DONATE

Jumaat, 8 Mei 2009

Nabi Sulaiman 'Alaihi Salam: Sejarah Nabi Allah dan Pengajaran Yang Boleh Ambil Melalui Kisahnya


1.0 PENDAHULUAN

Setiap sejarah tidak dapat lari daripada sumber-sumbernya. Maka dengan sumber-sumber inilah sesuatu penulisan tentang sejarah itu boleh dibuat agar dapat dijadikan panduan serta mengambil iktibar daripadanya untuk genenari-generasi yang akan datang. Terdapat banyak aspek yang boleh dijadikan sebagai sumber pensejarahan dan ianya penting bagi menentukan tentang kesahihan sesuatu cerita yang hendak disampaikan itu sama ada ianya benar atau sebaliknya.

Dalam pensejarahan Islam, al-Quran merupakan salah satu sumbernya yang paling utama. Ini adalah kerana segala peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di zaman dahulu kala itu telah diceritakan sendiri oleh Allah s.w.t. Terdapat banyak bukti-bukti yang menunjukkan bahawa cerita-cerita yang di bawa oleh al-Quran itu benar-benar berlaku berikutan dengan kesan-kesan sejarah yang masih ada sehingga kini. Bagi umat Islam yang telah beriman dengan sepenuh hati dengan kebenaran al-Quran akan terus mengambil iktibar berhubung dengan apa yang telah berlaku.
Manakala bagi orang-orang kafir yang meragui tentang kebenaran al-Quran, maka mereka akan terus mengkaji apa yang telah diceritakan oleh al-Quran dengan peninggalan sejarah yang masih wujud pada hari ini yang akhirnya bagi mereka yang jujur dengan kajian mereka itu akan mengatakan bahawa al-Quran itu benar. Oleh itu di dalam kertas kerja ini akan memaparkan mengenai sejarah nabi Sulaiman a.s dengan kehebatannya. Apa yang paling penting ialah iktibar yang dapat diambil daripada cerita tersebut supaya ianya dapat dijadikan panduan dan juga teladan.

2.0 BIODATA NABI SULAIMAN A.S

Nama nabi Sulaiman ialah Sulaiman bin Daud bin Isya bin Uwaid bin Abir bin Syalmun bin Nakhsyam bin Uwainadib bin Irom bin Khasrun bin Farz bin Yahudza bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim.

Nabi Sulaiman mempunyai warisan kenabian iaitu baginda merupakan anak kepada nabi Daud a.s. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan nabi Sulaiman telah mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) nabi Daud, dan (setelah itu) nabi Sulaiman berkata: wahai umat manusia, kemi telah diajar mngerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberi serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan), sesungguhnya yang demikian itu adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”

Warisan kenabian yang dimaksudkan adalah tidak lebih daripada satu warisan kenabian dan kerajaan (penguasa) dan bukannya warisan yang berhubung kait dengan harta benda.

3.0 KELEBIHAN-KELEBIHAN YANG ADA PADA NABI SULAIMAN A.S

Seperti mana yang telah diketahui bahawa sememangnya nabi Sulaiman a.s mempunyai kelebihan yang luar biasa serperti boleh berkomunikasi dengan segala binatang sama ada yang berada darat ataupun di laut, sama ada yang kecil ataupun yang besar dan nabi Sulaiman a.s juga mempunyai kebolehan untuk memerintahkan seluruh jin-jin untuk berkhidmat dengannya. Kesemua cerita-cerita ini merupakan sejarah-sejarah yang mempunyai banyak iktibarnya dan kesemuanya diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Oleh itu wajub bagi umat Islam mempercayainya kerana al-Quran adalah sumber utama kepada umat Islam dalam menjalani kehidupan. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui fiemannya di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentera dari jin, manusia dan burung-burung, lalu diatur dengan tertib (dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: hai senut-semut, masuklah ke dalam sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tentera-tenteranya sedangkan mereka tidak menyedari. Maka nabi Sulaiman tersenyum kerana (mendengar) perkataan semut itu, dan dia berdoa: ya tuhanku, berilah aku ilham untuk mensyukuri nikmatmu yang telah engkau anugerahkan keapadaku dan kepada kedua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang engkau redai. Dan masukkanlah aku dengan rahmatmu ke dalam golongan hamba-hambamu yang soleh”

Di dalam ayat yang lain Allah juga menyatakan mengenai kehebatan nabi Sulaiman di mana angin yang kencang tiupannya juga tunduk kepada nabi Sulaiman. Begitu juga syaitan-syaitan, mereka juga tunduk kepada nabi Sulaiman. Firman Allah yang bermaksud:

”Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu Dalam mana-mana peperangan kamu, maka Adakah kamu sentiasa bersyukur? Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin Yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendakNya ke negeri Yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari syaitan-syaitan untuk menyelam bagiNya, serta melakukan kerja-kerja Yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahNya ).

Berdasarkan kepada ayat di atas Allah s.w.t telah menceritakan bahawa para tentera nabi Sulaiman a.s adalah terdiri daripada manusia, jin dan juga burung-burung. Begitu juga Allah s.w.t menceritakan mengenai komunikasi yang berlaku antara semut-semut yang mana ia telah didengari oleh nabi Sulaiman a.s yang baginda tersenyum setelah mendengarnya lantas bersyukur kepada Allah s.w.t. Cerita-cerita tersebut tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia jika tidak merujuk kepada al-Quran. Kesemua cerita-cerita ini adalah benar-benar berlaku kerana ianya telah diceritakan sendiri oleh Allah s.w.t.

4.0 BERITA MENGENAI KAUM NEGERI SABA’ YANG MENYEMBAH MATAHARI

Berita mengenai kaum dari negeri Saba’ yang menyembah matahari telah disampaikan oleh burung hud-hud kepada nabi Sulaiman a.s. Pada hari tersebut nabi Sulaiman a.s telah mengadakan satu perhimpunan dengan para tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan juga binatang-binatang. Pada perhimpunan tersebut kesemuanya hadir kecuali burung hud-hud. Hal tersebut telah menghairankan nabi Sulaiman a.s seraya bertanya tentang kemanakah perginya burung hud-hud. Tidak lama kemudian datanglah burung hud-hud menghadap nabi Sulaiman a.s dengan memohon maaf di atas kelewatannya dalam menghadiri perhimpunan tersebut.

Nabi Sulaiman a.s yang merasa kurang senang dengan kelewatan burung hud-hud tersebut merasa lega dengan pengkhabaran burung hud-hud iaitu kelewatannya adalah disebabkan dia telah pergi ke negeri Saba’. Burung hud-hud itu telah menceritakan tentang perihal yang berlaku di neberi Saba’ yang mana ia telah diperintah oleh seorang puteri raja yang bernama Balqis . Apa yang perlu diberi perhatian oleh nabi Sulaiman a.s ialah bahawasanya puteri Balqis dan rakyatnya adalah menyembah matahari. Ini adalah tanggungjawab nabi Sulaiman a.s untuk menyelamatkan mereka supaya tidak lagi menyembah matahari dan kembali kepada Allah s.w.t. Kisah ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (setelah itu) nabi Sulaiman memeriksa burung-burung (yang turut dalam tenteranya) lalu berkata: mengapa aku tidak melihat hud-hud. Adakah dia termasuk yang tidak hadir. Demi sesungguhnya aku akan mengazabnya dengan azab yang keras atau aku akan menyembelihnya, kecuali dia benar-benar datang kepadaku dengan alasan yang terang dan nyata (yang membuktikan sebab-sebab dia tidak hadir). Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud) lalu dia berkata: aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa berita pnting yang diyakini kebenarannya. Sesunggunhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka dan dia telah dianugerahisesuatu yang banyak serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari selain Allah. Dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan Allah, sehingga mereka tidak dapat petunjuk. Agar mereka tidak menyembah Allah dan mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan kamu nyatakan. Allah, tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali dia, tuhan yang mempunyai arasy yang besar. Berkata Sulaiman: akan kami lihat apakah kamu benar ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, lalu berpalinglah dari mereka, kemudian perhatikan apa yang mereka bicarakan. Setelah membaca surat itu berkatalah raja perempuan negeri Saba’ (Balqis): wahai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat mulia. Sesunguhnya surat ini dari Sulaiman yang isinya seperti berikut: dengan menyebut nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang yang berserah diri.

Berkatalah dia (Balqis): wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusan ini, aku tidak pernah memutuskan persoalan sebelum kamu berada dalam majlisku. Mereka menjawab: kita adalah orang-orang yang mempunyai kekuatan dan juga memiliki keberanian yang amat sangat (dalam peperangan) dan keputusan berada ditanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan. Raja perempuan itu berkata: sesungguhnya raja-raja apabila memasuki sesuatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina dan demikian pulalah apa yang akan mereka perbuat. Dan sesungguhnya aku akan mengirimkan utusan kepada mereka dengan membawa hadiah, dan aku akan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu. Maka apabila utusan itu sampai kepada Sulaiman, berkatalah nabi Sulaiman (kepadanya): apakah (patut) kamu memberikan aku dengan harta benda? Kerana apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa-apa yang diberikannya kepadamu, tapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu. Kembalilah kepada mereka dengan bala tentera yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina” .

Di dalam ayat tersebut Allah SWT telah menceritakan tentang apa yang telah berlaku antara nabi Sulaiman dan burung hud-hud. Burung hud-hud merupakan burung yang di cari terlebih dahulu kerana pasukan burung tersebut merupakan pasukan yang berada dalam sesebuah kerajaan. Menurut Ibnu Abbas dan juga yang lain-lainnya ada menyatakan bahawa burung hud-hud diberi tugas untuk mencari air pada lembah-lembah ketika musim kemarau. Burung ini juga di beri kekuatan oleh Allah SWT untuk mencari tempat yang banyak air di dalam bumi.

Berdasarkan kepada ayat tersebut maka dapatlah dilihat betapa kuatnya pendirian nabi Sulaiman AS ketika menghadapi diuji dengan pemberian hadiah daripada negeri Saba’. Baginda laugsung tidak tergugat dengan hadiah-hadiah tersebut, malah tetap dengan pendiriannya iaitu tetap bersyukur dengan apa yang apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Baginya apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya adalah melebihi daripada segala-galanya. Dalam waktu yang sama juga Baginda mengarahkan supaya hadiah itu dikembalikan semula dan memberi amaran bahawa mereka akan datang ke negeri Saba’ dengan tentera yang tidak mampu dikalahkan oleh tentera-tentera negeri Saba’. Oleh itu dalam hal ini baginda tetap akan menyelamatkan negeri Saba’ daripada menyembah matahari dan kembali kepada Allah.



5.0 NABI SULAIMAN KETIKA MENYAMBUT KEDATANGAN KERAJAAN SABA’

Setelah kerajaan Saba’ mendengar apa yang telah diperkatakan oleh nabi Sulaiman itu maka mereka terus akur, taat dan terus merasa rendah diri. Seterusnya sampailah berita bahawa pihak kerajaan negeri Saba’ akan datang menghadapnya. Nabi Sulaiman telah memerintahkan jin untuk bekerja keras dalam membuat persiapan bagi kedatangan kerajaan negeri Saba’ itu. Kesemua tandak tanduk nabi Sulaiman telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

” Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu Yang dapat membawa kepadaKu singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku Dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum Engkau bangun dari tempat dudukmu, dan Sesungguhnya Aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". Berkata pula seorang Yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu Dalam sekelip mata!" setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisiNya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku Adakah Aku bersyukur atau Aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa Yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat Adakah ia dapat mencapai pengetahuan Yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk Dalam golongan Yang tidak dapat mencapai pengetahuan Yang demikian". Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: serupa inikah singahsanamu?" ia menjawab: "Boleh jadi Inilah dia; dan Kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan Kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)". Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa Yang lalu): apa Yang ia pernah menyembahNya (dari benda-benda) Yang lain dari Allah; Sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak Yang kafir. (setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke Dalam istana ini." maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta Dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana Yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar Yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menganiaya diri sendiri dan (Sekarang Aku menegaskan bahawa) Aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ".

Nabi Sulaiman mencari golongan jin untuk mengubah singgahsana Balqis supaya dipindahkan kepadanya. Baginda memerintahkan supaya singgahsana tersebut sampai kepada kerajaannya sebelum ketibaan Balqis. Maka datanglah Ifrit iaitu dari golongan jin dengan menyatakan kemampuannya untuk mengubah singgahsana Balqis itu sebelum nabi Sulaiaman bangkit dari singgahsananya. Dikatakan bahawa Ifrit dengan kegagahannya mampu mengubah singgahsana Balqis sebelum terbit matahari sehingga terbenamnya matahari.

Selepas itu datang pula seorang alim dari al-Kitab yang terkenal dengan nama Ashif bin Barkhaya yang juga merupakan anak lelaki kepada ibu saudara nabi Sulaiman dengan menyatakan bahawa dia mampu untuk mengubah singgahsana Balbis dengan lebih cepat iaitu dengan hanya sekelip mata. Ketika mana dikatakan bahawa ”melihat singgahsana itu dihadapannya”, iaitu di masa dia melihat singgahsana Balqis di hadapannya dengan sekelip mata, maka berkatalah nabi Sulaiman ”ini adalah kurniaan tuhanku yang menguji diriku, apakah aku bersyukur ataukah aku ingkar”

Setelah singgahsana itu dipindahkan, maka nabi Sulaiman memerintahkan agar keadaan singgahsana itu juga diubah. Ini adalah bertujuan untuk memastikan sama ada Balqis itu termasuk di dalam orang yang cerdik ataupun sebaliknya. Ketika Balqis melihat singgahsana tersebut, maka nabi Sulaiman bertanya kepadanya adakah dia mengenali singgahsana tersebut, maka Balqis memberi jawapan seolah-olah singgahsana itu adalah singgahsananya. Selepas itu Balqis menyedari bahawa dia telah diberi peringatan sejak sebelum itu lagi.

Nabi Sulaiman juga telah memerintahkan supaya lantai singgahsana tersebut dibuat daripada kaca bagaikan seperti kelihatan seperti air yang mengalir, dijadikan di bawahnya ikan yang bermain-main pada air itu yang diatasnya dilapis dengan kaca. Seterusnya nabi Sulaiman memerintahkan kepada Balqis supaya masuk ke dalam melalui tempat itu, sedangkan nabi Sulaiman duduk di atas takhta singgahsana tersebut. Dengan pembianaannya yang begitu hebat yang mana dia beranggapan bahawa singgahsana yang licin itu diperbuat daripada kaca itu adalah kolam terus disingkapnya kedua betisnya. Maka nabi Sulaiman terus berkata: ”sesungguhnya dia adalah istana yang dibuat daripada kaca”, maka berkatalah Balqis:” ya tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim kepada diriku dan aku berserah diri bersama nabi Sulaiman kepada Allah tuhan semesta alam” .

6.0 KEWAFATAN NABI SULAIMAN

Keawatan nabi Sulaiman manurut satu riwayat bahawasanya Baginda wafat ketika mana sedang mengawasi jin-jin yang sedang bekerja keras. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa Baginda wafat ketika mana Baginda mengawasi mereka yang sedang membina Masjid Aqsa (Baitul Maqdis). Setelah masjid itu siap dibina, maka Baginda terus jatuh dari kerusinya . Peristiwa mangenai kawafatan nabi Sulaiman telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran melalui firmannya yang bermaksud:

”Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada Yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) Yang telah memakan tongkatnya. maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, Bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara Yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di Dalam azab (kerja berat) Yang menghina” .

Di dalam peristiwa kewafatan nabi Sulaiman jelas menunjukkan bahawa jin tidak tahu menahu berhubung dengan perkara ghaib, apatah lagi berhubung dengan kematian. Jin yang bekerja atas perintah nabi Sulaiman mengangka bahawa Baginda masih hidup. Maka tatkala Allah memerintahkan anai-anai memakan tongkat nabi Sulaiman sehingga roboh, maka barulah jin mengetahui tentang kewafatan nabi Sulaiman. Maka jin-jin yang bekerja keras itu pun lari daripada situ. Tanda kewafatan nabi Sulaiman telah ditunjukkan kepada kepada mereka oleh anai-anai yang memakan tongkat Baginda. Ketika mana nabi Sulaiman jatuh tersungkur, maka tahulah jin itu sekiranya mereka mengetahui tentang perkara ghaib sudah tentulah mereka tidak berada dalam keseksaan yang menghinakan .

7.0 IKTIBAR DAN PENGAJARAN

Dengan kelebihan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada nabi Sulaiman yang diantaranya ialah dapat berbicara dengan jin, burung, serangga dan binatang-binatang sama ada yang tinggal di darat mahupun di laut. Apa yang perlu diambil perhatian di sini ialah kesemuanya itu adalah kurniaan Allah. Jika dilihat kepada peristiwa semut yang berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain di mana hal tersebut telah didengari oleh nabi Sulaiman yang lantas tersenyum apabila mendengarnya terus bersyukur kepada Allah dengan apa yang telah dikurniakannya. Oleh yang demikian perlu disedari bahawa umat manusia pada hari ini yang tidak memiliki kehebatan seperti mana nabi Sulaiman tidaklah perlu angkuh dan sombong. Ini adalah kerana nabi Sulaiman yang mendapat kurniaan dari Allah iaitu kurnian yang luar biasa tidak pun merasa sombong dan angkuh, akan tetapi dalam waktu yang sama tetapi memohon kepada Allah agar ditetapkan lagi keimanannya kepada Allah.

Nabi Sulaiman juga telah berjaya menyelamatkan Balqis iaitu seorang puteri raja yang memerintah negeri Saba’ daripada terus sesat yang mana dia dan kaumnya menjadikan matahari untuk disembah. Dengan kehebatan nabi Sulaiman, Baginda berjaya memimpin Balqis untuk menyembah Allah. Sebelum nabi Sulaiman dapat mengetahui mengenai perihal negeri Saba’, baginda telah diuji dengan kelewatan burung hud-hud untuk datang berhimpun bersama-sama yang. Nabi Sulaiman agak berang dengan kejadian itu kerana tidak mengetahui mengenai alasannya. Nabi Sulaiman tidak terburu-buru dalam hal tersebut telah menyelidiki terlebih dahulu kepada burung hud-hud sebelum memberi sebarang hukuman kepadanya. Ternyata burung hud-hud telah memberi alasan yang munasabah iaitu dengan membawa gembira kepada nabi Sulaiman. Apa yang dapat dikaitkan di sini ialah sesuatu perkara itu perlu disiasat terlebih dshulu sebelum membuat keputusan dan jangan terburu-buru, kerana barangkali ada hikmah-hikmah di sebaliknya.

Ketika nabi Sulaiman menyampaikan utusan kepada negeri Saba’ agar beriman kepada Allah, maka mereka telah membalas dengan pemberian hadiah. Namun dengan kekuatan iman nabi Sulaiman kepada Allah, maka hadiah itu dipulangkan kembali dengan menyatakan bahawa apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Baginda melebihi daripada itu. Hal ini merupakan satu cabaran yang dialami oleh nabi Sulaiman ketika menyeru kepada kaum negeri Saba’ supaya beriman kepada Allah. Keadaan seperti ini berlaku di masa kini jika dilihat di dalam dunia sekarang terdapat berbagai-bagai pemberian golongan kafir kepada umat Islam supaya umat Islam sentiasa akur dengan kehendak-kehendak mereka yang akhirnya merugikan umat Islam itu sendiri.

Walaupun nabi Sulaiman merupakan seorang nabi yang kaya dan juga mempunyai kelebihan yang luar biasa yang mana Baginda boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya dengan mengarahkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan segala binatang untuk melakukannya, namun Baginda tidak pernah lupa kepada kedua-dua ibu bapanya. Baginda mendoakan kebahagiaan kepada ibu bapanya. Walaupun Baginda merupakan seorang nabi, Baginda juga turut memohon kepada Allah untuk melakukan amal soleh yang diredai oleh Allah dan juga Baginda memohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan-golongan yang soleh.

Jin yang menawarkan dirinya untuk mengubah singgahsana Balqis dalam masa lebih kurang satu hari telah ditewaskan oleh seorang manusia yang bernama Ashif bin Barkhaya yang juga merupakan anak lelaki kepada ibu saudara nabi Sulaiman di mana dia telah menawarkan dirinya untuk memindahkan sunggahsana Balqis dengan hanya sekelip mata. Oleh yang demikian dapatlah dibandingkan antara keduanya dari segi kehebatan diantara jin dan manusia. Maka dengan penceritaan daripada al-Quran itu menunjukkan bahawa manusia itu lebih hebat daripada jin. Dengan sebab itulah Allah menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian.

Kewafatan nabi Sulaiman telah membongkar satu rahsia yang menjadi persoalan mengenai perkara ghaib. Jin merupakan makhluk yang ghaib pada pandangan manusia. Persoalannya ialah adakah itu mengetahui tentang perkara-perkara ghaib, contohnya mengenai kematian. Peristiwa kewafatan nabi Sulaiman yang telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran menggambarkan bahawa jin tidak tahu menahu langsung mengenai perkara ghaib. Oleh yang demikian perlu diingat bahawa sekiranya jin mendakwa bahawa dia mengetahui tentang perkara ghaib, nyatalah bahawa ia merupakan satu pembohongan.


8.0 KESIMPULAN

Setelah melihat kepada penceritaan al-Quran mengenai sejarah, jelas menunjukkan bahawa metlamat penceritaan tersebut tercapai iaitu untuk memberi iktibar atau pengajaran kepada manusia. Kajian yang dibuat mengenai kisah nabi Sulaiman dalam usaha dakwahnya kepada Balqis ternyata membuahkan hasil. Ini adalah kerana Baginda tidak goyah dengan ujian yang diberikan kepadanya. Terdapat banyak pengajaran yang dapat diambil setelah menganalisis kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran.

RUJUKAN

Al-Quran

Abd. Shukor Mohd. Ikhwan. 1994. Hikmah Dan Teladan Suci 25 Nabi dan Rasul. Jasmin Enterprise.

Abul Fidaa’ Ismail bin Kathir al-Quraisy. Terj: Asmaji Aes Muhtar. 2001. Kisah Para Nabi: Teladan Bagi Orang Yang Berakal. Jil:2. Perniagaan Jahabersa.

Abul Fidaa’ Ismail Bin Kathir. Terj. M. abdul Ghoffar E.M. 2002. Kisah Para Nabi. Pustaka Azam
Fauzi Haji Awang.1979. Kumpulan Cerita Nabi-Nabi Pilihan Aman. Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Sidang Pengarang Nurulhas. (t.th). Himpunan Kisah-Kisah Teladan. Jil.1. syarikat nurulhas

Tiada ulasan: