DONATE

Jumaat, 22 Ogos 2008

BERMAZHAB DAN FANATIK MAZHAB: SATU SOROTAN DALAM KERANGKA AMALAN BERMAZHAB SHAFI’I MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan

Amalan bermazhab Shafi’i di Malaysia adalah suatu penerusan tradisi yang telah lama kerana faktor sejarahnya yang tersendiri. Perkembangan dan pertapakan Mazhab Shafi’i di negara ini adalah seiring dengan perkembangan Islam di rantau ini hasil usaha pendakwah-pendakwah yang datang ke sini. Sejarah ini merupakan sejarah yang perlu dibanggakan kerana ia telah menukar rantau ini kepada rantau Islam. Telah ditakdirkan mazhab yang datang ke nusantara ini ialah mazhab Shafi’i dan bukannya mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali. Kerana faktor sejarah ini sampai sekarang negara Malaysia masih tetap utuh dengan mazhab Shafi’i dan tidak di atasi oleh mazhab-mazhab lain.

Dengan arus idalisme tajdid fiqh yang berlaku di seluruh dunia Islam, walaupun masih di peringkat minoriti, atau laungan kembali kepada Quran dan Sunah sebagaimana generasi salaf, walaupun beberapa aspek teknikal boleh dipertikaikan, kedudukan bermazhab Shafi’i dalam bentuk pangamalan di Malaysia samada oleh individu atau pemerintah sekarang ini dilihat sudah tidak syar’i kerana dianggap bertaklid buta yang dikeji dan fanatik kepada mazhab Shafi’i. Hasilnya lahir golongan yang menolak mazhab (la mazhabiyyah) yang kesannya ialah meruntuhkan kekayaan fiqh yang telah terbina sekian lama bahkan meruntuhkan manhaj hukum yang telah dibina oleh fuqaha terdahulu. Dari sudut yang lain pula ada usaha untuk mempertahankan tradisi yang ada dengan membawa perubahan yang perlu dalam kerangka prinsip bermazhab atau pengekalan manhaj Shafi’i tetapi dengan interpretasi semasa dengan mengambil kira perubahan budaya dan uruf.

Kertas ini bertujuan mengkaji dan menilai realiti di antara bermazhab dan fanatik mazhab dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia. Apakah kedudukan masyarakat Melayu yang bermazhab Shafi’i boleh disifatkan sebagai suatu keadaan yang diharuskan dan dipertahankan atau ia boleh disifatkan sebagai masyarakat yang fanatik mazhab yang dicela yang mesti diislahkan.

Konsep Bermazhab

Huraian konsep bermazhab dalam kertas kerja ini adalah merupakan huraian konsep taqlid dalam pengajian Usul Fiqh. Istilah bermazhab diguna pakai kerana ia lebih mudah untuk difahami dalam konteks amalan bermazhab di negara kita. Setiap individu atau negara dikatakan bermazhab dengan sesuatu mazhab tertentu kerana ia menerima pakai atau bertaqlid kepada mazhab tersebut. Oleh itu bermazhab adalah membawa maksud bertaqlid kepada mazhab yang dipegangi.

Mazhab adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud: “cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam, iaitu seperti: mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Manakala perkataan bermazhab (mazhabiyyah) sebagaimana yang ditakrifkan oleh Said Ramdhan al Buti membawa maksud seseorang awam atau orang yang tidak sampai ke tahap mujtahid berpegang atau mengikut (taqlid) mana-mana aliran Imam Mujtahid samada dia berpegang dengan seorang mujtahid sahaja atau berindah-pindah antara satu mujtahid ke mujtahid yang lain dalam ikutannya itu. Takrif ini adalah hampir sama dengan takrif taqlid dalam pengajian Usul Fiqh iaitu mengambil pandangan orang lain tanpa mengetahui dalil.

Terdapat polemik yang popular dalam pengajian usul fiqh tentang kedudukan bertaqlid yang boleh dikategorikan kepada tiga pandangan:

(1) Tidak harus bertaqlid sama sekali. Wajib ke atas setiap mukallaf berijtihad sendiri mengenai urusan agamanya dan beramal berasaskan ijtihadnya. Ini adalah pandangan golongan Zahiri dan Muktazilah.
(2) Bertaqlid adalah wajib ke atas semua mukallaf selepas zaman imam-imam mujtahidin. Ini adalah pandangan Hasyawiyyah.
(3) Ijtihad adalah tidak dilarang manakala taqlid adalah haram ke atas para mujtahid. Manakala orang awam yang tidak berkeahlian berijtihad sekalipun seorang yang alim adalah wajib bertaqlid. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan inilah pandangan yang ditarjihkan oleh kebanyakan ulama semasa.

Penulis sangat bersetuju dengan pandangan yang ketiga di atas kerana inilah pandangan yang realistik. Bagaimana mungkin untuk meletakkan kewajipan berijtihad ke atas orang yang tidak mempunyai alat yang cukup untuk berijtihad. Syariat Islam yang mudah ini tidak mengenakan taklif ke atas orang yang tidak mampu untuk melaksanakannya. Demi untuk kemudahan orang awam melaksanakan tuntutan syara’ harus baginya bertaqlid mana-mana imam mujtahid yang diyakininya. Rentetan dari pandangan yang ketiga di atas para ulama telah membahagikan taqlid kepada dua iaitu:

(1) Taqlid yang dipuji iaitu taqlid seorang yang tidak berkelayakan untuk berijtihad lalu dia bertaqlid kepada mujtahid
(2) Taqlid yang dicela iaitu taqlid dalam perkara yang berlawanan dengan syara’ seperti bertaqlid buta kepada pemimpin atau orang tua, bertaqlid kepada seorang yang tidak diketahui samada dia berkelayakan untuk ditaqlidkan dan bertaqlid setelah ternyata dalil dan hujjah baginya bahwa orang yang ditaqlidkan itu adalah silap.

Menurut Wahbat al Zuhaili taqlid dalam kategori kedua di ataslah merupakan maksud larangan taqlid sebagaimana yang ada dalam teks-teks fuqaha yang mencela taqlid seperti larangan para imam mujtahid dari bertaqlid kepada mereka tanpa hujjah.

Bertaqlid bagi orang awam bukanlah suatu yang diluar prisip syara’ tetapi suatu keperluan baginya yang selaras dengan kehendak syara’ . Sebagai seorang Muslim tidak semuanya mampu memahami tentang agama. Malah ia perlu berpandukan kepada para ulama untuk memahami nas-nas syara’. Justeru itulah manusia diwajibkan bermazhab sebagai beramal dengan ayat Al Quran yang menyuruh umat Islam bertanya kepada ahli al zikr (orang yang tahu) sekiranya mereka tidak mengetahui. Muhammad Said Ramadhan al Buti menegaskan wajib bagi orang yang lemah (tidak dapat) berijtihad untuk bertaqlid tetapai bukan secara fanatik, yang mana harus baginya untuk beriltizam atau tidak.

Keharusan bertaqlid sebagaimana yang dihurai di atas mestilah dalam kerangka yang telah disepakati oleh para ulama sebagaimana yang dihurai oleh al Buti iaitu:
(1) Dalam persoalan taqlid tidak ada nas syara’ yang menyuruh supaya berpegang kepada mazhab secara berterusan sebagaimana juga tidak ada nas syara’ yang melarang berpindah mazhab. Dalam konteks ini al Buti menegaskan ketiadaan nas yang menyuruh beriltizam dengan mazhab tertentu bukan pula bererti haram beriltizam dengan mazhab kerana tidak wajib bukannya bermaksud haram.
(2) Apabila ternyata bagi seorang muqallid dalil-dalil syara’ dan usul ijtihad wajib baginya melepaskan diri dari pendapat imam mazhabnya. Ini yang dinamakan mujtahid mazhab. Di sini al Buti menegaskan bahawa ia bukan bermaksud menyuruh orang jahil supaya tidak bertqlid dan berpegang terus kepada Al Quran dan Sunnah.
(3) Semua para imam mujtahid adalah berada di atas kebenaran iaitu ijtihad mereka itu tidak dianggap salah di sisi Allah. Al Buti menegaskan dari sinilah asasnya bahawa bertaqlid kepada salah satu imam mazhab adalah bertaqlid di atas kebenaran. Tidak harus bagi seseorang yang berpegang kepada satu-satu mazhab untuk menganggap mazhab lain adalah salah.


Inilah prinsip asas bermazhab atau bertaqlid dalam tradisi pengajian fiqh dan usul fiqh. Sebarang pandangan yang diluar dari kerangka ini adalah menyalahi konsep bermazhab dan bertegas untuk menyalahi konsep ini adalah satu sikap fanatik yang dicela.

Berdasarkan huraian di atas mari kita lihat di mana kedudukan fanatik mazhab. Dalam istilah usul fanatik dikenali dengan taksub. Perkataan taksub berasal daripada perkataan Arab yang bererti: “tidak menerima kebenaran tentang pandangan dan pendapat orang lain yang berdasarkan dalil-dalil syarie, disebabkan kecenderungan seseorang kepada aliran tertentu. Perkataan taksub tidak terdapat dalam kamus Dewan. Apa yang terdapat didalamnya adalah perkataan “fanatik”. Fanatik bererti keterlaluan pada sesuatu pegangan atau penderian berkaitan dengan agama. Pengertian yang hampir sama juga terdapat pada perkataan “eksterim”. Kamus dewan mendifinasikan eksterim sebagai keterlaluan dan melampau. Ekstremis pula bererti orang yang sikapnya keterlaluan dan melampau dalam sesuatu hal seperti agama, politik dan sebagainya.

Menggunapakai takrif di atas boleh disimpulkan di sini bahawa amalan bermazhab sebagaimana yang dihurai di atas bukanlah bermaksud fanatik kepada mazhab yang diikut tetapi semata-mata di atas keperluan bagi orang awam yang tidak mempunyai cukup keahlian ilmu untuk berijtihad sendiri. Tuduhan bermazhab sebagai fanatik adalah tuduhan tidak berasas sama sekali berasaskan kepada maksud bermazhab atau bertaqlid sebagaimana yang diterima dalam pengajian Usul Fiqh.
Realiti yang ada ialah para imam mujtahid telah meletakkan kaedah dalam berintraksi dengan nas dan menangani masalah hukum dan usaha mereka ini telah diikut oleh orang yang tidak mampu untuk berijtihad yang telah melahirkan golongan yang berpegang kepada kaedah dan pandangan para mujtahidin tadi yang dipangil muqallid.

Mazhab Shafi’i dan kerangka pengamalannya di Malaysia

Satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan umat Islam di Negara Malaysia secara umumnya adalah bermazhab Shafi’i. Kenyataan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan kewujudan amalan-amalan mazhab selain Shafi’i di peringkat individu dan institusi tetapi ia merujuk kepada fakta sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan dominasi mazhab Shafi’i dalam banyak aspek kehidupan berugama di kalangan umat Islam Malaysia.Walaupun mungkin kebanyakan masyarakat mengamalkan mazhab Shafi’i dalam kehidupan seharian secara warisan sahaja tanpa sebarang ikatan dengan maklumat ilmiah terhadap mazhab yang dianuti ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pengukuhan mazhab Shafi’i dalam masyarakat Islam di Malaysia. Paling kurang kenyataan bahawa Malaysia bermazhab Shafi’i boleh dipertahankan atas alasan ia telah di institusikan dalam bentuk resmi melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan enakmen pentabiran agama negeri-negeri yang menggunapakai mazhab Shafi’i secara meluas dengan sedikit pengecualian kepada negeri Perlis. Kedudukan yang resmi ini sudah cukup untuk membuktikan kenyataan di atas. Penerimaan secara resmi oleh sesebuah kerajaan terhadap sesuatu aliran sudah tentu memberi kesan secara langsung dari segi pengamalannya di peringkat rakyat.

Sejarah Perkembangan

Dari sudut sejarah, perkembangan Islam di Tanah Melayu adalah sebahagiannya bermula dari pendakwah-pendakwah yang datang dari Pasai (Perlak) yang mana Pasai pada ketika itu merupakan pusat pengajian Islam dan juga penyebaran dakwah Islam ke Melaka, Jawa dan Patani. Riwayat Ibn Batutah ada mencatatkan penguasaan Mazhab Shafi’i ke atas Raja Pasai (Perlak) al Malik al Zahir (1326-1350M) yang mana sebelum daripada itu ia dikuasai oleh golongan Syiah. Disebut dalam sejarah tokoh yang bertanggungjawab membawa aliran sunni Shafi’i ke rantau ini ialah Syeikh Ismail Siddiq yang diutus khas dari Mekah oleh Syarif Mekah ke Pasai. Pertapakan Mazhab Shafi’i semakin kuat di negeri tersebut semenjak itu dan dari situlah berkembangnya Mazhab Shafi’i ke Tanah Melayu selari dengan perkembangan Islam. Ada kajian yang mengatakan penyebaran Mazhab Shafi’i oleh Sheikh Ismail Siddiq adalah suatu usaha yang dirancang demi untuk mengubah fahaman Syiah yang dianuti penduduk Pasai yang pada masa itu berada di bawah pemerintahan kerajaan Mamluk Turki (1252-1517M).

Dalam konteks perkembangan Islam di Tanah Melayu kedatangan mazhab Shafi’i ke Melaka mempunyai kaitan dengan Pasai iaitu ia dibawa oleh Sayyid Abdul Aziz sebagai pendakwah dan beliau mempunyai pertalian dan hubungan dengan Syeikh Ismail Siddiq. Mereka berdua berasal dari Semenanjung Tanah Arab yang ketika itu merupakan wilayah Islam di bawah pengaruh mazhab Syafi’i. Dari catatan sejarah ini boleh disimpulkan perkembangan Mazhab Shafi’i di Tanah Melayu adalah bermula dari Pasai yang menyaksikan juga terhapusnya dominasi Syiah di rantau tersebut. Perkembangan ini turut dipacukan juga kemudianya dengan peranan pendakwah Arab yang datang dari Hadramaut yang bermazhab Shafi’i.

Fakta sejarah ini juga sebenarnya diakui oleh ahli-ahli sejarah Barat yang menulis mengenai kedatangan Islam ke nusantara yang mana mereka menerima Mazhab Shafi’i sebagai mazhab paling dominan dalam pengajian fiqh di nusantara. Perkembangan mazhab ini bukan sahaja di peringkat amalan seharian tetapi juga sampai ke peringkat undang-undang. Dari sudut pembuktian sejarah dalam konteks ini boleh dikesan seawal pembentukan Hukum Kanun Melaka di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445-1450M) yang mana pada keseluruhannya adalah berasaskan fiqh Mazhab Shafi’I dengan tidak menafikan ada unsur percampuran dengan undang-undang adapt. Kanun Melaka ini kemudiannya mempengaruhi pembentukan Undang-undang Johor, Undang-undang Pahang, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak dan Undang-undang Sungai Ujong. Pengaruh mazhab Shafi’i dalam undang-undang yang dibentuk di zaman kesultanan melayu Melaka dan seterusnya ke negeri-negeri lain adalah menggambarkan sejauh mana penguasaan mazhab tersebut dalam masyarakat pada masa tersebut dan juga di peringkat pemerintah.

Pengaruh karya-karya fiqh Shafi’i di Malaysia

Pengukuhan Mazhab Shafi’i di alam Melayu juga boleh dilihat dengan jelas sekali berdasarkan karya-karya fiqh Mazhab Shafi’i yang banyak mempengaruhi pengajian masyarakat Melayu di surau dan madrasah. Antara yang masyhur ialah kitab Minhaj al Talibin karangan Imam al Nawawi yang dikatakan dibawa masuk ke nusantara pada abad ke 13 yang kemudiannya di kembangkan di Melaka secara khususnya selari dengan perkembangan Islam. Selain Minhaj al Talibin kitab-kitab fiqh Shafi’i yang lain seperti Muhazzab bagi Syirazi juga turut dijadikan teks pengajian pada zaman awal kemasukan Islam ke Tanah Melayu. Dalam perkembangan seterusnya kita juga melihat semakin banyak kitab-kitab Fiqh Shafi’i dibawa masuk dan dipelajari atau dijadikan rujukan sehingga hari ini seperti Tuhfat al Muhtaj bagi Ibn Hajar, Nihayat al Muhtaj bagi al Ramli, Mughni al Muhtaj dan al Iqna’ bagi al Syarbini, Fath al Wahhab bagi Zakariya al Ansari, al Ashbah wa al Nazair bagi Suyuti, Fath al Mu’in bagi Zain al Din al Malibari dan lain-lain. Kitab-kitab ini telah menguasai dunia ilmiah di Malaysia sejak sekian lama samada sebagai teks pegajian atau sumber rujukan dalam fatwa dan kodifikasi undag-undang.

Di samping kitab-kitab Arab terdapat juga karya-karya fiqh yang dihasilkan oleh ulama nusantara yang menjadi rujukan dalam masyarakat melayu. Seawal abad ke 17Masehi nusantara menyaksikan penghasilan karya-karya fiqh dalam Mazhab Shafi’i terutamanya dari Acheh dan Pattani yang kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu. Syeikh Abdul Rauf Singkel adalah antara yang terawal menghasilkan kitab fiqh Shafi’i dalam bahasa Indonesia yang bertajuk Mir’at al-Tullab fi Tashil Ma’rifah Ahkam al-Syar’iyyah li Malik al-Wahhab yang bersumberkan kitab-kitab muktabar mazhab al-Syafii. Ulama besar dari Kalimantan iaitu Muhammad Arsyad al-Banjari menulis kitab Sabil al-Muhtadin di atas permintaan Sultan Banjar yang juga berasaskan fiqh Shafi’i. Kitab Sirat al-Mustaqim tulisan Sheikh Nuruddin al-Raniri merupakan teks fiqh terawal di Alam Melayu yang banyak memberi sumbangan dalam pengukuhan mazhab Syafi’i. Di samping itu kitab-kitab Syeikh Daud al Fattani seperti kitab Furu’ al Masail, Bughyat al Tullab, Munyat al Musalli, Sullam al Mubtadi dll adalah antara kitab-kitab yang beredar di kalangan masyarakat melayu dahulu dan sekarang yang sudah tentu begitu kuat menanamkan pengaruh Mazhab Shafi’ dalam masyarakat. Kitab-kitab ini bersumberkan kitab-kitab muktabar dalam mazhab al-Syafi’i seperti yang telah disebutkan di atas. Walaupun dari segi kenyataannya kitab-kitab ini banyak beredar di peringkat pondok dan madrasah tetapi pengaruhnya cukup kuat kerana ia sangat dekat dengan masyarakat umum berbanding dengan peringkat lain dalam pengajian.

Selain dari kitab-kitab klasik di atas kitab-kitab baru yang bermazhab Shafi’i juga mendapat tempat dalam masyarakat melayu sekarang. Antara yang popular pada masa kini ialah kitab Fiqh Shafi’i yang merupakan terjemahan kepada kitab al Fiqh al Manhaji ‘ala al Mazhab al Shafi’i karangan Mustapha al Bugha, Mustapha al Khin dan Ali al Syarabji. Kitab ini banyak dijadikan teks untuk kuliah-kuliah awam di masjid-masjid dan surau bahkan di peringkat universiti.

Kitab-kitab fiqh mazhab Shafi’i inilah juga yang menjadi rujukan dalam penyediaan buku-buku pengajian Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan di bawah kementerian pelajaran Malaysia dan juga buku-buku KAFA yang mana kurikulumnya adalah berasas kepada mazhab Shafi’i. Sebenarnya kurikulum pengajian ini yang banyak menyumbang kepada pengukuhan Mazhab Shafi’i di Malaysia kerana ia merupakan fiqh peringkat asas kepada seseorang Muslim yang melibatkan amalan sehariannya.

Mazhab Shafi’ dalam perundangan dan fatwa

Kedudukan Mazhab Shafi’i di Malaysia diperkukuhkan lagi melalui peruntukan undang-undang melalui enakmen negeri-negeri. Mengambil kira sejarah perkembangan Mazhab Shafi’i di Malaysia pihak berkuasa negeri telah mengambil langkah dengan lebih jelas iaitu menerimapakai mazhab Shafi’i dalam fatwa-fatwa negeri. Sebagai contoh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam
Seksyen 39:

(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Shafi’i.
(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dgn mengikut qaul muktamad Mazhab Shafi’i akan membawa kepada keadaan yangg berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
(3) Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

Jelas dari peruntukan di atas keutamaan mazhab Shafi’i dalam fatwa berbanding dengan mazhab lain. Satu-satunya perkara yang diambil kira untuk menerimapakai mazhab selain Shafi’i ialah kepentingan awam. Ini adalah satu bentuk siyasah syariyyah daripada pihak pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan keharmonian hidup beragama di Negara kita yang telah sebati dengan mazhab Shafi’i dengan pada masa yang sama memberi ruang kepada mazhab lain dalam fatwa jika ada kepentingan awam. Kaedah penyeragaman ini sangat perlu diambil perhatian oleh semua pihak agar keharmonian hidup masyarakat Islam tidak tergugat dengan pendapat-pendapat yang lain dari Mazhab Shafi’i yang tidak perlu diketengahkan untuk masyarakat awam.

Dalam perkembangan yang sama Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan telah memutuskan beberapa ketetapan seperti berikut:
(1) semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qawl yang muktabar dalam mzhab Shafi’i. Jika hendak beramal dengan qawl dari mazhab lain maka perlu mendapat restu dariada Yang di Pertuan Agong
(2) umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Shafi’i bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang-orang yang beramal dengan mazhab Shafi’i.
(3) mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di majlis-majlis pelajaran
(4) menjadi satu kesalahan jika mengajar mazhab lain selain daripada mazhab Shafi’i secara terbuka
(5) jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada mazhab Syafi’i, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain

Selain daripada itu Jakim telah menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam agar penyebaran fahaman-fahaman selain Mazhab Shafi’i hendaklah dikawal bagi tujuan membendung fahaman yang boleh mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan mazhab-mazhab. Cadangan ini telah diperkenan oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja ke 133 (khas) pada 3 disember 1984.

Apa yang jelas dari peraturan ini ialah untuk menjaga orang awam dari terdedah kepada kekeliruan aliran mazhab yang berbagai. Dengan kedudukan mazhab Shafi’i yang telah sebati dalam khidupan mereka tentunya akan timbul kekeliruan jika mazhab lain turut didedahkan kepada awam.


Bermazhab bukan fanatik mazhab

Kedudukan Mazhab Shafi’i di Negara ini sebagaimana yang dibentangkan di atas adalah hasil perkembangannya dalam sejarah yang panjang. Perkembangan mazhab menyebabkan bertapaknya mazhab Shafi’i dan akhirnya membentuk keseragaman yang murni dalam masyarakat. Sejarah yang sama berlaku di mana-mana tempat di seluruh dunia Islam semenjak dari perkembangan mazhab di peringkat awal lagi. Di Iraq contohnya untuk sekian lama penduduk Islamnya bermazhab dengan mazhab Abdullah bin Mas’ud, di Hijaz dengan mazhab Abdullah bin Umar, di Mekah Ata’ bin Rabah dan Mujahid mendominasi fatwa-fatwa untuk sekian lama sehingga khalifah mengarahkan supaya segala fatwa hendaklah diserahkan kepada dua orang tokoh ini. Jika amalan bermazhab ini dikatakan sebagai fanatik maka tidak ada tempat di dalam dunia Islam yang bebas dari fanatik mazhab. Ia adalah proses biasa dalam mana-mana tempat berkembangnya sesuatu mazhab. Bahkan boleh berlaku sesuatu tempat yang dikuasai oleh sesuatu mazhab akan bertukar penguasaannya oleh mazhab lain. Di Mesir umpamanya sebelum kedatangan Imam Shafi’ mazhab yang berkembang di situ ialah mazhab Malik, tetapi akhirnya mazhab Shafi’i mendominasi masyarakat Islam di situ hasil usaha murid-murid beliau yang memperkembangkan fiqhnya. Apa yang penting dipelajari ialah proses pertukaran mazhab itu berlaku dengan harmoni tanpa dipaksa ke atas masyarakat. Ia berlaku secara natural tanpa ada unsur paksaan atau tekanan. Sebarang tekanan atau paksaan akan menimbulkan reaksi yang tidak baik kepada masyarakat dan mungkin akan berlaku fanatik dalam mempertahankan mazhab masing-masing.

Walaubagaimanapun anjakan paradigma tetap berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia sekarang ini. Di peringkat pengajian tinggi, pengajian berorientasikan satu mazhab sahaja kelihatan sudah hilang. Sebagai gantinya pengajian fiqh secara perbandingan mazhab sudah diperkenalkan. Pendedahan kepada pelbagai pandangan dalam mazhab sudah boleh diterima secara umum sekurang-kurangnya di peringkat universiti dan ini menunjukkan unsur fanatik tidak wujud dalam amalan bermazhab di Malaysia. Walaupun secara resminya bermazhab Shafi’i tetapi penerimaan kepada mazhab lain dalam konteks pengajian berkembang dengan baik dan lancar. Pendedahan ini sangat penting agar tidak timbul soal fanatik dalam bermazhab dan supaya pemikiran lebih maju ke hadapan. Dalam dunia yang global ini pertembungan budaya hasil perbezaan mazhab sangat mudah berlaku. Di sinilah pentingnya pengajian berorientaikan perbandingan mazhab supaya tidak timbul kekecohan dalam pertembungan tadi. Di masa yang sama kita masih mempertahankan pengajian bermazhab Shafi’i di peringkat rendah dan menengah serta yang berbentuk umum sesuai dengan tahap pemikiran peringkat tersebut. Sekali lagi ditekankan ini bukan bermaksud fanatik mazhab tetapi demi untuk perkembangan pengajian pelajar agar pengetahuannya tentang fiqh dan manhaj mazhab terarah dengan baik dan sesuai dengan tahapnya.

Dalam fatwa pula perkembangan yang berlaku di zaman mutakhir ini menunjukkan pemakaian mazhab selain Shafi’i sudah banyak diadoptasikan. Walaupun dari segi peraturannya keutamaan diberikan kepada mazhab Shafi’i tetapi ternyata perkembangan semasa sekarang menuntut supaya kepentingan awam diutamakan. Dan ini sebenarnya masih selari dengan garis panduan fatwa yang diberikan di atas yang mana kepentingan awam diberi keutamaan. Garis panduan tersebut walaupun menampakkan unsur dominasi mazhab Shafi’i tetapi kelonggaran tetap diberikan. Hasil daripada ini kita lihat banyak fatwa-fatwa seperti fatwa berkait istibdal harta wakaf, zakat dan sebagainya yang melibatkan survival umat Islam telah tidak mengambil kira pandangan mazhab Shafi’i. Faktor budaya dan uruf setempat juga perlu diambil kira dalam berfatwa. Dalam masa yang sama usaha tajdid manhaj Shafi’i boleh digunapakai dalam menyelesai masalah-masalah baru dengan kerangka mazhab Shafi’i.

Proses yang sama berlaku dalam perbankan Islam yang mana demi kemudahan urusan orang ramai pandangan-pandangan dari mazhab lain turut diambil kira dan disesuaikan dengan keperluan tempatan . Ini semua berlaku dalam kerangka amalan bermazhab Shafi’i di negara ini yang mana penerimaannya telah terserap dengan harmoni dalam masyarakat Islam Malaysia. Oleh itu tidak wujud fanatik mazhab melihat kepada perkembangan yang berlaku.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas ternyata bahawa mazhab Shafi’i adalah bertapak dengan kukuh dalam masyarakat Islam negara kita. Amalan bermazhab ini adalah satu keperluan dan tidak boleh diganggu gugat dengan aliran tidak bermazhab kerana banyak masalah yang akan timbul. Sejarah yang berlaku perlu diambil kira dalam kita membuat apa-apa tindakan yang berkait dengan mazhab di negara ini. Amalan yang berlaku adalah bukannya berasas kepada fanatik mazhab tetapi atas asas bertaqlid kepada imam mujtahid yang berkelayakan untuk berijtihad. Perkembangan-perkembangan yang berlaku dari segi peraturan, fatwa dan sebagainya adalah dalam kerangka tersebut demi menjaga perpaduan masyarakat dan mengambil kira sejarah yang membawa kepada kedudukan hari ini. Aliran tidak bermazhab yang diluar kerangka sebagaimana yang ada sekarang tidak boleh diberi ruang dalam negara ini kerana ia akan menghasilkan puluhan mazhab yang lain. Perselisihan pendapat adalah suatu yang tidak boleh dielak tetapi dalam kerangka bermazhab sekarang ini perselisihan boleh diminimakan dengan syarat tidak ada unsur fanatik.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...ana nak tanya,artikel tentang pengamalan fiqh syafie ni memang tulisan enta/ti ke?maaf coz ana pernah baca penulisan yang sama tapi di tulis oleh pensyarah ana.

mahirdanial berkata...

Wa'alaikumsalam.. ini bukan penulisan saya.. saya mengambil soft copy tajuk ini daripada pembentangan pensyarah enta/enti ketika mana seminar sorotan Mazhab Syafie di Malaysia. Di publish sekadar perkongsian ilmu.