DONATE

Isnin, 11 Mei 2009

Konsep Harta Sepencarian: Sedikit Kajian Kes


1.0 PENDAHULUAN

Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.

Harta Sepencarian ini merupakan suatu masalah yang sangat susah dan rumit untuk diselesaikan oleh mana-mana pihak terutamanya Mahkamah Syariah apabila kedua-dua pihak suami isteri telah bercerai atau salah satu pihak meninggal dunia dan tidak mendapat persetujuan di atas harta tersebut secara sulh dan redhameredhai di antara kedua-dua pihak termasuk waris-waris. Bagi suami isteri yang tidak makan gaji biasanya sama-sama bekerja seperti menjadi petani, berkebun menoreh getah, berniaga dan sebagainya dan ada juga yang bekerja hanya suami seorang sahaja, sama ada makan gaji atau lain-lain pekerjaan, manakala isteri tinggal di rumah menjaga anak-anak dan membuat kerja rumah seperti memasak,membasuh pakaian suami, anak-anak dan lain-lain kerja rumah dan mengikut kebiasaannya selepas berkahwin beberapa tahun suami isteri memperolehi harta seperti tanah, motokar dan sebagainya dengan membeli secara tunai atau pinjaman dari Kerajaan atau Bank dan seumpamanya dan harta-harta tersebut dibuat atas
nama salah seorang sahaja dari suami isteri itu dan jarang sekali mereka membuat nama bersama (dua nama).¹

2.0 Makna Harta Sepencarian

Dalam enekmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, harta sepencarian didefinisikan sebagai “ harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak” (Zuraifah dan Nurul fitri :2001)

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi oleh pasangan suami isteri samaada secara langsung atau tidak dalam tempoh perkahwinan mereka mengikut ketetapan hukum syarak. Antara syarat sesuatu harta itu boleh dituntut sebagai harta sepencarian dan harta itu hendaklah dimiliki setelah perkahwinan dan harta itu mestilah atas usaha kedua-dua pihak secara bersama termasuk sumbangan kewangan, tenaga ,moral dan sebagainya.( Rizuan Awang dan Zambo Muda:2006)

Merujuk kepada Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian ditakrifkan:

“Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha, sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan tugas atau tidak”.


3.0 Tuntutan Harta Sepencarian

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.

4.0 Peruntukan Undang-Undang


Mengikut peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan (3), Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menjalankan perbicaraan berhubung dengan pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian. Seterusnya Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (4) di bawah seksyen 46 menjelaskan - 46 (1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau membuat sesuatu perintah perceraian, memerintah supaya harta sepencarian yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama-sama mereka dibahagi di antara mereka atau supaya mana-mana harta itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi di antara pihak-pihak itu. 46(2)Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen kecil (I) dari pada seksyen ini, Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang

(a) Setakat mana sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi mernperolehi harta-harta itu;

(b) Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi usaha bersama mereka; DAN

(c) Keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa jika ada, dari perkahwinan itu, dan tertakluk pada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah, dengan seberapa boleh, membuat pembahagian yang saksama mengikut usaha atau modal masingmasing.


Enakmen-Enakmen tersebut telah berkuat kuasa sejak dari 1984 dan sebelum daripada itu, undang-undang tahun 1919 (5), undang-undang tahun 1953 (6) dan undang-undang 1966 (7) Mahkamah Syariah juga diberi bidang kuasa untuk menjalankan perbicaraan berhubung dengan harta sepencarian. Peruntukan-peruntukan seumpama itu juga terdapat di negeri-negeri di Malaysia.


5.0 Peruntukan Di Dalam Kitab-Kitab Fiqh.

Di dalam kitab-kitab fiqh tidak ada peruntukan khusus membicarakan tentang harta sepencarian (8). Sungguhpun demikian, cuba kita lihat kepada beberapa kitab fiqh yang menjadi rujukan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia apabila berhadapan dengan kes harta sepencarian di antaranya -


Kitab Bughyah at-Mustarsyidin muka surat 159 ada menyebut :

"Telah bercampur harta suami dan tidak diketahui harta sesiapa yang lebih banyak,
tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya, kemudian berlaku perceraian di antara keduanya atau meninggal dunia, maka tidak sah salah seorang dan mereka (suami isteri atau warisnya) memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan atau sebelum dibuat perdamaian (al- Sulh) kecuali bersama-sama dengan pemiliknya sebab tidak ada murajjih (tidak ada tanda yang membezakan). Seperti mereka berkata, "jika bercampur burung merpati keduanya (suami isteri) di ketika itu jika boleh diketahui atau dibezakan keduanya, tetapi jika tidak diketahui dan tidak dapat dibezakan, perkara ini hendaklah ditangguh sehingga suami atau waris kedua-duanya berdamai atau pun menyerah
(hibah) dengan sama banyak atau berlebih kurang jika mereka (suami isteri) dan waris orang-orang yang sempurna (bukan mahjur a'laihi) dan wajib supaya jangan berkurang (orang yang tidak dibenarkan mentadbir harta). Tetapi jika berlaku kebiasaan yang tetap bahawa salah seorang dari keduanya (suami isteri) mendapat pendapatan yang lebih banyak dari yang seorang lagi maka perdamaian (sulh) dan penyerahan (hibah) adalah berdasarkan demikian (lebih kurang). Jika mereka tidak menyetujui satu pun daripada yang demikian, maka pihak yang memiliki sesuatu dari harta (memegang harta) akan diterima cakapnya dengan sumpahnya; bahawa harta itu miliknya. Tetapi jika harta itu dimiliki oleh kedua-duanya (masing-masing
memegang harta), maka masing-masing boleh meminta pihak yang lain bersumpah,
kemudian harta itu di bahagi dua".


Apabila kita perhati kepada nas dalam kitab ini perkataan “bercampur harta kedua suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak dan tidak ada qarinah yang membezakan antara keduanya”. Adakah pengertian ini sama dengan tajuk yang dibicarakan berhubung dengan harta sepencarian yang diperolehi oleh suami isteri hasil daripada masing-masing berusaha atau bekerja, dan harta tersebut bercampur.

Ada yang berpendapat harta yang bercampur itu sebagai harta dan tidak sama dengan harta sepencarian. Dan ada pula yang berpendapat bahawa apabila perolehan daripada suami isteri itu bercampur dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak dan tidak ada qarinah, maka bolehlah diqias dan disamakan dengan harta yang bercampur itu untuk menyelesaikan mengikut
nas dalam kitab tersebut di atas.

2. Kitab I'anah al-Talibin, juzuk 3, muka surat 104 dan 105 di bawah tajuk ( تتمة ) ada
menyebut :

Bahawa syarikat itu ada dua jenis -
Pertama - yang dimiliki oleh dua orang yang berkongsi dengan harta pesaka atau dengan cara membeli.

Kedua - Terdapat empat bahagian :

Satu bahagiannya yang sah yang dinamakan Syarikat al-A’inan di mana dua orang
berkongsi dengan masing-masing mengeluarkan modal untuk berniaga dan yang
lain-lainnya itu batal dan ianya ada tiga jenis -

1. Syarikat al-Abdan
2. Syarikat al-Mufawadah
3. Syarikat Wujuh

Syarikat al-Abdan itu ialah dengan cara dua orang berkongsi melakukan sesuatu pekerjaan dengan masing-masing berusaha dengan tenaga empat kerat tanpa harta atau modal sama ada perusahaan itu sama jenisnya seperti keduanya berjahit atau berlainan seperti seorang tukang jahit dan seorang lagi tukang sulam. Syarikat ini adalah batal tidak sah kerana tidak ada harta. Jadi siapa yang berusaha sendirian, maka keuntungan adalah kembali kepadanya di antara keduanya atas kadar upah yang munasabah mengikut kerja.

Ia diharuskan secara mutlak oleh Imam Abu Hanifah, manakala Imam Malik dan Ahmad mensyaratkan persamaan kerja. Sebab itulah bagi mereka yang tidak menerima Syarikat al-Abdan, semua harta yang diperolehi dari pekerjaan suami isteri yang tidak boleh dibezakan dibahagikan di antara keduanya menurut upah yang munasabah dan jika salah seorang atau kedua-duanya meninggal dunia, waris-waris si mati dari kedua-duanya mengambil bahagian yang diperolehi oleh mereka untuk mereka membahagikannya menurut faraid.

3. Kitab Alfatawa al-Fataniah karangan al-Sheikh Ahmad bin Mohd. Zain bin Mustafa at-Fatani, cetakan Fatani Press Tahun 1377 Hijrah, muka surat 106, dalam menjawab soalan 57 menjelaskan -

"Soal : Masalah setengah daripada beberapa adat negeri-negeri yang di bawah angin bahawasanya apabila mati seseorang daripada dua laki isteri dibahagikan harta peninggalannya dua bahagi, maka ditolakkan kepada salah seorang yang hidup itu satu bahagi dan yang tinggal lagi itu dibahagikan antara segala waris yang setengah daripada mereka itu salah seorang yang tersebut dan sebab demikian itu bahawasanya berusaha pada ghalibnya oleh dua laki bini itu bersama-sama, maka adakah betul perbuatan itu atau tiada
fatwa-fatwa yang mengharuskannya

Jawab : Jika adalah harta peninggalan itu bersekutu padanya oleh dua isteri itu bersamaan kadarnya dengan yakin, maka dibahagikan sebagai bahagi yang tersebut itu adalah membahagi itu sebenar. Adapun jika tiada diketahuikan bersekutunya dan jikalau dengan sama-sama bekerja yang mendapatkan harta itu sekalipun tiada pekerjaan, khidmat seperti bertanak
dan membasuh dan menjahit kain suaminya tetapi tiada diketahuikan bersamaan bersekutu itu seperti tiada diyakinkan bahawasanya bekerja itu sama banyak kadarnya atau tiada, maka dibahagikan dua dengan ketiadaan redha beredha segala pesakanya pada kadar yang lebih kurang nescaya tidak sah membahagi sebagai bahagi yang tersebut dan tiada harus menolak itu. Maka jika redha beredha daripada mereka itu nescaya sah tetapi disyaratkan pada sah redha beredha itu bahawa tiada ada di dalam mereka itu orang yang tiada diiktibarkan redhanya seperti kanak-kanak dan si gila danorang yang dihalangkan atasnya, maka jika ada di dalam pesaka itu mereka itu nescaya tiada sah".

4. Satu perkara yang menarik ialah perjanjian kerana perkahwinan telah dibuat mengikut undang-undang tahun 1938 (9) pada 21 November 1942 di antara Kamud bin Che Mohamad dari India dengan Bidah bt. Saamuh dari Pengkalan Kubur Tumpat di hadapan Qadhi Besar Kelantan Haji Nik Mohd. Adib, berhubung dengan beberapa perkara (10 perkara) termasuk bersabit dengan harta sepencarian. Apakah perjanjian seumpama ini perlu dibuat sekarang? Dan jika ianya perlu dan masih sesuai sekarang ianya boleh dimasukkan di bawah mana-mana Peruntukan Enakmen Keluarga Islam bagi mengelakkan dari timbulnya berbagai-bagai kerumitan dan kesusahan kepada suami isteri terutamanya apabila berlaku kematian atau perceraian.


6.0 AI-A’adah Muhakkamah

Islam mengiktiraf bahawa adat, baik secara khusus atau umum adalah menjadi salah satu sumber Hukum Syarak (10) dan sesuatu adat itu boleh diterima apabila sudah menjadi kelaziman atau kebiasaannya sedemikian (11). Apabila harta sepencarian tidak terdapat dalam kitab-kitab fiqh secara khusus membicarakannya, tidakkah boleh kita terima ianya sebagai suatu adat bagi orang-orang Melayu apabila berkahwin dan sama-sama berusaha baik di dalam rumah atau di luar rumah dan harta-harta yang diperolehi dari usaha sama itu menjadi harta bersama. Jika ini boleh diterima, apakah adat seperti ini boleh diterima oleh Islam? Jawapan kepada persoalan ini tidaklah mudah, persoalan ini perlu dikaji dan diputuskan oleh sama ada Majlis Fatwa Kebangsaan atau Muzakarah Mufti-Mufti.

7.0 Syarikat al-Abdan

Boleh dikatakan semua negeri dalam Malaysia telah memperuntukkan dalam Enakmen masing-masing berhubung dengan pembahagian harta sepencarian apabila berlaku perceraian dan tuntutan-tuntutan bersabit dengannya, dan setiap Enakmen sebelum dapat dilaksanakan mesti mendapat ampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan bagi negeri-negeri beraja atau perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong atau Yang DiPertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

Muamalat suami isteri bagi menghasilkan harta sepencarian itu, termasuk di bawah muamalat Syarikat al-Abdan yang diterima dan sah dalam mazhab Abu Hanifah tanpa mengira jenis pekerjaan sama ada sama atau berlainan. Tidakkah ini menunjukkan bahawa negeri-negeri yang sudah ada peruntukan undang-undang seperti itu, pada lahirnya atau secara tidak langsungnya telah menerima dan mengamalkan menurut pendapat imam Hanafi dalam membuat keputusan di Mahkamah-Mahkamah Syariah bersabit dengan harta sepencarian.

Sungguhpun demikian dalam pelaksanaan undang-undang terutama yang bersangkutan dengan Hukum Syarak dan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah, saya berpendapat perlu mendapat ampuni pekenan dan keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan secara khusus mengikut seksyen 37(2) daripada Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang menyatakan -

“jika Majlis atau Jemaah Ulamak berpendapat bahawa qaul yang muktamad dari Mazhab Syafie boleh membawa kepada yang berlawanan dengan kepentingan awam, Majlis atau Jemaah Ulamak bolehlah dengan keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia AI-Sultan mengikut qaul dan mana-mana Mazhab Islam yang muktabar dalam perkara-perkara yang bersangkutan
dengan akidah, maka qaul ahfi Sunnah Wal Jamaah hendaklah diikut”.


Peruntukkan undang-undang seperti ini memang terdapat hampir di setiap negeri-negeri di Malaysia. Dan jika ini diuruskan mengikut kehendak undang undang tersebut, sudah tentu penyelesaian harta sepencarian sepertimana yang kita hadapi sekarang lebih senang dan mudah diselesaikan.

8.0 Amalan Di Malaysia

8.1 Kes Anita binti Abdullah lwn Zainuddin bin Hj. Ariffin

Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwqn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:

1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu terpulang kepadanya;

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

3. Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.

Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi kes Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:

“Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta seperncarian, jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan budibicaranya”. Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi bicaranya”.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian. Fakta kesnya adalah seperti berikut:

Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:

“Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian”.

Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta sepencarian:

“Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami”.
Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya

8.2 Kes Norani Abdul Rashid lawan Hamzah Zainuddin

BAGI pengkaji undang-undang dan mereka yang mengikuti perkembangan kes di Mahkamah Syariah, kes tuntutan harta sepencarian, mutaah dan lain-lain dalam kes Norani Abdul Rashid lawan Hamzah Zainuddin seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh, adalah satu berita mengejutkan. Sudah tentu menggembirakan golongan wanita kerana seolah-olah membuka lembaran baru ke arah tuntutan harta yang tinggi selayaknya selepas berlaku perceraian.

Apa tidaknya, dalam kes itu pihak isteri diputuskan berhak menuntut dan mendapat sejumlah wang yang banyak sebagai bayaran mutaah, harta sepencarian dan sebagainya lebih RM11 juta. Namun, penghakiman 10 September 2007 oleh Mahkamah Rayuan Syariah Perak yang menerima rayuan difailkan Hamzah lebih mengejutkan. Keputusan itu mengetepikan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memutuskan RM11.2 juta kepada bekas isteri iaitu Norani. Keputusan panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah mendapat liputan meluas di akhbar.

Selepas membaca liputan akhbar itu, banyak perbincangan dibuat membabitkan perkara ini. Ada yang mendakwa mahkamah syariah menzalimi seorang wanita yang sepatutnya mendapat RM11.2 juta, akhirnya pulang dengan tangan kosong di Mahkamah Rayuan Syariah. Ada juga mempertikaikan keputusan itu, bahkan menyebut Mahkamah Rayuan tidak sewajarnya memutuskan bertentangan.

Sebaliknya jika rayuan diterima, sekurang-kurangnya berilah hak kepada wanita itu dengan pengurangan jumlah wang, bukannya tidak mendapat langsung hak yang diputuskan Mahkamah Tinggi. Banyak pihak terutama wanita yang keluh kesah dengan perkembangan terkini di Mahkamah Syariah itu. Apakah hak wanita menuntut harta sepencarian dinafikan menerusi penghakiman kes rayuan itu dan bagaimana pula mahkamah syariah lain akan membuat penghakimannya dalam kes harta sepencarian pada masa depan?

Ruangan kali ini cuba mengupas kes ini dengan melihat beberapa aspek seperti latar belakang kes, kedudukan undang-undang berkaitan dan alasan rayuan diketengahkan pihak Hamzah dalam permohonan rayuannya seperti diluluskan Mahkamah Rayuan Syariah Ipoh. Ia penting untuk melihat bagaimana kes itu akhirnya diputuskan sedemikian oleh Mahkamah Rayuan Syariah. Mengikut fakta diberikan, pasangan itu berkahwin, 2 Mei 1981 di Teluk Intan, Perak dan dikurniakan empat orang anak.

Pasangan ini bercerai di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah, pada 2 Disember 1996. Pengesahan perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, 2 Januari 1997. Walaupun perceraian itu disahkan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dan alamat isteri dalam kad pengenalan juga bukan di Perak, pihak isteri memfailkan tuntutan harta sepencarian, mutaah dan lain-lain lagi di Mahkamah Tinggi Syariah Perak

Selepas perbicaraan dijalankan, 8 April 2004 Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak memutuskan, tuntutan mutaah adalah layak kepada plaintif sepanjang tempoh perkahwinan bersama Hamzah selama 15 tahun mengikut nilaian berikut :

- Nafkah diri RM2,000 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM360,000
- Pakaian dan perhiasan diri RM1,500 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM270,000
- Upah jaga anak RM1,000 sebulan selama 15 tahun berjumlah RM180,000

Hamzah membayar tuntutan gaji Norani dan kenaikan tahunan selepas meletak jawatan selama 22 tahun yang semuanya berjumlah RM396,066. Hamzah membayar wang sejumlah RM10,000,000 sebagai harta sepencarian atau sebagai alternatifnya memindah milik saham tertentu dengan jumlah yang ditentukan. Selepas penghakiman dibuat, Hamzah yang tidak berpuas hati merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Perak dengan mengemukakan 31 alasan kenapa keputusan itu perlu dibatalkan.

Walaupun mengemukakan 31 alasan rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah hanya memberi pertimbangan terhadap tujuh alasan rayuan yang semuanya secara langsung dan tidak langsung berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah Perak. Hamzah menghujahkan antara lain, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah silap dalam membuat penilaian bahawa Mahkamah Syariah Perak mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan Norani sedangkan perintah pengesahan perceraian mereka dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Hamzah juga menegaskan hakim tersilap membuat tafsiran peruntukan Seksyen 54(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perak 1984 dan kedua-dua pihak tidak bermastautin di Perak ketika perceraian dan juga ketika tuntutan itu. Begitu juga saham yang dikatakan milik Hamzah semuanya tidak berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah Perak. Selepas membaca dan meneliti Rekod Rayuan serta mendengar hujah kedua belah pihak, panel Rayuan berpendapat isu bidang kuasa adalah perkara amat penting sebelum mempertimbangkan isu lain dikemukakan Hamzah.

Oleh itu, Mahkamah Rayuan memutuskan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebenarnya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tuntutan harta sepencarian itu bukannya Mahkamah Syariah Perak. Oleh itu, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai pilihan lain selain mengisytiharkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syariah adalah tidak sah dan batal. Berdasarkan latar belakang kes dan keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan Syariah jelas menunjukkan mereka bukan menafikan hak bekas isteri untuk mendapat haknya.

Tidak berlaku kezaliman sebenarnya kerana pihak Norani sendiri yang tersilap memfailkan tuntutannya. Ia menunjukkan Norani masih boleh memfailkan semula tuntutannya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.( Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM): 2007)

Penutup

Berdasarkan kepada penjelasan dan huraian ringkas di atas, bolehlah dirumuskan sebagaimana berikut :

i) Masalah harta sepencarian di antara suami isteri adalah merupakan sesuatu perkara yang sangat penting dan perlu diselesaikan dengan cara yang adil dan saksama terutama sekali apabila berlaku perceraian.

ii) Khidmat dan kerja seseorang isteri di dalam rumah patut diberi pertimbangan sewajarnya dan diberi nilaian yang patut jika khidmat tersebut tidak ada tanda tanda yang ianya diberi secara sukarela, sekurang-kurangnya sebagai upah (Ujrah at-Misl).

iii) Kedua-dua pihak suami isteri yang masing-masing ada peranan dan usaha bagi memperolehi harta, hendaklah diberi hak masing-masing. Dan dalam menentukan kadar dan bahagiannya terserahlah kepada pertimbangan Hakim apabila berlaku pertengkaran dan perselisihan.

iv) Adat juga perlu diambil kira sebagai kaedah Syariah dalam menentukan hak masing-masing.

Tiada ulasan: