DONATE
Jumaat, 1 Mei 2009
Tenaga Buruh dan Upah dalam Islam: Kajian Ekonomi
ABSTRAK
Buruh adalah satu sumber milik manusia. Berdasarkan konsep ini, buruh boleh
dianggap faktor pengeluaran tanpa memberi implikasi bahawa pekerja yang
menyumbang tenaga buruhnya dalam proses pengeluaran adalah hamba
kepada manusia lain. Masalah lebihan penduduk dan lebihan buruh boleh wujud
di negara yang mengalami pertumbuhan pesat penduduk. Hakikat bahawa Allah
S.W.T. yang menentukan rezeki tidak bererti negara yang mengamalkan sistem
ekonomi Islam bebas daripada masalah tersebut. Prinsip penentuan upah
supaya upah setimpal dengan bidang kerja dan kualiti buruh tidak mempunyai
sokongan kuat dalam Islam. Sebaliknya, Islam mengutamakan prinsip
musyawarah yang boleh difahamkan sebagai proses tawar menawar dalam
pasaran buruh. Prinsip bahawa upah perlu memenuhi keperluan asas pekerja
adalah konsisten dan boleh dilaksanakan secara berintegrasi dalam sistem
pasaran buruh. Bagaimanapun, pelaksanaan prinsip ini mungkin berbeza
daripada yang diamalkan oleh negara kapitalis.
ABSTRACT
Labour is but one of the many resources owned by a human being. The concept
allows labour to be considered as an input in production process without
necessarily implying that labourers are slave to another human being.
Overpopulation and surplus labour can be a problem in any country with rapid
population growth. The fact that Allah S.W.T is the all provider of sustenance
does not necessarily mean that a country embracing the Islamic economic system
is free from the problems. The claim that wages should be paid according to
work and quality of labour has not found strong support in Islam. On the contrary
Islam prefers wages to be determined through “musyawarah” which can be
interpreted as a bargaining process between employer and employee in the
labour market. Another Islamic principle that wages should at least satisfy the
basic living requirements is not inconsistent with a market system and thus can
be implemented. However, its implimentation in an Islamic economy may be
expected to differ from that practiced in a capitalist economy.
PENDAHULUAN
Buruh adalah keupayaan fizikal dan mental yang manusia sumbangkan kepada
proses pengeluaran. Tenaga buruh adalah satu komponen sumber manusia yang
menjadi input dalam mengeluarkan barang dan perkhidmatan. Sebagai ganjaran
kepada sumbangan itu, buruh dibayar upah yang boleh berbentuk wang, barangbarang
atau sebagainya. Bagi majoriti penduduk terutama golongan miskin,
upah adalah sumber utama pendapatan mereka dan bagi negara membangun
termasuk negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, pendapatan upah
adalah komponen terbesar sumber pendapatan penduduk negara itu.
Penentuan kuantiti dan kualiti buruh serta kadar upah di sesebuah negara
bukan sahaja dipengaruhi oleh sistem ekonomi yang dipilih tetapi juga oleh
sistem nilai yang wujud dalam masyarakat serta pengalaman sejarah yang dilalui
oleh negara tersebut. Kebanyakan negara kini cenderung untuk mengiktiraf
dan bergantung kepada institusi pasaran bagi mengatur penggunaan buruh dan
kaedah pemberian ganjaran. Namun, sistem nilai masyarakat dan pengalaman
sejarah masing-masing telah membezakan bentuk dan struktur pasar buruh di
negara-negara tersebut.
Surtahman Kastin dan Abd. Ghafar (2001), selepas ini dirujuk SKAG,
mengupas konsep buruh dan persoalan penentuan upah mengikut pandangan
Islam. Menurut SKAG, kita tidak harus sepenuhnya merujuk kepada konsep
ilmu ekonomi konvensional apabila menganalisis isu buruh dan penentuan upah.
Sehubungan itu, SKAG mendakwa bahawa mengkategorikan buruh sebagai input
pengeluaran mungkin bercanggah dengan konsep manusia sebagai khalifah
Allah. SKAG juga mempersoalkan kewujudan masalah lebihan penduduk dan
lebihan buruh yang bagi mereka, kedua-dua konsep ini dianggap sama. Mengikut
pandangan SKAG, oleh sebab setiap manusia diberi dan ditetapkan rezekinya
maka masalah lebihan penduduk dan lebihan buruh tidak mungkin timbul di
sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi Islam. Konsep ini didapati
berbeza daripada konsep yang lazim dipakai dalam analisis ilmu ekonomi
konvensional.
Isu yang lebih penting yang dibincangkan oleh SKAG adalah berkenaan
prinsip penentuan upah. Menurut mereka, Islam menghendaki supaya upah
dibayar setimpal dengan bidang kerja dan berasaskan kualiti buruh serta perlu
melebihi keperluan bagi menampung perbelanjaan kehidupan diri dan ahli
keluarga.
Rencana ini membincangkan secara kritis pandangan dan kesimpulan yang
diutarakan oleh SKAG. Isu yang dibangkitkan akan diteliti semula dengan
memeriksa hujah-hujah yang disertakan serta dengan menggunakan konsep
ilmu ekonomi konvensional selagi didapati sesuai dan tidak bercanggah dengan
Islam. Justeru rencana ini secara tak langsung mengambil pendirian bahawa
walaupun sistem-sistem ekonomi mungkin berbeza-beza namun konsep dan
kaedah analisis ilmu ekonomi konvensional, sebahagiannya masih boleh
digunakan untuk menganalisis perjalanan dan implikasi daripada sistem-sistem
ekonomi tersebut, termasuk sistem ekonomi Islam.
KONSEP BURUH
Dalam pengertian biasa, buruh merujuk kepada orang yang bekerja yang
lazimnya dibayar gaji atau upah. Konsep buruh dalam ekonomi berbeza dengan
pengertian biasa itu. Buruh adalah tenaga atau keupayaan fizikal dan mental
manusia yang boleh menyumbang kepada proses pengeluaran. Buruh adalah
satu sumber produktif milik manusia. Pada dirinya, manusia memiliki sumber
yang boleh digunakan sebagai input dalam proses pengeluaran – dikenali sebagai
buruh – dan untuk mengatur dan menjalankan proses pengeluaran – dikenali
sebagai usahawan. Justeru, dalam istilah ilmu ekonomi, buruh hanyalah
sebahagian sumber yang dimiliki oleh manusia; apabila digunakan dalam proses
pengeluaran buruh adalah input atau faktor pengeluaran.
SKAG mempersoalkan konsep buruh ilmu ekonomi konvensional itu.
Mengikut mereka, konsep itu tidak sesuai dipakai untuk menganalisis isu buruh
dan upah mengikut Islam. Alasan mereka adalah “ekonomi Islam adalah
berlandaskan doktrin dan akidah yang kukuh berbeza daripada konsep ekonomi
konvensional yang berpandukan akal semata-mata, sehingga itu, segala
persoalan yang berkait dengan buruh dan manusia tidak semestinya dirujuk
kepada konsep mereka, sebaliknya dengan cara tersendiri…” (SKAG 2001: 1).
Seterusnya mereka berhujah bahawa manusia tidak harus dianggap sebagai
faktor pengeluaran kerana Islam tidak mungkin “merendahkan taraf manusia
Islam sebagai khalifah kepada alat (atau faktor) pengeluaran.” (SKAG 2001: 5).
Konsep buruh dalam SKAG ternyata berbeza dengan yang lazim dipakai
dalam analisis ekonomi. Bagi SKAG, buruh adalah manusia atau pekerja. Takrif
buruh di sini adalah sama sebagaimana pengertian biasa. Walhal buruh dalam
ilmu ekonomi konvensional merujuk kepada harta yang dimiliki manusia atau
pekerja. Apabila seseorang menjual tenaga buruhnya untuk mendapat upah,
beliau tidak semestinya menjual dirinya, tetapi hanya harta miliknya. Justeru
itu, apabila dikatakan bahawa buruh adalah input atau faktor pengeluaran, maka
apa yang dimaksudkan adalah bahagian harta yang digunakan dalam proses
pengeluaran. Dalam perkataan lain, ilmu ekonomi konvensional tidak sekali-kali
menganggap manusia itu adalah satu faktor pengeluaran. Kenyataan ini hanyalah
dakwaan yang timbul kerana kekeliruan tentang konsep buruh yang digunakan.
Dalam mengemukakan pandangan, SKAG mungkin terpengaruh dengan
tulisan Abu Sulaiman (1960). Menurut Abu Sulaiman, buruh bukan faktor
pengeluaran kerana buruh dicipta untuk memanfaatkan faktor pengeluaran.
Dengan meletakkan buruh sebagai faktor pengeluaran manusia akan tunduk
kepada manusia lain (SKAG 2001: 5). Abu Sulaiman juga menganggap buruh
dan manusia adalah sama. Baqir-al-Sadr (1968) juga mempersoalkan buruh
sebagai faktor pengeluaran tetapi dengan alasan bahawa buruh bukanlah harta
yang boleh dimiliki (lihat SKAG 2001: 4).
Konsep buruh adalah manusia boleh menimbulkan beberapa masalah dan
punca kekeliruan apabila digunakan dalam analisis ekonomi. Pertama, kita tidak
dapat membezakan antara manusia, sumber manusia dan buruh. Dalam analisis
ekonomi perbezaan ini seringkali amat perlu dan kritikal. Sebagai contoh dalam
menganalisis firma pemilik-pengusaha atau pekerjaan sendiri, kita perlu
membezakan usahawan dan buruh walhal ia adalah orang yang sama. Satu
contoh lain adalah apabila perlu dibezakan jenis pendapatan; manusia boleh
menerima pendapatan buruh dan pendapatan bukan buruh sedangkan pendapatan
buruh, atau upah, adalah khusus bagi pembekal tenaga buruh. Keperluan sebegini
semestinya juga wujud dalam menganalisis sistem ekonomi Islam yang boleh
diperhatikan dalam perbincangan seterusnya.
Kedua, dengan menganggap buruh dan manusia adalah sama maka isu hak
milik terhadap buruh menjadi kabur. Misalnya, apabila seorang manusia bekerja
iaitu menjual tenaga buruh kepada firma maka akan timbul isu apakah beliau
juga menjual hak milik terhadap dirinya. Berdasarkan tanggapan ini, konsep
pekerjaan yang dibayar upah hampir menyamai konsep perhambaan. Justeru,
tidak menghairankan jika timbul kekeliruan bahawa dengan menganggap buruh
adalah faktor pengeluaran maka ini bererti manusia tunduk kepada manusia
lain (Abu Sulaiman 1960) dan bahawa buruh (atau manusia) adalah harta yang
tidak boleh dimiliki (Baqir-al-Sadr 1968).
Sementara itu, konsep buruh sebagai sebahagian harta milik manusia adalah
tidak bercanggah dengan Islam. Hakikat bahawa manusia adalah khalifah di
muka bumi (lihat misalnya, Surah al-Baqarah 2: 30, 34) memang wajib diakui.
Namun Islam juga membenarkan manusia bekerja untuk mendapatkan upah.
Kebenaran ini terdapat dalam Al-Quran (misalnya, Surah al-Talaq 65: 6) dan
al-Hadith (sila lihat perbincangan SKAG 2001: 10–11). Justeru Islam mengharuskan
manusia menjual tenaga fizikal dan mentalnya iaitu buruh untuk
mendapatkan upah. Berlandaskan konsep inilah majoriti penulis Islam seperti
Afzal-al-Rahman (1974), Mannan (1970) dan Maududi (1969) tidak mengenepikan
buruh sebagai faktor pengeluaran (SKAG 2001: 5).
LEBIHAN PENDUDUK DAN LEBIHAN BURUH
Negara membangun dan negara mundur sering dicirikan oleh pertumbuhan
penduduk yang pesat. Bagi sesetengah negara ini, pertumbuhan penduduk tidak
disertai oleh pertumbuhan ekonomi yang sewajarnya. Negara ini dikatakan
berhadapan dengan masalah lebihan penduduk. Di negara ini, para penduduknya
kerap dibelenggu kemiskinan, mempunyai taraf hidup yang rendah, kurang
produktif serta berhadapan dengan pelbagai masalah sosial. Lebihan penduduk
tidak semestinya berlaku di negara-negara yang ramai penduduk atau yang
mempunyai kadar pertambahan penduduk yang tinggi. Ini kerana pertambahan
penduduk juga menyumbang kepada pertambahan sumber-sumber produktif.
Masalah lebihan penduduk hanya timbul apabila pertambahan penduduk gagal
diterjemahkan kepada peningkatan sewajarnya dalam keluaran dan pendapatan.
Lebihan buruh berkait dengan konsep keseimbangan pasaran buruh.
Lebihan buruh berlaku apabila buruh yang ditawarkan ke pasaran tidak dapat
diserap sepenuhnya oleh permintaan yang wujud bagi sesuatu sektor atau
sesebuah ekonomi. Tanda-tanda wujudnya lebihan buruh adalah wujudnya
pengangguran tak ketara dan pengangguran yang berpunca daripada masalah
struktur ekonomi dan kurangan permintaan ekoran kitaran perniagaan. Teori
pertumbuhan dua sektor Arthur Lewis misalnya mengaitkan lebihan buruh di
sektor luar bandar sehingga buruh di sektor tersebut mempunyai produktiviti
sifar atau malah negatif. Masalah lebihan buruh boleh berlaku di semua negara
dan tidak terhad kepada negara mundur atau membangun.
SKAG mengambil pendekatan untuk tidak membincangkan lebihan
penduduk dan lebihan buruh secara berasingan. Malah kelihatan bahawa konsep
lebihan penduduk dan lebihan buruh itu tidak perlu dibezakan kerana pada
tanggapan mereka kedua-dua boleh dijelaskan dengan konsep yang sama iaitu
konsep rezeki. SKAG merumuskan:
Oleh itu, masalah lebihan penduduk dan pengangguran (lebihan buruh) tidak harus wujud
dalam istilah ekonomi Islam (lihat A.M. Jarisyah dan M.S. Azzaibaq 1981: 60–62)
kerana setiap bayi yang lahir telah ditentukan rezekinya masing-masing (SKAG 2001:5).
Berkenaan konsep rezeki, SKAG memetik maksud beberapa ayat al-Quran
dan al-Hadith untuk menjelaskan bahawa setiap manusia telahpun ditetapkan
rezeki masing-masing.
Sesungguhnya Allah, Dialah maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan yang sangat
kukuh (Surah al-Zariyat 51:58)
Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah yang memberi
rezekinya… (Surah Hud 11:6)
Memang ayat-ayat ini menjelaskan bahawa Allahlah yang memberi rezeki.
Allah juga yang menetapkan rezeki sejak seseorang itu dalam kandungan lagi
(al-Hadith Bukhari 1979, IV: 346). Namun persoalan yang relevan dalam konteks
perbincangan ini adalah apakah rezeki itu cukup untuk memenuhi keperluan
asas dan keperluan-keperluan lain dalam kehidupan seseorang? Pada penulis,
maksud ayat-ayat tadi tidak menjawab persoalan itu. Jadi hujah SKAG bahawa
Islam tidak mengiktiraf wujudnya masalah lebihan penduduk sebab setiap
manusia diberi dan ditetapkan rezeki masing-masing adalah amat longgar dan
sukar dipertahan.
Lagipun, dalam ayat-ayat yang lain dijelaskan bahawa Islam mengakui
bahawa setiap orang diberi rezeki yang berbeza-beza. Maksud ayat al-Quran:
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian
kamu lebih daripada sebahagian yang lain… (Surah al-Nisa 4:32).
Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian lain dalam hal rezeki… (Surah
an-Nahl 16:71).
Jadi, adalah tidak mustahil sebahagian penduduk dikurnia rezeki tetapi tidak
mencukupi untuk memenuhi keperluan asas. Mereka adalah golongan fakir
dan miskin dan Islam mengiktiraf kewujudan golongan ini. Bukankah sistem
dan institusi zakat dalam Islam menunjukkan Islam mengiktiraf kewujudan
mereka?
Menurut SKAG juga, masalah-masalah yang berkait dengan lebihan buruh
seperti kelaparan tidak mungkin wujud akibat kepadatan penduduk kerana
peristiwa-peristiwa seperti itu merupakan balasan Allah terhadap keingkaran
manusia. Mereka memetik maksud beberapa ayat al-Quran Surah al-A'raf ayat
96 dan 130 untuk menyokong hujah ini (SKAG 2001:6).
Hujah bahawa kepadatan penduduk, malah kepesatan pertambahan
penduduk bukanlah syarat cukup untuk kewujudan masalah lebihan penduduk
memang diterima umum, baik di kalangan ahli ekonomi konvensional. Ini kerana
penduduk yang ramai atau pertambahan penduduk juga merupakan tambahan
sumber-sumber produktif. Teori perangkap penduduk Malthus abad ke-19
memang disangkal oleh ahli ekonomi kini kerana tidak disokong oleh bukti
sejarah dan mempunyai kelemahan tidak mengambilkira perkembangan
teknologi dan proses transisi demografi dalam pertumbuhan penduduk dinamik
(Todaro 1997: Bab 6). Walaupun begitu, agak sukar untuk menidakkan peranan
kepadatan dan pertumbuhan penduduk dalam mewujudkan masalah-masalah
yang berkait dengan lebihan penduduk. Penduduk yang besar dan berkembang
pesat meningkatkan nisbah kebergantungan, mengenakan tekanan terhadap
ekonomi dalam menyediakan kemudahan asas serta menimbulkan tekanan
terhadap alam sekitar dan persekitaran sosial.
Berkenaan pengangguran (atau lebihan buruh), SKAG merumuskan bahawa
fenomena ini juga tidak mungkin wujud dalam ekonomi Islam. Alasan yang
diberi adalah kerana Allah memberi dan telahpun menetapkan rezeki seseorang.
Bagi penulis, alasan ini bukan sahaja lemah malah boleh menyempitkan konsep
rezeki. Memang wajib diakui ketentuan rezeki, tetapi apakah ketentuan rezeki
juga memastikan setiap orang mendapat pekerjaan (iaitu tiada pengangguran)
atau dapat bekerja sepenuhnya seperti yang diingini (iaitu tiada pengangguran
tak ketara)? Jika dilihat pada bukti sejarah dan keadaan pasaran buruh semasa
dikebanyakan negara, termasuk negara dengan penduduk majoriti muslim,
masalah pengangguran dan pengangguran tak ketara memang wujud sama ada
di sektor tertentu atau di seluruh negara dari semasa ke semasa. Tambahan
pula, rezeki telah ditetapkan oleh Allah S.W.T tanpa mengira sama ada seseorang
manusia atau masyarakat itu Islam atau sebaliknya. Adakah SKAG berhujah
bahawa ketentuan Allah S.W.T dalam menetapkan rezeki telah tidak terlaksana
apabila berlaku lebihan buruh (pengangguran)? Tentu sekali tidak. Tambahan
pula aliran pendapatan boleh berubah mengikut masa. Tidak mustahil
pengangguran boleh berlaku dalam selang waktu tertentu. Perubahan pendapatan
mengikut masa tidak bermakna bahawa ketentuan rezeki Allah S.W.T. tidak
dipenuhi.
Dengan mengaitkan pengangguran dengan ketentuan rezeki, SKAG juga
secara tak langsung menyempitkan pengertian rezeki kepada hanya yang
berpunca daripada pendapatan buruh. Walhal rezeki boleh berpunca daripada
pendapatan semua sumber produktif yang Allah anugerahi manusia dan daripada
punca-punca lain seperti bayaran pindahan iaitu termasuk sedekah, zakat, harta
warisan dan sebagainya. Berdasarkan konsep rezeki yang luas ini, seseorang
itu boleh menganggur tetapi masih dikurniakan rezeki.
Lebihan buruh menurut SKAG tidak berlaku sekiranya negara-negara
mengamalkan semangat persaudaraan Islam. Dengan meminjam hujah
Mohamad H. Hourami (1977), mereka merumuskan bahawa menerusi
peruntukan semula sumber, lebihan buruh di sebuah negara Islam akan bergerak
secara bebas ke negara yang kaya sumber tetapi kekurangan buruh. Faktor utama
wujudnya pergerakan bebas buruh di peringkat antarabangsa ini adalah amalan
semangat persaudaraan Islam yang membolehkan mobiliti sempurna buruh serta
pengagihan semula sumber-sumber dan manfaat ekonomi.
Persaudaraan Islam adalah konsep unggul yang dalam praktiknya sukar
dicapai kecuali mungkin pada peringkat semangatnya sahaja. Hal ini memang
turut diakui SKAG (SKAG 2001: 7). Namun, jika pun wujud persaudaraan Islam,
mobiliti buruh tidaklah sempurna terutama di peringkat antarabangsa. Faktorfaktor
seperti kos yang berkait dengan migrasi buruh, perbezaan budaya dan
bahasa serta masalah-masalah berkait dengan geo-politik boleh menghalang
perpindahan buruh dari satu negara ke satu negara lain. Faktor lain yang mungkin
lebih kritikal adalah keperluan kemahiran. Negara yang kurang buruh lazimnya
memerlukan buruh mahir tetapi yang boleh ditawarkan oleh negara lebihan
buruh adalah buruh kurang mahir.
Kesimpulan SKAG bahawa masalah lebihan buruh tidak mungkin berlaku
di negara yang mengamalkan sistem ekonomi Islam agak sukar untuk diterima.
Lebihan buruh boleh berlaku baik di peringkat sektor dalam sesebuah negara
atau di sebuah negara dari semasa ke semasa. Dengan menganggap lebihan
buruh bukan masalah sebagaimana pandangan ahli tasawuf (SKAG 2001: 7),
bererti kita mengabaikan usaha mencari pendekatan Islam yang praktikal untuk
menangani masalah tersebut. Dalam konteks ini, kita patut bersetuju dengan
pandangan Faisal M. Rahman (1977) yang menyatakan negara Islam umumnya
berhadapan dengan masalah penduduk dan buruh dari segi kualiti dan kuantiti.
Apa yang kelihatan di beberapa negara ini adalah wujudnya lebihan penduduk
dari segi kuantiti tetapi terdapat kurangan dari segi kualiti.
BURUH DAN UPAH
Struktur hak milik terhadap buruh dan bentuk institusi yang mengatur
penggunaan buruh dan penentuan upah adalah antara unsur utama yang
membezakan sistem ekonomi. Dalam aspek penentuan upah, SKAG membuat
satu kesimpulan yang besar implikasinya terhadap sistem ekonomi Islam.
Mereka mendakwa:
Penentuan upah dalam Islam walaupun ia bergantung kepada kualitinya seperti aspek
fizikal, kemahiran, latihan dan mentalnya, namun di sana ada pertimbangan lain iaitu
aspek keperluan buruh tersebut bagi menampung perbelanjaan diri dan keluarganya.
(SKAG 2001:11)
Dua implikasi penting yang timbul jika benarlah dakwaan ini adalah:
1. Prinsip penentuan upah dalam Islam amat berbeza sekali daripada sistem
ekonomi kapitalis tetapi lebih hampir kepada sistem ekonomi sosialis,
dan
2. Mekanisma penentuan upah dalam Islam tidak bergantung kepada institusi
pasaran.
Berikut kita perbincangkan tafsiran SKAG tentang prinsip dan mekanisma
penentuan upah menurut pandangan Islam.
KONSEP PENAWARAN BURUH
Perbincangan SKAG tentang penawaran buruh adalah berdasarkan takrifan Afzalal-
Rahman (1974). Penawaran buruh ditentukan oleh tiga faktor iaitu kecekapan
buruh, mobiliti dan saiz penduduk. Di sini, kecekapan buruh merujuk kepada
kesihatan fizikal dan mental, dan tingkat pelajaran dan latihan yang menyumbang
kepada kebolehan bekerja (SKAG 2001: 8). Dalam konteks ilmu ekonomi
konvensional, perkara yang dirujuk sebagai kecekapan buruh ini adalah
sebenarnya faktor yang mempengaruhi daya keluaran atau produktiviti buruh.
Justeru dalam pengertian konvensional, penawaran buruh menurut SKAG adalah
bergantung kepada produktiviti buruh.
Bahawa penawaran buruh bergantung kepada kecekapan (maksud
produktiviti) agak sukar dijelaskan. Memang benar faktor-faktor seperti
kesihatan, pelajaran dan kemahiran boleh meningkatkan produktiviti buruh tetapi
tidak menjelaskan kuantiti buruh yang ditawarkan. Harus diingatkan bahawa
penawaran buruh merujuk kepada kuantiti buruh iaitu masa kerja yang sanggup
dibekalkan seseorang pada sesuatu tingkat upah tertentu. Maka apakah buruh
yang tinggi pelajaran dan kemahiran, dan oleh itu produktiviti akan lebih bersedia
menawarkan lebih masa kerja pada sesuatu tingkat upah tertentu. Daripada
penjelasan SKAG, kelihatan itulah yang akan terjadi. Tetapi apa yang sering
dilihat adalah semakin tinggi pelajaran dan kemahiran seseorang semakin
keberatan beliau menerima pekerjaan pada upah yang rendah – dan ini
menandakan penawaran buruh semakin berkurang.
Dalam ilmu ekonomi konvensional, produktiviti buruh mempengaruhi
permintaan. Semakin tinggi daya fizikal dan mental yang boleh disumbangkan
kepada proses pengeluaran semakin tinggilah permintaan; dan sebaliknya.
Malangnya dalam skema penentuan upah Islam mengikut tafsiran SKAG, istilah
permintaan buruh tidak wujud, atau sekurang-kurangnya dianggap tidak relevan
dalam penentuan upah. Bagi SKAG, firma atau majikan iaitu peminta buruh
hanya memainkan peranan pasif dalam hal-hal menentukan upah.
Dalam membincangkan faktor-faktor penentu penawaran buruh, SKAG
mengabaikan peranan upah. Apakah ini secara tidak sengaja atau apakah
memang SKAG berpendapat bahawa mengikut Islam penawaran buruh tidak
bergantung kepada upah? Dalam perkataan lain, apakah Islam mengkehendaki
para pekerja mengabaikan upah semasa membuat keputusan menawarkan tenaga
buruhnya?
PENENTUAN UPAH
Upah perlu ditentukan secara adil dan tidak dilakukan dengan sewenangwenangnya.
Menurut SKAG, kadar upah buruh yang adil adalah yang setimpal
dengan bidang kerja (SKAG 2001: 8), bergantung kepada kualiti buruh yang
merangkumi aspek fizikal, kemahiran latihan dan mentalnya (SKAG 2001: 11)
dan seboleh-bolehnya melebihi kadar keperluan menampung perbelanjaan diri
dan ahli keluargannya (SKAG 2001: 8-9). Justeru, pada pandangan SKAG, Islam
menggariskan dua prinsip utama tentang upah. Pertama, upah perlu setimpal
dengan kualiti kerja dan kedua, upah perlu melebihi tahap minimum keperluan
asas seseorang.
Sebelum diteruskan perbincangan elok dinyatakan bahawa prinsip
penentuan upah tersebut kelihatan serupa dengan satu bentuk sosialisme yang
prinsip peruntukan sumber dan manfaat ekonomi adalah mengikut kerja dan
keperluan (Jomo 1996: XV).
Bagi SKAG, hujah bahawa Islam menuntut supaya upah perlu setimpal
dengan kualiti kerja adalah berdasarkan maksud beberapa ayat al-Quran:
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian
kamu lebih daripada sebahagian lain… (Surah al-Nisa’ 4: 32)
…Jika mereka menyusukan (anak-anak) untukmu maka berikanlah kepada mereka
upahnya dan musyawarahlah antara kamu dengan ma'ruf (baik). (Surah al-Talaq
65: 6)
…Sesiapa (antara pemeliharaan anak yatim itu) mampu, maka hendaklah ia menahan
diri (daripada memakan harta anak yatim itu) dan sesiapa yang miskin, maka bolehlah ia memakan harta itu sekadar yang patut (ma'ruf)… (Surah al-Nisa' 4: 6).
Adalah kurang jelas bahawa maksud ayat-ayat itu yang membolehkan kita
menyokong bahawa Islam menghendaki upah dibayar mengikut bidang kerja
dan kualiti buruh. Surah al-Nisa’ 4: 32 boleh memberi maksud yang Islam
membenarkan upah berbeza-beza antara pekerja tetapi tidak menjelaskan apakah
asas perbezaan itu. Lagipun, ayat ini tidak secara khusus memerihalkan upah
tetapi lebih kepada memberi penjelasan perbezaan rezeki dan kurniaan Allah
kepada hambaNya. Surah al-Nisa' 4: 6 tidak berkenaan pekerjaan yang dibayar
upah. Ayat ini memberi panduan tentang hak-hak kepada pemegang amanah
harta anak yatim, bukan khusus tentang ganjaran kepada pekerja. Lagipun, tiada
kenyataan yang boleh diambil daripada ayat ini yang menjelaskan perkaitan
upah dengan kualiti kerja. Lagipun, jika ayat ini dijadikan hujah bahawa terdapat
perkaitan antara upah dan kualiti kerja maka kita akan berhadapan dengan
implikasi yang sangat ganjil. Khususnya, hujah SKAG memberi implikasi bahawa
pemegang amanah yang miskin lebih berkualiti dalam pengurusan harta kerana
mereka layak mendapat ‘upah yang lebih tinggi berbanding golongan yang
tidak miskin.
Maksud ayat 6 Surah al-Talaq juga tidak menggambarkan upah perlu
dikaitkan dengan kualiti kerja. Apa yang dijelaskan dalam ayat ini adalah upah
perlu ditentukan secara musyawarah dengan baik antara kedua pihak, majikan
dan pekerja.
Jadi, tiadapun bukti kukuh yang dikemukakan oleh SKAG yang menyokong
dakwaan bahawa Islam menghendaki supaya upah setimpal dengan bidang kerja
dan kualiti buruh. Prinsip penentuan upah berdasarkan kualiti kerja malah
mungkin tidak selari dengan tuntutan Islam.
Jika diteliti Surah al-Talaq ayat 6 itu maka boleh difahami bahawa upah
seharusnya ditentu secara musyawarah antara majikan dan pekerja. Musyawarah
dalam konteks ini boleh ditafsirkan sebagai proses perbincangan atau tawar
menawar untuk menentukan kadar upah yang boleh diterima oleh kedua-dua
pihak, majikan dan pekerja. Ayat ini ditujukan khas kepada penentuan upah
bagi kerja penyusuan bayi, namun konsep musyawarah dalam Islam adalah
bersifat umum. Oleh itu satu prinsip umum penentuan upah boleh diperoleh
daripada maksud ayat tersebut. Justeru penulis berpendapat bahawa prinsip
musyawarah yang melibatkan proses tawar menawar secara baik antara majikan
dan pekerja dalam menentukan upah adalah lebih sesuai dan adil seperti yang
dituntut oleh Islam.
Sekarang perhatikan konsep pasaran buruh. Pasaran buruh boleh
difahamkan sebagai satu susun atur yang melibatkan sama ada kontrak secara
formal atau perjanjian tak formal yang dengannya pembeli (majikan) dan penjual
(pekerja) khidmat buruh sama-sama bersetuju tentang terma kerja (iaitu termasuk
gaji dan pampasan, faedah sampingan, jumlah jam dan syarat-syarat lain bersabit
dengan pekerjaan itu). Dalam perkataan lain, pasaran buruh adalah mekanisme
yang menterjemahkan proses tawar menawar majikan dan pekerja dalam
menentukan upah dan syarat-syarat kerja yang dipersetujui bersama.
Ternyata bahawa prinsip musyawarah dalam penentuan upah adalah
konsisten dengan konsep dan mekanisme pasar. Justeru prinsip ini boleh
dilaksanakan dalam sistem ekonomi Islam dengan terbentuknya institusi pasaran,
khususnya pasaran buruh.
Dalam mengemukakan pandangan bahawa upah perlu setimpal dengan
bidang kerja dan kualiti buruh, SKAG tidak menggariskan mekanisme atau
institusi tertentu yang perlu untuk merealisasikan prinsip tersebut. Bagaimanapun,
tidak sukar untuk menjelaskan bahawa prinsip ini kurang sesuai dengan
mekanisme pasaran. Ini kerana proses tawar menawar dalam menentukan upah
bukan hanya dipengaruhi oleh kualiti buruh yang ditawar tetapi juga oleh
permintaan majikan terhadap kualiti tersebut. Sehingga nilai pasaran sesuatu
kualiti buruh mungkin tidak sama dengan nilai sebenarnya. Contoh mudah adalah
apabila upah pekerja siswazah pada tempoh-tempoh tertentu lebih rendah
daripada mekanik sementara kadar upah sejam penyanyi jauh lebih tinggi
daripada seorang doktor kerajaan. Untuk merealisasikan sepenuhnya prinsip
upah yang setimpal dengan bidang kerja dan kualiti buruh, satu bentuk
perancangan pusat diperlukan. Hanya agensi pusat yang mempunyai
kewibawaan untuk memberi nilai kepada setiap atribut yang menentukan kualiti
buruh mengikut bidang pekerjaan dan menguatkuasakan pembayaran upah
terhadapnya.
Prinsip kedua penentuan upah adalah upah seharusnya melebihi kadar
keperluan asas kehidupan seseorang. SKAG memetik hujah Ahmad Muhammad
al-Assal dan Fathi Ahmad Abdul Karim (1981) yang mentafsir maksud ayat 6
Surah al-Nisa’ untuk menyokongnya. Bagi saya, hujah yang lebih kukuh boleh
diambil daripada maksud al-Hadith riwayat Abu Daud (sila lihat SKAG 2001:
10-11).
Menurut SKAG (2001: 11), prinsip ini tidak terdapat dalam sistem ekonomi
konvensional dan mungkin ada yang berpandangan prinsip ini tidak sesuai
dilaksanakan dalam sistem ekonomi pasaran. Dakwaan dan pandangan ini adalah
tidak benar. Di negara Amerika Syarikat iaitu satu negara dengan sistem ekonomi
pasaran, prinsip ini diamalkan dalam bentuk pengenaan dasar upah minimum,
manakala di beberapa negara lain di Eropah, kaedah bayaran pindahan digunakan
untuk mengambilkira keperluan asas pekerja dan penduduknya. Apakah bentuk
perlaksanaan prinsip ini dalam sistem ekonomi Islam masih memerlukan
perincian.
KESIMPULAN
Ilmu ekonomi konvensional menganggap buruh sebagai satu sumber milik
manusia. Buruh bukan bermaksud pekerja tetapi daya fizikal dan mentalnya
yang disumbangkan kepada proses pengeluaran. Dengan konsep ini buruh
dianggap satu faktor pengeluaran tanpa menimbulkan implikasi bahawa pekerja
adalah hamba kepada manusia lain. Berdasarkan konsep ini juga kita boleh
menakrifkan lebihan penduduk dan lebihan buruh sebagai dua konsep yang
berbeza. Mengikut Islam Allah S.W.T. yang memberi dan menetapkan rezeki
seseorang. Akan tetapi penetapan rezeki bukan bererti bahawa masalah lebihan
penduduk dan lebihan buruh tidak mungkin wujud di negara yang mengamalkan
sistem ekonomi Islam. Ini kerana rezeki yang ditentukan tidak semestinya
mencukupi untuk keperluan asas. Lebihan penduduk boleh wujud apabila
sebahagian penduduk menerima rezeki kurang daripada keperluan asas mereka.
Mobiliti buruh pada praktiknya adalah tidak sempurna. Oleh itu masalah lebihan
buruh boleh wujud di peringkat sektor atau negara walaupun wujud semangat
persaudaraan Islam.
Rencana ini juga membincangkan penentuan upah dalam Islam. Adalah
didapati bahawa dakwaan yang Islam menuntut supaya upah dibayar setimpal
dengan bidang kerja atau kualiti buruh tidak mempunyai sokongan yang kukuh.
Malah Islam lebih cenderung menerima prinsip musyawarah antara majikan
dan pekerja dalam menentukan upah. Prinsip ini boleh difahamkan sebagai
proses tawar menawar dalam pasaran buruh. Berdasarkan prinsip ini, kaedah
penentuan upah dalam Islam boleh berasaskan mekanisme atau institusi pasar.
Satu lagi prinsip iaitu upah perlu mencukupi keperluan asas, didapati konsisten
dan boleh dilaksanakan secara integrasi dalam sistem pasaran buruh.
RUJUKAN
Abu Sulaiman, Abdul Hamid Ahmad. 1960. Economic Theory of Islam: The Philosophy
and Contemporary Means. Kaherah: Dar Misr lil Tiba’ah.
Ahmad Muhammad al-Assal dan Fathi Ahmad Abdul Karim. 1981. Sistem Ekonomi
Islam: Prinsip-prinsip dan Tujuan-tujuannya. Terjemahan oleh Abu Ahmad dan
Anshori Umar Sitanggal, Singapura: Al-Haramain.
Ali Muhammad Jarisyah dan Muhammad Syariaf al-Zaibaq. 1981. Problem Umat Islam.
Terjemahan oleh Jamaluddin Kafie, Singapura: Al-Haramain.
Baqir al-Sadr, Muhammad. 1968. Iqtisaduna. Beirut: Dar al-fikr.
Faisal M. Rahman. 1977. Population Problems and Policy in Muslim Countries. Dalam
Outlines of Islamic Economics, Proceedings of the First Symposium on the
Economics of Islam in North America, Indiana.
Jomo K. S. 1996. Alternatif Ekonomi Islam: Perspektif Kritis dan Haluan Baru. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohammad H. Hourami. 1977. Population Problems in the Muslim World. Dalam
Outlines of Islamic Economics, Proceedings of the First Symposium on the
Economics of Islam in North America, Indiana.
ukmislamyat[27]4.pmd 78 11/28/06, 3:42 PM
Tenaga Buruh dan Upah dalam Islam 79
Surtahman Kastin Hassan dan Abd. Ghafar Ismail. 2001. Tenaga Buruh dan Upah dalam Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan