DONATE

Selasa, 15 Disember 2009

SUMBANGAN ULAMA ANDALUSIA DALAM ILMU TAFSIR

Oleh: Adnan Mohamed Yusoff

Pendahuluan


 

Tiada siapa dapat menafikan bahawa Andalusia bukan sahaja menjadi

bukti kepada keagungan tamadun silam umat Islam dalam aspek

kemajuan material, malah ia turut merangkumi aspek pemikiran dan

spiritual. Semenjak kemunculannya, ia unggul sebagai salah sebuah

kiblat ilmu terkemuka, bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan juga

kepada umat manusia sejagat. Seperti yang dimaklumi, kegemilangan

umat Islam dalam bidang ilmu adalah bertitiktolak dari kefahaman

serta penghayatan tinggi mereka terhadap hidayah serta petunjuk yang

terkandung dalam dustur al-hayah (perlembagaan hidup) mereka, al-

Qur'an al-Karim. Justeru, kegemilangan sesebuah Tamadun Islam

dalam aspek pemikiran menerusi berbagai disiplin ilmu menjadi

petunjuk kepada kegemilangan mereka dalam ilmu tafsir yang menjadi

simbol kepada penghayatan mereka terhadap dustur al-hayah ini.

Menerusi kajian ini, penulis akan berusaha menyingkap kegemilangan

ilmu tafsir di Andalusia dengan mengemukakan beberapa tokoh penting

dari Andalusia yang telah meninggalkan jasa yang besar dalam sejarah

perkembangan ilmu ini di peringkat global.


 

Sejarah Perkembangan Ilmu Tafsir Di Andalusia


 

Seperti di wilayah Islam lain, pengajian tafsir di Andalusia bermula

semenjak cahaya Islam mula memasuki daerahnya dan sampai

kepada penghuninya. Sejarah membuktikan bahawa pembukaan Islam

terhadap wilayah-wilayah baru bukanlah untuk tujuan penaklukan

dan perampasan sumber kekayaan yang ada di wilayah berkenaan.

Sebaliknya pembukaan ini adalah semata-mata untuk membawa

petunjuk dan keadilan Islam yang tersurat dan tersirat dalam Kitab

Suci al-Qur'an al-Karim. Sejarah merakamkan kepada kita bahawa

ketika Musa bin Nusayr dipertanggungjawabkan untuk meluaskan

wilayah baru Islam di daerah barat yang seterusnya membawa kepada

pembukaan Andalusia, beliau telah memilih secara khusus berbelasbelas

ulama yang pakar dalam bidang al-Qur'an dan fiqh sebagai

sebahagian dari bala tenteranya untuk membimbing masyarakat di

daerah-daerah terbabit, mempelajari serta menghayati al-Qur'an dan

ajarannya.1


 


 

1 Al-Kanuniyy, 'Abd al-Salam Ahmad (1401H/1981), al-Madrasah al-

Qur'aniyyah fi al-Maghrib min al-Fath al-Islamiyy ila Ibn 'Atiyyah.

Rabat: Maktabah al-Ma'arif, h. 30-31.


 


 


 

Sejarah turut merakamkan kepada kita bahawa setiap kali tentera

Islam diutuskan untuk membuka daerah-daerah baru, mereka bukan

sahaja membawa bersama mereka kelengkapan perang dan keperluan

persenjataan, malah mereka turut membawa bersama mereka mushafmushaf

yang menjadi bahan bacaan dan perbincangan mereka di

waktu-waktu senggang. Dalam konteks pembukaan Andalusia juga,

sumber-sumber sejarah turut merakamkan fenomena yang sama. Antara

lain sumber-sumber ini menyebut bahawa setelah berjaya membuka

Andalusia, kapal-kapal bala tentera Islam berlepas pulang dengan

membawa rampasan perang (ghanimah) yang banyak. Tiba-tiba angin

kencang serta ribut kuat memukul kapal-kapal mereka sehingga saling

berlanggaran antara satu sama lain. Mereka lalu berdoa kepada Allah

s.w.t. sambil memegang mushaf masing-masing agar diselamatkan dari

sebarang musibah.2


 

Justeru, dapat ditegaskan di sini bahawa pengajian al-Qur'an dan

tafsir di Andalusia telah bermula semenjak cahaya Islam mula memasuki

wilayah-wilayahnya, sama seperti yang berlaku di wilayah-wilayah lain

yang dimasuki oleh tentera-tentera pembukaan Islam. Sumber-sumber

sejarah yang menyebut bahawa terdapat sebilangan sahabat Rasulullah

s.a.w. turut menyertai bala tentera pembukaan Andalusia, selain dari

para tabi'in terkenal menguatkan lagi fakta ini. Tokoh-tokoh sahabat

dan tabi'in terkenal inilah yang menjadi pengasas perkembangan ilmu

dan tamadun Andalusia. Mereka terus menjadi kebanggaan masyarakat

Islam Andalusia sehingga ke akhir usia tamadun ini.3 Merekalah yang

bertanggungjawab menyebar ilmu dan mendidik masyarakat Andalusia

seterusnya mengeluarkan mereka dari alam kegelapan, kezaliman dan

kejahilan kepada cahaya keadilan, keilmuan dan kegemilangan.4

Seperti yang dimaklumi, di peringkat ini, ilmu berkaitan pembacaan

al-Qur'an dan pemahaman isi kandungannya, diikuti dengan ilmu

hadith dan sunnah Rasulullah s.a.w. mendahului senarai ilmu yang

menjadi asas pengajaran dan dakwah mereka, diikuti dengan ilmu-ilmu

lain yang turut bersumberkan al-Qur'an dan al-Sunnah. Menurut Ibn


 

2 Ibid., h. 25-26.

3 Lihat: al-Mishniy, Mustafa Ibrahim (1406H/1986), Madrasat al-Tafsir fi

al-Andalus. Beirut: Mu'assasah al-Risalah, h. 39.

4 Ibid., h. 19-20.


 


 


 

Khaldun, sesuatu yang istimewa dalam pendekatan pengajaran yang

menjadi amalan masyarakat Islam Andalusia berbanding masyarakat

Islam di tempat lain ialah mereka memulakan proses pendidikan mereka

dengan mempelajari al-Qur'an terlebih dahulu, kemudian diikuti

dengan bahasa Arab, hadith dan fiqh sedangkan masyarakat Islam di

tempat lain memulakannya dengan mempelajari Bahasa Arab terlebih

dahulu, kemudian barulah diikuti dengan al-Qur'an dan ilmu-ilmu lain.

Kaedah ini menurut Ibn Khaldun menjamin para pelajar mempelajari

ilmu al-Qur'an berbanding kaedah kedua yang mungkin menyebabkan

sesetengah pelajar tidak sempat mempelajari al-Quran kerana terganggu

dengan berbagai urusan kehidupan sebelum sempat berbuat demikian.5

Mungkin hasil dari pendekatan ini, Andalusia telah muncul sebagai

salah sebuah kiblat ilmu Qira'at dan berjaya melahirkan ramai tokoh

terbilang dalam ilmu ini.6 Antaranya al-Imam Mujahid bin Mansur

al-'Amiriyy, salah seorang tokoh yang berjasa besar dalam menyebar

dan mengembangkan ilmu Qira'at, seperti yang ditegaskan oleh Ibn

Khaldun dalam Muqaddimahnya.7 Malah ramai dari kalangan ulama

Qira'at Andalusia turut muncul sebagai tokoh terkenal dalam ilmu

tafsir seperti Makkiyy bin Abi Talib8 dan Abu Hayyan al-Andalusiyy.9

Kesimpulannya, dapat ditegaskan bahawa ilmu tafsir telah bertapak

dan berkembang di bumi Andalusia semenjak awal kedatangan Islam

sebagai salah satu ilmu asasi untuk masyarakatnya mendalami dan

menghayati Islam bersama ilmu-ilmu fardu ain lain. Ia seterusnya

berkembang mengikut perkembangan pemikiran semasa ilmu

pengetahuan sehinggalah ke peringkat pengkhususan ilmu dengan ilmu

tafsir turut berkembang menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.

Kegemilangan perkembangan pengajian dan penulisan tafsir bermula

pada kurun ketiga Hijrah dengan kemunculan seorang tokoh berwibawa

sehebat Ibn Jarir al-Tabariyy dalam ilmu ini, iaitu Baqiyy bin Makhlad


 

5 Ibid., h. 79-80, Ibn Khaldun, 'Abd al-Rahman bin Muhammad (1984), al-

Muqaddimah. Beirut: Dar al-Qalam, h. 539-540.

6 Ibid., h. 69-70.

7 Ibn Khaldun (1984), op.cit., h. 437.

8 al-Mishniy (1406H/1986), op.cit., h. 70-71.

9 Ibid., h. 104-106.


 


 

Pusat-pusat dan Sumber-sumber Penting Pengajian Tafsir di

Andalusia


 

Seperti ilmu-ilmu lain, pengajian tafsir di Andalusia berpusat di

masjid-masjid yang berfungsi sebagai pusat ilmu. Melalui sistem

halaqah, ilmu tafsir dan ilmu-ilmu lain berkembang pesat di setiap

masjid utama bandar-bandar besar Andalusia. Antara masjid terkenal

yang menjadi kiblat ilmu bukan sahaja kepada penduduk Andalusia,

malah menjadi tumpuan pencinta ilmu dari segenap pelusuk dunia ialah

masjid Qurtubah (Cordova). Peranan masjid sebagai satu-satunya pusat

perkembangan ilmu secara rasmi berterusan sehingga pertengahan

kurun keempat Hijrah.11


 

Setelah itu, peranan ini diambil sedikit demi sedikit oleh sekolahsekolah

yang mula diasaskan dan dikembangkan bagi menampung

keperluan masyarakat secara lebih bersistem. Di samping sekolah,

perkembangan seterusnya menyaksikan setiap bandar besar di

Andalusia makmur dengan penubuhan dan pembinaan berbagai institusi

keilmuan lain seperti kolej, universiti, perpustakaan dan sebagainya

yang menjadi satu-satunya pusat perkembangan ilmu dan penerokaan

akademik di benua Eropah untuk sekian lama. Walau bagaimanapun di

sebalik perkembangan pesat ini, masjid Qurtubah tetap unggul sebagai

universiti terulung di Andalusia.12 Di sinilah ramai para ulama tersohor

Andalusia dilahirkan. Antaranya tokoh tafsir terbilang al-Imam al-

Qurtubiyy.


 

Selain itu, hubungan keilmuan dengan pusat-pusat pengajian terkenal

dunia Islam seperti di Mekah, Madinah, Bayt al-Maqdis, Iraq, Qayrawan

dan lain-lain tetap terjalin erat menerusi rihlah 'ilmiyyah yang dilakukan

oleh para ilmuan yang saling berkunjungan antara satu sama lain dalam

meneruskan tradisi keilmuan para al-salaf al-salih. Dari sini, berbagai


 


 

10 Lihat: Ibid., h. 79-80.

11 Lihat: Ibid., h. 80-81.

12 Ibid.


 


 

sumber dan rujukan penting dalam bidang tafsir, qira'at, 'Ulum al-

Qur'an dan lain-lain telah dibawa masuk ke Andalusia sebagai asas

pengajian, terutama di peringkat awal perkembangannya sebagai pusat

ilmu. Dalam konteks ilmu tafsir, antara rujukan awal yang menjadi asas

pengajian dalam sejarah perkembangan ilmu ini di Andalusia ialah:


 

  1. al-Tafsir al-Mansub ila Ibn 'Abbas (m. 68H)


 

Naskhah awal tafsir ini melalui riwayat al-Kalbiy telah

sampai ke Andalusia sejak awal kurun ke-3 Hijrah. Kitabkitab

sejarah dan biografi ulama Andalusia banyak menyebut

bahawa ramai dari kalangan para ulama Andalusia yang

mempelajari seterusnya meriwayatkan kitab ini sepanjang

rihlah 'ilmiyyah mereka ke pusat-pusat pengajian Islam di luar

Andalusia. Mereka kemudiannya kembali dan mengajarkan

kitab ini kepada para pelajar dan warga Andalusia umumnya.

Antara mereka ialah Yahya bin Zakariyya' (m. 315H) dan

Muhammad bin Sa'dun (m. 347H). Kitab ini boleh didapati

dalam koleksi maktabah tafsir hari ini, hasil usaha seorang

tokoh ulama terkemuka Muhammad bin Ya'qub al-Fayruz

Abadiyy dengan nama Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn

'Abbas.


 

2. al-Tafsir al-Mansub ila al-Hasan al-Basriyy (m. 110H)

Tafsir ini juga telah sampai dan dipelajari di Andalusia

pada awal kurun ke-3H melalui beberapa ulama yang telah

mempelajari dan meriwayatkan kitab ini dari guru-guru

mereka menerusi rihlah 'ilmiyyah mereka di pusat-pusat

pengajian Islam di sebelah timur ketika itu. Antara mereka

ialah Khalil bin 'Abd al-Malik dan Yahya bin Yahya (m.

237H), kedua-dua mereka berasal dari Qurtubah.


 

3. Tafsir 'Abd al-Rahman bin Zayd Aslam (m. 182H)

Telah dibawa masuk ke Andalusia oleh Yahya bin 'Abd

Allah al-Laythiyy (m. 234H), seorang ulama dari Qurtubah.

Beliau telah mengajarkan kitab ini kepada ramai pelajarnya

di Andalusia.


 

4. Tafsir 'Abd al-Razzaq al-San'aniyy (m. 211H)

Tafsir ini telah dipelajari di Andalusia melalui beberapa ulama

yang telah mempelajari dan meriwayatkannya dari ulama di

Gaza, Bayt al-Maqdis. Antara mereka ialah Tamam bin 'Abd

Allah al-Ma'afiriyy (m. 477H) dan Hisham bin Yahya al-

Batlimus (m. 380H).


 

5. Tafsir Abi 'Abd al-Qasim bin Sallam (m. 224H)

Tafsir ini juga dipercayai telah dipelajari secara meluas di

Andalusia pada kurun ke-3H dan ke-4H. Walaupun tiada fakta

jelas mengenai tokoh ulama yang membawa masuk kitab ini

ke Andalusia, namun kewujudan dua ringkasan dari tafsir ini

hasil karya dua tokoh ulama dari Andalusia membuktikan

kebenaran andaian ini. Dua ringkasan yang dimaksudkan itu

ialah Mukhtasar Tafsir Ibn Sallam oleh Muhammad bin 'Abd

Allah al-Qurtubiyy (m. 399H) dan Mukhtasar al-Qur'an li

Ibn Sallam oleh 'Abd al-Rahman al-Tanazughiyy (m. 310).


 

6. Tafsir Ibn Jarir al-Tabariyy (m. 310H)


 

Tafsir ini merupakan rujukan asas paling besar pengaruhnya

dalam sejarah perkembangan pengajian dan penulisan tafsir

di Andalusia. Kebanyakan ulama terkenal dalam bidang tafsir

dan 'ulum al-Qur'an mempelajari, meriwayat dan mengajar

kitab ini seperti yang dapat dilihat dalam biografi mereka.

Selain itu, kitab ini juga telah mendapat perhatian khusus para

ulama dalam menghasilkan karya penulisan mereka terutama

dalam bentuk ringkasan. Antara penulis yang meringkaskan

kitab ini ialah: Abu Bakr Ahmad bin 'Abd Allah (m. 333H)

dari Qurtubah, Muhammad bin Ahmad al-Nahwiyy (m. 490H)

dari Miryah dan Ibn Samadih al-Tajibiyy (m. 419H) dan lainlain.

Perbezaan hanya 22 tahun pada tarikh meninggal dunia

al-Tabariyy dan Abu Bakr yang meringkaskan tafsirnya

membuktikan betapa kitab ini telah mendapat perhatian yang

begitu awal di Andalusia. 13


 


 

13 Lihat: Al-Kanuniyy (1401H/1981), Al-Madrasah al-Qur'aniyyah fi al-

Maghrib min al-Fath al-Islamiyy ila Ibn 'Atiyyah. Rabat: Maktabah al-

Ma'arif, h. 129- 133.


 


 


 

Tokoh-tokoh Utama Ilmu Tafsir di Andalusia

Sejarah perkembangan ilmu tafsir membuktikan betapa tokoh ilmuan

dari Tamadun Andalusia yang hilang telah memainkan peranan penting

dan memberikan sumbangan besar yang tidak akan luput dari lipatan

sejarah kegemilangan Tamadun Islam umumnya. Antara tokoh terbilang

yang dapat diketengahkan melalui kertas kerja ringkas ini ialah:


 

1. Baqiyy bin Makhlad al-Qurtubiyy al-Andalusiyy (201-

276H)


 

Seorang ulama, imam dan mujtahid yang terkenal dengan

keluasan ilmunya dalam bidang tafsir dan hadith. Latar

belakang pendidikannya dipenuhi dengan banyak rihlah

'ilmiyyah. Antara pusat-pusat pengajian yang beliau lawati

untuk berguru dengan para ilmuan terkenal di zamannya

ialah Hijaz, Mesir, Damsyiq, Baghdad dan Kufah. Antara

tokoh terbilang yang tersenarai dalam barisan guru-gurunya

ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Bakr bin Abi

Shaybah. Hasilnya beliau telah muncul sebagai salah seorang

tokoh ulama tersohor yang turut diperakui oleh para ulama

zamannya.14


 

Beliau telah menghasilkan banyak karya bermutu yang

menjadi rujukan para ilmuan dalam pengajian, pengajaran

dan penulisan mereka, semenjak hayatnya lagi. Walau

bagaimanapun kebanyakan kitabnya telah hilang dan lupus

setelah kematiannya. Namun, nukilan-nukilan dari karyanya

serta maklumat-maklumat mengenai kitab-kitab yang beliau

hasilkan masih kekal tercatat dalam berbagai sumber rujukan.

Antara kitab penting beliau yang sering mendapat sanjungan

dan ulasan para ulama selepasnya ialah kitab tafsir yang beliau

hasilkan. Ibn Hazm al-Zahiriyy berpendapat bahawa kitab

tafsir karangan Baqiyy bin Makhlad ini merupakan sebuah

kitab tafsir yang tidak pernah ditulis seumpamanya dalam

sejarah Islam. Tiada kitab tafsir lain yang boleh menandingi


 

14 Lihat biografi hidupnya dalam: al-Adnahwiyy, Ahmad bin Muhammad

(1997), Tabaqat al-Mufassirin. Tah. al-Khazziyy, Sulayman bin Salih. Al-

Madinah al-Munawwarah: Maktabah al-'Ulum wa al-Hikam, h. 36-38.


 


 

kehebatannya termasuk tafsir Ibn Jarir al-Tabariyy sendiri15

yang dianggap sebagai kitab tafsir terbaik oleh para ulama

tafsir.16 Justeru, tidak hairanlah jika beliau dianggap sebagai

pengasas ilmu tafsir dalam erti katanya yang sebenar di

Andalusia.17 Pendapat yang kuat mengatakan bahawa kitab ini

menggunakan metod riwayat dalam mentafsirkan ayat-ayat

al-Qur'an. Menurut fakta sejarah, kitab ini telah diringkaskan

oleh 'Abd Allah bin 'Abd al-Malik (m. 318H).18


 


 

2. Abu Bakr Muhammad bin 'Abd Allah al-Ma'afiriyy al-

Andalusiyy al-Ishbiliyy (468-543H)


 

Beliau turut dikenali sebagai Ibn al-'Arabiyy al-Malikiyy.

Dilahirkan di Ishbilia (Sevilla) dan mendapat pendidikan

awal di wilayahnya sehingga beliau pakar dalam ilmu Qira'at.

Seterusnya beliau berhijrah ke Qurtubah seterusnya ke pusatpusat

pengajian terkenal di sebelah timur dan berguru dengan

ramai tokoh ulama terkemuka di sana termasuk al-Imam al-

Ghazaliy. Beliau diakui sebagai salah seorang tokoh mujtahid

dan salah seorang yang mempunyai sanad yang tinggi dalam

periwayatan hadis di Andalusia. Setelah itu, beliau kembali

ke wilayah asalnya dan dilantik sebagai qadi dan seterusnya

beliau berpindah ke Qurtubah.19


 

Antara karya penting beliau dalam ilmu tafsir ialah Ahkam

al-Qur'an yang dianggap sebagai rujukan penting sehingga

ke hari ini dalam bidang pentafsiran ayat-ayat hukum


 

15 Lihat:al-Mishniy (1406H/1986), Madrasat al-Tafsir fi al-Andalus. Beirut:

Muassasah al-Risalah, h. 83-85.

16 Al-Suyutiyy, 'Abd al-Rahman bin Abu Bakr (1416H/1996), al-Itqan fi

'Ulum al-Qur'an, jil. 2, juz. 4. Beirut: Dar al-Fikr, h. 472.

17 Abu Sa'd, 'Abd al-Salam (1995), Rihlat al-Tafsir fi al-Andalus min al-

Fath al-Islamiyy ila 'Asr Ibn 'Atiyyah. Majallat Kulliyat al-Da'wah al-

Islamiyyah, bil. 12. Tripoli: Kulliyat al-Da'wah al-Islamiyyah, h. 175.

18 Lihat: Al-Kanuniyy (1401H/1981), Al-Madrasah al-Qur'aniyyah fi al-

Maghrib min al-Fath al-Islamiyy ila Ibn 'Atiyyah. Rabat: Maktabah al-

Ma'arif, h. 153.

19 Lihat biografi hidupnya dalam: al-Adnahwiyy (1997), op.cit., h. 180


 


 

dan al-Qanun fi al-Ta'wil yang merupakan sebuah kitab

dalam kategori Usul al-Tafsir.20 Tafsir Ahkam al-Qur'an ini

merupakan antara rujukan penting al-Imam al-Qurtubiyy

dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Qur'an.21 Antara

keistimewaan kitab ini berbanding kitab-kitab tafsir ayat

hukum lain dalam kategorinya ialah Ibn al-'Arabiyy telah

memperluaskan skop ayat-ayat hukum daripada 500 ayat

seperti yang perakui oleh sebahagian besar ulama kepada

827 ayat. Perluasan skop ini menunjukkan keluasan ilmu

serta kemahiran tinggi Ibn al-'Arabiyy dalam selok belok

ilmu tafsir dan hukum hakam, sehingga membolehkan beliau

berijtihad mengeluarkan hukum daripada ayat-ayat yang pada

zahirnya berbentuk kisah tauladan, nasihat atau peringatan

dan lain-lain, tetapi tersirat di sebaliknya petunjuk-petunjuk

mengenai hukum.22


 


 

3. 'Abd al-Haqq bin Ghalib bin 'Atiyyah al-Andalusiyy al-

Gharnatiyy al-Malikiyy (480-546H)


 

Beliau dilahirkan di Gharnatah (Grenada) dan mendapat

pendidikan awal di sana terutama dari bapanya sendiri

yang merupakan seorang ulama bergelar al-Hafiz dan

bertugas sebagai qadi di wilayah tersebut. Ibn 'Atiyyah

telah menunjukkan kewibawaannya dalam menguasai ilmu

semenjak dari usia remajanya lagi.23 Satu keistimewaan

pada latar belakang pendidikan tokoh ini berbanding dengan

tokoh-tokoh lain ialah sumber ilmunya atau guru-gurunya

adalah terdiri dari kalangan ulama Andalusia. Semua rihlah

'ilmiyyahnya hanya berkisar dalam ruang lingkup wilayahwilayah

di bawah naungan Tamadun Andalusia. Tiada


 


 

20 al-Mishniy (1406H/1986), op.cit., h. 89-91.

21 al-Ja'far, Musa'id Muslim & al-Sarhan, Muhyi Hilal (1980), Manahij al-

Mufassirin. Baghdad: Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan

Ilmiah, h. 152.

22 Ibid., h. 150.

23 Lihat biografi hidupnya dalam: al-Adnahwiyy (1997), Tabaqat al-

Mufassirin. al-Madinah al-Munawwarah: Maktabah al'Ulum wa al-

Hikam, h. 175-177.


 


 

sumber menunjukkan beliau telah keluar dari jajahan takluk

Andalusia.24 Sedangkan dalam masa yang sama maklumat

menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang

pakar dalam berbagai bidang ilmu terutamanya dalam bidang

tafsir, hadith, bahasa Arab dan kesusasteraannya, fiqh dan

lain-lain.25 Fakta ini membuktikan kegemilangan Tamadun

Andalusia sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang holistik

dan mampu melahirkan ilmuan terbilang secara tersendiri,

hasil jerit perih para ulama awalnya yang berkorban tenaga

dan usia demi untuk membawa masuk ilmu serta pengalaman

perjalanan pengurusan pusat-pusat kecemerlangan ilmu lain

dari segenap pelusuk wilayah Islam.


 

Dalam bidang tafsir, Abu Hayyan menyifatkan

Ibn 'Atiyyah sebagai seorang pengarang tafsir paling

berwibawa dan sebaik-baik tokoh yang berjaya membuat

penyaringan terhadap karya-karya tafsir.26 al-Suyutiyy pula

menyifatkannya sebagai seorang Imam Besar yang menjadi

ikutan para mufassir.27 Ibn Khaldun dalam Muqaddimahnya

menegaskan bahawa kitab tafsir terkenalnya al-Muharrar al-

Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz merupakan sebuah kitab tafsir

yang tinggi mutunya dikalangan ahli tafsir dan ia merupakan

sebuah ringkasan dari koleksi karya tafsir ulama terdahulu

yang telah disaring dengan penuh teliti dan kritis oleh

pengarangnya.28 Hakikat ini turut dipersetujui oleh al-Suyutiyy

yang menyifatkan tafsir ini sebagai saksi dan bukti kepada

kehebatan dan ketinggian ilmu Ibn 'Atiyyah yang seterusnya


 

24 Lihat: al-Mishniy (1406H/1986), Madrasat al-Tafsir fi al-Andalus. Beirut:

Muassasah al-Risalah, h. 92-94.

25 Al-Adnahwiyy (1997), op.cit, h. 175-177

26 Abu Hayyan, Muhammad bin Yusuf al-Andalusiyy (1413H/1993), Tafsir

al-Bahr al-Muhit. Tah. 'Adil Ahmad 'Abd al-Mawjud et al., jil. 1. Beirut:

Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, h. 112 dan 176.

27 al-Suyutiyy, 'Abd al-Rahman bin Abu Bakr (1396H), Tabaqat al-

Mufassirin. Tah. 'Aliyy Muhammad 'Umar. Kaherah: Maktabah Wahbah,

h. 60.

28 Lihat: Ibn Khaldun (1984), al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Qalam, h.

440.


 


 

melonjakkan beliau sebagai seorang tokoh terbilang dalam

ilmu tafsir dan bahasa Arab.29 Kehebatan tafsir ini menarik

perhatian pengkaji untuk membandingkannya dengan sebuah

tafsir besar lain dari sebelah timur wilayah Islam iaitu tafsir

al-Zamakhshariyy yang terkenal dengan kehalusan serta

ketinggian perbahasannya dalam aspek bahasa dan sastera.30

Hasil perbandingan mendapati kedua-dua tafsir ini

mempunyai kekuatan dan kehebatan yang tersendiri. Dalam

beberapa aspek Ibn 'Atiyyah lebih baik dari al-Zamakhshariyy

dan dalam beberapa aspek lain pula al-Zamakhshariyy

lebih baik dari Ibn 'Atiyyah.31 Ibn Taimiyyah adalah salah

seorang tokoh yang membandingkan kedua-dua tafsir ini

dan berpendapat bahawa tafsir Ibn 'Atiyyah lebih baik dari

sudut kesahihan riwayat yang dinukilkan serta perbahasan

yang dibentangkan berbanding tafsir al-Zamakhshariyy.32

Kesimpulan dari perbandingan-perbandingan yang dibuat

oleh para ulama tersebar dikalangan para ilmuan sejak

berkurun lama sehingga menjadi seolah-olah satu bidalan

kata-kata berikut: "Ibn 'Atiyyah Ajma' wa Akhlas, wa al-

Zamakhshariyy Alkhas wa Aghwas"33 (Ibn 'Atiyyah lebih

menyeluruh dari sudut riwayat dan lebih tepat dari sudut

perbahasan, manakala al-Zamakhshariyy pula lebih ringkas

perbahasannya dan lebih mendalam huraiannya.)


 


 

4. Muhammad bin Ahmad al-Ansariyy al-Khazrajiyy al-

Qurtubiyy (m. 671H)


 

Tiada fakta kukuh menunjukkan tarikh sebenar beliau

dilahirkan. Beliau merupakan salah seorang tokoh ulama

Andalusia yang terkenal dengan ketinggian ilmu serta

keluhuran budi dan akhlak. Beliau pakar dalam berbagai


 


 

29 al-Mishniy (1406H/1986), op.cit., h. 95.

30 Lihat: Ibn 'Ashur, Muhammad al-Fadil (1390H/1970), al-Tafsir wa

Rijaluh. Beirut: al-Maktabah al-'Asriyyah. h. 58-59.

31 Ibid., h. 60-64.

32 Lihat: al-Dhahabiyy, Muhammad Husayn (1416H/1995), al-Tafsir wa al-

Mufassirun, jil. 1. Kaherah: Maktabah Wahbah, h. 250.

33 Ibn 'Ashur (1390H/1970), op.cit., h. 58-59.


 


 


 

bidang ilmu termasuk tafsir, hadith, fiqh, akidah, akhlak dan

bahasa Arab.34


 

Antara karya ulung beliau yang sehingga kini menjadi

rujukan penting dalam bidangnya ialah kitab tafsir

bertajuk al-Jami' li Ahkam al-Qur'an wa al-Mubayyin lima

Tadammanah min al-Sunnah wa Ay al-Furqan. Kitab ini

merupakan antara kitab besar dan penting dalam ilmu tafsir

terutama sekali dalam konteks pentafsiran ayat-ayat hukum.

Antara keistimewaan tafsir ini yang menjadikannya sebagai

salah satu rujukan tertinggi dalam kategorinya sehingga ke

hari ini ialah ketidak taksuban pengarang kepada mazhab

yang dipegang, sebaliknya beliau mengkaji setiap hukum

dalam sesuatu ayat mengikut dalil dari al-Qur'an dan sunnah

serta kaedah ijtihad para ulama secara rasional dan bebas.

Malah seringkali beliau mempertahankan pendapat ulama

dari mazhab lain yang menjadi sasaran kritikan para ulama

Mazhab Maliki seperti Ibn al-'Arabiyy sendiri35 yang menjadi

salah satu rujukan pentingnya dalam tafsir ini.36


 

Justeru, tidak hairanlah ramai para ulama dan pengkaji yang

memuji kitab ini. Antaranya Ibn Farhun yang menyifatkan

tafsir ini sebagai antara kitab tafsir yang terbaik dan yang

paling besar faedahnya kepada umat Islam.37 Manakala al-

Dhahabiyy yang menukilkan pandangan Ibn Farhun turut

menyimpulkan ulasannya mengenai tafsir al-Qurtubiyy

dengan menyifatkan al-Qurtubiyy sebagai seorang yang

bebas dalam kajiannya, bersih dalam kritikannya, beradab

dalam perbahasan dan perdebatannya, mahir dalam segenap

aspek ilmu tafsir dan pakar dalam setiap bidang yang diulas

dalam tafsirannya.38


 

34 Lihat biografi hidupnya dalam: al-Adnahwiyy (1997), Tabaqat al-

Mufassirin. al-Madinah al-Munawwarah: Maktabah al'Ulum wa al-

Hikam, h. 246-247.

35 Lihat: al-Dhahabiyy (1416H/1995), al-Tafsir wa al-Mufassirun, jil. 2.

Kaherah: Maktabah Wahbah, h. 499-501.

36 Lihat: al-Mishniy (1406H/1986). Madrasat al-Tafsir fi al-Andalus. Beirut:

Muassasah al-al-Risalah, h. 98-101.

37 al-Dhahabiyy (1416H/1995), op.cit., h. 494.


 


 

5. Muhammad bin Yusuf Abu Hayyan al-Gharnatiyy al-

Andalusiyy (654-745H)


 

Beliau dilahirkan di wilayah Gharnatah (Grenada) dan

mendapat pendidikan awal dari para guru dan ulama di

sekitar wilayah ini. Beliau kemudiannya melakukan rihlah

'ilmiyyah ke pusat-pusat ilmu di al-Maghrib al-'Arabiyy iaitu

wilayah-wilayah Arab di Utara Benua Afrika. Seterusnya

beliau beralih ke Mesir dan berguru dengan para ulama di

sana sehingga beliau pakar dalam ilmu nahu. Selain itu,

beliau turut mempelajari ilmu hadith dari para ulama Mesir

di Kaherah dan Iskandariyyah.39


 

Para ulama sepakat menyatakan bahawa Abu Hayyan

merupakan seorang yang paling pakar di zamannya dalam

bidang nahu, tafsir, kesusasteraan Arab, hadith dan qiraat.40

Beliau terkenal dengan jolokan Shaykh al-Nuhat (penghulu

ahli nahu) dan Sibawayh al-Zaman kerana kepakarannya

dalam bahasa Arab terutama nahu.41 Beliau telah menghasilkan

berbagai karya penting dalam bidang kepakarannya. Dalam

bidang tafsir, kitabnya yang terkenal dan menjadi antara

rujukan utama ilmu ini sehingga ke hari ini ialah al-Bahr

al-Muhit fi Tafsir al-Qur'an al-Karim. Kitab ini terkenal

dengan keluasan serta ketelitian perbahasannya dalam hal

ehwal berkaitan nahu dan bahasa Arab. Beliau bukan sekadar

menghuraikan pandangannya mengenai kedudukan sesuatu

ayat atau kalimah al-Qur'an dari sudut nahu dan bahasa

Arab, malah turut menghuraikan perselisihan pendapat

berbagai mazhab ahli bahasa dan membuat perbandingan dan

pentarjihan dalam perbincangannya mengenai perkara ini,

sehinggakan al-Dhahabiyy menyatakan tafsir ini sebagai lebih

hampir kepada kitab nahu daripada kitab tafsir itu sendiri.

Walau bagaimanapun, perbahasan-perbahasan lain mengenai


 

38 Ibid., h. 501.

39 al-Adnahwiyy (1997), op.cit., h. 278-280.

40 al-Mishniy (1406H/1986), op.cit., h. 104.

41 al-Adnahwiyy (1997), op.cit., h. 279-280.


 


 

ayat tetap tidak diabaikan di dalam kitab ini termasuk

permasalahan-permasalahan berkaitan asbab al-nuzul,

qira'at, nasikh mansukh, hukum hakam dan sebagainya.42

Kitab al-Bahr al-Muhit fi Tafsir al-Qur'an al-Karim

merupakan sebuah karya tafsir yang istimewa kerana ia

mengadunkan pentafsiran ayat-ayat al-Qur'an dengan

ketinggian bahasa Arab, keindahan qiraat, kepelbagaian

cabang ilmu Islam, kebenaran fakta sejarah dan kisah-kisah

silam dalam al-Qur'an, kebesaran al-Qur'an dalam meneroka

ilmu-ilmu baru, serta keluasan pengalaman pengarangnya

dalam memahami serta menghayati ayat-ayat al-Qur'an.43


 


 

Pengaruh Tokoh-tokoh Tafsir Andalusia Dalam Penulisan Tafsir


 

Para mufassir Andalusia telah meninggalkan kesan yang besar dalam

sejarah perkembangan pengajian dan penulisan tafsir umumnya. Ramai

tokoh mufassir yang muncul semasa dan selepas era kegemilangan

Tamadun Andalusia telah menjadikan karya-karya para mufassir

Andalusia sebagai rujukan penting dalam penulisan dan pengajian

tafsir mereka. Antara tokoh besar ilmu tafsir yang banyak merujuk

kepada kitab-kitab tafsir dari Andalusia dalam karya agung mereka

ialah al-Imam Ibn Kathir (m. 774H) dalam kitabnya Tafsir al-Qur'an

al-'Azim yang banyak merujuk kepada tafsir al-Qurtubiyy, al-Imam

al-Alusiyy (m. 1270H) dalam kitabnya Ruh al-Ma'aniy fi Tafsir al-

Qur'an al-'Azim wa al-Sab' al-Mathaniy yang banyak merujuk kepada

tafsir Ibn 'Atiyyah dan Abu Hayyan.44 Walau bagaimanapun, pengaruh

tafsir Andalusia dalam karya kedua-dua tokoh terbilang ini kurang

terserlah berbanding rujukan-rujukan lain yang lebih menonjol dalam

kebanyakan perbahasan yang mereka kemukakan.


 

Namun, dalam sesetengah karya lain, pengaruh tafsir ulama

Andalusia amat jelas kelihatan berbanding pengaruh ulama tafsir dari

wilayah lain. Antaranya ialah dalam hasil karya tokoh-tokoh tafsir yang


 


 

42 al-Dhahabiyy (1416H/1995), op.cit., jil. 1. h. 326.

43 Lihat: Al Jaafar & al-Sarhan (1980), Manahij al-Mufassirin. Baghdad:

Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Ilmiah, h. 131-133.

44 ihat: al-Mishniy (1406H/1986), op.cit., h. 856.


 


 

muncul di era moden dan pra moden. Mereka menjadikan kitab-kitab

tafsir tersohor dari Andalusia sebagai rujukan utama dalam penulisan

tafsir. Antara mereka ialah:


 


 


 


 

  1. al-Shaykh Sulayman bin 'Umar al-'Ujayliyy (m. 1204H)


 

yang terkenal dengan gelaran al-Jamal menerusi tafsirnya

al-Futuhat al-Ilahiyyah bi Tawdih Tafsir al-Jalalayn li al-

Daqa'iq al-Khafiyyah. Beliau banyak merujuk kepada karyakarya

tafsir ulama Andalusia umumnya mengikut bidang

perbahasan yang beliau kemukakan dalam tafsirnya. Dalam

aspek pentafsiran ayat-ayat hukum beliau banyak merujuk

kepada Ahkam al-Qur'an karya Ibn al-'Arabiyy dan al-Jami'

li Ahkam al-Qur'an karangan al-Qurtubiyy. Dalam aspek

bahasa, beliau banyak merujuk kepada al-Muharrar al-

Wajiz karangan Ibn 'Atiyyah. Manakala dalam perbahasanperbahasan

berkaitan i'rab dan Ma'aniy (ilmu nahu dan

balaghah) dalam ayat-ayat al-Qur'an beliau banyak merujuk

kepada kepakaran Abu Hayyan menerusi kitabnya al-Bahr al-

Muhit.45


 


 

  1. al-Imam Muhammad bin 'Aliyy al-Shawkaniyy (m. 1250H)


     

menerusi tafsirnya Fath al-Qadir al-Jami' bayn Fannay al-

Riwayah wa al-Dirayah min 'Ilm al-Tafsir. Beliau banyak

merujuk kepada Ibn al-'Arabiyy ketika membincangkan

permasalahan-permasalahan berkaitan hukum dalam sesuatu

ayat. Dalam aspek-aspek berkaitan bahasa, al-Shawkaniyy

banyak merujuk dan menerima pakai pandangan-pandangan

yang dikemukakan oleh Ibn 'Atiyyah dalam al-Muharrar

al-Wajiz. Selain itu, al-Qurtubiyy merupakan tokoh mufassir

besar Andalusia yang paling banyak menjadi rujukan al-

Shawkaniyy dalam kebanyakan perbahasannya. Bermula

dari penentuan kedudukan sesuatu surah dari sudut Makkiyy

dan Madaniyynya, pemilihan makna sesuatu kalimah dari

sudut bahasa dan kesusateraan Arab, penjelasan riwayatriwayat

berkaitan tafsiran ayat, penilaian pendapat mengenai

hukum-hukum di dalam ayat sehinggalah kepada perbahasan- perbahasan lain berkaitan 'Ulum al-Qur'an dan sebagainya.46


 


 

45 Ibid., h. 857-862.


 


 

  1. Muhammad Jamal al-Din al-Qasimiyy (m. 1332H)


     

menerusi tafsir terkenalnya Mahasin al-Ta'wil. Al-Qasimiyy

banyak merujuk kepada Ibn al-'Arabiyy terutama dalam

perbahasan-perbahasan mengenai hukum lebih-lebih lagi

jika beliau ingin meninjau pandangan Mazhab Maliki dalam

sesuatu masalah hukum. Beliau juga banyak merujuk kepada

tafsir Ibn 'Atiyyah bukan sahaja dalam aspek perbahasan

makna kalimah dari sudut bahasa, bahkan juga dalam aspekaspek

lain seperti akidah dan fiqh. Seperti al-Shawkaniyy, al-

Qasimiyy turut menjadikan tafsir al-Qurtubiyy sebagai salah

satu rujukan penting beliau dalam tafsirnya. Beliau banyak

merujuk kepada al-Qurtubiyy dalam berbagai aspek terutama

sekali dalam perbahasan-perbahasan mengenai hukum,

huraian makna kalimah atau ayat dan sebagainya.47


 


 

  1. Muhammad bin al-Amin al-Shanqitiyy (m. 1395)


     

Menerusi kitabnya Adwa' al-Bayan fi Idah al-Qur'an bi al-Qur'an. Al-

Shanqitiyy telah menjadikan ramai tokoh tafsir Andalusia

sebagai sebahagian dari rujukan penting beliau dalam

tafsirnya. Antara tokoh-tokoh penting ini ialah Ibn al-'Arabiyy

dan al-Qurtubiyy dalam aspek-aspek berkaitan hukum dalam

ayat yang ditafsirkan. Beliau banyak menyokong pandangan

serta hujah yang dikemukakan oleh Ibn al-'Arabiyy dalam

membincangkan sesuatu hukum. Beliau turut menerima

dan menyokong pandangan-pandangan yang dikemukakan

oleh al-Qurtubiyy dalam tafsirnya. Selain itu, beliau turut

memberikan ulasan dan pandangan peribadinya terhadap apa

yang dinukilkan daripada ulama ini sama ada dalam aspek

hukum mahupun qira'at atau lain-lain perbahasan. Dalam

perbahasan-perbahasannya mengenai nahu, i'rab, saraf dan

lain-lain isu mengenai bahasa, beliau banyak merujuk kepada

Abu Hayyan yang terkenal dengan kepakarannya dalam

bidang ini.48


 


 

46 Lihat: Ibid. hlm. 862-867.

47 Lihat: Ibid. hlm. 868-872.

48 Lihat: Ibid. hlm. 872-879.


 


 

Penutup


 

Tamadun Andalusia bangkit hasil dari kesungguhan dan usaha

berpanjangan dari generasi awal umat Islam dalam menunaikan

tuntutan al-Qur'an dan al-Sunnah supaya cahaya hidayah dari Allah

s.w.t. yang terkandung di sebalik ayat-ayat al-Qur'an disebarluaskan

kepada seluruh makhluk Allah di muka bumi. Sesungguhnya mereka

telah menunaikan sebahagian dari tanggungjawab mereka sebagai

khalifah Allah yang sebenar. Mereka bukan hanya khusyuk di tikar

sembahyang, malah gagah meneroka alam agar semua makhluk tunduk

dan patuh kepada ajaran Allah yang satu.


 

Sebagaimana ketekunan mereka menunaikan tuntutan al-Qur'an

telah membawa mereka menjana kegemilangan Tamadun Andalusia,

begitulah sebaliknya kegemilangan tamadun yang mereka bina telah

menjulang pengajian al-Qur'an ke kemuncak persada dunia pendidikan

dan pemikiran. Andalusia muncul sebagai kiblat ilmu yang terkemuka

dalam berbagai bidang pengajian. Ia pernah menjadi pusat pengajian

ilmu qiraat bagi dunia Islam untuk sekian lama. Para ulamanya

memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan pengajian

dan penulisan tafsir. Karya tafsir tokoh mufassirnya adalah antara yang

terawal muncul dan mutunya pula setanding atau dari sesetengah sudut

lebih baik dari karya ulung bidang ini sendiri, seperti yang diakui oleh

para ilmuan.


 

Walaupun ramai tokoh mufassir Andalusia telah melakukan rihlah

'ilmiyyah ke sebelah timur wilayah Islam dan utara wilayah Islam di

benua Afrika untuk berguru dengan para ilmuan tersohornya, namun

kepakaran yang ada dalam Tamadun Andalusia sendiri sebenarnya

lebih dari mencukupi untuk melahirkan mufassir terbilang. Walau

bagaimanapun, rihlah 'ilmiyyah tetap penting dalam meneruskan

tradisi keilmuan generasi salaf. Selain itu, ia turut menyemarakkan lagi

gerakan penyebaran dan pengembangan ilmu ini di peringkat global

dan mewujudkan jaringan kepakaran dalam berbagai aspek berkaitan

yang kesannya dapat dirasai sehingga ke hari ini. Justeru, budaya rihlah

'ilmiyyah ini tetap subur dalam setiap tamadun yang dibina oleh umat

Islam dan ia terbukti menjadi sebahagian dari kriteria penting dalam

menilai kewibawaan seseorang ilmuan atau sesebuah institusi ilmu

sehingga ke hari ini.


 


 

Karya-karya tafsir sumbangan para mufassir Andalusia telah

meninggalkan kesan yang mendalam dalam sejarah perkambangan ilmu

ini. Hasilnya, sehingga ke hari ini karya-karya ini bukan sahaja menjadi

rujukan dan sandaran para pakar dalam bidang, malah turut menjadi

bahan kajian bagi meningkatkan tahap kepakaran dan keilmuan dalam

pengkhususan di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia

hari ini. Selain itu, sumber-sumber ini turut menjadi rujukan penting

dalam bidang lain seperti bahasa Arab dan kesusasteraannya, fiqh,

akidah, akhlak dan sebagainya. Justeru, kehilangan Tamadun Andalusia

patut ditangisi oleh setiap pencinta ilmu dan pejuang kebenaran dan

kebebasan kerana kejatuhannya terbukti amat merugikan bukan sahaja

umat Islam malah alam jagat seluruhnya.

Tiada ulasan: