabung atas kematian seseorang. Ketika waktu berkabung, wanita itu perlu mengikut syarat-syarat yang telah diletakkan oleh Sharac seperti menjauhi daripada berhias, memakai barang kemas, berinai, bercelak, memakai wangi-wangian dan lain-lain lagi. Ia juga tidak boleh keluar dari rumah melainkan terdapat darurat yang mengharuskan dia keluar ( al-Jubrin 2006:79).


Ihdad yang dibincangkan di sini adalah dikhususkan kepada wanita muslimah yang telah bergelar isteri. Apabila seseorang wanita telah kematian suaminya dan dia masih berada di dalam tempoh iddah kematian. Maka, wanita itu dilarang bertabarruj, memakai bau-bauan dan sebagainya.

Menurut fatwa Imam Syafii: Wanita yang kematian suami, ketika masih di dalam tempoh iddah kematian (selama 4 bulan, 10 hari), dia dilarang memakai bau-bauan. Imam Syafic i ada menjelaskan di dalam ‘Mukhtasar Kitab Al-Umm Fi Al-Fiqh’, seorang perempuan yang ditinggal mati suaminya diwajibkan melakukan ihdad (tidak berhias). Hal ini adalah berdasarkan nas al-Sunnah (Hussein Abdul Hamid 2007:162).


Imam Syafic i menjelaskan lagi bahawa Zainab berkata: “Aku masuk menemui Ummu Habibah (isteri Rasulullah s.a.w.) saat Abu Sufyan meninggal dunia, maka Ummu Habibah meminta dibawakan tempat minyak wangi shufrah khaluq (salah sejenis minyak wangi) atau selain itu. Kemudian dia disapukan dengan minyak wangi itu oleh seorang hamba abdi perempuan sampai ke wajahnya.” Kemudian Ummu Habibah berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku tidak perlu minyak wangi, hanya aku sahaja mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

لا يحل لاامرأة تؤمن بالله واليوم الأخر أن تحد على ميت فوق ثلاث ليال إلا على زوج أربعة أشهر و عشرا.


Maksudnya:
“Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk melakukan ihdad (tidak berhias) lantaran suatu kematian melebihi tiga hari, kecuali terhadap suami selama empat bulan sepuluh hari.”

(al-Bukhari, Kitab Talak, Bab ‘Perempuan yang ditinggal
mati suaminya melakukan ihdad empat bulan sepuluh hari’)


Di dalam kitab ‘Mukhtasar Kitab Al-Umm Fi Al-Fiqh’, Imam Syafic i ada menjelaskan bahawa semua celak di mata termasuk perhiasan, tidak ada kebaikan bagi perempuan yang ihdad jika hal itu menambah keindahan matanya. Jjika terpaksa untuk bercelak, maka hendaklah dilakukan di malam hari lalu menghapuskannya pada siang hari (Hussein Abdul Hamid 2007:162).


Imam Syafic i juga ada menyatakan di dalam Kitab ‘al-Umm’ , Imam Malik telah menceritakan kepada kami bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. masuk menemui Ummu Salamah ketika sedang ihdad lantaran kematian Abu Salamah, Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apa ini wahai Ummu Salamah?” lalu dia menjawab: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ini hanya sebagai lulut.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

إجعليه بالليل و امسحيه بالنهار


Maksudnya:
“Pakailah ia di malam hari dan hilangkanlah di siang hari”.

(Abu Daud, Kitab Talak, Bab ‘Perkara yang
harus dijauhi oleh perempuan saat iddah)


Imam Syafic i juga ada menjelaskan di dalam Kitab ‘al-Umm’, bahawa perempuan merdeka muslimah sama ada orang dewasa atau masih kecil, perempuan kafir dhimmi dan perempuan hamba abdi muslimah, dalam masalah ihdad semuanya adalah sama. Barangsiapa wajib atasnya melakukan iddah kerana ditinggal suami, maka wajib juga baginya melakukan ihdad (Hussein Abdul Hamid 2007:163).


Qaliyubi juga ada mengatakan bahawa bagi wanita yang kematian suami, semasa iddah kematian, haram memakai bau-bauan (Abdul Aziz 2007:119).


Imam Az-Zahibi dalam Az-Zawajir mengatakan bahawa sesetengah daripada fitnah yang dibuat oleh kaum wanita ialah mereka memakai bau-bauan, bersolek (bertabarruj seperti jahiliyah) dengan gincu dan bedak ketika keluar rumah, semuanya itu adalah tabarruj (solekan dan fesyen pakaian) yang dilarang dan dilaknat oleh Allah S.WT (Abdul Aziz 2007:119).


3.8 BAHAN-BAHAN YANG DIGUNAKAN DALAM TABARRUJ DAN HUKUMNYA

Pada kebiasaannya, di dalam sesuatu produk kecantikan akan disediakan bedak, pencuci muka, penyegar, krim pelembap, krim pemutih, krim alas bedak, krim siang, krim malam dan sebagainya. Setiap set sesuatu produk adalah berlainan penyediaannya dengan produk yang lain. Produk asas bagi penjagaan kulit wanita ialah krim siang, krim malam dan pencuci muka. Bagi pandangan penulis, penggunaan asas tersebut bukanlah bermake-up yang dapat menyerlahkan keayuan wajahnya dan ia tidak dinamakan sebagai tabarruj (bersolek). Ini kerana, penggunaan krim asas tersebut hanyalah untuk menjaga kulit sesuai dengan fitrah semula jadi wanita yang gemarkan penjagaan kulit dan kebersihan anggota badan. Namun begitu, kaum wanita perlulah memastikan bahawa produk yang digunakan tersebut adalah halal dan tidak memberi kesan sampingan yang membahayakan dirinya kerana mengandungi bahan kimia yang terlalu tinggi.


Bahan-bahan yang terdapat di dalam kosmetik dan produk kecantikan masa kini ada yang membahayakan dan ada juga yang tidak membahayakan kepada pengguna. Berdasarkan kajian dan pemerhatian didapati kebanyakan bahan-bahan yang terdapat di dalam kosmetik dan produk kecantikan hari ini adalah membahayakan diri pengguna. Ini kerana ia mengandungi bahan kimia yang terlalu banyak. Kesan dari penggunaan produk tersebut, kulit akan menjadi rosak, alergi dan lain-lain lagi kesan sampingan yang boleh memudaratkan pengguna. Jika mengguna gincu pula bibir akan merasa gatal, pedih, kelihatan bengkak, dan adakalanya kering hingga mengeluarkan darah. Ini menunjukkan bahawa penggunaan produk tersebut adalah tidak serasi kepada pengguna terutamanya kepada golongan yang mempunyai masalah kulit sensitif.


Menurut Dr. Wahbah Ahmad Hasan yang merupakan guru besar Fakulti Perubatan di Universiti Iskandariah. Beliau ada mengatakan jika hal tersebut tidak segera diberhentikan. Maka, ia dapat merosakkan alat-alat reproduksi di dalam tubuh badan pengguna seperti darah, hati dan jantung. Ini kerana bahan-bahan kimia yang terdapat di dalam produk kecantikan tersebut memiliki kemampuan untuk menembusi kulit hingga tubuhnya tidak dapat menghilangkannya dengan cepat. Maka tidak hairanlah jika kita terbaca di mana-mana majalah atau keratan akhbar tentang seorang wanita yang pengsan dan koma setelah menggunakan sesuatu produk. Di samping itu, pengguna juga mungkin akan mengalami masalah kulit muka berkedut, kusam dan sebagainya akibat bahan kimia tersebut (al-Fauzaan 2006:54).


Di dalam sesuatu produk kecantikan terdapat krim pemutih muka atau dikenali sebagai krim pencerah muka. Krim tersebut mampu mencerahkan kulit pengguna hanya dalam masa beberapa hari sahaja. Berdasarkan kajian dan pandangan beberapa orang doktor pakar, mereka dapati bahawa krim pencerah itu mempunyai bahan kimia yang tarlalu kuat dan terdiri daripada pelbagai jenis bahan kima yang membahayakan diri pengguna. Pada awalnya mungkin ia memberi kesan yang baik dan memuaskan hati pengguna. Pengguna akan merasakan kulitnya semakin cerah, anjal dan kelihatan cantik. Akan tetapi selepas beberapa waktu menggunakan krim tersebut, didapati pengguna akan mendapat kesan sampingan yang membahayakan dirinya. Seperti kulit menjadi rosak, memberi kesan buruk terhadap organ dalaman hingga berlakunya penyakit kanser ataupun koma, jiwa sentiasa merasa tidak tenteram, badan sentiasa rasa panas seolah-olah mahu demam, emosi tidak stabil seperti cepat marah dan mudah letih, kulit muka menjadi lebih teruk dari sebelumnya dan lain-lain lagi kesan sampingan akibat bahan kimia tersebut.


Antara bahan-bahan kimia yang terdapat di dalam produk kecantikan ialah dicaprylyl carbonate, cyclomethicone, arachidyl glucoside, octocrylene, polyacrylamide, methyl methacrylate crosspolymer, titanium dioxide, lecithin, tocopherol, fragrance, caprylyl glycol, propylene glycol, chlorphenesin, phenoxyethanol, cetanol, octadecanol, paraffinum liquidum, dimethicone, methylchloroisothiazolinone, methylparaben, propylparaben, butylparaben, sodium hydroxide dan lain-lain lagi. Semua bahan-bahan ini boleh memberi kesan yang buruk kepada pengguna.


Hal ini perlu diambil perhatian kepada pembeli dan pengguna khususnya kepada kaum wanita. Sebelum membeli, mereka perlulah memastikan terlebih dahulu bahawa produk tersebut tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh mendatangkan mudarat dan kesan sampingan pada dirinya. Bagi pandangan penulis, sebaik-baiknya carilah produk yang tidak mengandungi bahan kimia. Pada hakikatnya, memang tidak dinafikan bahawa semua produk pada masa kini mengandungi bahan kimia sekalipun sedikit kandungannya. Namun begitu, terdapat juga sebahagian produk pada hari ini yang tidak mengandungi bahan kimia sekalipun sedikit. Produk ini diproses melalui bahan semulajadi seperti herba-herba dan sebagainya yang berbentuk bahan semulajadi. Di samping itu, pengguna juga hendaklah memastikan bahawa produk yang digunakan itu adalah halal, selamat dan suci seiring dengan kehendak Sharac .


Selain itu penggunaan pengeras rambut dan pewarna juga boleh memberi kesan buruk kepada pengguna. Menurut Dr. Wajiih Zainal cAbidin di dalam majalah al-Wac yu al Islami, beliau ada mengatakan bahawa zat pengeras rambut boleh merosak dan menggugurkan rambut. bahkan dapat menimbulkan penyakit pada kornea mata jika terkena zat ini secara lansung atau menimbulkan alergi jika tidak terkena secara langsung. Pemakaian zat pewarna rambut juga boleh menimbulkan penyakit alergi terhadap zat prokatin sebagaimana orang-orang yang terkena alergi terhadap pinisilin dan sulfa (al-Fauzaan 2006:53).


Di samping itu, kesan dari penggunaan zat pewarna tersebut boleh menyebabkan rambut menjadi gugur pada bahagian atas kepala bahkan mungkin seluruh kepala. Amat membahayakan lagi adalah zat yang digunakan untuk menjadikan rambut bergelombang dengan cara mendinginkannya. Iaitu dengan menggunakan zat cecair yang terlalu banyak yang mengakibatkan rambut menjadi rosak ketika zat tersebut habis dan rambut kembali kepada asal (al-Fauzaan 2006:53).


Menurut Dr. Wahbah Hasan, menghilangkan (mencukur) alis mata dan menggantikannya dengan celak atau alat kecantikan wajah lain boleh memberi kesan negatif pada kulit, Ini kerana ia mengandungi bahan tambang yang berat seperti amunisi. Kemudian dicairkan dalam campuran minyak seperti minyak kakau. Begitu juga halnya dengan pelbagai zat pewarna yang pada hakikatnya telah bercampur dengan sebahagian zat-zat berat yang terdapat di dalam minyak bumi. Maka, didapati terdapat pelbagai produk kecantikan dan perhiasan yang sangat berbahaya bagi kulit (al-Fauzaan 2006:54).


Pada hari ini isu yang hangat dibincangkan tentang produk kecantikan ialah tentang suntikan botox.. Botox adalah singkatan kepada Botulinum Toxin. Ia adalah satu bahan protin yang dihasilkan oleh sejenis bakteria yang bernama Clostridium Botolinum. Botox merupakan sejenis racun urat saraf (neurotoxin) yang melumpuhkan otot. Bahkan ia adalah racun urat saraf yang terkuat di dunia.


Pada mulanya botox digunakan di dalam bidang perubatan untuk merawat penyakit mata juling. Namun, kajian demi kajian yang dilakukan oleh pakar perubatan, kini penggunaan botox kian meluas. Ia bukan sahaja digunakan dalam perubatan sahaja bahkan untuk tujuan kecantikan seperti menghilangkan kedutan di wajah sepertimana botox yang digunakan pada masa kini.


Proses penghasilan botox ialah, bakteria Clostridium Botulinum dibiak (culture) dengan glukos dan ekstrak ragi (yeast) dan diberi makan sejenis enzim dari susu khinzir (casein hydrolysate). Enzim ini merangsang bakteria tersebut untuk menghasilkan botox. Kemudian botox ini diasingkan dari bakteria dan enzim. Hasil tulin ini dicampur dengan albumin dari darah manusia untuk menstabilkannya. Menurut Prof. Dr. Abdullah Sani Mohamed, selaku Ketua Jabatan Otorinolaringologi Fakulti Perubatan UKM, dengan ini botox yang dibotolkan untuk kegunaan perubatan tidak mengandungi bahan dari apa-apa binatang. Hujah yang boleh menyokong halal penggunaan botox ialah di dalam menghasilkan botox bakteria Clostridium diberi enzim dari susu khinzir dan bukan susu itu sendiri. Setelah dikhadam dan diproses oleh bakteria itu, hasil yang keluar jauh berbeza dari enzim tersebut. Bahkan ia menjadi suatu kompaun yang lain dari segi bentuk dan kelakuan. Ini adalah penjelasan yang diberikan oleh seorang doktor di Fakulti Perubatan UKM.


Bagi pandangan Sharic ah suntikan botox tetap haram hukumnya. Ini kerana ia mengubah kejadian Allah S.W.T. Hal ini berpandukan kepada peraturan-peraturan am yang perlu dipatuhi dalam melakukan proses kecantikan, nas-nas al-Qur’an dan hadith serta beberapa maslahat yang lain. Di samping itu, suntikan botox mengandungi bahan daripada khinzir serta memiliki unsur penipuan yang boleh menukarkan wajah tua kepada muda. Selain itu, ia juga boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan dari aspek fizikal dan dalaman dan ini diakui sendiri oleh ahli pakar. Contohnya ialah kelopak mata jatuh sehingga beberapa minggu, pendarahan atau lebam pada bahagian yang disuntik, jangkitan kuman dan terasa seperti menghidap selsema. Dalam Islam ada dalil yang menyebut:

لا ضرر ولا ضرار


Maksudnya:

“Tidak ada mudarat dan tidak memudaratkan”.(Abdul Latif et al. 2000:177)


Berdasarkan kajian dan keterangan yang dilakukan oleh Syarikat Allergan yang membekalkan pengeluaran botox. Di dapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lainnya mengandungi bahan dari khinzir sepertimana penjelasan yang lalu. Walaupun setelah botox dihasilkan ia akan diasingkan dari bakteria dan enzim susu khinzir. Berdasarkan keterangan proses penghasilan botox, terdapat pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat tentang kesucian botox. Dalam hal ini ada yang mengatakan penggunaan botox dibolehkan. Ini kerana botox yang dihasilkan oleh bakteria jauh berbeza dengan enzim dari susu khinzir yang merupakan makanan kepada bakteria itu. Namun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan ia tetap haram walaupun hasil yang dikeluarkan jauh berbeza dengan enzim dari susu khinzir. Masing-masing mempunyai pendapat yang berlainan tentang botox tersebut berdasarkan hujah masing-masing. Bagi pandangan penulis jika ianya menimbulkan keraguan atau tidak yakin tentang kesucian botox. Maka, ia perlu dijauhi sebagai langkah berhati-hati.


Jika terdapat botox yang dikeluarkan oleh pengamal yang tidak bertauliah iaitu di tempat yang tidak diiktiraf. Botox tersebut dikenali sebagai botox ‘HARAM’ kerana boleh membahayakan pengguna disamping penggunaannya tidak diiktiraf. Botox jenis ini perlu dihindari kerana penghasilannya tidak diketahui dan boleh menimbulkan keraguan. Bagaimanapun, suntikan botox itu dibenarkan untuk tujuan perubatan dengan syarat penggunaannya itu dikategorikan sebagai dalam keadaan darurat dan berdasarkan keperluan serta dilakukan oleh pakar yang bertauliah.


Adapun tentang alat-alat solek yang digunakan dalam tabarruj seperti alat pemerah pipi atau pembayang mata. Jika ianya jelas dari bahan najis yang diharamkan. Maka tidak harus menggunakan alat kecantikan tersebut. Ini kerana terdapat sebahagian alat-alat kosmetik menggunakan bulu atau lemak khinzir. Akan tetapi jika alat-alat tersebut tidak diambil dari bahan najis atau binatang yang diharamkan seperti sikat yang diambil dari gigi gajah yang bertaring. Maka hukum asalnya adalah suci. Dari Salman al-Farisi r.a. bahawasanya beliau telah ditanya tentang sesuatu yang berasal dari keju, lemak dan bulu binatang. Beliau berkata: “adalah halal apa yang telah Allah halalkan dalam kitab-Nya dan haram apa yang telah Allah haramkan dalam kitab-Nya. Dan jika tidak dijelaskan pada keduanya, maka dimaafkan atau dibolehkan”(Syaikh Athiyah 2002:173).


Di dalam buku ‘Hayat al-Hayawan al-Kubra’ oleh al-Dumairi ada menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai sikat yang diambil dari gigi penyu. Menurut Syafic i, jika ia diambil dari tulang gajah. Maka ia adalah najis tetapi suci menurut Abu Hanifah. Malik juga berpendapat ia suci dengan lapisannya (Syaikh Athiyah 2002:173).


Di dalam pakaian pula. Jika seseorang wanita menggunakan pakaian dari bulu binatang, ia adalah bergantung kepada hukum binatang yang diambil bulunya. Jika binatang itu boleh dimakan dan disembelih mengikut Sharic at, maka ia adalah suci (tidak haram) dan boleh menggunakannya di dalam solat. Rubah adalah sejenis binatang buruan. Sekiranya rubah yang akan diambil bulunya itu mati tanpa disembelih tetapi disamak, maka suci kulitnya. Jika rubah tersebut disembelih mengikut aturan Sharac , maka ia adalah suci kerana daging rubah menurut Syafic i adalah halal. Manakala, menurut Imam Ahmad, Abu Hanifah dan Imam Malik, daging rubah adalah makruh. Berdasarkan perbezaan pendapat tersebut, jika kulit itu disamak maka ia adalah suci. Begitu juga bulunya sudah tentu suci berdasarkan salah satu pendapat Syafic i. Oleh kerana itu, bulu binatang yang diambil dari rubah, tupai dan berang-berang. Semua itu adalah suci dan boleh digunakan dalam kegunaan harian (Syaikh Athiyah 2002:172).


PENUTUP


Berdasarkan perbincangan dan penjelasan lalu, hukum tabarruj adalah haram secara mutlak. Ancaman dan seksaan akan dikenakan ke atas pelaku tabarruj. Hukum haram ini disamakan seperti musuh Allah S.W.T. Sebagai langkah berhati-hati, maka kaum wanita digalakkan supaya duduk di rumah. Ini kerana diri mereka adalah aurat. Ini bukanlah bermakna kaum wanita tidak boleh langsung keluar dari rumah. Mereka dibolehkan keluar dari rumah sekiranya ada urusan-urusan tertentu atau dalam keadaan darurat tetapi mereka dilarang melakukan tabarruj.Wanita yang mengamalkan tabarruj boleh dikatakan sebagai “berpakaian tetapi bertelanjang” dan wanita jenis inilah yang dijanjikan akan diseksa. Islam melarang kaum wanita melakukan tabarruj kerana ia boleh menimbulkan fitnah. Tujuan Sharac melarang perbuatan ini ada hikmahnya dan ia merupakan ubat yang bermanfaat.


Penulis telah memilih ‘Tabarruj’ sebagai tajuk perbincangan di dalam Projek Ilmiah ini kerana ia merupakan kemungkaran yang sedang menular dikalangan wanita Islam mutakhir ini. Di samping itu, melalui kajian Projek Ilmiah ini, penulis juga dapat menambah ilmu pengetahuan tentang masalah tabarruj pada masa kini serta hukumnya. Segala maklumat tentang tabarruj dapat memberi manfaat kepada penulis. Ini kerana ia telah memberi peringatan dan kesedaran tentang azab seksa yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. terhadap sesiapa yang mengamalkan tabarruj.


Jika sebelum ini pernah melakukannya, masih ada lagi peluang untuk bertaubat kepada Allah S.W.T. serta berazam tidak akan melakukannya lagi. Setiap manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan mengetahui akan kelemahan setiap hamba-Nya di muka bumi ini. Sekiranya seseorang hamba itu telah sedar akan kesilapannya dan segera bertaubat. Ini bermakna Allah S.W.T. masih memberi peluang kepada hamba-Nya itu sebelum ajal tiba. Liang lahad di dalam kubur itu merupakan rumah yang bakal didiami oleh kita semua sama ada ia sebuah taman dari taman-taman syurga ataupun lubang dari lubang-lubang api neraka. Moga Allah S.W.T. melindungi kita.


Sekiranya direnungkan, rumah yang kita diami selepas mati nanti telah pun kita bina sejak di dunia lagi. Ia adalah bergantung kepada amalan-amalan kita di muka bumi ini. Sesiapa yang membinanya dengan batu-bata kebaikan. Maka teguh indahlah kediamannya kelak. Manakala sesiapa yang membinanya dengan batu-bata keburukan, maka suram sepilah kediamannya nanti. Hal ini berlaku sehinggalah kita dibangkitkan semula di hari kebangkitan dan perhimpunan manusia iaitu di Padang Mahshar. Pada hari kebangkitan tersebut segala amalan semua manusia akan dihitung dan dihisab untuk menentukannya sama ada ke neraka atau ke syurga.


Dengan ini, segala apa yang Allah perintahkan. Maka patuhilah suruhan-Nya dan segala apa yang Allah haramkan, maka jauhilah larangan-Nya. Semoga kita semua mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.


RUJUKAN

al-Fauzaan, Abdullah Ibnu Saleh. 2006. Perhiasan wanita muslimah.
Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka al-Syafa.

Nur Hidayah Abdullah. 2000. Fardhu cain khusus. wanita. Kuala Lumpur:
Penerbit Darul Nuc man.

Jaafar Salleh. 2006. Batas-batas aurat dan pergaulan serta hukum persolekan
dalam Islam. Johor Bahru: Penerbit Pustaka Azhar.

al-Jarullah, c Abdullah ibn Jarullah ibn Ibrahim. 1426H/2005. Masuuliyyah al- marah
al-muslimah. Madinah: al-Jamic ah al-Islamiyyah bil Madinah al-Munawwarah.

Lutpi Mustafa el-Batnani. 2007. Baic ah wanita. Johor Bahru: Penerbit
Perniagaan Jahabersa.

Abdul Aziz Ismail. 2007. Aurat lelaki dan wanita berdasarkan al-Qur’an dan
al-Hadith. Kuala Lumpur: Penerbit Progressive Publishing House Sdn. Bhd.

Nic mat Sidqi. 2002. al-Tabarruj. Selangor: Penerbit Dewan Pustaka Fajar (DPF).

Abdul Munc im Salim. 2000. 30 Keistimewaan wanita. Kuala Lumpur: Penerbit
Darul Nuc man.

al-Jubrin, Abdullah ibn Abdur Rahman. 2006. 80 Kesalahan kaum hawa. Kedah:
Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.

Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2000. Perbahasan kaedah-kaedah
fiqh. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Salam Sdn. Bhd.

al-Jarullah, Abdullah ibn Jarullah ibn Ibrahim & as-Syeikh Muhammad ibn Salleh
ibn Usyaimin. 2003. Wanita wajib berpurdah, muka dan tangan wanita adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Syuhada.

Syeikh Alauddin ibn Muhammad. 2007. Libas al-mar’ah amam al-mahram. Johor
Bahru: Penerbit Perniagaan Jahabersa.

Khairul Ghazali. 2003. Wanita yang dicintai iblis. Kuala Lumpur: Penerbit Darul
Nuc man.

Syaikh Kamil Muhammad Muhammad c Uwaidhah. 1998. al-Jamic fi
Fiqh al-Nisa. Jakarta: Pusat al-Kautsar..

Said al-Jamily. 1996. Fitnah al-Nisa’. Beirut: Dar al-Bahar.

Syaikh Athiyah Shaqar. 2002. Sual wa jawab li al-mar’ah al-muslimah. Jakarta: Penerbit Pustaka Azzam.

Jaafar Salleh. 1995. Wanita Pembina generasi muda. Selangor: Penerbit Melindo Publications.

al-Jarullah, Abdullah ibn Ibrahim. 1990. Masuuliyah al- mar’ah al-muslimah. Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

al-Barudi, Syaikh Imad al-Barudi. t.th. Tafsir al-Qur’an al-adhim li al-Nisa’. Kaherah: al-Maktabah al-Taufiqiyyah.

Jamal Badawi. 1418/1997. Woman under the shade of Islam. Kaherah: el-Falah.

al-Tuwaijiri, Muhammad ibn Ibrahim ibn Abdullah. 2007. Ensiklopedi Islam
al-kamili. Jakarta: Penerbit Darus Sunnah Press.
Siti Hajar Ibrahim & Siti Sakinah Abd. Aziz. 1997. Risalah fiqh wanita.
Johor Bahru: Penerbit Perniagaan Jahabersa.

Mohd Hanif Ismail. 2007. Dosa berhias (Tabarruj) bagaimana mengenalinya
dan menghindarinya. Mesir: Badan Penerangan dan Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Husein Abdul Hamid. 2007. Mukhtasar Kitab al-Umm Imam al-Syafic i.
Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.

Abdullah Sani Mohamed & Mohd Nasran Mohammad. 2007. Seminar fiqh semasa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.