DONATE

Jumaat, 1 Mei 2009

Pengeluaran dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK): Ekonomi Islam



Pendahuluan

Manusia adalah makhluk yang memerlukan hidup secara bermasyarakat, bahkan keperluan seseorang kepada orang lain, terkadang melebihi keperluannya kepada diri sendiri, mengikut Ibn Khaldun (al-Mukaddimah, 2003: 33), hidup secara bermasyarakat adalah sebuah keperluan yang tidak boleh dihindari. Sama ada antara individu dengan individu yang lain, kerajaan dengan kerajaan, sebuah syarikat dengan syarikat yang lainnya atau antara ketiga-ketiganya sekali. Sebahagian para ahli hikmah menyebutkan bahawa kehidupan bermasyarakat adalah sesuatu yang natural, semula jadi ada pada diri setiap insan secara tabi’i (Ibn Taymiyah: 4). Inilah kemudiannya yang mendorong setiap orang untuk saling kenal mengenali, tolong menolong antar sesama, termasuk pula dalam aktiviti ekonomi.

Kertas kerja ini diperuntukkan bagi memenuhi keperluan akademik kursus Sistem Ekonomi Islam. Isi kertas kerja ini diambil daripada kuliah-kuliah yang boleh difahami oleh penulis, yang telah disampaikan oleh Prof. Dr. Abdul Gaffar Fakulti Ekonomi Dan Perdagangan UKM dalam tajuk kursus berkenaan, kemudian dilengkapi dengan beberapa sumber buku bacaan mahupun laman web yang dilayari di internet, serta kefahaman penulis yang dangkal dari penjelasan beberapa rakan yang sedikit sebanyak mengetahui ilmu Ekonomi. Semoga ada manfaatnya.

Ejen Aktiviti Ekonomi:

Kegiatan ekonomi mengarah kepada pencapaian sesuatu matlamat yang dikehendaki oleh pelakunya. Walaupun matlamat zahir berbeza antara satu pelaku dengan pelaku lain, namun dasarnya adalah sama iaitu kesejahteraan. Ada pelaku yang mementingkan kesejahteraan diri sendiri melalui pemaksimuman kepuasan dan pemaksimuman bagi pengguna atau pengeluar. Mereka akan bertindak mengikut kemampuan dan pertimbangan sendiri asalkan kehendak mereka dipenuhi. Manakala ada pelaku yang mementingkan kesejahteraan awam, misalnya pemerintah. Di samping terlibat dalam aktiviti ekonomi ia juga bertindak sebagai badan pengawal, pemandu dan penggalak supaya kesejahteraan persendirian dan awam dapat berjalan secara harmoni. (Surtahman Kastin Hasan, 1990: 25).

Telah dimaklumi bahawa agen ekonomi terbahagi menjadi tiga bahagian yang penting: isi rumah (individu), firma dan kerajaaan. Telah dimaklumi pula bahawa ketiga-tiga anasir ejen ekonomi ini berhubung kait, dengan kata lain ianya saling memerlukan untuk menjalani aktiviti berekonomi. Bahkan ketiga-tiga nya pula memiliki hubung kait yang kuat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sesebuah negara. Pada kertas kerja yang sederhana ini, insya Allah akan dibincangkan hubung kait tersebut.
Sepertimana yang disinggung di atas, bahawa perjalanan sesebuah ekonomi dijalankan oleh tiga ejen yang paling penting, maka ada baiknya kita mengingat kembali apa fungsi dan peranan setiap ejen berkenaan dalam aktiviti ekonomi sesebuah masyarakat.

Ejen pertama adalah Individu (isi rumah). Ianya adalah pelaku utama dalam sesebuah aktiviti ekonomi, tanpa individu, ekonomi tidak ada wujudnya, sebab mereka lah yang paling banyak memanfaatkan setiap barangan, kerana mayoriti. Jika individu ini kecil dan sedikit dalam sesebuah masyarakat, maka secara otamatiknya, ekonomi yang berputar pada masyarakat tersebut juga akan kecil, atau jika individu wujud tetapi tidak melakukan transaksi, maka ekonomi pada masyarakat tersebut akan stagnan dan diam di tempat, tidak boleh tumbuh sepertimana yang diharapkan, begitu seterusnya.

Dalam ekonomi, individu (isi rumah) bertindak selaku konsumen terhadap barangan yang dikeluarkan oleh sesebuah firma atau kerajaan, tetapi di satu sisi bertindak sebagai produsen, baik dengan menawarkan tenaga atau modal insane secara fizikal ataupun dengan menawarkan ilmu pengetahuan yang dimilikinya (jasa intelektual). Contoh yang pertama adalah buruh dan semisalnya, dan contoh kedua adalah para pakar, guru, para cendikiawan dan lain-lain lagi yang memiliki keahlian dalam bidang tertentu.

Ejen kedua adalah firma (syarikat). Telah dimaklumi, bahawa sesebuah syarikat tidak mungkin akan wujud dan berkembang serta boleh mengeluarkan atau menjual suatu produk tanpa ada tenaga, baik tenaga ahli atau pakar yang berhubung kait dengan syarikat tersebut, ataupun tenaga yang memerlukan fizikal yang berwujud pada para buruh atau pekerja yang memerlukan pendapatan. Di sini, terlihat jelas hubung kait antara ejen yang pertama dengan ejen yang kedua, kedua-duanya saling memerlukan satu sama lain. Syarikat memerlukan jasa dan pengkhidmatan, manakala buruh dan para pakar memerlukan pendapatan yang akan dihasilkan dari pekerjaan yang mereka lakukan.

Sebuah firma atau syarikat, bertanggung jawab membayar upah (Cu) kepada buruh dan pakar yang bekerja di dalam syarikat berkenaan. Di samping ianya juga perlu mengeluarkan cost akibat asset (Ca), kerana membeli mesin yang diperlukan untuk sarana kemajuan firma. Mesin berkenaan kemudiannya akan menghasilkan barangan, dan barangan itu akan menghasilkan wang dan keuntungan bagi firma terbabit. Yf – {Cu + Ca} = H. Selanjutnya untung yang dihasilkan boleh menjadi modal tambahan atau boleh juga untuk disimpan. Disini tampak bahawa pengeluaran (Y) berfungsi untuk menjadi modal (K) dan bayaran untuk buruh (L), atau dengan kata lain modal (K) dan buruh (L) dapat mempengaruhi pengeluaran (Y) sesebuah syarikat atau firma.

Ejen yang ketiga adalah kerajaan. Sesebuah firma dan individu tidak boleh berjalan sendiri untuk mencapai matlamat yang diharapkan bersama dalam aktiviti ekonomi, kecuali dengan adanya peranan kerajaan. Kerajaanlah yang memberikan sesebuah syarikat atau firma lisensi atau legalitas untuk mengeluarkan sebuah produk, apakah produknya layak untuk menjadi konsumsi masyarakat atau tidak. Khas untuk makanan bagi orang Islam, maka para ulama telah diberi wewenang oleh kerajaan sesebuah Negara untuk memberikan sebuah label Halal terhadap sesetiap makanan yang akan dikeluarkan oleh sesebuah syarikat. Di samping itu, kerajaan boleh menjadi pengawal segala bentuk aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh sesebuah syarikat, agar ianya tidak mengeluarkan produk-produk yang dilarang dalam Agama.

Di sisi lain, kerajaan juga menjadi bahagian tidak terpisahkan dari aktiviti ekonomi, sebab ianya juga turut menjadi konsumen. Sebagai contoh, sesebuah kerajaan memerlukan kerusi bagi pejabat-pejabat, mikrophone, kertas dan sebagainya. Ianya juga memerlukan kaki tangan, sama ada yang boleh berkhidmat secara fizikal mahupun ilmu pengetahuan, idea dan buah fikiran yang cerdas.

Dalam kaitannya sebagai syarikat, kerajaan memerlukan tenaga buruh yang secara otomatik akan memerlukan pengeluaran dalam bentuk upah (CuG). Kerajaan pula memerlukan barangan dan pengkhidmatan, yang juga mengeluarkan kos barangan (Cb). Di sisi lain, kerajaan akan mendapatkan pemasukan daripada Tax (pajak/cukai) (T), atau Non Tax (bukan pajak) (NT). Tetapi apa yang dihasilkan oleh kerajaan, jika ditimbang dengan belanja (expenditure) kerajaan, maka boleh jadi akan menghasilkan positive ataupun negative. Kerananya, {T + NT} – {CGu + Cb) akan menghasilkan surplus atau defisit.

Kebiasaannya, jika kerajaan mengalami surplus, ianya akan menyimpan ke Bank. Manakala bank yang dimiliki oleh kerajaan atau yang swasta, ianya juga termasuk firma, kerana ia menawarkan pengkhidmatan modal.

Beberapa pendekatan yang boleh dilakukan oleh sesebuah kerajaan (khasnya kerajaan Islam) berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah adalah sebagai berikut:

- Kerajaan bertanggung jawab menyediakan semua barangan keperluan asas kehidupan yang dapat meningkatkan taraf kehidupan secara keseluruhan.

- Kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar kea rah mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, dan juga menubuhkan system pengagihan yang adil dan seksama yang mampu member kesenangan kehidupan dan menghapuskan kesengsaraan rakyat.

- Kerajaan perlu merangka dan melaksanakan dasar-dasar sosio ekonomi yang dapat mencapai kemakmuran dan kemajuan yang berterusan kepada rakyat.

- Kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar yang mampu mewujudkan suasana persaudaraan di anatar arkyat di dalam Negara itu dan juga dengan rakyat di Negara-negara lain.

- Kerajaan mesti melaksanakan dasar-dasar bagi menghapuskan kemiskinan dan membebaskan rakyat daripada kesengsaraan akibat daripada kekurangan pendapat dan tiada pekerjaan. (Ekonomi Islam, 2000: 102-103). Juga sila rujuk (Surtahman Kastin Hasan: 54-55)

Dari huraian ringkas diatas, dapat disimpulkan bahawa keperluan yang dikeluarkan adalah barangan, dan barangan diperlukan oleh semua ejen ekonomi, baik isi rumah, firma mahupun kerajaan. Juga dapat disimpulkan bahawa apapun yang dikeluarkan oleh setiap ejen, ianya bertujuan untuk memenuhi keperluan hidup sesebuah masyarakat.

Di sini, sebuah soalan muncul dengan sendirinya, mengapa para pelaku atau ejen ekonomi hendak mengeluarkan?

Ketika seseorang hidup dalam sesebuah komuniti atau masyarakat, tentunya keperluan untuk bertahan dalam taraf hidup yang diharapkan sangat diambil berat, sama ada yang berhubung kait dengan diri sendiri, keluarga, firma, kerajaan ataupun masyarakat yang ada disekitarannya. Untuk memenuhi keperluannya, maka seseorang dituntut untuk berusaha yang halal. Islam khasnya, sangat menggalakkan dan mengambil berat perkara ini. Sehinggakan suatu ketika Rasulullah SAW pernah menyatakan kepada salah seorang sahabat baginda: Kalau kamu meninggalkan harta bagi keluargamu, itu lebih baik daripada mereka menjadi peminta-minta.

Intinya, matlamat seseorang untuk mengeluarkan adalah untuk keperluan diri sendiri secara sederhana yang boleh membuatnya selalu beribadah kepada Allah SWT, sama ada ianya berbentuk makanan, pakaian, kesihatan dan sebagainya. Di samping untuk memenuhi keperluan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya; isterinya, anak-anaknya, ibubapa dan lain-lain lagi.

Manakala firma mengeluarkan produk yang dihasilkannya, kerana ianya diperlukan oleh masyarakat, kerajaan, bahkan juga diperlukan oleh firma lainnya. Dengan kata lain, setiap firma saling memerlukan dan memenuhi keperluan masing-masing, yang dalam istilah ekonomi dipanggil “kitaran industri”. Contohnya, sebuah firma yang menawarkan kitab atau buku, ianya memerlukan kertas isi, tinta, kertas sampul dan sebagainya yang diproduksi oleh firma lain, begitu seterusnya. Sementara kerajaan yang menjadi bagian penting dalam aktiviti ekonomi, ianya juga berfungsi menyuntik setiap pelaku ekonomi melalui subsidi, termasuk kepada firma yang memerlukan.

Tetapi, kadang-kadang sesetengah pihak tidak mengatur pengeluarannya dalam beraktiviti ekonomi, akibatnya ia boros tanpa mengambil kira, tidak berfikir panjang. Boleh jadi kerana tidak pandai berjimat, atau kerana terpikat dengan kemewahan yang bersifat sementara sahaja. Inilah yang kemudiannya kadang kala membuat aktiviti ekonomi sesebuah Negara tidak stabil. Padahal, dalam konsep ekonomi Islam, kesederhaan dan menjauhkan diri dari sifat materialistik sangat digalakkan dan dituntut. Dengan kata lain, semestinya para pelaku aktiviti ekonomi tidak hanya mengambil berat keuntungan materi yang besar sahaja, tetapi ianya perlu lebih mengedepankan aspek social yang bertujuan untuk membantu sesama, di samping hal itu akan menjadikan rizki yang dihasilkan lebih barokah di sisi Allah SWT.

Oleh yang demikian, persoalan yang muncul kemudian, bagaimanakah hendak mengeluarkan?

Proses pengeluaran (Y) dapat dilakukan melalui beberapa langkah, boleh melalui buruh (L) yang dipekerjakan oleh para ejen ekonomi; sama ada isi rumah, firma mahupun kerajaan. Buruh dan pekerja yang hendak digunakan tenaganya hendaknya diutamakan yang berilmu dan berskill atau berkemahiran. Kerananya diperlukan training dan learning process (proses pembelajaran) untuk mereka agar menjadi pekerja yang cekap, juga agar supaya kelak ketika dia keluar dari salah satu ejen tempat dia bekerja, dia boleh mewarisi pengetahuan dan pengalamannya ke atas orang lain yang menggantikan posisinya di tempat dia bekerja tersebut.

Langkah kedua yang boleh dilakukan dalam mekanisme mengeluarkan mengikut ajaran Islam adalah, mesti mengetahui dengan jelas proses pengumpulan modal, halal dan haramnya mesti diperhatikan, dari mana asalnya, bagaimana cara mendapatkannya dan hendak kemana disalurkan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan, bahwa kelak diakherat seseorang akan ditanya tentang rizkinya dengan dua pertanyaan; Dari mana dia dapatkan dan kemana dia belanjakan.

Modal (K) berasal daripada isi rumah, ia berlaku dengan cara melabur apa yang dimiliki untuk dijadikan sebagai ro’sul mâl, sama ada dengan cara membeli unitamanah atau membeli saham. Selanjutnya adalah bank, itu berlaku dengan cara melakukan pembiayaan berupa kontrak pertukaran atau pelaburan berupa kontrak perkongsian.

Dalam teori ekonomi, ada supply (penawaran) (S) dan demand (permintaan) (D). Penawaran akan turun kerana dipengaruhi oleh tingkat permintaan yang turun. Banyak faktor yang boleh menjadi punca turunnya penawaran, antaranya: kemelesetan ekonomi, daya beli yang rendah, inflasi yang rendah, keadaan politik yang tidak sihat dan lain-lain lagi. Kerananya, supaya ekonomi sesebuah Negara stabil dan tidak kacau bilau, maka mesti ada upaya untuk mempertahankan keseimbangan antara permintaan dan penawaran pasar. Di sini, sekali lagi peranan kerajaan sangat diperlukan.

Apa itu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau GDP?

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara adalah satu cara untuk mengukur ekonomi nasional. KDNK bermaksud “jumlah nilai pasaran keseluruhan barang dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu (lazimnya dalam tahun kalendar)”. Ia juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barang dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang.

Bagaimana KDNK dikira?

Terdapat tiga cara mengira KDNK:

1. Kaedah pengeluaran
2. Kaedah Perbelanjaan Akhir
3. Kaedah Pendapatan

Kaedah Pengeluaran

• Menjumlahkan nilai ditambah kasar (gross value added) bagi semua pengeluar dalam ekonomi.

• Bagi pengeluar yang berorientasikan keuntungan (profit orientation), nilai ditambah adalah bersamaan dengan output kasar tolak input perantaraan.

• Bagi pengeluar yang bukan berorientasikan keuntungan, nilai ditambah bersamaan dengan menjumlahkan pampasan pekerja (compensation of employee), penggunaan modal tetap (consumption of fixed capital) dan cukai tak lansung tolak subsidi.

• Kaedah ini juga dikenali sebagai Pendekatan Nilai Ditambah dan juga Kaedah Penawaran (Supply side method).

KDNK boleh dikira menggunakan kaedah Perbelanjaan (expenditure approach):

KDNK = penggunaan (consumption atau "C") + pelaburan kasar (gross investment atau "I") + perbelanjaan awam (government spending atau "G") + (eksport atau "X" − import atau "M"), atau, KDNK = C + I + G + (X-M).

Di mana penggunaan adalah perbelanjaan isi rumah tangga; pelaburankasar oleh sektor industri; perbelanjaan awam oleh kerajaan; dan eksport dan import melibatkan sektor luar negeri.

KDNK juga boleh dikira menggunakan kaedah Pendapatan (income approach):
KDNK = sewa + upah + bunga + keuntungan
Di mana sewa adalah pendapatan pemilik untuk faktor pengeluaran tetap seperti tanah; upah untuk tenaga kerja; bunga untuk pemilik modal; dan keuntungan untuk pengusaha.
Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/KDNK dan lain-lain lagi, tarikh 06/04/09

Adakah hubung kait antara Pengeluaran dengan GDP/KDNK?

Dari huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa hubung kait antara pengeluaran dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sangatlah kukuh. Ini kerana, jika permintaan turun, maka tingkat Demand (penawaran) barangan (hasil produksi) juga akan turut rendah. Impaknya, pendapatan kerajaan, firma dan individu (para ejen ekonomi) juga rendah, sehinggakan dampaknya terhadap daya beli masyarakat juga rendah. Justeru, secara makro (agregat) pengeluaran ditunjukkan melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengapa KDNK tidak stabil?

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mengalami ketidak stabilan kerana pengaruh komponen pembentuknya, iaitu; Y, C, I, G (X, M). Sebab, kesemua komponen atau anasir tersebut boleh terbuka atau tertutup bila-bila masa, baik kerana iklim politik yang tidak sihat dalam sesebuah Negara, inflasi, sentiment pasar, daya beli masyarakat yang rendah dan sebagainya. Inilah yang kemudiannya mempengaruhi investasi, tingkat bunga (dalam ekonomi konvensional), tabungan dan lain-lain lagi. Ini pula yang membuat trennya meningkat, dan kadar pertumbuhanya turun dan naik.

Kesimpulan

Ketiga-tiga ejen aktiviti ekonomi saling memerlukan dan memenuhi satu sama lainnya. Oleh itu, mesti ada kerja sama yang konkrit dan konsisten untuk mengawal dan menjamin aktiviti ekonomi berjalan dengan adil dan jujur, tanpa ada mana-mana pihak yang merasa dirugikan oleh pihak yang lainnya. Itu semua tidak akan terwujud secara sempurna kecuali dengan kembali kepada konsep-konsep Islam dalam bermu’amalah.

Di sisi lain, untuk menjaga kestabilan Keluaran Dalam Negara Kasar sesebuah Negara, diperlukan kearifan semua komponen masyarakat yang ada pada Negara berkenaan, sama ada politikusnya, para pialang ekonomi, pengusaha dan tentunya masyarakat awam yang menjadi pelaku mayoriti aktiviti ekonomi. Kerana walau bagaimanapun, setiap orang mendambakan kesejahteraan dalam hidupnya yang sementara ini. Wallohu A’lam.


Rujukan

Fadzilah Azam Ahmad, Fauziah Abu Bakar, Habibah Lehar dan Raskinah Mohd Noor, 2000, Ekonomi Islam, Percertakan Asni SDN Berhad.
Ibn Khaldun, 2003, al-Mukaddimah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, Lebanon
Ibn Taymiyah, al-Hisbah, Maktabah Syamilah, Edisi Kedua
http://ms.wikipedia.org/wiki/KDNK

Tiada ulasan: