Rabu, 18 Februari 2009

BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH DALAM PENTADBIRAN PUSAKA ORANG-ORANG ISLAM: MASALAH DAN PENYELESAIAN


1.0 Pendahuluan

Konflik bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil mengenai hal pentadbiran harta pusaka orang Islam sering berlaku terutamanya apabila tiada peruntukan yang jelas sebelum tahun 1988. Selepas dipinda dan ditambah Artikel 121 (1A) pada Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan bidangkuasa istimewa kepada Mahkamah Syariah, namun masih banyak berlaku pertindihan bidangkuasa mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan harta orang-orang Islam yang terdiri daripada wakaf, nazar, harta pusaka, dan wasiat umat Islam kerana mahkamah sivil sehingga kini masih campur tangan kes bidangkuasa mahkamah syariah dalam beberapa perkara.

Oleh sebab itu, penulis merasakan terdapat banyak kekangan statut dan pertindihan bidangkuasa yang menjadi masalah utama Mahkamah Syariah di dalam menjalankan pentadbiran pusaka orang-orang Islam. Justeru itu di dalam kertas kerja ini, penulis akan menyatakan masalah yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah dan kaedah penyelesaian di dalam menghadapi konflik undang-undang dan bidangkuasa berkaitan pentadbiran pusaka umat Islam di negara kita.

2.0 Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dalam Pentadbiran Harta Pusaka Orang-Orang Islam

Mahkamah Syariah dalam bidangkuasa Mal hanya boleh membicarakan dan membuat keputusan terhadap semua tindakan dan prosiding yang melibatkan orang-orang yang beragama Islam dan telah diperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa ke atas orang yang bukan Islam dan sebarang keputusannya tidak boleh menggugat pemilikan harta orang bukan Islam.

Peruntukan berkaitan bidangkuasa Mahkamah Syariah bagi harta pusaka dapat dilihat misalnya di dalam seksyen 49(3)(b)(v)-(ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 telah menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidangkuasa mal hendaklah mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang berhubungan dengan wasiat, wakaf atau nazar, pembahagian dan perwarisan harta berwasiat dan tak berwasiat, serta penentuan orang-orang yang berhak mendapat pembahagian harta pusaka si mati yang beragama Islam.

Bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah sangat sempit dan terhad dalam menjalankan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia. Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam pentadbiran harta pusaka umat Islam di Malaysia ialah mengesahkan benefisiari (waris) yang berhak kepada harta pusaka si mati yang beragama Islam dan mengesahkan kadar bahagian benefisiari berkenaan. Menurut Seksyen 50 Akta Pemtadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 misalnya telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah berhak menentukan bahagian dan orang-orang yang berhak mendapat harta pusaka.

Peruntukan-peruntukan di atas dengan jelasnya menunjukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah terbatas hanya mengesah dan memperakukan dua perkara di atas dalam bentuk Sijil Faraid sahaja. Mahkamah Syariah tidak berbidangkuasa dalam melaksanakan perintah pembahagian. Perintah Mahkamah Syariah akan diguna pakai oleh Mahkamah Tinggi dan badan-badan lain dalam menentukan pembahagian pusaka orang-orang Islam.

3.0 Masalah Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dalam Pentadbiran Harta Pusaka Orang-Orang Islam

Perlembagaan Persekutuan telah menentukan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu. Kedudukan Mahkamah Syariah dan bidangkuasanya adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan yang memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam. Undang-undang Islam yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah dianggap sebagai undang-undang diri (personal law). Justeru itu, kuasa Badan Perundangan negeri adalah untuk menggubal perkara-perkara mengenai undang-undang Islam seperti mana yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai Dua. Ini termasuk kuasa menubuhkan mahkamah yang mempunyai bidangkuasa ke atas orang Islam sahaja.

Walaupun peruntukan ini jelas memperkatakan bidangkuasa negeri, namun banyak lagi undang-undang Persekutuan yang mengehadkan dan menyekat bidang dan pemakaian undang-undang negeri. Hal ini menjejaskan bidangkuasa mahkamah Syariah dalam menjalankan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia. Sebagai contoh undang-undang Persekutuan yang berkaitan dengan pusaka iaitu terdapat Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang menghalang pemakaian Enakmen Undang-Undang Islam di setiap negeri. Oleh sebab itu, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk menentukan bahagian waris di bawah undang-undang Islam (faraid) yang dinamakan Sijil Faraid. Adapun pentadbiran harta pusaka, probet dan surat kuasa mentadbir harta pusaka pula adalah termasuk dalam Senarai Persekutuan Perkara 4(e), Senarai Satu, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Berkenaan kekangan statut Akta Probet dan Pentadbiran 1959 terhadap pemakaian bidangkuasa Mahkamah Syariah dapat dilihat situasinya di dalam kes rayuan Jumaaton & Raja Delila lwn Raja Hizaruddin , perkara yang dipertikai di antara perayu dengan responden ialah harta pusaka peninggalan si mati iaitu Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak, usahawan Melayu yang agak terkenal juga di Lembah Klang. Semasa hayatnya, si mati ada menubuhkan Arensi Holdings (M) Sdn. Bhd. (Arensi), sebuah syarikat yang kemudiannya disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur. Apabila si mati meninggal dunia pada 10 Februari 1994, lebih 11 juta unit saham syarikat didaftarkan atas nama responden.

Semasa hayatnya si mati mempunyai dua orang isteri dan sepuluh orang anak. Perayu pertama dan kedua adalah balu kedua si mati dan anak hasil pernikahan kedua itu, manakala responden adalah anak si mati dari balu pertama. Secara ringkas, apa yang dituntut oleh kedua-dua perayu ialah saham dalam Arensi yang kini didaftarkan atas nama responden itu adalah sebenarnya harta pesaka peninggalan si mati dan bukan harta mutlak responden, oleh itu hendaklah dibahagi-bahagikan kepada semua waris si mati mengikut hukum faraid. Penentang telah menafikan tuntutan itu.

Pada 17 Disember 1996, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Mahkamah Sivil) membuat satu perintah (atas persetujuan semua waris si mati) bahawa Amanah Raya Berhad (ARB) dilantik sebagai pentadbir harta pesaka si mati secara terhad selama empat bulan mulai dari tarikh perintah itu. Apabila kes tuntutan pembahagian harta pusaka si mati ini mula dikemukakan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, dua isu awalan telah dibangkitkan, iaitu:

(a) Sama ada kedua-dua perayu dalam kes ini ada locus standi untuk memfailkan kes ini terhadap responden kerana mereka bukan pentadbir harta pesaka si mati dan tidak mendapat apa-apa wakalah dari semua waris lain untuk mewakili mereka dalam tuntutan itu, dan
(b) Sama ada Mahkamah Syariah ada bidang kuasa mendengar tuntutan ini dan mengeluarkan perintah atau membuat keputusan seperti yang dipohon oleh perayu.
Setelah mendengar hujah peguam bagi kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa mendengar kes itu mengikut seksyen 46(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993. Oleh yang demikian, tuntutan itu telah ditolak.

Terkilan dengan penolakan tuntutan mereka, kedua-dua perayu kemudian mengemukakan rayuan mereka ke Mahkamah Rayuan Syariah (MRS). Dalam keputusannya setebal 12 halaman, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan (selaku Pengerusi Panel Rayuan), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, menyatakan dalam penghakimannya bahawa undang-undang mengenai probet dan surat mentabdir harta dimasukkan dalam Senarai Persekutuan (Senarai 1, jadual ke-9, Perlembagaan Persekutuan) dan bukan dalam Senarai Negeri (Senarai 2, Jadual yang sama). Justeru, beliau membuat kesimpulan bahawa ''Badan Perundangan Negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa dalam perkara probet dan surat mentadbir harta itu.''
Sheikh Ghazali seterusnya menegaskan bahawa: ''Sungguhpun semua pihak dalam kes ini adalah orang Islam, namun demikian kuasa untuk mentadbir harta pusaka telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi (sivil). Ini disebabkan oleh kerana perkara probet dan surat mentadbir pusaka diletakkan di bawah senarai kuasa perundangan Persekutuan (Senarai 1 Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan) dan tidak dikecualikan bagi orang Islam. Oleh kerana itu, undang-undang mengenai probet dan pentadbiran pusaka terdapat dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97).''
Terdapat kes lain yang melibatkan orang bukan Islam yang mencabar bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam hal pentadbiran harta pusaka orang Islam seperti kes Eeswari Visuvalingam lwn Kerajaan Malaysia, iaitu kes berkenaan dengan tuntutan untuk mewarisi harta (pencen) suaminya yang telah memeluk Islam sebelum mati sedangkan isterinya (plaintif) tetap dengan agama asal. Hal ini telah dirujukkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan oleh Kerajaan Malaysia. Fatwa Mufti mengatakan bahawa plaintif tidak boleh menuntut pencen tersebut kerana mengikut Hukum Syarak seorang yang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka orang Islam. Namun Mahkamah Sivil memutuskan bahawa plaintif berhak mendapat pencen kerana pencen hanyalah satu hak di bawah statut. Oleh itu, tidak timbul persoalan mewarisi harta pusaka orang Islam ataupun bukan Islam.
Berdasarkan keputusan tersebut, bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan pihak-pihak yang beragama Islam sahaja. Jika terdapat salah satu pihak yang bukan beragama Islam, maka ia berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil untuk menyelesaikan kes tersebut walaupun perkara yang dipertikaikan berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Hal ini menyebabkan undang-undang sivil dirujuk, manakala undang-undang Islam dan hukum Syarak diketepikan.
Disamping itu, hakim Sivil yang bukan beragama Islam juga didapati menghadapi masalah tidak memahami Hukum Syarak ketika mengendalikan kes pusaka yang boleh menyebabkan tangguhan kes yang dibicarakan. Ini dapat dibuktikan dalam kes mengenai pentadbiran pusaka orang Islam, iaitu In The Estate of Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa bidangkuasa atas perkara-perkara ‘probet dan pentadbiran’ tidak dikurniakan ke atas Mahkamah Syariah. Sebaliknya mahkamah sivil iaitu Mahkamah Tinggi hendaklah melaksanakan bidangkuasanya.

Meskipun Yang Arif Hakim Low Hop Bing memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara probet dan pentadbiran, namun Yang Arif Hakim tidak menafikan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam persoalan keesahan perkahwinan dan keesahan anak-anak dalam perkahwinan yang berlaku yang melibatkan orangorang menganut agama Islam. Justeru, para peguam bagi pihak-pihak yang bertikai telah bersetuju supaya perbicaraan digantung untuk dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

4.0 Penyelesaian Untuk Mengatasi Konflik Bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil Dalam Pentadbiran Harta Pusaka

Kaedah penyelesaian yang diambil untuk mengatasi permasalahan konflik undang-undang dan konflik bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Sivil berkenaan dengan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam adalah dengan beberapa cara:

a) Mahkamah sivil perlu menolak terus untuk membicarakan persoalan yang berkaitan dengan harta pusaka orang Islam. Malahan mahkamah sivil perlu mengiktiraf bahawa forum terbaik untuk membincangkan pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam adalah bidangkuasa mahkamah syariah.
b) Status dan bidangkuasa Mahkamah Syariah hendaklah diperbaiki dan ditambah bidangkuasanya oleh pihak kerajaan. Hal ini boleh dilakukan dengan tindakan pihak kerajaan mencadangkan usul dengan sokongan dua pertiga ahli parlimen bersetuju untuk menggubal perlembagaan persekutuan agar dimasukkan beberapa pindaan baru mengiktiraf bidangkuasa mahkamah syariah.
c) Mahkamah sivil yang memiliki bidangkuasa ke atas pentadbiran harta pusaka orang-orang Islam perlu mendapatkan keterangan pakar daripada sarjana Islam dan keputusan Majlis Fatwa dalam menjalankan proses perbicaraan kerana ia adalah berkaitan dengan harta pusaka umat Islam. Justeru itu ia amat diperlukan untuk membantu menegakkan keadilan.

Penulis berpendapat bahawa untuk memberikan bidang kuasa secara eksklusif kepada Mahkamah Syariah yang dikira dapat memenuhi kehendak pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan ini, ianya memerlukan persediaan dan pelaksanaan berbentuk jangka panjang. Menerusinya juga, selain daripada memasukkan pihak bukan beragama Islam ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, usaha boleh dibuat untuk menjadikan perkara-perkara yang membabitkan pihak beragama Islam termasuk mengenai pentadbiran harta seperti dalam perkara probet dan pentadbiran dimasukkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, ianya memerlukan masa di mana pindaan yang besar perlu dilakukan khususnya membabitkan Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain statut yang berkaitan sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Para hakim dan peguam Mahkamah Syariah pula perlu memperlengkapkan diri dengan bidang-bidang yang belum mereka biasa sebelum ini. Kesemua ini bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan masa untuk merealisasikannya.

Penulis berpandangan agar langkah terbaik untuk diimplementasikan dalam senario konflik perundangan ini yang dapat menyeimbangkan konflik yang berlaku adalah dengan menyatukan kedua-dua hakim bicara daripada Mahkamah Syariah dan Sivil dengan mewujudkan satu “Syariah Bench” dalam sesuatu perbicaraan pusaka di Mahkamah Sivil. Hakim Mahkamah Syariah akan memutuskan persoalan Hukum Syarak dalam kes yang dibicarakan di mana ianya hendaklah mengikat keputusan yang akan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sivil. Hakim di Mahkamah Sivil pula akan menentukan perkara-perkara lain dan memutuskan kes yang dibicarakan.

Cadangan di atas juga telah ditimbulkan oleh Bekas Ketua Hakim Negara, YAA Tun Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim sebelum ini semasa beliau menyampaikan ucaptamanya di Majlis Perasmian Syarahan Umum Syariah dan Undang-Undang Tuanku Najihah Yang Pertama oleh Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIM pada 11 Ogos 2005 yang lalu dalam kertas bertajuk “The Relationships Between Syariah & Civil Law in the Malaysian Legal System: Developments & Future Posibilities”.

Pandangan yang sama turut dikemukakan oleh YAA Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad, Hakim Mahkamah Rayuan (ketika itu) dalam artikelnya bertajuk “Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions” (lihat [2002] 1 MLJA 130; [2002] 1 MLJ cxxx). Terdapat satu lagi pandangan daripada YAA Dato’ Abdul Hamid dalam persoalan konflik bidang kuasa ini, iaitu melalui pendekatan menyatukan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil pada semua peringkat. Cadangan YAA ini dapat dilihat sebagaimana berikut (YAA Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad, ibid.).:

“….. People qualified in civil law as well as people qualified in Islamic law are appointed judges of the same court at all levels. Islamic law cases, civil or criminal, are heard by judges qualified in Islamic law. Non-Islamic law cases are heard by judges qualified in civil law. If, in a case there are issues involving both laws, two judges should sit, one from each discipline. The judge with Islamic law qualification decides issues of Islamic law. The judge with civil law qualification decides the other issues. The final judgment, the judgment of the court, is given by both of them, jointly”.

Menurut beliau cadangan di atas akan dapat menyelesaikan masalah-masalah lain yang berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah berkaitan kakitangan, pentadbiran dan penguatkuasaan. Cadangan kedua daripada YAA di atas nampaknya juga boleh dimasukkan di bawah pertimbangan jangka panjang. Nampaknya pengwujudan “Syariah Bench” tadi lebih sesuai dibuat dalam konteks masakini dan ianya tidaklah serumit cadangan-cadangan yang lain. Pembentang berpandangan bahawa pendekatan sebegini juga dapat mengurangkan tangguhan kes yang dibicarakan.

5.0 Kesimpulan


Permasalahan yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah dalam menjalankan pentadbiran berkenaan dengan kes harta pusaka orang-orang Islam amat memerlukan kepada penelitian dari segi penggubalan statut agar memberi ruang kepada Mahkamah Syariah menjalankan bidangkuasanya membahagikan harta pusaka dan mentadbirnya. Justeru itu juga, kerjasama yang baik daripada Mahkamah Sivil juga amat diperlukan ke arah memahami prinsip Hukum Syarak agar keadilan lebih mudah tercapai dan tidak lama penangguhan kes pusaka berlaku.

Apa pun, yang penting di dalam bahagian ini adalah untuk mempastikan penghakiman yang diberikan adalah adil kepada pihak-pihak yang bertikai dan selaras dengan undang-undang terbabit, khususnya undang-undang Islam itu sendiri. Bukanlah tujuan perbincangan ini untuk menimbulkan suasana perebutan bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Selama ini pun, Mahkamah Sivil ada juga dikatakan berkongsi bidang kuasa dengan Mahkamah Syariah dalam perkara yang dibincangkan ini, bukannya semata-mata merebut bidangkuasa.Wallahu a’lam.

RUJUKAN

Perlembagaan Persekutuan

Ahmad Mohamed Ibrahim. 1983. Ke arah Islamisasi Undang-Undang di Malaysia: Masalah dan Kemungkinan. Kertas Kerja Seminar Perundangan Islam Kebangsaan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, bangi.

Jurnal Hukum. 1998. Jilid 12. Bhg. 2. Bahagian Hal Ehwal Islam: Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Mahmud Saedon A. Othman. 1995. Bidangkuasa Mahkamah Syariah. Jurnal Hukum, Jilid Ketujuh, bil. 1: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, Syaaban 1410H/1990

Mahmood Zuhdi Abdul Majid. 1995. Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, Jurnal Syariah. Jilid 3. Bil. 1. Fakulti Syariah. Akademi Pengajian Islam: Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Md Yazid Ahmad & Ibnor Azli Ibrahim. 2006. Kekangan Statut Ke Atas Bidangkuasa Mahkamah Syariah Dalam Pentadbiran Harta Orang-Orang Islam di Malaysia. Kertas Kerja Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam. Anjuran KIPSAS dan Jabatan Syariah. Fakulti Pengajian Islam: UKM, bangi.

Md Yazid Ahmad & Amir Fazlim Yusoff. 2006. Konflik Bidangkuasa Mahkamah Sivil Dan Mahkamah Syariah Berhubungan Harta Orang Islam di Malaysia: Analisa Ringkas Kes-Kes Yang Berkaitan. Kertas Kerja Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf. Anjuran MAIDAM dan UKM. Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam: Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Mohamed Azam Mohamed Adil. 2000. Bidangkuasa dan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia Pasca Alaf 20: Ke Arah Mana?. Jurnal Syariah. Jilid 8. Bil.2. Akademi Pengajian Islam: Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd. Al-Adib Samuri. 2006. Bidangkuasa Membicarakan Bagi Kes Berkaitan Wakaf dan Harta Pusaka di Mahkamah Sivil: Analisis Kes Selepas Pindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Kertas Kerja Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam. Anjuran KIPSAS dan Jabatan Syariah. Fakulti Pengajian Islam: UKM, bangi.

Mohd Ridzuan Awang. 2006. Pengurusan Pusaka dan Wasiat Orang Islam di Malaysia. Kertas Kerja Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf. Anjuran MAIDAM dan UKM. Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam: Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Salleh Buang. 1998. Peguam menulis: Mahkamah Syariah tiada kuasa? Utusan Malaysia, Selasa, 21 Julai.

Siti Mashitoh Mahamood. 2006. Bidangkuasa Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia: Perspektif Perundangan Syariah dan Sivil. Kertas Kerja Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam. Anjuran KIPSAS dan Jabatan Syariah. Fakulti Pengajian Islam: UKM, bangi.

Siti Mashitoh Mahamood. 2000. Perundangan Wakaf dan Isu-Isu Berbangkit. Akademi Pengajian Islam : Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Wan Abdul Fattah Wan Ismail. 2005. Ke Arah Memperkasakan Institusi Kehakiman Islam di Malaysia. Diskusi Syariah dan Undang-Undang. Siri Kedua. Fakulti Syariah dan Undang-Undang: Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Tiada ulasan: