DONATE

Isnin, 21 Disember 2009

Syura Dan Kaitannya Dengan Amalan Demokrasi Di Malaysia

  1. Pendahuluan


     

Syura merupakan elemen yang penting di dalam sesebuah Negara Islam. Ini kerana ia merupakan lambang kepada Negara Islam. Selain itu, ia juga telah di perintahkan oleh Allah di dalam al-Quran dan sunnah nabi. Di dalam syura mengandungi berbagai prinsip yang murni seperti hak persamaan, keadilan dan kebebasan bersuara. Namun, ia juga sering dikaitkan dengan amalan demokrasi yang diasaskan oleh barat. Ada ilmuan yang mengatakan bahawa syura dan demokrasi adalah sama. Dan ada juga yang mengatakan ia bertentangan sama sekali. Di dalam kertas kerja ini, penulis sedikit sebanyak akan menjelaskan apakah kaitan syura dengan demokrasi. Adakah ianya suatu benda yang sama atau apakah ia bertentangan sama sekali. Di sini penulis telah mengambil contoh demokrasi di Malaysia untuk dibandingkan.


 

  1. Definisi Syura


     

Perkataan syura adalah kata nama dari perkataan "al-Musyawaratun" atau "Watasyawurun" beerti mengutarakan pendapat. Bagi memahami pengertian syura dengan lebih jelas, adalah perlu untuk mengetahui perkataan shara. "Shara-Yashuru" dan "Shawrun" yang beerti mengemukakan atau menunjukkan sesuatu. Perkataan "Shawarahu-Mushawaratun" membawa pengertian yang sama iaitu berbincang atau bertukar fikiran untuk mengetahui pendapatnya.


 

Definisi syura menurut Hamid Ismail Ansari pula ialah perkara khusus yang di musyawarahkan oleh ahli yang professional dan mereka yang berpengalaman di dalam sesuatu masalah.     


 

Perkatan syura, dalam berbagai bentuk nahu dan saraf terdapat sebanyak 4 kali di dalam al-Quran:

2.0.1 Antaranya perkataan syura di dalam surah al-Syura, ayat 38.

2.0.2 Shawir di dalam surah ali-Imran ayat 159.

2.0.3 Asharat di dalam surah Maryam ayat 29.

2.0.4 Tashawur di dalam surah al-Baqarah ayat 233.


 

  1. Dalil Pelaksanaan Syura


 

Di sini penulis mendatangkan dua nas iaitu daripada al-Quran dan hadith. Dalil al-Quran sepertimana di dalam surah Ali Imran ayat 159:

$yJÎ6sù
7pyJômu
z`ÏiB
«!$#
|MZÏ9
öNßgs9
(
öqs9ur
|MYä.
$ˆàsù
xáÎ=xî
É=ù=s)ø9$#
(#qÒxÿR]w
ô`ÏB
y7Ï9öqym
(
ß#ôã$$sù
öNåk÷]tã
öÏÿøótGó$#ur
öNçlm;
öNèdöÍr$x©ur
Îû
ÍöDF{$#
(
#sŒÎ*sù
|MøBztã
ö@©.uqtGsù
n?tã
«!$#
4
¨bÎ)
©!$#
=Ïtä
tû,Î#Ïj.uqtGßJø9$#
ÇÊÎÒÈ


 

Maksudnya: Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

(Surah Ali Imran: 159)

Manakala dalil di dalam hadith nabi adalah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bantu-membantulah kamu di dalam urusan-urusan kamu dengan musyawarah".


 

2.2 Hukum Pelaksanaan Syura

Sebahagian besar ulama fiqh berpendapat, pemerintah wajib menjalankan musyawarah dengan ummah tentang urusan awam. Jika ia mengabaikan kewajipan tersebut, ummah berhak menuntut supaya ia dilaksanakan. Ibn Khuwayz Mandad berpendapat bahawa, pemerintah wajib melaksanakan syura dengan ulama tentang masalah agama dan syariah, dengan ketua tentera tentang hal-ehwal ketenteraan, dengan tokoh terkemuka tentang kepentingan awam dan dengan pentadbir tertinggi tentang kemaslahatan dan pembangunan Negara. Abu Bakar al-Jassas, Fakhr al-Din al-Razi, Ibn Taimiyyah, Muhammad Abduh dan Muhammad Rasyid Rida berpendapat bahawa melaksanakan syura merupakan satu kewajipan. Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah al-Syura ayat 38:


 

Maksudnya: "Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka".

(Surah al-Syura: 38)

Rasulullah s.a.w bersabda ketika ditanya mengenai syura, yang bermaksud:

"Perkara itu janganlah diputuskan oleh seorang sahaja, atau, janganlah berdasarkan satu pendapat sahaja".


 

Menurut Hamid Ismail Ansari mengatakan bahawa hukum syura adalah wajib berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah Ali Imran ayat 159. Kerana mengikut kaedah usul fiqh, ayat tersebut menunjukkan kepada sighah amar yang jelas menunjukkan hukum wajib.


 

Namun ada juga ulama' yang mengatakan bahawa syura adalah sunat. Ibn Hazm dan imam Syafie berpendapat bahawa ayat al-Quran di atas menunjukkan hukum sunat dan bukannya wajib. Maka perbincangan ulama adalah berdasarkan wajib dan sunat sahaja. Ibn Hazm pernah berkata:


 

"Sudah jelas bahawa Allah s.w.t tidak pernah memberi kuasa kepada para sahabat untuk mengharamkan atau menghalalkan sesuatu, oleh sebab itu, ternyatakan bahawa Allah tidak pernah memerintah Rasulullah s.a.w sama sekali bermusyawarah dengan mereka mengenai sesuatu perkara agama". Akan tetapi Ibn Hazm mengatakan syura wajib di dalam hal keduniaan. Manakala Imam Syafie telah menggunakan qiyas berdasarkan hadith rasulullah yang bermaksud: "anak dara harus diminta keizinan tentang urusan dirinya". Namun begitu, jika mereka tidak bersetuju, si bapa berhak mengahwinkannya.


 


 

  1. Masalah-masalah Yang Dimusyawarahkan


     

Ruang lingkup masalah yang dimusyawarahkan di dalam syura adalah terbatas. Maksud terbatas di sini membawa makna tidak dibenarkan bermusyawarahkan di dalam masalah yang telah ditetapkan hukumnya oleh syari'. Ini kerana manusia tidak boleh didahulukan di atas wahyu. Syura adalah masalah ijtihad dan sebagaimana yang diketahui tidak ada ijtihad di dalam masalah-masalah yang telah ditetapkan dengan nas. Begitu juga dengan para sahabat, mereka selalu menanyakan kepada Rasulullah s.a.w apakah masalah yang mereka hadapi telah diwahyukan atau tidak. Jika tidak, barulah mereka akan mengeluarkan pendapat mereka sendiri. Contohnya pada perang Khandaq. Ketika mana Rasulullah s.a.w hendak memberikan satu pertiga kurma Madinah kepada Bani Ghathfan dengan syarat mereka tidak memerangi kaum muslimin dan kembali ke negeri mereka. Rasulullah kemudiannya menemui Saad bin Muaz dan Sacad bin Ubadah untuk meminta pendapat mereka berdua. Mereka menjawab "wahai Rasulullah, apakah ini masalah yang engkau sukai lalu agar kami perbuat, ataukah ini sesuatu yang diperintahkan oleh Allah yang kita harus laksanakan, ataukah sesuatu yang engkau perbuat untuk kami?" Baginda menjawab: "Tidak, melainkan ini sesuatu yang aku perbuat untuk kamu. Demi Allah aku tidak berbuat demikian selain kerana aku melihat orang-orang Arab musyrik telah memanah kalian dari satu busur dan mereka mengepung kalian dari segala arah. Maka aku ingin menghancurkan kepaduan mereka terhadap kalian hingga batas-batas tertentu." Mereka berdua member pandangan lain yang tidak sependapat dengan Rasulullah s.a.w, lalu baginda menerima pendapat mereka.

Walaubagaimanapun, ketika perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah s.a.w tidak meminta pendapat para sahabat baik dari segi isinya ataupun perlu ditandatangani atau tidak perjanjian ini. Selepas itu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bertemu Rasulullah s.a.w dan bertanya: "Wahai Rasulullah bukankah engkau utusan Allah?" Baginda menjawab: "Benar." "Bukankah kami kaum Muslimin?" Baginda menjawab: "Benar." "Mengapakah kita memberikan kehinaan kepada agama kita?" Baginda menjawab "Aku hamba Allah dan rasul-Nya, tidak akan menentang perintah-Nya dan dia tidak akan mensia-siakan aku." Di sini jelas perjanjian Hudaibiyah adalah diwahyukan oleh Allah dan berdasarkan itu, Rasulullah s.a.w tidak meminta pendapat para sahabatnya.


 

2.4 Ahl al-Hal wa al-cAqd

Sheikh Muhammad Rashid Redha menjelaskan bahawa Ahl al-Hal wa al-cAqd ialah Ulul 'Amri. Mereka terdiri daripada para pemimpin, pemerintah, ulama', jeneral-jeneral tentera, seluruh pemimpin dan tokoh-tokoh yang menjadi rujukan orang ramai dalam keperluan dan kepentingan umum.


 

al-Maududi menambah, pemilihan Ahl al-Hal wa al-caqd ini tidak boleh dilakukan sesukahati oleh pemimpin. Tetapi ia Ahl al-Hal wa cAqd mestilah memiliki ciri-ciri yang membolehkan dia mengeluarkan pendapat dan menyelesaikan masalah umat. Para fuqaha' telah menentukan syarat-syarat yang wajib dimiliki oleh Ahl al-Hal wa al-cAqd untuk membolehkan mereka melakukan syura dan dalam memilih pemimpin umat Islam. Imam Mawardi umpamanya telah meletakkan beberapa syarat bagi Ahl al-Hal wa al-cAqd yang beliau istilahkan sebagai Ahl al-Ikhtiyar:


 

2.4.1 Adil dan memenuhi syarat adil.

2.4.2 Berilmu yang membolehkan ia mengetahui orang yang paling layak dilantik sebagai khalifah berasaskan kepada syarat-syarat tertentu.

2.4.3 Mempunyai pandangan dan hikmah yang membolehkannya memilih orang yang paling layak memegang jawatan khalifah yang paling berkeupayaan mentadbir kepentingan ummah.


 

Ahl al-Hal wa al-cAqd berperanan penting dalam proses pemilihan pemimpin atau ketua Negara Islam. Pendapat ini juga telah disebutkan oleh Ibn Khaldun. Beliau berpendapat bahawa khalifah adalah satu kemestian menurut ijmak ulama' dan hukumnya fardhu kifayah. Ia mesti dipilih oleh Ahl al-Hal wa al-cAqd.


 

3.0 Syura Dan Kaitannya Dengan Amalan Demokrasi Di Malaysia

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia. Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.


 

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.


 


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Di dalam syura, kekuasaan mutlak dan tertinggi hanyalah milik Allah Ta'ala. Dialah sebagai kuasa tertinggi dan manusia sebagai hamba wajib patuh kepada segala arahannya. Di dalam syura, badan perundangan dimiliki oleh Allah sebagai pembuat hukum. Manakala badan kehakiman diwakili qadhi-qadhi yang menjatuhkan hukuman dan badan pentadbiran diwakili oleh manusia.


 

Dalam konteks Malaysia, konsep syura iaitu perbincangan antara pemerintah dan rakyat dapat dilihat melalui sidang Dewan Rakyat (Parlimen) dan Sidang Dewan Undangan Negeri. Meskipun rakyat tidak mempunyai hak untuk bersuara secara langsung dalam sidang tersebut, tetapi suara mereka diwakili oleh ahli perwakilan yang dikenali sebagai "wakil rakyat". Wakil rakyat akan menyampaikan mesej rakyat yang diwakilinya dalam usaha menegakkan keadilan dan kebenaran mereka.


 

Manakala tidak terdapat nas dalam al-Quran atau sunnah yang menerangkan bagaimana cara melaksanakan syura. Begitu pula tidak terdapat nas yang menjelaskan dengan terperinci jumlah anggota majlis syura dan cara menentukan jumlah ini. Sebenarnya, yang demikian adalah salah satu ciri khas agama Islam yang tidak mewajibkan umatnya adanya ketentuan cara tertentu yang mungkin sesuai pada masa tertentu tetapi tidak sesuai pada masa yang lain sehingga akan menyusahkan umatnya. Allah telah mengangkat kesulitan dari agama sebagaimana firmannya:


 

Maksudnya: Dan dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.

(Surah al-Hajj: 78)


 


 

Ini yang dimaksudkan dengan fleksibiliti di dalam Islam. Ia tidak menyusahkan umatnya dengan mewajibkan mereka mengikuti segala kaedah yang ditetapkan, tetapi memberi kelonggaran kepada umatnya menentukan kaedah yang bersesuaian dengan mereka.


 

Yang penting menurut pandangan Islam adalah bahawa syura itu dilaksanakan tanpa dibatasi dengan cara atau teknik. Oleh sebab itu, Rasulullah tidak menggariskan cara tertentu untuk melaksanakan syura, melainkan melakukannya dengan cara yang berbeza. Kadang-kadang Rasulullah bermusyawarah dengan seorang sahaja sebagaimana yang terjadi dengan Habbab bin al-Munzir dalam memilih tempat bagi pasukan Islam dalam peperangan Badar. Kadang-kala baginda meminta pendapat 2 atau 3 orang dan biasanya baginda meminta pendapat dari Abu Bakar dan Umar bin Khattab r.a, seperti yang dilakukan pada perang Ahzab. Baginda meminta pendapat Sacad bin Muaz dan Sacad bin Ubadah. Juga seperti yang baginda lakukan dengan meminta pandangn Usamah bin Zaid dan Ali bin Abu Thalib mengenai perceraian baginda dengan isterinya. Dan kadang-kala baginda meminta pendapat orang ramai yang hadir dan berbincang secara umum dengan mereka. Seperti yang dilakukan ketika pasukan Quraisy keluar untuk memerangi kaum muslimin. Demikianlah dengan amalan demokrasi di Malaysia, pemilihan wakil rakyat sebagai wakil untuk menyampaikan masalah rakyat tidak bertentangan dengan syura kerana syura itu sendiri tidak terdapat ciri-ciri khusus.


 


Konsep syura memperlihatkan keadilan yang cuba ditonjolkan oleh Islam ke arah melahirkan kerajaan dan kepimpinan yang tidak pilih kasih dan jauh dari penindasan juga kezaliman. Konsep keadilan sebegini turut ditekankan dalam demokrasi yang menganjurkan pemerintahan yang adil kepada rakyat. Peredaran masa, peluasan wilayah Islam dan kemajuan komunikasi sedikit sebanyak mengubah mekanisma konsep syura. Jika sebelum ini beberapa individu dilantik untuk mengisi Majlis Syura, ia dikatakan tidak sesuai pada zaman moden. Ahli Majlis Syura sepatutnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Ini akan menghasilkan Majlis Syura yang benar-benar dipilih oleh rakyat secara langsung bersesuaian dengan konsep 'Aqd Tawkil al-Sarih (pemberian kuasa dengan jelas). Walau bagaimanapun, pilihan raya menurut Islam mempunyai tatacara yang berbeza dan mempunyai disiplin tertentu. Pertama, perjalanan pilihan raya yang mahu diadakan mestilah prihatin dan sensitif dengan hak dan tanggungjawab seperti yang digariskan dalam undang-undang Islam. Kedua, hanya parti politik yang beridealismekan Islam dibenarkan bertanding. Manakala calon-calon yang bertanding mestilah mempunyai latar belakang agama yang mantap. Ketiga, satu ukuran mesti ditentukan untuk mengukur populariti calon daripada pengundi. Selain itu, rakyat selaku pengundi perlu diberikan pendidikan agama secukupnya agar mereka mampu membuat pilihan tepat untuk memilih pemimpin yang sebenar. Kesemua disiplin di atas akan menjamin pilihan raya yang adil, bebas dan bersih dapat diadakan. Ini jelas menggambarkan betapa Islam menyanjung konsep kebebasan dan persamaan politik di kalangan umat Islam dalam menentukan pemimpin mereka.


 

Di Malaysia dibenarkan penubuhan parti-parti politik dan menggalakkan persaingan sihat antara mereka di dalam pilihan raya. Justeru, konsep satu parti sahaja tidak dilaksanakan kerana bercanggah dengan kebebasan dan persamaan politik yang dibenarkan dalam demokrasi Islam, lantas boleh menyuburkan budaya autrokasi. Dalam konteks di Malaysia, perjalanan pilihan raya yang diadakan belum menepati konsep pilihan raya menurut Islam yang digariskan. Ini kerana ia masih tidak lagi mengikut syarat pilihan raya yang digariskan. Parti politik yang hendak dibentuk tidak semestinya beridealismekan Islam. Malah, calon ahli parlimen juga tidak disyaratkan memiliki latar belakang agama yang mantap. Malah sesiapa sahaja boleh menjadi ahli parlimen jika memenuhi syarat di dalam Peraturan Perlembagaan Malaysia.


 

Jika diperhatikan ayat yang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w dengan firman Allah yang bermaksud: "dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu". Maka perkataan mereka itu tidak lain tidak bukan merujuk kepada orang-orang mukmin. Yakni bahawa Rasulullah s.a.w diperintahkan agar bermusyawarah dengan mereka mengenai urusan-urusan umat. Walaupun ayat tersebut bersifat umum, tetapi ia tidak beerti bahawa setiap orang layak menjadi ahli syura. Ini kerana ahli syura ialah mereka yang berpotensi mengeluarkan pendapat, memberi jalan penyelesaian masalah dan urusan-urusan yang dirujukkan kepada mereka. Mereka ini juga digelar sebagai Ahl al-Hal Wa al-cAqd. Seseorang itu tidak layak untuk menjadi ahli syura selagi mana mereka tidak memenuhi syarat-syarat tersebut:


 

  1. Taklif: calon anggota majlis syura harus beragama Islam, baligh dan sihat mentalnya. Kafir zimmi di bawah pemerintahan Islam tidak dibenarkan menjadi ahli syura. Bukti paling kuat yang mendukung penegasan ini adalah bahawa tidak terjadi di zaman Rasulullah s.a.w mahupun khulafa' rasyidin melantik kafir zimmi menjadi ahli syura. Ini kerana mereka yang bukan Islam tidak berkepentingan dengan pelaksanaan aturan Allah dan tidak pula cenderung kepada kepentingan orang Islam. Mereka yang belum dewasa baik mumayyiz atau tidak tidak dibenarkan menjadi ahli syura. Ini kerana mereka tidak mampu membuat pertimbangan dengan baik dan tidak mampu membezakan antara yang mendesak dan tidak mendesak. Orang tidak sempurna akal juga tidak dibenarkan menjadi ahli syura, ini kerana ahli syura dikehendaki mengeluarkan pendapat yang bernas dan menyelesaikan masalah umat. Bagaimana mereka dapat membuat perkara sedemikian jika mereka tidak sempurna akalnya.


     

  2. Merdeka: untuk menjadi anggota majlis syura tidak dibenarkan bagi seorang hamba. Baik hamba mukatab atau hamba mudabbar. Ini kerana hamba-hamba terikat dengan hak-hak tuannya, tidak memiliki kebebasan atas diri sendiri maka dengan demikian tidak memiliki kebebasan atas orang lain.


     


     

c. Lelaki: ini adalah berdasarkan firman Allah:

Maksudnya: Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.

(Surah an-Nisa': 34)


 

Begitu juga dengan hadith nabi s.a.w yang bermaksud: Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak akan beruntung suatu kaum yang memberikan urusan kepimpinan mereka kepada seorang perempuan". Ini kerana dikatakan komitmen kaum lelaki lebih tinggi berbanding dengan kaum wanita. Namun, Dr. Yusof Qardhawi mengatakan tidak ada salahnya kaum menjadi ahli syura selagi mana ianya menjaga batas sebagai wanita muslim.


 

d. Pengetahuan: orang yang menjadi ahli syura disyaratkan memiliki pengetahuan tentang syariah Islam, pengetahuan tentang hukum-hukumnya supaya ia tidak berijtihad bertentangan dengan ajaran Islam. Allah berfirman:


 

Maksudnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, ialah para ulama'.

(Surah al-Fatir: 28)


 

Namun, pengetahuan bagi ahli syura tidak harus mencapai tingkat ijtihad.

e. Kelayakan moral: kelayakan moral yang dimaksudkan adalah hendaklah ia menunaikan berbagai kewajipan dan rukun dan menjauhi berbagai maksiat. Tidak dikuasai oleh hawa nafsu dan berbagai-bagai lagi sifat yang keji.


 

f. Menetap di dalam negeri: anggota majlis syura haruslah menetap di dalam Negara Islam. Manakala orang Islam yang menetap di dalam Negara kafir tidak dapat menjadi anggota syura. Ini kerana, mereka yang tinggal di dalam Negara kafir kebebasannya terikat dan banyak kehilangan unsur-unsur keperibadian Islam serta tidak dapat mengikuti perkembangan masyarakat Islam dengan berinteraksi bersama mereka. Oleh itu tidak mudah untuk memberi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh umat.


 

g. Tidak mengangkat diri: seseorang yang mengangkat diri dengan pengakuan tertentu bahawa dirinya layak menjadi seorang anggota majlis syura sebenarnya membuatkan dirinya tidak layak untuk menjadi ahli syura. Ini disebutkan di dalam al-Quran:


 

Maksudnya: Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.


(Surah al-Najm: 32)


 

Agama Islam secara umum melarang umatnya meminta kepimpinan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w kepada Abdul Rahman yang bermaksud: "Hai Abdul Rahman, janganlah meminta kepimpinan. Sebab apabila kamu diberi kerana meminta maka kamu dibebani dan jika kamu diberi bukan kerana meminta maka kamu akan dibantu".

(H.R Muslim)

Namun, mengikut demokrasi di Malaysia sekarang, tidak kesemua syarat-syarat di atas tidak dipenuhi. Bagi mereka yang hendak menjadi ahli parlimen, tidak disyaratkan ianya seorang Islam ataupun lelaki. Bahkan jika pemimpin tersebut terkenal dengan sifat buruknya, jika rakyat masih mahukannya, maka dia layak untuk menjadi pemimpin. Mengikut fasal 47 Peraturan Perlembagaan, syarat kelayakan seseorang untuk menjadi ahli dewan negara ialah tiap-tiap warganegara yang bermastautin di Persekutuan yang berumur tidak kurang 30 tahun. Manakala untuk menjadi ahli dewan rakyat ialah tidak kurang daripada 21 tahun. Manakala menurut fasal 48, seseorang itu akan hilang kelayakan menjadi ahli parlimen jika:


 

a. tidak sempurna akal

b. seorang bankrap

c. memegang suatu jawatan berpendapatan

d. tidak menyerahkan perbelanjaan pilihan raya mengikut waktu tertentu atau

e. dia telah disabitkan kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 1 tahun atau denda tidak kurang dua ribu ringgit dan tidak mendapat pengampunan bebas

f. dengan sukarela menerima kewarganegaraan mana-mana Negara di luar Persekutuan.


 

Jika dilihat, syura mempunyai persamaan dengan amalan demokrasi di Malaysia dari segi prinsipnya.

a. Pemerintahan secara perwakilan: suara rakyat akan disampaikan kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat melalui wakil rakyat. Begitu juga di dalam syura, segala masalah akan dibincangkan oleh wakil sesuatu kaum atau tempat. Ini kerana agak sukar untuk semua rakyat mengambil bahagian dalam musyawarah.

b. Pilihan raya dan pemerintahan majoriti: pemilihan pemimpin di Malaysia adalah berdasarkan pilihan raya. Pembuangan undi oleh rakyat mewakili keputusan rakyat untuk menentukan siapakah pemimpin yang diingininya. Manakala mereka yang mendapat sokongan majoriti akan menjadi wakil rakyat. Syura di dalam Islam juga mengikut suara majoriti. Ini kerana keputusan majoriti adalah yang paling hampir kepada kebenaran. Ini terbukti di dalam peperangan Uhud, di mana Rasulullah s.a.w mengikut keputusan majoriti untuk berperang di luar Madinah.

c. Kebebasan dan persamaan: demokrasi di Malaysia meletakkan kebebasan dan persamaan sebagai prinsip yang penting. Begitu juga di dalam prinsip syura, kerana asas di dalam syura adalah kebebasan individu dari segi mengeluarkan pendapat dan hak berbincang sesuatu pendapat. Menurut Sheikh Syaltut di dalam kitabnya 'al-Islam cAkidah Wa al-Syaricah' mengatakan: "pembinaan Islam dengan kaedah syura, ketika mana permulaan Islam, ia dilihat begitu sinonim dengan nama Islam pada menetapkan hak manusia. Dan asasnya yang utama ialah kebebasan yang mutlak ketika mengeluarkan pendapat". Ahli majlis syura bebas mengeluarkan pendapat selagi mana ianya tidak menyalahi syarak. Ia juga tidak membezakan tanggungjawab dan hak-hak atau layanan kepada seseorang menurut kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan sebagainya. Prinsip persamaan telah dinyatakan oleh Allah:


 

Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenali.


 

4.0 Kesimpulan Dan Cadangan

Syura dan demokrasi dilihat berkongsi semangat di atas beberapa prinsip tertentu. Persamaan ini sebenarnya telah mewujudkan konsep demokrasi Islam. Hal ini menunjukkan bahawa syura mempunyai unsur-unsur demokrasi di dalam pengamalannya, terutama dalam soal pemerintahan dan kepimpinan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud syura dan demokrasi mempunyai persamaan total.


 

Menurut Kurshid Ahmad, demokrasi merupakan batu loncatan kepada arus kebangkitan Islam atau proses Islamisasi. Walaupun demokrasi ciptaan barat, akan tetapi selagi ianya tidak bertentangan dengan Islam maka ianya boleh diterima. Lebih-lebih lagi dengan keadaan masyarakat sekarang yang hanya cenderung kepada demokrasi. Amat sukar untuk membuat proses Islamisasi jika kita menentang secara keras. Cara yang paling sesuai ialah dengan mengubah proses demokrasi sekarang mengikut ketetapan Islam. Inilah yang sering digunakan oleh ulama sekarang yang menggunakan Demokrasi Islam di dalam penulisan-penulisan mereka.


 

Rujukan

al-Quran

Abdul Ghafar Hj. Don. 1999. Kepimpinan Dakwah Dan Politik Islam. Selangor. Percetakan Asni Sdn. Bhd.

Abu 'Ala al-Maududi. 1969. Nazariyyah al-Islamiy Wa Hadyah. Beirut. Mu'assasah al-Risalah.

file:///F:/httpwww.parlimen.gov.mypengenalan-lblakng.htm

Yusof Qardhawi. 1997. Fiqih Daulah. Pustaka al-Kausar.

httpwww.spr.gov.myindex_filesakta_peraturanperlembagaan_persekutuanPerlembagaanPersekutuanBab4

Lukman Thaib. 1995. Syura Dan Aplikasinya Dalam Pemerintahan Pada Masa Kini. Kuala Lumpur. Penerbit Amal.

Mohd Izani Mohd Zain. 2005. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari Di Malaysia. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.

Muhammad Abdul Qadir Abu Faris. 2000. Sistem Politik Islam. Jakarta. Robbani Press.

Taufiq Muhammad al-Syawi. 1992. Fiqh al-Syura Wa al-Istisyarah. Dar al-Wafa' al-Mansurah.

Yacqub Muhammad al-Maliji. t.thn. Mabda' al-Syura Fi al-Islam. Iskandariah. al-Azhar.

Tiada ulasan: