DONATE

Isnin, 21 Disember 2009

Kristian Orthodoks Dan Gerakannya Di Malaysia

 

1.0 Pengenalan


 

Segala puji bagi Allah yang menciptakan dan memberi rahmat kepada sekelian alam. Seterusnya salam dan selawat ke atas nabi junjungan, nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Dan Allah juga telah menjadikan manusia itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah supaya hambanya saling mengenali di antara sama lain. Allah dengan sifatnya yang maha adil telah menurunkan agama Islam supaya manusia tidak meraba-raba mencari kebenaran. Dan umat Islam diberi tanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka supaya mereka mengikut jalan yang benar. Ini kerana, selain agama Islam yang mulia ini, masih terdapat lagi agama-agama yang menyimpang daripada fitrahnya. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah kepada pengikut ajaran-ajaran yang salah. Allah Ta'ala telah berfirman:


 

Maksudnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah/berdebatlah (dengan) mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Nahl: 125)


 

Salah satu cara untuk berdakwah, kita haruslah mengenali mereka dan ajaran mereka. Dengan itu barulah mudah bagi kita untuk menunjukkan apa kelebihan dan kebenaran agama Islam berbanding ajaran yang mereka anuti.


 

Kristian Orthodoks ialah pecahan daripada agama kristian. Bilangan pengikut mereka adalah minoriti berbanding dengan Kristian yang lain. Mereka dikatakan Orthodoks kerana dikatakan mereka masih berpegang kepada ajaran yang asal. Mereka juga mempunyai amalan yang seakan-akan sama dengan agama Islam seperti sembahyang, puasa dan zakat. Oleh itu, di dalam kertas kerja ini akan dijelaskan sedikit sebanyak mengenai Kristian Orthodoks ini samada mengenai sejarah, cara beribadah dan gerakannya di Malaysia. Semoga pembaca dapat mengambil manfaat daripada kertas kerja ini.


 

2.0 Definisi Kristian Orthodoks


 

Kepercayaan yang ditakrifkan sebagai Kristian tradisional yang mana kembali kepada konsep triniti. Perkataan orthodoks bermaksud hak mengajar atau hak pemujaan. Perkataan ini berasal daripada dua perkataan Greek iaitu 'orthos' yang bermaksud hak dan 'doxa' yang bermaksud mengajar atau pemujaan.


 

Kristian Orthodoks menjurus kepada jasad Jesus Christ, gereja Jesus Christ. Kristian Orthodoks telah dibaptiskan kepada nama triniti yang suci dan mengikut kepercayaan dan percaya dengan kedua-dua ayat suci dan tradisi yang suci. Pengikut-pengikut Kristian ini percaya dengan kehidupan dan kasih sayang tuhan yang mana telah melindungi dan menjaga mereka dengan penebusan dosa. Mereka percaya yang mana tuhan telah menceritakan tentang mereka di dalam bible menerusi nabi dan terutamanya melalui Jesus Christ. Mereka juga percaya dengan konsep penjelmaan tuhan sebagai Jesus Christ (http://www.goindo.org/index.php?option=com_frontpage&Itemid=1).


 

3.0 Sejarah Kristian Orthodoks


Kristian Orthodoks lahir daripada perselisihan antara Gereja Alexandria, Gereja Roma dan Kaisar Konstantin. Kemuncaknya, pada masa Kaisar Bizantium Marqilanus (450-458 M) seabad lebih sebelum Nabi Muhammad s.a.w lahir di Mekkah (571 M) apabila pada tahun 451 M telah diadakan Majma' Khalkaduniyah (perhimpunan Khalkadun) dalam hal ketuhanan. Hasil daripada perhimpunan ini, timbullah perpecahan di antara gereja-gereja yang sukar disatukan kembali. Sejak inilah penganut Kristian terbahagi menjadi dua. Satu pihak berpusat di Roma dan Bizantium, dipimpin oleh Father Laon (440-461 M). Kelompok ini mengakui al-Masih mempunyai dua sifat iaitu tuhan dan manusia. Kelompok ini kemudian lebih dikenal dengan Kristian Katholik.

Di pihak lain, berpusat di Alexandria dan Antakia di bawah pimpinan Father Disqures (444-454 M). Kelompok ini berpegang kuat pada sifat tunggal bagi al-Masih. Mereka tidak setuju dengan aliran Kristian yang mengakui sifat Tuhan sekaligus manusia. Kelompok inilah yang kemudian dikenal dengan kelompok Orthodoks. Nama `Orthodoks` dipakai kerana ia beerti menganut ajaran agama yang dianggap benar dan yang asli. Kerana itu, penganut Orthodoks cuba untuk hidup secara lurus, sesuai dengan tuntutan awal dari kelahiran agamanya. Eastern Orthodox pula berkembang disekitar Syiria. (
http://www.tokeikedai.net.my/v8/index.php?name=News&file=article&sid=3692&startrow=6&comments_startnum=11)


 

Penganut Orthodoks sendiri terdiri atas beberapa kumpulan berdasarkan kesamaan kultur, tradisi, bahasa dan bangsa. Oleh sebab itu, wujudnya kumpulan Koptik, Syirian, Armenian dan Habasah. Sedangkan aqidahnya adalah sama. Kristian Orthodoks mengatakan bahwa Injil yang pertama berbahasa Arab Syiria. Penganut Kristian Orthodoks tidak menggelarkan Nabi Isa a.s dengan Yesus seperti lazimnya digunakan oleh penganut Kristian Katholik/Protestan, tetapi lebih suka menggelarnya dengan al-Masih atau Sayyidina Isa al-Masih dan bercakap dengan menggunakan bahasa Syiria. Injil diterjemahkan ke dalam bahasa Arab pada tahun 643 M. Hingga sekarang, Injil yang digunakan oleh penganut Kristian Orthodoks Syiria, Iraq, Lebanon, dan Mesir adalah berbahasa Arab. Memang terdapat persamaan antara bahasa Syiria dan bahasa Arab.


 

Walaubagaimanapun, Eastern Orthodoks gagal berkembang dengan pesat. Eastern Orthodoks masih mengekalkan konsep keesaan Allah. Tetapi, tidak lama kemudian ia turut berpecah dan kebanyakan dari mereka akhirnya percaya dengan konsep Jesus sebagai anak Tuhan. Hanya sebilangan kecil sahaja yang masih berpegang dengan prinsip yang asal.

(http://www.tokeikedai.net.my/v8/index.php?name=News&file=article&sid=3692&startrow=6&comments_startnum=11)


 

Menurut Fhilips, salah seorang paderi Gereja Orthodoks di Kuala Lumpur mengatakan bahawa Kristianiti telah bermula sejak abad yang pertama di Palestin. Dan ketika itu, telah wujud 2 empayar yang besar iaitu empayar Roman dan Parsi. Pusat gerakan Kristian terletak di Roman. Sejak awal lagi institusi Kristian ini telah wujud di empayar Roman ataupun dikenali sebagai 'Empayar Nero'. Walaupun begitu, gerakan agama Kristian ini juga terdapat di Palestin, Mesir dan Jordan.


 

Pada zaman itu telah terdapat dua golongan Kristian. Satu golongan bertapak di barat yang dikenali sebagai Kristian Katholik dan satu golongan berpusat di timur yang dikenali sebagai Kristian Orthodoks. Antara negara yang mempunyai banyak pengaruh Kristian Orthodoks seperti Syiria, Mesir dan India. Menurut Father Fhilips, Kristian Orthodoks berbeza dengan Kristian Katholik. Ini kerana Kristian Katholik bersifat 'missionary'. Golongan ini mempunyai hubungan yang rapat dengan tentera. Oleh sebab itu, mereka menyebarkan agama mereka dengan cara kekerasan dan melalui penjajahan. Manakala Kristian Orthodoks pula tidak bersifat 'missionary' dan mereka hanya berdakwah kepada pengikut-pengikutnya sahaja. Oleh sebab itu, bilangan pengikut mereka sedikit berbanding dengan Kristian Katholik (Temubual. 2009).


 

3.1 Sejarah kedatangan di Malaysia


 

Sebelum kemunculan di Malaysia, Kristian Orthodoks terlebih dahulu telah sampai di India. Seorang paderi bernama Thomas telah singgah dan mendirikan gereja di India. Menurut Father Fhilips, Kristian Orthodoks mula bertapak di Malaysia selepas perang dunia pertama. Mereka datang ke Malaysia (Tanah Melayu) selepas perang dunia pertama dan kebanyakkan mereka bekerja di ladang-ladang getah dan berniaga. Mereka datang ke Malaysia dengan melalui kapal. Negeri pertama yang di singgah adalah di negeri Selangor dan selepas itu ia mula tersebar ke negeri Johor dan Pulau Pinang. Pada awal kedatangannya di Malaysia, jumlah penganut Kristian ini tidak ramai kerana ciri-ciri Kristian ini tidak sama dengan Kristian Protestan atau Katholik yang bersifat 'missionary'. Oleh sebab itu, tidak ada gerakan mengkristiankan (ke dalam Kristian Orthodoks) kepada penduduk Tanah Melayu. Mereka cuma berdakwah di kalangan keluarga yang menganut Kristian Orthodoks sahaja (Temubual. 2009).


 

4.0 Struktur Kristian Orthodoks


 

Struktur Kristian Orthodoks adalah bersifat bulatan dan bukan bersifat hierarki seperti mana struktur Kristian Katholik. Pemimpin agama di dalam Kristian Orthodoks di panggil Patriarca ataupun Catholicos. Kemudian diikuti oleh Bishop. Selepas itu Paderi dan Deacon. Gambaran kepada struktur ini boleh dilihat di dalam lampiran A. Menurut Father Fhilips lagi, pemimpin di dalam struktur ini bukanlah bermakna mereka memiliki keistimewaan dan kekuasaan mutlak, tetapi mereka sebagai petunjuk kepada pengikut-pengikut Kristian Orthodoks. Tambahnya lagi, pemimpin tertinggi Kristian Orthodoks sekarang ialah H. Holiness Baselios Marthoma Didymus I. Manakala Bishop pula bernama Yuhanon Mar Diascoros. Di Malaysia hanya terdapat paderi sahaja (Temubual. 2009).


 

Di dalam Kristian Orthodoks terdapat 2 jenis paderi. Pertama ialah paderi yang berkahwin dan yang tidak berkahwin. Hanya paderi yang tidak berkahwin sahaja boleh menjadi pemimpin tertinggi. Oleh itu, sebelum seseorang yang ingin menjadi paderi, mereka haruslah memilih terlebih dahulu samada untuk menjadi paderi yang berkahwin atau tidak berkahwin. Untuk membolehkan seseorang itu menjadi paderi, dia hendaklah menjalani latihan (Seminary) selama 5 tahun. Dan selepas 1 tahun menjadi paderi, barulah seseorang itu boleh menjadi paderi yang sebenar. Manakala untuk menjadi Bishop pula, paderi-paderi yang sedia ada akan bermesyuarat dan akan memilih di kalangan mereka untuk menjadi Bishop.


 

5.0 Cara beribadat


 

Terdapat 3 ibadat utama di dalam Kristian Orthodoks iaitu sembahyang, puasa dan zakat.

  1. Penganut Kristian Orthodoks bersembahyang sebanyak 7 kali sehari setiap 3 jam. Boleh dikatakan sembahyang di dalam agama ini dimulai dengan sembahyang waktu 6 petang dan diakhiri dengan sembahyang waktu 3 petang. Ini kerana permulaan hari bagi mereka bermula dari jam 6 petang. Waktu pertama pada jam 6 petang, kemudian 9 malam, 12 tengah malam, 6 pagi, 9 pagi, 12 tengah hari dan yang terakhir jam 3 petang. Namun, jika sibuk dengan kerja harian, mereka boleh mengumpulkan sembahyang mereka menjadi 3 atau 4 waktu. Sembahyang jam 6 boleh digabungkan dengan sembahyang jam 9 malam. 12 tengah malam boleh digabungkan dengan jam 6 pagi. Manakala selebihnya boleh digabungkan menjadi 1 waktu atau 2 waktu mengikut kehendak penganut. Selain waktu yang ditetapkan, kadang kala paderi akan mengadakan upacara sembahyang tambahan mengikut tarikh yang ditetapkan (Temubual. 2009).
  2. Di dalam Kristian Orthodoks juga mempunyai ibadah puasa seperti umat Islam. Akan tetapi, puasa di dalam Kristian Orthodoks mempunyai 5 fasa dalam 1 tahun. Tarikh mereka berpuasa adalah mengikut kalendar mereka sendiri. Fasa pertama adalah pada 25 hari sebelum hari Krismas, kedua pula pada 50 hari sebelum hari Easter, 15 hari sempena mengenangkan St. Mariam, 13 hari sebelum Feast Of Apostles dan 3 hari bagi mengenangkan Nabi Yoannah. Selain 5 fasa ini, penganut Kristian Orthodoks juga turut berpuasa pada hari rabu dan jumaat.
  3. Penganut Kristian Orthodoks juga melaksanakan zakat. Kadar zakat bagi mereka pula berbeza di antara perjanjian lama dan baru. Di dalam perjanjian lama, kadar zakat yang harus dikeluarkan adalah 1/10 daripada pendapatan. Manakala di dalam perjanjian baru pula, kadar zakat yang dikenakan adalah mengikut kemampuan masing-masing.


 


 

5.1 Bacaan ketika sembahyang


 

(http://www.ocf.org/OrthodoxPage/prayers/index.html).

5.2 Bahan bacaan Kristian Orthodoks


 

  1. Differences between the Orthodox Church and Roman Catholicism oleh Fr. Michael Azkoul
  2. Some straight answers about the Orthodox Church
  3. Scriptural Evidence for the Sacred Nature of the Sacraments
  4. I Believe...: A Short Exposition of Orthodox Doctrine
  5. Orthodox CatechismA Catechism (information about the Orthodox Church)
  6. The Life of our Holy Mother Mary of Egypt
  7. There Is No Death A priest tells about the repose of his mother.
  8. A Homily on the Dormition of Our Supremely Pure Lady Theotokos and Ever-Virgin Mary oleh St. Gregory Palamas.
  9. Papa-Nicholas Planas is Canonized
  10. Three Fathers Text of a radio interview (translated) regarding three holy fathers of Mt. Athos.
  11. On the Procession of the Holy Spirit
  12. The Holy Angels
  13. Holy Light in Jerusalem On the Holy Flame that appears annually in Jerusalem.
  14. On the Question of the Filioque oleh Fr John Meyendorff.
  15. Love your neighbor Written by St. Cosmas of Aetolia
  16. The Holy Fire, relating to the miraculous Holy Fire that appears annually at Pascha in Jerusalem.
  17. On Bells, Bell Ringing Rubrics
  18. The Jewish Question In The Russian Orthodox Church On Anti-Semitism in Russia (4 bahagian) (http://www.ocf.org/OrthodoxPage/reading/reading.html).


 

6.0 Gerakan Kristian Orthodoks di Malaysia


 

Semenjak Kristian Orthodoks datang ke Malaysia, pengikut-pengikutnya telah bertambah walaupun tidak sepesat Kristian Katholik. Dan hasilnya sebuah gereja telah di dirikan di Jalan Tun Sambathan 3, Kuala Lumpur. Dan gereja inilah satu-satunya gereja Kristian Orthodoks di Malaysia. Gereja inilah yang menjadi pusat pentadbiran dan aktiviti Kristian Orthodoks di Malaysia. Tambah Father Fhilips lagi, jumlah pengikut Kristian Orthodoks di Malaysia dianggarkan sekitar 200 keluarga. Sebanyak 160 keluarga di Klang dan selebihnya di Seremban, Johor dan Perak (Temubual. 2009).


 

Gerakan Kristian Orthodoks ini dijalankan di kalangan ahli keluarga penganut sahaja. Biasanya aktiviti mereka akan dijalankan selepas mereka sembahyang pada hari Ahad. Mereka akan mengadakan kelas pengajaran mengenai Kristian Orthodoks kepada para pengikut, biasanya di antara jam 11 hingga 12.30 tengahari. Selain itu, pihak gereja juga akan menghantar risalah-risalah mengenai Kristian Orthodoks samada melalui kertas atau email. Pihak gereja juga turut mengadakan kelas-kelas khas bagi pengikutnya jika difikirkan perlu. Bagi golongan muda pula, diadakan perkhemahan dan seminar mengenai Kristian Orthodoks. Disebabkan terdapat satu sahaja gereja bagi seluruh Malaysia, maka setiap bulan pihak gereja akan menghantar wakil-wakil mereka ke seluruh daerah bagi bertemu dengan penganut Kristian Orthodoks.

Sebelum berkahwin, pasangan pengantin dikehendaki menjalani kursus perkahwinan selama 6 minggu yang dikendalikan oleh paderi. Setelah berkahwin, telah disediakan perkhidmatan nasihat dan kaunseling kepada pasangan yang bermasalah. Selain itu, mereka juga telah membuat satu laman web yang boleh dilayari oleh mereka yang ingin mengetahui mengenai Kristian Orthodoks ini. Laman web mereka seperti berikut: www.mymalankara.com (Temubual. 2009).


7.0 Kesimpulan

Setelah kita meneliti kajian mengenai ajaran Kristian Orthodoks di atas, diharapkan pembaca sedikit sebanyak dapat memahami apakah intisari ajaran agama ini seterusnya diharapkan pembaca dapat merapatkan jurang antara agama Islam dengan agama lain. Kerana bagi penulis, jurang di antara agama Islam dan agama lain terlalu jauh. Ini membuatkan mereka tidak memahami apakah itu Islam yang sebenarnya. Apabila mereka tidak mengetahui apakah Islam yang sebenar dan ditambah lagi dengan sikap umat Islam yang tidak langsung melambangkan mereka itu umat Islam dan musuh-musuh Islam, maka dilihat semakin sukar untuk kita menarik minat mereka unuk memeluk Islam. Sesungguhnya tugas kita sebagai khalifah di bumi Allah ini sangat besar jika kita sedar. Semoga kita diberi hidayah oleh Allah untuk kita melaksanakan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan.


 


 

Rujukan

http://www.tokeikedai.net.my/v8/index.php?name=News&file=article&sid=3692&startrow=6&comments_startnum=11

http://www.ocf.org/OrthodoxPage/reading/reading.html

http://www.ocf.org/OrthodoxPage/prayers/index.html

http://www.goindo.org/index.php?option=com_frontpage&Itemid=1

Temubual. 11 September 2009. Father Fhilips, Paderi di Gereja Kristian Orthodoks, Jalam Tun Sambathan 3, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: