DONATE

Rabu, 24 Jun 2009

JENIS-JENIS KONTRAK: UNDANG-UNDANG KONTRAK ISLAM




1) Kontrak Memberi Milik (Al-Tamlikāt).

Kontrak al-Tamlikat iaitu sesuatu kontrak yang dimaksudkan untuk memiliki sesuatu sama ada ia berupa benda (cain) ataupun manfaat. Kontrak jenis pertama ini terbahagi pula kepada kontrak mucawadat (pertukaran) dan kontrak tabarrucat (sukarela).

Kontrak pertukaran adalah suatu kontrak yang mana pihak-pihak yang mengikat kontrak akan mendapat balasan sebagai hasil pertukaran daripada kontrak yang dilakukan itu. Pertukaran balasan boleh berlaku melalui beberapa keadaan seperti pertukaran harta dengan harta contohnya kontrak jual beli iaitu pembeli akan mendapat barang dan penjual akan mendapat wang hasil daripada jualan barang itu. Selain itu juga pertukaran harta dengan manfaat seperti kontrak sewa menyewa di mana pemberi sewa akan mendapat wang dan penyewa akan mendapat manfaat daripada barang yang disewa itu. Antara kontrak pertukaran lain adalah seperti tukaran wang, sulh, qismah, istisnac, muzāracah, musāqāt, perkahwinan dan lain-lain jenis yang mempunyai pertukaran antara dua pihak.

Manakala, jika kontrak berlaku secara percuma iaitu tanpa bayaran atau gantian maka ia dinamakan sebagai kontrak pemberian secara sukarela ataupun derma. Atau dengan kata lain, hanya kontak di mana salah satu pihak sahaja yang menerima balasan. Contohnya hibah, sedekah, wakaf, pinjaman, dan pemindahan tanggungjawab membayar hutang.

Pembahagian kontrak kepada kontrak pertukaran dan kontrak sukarela adalah perlu terutama sekali untuk menentukan bilakah pihak-pihak yang mengikat kontrak itu dianggap mempunyai milik yang sebenarnya ke atas sesuatu perkara yang dikontrakkan itu.

Merujuk kepada perkara yang diakadkan macqud calaih, seluruh ahli perundangan berpandangan sempurna sesuatu akad pertukaran sebaik sahaja tawaran dan penerimaan berlaku samada wujud perkara yang diakadkan itu ataupun tidak, sekalipun pembeli dan penjual belum lagi memiliki (qabadh) benda dan wangnya.

Akan tetapi, dalam kontrak sukarela timbul perselisihan pendapat dikalangan ahli-ahli perundangan Islam dalam menentukan ketika manakah pihak-pihak yang berkontrak mempunyai milik sempurna keatas perkara yang dikontrakkan itu. Menurut Mohd Ali dalam bukunya yang bertajuk Undang-Undang Kontrak Perbandingan Islam dan Inggeris, terdapat tiga golongan yang mempunyai pendapat yang berbeza dalam menentukan hak milik bagi kontrak ini.

a) Golongan pertama ini terdiri daripada Imam Malik, Abu Thaur dan Daud adh-Dhahiri. Mereka menganggap bahawa kontrak sukarela itu sama kedudukannya dengan kontrak pertukaran iaitu memadai dengam adanya tawaran dan penerimaan bagi menjadikan perkara yang dikontrakkan sebagai milik sempurna pihak-pihak yang mengikat kontrak sekalipun mereka tidak berpegang (qabadh).

b) Golongan kedua antaranya ialah Imam Abu Hanifah, Syafie, Auzaci dan lain-lain lagi. Mereka mengatakan bahawa penawaran dan penerimaan sahaja tidak memadai malah perlu adanya pemegangan (qabadh) benda yang di kontrakkan itu.

c) Golongan ini didukungi oleh Imam Ahmad dan pengikut-pemgikutnya sahaja. Mereka bependapat bahawa tidak sah kontrak sukarela pada perkara-perkara yang memerlukan timbangan atau sukatan. Manakala dalam kontrak yang selain daripada yang disebutkan itu adalah sah semata-mata dengan akad itu sahaja.

Pada umumnya, kontrak pertukaran digolongkan dalam kontrak dua pihak (bilateral contract) sementara kontrak sukarela pula digolongkan sebagai kontrak sepihak. Walaubagaimanapun terdapat juga keadaan iaitu kontrak dua pihak berlaku dalam kontrak sukarela, seperti hibah yang diwajibkan (hibah wajibah) iaitu wajib dihibahkan harta seseorang yang telah mati lantaran kewajipan yang belum dilaksanakan di masa hidupnya. Sebaliknya pula berlaku juga kontrak sepihak dalam kontrak pertukaran misalnya kontrak pinjaman tanpa faedah.

Malah, kadang-kadang berlaku sesuatu kontrak sukarela bertukar menjadi kontrak pertukaran. Ini bergantung kepada keinginan atau niat pihak yang berkontrak itu sendiri. Misalnya kontrak hutang adalah pada asalnya adalah merupakan kontrak sukarela, di mana pemberi hutang tidak mendapat apa-apa faedah daripada penghutang, tetapi bertukar menjadi kontrak pertukaran jika kedua-dua pihak yang berkontrak itu setuju supaya kontrak hutang itu dilakukan dengan pembayaran faedah tertentu. Demikian juga halnya dengan kontrak jaminan dan kontrak simpanan yang pada asalnya merupakan kontrak sukarela, akan bertukar menjadi kontrak pertukaran apabila disyaratkan pembayaran upah terhadap simpanan dan jaminan tersebut.

2) Kontrak Sepihak.

Kontrak ini ditakrifkan sebagai satu janji atau sepasang janji dari satu pihak dan janji-janji itu dibalas dengan perbuatan dari pihak lain. Seperti satu pihak berjanji untuk membayar sejumlah wang, melakukan kerja-kerja lain atau menahan diri dari melakukan sesuatu.

Mengikut Undang-Undang Kontrak Islam, kontrak-kontrak yang tergolong dalam kontrak sepihak ini ialah kontrak jualan (upah) atau kontrak hadiah (mukafah) yang diberi setelah melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan tertentu sebagai balasannya, tidak kepada hadiah yang diberi tanpa pekerjaan atau tindakan tersebut seperti hadiah yang diberi semata-mata sebagai hadiah, kerana hadiah seperti ini digolongkan di dalam kontrak sukarela.

Kebanyakan ahli perundangan Islam mentakrifkan kontrak jualan atau kontrak hadiah (mukafah) sebagai pemberian yang diberi oleh seseorang kepada seseorang yang lain sebagai ganjaran di atas kerja yang dilakukannya tanpa ditetapkan masa yang tertentu dan orang yang berjanji itu terikat untuk menunaikan janji itu.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Maka tatkala ia membekalkan dengan bekalan makanan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bejana minuman raja di kenderaan saudaranya (bunyamin) kemudian menyeru seorang penyeru: “Wahai orang- orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri.”

Mereka bertanya sambil menghadap kearah orang-orang menteri yang menuduh tu: “Apa benda yang kamu kehilangan?”

Orang-orang menteri menjawab, “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.”

Rasulullah s.a.w bersabda semasa perang Badar yang bermaksud:

"Sesiapa yang dapat membunuh seorang musuh dia akan diberi sekian hadiah tertentu dan sesiapa dapat menawan seorang tawanan ia akan diberi sekian."

Seperti juga kontrak sepihak, tawaran juga boleh dibuat kepada individu tertentu atau kepada umum. Bermakna penerimaan tawaran boleh dilakukan sesiapa sahaja yang mengetahui adanya tawaran tersebut.

Selalunya tawaran meminta melakukan sesuatu perkara kadang-kadang dibuat dengan bersyarat. Seperti dikatakan, “Sesiapa dapat mengembalikan dompetku yang hilang, maka dia berhak mendapat sebanyak RM 10.00.”

Daripada apa yang diterangkan di atas jelas menunjukkan bahawa penerimaan yang dilakukan itu bukanlah dengan janji terhadap apa yang dijanjikan oleh penawar janji, akan tetapi dilakukan dengan tindakan atau perbuatan. Hal yang demikian membezakan kontrak sepihak dengan kontrak dua pihak yang memerlukan penerimaan dilakukan dengan janji terhadap apa yang dijanjikan oleh orang yang membuat tawaran.

Mohd Ali Baharum mengatakan, oleh sebab penerimaan janji itu dilakukan dengan perbuatan atau tindakan tanpa sebarang janji, maka orang yang membuat tawaran adalah seorang sahaja yang terikat untuk melaksanakan janjinya apabila apabila penerimaan dibuat. Sebelum penerimaan dibuat, penerimaan mempunyai kebebasan memilih sama ada hendak menerima atau menolaknya. Apabila terima sahaja maka ia berhak mendapat apa yang dijanjikan itu. Ini dapat dilihat seperti berikut:

Ahmad telah berjanji untuk memberikan hadiah sebanyak RM10 kepada Yusuf jika dapat menamatkan perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya. Yusuf boleh membuat pilihan sama ada hendak menerima janji tersebut atau sebaliknya. Jika Yusuf menerimanya maka berlakulah kontrak dan Ahmad berkewajipan member hadiah yang dijanjikan itu. Sekiranya Ahmad gagal berbuat demikian maka Yusuf boleh mendakwanya di mahkamah kerana Ahmad telah terikat dengan janjinya itu.

Dapat dilihat disini beberapa ciri khusus berhubung dengan tawaran dan penerimaan bagi kontrak yang dilakukan dengan cara ini iaitu, pertama: tawaran dianggap telah diterima hanya dengan melakukan tindakan atau menahan diri daripada melakukan apa yang dikehendaki dalam tawaran itu. Kedua, tidak perlu dikomunikasikan keinginan penerima untuk menerimanya sebelum penerimaan itu dibuat. Ketiga, seperti juga tawaran dalam kontrak-kontrak lain ia boleh ditarik balik sebelum penerimaan dibuat.

Mengenai maklum atau tidak tentang tawaran yang dibuat, golongan terbanyak ahli perundangan Islam yang diantara mereka Imam Syafie, Imam Ahmad dan pendapat yang menonjol dari golongan Maliki mensyaratkan bahawa penerima janji mestilah maklum adanya tawaran hadiah atau upah sebelum ia melakukannya. Sekiranya ia melakukan tanpa pengetahuan tersebut, maka dia tidak berhak mendapat hadiah atau upah kerana kerja yang dilakukan itu dianggap sukarela.

Untuk sesuatu penerimaan itu menjadi sah, penerima tidak disyaratkan supaya mesti mengetahui sendiri secara terus daripada mulut orang yang membuat tawaran tentang sesuatu tawaran itu. Akan tetapi memadailah jika diketahui daripada orang lain asalkan sebelum sesuatu kerja itu dimulakan. Ini berdasarkan apa yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya mughni muhtaj iaitu;

Sekiranya penerima itu memulangkan (hamba yang hilang) telah menghetahui adanya tawaran berhubung dengannya maka dia berhak mendapat hadiah atau upah yang dijanjikan sama ada dia mengetahui melalui perantaraan ataupun tidak.

Keadaan berbeza sekiranya satu penentuan dibuat yang menetapkan bahawa sesuatu penerimaan tidak boleh dibuat kecuali si penerima tawaran mendengar secara terang daripada orang yang membuat tawaran sahaja. Maka pada ketika itu mereka yang melakukan dengan semata-mata berdasarkan maklumatnya daripada orang lain adalah tidak berhak mendapatkan tawaran itu. Seperti katanya;

Sesiapa yang telah mendengar tawaran daripada aku untuk mengembalikan dompetku yang hilang maka dia berhak mendapat Rm 100 daripada aku.

Tiba-tiba datang seseorang yang mengetahui akan tawaran itu memulangkannya, akan tetapi dia tidak mendengar sendiri daripada orang yang membuat tawaran maka perbuatan itu tidak berhak ke atas tawaran yang dibuat.

Dalam hal sekiranya seseorang yang melakukan apa yang ditawarkan dengan ikhlas atau terlupa tentang tawaran atau melakukannya dengan terlupa maka pekerjaannya itu dianggap sah dan dia berhak mendapat hadiah yang dijanjikan.

Dalam keadaan sekiranya pembuat tawaran ingin menarik balik tawaran hadiah atau upah, ia boleh melakukannya selagi penerimaan belum dibuat. Begitu juga sekiranya penerima telah memulakan kerja yang ditawarkan tetapi belum sempurna, maka ia dianggap tidak melengkapi kontrak sehinggalah tindakan atau kerja yang dikehendaki dilaksanakan sepenuhnya. Ini bererti orang yang membuat tawaran boleh membatalkan tawarannya sekalipun tindakan atau kerja yang dikehendaki telah dilaksanakan. Akan tetapi sekiranya sesuatu perbuatan tadi berlaku, Islam tidak menghalang pembayaran ganti rugi diberikan kepada penerima itu upah yang berpatutan setakat mana kerja yang dilaksanakan ini.

Tawaran ke atas sesuatu kerja yang boleh dipecah-pecahkan, contohnya A menawarkan kepada umum untuk memberi upah kepada sesiapa yang mampu meruntuhkan bangunan rumahnya yang lama. B telah menyambut tawaran tersebut, akan tetapi setelah hampir separuh rumah tersebut dirobohkan, dia terpaksa berhenti kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Oleh itu B wajib dibayar upah berdsarkan kerja yang telah dilakukan.

Ganti rugi merujuk kepada keadaan dimana penerima tawaran mampu melaksanakan tugas yang dikehendaki tetapi tawaran itu dibatalkan oleh orang yang membuat tawaran. Tetapi jika penerima tawaran tidak berkemampuan menyempurnakan kerja tersebut, maka pembatalan tawaran yang dilakukan oleh orang yang membuat tawaran tidak memberikan hak kepadanya (penerima) untuk menuntut sebarang ganti rugi atau upah yang munasabah terhadap kerja yang dilakukan.

Islam mensyaratkan penerima janji mestilah tidak mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untruk melakukan kerja atau tindakan keatas perkara yang ditawarkan sebelum tawaran dibuat. Contohnya A membuat tawaran sesiapa yang dapat mengembalikan dompetnya yang hilang, maka dia berhak mendapat rm 100. Kebetulan pada masa tersebut telah pun berada ditangan B atau telah diketahui di mana dompet tersebut berada. Dalam keadaan ini B tidak berhak mendapat hadiah sekiranya dia mengembalikan kepada A. Ini disebabkan B berkewajipan dari segi undang-undang untuk mengembalikan dompet tersebut kepada A atau menunjukkan dimana tempat dompet itu berada sebaik sahaja B mengetahuinya.

Islam mensyaratkan bahawa hadiah atau upah yang hendak diberi itu mestilah diketahui kadarnya oleh penerima tawaran sekiranya hadiah atau upah tersebut memang sudah berada di tangan pembuat tawaran.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengupah seorang maka dia hendaklah menentukan upahnya."

Sekiranya upah atau hadiah yang hendak diberi itu belum lagi berada di tangan pembuat tawaran dan ia akan diambil daripada hasil kerja penerima upah itu sendiri. Ini diharuskan supaya tidak diketahuinya, kerana tidak mengetahuinya itu tidak menghalang daripada menyerahkan dan tidak membawa kepada pertelingkahan. Misalnya kerajaan menawarkan kepada orang ramai bahawa sesiapa yang menemui bahan-bahan minyak maka akan diberi hadiah atau upah sebanyak 1/3 hasil daripada galian tersebut.

Undang-undang kontrak Islam menetapkan bahawa hadiah atau upah terhadap sesuatu tindakan itu boleh ditangguhkan atau disegerakan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka sendiri kecuali syarat yang menghalalkan sesuatu yang haram atau mengharamkan sesuatu yang halal”

Sekiranya ditentukan masa pembayaran, maka dia tertakluk kepada masa yang ditetapkan itu wajib dilaksanakannya sebaik sahaja tamt waktu tersebut. Timbul perselisihan pendapat dikalangan ahli-ahli perundangan Islam sekiranya masa pembayaran tidak ditentukan.

a) Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; upah tersebut wajib dibayar secara beransur-ansur berdasarkan kepada banyak mana faedah yang diterima oleh pemberi upah daripada kerja atau tindakan yang dilakukan.
b) Imam Syafie dan Imam Ahmad pula mengatakan bahawa yang member upah wajib membayar semua upah yang ditawarkannya sebaik sahaja pemberi upah mula menerima faedah daripada kerja atau tindakan yang telah dilakukan.

Di samping kontrak upah dan hadiah, terdapat beberapa konrak lain yang digolongkan oleh Islam sebagai kontrak sepihak seperti kontrak talak, rujuk, sumpah, pelepasan hutang, wakaf dan wasiat. Daripada semua kontrak ini hanya kontrak wakaf dan kontrak wasiat sahaja yang ditujukan kepada orang-orang yang tertentu yang memerlukan kepada penerimaan seperti kontrak upah dan hadiah. Ini disebabkan kemungkinan orang-orang yang ditentukan wakaf dan wasiat itu menolak atau menerimanya, ia berdasarkan kepada prinsip bahawa tidak mungkin seseorang itu boleh memberi milik berhubung dengan sesuatu kepada seseorang lain tanpa persetujuannya.

Manakala kontrak wasiat dan wakaf yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu seperti institusi atau badan-badan kebajikan, adalah sama dengan kontrak-kontrak lai seperti talak, rujuk, sumpah dan pelepasan hutang yang tidak memerlukan kepada penerimaan daripada pihak penerima. Pernyataan tawaran dan pembuat tawaran itu sendiri telah mengikat dirinya dan menjadikan kontrak tersebut sempurna. Contohnya dalam kontrak talak, lafaz suami yang menceraikan isterinya sudah menyebabkan jatuhnya talak tanpa memerlukan penerimaan daripada pihak isterinya.

3) Kontrak Dua Pihak

Berbeza dengan kontrak sepihak kerana kontrak dua pihak ini terdapat dua pihak yang saling berjanji antara satu sama lain. Ia boleh ditakrifkan sebagai kontrak dua belah pihak adalah sebagai satu janji atau set janji dari pihak yang lain.

Misalnya:

A berjanji dengan B untuk menjual keretanya kepada B jika B berjanji membayarnya dengan harga Rm 10 ribu.

Kedua-dua pihak (A dan B) yang berjanji itu adalah terikat untuk melaksanakan janji masing-masing. Kegagalan salah satu pihak dari menunaikannya akan membolehkan pihak yang satu lagi mendakwanya di mahkamah.

Ini berbeza dengan kontrak sepihak. Janji hanya dibuat oleh satu pihak sahaja dan pihak yang terikat untuk melaksanakan janji itu hanya pihak pembuat janji itu sendiri, sedangkan pihak yang lain tidak terikat untuk melaksanakan tindakan atau kerja yng dijanjikan untuk memberi upah atau hadiah itu.

4) Kontrak Segera (cAqd al-Faur) dan Kontrak Berterusan (cAqd al-Mumtadah).

Kontrak segera ialah suatu kontrak yang dapat disempurnakan pada masa ianya dilakukan seperti yang biasa berlaku dalam kontrak jual beli iaitu sesuatu kontrak itu sempurna sebaik sahaja penjual menyerahkan barang dan diikuti dengan pembayaran harga oleh pembeli. Dalam keadaan yang tertentu, berlaku juga penangguhan penyerahan di dalam kontrak ini sama ada secara pilihan atau terpaksa. Apa yang dimaksudkan cara pilihan iaitu apabila berlaku persetujuan untuk menangguhkan penyerahan barang atau pembayaran harga. Manakala paksaan pula seperti menjual atau membeli sesuatu yang akan wujud pada masa akan datang.

Bagaimanapun penangguhan perlaksanaan di dalam kontrak sama ada secara pilhan atau terpaksa tidak memberi kesan kepada diri kontrak itu sendiri, bahkan kontrak itu tetap dianggap sebagai kontrak segera kerana dengan masuknya unsur masa di dalamnya dianggap sebagai memasuki sesuatu benda yang tidak memberi kesan ke atas kadar harga atau pada barang yang dijual itu.

Kontrak berterusan ialah suatu kontrak yang sempurna perlaksanaannya di dalam jangka masa tertentu sahaja. Di dalam kontrak sewa misalnya penyewa berhak menerima faedah daripada sewaannya itu selagi selagi kontrak sewa itu berkuat kuasa. Di dalam kontrak ini masa adalah unsur yang penting kerana penentuan harga sewa bergantung kepada jangka masa sewaan. Sementara kadar faedah pula ditentukan berdasar masa faedah itu didapati atau diperolehi.

5) Kontrak Pengguguran.

Kontrak pengguguran ialah suatu kontrak yang dibuat oleh suatu pihak bagi menggugurkan haknya ataupun miliknya. Misalnya kontrak pengguguran talak dan pemberian kemaafan daripada hukum qisas kepada seseorang yang perlu diqisaskan tanpa sebarang tebusan. Kadang-kadang kontrak pengguguran ini juga merangkumi makna kontrak sukarela (cAqd al-Tabarrac) seperti melepaskan tanggungan hutang daripadanya atau mewakafkan hartanya.

6) Kontrak Pemeliharaan (cAqd al-Hifz).

Kontrak Pemeliharaan ialah suatu kontrak yang dilakukan di antara satu pihak dengan pihak yang lain bagi memelihara sesuatu benda atau barang. Misalnya kontrak simpanan* dan kontrak pengawasan.

7) Kontrak Jaminan.

Kontrak Jaminan ialah suatu konrak apabila berlaku persetujuan di antara satu pihak dengan pihak lain untuk menjamin seseorang tertentu, seperti seorang penjamin berjanji akan menjamin segala hutang yang dibuat oleh si piutang kepada pemberi hutang. Mengikut undang-undang, apabila sahaja kontrak jaminan dibuat, penjamin bertanggungjawab untuk menjamin keselamatan hutang tersebut. Ini bermakna ia mesti membayar segala hutang yang dijaminnya kepada pemberi hutang andainya si piutang itu tidak dapat membayarnya. Selain daripada itu kontrak gadaian juga termasuk di bawah jenis ini.


RUJUKAN


Al-Quran.

Al-Bayhaqi. 1352 Sunan al-Kubra. Beirut: Dar Sadir.

Abi Daud. 1373. Sunan. Al-Matbac al-Mujidi.


Mohd Ali Bin Haji Baharum. 1999. Undang-undang Kontrak: Perbandingan Islam dan Inggeris. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wahbah al-Zuhaili. 1996. Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 4. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah al-Ahkam al-cAdliyyah.


Subhi Mahmasani: Al-Nazariyyah al-cAmmah li al-Mujibat wa al-Uqud fi al-Syaricah. Jil. 2.

Al-Nawawi. Mughni al-Muhtaj. Jil. 2. Dar al-Fikr. (t.t).

Ibn Rushd. Muqaddimat Ibn Rushd. (t.t), Beirut: Dar Sadir.

Mohammad Salam Madkur. 1963. al-Madkhal li al-Fiqh al-Islami. Dar al-Nahdhah al-CArabiyyah.

Saiyyid Sabiq. 1971. Fiqh Sunnah. Beirut: Dar al-Kitab al-cArabi.

Tiada ulasan: