DONATE
Sabtu, 7 Februari 2009
KEDUDUKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA ISLAM DAN CABARAN ANTARABANGSA
Oleh:
Rohimi Hj. Shapiee
Fakulti Undang-Undang, UKM
1. PENGENALAN
Dekad terakhir abad kedua puluh ini telah memperlihatkan kepada kita lonjakan pesat pencapaian dalam segenap bidang aktiviti manusia. Dari teknologi maklumat, industri pembuatan dan perkhidmatan, pembinaan, penerokaan, penyelidikan sains hingga ke sistem perhubungan, kemajuan di luar impian telah diperolehi dan ditemui. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa segala kemajuan dan penemuan ini akan mengubah dan mempengaruhi perjalanan sejarah manusia di abad yang akan datang.
Dalam baki-baki abad ke 20 ini pun jelas kelihatan banyak perubahan dan cabaran baru sedang melanggari peradaban manusia. Yang jelas nampak adalah corak hidup, cara kerja, cara berfikir, institusi kekeluargaan, cara perhubungan, cara berdagang, corak pendidikan dan cara bernegara dan berkerjasama di arena antarabangsa sedang mengalami transformasi pada tahap-tahap yang berbeza. Mengetuai arus perubahan ini adalah tamadun Barat sebagai pengasas revolusi perindustrian (kebendaan) yang melanggari dunia bermula di abad ke 18.
Seperti yang telah dikatakan kemajuan kebendaan ini juga telah mencabar dan mempengaruhi mental, spiritual dan kehidupan sosial manusia. Moral, institusi sosial (kekeluargaan dan masyarakat), agama dan budaya sedang mengalami desakan perubahan yang hebat. Melalui kemajuan media dan teknologi maklumat, budaya-budaya Barat (pendokong kemajuan kebendaan) yang negatif seperti anutan materialisme, individualisme dan hedonisme (budaya muzik, media hiburan, seks bebas, fesyen dan sebagainya) telah menular ke dalam masyarakat bukan Barat dengan meluas sekali.
Perkara-perkara yang dinyatakan adalah agenda baru yang perlu ditangani oleh masyarakat bukan Barat. Di samping itu agenda lama seperti dominasi Barat ke atas masyarakat dunia lain dalam hal eksploitasi dan manipulasi ekonomi, politik, kekuatan ketenteraan dan senjata perlu juga ditangani. Masyarakat bukan Barat terutamanya Dunia Islam perlulah memperkukuhkan diri dan mencari identiti kelompok sendiri dalam membentuk ketahanan ummah sejagat bagi membela kemurnian, keutuhan dan kerahmatan agama Islam.
2. ISLAM - UMMAH DAN KENEGARAAN
Perkataan Islam terbit dari perkataan arab Aslama, secara literal bermaksud "penyerahan mutlak" kepada kehendak Allah s.w.t. Din atau agama Islam, pula bermaksud "ketundukan" atau "kepatuhan" kepada satu institusi ketuhanan yang menjadi panduan kepada manusia demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, yang mencakupi kepercayaan (iman) dan amalan (amal), sebagai satu ketundukan dalaman dan luaran kepada segala kehendak Allah yang Maha Agung.i
Firman Allah s.w.t;
"Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah penyerahan kepada kehendak dan panduanNya" (3:19)
Islam menyatakan di antaranya, manusia hendaklah melakukan kebaikan dan keadilan, menjadi contoh baik kepada yang lain, yang berkuasa mengajak dan menguatkuasakan kesalihan, mencegah kemungkaran dan sebagainya. Kerana agama Islam adalah agama yang sempurna, ia dirangka bersesuaian dengan sifat tabii manusia. Manusia dijadikan sebagai makhluk sosial, di samping hal-hal keimanan dan ibadat, perkara kehidupan sosial adalah sebahagian daripada rangka Islam bagi memenuhi keperluan manusia.
Keseluruhan sistem Islam dipanggil syariah,ii di bawahnya terbentuk berbagai cabangan ilmu. Perkataan "syariah" disebut dalam al-Quran, "Kemudian Kami letakkan kamu di atas jalan lurus agama (syariat): maka ikuti lah ia" (xlv:18). Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa perkataan syariah bererti; satu kod atau panduan mengenai keimanan dan amalan iaitu "aqaid dan a'mal". Ia termasuklah hal-hal seperti "imaniah", "ibadah", "muamalat", "munakahat", "siasah dan Ahkam al-Sultaniyyah" (Politik dan Pentadbiran), "siyar" (hubungan antarabangsa), "jinayat" (tort), "hudud dan takzir" (penal), "adab al-Qadi" (pentadbiran keadilan termasuk prosedur) dan "akhlak".
Oleh yang demikian "syariah' itu adalah panduan lengkap kehidupan yang diletakkan ke atas ummat Islam. Ia merupakan ketetapan Allah dalam menyempurnakan sifat kemanusiaan bagi memelihara kesejahteraan kehidupan dunia dan juga menjamin kejayaan dalam kehidupan akhirat (ukhrawi) yang abadi. Dalam memenuhi keperluan hidup bermasyarakat dan bernegara maka bahagian-bahagian syariah yang dinyatakan di atas dilaksanakan keseluruhannya bagi faedah kesempurnaan hidup bermasyarakat ummat Islam.
2: i. Matlamat Ummah Islam
Maksud ayat Quran;
"Dan berpegang eratlah kamu sekaliannya dengan tali Allah, dan janganlah berpecah belah. Ingatlah kurnia Allah kepada kamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu dipersatukanNya hati kamu sehingga dengan kurnia Allah itu, kamu menjadi bersaudara ..." (3:103)
"Adakanlah di antara kamu ummat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang salah. Mereka itulah yang mendapat keberuntungan (kemenangan)." (3:104)
"Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang perlakuan yang salah, serta beriman kepada Allah ..."(3:110)
Paksi kewujudan kaum muslimin adalah satu himpunan yang dipanggil "ummah". Ummah sebagai penanggung wahyu Allah bertanggung jawab memelihara dan menyebarkan seruan Allah tersebut sehingga hari kiamat. Matlamatnya adalah pembentukan satu masyarakat manusia yang berdiri menegakkan keadilan dan kesaksamaan, mempertahankan kebenaran, menghilangkan kegelapan dan berusaha segenap tenaga membawa semua manusia ke rahmat Illahi supaya mencapai keamanan dan kemakmuran dunia dan akhirat. Organisasi kehidupan bernegara hanya merupakan satu daripada peranan ummah bukannya matlamat.
Kewujudan negara atau wilayah adalah satu keperluan semulajadi kepada terwujudnya satu masyarakat, sama ada sebagai satu identiti bangsa atau wilayah. Apabila sekelompok manusia tinggal bersama dalam satu masyarakat mereka memerlukan satu organisasi untuk mengatur segala kehendak keharmonian dan keselamatan mereka. Di peringkat awal kewujudan negara mungkin lebih mudah bentuknya, tetapi setelah masyarakat menjadi lebih komplek, maka pentadbiran negara atau wilayah akan menjadi lebih rumit.
Persoalannya, adakah kewujudan sesebuah negara itu menjadi antitesis kepada kewujudan satu ummah Islam? Pada pendapat penulis ianya adalah tidak. Kewujudan negara boleh disamakan dengan wujudnya wilayah-wilayah di zaman keagungan Islam yang mana setiap wilayah ditadbir oleh gabenor yang taat setianya diletakkan kepada Khalifah yang menjadi ketua kepada ummat Islam. Satu contoh praktikal masa kini adalah pembentukan semula satu ummah (empayar Kristian Eropah). Ini dapat dilihat melalui kejayaan bangsa-bangsa Eropah menyatukan semula negara-negara Eropah Barat ke dalam satu pakatan yang menyeluruh, iaitu Kesatuan Eropah (EU).
Ini bermakna ummah dalam ertikata wujudnya satu pemerintahan keserantauan Islam di bawah seorang khalifah dan kuasa autonomi diberikan kepada gabenor (hari ini Presiden atau Perdana Menteri) bagi mentadbir negeri atau wilayah yang berasaskan geografi atau kebangsaan yang luas, tidaklah mustahil dapat diwujudkan semula. Walaupun begitu, prosesnya akan menjadi lebih sukar kerana halangan dalaman dan luarannya lebih tebal dari apa yang dihadapi oleh masyarakat Eropah. Sungguh pun demikian, jikalau ummat Islam kembali menghayati semula keseluruhan Islam dan memulakan initiatif secara serius ke arah matlamat tersebut, ia tidak mustahil dapat dicapai.
Lagipun idea "Dunia Islam" itu sendiri boleh diperteguhkan dengan usaha-usaha yang lebih konkrit bagi memperkasakan Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC). Dengan adanya kekuatan di kalangan negara-negara Islam, peranan OIC itu sendiri boleh dipertingkatkan bukan sahaja setakat menjadi satu organisasi persidangan, tetapi lebih dari itu, sebagai sebuah organisasi lengkap bagi menjaga kepentingan agama, strategi, ekonomi dan politik ummat Islam.
2: ii. Keperluan Bernegara
Selepas bebarapa abad berusaha membebaskan diri, akhirnya kebanyakan negara Islam telah berjaya memperolehi kemerdekaan daripada pihak penjajah Barat. Perolehan kemerdekaan ini telah membawa ke muka satu persoalan mengenai, asas apakah yang akan digunakan oleh mereka untuk mentadbir negara sendiri bagi membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada segenap lapisan dalam masyarakat?
Persoalan ini bukanlah semata-mata persoalan kecekapan pentadbiran tetapi juga merupakan persoalan ideologi. Umat Islam sendiri perlu membuat keputusan sama ada negara yang baru merdeka itu perlu menuruti konsep pemerintahan moden yang terdapat di Barat yang menafikan kedudukan agama dalam mencorak aktiviti kehidupan masyarakat dalam bernegara atau mengambil semula Islam sebagai panduan dalam segala aspek kehidupan samada dalam perhubungan individu atau bernegara.
Menurut Ibn Taymiyah, aturan sosial yang dicapai di zaman baginda Muhammad s.a.w. tidak layak dipanggil sebagai negara (imamah). Katanya, walaupun Rasulullah s.a.w. telah dipatuhi dalam segala hal oleh ahli masyarakat di masa itu, tetapi kepatuhan itu berlaku tehadap Rasulullah s.a.w. bukan sebagai seorang kepala negara tetapi sebagai seorang rasul. Baginda telah mengeluarkan peraturan-peraturan dan hukum, memungut hasil (zakat), melancarkan perang, menandatangani perjanjian, dan menjalin hubungan antarabangsa, tetapi semua fungsi-fungsi itu telah dilaksanakan oleh Baginda semata-mata sebagai seorang Rasul.iii
Semua pencapaian Baginda s.a.w. bukanlah satu syarat kepada kerasulannya, tetapi hanya merupakan satu sebab semulajadi lahir daripada kerasulan tersebut. Baginda dipatuhi sebelum baginda memperolehi kekuasaan, demikian juga setelah baginda menjadi pemimpin satu masyarakat yang amat digeruni. Baginda dipatuhi semasa baginda hidup begitu juga segenap pengikutnya akan mentaati baginda selepas kewafatan baginda sehingga kiamat.
Ini bukanlah sifat-sifat yang ada kepada suatu kedaulatan politik yang merupakan asas utama kewujudan sebuah negara. Tambahan pula baginda bukanlah dipilih atau ditabalkan oleh pengikut-pengikutnya, dan baginda bukan juga bertanggungjawab terhadap mereka mengenai segala tindakan baginda. Dalam ertikata yang lain, jika kita menggunakan perkataan kedaulatan berkaitan dengan kedudukan baginda, kita harus mempersetujui bahawa kedaulatan itu tidaklah berpunca dari persetujuan atau kehendak rakyat, tetapi ia adalah anugerah daripada Allah s.w.t. iv
Ayat-ayat Al-Quran secara jelas telah menerangkan matlamat dan tujuan kerasulan baginda s.a.w., tetapi tiada di mana-mana pun mengatakan bahawa tugas baginda adalah juga untuk membentuk sebuah kekuasaan politik di Makkah dan di Madinah. Ibn Taymiyah tidak menafikan bahawa terdapat suatu bentuk kekuasaan politik di zaman baginda s.a.w., tetapi rejim kerasulan baginda adalah satu institusinya yang tersendiri (sui generis), dan dengan yang demikian, ia tidak boleh menjadi asas kepada teori politik dalam Islam. Walaupun begitu, ciri-ciri kepimpinan rasulullah tersebut perlulah dijadikan panduan terbaik bagi semua pemimpin-pemimpin Islam.
Selanjutnya, Ibn Taymiyah juga berpendapat bahawa aturan politik yang dicapai di Madinah selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. sebagai satu keputusan istimewa Allah s.w.t. dan menamakan kekhalifahan itu sebagai khalifat al-nubuwah (wakil kenabian). Kekhalifahan ini pada pandangan Ibn Taymiyah juga mempunyai ciri-ciri istimewanya sendiri (sui generis), dan tidak akan dapat dicapai lagi dalam sejarah manusia. Di mana rasulullah s.a.w.sendiri telah menyatakan bahawa ia akan berlanjutan selama tiga puluh tahun dan selepasnya akan berlaku pemerintahan beraja (dominion), iaitu satu bentuk aturan politik umum dan bukan sebagai wakil kerasulan.
Kalau kita lihat dari segi sejarah pun, walaupun pemerintah-pemerintah Umayyah dan Abbasiyah dan selainnya memanggil diri mereka sebagai khulafa' , kita menerima mereka sebagai ianya kerana mereka memiliki kekuasaan dan mempunyai bidangkuasa sebenar dan merupakan raja bagi kaum muslimin dan penguasa ke atas dunia Islam. Mereka memerintah bukan sebagai pembantu rasulullah, tetapi datang di masa selepas baginda dan telah cuba melaksanakan syariah sebagai undang-undang asas negara setakat kemampuan mereka sahaja.v
Oleh yang demikian pemikiran politik Islam perlu diberi perhatian dan diperbahaskan semula berdasarkan kepada keperluan dan perubahan zaman. Konsep "syura" yang ada, di rasakan tidak jauh berbeza dengan sistem demokrasi, tetapi cuma prinsip-prinsip asas Islam seperti kejujuran, keadilan, pengagihan kekayaan, kepentingan umum melebihi kepentingan individu dan beberapa perkara asas lain perlu menjadi kriteria utamanya. Konsep negara ini juga perlu di ketengahkan dengan ingatan bahawa ia adalah permulaan kepada langkah membawa masyarakat Islam kepada kesatuan ummah, dan contoh utamanya adalah sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Dalam ertikata lain, masyarakat Islam perlu memikirkan tentang ummah sejagat dalam apa sahaja tindakan dan perencanaan mereka.
3. MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA ISLAM
Di Malaysia, pemakaian undang-undang Islam adalah menurut peruntukkan Perelambagaan Persekutuam 1957. Semasa Perlembagaan tersebut dirangkakan dalam tahun 1957, Suruhanjaya Reid telah membuat pertimbangan sama ada perlukah satu kenyataan dimasukkan ke dalamnya, yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Akhirnya dipersetujui jika satu kenyataan sedemikian hendak dimasukkan, perlulah diperjelaskan bahawa ia dengan cara apa pun tidak akan menjejaskan hak-hak sivil orang-orang bukan Islam.vi
Akhirnya satu kompromi telah diambil di mana Artikel 3 Perlembagaan telah membuat peruntukkan mengenai Islam sebagai agama persekutuan. Walau bagaimanapun perkataan "Islam sebagai agama Persekutuan" yang terdapat dalam perenggan (1) Artikel tersebut tidak mempunyai kesan undang-undang menyeluruh tentang kedudukkan Islam dalam pentadbiran dan sistem berkerajaan di Malaysia. Niat sebenarnya mungkin hanya untuk meletakkan Islam sebagai wajib dalam upacara-upacara di peringkat persekutuan sahaja.
Bahkan Perkara 160 tidak memasukkan dengan nyata undang-undang Islam dalam definisi undang-undang. Perlembagaan persekutuan telah memperkenalkan sistem pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan dan negeri. Diperuntukkan dengan jelas di dalam senarai negeri dalam jadual sembilan bahawa undang-undang Islam dan undang-undang peribadi dan kekeluargaan Islam adalah dalam bidangkuasa badan perundangan negeri.
Kuasa badan perundangan negeri di antaranya termasuklah kuasa untuk menggubal perkara-perkara mengenai undang-undang Islam dan juga kuasa menubuhkan mahkamah yang mempunyai bidangkuasa ke atas orang-orang Islam sahaja. Ditetapkan juga bahawa bidangkuasa mahkamah-mahkamah tersebut tidaklah boleh menyentuh mana-mana bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang dibenarkan oleh undang-undang persekutuan. Walaupun peruntukkan ini menyatakan bahawa perkara-perkara itu telah dimasukkan ke dalam Senarai Negeri, ada banyak undang-undang persekutuan yang menghadkan bidang dan pemakaian undang-undang negeri.
Misalnya, dalam hal warisan, mati berwasiat dan tak berwasiat, pertimbangan harus diberi kepada Akta Probet dan Pentadbiran, 1959 (Disemak 1972) dan Akta Pusaka Kecil (pembahagian), 1959 (Disemak 1972) yang mengakibatkan kadi-kadi hanya mempunyai fungsi untuk mengesahkan sahaja pembahagian yang telah ditetapkan kepada waris-waris menurut undang-undang Islam. Manakala dalam hal jenayah bidangkuasa mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang-orang Islam sahaja dan kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawahnya hanyalah kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan. Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 yang kemudiannya dipinda pada tahun 1984 mengendalikan perkara ini. Akta ini memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dijalankan mengenai apa-apa kesalahan yang hukumannya melebihi tiga tahun (dahulunya 6 bulan) atau apa-apa denda yang melebihi RM 5,000 (dahulunya RM 1,000) atau sebat enam rotan (dahulunya tidak diperuntukkan) atau gabungan kedua-dua hukuman itu.vii
Sungguh pun begitu Malaysia masih diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Negara Islam yang proses pengislaman semula institusinya berjalan secara bertahap dan dengan penuh kewaspadaan, menurut keadaan masyarakat dan politik semasa. Bahkan kemajuan dari segi politik, institusi, dan ekonomi Malaysia adalah jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan kebanyakkan negara-negara Islam lain, termasuk yang mendakwa mereka mengamalkan sistem syariah, seperti mana Saudi Arabia.
Kebangkitan Islam atau kesedaran bahawa perlunya penghayatan Islam di Malaysia berlaku secara ketara pada awal tahun 70an. Akibat daripadanya timbullah synergi baru dalam PAS dan bersemaraklah pertubuhan-pertubuhan dakwah seperti ABIM, Tabligh dan al-Arqam. Dengan tiadanya sekatan ketara daripada pihak pemerintah, penglibatan kaum muda terutamanya para pelajar dengan pergerakan-pergerakan tersebut, telah dengan cara tidak langsung, mempengaruhi bidang-bidang pentadbiran, politik dan ekonomi Malaysia, sejak akhir 80an dan awal 90an. Di hari ini kita dapat lihat bahawa Islam telah mula diberi kedudukannya, walau pun pada tahap-tahap yang tertentu, dalam pengubalan polisi dan perjalanan institusi, sehinggakan tertubuhnya beberapa institusi Islam seperti Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan IKIM, dan juga penaikkan taraf Mahkamah Syariah.
4. MISI KITA UMMAH MUSLIMIN ATAU NEGARA BANGSA?
Persoalan yang sering dihadapi oleh setiap penggerak dan pejuang kalimat Allah adalah, adakah misi mereka itu bersifat universal atau hanya di peringkat negara atau selebih-lebihnya pada peringkat bangsa? Kalau dilihat pada hakikat masa kini kebanyakan pergerakan pengislahan dan dakwah adalah bersifat "local", hanya segelintir sahaja bersifat a'lami. Ini adalah kerana kaum muslimin telah lama meninggalkan gerakan islah dan dakwah, akibatnya ciri asas yang ditinggalkan rasulullah dan para sahabatnya tidak begitu jelas kepada kaum muslimin. Kalau pun nampak bayangannya, hanya segelintir sahaja yang mampu melaksanakannya. Ini adalah kerana ia amat "baru" kepada kebiasaan mereka dan memerlukan pengorbanan yang besar sama ada secara material, fizikal dan perasaan (nafsu).
Banyak yang berpendapat bahawa kita perlu maju dari segi ilmu, kebendaan dan teknologi barulah kita boleh membuat sumbangan kepada Islam. Tetapi menurut ramai ulama muktabar mereka mengatakan bahawa pergerakan islah dan dakwah sebenarnya tidak memerlukan semua itu. Yang diperlukan adalah pengorbanan dari kaum muslimin. Ini dapat dilihat dalam kehidupan Rasulullah dan para sahabat sendiri. Menurut pendapat mereka kalaulah Allah menganugerahkan kekuasaan dan harta itu adalah satu kemudahan dari kurniaNya sahaja. Bahkan Rasulullah dan para sahabatnya sendiri tidak dikurniakan dengannya.
Dari segi sejarah kita telah lihat bahawa ummah Islam telah jatuh bukannya berdiri tegak walaupun ilmu begitu maju seperti mana di zaman kejatuhan Baghdad kepada tentera tartar. Pada masa itu kekayaan melimpah ruah dan pencapaian ilmu pengetahuannya juga adalah tinggi. Masalahnya adalah, umat Islam telah meninggalkan usaha-usaha pengislahan dan dakwah yang akibatnya amal Islam dan akhlak menjadi rosak disebabkan kemewahan. Ilmu semata-mata tidak dapat menyelamatkan mereka kalau pengislahan iman tidak dilakukan secara berterusan, walaupun semasa mengusahakan ilmu dan kebendaan.
Dimensi matlamat dan cara perjuangan Islam adalah berlainan dengan corak perjuangan keduniaan, sama ada dalam menjadi satu bangsa yang kuat atau dalam memodenkan ummah. Perjuangan keduniaan berasaskan kebendaan manakala perjuangan Islam adalah berasaskan kekuatan iman dan amal. Kebendaan seperti wang ringgit dan peralatan adalah satu kemudahan kepada perjuangan Islam dan matlamatnya adalah keredaan Allah. Sedangkan cara dan matlamat perjuangan keduniaan adalah kebendaan dan kemewahan semata-mata.
Dalam perjuangan Islam pengislahan iman perlu dilakukan setiap waktu kerana perkara-perkara yang akan merosakkan iman sentiasa berada di dalam dan di sekitar kita. Nafsu sentiasa mengajak kita kepada maksiat, syaitan juga berbuat demikian dan lebih kritikal lagi suasana di sekeliling, dengan kemajuan teknologi media dan pengaruh budaya Barat dari segi pergaulan, fesyen dan makan minum ajakan kepada mungkar itu sentiasa besar pengaruhnya. Dengan adanya wang dan kedudukan maka ia akan memudahkan lagi peluang seseorang itu terjerumus ke kancah bahaya itu.
Kesan pengejaran kekayaan tanpa mementingkan usaha-usaha pengislahan iman dan amal dapat kita lihat sendiri di negara kita kini. Kekayaan yang diperolehi itu bukan sahaja tidak dapat digunakan bagi membantu pembangunan Islam secara lebih menyeluruh bahkan telah membawa manusia jauh dari Allah dengan terjerumusnya mereka ke lembah maksiat dan mungkar. Jadi apa yang perlu dilakukan ialah dalam melakukan islah iman dan dakwah, ilmu, kekayan dan kemajuan harus dikejar, tetapi amatlah salah untuk kita berpendirian bahawa bagi memulakah usaha pengislahan iman dan dakwah; kekayaan, ilmu, dan kemajuan adalah pra-syaratnya. Kalau kita berpendirian begini bermakna kita sendiri menempah kemerosotan.
Usaha-usaha pengislahan iman dan dakwah yang dilakukan harus bersifat sejagat (dari segi fikiran dan perbuatan) yang melibatkan keseluruhan ummah Islam tidak kira samada yang tinggal di negara majoriti Islam atau yang minoriti. Dengan kemajuan iman sahaja ummat Islam di seluruh dunia dapat disatukan dalam satu ummah, dan dengan kesatuan ini sahaja rahmat Allah dapat diperolehi. Tanpa kesatuan sebegini betapa tinggi pun ilmu yang ada, betapa banyak pun kekuatan senjata, dan betapa banyak pun kekayaan, ia tidak akan dapat membantu membela nasib ummah Islam keseluruhannya.
Di samping itu pengukuhan negara bangsa tidak patut dianggap sebagai matlamat umat Islam di sesuatu negara. Tetapi pengukuhan negara bangsa perlu dianggap sebagai langkah kepada proses penyatuan negara-negara Islam di bawah satu komonwealth ummah Islam yang setiap negara sebagai wilayah mempunyai autonominya sendiri dari segi pentadbiran. Bangsa Eropah Barat telah pun berusaha ke arah ini dan kini kemajuan telah banyak dicapai. Dari organisasi European Union, mereka telah berjaya menubuhkan parlimen bersama, mahkamah bersama dan kini sedang menuju ke arah mata wang bersama.
Langkah awal perlu dimulakan dari sekarang walaupun kejayaan idea ini mungkin mengambil puluhan tahun bahkan mungkin ratusan tahun. Dari segi sejarah seratus tahun bukanlah lama, dan jika kita toleh ke belakang, terbelenggunya bangsa-bangsa Islam di bawah kekuasaan penjajah berlaku di antara 200 hingga ke 500 tahun. Ia bermulanya dengan penawanan Portugis di awal abad ke 16 ke atas Ceuta di pantai Afrika Utara (1415), Goa (1510), Melaka (1511) dan Ormuz di Teluk Parsi (1515).viii
5. MATLAMAT TAMADUN BARAT
Tamadun Barat menjadi maju selepas tercetusnya Revolusi Perancis dan Revolusi Perusahaan di Eropah pada kira-kira abad ke lapan belas. Asas kepada wujudnya tamadun baru Eropah adalah satu fenomena ekonomi yang dipanggil revolusi perindustrian dan dari sini telah timbul satu sistem pemerintahan yang dipanggil "demokrasi". Sistem demokrasi ini mementingkan kedaulatan ramai "popular sovereignty", dan hak dan kebebasan individu. Ia kini menjadi tunggak kewujudan tamadun Barat dan telah diterima oleh banyak masyarakat bukan Barat sebagai sebahagian norma masyarakat mereka.
Sejak munculnya tamadun Barat ini ideologi dan falsafah yang dianuti mereka itu telah dipromosikan sebagai satu ideologi dan falsafah sejagat yang perlu diterima oleh semua manusia jika mereka ingin menjadi maju dan bertamadun. Bahkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada demokrasi dan individualisme Barat ini telah jadi elemen-elemen asas di dalam undang-undang dalam hubungan antarabangsa hari ini yang peraturannya kebanyakkannya berasal dari Undang-Undang Negara-Negara Eropah (European Law of Nations).
Dari segi falsafah dan ideologi, negara-negara Barat sebagai pengasas dan pendokong tamadun baru dunia merasakan bahawa negara-negara lain perlu menyesuaikan diri mereka dengan tata baru dunia yang dicanangkan mereka. Walaupun zaman kolonialisme telah tamat, perasaan bangga dan keangkuhan budaya masih meluas di kalangan masyarakat Barat. Pada tanggapan Barat negara dan bangsa lain hanya akan menjadi bertamadun dan maju jika mereka menerima segala norma-norma dan nilai tamadun Barat. Proses pensejagatan yang didokong oleh Barat sebenarnya kalau difahami, adalah tidak lebih sebagai satu kesatuan antarabangsa dalam undang-undang dan amalan ekonomi yang berasaskan kepada konsep dan nilai Liberal Kapitalis Barat, apa yang boleh dianggap sebagai satu "ultra-imperialisme".
Di bawah ini digariskan beberapa matlamat khusus Tamadun Barat dalam melancarkan diplomasi politik mereka di arena antarabangsa:-
5: i. Menguasai Politik Dan Ekonomi Dunia
Sistem hubungan antarabangsa yang ada pada hari ini adalah dicipta dan dikawal sepenuhnya oleh negara-negara Barat. Adalah menjadi kebiasaan bahawa undang-undang dicipta bertujuan bagi memenuhi keperluan sesuatu tamadun. Oleh kerana kedudukkan istimewa dan keunggulan yang dinikmati oleh masyarakat Eropah Barat dan Amerika Syarikat dalam politik antarabangsa maka undang-undang antarabangsa yang dicipta dan diketengahkan adalah bersesuaian dengan keperluan politik, ekonomi dan strategik mereka.
Sebab itulah undang-undang antarabangsa yang diamalkan oleh masyarakat antarabangsa sekarang tidak boleh dan tidak layak dikatakan sebagai satu sistem yang adil lagi saksama. Sejak awal pembentukkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lagi, negara-negara komunis dan negara-negara membangun telah mengkritik konsep-konsep undang-undang antarabangsa yang ada sebagai satu himpunan konsep-konsep dan prinsip-prinsip yang menekankan eksploitasi dan kebergantungan sebilangan kecil negara-negara Eropah yang mengamalkan hegmoni kumpulan ke atas masyarakat-masyarakat Asia, Afrika dan Amerika Latin sebagai tanah-tanah jajahan. Dalam ertikata lain "undang-undang antarabangsa berperanan senagai satu asas perundangan bagi segala bentuk penjajahan politik dan ekonomi".ix
Bahkan seorang penulis Barat, Ferguson, telah mengatakan bahawa sistem antarabangsa hari ini yang mula dicipta dalam tahun-tahun 40an adalah direncanakan oleh dan bagi faedah negara-negara Atlantik Utara. Arkitek utamanya adalah Amerika Syarikat dan dimensi-dimensi kewujudan dan pengukuhannya adalah jelas: berdasarkan kepada aspek-aspek ketenteraan dan strategik, kekuasaan ekonomi dan monopoli ideologi.x
Walaupun sejak Perang Dunia Kedua sudah berlaku banyak perubahan dalam dominasi kuasa dunia, keadaan yang dinyatakan oleh Ferguson masih menjadi hakikat kebenaran, walaupun ia wujud dalam bentuk yang baru. Kejayaan Amerika Syarikat dalam Perang Dingin merupakan satu kejayaan bagi satu himpunan prinsip-prinsip politik dan ekonomi: iaitu demokrasi dan pasaran bebas. Dari segi strategik dan ketenteraan Amerika Syarikat tetap kekal sebagai kuasa utama kerana kemajuan teknologi dan nuklear yang dimilikinya. Tetapi dari ekonomi dunia kini boleh dikatakan menjadi tripolar, di mana sejak dua dekad yang lalu Jepun dan Kesatuan Eropah telah mengongsi status kuasa ekonomi dunia di sisi Amerika syarikat.
Sungguh pun demikian, dari segi persaingan pengaruh kuasa dunia, nampaknya hanya wujud dua kuasa yang utama, iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (kerana Jepun lebih bersikap akomodatif demi kepentingan pasaran barangan dan pelaburannya). Secara umumnya negara-negara Barat tersebut mempunyai sifat dan pandangan yang sama terhadap falsafah, sejarah, nilai dan kebudayaan. Melalui institusi-institusi antarabangsa seperti PBB dan agensi-agensinya, perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Pakatan Bretton Woods yang menghasilkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), mereka telah berjaya mendominasi politik, ekonomi dan sistem kewangan dunia.
5: ii. Pemaksaan Sistem Demokrasi Dan Budaya Barat
Maksud ayat al-Quraan;
"Kebanyakan dari orang-orang ahli kitab ingin kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir sesudah beriman, disebabkan kedengkian dalam jiwa mereka; ...."(2:109)
"Tidak akan reda (senang) orang-orang Yahudi, begitu juga orang-orang Kristian, sehinggalah engkau mengikuti jalan hidup mereka ...."(2:120)
"Sesungguhnya engkau dapati yang paling keras memusuhi orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, dan sesungguhnya engkau dapati orang yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang beriman, ialah orang-orang yang mengatakan: kami ini orang-orang Kristian. Ini disebabkan di kalangan mereka terdapat pendita-pendita dan orang-orang yang beribadat di dalam gereja; sudah tentu mereka tidak menyombongkan diri" (5:82)
Sistem demokrasi adalah sejenis bentuk berkerajaan dalam mana golongan diperintah iaitu rakyat, dikatakan sendiri yang memerintah (popular sovereignty). Sebab itulah sistem demokrasi mempunyai struktur "bottom up", tetapi pada masa yang sama disebabkan oleh kedudukan samarata rakyat dalam menentukan nasib mereka, diaturkan juga secara melintang. Manakala sistem-sistem yang mana rakyat diketepikan daripada mengambil bahagian dalam menentukan nasib mereka, di mana segala-galanya diputuskan dari atas (top down) adalah tidak demokratik dan dianggap sebagai berbentuk diktator.xi
Pada pandangan Barat, selepas hancurnya dua pemerintahan totalitarian yang terbesar - Nazisme dan Komunisme, kesejahteraan dunia sejagat kini bergantung kepada percambahan pesat nilai-nilai asas Barat, iaitu; idea-idea demokrasi, hak asasi manusia, masyarakat sivil (madani) dan pasaran bebas.xii Tamadun Barat ini merupakan satu tamadun yang amat dinamik yang di dalamnya terdapat gaulan elemen-elemen klasik, kristian, yahudi dan pada tahap-tahap tertentu Islam, dan ia kini mempunyai kesan dan pengaruhnya sendiri ke atas semua tamadun dunia. Amalan nilai-nilai Barat ini dihujahkan akan menghasilkan darjah tertinggi kebebasan manusia, di mana keadilan dan kemakmuran akan tercapai.
Walaupun bagi Barat nilai-nilai ini merupakan nilai-nilai terbaik dan satu-satunya sahaja pilihan yang ada kepada dunia, pendangan sebegini amat ditentang oleh masyarakat lain di dunia. Dalam keadaan ini untuk menganggap bahawa demokrasi dengan mudah dapat diperkembangkan di seluruh dunia dan ini dengan sendirinya akan mengelakkan pertelingkahan budaya, adalah satu pandangan yang cetek dan tidak waras. Ringkasnya demokrasi pada persektif Barat telah menimbulkan banyak skeptisme dan kecurigaan kepada masyarakat-masyarakat lain dunia.
Bantahan kepada Barat bukan sangat diajukan ke atas konsep demokrasi, tetapi lebih ke atas nilai dan budaya yang mendokong demokrasi Barat itu. Iaitu terhadap batasan dan kedangkalan sistem demokrasi dari sudut spiritual, intelektual dan moral; iaitu keupayaannya yang terhad dalam menangani masalah kemanusiaan secara adil, sejagat dan lebih tulin. Barat mengharapkan negara-negara bukan Barat menerima demokrasi sebagai hasilan produk import yang sempurna, manakala masyarakat bukan Barat menganggap ianya sebagai satu unsur yang pada tahap-tahap tertentu sudahpun wujud di dalam budaya mereka, yang hanya memerlukan kepada cungkilan semula, pembaharuan dan pengolahan berdasarkan kepada keperluan moden dan dasar pengalaman demokrasi Barat.
Tetapi apa yang memalukan bagi kita, umat Islam, walaupun kita sering menghujahkan bahawa konsep demokrasi (syura) adalah tidak asing kepada Islam, tidak ada walaupun satu negara Arab yang mempunyai institusi pemerintahan yang bercorak demokrasi. Lebanon mungkin hampir dengan demokrasi, Yaman telahpun mengadakan pilihanrayanya sendiri dan satu dua yang lain sedang memikirkan langkah-langkah penerapan nilai demokrasi, tetapi kebanyakkan negara Arab lain mengamalkan sistem-sistem pemerintahan autokrasi atau pun monarki.xiii
Apa yang digambarkan oleh Abul Hasan Ali Nadwi, mengenai keadaan kerajaan-kerajaan Islam yang mengantikan Khalifah ar-Rashidin, seperti pemerintahan Umayyah dahuluxiv telah kini menjadi lambang kenyataan bagi masyarakat Arab. Mereka kembali menjadi lebih Arab dari Islam. Adat dan tradisi jahilliyah yang mana telah pun dihapuskan oleh nabi Muhammad s.a.w. telah kembali menyelinap ke dalam kehidupan bangsa Arab moden.
Kerajaan tidak lagi diperintah menurut kehendak-kehendak al-Quraan dan Sunnah; yang dijadikan panduan adalah diplomasi Arab, dan kemudahan dan kepentingan negara bangsa. Kebangsaan Arab, kebanggaan puak, semangat perkauman dan nepotisme, yang dahulunya, di zaman Khalifah ar-Rashidin dianggap sebagai satu dosa yang tidak terampun, telah kini menjadi mercu tanda kerajaan-kerajaan autokrasi Arab moden. Maka akibatnya secara umum, jiwa bangsa Arab jahilliyah yang lama, seperti pembaziran, kepura-puraan dan kesombongan mengambil tempat sifat-sifat mulia dan ketinggian akhlak yang dicapai oleh golongan terdahulu.
5:iii. Memecah-Belahkan Dunia Islam Untuk Kepentingan Yahudi Dan Amerika
Dalam dunia antarabangsa tidak boleh dinafikan lagi bahawa Amerika Syarikat kini merupakan Kuasa Besar yang utama. Sebagai Kuasa Besar yang utama, Amerika Syarikat kini cuba berperanan dalam membentuk dunia baru yang "aman dan adil". Tetapi dunia ini amat luas dan sentiasa dilanda dengan bermacam masalah dan kesengsaraan manusia. Walaupun, merupakan sebuah negara Kuasa Besar, dengan segala jenteranya Amerika hanya berupaya menyelesaikan beberapa masalah pada sesuatu waktu dalam usaha-usahanya itu.
Tetapi, seperti negara bangsa lain, Amerika hanya berupaya membuat pilihan mengenai masalah-masalah ini secara berkesan dengan bersandarkan kepada keutamaan kepentingan politiknya yang ada. Bahkan tidak dapat difikirkan bagaiman Amerika boleh melaksanakan kepentingannya tanpa mengambil kira nilai-nilai yang didokongnya, terutama kepercayaan kepada kebebasan individu dan pasaran bebas. Dasar luar negara pula perlu dikaitkan dengan perkara yang pada pandangan masyarakat umum Amerika penting bagi kewujudan negara itu sendiri. Dalam keadaan sekarang melalui negara bangsalah polisi dan kewajipan pemimpin ditetapkan. Jika kepentingan negara tidak dapat dipenuhi maka polisi ditamatkan dan pemimpin perlu mengundurkan diri.xv
Walaupun melalui dasar luarnya, Amerika telah berjaya menonjolkan kewibawaannya, polisinya mengenai Asia Barat banyak memperlihatkan kecondongan untuk sentiasa menyebelahi Israel. Tambahan lagi, Israel tidak pernah memperolehi kelebihan seperti mana yang mereka perolehi di bawah pentadbiran Presiden Clinton sejak tahun 1993. Kepentingan ekonomi dan ketenteraan Israel amat dijaga oleh pentadbiran Presiden Clinton. Walaupun di zaman di mana Amerika banyak mengurangkan belanjawannya, Israel masih menikmati bantuan ekonomi dan ketenteraan dalam jumlah yang tidak pernah diterimanya dalam pentadbiran presiden-presiden yang terdahulu.xvi
Pakatan geostrategik di antara Amerika Syarikat dan Israel telah menjadi seakan kuku dengan kulit sejak beberapa dekad yang lalu dan ini merupakan matlamat utama yang diperjuangkan oleh golongan lobi Yahudi di Amerika. Hasilnya Israel dan Amerika kini lebih bersungguh-sungguh dalam memanipulasi keadaan di Timur Tengah bagi memastikan supaya Dunia Arab terus berada dalam keadaan lemah, berpecah belah dan bermusuhan di antara satu sama lain.
Selepas tumbangnya kekuasaan Shah di Iran, Israel dan Amerika telah dengan licit berpakat, bersama-sama dengan kuasa lain di rantau tersebut, untuk melagakan Iraq dengan Iran dalam satu perperangan yang berlanjutan yang akhirnya telah mngeringkan sumber kewangan di kedua pihak. Pada masa-masa yang genting dalam peperangan tersebut, iaitu, apabila satu pihak hampir mengalami kekalahan, Israel dan Amerika akan mencelah, melalui bermacam cara kotor, dengan membekalkan senjata kepada pihak-pihak tersebut bagi memastikan peperangan terus berlarutan.
Dan apabila peperangan Iraq-Iran tamat, Amerika dan Israel kemudian telah merancang untuk mengeluarkan Iraq dari keseimbangan strategik dan dari berperanan dalam dekad yang akan datang di Timur Tengah. Dalam Perang Teluk yang berlaku pada tahun 1990 jentera ketenteraan Iraq telah dilumpuhkan dengan begitu teruk sekali. Menurut John Pilger, seorang kolumnis terkenal, Presiden Saddan Hussein telah "terjebak"xvii (digunakan bagi menjustifikasikan perbelanjaan pertahanan Amerika). Kedudukan Iraq sebagai sebuah kuasa ketenteraan yang bebas juga tidak boleh diterima oleh Amerika dan Israel, walaupun potensi ketenteraan Israel tiada bandingannya di Timur Tengah.
Dalam meneruskan polisi asasnya di Timur Tengah Amerika telah menggunakan berbagai taktik, gandingan di antara pendekatan sulit dan terang. Amerika dan Israel telah bersungguh-sungguh sejak tamatnya Perang Teluk, bagi menggenakan tekanan ke atas kuasa-kuasa Arab terutamanya bagi mendesak Palestin supaya bersetuju terhadap satu bentuk perjanjian damai tanpa mengira sama ada syarat-syaratnya banyak menyebelahi Israel atau tidak.
Selepas berjaya memperolehi batu asas itu, iaitu dengan tertandatangannya Perjanjian Damai Israel-PLO , keutamaan Amerika dan Israel kemudiannya adalah untuk mengilas satu persatu negara Arab lain untuk menuruti Mesir, memasuki perjanjian damai secara berasingan dengan Israel. Apabila ini tercapai mereka merencanakan untuk membawa negara Yahudi itu menjadi sebahagian daripada integrasi dunia Arab, dan akan menjadi pemain utama dalam aspek ekonomi, politik dan ketenteraan. Proses ini sedang diteruskan melalui berbagai muslihat politik dan diplomasi,xviiiwalau pun kejayaan dan natijahnya belum dapat dianggarkan lagi.
Dalam dunia antarabangsa, senario sebenar mengenai masalah keamanan di Asia Barat telah dengan sengaja dikaburi dengan kabus politik bagi memendamkan kedudukan sebenar permasalahan Asia Barat. Sejak zaman yang lampau Asia Barat tidak pernah padam daripada krisis dan ia sentiasa menjadi pusat pemerhatian dunia, tambahan pula kini ia menjadi tempat simpanan utama minyak dunia. Oleh itu apa-apa cubaan bagi menganalisa permasalahan Asia Barat secara menyeluruh akan menjadi sukar terutamanya bagi pihak atau media yang menggunakan pendekatan pemerhatian jangka pendek dan yang mempunyai kapasiti maklumat yang singkat.
Disebalik semua percaturan politik Timur Tengah, segala pendekatan Amerika dan Israel tidak lebih sebagai merupakan sebagai satu strategi "Pax Amerikana Moden", dengan Israel memainkan peranan berupa satu saluran serantau utama bagi menjayakan pengaruh kekuasaan Amerika. Dengan kelebihan mereka dalam keupayaan perisikan berteknologi tinggi, Amerika dan Israel telah biasa dalam mempermain dan memperlagakan pemimpin-pemimpin Arab supaya agenda utama mereka sentiasa licin proses perlaksanaannya.
Kini selepas kepimpinan Fatah dalam perjuangan rakyat Palestin mengakui dan menerima hakikat keunggulan Amerika dan kebergantungan politik mereka kepadanya, Israel dan Amerika lebih mempunyai ruang dan lebih bersemangat bagi mengukuhkan pengaruh dan kedudukan mereka di rantau tersebut . Perencanaan mereka akan diteruskan tanpa mengira apakah kedudukan Perjanjian Damai di antara Israel dan Palestin, sama ada mencapai kemajuan atau terus beku. Dari segi strategi, beberapa initiatif geostrategik berkaitan dengan rencana 'Pax Amerikana" ini dianggarkan dan digariskan seperti berikut:-
1. Penyerapan (integrasi) Israel menjadi sebahagian daripada Timur Tengah sebagai satu cara untuk mengukuhkan pengaruh Amerika. Antara lain peranan Israel adalah untuk membantu dalam pengumpulan maklumat perisikan dan keupayaan menjalankan propoganda sulit (saraf).
2. Penggunaan keupayaan periskan sulit Israel bagi membantu untuk mengelakkan pembentukan keupayaan persenjataan pengimbang Arab dan apa-apa cabaran ke atas status quo politik yang dinikmatinya di rantau itu.
3. Mendekati golongan Pro-Amerika di Timur Tengah, termasuk mengalakkan keterlibatan pihak Israel dalam memberi bantuan dan menangkis kemungkinan tindakan oleh musuh bersama.
4. Memelihara kepentingan asas ekonomi negara-negara Barat selari dengan dasar supaya berlaku penyaluran semula petrodollar kembali ke dalam sistem ekonomi Barat.xix
5. Dalam kesempatan ini Israel berharap dengan dicapainya perdamaian dan keamanan ia dapat menggunakan sokongan kuat ekonomi dunia ke atasnya dan kekuatan asas dan kepelbagaian ekonomi dalamannya bagi mendominasi ekonomi Timur Tengah.xx
Persoalannya, mengapakah Israel dan Amerika boleh mempermainkan masyarakat Islam hingga sedemikian rupa? Mereka boleh disuatu ketika melaungkan keadilan dan perdamaian manakala pada ketika yang lain melanggar, membunuh dan memusnahkan nyawa dan harta awam tanpa perasaan peri kemanusiaan langsung (above the norm of International Law). Ujian dalam menentukan sama ada tindakan mereka itu sah dan adil atau tidak, adalah menurut petimbangan nilai dan politik mereka, sehinggakan kadangkala justifikasinya menjadi tidak menasabah kerana ia jauh dari nilai-nilai asas keadilan sejagat.
Amerika memang bijak berlakon menjadi talam dua muka. Pada satu ketika ia adalah rakan dagang, pelindung kepada regim-regim diktator negara-negara Arab dan menjadi rakan pertahanan mereka. Manakala pada ketika yang lain ia menyebelahi dan mempertahankan segala tindakan kejam Israel daripada dikondem masyarakat dunia. Mereka faham bahawa untuk beberapa ketika kemudian semuanya akan dilupakan kerana nampaknya nyawa dan harta benda orang Islam, sepertimana nyawa, harta, dan tempat tinggal rakyat Palestin adalah murah sekali,xxi manakala wang Saudi, Kuwait dan Iraq adalah untuk kegunaan semua.
Amerika juga berperanan dalam menyokong regim Saudi menjadi ketua kaum muslimin sehingga dengan kekayaan mereka, Ketua Dua Tanah Suci (Kadam Haramain) itu sebagai pemimpin yang cetek wawasan (dan boneka bagi Barat) telah mengakibatkan bekunya program pertubuhan-pertubuhan Islam, termasuklah OIC yang sekurang-kurangnya telah berkesan dalam melambatkan arus perubahan di dunia Islam.
6. CABARAN DAN LANGKAH PEMBAHARUAN
Fenomena kedudukan masyarakat Islam di seluruh dunia secara rengkasnya boleh digambarkan sebagai kini keseluruhannya berada dalam keadaan yang dhaif dan menyedihkan. Baik sebagai satu masyarakat mahu pun sebagai sebuah negara keadaan umat Islam jauh ketinggalan dalam segenap bidang. Samada dari segi peradaban, pendidikan, pemerintahan dan juga sains dan teknologi, rata-rata umat Islam berada jauh di belakang jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia.
Bagi seorang reformis (jika ada) yang memikirkan pembaharuan menyeluruh bagi dunia Islam, adalah amat sukar untuknya mengariskan di manakah punca masalah ummah Islam dan di manakah pula titik permulaan bagi dilakukan pengislahan. Adakah kelemahan Islam kerana tiada golongan cerdik pandai, atau kurang kekayaan, ataupun kerana kurangnya kekuatan? Kalau dari segi kekayaan, orang Islamlah yang paling kaya di dunia, negara Islamlah yang paling tinggi per kapitanya, dunia Islam juga tidak kurang dengan bijak pandainya dan begitu juga dengan kekuatan persenjataannya. Jadi apakah masalah sebenar?
6: i. Kelemahan Dunia Islam
Selepas kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam satu persatu kepada kuasa penjajahan Barat di abad ke 16, umat Islam boleh dikatakan telah mengalami tragedi dan mimpi ngeri yang panjang. Keadaan politik, sosial dan ekonomi adalah pada tahap yang menyedihkan. Negara dan penduduk Islam telah diekspliotasikan sehabis-habisnya sehingga kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan kemiskinan, buta huruf dan lemah keagamaan.
Keadaan umat Islam keseluruhan boleh dikatakan berada dalam tiga keadaan yang direngkaskan seperti di bawah:-
a) kelemahan iman dan amal yang menyeluruh
b) Perpecahan yang amat luas
c) Kemerosotan politik, ekonomi, dan sosial
Keadaan inilah yang diwarisi oleh pemimpin-pemimpin dunia Islam selepas kemerdekaan. Oleh yang demikian kebanyakan daripada mereka terpaksa menghabiskan banyak masa dan tenaga bagi memperbaiki keadaan sedemikian di negara mereka. Model yang ada pada masa itu adalah samada mengambil model pemerintahan demokrasi atau sosialisme. Islam tidak dapat dilihat sebagai bersesuaian kerana segala bentuk institusi Islam telah beku ketinggalan zaman hampir 400 tahun di belakang. Ini adalah kerana usaha-usaha penyesuaian dan pengolahan semula, berasaskan kepada prinsip-prinsip asas Islam, bagi menghadapi permasalahan semasa tidak pernah difikirkan dan dilaksanakan.
Bagi negara-negara Islam di Timur Tenggah, sebahagiannya kekal mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Di kalangan mereka ada yang digulingkan oleh rejim-rejim tentera yang menerima prinsip sosialis sebagai anutan mereka dalam proses membangunkan negara. Tetapi, kebanyakkan daripada mereka menemui kegagalan. Asas ekonomi negara tidak nampak terbentuk di atas landasan yang boleh dibanggakan, manakala keadaan taraf hidup rakyatnya tetap tidak banyak berubah. Lebih buruk lagi, pemerintah pula bertukar menjadi regim-regim kuku besi yang memeras dan berlaku kejam terhadap rakyat mereka. Dalam hal ini rejim-rejim yang kekal dalam bentuk aristokratik juga tidak terkecuali.
Dalam hal keagamaan boleh dikatakan tidak ada pergerakan reformasi yang berterusan dapat dilakukan. Ini adalah kerana pemerintah sendiri yang takut kekuasaan mereka akan tercabar, dengan cepat mengambil tindakan memadam sinar yang cuba dibangkitkan. Kalau pun ada cumalah usaha-usaha berkala oleh ulama-ulama yang hanya boleh bertahan buat seketika (Ikhwan al-Muslimin di Mesir). Oleh yang demikian masyarakat Islam mula tengelam dalam arus materialisme, individualisme, hedonisme, apatisme, nepotisme, dan nihilisme.
6: ii. Langkah Pembaharuan Berterusan Dan Jangka Panjang
Berdasarkan kepada kedudukan kelemahan ummah Islam ini, cabaran bagi mengadakan pembaharuan adalah besar. Tanggung jawabnya ditanggung oleh setiap ummat Islam, samada yang memerintah, ulama, bijak pandai atau pun rakyat biasa. Rangka pembaharuan ini boleh dibahagikan kepada 2 bahagian. Pertamanya, adalah beberapa langkah berterusan dan pada jangka masa panjang, dan keduanya adalah langkah keperluan semasa dan jangka pendek. Langkah jangka panjang adalah seperti berikut:-
a) Mencari perpaduan ummah melalui pengukuhan iman
Asas Islam adalah keimanan, kerana dengan iman barulah terhasil seorang mukmin. Oleh kerana ummah terdiri daripada himpunan orang-orang yang beriman (mukminun), maka asas kekuatan ummah juga adalah kekuatan iman setiap mukmin. Ummah hanya dapat berdiri jika ahli-ahlinya berupaya mengenepikan segala sikap mementingkan diri dan mengutamakan bangsa, dan ini hanya boleh terjadi jika iman dan kecintaan kepada Islam setiap individu adalah teguh. Jadinya, rahsia di sebalik keteguhan ummah adalah usaha pemurnian iman yang dilakukan secara berterusan.
Menurut sejarah usaha-usaha pembersihan iman (iktikad) dan pemurnian amal kebanyakkannya dimulakan atau diberi nafas baru oleh ulama-ulama mukhlis yang timbul dari masa ke semasa di dalam perjalanan sejarah Islam.xxii Jarang sekali peranan ini dijalankan oleh pemerintah-pemerintahan (umara) Islam secara berkesan, melainkan mereka banyak berperanan dalam kempen perluasan wilayah Islam. Kempen-kempen itu akan menjadi lebih berkesan jikalau hubungan diantara umara dan ulama adalah konstruktif.
Sejak pemerintahan Bani Ummayah lagi, usaha-usaha dakwah dan pengislahan iman dan amal ummat Islam banyak diusahakan oleh ulama-ulama terbilang. Kebanyakan dari mereka menjauhkan diri dari umara kerana sistem pemerintahan bersifat autokrasi yang ditinggalkan selepas Bani Umayyah telah menjadi ciri utama pemerintahan di dunia Islam. Para pemerintah lebih banyak menyebokkan diri dengan urusan-urusan keduniaan mereka sehinggakan para ulama mulhid banyak menjadi mangsa kekejaman mereka kerana enggan bersekongkol dengan sikap keterlaluan mereka.
Keadaan serupa berlaku di kebanyakkan negara Islam hari ini. Bahkan yang menghairankan, usaha-usaha dakwah lebih mudah dijalankan di negara-negara Barat yang bukan Islam dari di negara Islam sendiri. Sebab itulah, hari ini kita dapat lihat bahawa Islam lebih subur perkembangannya di England, Perancis dan Amerika Syarikat jika dibandingkan dengan kebanyakkan negara Islam. Oleh yang demikian, usaha-usaha islah dan dakwah di dunia Islam patut dipergiatkan semula dan diberi perhatian yang khusus dalam aspek kerjasama serantau.
b) Mempromosikan sistem demokrasi (syura) secara luas
Memandangkan wujudnya pilihan baru iaitu sistem demokrasi (syura) di arena politik kini, ia kemungkinan akan dapat mengurangkan keterlaluan pemimpin, tambahan pula suara rakyat akan menjadi penentu kepada perjalanan pemerintahan. Jika kesedaran agama rakyat bertambah maka kepentingan agama akan sentiasa menjadi pertimbangan dalam mengariskan dasar pentadbiran negara. Bagi keberkesanan sistem pentadbiran cara perundingan ini peranan dua pihak, iaitu pemerintah dan ulama adalah penting.
Dengan adanya peranan ulama mulhid dalam masyarakat maka kedudukan Islam akan dapat diletakkan ditempat selayaknya. Sebab itulah kewujudan golongan ulama mulhid dan sistem pentadbiran yang demokrasi merupakan dua elemen yang saling bantu membantu dalam mempercepatkan perubahan sosial dan politik dalam dunia Islam. Ulama adalah penting dalam memainkan peranan sebagai pemerhati dan penentu garis asas Islam dalam proses perjalanan sesuatu sistem pemerintahan bercorak perundingan.
Oleh itu perubahan politik menyeluruh perlulah menjadi agenda penting ummat Islam sejagat, terutamanya dalam rangka tindakan mereka melalui aktiviti-aktiviti kesatuan serantau seperti OIC, GCC, Liga Arab dan sebagainya. Sistem pemerintahan bercorak demokrasi Islam perlulah di promosikan supaya dengan itu ummat Islam dapat menempa perubahan politik seperti mana yang diharap-harapkan.
c) Mensejagatkan OIC dengan menipiskan hegemoni Arab
Walaupun penubuhan OIC melibatkan Malaysia secara keseluruhannya, bahkan Setiausaha Agung petamanya adalah allahyarham Tengku Abdul Rahman, tetapi OIC kini boleh dikatakan dikuasai keseluruhannya oleh kepentingan Arab. Baik OIC ataupun Liga Arab yang lebih bersifat kebangsaan, kedua-duanya boleh dikatakan tidak berpanduan dan tiada visi kemajuan yang kukuh. Oleh kerana pemuka-pemuka dalam kedua-dua pertubuhan tersebut kebanyakkan terdiri dari golongan autokrat dan totalitarian maka apa pun perubahan yang direncanakan atau dipertimbangkan akan diukur pada kepentingan kekuasaan mereka.
Mereka kebanyakkan adalah boneka Barat terutamanya Amerika Syarikat, yang menjadi tunganggan Yahudi dan zionisme. Maka segala tindakan mereka akan berlawanan dengan kepentingan rakyat dan agama kerana inilah sebenarnya musuh Amerika dan Yahudi. Boneka Barat ini telah menggunakan kekayaan negara bagi mempengaruhi negara-negara Islam miskin dan mengkonsolidasikan kuasa di pertubuhan-pertubuhan serantau Islam sehinggakan apa sahaja yang ditentang mereka tidak akan menjadi agenda pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Ini menyebabkan dunia Islam terutamanya negara-negara Arab menjadi begitu lemah. Menurut Edward Said, seorang sarjana Arab di Amerika, sebab kelemahan Arab, bukanlah kerana kelemahan dari segi ketenteraan, kerana tujuh dari sepuluh negara pembeli utama peralatan perang dunia adalah negara Arab, tetapi sebenarnya adalah kerana tiadanya kekuasaan sosial mereka yang datang menerusi demokrasi, tiadanya kekuasaan budaya yang datang menerusi kebebasan bersuara dan penyelidikan (tiada kekuatan rohani kerana dihalang usaha-usaha beragama secara lebih menyeluruh), dan kerana tiadanya kekuasaan peribadi yang boleh menyebabkan setiap bangsa Arab merasakan yang dirinya seorang rakyat, bukannya sekumpulan domba besar yang dikongkong.xxiii
Dunia Arab keseluruhannya kini bersifat "pemusnah diri" dan menjadi tunggangan kepada imperisalisme moden. Ini terjadi kerana pemimpin-pemimpinnya adalah kepala-kepala rejim yang korup dan kejam. Sebab itulah ramai rakyat ditindas dan mereka digunakan oleh pihak imperiaslis bagi memusnahkan kekuatan mereka sendiri. Iraq dilagakan dengan Iran dan kemudiannya Kuwait. Semua dunia Arab (terutamanya GCC)di bawa memusuhi Iraq dan Saudi sendiri bermusuhan dengan Yaman yang sedang bergerak menuju ke arah demokrasi.
Oleh yang demikian dunia Islam tidak boleh bersandar kepada dunia Arab untuk membawa perubahan menyeluruh kepada agama dan ummah Islam. Mereka perlu mengadakan synergi baru di kalangan OIC dengan mengadakan dailog-dailog serantau yang lebih terbuka dan positif. Kepimpinan OIC perlu ditukar kepada yang lebih berwawasan dan berani dalam mengenengahkan idea-idea pembaharuan untuk memperkasakan kedudukan dan kesatuan ummah Islam melalui medium utama tersebut.
6: iii. Langkah Pembaharuan Keperluan Semasa dan Jangka Pendek
Dari segi jangka pendek dan keperluan semasa masyarakat Islam maka langkah-langkah berikut dianggarkan akan membantu menjayakan perencanaan jangka panjang usaha-usaha membawa perubahan kepada dunia Islam. Hal-hal tersebut adalah "self-explainatory" dan tidak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut. Ianya adalah seperti berikut:-
a) Mengukuhkan Kedudukan dalam ekonomi dan politik dunia
Usaha-usaha mengukuhkan ekonomi dunia Islam tidaklah sukar kerana dunia Islam memliki kebanyakkan kekayaan dunia. Segala bentuk sumber alam terutamanya minyak terdapat di dunia Islam. Masalahnya, siapakah yang secara berkesan kini menguasainya? Sudahlah begitu bagaimanakah pula hasil daripadanya dipergunakan? Adakah ia untuk kepentingan segelintir dan dikitar semula ke dalam sistem ekonomi Barat? Usaha membawa segala kekayaan itu kembali dalam sistem ekonomi Islam perlu diperdebatkan dan diusahakan sebelum ianya terlambat.
Dalam sistem ekonomi yang diamalkan sekarang, manusia mengejar kekayaan bertujuan untuk semata-mata menjadi kaya, mengumpul semata-mata kerana tujuan menghimpun, yang mana perlakuan buruk ini berulang kali diberi amaran oleh al-Quran. Sungguhpun kebanyakkan manusia memahami bahawa wang itu hanya alat sahaja, tetapi dari segi amalan, kebanyakkan manusia menganggapnya kedua-dua sekali, alat dan tujuan.
Dalam sistem ekonomi Islam, matlamat meninggikan taraf hidup rakyat, sebenarnya digandingkan dengan harmoni kerohanian, oleh yang demikian sistem ekonomi Islam diasaskan kepada kehendak-kehendak manusia yang rasional. Satu darjah kehendak yang rasional, tidak akan memberi ruang kepada mana-mana golongan untuk hidup dalam kemewahan yang melampau. Walau pun begitu, pendapatan yang tinggi atau perolehan yang banyak oleh perusahan-perusahan jujur tidaklah dilarang; kerana tujuannya adalah bukan untuk mempromosikan "perhiasan persendirian", tetapi kelebihan yang banyak itu adalah untuk dipegang sebagai satu tanggungan amanah kepada ahli masyarakat yang tidak bernasib baik.xxiv Oleh itu kelebihan yang ada perlu dibelanjakan untuk kebajikan golongan miskin dan di jalan Allah.
Jika kerjasama ekonomi yang menyeluruh dapat diadakan oleh ummat Islam maka segala kekayaan yang tak terhitung banyaknya yang dimiliki oleh ummat Islam dapat dipergunakan dengan secekap-cekapnya bagi membangunkan ummat menjadi satu tamadun yang dicemburui dan disegani. Jika ini dapat dicapai, maka ummat Islam tidak lagi akan dijadikan alat tunggangan oleh mana-mana pihak. Jika ummat Islam dapat bebas dari segala cengkaman, kemakmuran serta kesejagatan Islam bukan sahaja akan dimanfaati oleh ummat Islam sahaja tetapi juga oleh seluruh kehidupan di alam ini.
Begitu juga usaha-usaha menuntut hak saksama dalam sistem perhubungan dunia seperti mana yang sering dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia sepatutnya dijadikan agenda negara-negara Islam. Apabila terdapat kesatuan di kalangan dunia Islam maka suara mereka akan lebih diberi perhatian dan mereka tidak lagi diketepikan dalam mencari dan mencipta satu dunia yang adil dan aman.
b) Menerima dan mengolah kemajuan sains dan teknologi
Bagi tujuan kemakmuran dan kepentingan keselamatan, ummat Islam tidak boleh mengenepikan perlumbaan dalam mencapai kemajuan sains dan teknologi. Kita tidak boleh mengantungkan nasib kita kepada Barat, walau pun sesetengah daripada negara Islam mampu membeli segala peralatan sungguh pun harganya bernilai berbillion ringgit. Tetapi yang peliknya, dan ini membuktikan betapa dangkalnya pemikiran sesetengah pemimpin Islam, pakar yang mengendalikan operasi peralatan tersebut pun didatangkan dari Barat.
Usaha-usaha yang dijalankan oleh Indonesia dalam industri kapalterbang dan automobil, begitu juga oleh Malaysia dalam bidang satelit, angkasa lepas, automobil dan teknologi komputer dan maklumat, dan Pakistan dalam teknologi persenjataan, patut dijadikan contoh oleh dunia Islam yang lain. Usaha bagi mengumpul segala kepakaran Islam patut diadakan. Dengan jumlah kekayaan yang ada di tangan ummat Islam tidak mustahil di satu masa nanti, sekurang-kurangnya jurang kemajuan yang begitu luas di antara Barat dengan dunia Islam dapat dikurangkan.
c) Mengikis dan menolak budaya dan kemajuan negatif
Di zaman keagungannya, agama Islam telah tegak berfungsi sebagai satu aturan perluasan yang diasaskan kepada satu budaya baru dan satu falsafah kehidupan yang baru; dalam bentuk yang luas satu tamadun yang baru. Tetapi apabila Islam jatuh ke lembah kemerosotan, ummat Islam meninggalkan prinsip Islam sebenarnya, dan mereka hanya teguh berpegang kepada amalan dan formaliti Islam sebagai adat kebiasaan sahaja, iaitu kepada kulit Islam bukannya kepada ruhnya. Ini telah meninggalkan ruang yang kosong bagi bersemaraknya falsafah kebendaan, indivisualisme dan hedonisme Barat dan akhirnya sebahagian masyarakat Islam sendiri telah menerima cara hidup yang mudah tersebut sebagai amalan mereka.
Memetik kata-kata Tamizuddin Khan, bekas Presiden Dewan Perhimpunan Wilayah di Pakistan; " Jikalau masyarakat Islam dapat terus menjalankan tugas memimpin dunia di awal abad ini, ideologi-ideologi dan aliran-aliran perosak seperti pengasingan agama dari politik, nasionalisme yang ekslusif dan melampau, perasaan bongkak bangsa, warna kulit, kapitalisme, komunisme, kolonialisme dan imperialisme tidak akan timbul..."xxv
Oleh itu tiada pilihan lain yang tinggal bagi ummat Islam jika mereka ingin membersihkan masyarakat mereka daripada pencemaran budaya dari Barat. Mereka terpaksa mengembalikan ruh keagamaan ke dalam masyarakat. Prinsip-prinsip Islam yang berupakan satu kod kriteria dan penilaian kehidupan, sama ada sebagai panduan tingkah- laku untuk individu atau kelompok masyarakat, perlulah diterapkan. Satu masyarakat yang dididik dan didisiplinkan dalam perkara ini akan dapat mencerminkan satu budayanya sendiri dalam corak kehidupan mereka.
Ini hanya dapat dicapai jikalau masyarakat Islam dapat memupuk kecintaan dan keagungan budaya Islam dalam segenap jiwa pengikutnya. Jika perasaan ini tiada maka takjub akan budaya asing, kecintaan kepada cara hidup yang menyeronokkan akan menghanyutkan ummat Islam terutamanya golongan muda yang akhirnya akan merosakkan generasi akan datang ummat Islam. Sebenarnya rahsia kecintaan kepada budaya Islam terletak kepada mencintai segala sunnah kehidupan Rasulullah s.a.w, yang mana kesumpurnaan budaya ini telah dicapai di zaman para sahabat dan orang-orang selepas mereka.
7. PERANAN MALAYSIA DAN CABARANNYA
Berbanding dengan negara-negara Islam lain, Malaysia adalah negara kecil kalau dikira dari segi saiz negara dan jumlah penduduk Islamnya. Walaupun begitu, berkat kestabilan politik dan anugerah sumber alam dan kemanusiaan yang dinikmatinya, Malaysia telah menjadi antara negara yang dikagumi mengenai kejayaan proses transformasi ekonomi dan pembangunannya. Malaysia juga telah menjadi contoh terbaik bagi kebanyakan negara dunia ketiga lain dalam aspek mencorak perencanaan pembangunan mereka.
Di kalangan dunia Islam, Malaysia juga dihormati dan diakui kejayaan ekonomi yang dinikmatinya sejak 20 tahun yang lalu. Walaupun begitu, kerana kedudukannya yang jauh dari Asia Tenggah, dan penduduknya pula bukan dari kalangan bangsa Arab maka Malaysia jarang mendapat tempat penting dalam penyelesaian masalah Islam yang dianggap sebagai masalah Dunia Arab.
Di bawah ini penulis mengariskan dua pendekatan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam usaha-usahanya bagi mengembalikan kegemilangan Islam di persada dunia:-
7: i. Peranan sosio-politik yang berterusan dan jangka panjang
Umat Islam dalam langkah menaikkan semula Islam tidak boleh lari dari mengembalikan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Malaysia adalah contoh baik dari segi tolenrasinya terhadap pergerakan dakwah yang dianggap tidak mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Sikap yang positif ini telah mengalakkan dan juga membantu usaha-usaha pemerintah meningkatkan syiar Islam di kalangan umat Islam.
Di samping itu, penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang di antaranya bermatlamat untuk mempertingkatkan kefahaman orang bukan Islam mengenai Islam dan menangkis prasangka dan dakyah buruk terhadap Islam juga merupakan satu langkah yang bijak. Oleh kerana adanya pergerakan-pergerakan yang bergiat pada peringkat akar-umbi masyarakat yang didokong oleh ulama, maka keteguhan iman dan tahap ilmu individu dalam masyarakat dapat dipertingkatkan. Ia akan menjadi benteng kepada segala bentuk serangan kebendaan ke atas iman dan amalan agama masyarakat Islam.
Adalah menjadi tanggung jawab pemimpin akan datang untuk meneruskan polisi terbuka berkaitan dengan dakwah Islamiah di Malaysia. Sikap kerajaan yang prihatin mengenai pergerakan-pergerakan ini supaya mereka berada di dalam landasan yang benar dan tidak keterlaluan juga merupakan rahsia kepada kesejahteraan dalam pembangunan rohaniah di Malaysia. Dengan ini kita dapat berharap bahawa usaha berterusan ini dapat dilakukan dengan berkesan dan memberikan kesan maksima kepada pembangunan Islam seluruhnya sama ada dalam negara atau di peringkat antarabangsa.
Usaha-usaha berterusan Malaysia bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dalam pemerintahan dan mempertingkatkan kesedaran beragama di kalangan rakyatnya boleh ditonjolkan di peringkat dunia Islam. Kesungguhan ini juga dapat dilihat dalam merencanakan sistem pendidikan yang berorientasikan Islam yang telah dicuba sejak beberapa waktu dahulu. Perjuangan dalaman ini juga merupakan cabaran besar dalam usaha memperkasakan Islam di Malaysia.
Dari segi jangka panjang, dasar luar Malaysia perlu memainkan peranan supaya sistem kenegaraan di dunia Islam bertukar menjadi lebih demokratik (syura) dan kebebasan rakyat tidak dikongkong terutamanya dari segi pendidikan dan keagamaan. Di waktu ini di banyak negara kebebasan rakyat dari segi hiburan dan menuruti cara kehidupan Barat tidak dihalang, tetapi hak rakyat untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna dan beragama secara menyeluruh melalui usaha-usaha dakwah dan islah dihalang dengan ketat sekali. Sistem kerajaan yang autokratik dan diktator ini merupakan penghalang besar kepada kemajuan Islam.
Matlamat diakhir nanti, mungkin setelah dua puluh atau tiga puluh tahun pemerintahan secara syura (perundingan) yang menyeluruh boleh menjadi asas cara bernegara di kalangan negara-negara Islam. Ia boleh dijadikan matlamat OIC yang perlu diusahakan oleh semua ahli-ahlinya sebagai satu matlamat bersama. Masalah di sini, adakah kita mempunyai "political will' dan bersedia untuk mengambil risiko dalam mengenengahkan idea-idea sedemikian? Adakah kita patut memulakannya sebagai satu "exercise" akademik dahulu, melalui seminar-seminar dan perbincangan serantau dan kemudiannya dijadikan agenda dalam OIC adalah perkara yang perlu difikirkan dengan teliti.
Langkah permulaan boleh dilakukan dengan menyuntik ide-ide baru ke dalam OIC atau mana-mana pertubuhan serantau lain. Di samping itu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang orientasinya memikirkan kepentingan ummah Islam dan secara beransur-ansur bergerak ke setiap negara Islam bagi tujuan dakwah, pendidikan dan kebajikan, boleh juga dimulakan. Malaysia juga boleh meneruskan program bantuan teknikal yang diberikan kepada negara-negara Islam supaya pihak-pihak yang terlibat dapat berubah menjadi luas pemikiran mereka.xxvi Bantuan luar juga boleh digunakan bagi memikat negara-negara Islam lemah ke dalam arus reformasi yang akan dianjurkan oleh Malaysia.
7: ii. Peranan Semasa dan Jangka Pendek
a) Dari Segi Ekonomi Dan Kewangan
Dalam satu artikel dalam majalah "Behind the Headlines" terbitan The Canadian Institute of International Affairs, pengarangnya mengatakan, tidak ada contoh yang lebih baik bagi mengambarkan kejayaan sebuah kerajaan dalam mengabungkan kepelbagaian bagi menempa pembangunan melainkan Malaysia. Malaysia telah berjaya menterjemahkan formulanya mengenai keamanan antara kaum menjadi satu model kejayaan ekonomi dan politik yang tidak ada tolok bandingnya.xxvii
Sejak 40 tahun yang lalu Malaysia mengalami pembangunan ekonomi yang amat mengalakkan. Sejak hampir 10 tahun yang lalu kadar pertumbuhan tahunan yang dialami Malaysia adalah disekitar 8 hingga 10% setahun. Bank Dunia menganggarkan kini hanya tedapat 2% rakyat Malaysia tinggal di bawah garis kemiskinan, berbanding dengan 18% dua puluh tahun dahulu.xxviii Rahsia di sebalik segala kejayaan ini adalah - kerana pilihanraya sentiasa diadakan, wujudnya toleransi agama dan keamanan sosial, corak kerajaannya berkesan dan rekod hak asasi manusianya secara relatif adalah baik.
Peranan Malaysia di kalangan dunia Islam amatlah besar kerana Malaysia kini amatlah dihormati dan dianggap contoh terbaik bagi negara-negara Islam yang lain dari segi pembangunan rohani dan jasmani rakyat. Untuk seketika usaha-usaha penyatuan ummah tidaklah boleh diharapkan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang telah luntur semangat keislaman sejagat mereka dan kini lebih banyak menumpu kepada perjuangan kebangsaan Arab. Bagi mengelakkan kesangsian Barat yang tidak dapat dinafikan pada hari ini menguasai tata baru dunia, umat Islam perlu sebagai langkah awalnya mengusahakan satu tata ekonomi Islam. Kejayaan ekonomi Malaysia dan negara-negara Asia Timur yang dibuktikan bukan berasaskan kepada sistem pasaran bebas tulin, boleh dijadikan landasan. Peranan dari segi ekonomi ini boleh dijadikan sebagai langkah segera dalam proses pembaharuan jangka pendek yang dianggap sebagai keperluan semasa yang mendesak.
Sebagaimana yang dicadangkan oleh bekas Penasihat Bank Negara Malaysia, Nor Mohamed Yakcop, kerjasama ekonomi di kalangan 51 buah negara Islam boleh dilaksanakan dalam beberapa peringkat. Mungkin diawalnya jumlah dagangan di kalangan negara-negara Islam perlu dipertingkatkan. Kemudian, setelah peraturan pembayaran dua hala wujud akibat hubungan ekonomi sedia ada, maka peraturan pembayaran pelbagai hala pula boleh diperkenalkan. Selepas itu dalam tahap ketiga, Peraturan Keutamaan Dalam Perdagangan boleh diperkenalkan di kalangan negara-negara Islam. Dan, diperingkat keempat, negara-negara Islam mesti berusaha menghapuskan segala halangan perdagangan dan tarif di kalangan mereka dengan menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas Islam.xxix
Dari segi kewangan kejayaan Malaysia dengan sistem kewangan Islam memang sudah diketahui. Sistem kewangan Islam Malaysia adalah antara yang termaju di dunia Islam dan usaha untuk memperluaskan sektor ini ke dalam sistem kewangan Malaysia adalah satu langkah yang baik. Jika usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dunia menjadi kenyataan, ini akan banyak membantu Malaysia dalam usaha-usahanya mempelopori reformasi di dunia Islam.
Dengan adanya hubungan perdagangan dan kewangan, yang biasanya memberi keuntungan kepada semua pihak, maka corak hubungan di aspek yang lain seperti kerjasama keagamaan, sosial dan politik boleh secara perlahan-lahan dijalinkan. Kerjasama keagamaan dan pendidikan secara besar-besaran boleh dimulakan kerana ia tidak melibatkan isu-isu yang sensitif. Apabila interaksi antara umat Islam baik, sama ada dari segi perdagangan, keagamaan, pendidikan dan perlancungan, maka pemikiran ummah akan menjadi lebih rasional dan dengan kesedaran yang menyeluruh di semua pihak, usaha-usaha bagi membawa perubahan dalam sistem pemerintahan dan ekonomi akan berlaku dengan lebih aman dan licin, walaupun memakan masa yang agak lama.
Persoalannya adakah bangsa Arab akan bersedia menerima kepimpinan Malaysia walaupun dalam hal-hal ekonomi. Sudah diketahui sekian lama bahawa bangsa Arab memandang rendah kepada bangsa-bangsa lain terutamanya di Asia. Sungguhpun Malaysia sering dirujuk sebagai negara Islam yang paling maju, dan pada tahap-tahap tertentu ia dihormati oleh Arab, buktinya Malaysia merupakan negara pertama dibenarkan oleh Saudi membina komplek Jemaah hajinya sendiri di Makkah, adakah bangsa Arab secara keseluruhannya, termasuk Libya, Iraq dan Syria dapat menerima hakikat tersebut.?
Umat Islam harus dan sepatutnya mengubah sikap mereka ke arah yang lebih positif dengan mengamalkan sikap terbuka, berkerjasama dan bersabar dalam semua bidang. Mereka harus membuang semua sifat-sifat sombong, bongkak, dengki dan iri-hati antara satu sama lain. Tanpa perubahan sikap, umat Islam dan dunia Islam akan terus tertinggal di belakang dalam arus perubahan dunia. Sungguh pun begitu perubahan sikap ini hanya akan berjaya sekiranya terdapat keazaman dan iltizam yang kuat di kalangan semua peringkat masyarakat, baik di kalangan rakyat mahu pun pemerintah.
b) Peranan Dalam Pembaharuan Pendidikan
Pendidikan adalah alat atau elemen kepada perubahan atau anjakan paradigma. Kadar celek huruf di kalangan sesetengah negara Islam adalah antara yang paling rendah di dunia. Buta huruf boleh menyebabkan manusia sentiasa terbelenggu sama ada dari segi politik atau ekonomi. Kadangkala terdapat sistem pendidikan yang tertutup yang tidak membentuk rakyat untuk berfikir secara luas menyebabkan mereka kekal dalam keadaan kebergantungan terus kepada kerajaan dalam semua keadaan dan tidak mempunyai daya usaha sendiri bagi memajukan diri.
Reformasi pendidikan yang mempunyai matlamat pembangunan ummah Islam perlu difikirkan. Pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan tenaga pakar dan mahir untuk kemajuan ekonomi, tetapi lebih utama dari itu, sebagai asas, ia perlu lebih awal membentuk keimanan, adab dan akhlak anak-anak Islam. Sebab itulah ilmu al-Quraan dan hadis perlu dimantapkan kerana ia merupakan rahsia kejayaan ummat Islam dahulu dalam melahirkan pemuka-pemuka dalam berbagai bidang seperti; syariah (undang-undang), geografi, sejarah, perubatan, matematik, kimia, seni bina dan sebagainya.
Ketinggian tamadun Islam ini bermula sejak abad ke sembilan, selepas tahap meminjam dan perlarutan dalam Islam keilmuan dari budaya lain, bersemarak bukan sahaja di Timur Tenggah, tetapi juga sehingga ke Persia, India, Asia Tenggah, Afrika Utara, Sicily dan Sepanyol. Kemajuan tamadun ini berlaku kerana suasana yang mengalakkan wujud, di mana - satu warisan budaya yang kaya dan berbagai, kekayaan dan kemakmuran, satu bahasa yang umum, satu agama yang umum dan sokongan padu dari pemerintah terhadap kemajuan ilmu dan kesusasteraan,xxxadalah fenomena pada masa itu.
Kemajuan dalam pendidikan akan dapat membantu membawa masyarakat Islam membebaskan diri dari belenggu sistem-sistem politik, ekonomi dan sosial yang memenjarakan mental, fizikal dan rohani mereka. Selepas kemantapan kerohanian, ketinggian ilmu adalah rahsia keunggulan ummat Islam di zaman keagungan Islam dahulu. Pada hari ini, melalui perkongsian ilmu dengan Barat dan pengolahan semula berdasarkan al-Quraan dan Sunnah, adalah tidak mustahil ummat Islam dapat mengembalikan kegemilangan silam itu. Dengan kelebihan kerohanian, ummat Islam boleh menjadi, bukan sahaja penganjur kepada kemajuan kebendaan tetapi juga kemajuan kemanusiaan di abad yang akan datang.
c) Memecahkan Hegmoni dan Kesombongan Arab
Bangsa Arab merupakan golongan yang mana berasalnya nabi Muhammad s.a.w., tetapi ini tidak bererti secara automatik mereka akan menjadi mukmin yang sejati. Jikalau mereka meninggalkan agama, maka Allah boleh memilih kaum lain yang akan membantu agama dan Allah akan memuliakan mereka. Ini terbukti apabila ummat Islam mabuk dalam kemewahan di zaman Baghdad, Allah telah menghancurkan mereka di tangan satu kaum yang tidak bertamadun, iaitu puak Tartar. Tetapi setelah Islamnya puak Tartar ini mereka telah menjadi asbab tersebarnya Islam ke benua India dan mereka telah memerintah dengan adil beratus-ratus tahun lamanya di sana.
Malang bagi umat Islam hari ini, apa-apa perbuatan atau tindakan bangsa Arab dianggap sebagai tindakan Islam. Lebih merumitkan, Arab Saudi pula dianggap sebagai penghulu utama dalam OIC dan dalam apa tindakan dan usaha umat Islam perlu mendapat kerjasama negara tersebut. Tetapi, pemimpin Saudi pula adalah boneka kepada Amerika Syarikat, oleh itu akan sentiasa menjaga kepentingan Amerika, dalam memainkan peranannya dalam OIC. Tambah buruk lagi kebanyakan penasihat-penasihat Saudi adalah juga dari Amerika.
Kewibawaan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia di kalangan dunia Islam kian meningkat pengaruhnya, jadi keadaan ini diharapkan dapat digunakan bagi memecah hegmoni Arab dalam OIC. Oleh itu, Malaysia perlulah memperkenalkan dasar luar, terutamanya dalam hubungan dengan negar-negara Islam yang lebih agresif. Jika OIC dapat dibebaskan dari kejumudannya maka bolehlah diharapkan bahawa ia akan dapat menjadi satu Pertubuhan yang lebih agresif dan pro-aktif dalam membela nasib ummat Islam sama ada yang berada di negara Islam atau bagi minoriti Islam di negara-negara bukan Islam.
Penubuhan rangkaian maklumat seperti stesyen telivesyen satelit, akhbar dan media lain di kalangan negara Islam sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan kesan buruk media Barat. Dalam masa yang sama ia dapat memainkan peranan dalam mempromosi dan membantu usaha-usaha mempertingkatkan kesedaran beragama di kalangan umat Islam. Usaha penubuhan badan serantau ini perlu dimainkan oleh bukan sahaja kerajaan Malaysia tetapi juga kumpulan korporat yang cintakan Islam.
8. KESIMPULAN
Matlamat mewujudkan satu ummah Islam sejagat merupakan satu cita-cita yang pada hari ini mungkin hanya dikongsi oleh segelintir ummat Islam. Tetapi ini tidak bererti bahawa cita-cita ini tidak mungkin dapat dijadikan kenyataan. Dahulunya semasa masyarakat Eropah membahaskan mengenai pengwujudan satu Kesatuan Eropah, terdapat berbagai reaksi dari berbagai pihak bahkan ada di kalangan masyarakat Eropah sendiri yang tidak yakin mengenai kemungkinan kejayaannya. Pada hari ini tidak siapa boleh menafikan bahawa Kesatuan Eropah sedang menuju ke arah pengukuhan untuk menjadi satu daripada kuasa-kuasa utama politik dan ekonomi dunia.
Agama Islam sendiri mengajar kita ummat Islam supaya sentiasa bersatu-padu, kerana dalam kesatuan terdapat kekuatan. Tetapi negara-negara Islam terus berpecah-belah dan berbalah antara satu sama lain kerana sebab-sebab yang mereka sendiri kadang-kala tidak fahami. Masalahnya bangsa-bangsa Barat terutamanya Amerika dan Yahudi tidak mahu melihat ummat Islam menjadi kukuh, kerana kemakmuran dan kekuatan mereka adalah bergantung kepada berterusannya perpecahan dan kelemahan di kalangan ummat Islam.
Ummat bukan Islam terutamanya Barat (Yahudi dan Nasrani) bukan sahaja akan cuba mengekalkan ummat Islam dalam kelemahan demi survival mereka, bahkan mereka akan sentiasa berusaha merosakkan ummat Islam dari dalam. Mereka mempunyai berbagai strategi bagi melemah dan memecah-belahkan ummat Islam. Mereka secara halus memasukkan jarum dengan menyalurkan budaya dan pemikiran-pemikiran yang akan merosakkan iktikad dan amalan ummat Islam.
Mereka tidak secara terang-terangan melarang ummat Islam mengamalkan Islam, tetapi mereka telah berjaya menjauhkan ummat Islam dari iman dan amal dengan mempengaruhi ummat Islam menuruti mereka dalam segenap aspek kehidupan, dari cara kita berfikir, bermasyarakat, makan minum, berpakaian, cara berhiburan dan bergaul, semuannya diamalkan cara Barat. Cara mereka adalah cara melayan nafsu secara bebas tanpa memikirkan batasan-batasan agama dan susila. Apa yang penting penikmatan itu mestilah tidak melampaui hak individu lain.
Ummat Islam begitu terpengaruh dengan cara Barat hinggakan dalam usaha membangunkan Islam sendiri, mereka tidak nampak akan kepentingan dan hubungan antara iman dan amal. Bahkan setengah daripada mereka menganggap amalan itu hanyalah ritual semata-mata. Apa yang mereka pentingkan adalah ilmu dan kebendaan yang mereka sangka boleh mengembalikan Islam kepada kedudukan sepatutnya. Mereka tidak lihat di zaman Baghdad dan Spanyol, di zaman umat Islam tinggi ilmu dan makmur dari segi kebendaan, tetapi di zaman itulah bermulanya kemerosotan Islam.
Tanpa iman, asas kepada agama dan amal, yang juga benteng kerohanian umat Islam, ilmu dan harta tidak akan memberi manfaat bahkan akan menjauhkan manusia daripada Allah s.w.t. Di bibir sahaja mereka mengatakan bahawa mereka berjuang untuk agama dan bangsa tetapi sebenarnya matlamat utama adalah diri dan nafsu mereka, dan akhirnya mereka akan mabuk dalam kemewahan, berebut antara satu sama-lain harta, pangkat dan wanita dan akhirnya mereka sendiri menjadi alat musuh-musuh Islam dan merekalah akan menjadi penyebab kemerosotan Islam.
Perjuangan mengeluarkan ummat Islam dari lubang biawak (penipuan Barat) adalah satu perjuangan yang besar. Ia merupakan satu perjuangan membawa manusia dari apa yang mereka lihat (kebendaan) kepada satu perjuangan berdimensi ghaib (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), membersihkan iktikad dan kembali mengamalkan perintah agama, yang dari kebendaan nampak merugikan, tetapi itulah sumber kekuatan ummat Islam yang sudah terbukti di zaman sahabat-sahabat rasulullah s.a.w, pada tabiin dan mereka yang selepas mereka.
Perjuangan ini perlu dilakukan pada skala yang luas, pada peringkat asas masyarakat, mengembalikan kegemilangan iman setiap ummat dalam masyarakat. Pembersihan dalaman ini sahaja yang akan dapat menyelamat dan mempertahankan ummat Islam dari segala serangan mental dan budaya yang tidak dapat dibendung lagi, yang datang melalui satelit dan segala macam media, dalam unsur maklumat, ilmu dan pendidikan, serta hiburan.
Pemerintahan yang bersekongkol dengan golongan peniaga yang sentiasa memikirkan keuntungan sahaja tidak dapat diharapkan sepenuhnya dapat mempertahankan kemurnian dan kesucian agama. Setiap yang ada ini patut berusaha bersama-sama mensucikan diri dan masyarakat manusia supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan di dunia kerana kebenaran dan hak sahaja yang dapat menghapuskan kebatilan bukan kekuasaan dan harta benda.
Sebagai langkah awal kepada peranan Malaysia bagi menyelesaikan masalah ummah, dirasakan sudah sampai masanya bagi kita menubuhkan sebuah institusi yang berorientasikan ummah sejagat, dengan dihimpunkan ulama-ulama, pemikir-pemikir, diplomat-diplomat, dan politikus-politikus untuk membuat kajian dan merangka plan tindakan bagi Malaysia dan lain-lain negara memainkan peranannya di peringkat serantau dan antarabangsa bagi meninggikan syiar Islam dan memperkukuhkan kedudukan masyarakat Islam sama ada dari segi rohani, intelektual, ekonomi dan strategik.
Rujukan
i . Anwar Ahmad Qadri 1986. Islamic Jurisprudence in the Modern World, Taj Company, New Delhi, hlm., 12.
ii . Ibid.
iii Qamaruddin Khan 1988. The Political Thought of Ibn Taymiyah, Adam Publishers and Distributers: New Delhi, India, hlm. 105.
iv . Ibid. hlm., 106.
v . Ibid.
vi . Hashim Yeop Sani 1980. Our Constitution, Kuala Lumpur: The law publishers, hlm., 151.
vii . Lihat; Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned 1986. Sistem Undang-Undang Di Malaysia, DBP: Kuala Lumpur, hlm. 52.
viii . J.A. Gratty dan P. Gay (eds.) 1985. The University History of the World, Great Britian: New Orchard Editions, hlm. 622.
ix . Augusto Ceasar Espiritu 1981. Planning Change in the Legal Basis of the Present World Order: Towards an International Law That Will Usher in a New International Economic Order, The Phillipine Yearbook of International Law, Jil. vii, hlm. 23.
x . Clarence Clyde Ferguson Jr. 1981. Redressing Global Injustices: The Role of Law, Rutgers Law Review, Jil. 33, hlm. 410-413. Beliau menegaskan bahawa di masa itu perancangan ketenteraan dan strategik diasaskan kepada dua konsepsi polisi, iaitu pertamanya, memencilkan Soviet Rusia dan Cina daripada masyarakat dunia; dan keduanya, pada masa yang sama menubuhkan pertubuhan-pertubuhan perjanjian seperti NATO, CENTO, SEATO dan sebagainya. Dari aspek politik, Pakatan Bretton Woods mempunyai matlamat yang sama, supaya tertubuhnya satu sistem kawalan ke atas ekonomi dunia terutamanya ke atas sistem kewangan. Maka negara-negara lain akan terus dijajah melalui satu sistem keluarga Bank Dunia yang dibawahnya terdapat Bank Bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan, Tabung Kewangan Antarabangsa dan lain-lain institusi yang berkaitan. Manakala dari segi ideologi, walaun diajukan dengan cara yang berselindung, dapat dirasai bahawa apa yang dicanangkan ialah negara-negara Eropah Barat dan Amerika Utara adalah pendokong kepada satu tamadun baru dunia manakala bangsa-bangsa lain di dunia perlulah menyesuaikan diri kepada tuntutan-tuntutan tata baru itu.
xi . Wolfgang Fikentscher 1994. Democracy - A Primer, Law and State, Jil. 49/50, hlm. 125.
xii . Vaclav Havel 1995. Democarcy's Forgottrn Dimension, 31 Stanford Journal of International Law, hlm. 9.
xiii . Lihat kajian, The Economist, 28hb. Mei 1994, hlm. 42.
xiv . Abul Hasan Ali Nadwi 1986. Saviours of Islamic Spirit, Lucknow: Lucknow Publishing House, hlm. 15.
xv . Lihat, The Economist, 30 Oktober 1993, How America Sees the World, hlm. 13.
xvi . Lihat, Mark A. Bruzonsky 1994. A Challenge Few Americans Accept, Saudi Gazette, 5hb. Januari, hlm. 5.
xvii . John Pilger 1991. New Statesman and Society, Majalah Mingguan British, 8hb. Februari: Ini adalah kerana "Komplek Industri Ketenteraan" Amerika amat penting kepada ekonominya. Lebih kurang 20% tenaga buruh Amerika secara langsung atau tidak langsung terlibat dengan perniagaan persenjataan. Saudi sahaja telah membeli senjata dari Amerika yang bernilai lebih daripada US 20 billion. Bahkan menurut Pilger, Kertas Putih yang disediakan oleh Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan Presiden Bush pada bulan Mei 1990 mencadangkan Iraq dan Saddam Hussein boleh mengantikan tempat Pakatan Warsaw sebagai "musuh" Amerika.
xviii . Melalui bantuan Amerika, Israel telah berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa negara Arab seperti Maghribi dan Oman, terutamanya dari segi perdagangan.
xix . Lihat, Mark A. Burzonsky 1993. The Image of Power, Its New Geostrategic Equation, Saudi Gazette, 17hb. November, hlm. 5.
xx . Mounir B. Abboud 1994. Israel readies to Use Peacefor Dominating the Arab Economies, Saudi Gazette, 4hb. Januari, hlm. 5.
xxi . Seperti mana peristiwa pengeboman regim Israel (dalam operasinya ke atas Hezbollah bermula 11 April 1996) yang membunuh 100 rakyat Lebanon yang sedang berlindung dalam kawasan PBB di Qana.
xxii . Abul Hasan Ali Nadwi telah menyenaraikan nama-nama ulama-ulama tersebut di dalam bukunya; Saviours of Islamic Spirit, 1977, Lucknow: Academy of Islamic Research and Publication, dalam dua jilid.
xxiii . Lihat, rencana Suroosh Irfani, dalam The Straits Time, Isnin, 28 hb. Oktober.
xxiv . M. Raihan Sharif 1979. Islamic Social Framework, S.H. Muhammad Ashraf: Lahore, hlm., 7.
xxv . Dipetik oleh, M. Raihan Sharif 1979. Islamic Social Framework, S.H. Muhammad Ashraf: Lahore, hlm., 25.
xxvi . Contohnya, Jeneral Basir, Presiden Sudan pernah menjalankan latihan ketenteraannya di Malaysia. Dari situ kita dapat memahami mengapa sikapnya terhadap Malaysia begitu mesra sekali, begitu juga Presiden Fiji, Rambuka.
xxvii . D.S. Copeland 1996. Malaysia: The Political Economy of Diversity, Behind the Headlines, Canadian Institute of International affairs, July, hlm. 22-23.
xxviii . The Economist, 6hb. November 1993, hlm. 21.
xxix . Nor Mohamed Yakcop 1995. Persiapan Menghadapi Blok Baru Perdagangan, Visi, Bil. 5, Julai-Sept., hlm. 8-14.
xxx . J.A. Garraty dan P. Gay 1985. The University History of the World, United Kingdom: New Orchard Editions, hlm. 283.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam,
Malaysia bukanlah sebuah negara Islam di sisi Allah swt kerana undang-undang Islam hanyalah terhad setakat mana yang disebut dalam jadual ke 9 senarai ke 2 dalam Perlembagaan Negara kita. Undang-undang Islam di Malaysia hanyalah meliputi hal-hal nikah kahwin, penjagaan anak, keluarga Islam, pentadbiran masjid, pengendalian solat jumaat, hari-hari raya dan adat istiadat Islam sahaja.
Malaysia adalah sebuah negara kafir kerana seluruh undang-undangnya yang meliputi bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan hubungan antarabngsa adalah ciptaan manusia yang selain dpd Allah seperti mana yang termaktub di bawah fasal-fasal 43, 44, dan 161 Perlembagaan Negara kita. Faktor yang menentukan Islam atau kafirnya sesebuah negara dan kerajaan itu, mengikut Aqidah kita, adalah undang-undang.
Nama "Malaysia" adalah dpd Yahudi, orang-orang kafir dibawa masuk sebagai rakyat kita oleh Yahudi, dan sistem politik dan pemerintahan negara kita adalah ciptaan Yahudi. Pada hari ini kita masih lagi berada di bawah penjajahan Barat di bawah naungan Yahudi melalui sistem "neo-colonialism". Pada tahun 1937, kaum Yahudi telah menerbitkan sebuah buku bertajuk "Malaysia - Direct and Indirect Rule", terbitan Harold Macmillan, New York, yang menyebutkan bahawa Malaya akan bertukar kepada Malaysia pada tahun 1963. Sekarang ini kita masih berada di bawah "indirect rule" Yahudi dan buku tersebut mengatakan bahawa kita akan dimerdekakan sepenuhnya kira-kira pada tahun 2065 nanti, mungkin setelah sebahagian dpd kita ini telah berjaya dimurtadkan dan oleh yang demikian Malaysia sudah muktamad wujud sebagai sebuah negara kafir.
Kerajaan Malaya dan kemudiannya Malaysia adalah boneka penjajah di bawah naungan Yahudi sehinggalah sekarang ini. Segala dasar negara adalah ciptaan Yahudi, baik untuk dalam negara mahupun dasar luar di peringkat antarabangsa. Kita wujud hanya sekadar kerbau dicucuk hidung sahaja!
Cabaran kita pada hari ini adalah untuk memerdekakan diri kita dgn memberontak terhadap kekuasaan Yahudi dan terhadap agen-agen Yahudi di dalam negara kita ini sendiri termasuklah terhadap kerajaan BN dan juga pembangkang PR. Kejahilan kita dan ketundukan kita kpd tipudaya oleh musuh-musuh kita menyebabkan kita di jajah berkekalan buat selama-lamanya!
Sekian, terima kasih.
Wan Solehah al-Halbani
Wa'alaikumsalam warahmatullah,
Terima kasih atas komentar saudari. benar-benar membuka minda saya asal sejarah nama Malaysia ini. :)
Catat Ulasan