DONATE
Selasa, 14 April 2009
Falsafah Perundangan Islam: Al-Ahkam, Qawaid Fiqhiyah, dan Maqosid Syar'iyyah
BAB SATU
1.0 AL-AHKAM DAN NILAI-NILAINYA
1.1 Definisi al-Ahkam:
Pengertian hukum dari sudut Bahasa Arab ialah: perlaksanaan.
Pengertian hukum dari sudut istilah ialah:
“ Perkara yang dituntut oleh kata-kata Syara’ yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab, samaada permintaan, memberi pilihan mahupun penetapan.”
1.2 Pembahagian hukum-hukum Syara’.
Hukum Syara’ terbahagi kepada dua kategori iaitu:
*al-Taklifiyyah (bebanan/pertanggungjawaban)
*al-Wad’iyyah (penetapan)
1.3 Hukum Taklifiyyah (Bebanan Atau Pertanggungjawaban)
Terbahagi kepada 5: Wajib, Mandub, Muharram, Makruh dan Mubah.
1.3.1 Wajib
Dari sudut Bahasa Arab: ialah sesuatu yang jatuh atau sesuatu yang mesti.
Dari sudut istilah:
“Apa yang diperintahkan oleh Syarac dalam bentuk kemestian”
1.3.2 Mandub
Dari sudut Bahasa Arab: ialah yang dipanggil.
Dari sudut istilah pula adalah:
“Apa yang diperintahkan oleh syara' tidak dalam bentuk kemestian”
1.3.3 Muharram
Dari sudut Bahasa Arab: ialah yang dilarang.
Dari sudut istilah:
“Apa yang dilarang oleh Syarac dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan”
1.3.4 Makruh
Dari sudut Bahasa Arab: ialah yang dibenci.
Dari sudut istilah:
“Apa yang dilarang oleh Syarac tidak dalam bentuk kemestian untuk ditinggalkan”
1.3.5 Mubah
Dari sudut Bahasa Arab: ialah yang disebarkan dan diizinkan.
Dari sudut istilah:
“Apa yang berkaitan dengannya sebarang perintah mahupun larangan pada dirinya”
1.4 Hukum Al-Wadi'iyyah (Penetapan)
Hukum al-Wadiciyyah ini adalah:
“Apa yang dijadikan oleh Syara' sebagai tanda-tanda untuk sabit, tidak sabit, lulus atau batal”
Hukum ini terbahagi kepada dua iaitu sahih dan fasid.
1.4.1 Sahih
Dari sudut Bahasa Arab ialah: yang terselamat dari penyakit.
Dari sudut istilah pula ialah:
“Apa yang diambil kira kesan-kesan perbuatannya sama ada ibadah mahupun akad”
• Sahih dalam ibadah ialah apa yang perbuatannya menjatuhkan bebanan dan tuntutan.
• Sahih dalam akad pula adalah apa yang diambil kira kesan-kesannya berdasarkan kepada kewujudannya seperti akad jual beli tukar hak milik.
Sesuatu perkara itu tidak akan dikira sahih kecuali apabila ia menepati syarat-syarat dan menjauhi larangan-larangan.
1.4.2 Fasid
Dari sudut Bahasa Arab ialah: sia-sia dan merugikan.
Dari sudut istilah:
“Apa yang tidak diambil kira kesan-kesan perbuatannya sama ada ibadah mahupun akad”
• Fasid dalam ibadah ialah apa yang dilakukannya tidak menjatuhkan bebanan dan tidak pula menjatuhkan tuntutan seperti solat sebelum waktunya.
• Fasid dalam akad pula adalah apa yang tidak diambil kira kesan-kesan ke atasnya seperti jual beli benda yang tidak diketahui.
BAB DUA
2.0 KONSEP USUL FIQH MENURUT PERUNDANGAN ISLAM
2.1 Pengenalan Ilmu Usul Fiqh
Ilmu Usul Fiqh adalah ilmu yang berperanan sebagai Qanun atau Method di dalam mengeluarkan hukum –hukum berlandaskan dalil- dalil yang muktabar. Ilmu ini amat istimewa kerana menggabungkan dua unsur yang penting di dalam mencari kebenaran iaitu nakal dan akal. Kedua-dua ini adalah cahaya yang dapat menerangi manusia kepada Allah dan kebenaran
Al-Imam al-Syafie merupakan orang pertama mengasakan Ilmu ushul fiqh. Berkata imam al-Juwaini dalam syarah al-Risalah ‘ imam al-Syafie adalah orang pertama menulis ilmu Ushul dan pengertiannya'.
Satu cabang ilmu baru wujud dalam system syariat Islam.Ini memudahkan para ahli mujtahid mengeluarkan hukum berdasarkan kaedah asas yang telah ditetapkan dengan cara tersusun.Dimensi baru dalam disiplin berijtihad bermula dan persoalan baru dapat diselesaikan dengan penuh hikmah dan mantap.
2.2 Definisi
Ushul al-Fiqh boleh diberi pengertian daripada dua sudut:
1. Sudut pertama: Daripada sudut erti setiap satu daripada perkataan ‘Ashul’ dan ‘al-Fiqh’ secara berasingan.
-‘Ushul’ adalah jamak (Plural/jamak) kepada perkataan ‘ashl’ yang bermaksud dasar, asas, atau punca yang dibina benda lain keatasnya.
Contohnya: ‘Ashl’ bagi dinding ialah dasarnya. ‘Ashl’ bagi pokok ialah akar yang keluar darinya dahan-dahan.Firman Allah Ta’ala : Surah Ibrahim 14:24
24. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah Telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,
Al-Fiqh ari sudut pengertian bahasa Arab ialah kefahaman.Sebagaimana firman Allah Taala:
27. Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,
28. Supaya mereka mengerti perkataanku,
‘Al-Fiqh’ dari sudut pengertian istilah ialah:
Pengetahuan terhadap hukum-hukum Syara’ yang bersangkutan dengan amalan, diambil daripada dalil- dalil yang terperinci.
Apabila digabungkan kedua-dua perkataan manjadi Ushul al-Fiqh sebagai satu gelaran bagi ilmu yang tertentu, maka ilmu ini didefinisikan sebagai:
Satu ilmu yang mengkaji dalil-dalil al-Fiqh yang umum dan cara mengeluarkan hukum darinya serta keadaan orang yang mengeluarkan hukum tersebut.
2.3 Kepentingan Ilmu usul
Tidak dapat dinafikan Ilmu usul merupakan ilmu yang amat penting bagi ulama syarie bagi menjadikan seorang berfikiran luas dan sentiasa bergerak mengikut manhaj. Ilmu usul ini mula disusun oleh Imam syafie kemudian diikuti oleh ulama ulama yang besar seperti qadhi Abu Bakar al-Baqillani,imam Haramain, imam Abu Husain al Basri,imam Ghazali sehingga kini masih lagi ulama kita menulis kitab-kitab usul untuk memudahkan pelajar memahami dan mempelajari secara mendalam.
Ilmu usul ini mempunyai beberapa faedah untuk mujtahid,alim dan muqallid.
Bagi mujtahid dia mampu untuk mengeluarkan hukum daripada kaedah-kaedah usul meliputi semua hukum yang lama dan baru yang tidak dibincangkan oleh ulama lagi. Bagi seorang alim pula dia menimbang pendapat-pendapat ulama seterus mentarjih diantara pendapat-pendapat ulama tersebuat. Pendapat mana yang lebih kuat dari sudut dalil dan dekat kepada Maqasid Syarie. Bagi Muqallid pula dia mampu mengetahui bagaimana seorang mujtahid itu mengeluarkan hukum dan dia berasa tenang dan yakin apa yang dikatakan oleh mujtahid.
Ilmu usul ini perlu diambil berat oleh semua pelajar ilmu Islam,Terdapat sebahagian pelajar tidak berminat dengan ilmu usul kerana dia tidak tahu faedah tentang mempelajarinya dan merasakan susah untuk memahaminya, Dia lebih berminat membaca buku-buku Fiqh, Tasauf, Hadis dan sebagainya lalu dia meninggalkan ilmu yang paling mustahak baginya bagi membentuk dia menjadi yang alim yang kreatif. Percayalah,tanpa mempelajari ilmu usul ini,seorang ulama itu tidak akan kreatif yang hanya menjadi alim kitab sahaja,Dia tidak mampu bergerak untuk menyelesaikan masalah masyarakat dengan efektif kerana dia tidak mempunyai senjata ulama, Ilmu usul merupakan senjata utama ulama.
Sehubungan dengan itu, ilmu usul mempunyai hubungan yang kuat dengan ilmu bahasa,ilmu sains kemasyarakatan dan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu tafsir dan ilmu hadis. Cuba lihat perbincangan ulama usul di dalam bahasa, contohnya di dalam kefahaman perkataan fiil amarمعاني صيغة الامر,ia mempunyai belasan makna sahaja di dalam ilmu bahasa Balaghah, tetapi di dalam ilmu usul fikh ulama mampu untuk membawa hampir kepada 35 makna seperti yang disebutkan oleh imam Zarkasyi di dalam al-Bahrulmuhit. Perbahasan alfaz begitu mendapat perhatian di dalam ilmu usul, Dengan mempelajarinya menyebabkan akal sesorang alim itu sentiasa kretif dan aktif.
Begitu juga dengan ilmu kemasyarakatan, kaedah Sabru wa Taqsim dan Istiqrak amat penting di dalam ilmu kemasyarakatn bagi menganalisa sesuatu kejadian yang wujud dalam sesebuah masyarakat. Di sini saya mengajak para pelajar ilmu islam agar mendalami ilmu dan dan mengaktifkannya dengan ilmu Fiqh agar kedua-dua ilmu ini berjalan dengan seiringan seperti mana yang dituntut syara’.
BAB TIGA
3.0 ) KAEDAH FIQH MENURUT ISLAM
3.1) Pendahuluan
Sesungguhnya kaedah fiqh adalah kemajuan di dalam pemahaman fiqh menerusi pemikiran para fuqaha’, bahkan ianya telah menjadi perbincangan fuqaha yang terdahulu dari kalangan para mujtahid dan para sahabat. Hasilnya, para fuqaha’ mampu untuk menghasilkan hukum menerusi kaedah ini, lantas para fuqaha’ mampu untuk mensabitkan hukum apabila berlaku perkara yang baru menerusi ‘illah sesuatu berdasarkan kepada Quran dan Sunnah. Kaedah ini bukan perkara baru yang dicipta akal semata-mata, malah, jika dihayati, beberapa hadith yang diriwayatkan, mengandungi beberapa bentuk-bentuk kaedah fiqh yang jelas. Justeru, kaedah fiqh ini adalah berjalan seiringan dengan pensyariatan dalam Islam begitu juga dalam mengeluarkan hukum dalam beberapa perkara baru.
3.2) Pembahagian Hubungan Kaedah Fiqh Dengan Sumber Pensyariatan.
Pembahagian kaedah fiqh berdasarkan kepada sumber pensyariatan dapat dibahagikan kepada dua :
1) Kaedah yang wujud dari sumber nas hadis itu sendiri kemudian terhasilnya kaedah tersebut disisi fuqaha’.
2) Kaedah yang diambil dari nas pensyariatan yang umum yang mempunyai illah tertentu.
3.3) Kaedah Yang Terbina Terus Dari Nas Nabawiah
Kaedah yang diambil adalah berdasarkan kepada hadis-hadis nabi dan kemudian para fuqaha’ mengambilnya sebagai kaedah fiqh. Sebagai contoh apa yang dinyatakan dalam Majalla Al-ahkam al-Adliyyah beberapa kaedah yang diambil terus dari hadis nabi. Antaranya ialah :
1) Tidak mudarat dan memudaratkan
لاضرر ولا ضرار
2) Keterangan dari tangan pendakwa dan sumpah atas siapa yang ingkari
البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Dapat dilihat di sini ialah, kaedah fiqh bahagian ini adalah yang digunakan dalam perbahasan hukum, diambil terus hadis rasulullah sendiri dan bukanlah dari akal semata-mata. Disiplin hukum di dalam Islam adalah menolak apa jua bentuk atau perkara yang bukan tercipta dari nas-nas Islam.
Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari yang bermaksud “ sesiapa yang mencipta sesuatu perkara dalam urusan agama, sedangkan perkara itu bukan bersumberkannya, maka ia ditolak”. Menurut Ibnu Rajab, hadis ini menyatakan tiang utama dalam asas-asas Islam. Ini kerana setiap amalan yang dibuat bukan bersumberkan kehendak Allah dan rasul, maka perbuatan itu tidak mendapat apa-apa balasan dan ianya ditolak.
Dalam konteks perbahasan kaedah fiqh ini, makan ianya jelas diilhamkan terus dari nas hadis nabawiah yang mempunyai keluasan dan umum untuk diterima pakai dalam mana-mana hukum yang ingin dikeluarkan.
3.4) Kaedah Fiqh Yang Diambil Berdasarkan Kepada Nas-Nas Pensyariatan
Dalam bahagian ini, Kaedah fiqh yang terbina adalah berdasarkan kepada nas-nas dari quran mahupun hadis. Berbeza dengan bahagian yang sebelumnya, kerana kaedah ini tidak diambil terus dari hadis nabi, malah, ianya dapat difahami dari nas-nas tersebut kemudian disimpulkan kaedah padanya. Antara kaedah-kaedah yang diambil berdasarkan nas-nas pensyariatan ialah:
3.4.1 ِِAl-Umur Bi Maqosidiha (الأمور بمقاسدها)
Kaedah ini adalah kaedah yang paling penting dan merupakan asas dalam fiqh Islami kerana sebahagian besar perkara fiqh adalah berkisar dalam perkara niat. Adapun asal kepada kaedah ini adalah berdasarkan hadis nabi;
“Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan”
Antara yang meriwayatkan hadis ini adalan Imam Bukhari yang telah mengulangi hadis ini dalam beberapa bab yang pelbagai seperti dalam wudhu’, solat, zakat, haji, puasa, dan hukum-hukum yang lain. Sebahagian besar di kalangan para ahli hadis ingin menjadikan hadis ini sebagai permualaan setiap bab fiqh. Menurut Imam Nawawi dalam Riyadah Assolihin, menyatakan hukum-hukum syariah dalam apa-apa perkara adalah berdasarkan kepada niatnya. Ini kerana setiap insan yang melakukan sesuatu perkara berdasarkan kepada niat-niat tertentu dan dikira berdasarkan niat tersebut. Namun dapat difahami berdasarkan kepada kaedah ini adalah jika sekiranya niat semata-mata, tanpa bersamanya perbuatan, maka ianya tidak terkesan kepada hukum. Sebagai contoh, seseorang niat untuk mentalakkan isteri, tidak akan terjatuh talak hanya sekiranya niat di hati.
3.4.2 Addhorar Yuzal (الضرر يزال)
Kaedah ini antara kaedah yang meliputi kebanyakan fiqh Islami dan pengaplikasiannya di dalam beberapa bidang fiqh. Sesungguhnya sifat hukum-hukum Islam adalah meraikan manfaat kepada manusia dan menghalang apa jua bentuk kemudharatan. Bila membincangkan soal kemudharatan, tak dapat tidak untuk membincangkan bersama maqasid syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, keturunan, harta dan maruah.
Kaedah ini muncul berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-hakim, dari Abi Said al-Khudri, dari rasulullah menyatakan bahawa :
"لاضرر ولا ضرار. من ضار ضاره الله"
Dalam membincangkan perkataan dhorar dan dhirar, beberapa ulama’ telah mendatangkan pentakrifan padanya. Antaranya yang dinyatakan oleh al-Khusyani, dharar bermaksud yang pada kamu ada manfaat tetapi ada mudharat pada jiran kamu. Manakala dhirar ialah tiada padanya manfaat begitu juga pada jiran kamu.
Ada yang mengatakan bahawa dharar dan dhirar seperti bunuh dan pembunuhan. Dharar adalah melakukan kemudharatan kepada siapa yang tidak memudharatkan kamu, manakala dhirar adalah memberi kemudharatan kepada siapa yang memberi kemudharatan kepada kamu.
Menurut Allamah Ibnu Atsir dalam kitabnya ‘Annihayah’, la dharar bermaksud tidak memudaratkan seseorang akan saudaranya, iaitu menafikan sesuatu dari hak saudaranya, manakala addhirar bermaksud proses dalam kemudharatan itu.
3.4.3 Al-Yaqin La Yazulu Bi al-Syak(اليقين لا يزال بالشك)
Yakin dari sudut bahasa bermaksud mengakui sesuatu, manakala dari sudut istilah bermaksud kesungguhan dengan hati berlakunya sesuatu atau tidak berlaku sesuatu itu. Jika seseorang itu tiada yakin, maka ia jatuh kepada ‘Zan’ iaitu keraguan. Manakala syak adalah bermaksud serba salah, manakala dari sudut istilah ianya bermaksud serba salah samaada perbuatan itu berlaku ataupun tidak. Ianya juga bermaksud tiada yang menguatkan diantara berlaku atau tidak berlaku.
Kaedah ini secara umumnya bermaksud sesuatu yang diyakini oleh seseorang tidak akan dibatalkan dengan sesuatu yang syak kecuali dihilangkan dengan keyakinan seumpamanya.
3.4.4 Al-Musyaqqah Tajlibu At-TTaisir (المشقة تجلب التيسير)
Kaedah ini juga merupakan salah satu asas utama dalam syara’ kerana ianya adalah kaedah yang umum yang meliputi sifat keseluruhan hukum Islam.
Allah berfirman:
‘Allah inginkan keatas kamu kesenangan (kemudahan) dan Allah tidak inginkan kesusahan (kepayahan)’ (surah al-Baqarah-185)
‘Allah tidak akan pertanggungkan seseorang itu kecuali dengan apa yang mampu ditanggungi’ (surah al-Baqarah 286)
Menurut Imam Ibnu Hajar, dinamakan Islam itu sebagai agama yang mudah berbanding umat-umat yang terdahulu. Sebagai contoh, umat terdahulu cara untuk bertaubat adalah dengan membunuh diri mereka sendiri, tetapi pada umat ini, cukup memadai dengan penyesalan dan kesungguhan.
3.5 Kepentingan Ilmu Kaedah Fiqh Menurut Pandangan Ulama’.
Kepentingan ilmu kaedah fiqh tidak dapat dinafikan lagi kerana ianya kaedah yang diterima pakai oleh kebanyakan mazhab. Selepas dibukukan dan ditulis, kaedah ini menjadi lebih utuh dan dikenali.
Menurut Imam al-Qurafi dalam kitab ‘al-Furuq’ menyatakan bahawa kaedah ini penting dalam permalasahan fiqh, ianya menyingkap manhaj dalam mengeluarkan fatwa. Menurut Abu Abdullah Muhammad Bin Ali Bin Umar al-Mazuri al-Maliki dalam kitab ‘al-Muallim’ menyatakan bahawa, maka jadikanlah ilmu Kaedah Fiqh ini sebagai kayu ukur dalam fatwa, dan pada ilmu ini jugalah terkumpulnya kata-kata ulama’ yang terdahulu dan inya adalah seni dalam fatwa. Dapat disimpulkan di sini beberapa kepentingan ilmu ini, antaranya :
A) Kaedah fiqh ini berperanan dalam meringankan pengambilan hukum fiqh dengan cara menyusun masalah fiqh yang furu’ dengan satu cara atau kaedah yang umum. Kalau lah tanpa kaedah ini, maka masalah furu’ akan bertentangan antara satu sama lain tanpa ada asal yang boleh dipegang.
B) Mempelajari kaedah ini, mampu untuk menjaga dan memelihara masalah fiqh yang banyak yang saling bertentangan dengan menjadikan kaedah ini cara untuk menghadirkan hukum.
C) Mendidik para pengkaji ilmu untuk mengeluarkan hukum dengan kaedah tersebut.
3.6 Kepentingan Kaedah Fiqh Dalam Menentukan Hukum Pada Masa Kini:
1) Kita mengakui keadaan zaman ini sudah banyak perubahan yang berlaku dan membuka kepada beberapa permasalahan yang baru yang belum dibincangkan di kalangan ulama’ yang terdahulu. Justeru perlu adanya jawapan dalam permasalahan tersebut di dalam Islam. Adalah mustahil, untuk mengeluarkan hukum atas nama hukum fiqh Islam jika sekiranya tidak disandarkan kepada sumber pensyariatan di dalam Islam. Antara lain, dengan penguasaan dan pemahaman kaedah fiqh ini, ianya mampu untuk dijadikan sandaran dan disiplin dalam mengeluarkan sesuatu hukum selain bersandarkan kepada ilmu usul fiqh, maqasid fiqh dan lain-lain.
2) Oleh kerana terdapat banyak perkara baru yang muncul, timbul golongan yang mempersiakan nas syarak dengan mengatakan ianya tidak mengikut kesesuaian zaman. Kesannya timbul golongan yang mengeluarkan hukum berdasarkan hawa nafsu dan akal semata-mata. Tanpa disedari bahawa kaedah fiqh ini adalah salah satu cabang keluasan dalam fiqh Islam yang membuka ruang kepada apa jua masalah yang timbul tetapi berlandaskan batasan syarak yang diterjemahkan di dalam kaedah fiqh tersebut.
3) Antara nikmat yang hilang di kalangan umat Islam hari ini adalah pengamalan ijtihad dalam fiqh. Hilangnya amalan ijtihad hari ini memandulkan umat Islam dan menyebabkan mereka terkongkong dalam dunia fiqh yang sempit dan berkecamuk. Tanpa membura ruang kepada perbahasan yang baru, menjadikan fiqh Islam tidak relevan setiap masa. Sedangkan Islam telah menetapkan kaedah dan disiplin yang umum untuk menjawab permasalahan itu.
4) Dengan kaedah fiqh yang dirungkaikan, pintu ijtihad yang dlihat sudah tertutup, mampu dibuka kembali dan menyemai budaya ilmu dalam masyarakat Islam
.
5) Kaedah fiqh ini mendidik para penganut Islam supaya bersikap terbuka tetapi di dalam batas-batas yang ditetapkan syara’. Keterbukaan ini, mampu mengembangkan fiqh Islam dan menghalang pengambilan hukum berdasarkan akal semata-mata tanpa di sana adanya nas yang jelas menyokong hukum tersebut.
BAB EMPAT
4.0 MAQASID AL-SYARI’AH MENURUT ISLAM
4.1 Definisi
Maqasid al-syariah bermaksud tujuan atau matlamat syarak dan rahsia-rahsia disebalik hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. syariat bertujuan untuk memberi kebahagian kepada individu dan komuniti di dalam memelihara undang-undang untuk mentadbir dunia bagi mencapai kebaikkan dan ketamadunan (Ibn Ashur. 1978: 51)
Mengikut penafsiran Ibnu Ashur (1978: 18) pula, definasi maqasid syari’ah dibahagi kepada dua iatu maqasid umum dan maqasid khusus. Yang dimaksudkan dengan maqasid umum adalah makna-makna, hikmah-hikmah dan matlamat yang dikenal pasti menjadi asas kepada al-syari’ah dalam pensyariatan kepada kesemua hukum-hukum.
Sebahagian besarnya yang diperolehi melalui penilaian yang tidak terhad hanya kepada pengkajian jenis-jenis tertentu sahaja daripada hukum-hukum tersebut., akan tetapi diperolehi melalui penilaian hukum secara menyeluruh , antaranya untuk menjaga system, mengarahkan aktiviti dan tindakan manusia kearah yang mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan. Maqasid khusus pula adalah makna-makna atau hikmah-hikmah yang dikenal pasti menjadi tujuan syariat dalam bab jenayah,muamalat, munakahat dan sebagainya (Ibn Ashur 1978: 78)
Berdasarkan defenasi diatas, boleh disimpulkan disini bahawa maqasid al-syari’ah adalah makna atau hikmah yang dikenal pasti melalui pensyariatan sama ada secara umum atau khusus, untuk kebaikan umta manusia, sama ada dalam urusan seharian dan kehidupan mereka didunia dan diakhirat.
4.2 Dalil Dan Kepentingan Maqasid Syari’ah
Terdapat banyak dalil yang membuktikan dan menunjukkan bahawa maqasid syari’ah adalah untuk meraikan kemaslahatan manusia sejagat. Antaranya adalah firman Allah S.W.T
Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Allah Taala berfirman :
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami Dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat Yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan Yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan
Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam).
Maqasid al-syari’ah amat diperlukan dalam mengistinbat atau menilai sesuatau hukum bagi permasalahan kontemporari yang tidak ada nas mengenainya melaui metode al-qiyas, al-istihsan dan seumpamanya (al-Zuhayli 2001: 1046)
4.3 Bahagian Maqasid Syari’ah
Para ulamak’ membahagikan maqasid syariah dalam tiga bahagian:
1) Al-Dharuriyyat
2) Al- Hajiyyat
3) Al- Tahsiniyyat
4.3.1 Pengertian al-Dharuriyyat
Al- dharuriyyat diertikan dengan sesuatu yang mesti ada demi untuk mencapai kemaslahatan agama dan dunia. Ketiadaannya akan menyebabkan berlakunya kerosakan dan kehilangan kehidupan serta susah untuk mencari makan, minum, melakukan ibadah dan sebagainya. Maslahah atau maqasid dharuriyah ini terdiri daripada lima perkara iatu menjaga agama ( al-din ), menjaga jiwa ( al-nafs) menjaga keturunan (an-nasl), menjaga harta (al-mal) menjaga akal( al-aql). (al-Syatibi t.th :8)
Al-dharuriyyat merupakan maslahah yang terpenting berbanding dengan hajiyyat dan tahsiniyyat. Ini kerana seluruh sistem hidup manusia amat bergantung kepadanya dan sekiranya maslahah ini tidak dipenuhi, maka kehidupan manusia akan menjadi pincang dan manusia akan kehilangan nikmat yang abadi serta berhadapan dengan azab siksa daripada Allah di akhirat kelak. (Ad-dasuki& Al-Jabir 1999:43)
Hal ini ternyata berbeza dengan maslahah-maslahah hajiyat dan tahsiniyat kerana ketiadaan kedua-dua kategori maslahah tersebut tidak akan sampai menyebabkan berlaku kepincangan kepada system hidup manusia. Walaubagaimanapun, untuk memberi kemudahan dan menghapuskan kesulitan manusia, maslahah hajiyat tetap juga penting untuk dipenuhi dan disediakan
4.3.2 Dalil al-Dharuriyat al-Khamsah
Diantara dalil yang menjadi sandaran kepada al-Dharuriyat al-Khamsah ini ialah
Firman Allah Taala:
Maksudnya: . Katakanlah: "Marilah, supaya Aku bacakan apa Yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, Iaitu janganlah kamu sekutukan Dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah Yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - Yang terang daripadanya dan Yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa Yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.
"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan Dengan cara Yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya Dengan sendiri); dan sempurnakanlah Segala sukatan dan timbangan Dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang Dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".
4.4 MASALAH DHARURIYATHIFZ AL-MAL(MEMELIHARA HARTA)
4.4.1 Pengertian Hifz Mal
Hifz mal atau memelihara harta merupakan sebahagian daripada keperluan bagi manusia untuk hidup. Harta pada hakikatnya adalah milik Allah dan manusia bertindak sebagai pemegang amanah yang mana penggunaannya perlu menuntut keteapan syarak (Amir Husin 1992:113)
Harta menurur pandangan Mazhab Hanafi merupakan benda atau barang yang boleh dikawal dan kebiasaannya boleh diambil faedah daripadanya. Manakala bagi pandangan jumhur ulamak, bermaksud setiap perkara (barang) yang ada harga (nilai) jika dirosakkan, maka orang yang merosakkan itu mestilah membayar ganti rugi (al-Zuhaily 2005:41-43)
Seterusnya hak milik dalam pandangan syarak bermaksud hubungan manusia dengan harta yang diakui oleh syarak dimana harta itu dikhaskan baginya yang menghalang orang lain campur tangan tentangnya. Maka kepemilikan dalam hukum islam dibahagikan kepada dua jenis bahagian (al-Zuhaily 2005: 57-59)
i) kepemilikan sempurna yang bermaksud memiliki zat sesuatu benda bersama dengan manfaatnya dan segala hak yang diakui ialah tabiat untuk pemilik tersebut
ii) kepemilikan tidak sempurna bermaksud memiliki zat harta sahaja atau manfaatnya sahaja.
4.4.2 Dalil Syarak Berkaitan Hiz al-Mal
Firman Allah Taala:
, kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (al-Nisa :29)
4.5 PERANAN SYARI’AH DALAM MEMELIHARA HARTA
4.5.1 Hifz al-Mal Sebagai Matlamat Syari’ah
Dalam kehidupan manusia, harta merupakan unsure terpenting dimana harta itu pada umumnya digunakan dalam aktiviti muamalah dan hubungan manusia sesame manusia seperti jual beli, sewa menyewa,wasiat dan lain-lain. Maka penjagaan harta tidak hanya diutamkan kepada kepemilikan harta yang bersifat individu, tetapi juga ditekankan kepada kepemilikan umat islam secara am. Oleh itu, para pemegang kuasa seperti polisi umat islam dituntut untuk menjaga harta umat islam, baik penjagaan yang berhubungkait dengan wujudnya perputaran harta muslim dengan non muslim ataupun sesame umat islam.
4.5.2 Memelihara Harta Dari Segi Kewujudannya
Penjagaan terhadap harta menuntut pertanggungjawaban seseorang untuk menjaga harta yang diamanahkan kepadanya
Selain itu, penjagaan terhadap harta juga mewajibkan seseorang untuk menghormati harta orang lain, sehingga diwajibkan membayar ganti rugi daripada setiap keorsakkan yang dilakukan terhadap harta tersebut. (Ibn Ashur 2001:473-474)
4.5.3 Dorongan mencari harta
Harta merupakan aset yang penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia. Allah menggalakkan umat islam untuk mencari harta yang sememangnya dikurniakan dan disediakan untuk manusia sebagaimana firman Allah:
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).
4.5.4 Memelihara Harta Daripada Kerosakkan Dan Kemusnahan
Selain daripada aspek kewujudan harta , Allah meletakkan kaedah tegahan dan hukuman bagi menjamin pemeliharaan harta individu atau masyarkat daripada sebrang kerosakkan atau kemusnahan.
4.5.5 Pengharaman Jenayah Mencuri
Syariat Islam mengkategorikan kesalahan mencuri termasuk dalam hukuman hudud kerana mencuri dianggap telah melanggar hak orang lain. Hukuman terhadap orang yang mencuri diterjemahkan melalui firman Allah:
Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
4.5.6 Pengharam Riba
Riba merupakan amalan yang dianngap oleh islam sebagai mngambil harta orang lain secara tidak sah. Ia merupakan satu penindasan dari orang yang berkemampuan ke atas golongan yang miskin atau tidak berkemampuan. Pengharam riba dinyatakan dalam al-Quran
Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
4.5.7 Pengharaman judi
Bagi memelihara harta, islam telah mengharamkan judi kerana ia merupakan jalan kepada kemusnahan harta dan kekacauan dalam masyarakat. Orang yang berjudi dianggap sebagai orang yang membazirkan harta. Pengharam judi dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
PENUTUP
Berdasarkan perbahasan diatas kita dapati hikmat perundangan Islam ini jelas menunjukkan bahawa ia merupakan syariat Islam yang sangat penting bagi memahami asas, tujuan dan hikmah sesuatu hukum yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Agama Islam menjaga seluruh aspek kehidupan manusia dunia dan akhirat .Sifat kesyumulan inilah yang membezakan Islam dengan agama-agama lainnya dan ketinggiannya sebagai ad-din sebagai cara hidup manusia sejagat.Mengapa manusia masih lagi buta mata hatinya melihat keunggulan Islam dan kesempurnaanya.Sesungguhnya Allah telah berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 3:
.Maksudnya: Pada hari ini telah KUsempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah KU-cukupkan kepadamu nikmatKU, dan telah KU ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Kesimpulan yang dapat dibuat disini ialah:
1. Dalam menentukan hukum, di sana ada disiplin-disiplin yang telah ditetapkan dalam mengeluarkan sesuatu hokum,inilah yang dinamakan kaedah.
2. Mereka yang mahir dan fakih dalam kedua-dua bidang ilmu ini,dia mampu dan berupaya menyelesaikan segala permasalahan baru yang timbul tanpa terhad kepada tempat dan masa.
3. Sebagai salah satu wadah atau senjata dalam menepis tombahan yang dilontarkan musuh –musuh islam yang melabelkan islam ini agama jumud, tidak relevan dan menyekat pembangunan tamadun manusia.
Allah Taala tatkala mencipta manusia , dalam ilmunya dia telah mengetahui bahawa manusia ini makhluk yang berfikir dan bertamadun.Oleh itu satu syariat yang amat sesuai perlu ada untuk menjaga dan membawa Maslahah dan menolak Mafsadah.
RUJUKAN
Al-Quran dan terjemahan.1997. Kuala Lumpur: Pustaka Antara
Muhammad shalih al-Utsaimin, Pengenalan ringkas kepada ilmu Ushul al-Fiqh.
Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini, 2003,Matan al-Warakat fi al-Ushul al-Fiqhi,
Dar al-Salam.
Al-Zarkasyi, Badruddin Muhammad bin Bahadir, al-Bahru al-Muhit fi Ushul al-Fiqh, 2003,
Beirut,Lubnan.Dar al-Kutub al-lmiah.
Al-Syatibi, Ibn Ishak.1997. al-Muafaqat. Arab Saudi: Dar al-Fikr
Al-Zuhaily. Wahbah.2001. Usul al-Fiqh al-Islami. Jil 2. Damsyiq: Dar al-Fikr
Amir Hussin Mohd Nor dan Abdul Basir Mohamad. 2002. Falsafah Perundangan Islam. Mahzun Books Services: Selangor
Ibn Asyur, Muhammad al-Tahir. 1978. Maqasid al- syaariah al-Islamiah. Tunis: Syirkah al-Tunisiyyah Li al-Tauzi
http://madarasahwasatiyyah.blogspot.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan