DONATE

Selasa, 19 Mei 2009

KONSEP PENDAKWAAN DI DALAM PENGAMALAN DI MAHKAMAH SYARIAH


2.1 PENDAHULUAN

Pendakwaan merupakan sebuah unit di bawah bahagian penguatkuasaan undang-undang syariah. Ia menjadi satu bahagian yang penting dan berperanan untuk mengemukan orang yang ditangkap atau orang yang melakukan kesalahan bagi dihadapkan di mahkamah. Antara kesan yang wujud sekiranya unit ini tidak ditubuhkan ialah berlakunya pelanggaran undang-undang secara berleluasa, undang-undang akan dicabar serta tidak dihormati, peningkatan graf kes jenayah syariah dari semasa ke semasa dan pelbagai lagi kes yang akan berlaku.

2.2 PENGERTIAN PENDAKWAAN

Menurut Bahasa

Perkataan ( الدعوى ) menurut bahasa ialah nama bagi sesuatu yang didakwa, jamakmya ( دعاوي ). Perkataan dakwa diberi makna sebagai menerima atau mencerita. Menurut Kamus Dewan pula pendakwaan ialah pengemukaan (penyampaian) sesuatu dokumen (tuduhan). Maksud lain dari sudut bahasa ialah perkataan yang dimaksudkan oleh seseorang untuk mengemukakan hak ke atas orang lain atau membuat tuntutan dan harapan.

Menurut Istilah


Dakwaan menurut istilah ialah perkataan yang diterima oleh hakim. Takrif ini terlalu umum, merangkumi setiap perkataan yang diterima oleh hakim seperti pengakuan (iqrar), persaksian (shahadah) dan seumpama keduanya. Sesetengah ulama’ mentakrif sebagai “menyandarkan sesuatu kepada diri sendiri ketika bertelingkah”. Ada yang mentakrifkannya dengan “pernyataan daripada seseorang mengenai wujudnya hak di atas tanggungan orang lain di hadapan hakim”. Selain itu, pendakwaan juga dihuraikan sebagai memberi atau mengadu haknya ke atas orang lain atau mendakwa dengan mengemukakan keterangan melalui saksi-saksi lelaki atau perempuan.

Secara kesimpulannya, dakwaan adalah perkataan yang lahir dari pendakwa dihadapan hakim dengan tujuan menyatakan bahawa dia mempunyai hak tertentu ke atas tanggungan orang yang didakwa dan menuntut hak itu serta hakim membuat keputusan benda (hak) yang didakwa itu.

2.3 PENSYARIATAN PENDAKWAAN

Pertelingkahan dan pertikaian sering terjadi di antara orang ramai, maka pendakwaan merupakan satu cara menyelesaikannya dengan dibawa melalui pengadilan. Jika ia berpanjangan akan membawa kerosakan yang ketara, sedangkan Allah s.w.t. tidak menyenangi keadaan tersebut. Oleh itu, pensyariatan pendakwaan telah dinyatakan sendiri oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran dan telah dijelaskan oleh al-Sunnah. Kedua-dua sumber tersebut memadai bagi menunjukkan pensyariatannya.

i Dalil daripada Al-Quran.

Antara ayat yang menyatakan kedudukan pendakwaan ialah firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:
“Tidakkah engkau pelik memikirkan (Wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari kitab Taurat, mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara yang timbul) di antara mereka. Alih-alih satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dari hukum kitab Allah itu).”

Firman Allah s.w.t lagi:

Maksudnya:
”Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakam memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).”


Dalil daripada al-Sunnah

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan berlakunya pendakwaan pada zaman Nabi s.a.w. dan seterusnya menyatakan pensyariatan pendakwaan. Antaranya ialah sabda Nabi s.a.w. :

"لو يعطى الناس بدعواهم لادعى ناس دمال وأموالهم ولكن اليمين على المدعى عليه"

Maksudnya:
”Kalaulah diberi kepada manusia apa sahaja yang didakwa atau dituntutnya, tentu akan ada beberapa orang lelaki mendakwa atau menuntut berhubung dengan darah dan harta mereka, tetapi sumpah atas orang yang kena dakwa.”


Dalam hadis lain pula:

البينه على المدعي واليمين على من انكر


Maksudnya:

Mengemukakan keterangan adalah menjadi kewajipan yang mendakwa dan bersumpah adalah tanggungjawab yang mengingkarinya.


2.4 RUKUN PENDAKWAAN

Di dalam pendakwaan terdapat empat rukun iaitu:

1. Muddaci atau Pendakwa
Pihak yang mengemukakan dakwaan terhadap orang lain tentang sesuatu hak atau kepentingan.

2. Muddac alaihi atau Pihak kena dakwa
Pihak yang kena dakwa oleh seseorang tentang sesuatu atau kepentingannya.

3. Mudaca atau Subjek Dakwaan
Perkara yang didakwa iaitu sesuatu hak atau kepentingan yang dituntut atau didakwa oleh pihak yang mendakwa terhadap pihak yang kena dakwa.

4. Dakwaan

Iaitu perkataan dan adakalanya dalam bentuk tulisan dan isyarat yang mengandungi tuntutan oleh pihak yang mendakwa terhadap pihak yang didakwa. Tujuannya untuk menyatakan bahawa ia mempunyai hak atau kepentingan dan bertujuan untuk mempertahankan atau menuntut hak atau kepentingan tersebut daripada pihak yang didakwa itu.

Dakwaan yang sah ialah dakwaan yang memenuhi syarat. Hukum menjawab dakwaan yang sah ini adalah wajib. Pihak yang mendakwa hendaklah memberikan keterangan dan bukti terhadap dakwaannya. Pada dasarnya, apabila pihak yang mendakwa gagal membuktikan dakwaannya, maka pihak yang kena dakwa hendaklah diminta bersumpah. Jika ia enggan bersumpah, maka bolehlah dikembalikan sumpah tersebut kepada yang mendakwa.

Dakwaan yang tidak sah ialah dakwaan yang tidak memenuhi syarat seperti yang dikehendaki oleh syarak. Dakwaan seperti tidak wajib dijawab oleh pihak yang kena dakwa. Hakim pula tidak wajar menerima dakwan ini.

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya sesuatu dakwaan atau tuntutan itu sah. Syarat tersebut ialah yang berhubung dengan dakwaan itu sendiri; dengan yang mendakwa; dengan yang kena dakwa; dengan perkara yang didakwa.

2.5 SYARAT-SYARAT PENDAKWAAN

2.5.1 Syarat Pihak Pendakwa

Pendakwa mestilah memenuhi syarat yang berikut:
i) Hendaklah orang yang berkeahlian untuk membuat dakwaan, iaitu mukallaf, baligh dan berakal. Dakwaan orang gila dan kanak-kanak yang belum mumaiyyiz tidak sah. Namun demikian, mazhab Hanafi hanya mensyaratkan pendakwa itu hendaklah berakal sahaja. Dengan ini, kanak-kanak mumayyiz yang diizin oleh wali atau penjaganya untuk menguruskan harta boleh membuat dakwaan.

ii) Hendaklah pendakwa mempunyai sifat pendakwaan dalam sesuatu dakwaan. Sifat pendakwaan itu berbeza di antara satu kes dengan kes yang lain kerana bergantung kepada perkara yang dituntut atau didakwa. Sebagai contoh, jika hak hamba maka dakwaan tidak sabit melainkan jika yang mendakwa itu orang yang berhak atau walinya atau wakilnya. Jika hak Allah maka yang mempunyai sifat pendakwaan ialah setiap individu kerana berdasarkan al-amr bi macruf dan nahyu canil munkar yang wajib ke atas setiap umat.

Berhubung dengan hak Allah ini, walaupun setiap individu mempunyai sifat pendakwaan, ia tidaklah merupakan fardu ain, tetapi hanyalah fardu kifayah. Ini bermakna, jika sebahagian umat telah melaksanakannya maka terlepas yang lain daripada dosa. Oleh kerana umat sibuk dengan tugas masing-masing maka mereka tidak dapat melaksanakan tugas dan kewajipan ini. Jadi, perlulah ada segolongan daripada umat ini melaksanakan pendakwaan supaya setiap peraturan dan tegahan Allah tidak dicabuli. Tugas ini dilakukan oleh institusi hisbah. Pada masa ini ia dilakukan oleh pendakwa raya.

2.5.2 Syarat Pihak Kena Dakwa

i) Hendaklah seorang yang berakal dan baligh. Tidak sah dakwaan ke atas orang gila atau kanak-kanak yang tidak mumaiyyiz. Kedua-dua golongan ini tidak sah untuk menjadi pihak yang bertikai kerana ada kemungkinan terdapat keterangan yang boleh membatalkan dakwaan tetapi tidak diketahui oleh mereka atau tidak mampu untuk dikemukakan kerana mereka tidak mempunyai akal atau tidak mumaiyyiz. Oleh itu, orang yang akan mengganti atau bertindak bagi pihak mereka dalam pertikaian ini ialah orang yang mempunyai wilayah (kekuasaan) terhadap harta mereka iaitu wali atau wasi.

Berhubung dengan kehadiran di mahkamah oleh kanak-kanak yang ditahan daripada bertassarruf (mahjur calaihi), jika ia tidak dikehendaki memberi keterangan, maka ia tidak perlu hadir ke mahkamah. Ini kerana sumpah daripada kanak-kanak seperti itu juga tidak akan diminta. Jika diminta sekalipun dan ia enggan untuk bersumpah dan ini tidak menyebabkan ia dihukum.

Walau bagaimanapaun, jika kanak-kanak tersebut mempunyai keterangan dan dakwaan tersebut berhubung dengan kerosakkan atau perampasan yang dilakukannya, maka kanak-kanak itu boleh dipanggil untuk memberi keterangan terhadap perbuatannya itu. Ini kerana, perbuatan kanak-kanak diambil kira dan saksi memerlukan untuk memastikan kesaksiannya terhadap kanak-kanak itu. Jadi kanak-kanak itu dikehendaki hadir dengan disertai walinya, kerana kanak-kanak tidak mempunyai kekuasaan. Jika hakim memutuskan sesuatu maka perintahnya itu ditujukan kepada wali kanak-kanak itu untuk dilaksanakan. Jika kanak-kanak itu mumaiyyiz maka ia boleh menjadi salah satu pihak yang bertikai setelah mendapat keizinan.

ii) Hendaklah pihak yang kena dakwa itu mempunyai kepentingan atau hubungan dalam dakwaan seperti ia adalah pihak yang menjadi punca dalam dakwaan atau mewakili pihak yang menjadi punca melalui wilayah (kekuasaan) atau wakalah (wakil).

iii) Hendaklah pihak yang didakwa itu dikenal pasti. Ini bermakna jika yang menuntut berkata, ”Aku ada tuntutan hutang ke atas penduduk kampung itu atau ke atas beberapa orang penduduk kampung itu yang berjumlah sebanyak ini,” dakwaan ini tidak sah dan tidak boleh dikenakan hukuman kerana tidak dikenal pasti. Dakwaan terhadap seseorang tanpa ditentukan nama atau individu terbabit tidak sah kerana ia mengelirukan.

iv) Pihak yang kena tuntut atau dakwa hanya boleh dipaksakan sesuatu ke atasnya jika sabit dakwaan pihak yang mendakwa. Jika tidak, maka tidak wajar didengar dakwaan itu.

v) Mazhab Hanafi mensyaratkan juga pihak kena tuduh itu hendaklah hadir di mahkamah. Namun demikian, jumhur ulama’ membolehkan dakwaan didengar tanpa kehadiran beliau dalam kes selain yang berkaitan dengan hak-hak Allah s.w.t.

2.5.3 Syarat Perkara Yang Didakwa

i) Hendaklah perkara yang didakwa itu berkemungkinan berlaku atau munasabah sabitnya dari segi akal atau adat. Dakwaan dalam perkara-perkara yang mustahil atau tidak mungkin berlaku dari segi akal atau adat adalah tidak sah kerana dakwaan seperti ini mungkin bohong atau palsu dari segi akal dan mustahil pada zahirnya dari segi adat. Dengan ini, pendakwaan seseorang yang berumur 40 tahun bahawa seseorang yang berumur 35 tahun itu adalah anaknya tidak boleh diterima akal kerana mustahil anak sedemikian boleh dinasabkan kepada beliau. Subjek dakwaan yang bertentang dengan adat juga tidak sah, contohnya dakwaan daripada seseorang yang terkenal sebagai fakir yang sentiasa meminta sedekah bahawa beliau memberi pinjaman kepada seseorang sebanyak RM100 000 secara tunai maka tidak diterima berdasarkan ia tidak pernah berlaku dari segi adat.

ii) Hendaklah perkara yang didakwa itu diketahui dan dimaklumi. Jika tidak diketahui, maka tidak sah dakwaan itu kerana faedah daripada dakwaan ialah mengenakan paksaan terhadap yang kena dakwa tentang perkara yang didakwa melalui keterangan dan hujah. Mengenakan paksaan melalui perkara yang tidak diketahui, tidak akan terlaksana.

iii) Subjek dakwaan juga hendaklah berupa sesuatu hak atau perkara yang bermanfaat mengikut syarak.

Para fuqaha’ berpendapat bahawa seseorang hakim yang telah dilantik dengan kuasa yang tidak terbatas bagi mendengar semua jenis kes adalah dibenarkan untuk mendengar semua hak yang didakwa, sama ada yang berkaitan dengan mal atau sivil mahupun jenayah. Ibn Rushd telah menegaskan mengenai bidang kuasa yang dimiliki oleh seseorang hakim, katanya;

”Para Ulama’ telah sependapat bahawa seseorang hakim atau kadi mempunyai kuasa menjalankan hukuman ke atas semua hak. Sama ada hak Allah atau hak anak adam dan sesungguhnya seorang hakim itu merupakan wakil atau pengganti raja atau ketua negara bagi tujuan ini”.

Al-Faqih al-Maliki al-Andalusi juga menegaskan dalam hal ini, katanya;

”Para hakim mempunyai kuasa untuk menjalankan hukum hudud, mendengar semua kes termasuk menegakkan dan mengembalikan hak-hak, mengubah kemungkaran dan mendengar hal-hal yang berhubungkait dengan kepentingan umum”.

Ibn Farhun bersetuju dengan pendapat Ibn Suhail, lalu beliau menukilkan pendapatnya itu yang bermkasud;

”Ketahuilah anda, sesungguhnya kadar garisan kehakiman adalah yang paling besar, ia merupakan tempat rujukan dalam semua masalah tanpa batas, kecil mahupun besar dan ia mempunyai tugas untuk mendengar dalam kes-kes kecederaan, darah dan sebagainya...”

Kemudian Ibn Farhun seterusnya menukilkan perkataan fuqaha’ di samping beliau bersetuju dengan pandangan mereka iaitu;

”Hakim boleh mendengar semua kes, kecuali untuk menentukan kadar kharaj (cukai tanah)”.

Ibn Khaldun telah menegaskan dalam ’Muqaddimahnya’ dengan katanya yang bermaksud;

”Ringkasnya jawatan kehakiman telah menjadi ketetapan bahawa ia adalah diperuntukkan bagi tujuan menghimpunkan mereka yang bersengketa, di samping membuat penyelesaian, menyempurnakan sebahagian hak awam bagi orang Islam, bertanggungjawab menyelia urusan ’al mahjur calaihi (mereka yang ditahan daripada mengendalikan urusan hartanya sendiri) yang terdiri daripada orang-orang gila, anak-anak yatim dan orang yang bodoh (safih), meneliti saksi-saksi........”

Berdasarkan pendapat para ulama’ di atas menunjukkan bahawa betapa luasnya hak yang didakwa yang layak menjadi perkara dakwaan yang akan didengar oleh seseorang hakim. Di samping itu ada juga beberapa perkara yang tidak boleh dijadikan sebagai tajuk dakwaan seperti perkara-perkara ibadat. Dengan kata lain hakim tidak mempunyai kuasa untuk mendengar dan menjatuhkan hukuman ke atasnya.

2.5.4 Syarat Dakwaan

1) Hendaklah menggunakan lafaz yang memberikan makna yang pasti dan tegas. Jika digunakan perkataan yang tidak tegas dan pasti makna dakwaan itu tidak sah. Seperti seseorang menggunakan perkataan ”pada sangkaan saya, atau pada anggaran saya...” dalam dakwaannya. Walaupun demikian, tidaklah diwajibkan menggunakan lafaz yang khusus malahan boleh dengan lafaz yang memberikan makna yang menyampaikan maksud dakwaan atau tuntutan.

2) Hendaklah dilakukan dihadapan atau semasa kehadiran lawannya iaitu pihak yang kena dakwa, tidak kerana perbicaraan tanpa kehadiran yang didakwa, tidak harus. Walau bagaimanapun ulama mengharuskan perbicaraan tanpa hadir dalam beberapa kes dan keadaan tertentu.

3) Hendaklah dakwaan itu dilakukan di mahkamah. Jika dilakukan di luar mahkamah maka dakwaan itu tidak diiktiraf oleh syarak dan hukum yang dijatuhkan itu tidak diambil kira. (Termasuk mahkamah ialah majlis tahkim).
4) Hendaklah melalui perkataan, diucapkan oleh pihak yang mendakwa, sama ada bagi pihak dirinya sendiri atau yang diwakili atau yang dijaganya. Tidak ada perbezaan di antara dakwaan secara lisan atau tulisan pada kertas yang kemudian dibaca di mahkamah. Jika hakim tidak memahami bahasa pendakwa, maka dakwaan itu hendaklah diterjemahkan oleh penterjemah yang boleh dipercayai supaya jelas kepada hakim apa-apa yang diperkatakan pihak yang mendakwa.

5) Tidak boleh ada percanggahan dalam dakwaan, seperti terhadap perkara yang telah berlaku pada pihak pendakwa, kerana adalah mustahil terdapat dalam sesuatu perkara itu dua unsur yang bercanggah iaitu mensabit dan menafikannya.

6) Hendaklah yang mendakwa meminta kepada hakim supaya menjatuhkan hukuman ke atas yang didakwa atau menyerahkan perkara yang didakwa kepada yang mendakwa dan supaya yang didakwa tidak menentang dakwaannya dalam perkara yang didakwanya.

Ada juga ulama berpendapat, memadai dakwaan dengan cara menceritakan kes atau dakwaanya kepada hakim. Ini bermakna, tidak perlu memohon dijatuhkan hukuman atau menyerahkan perkara yang didakwa atau meminta agar yang didakwa tidak menentangnya.

7) Hendaklah dakwaan itu mengandungi keterangan yang mencukupi agar dapat menghapuskan kesamaran dalam tuntutan.

8) Yang mendakwa hendaklah meminta kepada hakim menyoal yang didakwa terhadap dakwaannya sehingga yang didakwa memberikan jawapan sama ada mengakui atau menolak.

Tidak wajar bagi hakim memaksa yang didakwa menjawab dakwaannya sebelum diminta berbuat demikian kerana ada kemungkinan yang mendakwa itu menggugurkan dakwaannya. Ada ulama berpendapat bahawa syarat ini tidak perlu kerana tujuan dakwaan dan keadaan dakwaan itu dikemukakan adalah mencukupi untuk membuktikan perlunya jawapan dan tidak perlu untuk disebutkan dengan nyata.

9) Jika perkara yang didakwa berbentuk harta, sama ada harta alih atau harta tidak alih, hendaklah dinyatakan bahawa yang didakwa telah menguasainya dengan tidak melalui cara yang sah.

10) Jika perkara yang didakwa itu boleh dialih (pindah) dan dibawa ke mahkamah tanpa menggunakan perbelanjaan (berlebihan) maka hendaklah pendakwa meminta pihak yang didakwa supaya membawa barang yang dipertikaikan itu ke mahkamah sebagai barang bukti.

Jika pihak pendakwa terlupa sebahagian daripada syarat dakwaan itu maka tidaklah wajar bagi hakim menolak dakwaan tersebut malahan hakim hendaklah meminta pihak pendakwa memenuhkan syarat tersebut. Dalam dakwaan tidak disyaratkan mengguna lafaz yang khusus tetapi yang penting ialah lafaz itu boleh melahirkan atau menyampaikan maksud pihak yang mendakwa.

2.6 MEMASTIKAN PIHAK YANG MENDAKWA

Untuk melaksanakan kehendak Islam agar pihak yang mendakwa membuktikan kebenaran dakwaannya, maka setiap hakim atau kadi hendaklah berhati-hati menentukan pihak yang mendakwa dan didakwa. Untuk memudahkan tujuan tersebut, ulama telah memberi garis panduan seperti yang berikut:

i) Pihak yang mendakwa ialah pihak yang boleh meneruskan tuntutan atau dakwaannya tanpa dipaksa. Manakala pihak yang kena tuntut pula ialah pihak yang jika tidak menjawab tuntutan pihak yang menuntut, ia dipaksa untuk menjawab.

ii) Pihak yang menuntut ialah pihak yang menuntut sesuatu hak atau kepentingan. Manakala pihak yang kena tuntut pula ialah pihak yang tertanggung ke atasnya tuntutan itu.

iii) Pihak yang menuntut ialah pihak yang menuntut sesuatu hak atas kepentingan yang bersalahan dengan apa-apa yang ada pada zahirnya. Manakala pihak yang kena tuntut pula ialah pihak yang mempertahankan sesuatu yang ada pada zahirnya.

iv) Pihak yang menuntut adalah pihak yang mengemukakan tuntutan. Manakala pihak yang kena tuntut ialah pihak yang menentang tuntutan.

v) Pihak yang menuntut ialah pihak yang mengemukakan tuntutan yang disertai keterangan. Pihak yang kena tuntut ialah pihak yang akan dikenakan bersumpah jika ia ingkar atau menolak tuntutan pihak yang menuntut.

Panduan ini akan dapat membantu hakim dalam menentukan pihak yang menuntut atau mendakwa dengan pihak yang dituntut atau didakwa kerana yang menuntut atau mendakwa menanggung beban pembuktian, menjadi tugas dan kewajipannya untuk membuktikan dakwaan atau tuntutannya. Gagal berbuat demikian bererti tuntutan atau dakwaannya ditolak.


2.7 JENIS PENDAKWAAN

Pendakwaan terbahagi kepada empat iaitu dakwaan yang sah, dakwaan yang fasid, dakwaan yang batal dan dakwaan al-hisbah.

2.7.1 Dakwaan Yang Sah

Pendakwaan yang sah ialah pendakwaan yang melengkapi syarat-syarat sah, iaitu syarat-syarat yang telah disebutkan dalam perbahasan di atas. Pendakwaan yang sah ini melahirkan hukum-hukumnya yang dimaksudkan iaitu membawa pihak lawan (pihak di dalam kes) hadir ke mahkamah melalui para pembantu qadi, memintanya menjawab dakwaan pihak yang mendakwa dan bersumpah jika mengingkari perkara yang didakwakan ke atasnya itu dan orang yang mendakwa sabit padanya, sama ada dengan pembuktian (al-bayyinah) atau dengan keengganan orang yang didakwa bersumpah.

2.7.2 Dakwaan Yang Fasid

Pendakwaan fasid ialah pendakwaan yang sah pada asalnya, tetapi tidak dikira sebagai syarie disebabkan terdapat kecacatan pada sebahagian daripada sifat luarannya. Contoh pendakwaan yang fasid ialah seperti benda yang didakwa itu sesuatu yang majhul (tidak jelas), dalam keadaan ini hakim tidak menolak dakwaan itu begitu sahaja dan tidak pula ia mendengar dakwaan itu, bahkan hakim akan meminta supaya pihak pendakwa memperbetulkan dakwaannya, dan setelah diperbetulkan dakwaan tersebut dari sesuatu yang boleh menyebabkan dakwaan itu fasid maka hakim dapat menerima dakwaan tersebut, sepertimana jikalau pendakwa telah dapat menentukan benda yang didakwa dan tiada apa-apa yang menyebabkan kesamaran. Akan tetapi jika ia tidak memperbetulkan dakwaannya yang fasid itu, maka hakim tetap akan menolak dakwaannya itu.Walau bagaimanapun penolakan ini tidak semestinya menggugurkan hak pihak pendakwa bagi mengemukakan dakwaannya buat kali kedua, kerana ia masih mempunyai hak untuk mengemukakan dakwaannya setelah diperbetulkan kesalahannya supaya menjadi sah dan dapat diterima oleh pihak hakim.

2.7.3 Dakwaan Yang Batal

Pendakwaan yang batal ialah pendakwaan yang tidak sah pada asalnya dan tidak akan memberikan sebarang hukuman ke atasnya, kerana tidak mungkin lagi dapat diperbaiki. Contohnya seperti ”Si Zaid mendakwa si polan yang mendiami di kampung tertentu adalah seorang yang kaya, dan saya adalah seorang yang fakir dan saya memohon kepada pihak hakim supaya memutuskan satu hukuman ke atas si polan itu supaya memberikan sedekah kepada saya”.

2.7.4 Dakwaan Al-Hisbah

Dakwaan yang dikemukakan oleh seseorang kepada hakim yang bukan bertujuan untuk menuntut hak-hak tetentu untuk dirinya tetapi dakwaan itu menuntut pelaksanaan hak-hak Allah. Contohnya dakwaan tersebut dengan kesalahan mencuri dan melakukan zina

Di sini jelas menunjukkan hakim mempunyai peranan penting dalam mendengar dakwaan. Jika pendakwaan itu menepati syarat-syarat, maka hakim akan meminta orang yang didakwa memberi jawapan terhadap dakwaan tersebut. Cara sabitan hak yang dilakukan dalam sistem kehakiman Islam melalui penyaksian, sumpah, ikrar, qarinah dan lain-lain.




2.8 KESIMPULAN

Pendakwaan adalah cara terakhir untuk memutuskan sesuatu pertelingkahan setelah penyelesaian melalui jalan rundingan tidak berjaya. Pada asasnya, tujuan sesuatu dakwaan adalah untuk menyatakan bahawa ia mempunyai hak atau kepentingan dan bertujuan untuk mempertahankan atau menuntut hak atau kepentingan tersebut daripada pihak yang didakwa.

Sesuatu kes yang melibatkan hak manusia sama ada melibatkan harta atau kepentingan tertentu, sulh atau perdamaian adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikannya. Jika ia sukar untuk dicapai, barulah boleh di bawa ke muka pengadilan di mahkamah. Namun begitu, hakim tidak boleh memutuskannya melainkan setelah terdapat dakwaan daripada pihak yang menuntut. Dalam kes-kes yang berkaitan dengan hak Allah s.w.t yang mutlak, hanya mahkamah akan menentukan keputusannya dan hendaklah melalui dakwaan, tetapi dakwaannya boleh dilakukan oleh orang ramai, sama ada secara indvidu atau berkumpulan, tidak terhad kepada mereka yang dizalimi atau terbabit secara langsung dalam kes berkenaan.

Pendakwaan yang sah dan seterusnya berkesan sehingga membolehkan hukuman dibuat ialah hendaklah memenuhi semua syarat yang diperuntukkan pada setiap unsur atau rukun pendakwaan. Pendakwaan yang tidak memenuhi syarat-syarat atau berlaku kepincangan pada rukunnya dikatakan tidak sah. Implikasinya sesuatu dakwaan ialah jawapan balas daripada pihak kena dakwa untuk meneruskan proses penghakiman



BAB 2


PENDAKWAAN DI MAHKAMAH SYARIAH


3.1 PENDAHULUAN

Islam sangat menekankan keadilan dan menuntut umatnya supaya adil. Keadilan dalam pemerintahan dan juga dalam penghakiman di sebut dalam al-quran. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.

Keadilan hanya terlaksana dalam mahkamah apabila terdapat hak yang sama, baik bagi tertuduh atau pendakwa. Asas-asas keadilan dari segi proses pendakwaan atau tatacara mahkamah dalam Islam adalah bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Semasa permulaan Islam, segala bentuk urusan akan dirujuk kepada Rasulullah s.a.w. dimana baginda memberi panduan dan keputusan berdasarkan wahyu. Pada masa itu tidak berlaku sebarang pertikaian berhubung dengan hukum. Setelah kewafatan Rasul, para sahabat telah menjadi tumpuan dalam segala urusan.

Setelah berakhir zaman Khulafa’ al-Rasyidin, wujud beberapa perselisihan pendapat berhubung dengan tatacara mahkamah. Selepas beberapa kurun kemudian, barulah kita dapati beberapa tokoh ulama’ menyusun prosedur perbicaraan di mahkamah secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’ adalah merupakan bahan rujukan sebagai asas dalam penghakiman dan perbicaraan sahaja, dan ianya sukar bagi para hakim, pendakwa dan peguam di dalam menentukan tatacara yang selari dengan perkembangan semasa dan rujukan yang tepat semasa perbicaraan diadakan.

Oleh itu, kita dapati negeri-negeri di Malaysia kecuali Pahang dan Terangganu telah mengkanunkan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah secara berasingan dari Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Antara Enakmen tersebut ialah Enakmen Acara Jenayah 1988 Kedah.

3.2 DASAR PENDAKWAAN

Pendakwaan syariah adalah di bawah bidangkuasa negeri sama dengan Institusi Kehakiman dan Hal Ehwal Agama Islam. Setiap negeri mempunyai Ketua Pendakwa Syarie yang mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya sendiri yang ekslusif bagi memula dan menjalankan apa-apa prosiding bagi semua kes jenayah dan kesalahan syariah dihadapan mahkamah.

Pendakwaan hendaklah mempunyai prinsip dan pengukuran standard yang boleh diterima oleh syariah. Pengukuran ini hendaklah seragam bagi kegunaan sesebuah negeri dan seharusnya juga seragam bagi seluruh Malaysia. Hal ini penting bagi mengelakkan pertikaian umum dan pertentangan dengan syariah. Dengan wujudnya standard pengukuran dapatlah mengelakkan ketekalan (consistency) dalam membuat pelbagai keputusan yang melibatkan urusan pendakwaan, memberi keyakinan kepada institusi pendakwaan, penyiasatan dan kehakiman serta kepada orang ramai, meningkatkan profesionalisme dan tidak dipolitikkan proses pendakwaan.

Dalam sistem pendakwaan negara, Jabatan Peguam Negara Malaysia dalam mewujudkan Standard Pendakwaan mengeluarkan dasar Jabatan Peguam Negara mengenai pendakwaan dan ianya disiarkan dalam The Malayan Law Journal dari semasa ke semasa dan arahan-arahan kepada Timbalan-timbalan Pendakwaraya.

Arahan pendakwaan yang dikeluarkan oleh Ketua Pendakwa Syarie juga bertujuan bagi memberi panduan kepada Timbalan dan Pendakwa Syarie serta Pegawai Penguatkuasa Agama dalam menjalankan sesuatu siasatan kes jenayah syariah supaya tatacara siasatan yang diikuti dan keterangan yang diperolehi diterima oleh mahkamah semasa perbicaraan dan menjamin sabitan terhadap tertuduh.

Dengan adanya dasar pendakwaan, kuasa budibicara yang luas bagi memula dan menjalankan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan dihadapan mahkamah syariah dapat mencapai matlamat pendakwaan yang sebenarnya tanpa prejudis dan salah guna kuasa.

Dasar pendakwaan hendaklah mengambil kira perkara-perkara berikut:

1. Keputusan pendakwaan yang tepat

Keputusan untuk mendakwa yang dikeluarkan secara salah atau keputusan yang tidak tepat boleh merasakan sistem keadilan dan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman.

2. Kecukupan keterangan untuk mewajarkan pendakwaan.

Keterangan yang boleh dibuktikan prima facie pada akhir kes dan mendapatkan sebutan terhadap kes (a reasonable prospect of conviction). Penyataan beramaran orang hendak dituduh atau pengakuan salah tidak cukup bagi pensabitan kerana pengakuan atau ikrar tidak diambil kira dalam menentukan sama ada pihak pendakwa boleh membuktikan kes prima facie.

Apabila menilai keterangan yang ada, pertimbangan boleh diberikan kepada perkara-perkara berikut:

i. Adakah terdapat alasan-alasan dimana keterangan tersebut ditolak atau diketepikan berdasarkan prinsip-prinsip kebolehterimaan dalam Akta/ Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah.
ii. Sekiranya kes tersebut bergantung kepada iqrar (pengakuan), adakah terdapat alasan bahawa ia meragukan atau tidak boleh dipercayai melihat kepada keadaan umur, kecerdikan dan kefahaman pembuatnya.
iii. Adakah nampak bahwa saksi tertentu berlebih-lebihan dalam keterangan, atau dia seorang yang pelupa, atau sama ada dia bermusuhan atau tidak menyaksi tertuduh dan oleh yang demikian tidak boleh dipercayai.
iv. Adakah saksi mempunyai apa-apa motif untuk tidak memberi keterangan yang benar sepenuhnya.
v. Adakah perkara-perkara yang boleh dikemukakan oleh peguambela untuk mencabar kredibiliti saksi semasa perbicaraan.
vi. Apakah impresi hakim tehadap saksi ini? Bagaimana dia boleh menghadapi soal balas oleh peguambela? Adakah dia mengalami apa-apa kecacatan fizikal dan mental yang boleh menjejaskan kredibilitinya?
vii. Apakah terdapat percanggahan keterangan antara saksi-saksi dan apakah percanggahan tersebut sebegitu rupa boleh melemahkan kes atau menimbulkan syak bahawa keterangan tersebut tidak benar atau direka.
viii. Apakah semua saksi penting boleh hadir dan kempeten untuk memberi keterangan, termasuk saksi yang berada diluar negeri.
ix. Adakah saksi kanak-kanak terlibat dan adakah mereka boleh memberi keterangan yang boleh dipercayai.
x. Sekiranya isu indentiti terlibat, adakah terdapat saksi-saksi yang boleh mengenalpasti tertuduh.
xi. Sekiranya terdapat lebih dari seorang tertuduh, adakah terdapat prospek yang yang munasabah untuk mendakwa mereka secara berasingan.

Setelah Pendakwa Syarie berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk mewajarkan pendakwaan, dia hendaklah seterusnya memberi pertimbangan sama ada berdasarkan fakta kes yang boleh dibuktikan dan selepas melihat seluruh keadaan yang wujud di dalam kes tersebut, kepentingan awam memerlukan kes tersebut di bawa ke muka pengadilan.

3. Kepentingan awam

Kepentingan awam yang perlu diberi pertimbangan adalah berbeza dari satu kes dengan kes yang lain. Demi kepentingan awam ada sesuatu kes yang tidak serius tidak didakwa. Antara fakta pertimbangannya dari segi seriusnya kesalahan tersebut, berleluasanya sesuatu pelanggaran kesalahan, keperluan menjadi pencegah (determine) dan sebagainya. Selain itu, antara faktor-faktor yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan sama ada kepentingan awam memerlukan sesuatu kes itu didakwa termasuklah:

i. Keseriusan sesuatu kes atau adakah kes itu bercorak ”teknikal” sahaja.
ii. Adakah terdapat faktor-faktor peringanan atau faktor-faktor pemberatan.
iii. Usia muda, kecerdikan, kesihatan fizikal, akal dan terdapat apa-apa kecacatan pada tertuduh, saksi atau mangsa.
iv. Latar belakang dan riwayat hidup tertuduh.
v. Tahap keterlibatan tertuduh dan kaitannya dengan kesalahan yang dilakukan.
vi. Kesan kesalahan terhadap agama, ketenteraan awam dan moral atau akhlak masyarakat.
vii. Adakah sekiranya pendakwaan dijalankan, kritikan dan cemuhan akan dibuat dan masyarakat yang akan menjejaskan nama baik dan imej Jabatan Agama Islam.
viii. Terdapat alternatif lain selain pendakwaan, sebagai contoh tindakan tatatertib.
ix. Perluasan sesuatu kesalahan tersebut di suatu negeri dan dengan demikian perlu kepada unsur pencegahan, sama ada kepada pelaku kesalahan dan kepada masyarakat umum.
x. Sama ada akibat dari pendakwaan dan sabitan itu akan menzalimi dan menekan mana-mana pihak.
xi. Sama ada kesalahan itu mempunyai unsur politik, contoh ceramah atau kuliah.
xii. Sama ada kesalahan tersebut telah menarik perhatian ramai.
xiii. Sikap mangsa atau kerjasama mangsa untuk membawa pendakwaan ke mahkamah.
xiv. Perbelanjaan yang terlibat dan tempoh masa yang diambil semasa perbicaraan.
xv. Sama ada tertuduh telah memberi kerjasama semasa penyiasatan atau untuk mendakwa pihak lain dan manfaat yang diperolehi daripada kerjasama berikut.
xvi. Keperluan untuk menjaga keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Pejabat Mufti, Raja dan sebagainya.
xvii. Lain-lain faktor yang bersifat syariah.


4. Bebas daripada penyiasatan dan penguatkuasaan

Mewujudkan individu dan organisasi yang berbeza dan bebas. Menentukan penyiasatan yang lengkap dan bebas berdasarkan aduan. Peranan pendakwaan setelah siasatan lengkap dan ada ’kesalahan’. Jangan berlaku kesalahan dahulu, kemudian dicipta aduan dan dijalankan penyiasatan yang menjurus konspirasi menjatuhkan seseorang. Pendakwa akan menerima kertas siasatan yang lengkap dan penyiasatan dihentikan dan setelah itu akan menentukan sesuatu kes itu ada kesalahan yang dilakukan atau tidak. Jika cadangan Pegawai Penyiasat bagi menuduh seseorang yang disiasat didapati tidak lengkap atau lemah, pendakwa hendaklah memulangkan semula kertas siasatan untuk dilengkapkan dan diambil apa-apa keterangan yang diperlukan.

Pada peringkat ini, bentuk kesalahan yang hendak dipertuduhkan belum diputuskan lagi oleh pendakwa. Sekiranya bukti tidak diperolehi atau hilang sehingga menjejaskan keterangan yang penting, pendakwa akan melihat sekadar bukti yang ada untuk disediakan pertuduhan, atau memberi kepentingan menutup kes tanpa membuat sebarang pendakwaan.

Sesuatu keputusan sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya, tidak sepatutnya dipengaruhi oleh:

a) Kaitan dengan parti politik atau arahan pihak atasan yang berkaitan.

b) Perasaaan peribadi Pendakwa Syarie terhadap tertuduh atau mangsa atau pengadu.

c) Kemungkinan pendakwaan memberi faedah kepada kerajaan atau parti politik tertentu (advantages to the government or any political group or party).

d) Kemungkinan kesan keputusan pendakwaan kepada kerjaya atau profesyen seseorang Peguam Syarie atau Pegawai Penguatkuasa Agama.

Bagi mereka yang dipertanggungjawabkan menjaga dan mengendalikan kes-kes jenayah, salah satu di antara tugas yang sangat penting ialah membuat keputusan sama ada sesuatu pendakwaan boleh dan harus dijalankan. “The degree of importance” di dalam membuat dan mengambil sesuatu keputusan itu bergantung kepada bagaimana seriusnya (gravity) sesuatu kes itu. Kesilapan membuat keputusan akan mengakibatkan dan meninggalkan kesan yang buruk dan mendalam bukan sahaja terhadap orang yang akan didakwa bahkan masyarakat keseluruhannya.

Sekiranya orang yang bersalah tidak didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan, kemungkinan pula ia akan bermaharajalela dan meneruskan kegiatan jenayahnya dan mungkin memberi kesan yang lebih buruk lagi kepada masyarakat. Sebaliknya pula jika orang yang tidak berdosa didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah di atas sesuatu tuduhan, maka ini adalah satu penganiayaan yang amat besar bukan sahaja terhadap orang yang berkenaan malahan juga terhadap seluruh ahli keluarganya, walaupun di akhir perbicaraan yang didakwa itu terlepas dan bebas dari tuduhan.

Oleh yang demikian, apabila pegawai pendakwa menelti dan mengkaji sesuatu kes, kajian yang sehalus-halusnya hendaklah dibuat dengan fikiran yang terbuka tanpa sebarang emosi. Segala daya usaha hendaklah dilakukan untuk mempastikan bahawa sesuatu keputusan yang diambil adalah hasil pertimbangan yang amat halus dan saksama. Ini bermakna, bersandarkan dan berdasarkan kepada keterangan dan bukti-bukti yang terdapat, adalah tidak syak lagi orang yang hendak didakwa itu telah terlibat di dalam kesalahan berkenaan.

3.3 ASAS PENDAKWAAN

3.3.1 Maklumat

Maklumat adalah perkara asas yang perlu ada sebelum sebarang tindakan diambil terhadap seseorang. Maklumat merupakan suatu aduan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada pihak berkuasa yang mana ianya mengetahui berkenaan dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang .

Antara dalil yang menyuruh manusia membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan ialah dalam firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

Maksudnya:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.


Daripada maksud dan penjelasan daripada ayat al-quran di atas dapatlah kita mengetahui bahawa adalah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk mencegah kemungkaran daripada terjadi. Antara peranan yang boleh dilakukan ialah dengan menyampaikan sesuatu maklumat terutamanya yang berkaitan dengan perkara mungkar kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk mencegah perkara-perkara tersebut daripada berlaku.

Enakmen Acara Jenayah Syariah (Kedah) 1988, memperuntukkan mengenai “maklumat” dari seksyen 53-65 iaitu sebanyak 12 seksyen. Maklumat dapat dibahagikan kepada dua jenis:

1) Maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa dan
2) Maklumat kepada hakim.

Pegawai Penguatkuasa ialah mana-mana orang yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang. Ini disebutkan dalam seksyen 2(1) tafsiran, Enakmen Acara Jenayah Syariah (pindaan) 1999.

Pemberi maklumat hendaklah memberi sesuatu maklumat dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur dan amanah agar tidak wujud aduan yang palsu yang mana ia akan memberi kesan kepada semua pihak. Maklumat ini boleh berlaku dalam dua keadaan:-

1) Pengadu hadir membuat aduan.
2) Aduan melalui telefon.

Bagi maklumat yang diterima oleh Pegawai Pengutkuasa Agama melalui telefon daripada pengadu, pihak berkuasa agama akan pergi ke tempat kejadian selepas pemberitahuan maklumat tersebut untuk memastikan sama ada maklumat yang diberikan itu adalah benar ataupun tidak. Sekiranya maklumat tersebut benar sepertimana yang dilaporkan oleh pengadu, Pegawai Penguatkuasa Agama akan meminta pengadu tandatangan di borang aduan tersebut di tempat kejadian. Manakala maklumat yang terdapat dalam surat khabar tidak boleh digunakan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama untuk membuat penyiasatan. Akan tetapi pihak berkuasa agama akan menghantar perisik ke tempat kejadian terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan .

Maklumat yang diterima hendaklah dicatatkan dalam borang 3A iaitu maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa dan borang 3B iaitu maklumat kepada Hakim Syarie. (Lampiran 1 dan 2)

3.3.2 Siasatan


Sebelum menerima satu perkhabaran yang agak meragukan atau maklumat daripada orang fasik, Allah s.w.t. menyuruh kita menyiasat terlebih dahulu perkhabaran tersebut. Tujuannya adalah untuk menentukan sejauh mana kebenaran sesuatu maklumat bagi mengelakkan berlakunya penganiayaan atau tohmahan dan sebagainya ke atas seseorang. Antara perkara yang perlu ditekankan ialah melihat kepada beberapa banyak bukti atau keterangan berkenaan dengan maklumat yang diterima. Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Dalam usaha mencegah kemungkaran yang dilakukan secara terbuka dan terang-terangan itu bukanlah bererti segala tindakan pencegahan boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya dengan tidak memeriksa dan menyiasat secara terperinci terlebih dahulu terhadap mereka yang terlibat.

Setiap keterangan juga hendaklah diambil dan dicatatkan dalam buku penyiasatan dan jika perlu kepada penyiasatan lanjut atau perlu kepada dokumen-dokumen penting dan sebagainya. Maka peluang dan masa secukupnya hendaklah diberikan kepada mereka supaya dapat dikemukakan pada satu masa yang akan ditentukan kemudian. Begitu juga di dalam lain-lain jika perkara yang memerlukan penyiasatan lanjut.

Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai kuasa yang luas dalam menjalankan sesuatu siasatan kes. Pegawai tersebut mempunyai budibicara sama ada untuk menyiasat sesuatu kes atau tidak, bentuk siasatan yang akan dijalankan, sama ada perlu seseorang yang disyaki ditangkap dan lain-lain hal yang berkaitan. Pegawai penyiasat tidak boleh menjadi Pegawai Pendakwa Syarie terhadap kes yang disiasatnya. Tugas pegawai tersebut ialah untuk mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Syarie untuk diputuskan sama ada suatu pendakwaan perlu dilakukan dan apakah pertuduhan yang sesuai.

Dalam kes tertentu keizinan daripada Ketua Pendakwa Syarie diperlukan sebelum sesuatu pertuduhan dikemukakan. Terdapat pelbagai alasan mengapa undang-undang membuat peruntukan sedemikian, tetapi alasan yang penting ialah bagi memastikan supaya pendakwaan tidak dikemukakan terhadap kes-kes yang tidak wajar .

Oleh itu adalah penting supaya seseorang Pendakwa Syarie tidak terlibat dengan penyiasatan kes supaya ia boleh membuat keputusan pendakwaan secara “bebas” tanpa dipengaruhi oleh proses penyiasatan. Sekiranya ia terlibat dalam proses penyiasatan, ia sepatutnya menjadi saksi dan tidak sebagai seorang Pendakwa Syarie. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa seseorang Pendakwa Syarie tidak boleh memberi nasihat yang melibatkan undang-undang, kelemahan keterangan dan tindakan-tindakan yang perlu dilakukan bagi menjamin sabitan kes tersebut semasa pendakwaan nanti. Apa-apa arahan lain hendaklah dibuat melalui Arahan Ketua Pendakwa Syarie untuk diikuti dan dipatuhi oleh semua Pegawai Penguatkuasa Agama dan pegawai penyiasatan.

3.3.3 Keterangan

Tanggungjawab pegawai pendakwa dalam mengemukakan keterangan bagi satu-satu pendakwaan adalah berubah-ubah mengikut peringkat, keterangan dan perbicaraan sewajarmya. Ianya ia berbeza daripada tanggungjawab membuktikan kes. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Kedah (1989) memberi definisi “keterangan” termasuklah:-

a) Syahadah dan al-Bayyinah;

b) Segala kenyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara nyataan yang disiasat: kenyataan-kenyataan itu adalah disebut keterangan lisan.

c) Segala suratan yang dikemukakan untuk diperiksa oleh Mahkamah: suratan itu adalah disebut keterangan suratan.

Pegawai pendakwa di dalam satu-satu pendakwaan hendaklah bersedia dan bertanggungjawab membuktikan kesnya dan juga bersedia bertanggungjawab mengemukakan keterangan. Mengenai tanggungjawab membuktikan kes, seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Kedah) 1989 memperuntukkan;

(1) Sesiapa berkehendak mana-mana Mahkamah membuat hukuman tentang mana-mana hak atau tanggungan di sisi undang-undang dengan bergantung atas adanya nyataan yang ditegakkan olehnya, mestilah membuktikan nyataan itu ada.

(2) Apabila seseorang terpaksa membuktikan ada sesuatu nyataan yang wujud, maka adalah dikatakan bahawa beban membuktikan adalah terletak atas orang ini.

Contohnya:
“Ahmad” berkehendak Mahkamah memberi hukuman supaya “Abu” dihukum kerana jenayah yang “Ahmad” kata telah dilakukan oleh “Abu”

“Ahmad” mestilah membuktikan bahawa “Abu” telah melakukan jenayah itu.

Seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Kedah) 1989 ini memperuntukkan bahawa beban membuktikan kes adalah terletak ke atas pihak yang ingin mahkamah memberikan penghakiman ke atas apa-apa hak atau liability sepertimana mengikut fakta-fakta yang ditegaskan olehnya. Oleh yang demikian dalam sesuatu pendakwaan beban membuktikan kes adalah terletak ke atas pihak yang mendakwa dan sumpah bagi orang yang menafikannya.

3.4 BIDANG KUASA MAHKAMAH

Pendakwaan juga hendaklah di buat di hadapan Mahkamah yang kompeten bukan sahaja dari segi jenis kesalahan dan had hukuman tetapi juga bidang kuasa tempatan untuk membicarakan kesalahan tersebut.

Mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dari segi jenis kesalahan dan had hukuman, seksyen 9 (2) Enakmen Mahkamah Syariah 1993 memperuntukkan;



Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:-
Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Tahun 1962, Enakmen Keluarga Islam 1979, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang sedang berkuatkuasa dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya.

Seksyen 10 (2) (a) pula memperuntukkan;

Mahkamah Rendah Syariah hendaklah:-

Dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang diakukan oleh seseorang Islam di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Tahun 1962, Enakmen Keluarga Islam 1979, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988, atau mana-mana undang-undang betulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1962, Enakmen keluarga Islam 1979, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 atau undang-undang bertulis lain tidak melebihi dua ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan baginya.

Kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan bidang kuasa jenayah bagi mahkamah syariah boleh dibahagikan kepada 6 kategori:

1. Kesalahan yang berhubung dengan seks seperti zina, liwat, perbuatan sumbang, melacurkan diri, musahaqah dan hamil luar nikah.

2. Kesalahan yang berhubung dengan minuman yang memabukkan seperti minum arak, menjual arak, dan membeli arak.

3. Kesalahan yang berhubung dengan aspek Rukun Islam seperti tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan dan tidak membayar Zakat Fitrah.

4. Kesalahan dari aspek aqidah seperti ajaran salah, memberi pengajaran dan penerangan yang berlawanan dengan Hukum Syarak dan menukar agama.

5. Kesalahan-kesalahan ”Matrimoni” seperti tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, tidak taat kepada suami, menceraikan isteri tanpa kebenaran Mahkamah, melesapkan harta isteri, tidak memberi keadilan kepada isteri dan tidak bermuasyarah dengan isteri.

6. Pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk dalam kesalahan kategori di atas seperti pondan, melarikan isteri orang, melarikan perempuan dan mengeji Pegawai Hal Ehwal Islam sewaktu menjalankan tugas, ingkar perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan berhubung dengan perkara-perkara agama.

Mengenai bidang kuasa tempatan Mahkamah untuk membicarakan kesalahan bagi satu-satu pendakwaan, pada amnya pendakwaan hendaklah dibuat di hadapan Mahkamah yang di dalam had bidang kuasa tempatannya kesalahan itu telah dilakukan atau apa-apa akibat kesalahan itu berikutan.

Seksyen 67 Enakmen Acara Jenayah (Kedah) 1988 memperuntukkan ;
Apabila seseorang dituduh melakukan suatu kesalahan atas sebab perkara yang telah dilakukan atau akibat yang berikutan dengannya telah terjadi kesalahan itu boleh disiasat atau dibicarakan oleh Mahkamah di dalam kawasan bidangkuasa di mana perkara itu telah dilakukan atau apa-apa akibat itu telah terjadi.

Dalam seksyen 68 Enakmen yang sama memperuntukkan;

Apabila suatu perbuatan menjadi suatu kesalahan oleh sebab perkaitannya dengan apa-apa perbuatan lain yang juga menjadi atau yang akan menjadi suatu kesalahan jika orang yang melakukannya itu berkebolehan melakukan suatu kesalahan, maka pertuduhan atau kesalahan yang pertama tersebut itu boleh disiasat atau dibicarakan oleh Mahkamah di dalam kawasan bidangkuasa di mana salah satu perbuatan itu telah dilakukan.

Walaupun kedudukan Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa dari segi jenis kesalahan dan had hukuman serta bidang kuasa tempatan untuk membicarakan kesalahan sebagaimana pendakwaan dibuat, melalui permohonan yang dibuat melalui usul yang disokong oleh afidavit sebelum perbicaraan kesalahan itu berakhir, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh mengarahkan supaya mana-mana kes jenayah tertentu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah; atau mengarahkan supaya seseorang tertuduh dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah yang lain. Arahan sedemikian boleh dibuat apabila ternyata kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bahawa;

a) Bahawa perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah tidak boleh diadakan di mana-mana Mahkamah Kadi; atau

b) Bahawa ada kemungkinan beberapa soalan undang-undang yang amat susah keadaannya akan berbangkit; atau

c) Bahawa penziarahan tempat di dalam atau berhampiran dengnnya kesalahan telah dilakukan adalah diperlukan untuk membuat suatu perbicaraan yang memuaskan; atau

d) Bahawa arahan di bawah seksyen ini akan membawa kesenangan secara am kepada pihak-pihak atau saksi-saksi; atau

e) Bahawa setiap arahan itu berpadanan dengan dasar keadilan, atau seperti yang dikehendaki oleh mana-mana peruntukan di dalam Enakmen ini.

Kedudukan ini diperuntukkan di dalam seksyen 187 Enakmen Acara Jenayah (Kedah) 1988.

Mahkamah Syariah hanya boleh membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam sahaja manakala orang bukan Islam, Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan atau menghukum. Perkara yang sebegini kadangkala adalah menyukarkan Mahkamah apabila timbul isu atau perkara berbangkit seperti apabila seseorang bukan Islam semasa memberi keterangan yang menghina Mahkamah atau enggan melakukan sesuatu perkara yang ada hubung kaitnya dengan sesuatu perkara yang sedang berjalan dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah. Oleh itu adalah perlu difikir bersama supaya Mahkamah Syariah dibenarkan membicarakan atau menghukum mana-mana kesalahan yang melibatkan pentadbiran keadilan yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam selagi mana kesalahan tersebut tidak tergolong dalam kategori Rukun-rukun Islam atau Rukun-rukun Iman yang hanya terkena ke atas orang-orang Islam sahaja. Sebagai contohnya, kesalahan enggan mematuhi perintah Mahkamah mengemukakan dokumen, tidak mematuhi peraturan Mahkamah berhubung dengan perintah tahan pendapatan tenaga, pegawai-pegawai di bawah kawalannya berhubung dengan kes nafkah anak dan isteri, memberi keterangan palsu di Mahkamah atau enggan hadir di atas sepina Mahkamah sebagai pakar dalam bidang-bidang yang dikehendaki oleh Mahkamah .

3.5 KETUA PENDAKWA SYARIE DAN PENDAKWA SYARIE

Ketua Pendakwa Syarie dilantik untuk menjalankan tanggungjawab serta tugasnya bagi negeri masing-masing di Malaysia. Perlantikannya ialah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang berkaitan. Perbezaan yang wujud antara Pendakwa Raya dan Ketua Pendakwa Syarie ialah di Malaysia hanya ada seorang sahaja Pendakwa Raya yang bertanggungjawab sepenuhnya di dalam hal pendakwaan tetapi terdapat 14 orang Ketua Pendakwa Syarie yang bertanggungjawab dalam hal pendakwaan bagi satu-satu negeri di Malaysia. Ini kerana jawatan Pendakwa Raya merupakan jawatan Persekutuan manakala jawatan Ketua Pendakwa Syarie pula untuk negeri sahaja.

Pendakwaan semua kes di mahkamah syariah hanya boleh ditentukan oleh Pendakwa Syarie. Mengikut Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah) 1993 seksyen 21(1) memperuntukkan perlantikan Ketua Pendakwa Syarie;
”21(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan Boleh atas nasihat Majlis, melantik seorang, yang berkelayakan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, menjadi Ketua Pendakwa Syarie.”

Perlantikan Pendakwa Syarie pula diperuntukkan dalam subseksyen (3) iaitu;
(3) Ketua Pendakwa Syarie boleh melantik orang-orang yang layak dan sesuai daripada kalangan anggota Perkhidmatan Awam Negeri menjadi Pendakwa-pendakwa Syarie yang hendaklah bertindak di bawah kawalan am dan arahan Ketua Pendakwa Syarie dan boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang terletak hak pada atau yang boleh dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie sendiri.”

Dari segi tugas dan tanggungjawab ketua Pendakwa Syarie dalam subseksyen (2) iaitu;
” (2) Walau apapun yang terkandung dalam mana-mana undang-undang berulis lain Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan dan menjalankan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.”

Dalam Enakmen Acara Jenayah Syariah (Kedah) 1988 juga memberi kuasa dan tanggungjawab bagi menjalankan pendakwaan sewajarnya seksyen 105 memperuntukkan bahawa pendakwaan boleh diteruskan atau diberhentikan setelah memaklumkan kepada mahkamah hasrat untuk tidak meneruskannya dan mendapat kebenaran mahkamah. Pendakwa dan kuasa pendakwaan juga di sebutkan dalam undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Kedah) 1962.

3.5.1 Peranan Ketua Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie Dibahagian Pendakwaan

3.5.1.1 Ketua Pendakwa Syarie

i Membereskan kes-kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.

ii Menjalankan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi kes Khas.

iii Meluluskan diari siasatan dan pertuduhan

iv Membenarkan notis permohonan bagi tujuan pendaftaran.

v Menyelia tugas Pendakwa Syarie, jadual perbicaraan bagi setiap hari perbicaraan untuk semua daerah.

vi Menyediakan notis dan alasan rayuan.

vii Meluluskan kebenaran menyiasat seksyen 54(2) Enakmen Acara Jenayah Syariah Kedah 1988.

3.5.1.2 Pendakwa Syarie

i Menjalankan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi daerah-daerah diarahkan.

ii Menyediakan pertuduhan, izin mendakwa dan notis permohonan.
iii Membantu menguruskan pentadbiran bahagian, fail-fail dan surat menyurat.

iv Membantu menyediakan alasan rayuan.

v Mendaftar kes di Mahkamah.

vi Memperkemas bilik penyiasatan dan mempastikan keselamatannya serta menyelia folder daftar fail.

vii Menyelenggara daftar kes-kes 105, KIV, jaminan dan pemulihan.

3.6 PERANAN PENYIASATAN

1) Memastikan operasi siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menjaga imej Pegawai Penguatkuasa Agama.

2) Memastikan prosedur siasatan berjalan dengan baik.

3) Membantu pihak pendakwa untuk melicinkan proses pendakwaan.

4) Menyiasat aduan kesalahan jenayah syariah.

5) Melaksanakan aktiviti siasatan terhadap pihak yang berkaitan dengan kes siasatan dan

6) Menyediakan kertas siasatan tangkapan dan aduan.



3.7 KESIMPULAN

Dalam memastikan kejayaan dan keadilan dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah maka proses pendakwaan yang cekap adalah amat diperlukan. Pendakwaan yang cekap bergantung juga kepada proses penyiasatan yang rapi oleh pegawai penyiasat. Penyiasatan yang berjaya juga bergantung dengan peruntukan undang-undang. Tangkapan yang menyalahi undang-undang akan menyebabkan kegagalan dalam pendakwaan dan perbicaraan.

Kelicinan pendakwaan kes-kes jenayah syariah banyak bergantung kepada keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan kemahiran Pegawai-pegawai Pendakwa Syarie mengendalikan pendakwaannya di Mahkamah Syariah. Keterangan-keterangan dan bukti yang kukuh hanya boleh didapati melalui penyiasatan yang terancang dan sistematik. Keputusan sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya hendaklah dibuat dengan cermat dan teliti dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau arahan pihak atasan yang tidak berkaitan.

Di samping itu, dasar pendakwaan perlu ditetapkan bagi mewujudkan ketekalan, ketelusan, meningkatkan profesionalisme pegawai dan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendakwaan Islam. Arahan Ketua Pendakwa Syarie perlu dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi dijadikan panduan dan pedoman oleh Pendakwa-pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama bagi menentukan pengendalian pendakwaan dan siasatan yang dijalankan mengikut kehendak undang-undang dan kejayaan pendakwaan terjamin di Mahkamah.

Tiada ulasan: