DONATE

Jumaat, 15 Mei 2009

Salafiah Al-Mu'asiroh- Suatu Penelitian


1.0 PENDAHULUAN

Sejak akhir-akhir ini lahir pelbagai aliran pemikiran dalam memahami Islam sebagai satu cara hidup. Lantaran itu, kita begitu ghairah mencari identiti hidup yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Adakalanya selari dengan Islam dan adakalanya aliran pemikiran tersebut lari dari penghayatan Islam sebenar. Sehinggakan ada dikalangan saudara kita mendakwa bahawa pegangan, fahaman dan sikap mereka sahaja yang benar. Manakala pegangan, fahaman dan sikap orang lain dianggap menyeleweng. Bahkan dituduh sebagai sesat, mengamalkan khurafat, melakukan syirik dan seumpamanya.

Ekoran itu, berlakulah aktiviti tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan kafir mengkafir dalam masyarakat. Senario ini bukan sahaja melibatkan ahli akedemik professional tetapi turut mendatangkan kerancuan kepada orang awam masyarakat kita. Masyarakat semakin bingung, keliru dan buntu. Akhirnya, umat Islam kita berpecah-belah menurut ideologi dan fahaman masing-masing. Walalupun kita satu agama, sayangnya fahaman dan sikap serta tindakan kita berbeza.

Justeru kertas kerja ini di tulis secara ringkas bagi mengungkap sedikit latar belakang, intisari-intisari Salafiyah, sekaligus mencerna pendirian dalam menghadapi isu ini. Memandangkan isu ini telah dibincangkan secara terbuka di television, radio, dada akhbar, dan majalah. Maka kita juga harus berlapang dada dan bersifat terbuka dalam membicarakannya.


2.0 LATAR BELAKANG

Zahirnya, gerakan gerakan pembaharuan itu menggunakan syiar al-Salafiah sebagai logo gerakannya, tetapi dalam masa yang sama ia cuba menghampiri salaf dalam suatu sudut, iaitu yang berkaitan dengan hal-hal bidaah, keganjilan dan khurafat dan cuba pula menjahui salaf dari sudut-sudut yang lain. (Al-Buti, 2004, Salafiyah, Hlm. 334)

Gerakan pembaharuan Islam ini telah membawa kesan yang besar dalam menyebarkan kalimah salaf atau al-Salafiah di segenap bidang ilmu dan sosial waktu pun kalimah itu sudah ada maknanya yang khusus, yang tidak patut digunakan kecuali dalam hal-hal keilmuan yang sempit sahaja.

Kita melihat di awal kurun ini bagaimana perkataan yang tersebut dikeluarkan daripada had-had keilmuannya yang sempit, dijadikan sebagai tajuk majalah, dipilih sebagai nama-nama syarikat percetakan pustaka seperti pustaka al-Salafiah dan percetakan al-Salafiah yang begitu terkenal di mesir. Beginilah bagaimana perkataan ini digunakan dengan meluas sekali sehingga telinga yang mendengarnya menjadi serasi dengannya, ditambah pula dengan gerakan pembaharuan agama yang dipelopori oleh tokoh-tokoh yang terkemuka.

Kurun yang dimaksudkan ialah tempoh cemerlangnya gerakan al-Wahhabu yang dinasabkan kepada pengasasnya iaitu Syeikh Muhammad Bin Abd al-Wahhab (1115-1206 H). Gerakan ini kerap dipanggil sebagai Mazhab Wahhabi telah tersebar ke beberapa tempat di semenanjung tanah Arab. Di antara mazhab ini dan gerakan dakwah yang dibawa para pelopor pembaharuan agama di mesir terdapat satu kesamaan terhimpun. Masing-masing berjuang memerangi bidaah dan khurafat lebih-lebih lagi bidaah ahli-ahli sufi. Sejak detik itu maka perkataan salaf atau al-Salafiah ini diberikan kepada mazhab al-Wahhabi itu kerana melihat kepada jambatan penghubung yang dilalui oleh mazhab ini dan gerakan pembaharuan tersebut. (Al-Buti, 2004, Salafiyah, Hlm. 335)

Melihatkan keadaan itu, Syeikh Muhammad bin Abd Al-Wahhab pun terus menyeru para pengikutnya supaya menukar perkataan al-Wahhabiyah kepada al-Salafiah. Dan mereka segera melaungkan gelaran baru ini sebagai logo atau identiti bagi mazhab mereka supaya mereka dapat menyatakan kepada orang ramai bahawa sebarang fahaman atau pemikiran mazhab ini bukanlah datang daripada Muhammad Abd al-Wahhab tetapi daripada golongan Salaf al-Soleh. Juga untuk menyatakan bahawa pegangan mereka ialah aqidah, fahaman dan method salaf dalam memahami hakikat Islam yang sebenar.

Begitulah begaimana berlakunya pertukaran perkataan daripada perkataan syiar yang diberikan untuk suatu gerakan pembaharuan kepada gelaran baru yang menun jukkan bahawa gerakan atau syiar itu ialah satu mazhab, yang dibina di atas kebenaran. Sesiapa yang tidak bersama mereka bahawa orang itu tidak bersama mereka bahwa orang itu tidak berada di atas jalan kebenaran dan tidak pula beriman seperti mana yang dikehendaki dalam aqidah salaf.

3.0 METODOLOGI SERTA PERMASALAHAN

3.1 ASPEK TAUHID
3.1.1 TAUHID RUBUBIYYAH.

Mereka menganggap Tauhid ini diterima oleh seluruh insan di muka bumi ini kecuali golongan Mulhid (Johari Mat,2008).

Orang-orang musyrik itu bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan mereka tidak bertauhid dengan Tauhid Uluhiyyah kerana mereka itu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Bahkan mereka dari golongan Salafiyah mengatakan kaum Muslimin yang bertawassul dan beristighasah dengan Anbiya dan Salihin serta Tabarruk adalah mereka itu Kuffar bahkan lebih kufur dari Abu Lahab, Firaun dan Hamman. (http://al-subki.blogspot.com)

Dalam hal ini mereka mengiktiraf orang-orang Musyrik seperti Abu Jahal dan Abu Lahab bertauhid Rububiyyah atau dengan kata ahli Tauhid juga. Dalam konteks di Malaysia, mereka kata orang-orang kafir di Malaysia pun bertauhid Rububiyyah. (Mohd Basmail, Kaifa Nafham Al-tauhid, Hlm. 16)

Kesimpulannya dalam Tauhid Rububiyyah ini di maksudkan semua makhluk di muka bumi tidak kira agama yang mensyirikkan Allah dikira termasuk dalam berpegang dengan Tauhid Rububiyyah atau dengan kata lain yang lebih mudah difahami mereka adalah ahli Tauhid.


3.1.2 TAUHID ULUHIYYAH.

Tauhid ini dimaksudkan oleh perspektif Salafiyah adalah Tauhid yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang bersifat tulus kepada Allah s.w.t. dengan tidak melakukan perkara-perkara yang membawa kepada syirik seperti ziarah kubur walaupun ziarah makam Rasul, tawassul, istighasah, tabarruk dan lain-lain lagi. (Abu bakar Al Jazairi, Aqidatul Mukmin, Hlm. 144)

Kaedah yang diguna pakai ini membolehkan sesiapa dari kalangan muslimin yang melakukan amalan seperti ziarah kubur, tawassul, istighasah, dan tabarruk, maka mereka akan dikategorikan bertauhid Rububiyyah. Dalam erti kata lain Tauhidnya tidak sah, maka darahnya halal dan hartanya boleh dijadikan ghanimah. (Abd Rahman ‘Ammasy, Khabrah Ulama Lubnan fi Muajihah Qadhoya al-Aqidah al-Masykukah, Hlm. 23)

Dalam masalah ini mereka menyamakan golongan Musyrik yang menyembah berhala-berhala dengan orang Islam yang menziarahi makam Auliya, Solihin dan Anbiya. Mereka juga menyatakan apa bezanya orang Musyrik menyembah berhala untuk sampai pada tuhan yang sebenar antara orang Islam yang datang berkunjung untuk mengambil barakah di Makam Auliya dan Nabi-nabi serta orang-orang Solihin untuk sampai kepada Tuhan (Soleh bin Fauzan, Al-Tauhid, Hlm. 70)

Selain itu mereka dengan tegas menyatakan sebarang ziarah ke atas maqam-maqam para ulama adalah hukumnya haram maka ia terkeluar dari bertauhid Uluhiyyah. Maka muncul beberapa fatwa pukul rata terhadap beberapa negara-negara arab yang di hukum masyarakatnya bertauhid rububiyyah iaitu mereka terkeluar dari Islam antaranya penduduk Mesir, Syam, tanah Hijaz dan Syam.( Ibn Baz, Ta'liq Fathul Majid, Hlm. 217)

Lebih parah lagi mereka melarang keras dalam kelakuan ziarah ke maqam Rasulullah s.a.w. kerana baginda itu juga manusia dan hendaklah tauhidnya itu bersih tulus kepada Allah tanpa mencampur adukkan selain Allah iaitu makhluk. Malah ziarah ini di hukum ziarah maksiat dan haram hukumnya. (Ibnu Hajar al-Asqolani, Fath al-Bari, jld. 3, Hlm. 66). Selain fatwa mereka yang mengatakan bahawa haram bermusafir untuk menziarahi kubur nabi walaupun bagi mereka yang mengerjakan haji, dan juga mereka yang berjauhan dari Madinah. (Ibn Baz, Tahqiq Wal Idhoh Li kasir Min Masail Al-haj Wa al-Umrah, Hlm. 88,90,98)

Sehinggakan mereka yang berfaham salafiyah ini bersungguh-sungguh melarang masyarakat dari menziarahi Nabi s.a.w. sehinggakan ingin membongkar mayat Nabi s.a.w. untuk di keluarkan dari Masji Nabawi supaya masyarakat tidak lagi menziarahi maqam tersebut. (Abi Abd Rahman Muqbil Ibn Hadi, Al-Riyad al-Jannah fi Rad ‘Adac al-Sunnah, Hlm. 36)

Kesimpulannya dalam Tauhid ini, khusus terhadap orang Islam sahaja yang terhindar atau tidak melakukan amalan-amalan yang syirik bagi perspektif Wahhabi seperti ziarah makam Rasul-rasul dan sahabat-sahabat, Tawassul, Istighasah, Tabarruk dan seumpama dengannya adalah berpegang dengan Tauhid Uluhiyyah. Manakala bagi sesiapa yang melakukan amalan yang dikategorikan syirik tadi adalah terkeluar dari Tauhid Uluhiyyah dan termasuk dalam Tauhid Rububiyyah.

3.1.3 TAUHID ASMA WA SIFFAT

Dalam tauhid ini mereka menyamakan Allah dengan makhluknya. Mereka mengharuskan kepada Allah perbuatan bersentuhan dan bersalaman. Mereka sebenarnya berpegang kepada lafaz-lafaz yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti Istiwa’ yang dimaksudkan mereka adalah duduknya Allah, muka, dua tangan, mata , pinggang, datang, mendatangi, berada di atas dan dibawah dengan zat Allah s.w.t. sebenar dengan semua ini bertunjangkan kefahaman yang berdasarkan zahir ayat terbabit, yang secara mutlaknya difahami kepada benda yang berjisim. (Ibn Abi al-Iz, Syarh Al-Tohawi, Hlm. 286)

Wajib beriman dengan sifat-sifat Allah sebagaimana Allah s.w.t. menyifatkan dirinya tersebut di dalam al-Quran dan Hadith. Bila mana terdapat ayat al-Quran menyebut “ Allah cArsy al-Istawa” kemudian mereka berpegang maksudnya hendaklah beriman Allah duduk di atas Arasy secara hakikat. Di antara lain ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang sifat Allah s.w.t. “ yad Allah” mereka menganggap hendaklah beriman Allah memiliki tangan secara hakikat. Selain itu “Ain Allah” juga beranggapan hendaklah beriman Allah s.w.t. memiliki dua mata secara hakikat. Mereka juga memfatwakan barang siapa yang tidak meyakininya bersama zat Allah s.w.t. maka ia tercela di sisi Islam. ( Ibn Baz,Tanbihat Fi Rod Ala Man Taa’wwal Sifat, Hlm. 19)

Mereka menambah barang siapa yang meyakini istiwa’ Allah itu dengan menukar istawla (menguasai) dikira Kafir di sisi Islam. Selain itu mereka mendakwa bahawa al-Kursiy itu adalah tempat letaknya kaki Allah s.w.t dengan hakikat. Bahkan lebih lagi mereka menetapkan dengan menyatakan bahawa Zat Allah berbentuk secara hakikat. (Mahmud al-Tuwaijiri, Aqidah Ahl al-Iman Fi Khalq Adam Ala Surah al-Rahman, Hlm. 40, 91)

Mereka juga beranggapan bahawa semua sifat Allah s.w.t. itu perlu di imani dan diterima secara bulat-bulat secara zahir yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran tersebut tanpa takwil atau sebagainya dengan zat Allah s.w.t.. Selain itu, mereka menganggap cara pemahaman Aqidah ini bersamaan dengan cara Salaf. Maka secara tidak lansung, pembawaan ini telah menyebabkan tauhid ini terjerumus ke dalam lembah menjisimkan Allah serta menyerupakan Allah dengan makhluknya. Oleh itu, para Ulama menganggap metod yang digunakan oleh Wahhabi ini serupa dengan metod yang diguna pakai oleh puak-puak Mujassimah atau Musyabbihah yang mana sedia maklum bahawa puak-puak itu terkeluar dari Ahli Sunnah Wa al-Jamaah. (Soleh Fauzan, Nazariyat wa Ta’liqat ala ma fi kitab Salafiyah, Hlm. 40)

Mereka dengan keras menolak pengajian sifat dua puluh yang dianggap sebagai satu konsep yang bersumberkan falsafah Yunani dan Greek. Dalam masa yang sama menolak serta mengkritik keras terhadap Aqidah Ahli Sunnah Wa al-Jamaah yang di bawa oleh Abu al-Hasan al-Asycari dan al-Maturidi yang mana dipegang oleh mejoriti ulama Islam serta umat Islam dalam perkara Aqidah. Mereka juga sering mengkafir ulama-ulama Asyacirah seperti al-Hafiz al-Muhaddith al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani, al-Hafiz al-Imam Ibn Hajar al-Haitami, al-Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam dan banyak lagi ulama menjadi mangsa tuduhan kafir khususnya Ulama-ulama Asyacirah. (Abdul Rahman, Fathul Majid, Hlm. 353)

Mereka bergerak dalam penyebaran Dakwah Aqidah Salafiyyah yang mirip kepada Mujassimah dan Musyabbihah ini sering berselindung di sebalik kata nama Salaf atau Mazhab Salaf. Dengan tiket nama Salaf ini dapat memberi ruang yang seluas-luasnya buat mereka dalam mengaburi orang awam dalam membenarkan Aqidah mereka di guna pakai atau diterima oleh semua orang. Mereka juga bergiat dalam menyebarkan pengaruh Aqidah mereka kepada orang-orang awam di saluran media cetak dan masa seperi buku-buku mereka antaranya Majalah al-Sunnah, Di mana Allah, Fath al-Majid, Majalah al-Haj, Fatawa al-Aqidah al-Uthaimin dan Tanbihat fi Rad al man Ta’awal al-Sifat.

Selain itu, mereka mendakwa bahawa amalan memuliakan Rasulullah s.a.w. boleh membawa kepada syirik. Ini kerana memuji-muji makhluk berlebih-berlebihan selain daripada Allah s.w.t. boleh menyebabkan terjebak ke lembah kesyirikan walaupun makhluk yang dipuji itu adalah yang membawa rahmat di muka bumi ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w. mereka juga beranggapan ibu bapa Rasulullah tidak terselamat dari azab api neraka.

Kesimpulannya mereka memahami ayat-ayat mutasyabihat secara zahir tanpa takwil atau sebagainya. Mereka juga menafikan konsep takwil yang dipelopori oleh Abu al-Hasan al-Asycari dalam memahami ayat-ayat Mutasyabihat. Bahkan mereka mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak mengikut metod Aqidah mereka khususnya Ulama-ulama Asyacirah yang sering kali menjadi mangsa kekafiran mereka kerana berbeza dalam hal Aqidah. Mereka memahami ayat-ayat Mutasyabihat secara zahir tanpa huraian terperinci dari Ulama-ulama yang Muktabar.


3.2 FURU’IYAH

3.2.1 TIDAK BERMAZHAB.

Dalam masalah fiqh, mereka lebih menjurus mengamalkan sesuatu amalan itu berdasarkan tidak berpegang kepada empat mazhab. Malah mereka menolak fahaman bermazhab kepada imam-imam yang empat atas alasan keempat-empat Imam tersebut itu tidak maksum. Mereka juga sering menuduh kepada orang yang bermazhab sebagai taasub mazhab. Kadang kala mereka mengadunkan amalan empat-empat mazhab dan pendapat-pendapat lain sehingga membawa kepada Talfiq yang haram. Selain itu mereka juga memandang hal tentang Taqlid kepada Mazhab sebagai satu perkara bidaah. Sesetengah mereka sehingga mendakwa pengikut mazhab empat itu kafir dan sesat Hal ini terdapat dalam kitab mereka “Hal lil muslim mulzamun bittiba’ mazhabinmu’ayyan min al-mazahib al-arba’ah” Muhammad Sultan al-Ma‘sum al-Khajandi al-Makki. (Al-Buti, Sa‘id Ramadan, 1981, Alla mazhabiyyah, Hlm. 66)

Kedengaran juga mereka mewar-warkan bahawa fiqh empat mazhab ini telah ketinggalan zaman. Maka mereka juga mempromosikan mazhab fiqh yang baru dinamakan sebagai Fiqh al-Taysir, Fiqh al-Dalil, Fiqh Mustofa dan seumpamanya yang jelas terkeluar daripada fiqh empat mazhab.


3.2.2 BIDAAH.

Mengikut perspektif Salafiyah, bidaah disini adalah sesuatu perkara baharu yang mana perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w dangan tujuan mengurangkan sesuatu atau menambahkan sesuatu adalah dikira bidaah yang sesat.

Mereka menafikan bidaah yang terbahagi kepada dua iaitu Bidaah Hasanah dan Bidaah Sayyiah dengan menyatakan semua perkara baharu itu adalah tergolong dalam Bidaah yang sesat. Ini kerana berpandukan kepada Hadith “kullu bid’atin dhalalah” yang mafhunya: “Setiap perkara yang baru diada-adakan adalah bidaah dan setiap yang bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat berada di dalam neraka” sanad yang sahih riwayat Abu Daud.

Pandangan Imam al-Syatibi dalam perkara bidaah adalah pandangan yang diangkat oleh puak-puak Wahhabi yang mana penulis memetik dari buku al-Ictisam, Imam al-Syatibi menolak adanya pembahagian bidaah yang terbahagi kepada Hasanah dan Sayyiah atau terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunnat, mubah, haram, mandub seperti ini, dan beliau mendakwa semua perkara baru hanya berkaitan dalam ibadah sahaja adalah bidaah dan semestinya tercela. (Mohd Asri Zainul Abidin, 2005, Bid’ah Hasanah: Istilah yang Di Salah Fahami, Hlm. 11-87)

Penulis berpandangan oleh kerana metod bidaah yang dipegang puak-puak Salafiyah, maka tidak hairanlah sebahagian umat Islam dituduh sebagai pembuat bidaah hatta Ulama-ulama yang berautoriti seperti al-Imam Sayyid Muhammad cAlawi al-Maliki, Syeikh Sayyid Mamduh, Syeikh al-Hafiz Abdullah al-Ghumari dan tidak ketinggalan ulama-ulama dari Malaysia pun dituduh sebagai pembuat bidaah yang tercela. Mereka memahami konsep bidaah dalam skop atau konteks yang terlampau sempit yang berpunca dari kejahilan mereka sendiri yang tidak mahu berpegang kepada penerangan ulama-ulama yang Mu’tabar dan berautoriti sehingga menyebabkan berlaku tuduh-menuduh bidaah membidaahkan, sesat atau seumpamanya.

Kesimpulannya di sini, fahaman Salafiyah meletakkan takrif bidaah yang tersendiri dan tidak mengikut pendapat mejoriti Ulama-ulama dalam memahami takrif bidaah yang sebenar. Takrif bidaah yang diguna pakai adalah semua bidaah adalah tercela atau keji yang membawa kepada kesesatan yang mana akan dimasukkan ke dalam neraka. Maka timbullah beribu-ribu amalan-amalan warisan yang ditinggalkan para ulama dituduh sesat dan bidaah yang keji seperti amalan maulid Nabi s.a.w, bersalaman selepas sembahyang, berdoa dengan nyaring dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w. (Saleh Ibn Fawzan, Tahzir Min al-Bidaah, Hlm. 5)

3.2.3 NAJIS.

Sebahagian dari mereka sering mempertikaikan bagi kedudukan babi sebagai najis Mughalazah. Mereka juga mengatakan enzim babi tidak najis dan halal. Selain itu, terdapat beberapa perkara yang melanggar Ijma Ulama seperti membasuh sesuatu yang telah disentuh oleh anjing atau babi tidak perlu Sama’ atau membasuh menggunakan air tanah, cukup sekadar menggunakan air sabun sahaja.

3.2.4 WUDHU’.

Ciri-ciri mereka dalam masalah Wudhu’ antaranya seperti mereka tidak menerima air musta’mal dengan menyatakan ia bukan sebahagian dalam ajaran Sunnah. Selain itu, mereka juga berpegang bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan Ajnabiyyah tidak membatalkan wudhu’. Manakala ketika sedang mengangkat wudhu’, bilamana hendak membasuh kedua belah telinga hanya sekadar dengan air basuhan rambut sahaja sudah mencukupi bukan dengan air yang baru.

3.2.5 AZAN.

Dalam bab azan ini, puak-puak Salafiyah ini berpegang azan jumaat hanya sekali dan menolak dengan keras bahawa azan Jumaat yang kedua itu dalah bidaah yang keji yang sengaja diada-adakan. (Al-Ghumari, 2007, Bidaah: Satu penjelasan Rapi, hlm. 63)

3.2.6 SOLAT.

Dalam fahaman Salafiyah selalu mempromosikan sifat solat Nabi s.a.w.’, dengan alasan kononnya solat berdasarkan fiqh mazhab adalah bukan sifat solat Nabi s.a.w yang sebenar. Dalam erti kata lain, solat yang selalu dibuat oleh sebahagian masyarakat Islam adalah bukan dari Sunnah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan dituduh sebagai amalan yang diada-adakan tanpa meruju kepada al-Quran dan al-Hadith. Bagi mereka sebenarnya hendak mengatakan bahawa cara-cara solat yang telah diterangkan oleh ulama-ulama empat mazhab ini adalah dusta dan yang benar adalah secara solat yang mereka pelopori tanpa berpandukan kepada pandangan-pandangan ulama empat mazhab.

Antara ciri-ciri solat yang dipelopori oleh Wahhabi seperti tiada lafaz Usolli atau dikenali Talaffuz bi al-Niyyat sebelum mengangkat takbir kerana mereka mendakwa lafaz Usolli itu adalah bidaah. Ketika solat pula hendaklah berdiri secara terkangkang. Kemudian tidak membaca Basmalah secara jahar kerana membacanya dengan nyaring adalah dikategorikan sebagai bidaah.

Selain itu, ketika sembahyang, hendaklah meletakkan tangan di atas dada sewaktu qiyam bukan di antara pusat yang empat mazhab putuskan. Menganggap bahawa meletakkan tangan di atas dada itu adalah Sunnah yang sebenar bukannya mengikut empat mazhab. Mereka juga beranggapan bahawa perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam solat sebagai perkara Bidaah.

Mereka juga menganggap Qunut subuh adalah sebahagian dari perkara-perkara Bidaah dengan alasan kerana Nabi s.a.w. tidak melakukan amalan doa Qunut ini secara berpanjangan. Kemudian menganggap penambahan ‘wa bihamdihi’ pada tasbih rukuc dan sujud adalah bidaah. Setelah selesai solat selepas salam, tiada menyapu muka yang dikira sebagai bidaah.

Manakala dalam hal solat Tarawikh, mereka hanya mengamalkan solat tarawikh dengan lapan rakaat sahaja. Bahkan sebilangan mereka juga ada yang mendakwa solat tarawikh itu sebenarnya adalah solat malam seperti solat yang dibuat pada malam biasa. Kemudia mereka juga menolak sekeras-kerasnya hadith-hadith targhib wa tarhib dalam menyebut kelebihan solat tarawikh dengan mengatakan kesemua hadith-hadith ini adalah palsu dan mungkar. Kemudian menganggap sebahagian amalan tradisi dalam solat tarawikh di Malaysia sebagai bidaah seperti zikir jahar di antara rakaat-rakaat solat Tarawikh.

Lebih mengejutkan lagi, fahaman Salafiyah mendakwa bahawa tidak perlu qadha bagi solat yang sengaja ditinggalkan. Menganggap amalan bersalaman selepas solat adalah bidaah. Selain itu, mereka juga menganggap lafaz sayyiduna dalam solat dikira sebagai bidaah. (Al-Ghumari, 2007, Bidaah: Satu penjelasan Rapi, hlm. 86)

Akhir sekali fahaman Salafiyah menganggap di bolehkan jamac dan Qasar walaupun kurang dari dua marhalah. Dalam masa yang sama mereka menolak solat sunnat Qabliyyah sebelum jumaat. Banyak lagi penulis hendak senaraikan ciri-ciri fahaman Salafiyah dalam bab solat, akan tetapi cukup sekadar yang penting untuk pengetahuan am dalam mengenali ciri-ciri mereka ini kerana ruangan yang terhad untuk di letakkan semua ciri-ciri fahaman Salafiyah khususnya dalam bab solat.

3.2.7 DOA, ZIKIR DAN BACAAN AL-QURAN.

Dalam bab ini penulis mendapati banyak perkara telah dikategorikan bidaah dan sekaligus puak-puak Salafiyah tidak akan melakukan perkara tersebut. Antaranya ialah doa beramai-ramai atau berjamaah selepas solat adalah dikategorikan sebagai bidaah. Kemudian, menganggap zikir dan wirid beramai-ramai atau berjamaah selepas sembahyang atau pada bila-bila masa sebagai bidaah. (Abdullah bin Mohd bin Abdul wahab, Hidayah al-Sunnah, Hlm. 47)

Selain itu, terdapat juga pegangan mereka terhadap zikir-zikir, doa dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan hadith sebagai bidaah. Sebagai contoh mereka menolak Dhal’il al-Khayrat, selawat Shifa, al-Munjiyah, al-Fatih, Nur al-Anwar, al-Taj dan juga zikir isim mufrad iaitu menyebut Allah berulang kali. Mereka juga menganggap penggunaan tasbih untuk berzikir adalah bidaah. Amalan berzikir dengan bilangan tertentu seperti seribu, sepuluh ribu dan bilangan tertentu yang lain pun dianggap sebagai bidaah.

Manakala di dalam perkara-perkara bacaan al-Quran pula mereka berpegang bahawa tidak menyebut ‘Sodaqallah al-cAzim’ setelah selesai mambaca al-Quran kerana bagi mereka amalan itu dikira bidaah. Amalan membaca Yasin pada malam Jumaat dan malam Nisfu Syacban juga dianggap sebagai bidaah yang haram di atas alasan Nabi s.a.w. tidak pernah menentukan hari-hari tertentu dalam membaca Yasin. Akhir sekali dalam perkara doa mereka bertegas bahawa mengangkat tangan sewaktu berdoa selepas sembahyang adalah bidaah. (Ibn Baz, 1416 H, Majalah Al Buhus al-Islamiah, Hlm. 45)

3.2.8 MAJLIS SAMBUTAN BERAMAI-BERAMAI

Pegangan keras fahaman Wahhabi yang begitu popular mengenai amalan yang bersangkutan dengan majlis sambutan secara beramai-ramai yang telah dituduh sesat dan tuduhan-tuduhan yang melampau seperti mereka menolak sambutan Maulid Nabi s.a.w., bahkan menolak cuti sempena hari Mawlid Nabi s.a.w. dan yang lebih parah lagi menyamakan sambutan Maulid Nabi s.a.w. dengan perayaan kristian bagi menyambut hari nabi Isa a.s. (Abd Rahman ‘Ammasy, Khabrah Ulama Lubnan fi Muajihah Qadhoya al-Aqidah al-Masykukah, Hlm. 41)

Selain itu, amalan marhaban dan berzanji juga dikira bidaah diatas alasan didalam amalan tersebut mengandungi pujian-pujian yang melampau kepada makhluk (nabi Muahmmad s.a.w.) sehingga boleh membawa kepada kesyirikan. Amalan sambutan Ma’al Hijrah dan Isra’ Micraj juga dianggap bidaah. Akhir sekali, ketika berada dalam sambutan Maulid Nabi s.a.w., kelakuan berdiri ketika membaca selawat beramai-ramai itu adalah perkara yang bidaah serta bagi mereka perkara ini tidak dilakukan olah Nabi s.a.w. maka secara tidak lansung dikategorikan sebagai keji dan tercela.

3.2.9 TASAWUF DAN TAREKAT

Apabila melihat suatu perkara yang timbul dari tasawuf dan tarekat, mereka begitu lantang dalam mentohmah sebagai sesat dan di war-warkan sebagai jenayah besar dalam Islam. Secara keseluruhan fahaman mereka ini amat tidak menggemari tentang tarikat atau tasawwuf.

Tasawwuf ini sering menjadi mangsa kritikan yang amat pedas dari pihak Wahhabi terutamanya pemuka-pemuka tasawwuf yang banyak telah dituduh sesat oleh mereka antaranya seperti Ibn Acrabiy dan al-Imam al-Ghazali.

Menurut kaca mata Salafiyah, tasawwuf adalah ajaran yang terkesan dari ajaran Budha dan Nasrani. Ada juga yang mengumumkan tasawwuf ini adalah jenayah paling besar timbul di dalam Islam atas alasan Tasawwuf mengajar penganut-penganutnya lalai dan leka kepada ashik berzikir menyebabkan timbul tidak menunaikan tanggungjawab Islam seperti berperang di jalan Allah, berdakwah di tengah-tengah masyarakat dan seumpamanya. Mereka tidak rasa segan silu dalam mengkritik aliran Tasawwuf yang diakui dan kitab-kitab sufi yang muktabar. (Ibn Baz, 2003, Hirasah al-Tauhid, Hlm. 38)

Mereka juga mentohmah seluruh para wali, orang-orang soleh dan menganggap semua orang sufi adalah zindiq lagi sesat, sekalipun terdapat dari kalangan ahli sufi yang terpuji dan diterima baik oleh ulama-ulama yang muktabar. Kemudian menganggap ahli-ahli tarekat adalah wali-wali syaitan yang wajib diperangi. (Ibn Baz, Majmu’al- Mufid Min’Aqidah al-Tauhid, Hlm. 102)

Kesimpulannya fahaman Wahhabi tidak sehaluan sehaluan dengan aliran Tasawwuf bahkan merumuskan bahawa ajaran dari Tasawwuf adalah tidak benar dan patut dihindari serta danggap sebagai satu aliran yang tersesat dari aqidah Ahli Sunnah Wa al-Jamaah. (Rasul Dahri, 1998, Bahaya tarekat dan Tasawuf terhadap Masyarakat, siri 1, Hlm. 56)

3.2.10 SIKAP.

Penulis menemui pelbagai sikap yang ditunjukkan oleh puak-puak Salafiyyah sepanjang pergerakan mereka zaman berzaman. Sikap mereka juga dapat dilihat melalui peninggalan sejarah dan contoh-contoh kelakuan mereka yang ekstrim dan melampau yang telah dicatat oleh ulama-ulama di kitab-kitab.

Antara contoh-contoh sikap penganut ajaran Wahhabi ini seperti mereka sering membidaahkan amalan umat Islam bahkan sampai ke tahap mengkafirkan mereka. Oleh kerana pemahaman mereka yang begitu sempit terhadap konsep bidaah, maka terhasillah tuduhan bidaah membidaahkan orang lain. Kemudian disusuli pula dengan tuduhan sesat dan menyesatkan diatas alasan kerana berbeza fahaman dalam hal aqidah sekitar ayat-ayat Mutasyabihat yang perlu ditakwil atau sebaliknya.

Selalunya mereka beranggapan yang diri mereka sebagai taraf Mujtahid dan berlagak sepertinya walaupun kadang kala sebenarnya mereka tidak layak. Maka timbullah fatwa-fatwa yang ganjil serta melanggar ijmac dan dianggap kontroversi. Oleh yang demikian, mereka sering mengambil hukum secara lansung dari al-Quran dan hadith tanpa berpandukan kepada huraian-huraian dan penerangan serta syarahan daripada ulama’. Dalam masa yang sama, sudah menjadi adat kebiasaan mereka memperlekehkan ulama’-ulama’ pondok dan golongan agama yang berasal dari pondok. Ini kerana mereka beranggapan bahawa orang yang belajar di pondok itu tidak mengikut arus zaman dan ketinggalan serta hanya menghabiskan banyak masa dalam mempelajari soal-soal remeh seperti kaifiyyat whudu’, cara-cara solat dan seumpamanya.


3.2.11 ULUM HADITH.

Sesi pembelajaran mereka berhubung dengan bab Ulum Hadith banyak perkara berpandukan kepada pendapat Syeikh Nasiruddin al-Bani. Walaupun diketahui umum dan kebanyakan para ulama’ tentang kedudukan Syeikh Nasiruddin al-Bani tidak mempunyai sanad bagi menyatakan siapakah guru-guru beliau dalam bidang Hadith dan diketahui bahwa beliau belajar Hadith secara sendiri dan Ilmu Jarah dan Tacdil beliau banyak mengikut metodologi al-Imam al-Zahabi.

Banyak penilaian Hadith yang dibuat oleh puak-puak Salafiyah tidak sama dengan ulama Hadith yang lain. Hasilnya, mereka sering menganggap Hadith Dhacif sebahagian dari Hadith Maudhuc dan telah membukukan sebuah kitab yang mana telah dimuatkan Hadith-hadith Dhacif dan Hadith-hadith Maudhuc, seolah-olah kedua-dua hadith tersebut adalah sama taraf. Maka terjadinya banyak ibadah yang diamalkan berasaskan Hadith Dhacif telah dituduh sebagai bidcah. (Nasir al-Din al-Bani, 1404 H, Silsilah al-Dhai’fiyah, Hlm. 41)

Manakala dari sudut perbahasan mengenai Hadith pula, mereka hanya menumpu kepada perbahasan tentang sanad dan matan Hadith sahaja. Oleh kerana itu, perbincangan terhadap syawahid tidak diambil berat. Begitu juga perbincangan hanya terhad kepada riwayah dan bukan dirayah.


3.2.12 PENGKHIANATAN MEREKA KEPADA UMAT ISLAM.

Mereka juga tanpa segan silu melakukan jenayah dalam ilmu seperti melakukan perubahan kepada kitab-kitab turath yang tidak sehaluan dengan mereka seperti penukaran teks asal dalam kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi dalam bab bacaan al-Quran di tepi jenazah yang mana didakwa oleh puak-puak Salafiyah bahawa Imam Nawawi pun mengharamkan amalan tersebut. Bilamana telah disemak oleh ulama-ulama yang amanah, didapati bahawa kenyataan itu ditokok tambah dan menghilangkan beberapa perkataan asal kata-kata Imam Nawawi dalam teks yang asal. Ini menunjukkan ketidak amanahnya dalam menuqil pendapat para ulama dalam membahas sesuatu ilmu.

Akhir sekali penulis dapat senaraikan perbuatan yang melampau Salafiyah yang telah memusnahkan sebahagian besar kesan-kesan sejarah Islam seperti tempat lahir Rasulullah s.a.w. dan kubur para sahabat serta para shuhada di Jannat al-Baqic, maqam para isteri Rasulullah s.a.w. di Baqic dan di Macla Makkah. Tidak ketinggalan juga maqam saiyyidina Abu Bakar pun menjadi mangsa kerakusan Salafiyah yang mana tujuan mereka berbuat demikian dengan mendakwa tempat-tempat tersebut menimbulkan syirik kepada umat Islam di atas kelakuan sebahagian umat Islam menziarahi, bertawassul, beristighasah terhadap maqam-maqam tersebut.


4.0 PANDANGAN ULAMA’-ULAMA’ TERHADAP AL-SALAFIAH

4.1 SUDUT AQIDAH SALAFIYAH

Imam al-Hafiz al-Nawawi.

Beliau menegaskan: “ketahuilah, terdapat dikalangan Ahli ilmu berhubung dengan ayat-ayat dan hadith-hadith al-Sifat; salah satu daripadanya ialah kebanyakan al-Salaf atau kesemua daripada mereka itu tidak bercakap tentang maknanya. Bahkan mereka berkata “kita wajib beriman dan beriktiqad dengan nas tersebut berdasarkan makna yang layak dengan kemuliaan dan kebesarannya (al-Tafwid) dengan berpegang bahawa Allah tidak menyerupai sesuatu. Sesungguhnya, maha suci Allah daripada Tajsim, berpindah, mengambil ruang pada suatu tempat dan maha suci Allah daripada menyerupai sifat-sifat makhluk. Ini lah pendapat yang dipegang oleh sebahagian daripada ulama-ulama al-Mutakallim dan menjadi pilihan oleh sebahagian pengkaji mereka dan pendapat ini adalah lebih Aslam”.

“Pendapat yang kedua pula ialah pendapat kebanyakan dari al-Mutakallim. Mereka mentakwilkan Nas-nas tersebut mengikut keadaannya yang tertentu. Keharusan untuk mentakwil nas adalah khusus bagi mereka yang mengetahui bahasa Arab dan memahami kaedah usul dan cabang berlandaskan ilmu pengetahuan yang dalam” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jld. 3, Hlm: 19)


Al-Imam al-Hafiz Ibn Jauzi al-Hanbali.

Salah seorang sejarahwan ulung Hanabilah turut menegah daripada memperaktikkan nas secara zahir. Beliau menyatakan:

“ Saya telah melihat sahabat-sahabat (ahli Mazhab) kami bercakap tentang ilmu Usuluddin secara yang tidak sepatutnya bagi mereka. Mereka telah menulis kitab yang mengaibkan mazhab. Saya melihat mereka mencampuri urusan orang awam. Lalu memperlakukan al-Sifat mengikut kehendak Hissi (yang dapat dirasa dengan pancaindera). Mereka telah mengambil Nas secara zahir di dalam memahami Asma Wa al-Sifat. Lalu menamakan dengan al-Sifat. Sebenarnya gelaran yang dibuat oleh mereka itu adalah adalah satu gelaran mubtadi’ah yang tidak ada dalil sama sekali, sama ada dalil daripada al-Quran, al-Sunnah ataupun logik aqal. Mereka tidak memalingkan makna zahir nas tersebut kepada makna yang wajib diberikan kepada Allah s.w.t.” ( Ibn jauzi, 1991, Daf’u Syubhah al-Tasybih, Hlm. 97)

Al-Imam al-Mufassir al-Qurtubi

Beliau juaga berpendirian yang sama dalam soal ini. Di dalam kitab Tafsirnya beliau ketika mengkritik sikap al-Mujassimah yang mengambil zahir nas Mutasyabih, beliau menaqalkan pendapat gurunya yang berbunyi:
“ orang-orang yang mengikut Mutasyabih itu hanyalah untuk mencari syak wasangka dan menyesatkan orang awam. Hal ini jelas sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Zindik dan Syiah al-Karamithah yang dicela da dalam al-Quran. Mereka telah menuntut untuk berpegang kepada zahir Mutasyabih sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan al-mujassimah. Mereka telah mengumpul nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara zahir jismiyah sahaja. Sehingga mereka percaya bahawa Allah s.w.t. itu adalah objek yang berjisim, yang tergambar, mempunyai zat, wajah, mata, tangan, lambung, kaki dan jari. Maha suci Allah daripada semua ini”. (al-Qurtubi, 1993, al-Jami’ li al-Ahkam al-Quran, jld. 4 Hlm. 11)


Al-Alim al-Syeikh Ibrahim al-Baajuri.

Di dalam kitabnya beliau menegaskan dengan kata-katanya;
“ Maka jelaslah daripada huraian kami, bahawa aliran al-Salaf dan al-Khalaf telah bersepakat untuk mentakwilkan secara terperinci. Iaitu memindahkan erti nas yang seolah-olah menunjukkan sesuatu yang mustahil bagi Allah s.w.t. Namun begitu, mereka berselisih pendapat selepas itu sama ada untuk menerangkan makna maksudnya ataupun tidak, dan apabila terdapat dalam al-Quran ataupun Sunnah sesuatu yang mengatakan seolah-olah Tuhan itu ada sesuatu tempat atau berjisim atau berupa gambara atau beranggota, maka Ahl al-Haq dan lain-lain selain Mujassimah dan Musyabihah telah bersepakat untuk mentakwilkan yang sedemikian itu kerana wajib menjauhkan sifat Allah s.w.t. daripada apa yang difahamkan mengikut erti nas yang zahir”. (Ibrahim al-Baajuri, Tuhfah al-Murid, Hlm. 45)


Al-Imam Fakhruddin al-Razi.

Di dalam kitab “Asas al-Taqdis” beliau menjelaskan:

“ Ketehuilah bahawa nas-nas al-Quran itu tidak boleh dilakukan secara zahir kerana beberapa sudut zahir itu:

Pertama:
Firman Allah Ta’ala:
Maksud zahirnya ayat ini aialah:
“engkau telah buat atas mata ku”.
( Surah Toha: 30)

Katanya al-Imam tentang ayat ini zahirnya bermaksud:

“ Tuhan mengkehendaki Nabi a.s. supaya tetap berdiri di atas mata itu, bersama dengan mata itu dan duduk di atasnya... dan perkara ini tidak dikata oleh orang-orang yang beraqal”.

KEDUA.
Firman Allah s.w.t. lagi:
maksud zahir ayat:
“ Buatlah perahu dengan mata dan wajah kami”.
(Surah Hud: 37)


Al-Imam menyatakan ayat ini bermaksud:

“Bahawa Nabi a.s. dan Nabi Nuh a.s. telah melakukan sesuatu dengan mata-mata tersebut. Sesungguhnya menetapkan mata-mata pada yang satu (Allah) adalah sesuatu perbuatan yang keji”. Katanya lagi: “ Maka tidak dapat tidak, ayat ini perlu ditakwil. Ia membawa makna ‘pengawasan Allah’ ”.


Al-Imam al-Hafiz Ibn al-‘Asakir

Beliau menjelaskan kepada kita dengan katanya:
“ Golongan al-Salaf dan al-Khalaf telah bersepakat di dalam memalingkan makna ayat atau Hadith yang mutasyabih daripada zahir nas yang mendatangkan kekeliruan, seolah-olah menyerupai dengan sesuatu. Maka pihak yang pertama merasakan cukup dengan mentakwil secara umum sahaja dan menahan diri mereka daripada memberi makna maksud tersebut (Tafwid). Manakala pihak yang kedua pula ingin menentukan maksud yang sedemikian bertujuan untuk menolak kesamaran yang dibuat oleh puak-puak musyabihah yang sentiasa menjadikan berhala-berhala mereka yang ada dibumi itu seperti apa yang ada di langit”. (Ibn ‘Asakir, Tabyiin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba Ila Imam Abi Hassan al-Asy’ari, Hlm. 27)


Al-Imam al-Hafiz al-Suyuti.

Tersebut yang dinaqalkan dari Imam al-Suyuti:
“ Para ulama telah menjelaskan pendapat mereka bahawa setiap sifat yang mustahil hakikatnya tyerhadap Allah s.w.t., itu perlu ditafsirkan dengan makna yang wajib dengan sifatnya”. (al-Suyuti, 1995, al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, Jld. 2 hlm. 15)
Al-Imam al-Hafiz Syeikh ibn Hajr al-Haitami.

Beliau menegaskan pendapat beliau yang bermaksud;

“Umat islam itu telah bersepakat bahawa Allah itu tidak berjisim, tidak menjelma dan tidak menetap. Perkara ini di hukum berdasarkan kepada pandangan aqal. Mereka juga bersepakat bahawa nas-nas yang mustahil itu tidak membawa maksud yang hakiki, berdasarkan tuntutan pada zahir ayat dan khabar yang memberi maksud yang meragukan”. (al-Haitami, Fatawa al-hadithiyah, Hlm. 151)

Kemudian beliau berkata: “tidak ada percanggahan antara al-Salaf dengan al-Khalaf dalam mentakwil nas-nas mutasyabih yang seakan-akan memberi kekeliruan”. (ibid, Hlm. 201)


4.2 SUDUT PERGERAKAN SALAFIYAH

Syeikh Abdullah al-Harariy

Syeikh Abdullah al-Harariy memberi komentarnya, apakah releven seseorang meruntuhkan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan berlaku biadab terhadap rasulullah s.a.w. dan ulama Islam dinobatkan dengan gelaran setinggi itu. Orang-orang yang memfitnah dan tertipu dengannya hanya mengenali beliau kerana gerakan dakwahnya, tetapi tidak pernah seorang pun ahli sejarah yang masyhur pada kurun ke dua belas mencatatkan di dalam kitab Tobaqat (biografi) Ulama kurun ke dua belas tentang kepakarannya di dalam bidang Feqah dan Hadith.

Antara keburukan puak Salafiyah ini ialah mereka tidak memakai serban kerana mengharamkan Sunnah tersebut. Sedangkan amalan ini adalah thabit daripada Rasulullah s.a.w. dan lain-lainnya. Telah nyata lagi terang, hadith-hadith yang menunjukkan bahwa amalan ini merupakan Sunnah rasulullah s.a.w.
Syeikh Ahmad Zaini Dahlan al-Hasani

Beliau adalah Mufti Mazhab Syafici di makkah al-Mukarramah. Beliau menyatakan di dalam kitabnya tentang Salafiyah: Zahirnya Mazhab merupakan bala yang didatangkan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hambanya. Ia merupakan fitnah dari sebesar-besar fitnah yang muncul di dalam agama Islam yang menganggu ketenteraman fikiran, menghangatkan orang-orang yang berakal dan mengelirukan orang-orang yang kurang berakal, lantaran diterjah oleh pemikiran dan ajaran mereka yang meragukan, sedangkan mereka berselindung di sebalik label penegak agama.

Di antara perbuatan mereka ialah menuruh orang-orang yang tinggal di kawasan pedalaman mendirikan solat, memelihara sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah, menegah mereka daripada melakukan kemungkaran dan kejahatan yang zahir seperti berzina, liwat, memberikan keamanan di jalanan dan menyeru manusia mentauhidkan Allah s.w.t.

Melihat kepada perbuatan zahir mereka, maka tentulah orang-orang yang kurang cerdik akan memandang dan bersangka baik terhadap mereka. Secara tidak lansung, mereka melupakan tindakan golongan ini yang terlalu mempermudah-mudahkan hukum mengkafirkan orang-orang Islam, mereka juga telah mengkafirkan umat Islam semenjak enam ratus tahun terdahulu.

Beliau juga menyatakan kepada pengikut-pengikutnya, bahawa beliau datang dengan membawa agama baru yang dizahirkan melalui perkataan dan perbuatannya. Beliau menemplak mazhab yang empat dan pendapat-pendapat ulama dan tidak menerima daripada agama Nabi Muhammad s.a.w. melainkan al-Quran dan mentakwilkannya mengikut keinginannya. Beliau hanya menerima pada zahir sahaja supaya manusia tidak mengetahui tentang dirinya yang sebenar.

Ulama mendedahkan perbuatan mereka berdasarkan dalil bahwa Muhammad ibn Abd al-Wahhab dan pengikutnya mentakwil ayat al-Quran mengikut hawa nafsu mereka dan bukannya mengikut sebagaimana pentafsiran Nabi s.a.w., sahabat-sahabat baginda s.a.w. dan Salaf al-Soleh dan serta ulama’ tafsir yang muktabar.

Mereka juga mendakwa bersandarkan kepada mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal, tetapi mereka sebenarnya berdusta, berselindung dan menipu. Imam Ahmad sendiri berlepas dari mereka. Oleh kerana itu, ramai dikalangan ulama mazhab Hanbali yang berasa kesal diatas perbuatan Muhammad ibn Abd al-Wahhab dan menolaknya sebagai langkah menjaga kebenaran mazhab imam Ahmad ibn Hanbal. Mereka telah mengarang banyak kitab dan risalah untuk menolak fahaman Muhamad ibn Abd al-Wahhab termasuk saudaranya sendiri menolak iaitu Sulaiman ibn Abd al-Wahhab. (Ahmad Zaini Dahlan, al-Durar al-Saniah fi Rad ala al-Wahhabiyah, Hlm. 160)

Allamah Syeikh Abdullah Fahim

Penulis menaqalkan wasiyat daripada kalam Syeikh Abdullah fahim yang memberi nasihat kepada bangsa Melayu supaya jangan berpecah belah sebagaimana kenyataannya: jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah timbul di Malaya mazhab khawarij (Salafiyyah) yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab Ahli Sunnah wal al-Jamaah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati.

Disamping itu, Abdullah Fahim juga mengecam Ibn al-Qayyim al-Khariji dengan kenyataan yang berbunyi: hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Huda al-Rasul yang mukhtasarnya kitab Huda al-cIbad dikarang akan dia oleh Ibn al-Qayyim yang segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah.

Beliau menambah dengan menasihati: tuan-tuan bangsa melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tidak terpakai dalam mazhab Syafici, dan fatwa mereka itu bermasalah yang buruk yang sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa melayu jangan berpecah belah sesama sendiri. (http://al-Subki.blogspot.com)

Al-Mufassir Syeikh Ahamad al-Sowi al-Maliki

Beliau mengulas di dalam kitab tafsirnya sebagaimana Nasnya: dikatakan ayat ini diturunkan kepada golongan Khawarij yang memesongkan pentakwilan al-Quran dan Sunnah dan dengan mereka menghalalkan darah-darah orang Islam dan harta mereka sebagaimana yang disaksikan sekarang. Mereka adalah suatu kumpulan yang berada di tanah Hijaz, dipanggil sebagai Salafiyah Wahhabi, dan mereka menganggap bahawa mereka berada di atas suatu pegangan yang benar tetapi mereka adalah pendusta. Mereka telah dirasuk oleh syaitan, lalu mereka telah dilupakan daripada mengingati Allah s.w.t. sesungguhnya mereka adalah kumpulan syaitan dan ingatlah, bahawa kumpulan syaitan adalah orang-orang yang merugikan. Kami memohon kepada Allah agar memusnahkan kumpulan mereka.

Al-Muhaddith Sayyid Abd al-Rahman al-Ahdal

Beliau adalah seorang Mufti Zabid di Yaman dan memaklumkan bahawa untuk menolak Ibn Abd al-Wahhab tidak perlu kepada kitab-kitab karangan, tetapi memadai dengan sabda Baginda s.a.w yang menandakan mereka ialah membotakkan kepala, kerana ia belum pernah dilakukan lagi oleh seseoarang pun pelaku bidaah.

Ini kerana pengikut Muhammad Abd al-Wahhab menyuruh pengikut mereka mencukur kepala dan mereka tidak membiarkan seseorang yang telah menjadi pengikut mereka meninggalkan majlis mereka sehinggalah setelah kepala mereka dibotakkan.

TEGURAN SAYYID YUSUF HASYIM AL-RIFAcE TERHADAP ULAMA-ULAMA NAJAD

1- Tidak wajar menuduh sesama muslim yang bersolat , berpuasa , dan berzakat dengan syirik dan kufur.

2- kamu telah mengkafirkan Ulama Sufiyyah dan Asyacirah selain kamu juga menganggap salah bertaqlid kepada Imam yang empat , Hanafi, Maliki , Syafice dan Hanbali.

3- Mengulang-ulang Hadith “kullu bid’atin dhalalah” sedangkan kamu tidak menjelaskan dengan yang sebenar.Banyak yang jelas sebagai bid’ah tetapi kamu tiada mengatakan sebagai bidaah.

4- Kamu menutup Masjid Nabawi selepas Isya’ sedangkan amalan tersebut tidak pernah dilakukan dalam amalan perintahan Islam sebelumnya.

5- Tidak membenarkan mana Ulama untuk memberikan kuliahnya di Masjid al-Haram walaupun seseorang itu dari Ulama yang tersohor seperti Sheikh al-Azhar.

6- Melarang mereka yang mati diluar Tanah haram untuk dikebumikan di Kawasan yang penuh dengan keberkatan itu.

7- Kamu melarang kaum wanita daripada menghampiri bahagian hadapan makam Nabi s.a.w sedangkan amalan itu diamalkan menjadi amalan di zaman Salaf al-Saleh.

8- Kamu juga melarang kaum wanita dari menziarahi perkuburan Baqi' dan ma'la.

9- Kamu telah meruntuhkan kesan-kesan perkuburan para Sahabat sehingga seperti padang jarak padang terkukur. Para penziarah tidak dapat mengenali makam-makam para Sahabat. Hanya yang tinggal batu-batan yang berserakkan.

10- Kamu menegah Imam-Imam daripada membaca qunut pada solat Subuh dengan alasan amalan itu sebagai bidaah. (http://pemikiran-firaq.blogspot.com)

5.0 PERBEZAAN ANTARA AL-SALAF DENGAN AL-SALAFIAH

Sebagai satu natijah kesimpulan di atas pengkajian dalam mencari satu kesahihan terhadap perbincangan ini, dapatlah kita simpulkan beberapa perbezaan antara al-Salaf dengan al-Salafiah. Antaranya ialah:

1. Al-Salaf ialah mereka yang hidup pada kurun-kurun terbaik yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. Kurun yang dimaksudkan itu sama ada bermula tiga ratus atau lima ratus tahun selepas hijrah.

Manakala al-Salafiah ialah satu golongan yang mendakwa mengikuti orang-orang yang terdahulu iaitu golongan al-Salaf. Mereka hanya menyandarkan pendapat atau metho mereka kepada al-Salaf sahaja. Sedangkan realitinya manhaj mereka daripada al-Salaf yang sebenar muktamad.

2. Al-Salaf mengamalkan kedua-dua kaedah iaitu Takwil dan Tafwid di dalam memahami nas-nas yang Mutashabihat.

Manakala al-Salafiah tidak mengamalkan kedua-dua kaedah ini. Sebaliknya mereka lebih cenderung kepada manhaj Mujassimah dengan mengambil tuntutan zahir nas semata-mata. Sebagaimana telah kita ketehaui bahawa kaedah ini lebih dekat kepada Tajsim dan Tasybih.

3. al-Salaf terlalu berhati-hati dalam menetapkan sifat bagi Allah s.w.t. khususnya dalam menggunakan nas-nas yang mutasyabihat.

Al-Salafiah pula terlalu suka menetapkan (Ta’yin) ayat-ayat mutasyabihat sehingga kadangkala ia terjerumus kepada lembah Tasybih dan Tajsim.

4. Al-Salaf menahan diri mereka daripada memdedahkan makna sebenar ayat Mutasyabihat kepada umum.

Manakala al-Salafiah terlalu gemar menerangkan maksud nas mutasyabih tersebut didedahkan kepada umum.

5. Al-Salaf tidak mewajibkan pendapat mereka untuk diterima. Bahkan tidak terlalu menyalahkan golongan yang berselisih dengan mereka. Sebaliknya mereka masing-masing menghormati antara satu sama lain.

Al-Salafiah mewajibkan pendapat mereka untuk diikuti dan melabelkan orang-orang yang bercanggah pendapat dengan mereka itu dengan beberapa untuk gambaran yang buruk.

6. Al-Salaf tidak mempunyai pengasas dan mazhab.

Manakala golongan al-Salafiah terdpat tokohnya tersendiri, iaitu Muhammad Abd al-Wahhab yang mengikuti Ibn Taimiyyah al-harani.

7. Golongan al-Salaf bersikap sederhana dalam semua perkara. Manakala ajaran al-Salafiah begitu begitu ekstrim.

8. golonagn al-Salaf al-Soleh adalah anutan dan ikutan kita. Manakala ajaran al-Salafiah pula perlu ditolak.

KESIMPULAN

Sesudah maklum akan kedudukan fahaman Salafiyyah ini pada zaman kini di dikelolai oleh jamaah yang ghuluw dalam dasar agama dari sudut Aqidah mahupun Khilafiyah. Selain itu kita dapat mengenal serba sedikit tentang Salafiah Modern.

Jelas untuk melihat akan kaedah atau cara pemahaman Wahhabi ini yang berbeza dengan pegangan Ulama Salaf al-Soleh. Malah ia telah dinilai sebagai suatu fahaman yang mengancam Syariat Islam. Selain itu, dapat membezakan dimana fahaman yang sebenar yang diperakui oleh Jumhur mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Dapat difahami juga bahawa kaum Salafiyah ini juga adalah salah satu Firqah dalam Islam.

. Manakala gerakan ini telah berleluasa di seluruh bumi Islam khususnya di Malaysia khasnya amnya di seluruh dunia. Akan tetapi mejoriti dunia Islam masih dalam Ahl Sunnah wa al-Jamaah. Wallahu a'lam

Tiada ulasan: