Oleh: ASMADI MOHAMED NAIM
ABSTRAK
Artikel ini bertujuan untuk menganalisis dan membuat perbandingan antara
transaksi gadaian tradisional dan transaksi gadaian Islam yang diamalkan
di Malaysia menurut perspektif Islam. Penganalisisan dilakukan secara
kualitatif. Artikel ini memulakan perbincangan dengan membincangkan
peraturan dan prosedur pengurusan sistem gadaian Islam, kemudian diikuti
oleh analisis perbandingan di antara dua sistem yang bertentangan dari segi
peraturan dan teori menurut perundangan Islam. Artikel ini merumuskan
bahawa banyak perundangan Islam, malah terdapat ramai pengamal yang
mengambil sistem Islam adalah “tidak betul-betul sesuai” dengan ajaran yang
terdapat dalam perundangan Islam.
ABSTRACT
This article seeks to analyze and compare between the traditional pawning
transactions and Islamic pawning transactions practiced in Malaysia as seen
from the Islamic perspective. The analysis is qualitative in its approach, the
usual approach normally adopted by most Islamic scholars. The article begins
with the discussion of the rules and procedures governing the Islamic mortgage
system, followed by comparative analysis of the two systems against the
rules and theories as prescribed by the Islamic law. The article concludes that
many of the Islamic law, whilst some practices adopted by the Islamic system
are “not truly in compliance” with the teaching of the Islamic law.
PENDAHULUAN
Dalam dunia kewangan moden, kewangan Islam adalah dibentuk dalam arus
dunia kewangan konvensional yang menekankan bahawa wang dapat melahirkan
wang tanpa perlu menanggung risiko perniagaan seperti jual beli. Untuk menyusuri
arus tersebut, para sarjana Islam berdepan dengan tugas antara mengekalkan
keaslian kontrak-kontrak (akad-akad) yang wujud dalam kerangka ajaran Islam
tanpa mengenepikan keperluan kepada perubahan bersesuaian dengan zaman,
atau menafsirkan kandungan kitab suci al-Quran dan al-Sunnah untuk berdepan
dengan zaman yang sedang dilalui. Namun pentafsiran tersebut, ada kalanya
tidak terkeluar daripada kerangka ajaran Islam, dan ada kalanya ia tersasar jauh
daripada kerangka ajaran Islam.
Artikel ini bertujuan untuk menilai kembali perlaksanaan sistem gadaian
Islam yang sedang dilaksanakan di pusat-pusat gadaian Islam (skim al-rahn)
sebagai ganti kepada kedai-kedai pajak gadai konvensional. Perbincangan
ditumpukan kepada perlaksanaan skim al-rahn serta aspek kebaikan dan
kelemahannya daripada sudut perundangan Islam, permasalahan gadaian
menurut perspektif perundangan Islam, analisa transaksi kedai pajak-gadai
konvensional dan skim al-rahn.
Perundangan Islam meletakkan tiga cara untuk menjaga kepentingan
pemiutang dalam urusan mereka ketika memberi hutang iaitu:
1. Pemberian hutang secara bertulis (al-kitabah).
2. Pemberian hutang dengan disaksikan oleh saksi-saksi (al-shahadah).
3. Pemberian hutang melalui meminta gadaian (al-rahn).
Ayat berkaitan al-mudayanah (hutang) dan al-rahn (gadaian) ini boleh dilihat
dalam surah al-Baqarah, ayat 282 dan 283:
282. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya Dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang Yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu Dengan jelas). dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. kemudian jika orang Yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya Dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang Yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika Yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan Yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh Yang seorang lagi. dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang Yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai Yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. dan kalau kamu melakukan (Apa Yang dilarang itu), maka Sesungguhnya Yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) Yang ada pada kamu. oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
283. dan jika kamu berada Dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang Yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang Yang memberi hutang). kemudian kalau Yang memberi hutang percaya kepada Yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) Yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang Yang diamanahkan kepadaNya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. dan janganlah kamu (Wahai orang-orang Yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara Yang dipersaksikan itu. dan sesiapa Yang menyembunyikannya, maka Sesungguhnya ia adalah orang Yang berdosa hatinya. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.
Transaksi gadaian terjadi apabila seseorang (yang tidak mempunyai sumber kewangan contohnya) ingin berhutang dengan pemiutang. Pemiutang memberikannya duit yang dipinta dengan mensyaratkan supaya penghutang meletakkan sesuatu barang yang bernilai
untuk dijadikan cagaran dan disimpan oleh pemiutang secara wadicah atau amanah. Contohnya barang perhiasan emas. Barang tersebut akan dijual oleh pemiutang selepas tamat tempoh pembayaran hutang, sekiranya hutang gagal dijelaskan oleh penghutang tersebut.
DEFINISI AL-RAHN
Al-rahn adalah istilah yang diambil daripada kata terbitan bahasa Arab. Al-rahn
adalah berasal daripada kata perbuatan rahana yang bermakna menggadaikan.
Perkataan ini membawa maksud kena gadai (atau digadaikan), sebagaimana kata
terbitan al-khalq membawa makna kena jadi atau dijadikan (al-Faruz, Abadi
1997, 2: 1570).
Definisi al-rahn menurut istilah undang-undang Islam ialah sebagaimana
yang diperkatakan oleh para ulama Maliki iaitu:
Pemberian seseorang yang diizinkan berkontrak, sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu
yang mempunyai gharar (yang sedikit) sebagai sandaran (jaminan) ke atas sesuatu hak
(Muhammad 'Ulaisy t.th.,5: 56-57; al-Dasuqi, t.th., 3: 231).
Definisi ini adalah meliputi definisi yang digunapakai oleh empat mazhab
utama ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab
Hanbali. Penggunaan perkataan “pemberian” meliputi semua urusniaga sama
ada gadaian atau jual beli atau selainnya. Ungkapan “seseorang yang diizinkan
berkontrak” meliputi mukallaf yang dizinkan bertransaksi mengikut perundangan
Islam iaitu berakal, baligh dan tidak boros.
Manakala ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang
mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa makna sesuatu perkara yang boleh
digunakan dalam berkontrak contohnya berjual beli. Gharar dalam bahasa Arab
adalah berasal daripada kata perbuatan gharra bermakna memperdaya. Dari segi
istilah, gharar ialah sesuatu yang tidak diketahui kewujudannya atau
ketiadaannya; atau tidak diketahui jumlahnya sama ada sedikit atau banyak;
atau sesuatu yang tidak mampu diserahkan ketika berkontrak. Gharar yang sedikit
pada pandangan mazhab Maliki ialah sesuatu ketidakpastian yang masyarakat
memaafkannya (Sa’di Abu Jaib t.th.: 171).
Ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar
(yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Terdapat
perkara yang tidak boleh digadaikan iaitu sesuatu yang tidak boleh dijualbeli
seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya. Ungkapan ini memberi pengertian
umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfacah (manfaat daripada
benda) berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan
benda” atau manfacah sebagai perkara yang digadaikan. Contohnya ‘sesuatu
hutang’ sebagai perkara yang digadaikan.
Ungkapan “atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa
pengertian berdasarkan mazhab Maliki, kepada pembenaran penggadaian sesuatu
yang mempunyai unsur gharar yang sedikit. Manakala ungkapan “jaminan”
memberi erti bahawa kontrak ini khusus kepada kontrak gadaian dan bukan
terhadap kontrak selainnya, iaitu sesuatu perkara itu menjadi jaminan ke atas
hutang yang diberikan oleh pemiutang. Ungkapan “kepada sesuatu hak” pula
meliputi gadaian kerana berhutang atau benda yang dipinjam. Ia bersesuaian
kerana ungkapan “hak” ini lebih umum. Istilah hak adalah meliputi hutang atau
barang yang dipinjam kerana sesetengah mazhab mengkhususkan gadaian
terhadap hutang sahaja dan tidak terhadap benda yang dipinjam (lihat al-Kawakibi
1324H.: 107; al-Qadiri t.th., 8: 232; Muhammad ‘Ulaisy t.th., 5: 56-57; al-Dasuqi
t.th., 3: 231; al-Syarbini t.th., 2: 121. al-Qalyubi; Ahmad Ahmad al-Salamah t.th.,
2: 261; Ibn Qudamah t.th., 4: 366).
RUKUN GADAIAN
Terdapat dua pandangan utama dalam memperkatakan mengenai rukun gadaian
iaitu pandangan jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Shafie dan
Hanbali, serta pandangan mazhab Hanafi. Dalam hal ini, jumhur ulama (mazhab
Maliki, Shafie dan Hanbali) menyatakan bahawa secara amnya terdapat empat
rukun dalam sesuatu kontrak gadaian. Empat rukun dalam kontrak gadaian
tersebut ialah 1) dua orang yang berkontrak (al-caqidan iaitu penggadai atau
al-rahin; dan penerima gadaian atau al-murtahin), 2) lafaz kontrak (sighah) iaitu
ijab (lafaz memberi gadaian) dan qabul (lafaz menerima gadaian), 3) perkara yang
digadaikan (al-marhun), dan 4) hak yang menjadi sebab sesuatu itu digadai
(al-marhun bihi).
Sesetengah ulama menyatakan bahawa terdapat enam rukun gadaian kerana mereka menjadikan dua orang yang berkontrak sebagai dua rukun; dan ijab dan qabul juga sebagai dua rukun yang berbeza (al-Qarafi 1994, 8: 78; al-Syarbani t.th., 2: 121). Mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa terdapat dua rukun dalam sesuatu kontrak gadaian iaitu ijab dan qabul. Individu atau pihak yang berkontrak dan perkara yang digadaikan terhadap sesuatu hak merupakan perkara yang mendatang dan mesti zahir apabila adanya ijab dan qabul.
Terdapat juga sebahagian besar daripada mereka yang menyatakan bahawa
hanya ada satu rukun sahaja pada kontrak gadaian (al-rahn) iaitu ijab (lafaz
menggadaikan). Ini adalah kerana kontrak gadaian adalah kontrak tabarru’ (iaitu
kontrak sukarela dan kebajikan yang berbentuk umum meliputi sedekah, memberi
pinjam dan sebagainya). Pandangan ini ditolak oleh sebahagian kecil ulama
mazhab Hanafi. Mereka menetapkan dua rukun tersebut (ijab dan qabul) pada
gadaian. Ini adalah kerana walaupun kontrak gadaian merupakan kontrak
tabarruc, namun ia bukan kontrak tabarruc dari semua segi. Pada mereka, terdapat
juga pada kontrak gadaian ini makna mucawadah atau “pertukaran barang dengan
sesuatu yang lain” (al-Kawakibi 1324H: 109; al-Qadiri t.th., 8: 231).
Walaupun begitu para ulama tidak menafikan al-rahn ini merupakan kontrak
tabarru'. Kontrak tabarruc ialah kontrak kebajikan berupa menyedekahkan
penggunaan wang tanpa mengambil keuntungan dengan menyandarkan sesuatu
barang sebagai jaminan. Tidak timbul dalam kontrak ini, mereka mendapatkan
untung daripada penyimpanan barang sebagaimana dalam skim al-rahn yang
dilaksanakan dewasa ini, kerana perbelanjaan menjaga barang gadaian mengikut
kadarnya yang sebenar tanpa mengambil untung, tidak terpisah daripada kontrak
gadaian itu sendiri. Memberi pinjaman atau hutang dari pihak pemiutang adalah
sedekah. Memberi sesuatu barang daripada pihak penghutang kepada pemiutang
sebagai jaminan kepada hutangnya juga adalah sedekah.
Oleh itu, pertikaian terhadap transaksi ar-rahn ialah apabila diubah kontrak
al-rahn daripada hakikat kontrak untuk bersedekah (tabarruc) kepada kontrak
mencari keuntungan. Ia berlaku melalui tambahan “kontrak upah simpan” antara
penghutang dan pemiutang. Ini menyebabkan unsur-unsur yang dipertikaikan
dimasukkan lebih-lebih lagi al-rahn berbeza dengan gadaian konvensional yang
menjadikan barang sebagai sandaran dan pinjaman dikenakan kadar faedah
tertentu.
Antara masalah gadaian mengikut perundangan Islam ialah segala kos
menjaga barang milik penghutang akan ditanggung oleh penghutang kerana
barang itu adalah miliknya. Menurut ulama fekah, penghutang hanya membayar
kos yang sebenar untuk menjaga barang gadaian. Sebarang pengambilan untung
daripada kos tersebut oleh pemiutang adalah riba kepada pinjaman wang, kerana
pemiutang menyimpan barang gadaian daripada penghutang berasaskan akad
(kontrak) gadaian dan bukan kontrak upah yang berasingan. Transaksi kontrak
gadaian sudah meliputi peminjaman wang atau barang dan penyerahan barang
gadaian. Sekaligus meliputi juga tanggungjawab penghutang untuk membayar
kos sebenar menjaga barang gadaian miliknya tanpa perlu kepada kontrak upah
yang baru.
Jikalau ada keuntungan daripada kontrak al-rahn yang merupakan kontrak
tabarruc, maka ia adalah keuntungan maknawi, iaitu keuntungan yang datang
secara tidak langsung seperti orang miskin merasa terbela yang membawa kepada
keselamatan harta orang-orang kaya. Pemberi hutang pula mendapat pahala dan
ganjaran di sisi Allah (s.w.t.).
HUKUM BERKAITAN BARANG GADAIAN
Dari perspektif perundangan Islam, terdapat beberapa hukum berkaitan barang
gadaian. Hukum berkaitan barang gadaian mengikut perundangan Islam tersebut
ialah:
1. Nafkah terhadap barang gadaian
Para ulama muktabar membezakan dua bentuk nafkah, iaitu nafkah untuk
meneruskan kewujudan dan nafkah penjagaannya. Mereka bersepakat
bahawa penggadai (al-rahin) yang juga penghutang, wajib menanggung
perbelanjaan memastikan penerusan kewujudan sesuatu yang
digadaikannya. Contohnya perbelanjaan memastikan kereta yang digadaikan
dalam keadaan sempurna melalui servis yang berterusan merupakan
tanggungjawab penghutang/penggadai (pemilik kereta). Namun, mereka
berbeza pandangan dalam menentukan sama ada perbelanjaan selainnya
(seperti menyediakan tempat letak kereta) merupakan sebahagian kos yang
perlu ditanggung oleh penggadai (iaitu penghutang tersebut) atau
sebaliknya?
Terdapat dua pandangan utama dalam permasalahan ini iaitu:
a. Kebanyakan ulama (jumhur ulama) berpandangan bahawa perbelanjaan
menjaga barang gadaian adalah tertanggung di bahu penggadai. Ia meliputi
perbelanjaan berupa sesuatu yang “meneruskan kewujudannya” atau
sesuatu perkara lain untuk menjaganya. Ia berasaskan bahawa segala
perbelanjaan tersebut adalah untuk faedah penggadai itu sendiri iaitu
menjaga kesempurnaan barang penggadai (Qadi Zadah Afandi t.th., 1: 101;
al-Sharbani t.th., 2: 136; Ibn Qudamah t.th., 4: 436; al-San’ani t.th., 3: 236).
b. Mazhab Hanafi berpandangan bahawa perbelanjaan untuk “meneruskan
kewujudan” barang gadaian adalah tanggungan penggadai. Manakala
perbelanjaan untuk menjaganya seperti tempat letak kereta yang khusus
adalah tertanggung di atas tanggungjawab penerima gadaian (pemiutang).
Ia berdasarkan kepada pandangan bahawa penerima gadaian memegang
barang tersebut untuk faedah dirinya iaitu sandaran ke atas pinjaman atau
hutang yang diberikan. Oleh itu, penerima gadaian tidak berhak untuk
meminta perbelanjaan tersebut dari penggadai (Qadi Zadah Afandi t.th., 1:
101).
Dalam permasalahan ini, transaksi gadaian di pusat-pusat al-rahn mengambil
pandangan kebanyakan ulama yang menyatakan bahawa tanggungjawab kos
penjagaan terletak di bahu penggadai (pemilik barang). Namun, ia tidak bermakna
penerima gadaian (pemiutang) boleh mengambil lebih daripada kos sebenar atas
nama upah berdasarkan kaedah “kull qard jarra nafcan fahuwa riba” iaitu
setiap pinjaman yang mengambil atau mendapat faedah maka ia adalah riba (al-
Shirazi 1995, 2: 83-84).
2. Penggunaan atau mengambil manfaat daripada barang gadaian (al-intifac
bi al-marhun). Perbincangan mengenai permasalahan mengambil manfaat
daripada barang gadaian merangkumi dua topik utama iaitu:
a. Permasalahan pemiutang (yang juga penerima gadaian atau al-murtahin)
mengambil manfaat atau menggunakan barang gadaian.
b. Permasalahan penggadai (al-rahin) mengambil manfaat daripada barang
miliknya yang berada di tangan penerima gadaian (pemiutang tersebut).
Perbincangan hanya menumpu kepada pemasalahan pertama sahaja iaitu
pemasalahan penerima gadaian (al-murtahin) iaitu pemiutang mendapat faedah
daripada barang yang diserahkan kepadanya untuk gadaian dengan izin
penggadai. Muhammad Uthman Shubayr (1996: 236) menukilkan dalam bukunya
bahawa keseluruhan faedah atau manfaat yang didapati daripada barang gadaian
adalah hak tuan punya barang tersebut iaitu penghutang yang menggadaikannya.
Pandangan ini merupakan kata sepakat para fuqaha’. Penerima gadaian tidak
berhak menggunakannya tanpa izin dari pemiliknya sekiranya barang gadaian
tersebut bukan daripada jenis yang boleh diperah susunya atau boleh ditunggangi
(Muhammad Uthman Shubayr 1996: 236). Hukum yang berbeza sedikit
bagi barang gadaian yang boleh menghasilkan sesuatu (contohnya haiwan yang
mengeluarkan susu) dan boleh ditunggang (contohnya kuda, kereta dan
sebagainya).
Para ulama berselisih pandangan kepada tiga pandangan berbeza mengenai
masalah sekiranya penggadai membenarkan penerima gadaian menggunakan
barang gadaian tersebut (mengambil faedah daripadanya) iaitu:
1. Pandangan yang melarang pemiutang atau penerima gadaian tersebut
menggunakannya secara mutlak. Pandangan ini dipelopori oleh sebahagian ulama
mazhab Hanafi, satu pandangan yang lebih terkenal dalam mazhab Shafie dan
Imam Ahmad bin Hanbal (al-Mawardi t.th., 6: 245; al-Sharbini t.th.: 121; wahbah
al-Zuhayly 1987, 5:257; al-Shafie Abd al-Rahman 1978: 129).
Maksud menggunakan barang gadaian adalah seumpama sewa secara
percuma. Penggunaan adalah sesuatu yang mempunyai nilai wang. Oleh itu,
meletakkan syarat pemberian manfacah adalah riba kerana penghutang terpaksa
membayar hutang secara penuh dan menyerahkan barang gadaian untuk
digunakan pada masa yang sama, iaitu penghutang membayar hutangnya dengan
cara bayaran pinjaman dan penggunaan barang secara percuma. Dalam hal ini,
berlaku padanya kaedah kull qard jarra naf’an fahuwa riba iaitu setiap pinjaman
yang berlaku pengambilan faedah atau manfaat daripada pinjaman tersebut maka
ia adalah riba. Pemiutang mengambil faedah menggunakan barang hasil daripada
pemberian hutang kepada pemilik barang gadaian.
2. Pandangan yang membenarkan pemiutang atau penerima gadaian
menggunakannya secara mutlak. Pandangan ini dipelopori sebahagian kecil ulama
mazhab Hanafi dan mazhab syiah Jacfariyyah. Mereka berhujah bahawa seseorang
itu bebas menyedekahkan penggunaan barangnya kepada sesiapa yang disukai
berdasarkan kepada Hadith: “Tidak halal (menggunakan atau mengambil) harta
seseorang Muslim kecuali dia mengizinkan” (Ibn Hibban t.th.,13: 316-317).
Menurut mereka, seseorang itu bebas dan berhak meminjamkan barang
gadaiannya sama ada kepada penerima gadaian atau bukan penerima gadaian.
Namun pentafsiran tersebut ditolak oleh para ulama kerana Hadith tersebut
bukanlah umum sebegitu. Sebaliknya ia terikat kepada perkara yang tidak
membawa kepada perkara haram umpamanya mewujudkan riba.
Manakala penggunaan kaedah qiyas iaitu mengiaskan (qiyas usuli) seseorang itu bebas
menyedekahkan penggunaan sesuatu barang pada sesiapapun sebagaimana
dalam al-rahn, dengan kebebasan yang dinyatakan dalam hadith, merupakan
qiyas yang batil. Qiyas ini menurut istilah ulama usul fekah ialah qiyas maca alfariq
iaitu mengiaskan sesuatu perkara kepada sesuatu yang berbeza, kerana
kalau tidak kerana pinjaman nescaya pemilik barang tersebut akan melarikan
barangnya dan tidak meminjamkan kepada penerima gadaian (Itfish t.th., 11: 220;
al-Tusi t.th., 2: 100; Wahbah al-Zuhayly t.th., 5: 257).
3. Pandangan yang membenarkan penerima gadaian menggunakan barang
gadaian sekiranya penggadai mengizinkannya dengan syarat hak yang dituntut
bukannya hak yang terhasil daripada pinjaman wang tunai (termasuk emas dan
perak). Sebaliknya ia adalah hak ke atas hutang daripada pertukaran barang
seperti jual beli. Dalam keadaan tersebut, ia dibenarkan sekiranya ditentukan
tempoh penggunaan barang gadaian tersebut. Syariat Islam membezakan
berhutang melalui urusan jual beli dan meminjam wang tunai.
Contohnya, seseorang membeli rumah dengan cara berhutang. Ia menggadaikan
tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak tersebut, ia membenarkan
penerima gadaian menggunakan tanahnya tersebut untuk sesuatu tempoh
tertentu. Kontrak ini dibenarkan mengikut pandangan ini yang dipelopori para
ulama mazhab Maliki, sebahagian ulama mazhab Shafie dan mazhab Hanbali.
Mereka mensyaratkan hutang tersebut adalah hutang jual beli dan bukan dari
pinjaman wang tunai. Pinjaman wang tunai mempunyai beberapa peraturan yang
ketat untuk mengelakkan riba. Kaedahnya riba pinjaman wang tunai ialah sebarang
pembayaran lebih terhadap kadar asal sama ada berbentuk wang tunai atau
penggunaan barang adalah riba. Ia berdasarkan kaedah: kull qard jarra nafcan
fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah darinya
maka ia adalah riba. Justeru mereka membenarkan penggunaan barang oleh
penerima gadaian (yang juga pemiutang dan pemegang barang gadaian tersebut)
pada hutang yang terhasil daripada jual beli.
Terdapat dua bentuk bayaran untuk jual beli secara hutang. Umpamanya,
seseorang yang membeli rumah dengan harga seratus ribu ringgit secara hutang
dengan bank. Ia menggadaikan tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak ini, ia
mengizinkan penerima gadaian (bank) menggunakan tanahnya untuk tempoh
setahun. Pada transaksi ini, harga rumah yang dibeli oleh penghutang (yang
juga penggadai) dibayar dalam dua bentuk iaitu seratus ribu ringgit dan sewa
tanah selama setahun. Oleh itu, menurut Ibn Qudamah (t.th., 4: 431) dan al-
San’ani (t.th., 3: 238), tujuan mereka mensyaratkan penetapan tempoh penggunaan
adalah supaya tidak timbul persoalan ketidaktentuan pada harga (jahalah).
Bentuk ini membuktikan bahawa ulama-ulama muktabar amat berhati-hati
pada permasalahan riba. Sebarang bayaran lebih daripada pinjaman wang tunai
yang diberi dengan menggunakan nama sedekah, upah, hadiah adalah riba.
Pandangan ini adalah berdasarkan kaedah kull qard jarra nafcan fahuwa riba
iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah daripadanya maka ia
adalah riba. Kalau tidak kerana pinjaman nescaya penghutang tidak akan
memberikan upah, hadiah atau sedekah tersebut. Para sarjana Islam membenarkan
pengambilan bayaran kos pentadbiran dengan syarat kos tersebut adalah kos
sebenar pentadbiran tersebut dan bukannya sebagai satu alasan untuk
mengambil keuntungan dengan meletakkan kadar yang melebihi kos sebenar
pentadbiran.
ANALISIS DAN KRITIKAN TERHADAP TRANSAKSI GADAIAN
KONVENSIONAL DAN SKIM AL-RAHN
Analisis dan kriktikan ini ditumpukan dalam konteks transaksi gadaian semasa
yang dilaksanakan di Malaysia. Tujuannya ialah untuk mengkaji sama ada ia
daripada sistem konvensional atau skim al-rahn.
TRANSAKSI DI KEDAI PAJAK-GADAI KONVENSIONAL
Sistem gadaian konvensional adalah suatu sistem gadaian yang tidak menjadikan
perundangan Islam sebagai asas dan dasar kepada penubuhannya. Namun, ia
tidak bermaksud tidak boleh dilakukan analisis kritis terhadapnya kerana tidak
semua perlaksanaannya bertentangan dengan perundangan Islam. Transaksi
gadaian di tempat ini dilakukan apabila seseorang (penghutang) memohon
daripada pemilik pajak-gadai (pemiutang) pinjaman wang untuk dibayar pada
tempoh yang tertentu iaitu tidak melebihi enam bulan (boleh ditambah tiga bulan
bergantung kepada permintaan dan syarat-syarat tertentu). Pemohon hutang
mesti mengemukakan sesuatu gadaian (perhiasan emas merupakan barang
gadaian yang banyak digunakan walaupun undang-undang tidak menentukan).
Pemohon tersebut mengemukakan barang gadaian kepada pemiutang untuk
diperiksa dan pemiutang menulis segala sifat barang gadaian secara terperinci
pada buku catatan gadaian. Pemohon akan menerima resit rasmi bersama-sama
wang pinjaman yang dipintanya, berdasarkan syarat-syarat yang termaktub pada
perjanjian pinjaman tersebut dan akta pajak-gadai 1972 (1994).
Dalam transaksi tersebut, terdapat lima syarat utama yang termaktub dalam
resit rasmi dan dalam akta pajak-gadai 1972 (1994) iaitu:
1. Syarat pertama ialah syarat yang menyatakan bahawa penghutang yang
juga penggadai perlu membayar lima puluh sen sebagai bayaran perkhidmatan.
Mengikut perundangan Islam pembayaran tersebut adalah tidak bersalahan selagi
ia tidak membawa kepada pengambilan bayaran melebihi kos sebenar
pentadbiran. Sebaliknya pengambilan bayaran kos pentadbiran melebihi kos
hakiki pentadbiran adalah dilarang. Ini adalah kerana ia merupakan pengambilan
tambahan terhadap nilai asal pinjaman dengan nama kos pentadbiran, dan ia
adalah riba (Muhammad Uthman Shubayr t.th.: 258-259).
2. Syarat yang kedua ialah penghutang mesti membayar faedah atau bunga
pada kadar dua peratus sebulan ke atas jumlah pinjaman. Syarat ini bertentangan
dengan perundangan Islam secara langsung yang tidak membenarkan
penambahan kepada kadar asal pinjaman berdasarkan tempoh masa sebagaimana
ketetapan yang dibuat oleh Majlis Penyelidikan Islam dalam persidangannya
yang kedua pada tahun 1965. Ia menyatakan bahawa segala jenis faedah ke atas
semua jenis pinjaman adalah riba yang diharamkan oleh perundangan Islam
(Muhammad Uthman Shubayr t.th.: 222).
3. Syarat ketiga ialah kegagalan membayar balik pinjaman pada tempoh yang
ditetapkan menyebabkan barang gadaian berada dalam dua keadaan. Pertama,
sekiranya harga barang gadaian kurang dari seratus ringgit maka barang tersebut
menjadi milik pemiutang. Kedua, sekiranya barang tersebut harganya melebihi
seratus ringgit, maka ia hendaklah dilelong oleh pelelong berlesen. Ringkasnya,
syarat ketiga ini mengandungi dua perkara iaitu pertama mensyaratkan pemilikan
barang gadaian kepada pemiutang sekiranya penghutang gagal membayar hutang
(yang kadarnya kurang dari seratus ringgit) dalam tempoh yang ditetapkan.
Keduanya mensyaratkan supaya barang gadaian dijual kepada umum sekiranya
penghutang gagal menjelaskan (hutang yang melebihi seratus ringgit) dalam
tempoh yang ditetapkan.
Perundangan Islam melarang meletakkan syarat pemilikan barang gadaian
kepada pemiutang, walaupun kadar hutangnya hanya seratus ringgit. Menurut
Imam al-Shaukani larangan tersebut adalah bertujuan membatalkan amalan
jahiliah yang membolehkan barang gadaian menjadi milik pemiutang apabila
penghutang gagal membayar hutangnya (al-Shaukani t.th., 5: 265). Manakala
syarat supaya dijual barang tersebut, adalah dibenarkan dalam perundangan
Islam.
4. Syarat keempat ialah penghutang boleh meminta supaya ditambah tempoh
bayaran dengan syarat membayar keseluruhan faedah bagi hutang untuk tempoh
enam bulan yang lepas. Syarat ini adalah bertentangan dengan perundangan
Islam, kerana di dalamnya terdapat syarat pembayaran riba. Manakala melanjutkan
tempoh bayaran kepada tempoh yang akan datang dibenarkan sekiranya tiada
sebarang pertambahan bayaran dan dipersetujui oleh pemiutang.
5. Syarat kelima ialah penggadai (penghutang) berhak ke atas baki harga barang
gadaian yang telah dijual setelah ditolak kadar hutang, faedah dan upah
pengurusan sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang Malaysia. Syarat ini
menepati kehendak perundangan Islam kecuali pada permasalahan membayar
kadar faedah (riba) hutang tersebut.
Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa transaksi gadaian konvensional
adalah berdiri di atas konsep riba yang diharamkan dalam perundangan Islam
iaitu penetapan kadar faedah dua peratus sebulan.
TRANSAKSI GADAIAN DI PUSAT GADAIAN ISLAM (SKIM AL-RAHN)
Transaksi gadaian di pusat gadaian Islam (skim al-rahn) ini dilakukan apabila
seseorang yang ingin berhutang wang tunai membuat permohonan berhutang
dan menggadaikan barang gadaian kepada pusat tersebut. Penghutang hanya
dibenarkan berhutang sejumlah wang yang tidak melebihi lima puluh peratus
atau enam puluh peratus daripada harga barang gadaian. Wang tunai tersebut
diberikan oleh pihak pusat gadaian sebagai satu pinjaman kebajikan (tanpa
peratusan keuntungan atau faedah), dan penghutang hanya perlu membayar
upah sewa menyimpan barang gadaian kepada pusat gadaian.
Ringkasnya, pusat gadaian hanya mengambil keuntungan daripada sewaan
dan bukan daripada pinjaman wang tunai tersebut. Hasil keuntungan wang
sewaan tersebut akan menjadi sumber kepada kepesatan penubuhan pusatpusat
gadaian Islam. Persoalannya, adakah wang sewa tersebut sememangnya
wang sewa, atau riba yang diberi nama dengan nama yang lain dalam sistem ini?
Mengikut perjanjian gadaian oleh Pusat al-rahn milik Persatuan Pengguna
Islam Pahang pada pertengahan tahun 1999, transaksi ini juga mengandungi
syarat-syarat yang lain seperti berikut:
1. Syarat pertama ialah kadar hutang hendaklah bersamaan dengan lima
puluh peratus atau enam puluh peratus daripada nilai barang gadaian (barang
kemas emas).
Syarat ini berkaitan dengan mensyaratkan kadar tertentu untuk hutang
berdasarkan nilai barang gadaian. Para ulama membenarkan meletakkan syarat
yang tidak bertentangan dengan maksud kontrak dan tidak memberi mudarat
kepada salah satu daripada dua pihak yang berkontrak. Bahkan mereka bersepakat
membenarkan kadar hutang sama ada bersamaan atau melebihi atau kurang
daripada nilaian barang gadaian.
2. Syarat kedua ialah mensyaratkan barang gadaian hendaklah barang kemas
jenis emas sahaja.
Berkaitan dengan syarat kedua ini, perundangan Islam membuka ruang yang
luas untuk kedua pihak yang berkontrak untuk meletakkan syarat-syarat selama
mana tidak bertentangan dengan tuntutan kontrak dan tidak memberi mudarat
kepada salah seorang daripada pihak yang berkontrak. Justeru, mensyaratkan
emas sebagai barang gadaian adalah syarat yang dibenarkan.
3. Syarat ketiga ialah penghutang (penggadai) hendaklah membayar upah
simpan barang gadaian dan kadarnya berdasarkan Jadual 1:
Contohnya, jika seseorang meminjam wang RM5000.00 dengan menggadaikan
barang kemas bernilai RM10000.00, maka beliau perlu membayar upah
simpan sejumlah RM45.00 sebulan (RM0.45 × 100 = RM45.00). Sekiranya untuk
tempoh simpanan adalah enam bulan, maka beliau perlu membayar RM270.00
(RM45.00 × 6 = RM270.00).
Menurut perundangan Islam, tugas menanggung kos penjagaan barang
gadaian adalah terletak di bahu pemiliknya iaitu penggadai yang juga
penghutang. Kos ini secara langsung menjadi bebanan kepada penghutang
apabila berlaku kontrak gadaian. Dalam istilah perundangan Islam, isu ini disebut
JADUAL 1. Kadar bayaran upah simpan barang gadaian
Nilai barang gadaian (RM) Upah simpan bagi setiap seratus ringgit
untuk tempoh sebulan (RM)
1.00 – 400.00 0.30
401.00 – 2000.00 0.40
2001.00 – 10000.00 0.45
Nota: Kadar upah berbeza antara pusat-pusat gadaian
sebagai “kesan atau natijah dari kontrak tersebut (athar al-'aqd)”. Antara natijah
daripada kontrak gadaian ialah pemiutang memegang barang gadaian dan kos
penjagaan wajib dibayar oleh pemilik barangan. Sebarang usaha pengambilan
untung daripada kontrak hutang dan gadaian adalah riba bersesuaian dengan
kaedah yang telah disebut sebelum ini iaitu kull qard jarra nafcan fahuwa riba,
iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah daripadanya, maka ia
adalah riba. Kalau tidak kerana hutangnya kepada pemiutang, nescaya dia tidak
akan menyimpan barang dengan pemiutang. Oleh itu, pemiutang mengambil
faedah daripada hutang tersebut dengan mewajibkan penghutang menyewa
tempat simpan dengan kadar yang boleh mendapat untung.
Dalam hal ini, mensyaratkan penghutang membayar kos penjagaan barang
adalah dibenarkan. Walaupun begitu, tidak boleh menjadikan keharusan ini
sebagai satu jalan untuk memakan riba kerana penghutang sebenarnya hanya
wajib membayar kos sebenar (tanpa keuntungan) ke atas penjagaan barangnya.
Ini adalah kerana tidak wujud sebenarnya kontrak terasing iaitu “sewa atau upah
simpan” dalam gadaian, malah ia merupakan kontrak tabarruc. Lebih-lebih lagi
jika upah simpan bergantung kepada nilaian barang, ia membawa kepada satu
helah yang nyata untuk memakan riba, sekiranya kos sebenar penjagaannya
adalah sama untuk setiap barang. Namun upah simpanan boleh berbeza sekiranya
perbezaan tersebut disebabkan oleh perbelanjaan menjaganya seperti bayaran
sumbangan takaful berbeza berdasarkan nilainya.
4. Syarat keempat ialah penggadai boleh melanjutkan tempoh bayaran
hutangnya dengan syarat dia hendaklah membayar upah simpan bagi tempoh
yang sebelumnya. Syarat ini mengandungi dua perkara utama iaitu menangguhkan
hak pemiutang meminta hutang dan kewajipan membayar nafkah
atau kos penjagaan yang lepas. Menurut perundangan Islam, penangguhan
dibenarkan sekiranya pemiutang bersetuju dengan penangguhan tersebut.
Manakala mensyaratkan pembayaran kos penjagaan yang lalu tidak bertentangan
dengan tujuan kontrak.
5. Syarat kelima ialah mensyaratkan penjualan barang gadaian sekiranya
penghutang gagal membayar hutang setelah tamat tempohnya. Syarat ini
bertepatan dengan perundangan Islam kerana ia adalah sebahagian daripada
kesan atau natijah kontrak gadaian tersebut.
6. Syarat keenam ialah pihak pusat gadaian tidak bertanggungjawab terhadap
kemusnahan barang gadaian sekiranya bukan disebabkan oleh penyalahgunaan
olehnya. Pusat gadaian hanya memegang barang gadaian sebagai amanah sematamata.
Harus mensyaratkan syarat tersebut berpandukan mazhab Shafie. Pemiutang
(penerima gadaian) memegang barang gadaian adalah sebagai pemegang amanah
(yad amanah). Ia tidak wajib menggantikannya sekiranya berlaku kemusnahan
bukan disebabkan dia menyalahgunakannya.
Kesimpulannya, transaksi skim al-rahn adalah suatu transaksi yang dapat
memastikan bahawa kadar pinjaman berpatutan dengan nilai barangan yang
digadai dalam kes penggadai gagal membayar balik pinjamannya. Pihak penggadai
mungkin kurang merasa tertipu berbanding dengan sistem gadaian konvensional.
Namun skim al-rahn ini masih gagal untuk membersihkan diri daripada terlibat
dengan permasalahan riba melalui pengambilan upah simpan.
Terdapat beberapa persoalan yang boleh dikaitkan dengan permasalahan
“upah simpan” ini iaitu:
1. Mengkiaskannya dengan hukum yang menyatakan harus mengambil
manfaat tanpa izin penggadai daripada barang gadaian yang boleh ditunggang
(al-intifac bi al-markub) contohnya kereta atau kuda; dan barang gadaian yang
boleh mengeluarkan susu (al-intifac bi al-mahlub) seperti lembu, kambing dan
sebagainya.
Dalam hal ini, para sarjana Islam silam sependapat menyatakan bahawa
tidak boleh mana-mana penerima gadaian (pemiutang/pemberi pinjaman) itu
menggunakan barang gadaian (yang bukan jenis ditunggang atau diambil
susunya) tanpa izin penggadai. Namun dalam permasalahan menggunakan tanpa
izin penggadai, barang gadaian yang boleh ditunggang/dinaiki dan yang boleh
dimanfaatkan susunya, para sarjana Islam berselisih pandangan kepada beberapa
pandangan.
Pandangan pertama ialah pandangan jumhur ulama yang terdiri daripada
ulama mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Shafie dan sebahagian ulama
mazhab Hanbali. Mereka berpegang kepada larangan secara mutlak penggunaan
barang gadaian oleh penerima gadaian sama ada menunggang atau mengambil
faedah daripada susunya (Qadi Zadah Afandi t.th., 1: 150; Ibn al-Rushd al-Hafid
t.th., 4: 1914; al-Nawawi t.th., 4: 99, al-Qudamah t.th., 4: 436; al-San’ani t.th., 1:150; al-Shaukani t.th., 5: 264).
Pandangan kedua ialah pandangan yang lebih tepat bagi ulama mazhab
Hanbali yang membenarkan penggunaan oleh penerima gadaian mengikut nilai
yang penerima gadaian gunakan wangnya untuk menjaga barang gadaian
tersebut (Ibn Rushd al-hafid t.th., 4: 1914; Ibn Qudamah t.th., 5: 436). Sekiranya
penerima gadaian membelanjakan RM1000.00 untuk menjaga barang gadaian,
maka dia boleh menggunakan gadaian tersebut sekadar nilaian tersebut.
Manakala pandangan ketiga ialah pandangan Ibn Hazm yang hanya
membenarkan penerima gadaian menggunakan barang gadaian sekiranya
penggadai enggan menanggung kos penjagaan barang gadaian (Ibn Hazam
t.th., 8: 89).
Ringkasnya, para ulama didapati melarang pengambilan manfaat daripada
barang gadaian kerana sebarang penggunaannya adalah riba kepada pinjaman.
Pada pandangan yang membenarkan penggunaannya pula mensyaratkan
keengganan penggadai membayar kos penjagaan dan supaya kadar penggunaan
hendaklah senilai dengan kos penggunaan yang telah dibelanjakan oleh penerima
gadaian.
Ibn Qayyim ketika membincangkan isu ini, menyatakan bahawa (al-Jawziyyah
1991, 2: 18):
Yang tepat penyelesaiannya mengenai masalah ini ialah sepertimana yang diterangkan
oleh Hadith, kaedah-kaedah syariah, dasar-dasarnya yang tidak mengandungi selain darinya (kecuali kebenaran). Dengan itu, sekiranya gadaian adalah haiwan, maka ia adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah (s.w.t.). Pemilik barang gadaian mempunyai hak pemilikannya.
Manakala penerima gadaian (al-murtahin) mempunyai hak memegang barang gadaian
(sebagai sandaran kepada pinjaman yang diberi). Sesungguhnya Allah (s.w.t.) mensyariatkan barang gadaian berada di tangan penerima gadaian. Oleh itu, sekiranya barang gadaian berada di tangan penerima gadaian dalam keadaan dia tidak boleh menunggangnya atau mengambil susunya, pasti akan sia-sia manfaat daripada barang tersebut (iaitu susu dan penggunaan barang tersebut). Sekiranya dibenarkan penggadai (yang juga penghutang) menunggang barang gadaian, maka barang gadaian tidak lagi berada dalam jagaan penerima gadaian. Ia tidak lagi menjadi sandaran kepada hutang yang diberi oleh pemiutang.
Sekiranya dipertanggungjawabkan penggadai untuk datang mengambil susu (binatang gadaiannya), ia amat menyusahkannya. Apatah lagi sekiranya jarak rumah penggadai jauh. Sekiranya dipertanggungjawabkan penerima gadaian untuk menjual susunya dan menyimpan perolehan jualannya bagi pihak penggadai, ia amat menyusahkan penerima gadaian. Oleh itu, jalan tengah yang lebih adil dan qiyas; sebagai menjaga kepentingan penggadai, penerima gadaian dan haiwan yang digadai, maka penerima gadaian boleh menggunakan barang gadaian sama ada menunggang atau meminum susunya. Namun diganti penggunaan tersebut dengan menanggung kos penjagaan haiwan gadaian. Pada pandangan ini ialah mengumpulkan kepentingan dan hak kedua-dua belah pihak.
Pandangan Ibn Qayyim ini berkemungkinan menjadi asas kepada pandangan
mereka yang membenarkan upah simpan. Ia berdasarkan pandangan sesetengah
ulama yang membenarkan penerima gadaian mengambil manfaat daripada barang
gadaian. Namun pandangan yang mengkiaskan upah simpan dengan keadaan di
bawa oleh Ibn Qayyim adalah qiyas yang batil. Qiyas ini menurut istilah ulama
usul feqah ialah qiyas maca al-fariq kerana beberapa perkara. Pertamanya ialah
ulama membenarkan pengambilan manfaat (ambil susu atau menunggang) oleh
penerima gadaian sebagai balasan dia telah berbelanja untuk untuk menjaga
barang gadaian. Untuk mengelakkan kesukaran, Ibn Qayyim membenarkan
perbelanjaan tidak disukat dengan penghasilan. Keduanya manfaat yang
diperkatakan pula adalah manfaat terhadap perkara yang mudah rosak atau hilang
seperti susu dan tunggangan. Ketiganya ialah penggadai tidak langsung
membayar kos penyimpanannya. Para sarjana Islam tidak memperkatakan dalam
bab ini, penggadai membayar nafkah atau kos penjagaan yang lebih kepada
penerima gadaian supaya penerima gadaian untung kerana perbuatan tersebut
adalah riba sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini.
2. Membenarkan amalan tersebut atas dasar maslahah atau kemaslahatan dan
kepentingan masyarakat Islam, atau berpegang kepada kaedah “yang paling
kurang mudaratnya (akhaff al-dararayn)”. Dua kaedah tersebut ialah:
a. Maslahah atau kepentingan menurut ulama-ulama usul feqah terbahagi
kepada tiga bahagian, iaitu:
i. Kepentingan yang disebut dan diiktiraf oleh Allah (s.w.t.) sebagai suatu
kepentingan. Maslahah ini disebut sebagai maslahah muctabarah atau
kemaslahatan yang diperakui oleh Allah (s.w.t.).
ii. Kepentingan yang dirasakan untuk manusia, tetapi Allah (s.w.t.)
membatalkannya. Allah tidak memperakui sesuatu itu merupakan
kepentingan utama untuk manusia, bahkan menyatakan ketiadaannya
merupakan kepentingan yang lebih besar terhadap manusia. Maslahah
jenis ini diberi nama maslahah mulghah (kepentingan yang dinafikan
oleh Allah (s.w.t.) sebagai satu keperluan).
iii. Kepentingan yang tidak diperakukan secara nyata oleh Allah (s.w.t.)
dan tidak pula dinyatakan larangan memperakukannya. Dalam kata lain,
tidak ada dalil yang menafikannya sebagai satu kepentingan dan tidak
ada juga dalil yang memperakui ia adalah sesuatu kepentingan. Oleh
itu, kemaslahatan ini dipanggil maslahah mursalah (kemaslahatan yang
tidak disentuh oleh Allah). Maslahah mursalah menjadi perdebatan di
kalangan para ulama sama ada ia merupakan salah satu hujah dalam
perundangan Islam atau tidak.
Namun, kebanyakan ulama mempertahankan bahawa maslahah merupakan
salah satu sumber sekunder perundangan Islam pada perkara-perkara yang tidak
dinyatakan dalil secara khusus. Perbahasan secara terperinci di bawah tajuk ini
(atau maslahah) diperkatakan oleh ulama-ulama yang membincangkan topik
maqasid al-syaricah atau maksud dan matlamat akhir syariat.
Kepentingan menggunakan riba dalam ekonomi merupakan kepentingan
yang dibatalkan oleh perundangan Islam secara terang-terangan. Maslahah
mulghah (kepentingan yang dibatalkan oleh syariat Islam). Ia tetap diharamkan
pada setiap zaman dan tempat kerana pengharamannya adalah ditentukan oleh
dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah dan bukan adat sesuatu tempat.
Oleh itu untuk pandangan yang menyatakan upah simpan itu merupakan
sebahagian daripada jenis riba berdasarkan kaedah: kull qard jarra naf'an fahuwa
riba yang bererti setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah daripadanya
maka ia adalah riba. Kalau tidak kerana hutangnya kepada pemiutang nescaya
dia tidak akan menyimpan dengan pemiutang dan membayar upah sewa. Oleh
itu, perlaksanaan sistem ini dengan bentuk yang ada sekarang masih tidak
menepati maksud perundangan Islam dalam mengharamkan riba dan menolak
keburukan yang ada pada riba.
Imam al-Shatibi menyatakan bahawa maksud arahan dan larangan adalah
kepentingan dan maksud utama perundangan Islam. Perlaksanaan terhadap
segala suruhan dan larangan juga adalah matlamat akhir syariat Islam. Ini dapat
difahami bagaimana Islam menjadikan penjagaan maruah sebagai antara matlamat
utama perundangannya, maka jalan-jalan menjaganya seperti hukuman tertentu
terhadap penzina dinyatakan juga. Perlaksanaan terhadap perkara ini merupakan
maksud syariat Islam (al-Hasani 1995: 115-116). Dr. Muhammad Sacid Ramadan
al-Buti menyatakan bahawa maslahah hendaklah tidak berlawanan dengan hukum
syarak kerana penggunaan hukum syarak adalah maslahah yang lebih besar (al-
Buti 1982: 129-151).
Oleh itu, kekuatan ekonomi umat Islam yang ingin dicapai melalui sistem
kewangan Islam, dijelaskan juga jalan-jalannya iaitu dengan cara melalui jalanjalan
yang menjauhi riba dan keraguan. Sebarang unsur riba bukannya maslahah
atau kepentingan yang mesti didahulukan. Tujuan untuk menegakkan ekonomi
umat Islam, tidak boleh menjadikan sesuatu sistem yang mempunyai unsur riba
sebagai sistem Islam.
2. Kaedah akhaff al-dararayn
Sebahagian sarjana Islam mungkin berpegang kepada kaedah akhaff al-dararayn
(yang paling kurang mudaratnya) apabila membenarkan transaksi upah simpan
dalam skim al-rahn. Skim al-rahn didapati kurang kemudaratannya, berbanding
dengan sistem gadaian konvensional kerana faktor berikut (Nor Mohamed
Yakcop 1996: ix-xiii).
a. Faktor pertama ialah penggunaan riba secara terang-terangan dalam sistem
gadaian konvensional. Dalam skim al-rahn, ia digelar sesuatu yang shubhah
(kesamaran). Ini berdasarkan keuntungan tidak diambil daripada pinjaman secara
langsung sebaliknya mengambil manfaat daripada peminjaman dan penerimaan
barang. Faedah tersebut terbit daripada kontrak baru yang diwujudkan iaitu
kontrak upah simpan. Kontrak upah adalah satu kontrak yang wujud dan halal
dalam perundangan Islam. Walaupun keduanya ada kelemahan, namun kelemahan
sistem konvensional lebih besar kemudaratannya berdasarkan faktor ini.
b. Faktor kedua ialah penggadai dapat mengetahui dengan jelas kadar yang
ia layak meminjam berdasarkan nilaian barang kemasnya. Ianya berbeza jika
dibandingkan dengan sistem konvensional yang memberikan kebebasan kepada
tawar-menawar.
c. Faktor ketiga ialah skim al-rahn dapat meningkatkan ekonomi umat Islam
kerana orang Islam yang membuka sesuatu sistem atau skim yang berkaitan
dengan meletakkan nama Islam. Oleh yang demikian, pergantungan terhadap
orang Islam dalam meminjam wang akan bertambah. Bahkan wujud lebih banyak
institusi kewangan Islam yang mampu memberi kredit kepada umat Islam. Faktor
kedua dan faktor ketiga ini juga membantu kepada pendapat bahawa membenarkan
transaksi al-rahn ini lebih baik dan lebih kurang mudaratnya.
Namun begitu, asas sistem kewangan perlu berpegang kepada syariat yang
tidak menghalalkan sesuatu yang nyata larangan dalam al-Quran dan al-Sunnah
iaitu riba. Usaha seharusnya dijuruskan kepada keutamaan membina sistem
kewangan Islam yang tulen daripada membina satu sistem yang hanya hampir
menyerupai sistem ekonomi Islam atau dilabelkan dengan nama Islam. Kalau
benar sekalipun kaedah ini boleh digunakan, namun ia membicarakan antara dua
perkara yang tidak mengikut syarak. Salah satu daripadanya kurang kemudaratannya.
Pada waktu itu, dipilih perlaksanaan salah satu hukum dalam
keadaan terdesak.
Untuk menjadikan salah satu perkara tersebut sebagai satu produk, atau
satu jalan keluar yang tetap serta halal, adalah tidak bertepatan dengan hukum
syarak. Kalau digunakan kaedah feqah akhaff al-dararayn dalam menghalalkan
sesuatu hukum atau mengIslamkan sesuatu transaksi, ramai yang akan
menggunakannya menurut hawa nafsu sebagaimana seseorang bernikah kontrak
untuk tempoh tertentu mengambil pandangan syiah untuk mengelakkan daripada
melakukan zina. Selain daripada itu, ramai yang melakukan onani untuk
mengelakkan diri dari penzinaan sebagaimana disebut dalam kitab-kitab fekah.
KESIMPULAN
Skim al-rahn masih mengandungi unsur-unsur riba dalam transaksinya.
Bagaimanapun, skim al-rahn ini mempunyai banyak kebaikan, jika dibandingkan
dengan transaksi konvensional. Oleh itu, usaha ke arah menghilangkan syubhat
riba perlu dilakukan dan masih berpeluang dilakukan terhadap skim al-rahn.
Berikut adalah beberapa cadangan untuk memperkukuhkan transaksi skim
al-rahn ini:
1. Pemberian “pinjaman kebajikan” yang disandarkan dengan gadaian
seharusnya menjadi tanggungjawab sosial pemerintah dan golongan jutawan
bagi mengelakkan rakyat tersepit dalam sistem kewangan yang berkonsepkan
riba.
2. Kajian juga boleh dilakukan sama ada bahagian orang berhutang dari asnaf
penerima zakat yang berjumlah jutaan ringgit boleh digunakan untuk membina
pusat-pusat al-rahn. Pada waktu itu ia tidak perlu mengambil upah simpan dan
tidak berorientasikan keuntungan. Walaupun begitu, pusat-pusat tersebut
dibenarkan meminta kos pengurusan hakiki daripada penggadai. Pusat-pusat
tersebut juga boleh mendapatkan sumbangan daripada badan-badan korporat
dan umat Islam yang diberikan potongan cukai pendapatan terhadap sebarang
sumbangan bagi menutup kos pengurusan dan mengembangkan operasinya.
3. Dalam konteks skim ini, sekiranya skim al-rahn yang sebenarnya kontrak attabarruc
mahu diteruskan sebagai satu kontrak yang boleh menguntungkan,perlu diwujudkan tiga pihak dalam kontrak tersebut iaitu pihak pertama ialah penggadai yang juga orang yang berhutang, pihak kedua iaitu penerima gadaian yang juga pemberi hutang dan pihak ketiga ialah penyimpan barang gadaian bagi pihak penerima gadaian. Dalam kontrak ini penggadai membayar kos penyimpanan yang dikenakan oleh pihak ketiga (penyimpan) kepada penerima gadaian. Pihak penyimpan boleh mendapatkan untung daripada upah simpan kerana ia tidak terlibat dengan pemberian hutang sebaliknya keuntungannya berpunca daripada kontrak upah simpan semata-mata. Kajian lebih terperinci perlu dilakukan untuk mewujudkan tiga pihak tersebut bagi mengelak daripada wujudnya tiga pihak bukan helah kepada pengambilan riba.
RUJUKAN
al-Buti, Muhammad Said Ramadan. 1982. Dawabit al-Syaricah al-Islamiyyah. Beirut:
Mu’assasah al-Risalah.
al-Dasuqi, Muhammad Ibn cArafah. t.th. Hasyiyah al-Dasuqi cAla al-Syarh al-Kabir.
Jld.3. t.tp. t.pt.
al-Faruz Abadi, Majduddin Muhammad bin Ya’qub. 1997. al-Qamus al-Muhit. Jld. 2.
Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabi.
al-Hasani, Ismail. 1995. Nazariyyah al-Maqasid cinda al-Imam Muhammad al-Thohir
bin cAsyur. Virginia: International Institute of Islamic Thought.
Ibn al-Rusyd al-Hafid. Syarh Bidayah al-Mujtahid. Jld. 4. t.tp. tpt.
Ibn Hazam. t.th. al-Muhalla. Jld. 8. t.tp. tpt.
Ibn Hibban. Sahih Ibni Hibban. Jld. 13. Beirut: Mu’assatu al-Risalah.
Ibn Qudamah, Abdullah Ahmad. t.th. al-Mughni. Jld.4. Beirut: Dar al-Kitab al-cArabi.
Itfish. Syarh al-Nil Wa Syifa‘u al-cAlil. Jld. 11. t.tp. tpt.
al-Jauziyyah, Muhammad Abi Bakar Qaiyim. 1991. Aclam al-Muwaqqicin. Jld. 2. Beirut:
Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
al-Kawakibi, Muhammad Hassan Ahmad. 1324H. al-Fawaid al-Samiyyah fi Syarh al-
Nuzum al-Musamma bi al-Faraid al-Sunniyyah. Mesir: al-Matbacah al-Kubra al-
Amiriyyah.
Legal Research Board. Law of Malaysia. Act 81. Pawnbrokers Act 1972 (1994).
al-Mawardi. al-Hawi al-Kabir. Jld. 6. t.tp. tpt.
Muhammad cUlaisy. t.th. Manh al-Jalil. Jld.5. Beirut: Dar Sadir.
Muhammad Uthman Syubayr. 1996. Masail al-Fiqh al-Muqaran. Amman: Dar al-Nafais.
al-Nawawi. t.th. Raudah al-Talibin. Jld. 4. t.tp. tpt.
Nor Mohamed Yakcop. 1996. Teori, amalan dan prospek sistem kewangan Islam di
Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Perjanjian Gadaian Pusat al-Rahn. 1999. Kuantan: Persatuan Pengguna Islam Pahang.
Qadi Zadah Afandi. t.th. Takmilah Fath al-Qadir. Jld. 1. t.tp. t.pt.
al-Qadiri Muhammad Husain al-Hanafi. t.th. Takmilah al-Bahr al-Raiq wa Kanz al-
Daqaiq. Jld. 8. Pakistan: al-Maktabah al-Majidiyyah.
al-Qalyubi, Ahmad Ahmad al-Salamah. t.th. Hasyiyah al-Qalyubi cAla Syarh al-Minhaj.
Jld. 2. Beirut: Dar al-Fikr.
al-Qarafi, Ahmad Idris. 1994. al-Zakhirah. Jld. 8. Beirut: Dar al-Gharbi al-Islami.
Sacdi Abu Jaib. t.th. al-Qamus al-Fiqhi. Pakistan: Idarah al-Qur’an li al-Tiba’ah wa al-
Nasyr wa al-Tauzic.
al-San’ani. al-Taj al-Madzhab. Jld. 3. t.tp. tpt.
al-Shafie Abd al-Rahman al-Saiyid cIwadh. 1978. cAqd al-rahn. Kaherah: Dar al-Ansar.
Sistem Gadaian Islam 57
al-Sharbini, Muhammad al-Khatib. t.th. Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj.
Jld. 2. Beirut: Dar Ihya‘ al-Turath al-cArabi.
al-Shawkani, Muhammad Ali Muhammad. t.th. Nail Al-Autar. Jld. 5. Mesir: Syarikat
Maktabah Wa Matba’ah Mustafa Wa Auladihi.
al-Shirazi, Ibrahim Ali Yusoff al-Fairuz Abadi. 1995. al-Muhadzdzab Fi Fiqh al-Imam
al-Syafie. Jld. 2. t.tp. t.pt.
al-Tusi. al-Khilaf. Jld. 2. t.tp. tpt.
Wahbah al-Zuhayly. 1987. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Jld. 5. Beirut: Dar al-Fikr.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan