Isnin, 21 Disember 2009

Pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda: Suatu Sejarah




1.0    PENGENALAN



Di dunia tanah melayu sememangnya wujud beberapa firqah yang timbul hasil perbezaan fahaman (i'tiqad). Firqah-firqah ini berdiri atas dasar pembawaan masing-masing yang diperjuangkan. Sehingga timbul impak yang besar kepada masyarakat melayu seperti perpecahan antara masyarakat, perbalahan, tidak ada kesatuan dalam masyarakat. Antara contoh-contoh firqah kaum tua, kaum muda, anti hadith, Arqam dan Tabligh.



    Fokus pada kertas ini adalah polimik kaum tua dan kaum muda di tanah melayu. Realiti kewujudan firqah ini memang tidak dinafikan oleh sejarah melayu kerana kemashuran pertelingkahan yang berlaku di antara tokoh-tokoh yang besar mewakili dari firqah tersebut. Kebanyakan penemuan punca perbezaan ideologi yang di bawa oleh firqah-firqah tersebut berkisar tentang perkara khilafiyah dan serba sedikit persoalan aqidah.



    Kertas kerja ini menceritakan pertembungan antara kaumtua dan muda secara umum, tokoh-tokoh yang mewakili firqah tersebut, midium dakwah mereka dan kesan-kesannya serta cadangan dari penulis di atas pertelingkahan antara dua puak ini khasnya berkisar tentang khilafiyah.







2.0    DEFINISI



2.1    DEFINISI KAUM TUA



Secara umumnya, kaum tua boleh didefinasikan sebagai ulama-ulama tradisional yang berpegang kepada tradisi konservatif atau mempertahankan yang lama. Sesuai dengan pengertian konservatif, ulama-ulama ini sebagaimana biasanya cuma melihat sejarah atau masa lampau sebagai sumber inspirasi atau sesuatu yang harus dipertahankan. Di dalam banyak perkara, mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak di dalam masyarakat.


    Justeru itu, pendokong kaum tua ini dilihat seringkali bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Golongan tradisionalis ini seringkali menganggap bahawa kemunduran umat Islam adalah kerana mereka menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran generasi yang lalu, serta memutuskan hubungan tradisi mereka untuk mengikuti arus perubahan iaitu godaan syatian dari Barat. Mereka lebih selesa untuk mengurung Islam dalam satu benteng tanpa jendela dan pintu keluar, tanpa ruangan terbuka ke arah langit, serta mempertahankan seluruh tradisi yang telah diwarisi oleh nenek moyang tanpa membezakan ajaran Islam yang tulen atau campuran dari pelbagi pengaruh yang lain (al-Mandili,1377 H, Sinar Matahari, Hlm. 32).



    Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan memberikan pengertian kaum tua sebagai :
"..ulama-ulama yang enggan menerima pemikiran yang baru yang bercanggah dengan aliran-aliran pemikiran Islam yang sudahpun berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu tempatan.."



    Kaum Tua atau dikenali sebagai 'Khalafi' yang berpegang dengan umum mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarat yang majoritinya tidak punyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat. Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng, menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap menyeleweng atau lebih baik pegang pendapat ulama syafie dari pegang pendapat sendiri yang amat tidak 'alim (al-Mandili,1377 H, Sinar Matahari, Hlm. 47).





2.2    DEFINISI KAUM MUDA



Sebenarnya Kaum Muda ialah gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama Kaum Tua) terhadap beberapa ulama di pantai barat Tanah Melayu, Pulau Sumatra dan Mesir. Gelaran ini diberikan oleh kerana ulama-ulama ini dikatakan cuba membawa sesuatu ciri yang baru di dalam ajaran agama.



    Kaum Muda yang di namakan juga 'salafi', 'tajdid', 'sunnah' atau dicop juga sebagai 'wahabi' pada hemat saya menginginkan seluruh masyarakat lebih 'selamat' dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) ; iaitu dengan cara membawa mereka kepada pegangan Aqidah dan Ibadat yang dipaku dengan dalil sohih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi aqal yang dikurniakan Allah SWT serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah SAW (Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 137).





3.0    SEJARAH KAUM TUA DAN KAUM MUDA



3.1    SEJARAH KAUM TUA



Permulaan kedatangan pengaruh asia barat terhadap alam melayu boleh dikatakan bermula dengan kepulangan mahasiswa melayu dari Makkah. Hasil dari kesinambungan tersebut maka lahirlah sebuah institusi pendidikan iaitu institusi pondok yang memberikan sumbangan terbesar dalam mempamerkan imej dan pengaruh asia barat di bumi melayu. Antara pondok-pondok yang cukup terkenal ialah Dala, Bermin, Semela, Dual dan Teluk Manak di Pattani. Pondok-pondok tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan penuntut tempatan, malahan juga penuntut dari luar negeri terutamanya dari kepulauan Nusantara seperti Sri Lanka, Burma, Kemboja, Vietnam, Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia. Manakala ulama-ulama Pattani yang terkenal dan banyak menulis kitab agama dalam bahasa melayu ataupun bahasa arab ialah seperti Syeikh Daud Abdullah al-Fatoni, Sheikh Muhammad Zain al-Fatoni dan Sheikh Zainal Abidin al-Fatoni. Mereka bukan sahaja mengajar di rantau ini malahan berkesempatan mengajar di Masjid al-Haram, Makkah. Sistem dan kaedah yang diterapkan di dalam institusi ini ada persamaan dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam kaedah pembelajaran di Masjid al-Haram. Perkara ini terus berkembang hingga sampai ke Tanah Melayu seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Pendidikan agama mengalami perubahan dan perkembangan baru sebaik sahaja idea pembaharuan (islah) dari asia barat terutamnya Mesir mulai meluas di kalangan masyarakat Islam pada masa itu. Setelah itu, lahirlah sistem madrasah yang lebih sistematik dan lebih formal dari sistem pondok (Mahfuz Muhammad, 10 september 2008, www. Al-subki.blogspot.com)



    Jika ditinjau dari sudut kemasukan Islam ke negeri Kelantan, sejarah mencatatkan bahawa bumi Kelantan mula menerima gema syahadah sebelum abad ke-12 Masehi lagi. Ini dibuktikan dengan penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Kelantan. Manakala dari sudut mazhab, jelas bahawa umat Islam di Kelantan sejak dari dahulu lagi berpegang teguh kepada mazhab Syafi'e, bacaan al-Quran menurut riwayat Hafiz dan bunyi sebutan yang tidak ada beza dengan sebutan lidah Arab. Oleh yang demikian, dapatlah dibuat satu kesimpulan bahawa umat Islam di Kelantan lebih dahulu menerima aliran pemikiran kaum Tua sebelum timbulnya polemik dengan kaum Muda (Mohd Fakhrurrazi bin Hussin, 10 september 2008, http://www.e-ppms.org/index.php?option=com_content&task=view&id=630&Itemid=127).
    Di antara ulama-ulama yang kuat berpegang kuat dengan aliran kaum tua ketika awal perkembangan pendidikan Islam di Kelantan ialah :


i.Haji    Noh    Penambang
ii.Haji    Yaakub Legor    (1892-1971)
iii.Haji    Mahmud\zuhdi
iv.Haji    Osman    Jalaluddin al-Kelantani(1880-1952)

(Ahmad Fadhli bin Shaari, 10 september 2008, http://yapis.blogspot.com/2006/11/polemik-tafsir-di-antara-kaum-tua-dan.html).



    Akhir sekali, tinbulnya dari kaum tua nama-nama Ulama yang tidak asing bagi kita semua seperti Fathullah Suhaimi, Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli, Abu Bakar Muar, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Syeikh Abdullah Fahim dan lain-lain lagi.



Di samping nama-nama yang disenaraikan di atas, masih terdapat ramai lagi ulama-ulama yang lain yang berdiri sebaris dengan kaum tua dalam mempertahankan amalan-amalan keagamaan tradisi yang telah diwarisi zaman berzaman. Keterbatasan kemampuan penulis menjadi halangan untuk menyenaraikan semua nama-nama mereka.





3.2    SEJARAH RINGKAS KAUM MUDA



Dari sudut sejarah, pertumbuhan aliran kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18M iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787) (Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 537). Tetapi sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelum itu iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai "the first and greatest Muslim reformer" (Zamihan al-Ghari, 2007, Ulama-ulama Wahhabi "Satu Penjelasan", Hlm. 5).



Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M), Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M) dan Rasyid Redha (1865M-1935M). Pemikiran tokoh-tokoh ini akhirnya mempengaruhi beberapa orang ulama Melayu yang menuntut di Tumur Tengah pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Dalam konteks Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari Selatan iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda. Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai kaum muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908) iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya. Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za'ba sendri merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran kaum Muda ini (Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 137).



Walaubagaimana pun, perjuangan mereka tetap diteruskan dan antara hasilnya ialah tertubuhnya Maahad Ihya as-Syarif di Gunung Semanggol pada tahun 1934 oleh Haji Abdul Rahman bin Mahmud yang merupakan mahasiswa lepasan asia barat. Penubuhan maahad ini bertitik-tolak dari perubahan pendidikan yang diperjuangkan oleh golongan kaum muda. Maahad ini menjadi paksi kepada gerakan mahasiswa khususnya dari asia barat dalam perjuangan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan seperti AWAS, Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Antara lain yang menarik ialah penubuhan Hizbul Muslimin pada tahun 1948 yang sangat memberikan ancaman dan kesan terhadap penjajah ketika itu dan mereka disifatkan oleh Dato Onn Jaafar sebagai bahaya dari gunung. Perjuangan pertubuhan ini secara dasarnya untuk memerdekakan Tanah Melayu dari genggaman penjajah dan menubuhkan sebuah negara Islam yang merdeka. Pertubuhan ini hanya bertahan selama lebih kurang setengah tahun sahaja selepas diharamkan oleh kerajaan pada ketika itu (Mohd Fakhrurrazi bin Hussin, 10 september 2008,http://www.eppms.org/index.php?option=com_content&task=view&id=630&Itemid=127).



    Adapun pertentangan peringkat nasional berlaku dengan kemunculan majalah al-Imam yang dipelopori oleh Syeikh    Tahir    Jalaluddin    dan    rakan-rakannya. Bagaimanapun penulis membuat hipotesis bahawa aliran pengajian tafsir yang mengikut Kaum Muda atau manhaj salaf boleh dikatakan berkembang aktif semenjak kepulangan Ustaz Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada tahun 1960-an dari Mesir yang mengembangkan insituti pengajian tafsir di masjid-masjid. Pengajaran beliau pada peringkat awal banyak mencetuskan kontroversi khususnya apabila menyentuh masalah fiqh dan aqidah. Oleh yang demikian, beliau dilihat melembutkan pendekatannya walaupun sebenarnya terus mengekalkan    fahaman Kaum Muda. Juga perlu disebutkan peranan seorang tokoh angkatan baru yang cukup gigih di dalam memperjuangkan idealisme Kaum Muda iaitu Abdullah al-Qari bin Haji Mohd Salleh, seorang ulama yang bukan sahaja memiliki perpustakaan peribadi yang paling besar di negeri Kelantan, bahkan beliau telah mengarang dan menterjemah lebih daripada 100 buah kitab yang berunsur reformisme.





3.3    SEJARAH PERTEMBUNGAN KAUM TUA DAN KAUM MUDA



Gugatan yang berlaku ke atas penganut Mazhab Shafi'i (KAUM TUA) melalui 3 gelombang;



Gelombang pertama berlaku pada tahun 20-an dan 30-an pada masa itu gerakan kaum muda cuba mengemukakan idea-idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu yang berpegang kepada Mazhab Shafi'i. Perkara yang ditimbulkan oleh golongan kaum muda ini menyentuh tentang peranan akal dalam memahami hukum, persoalan-persoalan hukum ikhtilaf dan tentang bid'ah. Gelombang pertama berlakunya gugatan terhadap aliran mazhab Shafi'i ialah pada awal abad ke-20 di mana beberapa orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi, Mesir dan India telah terpengaruh dengan pemikiran gerakan Islah di sana (Abdul Halim El-Muhammady, 2008, http://protajdid.blogspot.com/2008/03/pengaruh-fiqh-shafii-dalam-pemikiran.html)



Hijaz ketika itu dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abdul Wahab yang mendokong idea Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah yang kedua-duanya beraliran Mazhab Hanbali dalam fiqh. Manakala gerakan Islah di Mesir pula dipelopori oleh Muhd Abduh dan Rashid Rida yang beraliran Mazhab Hanafi (Dahlan, 2008, Fitnah Wahhabi, Hlm. 81).



Gerakan Islah ini cuba menimbulkan kembali idea ijtihad untuk menyelesai keperluan hukum supaya kembali kepada sumber asal al-Qur'an dan Sunnah. Dengan seruan kepada ijtihad menolak taqlid yang diamalkan dalam masyarakat (Hashim Ismail, T.th, Kaum Muda dan Pemikiran Progresif di Malaysia, Hlm. 37).



Sungguhpun tokoh-tokoh ini menyeru kepada ijtihad, tetapi dalam amalan di negara-negara mereka bergerak masih tidak terkeluar dari metod fiqh yang mereka warisi di Hijaz ketika Muhammad Abdul Wahab menguasai Hijaz, Mazhab Hanbali diterimapakai di sana di peringkat pemerintah dan awam sehingga ke hari ini. juga keadaan di Mesir yang telah dipengaruhi metod Hanafi dalam amalan fiqhnya. Abduh dilantik sebagai Mufti Mesir dari 1899-1905 sebagai sumber rujukan fatwa yang majoriti bermazhab Hanafi. Ini bererti segala masalah yang timbul jika terdapat peruntukan dalam undang-undang yang digubal, maka itu yang akan diterimapakai. Jika tidak, mereka akan berijtihad untuk mendapat penyelesaian masalah baru melalui mazhab lain dan bukannya mereka mencairkan mazhab yang sedia ada.



Aliran pemikiran Islah telah dapat mempengaruhi beberapa orang pelajar antaranya Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari yang berkesempatan belajar di Mekah dan Qahirah yang terpengaruh dengan pemikiran Muhd Abduh dan Rashid Ridha. Manakala pelajar-pelajar yang belajar di Mekah dan di India ada yang terpengaruh dengan ajaran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi yang dibawa oleh Maulana Ubaidullah al-Sindhi seperti Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mahmud Haji Wan Musa, Hj. Abdul Rahman Haji Nik Mahmud yang beraliran Islah.



Pemikiran Islah ini juga dapat mempengaruhi golongan yang berpendidikan bukan agama, yang membaca bahan-bahan aliran demikian dari Majalah Islamic Review yang diterbitkan oleh Kamaluddin Khaja di Waking England dan sumber-sumber lain (Abdul Halim El-Muhammady, 2008, http://protajdid.blogspot.com/2008/03/pengaruh-fiqh-shafii-dalam-pemikiran.html).



Antara mereka yang terpengaruh dengan pemikirannya ialah Za'aba, Kamaluddin berasal dari India dan bermazhab Hanafi terpengaruh dengan gerakan yang lahir di Lahore. Kemudian beliau berpindah ke England menjadikan pusat kegiatannya di sana.



Mereka yang terpengaruh dengan gerakan Islah di Saudi dan Mesir serta India telah menyebar idea mereka kemudiannya di Malaysia. Sheikh Tahir yang bergerak di kawasan utara Pantai Barat Malaysia telah dapat mempengaruhi Sayyid Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim al-Kalili, manakala aliran pemikiran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi pula tersebar di Kelantan dan Terengganu yang dibawa oleh Nik Abdullah, Hj. Nik Mahmud dan Nik Abdul Rahman (http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBM/detail.php?section=sm02&spesifik_id=120&ttl_id=4).



Selain itu, di negeri Perlis pula terdapat kecenderungan menolak Mazhab Shafi'i dan taqlid seolah-olah dipengaruhi oleh pendapat Ibn Taimiyyah (m.1283), dan pihak berkuasa agama di Perlis merujuk kepada autoriti yang beraliran demikian seperti karya Syaukani Nail al-Awtar. Kecenderungan tidak terikat kepada mazhab ini dapat dilihat dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis yang memperuntukkan bahawa Undang-undang Islam di Negeri Perlis berasaskan al-Qur'an dan Sunnah serta tidak mengikatnya dengan sebarang Mazhab Fiqh. Sebenarnya aliran ini adalah daripada pengaruh kitab-kitab yang ditulis oleh Hasan Bandung dari Indonesia yang dibawa oleh beberapa orang yang berpengaruh ketika itu di Perlis seperti Wan Ahmad Wan Daud, Hj. Ahmad b. Hj. Muhammad dan Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim. Aliran ini timbul dalam lingkungan tahun 20-an (1924-1925) dan pada tahun 1959 dimasukkan dalam Undang-undang Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis (al-Mandili, 1377 H, Sinar Matahari, Hlm. 32).



Gelombang kedua berlaku antara tahun empat puluhan dan enam puluhan. Gelombang kedua ini adalah sebagai menyambung usaha yang berlaku sebelumnya. Penumpuan kebangkitan pada waktu ini lebih banyak menumpukan kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang lebih khusus sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam terutamanya dalam Parti Islam Setanah Melayu ketika itu yang merasa tertekan dengan keadaan yang berlaku. Timbulnya isu-isu khilafiyyah yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat ini menyebabkan satu ijtima' diadakan untuk membuat satu keputusan dalam isu-isu yang dibangkitkan (Abdul Halim El-Muhammady, 2008, http://protajdid.blogspot.com/2008/03/pengaruh-fiqh-shafii-dalam-pemikiran.html).



Akhirnya mereka sepakat memutuskan bahawa persetujuan dicapai terhadap pendirian ulama-ulama beraliran Mazhab Shafi'i dalam isu-isu yang dibangkitkan. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti menyebut 'usolli' dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah dan sebagainya. Ahmad Fuad selaku Yang dipertua PAS ketika itu terpaksa melakukan ijtima' khusus untuk mendapat kata sepakat dalam memilih masalah khilafiyyah untuk diamalkan di negara ini.



Persoalan khilafiyat ini juga timbul perbincangannya di Kelantan dan Terengganu. Bagi membendung pemikiran aliran baru dalam isu-isu khilafiyat ini, maka Jawatankuasa Ulama' Majlis Ulama' Kelantan telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Kitab al-Qawl al-Mufid Li ifadat al-Mustafid, karangan Hj Muhammad bin Idris. Salah seorang anggota Jawatankuasa Ulama Majlis.



Gelombang ketiga pula berlaku dari tahun 70-an sehingga kini yang dipelopori oleh golongan muda yang terdedah kepada pengajian di Saudi dan di Indonesia. Gelombang yang berlaku ini seolah-olah sebagai menyambung pemikiran dan pendekatan golongan kaum muda sebelumnya. Mereka mempertikai beberapa amalan yang ada dalam masyarakat yang diambil daripada ulama'-ulama' beraliran Mazhab Shafi'i. Satu gerakan yang berpusat di Kuala Pilah ada membuat pengisytiharan yang dikeluarkan pada 22hb Julai 1966 dalam memorandum pertubuhannya berbunyi:

Ahli Sunnah tidak bertaqlid kepada sesuatu mazhab masyhur atau tidak masyhur, tetapi ia boleh melakukan ittiba' atau mengikut sesuatu pendapat Ulama setelah diketahui keterangannya dengan jelas daripada Qur'an dan Hadith sahih. Bahawa ahli Sunnah tidak bersandar kepada sebarang mazhab yang ada dalam negeri ini melainkan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, jadi salahlah orang yang memperkatakan isu Mazhab Shafi'i itu benar atau semua isi Mazhab Hanafi itu benar dan lain-lainnya (Ibid).



Sebenarnya kita mesti akui bahawa tiap-tiap Mazhab itu ada salahnya dan imam-imam itu manusia seeprti kita yang juga berbuat kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja dan bukan seperti Nabi-Nabi yang ma'sum daripada kesalahan yang disengaja dan yang tidak disengaja dalam urusan hukum-hukum agama yang 'ubudiyyah dan keduniaan.



Kenyataan di atas menunjukkan bahawa golongan ini tidak mengikat diri dengan mana-mana mazhab yang muktabar yang diiktiraf di dunia Islam dan mazhab Shafi'i di negara ini. Mereka beranggapan mereka mempunyai kelayakan yang cukup untuk berijtihad mutlak, seperti imam-imam yang muktabar, kerana ulama' itu adalah manuisa dan mereka juga manusia tidak ada bezanya (Zamihan al-Ghari, 2007, Ahl Sunnah wa al-Jamaah, Hlm. 26).



Sedangkan bagi orang-orang yang mengkaji ilmu mengetahui bahawa ulama'-ulama' besar yang muktabar itu yang mengamal ijtihad adalah lengkap dari sudut ilmu asas syariah dan ilmu alatnya. Dibandingkan kita di masa kini, walaupun manusia, ilmu asas syariahnya amat terbatas dan begitu juga ilmu alatnya seperti bahasa Arab, jadi bagaimana ingin menjadi mujtahid mutlak?



Berijtihad tanpa asas ilmu yang lengkap dari sudut ilmu utama syariah dan ilmu pelengkap dalam Bahasa Arab serta tidak terikat dengan kaedah Usul al-Fiqh boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dari kebenaran. Hal ini dapat dilihat bibit-bibitnya pada masa kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya dalam memahami Qur'an dan Sunnah yang akhirnya membawa kepada kecelaruan tafsiran terhadap sumber-sumber dan ajaran-ajaran Islam (Abd. Rahman Ammash, 2007, Khabrah Ulama, Hlm. 32).





ISU-ISU PERDEBATAN KAUM TUA DAN KAUM MUDA



Kebanyakan isu-isu ini terjadi sekitar perbahasan Khilafiyyah kebanyakannya. Antara contoh-contoh yang dapat diketengahkan:




  1. Talqin : Haji Wan Musa dan anaknya Haji Nik Adullah tidak sependapat dengan para ulama di zamannya yang mengatakan talqin itu sunat. Bagi beliau dan ulama-ulama kaum Muda yang lain, tidak ada nas yang memerintahkan supaya dibaca talqin kepada jenazah    di    tanah    perkuburan. Hal ini bertentangan dengan ulama-ulama yang lain di masa itu. Untuk memuaskan hatinya, beliau sendiri menulis surat kepada Sayid Muhammad Rashid Redha meminta pandangannya mengenai hukum talqin.
    Pada jawapannya, Rashid Redha menulis :


    ما ذكره البرماوى ليس بسنة ولم يرد فيه حديث يثبت السنية ولا الأصحاب بل لم يرد في التلقين حديث صحيح ولا حسن وإنما ورد فيه حديث واحد ضعيف لم يخرجه أصحاب الصحاح ولا السنن


    yang bermaksud : Keterangan-keterangan yang disebut oleh al-Barmawi itu tidaklah kerana tidak ada satu hadith pun mensabitkan talqin itu sunat atau tidak oleh para sahabat, bahkan tidak ada satu hadith sahih atau hassan mengenai talqin. Hanya satu hadith yang dhaif (yang ada di dalam masalah talkin. Itupun - penulis) tidak dikeluarkan oleh pengumpul-pengumpul hadith sahih dan sunan.

        Sekiranya ditinjau pada pandangan golongan salaf, talqin dikatakan makruh kerana tidak mendatangkan sebarang faedah berdasarkan fiman Allah swt yg bermaksud : Katakanlah: "Apakah Aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakanNya kepadamu apa yang kamu perselisihkan." (Surah al-An'am, ayat 64) Manakala sebahagian ahli ilmu dan Imam Syafie sendiri berpandangan bahawa talqin diharuskan berdasarkan hadis daripada al-Tabrani yang meriwayatkan dari Abi Amamah bahawa dia menyuruh supaya ditalkinkan    mayat.




  2. Talfiq mazhab di mana Haji Wan Musa telah mengemukakan pendapatnya kepada Yang Mulia Tengku Ibahim (yang kemudiannya menjadi Sultan Kelantan : 1944-1960) bahawa umat Islam boleh memelihara dan memegang anjing tanpa disamak bekas air mulutnya kiranya perlu bagi menjaga keselematan rumahtangga. Pandangan beliau ini yang didorong oleh anaknya Nik Abdullah mencetuskan polemik hebat mengenai isu jilatan    anjing    pada    masa    itu. Pada tahun 1937, satu perbahasan terbuka telah diadakan oleh Raja Kelantan di Istana Seri Cemerlang. Haji Wan Musa, Haji Abbas Taha dan Dr. Buhanuddin al-Hilmi. Pihak Haji Wan Musa menafsirkan ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud : Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut    kemampuannya. Bagi mereka, Allah tidak memberati manusia dengan sesuatu yang berada di luar kemampuannya. Maka untuk menjaga binatang peliharaan seperti anjing ini daripada tersentuh dan sebagainya adalah sesuatu yang sukar. Oleh yang demikian, mereka mengeluarkan pandangan yang kontroversi itu. Perdebatan yang berlangsung itu berakhir dengan masing-masing kekal dengan hujah. Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan sendiri menurut pemerhatian mereka. Sekalipun Kaum Muda memberikan hujah yang agak mantap dengan bantuan ulama-ulama dari luar Kelantan, teori yang mereka utarakan sebenarnya tidak mendapat sambutan dari masyarakt. Ini boleh dilihat sehingga ke hari ini boleh dikatakan tidak ada di kalangan umat Islam di Kelantan yang memelihara anjing sebagaimana keharusannya yang didakwa oleh Kaum Muda.





  1. Bina Masjid dari Zakat Fitrah : Haji Wan Musa tidak sependapat dengan keputusan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan yang hendak membina Masjid Muhammadi Kota Bharu dari wang kutipan zakat fitrah. Beliau menentang keputusan Jemaah Ulama' Majlis kerana beliau berpendapat bahawa zakat fitrah adalah hak kepada oang-orang miskin. Beliau berdasarkan ayat 60 dari surah al-Taubah yang bermaksud : Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha mengetahui



        lagi    Maha    Bijaksana. Haji Wan Musa menyatakan bahawa berdasarkan ayat ini tidak terdapat nas yang jelas yang mengharuskan pembinaan masjid dengan menggunakan duit zakat. Bagaimanapun Kaum Tua menegaskan bahawa pembinaan masjid diharuskan dengan duit zakat fitrah berdasarkan keumuman frasa iaitu di jalan Allah.





  2. Masalah usalli : Haji Wan Musa yang mewakili kaum muda berpendapat bahawa kalimah usalli ketika hendak mengerjakan solat adalah tidak sunat berdasarkan hadis Bukhari yang bermaksud : "Apabila kamu berdiri untuk sembahyang hendaklah kamu takbir.." (Abu Qaniah dan Abu Zahidah, 1953, Senjata Syariat, Hlm. 16).




Berasaskan pemikiran kaum muda maka amalan-amalan berikut hukumnya bida'ah mengikut penilaian mereka:

1. Menentukan bilangan minima jamaah sembahyang Jumaat seramai 40 orang.

2. Melakukan sembahyang Zuhur selepas sembahyang fardu Jumaat sebagai Ihtiyat.

3. Azan pertama pada hari Jumaat.

4. Ingatan muadhin dengan "Ya ma'shara al-Muslimin" sebelum khatib berkhutbah.

5. Melafazkan 'usolli' sebelum takbirat al-Ihram.

6. Mengucap perkataan 'Sayyidina' dalam selawat atas Nabi SAW.

7. Berdiri ketika membaca marhaban atau selawat.

8. Sembahyang sunat qabliyyah Jumaat.

9. Membaca talkin ke atas mayat sesudah selesai ditanam.

10. Tidur di dalam liang lahad oleh si alim sebelum mayat dikebumikan untuk mendapat berkat.

11. Kenduri dan tahlil kematian.

12. Menunggu di atas kubur kerana kematian.

13. Kenduri mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

14. Membuat bubur ashura pada hari sepuluh bulan Muharram.

15. Sembahyang tarawih 20 rakaat.

16. Berdoa selepas sembahyang.

17. Menggunakan bedok menandakan masuk waktu solat dan memanggil umat Islam untuk bersolat.

18. Membaca qunut sembahyang subuh.

19. Mengadakan fidyah sembahyang dan puasa.

20. Sembahyang Tasbih.



Selain itu terdapat juga beberapa amalan masyarakat yang diikuti mengikut tafsiran imam Shafi'i atau Shafi'iyyah yang dianggapnya tidak tepat dengan kehendak nas pada pandangan mereka. Kita tidak perlu terikat dengan amalan-amalan tafsiran itu seperti berikut:

1. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan membatalkan wudhu'. Namun, bagi mereka tidak membatalkan wudhu.

2. Ma'mum membaca Fatihah dalam solat untuk sah solatnya sekalipun dia berimam. Bagi mereka tidak perlu membaca.

3. Membasuh siku harus dimulakan dari atas atau bawah. Bagi mereka membasuh siku mesti dimulai dari tangan.

4. Membaca Fatihah dimulai dengan Bismillah, bagi mereka dimulai dengan al-Hamdulillah. Membina masjid dari wang kutipan zakat. Mereka berpendapat ini adalah bertentangan dengan nas.

6. Menjual harta wakaf di suatu tempat untuk dipindahkan tempat lain. Mereka berpandangan ini adalah bertentangan dengan nas.

7. Menyamak bekas jilatan anjing. Bagi mereka tidak wajib disamak.



Mereka juga cuba berijtihad tentang masalah-masalah baru untuk menentukan hukumnya. Antaranya ialah faedah simpanan bank dan koperasi tidak dianggap riba.







4.0    TOKOH-TOKOH



4.1    KAUM TUA.



Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi - Imam dan khatib Masjid al-Haram Mekah



Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif bin Abdullah al-Minankabawi. Beliau dilahirkan di Minangkabau, Sumatera Barat dan wafat di Mekah pada tarikh yang tersebut di atas. Mendapat pendidikan awal memasuki sekolah pemerintah Belanda di Minangkabau selain menerima pendidikan agama daripada keluarga sendiri.

Setelah berada di Mekah barulah beliau mendapat pendidikan agama yang mendalam daripada ulama Mekah terutama Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain.



Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah seorang yang berpendirian keras dan radikal, sungguhpun beliau menguasai banyak bidang ilmu, namun beliau masih tetap berpegang (taklid) pada Mazhab Syafie dalam fikah dan penganut Ahli Sunnah wal Jamaah mengikut Mazhab Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam akidah.



Sebagai contoh, dalam pertikaian dua orang muridnya yang berbeza pendapat. Yang seorang berpihak kepada `Kaum Tua', beliau ialah Syeikh Hasan Ma'sum (1301 H/1884 M-1355 H/1974 M) yang berasal dari Deli, Sumatera Utara. Dan seorang lagi berpihak kepada `Kaum Muda', beliau ialah Haji Abdul Karim Amrullah (ayah kepada Prof. Dr. Hamka).

Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau berpihak kepada Syeikh Hasan Ma'sum (Kaum Tua). Bahkan dalam satu kenyataannya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menolak sumber asal pegangan Haji Abdul Karim Amrullah (Kaum Muda) yang menurut beliau telah terpengaruh dengan pemikiran Ibnu Taimiyah (661 H/1263 M - 728 H/1328 M), yang ditolak oleh golongan yang berpegang dengan mazhab (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 10 September 2008, www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y =2005&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm).



ABU BAKAR MUAR - BENTENG PERTAHANAN KAUM TUA



NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.



GURU-GURUNYA:

Semua ulama yang telah disebut dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.



Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.



Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan'



KARYA-KARYANYA:
Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.



Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah. Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah, tarikh Imam ar-Rafi'ie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup.



Salah satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang menyambut baik kitab ini.



Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang berjudul Huraian Yang Membakar.



Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar, yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April 1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.



Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab, terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bid'ah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.



Cogan Perikatan. Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar Maharani, Johor. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal 1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang menolak mengucapkan lafaz `Ushalli' (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 10 September 2008, ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/abu-bakar-muar-benteng-pertahanan-kaum.html).



SAIYID ALWI BIN THAHIR AL-HADDAD



Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M (Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 538).



Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 – 1961. Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan 'al-Haddad'. Jadi bererti ada dua orang keturunan 'al-Haddad' yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.



Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.. Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.



Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung (Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 538).



Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, "Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya." Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan 'Kaum Tua' menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor (www.asyraaf.net/v2/artikel.php?op=2&id=67)





SHEIKH FADHLULLAH AS-SUHAIMI : ULAMA PENGASAS PAS



Nama Sheikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi sangat tidak asing di kalangan masyarakat Islam di negara ini, khususnya pada dekad 40-an hingga 60-an. Beliau bukan sahaja pendakwah yang terkemuka, tetapi juga pemimpin gerakan Islam yang amat berjasa di negara ini.





Sheikh Fadhlullah Suhaimi merupakan anak kepada Sheikh Muhammad Suhaimi, wali Allah yang dipercayai oleh pengikut Kumpulan Al-Arqam yang akan muncul sebagai Imam Mahdi. Sheikh Fadhlullah Suhaimi dilahirkan pada 1886 di Singapura dalam sebuah keluarga ulamak yang berketurunan Ba'lawi Bani Basyaiban yang berasal dari Hadhralmaut.



Selepas mendapat pendidikan asas daripada bapanya, Kiyai Agung Sheikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi, beliau telah berangkat ke Makkah untuk mendalami ilmu agama. Menjelang Perang Dunia Pertama, Sheikh Fadhlullah Suhaimi sudah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Selepas kembali ke Singapura beliau menerbitkan kitab-kitab agama dan menerbitkan majalah 'Jasa' di Johor Bahru. Beliau juga mengasaskan Kulliyyah al-Attas di Johor Bahru atas dorongan Datuk Syed Hassan Ahmad al-Attas pada 1931. Pada 1937, beliau membuka Kulliyyah al-Firdaus yang mengajar tafsir dan fiqh di Singapura sehingga awal 1942 yang terhenti akibat Perang Jepun.



Walaupun terlibat dalam dunia pendidikan di Singapura, Johor Bahru, Jawa, Kelantan dan Pahang; nama beliau mula menonjol dalam perdebatan Kaum Muda-Kaum Tua yang tercetus sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Beliau yang mendukung fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bertentangan pendapat dengan Sheikh Hassan Ahmad atau terkenal

sebagai Hassan Bandung yang dikatakan mendukung pemikiran Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim. Melalui majalah 'Pembela Islam' dan kitab Soal Jawab, Hassan Bandung melontarkan pemikiran-pemikiran baru Islam yang dianggap bertentangan dengan Kaum Tua. Sheikh Fadhlullah kemudian menghasilkan 'Buah Kulliyyah al-Attas' untuk menjawab pemikiran Hassan Bandung. Perdebatan berterusan ini membawa kepada cabaran oleh Hassan Bandung untuk berlawan pendapat melalui majalahnya, "Pembela Islam". Persoalan pegangan Ahli Sunnah, amalan bid'ah dan fahaman Kaum Muda kemudian dijelaskan secara bijaksana oleh Sheikh Fadhlullah sehingga ia dapat diselesaikan dengan baik. Walau bagaimanapun, Sheikh Fadhlullah dikatakan pernah berdebat dengan Hassan Bandung pada awal 1950 di Pulau Pinang. Beberapa pengikut Hassan Bandung yang terkenal seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abdullah Maghribi dan Sheikh Ibrahim Aqibi bergiat di Pulau Pinang, kerana itu perdebatan berlaku di sana.



Selain itu juga, beliau telah menghasilkan lebih 35 buah karya agama dalam pelbagai bidang seperti fiqh, tafsir, tauhid, sejarah, pemikiran Kaum Muda dan lain-lain, serta menterjemahkan kitab "al-Munjid" yang diterbitkan di Jakarta. Beliau juga dikatakan berjaya menghasilkan sebuah tafsir al-Quran. Tumpuan kegiatan dakwah beliau banyak terfokus kepada usaha-usaha membangunkn semula umat Islam seperti zaman kegemilangan dahulu. Beliau turut terlibat dalam gerakan tariqat kerana ayahnya sendiri adalah pengasas Aurad Muhammadiyah yang terkenal itu (Taufeeq, 10 September 2008, http://paspahang.org).








  1. KAUM MUDA






SYED SYEIKH AL-HADI



Beliau adalah reformis Islam yang ulung di Tanah Melayu yang memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negara, khususnya agama Islam. Ini termasuk sumbangannya memajukan pendidikan agama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Tokoh berketurunan Arab yang lahir di Kampung Ulu Melaka pada tahun 1867 ini dikenali sebagai pelopor yang menyalurkan pemikiran dan falsafah perjuangan Kaum Muda. Hasil perjuangan itu, lahirlah sistem pengajian madrasah di Tanah Melayu.



Pengasas Kaum Muda terdiri daripada Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka menganggap ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah barat agar umat Islam mendapat kemajuan setanding dengan orang lain. Oleh itu, amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan keakhiratan saja mungkin ketinggalan zaman. Sistem pengajian itu juga memberi saingan kepada sistem pendidikan sekular yang diajurkan oleh pejajah British. Sebaliknya sistem itu bertujuan melahirkan pelajar yang alim, berilmu, bertanggungjawab kepada diri, agama dan bangsa. Perjuangan Syed Syeikh dalam penyebaran dakwah Islam dan sistem pendidikan semakin ketara dalam usaha mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Selegie Road, Singapura. Madrasah Al-Iqbal didirikan untuk mengembangkan Islam, menyalurkan pemikiran menentang khurafat, membangunkan kembali sikap kritis umat Islam terhadap perubahan sekitar, khususnya kemodenan Barat. Walau bagaimanapaun, madrasah Al-Iqbal kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam dan dipindahkan ke Pulau Penyengat, Riau Lingga. Pada tahun 1916 Syed Syeikh Al-hadi kembali ke Melaka dan mendirikan Madrasah Al-Hadi di Bandar Kaba pada tahun 1917. Syed Syeikh Al-Hadi yang mendapat pendidikan agama dan akademik di Mesir mengunakan bahasa pengantar Arab di madrasah itu. Madrasah Al-Hadi telah menghadapi beberapa masalah. Di antaranya termasuklah masalah kewangan, pentadbiran, ketiadaan guru berkelayakan dan fenomena pemikiran masyarakat sekitar yang masih kolot. Ekoran daripada pelbagai masalah yang sering dihadapi menyebabkan Syed Syeikh Al-Hadi menutup madrasah itu pada tahun 1918. Satu lagi sebab penutupan madrasah itu ialah pertentangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Melaka. Selain itu, golongan anti Kaum Muda di Melaka turut memulau syarahan Syed Syeikh Al-Hadi. Pada tahun 1919, beliau berhijrah ke Pulau Pinang. Pertentangan di antara Kaum Muda dan Kaum Tua telah mencetuskan pergaduhan.





Kaum Muda yang menerima pengaruh dari Indonesia itu menentang Kaum Tua yang mengikut satu mazhab saja manakala Kaum Muda menyeru supaya ijtihad dikembalikan untuk mencari sumber Islam. Di Pulau Pinang Syed Syeikh Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Masyhor Al-Islamiyah, iaitu pada tahun 1919. Antara pelajar lepasan madraah itu termauklah Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang kemudian muncul sebagai tokoh agama dan perjuang kemerdekaan tanahair. Seorang lagi bekas pelajar madrah itu ialah Haji Abu Bakar Al-Shaari. Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya menceburkan diri dalam bidang penerbitan buku dan percetakan akhbar. Syarikat percetakan yang dimiliki oleh Syed Syeikh Al-hadi ialah Jelutung press. Melalui syarikat itu, beliau telah menerbiktan majalah bulanan Al-Ikhwan dan akhbar dwi-mingguan, iaitu Saudara. Satu keistimewaan Syed Syeikh Al-Hadi yang hampir sama dengan Hamka ialah beliau juga membabitkan diri dalam perkembangan kesusasteraan dengan menghasilkan novel saduran yang laris pada zamannya. Salah satu daripada novelnya yang terkemuka ialah Faridah Hanum.





Pengaruh gerakan reformasi yang dipelopori oleh Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya berkembang ke beberapa buah negeri, termasuklah Perak. Seorang anak didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934. Sumbangan Syed Syeikh Al-Hadi dalam pendidikan Islam di Tanah Melayu meninggalkan kesan yang mendalam dan hasil pemikiran kritisnya melahirkan pembaharuan dalam gerakan Islam di Malaya. Penubuhan madrasah yang dipeloporinya berhasil memberi pukulan kepada sistem pendidikan sekular oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Syed Syeikh Al-Hadi meniggal dunia pada Februari 1934 di Pualu Pinang (http:// sejarahmalaysia.pnm.my/portalBM/detail.php?section=sm02&spesifik_id=120&ttl_id=4)



USTAZ ABU BAKAR AL-BAQIR



Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.



Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.



Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan

politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak Usaha Pembaharuan Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.



Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.





Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama



Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan. MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu. MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.



Meluaskan Pembaharuan



Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajarpelajar madrasah. Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja (Saari Sungib, 10 September 2008, http://buletinonline.net).



5.0    SUMBER-SUMBER ATAU MEDIUM DAKWAH.



KAUM TUA



'Jasa' di Johor Bahru oleh Fathullah Suhaimi

Kitab aqidah oleh syeikh Tohir al-Hadad

Kitab sinar matahari penyuluh kesalahn abu bakar al-Asy'ari oleh Abu Qanaah dan Abu Zahidah

(Nik Yusri Musa, 2005, Prosiding Nadwah Ulama 3, Hlm. 536)



KAUM MUDA



Majalah Ikhwan oleh Syeikh Syed Hadi

Majalah Saudara

Kitab Natijah al-Umur oleh syeikh Tahir jalaluddin

Pembela Islam dan al-Lisan oleh Hasan Bandung

majalah al-Imam oleh syeikh tahir jalaluddin

(rujuk hasil penelitian tulisan-tulisan kaum muda dan kaum tua).





KESAN

1) Timbul perpecahan umat

2) kekeliruan masyarakat awam dalam memahami agama

3) serangan akademik

4) siasah

(kesimpulan hasil melihat konflik antara kaum muda dan kaum tua melalui sorotan sejarah)





SYOR DALAM MENGATASI PERTIKAIAN KAUM TUA DAN KAUM MUDA.



a) mengajak ummat kembali kepada kefahaman dan perlaksanaan system Islam yang syumul.

b) Menjajar umat akan adab-adab berselisih faham

c) Menjelaskan bahawa gejala tabdi'e dan takfir anjuran pelampau wahabi adalah menyalahi semangat ajaran Islam yang suci

d) Menolah golongan wahabi (bukan salafi) yang menjaja agama atas kepentingan kufar barat dan syaitan.

e) Menjelaskan akan bidaah yang sebenarnya iaitu menolak system Islam dan mengekalkan system kufar penjajah

f) Mengajak umat kembali kepada perpaduan dan mengemblengkan tenaga menolak kepimpinan secular dan menggantikan dengan system politik Islam (system Khilafah)

g) Ulama dan umara Muslimin bersatu memimpin umat ke jalan kebahagiaan berdasrkan ajaran Islam

h) Lain-lain kaedah yang boleh di putuskan dari masa ke semasa oleh para ulama dan intelek Islam.





6.0    KESIMPULAN



Perjalanan kaum tua dan muda ini jelas wujud di tanah melayu dengan peristiwa-peristiwa kontroversi yang timbul dari dua puak ini. Dapat juga dikenal pasti poloimik mereka terbahagi kepada tiga period sepanjang sejarah mereka.



    Perkara-perkara yang menjadi titik perbezaan seputar khilafiyah seperti amalan-amalan warisan melayu yang telah lama di amalkan oleh masyarakat melayu seperti tahlil, qunut, bacaan yasin malam jumaat dan banyak lagi.



    Muncul juga tokoh-tokoh ternama yang mewakili dua puak seperti Syed Tahir al-Haddad, Abu Bakar Muari dari kaum tua. Manakala dari kaum muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin





RUJUKAN



Abd. Rahman Ammash. 2007. Khabrah Ulama. Johor: Jabatan Mufti Johor.

Abu Qaniah dan Abu Zahidah. 1953. Senjata Syariat. Thailand: Halabi.

Dahlan. 2008. Fitnah Wahhabi. Seremban: Sofa Production.

Hashim Ismail. T.th. Kaum Muda dan Pemikiran Progresif di Malaysia. T.tp.

al-Mandili. 1377 H. Sinar Matahari. Mesir: Anuar.

Nik Yusri Musa. 2005. Prosiding Nadwah Ulama 3. Bangi: Fakulti Pengajian Islam UKM.

Zamihan al-Ghari. 2007. Ulama-ulama Wahhabi "Satu Penjelasan". Johor: Jabatan Mufti Johor.

Zamihan al-Ghari. 2007. Ahl Sunnah wa al-Jamaah. Johor: Jabatan Mufti Johor.



Abdul Halim El-Muhammady. 2008, http://protajdid.blogspot.com/2008/03/pengaruh-fiqh-shafii-dalam-pemikiran.html.

Ahmad Fadhli bin Shaari. 10 september 2008. http://yapis.blogspot.com/2006/11/polemik-tafsir-di-antara-kaum-tua-dan.html.

Mahfuz Muhammad. 10 september 2008. www. Al-subki.blogspot.com.

Mohd Fakhrurrazi bin Hussin. 10 september 2008. http://www.e-ppms.org/index.php?option=com_content&task=view&id=630&Itemid=127

http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBM/detail.php?section=sm02&spesifik_id=120&ttl_id=4.

www.asyraaf.net/v2/artikel.php?op=2&id=67.

Taufeeq. 10 September 2008. http://paspahang.org.

(http:// sejarahmalaysia.pnm.my/ portalBM/detail.php?section=sm02&spesifik_id=120&ttl_id=4)

Saari Sungib. 10 September 2008. http://buletinonline.net

Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 10 September 2008. www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y =2005&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm.

Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 10 September 2008. ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/abu-bakar-muar-benteng-pertahanan-kaum.html.

0 pendapat: