DONATE

Rabu, 17 Jun 2009

PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN TANAH WAKAF DI NEGERI KELANTAN


BAB II


WAKAF DALAM ISLAM SECARA UMUM


2.1 Pengenalan


Umat Islam amat dituntut melakukan amal kebajikan bagi membantu saudara-saudara seislam yang lain, disamping dapat mengikis perasaan bakhil dan bongkak yang wujud dalam diri. Dalam Al-Quran terdapat banyak nas-nas yang menyeru umat Islam kearah melakukan kebaikan dan kebajikan seperti menginfakkan sebahagian harta yang dimiliki ke jalan Allah s.w.t. Ini adalah kerana amal kebajikan tersebut bukan hanya mendapat balasan di dunia malahan di akhirat juga. Justeru itu, umat Islam sememangnya digalakkan membuat kebajikan bagi memperolehi pahala di sisi Allah s.w.t. walaupun tidak terdapat dalil nas yang khusus mengenai wakaf di dalam Al-Quran. Namun, wakaf dari perspektif syarac tetap merupakan satu amalan kebajikan yang dipandang mulia di dalam Islam.


2.2 Definisi Wakaf


2.2.1 Wakaf dari sudut bahasa


Perkataan wakaf sebenarnya berasal dari perkataan Arab iaitu “waqafa-yaqifu-waqfan” yang merupakan kata terbitan (masdar) dari kata kerja ( وقف ) . Dalam bahasa Arab wakaf bermaksud menahan atau berhenti atau mencegah. Pengertian dari sudut bahasa ini telah disepakati oleh jumhur ulamac dalam semua mazhab yang empat itu. (Syafiec, Hanafi, Hambali dan Maliki)

Wakaf secara harfiah pula bermaksud “pembatasan” atau “ larangan”. Perkataan arab iaitu ‘waqf’ (jamak : awquf) digunakan dalam Islam untuk maksud “pemilikan” dan pemeliharaan harta benda tertentu untuk kemanfaatan sosial tertentu yang ditetapkan dengan maksud mencegah penggunaan harta wakaf tersebut di luar tujuan khusus yang telah ditetapkan tersebut.

Menurut kamus bahasa, wakaf bermaksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai kebajikan) atau sesuatu yang diberikan atau diperuntukan bagi keperluan serta kemudahan dan sebagainya yang berkaitan dengan agama Islam.


2.2.2 Wakaf dari sudut istilah

Wakaf dari sudut istilah bermaksud menahan harta serta membelanjakan manfaatnya pada jalan Allah s.w.t. atau menahan ain harta serta mengalirkan hasil atau buahnya. Menahan harta bermaksud harta itu tidak boleh dijual, dihibah, diwasiatkan dan tidak boleh dijadikan sebagai harta pusaka. Manakala manfaatnya hendaklah digunakan bagi tujuan wakaf mengikut apa yang telah ditentukan oleh pewakaf.

Selain itu, dalam definisi yang lain pula bermaksud menahan harta benda yang kekal bentuk dan zatnya serta manfaatnya dapat digunakan untuk amalan kebajikan serta menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu sebagaimana yang telah ditentukan oleh syarac. Penggunaanya hendaklah mengikut syarat-syarat tertentu dengan tujuan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t. tanpa menghabiskan harta asalnya.

Menurut Imam Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi, Imam Ahmad bin Hambal serta golongan Syafiec, mendefinisikan wakaf ialah untuk memperuntukan sesuatu harta tertentu dengan cara menahan (ainnya) di mana pewakaf tidak lagi mempunyai hak ke atas harta dan adalah menjadi hak Allah s.w.t. serta manfaatnya digunakan untuk orang ramai. Mereka mentafsirkan apabila telah sempurna sesuatu wakaf itu, maka pewakaf serta orang lain tidak lagi menguasai (ain) harta tersebut dan tidak boleh menjual, menghibah atau menggadaikannya.

Sekiranya pewakaf tersebut meninggal dunia, harta tersebut yang telah diwakafkan tidak boleh dipindahkan atau diberikan kepada pewarisnya tetapi harta tersebut boleh digunakan manfaatnya serta faedahnya kepada orang-orang yang berhak sama ada warisnya sendiri atau bukan warisnya. Oleh itu, apabila sesuatu wakaf itu dilakukan dengan sempurna, maka harta itu akan terkeluar daripada menjadi milik pewakaf tersebut.

Manakala menurut pendapat Abu Hanifah pula, wakaf ialah menahan harta dalam pemilikan tuannya dan diambil manfaatnya untuk tujuan kebajikan. Manakala mengikut Malikiah ialah menahan harta daripada urusan pemilik, kekal harta itu dalam milik waqif serta boleh dimanfaatnya untuk jalan kebajikan.

Wakaf dari sudut istilah menurut Imam Syafiec ialah menahan harta daripada menguasainya dengan membenarkan diambil manfaat daripadanya. Ianya akan memindahkan pemilikan ain wakaf tersebut kepada pihak yang diwakafkan ke atasnya, akan tetapi pemilikan itu mengharuskan penguasaan secara mutlak.

Secara kesimpulannya, melalui definisi serta huraian yang telah diberikan oleh para fuqaha, maka dapatlah difahami bahawa wakaf adalah sesuatu benda yang boleh memberi manfaat dan daripada sesuatu benda yang kekal ainnya. Wakaf hendaklah dilakukan pada jalan yang baik dan mempunyai tujuan kebajikan serta niat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Wakaf tidak boleh dilakukan untuk tujuan maksiat atau kerosakan seperti mewakafkan tanah untuk tujuan mendirikan kilang arak atau membina rumah pelacuran.

Ternyata daripada definisi-definisi yang diberikan tersebut, dapatlah dijelaskan bahawa wakaf merupakan sesuatu perbuatan yang baik dan tujuannya untuk memberikan hak milik manfaat kepada orang yang menerima wakaf tersebut. Oleh yang demikian, orang itu berhak untuk mengguna dan memanfaatkan harta wakaf tersebut sebagaimana maksud pewakaf dan ia digunakan untuk tujuan tertentu.


2.3 Pensyariatan wakaf

Di dalam Al-Quran terdapat nas-nas atau dalil-dalil sama ada secara terang atau kiasan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah yang menerangkan tentang masalah wakaf. Maka, dengan adanya nas-nas atau dalil-dalil ini jelaslah menunjukkan tentang pensyariatan wakaf dan perbuatan wakaf amat digalakkan di dalam Islam kerana ia merupakan satu amalan yang mulia serta mendapat keredhaan Allah s.w.t.


2.3.1 Dalil-dalil dari Al-Quran ialah :

1) Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya :
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah s.w.t.) adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir, seratus biji, Allah s.w.t. melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendakinya dan Allah s.w.t. maha luas lagi maha mengetahui.”
(Al-Baqarah 2: 261)

2) Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. maha kaya lagi sentiasa terpuji”.
(Al-Baqarah 2: 267)

3) Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya :
“kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai, dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahuinya”

(Ali Imran 3: 92)

4) Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuk dan sujudlah (mengerjakan sembahyang ) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya di di dunia dan di akhirat”.
(Al-Hajj 22: 77)

5) Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya :
“ ……..supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu”
(Al-Hasy59:7)



2.3.2 Dalil-dalil daripada Hadith ialah :

1) Hadith yang menyebut tentang konsep wakaf dalam Islam :

Maksudnya :

“Daripada Abdullah bin Omar telah berkata : Saidina Omar r.a. mempunyai sebidang tanah di Khaibar, maka dia telah datang kepada nabi s.a.w. meminta kebenaran padanya, lalu berkata : “wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya saya telah mendapat sekeping atau sebidang tanah di Khaibar yang mempunyai nilaian yang sangat tinggi (mahal) daripada harta-harta yang pernah saya dapat. Jadi apakan nasihat kamu terhadap aku mengenai perkara ini. Lalu baginda s.a.w. menjawab “ jika engkau suka wakafkanlah harta asalnya itu dan engkau sedekahkanlah manfaatnya”

2) Hadith yang lain pula menyebut :

Maksudnya :

“Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, apabila matinya seseorang itu maka akan terputuslah amalannya kecuali dalam tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dilakukan, ilmu yang telah dimanfaatkan serta doa anak-anak yang soleh ke atasnya”


2.4 Hukum Wakaf

Hukum wakaf di sisi jumhur Ulamac Islam selain daripada ulama Mazhab Hanafi adalah sunat. Ia disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Tujuan pensyariatan wakaf juga adalah untuk kebaikan dan kebajikan. Masyarakat jahiliyah di zaman sebelum Islam tidak mengetahui amalan wakaf ini kerana mereka lebih suka untuk mengumpul harta dan kekayaan untuk diri mereka sendiri, tidak untuk tujuan membuat kebaikan dan kebajikan. Setelah kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w. menyeru umat Islam supaya mereka berbuat banyak kebajikan termasuklah wakaf demi untuk orang-orang miskin dan pihak-pihak yang memerlukan.

Hal ini dapat dilihat di dalam Hadith riwayat Muslim, Abu Dawud,al-Tarmidhi dan al-Nasaic di atas di mana para ulamac menafsirkan “sedekah jariah” dalam hadis tersebut adalah bermaksud wakaf. Maksud hadis secara keseluruhannya ialah amal perbuatan orang yang telah mati akan terhenti dan terputus daripada pembaharuan dan pertambahan pahala melainkan tiga perkara tersebut, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang salih ynag mendoakannya. Mengikut para Ulamac, ketiga-tiga perkara tersebut boleh menambahkan pahala amal kebajikan seseorang walaupun dia telah meninggal dunia kerana ia hasil daripada usahanya sendiri. Dari itu, hasil penat lelah semasa dia hidup di atas muka bumi tidak akan menjadi sia-sia. Dia berhak menerima hasilnya sekalipun dia telah meninggal dunia.

Oleh itu, dapatlah difahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. di atas, bahawa wakaf itu adalah suatu amalan yang sangat dituntut dan sesiapa yang berkorban harta benda untuk tujuan tersebut, dia akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. tanpa ada titik penamat. Walaupun begitu, di sisi ulamac Mazhab Hanafi, hukum wakaf adalah harus, iaitu sesorang itu boleh mewakafkan harta bendanya kepada pihak lain jika dia suka berbuat demikian. Kedudukannya lebih kurang sama dengan memberi pinjaman sesuatu barang kepada pihak lain yang mana perbuatan tersebut terletak atau bergantung kepada kemahuan dirinya sendiri. Ia juga dikatakan harus kerana wakaf boleh berlaku daripada orang kafir juga dan kadangkala menjadi wajib jika dinazarkan. Dalam keadaan ini, wajiblah diwakafkan barang tertentu atau nilainya.


2.5 Rukun dan Syarat Wakaf

Para Ulamac berbeza pendapat dalam menetapkan rukun wakaf ini. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, rukun wakaf ini hanyalah satu sahaja iaitu Lafaz wakaf atau sighah. Manakala mengikut Ibn al-Nujaym pula, beliau berpendapat bahawa rukun wakaf ialah “lafaz-lafaz yang menunjukkan ke atasnya”.

Mengikut Muhammad bin Hassan dari Mazhab Abu Hanifah pula, menyatakan bahawa rukun wakaf ini terbahagi kepada dua perkara iaitu : 1) Lafaz wakaf (Sighah) dan 2) Menerima (al-Qabdu). Beliau juga menyarankan wakaf dengan pemberian atau hibah dan sedekah. Dikatakan bahawa menerima (al-Qabdu) itu adalah rukun pemberian (hibah) dan tidak akan sempurna wakaf itu melainkan menerimanya dengan segera.

Walaupun begitu, mazhab-mazhab yang lain seperti Mazhab Syafiec, Maliki dan Hambali telah sependapat bahawa rukun wakaf ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu :

1) Pewakaf
2) Barang yang diwakafkan
3) Penerima wakaf
4) Lafaz wakaf


2.5.1 Pewakaf (الواقف)

Seseorang pewakaf mestilah mempunyai milikan yang sempurna ke atas hartanya dan berkuasa penuh ke atas harta tersebut atau ke atas harta yang hendak diwakafkan itu dengan kehendak sendiri yakni bukan dipaksa, kecuali sultan atau ketua Agama atau Nazir sahaja yang boleh melafazkan harta dari Baitulmal walaupun hakmilik yang tidak sempurna.

Disamping itu, seseorang pewakaf juga hendaklah mempunyai keupayaan untuk mengisytiharkan kehendaknya iaitu seperti melafazkan perkataan wakaf dan beliau adalah seseorang yang suka membuat kebajikan dan dengan ini jelaslah bahawa selain daripada itu seperti cacat, bodoh, dungu dan lain-lainnya adalah tidah sah untuk melafazkan perkataan wakaf. Ahli kebajikan dari golongan kafir adalah sah dan boleh dan boleh mewakafkan hartanya itu. Jika harta itu disekat atau dipajak atau disewa, maka sah wakafnya melainkan jika orang tersebut telah muflis.

Manakala lafaz wakaf pula disebut mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Pewakaf juga hendaklah mempunyai keahlian untuk menguruskannya dan kelayakan ini terdapat dalam empat syarat sebagaimana berikut :

a) Pewakaf itu hendaklah memiliki harta itu dan bebas memindah harta kepada sesiapapun. Wakaf akan terbatal dengan sendirinya jika sesuatu harta itu bukan atau belum menjadi miliknya lagi, seperti hamba mewakafkan harta tuannya atau harta curi atau sebagainya. Selain itu, tidak sah juga mewakafkan harta orang lain kerana ianya bukan miliknya yang sempurna.

b) Hendaklah berakal, tidak sah sesuatu wakaf yang dilakukan oleh orang gila, tidak berakal atau rosak akal fikirannya kerana terlalu tua atau sakit.

c) Hendaklah cukup umur (baligh), tidak sah wakaf daripada kanak-kanak walaupun kanak-kanak tersebut sudah mumaiyyiz. Ini adalah kerana sampai umur itu adalah sebagai pengukur kepada kesempurnaan akal dan tahap melaksanakan kebajikan.

d) Pewakaf hendaklah berfikiran waras, iaitu seseorang yang tidak terhalang disebabkan seperti bodoh, muflis atau pelupa mengikut pandangan atau pendapat jumhur ulama.


2.5.2 Barang yang diwakafkan ( المواقف)

Kebanyakan fuqaha bersepakat untuk menetapkan syarat-syarat ke atas barang atau harta yang hendak diwakafkan. Barang yang hendak diwakafkan itu mestilah barang yang kekal pada zat dan ainnya serta tidak mudah musnah. Ia boleh digunakan untuk selamanya juga diketahui keadaanya dan milik sempurna pewakaf. Sekiranya barang yang hendak diwakafkan itu tidak kekal sifatnya dan zatnya, maka ianya dikira tidak sah, seperti kita mewakafkan makanan, bau-bauan, air, wang dan sebagainya lagi merupakan barang-barang yang mudah dan cepat musnah serta tidak boleh digunakan untuk selamanya.

Dari sini juga dapat kita fahami bahawa benda yang ingin diwakafkan itu mestilah barang yang boleh dimiliki bukannya hak atau milik orang lain. Begitu juga, anak binatang yang masih dalam kandungan ibunya juga tidak sah diwakafkan kerana belum tentu ianya kekal atau tidak. Ini adalah kerana anak itu bukan barang yang kekal pada zatnya. Sesuatu wakaf itu dikira sah jika ianya adalah merupakan satu bangunan, ladang atau sebagainya seperti sesuatu binaan di atas tanah yang disewakan untuk tujuan kebajikan dan kebaikan yang menjadi milik orang lain.

Selanjutnya benda yang hendaklah diwakaf itu mestilah yang kekal ainnya dan boleh dimiliki serta barang yang boleh memberi faedah dan manfaat semasa ia diwakafkan atau pada masa-masa akan datang. Mengikut pendapat al-Bujayrimiy, seseorang itu tidak boleh mewakafkan faedah dari sesuatu harta sahaja tanpa mewakafkan harta yang lain, keadaan ini sama sahaja seperti contoh yang telah dinyatakan tadi (anak binatang yang masih di dalam kandungan) adalah tidak sah diwakafkan. Begitu juga dengan alat-alat hiburan dan alat-alat perhiasan, tidak sah untuk diwakafkan kerana termasuk dalam perkakas yang haram dan sesuatu yang haram tidak sah untuk diwakafkan.

Manakala mengikut pendapat Abu Hanifah pula, beliau telah meletakkan empat syarat ke atas barang-barang yang hendak diwakafkan itu iaitu :


a) Hendaklah harta tersebut harta yang kekal yang tidak alih, tidak sah mewakafkan sesuatu yang berbentuk manfaat sahaja tanpa fizikalnya kerana manfaatnya itu tidak diiktiraf sebagai harta, tetapi diharuskan untuk wakaf sesuatu harta yang ada kaitannya secara langsung dengan harta yang kekal seperti mewakafkan manfaat air telaga untuk minuman dan jalan yang ada kaitan secara langsung dengan tanah.

b) Harta yang hendak diwakafkan itu diketahui kedaannya seperti dinyatakan kadar luas sekeping tanah yang hendak diwakafkan atau dinyatakan nisbahnya seperti separuh dari tanahnya kepada seseorang yang tertentu. Oleh itu, tidak sah mewakafkan sesuatu yang tidak diketahui kedaannya.

c) Disyaratkan harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna pewakaf kerana wakaf adalah hakmilik tetap, dari itu harta yang hendak diwakafkan juga mestilah hakmilik tetap.

d) Harta itu hendaklah berasingan, maksudnya harta yang tidak bersama dengan harta lain dan boleh dibahagikan. Harta yang bergabung menjadi penghalang kepada penyerahan dan penerimaan, tetapi Imam Abu Yusuf, mazhab Syafiec dan Ahmad Ibn Hambal tidak mensyaratkan syarat tersebut kerana mereka bersandarkan kepada wakaf Saidina Umar r.a. di Khaibar yang mewakafkan 100 bahagian tanah.

2.5.3 Penerima wakaf ( الموقوف عليه )

Penerima wakaf ini mestilah seorang yang telah ditetapkan. Wakaf menjadi tidak sah sekiranya berlaku sebaliknya iaitu tidak tertentu atau ditetapkan. Sebagai contohnya, dua orang berada dihadapan kita, maka kata pewakaf “Aku wakafkan tanah ini kepada salah seorang daripada kamu”. Maka jelas sekali di sini bahawa wakaf tersebut tidak sah kerana tidak jelas kepada siapa tanah itu ditujukan atau diwakafkan. Penerima wakaf tidak semestinya pada orang perseorangan sahaja, malah boleh diwakafkan kepada beberapa orang yang tertentu atau kepada sesuatu badan, pertubuhan atau majlis yang dikira berhak untuk menerimanya dan menjaganya sebagai wakil kepada sesuatu harta yang telah diwakafkan itu.

Selain itu, menurut pendapat al-Bujayrimiy, wakaf kepada kafir zimmi adalah sah, tetapi tidak sah wakaf kepada kafir harbi. Manakala menrut Imam Nawawi dan al-Katib pula, wakaf kepada diri sendiri juga hukumnya adalah tidak sah dan ini adalah pendapat yang paling sahih (terpilih). Wakaf juga menjadi tidak sah untuk tujuan maksiat seperti membuat pusat hiburan. Wakaf sesuatu barang kepada orang kaya juga tidak dibolehkan kerana orang tersebut tidak memerlukan harta yang diwakafkan itu.

Sesetengah pendapat seperti pendapat ahli Feqah Mazhab Hanafi, Muhammad al-Syaybaniy menyatakan bahawa wakaf kepada keluarga sendiri juga hukumnya adalah tidah sah dan terbatal. Ini adalah kerana akan berlaku situasi di mana tidak menyebut dengan jelas dan nyata orang miskin atau mana-mana bahagian yang tetap sebagai penerimanya yang muktamad.


2.5.4 Lafaz Wakaf ( الصيغة )

Sebagaimana yang telah diketahui umum, melalui penerangan yang telah dinyatakan di atas bahawa sesuatu perkara yang hendak diwakafkan itu, mestilah sesuatu yang jelas dan terang, samalah juga halnya dengan lafaz wakaf. Lafaz tersebut hendaklah (wajib) diucapkan secara terang dan jelas. Apa yang dikehendaki di sini ialah lafaz yang boleh memberi maksud atau niat wakaf sama ada secara bertulis atau lisan.

Contoh lafaz secara terang dan jelas ialah sebagaimana berikut :

“Saya mewakafkan sekeping tanah tertentu untuk kepentingan Islam”

“Aku wakafkan tanah ini untuk faedah sifulan”


Contoh lafaz secara kinayah ialah sebagaimana berikut :

“Manfaatkanlah harta saya ini untuk selama-lamanya dan disertai dengan niat wakaf”

“Aku sedekahkan benda ini bagi tujuan am”

Jika berwakaf kepada seseorang yang tertentu hendaklah ada penerimanya, jika diwakafkan untuk tujuan umum tidak disyaratkan penerimanya. Ulamac juga bersepakat untuk menerima berlaku wakaf dengan ijab, sekalipun diberikan kepada golongan yang tidak diketahui. Mengikut pendapat Mazhab Maliki, Shafiec dan sebahagiannya daripada Mazhab Abu Hanifah, berpendapat sekiranya diberikan kepada golongan yang tidak diketahui, hendaklah dilakukan dengan ijab dan qabul.


2.6 Syarat-syarat Sah Wakaf

Sesuatu wakaf yang sah mestilah melalui beberapa syarat sebagaimana berikut :


2.6.1 Tidak boleh diberi hakmilik

Disebabkan tanah wakaf itu telah berpindah daripada hakmilik individu kepada hakmilik Allah s.w.t., maka ia mestilah berkekalan dan tidak boleh diberi milik kepada sesiapapun. Disebabkan itu, maka tanah wakaf tidak boleh dijual, dihibah dan dipusakai tetapi jika perlu, pemegang kuasa seperti qadi, wakil ataupun sultan berhak memberi milik/ kuasa kepada sesiapa sahaja sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf.


2.6.2 Hakmilik Allah s.w.t.

Sesuatu tanah wakaf yang telah sempurna dan sah di sisi Syarac tidak boleh lagi diganggu gugat atau dipindahkan atau dimusnahkan kerana tanah wakaf tersebut telah berpindah milik daripada pewakaf kepada hakmilik Allah s.w.t., jadi sekaligus telah memutuskan apa-apa kaitan dengan mana-mana hak atau tidak lagi tertakluk kepada hakmilik individu.


2.6.3 Berkekalan

Wakaf yang sah hendaklah mempunyai sifat yang berkekalan untuk selamanya bukan sekadar untuk masa-masa yang tertentu sahaja atau untuk masa-masa yang terhad. Menurut Imam Syafiec pula, apabila semua tanah atau benda itu telahpun diwakafkan, maka harta itu akan berpindah milik daripada pewakaf kepada milik Allah s.w.t., contohnya :

“ Saya wakafkan harta ini untuk anak-anak saya dan zuriat saya”

oleh itu, wakaf sebegini dianggaap sah kerana ianya berkekalan, biarpun setelah keluarga tiada. Walau bagaimanapun, faedah wakaf itu akan berpindah pula kepada keluarga yang terdekat. (اقرب الرحمن)


2.6.4 Pemegang Amanah

Pemegang amanah atau wakil atau seseorang Nazir itu mestilah dari kalangan orang yang mempunyai akhlak dan pekerti yang tinggi serta baik budi bahasanya dan berkelayakan atau berkeahlian untuk dilantik sebagai wakil sama ada dalam bentuk mental dan fizikal bagi menjalankan tugas ini. Mereka itu mestilah menjalankan setiap arahan yang terdapat di dalam suratcara wakaf dan tidak boleh diingkari. Jika suratcara tersebut diperuntukan oleh pewakaf kepada orang lain, maka segala pentadbiran hendaklah dijalankan oleh Mahkamah Syariah ataupun Pejabat Qadi.

Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa faedah daripada tanah wakaf ini bukan untuk diwarisi oleh keluarga pewakaf itu, tetapi telah ditentukan kepada sesiapa yang telah diperuntukan mengikut suratcara wakaf yang asal dan hendaklah dipatuhi, manakala pewakaf pula mempunyai kuasa yang penuh untuk mengendalikan hasil faedah yang diterima dari tanahnya.


2.7 Jenis-Jenis Wakaf

Wakaf di dalam Islam telah dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

1) Wakaf Am
2) Wakaf Khas


2.7.1 Wakaf Am

Wakaf jenis ini adalah wakaf yang betujuan untuk kebajikan umum dari mula lagi seperti pembinaan wakaf untuk masjid, surau, sekolah, hospital dan sebagainya.

2.7.2 Wakaf Khas

Wakaf jenis ini adalah wakaf yang dilakukan untuk orang-orang perseorangan yang tertentu ataupun untuk anak cucunya, kaum kerabat dan seterusnya untuk fakir miskin.

Hakikatnya dalam hal ini jenis wakaf sebenarnya bergantung kepada niat orang yang mewakafkan itu sendiri sama ada Am ataupun Khas. Selain itu, wakaf juga boleh dibahagikan kepada Wakaf Dhurri dan Wakaf Khairi iaitu dengan melihat kepada tujuan khusus wakaf tersebut :

i) Wakaf Dhurri

Wakaf Dhurri adalah wakaf yang dikhususkan untuk ahli keluarga dan kaum kerabat sahaja.

ii) Wakaf Khairi

Wakaf Khiri pula adalah wakaf yang umum dan untuk kebaikan serta kebajikan seperti untuk membina masjid, surau, hospital dan sebagainya.


2.8 Tujuan Pensyariatan Wakaf Di Dalam Islam

Pada asasnya tujuan wakaf adalah untuk mendapatkan pahala dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. ini adalah kerana mewakafkan harta adalah merupakan satu amalan kebajikan yang mulia disisi Allah s.w.t. serta sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala serta ganjaran yang besar. Ganjaran pahala tersebut akan diberikan oleh Allah s.w.t. kepada pewakaf selagi harta wakaf masih memberi manfaat kepada mereka yang berhak walaupun pemberi wakaf itu telah meninggal dunia.

Wakaf antaranya bertujuan untuk menjaga kepentingan sosio ekonomi umat Islam. Islam amat menggalakkan supaya umatnya menderma sebahagian harta mereka untuk tujuan pembangunan masyarakat seperti pembinaan masjid, sekolah, hospital, rumah anak yatim dan orang tua serta sebagainya. Ini adalah kerana ia dapat membantu memantapkan serta menstabilkan ekonomi Negara. Amalan ini juga digalakkan sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Kahf ayat 111 yang bermaksud “ Barangsiapa berharap bertemu Tuhannya maka, hendaklah beramal soleh dan janganlah menyekutukan Allah s.w.t. dengan seseorang dalam beribadat kepada Tuhannya itu”.

Manakala dalam tujuan kemasyarakatan pula, supaya pihak berkuasa dapat merancang sesuatu pembangunan. Selain itu, pihak berkuasa juga dapat merancang kemajuan untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Negara iaitu dengan membina sekolah, hospital, masjid, kemudahan awam dan sebagainya mengikut keperluan sesuatu tempat. Di samping itu, harta yang diwakafkan ini juga dapat disalurkan sebagai bantuan kepada umat Islam yang memerlukannya.

Berikutnya dalam hubungan sosial pula, ia dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim atau hubungan antara pemberi, penerima, serta pengguna harta wakaf tersebut dengan suatu hubungan yang erat. Dengan pertolongan yang diberikan melalui harta wakaf ini, ia merupakan satu rahsia kecemerlangan bagi sesuatu ummah dan adalah faktor yang dapat memajukan kehidupan mereka. Maka, dari sini ia dapat melahirkan sifat-sifat persaudaraan yang erat dan utuh di antara satu sama lain.

Oleh sebab itulah, Islam amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan amalan wakaf ini walaupun ia bukanlah satu perkara yang wajib dalam Islam. Ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. disamping tujuan asasnya adalah supaya dapat mewujudkan unsur-unsur pertolongan di kalangan umat Islam yang memerlukannya.


2.9 Kesimpulan

Sesungguhnya pada zaman Rasulullah s.a.w. wakaf merupakan satu amalan yang digalakkan oleh Baginda untuk dilakukan oleh umat Islam pada waktu itu. Walaupun tidak ada dalil yang khusus yang disebut di dalam Al-Quran tentang wakaf tetapi ia merupakan cabang kepada sedekah. Malahan terdapat hadis-hadis yang menyokong tentang keharusan wakaf ini.

Selepas kewafatan Baginda s.a.w. para sahabat juga suka mewakafkan harta mereka untuk kebaikan dan kebajikan umat Islam. Mereka menyahut seruan Rasulullah s.a.w. dalam perkara wakaf ini dan sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan amal kebajikan tersebut semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. Malahan mereka turut menyeru umat Islam pada masa itu untuk sama-sama melakukan amal kebajikan melalui wakaf ini.

Justeru, wakaf merupakan satu amalan yang dituntut di dalam Islam dan merupakan sunat muackkad kerana ia merupakan satu amalan yang mulia yang akan diberi ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah s.w.t. kepada orang yang mewakafkan hartanya, malahan ia akan berkekalan sampai bila-bila. Seseorang yang mewakafkan harta bendanya itu mestilah ikhlas dan melakukannya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Disamping ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada orang ramai.

Wakaf yang dilakukan itu mestilah ikhlas lahir dari kerelaan sendiri dan bukan kerana dipaksa atau terpaksa. Sekiranya orang yang melakukan wakaf tersebut bukan kerana kerelaan hati atau dipaksa maka, wakafnya itu menjadi tidak sah dan tidak akan diterima disisi Allah s.w.t. Selain itu, harta yang telah diwakafkan tersebut tidak boleh diambil kembali kerana ia bukan hak milik pewakaf itu lagi dan secara automatiknya harta yang diwakafkan itu menjadi hak milik Allah s.w.t untuk selama-lamanya.



BAB III



PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN TANAH WAKAF DI NEGERI
KELANTAN


3.1 Pengenalan


Setiap negeri di Malaysia, harta wakaf ditadbir di bawah Majlis Agama Islam Negeri masing-masing sebagaimana yang telah diperuntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri. Harta-harta wakaf di Kelantan telah ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan yang mana dikenali sebagai MAIK. Segala yang berkaitan dengan harta wakaf orang Islam di Kelantan diurus dan ditadbir sepenuhnya oleh MAIK selaku pemegang amanah yang diiktiraf oleh perlembagaan.

Harta wakaf itu mestilah menepati ciri-ciri harta yang telah ditetapkan oleh syarac dari segi rukun, syarat dan harta tersebut hendaklah diwakafkan ke jalan yang diharuskan oleh syarac. Sekiranya wujud pertentangan, maka wakaf akan menjadi tidak sah dan terbatal secara automatik.


3.2 Sejarah Wakaf Di Negeri Kelantan

Permulaan wakaf di negeri Kelantan adalah bermula dengan kemasukan Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang yang datang berdagang ke negeri ini pada abad ke 20-an. Namun, tarikh dan masa yang tepat tidak dapat dipastikan kerana tidak terdapat bukti-bukti kukuh atau kesan-kesan peninggalan sejarah yang dibuat mengenai amalan wakaf yang berlaku sebelum ini. Abad ke 20-an ini diambil kira memandangkan terdapat wakaf yang telah dibuat oleh Tengku Kaya Pahlawan yang mana Baginda telah hidup sekitar tahun 1920-an tersebut.

Walaupun wakaf di negeri Kelantan adalah dikatakan bermula pada abad yang ke 20, tetapi secara rasminya wakaf di negeri Kelantan bermula apabila Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) ditubuhkan pada tahun 1915. Penubuhan MAIK ini telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke IV.

Bermula dari penubuhan MAIK itu, maka semua harta wakaf sama ada wakaf yang telah dibuat sebelum ini atau selepas tarikh penubuhannya telah diletakkan di bawah pengurusan dan pentadbiran MAIK. Semua harta yang diwakafkan sama ada Wakaf Am atau Wakaf Khas dicatatkan dan disimpan maklumatnya dalam satu dokumen. Dokumen-dokumen ini akan dikumpulkan mengikut Kanun Undang-undang Majlis Agama Islam Negeri Kelantan yang dipinda pada tahun 1966.

MAIK telah diberi tanggungjawab untuk mentadbir semua harta wakaf yang terdapat di negeri Kelantan sebagaimana yang terkandung di dalam Kanun Undang-undang Majlis Agama Islam negeri Kelantan yang memperuntukan :

“Dengan tidak menghiraukan mana-mana syarat yang wujud, mengawal atau
menyentuh perkara-perkara itu, maka hendaklah Majlis menjadi nazir yang
tunggal bagi semua wakaf sama ada Wakaf Am atau Wakaf Khas”.


Walaupun MAIK diberi kuasa untuk mengurus dan mentadbir semua harta yang diwakafkan itu, tetapi tujuan asal wakaf itu akan dilaksanakan sebagaimana wasiat pewakaf.

Setelah undang-undang khusus bagi harta wakaf digubal, maka harta-harta wakaf diuruskan dengan lebih teratur dan sistematik oleh MAIK. Kedudukan harta wakaf yang telah sedia ada sebelum penubuhan MAIK telah didaftarkan semula. Manakala bagi harta yang tidak didaftarkan pula, MAIK telah berjaya mengesan sebahagiannya atas bantuan saudara mara pewakaf dan juga maklumat daripada orang ramai.


3.3 Jenis-jenis Wakaf Di Negeri Kelantan

Wakaf di negeri Kelantan terbahagi kepada dua jenis iaitu :

1. Wakaf Am
2. Wakaf Khas


3.3.1 Wakaf Am

Wakaf Am adalah bertujuan untuk kebajikan umum. Matlamat wakafnya ialah supaya hartanya digunakan dan dapat memberi manfaat serta faedah kepada orang ramai. Maka MAIK telah menguruskan harta wakaf Am ini dan hasilnya digunakan untuk kebajikan masyarakat secara umum.

Terdapat beberapa peruntukan berkenaan Wakaf Am di negeri Kelantan yang terkandung di dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Antara peruntukannya ialah :

Peruntukan di bawah Seksyen 64 (2) :

“Pendapatan daripada Wakaf Am dan Nazar Am, hendaklah dibayar kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Pentadbiran Am”.

Manakala peruntukan dalam seksyen 65 di dalam enakmen yang sama seperti di atas ialah:

65 (1) “Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang terlibat
dengan mana-mana Wakaf Am dan Nazar Am yang sah tidak boleh menjadi
sebahagian daripada Kumpulan Wang Pentadbiran Am, tetapi hendaklah
digunakan menurut sebagaimana kehendak-kehendak Wakaf Am dan Nazar
Am itu dan dipegang sebagai kumpulan wang yang berasingan”.

(2) “Jika oleh sebab habis tempoh atau luput masanya atau dengan sebab
perubahan atau keadaan adalah tidak mungkin lagi bermanfaat untuk
menjalankan peruntukan-peruntukan yang tepat bagi mana-mana Wakaf Am
dan Nazar Am, Majlis hendaklah menyusun suatu rancangan yang
menggunakan harta dan aset yang terletak hak kepadanya itu dengan cara yang
sehampir mungkin dengan syarat-syarat dalam wakaf nazar itu :

Dengan syarat, bahawa Majlis bolehlah dengan kelulusan secara bertulis
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan, mengarahkan supaya harta aset itu
hendaklah ditambah kepada dan menjadi sebahagian dari Kumpulan Wang
Pentadbiran Am”.

(3) “Jika syarat-syarat bagi mana-mana Wakaf Am atau Nazar Am tidak menyebut cara bagaimana harta dan aset modal yang terletak hak kepadanya patut digunakan, atau Menjadi kesamaran tentang bagaimana ia hendak digunakan. Majlis boleh mengarahkan supaya harta dan aset modal itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian Kumpulan Wang Pentadbiran Am”.

(4) “Segala suratcara yang menjadi keterangan atau yang menyentuh mana-mana Wakaf Am dan Nazar Am serta dengan surat-surat hak milik atau lain-lain cagaran yang bersabit dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis”.

Melalui peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan seperti di atas, maka jelaslah bahawa Wakaf Am dilakukan tanpa menyatakan secara khusus tentang pelaksanaan harta itu. Oleh itu, ia bergantung kepada pihak MAIK sama ada untuk memberi sewa, memajak atau membangunkannya kearah perkara-perkara yang berfaedah. Manakala hasil pendapatan daripada wakaf jenis ini pula akan diagihkan untuk kebajikan umum umat Islam dan sebahagiannya dimasukkan dalam Kumpulan Wang Pentadbiran Am.


3.3.2 Wakaf Khas

Manakala wakaf khas pula bertujuan untuk kebajikan tetapi wakaf ini dilakukan secara khusus atau tertentu sahaja. Pewakaf akan menyatakan secara khusus tentang wakaf itu serta golongan yang akan mendapat manfaat daripada harta wakaf tersebut. Misalnya pewakaf mewasiatkan supaya harta wakafnya itu akan diterima oleh ahli keturunannya sahaja. Maka, hasil pendapatan yang diperolehi daripada harta wakaf khas ini akan diagihkan kepada individu-individu tertentu sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh pewakaf.

Berkenaan dengan hasil pendapatan yang diperolehi daripada harta Wakaf Khas adalah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di bawah peruntukan seksyen 64 (1) iaitu :

“Pendapatan daripada sesuatu Wakaf Khas, jika ada diterima oleh Majlis,
hendaklah digunakan olehnya mengikut peruntukan-peruntukan yang sah
bagi Wakaf Khas itu”

selepas Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 ini dikuatkuasakan pemakaiannya, Wakaf Khas ini hanya boleh dilakukan dalam keadaan tertentu sahaja. Ini terdapat di bawah peruntukan seksyen 63 (2) dalam enakmen tersebut iaitu:

“ Semua Wakaf Khas atau Nazar yang diperbuat selepas berkuatkuasanya
Enakmen ini adalah sah dan batal melainkan :

(a) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan atas nasihat Majlis,
memperkenankan dan mengesahkannya, atau

(b) Ianya dibuat dalam keadaan maradhal maut dan orang yang membuatnya
mati kemudiannya dan ianya dibuat secara bertulis melalui suratcara yang dilaksanakan dan disaksikan oleh dua orang Islam yang berkelayakan mengikut Hukum Syarac, di mana salah seorang daripada mereka ini adalah pegawai masjid bagi kawasan tempat tinggalnya”.

Wakaf Khas ini pula terbahagi kepada dua jenis berdasarkan kepada tujuan khusus wakaf yang dibuat, iaitu :


(a) Wakaf Dhurri/ Keluarga

Wakaf Dhurri atau dikenali juga sebagai wakaf keluarga ialah wakaf yang dilakukan dengan mengkhususkan wakafnya untuk ahli keluarga dan kaum kerabatnya sahaja.


(b) Wakaf Khairi

Wakaf Khairi ini ialah mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan umum tetapi dinyatakan secara khusus tentang tujuan harta itu seperti membina masjid sebagai tempat untuk melakukan ibadat oleh orang Islam.

Contoh Wakaf Dhurri yang terdapat di negeri Kelantan ialah wakaf yang telah dilakukan oleh Tengku Kaya Mahkota Pahlawan, di mana beliau telah mewakafkan tanahnya yang berjumlah 20 lot yang terletak dibeberapa daerah di negeri ini. Semua wakafnya itu telah ditadbir oleh MAIK sehinggalah sekarang. Namun, hasil pendapatan ynag diperolehi tersebut telah diberikan kepada kaum kerabat Tengku Kaya Pahlawan mengikut wasiat beliau.


3.4 Kategori Tanah Wakaf Di Kelantan

Di Kelantan, jika diteliti majoriti wakaf adalah terdiri daripada pewakafan tanah yang diwakafkan oleh tuan tanah dengan tujuan untuk melakukan amal kebajikan atau dengan niat bersedekah. Namun begitu, tidak dinafikan masih terdapat wakaf-wakaf yang dibuat dalam bentuk-bentuk lain seperti bangunan, pokok-pokok, rumput dipadang, rumah tumpangan dan sebagainya. Tetapi jumlahnya terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan wakaf tanah. Masyarakat di Kelantan lebih gemar untuk mewakafkan tanah kosong berbanding benda-benda lain kerana faedahnya adalah lebih besar dan mengguntungkan. Maka, tidak hairanlah setiap tahun purata tanah yang diwakafkan di negeri Kelantan meningkat.

Oleh sebab itulah, pengkaji lebih berminat serta cenderung untuk membuat kajian berkaitan pewakafan tanah sahaja di negeri Kelantan bagi melihat sejauhmana perkembangan dan kesan yang dapat dilihat hasil daripada wakaf tersebut khususnya dalam memberikan kemajuan dan pembangunan di negeri Kelantan. Bermula dari wakaf-wakaf tanah yang telah dibuat oleh beberapa kerabat diraja yang tidak asing lagi di negeri Kelantan pada masa dahulu seperti tanah wakaf Almarhum sultan Mansor (wakaf Sultan Mansor), tanah wakaf Almarhum Tengku Kaya Pahlawan dan tanah wakaf Almarhum Raja Muda Penambang sehinggalah kepada golongan rakyat biasa iaitu Wakaf Am perseorangan dan wakaf khas semuanya terdiri daripada wakaf tanah.

Ketiga-tiga penama yang dinyatakan tersebut adalah merupakan penyumbang terbesar tanah wakaf di negeri Kelantan. Wakaf yang dibuat oleh penama-penama tersebut ada yang terdiri daripada wakaf Am dan wakaf Khas yang mana jenis wakaf itu ditentukan mengikut wasiat yang telah dibuat oleh pewakaf-pewakaf. Penjelasan yang lebih terperinci akan dijelaskan sebagaimana berikut :


3.4.1 Tanah Wakaf Sultan Mansor

Semasa hayat Sultan Mansor iaitu sekitar tahun 1891 sehinggalah 1900, baginda telah mewakafkan tanahnya yang berjumlah 8 lot dengan keluasan 70 ekar 3 depa. Wakaf tersebut tergolong di dalam Wakaf Khas Khairi berdasarkan kepada tujuan pewakafannya, iaitu Sultan Mansor telah mewasiatkan supaya hasil pendapatan tanah wakaf baginda itu disalurkan kepada guru-guru pondok. Sultan Mansor membuat wakaf tersebut sebelum MAIK ditubuhkan lagi. Apabila MAIK ditubuhkan maka semua tanah wakaf Sultan Mansor telah ditadbir oleh MAIK seperti yang telah diperuntukan di dalam Enakmen MAIK, namun tujuan asalnya tetap dilaksanakan sebagaimana wasiat baginda.

Peruntukan tersebut dapat dilihat di dalam Enakmen Adat Istiadat Melayu dan Kelantan dalam fasal 62 :

(1) “Semua harta tertakluk kepada peruntukan seksyen 61 hendaklah jika terletak di dalam negeri Kelantan dan dalam perkara harta tak alih selepas pendaftaran di bawah Kanun Tanah Negara (KTN), terletak hak kepada Majlis tanpa apa-apa pemindahan atau penyerah hak pemindahan apa jua untuk tujuan amanah, wakaf atau nazar Am”.

(2) “Majlis hendaklah mengambil segala langkah yang diperlukan untuk meletakkan hak kepada Majlis mana-mana harta di bawah subseksyen (1) yang terletak di luar negeri ini”.

(4)“Majlis hendaklah mempunyai kuasa memegang, mentadbir , menukar, memajak, membuat pawahan, melabur wang atau harta-harta Wakaf Am alih atau tidak alih bagi maksud memaju dan mengembangkan harta-harta itu setakat mana yang dibenarkan oleh hukum Syarac”.

Oleh itu, semua wakaf Sultan Mansor diletakkan di bawah pentadbiran dan pengurusan MAIK bermula pada tahun 1915.


3.4.2 Tanah Wakaf Tengku Kaya Pahlawan

Tanah wakaf Tengku Kaya Pahlawan berjumlah 20 lot dengan keluasan 98 ekar 222 depa. Wakaf yang telah dibuat oleh baginda adalah termasuk di dalam kategori jenis Wakaf Zuriat atau Wakaf Keluarga. Ini berdasarkan kepada tujuan wakaf yang telah dibuat iaitu baginda telah mewasiatkan untuk anak-anak cucunya sahaja. Semasa hayatnya, Tengku Kaya Pahlawan telah membuat satucara bagi wakaf berkenaan dengan menyatakan bahawa 80% daripada keseluruhan tanah wakafnya itu adalah untuk ahli keluarganya sahaja. Manakala 20% lagi adalah untuk tujuan kebajikan umum.


3.4.3 Tanah Wakaf Raja Muda Penambang (Tengku Chik bin Tuan Long Yunus)

Nama sebenar Raja Muda Penambang ialah Tengku Chik bin Long Yunus tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Muda Penambang. Wakaf Raja Muda Penambang adalah tergolong dalam jenis wakaf khas. Ini berdasarkan tujuan wakaf yang dilakukan adalah khusus untuk ahli keluarga dan keturunannya sahaja. Manakala sebahagian kecil daripada wakaf tersebut adalah untuk tujuan umum iaitu berbentuk Wakaf Am. Almarhum Tengku Chik bin Raja Muda Penambang telah mewakafkan tanahnya berjumlah 9 lot.

Tanah yang diwakafkan itu termasuk wakaf tanah kosong dan juga tanah dusun. Daripada jumlah tersebut, 80% daripadanya adalah wakaf untuk ahli keluarganya, namun, Wakaf Khas Keluarga ini disyaratkan oleh Almarhum bahawa tanah ini hanya untuk ahli keluarganya yang tidak mendapat bahagian dalam pembahagian harta pusaka beliau sahaja. Sedangkan 20% lagi adalah untuk Wakaf Am yang bertujuan untuk kebajikan umum.

Selepas kematian Tengku Chik, tanah wakafnya itu telah ditadbir oleh Tuan Pegawai Amanah Raya dan anak-anaknya, namun selepas penubuhan MAIK maka ia telah diambil alih oleh MAIK untuk mengendalikan tanah wakaf tersebut. Walaupun pada asalnya terdapat perselisihan dalam masalah hak menguruskan tanah wakaf tersebut antara MAIK dengan anak-anaknya tetapi setelah melalui beberapa pihak, akhirnya masalah tersebut dapat diselesaikan dengan baik melalui peruntukan undang-undang. Ahli keluarga Almarhum akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Jemaah Ulamac Kelantan yang memutuskan sebagaimana berikut :

i) Surat “Hujuh Wakaf” yang telah dibuat oleh Tengku Chik bin Raja Muda Penambang bukanlah surat nazar. Surat tersebut hanyalah surat wakaf, maka mengikut hukum syarac wakaf ini adalah sah.

ii) Wakaf Am yang dibuat oleh Tengku Chik sebanyak 2 lot adalah sah kerana tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Apabila wujudnya dua keputusan yang bertentangan, maka anak-anak cucu Almarhum Tengku Chik Raja Muda Penambang telah membuat rundingan semula dengan pihak MAIK dan mereka bersetuju bahawa bahagian tanah wakaf Am yang berjumlah 2 lot itu diletakkan di bawah pentadbiran MAIK. Manakala bagi tanah Wakaf Khas pula yang berjumlah 8 lot ditadbir dan diuruskan oleh ahli keluarganya. Justeru, keputusan kedua-dua buah pihak ini dibawa semula kepada Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Ekoran daripada itu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan supaya 2 lot tanah wakaf Am diserahkan semula kepada MAIK untuk ditadbir.


3.4.4 Tanah Wakaf Am Perseorangan

Tanah wakaf Am di negeri Kelantan kebanyakannya dibuat oleh orang perseorangan. Jika dilihat kepada statistik yang telah dibuat pada tahun 2000, tanah wakaf Am perseorangan yang telah didaftarkan di bawah MAIK adalah sebanyak 28 lot dengan keluasan 137 ekar 26 depa, ini tidak termasuk dengan tanah-tanah wakaf yang gagal dikesan oleh MAIK memandangkan wakaf-wakaf tersebut tidak didaftarkan di bawah MAIK oleh ahli waris dan pewakafnya telah meninggal dunia.

Namun, pengkaji tidak berjaya untuk mendapatkan data-data terbaru berkenaan tanah-tanah wakaf Am perseorangan yang telah didaftarkan selepas tahun 2000 ini kerana masalah-masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan. Pengkaji hanya berjaya memperolehi senarai tanah wakaf Am bagi tahun 2006 sahaja.


BIL NAMA PEWAKAF NO GM NO LOT MUKIM JAJAHAN TAHUN DIMILIKI NO FAIL

1 Shamsiah bt Che Husain 264 849 Palekbang Tumpat 2006 MAIK.D231/P/634/117

2 Shamsiah bt Che Husain 254 850 Palekbang Tumpat 2006 MAIK. D231/P/634/117

3 Selamah @ Zainab bt Sulaiman 170 802 Bunga Tanjong Jeli 2006 MAIK.D231/P/634/115

4 Siti Eshah bt Yaacob 694 2017 Lubok Bangor Jeli 2006 MAIK.D231/P/634/114

5 Abdul Rahman bin Awang Ngah 348 2031 Kangkong Pasir Mas 2006 MAIK.D231/P634/120
Rajah 1 : SENARAI TANAH WAKAF AM BAGI TAHUN 2006


Menurut Pegawai Baitulmal MAIK, kebanyakan tanah wakaf Am perseorangan ini terdiri daripada tanah-tanah wakaf yang tidak aktif yang digunakan untuk tujuan pembinaan masjid, surau, madrasah dan tanah perkuburan atau biasa dikenali di Kelantan sebagai wakaf ibadat. Tanah-tanah ini tidak mendatangkan hasil secara langsung kepada MAIK kerana tidak boleh diberi sewa, tetapi mesti dibangunkan mengikut wasiat pewakaf. Selain itu, kajian yang dibuat pada tahun 2002 juga mendapati bahawa daripada 41 lot tanah Wakaf Am, hanya 9 lot daripadanya adalah wakaf yang mempunyai nilai ekonomi (aktif) untuk pelbagai kegunaan yang mendatangkan hasil pendapatan secara langsung kepada MAIK.


3.5 Prosedur Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Wakaf Di Negeri Kelantan


3.5.1 Prosedur Pewakafan Harta Di Negeri Kelantan


Sejak MAIK mengambil alih pengurusan dan pentadbiran harta-harta wakaf di Negeri Kelantan, maka satu prosedur telah ditetapkan di kalangan masyarakat Islam negeri ini untuk mewakafkan harta mereka bagi kepentingan serta kebajikan umat Islam. Pada 50 tahun dahulu tidak terdapat prosedur tertentu dalam melakukan amalan wakaf ini. Cuma terdapat kesan peninggalkan harta wakaf yang dapat dilihat melalui pembinaan beberapa buah masjid di atas tanah wakaf. Ini adalah kerana tanah wakaf yang ditinggalkan oleh pewakaf tidak didaftarkan dan ahli waris yang masih hidup tidak diberitahu tentang status tanah berkenaan. Ekoran daripada itu, maka kebanyakan harta wakaf tersebut menjadi warisan harta pusaka kepada pembuat wakaf.


3.5.2 Prosedur Pemilikan Tanah Wakaf oleh MAIK

MAIK selaku pemegang amanah tunggal dalam mengurus dan mentadbir harta wakaf di negeri Kelantan telah memperkenalkan satu prosedur untuk masyarakat Islam di negeri ini dalam melakukan ibadat wakaf. Terdapat dua polisi utama yang boleh dilakukan bagi sesuatu permohonan untuk mewakafkan tanah iaitu sama ada secara langsung kepada MAIK di Unit Baitulmal dan Wakaf atau ke Pejabat Tanah Jajahan yang terletak di Bandar Kota Bharu.

Pengkaji mendapati bahawa prosedur yang ditetapkan ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang berniat untuk mewakafkan tanah mereka, di mana mereka telah diberi pilihan sama ada untuk mendaftarkan tanah wakaf tersebut terus kepada MAIK atau Pejabat Tanah yang berhampiran dengan mereka. Ini adalah kerana lokasi kedua-duanya adalah berasingan. Jika ia berkaitan dengan tanah wakaf orang Islam maka ia akan diserahkan kepada MAIK untuk diuruskan sekiranya ia telah didaftarkan di Pejabat Tanah Jajahan. Berikut akan diterangkan dengan lebih lanjut tentang prosedur-prosedur yang perlu dilalui semasa pendaftaran tanah wakaf sama ada di Unit Baitulmal dan Wakaf (MAIK) atau di Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu.


3.5.2.1 Permohonan Melalui Unit Baitulmal dan Wakaf Di Negeri Kelantan

Permohonan wakaf yang dibuat melalui Unit Baitulmal dan Wakaf di MAIK oleh seseorang itu hendaklah mengemukakan surat rasmi yang menyatakan secara jelas niat serta tujuan sesuatu wakaf itu kepada Majlis Agama Islam Kelantan. Surat tersebut hendaklah dialamatkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan mesti di tulis ‘untuk perhatian’ Unit Baitulmal dan Wakaf. Bersama-sama surat tersebut juga mestilah disertakan Surat Hak Milik dan beberapa dokumen lain yang berkaitan seperti geran tanah dan sebagainya.

Berkenaan dengan masalah tanah yang tidak mempunyai ‘Surat Hak Milik’ atau bagi tanah yang diamanahkan melalui surat wakil kuasa, maka pewakaf mesilah membuat ‘Surat Akuan Sumpah’ yang dikeluarkan oleh Mahkamah dan hendaklah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah yang diiktiraf. Ia bertujuan untuk mengesahkan bahawa tanah yang hendak diwakafkan tersebut adalah hak milik sempurna pewakaf.

Selepas surat tersebut diterima oleh MAIK, maka MAIK akan menentukan suatu tarikh tertentu untuk menjemput pewakaf atau ahli waris hadir ke Pejabat Agama bagi mengisi ‘Surat Cara Wakaf’. ‘Surat Cara Wakaf’ ini akan diisi oleh pewakaf dihadapan dua orang saksi dengan menyatakan secara jelas bahawa tanah tersebut diwakaf secara sukarela bagi kegunaan masjid, surau, sekolah, kubur dan sebagainya untuk manfaat umum. Seterusnya MAIK akan memberikan pandangan dan nasihat kepada pemohon atau pewakaf tentang kebaikan mewakafkan harta kepada Majlis Agama Islam.

Sebelum MAIK menerima sesuatu wakaf, terlebih dahulu pihak MAIK akan mengadakan lawatan ke kawasan tersebut iaitu tanah yang hendak diwakafkan itu bagi memastikan lokasi, keluasan tanah, keadaan persekitaran serta untuk memastikan sama ada wujud atau tidak harta lain di atas tanah tersebut. Ini adalah bertujuan untuk memastikan tentang keadaan sebenar tanah yang hendak diwakafkan supaya tidak menimbulkan sebarang masalah di masa hadapan.

Oleh itu, beberapa orang pegawai daripada Unit Baitulmal dan Wakaf akan dihantar untuk membuat tinjauan di tempat tersebut dan satu laporan akan diserahkan kepada Ketua Pegawai Pembangunan di Unit Baitulmal dan Wakaf di MAIK untuk mendapatkan persetujuan bersama. Kemudian, setelah mendapat persetujuan daripada Ketua Pegawai Pembangunan, laporan itu akan diserahkan pula kepada Timbalan yang Dipertua untuk mendapatkan keputusan muktamad berkaitan tanah wakaf itu. Apabila ia telah dipersetujui oleh Yang Dipertua, maka satu pengesahan dibuat oleh MAIK sebagai tanda persetujuan untuk menerima amanah itu dan seterusnya menjadi pemegang amanah dalam mengurus serta mentadbir tanah itu.

Prosedur seterusnya, satu permohonan rasmi pindah milik tanah wakaf akan dikeluarkan oleh MAIK kepada Jabatan Tanah dan Galian di Pejabat Tanah untuk pendaftaran pindah milik kepada Majlis sebagai Pemegang Amanah Tunggal. Pihak MAIK juga akan mengeluarkan surat sokongan agar disegerakan urusan pindah milik kepada MAIK sebagai pengawal ke atas tanah tersebut. Setelah kelulusan diperolehi dari Pejabat Tanah Jajahan, maka tiga orang Ahli Majlis iaitu, Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha Majlis dan salah seorang anggota Ahli Majlis akan menandatangani permohonan itu dan penurunan cop mohor Majlis akan dibuat. Di bawah ini pengkaji melakarkan carta aliran berkaitan pindah milik tanah wakaf kepada MAIK.


Setelah selesai melalui proses tersebut, maka tanah wakaf itu akan didaftarkan serta diwartakan bahawa MAIK sebagai Nazir dan pengawal tanah tersebut. MAIK berkuasa secara sah dari sudut undang-undang terhadap kepentingan tanah itu. Semua dokumen cagaran yang berkaitan Wakaf Am dan Nazar Am seperti Surat Cara Wakaf, surat milik dan lain-lain dokumen akan disimpan di dalam fail Majlis.


3.5.3 Permohonan Pewakafan Di Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu

Tanah wakaf yang telah diserahkan melalui Pejabat Tanah Jajahan pula biasanya terdiri daripada jenis tanah Wakaf Khas yang mana tujuannya ditentukan oleh pewakaf sendiri. Kebiasaannya adalah untuk kegunaan tapak sekolah, masjid, tanah perkuburan dan lain-lain lagi yang bertujuan untuk kebajikan umum. Pewakaf boleh membuat penyerahan tanah ini di mana-mana pejabat tanah dan jajahan yang berhampiran.

Bagi melakukan penyerahan tanah tersebut sebagai tanah wakaf, permohon hendaklah terlebih dahulu mengisi Borang Penyerahan Balik Tanah 12A bagi tujuan itu. sekiranya tanah itu tidak mencukupi satu ekar ataupun terdapat sekatan hak milik seperti tanah yang bertaraf pertanian, maka pemohon hendaklah mengisi Borang Penyerahan Balik Tanah 12B. Selain mengisi Borang Penyerahan Balik Tanah, pemohon juga hendaklah mengisi Borang 14A. Borang 14A adalah perlu kerana mengandungi maklumat tentang data personal pemberi milik. Borang ini hendaklah disertakan juga dengan segala dokumen yang diperlukan bagi tujuan pindah milik, antara dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :

1) Salinan daftar milik atau geran tanah pewakaf.
2) Salinan resit cukai tanah terakhir.
3) Salinan fotostep kad pengenalan.
4) Pelan kedudukan tanah.
5) Surat akuan sumpah.

Setelah pemohon menyerahkan semua borang dan dokumen yang diperlukan kepada Pejabat Tanah Jajahan, maka pihak terbabit akan mengarahkan Pegawai Petempatan (Pengarah Ukur) untuk menjalankan pengukuran di tanah itu. ini bertujuan bagi memastikan keluasan sebenar seperti yang tercatat dalam geran tanah. Selepas Pejabat tanah berpuas hati dengan maklumat yang diperolehi, maka pihaknya akan mengeluarkan satu surat rasmi kepada Majlis bagi mendapatkan persetujuan untuk melantik Majlis sebagai badan amanah terhadap tanah tersebut. Ia akan dibuat melalui permohonan semula kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.

Selepas itu, Pegawai Baitulmal dan Wakaf akan mengemukakan surat persetujuan kepada Pejabat Tanah Jajahan bagi menerima tanah tersebut sebagai tanah wakaf yang akan diletakkan di bawah kawalan MAIK. Apabila MAIK mengeluarkan surat persetujuan, maka barulah pihak Pejabat Tanah dan Jajahan akan menerima urusan pewakafan tanah yang dibuat oleh pemohon. Proses selanjutnya pula ialah satu kertas kerja beserta dokumen yang berkaitan akan diserahkan kepada Penolong Pentadbir Tanah bagi permohonan perezaban tanah yang hendak dijadikan tanah wakaf. Kertas kerja yang dikemukakan itu mengandungi maklumat tentang tanah, maklumat pemohon (Majlis), asas-asas pertimbangan dan pengesyoran Pentadbir Tanah dan Jajahan untuk memberi kelulusan perezaban.

Kertas kerja akan diserahkan pula kepada Pengarah Tanah dan Galian bagi mendapat sokongan dan persetujuan. Kertas kerja tersebut akan disemak berdasarkan ketepatan dengan peruntukan undang-undang. Seterusnya permohonan ini akan dibawa pula kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bertujuan menimbang dan memutuskan permohonan sama ada bersetuju atau sebaliknya. Proses ini akan dilakukan dengan merujuk kepada penasihat undang-undang bagi memastikan permohonan ynag dibuat itu menepati prosedur yang dibenarkan.

Justeru, kebenaran daripada MMK ini akan membolehkan tanah tersebut diwartakan sebagai status tanah rizab wakaf. Selepas itu, pemprosesan pindah milik selama tempoh 4 bulan, tanah wakaf tersebut diletakkan di bawah kawalan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebagai badan pengawal.

Kesimpulannya, MAIK memainkan peranan yang cukup penting dalam mentadbir serta menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tanah-tanah wakaf di negeri Kelantan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.


3.6 Pembangunan Tanah Wakaf Di Negeri Kelantan

Tanah wakaf yang terdapat di negeri Kelantan pada masa kini telah diaplikasikan dalam pelbagai bentuk dan tujuan mengikut kepada kesesuaian tanah, lokasi dan juga manfaat yang bakal diperolehi daripada tanah wakaf tersebut. Pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan daripada tanah-tanah wakaf yang telah ditadbir dan diuruskan oleh MAIK ini telah dimanfaatkan untuk pelbagai kemudahan disamping ia dapat menberikan keuntungan yang besar kepada MAIK dari sudut ekonomi dan juga pembangunan. Antara kegunaan terbesar tanah wakaf di Kelantan sekarang sama ada Wakaf Am atau Wakaf Khas adalah lebih tertumpu kepada penyewaan tapak tanah untuk kediaman-kediaman yang didirikan sendiri oleh penyewa atau yang didirikan oleh MAIK bagi tujuan penyewaan premis-premis seperti kedai runcit, rumah tumpangan dan sebagainya.

Beberapa bangunan kedai akan dididirikan di atas tanah wakaf tersebut bagi tujuan pembangunan oleh MAIK dan seterusnya diberi sewa kepada penyewa-penyewa yang berminat di mana para penyewa hanya akan menyewa dari segi ainnya sahaja manakala manfaatnya diberikan kepada MAIK. Disamping itu, MAIK juga yang akan menetapkan kadar sewaan bagi setiap premis yang telah disewa tersebut mengikut kadar yang telah ditetapkan dan para penyewa diwajibkan membayarnya kepada MAIK setiap bulan. MAIK khususnya bahagian pembangunan di Unit Baitulmal dan Wakaf Kelantan bijak mengambil peluang dengan menggunakan serta memanfaatkan sepenuhnya tanah-tanah wakaf yang terdapat di negeri tersebut untuk tujuan pembangunan setempat.

Pengkaji berpendapat bahawa ini merupakan salah satu cara bagaimana pembangunan di negeri Kelantan dapat dilaksanakan walaupun tidak dinafikan masih banyak lagi tanah-tanah wakaf yang tidak dapat dibangunkan atas sebab-sebab tertentu seperti lokasi tanah yang tidak strategik untuk pembangunan namun, tindakan MAIK ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah tanah-tanah wakaf yang terbiar tanpa sebarang usaha pembangunan. Usaha ini juga mungkin merupakan pemangkin kepada usaha-usaha MAIK ke arah perancangan pembangunan yang lebih baik dan bersistematik lagi di masa hadapan.

Hasil pendapatan yang diperolehi daripada sewaan tanah wakaf tersebut akan disalurkan ke Unit Baitulmal dan Zakat Negeri Kelantan dan ia telah dijadikan sebagai dana oleh MAIK dalam usaha membangunkan tanah-tanah wakaf yang lain. Sebenarnya, MAIK tidak mempunyai dananya yang khusus atau tajaan oleh mana-mana pihak dalam menjalankan kegiatan pembangunan di negeri Kelantan berkaitan dengan pembangunan tanah wakaf ini. Semua pembangunan yang telah dibuat oleh MAIK adalah hasil daripada duit atau pendapatan Baitulmal dan Zakat dan ia dikhususkan peruntukannya untuk ahli-ahli masjid yang dilantik oleh MAIK di seluruh negeri Kelantan bagi mentadbir dan menguruskan tanah-tanah wakaf yang terdapat di kawasan masing-masing di bawah pengawasan MAIK.

Pihak MAIK akan menyemak terlebih dahulu data-data untuk tahun-tahun yang berikutnya bagi memastikan kelancaran pembangunan yang telah dirancang oleh mereka. Sebelum memulakan sesuatu usaha pembangunan, MAIK akan membentangkan belanjawan tahunan mereka bagi memastikan segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa sebarang masalah khususnya berkaitan dengan tanah wakaf ini. Malah buget belanjawan tersebut akan dibuat atau dibentangkan oleh MAIK pada setiap tahun mengikut perancangan yang telah dirancang pada tahun itu.

Antara perancangan yang akan dilaksanakan oleh MAIK dalam jangka waktu terdekat ini adalah seperti berikut :

(i) Rancangan untuk membesarkan Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu. (2008)

(ii) Kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dalam usaha untuk memindahkan tanah perkuburan lama yang terletak di tepi Jalan Tepi Sungai, Kota Bharu ke Limau Manis di daerah Kota Bharu juga. (2008)

Selain itu, terdapat juga pembangunan di luar jangkaan MAIK yang telah ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk diusahakan.

Kesimpulannya, tahap pembangunan tanah wakaf di negeri Kelantan sebenarnya telah mencapai satu tahap yang memuaskan dari tahun ke tahun. Pembangunan tanah wakaf yang dibuat oleh MAIK pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan untuk disewa oleh masyarakat setempat sahaja bahkan telah dikomersilkan dan dikembangkan sayapnya oleh MAIK kepada pembangunan yang lebih baik seperti menyediakan rumah penginapan untuk disewa oleh staf-staf Syarikat Asia Pasific Flight Tranning (APFT) yang bertaraf antarabangsa. APFT telah menyewa 1 lot tanah daripada MAIK untuk mendirikan rumah sewa kepada staf-staf syarikatnya.


BAB IV


MASALAH, CADANGAN DAN KESIMPULAN



4.1 Pengenalan

Masalah berkaitan tanah wakaf ini sebenarnya bukan hanya di negeri Kelantan sahaja yang mengalaminya malahan negeri-negeri lain juga turut sama mempunyai masalah-masalah dalam mengurus serta mentadbir tanah wakaf ini. Masalah yang paling ketara sekali adalah yang melibatkan pentadbiran wakaf yang diletakkan di bawah bidangkuasa Majlis Agama Negeri-Negeri terikat dengan perlembagaan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Hal ini di mana Kanun Tanah Negara 1965 tidak pernah mewujudkan satu peruntukan khas mengenai wakaf bagi setiap negeri walaupun tidak dinafikan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai kuasa mentadbir serta mengurus harta wakaf di negeri masing-masing tetapi Majlis tidak mempunyai satu peruntukan khusus yang boleh membenarkannya membuat undang-undang sendiri berkaitan harta wakaf tanpa terikat dengan Kanun Tanah Negara 1965. Masalah tersebut dilihat oleh pengkaji sebagai satu masalah yang tidak mungkin dapat diselesaikan selagi tidak ada tindakan yang dibuat untuk menggubal peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Namun, apa yang ingin diketengahkan oleh pengkaji di sini bukanlah berkenaan Kanun Tanah Negara tetapi lebih kepada masalah-masalah yang dihadapi berkenaan tanah wakaf di negeri Kelantan.

4.2 Masalah-Masalah Berkenaan Tanah Wakaf Di Negeri Kelantan


4.2.1 Masalah pengurusan yang tidak seragam


Pengurusan dan pentadbiran harta atau tanah wakaf oleh MAIK telah diletakkan di bawah Bahagian Pembangunan yang telah ditubuhkan pada 1hb. September 1991 yang diketuai oleh Ketua Pegawai Pembangunan (KPP) di mana beliau bertanggungjawab secara langsung kepada Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Majlis. Namun begitu, MAIK berhadapan dengan pelbagai masalah dalam mengurus serta mentadbir tanah wakaf tersebut kerana struktur organisasi yang ditubuhkan sehingga sekarang masih menggabungkan urusan Wakaf dan Baitulmal di bawah satu bumbung.

Ekoran daripada itu, ia menjadi satu masalah besar yang membawa kepada kelemahan yang ketara yang menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara bebanan kerja, fungsi serta tugas masing-masing. Peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan adalah sangat luas, di mana ia perlu merancang, mengurus serta melaksanakan setiap dasar yang diputuskan oleh MAIK khususnya yang berhubung dengan aktiviti-aktiviti pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah Unit Zakat, Unit Baitulmal, Unit Agihan, Unit Pelaburan dan Unit Pembangunan. Maka, sudah tentu pembahagian tugas yang banyak ini tidak dapat diurus dan ditadbir dengan elok oleh kakitangan-kakitangan yang sedia ada di unit-unit terbabit.

Disamping itu, masalah kekurangan kakitangan juga menyebabkan pengurusan serta pentadbiran MAIK tidak dapat dilakukan dengan baik dan cekap. Kesannya, banyak kerja yang tidak dapat diselesaikan pada waktunya dan menyebabkan kakitangan-kakitangan yang sedia ada berasa tertekan dengan kerja-kerja yang bertimbun. Masalah ini seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh MAIK supaya pengurusan dan pentadbiran tanah wakaf dapat dikendalikan dengan cekap, cepat dan bersistematik.

4.2.2 Masalah berkaitan data dan rekod yang tidak lengkap

Majoriti harta wakaf di Kelantan terdiri daripada lot-lot tanah yang telah diwakafkan oleh pewakaf sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Apa yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan daripada tanah-tanah yang diwakafkan itu tidak mempunyai data dan rekod berkenaan pewakafan tersebut atau dengan kata lain, MAIK tidak mempunyai rekod yang jelas berkenaan tanah yang diwakafkan itu. Ini adalah kerana data dan rekod yang sedia ada itu agak kabur dan belum didaftarkan sepenuhnya di dalam Buku Pendaftaran Tanah Wakaf bagi semua jajahan di negeri Kelantan. Jumlah tanah Wakaf Am yang tidak mempunyai Surat Cara Wasiat atau Surat Wasiat yang tercatat sehingga kini ialah sebanyak 19 lot atau 128 ekar.

Kebanyakan tanah-tanah tersebut adalah terdiri daripada tanah yang diwakafkan sebelum penubuhan MAIK lagi yang hanya dibuat secara lisan tanpa sebarang dokumen bertulis. Hatta, selepas penubuhan MAIK sekalipun masih terdapat lagi tanah-tanah wakaf yang tidak didaftarkan di bawah MAIK oleh pewakaf kerana pewakaf tidak mengetahui prosedur-prosedur yang perlu dilalui. Maka, sudah tentu ia menyukarkan MAIK untuk mengesan dan mencari tanah-tanah yang telah diwakafkan itu lebih-lebih lagi pewakaf sendiri sudah tiada.


4.2.3 Masalah permintaan wakaf meningkat, lokasi tidak strategik dan
pembangunan yang mendesak


Antara masalah yang dihadapi oleh MAIK sekarang adalah berkaitan dengan permintaan atau permohonan wakaf yang semakin meningkat. Apa yang dimaksudkan dengan permintaan yang meningkat di sini ialah permohonan berkenaan dengan wakaf yang dibuat oleh orang ramai semakin banyak sedangkan lokasi tanah wakaf tersebut langsung tidak strategik dan sesuai untuk dibangunkan. Malahan kedudukannya yang jauh di pedalaman juga menyukarkan pihak MAIK untuk membangunkannya.

Orang ramai seharusnya mengetahui tentang status tanah yang boleh diwakafkan sama ada ia boleh dimanfaatkan ataupun tidak sebelum mewakafkannya kepada MAIK untuk diuruskan dan dibangunkan. Lokasi tanah juga memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha untuk memastikan bahawa tanah yang hendak diwakafkan itu boleh dimanfaatkan seterusnya dibangunkan untuk kemudahan umum.

Tambahan pula, tanah-tanah amat diperlukan bagi menampung pembangunan yang semakin mendesak sekarang di negeri Kelantan. Jika tanah-tanah yang hendak diwakafkan itu tidak mampu memberikan manfaatnya serta tidak sesuai untuk dibangunkan maka, sudah tentu ia hanya merugikan dan terbiar begitu saja tanpa diusahakan oleh MAIK. Ketiga-tiga masalah tersebut saling berkait antara satu sama lain serta saling bergantung dan ini merupakan satu masalah yang mesti di atasi secepat mungkin kerana ia akan menjejaskan pembangunan yang pesat di Kelantan.


4.2.4 Masalah Perundangan MAIK

Perkara ini sebenarnya sudah lama diperkatakan malahan negeri-negeri lain juga mengalami masalah yang sama di mana terdapat sekatan dan halangan serta percanggahan antara bidangkuasa Badan Perundangan Negeri dengan bidangkuasa Persekutuan.

Peruntukan yang sedia ada tidak dapat memberi jaminan dan pengiktirafan kuasa yang sepenuhnya terhadap pentadbiran dan pengurusan harta wakaf di bawah bidangkuasa negeri. Peruntukan di bawah Enakmen MAIK 1994 misalnya, berkaitan dengan wakaf tidak diperuntukan secara khusus yang menyebabkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan harta wakaf dengan beranggapan ia adalah hak milik umum yang boleh dikuasai pada bila-bila masa.
Jika tidak ada penyelarasan antara Undang-undang Sivil dengan Undang-undang Islam, ia hanya menimbulkan kerumitan dalam proses melakukan pindah milik tanah wakaf. Mengikut prosedur dalam Undang-undang Sivil, kita terpaksa mengisi borang A, Borang Pindah Milik Tanah di bawah Seksyen 215,217 dan 218 Kanun Tanah Negara 1965. Disamping Borang 12A, Borang penyerahan balik tanah di bawah Seksyen 17 Kanun Tanah Negara dan semua ini mesti dibuat di Pejabat Tanah di negeri masing-masing. Di bawah Majlis Agama Islam pula, kita hanya perlu mengisi borang atau Surtacara Wakaf di hadapan saksi dan hendaklah melafazkan niat wakaf.


4.3 Cadangan Umum

Bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh MAIK dalam mengurus serta mentadbir tanah-tanah wakaf di negeri Kelantan ini, satu tindakan segera perlu diambil supaya masalah-masalah tersebut dapat diatasi dan ditangani dengan bijaksana. Antara cadangan-cadangan yang ingin dikemukakan oleh pengkaji adalah seperti berikut :

1) Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) perlu mengkaji serta menggubal semula struktur organisasi yang telah dibuat supaya bahagian pengurusan Baitulmal dan Wakaf dapat diasingkan dan diuruskan secara berasingan bagi memudahkan kerja-kerja berkaitan tanah wakaf dapat dilakukan dengan teratur dan cekap. Ini adalah kerana peranannya adalah sangat besar dalam menguruskan tanah-tanah wakaf yang terdapat di Kelantan. Selain itu, MAIK juga perlu menambah jumlah kakitangan yang sedia ada kepada beberapa orang lagi bagi meringankan bebanan kerja yang dipikul oleh setiap unit-unit yang berada di bawah Unit Pembangunan MAIK.


2) Pihak MAIK sendiri perlu berusaha ke arah membentuk satu sistem atau badan yang paling berpengaruh di dalam masyarakat seperti memberikan nasihat serta pandangan kepada orang ramai tentang tanah wakaf yang hendak mereka wakafkan tersebut mestilah sesuatu yang bermanfaat dan boleh dibangunkan atau menyediakan satu garis panduan sebagai rujukan kepada mereka supaya dapat dipastikan tanah yang diwakafkan itu tadi benar-benar dapat dibangunkan oleh MAIK.

3) Berkaitan dengan tanah-tanah wakaf yang terbiar dan tidak dapat diusahakan akibat lokasinya yang tidak strategik dan jauh di pedalaman pula, MAIK perlu merangka satu rancangan jangka panjang di mana kemungkinan tanah-tanah wakaf tersebut dapat dijadikan tanah pertanian atau kegunaan komersil yang lain seperti membina rumah untuk disewa atau melihat kepada masalah serta keperluan masyarakat setempat.


4.4 Kesimpulan

Institusi wakaf merupakan satu institusi Islam yang sangat penting dan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Amalan mewakafkan harta amat digalakkan di dalam Islam malahan ganjaran yang diperolehi oleh pewakaf juga amat besar dan berlipat kali ganda di sisi Allah s.w.t.serta berkekalan. Disamping itu, ia juga dapat meningkatkan taraf ekonomi umat Islam kearah yang lebih baik.

Apa yang dapat dirumuskan di sini berkenaan tanah wakaf di negeri Kelantan ialah tanah-tanah wakaf yang terdapat di negeri Kelantan telah berjaya diurus dan ditadbir dengan baik oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang mana telah mula berkhidmat sejak tahun 1915 lagi dalam mengurus serta mentadbir harta wakaf ini. Walaupun tidak dinafikan masih terdapat kelemahan dari sudut pengurusannya oleh MAIK tetapi dari sudut pembangunan yang dibuat dan dirancang berkenaan tanah-tanah wakaf adalah baik sekali khususnya kearah pembangunan di negeri Kelantan. Malahan ia semakin berkembang dari masa ke semasa.
Manakala masalah-masalah yang timbul berkaitan data-data dan rekod bagi tanah wakaf yang tidak didaftarkan sebelum ini telah diusahakan oleh MAIK dengan membuat pendaftaran semula tanah-tanah tersebut di dalam buku Pendaftaran Tanah Wakaf MAIK bagi setiap jajahan yang terdapat di negeri Kelantan. Seterusnya tanah-tanah ini telah diletakkan di bawah pengawalan MAIK serta ditukar hak milik kepada kerajaan tanpa dikenakan sebarang cukai tanah.

Kebanyakan tanah-tanah wakaf di negeri Kelantan terdiri daripada Wakaf Khas dan Wakaf Am dan keluasan terbesar tanah wakaf ini banyak terletak di daerah Kota Bharu. Sebahagian besarnya adalah tanah wakaf yang dilakukan oleh tiga penama utama iaitu Tanah Wakaf Sultsan Mansor, Tanah Wakaf Tengku Kaya Pahlawan dan Tanah Wakaf Raja Muda Penambang. Tanah-tanah wakaf ini mempunyai nilaiannya yang sangat tinggi dan banyak mempengaruhi pembangunan di negeri ini khususnya di bandar Kota Bharu sendiri.

Sejajar dengan itu, maka pengkaji merasakan bahawa tanah-tanah wakaf yang terdapat di negeri Kelantan mempunyai potensi yang tinggi untuk dibangunkan serta dimajukan. Oleh itu, pihak-pihak tertentu hendaklah mengambil langkah yang positif bagi menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan tanah wakaf ini khususnya dari sudut perundangan. Akhir kata, semoga kajian ini akan mendapat perhatian daripada pihak-pihak yang berkenaan dan sama-sama berusaha untuk memajukan tanah-tanah wakaf yang terdapat di negeri Kelantan ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi memastikan pembangunan yang terancang dan tersusun dapat dilakukan ke atas tanah wakaf tersebut. Semoga institusi wakaf di negeri Kelantan lebih berkembang maju dan cemerlang di masa akan datang.


RUJUKAN


Al-Aallamah Abd. Al-Hayy Fakhruddin Al-Nadawi (penyusun). 1999. Riwayat

Muslim : Bab Fi Al-Nushi wa Isali Al-Khairi, Tahzib Al- Akhlak. Luknow.

t.th, India. Maktabah dar al- Ulum Nadwah Al-Ulamac.


Baharuddin bin Hj. Wan Nayang. 2000. Harta Wakaf : Sumber dan Pelaksanaanya Di
Negeri Kelantan. Tesis : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hamidah bt Mohd. Hassan. 2003. Kedudukan & Pentadbiran Harta Wakaf Di Negeri
Kelantan. Ijazah Sarjana : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ibn Hajar al-Asqalani. 1999. Fath al-Bari. jil. 5.


John L. Esposito. 2001. Ensiklopedia Oxford Dunia Islam Moden. Jil. 6. Kuala
Lumpur. Mizan Khazanah Ilmu-ilmu Islam.

Kamus Bahasa Edisi Baru (dalam ejaan baru dengan pindaan dan tambahan). 1993.

Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka.


Nik Mustafa Nik Hassan. 1999. Konsep & Pelaksanaannya di Malaysia. Kuala
Lumpur. Institut Kefahaman Malaysia.

Prof. Madya Mohd. Ridzuan bin Awang. 2000. Undang-undang & Pentadbiran
Pusaka, Wasiat & Wakaf. Pengajian Jarak Jauh. Bangi : Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Sekysen 2. Undang-undang Majlis Agama Islam Kelantan 1966. 1999. Kuala Lumpur.

Seksyen 64. Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. 1994.

Tiada ulasan: