Khamis, 17 Disember 2009

Kesalahan Murtad: Suatu Kajian Khusus


BAB I


PENDAHULUAN

  1. Pengenalan

Mutakhir ini, gejala kerosakan akidah semakin menular di negara kita sama ada ianya berkaitan ajaran sesat ataupun membabitkan pertukaran agama. Perkara ini telah mendapat perhatian serius oleh pelbagai pihak apabila kenyataan Mufti Perak mengenai kes murtad yang berlaku di kalangan orang melayu. Ini termasuk berita pengkristianan orang melayu di Ipoh yang disebarkan melalui SMS.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa isu murtad ini bukanlah perkara baru, malahan sebelum ini telah ada kes murtad berlaku di negara kita walaupun ianya amat terpencil seperti isu Kamariah Ali dan Azlina Jailani. Namun demikian, jika penelitian dibuat, walaupun bilangan kes murtad ini agak kecil tetapi pada hakikatnya ianya merupakan barah akidah yang mula menular di kalangan orang Islam di Malaysia walhal ianya tidak sepatutnya berlaku. Di dalam artikel ini, penulis akan membincangkan isu murtad ini menurut perspektif syarak secara ringkas dan bidang kuasa mahkamah-mahkamah di Malaysia berkaitan isu murtad dan kebebasan beragama. Perbincangan ini juga akan menekankan peruntukan undang-undang berkaitan murtad sedia ada di Malaysia dan beberapa kes murtad yang telah berlaku di Malaysia.


  1. Latar Belakang dan Permasalahan Kajian


Sebelum kedatangan penjajah, tanah melayu telah mengamalkan sistem perundangan islam dan ini dapat dibuktikan dengan kewujudan hukum kanun melaka. Hukum kanun ini meliputi hukum hudud dan qisas di samping boleh dibuat pilihan iaitu hukuman mengikut adat.

Setelah kedatangan inggeris ke negeri-negeri melayu, pemakain hukum kanun tidak lagi diakui. Penjajah telah menggantikannya dengan kanun kesiksaan yang diambil dari India, undang-undang keterangan dan kanun acara jenayah. Maka bertitik tolak dari zaman tersebut hukuk kanun yang sudah diIslamkan terkubur hingga kini menjadi suatu tatapan sejarah.

Menjelang tahun 1980-an, terdapat langkah kearah memisahkan hal ehwal kekeluargaan daripada enakmen induk. Maka setiap negeri di Malaysia kini mempunyai enakmen keluarga Islam yang terpisah dari enakmen pentadbiran hukum syarak. Seterusnya diikuti pula dengan usaha untuk memisahkan kesalahan-kesalahan terhadap ajaran Islam dan hukum syarak dari enakmen induk. Usaha ini terlah membuahkan kejayaan apabila enakmen kanun jenayah syariah diperkenalkan.

Banyak isu-isu yang berkaitan dengan kes murtad dan kebebasan beragama berlaku di negara ini yang masih belum diputuskan oleh mahkamah. Akan tetapi ada juga sebilangan kes dapat diselesaikan seperti kes Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang 39 tahun yang disiarkan dalam Berita Harian 14 Mei 2008 diisytiharkan keluar Islam kerana tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk Islam. Mahkamah Tinggi Syariah Pulai Pinang memerintahkan sijil pemelukan Islam Siti Fatimah dibatalkan.

Harian Metro yang bertarikh 17 Julai 2009 mendedahkan apa yang diberitahu oleh mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri Harussani Zakaria terdapat hampir 100,000 orang Islam di negara ini murtad. Walaupun ada pihak yang kurang senang dengan pendedahan ini, namun ia jelas menunjukkan gejala murtad di kalangan umat Islam berlaku pada tahap yang serius. Mengapa perkara ini boleh terjadi hingga ke peringkat yang sedemikian rupa? Adakah mahkamah di Malaysia tiada kuasa membendung gejala ini atau tiada akta khusus menghalang ia daripada terus bermaharajalela?. Insya Allah, segala persoalan berkaitan dengan masalah ini akan terungkai dalam kertas kerja ini.


1.3 Matlamat Kajian

Kajian ini adalah berdasarkan kepada beberapa matlamat yang difikirkan oleh penulis. Adalah diharapkan matlamat yang digariskan ini memberi panduan kepada penulis dan manfaat kepada semua pihak. Antara matlamat tersebut ialah:

i. Melihat konsep murtad menurut perspektif agama Islam dari segi dalil-dalil dan pendapat ulamak.

ii. Melihat konsep kebebasan beragama seperti yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak.

iii. Mengkaji bidangkuasa mahkamah-mahkamah di Malaysia dalam isu murtad dan kebebasan agama.

iv. Menilai peruntukan undang-undang yang diberikan kepada mahkamah dalam menyelesaikan kes murtad dan kebebasan agama.


1.4 Skop Kajian

Skop kajian ialah bidang kuasa yang ada dan diperuntukkan kepada mahkamah-mahkamah di Malaysia dalam isu murtad dan kebebasan beragama. Penulis akan memberi penekanan kepada bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah selaras dengan isu murtad yang berkait rapat dengan agama Islam.





BAB II


PENGENALAN KEPADA MURTAD DAN BIDANG KUASA- BIDANG KUASA MAHKAMAH-MAHKAMAH DI MALAYSIA

2.1 Definisi Murtad

Perkataan Arab untuk murtad ialah riddah atau irtidad, yang bererti "berpaling tadah". Perkataan pertama itu biasanya digunakan untuk menunjukkan berpaling tadah daripada Islam kepada agama lain atau manjadi kafir. Manakala perkataan kedua pula bermaksud seseorang yang meninggalkan agama Islam untuk menjadi kafir atau menganuti agama lain,.

Menurut Abd. Kadir al-Audah dalam kitabnya al-Tasyrik al-Jana'i al-Islami, al-riddah dari segi bahasa ialah kembali. Dari segi syarak bermaksud kembali kepada agama asal setelah memeluk Islam. Riddah juga disebut sebagai murtad.

2.2 Dalil Pengharaman Murtad daripada al-Quran dan al-Sunnah

i. Firman Allah s.w.t.: yang bermaksud :

"Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)".

ii. Sabda Rasulullah s.a.w.:

من بدل دينه فاقتلوه

Maksudnya: Barangsiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لا يحل دم امرئ مسلم الا باحدى ثلاث: كفر بعد ايمان وزنا بعد احصان وقتل نفس بعد نفس

Maksudnya:
Tidak halal darah seseorang Islam itu ditumpahkan (dibunuh) melaikan dalam tiga keadaan; kafir selepas beriman (murtad), penzina yang telah berkahwin dan bunuh balas (qisas)

Hukuman bunuh bagi orang murtad tidak disebut dalam al-Quran tetapi ia sabit penghukumannya melalui hadis Rasulullah s.a.w..


2.3 Hukuman Murtad Menurut Perspektif Islam

Hukuman murtad.terbahagi kepada dua kategori. Pertama dibunuh dengan hukuman hudud. Keduanya diminta supaya orang yang murtad bertaubat dan kembali kepada Islam dan jika enggan, maka hendaklah dibunuh. Menurut mazhab al-Syafie, tempoh bagi orang murtad kembali kepada Islam selama tiga hari tiga malam atau tidak diberi tempoh langsung menurut pendapat yang rajih.

Ahmad Fathi Bahnasi menyebut dalam satu penulisannya, ada dua pendapat ulamak menganai hukuman murtad. Pendapat pertama Jumhur ulamak: Mereka diminta bertaubat taubat segera, jika enggan hendaklah dibunuh. Pendapat kedua ialah pendapat saidina Omar, ashab al-Ra'yie dan salah satu pendapat mazhab syafie': Dipenjara tiga hari tiga malam dan diminta mereka bertaubat, jika enggan handaklah dibunuh.

Pendapat umum di kalangan para Fuqaha' bahawa murtad merupakan kesalahan yang telah ditetapkan hukumannya iaitu mati.

Daripada kenyataan di atas, jelaslah hukuman bagi orang yang murtad hanya satu iaitu bunuh apabila peluang untuk bertaubat dan kembali kepada Islam diingkari. Saidina Abu Bakar r.a. pernah memerangi golongan murtad selepas beliau memegang tampuk pemerintahan disamping memerangi golongan nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat.


2.4 Bahaya Murtad

Apabila seseorang menjadi murtad, ia akan memberi kesan lain dalam kehidupannya baik bersangkutan dengan diri, sosio hidup dan agamamya. Antara bahaya dan isu yang timbul ekoran murtad ini ialah:

2.4.1 Perebutan Anak Apabila Salah Seorang Ibu atau Bapanya Memeluk Islam


Salah satu contoh dalam isu ini ialah kes lelaki yang telah memeluk Islam dan memakai nama Mohd Raffe menuntut hak penjagaan anaknya yang diberi nama Rositah bte mohd Raffe 7 tahun dan anak lelakinya diberi nama Mohd Jeffrey bin mohd Raffe 5 tahun dari isterinya yang kafir. Di sebabkan isterinya bukan seorang Islam, maka kesnya terpaksa diselesaikan di mahkamah Tinggi. Kes ini dibicarakan pada 15/7/1992 di hadapan hakim Dato' N.H Chan hakim mahkamah tinggi kuala lumpur. Berdasarkan undang-undang sivil, kes ini telah diputuskan kemenangan berpihak kepada isterinya yang bukan Islam kerana kerana hujah-hujahnya berjaya memuaskan hati mahkamah.

Penulis beranggapan, jika Mahkamah Syariah di beri ruang dan peluang yang luas dalam bidang kuasanya, sehingga ia mampu membicarakan kes-kes seumpama ini maka pastilah hak penjagaan anak seperti dalam kes ini dimenangi oleh bapa yang beragama Islam. Realiti sekarang Mahkamah Syariah hanya ma'ruf dan terikat dengan kod 356 sahaja.(3 tahun penjara, 5 ribu ringgit dan 6 sebatan)

2.4.2 Perebutan Mayat Orang Mualaf

Adalah berdosa bagi orang Islam mengkebumikan mayat orang bukan Islam mengikut cara Islam. Sebab itulah dalam kes Nyonya Tahir misalnya, apabila disahkan dia bukan lagi Islam, maka Majlis agama Islam tidak 'berebut' untuk menguruskan pengkebumianitu.
Pada masa yang sama, banyak kes pertikaian berhubung status Islam diselesaikan secara aman.

Antaranya kes jenazah bekas pekerja ladang tembikai, N. Anthonysamy atau Mohd. Sani Abdullah, 71, yang dikebumikan mengikut hukum syarak tanpa bantahan keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Ayer Keroh, Melaka, Januari 2009. Namun, kes-kes begini tidak diuar-uarkan. Sebaliknya, satu atau dua kes yang bermasalah yang selalu diperbesarkan. (Raihanah)

2.4.3 Perceraian Yang Mengundang Kepada Perebutan Hak Penjagaan Anak, Harta Pusaka, Harta Sepencarian

Rentetan daripada perceraian ekoran murtad salah seorang suami isteri, perkara utama ialah hak keatas penjagaan anak (hadhanah). Perkara ini penting kerana ibu bapa yang akan mencorakkan agama anak-anak kelak. Isu ini sudah dijelaskan pada bab yang lalu. Selain itu, akan timbul isu harta pusaka kerana pihak yang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam. Harta sepencarian akan ditentukan oleh pihak mahkamah selepas melalui proses perbicaraan tertentu yang pastinya membebankan semua pihak.(??rujukan harta pusaka)

2.4.4 Hubungan Kekeluargaan

Apabila salah seorang suami isteri menjadi murtad, ikatan perkahwinan mereka akan terbatal. Mereka bukan lagi suami isteri yang sah dan mesti tinggal berasingan. Begitu juga dengan hubungan dengan keluarga pihak mertua termasuk ipar duai. Ini belum termasuk dengan pandangan daripada masyarakat yang tidak boleh terima dengan perlakuan murtad dalam masyarakat Islam.

2.4.5 Tindakan Undang-Undang

Perkara ini akan dijelaskan dalam bab seterusnya.

2.5 Konsep Kebebasan Agama di Malaysia

Konsep kebebasan beragama adalah perkara sama dalam isu murtad. Ada setengah pihak menjadikan status kebebasan dalam negara demokrasi untuk bertindak lebih berani dengan menganjurkan hak menganut apa-apa agama yang disukai tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Status kebebasan agama di Malaysia merupakan satu isu kontroversi. Islam merupakan agama rasmi dan Perlembagaan Malaysia meletakkan sekatan terhadap kebebasan beragama, paling ketara penyebaran agama selain Islam kepada Muslim. Bagaimanapun, persoalan sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sekular masih belum berjawab.

Perkara 11 dalam Perlembagaan Negara memperutukkan kebebasan beragama kepada rakyat Malaysia. Antara penekanan yang terdapat dalam peruntukan ini ialah:

  1. Walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara ini, rakyat tetap bebas menganut agama-agama lain.
  2. Seseorang tidak boleh menyekat orang lain daripada menjalankan aktiviti keagamaan.
  3. Penganut setiap agama diberikan kebebasan untuk meraikan upacara keagamaan masing-masing.
  4. Hari sambutan upacara keagamaan bagi agama-agama utama merupakan cuti am.

Yang menjadi tanda tanya ialah adakah manusia itu diberi kebebasan sepenuhnya selama mana ia mendatangkan kebaikan kepada kehidupannya. Ulama terkenal al-Syeikh al-Mutawalli al-Sya'rawi menegaskan bahawa kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan yang hidup dalam sesebuah masyarakat. Malah, kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Menurut Syeikh al- Sya'rawi, satu cara untuk seseorang memiliki kebebasan sepenuhnya ialah dengan memencilkan dirinya daripada orang ramai dan hidup bersendirian. Ketika itu, orang ramai tidak akan mengganggunya dan setiap perbuatannya tidak akan ditegah dan juga tidak akan dilihat. Maka dengan itu, kamu akan bebas melakukan apa saja yang kamu sukai.

Penulis menyokong penuh pandangan Syeikh al- Sya'rawi di atas dan berpandangan, jika kita hidup dalam satu masyarakat seperti di Malaysia ini, maka laungan kebebasan tersebut adalah salah sama sekali. Ini kerana Islam hanya membenarkan kebebasan selama mana ia tidak bertentengan dengan syarak. Kebebasan mutlak tidak ada dalam Islam. Kalau di sekolah TABIKA kanak-kanak kecil yang bilangannya lebih kurang 10 hingga 30 orang sudah ada peraturan yang mengikat mereka dan kebebasan mereka sudah terhad, inikan pulak kita rakyat malaysia yang jumlahnya mencecah 26 juta orang. Sudah tentulah kebebasan tanpa batasan mustahil dapat dilaksanakan.


2.6 Pengenalan Kepada Badan Kehakiman Di Malaysia

2.6.1 Pengenalan

Struktur mahkamah di Malaysia terbahagi kepada empat iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sivil. Mahkamah sivil terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi pula terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung. Mahkamah ini ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa mahkamah ini diperuntukkan dalam Akta Mahkamah dan Kehakiman 1964 (disemak 1972). Mahkamah Rendah terdiri daripada Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret. Bagi Malaysia Barat, terdapat satu lagi Mahkamah Rendah iaitu Mahkamah Penghulu. Penubuhan dan bidang kuasa mahkamah ini diperuntukan di dalam Akta Mahkamah-Mahkamah Rendah 1948 (disemak 1972).

Mahkamah Awam di Malaysia terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung. Mahkamah-mahkamah ini mempunyai bidang kuasa yang lebih meluas daripada mahkamah-mahkamah rendah. Kedudukan mahkamah-mahkamah secara umumnya adalah seperti berikut:

a. Mahkamah Tinggi

i. Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan adalah merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia. Menurut Perkara 121 (2) Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditubuhkan sebuah mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan mempunyai bidang kuasa berikut:

  1. Menetukan rayuan dari keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau dari hakim mahkamah berkenaan.
  2. Bidang kuasa asal atau perundingan seperti yang disebut di dalam Perkara 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Bidang kuasa yang lain seperti yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.

ii. Mahkamah Agung

Mahkamah ini terdiri daripada seorang yang dipertua mahkamah yang digelar "ketua hakim negara, mahkamah agung"; hakim-hakim besar mahkamah tinggi dan selaian yang diperuntukkan dengan perintah oleh yang di-pertuan agong, empat orang hakim lain dan beberapa orang hakim tambahan. Mahkamah ini berkuasa menentukan kesahihan apa-apa undang-undang yang dibuat oleh parlimen dan majlis undangan negeri. Selain itu, berkuasa memutuskan pertikaian di antara negeri-negeri atau mana-mana negeri dengan persekutuan. Keputusan mahkamah agung dalam hal-hal seperti ini bersifat pengisytiharan.

iii. Mahkamah Tinggi

Di malaysia terdapat dua mahkamah tinggi yang mempunyai bidang kuasa dan taraf yang selaras iaitu mahkamah tinggi di malaysia dan mahkamah tinggi di borneo.mahkamah tinggi mempunyai seorang hakim besar dan tidak kurang empat orang hakim yang lain. Di malaysia barat, orang yang dituduh dengan kesalahan membunuh dibicarakan dengan menggunakan juri. Di malaysia timur, dalam semua perkara yang hukuman mati dibenarkan oleh undang-undang, perbicaraan di mahkamah tinggi dijalankan oleh seorang hakim dibantu oelh pengapit-pengapit.

b. Mahkamah Rendah

i. Mahkamah Penghulu

mahkamah penghulu hanya wujud di malaysia barat. Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa dalam kes-kes jenayah dan sivil. Penghulu boleh membicarakan kes jika dia diberi kuasa dalam bentuk surat kuasa yang dikeluarkan oleh raja negeri yang berkenaan. Penghulu boleh membicarakan kes-kes yang kecil dan nilai hukuman itu ialah denda tidak bolah lebih lima puluh ringgit. Penghulu hanya boleh membicarakan orang-orang Asia sahaja.

ii. Mahkamah Majistret

mahkamah majistret mempunyai kuasa membicarakan kes-kes sivil dan jenayah, mengeluarkan saman dan waran.Mahkamah majistret terbahagi kepada majistret kelas pertama dan majistret kelas kedua. Mahkamah majistret kelas pertama membicarakan kesalahan-kesalahan yang hukumannya tidak lebih sepuluh tahun penjara dan denda. Mahkamah majistret kelas kedua membicarakan kesalahan yang hukuman maksimum 12 bulan penjara atau denda sahaja. Rayuan terhadap keputusan majistret dalam kes sivil dan jenayah boleh dibuat di mahkamah tinggi sahaja. Keputusan mahkamah tinggi dalam kes jenayah adalah muktamad tetapi tidak dalam kes sivil.


iii.Mahkamah Seksyen

mahkamah seksyen boleh membicarakan semua kesalahan selain daripada kesalahan yang boleh dihukum mati. Ia juga membicarakan kes-kes yang melibatkan jumlah wang atau nilai perkara pokok tidak lebih daripada $100,000 atau lebih dengan persetujuan pihak yang terlibat. mahkamah seksyen berkuasa mengeluarkan saman menahan harta untuk mendapatkan sewa yang tidak melebihi $96,000.


2.6.4 Mahkamah-Mahkamah Khas

i. Mahkamah Juvana

Mahkamah Juvana ditubuhkan oleh akta mahkamah juvana 1947 (disemak 1972). Mahkamah ini hanya wujud di semenanjung dan sabag sahaja. Mahkamah juvana membicarakan pesalah budak-budak yang berumur kurang 18 tahun. Jika seorang budak didapati bersalah, kesalahannya tidak akan dicatatkan dan tidak dihantar ke penjara sebaliknya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak sehingga berumur 21 tahun. Mahkamah ini terdiri daripada majistret kelas pertama.

ii. Mahkamah Tentera

Penubuhan, bidang kuasa dan acara mahkamah tentera diperuntukkan oleh angkatan tentera 1972 (akta 77). Mahkamah tentera berkuasa menbicarakan sesiapa jua yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan angkatan tentera. Sebuah mahkamah tentera Am hendaklah terdiri daripada Yang Dipertua dan tidak kurang daripada dua orang pegawai lain. Secara amnya, perbicaraan mahkamah tentera banya menyerupai perbicaraan di mahkamah awam.

iii. Mahkamah Bumiputera

Di Sabah dan Sarawak, undang-undang adat ditadbirkan oleh Mahkamah Bumiputera yang ditubuhkan oleh Ordinan Mahkamah Bumiputera. Bagi negeri Sabah, Ordinan Mahkamah Sabah 1954 dan untuk Sarawak Ordinan Mahkamah Bumiputera Sarawak 1955.



2.6.5. Mahkamah Syariah

Sejarah

Pada tahun 1948, ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah dari hierarki mahkamah. Pada masa pemerintahan kuasa asing, segala urusan agama diberi kuasa kepada raja-raja Melayu tetapi terhadap bidang yang terbatas seperti perkahwinan, adat istiadat, dan agama. Pada tahun 1952, negeri Selangor Dahrul Ehsan yang mula-mula sekali mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, kemudia diikuti oleh negeri-negeri lain di Malaysia Barat.

Sultan adalah sebagai Ketua Agama dan mempunyai bidang kuasa perkara-perkara berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Keadaan ini diamalkan sejak sebelum merdeka lagi. Sultan bagi setiap negeri di Malaysia dilantik sebagai Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam. Bagi negeri yang tidak mempunyai institusi beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Wilayah dan Sabah, Ketua Agama yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran agama Islam ialah Yang di Pertuan Agung.

Mahkamah Syariah dinamakan Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan Undang-undang Pentadbiran Agama Islam bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap negeri ditubuhkan sebuah Jabatan Agama Islam untuk mentadbir perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang di bawah peruntukan pentadbiran agama Islam. Mahkamah Syariah adalah satu badan penting yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam pada setiap negeri. Mahkamah Syariah juga ditubuhkan di setiap daerah bagi kebanyakan negeri untuk memudahkan lagi menjalankan pentadbiran agama Islam. Ketua bagi setiap daerah berkenaan dilantik seorang Kadi Daerah.

Mahkamah Rendah Syariah

  • Membicarakan kes-kes yang diperuntukkan oleh enakmen negeri
  • Mendengar dan memutuskan kes-kes tersebut
  • Menyediakan kertas-kertas keputusan dan laporan mahkamah
  • bicarakan kes-kes di peringkat daerah.

Mahkamah Tinggi Syariah

  • Membicarakan kes-kes yang diperuntukkan kepadanya
  • Mengeluarkan perintah kes-kes sivil dan jenayah
  • Menyelesaikan dan mengesahkan kes-kes faraid
  • Menguruskan kes-kes rayuan
  • Menyediakan jurnal mahkamah untuk diterbitkan (bagi sesetengah negeri)

Mahkamah Rayuan Syariah

  • Bertugas untuk mendengar kes-kes rayuan
  • Mempunyai kuasa pembatalan mana-mana sabitan hukuman oleh Mahkamah Syariah
  • Mengurangkan hukuman
  • Memerintah supaya diadakan pembicaraan semula atau ulang bicara
  • Menerima rayuan responden yang dihukum penjara atau denda tidak kurang RM25.00 dan telah membuat rayuan mengikut prosedur yang telah ditetapkan
  • Setiap rayuan akan didengar sekurang-kurangnya oleh tiga orang panel(hakim) rayuan daripada Panel(hakim) Rayuan Syariah yang dilantik dan ditaulaiha oleh KDYMM Sultan*(Ketua Hakim adalah Pengerusi Panel Rayuan Syariah)Keputusan mahkamah adalah muktamad dan sah.

Bidang Kuasa
Mahkamah Syariah

Bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia. Kuasa Mahkamah Syariah tidak menguasai kuasa yang dibenarkan dan kuasa Mahkamah Syariah adalah dibawah enakman negeri.

Bidangkuasa Mahkamah Syariah ialah mengenai perkara-perkara yang disebut dalam perenggan 1 kepada Jadual Kesembilan
Senarai 2, Perlembagaan Persekutuan. Ini ialah Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang
menganuti agama Islam termasuk Hukum syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan,
perkahwinan, perceraian, maskahwin, natkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian
harta dan amanah bukan khairat, wakaf dan ta'rif serta pentadbiran mengenai amanah dan khairat agama, perlantikan
pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan
amanah khairat dan yayasan khairat yang dijalankan ke semuanya sekali dalam Negeri, adat istiadat Melayu, Zakat, fitrah dan
baitul-mal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;
kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam kecuali mengenai
perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan; pertubuhan, organisasi dan prosedur mahkamah-mahkamah
Syari'ah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai
mana-mana perkara yang termasuk di dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan
kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan i'tikad dan kepercayaan antara
orang-orang yang menganut agama Islam, menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan i'tikad dan adat isti'adat adat
Melayu.

Bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam. Oleh kerana itu Mahkamah Syariah
tidak mempunyai bidangkuasa apabila mana-mana pihak yang terlibat bukan orang Islam. Umpamanya di dalam kes hakjagaan
anak apabila ibu anak itu bukan orang Islam akan tetapi bapanya seorang Islam. kes itu boleh dibawa ke Mahkamah Sivil, dan
diputuskan di situ. Di dalain Akta Membaharui Undang-Undang (perkahwinan dan Perceraian) Mahkamah Sivil diberi kuasa
memberi perceraian apabila satu pihak kepada perkahwinan bukan secara Islam telah menganuti agama Islam dan pihak yang
tidak ikut memeluk agama Islam membuat permohonan kepada mahkamah itu.

Pada masa sekarang bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah ialah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan- salahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.
Mengikut Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidangkuasa mengenai kesalahan
yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $ 1 000/- atau kedua-duanya. Bidangkuasa
itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada Akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidangkuasa mengenai
kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih $5000 atau sebat tidak lebih enam
sebat atau gabungan hukuman itu. Bidangkuasa ini masih rendah dari bidangkuasa Magistret Kelas 1 yang biasanya boleh
membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau
denda $10,000 atau sebat dua belas pukulan atau gabungannya.

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah di bawah Perlembagaan Malaysia 1965

Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1965 adalah seperti berikut:

  1. Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
  2. Denda tidak melebihi RM1000.00 sahaja atau
  3. 6 bulan penjara atau
  4. Gabungan kedua-duanya (denda dan penjara)

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah di bawah Perlembagaan Malaysia 1984

Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1984 dengan pindaan adalah seperti berikut:

  1. Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja
  2. Denda tidak melebihi RM5000.00 sahaja atau 3 tahun penjara atau Hukuman rotan tidak melebihi daripada enam kali sebatan atau
  3. Gabungan ketiga-tiganya (denda, penjara dan rotan)

Kedudukan Mahkamah Syariah dalam kategori mahkamah di Malaysia tidak dapat ditentukan dengnn tepat. Terdapat pengarang buku dalam bidang ini meletakkan Mahkamah Syariah dalam kategori mahkamah rendah. Mengikut pendapat Pn. Wafaa binti Yusof dalam satu kelas kuliahnya pada 2 Oktober 2009 menyatakan sebenarnya Mahkamah Syariah tidak termasuk dalam mana-mana kategori mahkamah di Malaysia. Dalam kertas kerja ini, penulis suka meletakkan Mahkamah Syariah dalam kategori mahkamah khas memndangkan ia hanya membicarakan kes yang berkaiatan dengan orang Islam sahaja.

Setiap negeri di Malaysia mempuyai Mahkamah Syariah. Mahkamah ini ditubuhkan oleh Enakmen pentadbiran Agama Islam negeri berkenaan. Mahkamah Syariah terdiri daripada mahkamah kadi, mahkamah kadi besar dan lembaga rayuan. Mahkamah ini berkuasa membicarakan kes-kes sivil seperti tuntutan-tuntutan perceraian, nafkah dan tuntutan harta sepencarian serta harta pusaka. Mahkamah Kadi membicarakan kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman ringan sementara kesalahan hukuman berat di bicarakan di Mahkamah Kadi Besar.Rayuan daripada kedua-dua mahkamah ini akan didengar oleh Lembaga Rayuan.

Dipetik daripada Prof.Ahmad Ibrahim berkata Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan,
percanggahan antara Mahkamah Tinggi dengan Mahkamah Syariah tidak akan timbul lagi kerana perkara-perkara itu hanya
boleh dibawa ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai bidangkuasa di dalam perkara-perkara itu.
Sungguhpun demikian ada juga terdapat undang-undang bertulis yang lama yang perlu dipinda untuk mengelakkan apa-apa
keraguan. Antara undang-undang bertulis itu ialah:-

(a) Evidence Act, 150

Seksyen 112 Evidence Act, 1950, mengenai kesahtarafan dan seksyen 100 mengenai tafsiran wasiat
hendaklah tidak dikenakan kepada orang-orang Islam.

(b) Guardianship of Infants Act, 1961

Akta itu hendaklah tidak terpakai di mana-mana negeri di mana peruntukan telah dibuat untuk hak jagaan
kanak-kanak bagi orang Islam.

(c) Trustees Act (Act 208)

"Wakaf" hendaklah tidak termasuk di dalam takrif "trust" di bawah Akta ini.

Pindaan kepada Perlembagaan yang disebut itu boleh dikatakan telah memulihkan taraf Mahkamah Syariah dan ia tidaklah
dipandang lebih rendah dari Mahkamah Sivil.






BAB III


BIDANG KUASA MAHKAMAH—MAHKAMAH DI MALAYSIA DALAM ISU MURTAD DAN KEBEBASAN AGAMA.

3.1 Pengenalan

Dalam bab ini penulis membawa beberapa kes murtad yang berlaku di negara kita yang secara tidak lansung mempamerkan bidang kuasa yang ada pada mahkamah-mahkamah berkenaan melalui keputusan penghakiman yang dibuat. Para hakim menggunakan pelbagai kaedah penafsiran undang-undang dalam menentukan keputusan. Bagaimanapun, ia tidak boleh melebihi kuasa perlembagaan persekutuan dalam bidang kuasa yang diberikan.

Isu murtad ini menimbulkan kekecewaan di kalangan umat Islam di negara ini terutama ada pihak yang sanggup mendakwa kerajaan hatta mahkamah syariah sendiri apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Diharapkan melalui kes-kes yang dipaparkan para pembaca dapat mengetahui bidang kuasa mahkamah – mahkamah di Malaysia dalam berdepan dengan isu murtad dan kebebasan agama. Kes-kesnya adalah seperti berikut:

Kes 1:

Lina Joy atau nama Islamnya Azlina Jailani merupakan wanita
Melayu yang berumur 42 tahun tetapi kini mengaku telah murtad dan memeluk agama Kristian Katolik. Lantaran itu beliau cuba menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalan
MyKad (tahun 2004) yang dimilikinya. Rayuan dan permohonannya dibuat dengan mengenepikan kuasa Mahkamah Syariah, tetapi secara lansung melalui proses undang-undang sivil. Pada mulanya beliau ke Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Rayuan, seterusnya ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan undang-undang yang timbul dari permohonan Lina Joy untuk membuang perkataan 'Islam' dari kad pengenalannya telah menimbulkan banyak kontroversi. Dalam perbahasan yang timbul, pelbagai pihak telah mengeluarkan berbagai kenyataan yang menggambarkan salah faham terhadap isu sebenar yang mendasari kes tersebut.

Meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan ini menggambarkan seolah-olah kegusaran bukan Islam terhadap kebebasan beragama terbukti benar, keputusan ini sebenarnya, tidak bermakna orang bukan Islam tidak dapat terus mengamalkan agama pilihan mereka. Keputusan tersebut juga sama sekali tidak bermakna mana-mana pihak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Kebebasan beragama secara keseluruhannya masih dipelihara.

Keputusan tersebut menetapkan bahawa orang Islam mestilah menggunakan prosedur Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, sekiranya mereka hendak berbuat demikian secara rasmi, seperti Lina Joy yang telah memohon untuk membuang perkataan Islam dari kad pengenalannya.

Sebenarnya, ia tidak memberi kuasa yang baru kepada Mahkamah Syariah, bahkan sememangnya perkara tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebelum ini. Ia juga tidak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan status agama bukan Islam sebagaimana pandangan sesetengah pihak.

Keputusan tersebut bukan untuk memaksa Lina Joy kembali kepada Islam meskipun beliau secara terbuka telah menganut agama Kristian, tetapi undang-undang dan peraturan mestilah dipatuhi apabila mana-mana individu hendak keluar dari Islam.

Perkara sedemikian semestinya kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan sama ada keputusan tersebut berpatutan atau tidak, Mahkamah Syariahlah mesti menentukannya. Ini jelas sekali mengikut peruntukan undang-undang Syariah di setiap negeri sebagaimana undang-undang penceraian, wasiat dan harta peninggalan. Meskipun wujud perbezaan dari segi undang-undang dan prosedur berkenaan murtad antara tiap-tiap negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Orang bukan Islam secara keseluruhannya sepatutnya dapat menerima bahawa persoalan murtad ini amat sensitif di negara Malaysia dan tidak boleh diperlekehkan. Pada masa yang sama, umat Islam mestilah mengiktiraf hak bukan Islam untuk mengamalkan agama-agama mereka akan terus dipelihara dan dihormati, dan memahami bahawa mereka juga sensitif di dalam isu-isu agama.

Semua rakyat Malaysia mesti menjaga kata-kata dan tindakan berkaitan isu ini serta perkara-perkara lain yang mungkin mengeruhkan hubungan antara agama. Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mestilah terus memegang muafakat yang dicapai menerusi Perlembagaan Persekutuan. Selain dari kebebasan beragama, rakyat Malaysia juga mestilah berusaha memelihara kebebasan-kebebasan lain yang diperuntukkan Perlembagaan Malaysia.

a. Bidang Kuasa Mahkamah –Mahkamah Dalam Kes Azlina Jailani (Lina Joy)

Kuasa Mahkamah Persekutuan terhad dan tidak boleh memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadam perkataan Islam tersebut. Dalam konteks ini bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hal-ehwal Islam lebih diberi keutamaan dari Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Mahkamah Persekutuan. Hak asasi seseorang itu juga terlindung dalam 'konteks' memeluk agama Islam, menurut peraturan yang telah ditetapkan.

Mahkamah Syariah terlebih dahulu mesti mengeluarkan satu sijil, deklarasi atau surat perintah yang mengesahkan seseorang Melayu beragama Islam itu 'murtad' dan sah terkeluar daripada Islam. Selepas itu barulah perkataan Islam boleh dipadam dari kad pengenalannya. Sebagai contoh, menurut jurucakap Persatuan Peguambela Muslim, Mahkamah Syariah Negeri Sembilah telah mengesahkan 16 kes murtad.

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dari Mahkamah Persekutuan menjelaskan JPN berhak untuk menggenakan syarat kepada sesiapa yang 'murtad' mengemukakan sijil atau deklarasi atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Pada 2 Februari
1997, Azlina Jailani memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997. Pada 1999, dia sekali lagi memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dan diluluskan, tetapi permohonan untuk menukar status agama itu ditolak kerana tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada April
2001 Lina Joy telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Tetapi Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Oleh itu Lina Joy membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 19 September
2005 Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan alasan bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 30 Mei
2007 rayuan Lina Joy ditolak oleh Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sherif. Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan deklarasi yang dipohonnya. Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden. Beberapa kes yang hampir serupa telah dilaporkan. Antaranya kes 'Maria' dan Nyonya Tahir.

Kes 2

Kes ini dipetik dalam satu penulisan Prof.Ahmad Ibrahim. Dalam kes ini Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaludin [ 19891 ]1 MLJ418 mengikut faktanya Jamaludin seorang
asalnya melayu dan berugama Islam telah memeluk agama Kristian dan telah cuba memasukkan orang-orang Melayu ke
agama Christian dan telah berjaya memasukkan enam orang Melayu ke agama Kristian. Dia telah ditahan dibawah Akta
Keselamatan dalam Negeri, dan telah merayu kepada Mahkamah.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan alasan untuk
penahanan itu tidak sah kerana kebebasan agama orang itu telah diganggu. Rayuan kepada Mahkamah Agong juga telah
ditolak. Di kedua-dua mahkamah itu hakim-hakimnya menegaskan hak orang itu menganuti dan mengamalkan agamanya.
Sayangnya mahkamah-mahkamah itu tidak sentuh sama ada orang itu berhak menyebarkan agamanya pada orang-orang Islam.

Mengikut kes India Rev. Stanislaus v State of Madhya Pradesh AIR 1977 S.C. 908 telah
menyebut hak menyebarkan agama tidak termasuk memasukkan orang lain kepada agama orang itu kerana jika seseorang
sengaja berusaha memasukkan orang lain kepada agamanya, dan bukan hanya berusaha menyampaikan atau menyebarkan
ajaran agama itu, ini akan menjejas hak kebebasan kepercayaan orang itu.

Kes 3

Kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis, Bukit Mertajam [ 1982 ] 1 MLJ 1; [ 1982] 8 JH 306 perayu telah memohon deklarasi
bahawa anak lelakinya pada masa ia meninggal dunia pada 3 Oktober 1991 bukan seorang Islam dan atau ia telah keluar
daripada ugama Islam dan untuk deklarasi lanjutan bahawa ia berhak mendapat mayat si mati itu. Si mati telah dilahirkan
seorang Sikh dan dididik mengikut ugama Sikh. Ia telah memeluk ugama Islam pada 1 Jun 1991 di hadapan Kadi Daerah
Kulim dan kemasukannya telah didaftar mengikut seksyen 139 Enakmen Pentadbiran Agama Islam, 1962, Kedah. Perayu
telah berhujjah bahawa selepas simati memeluk ugama Islam ia telah melalui Deed Poll pada 9 September 1991 menolak
ugama Islam dan kembali kepada amalan kepercayaan Sikh. Juga dihujjahkan bahawa si mati telah diterima balik ke ugama
Sikh oleh seorang padri Sikh dan si mati selalu hadir sembahyang di kuil Sikh.

Di hujjah juga bahawa si mati terus memakan babi dan tidak berkhatan. Ada keterangan yang diberi bahawa si mati telah
bertunang dengan seorang perempuan Islam dan perkahwinan mereka telah ditetapkan pada 15 November 1991. Di dalam
perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi, Yang Ariff Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Abdul Hamid bin Haji Mohamad telah
memutuskan bahawa tandatangan di Deed Poll itu bukan tandatangan si mati dan beliau juga menolak keterangan paderi Sikh
dan abang si mati mengenai penerimaan semula si mati ke ugama Sikh dan kehadirannya di sembahyang di kuil Sikh. Beliau memutuskan bahawa si mati adalah seorang Islam semasa ia meninggal dunia.

Datuk Faiza Tamby Chik(bekas Hakim Mahkamah Tinggi )berkata Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu. Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.

Beliau menambah: "Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan' pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008). anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu.

3.2 Kesimpulan

Dalam bab ini, penulis dapat membuat beberapa kesimpulan antaranya:

i Peranan Mahkamah Syariah amat besar dalam menangani isu murtad di Malaysia. Sekali imbas, bidang kuasanya menyamai mahkamah tinggi memandangkan keputusan mahkamah lain bergantung kepada keputusan kehakimannya.

ii Penerapan Islam daripada bawah harus rancak agar gejala murtad tidak berakar umbi selain pemantauan kepada pihak-pihak tertentu yang berniat jahat terhadap Islam dan umatnya.








BAB IV


PENUTUP

Berdasarkan kepada perbincangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa terdapat beberapa kelemahan peruntukan undang-undang dan ketidakseragaman prosedur. Ini dapat dirumuskan seperti berikut:-


a) Kesalahan Keluar Agama Islam dan hukuman.


Sememangnya hukuman murtad berdasarkan hudud tidak dilaksanakan di Malaysia. Oleh itu penggunaan kesalahan keluar agama Islam digunakan kepada sesiapa yang menukar agamanya. Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan keluar agama Islam adalah dalam bentuk perintah untuk menjalani pemulihan akidah dan kaunseling. Namun begitu, didapati dari aspek penguatkuasaan seperti menghantar ke pusat pemulihan akidah masih terdapatnya masalah. Setakat ini hanya ada satu pusat pemulihan akidah yang beroperasi sepenuhnya iaitu di Ulu Yam, Selangor manakala terdapat satu pusat yang sepatutnya beroperasi tetapi belum diwartakan iaitu di Jelebu Negeri Sembilan. Dicadangkan penambahan pusat pemulihan akidah di setiap negeri dan modul perlaksanaan pemulihan digubal oleh wakil dari semua pusat pemulihan akidah ini.

Selain itu ianya perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Lebih utama lagi adalah ianya akan menjadi amat baik jika terdapat strategi pencegahan pencemaran akidah seperti penubuhan jabatan atau unit untuk maksud sedemikian. Misalnya, Selangor dan Negeri Sembilan telah membuka langkah proaktif dengan menubuhkan satu Unit Pencegahan Penyelewengan Akidah dengan bermatlamatkan untuk memelihara dan mempertahankan akidah umat Islam. Penulis juga

melihat kepada keperluan pentafsiran atau pentakrifan keluar agama Islam berdasarkan keadaan semasa dan masyarakat Malaysia dibuat oleh pihak berotoriti seperti Mufti, Jawatankuasa Fatwa Negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini akan membantu pihak mahkamah untuk memutuskan sesuatu perkara berkaitan dengan kesalahan keluar agama Islam ini.


b) Prosedur Permohonan Pengisytiharan Status Agama.


Sekali lagi, istilah permohonan murtad tidak digunakan. Ini adalah kerana mahkamah syariah tidak mengisytiharkan seseorang itu murtad tetapi membuat perintah status agama seseorang. Mahkamah syariah memerlukan pandangan dari jabatan mufti untuk menentukan status agama seseorang. Oleh itu, kerjasama dua badan ini amat perlu bagi memastikan isu keluar agama Islam ini dapat diselesaikan dengan baik.

Dari aspek prosedur permohonan keluar agama ianya melibatkan dua institusi iaitu Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara dan terdapat ketidakseragaman prosedur di antara negeri. Penulis berpandangan bahawa kes seumpama ini patut dimulakan dengan permohonan disokong oleh afidavit seperti mana yang diamalkan di Negeri Sembilan. Dicadangkan agar peruntukan prosedur ini diseragamkan di setiap negeri dan diwartakan di negeri yang belum mempunyai prosedur berkenaan. Undang-undang dan prosedur berkaitan kesalahan dan permohonan keluar agama Islam yang tidak konsisten di negara ini menggambarkan betapa kompleksnya isu ini untuk mencapai keseragaman. Impak yang diberikan oleh artikel 11 Perlembagaan Persekutuan adalah cukup kuat sekali terutamanya dalam mempertikaikan bahawa seseorang Muslim bebas memilih untuk keluar daripada agamanya, suatu hak yang secara literalnya diberi oleh perlembagaan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Sungguhpun keputusan di dalam kebanyakan mahkamah sivil menegaskan dengan jelasnya bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa menentukan perkara mengenai keluar agama, masih terdapat cubaan-cubaan yang ingin menduga bidangkuasa tersebut dari segenap aspek mungkin.

Walaupun Mahkamah Rayuan di dalam kes Lina Joy telah memberikan nafas lega kepada umat Islam dengan memberikan kemenangan kepada kedudukan maruah agama Islam di negara ini, perlulah diingat bahawa kemenangan tersebut adalah hasil daripada beberapa siri perbicaraan yang sengit. Dunia perundangan negara kini sedang menantikan pula natijahnya terhadap kedudukan isu ini sekiranya kes ini dibawa dan diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi, sekaligus mengingatkan kerapuhan dan kegentingan situasi yang sedia ada.

Sememangnya isu pencemaran akidah di Malaysia hendaklah diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak. Ini termasuk penambahbaikan peruntukan undang-undang sedia ada dan langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya dilaksanakan. Sesungguhnya setiap individu muslim dan institusi-institusi Islam mempunyai tangungjawab untuk menjaga akidah umat Islam.

Akhirnya, semoga kertas kerja ini dapat memberi manfaatnya kepada semua.


RUJUKAN

Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, 2007. Sistem Undang-Undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Al-Bukhari. Muhammad bin Ismail.1404H/1984M. Sahih al-Bukhari. Makkah: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah.

Al-Quran al-Karim

Ibnu Majah. Muhammad bin Yazid al-Qazwini. Sunan Ibn Majah. Beirut: Dar al-Fikr.

Mohamad S. El-Awa. 1999. Hukuman dalam Undang-Undang Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Noor Aziah Mohd Awal. 2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. Selangor D.E: Intenational Book Services,.

Raihanah Hj.Abdullah. 2001. Wanita dan perundangan Islam. Ilmiah Publisher Sdn Bhd.

Siti Zalikhah binti Mohd.Nor. Isu
Syariah dan Undang-Undang. Siri 4. Bangi: UKM

http://ms.wikipedia.org/wiki/Lina_Joy [06 Oktober 2009]

http://ms.wikipedia.org/wiki/Mahkamah_Syariah_di_Malaysia,
[03 Oktober 2009]

http://muhammadhanif.wordpress.com/ [06 Oktober 2009]

http://www.dorar.net [05 Oktober 2009]

http://www.geocities.com/zek_my/news/ut220.html [06 Oktober 2009]

http://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/11/murtad-perspektif-undang2-malaysia.pdf (06 Oktober 2009)


Tiada ulasan: