DONATE

Khamis, 23 April 2009

MASALAH KELEMAHAN MAHKAMAH SYARIAH YANG DIPERKATAKAN OLEH MASYARAKAT DAN PENYELESAIANNYA


BAB 1
MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA


Mahkamah Syariah Sebelum Penjajahan

Undang-undang Islam telah diamalkan di Tanah Melayu sebelum kedatangan British lagi. Ini dapat dilihat melalui Undang-Undang Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Undang-Undang Melaka telah menjadi asas kepada undang-undang negeri Melayu yang lain seperti Pahang, Kedah dan Perak. Selain itu, Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 telah mencatatkan bahawa hukuman zina adalah berdasarkan undang-undang Islam. (Mahamad Arifin et.al. 2007:77)

Selain itu catatan dalam Buku Sejarah Melayu ada menceritakan tentang penguatkuasaan undang-undang bagi pencuri ketika pemerintahan Sultan Alaudin Syah, anak kepada Sultan Mansur Syah. Catatannya adalah seperti berikut :

“Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri. Maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya…….Maka daripada hari itulah datang kepada akhirnya tiada pencuri lagi di dalam negeri Melaka”. (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:3)

Salah satu bukti lain yang menunjukkan bahawa undang-undang Islam telah diamalkan di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah ialah dengan merujuk kepada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 22 Februari 1303 bersamaan 4 Rejab 702 disebut :

“Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah Dewata Maha Raya jika merdeka bujang palu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hinggakan pinggang dihambalang dengan batu matikan” (Ahmad Mohamad Ibrahim. 1997:481)

Mahkamah Syariah Semasa Penjajahan

Hakikatnya, sebelum tahun 1948, kedudukan Mahkamah Syariah masih lagi berada dalam struktur Mahkamah Negara beserta dengan mahkamah yang lain. Namun dengan lulusnya “Courts Ordinance 1948”, Mahkamah Syariah yang terdiri daripada Mahkamah Kadi dan Mahkamah Penolong Kadi telah dipisahkan daripada susunan Mahkamah Persekutuan. (Zaini Nasohah. 2004:69)

Kedatangan British ke Tanah Melayu telah membawa bersama undang-undang mereka. Penubuhan sistem kehakiman British dengan kemasukan pegawai British yang terlatih dalam undang-undang Brtitish dan penggubalan undang-undang berdasarkan undang-undang British telah sedikit sebanyak menyebabkan undang-undang Islam terpinggir (Mahamad Arifin et.al. 2007:78)

Peminggiran undang-undang Islam dapat dilihat apabila Mahkamah Syariah hanya diletakkan sebagai sebuah mahkamah yang bertaraf mahkamah rendah sahaja. Selain itu, Mahkamah Syariah juga mempunyai struktur yang daif dan undang-undang serta bidangkuasanya juga amat terbatas. Malahan terdapat kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam yang dihakimi oleh orang-orang bukan Islam dengan dibantu sahaja oleh orang Islam. Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Syariah pula boleh didengar oleh sebuah badan rayuan yang dianggotai oleh orang bukan Islam. (Mahamad Arifin et.al. 2007:78)

Mahkamah Syariah Selepas Merdeka

Kedudukan Mahkamah Syariah boleh dikatakan beransur kukuh selepas zaman kemerdekaan dengan tertubuhnya Mahkamah Syariah di setiap Negeri. Walaubagaimanapun ianya masih belum pulih sepenuhnya dari zaman penjajahan British kerana keterbatasannya dari segi kuasa, kekurangan tenaga kerja, ketiadaan tatacara dan pelaksanaan perintah. (Mahamad Arifin et.al. 2007:80)

Ketika ini Mahkamah Syariah tidak mempunyai peruntukan undang-undang dan tatacara, yang menyebabkan pihak Mahkamah Syariah terpaksa merujuk kepada undang-undang keterangan dan tatacara yang digunapakai dalam Mahkamah Sivil. Sekiranya terdapat pertelagahan atau ketidakpuasan hati terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah, pihak yang terlibat boleh membuat rayuan di Mahkamah Sivil. Kerendahan taraf Mahkamah Syariah dapat dilihat apabila Mahkamah Sivil boleh memutuskan satu ketetapan yang baru tanpa mengambil kira keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah sebelumnya (Mahamad Arifin et.al. 2007:80)

Ini dapat dilihat dalam kes Myriam lwn Mohamad Ariff (1971) yang mana Mahkamah Syariah telah mengesahkan perceraian mereka dan telah memutuskan hak penjagaan dan lawatan terhadap anak-anak. Namun kemudian mereka tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, dan membawa kes tersebut ke Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil telah memutuskan bahawa adalah tidak menjadi masalah untuknya mendengar kes tersebut kerana ia berpendapat sekiranya terdapat percanggahan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah maka bidangkuasa sivil harus mengatasi bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ini dapat dilihat di dalam Enakmen Pentadbiran Syariah Negeri Selangor 1952 (Mahamad Arifin et.al. 2007:86)

Begitu juga dengan bidangkuasa membicarakan kes, Mahkamah Kadi atau Mahkamah Kadi Besar hanya boleh membicarakan kes yang nilai perkaranya tidak melebihi RM3000. Keputusan yang dibuat oleh oleh kedua-dua mahkamah ini boleh dirayu ke Mahkamah Sivil dan keputusannya boleh diubah oleh Mahkamah Sivil sepertimana yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 :

“Tiada satu pun yang ada di dalam undang-undang ini boleh mengenai kuasa Mahkamah Mal. Jika ada berlawanan oleh sebab berbangkit daripada keputusan Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi atau keputusan Mahkamah Mal menjatuhkan hukum dalam kuasanya, keputusan Mahkamah Mal hendaklah dipakai”. (Zaini Nasohah. 2004:69)

Kepincangan ini telah disedari oleh Kerajaan dan satu usaha penambahbaikan Mahkamah Syariah telah dilakukan pada tahun 1988 yang menetapkan bahawa Mahkamah Sivil tidak harus menggunakan bidang kuasanya dalam perkara yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadapnya (Mahamad Arifin et.al. 2007:86)

Selain itu, terdapat usaha untuk memulihkan kedudukan Mahkamah Syariah yang mana ianya bermula pada tahun 1980-an. Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa yang bertindak untuk mengkaji kedudukan Mahkamah Syariah dan membuat cadangan untuk mengatasinya. Hasil daripada penubuhan jawatankuasa tersebut, maka berlakulah penambahbaikan struktur pentadbiran Mahkamah Syariah, penambahan tenaga kerja dan sebagainya. (Mahamad Arifin et.al. 2007:80)

Kedudukan Mahkamah Syariah Menurut Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa kuasa agama Islam adalah berada di bawah bidang kuasa Sultan atau Negeri. Sehubungan itulah Mahkamah Syariah tidak boleh diletakkan di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan situasi ini, sebenarnya adalah jelas kedudukan Mahkamah Syariah adalah sama taraf dengan Mahkamah Sivil (Mahamad Arifin et.al. 2007:84)

Dengan itu, kedudukan Mahkamah Syariah dalam tempoh 41 tahun selepas kemerdekaan bertambah baik dengan adanya pindaan terhadap perkara 121 (1988) yang menetapkan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri urusan penghakiman Mahkamah Syariah kerana kedudukannya bukanlah sebagai sebuah mahkamah rendah dalam sistem perundangan negara, tetapi ianya adalah sebuah mahkamah yang sama taraf dengan Mahkamah Sivil. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah (1992) :

“Apa yang dilakukan oleh Perkara 121 (1A) adalah memberikan bidangkuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam mentadbir undang-undang Islam berkaitan. Dalam ertikata lain, perkara 121 (1A) merupakan peruntukan yang menghalang pertembungan bidangkuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah”

Beliau juga menegaskan :

“…adalah jelas maksud Parlimen melalui perkara 121 (1A) adalah bagi menarik balik bidangkuasa Mahkamah Tinggi (sivil) terhadap apa jua perkara yang tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.” (Mahamad Arifin et.al. 2007:84 & Siti Shamsiah Md Supi. 2005:55)


BAB 2
ASPEK KELEMAHAN MAHKAMAH SYARIAH YANG
SERING DIPERKATAKAN OLEH MASYARAKAT
DAN LANGKAH MENGATASINYA


Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang diperkatakan oleh masyarakat awam mengenai kelemahan di dalam pengurusan serta pentadbiran yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah di Malaysia. Di dalam penulisan ini, penulis akan cuba membentangkan beberapa kelemahan dan kekurangan yang sering diperkatakan oleh masyarakat dan beberapa langkah penyelesaiannya samada yang telah dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah serta Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atau yang masih di dalam bentuk cadangan.

KELEMAHAN MAHKAMAH SYARIAH DAN JALAN PENYELESAIANNYA :

Pertama :

Mahkamah Syariah Hanya Boleh Membicarakan Kesalahan Yang Melibatkan Orang-Orang Islam Sahaja

Meskipun negeri mempunyai bidang kuasa membuat perundangan mengenai hukum syarak akan tetapi ianya hanya setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan akta yang telah membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara Jenayah Syariah. Sehubungan itu, undang-undang yang diperbuat hanya boleh dilaksanakan ke atas orang-orang Islam sahaja. Ini kerana kuasa undang-undang Jenayah ini telah diperuntukkan dalam Jadual Ke Sembilan, Senarai Perundangan, Senarai 2-Senarai Negeri yang memperuntukkan :

“….mengadakan dan menghukum kesalahan-keslahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…” (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:7 & 96)

Ini merupakan satu kelemahan yang terdapat dalam Mahkamah Syariah terutama dalam kes yang melibatkan penentuan agama bagi seseorang yang telah mati. Keadaan ini telah berlaku seperti dalam kes Dalip Kaur vs Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam@Anor yang mana orang yang agamanya hendak ditentukan telah mati. Permasalahan yang timbul ialah pemohon dalam kes ini iaitu ibunya bukan beragama Islam sedangkan persoalan murtad berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dia tidak boleh memfailkan permohonannya di Mahkamah Syariah kerana dia bukan beragama Islam. Sehubungan itu peguambela dan Penasihat Undang-Undang Negeri telah menerima fakta bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk mendengarnya. (Zulkifli Hasan et.al. 2007:25)

Walaubagaimanapun dalam persoalan ini, masalah bidangkuasa tidak dibincangkan langsung. Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah ini Mahkamah Sivil telah membuat keputusan fakta dan mengemukakan persoalan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan untuk dijawab. Selepas mendapat jawapan, Mahkamah Sivil menggunapakai keputusan tersebut bagi membuat keputusan. (Zulkifli Hasan et.al. 2007:26) Sehubungan itu permasalahan seperti ini telahpun ada jalan penyelesaiannya.

Kedua :
Bidangkuasa Yang Sangat Terhad


Walaupun negeri-negeri diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah dan mengadakan undang-undang yang boleh menghukum mana-mana orang yang melakukan kesalahan sebagaimana yang diperuntukkan, namun kuasa yang dibenarkan ini adalah amat terhad kerana dibatasi oleh Perlembagaan dan Akta-Akta tertentu. Oleh itu Mahkamah Syariah hanya diberikuasa untuk menjatuhkan hukuman denda yang tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau sebatan tidak melebihi 6 kali atau kombinasi daripada mana-mana hukuman tersebut (Zulkifli Hasan et.al. 2007:3)

Akibat daripada keterbatasan bidangkuasa Mahkamah Syariah ini, beberapa kes jenayah yang sepatutnya melibatkan undang-undang hudud dan qisas seperti zina, minum arak dan sebagainya, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah (Zaini Nasohah. 2004:83-84)

Fenomena ini berpunca daripada undang-undang Jenayah yang pada umumnya berlandaskan Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah yang berlandaskan prinsip Undang-Undang Inggeris dan telah sebati dengan perundangan Malaysia. Oleh yang demikian perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Jenayah, peraturan-peraturan keterangan dan prosedur, perjanjian kontrak, undang-undang tanah dan sebagainya telah menurut prinsip Undang-Undang Inggeris dan telah menggantikan pelaksanaan undang-undang adat Melayu dan Undang-Undang Islam. Kesannya ialah, pelaksanaan undang-undang Islam hanya dilaksanakan dalam perkara tertentu seperti kekeluargaan, faraid serta beberapa aspek tertentu dalam kesalahan jenayah menurut Islam seperti minum arak, zina dan sebagainya (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:93 & 96)

Ketiga :
Ketidak Seragaman Undang-Undang Antara Negeri


Salah satu masalah yang sedia dihadapi oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah sekarang ini seperti yang diperkatakan oleh YAA Datuk Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ialah ketiadaan penyeragaman undang-undang. Sebagaimana yang sedia dimaklumi bahawa undang-undang yang digunapakai adalah berbeza-beza antara negeri kerana setiap negeri mempunyai bidangkuasanya yang tersendiri. Perbezaan ini menyebabkan banyak masalah yang berlaku seperti pengeluaran perintah yang pelbagai dari beberapa negeri sedangkan ianya datang dari pihak-pihak yang sama. Penguatkuasaan perintah, saman dan waran tangkap juga tidak dapat dilaksanakan apabila timbulnya permasalahan dari segi ketidakseragaman undang-undang tersebut terutama yang melibatkan perintah bersaling (reciprocal). Selain itu, permasalahan ini timbul akibat daripada setiap negeri mempunyai badan pembuat undang-undangnya sendiri iaitu Dewan Undangan Negeri masing-masing (Zulkifli Hasan et.al. 2007:6)

Walaubagaimanapun, permasalahn ini sedikit sebanyak telah dapat diselesaikan apabila Majlis Hal Ehwal Kebangsaan Agama Islam (MKI) yang diurusetiakan oleh JAKIM telah menyediakan lima undang-undang yang seragam yang telah diluluskan oleh Majlis Raja-Raja pada 22 Mac 2001. Undang-undang tersebut ialah Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Acara Jenayah, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam. (Zulkifli Hasan et.al. 2007:6)

Walaupun begitu permasalahan ini masih lagi berlarutan apabila adanya negeri yang masih belum menerima pakai dan mewartakan undang-undang tersebut antaranya Pahang yang hanya meluluskan dua undang-undang sahaja, Kedah masih belum meluluskannya langsung, Wilayah Persekutuan telah meluluskan tiga undang-undang, Perlis telah meluluskan dua undang-undang manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing meluluskan empat undang-undang tersebut. (Zulkifli Hasan et.al. 2007:7)

Selain itu, permasalahan ketidakseragaman undang-undang dibimbangi akan menghasilkan keputusan yang tidak selaras terutamanya dalam kes di Mahkamah Rayuan Syariah. Sehubungan itu, JKSM telah melakukan perbincangan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri bagi tujuan melantik Ketua Hakim Syarie dan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan JKSM sebagai panel tetap Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri. Ia bertujuan untuk mewujudkan satu panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang sama dalam mengendalikan kes rayuan di seluruh Negara. Selain itu ia juga dapat mewujudkan keputusan yang selaras yang akan dapat dijadikan sebagai panduan kepada mahkamah bawahan yang lain. (Zulkifli Hasan et.al. 2007:9-10)

Keempat :
Kelewatan Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Syarie


Sebagai contoh, perlantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah sering mengalami masalah kelewatan perlantikan terutama sekali apabila berlaku pertukaran Hakim atau perlantikan Hakim yang baru. Kelewatan ini banyak menyebabkan kes tertangguh pendengarannya. Ia seringkali menimbulkan rungutan dan kritikan masyarakat. Permaslahan ini timbul kerana perlantikan hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi dilantik dan ditauliahkan oleh Sultan/Raja/Yang Dipertuan Agong dengan nasihat Ketua Hakim Syarie.

Oleh itu bagi menyelesaikan kemelut sebegini berterusan, adalah sesuai sekiranya satu peruntukan diwujudkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam/Mahkamah Syariah bagi membolehkan Raja/Sultan memberikan kuasa istikhlaf kepada Ketua Hakim Syarie bagi pihak Raja/Sultan untuk memberi tauliah kepada Hakim-Hakmi Mahkamah Rendah Syariah. Dengan kuasa seperti ini, sebaik sahaja seorang Hakim Mahkamah Rendah ditugaskan di sesebuah negeri, pada hari itu juga dia boleh ditauliahkan dan terus boleh menjalankan tugas kehakimannya (Zulkifli Hasan et.al. 2007:12)

Begitu juga dengan permasalahan perlantikan peguam syarie, yang mana perlantikan mereka adalah tidak selaras antara negeri-negeri. Mana-mana peguam yang hendak beramal di 14 buah negeri di Malaysia perlu memohon secara berasingan di setiap negeri tersebut. Walaubagaimanapun, permasalahan ini sedikit sebanyak telah diselesaikan dengan pembaharuan dalam subseksyen 4 yang telah memberi sedikit ruang kepada peguam syarie yang telah diterima beramal di sesebuah negeri, boleh terus diterima beramal di negeri yang lain setelah permohonan dikemukakan kepada Majlis dengan menyertakan keterangan yang dia telah diterima masuk sebagai peguam syarie di negeri itu. Walaupun begitu peruntukan ini masih belum dilaksanakan di kebanyakan negeri dengan alasan kaedah-kaedah peguam Syarie masih belum dipinda atau masih belum wujud lagi (Zulkifli Hasan et.al. 2007:14)

Kelima :
Terlalu Banyak Kes Yang Tertangguh Dan Tertunggak


Satu lagi isu yang sering kedengaran di dada akhbar ialah banyak kes di Mahkamah Syariah yang lambat diselesaikan atau memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Perkara ini telah dijelaskan oleh YAA Dato Aria Diraja Dato’ Haji Daud bin Muhammad, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan bahawa permasalahan itu bukanlah berpunca daripada Mahkamah Syariah akan tetapi berpunca daripada pihak-pihak yang terlibat atau peguam masing-masing. Ini kerana apabila kedua-dua pihak tidak dapat memberikan persetujuan sudah tentu kesnya akan tertangguh. Dengan itu Mahkamah Syariah telah melaksanakan kaedah Sulh bagi meyelesaikan permasalahan ini. Satu berita baik bagi permasalahan ini ialah apabila peruntukan Sulh telah dimasukkan di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah seperti Negeri Kelantan tahun 2002 dan Negeri Selangor tahun 2001 (Zulkifli Hasan et.al. 2007:45-47)

Keenam :
Tidak Dapat Memutuskan Isu Yang Berkaitan Dengan Kewangan Islam


Dalam perkara bank, perbankan, insuran dan sebagainya, Mahkamah Sivil dalam amalannya akan mentadbirkan undang-undang menggunakan prinsip Undang-Undang Inggeris, dan tidak terkecuali dalam menyelesaikan kes-kes dari Perbankan Islam dan Takaful. Ini kerana pada masa yang lalu, Mahkamah Sivil bebas dan tidak terikat dengan prinsip-prinsip Syariah. Ini kerana dokumen yang diperbuat mengambil kira kedudukan undang-undang yang sedia ada seperti Contract Act 1950. Oleh sebab Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa dalam pertikaian yang timbul mengenai perbankan Islam dan tiada undang-undang muamalah bertulis mengenainya, ini akan menimbulkan kerumitan kepada Mahkamah dalam memberikan keputusan yang tepat sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak. Pergantungan kepada pandangan fiqh yang pelbagai akan menimbulkan ketidakpastian mazhab yang hendak dipakai. Permasalahan akan menjadi bertambah rumit apabila tiada hakim di Mahkamah Sivil yang mampu menangani masalah tersebut (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:17)

Sehubungan itu, bagi menyelesaikan kemelut yang timbul dalam permasalahan seperti itu, maka Akta Bank Negara 1958 telah dipinda dengan memperuntukkan bahawa persoalan Hukum Syarak yang berkaitan dengan kewangan Islam yang timbul di mahkamah Sivil hendaklah dirujuk kepada Lembaga Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Ini juga bagi memastikan keseragaman keputusan mengenai permasalahan yang serupa (Zulkifli Hasan et.al. 2007:26)

Ketujuh :
Mahkamah Syariah Adalah Mahkamah Yang Rendah Tarafnya


Prof Ahmad Mohamed Ibrahim telah menjelaskan berhubung dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah, akta yang pertama mengenainya telah dibuat pada tahun 1965 iaitu hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya sekali. Lebih kurang dua puluh tahun kemudian iatu pada tahun 1984, Mahkamah Syariah diberi kuasa yang lebih tinggi dalam perkara jenayah iaitu menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga lima ribu ringgit atau sebat tidak melebihi enam pukulan atau gabungan hukuman tersebut. Selepas itu undang-undang ini tidak dikaji lagi. Maka telah sampai masanya Mahkamah Syariah diberi kuasa yang lebih dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah jenayah syariah. Ada beberapa kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sekarang apabila disabitkan di Mahkamah Syariah hukumannya adalah lebih ringan berbanding kesalahan yang sama apabila dihadapkan ke Mahkamah Sivil. Keadaan ini sudah pasti menyebabkan kedudukan Mahkamah Syariah dipandang rendah oleh masyarakat (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:19)


CADANGAN PENAMBAHBAIKAN MAHKAMAH SYARIAH:

Terdapat banyak cadangan yang boleh dikemukakan bagi menambahbaik kedudukan dan fungsi Mahkamah Syariah di Malaysia antaranya :

Pertama :
Pemusatan Kuasa Pentadbiran Kehakiman Islam


Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Universiti Sains Islam Malaysia telah menjelaskan antara langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan taraf Mahkamah Syariah ialah dengan memusatkan kuasa Pentadbiran Kehakiman Islam dibawah satu badan khas. Dengan itu, Mahkamah Syariah negeri-negeri perlu bergabung antara satu sama lain dan dikawal oleh badan tersebut. Antara sebab terkebelakangnya Mahkamah Syariah ialah kerana ia masih berada di bawah bidang kuasa negeri yang menyebabkan ianya dipandang sebagai sebuah institusi kecil dan kuasanya hanya boleh dilaksanakan di negeri terbabit sahaja. Sehubungan itu, bagi merealisasikan tujuan tersebut, Ketua Hakim Syarie dan Mufti perlu memainkan peranan dalam menjelaskan tujuan penggabungan tesebut, matlamatnya, kesannya dalam jangka panjang dan sebagainya kepada Sultan/Raja negeri terbabit (Irwan Mohd Subri et.al.2005:28-30)

Kedua :
Peranan Kerajaan


Pihak Kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan Mahkamah Syariah tidak ketinggalan berbanding dengan Mahkamah Sivil. Antara keperihatinan Kerajaan dalam menaiktaraf Mahkamah Syariah ialah dengan membuat satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam perkara 121 (1A) (Irwan Mohd Subri et.al.2005:28-30)sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Walaubagaimanapun pindaan 121 (1A) adalah merupakan satu langkah yang sangat penting tetapi ianya perlu dijadikan titik permulaan dan bukannya sebagai kesudahan. Oleh itu banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh Kerajaan dalam menaik taraf undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah di Malaysia antaranya (Ahmad Mohamed Ibrahim. 1997:42) :

- Memperbaiki dan meninggikan taraf pentadbiran undang-undang Islam di Mahkamah Syariah

- Melihat kepada undang-undang bertulis di peringkat Persekutuan dan Negeri dan mengubah mana-mana peruntukan yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

- Mengadakan cara dan undang-undang untuk mengembalikan undang-undang Islam sebagai undang-undang asas di Malaysia.

Walaubagaimanapun dengan tidak menafikan usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan, kita perlu mengingati bahawa undang-undang yang lengkap sahaja tidak memadai sekiranya ia tidak disertakan dengan keupayaan agensi terbabit untuk mentadbirnya dengan sebaik mungkin.

Ketiga :
Mewujudkan Institusi Kajian Yang Berautoriti


Memandangkan undang-undang Islam ini telah lama terhenti perkembangannya dalam aspek pelaksanaannya, maka kajian yang menyeluruh diperlukan untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini. Kajian ini bertujuan untuk mengambil asas-asas perundangan Islam yang sesuai dilaksanakan di sesebuah Negara kerana terdapatnya perbezaan pandangan Ulama dalam isu-isu tertentu. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti samada undang-undang yang diamalkan sekarang bercanggah dengan Islam atau pun tidak. Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan Islam yang perlu dikekalkan dan undang-undang yang bercanggah dengan Islam yang perlu dihapuskan. Badan kajian seumpama ini sebenarnya telah pun wujud di beberapa Negara yang berusaha melaksanakan syariah seperti Pakistan dengan Islamic Ideology Council dan Sudan dengan Majma’ al-Fiqhnya (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:79-80)

Keempat :
Membina Kesedaran Masyarakat Tentang Kepentingan Undang-Undang Islam


Masyarakat kita telah leka dengan undang-undang penjajah yang telah lama diamalkan di Negara kita. Sehubungan itu, masyarakat perlu diberikan kesedaran semula tentang pentingnya pelaksanaan undang-undang Islam dalam kehidupan dan Negara. Bagi merealisasikan hasrat ini maka usaha penyedaran perlu dilakukan samada secara rasmi atau tidak rasmi. Melalui pendekatan rasmi, undang-undang Islam perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan bagi memahamkan para pelajar tentang undang-undang Islam secara tepat dan kepentingannya dalam kehidupan. Selain itu, melalui pendekatan tidak rasmi, kita perlu menggunakan media cetak, media elektronik dan sebagainya bagi memberikan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang undang-undang Islam dengan tepat (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:80-81)

Langkah pelaksanaan undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan dengan tergesa-gesa, tetapi orang Islam perlu memainkan peranannya dalam mempelajari dan meyakini bahawa undang-undang Islam itu adalah yang terbaik dan adil bagi semua bangsa, kaum dan ketika (Ahmad Mohamed Ibrahim. 1997:10)

Kelima :
Menggubal Undang-Undang Islam Dalam Bentuk Akta Dan Statut


Khazanah perundangan Islam amat banyak terutama dalam kitab-kitab Fiqh yang pelbagai mazhab. Bagi tujuan pelaksanaan ianya akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu kes dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang beerjilid-jilid tebalnya itu.Oleh itu adalah lebih praktikal sekiranya undang-undang Islam itu dikanunkan bagi memudahkan pengamal undang-undang merujuk kepadanya. Antara kebaikan usaha kodifikasi undang-undang ini ialah (Siti Shamsiah Md Supi. 2005:81-84):

- Usaha untuk meringkaskan pandangan ulama dalam satu mazhab atau yang berlainan mazhab.

- Memudahkan para hakim untuk melaksanakan sesuatu undang-undang kerana tidak perlu lagi merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang tebal dan sebagainya.

- Mengurangkan percanggahan pendapat dan keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Syariah.

Keenam :
Meminda Perlembagaan Persekutuan


Dijelaskan oleh Prof Ahmad Mohamad Ibrahim bahawa tujuan untuk meninggikan undang-undang Islam khususnya bidangkuasa Mahkamah Syariah maka satu perkara dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah diadakan seperti :

“ Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang Islam hendaklah terbatal dan dianggap tidak sah setakat mana yang ia bertentangan itu”(Ahmad Mohamad Ibrahim 1997 : 15)

Di England telah banyak perubahan yang dibuat terhadap undang-undang yang menjadikannya lebih dekat kepada undang-undang Islam. Tetapi sayangnya kita di Malaysia hingga hari ini kerapkali mengikut sahaja pembaharuan yang dibuat oleh mereka sedangkan contoh yang terbaik boleh didapati daripada undang-undang Islam (Ahmad Mohamad Ibrahim 1997 : 11)

Ketujuh :
Penambahbaikan Skim Perjawatan di Mahkamah Syariah


Meskipun Pegawai Mahkamah Syariah adalah pegawai negeri, skim perkhidmatan, syarat perlantikan dan perkhidmatan, gaji dan elaun mereka adalah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Persekutuan. Jawatan dalam kehakiman dan perundangan negeri adalah amat terhad dan tidak banyak peluang untuk kenaikan pangkat dalam perkhidmatan itu. Oleh itu terdapat pegawai yang berkelayakan dalam bidang kehakiman tidak menceburkan diri dalam bidang tersebut akibat daripada masalah yang dijelaskan. Sekiranya perkhidmatan tersebut diadakan diperingkat Persekutuan, skim dan perlantikan serta yang lain-lain lagi akan dapat diseragamkan dan sudah tentu peluang kenaikan pangkat akan menjadi lebih banyak lagi kerana ianya tidak lagi tertutup kepada negeri itu sahaja (Ahmad Mohamad Ibrahim 1997 : 48)

Kelapan :
Latihan yang Profesional


Sememangnya Mahkamah Syariah diletakkan di tempat yang rendah terutama sekali apabila dilihat dalam aspek bangunan, jumlah kakitangan dan sebagainya. Hakim-Hakim Mahkamah Syariah tidak diberikan kelayakan professional yang menyebabkan ramai graduan yang berkelulusan dalam bidang tersebut tidak berminat menjadi hakim di Mahkamah Syariah. Selain itu undang-undang acara dan keterangan yang dikenakan di Mahkamah Syariah tidak jelas. Enakmen negeri memperuntukkan kegunaan undang-undang sivil mengenai acara mal dan jenayah serta keterangan akan tetapi undang-undang itu sukar difahami kerana ianya dalam Bahasa Inggeris (Ahmad Mohamad Ibrahim 1997 :148) Oleh itu satu latihan yang berbentuk professional perlu diadakan bagi mempertingkatkan kefahaman para hakim di Mahkamah Syariah.

Selain itu beban yang dipikul oleh Mahkamah Syariah adalah amat berat. Hakim Mahkamah Syariahlah yang akan menunjukkan bahawa hukum syarak bukan sahaja yang terbaik dari segi teorinya tetapi juga terbaik dari segi pelaksanaannya. Jika mereka gagal dalam menghakimi kes, bukan mereka sahaja yang akan dikecam tetapi juga hukum syarak akan turut dikatakan tidak adil. Justeru itu perhatian yang berat perlu diberikan kepada pendidikan dan latihan pegawai kehakiman dan perundangan yang akan terlibat dengan pentadbiran hukum syarak di Mahkamah Syariah. Mereka perlu diberikan latihan ikhtisas sekurang-kurangnya seperti hakim di Mahkamah Sivil ataupun lebih baik dari itu (Ahmad Mohamed Ibrahim. 1997:59-60)


KESIMPULAN


Daripada penulisan ini, satu kesimpulan yang dapat dijelaskan ialah memang tidak dinafikan bahawa terlalu banyak kelemahan yang terdapat dalam pentadbiran dan pengurusan yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah di Malaysia. Walaubagaimanapun sesetangah kelemahan tersebut telah pun diatasi oleh pihak Kerajaan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Namun perkara tersebut tidak diwar-warkan kepada masyarakat yang menyebabkan masyarakat terus menganggap bahawa Mahkamah Syariah tidak mengambil sebarang inisiatif terhadap kritikan atau teguran masyarakat yang mana pada hakikatnya beberapa kelemahan tersebut telah pun di atasi. Permasalahan ini adalah disebabkan media massa atau media cetak yang tidak mengambil perhatian dalam mengenengahkan isu yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam.

Selain itu, perkara yang dapat diketengahkan hasil dari penulisan ini ialah bagi memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia khususnya, pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia dalam beberapa perkara perlu dilakukan (Abdul Monir Yaacob. 1999:25)

Kefahaman masyarakat tentang kepentingan pelaksanaan undang-undang Islam yang menyeluruh perlu diperkasakan lagi bagi tujuan mempertingkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah.


BIBLIOGRAFI

Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob. 1999. Kesalahan Murtad:Perspektif Syarak Dan Perundangan. Cetakan Pertama. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Prof. Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim. 1997. Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur:Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Irwan Mohd Subri, Azman Abdul Rahman, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dr Farida Zouzou. 2005. Diskusi Syariah Dan Undang-Undang Siri 2. Cetakan Pertama. Nilai:Fakulti Syariah Dan Undang-Undang USIM

Mahamad Arifin et al. 2007. Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Malaysia. Cetakan Pertama. Selangor: Dawama Sdn Bhd.

Siti Shamsiah Md Supi. 2005. Asas Dan Kerangka Perundangan Negara Islam-Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur:Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Dr. Zaini Nasohah. 2004. Pentadbiran Undang-Undang Islam Di Malaysia Sebelum Dan Menjelang Merdeka. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur:Utusan Publications And Distributors Sdn Bhd.

Zulkifli Hasan, Abdul Hamid Abdul Murad, Arif Fahmi Md Yusof. 2007. Amalan Guaman Dan Kehakiman Syarie Di Malaysia. Cetakan Pertama. Nilai: Kolej Universiti Islam Malaysia

Tiada ulasan: