DONATE

Rabu, 25 Februari 2009

PERUNDANGAN WAKAF DAN ISU-ISU BERBANGKIT



Oleh:
DR. SITI MASHITOH MAHAMOOD

Abstrak

Kertas ini akan membincangkan mengenai perkara-perkara berkaitan perundangan
wakaf di Malaysia serta isu-isu yang berbangkit daripadanya. Pelaksanaan wakaf
membabitkan persoalan Hukum Syarak, pemakaian Kanun Tanah Negara 1965
(Akta 56) serta isu bidang kuasa mahkamah menjadi fokus kertas ini. Sebanyak
6 isu perundangan yang telah dibangkitkan meliputi pernyataan kekal dan
bertempoh dalam definisi wakaf, pertukaran pegangan tanah wakaf secara
pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas/kekal (freehold), perletahakan tanah
wakaf, kemasukan syarat nyata dan sekatan kepentingan tanah wakaf, aplikasi
istibdal dan kuasa mufti/jawatankuasa fatwa negeri serta isu bidang kuasa
mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam prosiding membabitkan kes-kes
wakaf serta pihak bukan beragama Islam. Cadangan turut dikemukakan bagi
setiap isu yang disentuh. Kupasan yang dibuat adalah merujuk kepada Hukum
Syarak, peruntukan statutori dan kes-kes yang diputuskan mengenai wakaf serta
autoriti-autoriti lain yang berkaitan.

1. PENDAHULUAN

Wakaf merupakan salah satu daripada perkara-perkara membabitkan dana dan
harta orang Islam di Malaysia. Ianya dilihat sangat kompleks berbanding zakat
ataupun harta-harta yang lain memandangkan terdapat banyak isu dan masalah
dalam urusan pengendaliannya. Dari sudut kes-kes yang dihadapkan ke
mahkamah pun, didapati kes-kes wakaf yang dihadapkan banyak membabitkan
isu-isu kontroversi khususnya membabitkan masalah bidang kuasa mahkamah,
persoalan Hukum Syarak, bantahan waris dan sebagainya. Sebenarnya, banyak
isu yang berbangkit dan boleh dibangkitkan mengenai wakaf ini. Namun, atas
desakan masa dan halangan lain maka hanya beberapa isu sahaja yang dapat
diketengahkan di dalam kertas ini. Pada hakikatnya, satu penyelidikan wakaf
bagi mencadangkan beberapa reformasi perundangan dan model pembangunan
wakaf kontemporari telah disiapkan pada bulan Jun 2006 yang lalu di bawah
tajaan YADIM bertajuk “Pengurusan Aset Wakaf Yang Profesional Dan Berdaya
Maju: Pendekatan Undang-Undang dan Pembangunan Ekonomi Kontemporari”
(No. 015/35/2). Terdapat 30 reformasi perundangan yang telah dihasilkan
menerusinya dan juga beberapa model pembangunan wakaf kontemporari. Satu
seminar khusus dijangka akan dibuat selepas ini oleh pihak YADIM bagi
pembentangan hasil penyelidikan ini kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri
(MAIN) dan pihak lain yang berkaitan. Penyelidikan ini diketuai oleh pembentang
sendiri dan dianggotai oleh Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Haji Hassan (UM), Dr.
Patmawati Hj. Ibrahim (UM) dan juga Tuan Haji Pawancheek bin Marican
(Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya).


2. BAHAGIAN A: UNDANG-UNDANG WAKAF DI MALAYSIA


Bahagian ini akan menjelaskan beberapa perkara preliminari dalam wakaf
mengikut perspektif undang-undang yang terpakai di Malaysia. Ia bertujuan supaya
peruntukan asas statutori mengenainya dapat diketengahkan kepada semua.

2.1.Wakaf Dalam Perlembagaan Persekutuan

Perkara wakaf merupakan salah satu aspek harta keagamaan yang disenaraikan
di bawah Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan
Persekutuan yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri-negeri di Malaysia.
Ia memperuntukkan:

“… Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang
yang menganut agama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung
dengan wakaf Islam dan takrif ….keanggotaan, penyusunan, dan acara
bagi Mahkamah-mahkamah Syariah yang akan mempunyai bidang kuasa
hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya
mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini…..”


Artikel 74(1)(2) Perlembagaan Persekutuan pula telah memperuntukkan bahawa
Parlimen (dalam konteks perbincangan ini merujuk kepada akta bagi Wilayah-
Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dan Badan Perundangan
Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan dengan
perkara-perkara yang telah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan tadi
termasuklah berkaitan harta wakaf orang-orang Islam.

Atas dasar di ataslah statut-statut bagi mentadbir harta ini telah diperkenalkan
di seluruh negeri-negeri di Malaysia di bawah enakmen-enakmen atau akta
pentadbiran undang-undang Islam negeri masing-masing. Daripada peruntukan
di atas jugalah, Mahkamah-mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidang
kuasa ke atas perkara wakaf ini yang membabitkan orang-orang yang menganut
agama Islam.

2.2. Peruntukan-peruntukan Wakaf Dalam Statut Negeri Di Malaysia

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, undang-undang berkaitan wakaf
telah diperuntukkan di bawah Akta/Enakmen-enakmen Pentadbiran Agama Islam
negeri-negeri di Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat negeri yang telah
memperkenalkan statut wakaf yang khusus dan telah diasingkan daripada
peruntukan ibu dalam enakmen Pentadbiran Agamanya, iaitu Negeri Selangor.

Terdapat juga negeri-negeri yang menguatkuasakan beberapa kaedah dan
peraturan wakaf bagi mengemas dan menyempurnakan lagi klausa-klausa yang
terkandung dalam enakmen ibu ini. Misalnya, di Johor, satu kaedah yang
dinamakan sebagai Kaedah-Kaedah Wakaf 1983 (J.P.U. 51.) telah diperkenalkan
yang antara lain memperuntukkan tentang pelantikan pegawai-pegawai wakaf
(lihat seksyen 3(1), Kaedah-Kaedah Wakaf 1983) dan beberapa perkara lain
termasuklah berkaitan kuasa Jawatankuasa Wakaf dalam perkara istibdal dan
pelaburan harta yang diwakafkan (Siti Mashitoh Mahamood (ed.), 2006, h.3).

Peruntukan-peruntukan wakaf di dalam enakmen-enakmen negeri tidak bersifat
menyeluruh. Ia lebih menekankan aspek-aspek pentadbiran dan prosedur ringkas
perwakafan. Aspek-aspek substantifnya tidak ditekankan. Terdapat juga
kesamaran dalam pemakaian beberapa tafsiran tertentu seperti definisi wakaf
itu sendiri. Peruntukan-peruntukan wakaf menyentuh, antara lain tentang kuasa
MAIN di Malaysia sebagai pemegang amanah tunggal (sole trustees) harta wakaf,
perletakhakan harta wakaf, sekatan dalam takat perwakafan, penggunaan wakaf
am dan wakaf khas, kuasa MAIN untuk membuat rujukan kepada Mufti apabila
suratcara wakaf yang dibuat tidak jelas dan beberapa peruntukan lain berkaitan
dengan akaun dan audit harta wakaf.

Negeri Selangor merupakan negeri per tama di Malaysia yang telah
memperkenalkan Enakmen baru yang khusus memperuntukkan tentang wakaf
dalam era masakini. Sebelum ini, sudah ada negeri yang telah memperkenalkan
Enakmen Wakafnya sendiri, iaitu Johor yang dinamakan sebagai Enakmen Wakaf,
1973 (Bil. 11 tahun 1973). Walaubagaimanapun, ianya telah dimansuhkan di
mana segala peruntukan wakaf telah dimasukkan ke dalam Enakmen Pentadbiran
Igama Islam, 1978 dan kininya di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Johor) 2003 (No.16 tahun 2003) .

Enakmen baru Negeri Selangor bagi wakaf di atas dikenali sebagai Enakmen
Wakaf (Negeri Selangor) 1999 (No. 7 tahun 1999) (EWS 1999). Enakmen Wakaf
(Negeri Selangor) 1999 di atas telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
Selangor pada 23 Disember 1999 dan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2004
(Sel. P.U. 8 AGM 0026, Warta Kerajaan Negeri Selangor, Jil.57, No. 14 bertarikh
25 Jun 2004). Peruntukan-peruntukan substantif mengenai wakaf telah
dikanunkan di samping peruntukan-peruntukan lain yang berbentuk pentadbiran
(administrative). Enakmen Wakaf ini mempunyai sebanyak 50 seksyen yang dibuat
di bawah 9 Bahagian bersama 2 Jadual. Jadual Pertama memperuntukkan tentang
bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan dan ungkapan tertentu yang digunakan
dalam enakmen tersebut, manakala Jadual Kedua mengandungi perkara berkaitan
penyelenggaraan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf.

Bahagian-bahagiannya diletakkan di bawah fasal Permulaan (Bahagian 1); Pewujudan Wakaf (Bahagian II); Mawquf-Alaih (Bahagian III); Wakaf Tak Sah (Bahagian IV); Mawquf
(Bahagian V); Mengistibdal dan Membangunkan Mawquf (Bahagian VI);
Jawatankuasa Pengurusan Wakaf (Bahagian VII); Kuasa-Kuasa Majlis (Bahagian
VIII) dan Peruntukan AM (Bahagian IX). Peruntukan mengenai Jawatankuasa
Pengurusan Wakaf dapat dilihat pada Bahagian VII (ss.21-31) (Siti Mashitoh
Mahamood, 2006, h.58).

2.3. Definisi Wakaf

Kesemua statut berkaitan wakaf mengiktiraf dua jenis perwakafan, iaitu wakaf
am dan wakaf khas. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993 (Akta 505) misalnya mentafsirkan wakaf am sebagai “wakaf
yang berkekalan atas modal dan pendapatan daripada harta bagi maksud-maksud
agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan
sedemikian”. Wakaf khas pula diperuntukkan sebagai “wakaf yang berkekalan
atau bagi suatu tempoh terhad ke atas modal harta bagi maksud-maksud agama
atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan
sedemikian, yang berpendapatan (pendapatan) daripadanya diberikan kepada
orang-orang atau bagi maksud-maksud yang ditetapkan dalam wakaf itu”.
Ternyata pernyataan “berkekalan” (bagi wakaf am) dan “tempoh terhad” (bagi
wakaf khas) telah dinyatakan di dalam tafsiran Akta 505 bagi Wilayah Persekutuan
di atas. Sementara itu, Negeri Kelantan telah menggunapakai pernyataan “kekal”
bagi kedua-dua kategori harta wakaf ini seperti yang diperuntukkan di bawah
seksyen 2(1) (Tafsiran), Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan 1994 (No. 4 tahun 1994) sebagaimana berikut:

“Wakaf am ertinya wakaf harta modal dan pendapatan yang kekal
daripada mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui
sah oleh Hukum Syarak dan termasuk harta–harta yang diwakafkan itu
sendiri”. “wakaf khas ertinya wakaf harta modal yang kekal daripada
mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui oleh
Hukum Syarak, termasuk harta–harta yang diwakafkan itu sendiri dan
pendapatan daripada harta-harta itu diberi kepada orang-orang atau
untuk tujuan yang ditetapkan dalam wakaf itu”.


Sementara itu, di bawah EWS 1999 (seksyen 2(1) pula, pernyataan “berkekalan”
ataupun “kekal” sebagaimana yang dinyatakan di atas tidak diadakan langsung.
Seperkara lagi, tafsiran umum wakaf telah diperuntukkan di samping wakaf am
dan wakaf khas. Wakaf ditafsirkan sebagai “menyerahkan apa-apa harta yang
boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan kebajikan sama
ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi tidak
termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah
1949”. Wakaf am pula diperuntukkan sebagai “sesuatu wakaf yang diwujudkan
bagi tujuan kebajikan umum menurut Hukum Syarak”. Manakala bagi wakaf khas
pula, ditafsirkan sebagai “sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan
yang khusus menurut Hukum Syarak”.

Peruntukan yang sama bagi tafsiran wakaf sebagaimana yang terdapat di bawah
EWS ini telah dibuat di bawah statut berkaitan wakaf yang baru di negeri-negeri
di Malaysia dengan sedikit perbezaan dari sudut pernyataan ayat yang digunakan.
Ini termasuklah ketiadaan pernyataan berkekalan” ataupun “kekal” yang
dinyatakan tadi (lihat misalnya seksyen 2(1) (Tafsiran), Enakmen Pentadbiran
Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M (Bil.2 tahun 2001) dan
seksyen 2(1) (Tafsiran), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (No. 4
tahun 2004).

2.4. Main Sebagai Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf

Seksyen 32, Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999, misalnya memperuntukkan:
“Walau apa pun apa-apa jua peruntukan yang terkandung dalam mana-mana
suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh
sesuatu wakaf, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua
wakaf, sama ada am atau khas, yang terletak di dalam Negeri Selangor”.

Di Malaysia, semua akta/enakmen negeri telah memperuntukkan MAIN sebagai
pemegang amanah tunggal (sole trustee) bagi semua harta wakaf, sama ada
wakaf am ataupun wakaf khas. Selain daripada itu, MAIN juga menjadi pemegang
amanah tunggal bagi semua nazar am dan semua amanah khairat yang diwujudkan
di negeri berkenaan yang bertujuan untuk kemajuan Islam dan umatnya (lihat
misalnya Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Seksyen 83, Enakmen Pentadbiran Agama
Islam (Negeri Sembilan) 2003 (No. 10 tahun 2003)).

Tujuan perlantikan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf ini adalah
untuk mempastikan wakaf diurustadbir dengan baik, efisien sehingga dapat
menjana hasil yang lumayan dan dapat dimanfaatkan oleh benefisiarinya ataupun
tujuan-tujuan kebajikan, sama ada yang telah ditentukan atau tidak ditentukan
oleh pewakafnya. Apa yang penting sekali adalah pelantikan MAIN ini adalah
untuk mengelakkan daripada pelbagai masalah yang pernah timbul melalui
perlantikan pemegang amanah persendirian yang dibuat oleh pewakaf sebelum
ini. Sikap pemegang amanah persendirian yang tidak amanah serta campurtangan
ahli waris telah menyebabkan kehilangan harta dan status wakaf yang seterusnya
menyimpang daripada tujuan asalnya dan bertentangan pula dengan prinsip
undang-undangnya.

Dalam Islam, seseorang atau sesuatu pihak yang dilantik sebagai pemegang
amanah bagi mengendalikan wakaf iaitu yang disebut sebagai “al-mutawalli”
hendaklah merealisasikan segala syarat dan ketetapan yang telah dibuat oleh
seseorang pewakaf (Ibn `Abidin, 1966, h. 379; Al-Zarqa’, 1997, hh. 155 dan
183.). Seorang al-mutawalli juga hendaklah berhati-hati dalam mentadbir dan
menguruskan harta amanah ini kerana ia berdepan dengan kepentingan dan
hak masyarakat di dalamnya (Al-Khatib, 1958, h. 394). Tugas-tugas utamanya
adalah memelihara dan mempastikan harta wakaf berada dalam keadaan baik
dan sempurna, cuba mendapatkan keuntungan untuk harta ini, mengutip hasil
wakaf dan seterusnya mengagihkannya kepada benefisiarinya yang berhak serta
memeliharanya daripada sebarang kehilangan dan kerosakan (Al-Nawawi, t.t., h.
411 dan Al-Ramli, 1967, h. 399).

2.5. Prinsip Undang-undang Wakaf

Terdapat 3 prinsip undang-undang wakaf yang perlu direalisasikan dalam suatu
perlaksanaan wakaf, iaitu:

a. Harta wakaf tidak boleh dijual;
b. Harta wakaf tidak boleh diberikan (dihibahkan) kepada orang lain;
c. Harta wakaf tidak boleh diwarisi.

Seksyen 4(2), EWS 1999 telah memperuntukkan tentang prinsip undang-undang
di atas bahawa:
“Sesuatu wakaf yang telah berkuatkuasa, tidak boleh dijual atau dihibah
oleh waqif atau diwarisi oleh mana-mana orang.”

Prinsip undang-undang wakaf ini sebenarnya diambil daripada sebuah hadis
riwayat Ibn ’Umar yang menjelaskan bagaimana Saidina ’Umar Ibn al-Khattab
telah pergi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan pendapat
baginda tentang sebidang tanah yang telah diperolehinya ketika pembahagian
harta di Khaybar.
Saidina ’Umar Al-Khattab, yang merupakan khalifah Islam yang kedua itu berhasrat
untuk menyedekahkan harta berkenaan yang dikenali sebagai “Thamgh” ke jalan
Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. telah memberikan pendapatnya dengan bersabda:
“Kalau engkau setuju, tahanlah harta berkenaan dan sedekahkanlah manfaat
(hasilnya) kepada tujuan-tujuan kebajikan”. Maka ’Umar pun bersetuju lalu
menyedekahkan hasilnya kepada fakir miskin, sanak-saudaranya, untuk
membebaskan hamba, kepada mereka yang bermusafir, para tetamu dan ke
jalan Allah dengan syarat harta berkenaan tidak boleh dijual, diberikan kepada
orang lain dan diwarisi”. (Al-Bukhari, t.t., h. 131; Al-Nasa’i, t.t., h. 232; Muslim,
t.t., h. 86).

Peruntukan penting di atas, iaitu “…dengan syarat harta berkenaan tidak boleh
dijual, diberikan kepada orang lain dan diwarisi” menunjukkan prinsip undangundang
wakaf yang dimaksudkan di sini. Prinsip ini menegaskan bahawa sesuatu
harta yang diwakafkan (dipanggil mawquf) tidak boleh dilibatkan dalam manamana
transaksi atau pindahmilik seperti dijual, dicagar dan sebagainya. Ini kerana,
Syarak mengiktiraf segala ketetapan dan syarat yang dibuat oleh seseorang
pewakaf, asalkan ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak itu sendiri.
Dalam satu maksim undang-undang wakaf, terdapat peruntukan yang berbunyi
“syarat (yang ditetapkan oleh) seorang pewakaf itu seperti apa yang dinaskan
oleh syarak” (syart al-waqif ka nass al-syari`) dan ini amat relevan dengan
pengiktirafan syarak berkenaan.

Di Indonesia, peruntukan berkaitan prinsip-prinsip tak boleh transaksi wakaf ini
dapat dilihat dalam Pasal 40, Bab IV, Undang-undang Republik Indonesia, Nomor
41 Tahun 2004 bahawa: Harta benda wakaf yang sudah diwakafkan dilarang:

a. dijadikan jaminan;
b. disita;
c. dihibahkan;
d. dijual;
e. diwariskan;
f. ditukar; atau
g. dialihkan dalam bentuk pengalihan hak lainnya.

Apa yang menarik sekali adalah peruntukan mengenai kesalahan dan penalti
bagi maksud pelanggaran peruntukan Pasal 40 di atas telah dimasukkan dalam
Pasal 67(1) di mana kesalahan sengaja menjaminkan, menghibahkan, menjual,
mewariskan, mengalihkan dalam bentuk pengalihan hak lainnya harta yang telah
diwakafkan akan dipidana dengan pidana penjara tidak melebihi 5 tahun dan/
atau pidana denda tidak melebihi Rp 500.000.000,00 (lima ratus juta rupiah).

Persoalan yang timbul ialah sejauhmanakah prinsip dasar undang-undang wakaf
Islam ini perlu direalisasikan. Jawapan kepada persoalan ini boleh dilihat pada
Bahagian B, isu berkaitan aplikasi istibdal (untuk maklumat lanjut berkaitan prinsip
undang-undang wakaf dan analisis pemakaian semasa sila lihat Siti Mashitoh
Mahamood, 2001, h. 1-12).

3. BAHAGIAN B: ISU-ISU BERBANGKIT DALAM PERUNDANGAN WAKAF

Bahagian ini akan menerangkan 6 isu berbangkit dalam perundangan wakaf di
Malaysia. Pada hakikatnya terdapat banyak lagi isu lain yang boleh dibangkitkan
seperti tafsiran wakaf am dan wakaf khas, peranan dan keberkesanan MAIN
sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf, upah dan saraan mutawalli
serta lainnya. Namun, sebagaimana yang dijelaskan di awal tadi, hanya beberapa
isu sahaja yang dapat dibangkitkan di sini dalam kerangka perundangan wakaf
di Malaysia. 6 isu-isu tersebut adalah sebagaimana berikut:

3.1. Definisi Wakaf: Pernyataan Kekal Dan Bertempoh


Sebagaimana yang dipaparkan di awal tadi, definisi wakaf yang dibuat di negerinegeri
di Malaysia tidak begitu seragam khususnya membabitkan pernyataan
“berkekalan” ataupun “kekal” dalam tafsiran wakaf, wakaf am dan wakaf khas
masing-masing.

Meneliti kepada realiti dan perkembangan yang berlaku di negara ini, penulis
berpandangan bahawa tafsiran bagi definisi wakaf hendaklah dibuat secara umum
tanpa membabitkan pernyataan “kekal” atau “bertempoh”. Ini kerana ianya dapat
memberi galakan kepada masyarakat untuk berwakaf meskipun mereka
mempunyai harta yang tidak berbentuk kekal. Misalnya, pegangan harta tanah
dalam konteks semasa bukan semuanya di bawah pegangan bebas (freehold)
tetapi ada juga daripada pegangan pajakan (leasehold). Pihak Kerajaan pula kini
lebih berkecenderungan mengurniakan pemberian tanah kepada mana-mana
badan ataupun individu menerusi pengurniaan hakmilik selama tidak melebihi
99 tahun, iaitu pegangan secara pajakan sebagaimana yang disebutkan tadi
yang juga dikenali sebagai “pajakan Negeri” (state lease). Pemberian milik secara
kekal atau untuk selama-lamanya tidak lagi diamalkan sejak Kanun Tanah Negara
(Pindaan) 1984 (Akta A587) digubal dan mula berkuatkuasa semenjak 25 Mac
1985. Sebelum tarikh berkenaan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bebas untuk
memberi milik tanah secara kekal kepada setiap individu atau perbadanan (Salleh
Buang, 1993, h. 40).

Dalam konteks di atas, Seksyen 76(a) KTN telah memperuntukkan tentang kuasa
PBN untuk memindahmilik tanah Negeri bagi suatu jangkamasa yang tidak
melebihi 99 tahun (pegangan pajakan/leasehold). Pemberian untuk selamalamanya
pula diperuntukkan di bawah seksyen 76(aa) di mana ia hanya diberi
jika Kerajaan Persekutuan mewajibkan Pihak Berkuasa Negeri menyebabkan suatu
pemberian untuk selama-lamanya kepada Kerajaan Persekutuan atau kepada
Pihak Berkuasa Awam atau apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
bersetuju untuk membuat geran kekal kepada Kerajaan Persekutuan.

Pemberian dalam bentuk yang kedua ini boleh juga dikurniakan jika Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa tanah berkenaan akan digunakan untuk tujuan awam atau
lain-lain tujuan khas yang memerlukan pemberian dalam tempoh sedemikian.
Laporan Jawatankuasa Penyemakan Kanun Tanah Negara 1983 telah menyatakan
beberapa justifikasi bagi fenomena pengurniaan tanah secara pegangan pajakan
di atas. Di antara justifikasi pemberian milikan secara bertempoh ini adalah
memandangkan tanah dianggap sebagai satu keperluan terpenting untuk
pembangunan negara. Olehkerana tanah Kerajaan sekarang ini amat berkurangan
dan sukar untuk mendapatkan semula untuk tujuan pembangunan, maka
pemberian bertempoh adalah langkah terbaik. Memberi milik tanah Kerajaan
untuk selama-lamanya tidak akan membawa keuntungan kepada negara. Bagi
keperluan pembangunannya Kerajaan terpaksa mengambil balik tanah itu secara
paksa dengan perbelanjaan yang tinggi. Jika Kerajaan Negeri terus memberi milik
tanah untuk selama-lamanya, suatu masa nanti tidak akan ada lagi tanah yang
tinggal bagi keperluannya (Ridzuan Awang, 1994, hh. 422-423).

Mengikut seksyen 47(1), KTN 1965, mana-mana pegangan tanah secara pajakan
yang telah tamat tempoh hendaklah dikembalikan dan terletakhak kepada PBN.
Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa pegangan bagi mana-mana
tanah dalam kategori ini boleh diperbaharui. Cuma, bayaran premium yang baru
hendaklah dibayar kepada PBN. Walaubagaimanapun, pembaharuan (renewal)
ini tidak terjamin memandangkan tiada peruntukan dalam KTN 1965 yang
memperuntukkan mengenainya (untuk melihat perbincangan ditil mengenai isu
pegangan pajakan tanah wakaf ini, lihat Siti Mashitoh Mahamood, 2004).
Pada hakikatnya, bukan tanah yang sudah habis tempoh pajakan itu sahaja yang
perlu dikembalikan kepada PBN, malah kesemua bangunan yang dibina di atas
tanah berkenaan juga mesti dikembalikan, melainkan apa-apa pembinaan
sementara dan yang boleh dipindahkan (seksyen 47(1) KTN).

Kesemua implikasi yang terhasil daripada tamatnya tempoh pegangan tanah
dalam bentuk “leasehold” di atas akan turut mengenai tanah-tanah yang
diwakafkan. Ini meninggalkan suatu impak yang didapati bertentangan sama
sekali dengan undang-undang wakaf itu sendiri kerana wakaf memakai konsep
kekal (permanency/perpetuity) di mana statusnya tidak boleh ditamatkan sama
sekali.

Dalam konteks di atas, dapat dikenalpasti bahawa majoriti fuqaha termasuk
Imam Al-Shafi’i serta fuqaha dari mazhab al-Zahiriyyah dan sebahagian daripada
Shiah Imamiyyah (Abu Zuhrah, 1959, hh.75-77) berpandangan bahawa elemen
kekal adalah merupakan syarat kepada keesahan sesuatu perwakafan. Justeru,
perwakafan yang dibuat dengan suatu tempoh masa tertentu dianggap tidak
sah di sisi undang-undang wakaf. Ini kerana wakaf dari sudut konsepnya adalah
mengeluarkan harta atas dasar qurbah, maka tidak dibolehkan menghadkannya
kepada suatu tempoh masa (Abu Zuhrah, ibid., h.74). Justeru, sekiranya sesuatu
wakaf itu dibuat untuk suatu tempoh tertentu, maka ianya dianggap batal kerana
sighahnya dianggap rosak (fasad) dan tidak sempurna. Ini juga didasarkan kepada
maksud pensyariatan sesuatu wakaf itu sendiri yang menetapkan ianya
didedikasikan secara kekal (Al-Zuhayli, 1987, 205).

Bagi Al-Shafi’i syarat kekal dalam sesuatu perwakafan adalah mutlak untuk
mengesahkannya. Ini melibatkan perkara berkaitan tempoh masa dan benefisiari
yang dinamakan (Al-Khatib, 1958, h.383). Wakaf secara bertempoh adalah batal
dan tidak sah. Selain daripada itu, seseorang pewakaf perlu menyebut dalam
suratcara wakafnya tujuan yang kekal dan tidak terputus.

Pandangan Al-Shafi’i berkaitan isu kekal di atas telah disokong oleh para pengikut
mazhab ini seperti Al-Khatib, Al-Ramli, dan lain-lain lagi (Al-Ramli, 1967, h. 373;
Al-Khatib, ibid.). Justeru apabila sesuatu wakaf dibuat kepada orang-orang miskin
ataupun kepada masjid untuk satu-satu tempoh masa tertentu seperti setahun
dan lainnya, maka ianya adalah batal dan tidak sah (Al-Ramli, ibid).
Al-Sharbini telah memberikan pandangan yang lebih kritis lagi di mana beliau
berpandangan elemen kekal itu adalah suatu syarat yang diperlukan, tanpa
mengira sama ada wakaf itu dari kategori yang melibatkan ciri qurbah (seperti
kepada orang-orang miskin) ataupun sebaliknya (seperti kepada orang-orang kaya)
(Al-Khatib, opcit., hh. 208-209).

Sebagaimana fuqaha yang lain, Imam Muhammad bin al-Hassan al-Shaybani
berpandangan elemen kekal merupakan syarat untuk mewujudkan suatu wakaf
yang sah di sisi undang-undang Islam. Ini kerana sesuatu transaksi dalam sedekah
kadangkala berlaku secara kekal (iaitu merujuk kepada wakaf) dan kadangkala
secara sementara. Justeru, sesuatu perwakafan perlu memasukkan tujuan
ataupun benefisiari yang tidak mungkin terputus (Ibn ’Abidin, opcit.. 348; Al-
Marghinani, t.t.. h. 15, Abu Zuhrah, opcit., h.75.).

Daripada pernyataan pandangan fuqaha di atas, ternyata perwakafan secara
bertempoh di atas adalah bertentangan dengan prinsip dasar undang-undang
wakaf Islam mengenai keperluan syarat kekal di dalamnya.
Walaubagaimanapun, dalam realiti yang ada di Negara ini dengan menimbangkan
permasalahan yang dinyatakan di awal tadi, maka jika kita hendak menetapkan
bahawa perwakafan mestilah daripada tanah pegangan bebas sahaja, maka
sudah pastilah ianya seakan menghalang masyarakat yang ingin berwakaf
sedangkan mereka hanya memiliki tanah di bawah pegangan pajakan sahaja.

Dalam menghadapi situasi ini, pembentang berpendapat bahawa pandangan
Imam Malik bahawa wakaf boleh dibuat secara sementara seharusnya diterima
demi memberi peluang berwakaf kepada mereka yang mempunyai pegangan
tanah daripada kategori yang disebutkan tadi. Pandangan ini turut dipersetujui
oleh mazhab Maliki serta Imam Abu Hanifah yang membolehkan sesuatu wakaf
dihadkan tempoh masanya (Fatawa Hindiyyah, t.t., h. 357). Malah, mereka
menganggap dalam keadaan yang diperlukan, harta wakaf juga boleh dijual (Ibn
Ishaq, t.t., h. 286; Al-Mawartani, 1974, h. 166).

Pada hakikatnya tafsiran “kekal dimanfaatkan” dalam kategori harta yang
diwakafkan boleh direalisasikan menerusi tempoh kekal secara relatif (al-dawam
al-nisbi) dan tidak semestinya kekal secara selamanya (al-abadi) di mana aplikasi
tafsiran yang pertama tadi boleh dianggap kekal sewajarnya serta dapat
diaplikasikan ke dalam satu-satu dedikasi wakaf (Mustafa Al-Khin et al., 2005,
h.220).

Perlu dinyatakan di sini bahawa setakat ini terdapat perwakafan tanah yang
dibuat daripada kategori pegangan pajakan ini. Misalnya di bawah Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), wakaf di bawah kategori ini adalah
sebagaimana berikut (Siti Mashitoh Mahamood, 2006, h.126):

a. Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy: Lot 2420, Jln. Masjid India
Tamat pajakan sehingga: 30 September, 2024.

b. Wakaf Haji Musa Ibrahim: Lorong Keramat Hujung, Kampung Datuk
Keramat.

Tamat pajakan sehingga:: 6 Mac 2075.

c. Wakaf UDA Holdings Sdn. Bhd.: Lot 81, Bangsar Utama.
Tamat pajakan sehingga:: 3 Disember 2085

d. Wakaf Haji Zainuddin Jantan: AU 2A/1 Off Jln. Jelatik, Setiawangsa.
Tamat pajakan sehingga:: 20 April 2078.

Di kesempatan ini pembentang juga ingin mencadangkan agar Seksyen 76(aa)
dipinda dengan memasukkan satu klausa baru, iaitu Seksyen 76(aa)(iv) yang
akan memberi kuasa kepada PBN mengurniakan geran kekal bagi tanah yang
dilupuskan sebagai wakaf. Klausa ini bolehlah berbunyi ”Jika Pihak Berkuasa
Negeri berpuashati bahawa tanah itu akan digunakan untuk tujuan wakaf”.

Pada hakikatnya, pembentang berpandangan bahawa permohonan boleh dibuat
oleh pihak MAIN bagi mendapatkan status pegangan kekal tanah wakaf dalam
konteks di atas dengan menggunapakai Seksyen 76(aa)(ii) dan (iii) bahawa :

ii. Jika Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa tanah itu akan
digunakan untuk tujuan awam;

iii. Jika Pihak Berkuasa Negeri berpuashati bahawa terdapat keadaankeadaan
khas yang sesuai untuk berbuat begitu.

Seksyen 76(aa)(ii) adalah sesuai jika tanah-tanah yang diwakafkan itu di bawah
kategori wakaf am. Bagi Seksyen 76(aa)(iii) pula, pembentang berpandangan
bahawa ianya boleh digunapakai untuk semua kategori tanah wakaf
memandangkan wakaf boleh dianggap sebagai suatu transaksi kehartaan yang
bersifat khusus. Ini merujuk kepada sifatnya sebagai sedekah jariyah dan
mempunyai sekatan tersendiri dalam konteks prinsip undang-undangnya yang
menghalang sebarang bentuk transaksi dilaksanakan ke atasnya.

3.2. Pertukaran Pegangan Tanah Wakaf Secara Leasehold Kepada Freehold

Walau apa pun pandangan dan cadangan penyelesaian yang dikemukakan di
dalam isu 3.1 tadi berkaitan pegangan pajakan ataupun leasehold tanah-tanah
yang diwakafkan, pembentang ingin mengesyorkan satu alternatif kepada pihak
MAIN yang dikira dapat menepati keperluan syarat kekal wakaf menurut perspektif
undang-undang Islam.

Pihak MAIN boleh berusaha supaya tanah-tanah wakaf yang mempunyai status
pegangan secara leasehold ditukarkan kepada freehold. Manual Pengurusan
Tanah Wakaf yang disediakan oleh pihak JWZH telah menyediakan prosedurprosedur
yang perlu diikuti. Urusan perlu dibuat dengan pihak Pejabat Tanah
Daerah (PTD), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan seterusnya dimajukan
kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri. Suratan hakmilik baru hendaklah didapatkan
oleh pihak MAIN daripada PTD dengan status pegangan bebas/kekal ataupun
freehold.

Pembentang difahamkan terdapat MAIN yang telah mengorak langkah positif di
atas dan permohonan pertukaran tanah wakaf berstatus leasehold yang dibuat
telah dapat ditukar kepada freehold dengan jayanya. Justeru, adalah diharapkan
agar kesemua MAIN dapat mengambil perhatian mengenai perkembangan positif
ini yang dikira dapat diselaraskan dengan prinsip dan dasar kekal wakaf mengikut
undang-undang Islam.
3.3. Pendaftaran Hakmilik Tanah Wakaf: Pemakaian Kaedah Perletahakan
Berkanun, Ktn 1965
Setakat ini, terdapat 3 cara pendaftaran hakmilik wakaf yang digunapakai oleh
pihak MAIN menerusi Pejabat Tanah dan Galian, iaitu:

a. Kaedah Pindahmilik (Transfer)
b. Kaedah Serahan (Surrender)
c. Kaedah Perletahakan Berkanun (Statutory Vesting)

Kaedah Pindahmilik: Permohonan dibuat dengan pewakaf mengisi Borang 14A,
Kanun Tanah Negara (KTN). Borang ini biasanya disediakan oleh pihak MAIN
sendiri. Ia mengandungi antara lain data-data personal pemindah milik (pewakaf)
dan pihak penerima pindahan milik (MAIN) termasuk butiran hartanah. Pihak
MAIN boleh membantu pewakaf bagi mengisi borang ini. Pewakaf hanya perlu
menurunkan tandatangannya dalam borang ini sebagai pihak pemindah.
Pihak pemindah milik atau pewakaf perlu mengemukakan bersama segala
dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tujuan pindahmilik seperti salinan asal
suratan hakmilik harta berkenaan, salinan asal resit bayaran cukai tanah yang
terbaru, salinan asal bil cukai pintu yang terbaru dibayar sekiranya ada. Semua
dokumen ini perlu diserahkan kepada MAIN. Pihak MAIN sebagai penerima
pindahan tanah yang diwakafkan juga perlu menandatangani borang 14A ini di
bahagian akhir borang.

Proses pindahmilik ini akan berjalan selama beberapa bulan, tertakluk kepada
keadaan permohonan. Pada kebiasaannya, ia dapat disiapkan di antara tempoh
masa sebulan hingga tiga bulan.

Setelah permohonan di atas diluluskan, pihak Pendaftar Tanah akan mendaftarkan
nama MAIN sebagai penerima pindahan yang sah di sisi undang-undang.
Dengan ini juga, kesemua keuntungan dan pendapatan yang diperolehi daripada
aset yang diwakafkan ini akan terserahak kepada MAIN sebagai penerima
pindahan milikan tanah yang diwakafkan. Keadaan ini sama juga dengan
perbelanjaan dan bayaran-bayaran yang perlu dibayar dari semasa ke semasa
(seperti cukai tanah, cukai pintu dll.) yang perlu ditanggung oleh MAIN.
Kaedah Serahan: Pewakaf menyerahkan balik (surrender) tanah kepada PBN
dengan menggunakan Borang 12A KTN (seksyen 197 jika bagi maksud
keseluruhan tanah) atau Borang 12B (seksyen 200 jika bagi maksud sebahagian
tanah).

Permohonan hendaklah dibuat secara bertulis dengan menyatakan tujuan
penyerahannya. Apa-apa bayaran yang belum dijelaskan ke atas tanah berkenaan
seperti cukai tanah yang tertunggak dan sebagainya termasuk yuran bagi acara
penyerahan berkenaan hendaklah ditunaikan terlebih dahulu. Lakaran pelan
hartanah berkenaan perlu juga dilampirkan dalam permohonan ini.

Dalam menyempurnakan prosedur penyerahan tanah ini, pewakaf berkenaan
hendaklah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bertulis daripada setiap
orang atau badan yang mempunyai kepentingan-kepentingan berdaftar di atas
tanah tersebut seperti pemegang gadaian, pajakan, atau penyewa.
Selepas penyerahan diterima oleh PBN, MAIN dikehendaki memohon semula
hartanah berkenaan. Semua ini adalah untuk menyempurnakan perwakafan pihak
pewakaf berkenaan disamping merealisasikan tanggungjawabnya sebagai
pemegang amanah tunggal hartanah yang diwakafkan ini.

Sekiranya permohonan MAIN diterima (di mana tanah berkenaan telah sah menjadi
tanah Kerajaan), PBN mempunyai budibicaranya sendiri sama ada memberimilik
tanah tersebut kepada MAIN dengan mengeluarkan dokumen hakmilik ataupun
merizabkan tanah tersebut bagi satu-satu maksud awam dengan melantik seorang
pegawai awam sebagai pegawai pengawal.

Sekiranya tanah berkenaan dilupuskan melalui cara pemberimilikan, maka tempoh
pemberianmilikan ini harus dinyatakan oleh PBN di dalam terma pelupusan sama
ada untuk selama-lamanya atau untuk suatu jangkamasa bertempoh. Nilai cukai
yang dikenakan ataupun premium tanah, jika ada juga perlu dinyatakan bersama.
MAIN kemudiannya dikehendaki menjelaskan apa-apa bayaran yang perlu,
termasuk bayaran (yuran) pengukuran tanah dan bayaran bagi pendaftaran
dokumen-dokumen hakmilik tanah berkenaan.

Bagi bayaran premium tanah, MAIN boleh membuat permohonan kepada PBN
untuk mengurangkan kadar premium yang dikenakan. Menurut Seksyen 80(1)(ii)
KTN, pengurangan akan dipertimbangkan jika pindahmilik (pengurniaan semula)
yang dibuat bertujuan untuk keagamaan, pendidikan, kebajikan ataupun awam.

Dalam hubungan ini, sesuatu pembangunan ataupun penggunaan harta yang
diwakafkan tidak terkecuali daripada tujuan-tujuan yang digariskan ini sama ada
ia melibatkan perwakafan am ataupun khas. Cukai tanah juga boleh dikenakan
dengan kadar yang nominal.
Melalui kaedah perizapan tanah pula, PBN akan mewartakan tanah berkenaan
mengikut tujuan-tujuan awam yang telah ditentukan (Seksyen 62 KTN). Tiada
dokumen hakmilik dikeluarkan bagi tujuan ini. PBN akan melantik seorang pegawai
awam (misalnya Pengarah Jabatan Agama negeri berkenaan) sebagai pegawai
pengawal yang akan dipertanggungjawabkan ke atas perizapan yang dikurniakan
itu.

Kaedah Perletahakan Berkanun: MAIN membuat permohonan untuk tujuan
perletahakan berkanun bagi tanah berkenaan sebagaimana yang diperuntukkan
di bawah seksyen 416C KTN.
Seksyen 416C memperuntukkan bahawa:

“416C. (1) Dalam hal di mana seluruh atau sebahagian daripada tanah
berimilik yang dipegang oleh pemindah, diduduki, digunakan, dikawal
atau diuruskan oleh penerima pindahan di bawah sebarang hak atau
kelayakan yang didapati melalui jalan derma, hadiah, wasiat, kebenaran,
izin, atau lain-lain, daripada pemindah atau pemilik terdahulu, untuk
sebarang maksud statutori oleh penerima pindahan, sebaik sebelum
letakhak statutori berkuatkuasa, hak penerima pindahan keatas
pendudukan, penggunaan, kawalan atau pengurusan akan, berikutan
permohonan daripadanya kepada pendaftar, diendorskan di dalam daftar
dokumen hak milik tanah itu, iaitu dalam hal di mana pendaftar sudah
berpuas hati bahawa letakhak statutori pada hak atau kelayakan
penerima pindahan telahpun berkuatkuasa”.

Melalui Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (Bil. 8/1999),
semua Pendaftar Hakmilik dan Pentadbir Tanah telah dinasihatkan supaya
menggunakan kaedah yang terbaru ini dalam meletakhak tanah wakaf kepada
MAIN. Kaedah pindahmilik melalui cara ketiga ini sewajarnya dilaksanakan kerana
ia tidak membabitkan prosedur yang kompleks. MAIN tidak perlu menyempurnakan
atau mengisi apa-apa borang di mana permohonan boleh dibuat dengan menulis
surat kepada Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah (mengikut mana yang
berkenaan). Walaubagaimanapun, surat lafaz wakaf dan suratcara wakaf yang
disempurnakan oleh pewakaf dan saksi-saksinya hendaklah dilampirkan bersama
bagi membuktikan berlakunya wakaf tersebut. Salinan peruntukan statutori
berkaitan perletahakan tanah wakaf kepada MAIN di bawah akta/enakmen negeri
berkenaan hendaklah dikemukakan sama.
Sekiranya permohonan ini diluluskan, Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah
akan mengendorskan hak pemohon di dalam daftar dokumen hak milik tanah
itu, iaitu setelah berpuas hati bahawa letakhak statutori pada hak atau kelayakan
penerima pindahan telahpun berkuatkuasa.

Pembentang difahamkan bahawa menerusi kaedah ini, nama pewakaf masih
tercatat di dalam suratan hakmiliknya. Cuma pengendorsan dibuat di atasnya
tentang kuasa MAIN (dengan catatan seksyen statut pentadbiran/wakaf berkaitan)
sebagai pemegang amanah tunggalnya.

Perlu dinyatakan di sini bahawa ketiga-tiga kaedah pendaftaran hakmilik tanah
wakaf ini mempunyai analisis dan implikasi Hukum Syarak yang tersendiri. Di
kesempatan yang terbatas ini, pembentang tidak dapat menjelaskan secara ditil
mengenainya. Hanya kupasan ringkas yang dapat dinyatakan di sini.

Secara umumnya, kaedah pertama dan kedua, iaitu menerusi pindahmilik
(transfer) dan serahan (surrender), didapati prinsip dasar undang-undang wakaf
yang menghalang sebarang bentuk transaksi telah diganggu-gugat semenjak awal
lagi. Dalam kaedah pindahmilik, mawquf telah dipindahkan milikannya kepada
MAIN di mana suratan hakmilik tanah wakaf berkenaan akan terendors nama
MAIN sebagai penerima pindahan hakmilik. Tujuan/benefisiari wakaf (jika wakaf
khas) ataupun pernyataan “wakaf” (bagi wakaf am) tidak dicatatkan. Ini kerana
pernyataan wakaf telah tidak dimasukkan sebagai perkara/pihak yang dibenarkan
memegang tanah (menerima pelupusan tanah) di bawah seksyen 43, KTN.

Pernyataan MAIN sebagai penerima pindahan milik (transferor) tanah wakaf tidak
bertepatan dengan ketetapan undang-undang wakaf Islam kerana penerima
pindahan boleh dianggap sebagai pemilik tanah yang berhak mendapat faedah
keseluruhan tanah dan berhak melakukan sebarang transaksi mengikut
kemahuannya. MAIN dalam konteks ini pula hanyalah pihak mutawalli/pentadbir
sahaja, bukannya penerima atau benefisiarinya. Sebagai pentadbir, MAIN hanya
dibenarkan mendapat upah daripada kerja pengurusan wakaf yang dijalankan.
Hanya benefisiarinya ataupun mawquf ‘alayh akan memperolehi manfaat mawquf
yang sebenarnya (tertakluk kepada takat jika ada).

Sementara itu, kaedah pindahan menerusi serahan (surrender) nampaknya begitu
kompleks dan menyusahkan pihak MAIN sebagai mutawalli wakaf termasuk
pewakaf sendiri. Proses dan aktiviti serahan dan kemudiannya permohonan
mendapatkan kembali mawquf oleh MAIN dan seterusnya proses
pemberianmilikan mawquf atau perizapannya kepada pemohon (MAIN) di pihak
PBN merupakan proses yang kompleks. Apa yang penting di sini adalah sejak
awal lagi proses ini menyalahi undang-undang wakaf Islam. Perkataan “serahan”
pun sudah cukup menjustifikasikan tidak konsistannya proses yang dilalui dengan
prinsip wakaf menurut Hukum Syarak yang telah disentuh di awal kupasan
lalu.Lebih daripada itu, status mawquf jika dianugerahkan semula oleh PBN
sebagai tanah rizab juga mempunyai analisis hukumnya tersendiri.

Justeru, di kesempatan ini, pembentang ingin menegaskan supaya pihak pewakaf
dan MAIN menggunapakai kaedah ketiga, iaitu perletahakan berkanun atau
statutory vesting merujuk kepada seksyen 416C KTN. Dari sudut Hukum Syarak,
ianya boleh digunapakai bagi pendaftaran hakmilik tanah wakaf ini. Lagipun
Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (Bil. 8/1999)
sememangnya dirangka bagi tujuan perletahakan tanah wakaf di Malaysia di
mana ianya dapat memudahkan urusan tersebut sebagaimana yang telah disebutkan tadi. Pemakaian kaedah pertama (transfer) dan kedua (surrender) untuk perletahakan tanah wakaf kepada pihak MAIN adalah tidak bersesuaian dengan prinsip Hukum Syarak sebagaimana yang telah dijelaskan tadi. Malah, Tuan Haji Pawancheek Marican, Peguambela dan Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya yang juga panel penyelidik projek Penyelidikan Wakaf Kontemporari UM&YADIM (No. 015/35/2) berpandangan bahawa pemakaian kedua-dua kaedah ini adalah tidak betul dan tidak tepat dengan keperluan KTN sendiri (perbincangan pada 14 Ogos 2006).

Seperkara lagi yang perlu dinyatakan dalam konteks perletahakan tanah wakaf
ini, pihak MAIN sebenarnya boleh mendapatkan haknya sebagai pemegang
amanah tunggal menerusi perintah mahkamah bagi meletakhak tanah-tanah wakaf
kepadanya. Ini boleh dilaksanakan jika terdapat pertikaian oleh mana-mana pihak
mengenai sesuatu wakaf yang telah dianggap berlaku sebelum itu. Perintah ini
boleh didaftarkan melalui seksyen 420 KTN. Tafsiran mahkamah di sini adalah
termasuk juga Mahkamah Syariah berdasarkan kepada seksyen 421A KTN.
Seksyen 421A ini terpakai kepada peruntukan bagi seksyen 417 dan 420.
Seksyen 417 memperuntukkan tentang autoriti am mahkamah di mana
mahkamah atau hakim boleh dengan perintah mengarahkan Pendaftar atau manamana
Pentadbir Tanah untuk melakukan segala perbuatan yang perlu untuk
menguatkuasakan apa-apa hukuman atau perintah yang diberi atau dibuat dalam
mana-mana prosiding yang berhubungan dengan tanah (termasuklah jika
membabitkan wakaf, hibah, harta sepencarian dan sebagainya). Seksyen 420
pula adalah berkaitan pendaftaran bagi perintah perletahakan yang dibincangkan
di atas.

Berasaskan apa yang telah dinyatakan tadi berkaitan 3 kaedah perletahakan
tanah wakaf, pembentang amat mengharapkan agar pihak MAIN dapat meneliti
perkara yang dinyatakan sebaik yang mungkin. KTN perlu disemak semula dalam
konteks berkaitan tanah wakaf supaya kesemua urusan mengenainya dapat
diselaraskan dengan prinsip dan dasar Hukum Syarak. Perkara ini turut
dimasukkan ke dalam Resolusi Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta Dalam
Islam yang dianjurkan secara bersama di antara Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian
Islam UKM dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), Pahang pada
8-9 Ogos 2006 baru-baru ini.

Perlu dinyatakan di sini bahawa pembentang sendiri telahpun cuba melihat
permasalahan di atas dengan menyenaraikan beberapa peruntukan yang tidak
selaras dengan undang-undang wakaf Islam serta cadangan pindaan (termasuk
cadangan peruntukan yang sewajarnya dibuat) di International Conference on
Harmonisation of Shariah and Civil Law anjuran UIAM di Hotel Pan Pacific pada
29-30 June 2005 dalam kertas bertajuk ”Harmonisation of the Malaysian National
Land Code 1965 and the Syariah Law of Wakaf: Recommendations for
Amendments”. Ini termasuk juga kertas pembentangan di 7th Conference of
Asia-Pacific Sociological Association (APSA) di Salaya Campus, Mahidol University,
Bangkok bertajuk “The Fulfillment Of The Founders’ Intention In The Formation
Of Wakaf Property In Malaysia: An Analysis On The Current Legal Constraints
And Other Impediments”. Penyelidikan Wakaf Kontemporari UM-YADIM (No. 015/
35/2) turut mengambilkira perkara yang sama juga.Pembentang mengharapkan agar apa yang dinyatakan di bahagian ini dapat diambil perhatian oleh pihak berautoriti negara secepat mungkin.

3.4. Kemasukan Syarat Nyata Dan Sekatan Kepentingan Tanah Wakaf Mengikut
Ktn 1965


Setakat ini, tujuan wakaf tidak dimasukkan ke dalam Seksyen 43 KTN sebagai
tujuan yang dibenarkan untuk pelupusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri
sebagaimana yang telah disebutkan tadi. Bagi wakaf, hanya nama MAIN berkenaan
yang tercatat dalam surat hakmilik tanah-tanah yang diwakafkan memandangkan
ianya dibenarkan di bawah Seksyen 43(b) KTN (perbadanan-perbadanan yang
mempunyai kuasa di dalam perlembagaan mereka untuk memegang tanah).

Justeru, ini boleh mengundang bahaya kepada status wakaf berkenaan
memandangkan tanah-tanah di bawah MAIN bukanlah hanya terdiri daripada tanahtanah
wakaf sahaja, malah termasuk tanah-tanah Baitulmal lainnya.
Seksyen 120 KTN memperuntukkan bahawa PBN mempunyai kuasa untuk
mengenakan apa-apa syarat nyata dan sekatan kepentingan apabila meluluskan
satu pemindahan milik tanah. Ianya akan diendorskan di atas atau dirujuk kepada
dokumen hakmilik tanah berkenaan.

Justeru, pembentang ingin mencadangkan agar syarat nyata bagi tanah-tanah
yang diwakafkan dibuat dengan memasukkan pernyataan bahawa “Tanah ini
hendaklah digunakan untuk tujuan wakaf semata-mata”. Ini dapat mengelakkan
kesamaran sebagaimana yang dinyatakan di atas. Pembentang difahamkan
terdapat MAIN yang telah melaksanakan perkara ini.
Pembentang juga ingin mencadangkan agar sekatan kepentingan bagi tanahtanah
yang diwakafkan dibuat dengan memasukkan pernyataan bahawa ”Tanah
wakaf ini tidak boleh dijual, dipindahkan hakmilik walau apa jua cara sekalipun
kecuali mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri berkenaan”. Ini akan
dapat mempastikan prinsip undang-undang wakaf terjamin daripada sebarang
penyelewengan dan pencerobohan yang tidak diingini.

3.5. Aplikasi Istibdal Dan Kuasa Mufti/Jawatankuasa Fatwa Negeri

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, perkara wakaf adalah perkara
amanah yang perlu direalisasikan oleh mutawalli/pentadbirnya, iaitu MAIN di
Malaysia. Wakaf pula dari sudut pemilikannya bukanlah sebagaimana perolehan
harta yang lain seperti sedekah, zakat, hibah, wasiat (wasiat untuk fizikal dan
manfaat) yang membolehkan benefisiarinya melakukan apa-apa transaksi
mengikut pilihan mereka. Wakaf adalah unik dan kompleks kerana selain daripada
pengiktirafannya oleh kesemua fuqaha sebagai satu-satunya “sedekah jariah
(sadaqah jariyah)” yang membolehkan waqif memperolehi pahala yang
berpanjangan meskipun setelah kematiannya (lihat Muslim, t.t., h. 85; al-Zayla`i,
1938, h.159), wakaf juga terikat dengan prinsip dan dasar yang ketat seperti
yang dijelaskan sebelum ini khususnya berkaitan prinsip tak boleh transaksinya.
Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan di sini prinsip wakaf masih boleh
dimodifikasikan, misalnya menerusi metode istibdal dengan prosedur-prosedur
tertentu bagi menjamin pengekalan mawquf.

Sebelum mengupas lebih ditil mengenai istibdal ini, adalah lebih baik dijelaskan
beberapa aspek preliminari yang penting mengenai istibdal ini.
Perkataan “istibdal” diambil daripada perkataan ibdal, yang bermaksud
mengeluarkan harta yang diwakafkan daripada syarat-syarat asal pewakaf untuk
ditukarkan kepada harta yang lain di mana harta yang kedua ini akan dijadikan
wakaf bagi menggantikan yang pertama. Segala syarat-syarat wakaf yang dibuat
oleh pewakaf akan diaplikasikan kepada harta yang kedua ini. Kategori harta ini
(harta yang menggantikan harta wakaf) dikenali sebagai al-badal(amwal al-badal)
(Al-Zarqa’, opcit., h.74; Hariz, 1994, h. 74).

Sebagaimana yang telah disebutkan di awal perbincangan yang lalu, sesuatu
wakaf yang dibuat tidak boleh dilibatkan dalam sebarang bentuk transaksi atau
pindahmilik serta tidak boleh dilupuskan kepada tujuan-tujuan lain. Sebarang
modifikasi dan pengubahan wakaf dan bentuk aplikasinya dianggap bertentangan
dengan prinsip undang-undangnya. Ia juga bertentangan dengan ketetapan yang
dibuat oleh pewakaf apabila membabitkan wakaf khas.
Walaubagaimanapun, meneliti kepada senario yang berlaku di Negara ini di era
kontemporari, prinsip dan dasar ini tidak boleh dikekalkan secara sepenuhnya.
Realiti dan fenomena pengambilan tanah wakaf oleh pihak Kerajaan,
ketidaksesuaian tanah dengan pembangunan wakaf (seperti tanah berpaya) serta
persekitaran komuniti yang menjadikan pembangunan wakaf tidak dapat
dimanfaatkan secara optimum sebagaimana yang dihasratkan oleh waqif (seperti
tanah untuk pembinaan masjid/surau di mana komuniti yang tinggal di
sekelilingnya dan yang berhampiran terdiri daripada orang bukan Islam) dan
sebagainya memerlukan aplikasi istibdal dijalankan. Ini supaya wakaf dapat
dimanfaatkan oleh benefisiari yang dinamakan serta ummah dengan sebaik
mungkin.

Dalam konteks pengambilan tanah wakaf di Malaysia, di bawah Akta Pengambilan
Balik Tanah, 1960 (Akta 486), PBN telah diberikuasa untuk mengambil balik
mana-mana tanah yang diperlukan untuk kegunaan bagi kepentingan awam dan
pembangunan ekonomi negara. Akta 1960 ini kemudiannya telah dipinda oleh
Akta Pengambilan Balik Tanah (Pindaan), 1997 (Akta A999, mula berkuatkuasa
pada 1 Mac, 1998 melalui P.U.(B) 94/98) yang telah memberikan pertimbangan
yang lebih kepada tuan tanah di mana rundingan akan dibuat di antara tuan
tanah dan mana-mana pemohon berkaitan bagi tujuan pengambilan balik yang
dicadangkan. Tuan tanah berkenaan akan diberikan pampasan mengikut amaun
yang difikirkan wajar oleh PBN. Walaubagaimanapun, dalam situasi di mana
rundingan untuk tujuan pengambilan balik ini gagal ataupun tiada keputusan
konklusif dicapai dalam waktu-waktu yang ditetapkan, PBN masih berbidangkuasa
untuk menimbangkan permohonan yang dibuat dan membuat apa-apa syor
(recommendation) yang ia fikir wajar (S.3A, Akta A999).

Dalam menghadapi masalah di atas, kalaulah prinsip “tak boleh transaksi” yang
terdapat di dalam undang-undang wakaf asal dikekalkan, maka sudah pasti harta
yang diwakafkan itu akan hilang begitu sahaja. Justeru, apabila istibdal
diaplikasikan dalam situasi sebegini, di mana pampasan yang diberikan akan
digunakan untuk menggantikan harta wakaf asal, maka kelangsungan wakaf
tersebut akan dapat direalisasikan, walaupun bukan menerusi harta asal
sebagaimana yang dihasratkan oleh pewakaf.
Kerelevanan pemakaian istibdal di Negara ini telah membuatkan ianya
dikodifikasikan di dalam statut negeri membabitkan Selangor dan Johor.
Di dalam Seksyen 2(1) (Tafsiran), Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999, tafsiran
istibdal telah dibuat sebagaimana berikut:

“…menggantikan suatu harta wakaf dengan harta lain atau wang yang
sama atau lebih tinggi nilainya sama ada melalui gantian, belian, jualan
atau apa-apa cara lain menurut Hukum Syarak”.


Manakala di Johor pula, tafsiran bagi istibdal telah diperuntukkan di dalam Kaedahkaedah Wakaf 1983 (mula berkuatkuasa pada I Januari 1985) sebagai:

“…menggantikan harta wakaf dengan harta lain yang lebih baik dengan
tukaran atau belian atau jualan atau sebagainya menurut hukum syarak”.
Seterusnya seksyen 9(1) kaedah di atas telah memberikan kuasa kepada
Jawatankuasa Wakaf Johor, dengan persetujuan Majlis Agamanya mengimarah,
mengistibdal, mengistismar dan melabur maukuf mengikut syarat-syarat yang
diluluskan oleh hukum syarak. Peruntukan 9(2) seterusnya dibuat bahawa
Jawatankuasa ini bolehlah membeli harta alih ataupun harta tak alih dengan
menggunakan wang kumpulan wakaf daripada ammual badal (amwal al-badal).
Ammual-badal ditafsirkan oleh Kaedah-kaedah Wakaf 1983 ini sebagai “kumpulan
wang amanah wakaf daripada jualan ataupun lainnya yang diharuskan oleh hukum
syarak”.


Di bawah Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 pula, satu bahagian khusus
bagi istibdal ini telah diadakan pada BAHAGIAN VI di bawah tajuk MENGISTIBDAL
DAN MEMBANGUNKAN MAWQUF. Ianya membabitkan seksyen 19 dan 20.

Seksyen 19 (Kuasa Majlis untuk istibdal) enakmen di atas memperuntukkan
bahawa:

“Majlis boleh mengistibdalkan apa-apa mawquf dalam keadaan berikuta.
Mawquf telah diambil oleh mana-mana pihak berkuasa awam mengikut
peruntukan mana-mana undang-undang bertulis;

b. Kegunaan mawquf tidak lagi mendatangkan manfaat atau faedah
sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif; atau

c. Kegunaan mawquf tidak menepati tujuan wakaf”

Kewujudan peruntukan-peruntukan di atas ini bolehlah dianggap sebagai suatu
inisiatif daripada pihak kerajaan negeri dan MAIN yang dipertanggungjawabkan
untuk mentadbir harta-harta wakaf di Negara ini bagi mengadakan suatu dasar
pelaksanaan istibdal yang sememangnya penting untuk diketengahkan. Adalah
diharapkan agar negeri-negeri lain akan turut sama menjelaskan dasar ini melalui
statut wakaf yang bakal digubal nanti ataupun memasukkannnya ke dalam statut
pentadbiran agama Islam negeri yang sedang berkuatkuasa dewasa ini.

Kini, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JWZH) pula telah menyediakan Manual
Pengurusan Tanah Wakaf yang mana antaranya adalah berkaitan proses istibdal
bagi tanah wakaf yang diambil oleh Kerajaan untuk sesuatu maksud termasuk
menyediakan dasar istibdal sebagaimana yang dinyatakan di atas. Dasar ini
bolehlah digunapakai oleh semua MAIN di Malaysia demi keselarasan pemakaian
istibdal di negeri masing-masing. Apa yang agak menarik juga dalam penyediaan
manual ini adalah proses pengambilan balik tanah awam oleh MAIN untuk
kegunaan umat Islam bagi tapak masjid, surau dan kubur dsb turut dikemukakan.
Situasi ini menunjukkan bahawa pihak MAIN selaku pemegang amanah tunggal
harta wakaf di Negara ini boleh mendapatkan “win win situation” apabila
peruntukan mengenainya dimasukkan ke dalam manual berkenaan. (Manual ini
telah dibincangkan beberapa kali, antaranya di Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal
Menyediakan Manual Pengurusan Tanah Wakaf Siri I dan II, JWZH. Siri yang
pertama diadakan di Empress Hotel, Sepang pada 30-31 March 2005 dan Siri II
di Admiral Marina Avillion, Port Dickson pada 29-31 May 2005. Pembentang
turut terlibat dalam perbincangan menyediakan manual ini).
Setakat ini, wakaf istibdal sememangnya berlaku di Malaysia seperti di Pulau
Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan lain-lain negeri
yang membabitkan antara lain pengambilan balik tanah wakaf oleh Kerajaan
(untuk kupasan lanjut mengenai aplikasi istibdal di Negara ini, lihat Siti Mashitoh
Mahamood (2002), ms. 26-29). Walaubagaimanapun, aplikasinya tidaklah secara
meluas memandangkan ianya tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya
tanpa alasan yang munasabah. Apa yang penting juga dalam isu berkaitan istibdal
ini ialah pembabitan Qadi dalam memutuskan sesuatu pelaksanaan istibdal.

Di Malaysia, bidangkuasa untuk memutuskan persoalan Hukum Syarak ini telah
diserahkan kepada Mufti/Jawatankuasa Fatwa Hukum Syarak negeri. Pihak-pihak
ini merupakan mereka yang berautoriti dalam menimbangkan sama ada sesuatu
istibdal itu dibolehkan ataupun tidak. Malah, mazhab-mazhab yang empat juga
mengiktiraf pembabitan Qadi/Mufti dalam memutuskan persoalan ini. Di Selangor
sebagaimana yang disebutkan tadi, pihak MAIN yang mempunyai kuasa ini.
Di Mesir pula, Perkara 11, Qanun bi Ahkam Al-Waqf telah memperuntukkan bahawa
Mahkamah Syar’iyyahnya mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk meluluskan
istibdal apabila dapat dibuktikan maslahat untuk pelaksanaannya.
Sementara itu, di Indonesia, menurut Pasal 36, Bab III, Undang-undang Republik
Indonesia, Nomor 41 Tahun 2004, harta benda wakaf (mawquf) yang ditukar
atau diubah peruntukannya hendaklah didaftarkan kembali dalam mengikut
prosedur-prosedur pendaftarannya. Ianya akan dilaksanakan oleh Nazir melalui
Pejabat Pembuat Akta Ikrar Wakaf (PPAIW. Ia merupakan pejabat berwenang
(mempunyai kuasa) yang ditetapkan oleh Menteri untuk membuat akta ikrar
sesuatu wakaf; lihat Pasal 1, Bab 1, Ketentuan Umum). Kuasa untuk
membenarkan penukaran tersebut adalah di bawah bidang kuasa Badan Wakaf
Indonesia (lihat Pasal 49, Bab VI).

Dalam konteks di Malaysia, terdapat satu fatwa yang dikeluarkan oleh
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-46
yang bersidang di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 22 April 1999
bahawa: “Tanah wakaf yang diambil/dipindahmilik kepada Kerajaan, pihak
berkenaan hendaklah membayar pampasan mengikut nilai tanah yang diambil
atau menggantikan dengan tanah lain yang setara atau yang lebih baik nilainya”.
Begitu juga, di Wilayah Persekutuan, Mesyuarat Jawatankuasa Hukum Syaraknya
telah menetapkan bahawa istibdal ataupun wakaf istibdal adalah diharuskan
berdasarkan kepada maslahah `ammah dan keadaan yang sangat diperlukan
(lihat keputusan no. (ii) mesyuarat ini). Selain daripada itu, Jawatankuasa
Perunding Hukum Syara` (FATWA) Negeri Selangor pada tahun 2000 dan 2003
juga telah meluluskan dua istibdal yang dipohon dengan syarat-syarat yang ketat
bagi mempastikan niat asal pewakaf dilaksanakan sewajarnya di atas tanah lain
yang menggantikan tanah asal. Ini membabitkan tanah di Lot 6684, Telok Gadong,
Klang (tahun 2000) dan GM 6303, Lot 4944, Mukim Kapar (tahun 2003) (fatwafatwa
ini diambil daripada cabutan minit mesyuarat Jawatankuasa Perunding
Hukum Syara` (FATWA) Negeri Selangor tahun 2000 dan 2003). Sementara itu,
Negeri Kelantan juga telah didapati memberikan pandangan yang lebih kurang
sama dengan fatwa-fatwa di negeri-negeri tadi di mana, antara lain, telah
memutuskan bahawa mana-mana wakaf yang dibuat dan ditetapkan oleh
pewakafnya tidak boleh diubah melainkan terdapat sebab yang memaksa berbuat
demikian. Sekiranya tanah wakaf terpaksa diambil untuk satu-satu kegunaan
atau satu-satu maslahat, maka menurut fatwa ini, ianya hendaklah dibayar dengan
harga yang patut. Harga itu pula hendaklah digunakan untuk menggantikan tanah
wakaf yang diambil itu atau untuk maslahat umum menurut pandangan nazir
wakaf (lihat dalam buku Himpunan Fatwa Jilid Satu, Pejabat Mufti Kerajaan
Kelantan, h.166).

Pembentang ingin menegaskan supaya keputusan fatwa untuk membolehkan
sesuatu pelaksanaan istibdal ini hendaklah diputuskan secara berasingan bagi
setiap kes yang dibawa. Satu fatwa mengenainya tidak sewajarnya diambil sebagai
autoriti untuk membolehkan istibdal lain di masa akan datang yang
memerlukannya. Fatwa spesifik hendaklah diputuskan bagi setiap istibdal yang
diperlukan dan prosedur sebegini jugalah yang dikehendaki dalam undang-undang
wakaf Islam. Ia membolehkan pihak yang diberikan autoriti memutuskannya
supaya dapat meneliti sesuatu keperluan untuk istibdal dengan mengikut
justifikasi dan alasan yang spesifik bagi kes yang dirujuk. Dengan ini juga sebarang
kesilapan serta penyelewengan yang berlaku dalam membenarkan istibdal oleh
pihak MAIN dapat dielakkan. Pihak MAIN perlu mempastikan aplikasi istibdal
dilaksanakan dengan mengikut prosedur yang disebutkan ini kerana perkara wakaf
adalah perkara amanah dan bukannya perkara yang boleh diambil mudah sahaja.
Keperluan di atas hendaklah dimasukkan ke dalam akta/statut negeri di negara
ini. Pembentang juga berpandangan bahawa perkara membabitkan istibdal ini
tidak wajar diputuskan oleh pihak MAIN seperti di Selangor kerana ianya
memerlukan perbincangan spesifik dan ditil yang harus dilihat oleh pihak yang
berautoriti dalam perkara Hukum Syarak di Malaysia sebagaimana yang telah
ditetapkan di bawah undang-undang negara (iaitu Mufti/Jawatankuasa Fatwa)
yang telah disebutkan tadi. Justeru, pindaan yang sewajarnya (di Selangor)
hendaklah dibuat supaya istibdal diputuskan oleh pihak-pihak ini.
3.6. Bidang Kuasa Mahkamah Dalam Wakaf
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, perkara wakaf adalah perkara negeri
yang telah dimasukkan ke dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan,
Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, maka ia termasuk di bawah bidang kuasa
Mahkamah Syariah bukannya Mahkamah Sivil.

Dalam hubungan di atas, apabila Mahkamah dihadapkan satu-satu kes
dihadapannya, maka pendekatan yang penting untuk diambil dalam memutuskan
sama ada Mahkamah itu berbidang kuasa atau sebaliknya adalah dengan melihat
kepada perkara asas (subject matter) bagi perkara yang dibawa, bukannya remedi
yang dipohon (remedy prayed for). Justeru, kalaulah “subject matter”nya adalah
wakaf, maka Mahkamah Syariahlah yang berbidangkuasa walaupun ada remediremedi
sivil yang dipohon oleh pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi berkenaan.
Pendekatan ini telah dibangkitkan dalam kes Majlis Ugama Islam Pulau Pinang
dan Seberang Perai v Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors. ([2003] 3 MLJ 705)
di mana Mahkamah Persekutuan mengatakan bahawa pendekatan yang digunakan
oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Syariah tiada
bidang kuasa untuk mengeluarkan injunksi yang dipohon oleh respondenresponden
dan tidak mempunyai kuasa untuk mengadili wasiat dan suratikatan
penyelesaian tersebut adalah tidak betul kerana menggunakan pendekatan
’remedy prayed for’ dan bukannya pendekatan ’subject matter’.
Mengikut amalan yang berlaku sebelum ini, peruntukan dalam Senarai II, Senarai
Negeri di atas tidak secara automatik menganugerahkan kepada Mahkamah
Syariah bidang kuasa eksklusif dalam membicarakan kes-kes berkaitan wakaf.
Ini kerana, Mahkamah-mahkamah Sivil sebelum ini mempertikaikan bidang kuasa
mahkamah Syariah atas dasar kes yang dibentangkan di hadapan mereka
membabitkan elemen-elemen atau remedi-remedi sivil yang dipohon dalam
sesuatu litigasi wakaf seperti kaveat, estoppel dan injunksi. Ini termasuklah jika
pertikaian itu membabitkan pihak bukan Islam.

Walaubagaimanapun, jika pertikaian sesuatu wakaf itu membabitkan pihak bukan
Islam, maka sehingga kini Mahkamah Sivillah yang berkompeten untuk mendengar
pertikaian berkenaan kerana peruntukan dalam Senarai II, Senarai Negeri hanya
memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah dalam perkara yang
membabitkan orang-orang Islam sahaja. Ternyata, keputusan Mahkamah
Persekutuan oleh YAA Hakim Haidar dalam kes Majlis Ugama Islam Pulau Pinang
dan Seberang Perai v Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors ([2003] 3 MLJ 705)
serta pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak mampu mengatasi
konflik bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam perkara
wakaf secara keseluruhannya. Mahkamah Syariah masih belum dibenarkan untuk
mempunyai bidang kuasa eksklusif di dalamnya.


Pembentang berpandangan bahawa konflik ini perlu diselesaikan segera. Apa
yang berlaku sekarang ini adalah kes-kes wakaf banyak sekali dikendalikan oleh
Mahkamah Sivil, bukannya Mahkamah Syariah. Dengan hormatnya dinyatakan
bahawa para hakim di Mahkamah Sivil (termasuk peguam) selalunya tidak
mempunyai latar belakang undang-undang Islam khususnya perkara wakaf (lihat
Re Dato Bentara Luar Decd. Haji Yahya and Anor v. Hassan and Anor, [1982] 2
MLJ 264 dan Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang Isa
Abdul Rahman and Anor[1995] 10 JH 222; (Mac 1996) 8(1) Kanun 123).
Terdapat juga di kalangan hakim-hakim di Mahkamah Sivil ini yang mengaku
bahawa mereka merasa bimbang untuk mengendalikan kes-kes wakaf kerana
merasakan tidak kompeten (dari sudut pengetahuan dalam Hukum Syarak) untuk
menghakiminya (kenyataan ini pernah dikemukakan oleh YA Datuk Saari b. Yusoff,
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam satu temuramah bersamanya pada
10 April, 1999. YA Dato’ Abdul Hamid Mohamed, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang (ketika itu) menyuarakan perkara yang sama semasa memutuskan
kes Isa Abdul Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1995] 10
JH 222; (Mac 1996) 8(1) Kanun 123).

Malah, dengan hormatnya dinyatakan di sini bahawa terdapat juga kes yang
diputuskan tidak menepati undang-undang wakaf Islam. Misalnya, dalam kes
Tengku Nik Maimunah & Anor V Majlis Ugama Dan Adat Melayu Negeri Trengganu
& Ors[1979] 1 MLJ 257, Hakim Harun telah memutuskan bahawa berdasarkan
seksyen 61, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam, 1955 (Terengganu)
(mengenai sekatan takat perwakafan), wakaf yang dibuat oleh plaintif untuk
keluarganya dan peruntukan kepada beberapa tujuan keagamaan dan kebajikan
hanya sah setakat satu pertiga sahaja. Keputusan dan penemuan hakim ini
tidak bertepatan dengan undang-undang wakaf Islam yang membenarkan sesuatu
wakaf dibuat keseluruhan harta waqif, kecuali jika ianya dibuat menerusi jalan
wasiat ataupun semasa marad al-mawt di mana hanya dalam kedua-dua situasi
ini wakaf tidak boleh dibuat melebihi takat satu pertiga kecuali dibenarkan oleh
ahli waris sebagaimana hukum wasiat. Penghakiman yang salah ini telah
diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Haji Embong bin Ibrahim and
Ors v. Tengku Nik Maimunah bt. Al-Marhum Sultan Zainal Abidin & Anor [1980] 1
MLJ 286 di mana YAA Salleh Abbas (ketika itu) telah memutuskan bahawa wakaf
tersebut hendaklah berkuatkuasa keseluruhannya. Begitu kes yang diputuskan
dalam Commissioner for Religious Affairs Terengganu lwn. Tengku Mariam [1970]
1 MLJ 222) di mana YAA Hakim Suffian di Mahkamah Persekutuan telah bersetuju
dengan penghakiman yang dibuat oleh YA Hakim Wan Suleiman di Mahkamah
Tinggi [1969] 1 MLJ 110) bahawa wakaf yang dibuat itu adalah untuk faedah
keluarga selama-lamanya dan pemberian terakhir untuk kebajikan dianggap
sebagai khayalan semata-mata (illusory). Oleh itu, wakaf berkenaan adalah batal
sejak dari mula lagi (void ab initio). Fatwa mengenai keesahan wakaf yang dibuat
oleh Tengku Chik ini telahpun dibuat oleh Mufti Terengganu ketika itu, iaitu, Sahibul
Fadilah Mufti Syed Yusoff bin Ali al-Zawawi.

Hakim Wan Suleiman berpendapat fatwa tersebut tidak mengikatnya. Lebih daripada itu, Mahkamah bebas sama ada untuk menerima ataupun menolak fatwa yang dibuat. Sebaliknya Mahkamah ini telah merujuk kepada dua kes yang telah diputuskan oleh Privy Council, iaitu kes Abul Fata Mohamed Ishak lwn. Rusomoy Dhur Chowdry [1894] 22 Indian
Appeals 76; Indian Law Reports 22 Cal. 619: lihat juga Privy Councils Judgements
from India [23 November, 1894] 572) dan kes Fatuma bt. Mohamed b. Salim
Bakhshuwen & Anor lwn. Mohamed b. Salim Bakhshuwen( [1952] Appeal Cases

1). Kedua-dua kes ini dianggap mengikat keputusan Mahkamah Tinggi.
Keadaan menjadi lebih tidak menyenangkan jika ianya diputuskan oleh hakim
yang bukan beragama Islam (lihat misalnya kes Barkath Ali bin Abu Backer v
Anwar Kabir Bin Abu Backer & Ors [1997] 4 MLJ 389 and Shaik Zolkaffily Bin
Shaik Natar & Ors V Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai [1997]
3 MLJ 281 di mana kedua-duanya diputuskan oleh Hakim Jeffrey Tan. Hakim ini
telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa
dalam kedua-dua kes berkenaan untuk mengeluarkan perisytiharan yang dipohon).
Pihak Hakim yang bukan beragama Islam juga didapati menghadapi masalah
tidak memahami Hukum Syarak yang boleh menyebabkan tangguhan kes yang
dibicarakan. Ini dapat dibuktikan dalam kes mengenai pentadbiran pusaka orang
Islam, iaitu In The Estate of Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan
Abdul Hamid [1998] 4 MLJ 623. Meskipun YA Hakim Low Hop Bing memutuskan
bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara
probet dan pentadbiran, namun YA Hakim tidak menafikan bahawa Mahkamah
Syariah mempunyai bidang kuasa dalam persoalan keesahan perkahwinan dan
keesahan anak-anak dalam perkahwinan yang berlaku yang melibatkan orangorang
menganut agama Islam. Justeru, para peguam bagi pihak-pihak yang bertikai
telah bersetuju supaya perbicaraan digantung untuk dirujuk kepada Mahkamah
Syariah.

Setakat inipun, belum ada lagi satu peraturan yang mengkehendaki supaya keskes
yang membabitkan Hukum Syarak dikendalikan oleh hakim yang beragama
Islam. Terdapat kebimbangan bahawa keputusan yang dikeluarkan oleh Hakimhakim
Mahkamah Sivil ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak sebagaimana
yang telah berlaku sebelum ini. Meskipun pihak-pihak yang terlibat dalam
perbicaraan boleh memanggil saksi yang pakar (expert witness) dalam Hukum
Syarak mengenai wakaf, namun ianya bukanlah suatu yang wajib (compulsory).
Selain daripada itu, mengikut statut Pentadbiran Agama Islam Negeri di Malaysia,
Mahkamah Sivil boleh merujuk perkara Hukum Syarak kepada Jawatankuasa
Fatwa negeri di mana pihak Mufti akan mengesahkan pandangan yang
dikemukakan kepada mahkamah berkenaan (lihat misalnya seksyen 53, Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, No. 1 tahun 2003)). Namun,
pandangan ini tidak mengikat mahkamah. Mahkamah ini bebas samada untuk
menerima ataupun menolaknya (lihat kes Commissioner for Religious Affairs
Terengganu lwn. Tengku Mariam [1970] 1 MLJ 222). Ini kerana sesuatu fatwa
yang dikeluarkan itu hanyalah mengikat orang-orang yang beragama Islam di
negeri berkenaan sahaja (lihat misalnya seksyen 49(1), Enakmen Selangor 2003).


bukannya mahkamah yang meminta pandangan tersebut (lihat kes Isa Abdul
Rahman and Anor v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang ([1995] 10 JH 222, (Mac
1996) 8(1) Kanun 123; Commissioner for Religious Affairs, Terengganu and Ors
v. Tengku Mariam, [1969] 1 MLJ 110 dan Re Dato Bentara Luar Decd. Haji Yahya
and Anor v. Hassan and Anor, [1982) 2 M.L.J. 264. Isu yang sama dibangkitkan
oleh Hakim Abdul Hamid b. Hj. Mohamed dalam kes Isa Abdul Rahman and Anor
v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang ([1995] 10 JH 222, (Mac 1996) 8(1) Kanun
123).

Justeru, melihatkan realiti yang diketengahkan ini, pembentang ingin
membangkitkan satu persoalan, iaitu apakah Mahkamah Syariah sepatutnya
diberikan bidang kuasa eksklusif dalam perkara wakaf ini meskipun membabitkan
pihak bukan beragama Islam? Jika ini yang dipilih maka pindaan kepada Senarai
II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan hendaklah
dibuat untuk memasukkan perkara membabitkan pihak bukan Islam ini untuk
diadili di Mahkamah Syariah. Statut berkaitan agama Islam negeri juga hendaklah
dipinda sama. Pendekatan “subject matter” yang digunapakai sekarang pun telah
menyokong usul ini bahawa kes-kes yang membabitkan “subject matter” di bawah
bidang kuasa Mahkamah Syariah hendaklah dibicarakan di mahkamah ini.

Mahkamah Syariah pula telah dianggap sebagai pihak yang mempunyai kepakaran
dalam perkara membabitkan undang-undang Islam (ianya telah banyak diakui
oleh kes-kes yang diputuskan oleh hakim-hakim sivil yang membabitkan Hukum
Syarak; lihat misalnya kes yang diputuskan oleh YAA Hakim Faiza Tamby Chik
dalam Shamala Sathiyaseelan v. Dr Jeyaganesh C Mogarajah & Anor [2004] 2
MLJ 648), termasuk wakaf sehinggakan sejak kebelakangan ini Mahkamah Sivil
telah dikatakan agak keberatan mengadili kes-kes membabitkan Hukum Syarak
berasaskan alasan yang telah dikemukakan ini (lihat misalnya pandangan YAA
Dato’ Abdul Hamid Mohamad dalam kes mengenai murtad, Kamariah Bte Ali
dan Lain-Lain Lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan Satu Lagi [2002] 3
MLJ 657. Dalam kes ini, YAA hakim telah menyatakan bahawa “Biar apa pun
hakikatnya ialah mahkamah sivil di kebelakangan ini keberatan untuk memutuskan
persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad dan berpendapat bahawa Mahkamah
Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan-persoalan itu”).

Pembentang berpandangan bahawa untuk memberikan bidang kuasa secara
eksklusif kepada Mahkamah Syariah yang dikira dapat memenuhi kehendak
pindaan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan ini, ianya memerlukan
persediaan dan pelaksanaan berbentuk jangka panjang. Menerusinya juga, selain
daripada memasukkan pihak bukan beragama Islam ke dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah, usaha boleh dibuat untuk menjadikan perkara-perkara yang
membabitkan pihak beragama Islam termasuk mengenai pentadbiran harta
seperti dalam perkara probet dan pentadbiran dimasukkan di bawah bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Namun, ianya memerlukan masa di mana pindaan yang besar
perlu dilakukan khususnya membabitkan Perlembagaan Persekutuan dan lainlain
statut yang berkaitan sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Para
hakim dan peguam Mahkamah Syariah pula perlu memperlengkapkan diri dengan
bidang-bidang yang belum mereka biasa sebelum ini. Kesemua ini bukanlah
sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan masa untuk merealisasikannya.


Pembentang berpandangan agar langkah terbaik untuk diimplementasikan dalam
senario konflik perundangan ini yang dapat menyeimbangkan konflik yang berlaku
adalah dengan menyatukan kedua-dua hakim bicara daripada Mahkamah Syariah
dan Sivil dengan mewujudkan satu “Syariah Bench” dalam sesuatu perbicaraan
wakaf di Mahkamah Sivil. Hakim Mahkamah Syariah akan memutuskan persoalan
Hukum Syarak dalam kes yang dibicarakan di mana ianya hendaklah mengikat
keputusan yang akan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sivil. Hakim di
Mahkamah Sivil pula akan menentukan perkara-perkara lain dan memutuskan
kes yang dibicarakan.

Cadangan di atas juga telah ditimbulkan oleh Ketua Hakim Negara, YAA Tun
Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim sebelum ini semasa beliau
menyampaikan ucaptamanya di Majlis Perasmian Syarahan Umum Syariah dan
Undang-Undang Tuanku Najihah Yang Pertama oleh Fakulti Syariah dan Undang-
Undang KUIM pada 11 Ogos 2005 yang lalu dalam kertas bertajuk “The
Relationships Between Syariah & Civil Law in the Malaysian Legal System:
Developments & Future Posibilities”. Pandangan yang sama turut dikemukakan
oleh YAA Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad, Hakim Mahkamah Rayuan (ketika
itu) dalam artikelnya bertajuk “Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of
Jurisdictions” (lihat [2002] 1 MLJA 130; [2002] 1 MLJ cxxx).

Terdapat satu lagi pandangan daripada YAA Dato’ Abdul Hamid dalam persoalan
konflik bidang kuasa ini, iaitu melalui pendekatan menyatukan Mahkamah Syariah
dan Mahkamah Sivil pada semua peringkat. Cadangan YAA ini dapat dilihat
sebagaiamna berikut (YAA Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad, ibid.).:

“….. People qualified in civil law as well as people qualified in Islamic
law are appointed judges of the same court at all levels. Islamic law
cases, civil or criminal, are heard by judges qualified in Islamic law.
Non-Islamic law cases are heard by judges qualified in civil law. If, in a
case there are issues involving both laws, two judges should sit, one
from each discipline. The judge with Islamic law qualification decides
issues of Islamic law. The judge with civil law qualification decides the
other issues. The final judgment, the judgment of the court, is given by
both of them, jointly”.


Menurut beliau cadangan di atas akan dapat menyelesaikan masalah-masalah
lain yang berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah berkaitan
kakitangan, pentadbiran dan penguatkuasaan.
Cadangan kedua daripada YAA di atas nampaknya juga boleh dimasukkan di
bawah pertimbangan jangka panjang. Nampaknya pengwujudan “Syariah Bench”
tadi lebih sesuai dibuat dalam konteks masakini dan ianya tidaklah serumit
cadangan-cadangan yang lain. Pembentang berpandangan bahawa pendekatan
sebegini juga dapat mengurangkan tangguhan kes yang dibicarakan.


Dalam konteks pendidikan tinggi di Malaysia, pembentang berpandangan bahawa
kurikulum yang ditawarkan di IPTA boleh memberi impak kepada persoalan yang
dibangkitkan di sini. Justeru, adalah dicadangkan agar Kementerian Pendidikan
Tinggi Malaysia menetapkan bahawa mana-mana IPT di bawah Fakulti/Jabatan
yang hendak menawarkan program pengijazahan Syariah dan undang-undang
hendaklah melaksanakanya dalam bentuk “double degree” yang akan
menghasilkan misalnya LLB and LLB (Sha) sebagaimana yang telah dibuat oleh
UIAM. KUIM juga turut menawarkan program double degree ini. Menerusinya,
graduan yang dihasilkan akan dapat dilengkapi oleh dua bidang undang-undang,
iaitu Syariah dan sivil sekaligus dalam tempoh masa antara 5-6 tahun. Justeru,
graduan ini yang terlibat sebagai peguam ataupun hakim dalam kerjaya mereka
tidak lagi menghadapi masalah yang rumit dalam memahami keperluan undangundang
prosedur dan substantif serta melaksanakannya dalam satu-satu kes
wakaf ataupun lainnya (seperti kes pentadbiran pusaka, wasiat dan lain-lainnya).

Apa pun, yang penting di dalam bahagian ini adalah untuk mempastikan
penghakiman yang diberikan adalah adil kepada pihak-pihak yang bertikai dan
selaras dengan undang-undang terbabit, khususnya undang-undang Islam itu
sendiri. Bukanlah tujuan perbincangan ini untuk menimbulkan suasana perebutan
bidang kuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Selama ini pun,
Mahkamah Sivil ada juga dikatakan berkongsi bidang kuasa dengan Mahkamah
Syariah dalam perkara yang dibincangkan ini, bukannya semata-mata merebut
bidang kuasa.

4. KESIMPULAN

Perundangan wakaf di Malaysia mempunyai pelbagai isu berbangkit dan boleh
dibangkitkan. Segala masalah-masalah ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk
diselesaikan. Pembentang amat mengharapkan agar segala perkara yang
dibangkitkan di sini termasuklah cadangan pindaan dan pendekatan yang
disarankan ini diambil perhatian oleh pihak MAIN serta dimajukan kepada pihak
berautoriti negara untuk diambil tindakan sewajarnya. Kesemua ini akan dapat
mempastikan pelaksanaan wakaf di negara ini dapat direalisasikan dengan
jayanya serta dapat meningkatkan kredibiliti MAIN sebagai pemegang amanah
tunggal harta wakaf. Apa yang penting juga adalah keperluan mempastikan secara
optimum wakaf dapat dilaksanakan sejajar dengan prinsip dan dasar Hukum
Syarak dalam realiti perundangan di negara yang tercinta ini.



NOTA

1 Kertas Kerja ini dibentangkan di Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006 anjuran Jabatan
Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama UiTM Johor, UTM, UM,
UIAM, YPEIM, IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September
2006.
2 Pensyarah Kanan/Peguam Syarie Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur.
RUJUKAN
Abu Zuhrah, Muhammad (1959), Muhadarat fi al-Waqf, ttp.: Ahmad ’Ali Mukhaymar.
Al-Bukhari, Abu ’Abdullah Muhammad b. Isma’il (t.t.), Sahih al-Bukhari, kitab al-wasaya, vol.2.
Beirut: Dar al-Ma’rifah
Al-Khatib, Muhammad al-Sharbini (1958), Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj,
vol. 2, Egypt: Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh
Al-Marghinani, Burhan al-Din Abi al-Hassan ’Ali b. Abi Bakr b.’Abd al-Jalil al-Rushdani (t.t.), al-
Hidayah Sharh Bidayah al-Mubtadi, edisi akhir, vol. 3, Egypt: Mustafa al-Babi al-Halabi wa
Awladuh
Al-Mawartani (al-Dah al-Shanqayti), Muhammad b. Ahmad (1974), Fath al-Rahim ’ala Fiqh al-
Imam Malik bi al-‘Adillah, vol. 2, edisi kedua, ttp: Dar al-Fikr
Al-Nasa’i, Ahmad Ibn Shua`yb (t.t.), Sunan al-Nasa’i bi sharh al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti wa
Hashiyah al-Imam al-Sindi, kitab ahbas, vol. 6, Beirut: Dar al-Kutb al-`Ilmiyyah
Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya b. Sharf (t.t.), Raudah al-Talibin, vol. 4, Beirut: Dar al-Kutb al-
’Ilmiyyah
Al-Ramli, Shams al-Din Muhammad b. Abi al-’Abbas Ahmad b. Hamzah ibn Shihab al-Din (1967),
Nihayah al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj, last edition, vol. 5, Egypt: Mustafa al-Babi al-Halabi
wa Awladuh
Al-Zarqa’, Mustafa Ahmad (1997), Ahkam al-Awqaf, Amman: Dar `Ammar
Al-Zayla’i, Jamal al-Din Abi Muhammad ’Abdullah b. Yusuf al-Hanafi (1938), Nasb al-Rayah li
Ahadith al-Hidayah, edisi pertama, vol. 3, India: Dar al-Ma’mun
Al-Zuhayli, Wahbah (1987), Al-Wasaya wa al-Waqf fi Al-Fiqh al-Islami, Damsyik: Dar Al-Fikr
Fatawa Hindiyyah (t.t.), 4th edition, vol. 2, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi
Hariz, Salim (1994), Al-Waqf: Dirasat wa Abhath. Beirut: al-Jami’ah al-Lubnaniyyah
Ibn ’Abidin, Muhammad Amin (1966), Hashiyah Radd al-Muhtar ’ala al-Durr al-Mukhtar, edisi 2,
vol. 4, ttp: Dar al-Fikr
Ibn Ishaq, al-Shaykh Khalil (t.t.), Mukhtasar Khalil, ttp: Haj ’Abdullah al-Yassar al-Tijani
Muslim, Abu al-Husayn Muslim b. al-Hujjaj b. Muslim al-Qushayri (t.t.), Sahih Muslim bi Sharh al-
Nawawi, bab al-wasaya, vol. 11. t.tp.
Muslim, Abu al-Husayn Muslim b. al-Hujjaj b. Muslim al-Qushayri, (t.t.), Sahih Muslim bi Sharh al-
Nawawi, bab ma yulhiq al-insan min al-thawab ba’d wafatihi, kitab al-wasiyyah, vol. 11, ttp.
Mustafa Al-Khin et al (2005), Al-Fiqh al-Manhaji, Juz.2, Cetakan 7, Damsyik: Dar al-Qalam
Ridzuan Awang (1994), Undang-Undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan, cetakan pertama,
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Salleh Buang (1993), Undang-Undang Tanah di Malaysia, Salleh Buang (terj.), Kuala Lumpur:Dewan
Bahasa dan Pustaka
29
Siti Mashitoh Mahamood (2001), ”The Legal Principles of Waqf: An Analysis”, Syariah Journal,
9:2 (2001) 1-12.
____________ (2002), Pelaksanaan Istibdal Dalam Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia, Kuala
Lumpur: Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
___________ (2004), “Pelupusan Tanah Di Bawah Pegangan Pajakan (Leasehold) Dalam Kanun
Tanah Negara 1965: Implikasi Terhadap Status Tanah-Tanah Yang Diwakafkan”, Jurnal
Penyelidikan Islam, Bil.17 2004/1425H, hh.91-108.
____________ (2005), “Harmonisation of the Malaysian National Land Code 1965 and the Syariah
Law of Wakaf: Recommendations for Amendments” in Proceeding of International Conference
on Harmonisation of Shariah and Civil Law, International Islamic University, Malaysia
_____________ (2006), Waqf in Malaysia: Legal and Administrative Perspectives, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya
_____________ (2006) (ed.), Harta Amanah Orang Islam di Malaysia: Perspektif Undang-Undang
dan Pentadbiran, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Tiada ulasan: