DONATE

Rabu, 17 Jun 2009

KELEWATAN PERMOHONAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA



Bagaikan satu amalan serta fenomena biasa di negara kita apabila masyarakat
terutama waris-waris si mati lewat mengemukakan permohonan untuk
pembahagian harta pusaka si mati. Tidak dapat dinafikan wujudnya kes tuan
tanah yang telah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun dahulu seperti kematian
yang berlaku sebelum dan semasa pendudukan Jepun di negara ini tetapi wariswaris
masih belum mengemukakan permohonan pembahagian harta pusaka
untuk diselesaikan..

Faktor Kelewatan Permohonan

Laporan akhbar (sumber: Berita Harian, Rabu 1 Ogos 2001 m.s.9) menyatakan
terdapat lebih sejuta hakmilik belum ditukar nama waris si mati manakala
Pengurus Felcra di Seberang Perak menyatakan lebih 2.5 juta wang dividen
masih belum dituntut oleh waris. Terbaru, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz semasa merasmikan Konvensyen
Perwarisan Harta Islam 2007 dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia, antara lain
menyatakan nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu
pewaris mencecah RM 40 bilion, RM38 bilion adalah hartanah kaum Melayu
( sumber: Utusan Malaysia Rabu 11 Julai 2007 m.s.5). Persoalannya,
mengapakah masyarakat terutama waris-waris si mati tidak menyegerakan
permohonan pembahagian harta pusaka?. Faktor utama yang menyebabkan
situasi ini terjadi adalah:


Sikap
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Empat , terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) 2005 sikap didefinisikan sebagai perbuatan atau pandangan yang
berdasarkan pada sesuatu pendapat atau fikiran . Antara contoh-contoh sikap
yang ada di kalangan masyarakat adalah:

Tiada Persefahaman Antara Waris

Pertelingkahan antara waris si mati menyumbang kepada
kelewatan mengemukakan permohonan. Misalnya berlaku perebutan hak dan
ingin membolot harta-harta si mati seperti rumah kediaman, wang simpanan,
kenderaan dan sebagainya. Tambahan pula ,berlaku salah faham tentang Hibah,
Wasiat ataupun Surat Ikatan Amanah yang ditinggalkan oleh si mati. Ada juga
waris-waris si mati yang tidak mahu campurtangan ataupun terlibat dalam
pembahagian harta si mati, berkemungkinan merajuk, ambil hati dengan sikap
waris yang lain terhadapnya, ataupun kerana kecewa serta tidak berpuas hati
dengan sikap si mati sewaktu hayatnya yang pada pandangan waris tersebut
tidak berlaku adil. Ada juga waris yang selama ini telah lama mengusahakan
tanah si mati dan mendapatkan hasilnya, enggan bekerjasama untuk membuat
permohonan pembahagian harta pusaka kerana dikuatiri harta si mati yang
sedang didiami atau diusahakan itu akan berpindah atau berkongsi dengan waris
yang lain.

Kurangnya Pengetahuan

Sikap masyarakat yang menganggap proses permohonan
pembahagian harta pusaka adalah menyulitkan serta memerlukan perbelanjaan
yang besar menyumbang kepada kelewatan permohonan. Ini diburukkan lagi
dengan kehilangan dokumen seperti surat mati, hakmilik dan dokumen lain yang
penting, termasuklah kematian yang tidak didaftarkan ataupun kematian di luar
negara. Secara tidak langsung karenah birokrasi turut dijadikan alasan. Namun
begitu terdapat juga waris yang mengatakan tidak tahu bagaimana untuk
mengemukakan permohonan ataupun mendapatkan khidmat nasihat. Tambahan
pula waris mengambil contoh pengalaman jiran-jiran, masyarakat setempat yang
telah gagal untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka. Yang jelas
mereka tidak tahu risiko dan implikasi akibat melengah-lengahkan tuntutan
pembahagian harta pusaka.

Dengan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa masih terdapat harta
pusaka si mati terutama harta tidak alih dan harta alih amnya yang masih belum
dibuat apa-apa permohonan pembahagian oleh waris yang sah. Tidak
keterlaluan jika dikatakan faktor sikap serta budaya terutama orang Melayu yang
leka, sengaja tidak menyegerakan menyebabkan tanah-tanah terbiar, tidak
ekonomik serta pembangunan di atas tanah berkenaan tidak dapat
dilaksanakan. Ekoran kelalaian ini ianya tidak dapat dimanfaat sepenuhnya oleh
waris demi kemajuan dan pembangunan negara. Sebagai contoh, laporan
(sumber: Utusan Malaysia 4 Julai 2006) memetik kenyataan Menteri
Pembangunan Usahawan dan Koperasi, ketika itu, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin yang menyatakan lebih sejuta kes tuntutan harta pusaka dengan nilai
mencecah RM 38b nilai masih tertunggak kerana tidak diuruskan oleh pewaris
dan harta itu terbiar. Manakala mengikut statistik terkini ( sumber; Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan-FELDA) bilangan peneroka tanah-tanah
rancangan FELDA yang telah meninggal dunia adalah seramai 14,200 orang
namun hanya 9376 orang sahaja yang telah menyelesaikan pembahagian harta
pusaka. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di luarbandar tetapi juga di bandarbandar.
Lihatlah keadaan yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan
juga di beberapa tempat di Pulau Pinang, di mana masih terdapat lot-lot tanah
terbiar atau hanya rumah papan berbentuk tradisi sahaja kerana tidak dapat
dibangunkan disebabkan masalah harta pusaka belum diselesaikan.

Memang tidak dapat dinafikan, isu sampingan seperti struktur
pentadbiran, karenah birokrasi,sekatan undang-undang, tetapi isu kurangnya
keprihatinan dan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menyegerakan
pembahagian harta pusaka menjadikan masalah kelewatan permohonan
pembahagian harta pusaka bagikan satu fonemena biasa di negara ini.
Bagaimanakah untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi kepada masyarakat
supaya menyegerakan tuntutan pembahagian harta pusaka agar urusan tersebut
berjalan lancar serta harta pusaka dapat dimanfaatkan sepenuhnya?

Budaya

Manakala, budaya pula berdasarkan Kamus Dewan Edisi Empat, terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) 2005 didifinasikan sebagai tamadun, peradaban,
kemajuan fikiran dan akal budi yang mempunyai kebudayaan . Namun begitu
sikap dan budaya masyarakat berkait rapat dalam menyumbang permasalahan
kelewatan permohonan pembahagian pusaka di kalangan masyarakat di negara
ini. Antara contoh-contoh amalan budaya adalah:

Fahaman/Tanggapan Yang Salah

Masyarakat di negara ini, terutamanya masyarakat Melayu di luar
bandar sering kali mempunyai tafsiran sendiri tentang tempoh masa untuk
membolehkan mereka membuat permohonan pembahagian harta pusaka.
Tanggapan kononnya terlalu awal membuat permohonan pembahagian harta
pusaka dikaitkan dengan perumpamaan “ tanah perkuburan si mati masih merah
lagi” dan “rumput di perkuburan si mati belum tumbuh” . Ada pula yang
beranggapan permohonan pembahagian harta si mati hanya boleh dibuat
selepas diadakan kenduri untuk arwah pada 100 hari kematiannya. Kononnya
jika disegerakan menunjukkan waris tidak beradab dan tidak menghormati si
mati. Ini adalah tanggapan yang salah, bahkan bertentangan dengan hukum
syarak di mana syarak menegaskan apabila berlaku kematian, 3 (tiga) perkara
yang perlu segera dilaksanakan. Pertama, diselesaikan hutang-piutang si mati,
kedua ditunaikan apa-apa amanah dan wasiat si mati, dan yang ketiga
hendaklah disegerakan pembahagian harta pusaka si mati.

Terlalu bersopan

Masyarakat di negara ini terutama orang Melayu sememangnya
terkenal dengan ketinggian budi bahasa, sopan santun dan nilai-nilai ketimuran.
Setiap tutur kata tersusun indah untuk menggambarkan ketinggian peribadi.
Waris si mati, masing-masing takut untuk bersuara bertanya tentang harta
peninggalan si mati terutama persoalan bilakah harta tersebut perlu dibuat
pembahagiannya, misalnya, si adik hormatkan si abang atau pun si ibu. Jika
seseorang bersuara bertanyakan harta peninggalan si ayah, ditakuti dia
dikatakan tamak atau berkehendakkan harta tersebut. Secara tidak langsung,
mereka mengabaikan tuntutan agama untuk menyegerakan pembahagian harta
pusaka si mati dan harta si mati terbiar begitu sahaja tanpa diusahakan dan
dipastikan pemiliknya. Tambahan pula, waris-waris terlalu mengharapkan anak
sulung si mati untuk membuat permohonan

Tidak Prihatin/Sambil Lewa

Sikap waris yang tidak prihatin dan sambil lewa juga telah
menyebabkan masyarakat lewat mengemukakan permohonan. Waris tidak
mengambil berat soal pengagihan harta si mati. Pelbagai alasan diberikan,
misalnya harta si mati yang sedikit, tiada bernilai jika hendak dibandingkan
dengan waris yang ramai. Ada juga waris yang beragama Islam sanggup
membelakangkan kewajipan dari segi hukum syarak dengan mengatakan tidak
berbaloi dan hanya membuang masa sahaja membuat permohonan dan
menghadiri perbicaraan pembahagian harta pusaka jika dibandingkan dengan
nilai harta yang bakal diperolehi. Tambahan pula jikalau waris si mati
bermastautin di tempat lain, bukannya di mukim di mana terletaknya harta simati
sudah pastilah faktor jarak akan dijadikan alasan. Ada juga waris si mati yang
telah kembali ke negara asal seperti Indonesia, Singapura dan sebagainya.

Adalah menjadi kebiasaan waris-waris si mati untuk tidak menyegerakan
permohonan pembahagian harta pusaka jika harta si mati hanyalah tanah
pertanian ataupun rumah papan. Fenomena ini jelas dilihat terutamanya di
kawasan luar bandar. Waris-waris masih boleh mendapatkan hasil serta
mengusahakan tanah pertanian seperti sawah padi, kebun getah, kebun kelapa
sawit dan sebagainya walaupun harta belum dibahagikan kepada yang berhak....

Tiada ulasan: