DONATE

Ahad, 27 Julai 2008

KONSEP HARTA PUSAKA



2.1 DEFINISI HARTA PUSAKA MENURUT ISLAM

Pusaka atau al-mirath dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqa’ (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mirath pada makna ism maf’ul (اسم المفعول) pula bermaksud asal atau baki . Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris disebabkab kematian pewaris . Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mirath pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup, sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindah, harta yang tidak boleh dipindah, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyar dalam jual beli, hak syuf’ah, dan hak qisas).

Menurut istilah ilmu faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa, al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati . Manakala definisi al-tarikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha’ mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris .

Mengikut mazhab hanafi pula telah mendefinisikan al-tarikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta termasuklah harta alih dan harta tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tarikah ialah segala harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tarikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.

Menurut Imam Ramli iaitu ulama mazhab Syafi’I di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj telah mendefinisikan harta pusaka sebagai “apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya di masa hidupnya”.

2.1.1 Pensyariatan Pusaka Di Dalam Islam
Pensyariatan pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam adalah terkandung di dalam Al-Quran. Ia dapat dilihat di dalam surah an-Nisa’ ayat 11, 12, 176 yang dikenali sebagai ayat al-mawarith. Ketiga-tiga ayat tersebut telah menjelaskan secara terperinci (yang juga merupakan ayat mufassal) tentang pusaka di dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian-bahagian mereka, dan sebab perwarisan. Contohnya firman Allah di dalam ayat 11, 12, 176 surah an-Nisa’ iaitu:


Maksudnya:
Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati. dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta Yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang Yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat Yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya Yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Maksudnya:
Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. jika Isteri-isterimu itu mempunyai anak, Maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) seduah dibayar hutangnya. para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. jika kamu mempunyai anak, Maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. jika seseorang mati, baik laki-laki maupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara laki-laki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), Maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. tetapi jika Saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, Maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris) . (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari'at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Penyantun.


Maksudnya:
Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang masalah kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, Maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, Maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) Saudara-saudara laki dan perempuan, Maka bahagian seorang saudara laki-laki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu .

Menurut Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid telah memberikan pendapat bahawa hukum asal dalam sistem faraid adalah seperti apa yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa’ ayat 12. Menurut Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Harussani bin Zakaria juga menegaskan bahawa pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid adalah satu keutamaan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah qat’i. Malahan pula menurut Syeikh Mahmud bin Ahmad dalam bukunya Economic of Islam menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka yang ditetapkan Allah adalah adil yang mana dapat membantu ekonomi Islam.

Di samping itu, terdapat beberapa ayat lain yang menjelaskan tentang pensyariatan pusaka, tetapi tidak menyatakan secara terperinci dan berbentuk umum (yang dikenali sebagai ayat mujmal) . Antaranya ialah firman Allah Taala yang berbunyi:

Maksudnya:
Dan orang-orang yang beriman sesudah itu Kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu Maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Maksudnya:
Bagi orang laki-laki ada hak bagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.

Selain daripada nas-nas Al-Quran di atas, terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan tentang waris-waris dan bahagian masing-masing, antaranya hadis daripada Abdullah Ibnu Mas’ud, Rasulullah S.A.W bersabda:

للإبنة النصف ولإبنة الإبن السدس وما بقي فللأخت

Maksudnya:
“Bagi seorang anak perempuan 1/2 , seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 dan baki (asabah) itu untuk seorang saudara perempuan”
Hadis yang daripada Abdullah Ibnu Abbas, sabda Rasulullah S.A.W:

ألحقوا الفرائض بأهلهما فما بقي فهو لأولى رجل ذكر

Maksudnya:
“Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang lebih utama”

Di samping itu juga, ijma’ ulama saling bersepakat mengenai pensyariatan pusaka. Jika terdapat masalah pembahagian pusaka yang tidak jelas di dalam Al-Quran dan As-sunnah, maka ia akan dapat diselesaikan melalui ijma’ ulama dan ijtihad mereka. Contohnya seperti tentang kedudukan saudara-saudara yang mewarisi bersama datuk. Hal ini tidak dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-sunnah. Oleh itu, kebanyakan sahabat-sahabat dan imam-imam mazhab berpendapat saudara-saudara itu mendapat pusaka secara muqasamah (bersama-sama mewarisi) dengan datuk. Ini adalah mengikut pendapat Zaid bin Thabit, Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, dan Ibnu Mas’ud. Pendapat tersebut diikuti oleh Imam Malik, Al-Auza’I, Abu Yusuf, As-syafi’I, dan Ahmad bin Hanbal.

Terdapat juga ulama yang sepakat mengatakan bahawa anak lelaki kepada anak lelaki (cucu lelaki) adalah seperti anak lelaki tatkala ketiadaan ayahnya (anak lelaki) dan anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) seperti anak perempuan ketika ketiadaannya.

2.2 DEFINISI HARTA PUSAKA MENURUT SIVIL

Definisi Harta Pusaka menurut undang-undang sivil pula adalah seperti berikut iaitu menurut kamus Osborn’s Concise Law Dictionary telah menyatakan bahawa definisi harta pusaka ialah harta yang mana telah diperturunkan atau diwariskan daripada seseorang kepada pewarisnya.

Menurut Elizabeth A. Martin di dalam kamusnya A Dictionary of Law telah mendefinisi harta pusaka sebagai penyerahan harta oleh pemunya harta ketika sampai ajalnya kepada pewarisnya. Tatkala waktu itu, pemilik harta melengkapkan wasiatnya atau mengikut peraturan yang berkaitan dengan pusaka tanpa wasiat untuk ditadbirkan.

Menurut seksyen 2 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 di dalam tafsirannya telah mendefinisikan “harta” bermaksud meliputi sesuatu benda dalam tindakan dan apa-apa kepentingan dalam harta alih dan harta tak alih. Manakala maksud “harta pusaka” menurut seksyen berkenaan beerti semua harta yang jika seseorang mati tak berwasiat akan terletak hak pada Hakim Besar.

Menurut pendapat Jeremy Bentham di dalam sesebuah bukunya telah mengatakan bahawa harta pusaka ialah harta seseorang setelah matinya yang mesti dibahagikan mengikut tiga perkara berdasarkan undang-undang Perancis iaitu penghidupan anggota baru, menjauhkan diri putus harapan, dan mendekatkan diri kepada persamaan dalam harta.

2.3 JENIS-JENIS HARTA PUSAKA

Berdasarkan undang-undag yang terdapat di Malaysia , harta pusaka dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Besar (Biasa), dan Harta Pusaka Ringkas. Perkara ini merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

2.3.1 Harta Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 600,000.00. Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa. Tuntutan pembahagian harta pusakakecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka. Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia. Unit ini diletakan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak. Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak tempat, sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidangkuasa untuk menyelesaikannya.

Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang ini boleh di dapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Setiap permohonan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 10.00 semasa pendaftaran dibuat. Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya setiap permohonan direkodkan dan bertujuan mengelakkan pertindihan. Semasa mengemukakan Borang A terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan iaitu :-

1) Bukti kematian sama ada surat mati atau permit pengkebumian, suart sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( terpakai bagi kematian semasa Jepun atau sebelumnya ) ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi ( terpakai bagi keadaan di mana tiada sijil mati, si mati hilang di laut dan sebagainya ). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tidak didengar khabar berita.

2) Salinan hak milik keluaran (geran tanah) dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, sijil pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP dan sebagainya.

3) Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si mati

4) Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.

Menurut seksyen 8, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil ialah :-

1) Waris-waris pusaka si mati (benefisiari) sperti suami ataupun siteri, aibu atau bapa dan baitulmal jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.

2) Si piutang (creditors) dan pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.

3) Si pembeli (pembelian melalui perjanjian yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).

4) Orang-orang ataupun badan-badan yang berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan pajakan seperti pihak bank.

5) Penghulu atau pegawai penempatan dengan arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, terpakai apabila di dalam tempoh 6 bulan selepas kematian si mati tida sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

6) Amanah Raya Berhad (terpakai apabila waris si mati membuat tuntutan melalui ARB)

7) Pegawai Penyelesai Pusaka atau pemegang amanah (trustee).


2.3.2 Harta Pusaka Besar (Biasa)

Harta Pusaka Besar atau biasa ialah semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilaiannya RM 600,000.00 ke atas sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih semuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat. Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bai orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat)ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar. (bagi si mati yang meninggalkan wasiat sebahagiaan hartanya).

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati. Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si piutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam ataupun menerusi bantuan Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB. Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.

Kebiasaannya orang yang diberi probet atau surat kuasa mentadbir pusaka kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB, disyaratkan mendapat seorang atau dua orang penjamin. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, amak dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional seperti sayarikat insuran atau institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka .

Surat kuasa mentadbir pusaka atau probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen memperoleh surat kuasa tersebut, dia hendaklah mendaftarkannya di pejabat tanah yang berkenaan supaya semua suratan-suratan hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati . Menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah sebaik sahaja dia menghasilkan semua asset si mati membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka.

2.3.3 Harta Pusaka Ringkas

Iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan untk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.

Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah .

Jumaat, 25 Julai 2008

ISTISYHADIAH


Allah berfirman dalam surah at Taubah ayat 111 bermaksud:

إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

Allah telah menyebut dan menyatakan dalam al Quran perihal jihad sebagai satu jual beli yang punyai pengertian yang sangat mendalam. Juga telah disebut di dalam kitab-kitab sebelum daripada al Quran sama ada at Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s ataupun al Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s. Semuanya menyeru kepada satu bentuk jual beli yang dinamakan jihad menggunakan harta atau nyawa. Allah akan membeli kedua-duanya dengan harga yang sangat mahal iaitu syurga.



SYAHID DAN ISTISYHADIAH

Sebab dinamakan syahid

Sebelum kita melihat pengertian syahid maka eloklah kita mengetahui punca dinamakan syahid. Dalam hal ini Ibnu Hajar telah menyebut sebanyak empat belas pendapat manakala Imam Nawawi menyatakan sebanyak tujuh pendapat.

Al Anbari mengatakan dinamakan syahid kerana Allah dan malaikatNya menjadi saksi kemasukannya ke dalam syurga. Dikatakan juga kerana seseorang syahid itu hidup dan seolah-olah ruhnya menyaksikan. Ada juga pendapat lain yang mengatakan sebabnya ialah tiada yang menyaksikan saat kematiannya melainkan malaikat Rahmat dan banyak lagi pendapat-pendapat lain.

Namun, yang dikehendaki dengan syahid di sini ialah yang terbunuh fi sabilillah, kerana para syuhada’ itu pelbagai jenis sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sohih Bukhari:

الشهداء خمسة ؛ المطعون والمبطون والغرق وصاحب الهدم, والشهيد فى سبيل الله


Pengertian Syahid

Syahid berasal daripada kalimah (شهد ) bermaksud orang yang terbunuh atau dibunuh fi sabilillah (dijalan Allah). Dikatakan seseorang itu mati syahid. Kata jama’nya ialah syuhada’. Mazhab yang empat juga telah menta’rifkan pengertian syahid ini berdasarkan hujjah masing-masing, tetapi semuanya sepakat dalam menyifatkan seseorang yang dibunuh atau mati fi sabilillah.

Manakala istisyhadiah pula ialah perihal meminta syahid dengan mendedahkan dirinya untuk dibunuh atau terbunuh fi sabilillah. Kaedah Bahasa Arab menyatakan, sesuatu kalimah yang ditambah dengan huruf sin membawa maksud permintaan dan kehendak.

Oleh itu, timbul perdebatan yang hangat di kalangan para ulama’ dan ilmuan Islam tentang perkara ini khususnya yang berlaku di kalangan rakyat Palestin yang telah meletupkan tubuh badan mereka di tengah-tengah Yahudi. Sebahagian mereka mengatakan ia adalah istisyhadiah dan sebahagian yang lain pula mengatakan ia adalah intihariah (bunuh diri). Pendapat yang kedua diperkuatkan dengan firman Allah yang berbunyi:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللهِ وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Oleh hal demikian, kita ingin melihat dengan ilmiah dalam menilai perkara ini berdasarkan sumber Ilahi bukannya mengikut hawa nafsu dan kedangkalan hati.



HUKUM DAN SYARAT

Daripada perbincangan dan pengertian di atas dapatlah kita faham bahawa wujudnya perbezaan di antara istisyhadiah dan intihariah (bunuh diri). Oleh itu kita akan simpulkan kepada beberapa noktah penting untuk kita menghukum sesuatu perbuatan itu termasuk dalam kategori intihariah atau pun jihad iaitu istisyhadiah sebagaimana berikut:



Perkara pertama:

a) Islam menegah seseorang bercita-cita untuk mati dengan sebab keduniaan daripada kesusahan dan kecelakaan, namun Islam menggesa umatnya supaya berazam untuk mati syahid di jalan Allah sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w dalam Sohih Muslim yang berbunyi:
من سأل الله الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهداء وإن مات على فراشه

b) Tidak boleh bagi seorang manusia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan dengan sebab-sebab keduniaan seperti membenarkan orang lain membunuhnya, bahkan Imam al Qurtubi dalam tafsirnya mengkategorikan ia sebagai bunuh diri, kecuali jihad melawan musuh-musuh agama Islam. Walaupun ia juga mendedahkan diri kepada kebinasaan tetapi ia merupakan suruhan Allah dan RasulNya.


Perkara kedua:

Perbuatan yang mendedahkan diri kepada kehancuran untuk menakutkan dan menyerang musuh dengan niat untuk meninggikan kalimatullah tidak dianggap sebagai bunuh diri mengikut kebanyakan ulama’ empat mazhab. Para ulama’ sebelum ini hanya membincangkan tasabbub sahaja dan meninggalkan zat dalam perkara pembunuhan serta meyerang musuh, namun pada hari ini zat diri manusia itu sendiri sudah perlu untuk dijadikan senjata pula bagi mencapai maksud menakutkan dan menyerang musuh.



ISTISYHADIAH SEPANJANG SEJARAH

Pertama: Kisah Ashab al Ukhdud

Firman Allah taala dalam surah al Buruj ayat keempat hingga kesembilan menceritakan satu kisah yang berlaku sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w. Ia juga telah tafsirkan berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang agak panjang dalam kitab Riyadh as Solihin karangan Imam Nawawi riwayat Suhaib yang dikeluarkan oleh Imam Muslim. Kisah ini masyhur dengan nama Ashab al Ukhdud (parit).

Seorang ghulam yang telah menyebabkan kemasukan masyarakat pada zaman itu ke dalam agama Islam secara beramai-ramai setelah dihukum mati oleh raja. Hukuman yang dijatuhkan gagal mematikan ghulam ini melainkan dengan menyebut nama tuhan ghulam tersebut. Ia telah disaksikan oleh rakyat jelata dan mereka semua telah memeluk Islam. Lalu digali parit dan dinyalakan api dengan maraknya bagi dimasukkan sesiapa sahaja yang masih beriman dan enggan kembali kepada ajaran lama mereka. Seorang demi seorang terjun dan masuk ke dalam parit api tersebut sehinggalh giliran seorang ibu bersama anaknya yang masih kecil. Timbul ragu-ragu dihati ibu ini dan dengan takdir Allah bayi itu berkata: wahai ibuku, ibu bersama orang-orang yang benar. Lalu terjunlah ibu bersama bayinya ke dalam api.

Jadi persoalannya sekarang adakah yang berlaku kepada orang yang beriman bahkan ibu bersama bayinya yang terjun ke dalam api tersebut dikira bunuh diri?


Kedua: Peristiwa peperangan Badar

Rasulullah s.a.w bersabda ketika perang Badar yang berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun kedua hijrah :
والذى نفس محمد بيده فإنه لا يقاتل اليوم رجل مقبل غير مدبر إلا أن يدخله الله الجنة

Maksudnya : Dan demi diri Muhammad yang berada di tangannya, tiadalah seorang lelaki yang berperang pada hari ini mara tanpa berundur melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.

Apabila seorang sahabat yang sedang makan buah kurma mendengar hadith ini, dia pun berkata maksudnya : tak ada yang menghalang aku daripada masuk syurga melainkan buah kurma yang masih ada ditanganku. Lantas dia mengambil senjata dan masuk ke dalam kumpulan musuh seorang diri sahaja dan akhirnya dia telah dibunuh.

Peristiwa ini berlaku di hadapan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang lain tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya. Ini menunjukkan perbuatan sahabat tersebut bukanlah perbuatan membunuh diri bahkan istisyhadiah yang Allah akan mengganjarinya dengan syurga kelak.


Ketiga: Khalifah Abu Bakar memerangi murtad

Khalid al Walid (pedang Allah dan RasulNya) yang ditugaskan mengepalai tentera Islam pada waktu itu untuk memerangi golongan murtad telah mengarahkan supaya membuat kepungan dan sekatan makanan. Golongan ini dipimpin oleh Musailamah al Kazzab dengan bantuan Sijah berada dalam sebuah kota.

Muncul seorang pemuda bernama Thabit bin Qis bin Syamas membuat tawaran kepada Khalid bin al Walid untuk dipergunakan dirinya dalam peperangan tersebut. Mengikut sejarah, pemuda ini pernah menderakan dirinya dengan mengurung diri dalam rumah kerana telah meninggikan suaranya di hadapan Rasulullah s.a.w. Dia menganggap dirinya akan masuk neraka selepas turunnya ayat dalam surah al Hujurat ayat kedua. Lalu Rasulullah pun memanggil pemuda ini dan bersabda:

أ ما ترضى أن تعيش حميدا وتقتل شهيدا وتدخل الجنة وأنت من أهل الجنة

Maksudnya: Apakah kamu tidak redha hidup dalam keadaan baik, dan mati dalam keadaan syahid dan kamu akan masuk syurga dan kamu adalah ahli syurga.

Selepas itu dia sentiasa berulang-alik ke masjid menunaikan ibadah. Dan dalam memerangi golongan murtad ini dia telah membuktikan kata-kata Rasulullah dengan mengorbankan dirinya untuk Islam lalu berkata kepada Khalid membuat tawaran: letakkan diri saya dalam minjanik (alat untuk membidas dan melontar), untuk saya buka pintu kota dari dalam, lontarkan diri saya dan saya akan mengamuk di dalam kota sehingga saya buka pintu kota. Dalam kejadian ini, Thabit mengalami cedera parah dan telah dibunuh mati syahid. Dia juga sempat membuka pintu kota sehingga tentera Islam berjaya masuk ke dalam kota dan Musailamah telah dapat ditawan dan dibunuh. Jadi adakah boleh kita katakan perbuatan Thabit ini sebagai bunuh diri?


Keempat: Khalifah Umar berhadapan dengan Rom

Saidina Umar ketika menjadi khalifah telah melantik Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarah (aminul ummah) sebagai panglima perang yang baru menggantikan Khalid bin al Walid. Tentera Islam akan berhadapan dengan tentera Rom yang ramai jumlahnya iaitu di antara 400 hingga 500 ribu orang.

Apabila pasukan hadapan tentera Islam yang disusun oleh Khalid al Walid pecah dan kucar kacir, Ikrimah Abu Jahal (telah masuk Islam) telah melemparkan perisai dan sarung pedang yang ada di tangannya. Lalu ditegur oleh Khalid al Walid: bukan begitu wahai Ikrimah!. Ikrimah pun berkata: jangan larang aku! Siapa yang sanggup mati bersama aku? Lebih kurang 400 tentera Islam telah memegang tangan Ikrimah untuk berbai’ah. Lalu mereka pun mara ke hadapan masuk ke tengah-tengah musuh. Melihat keadaan ini, tentera Rom menjadi gerun dan takut lalu mereka berundur dengan sebab 400 orang ini. Ikrimah dan 400 tentera Islam yang lain telah terkorban dan mati syahid dalam peristiwa tersebut.

Persoalan juga timbul di sini, adakah perbuatan Ikrimah dan tentera Islam yang berbai’ah dengannya dianggap bunuh diri?


Kelima: Pembukaan Kostantinopal

Setelah Bizantin jatuh ke tangan umat Islam pada zaman Khalifah Umar al Khattab, Kostantinopal (sekarang Istanbul) telah dijadikan pusat Rom timur yang baru. Khalifah Uthman telah menubuhkan tentera laut pada zamannya dan mengarahkan tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ayyub al Ansari untuk membuka Kostantinopal. Ini kerana percaya kepada sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير هو الأمير ولنعم الجيش ذلك الجيش

Maksudnya: akan dibuka Kostantinopal, sebaik-baik raja adalah raja pada waktu itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera tersebut.

Menurut riwayat daripada Tirmizi dalam peperangan ini ada seorang tentera yang yang berada di tengah-tengah musuh seorang diri berlawan dengan mereka. Tentera Islam yang lain pun mengatakan : maha suci Allah, dia telah mencampakkan dirinya kepada kebinasaan!. Ini berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Mendengar kata-kata ini Abu Ayyub al Ansari pun bangun dan berkata maksudnya: wahai manusia, kamu telah menta’wilkan ayat ini sedangkan ayat ini diturunkan kepada kami golongan ansar, apabila Allah telah memuliakan Islam dan ramai pendokongnya maka berkata umat Islam sesama mereka: harta benda kita telah hilang dan Allah sekarang telah memuliakan Islam serta ramai yang mendokongnya, jadi kalau kita tidak menjaga dan menyimpan harta kita nescaya akan hilanglah sekali lagi. Maka turunlah ayat ini kepada Rasulullah s.a.w sebagai menjawab perbualan sahabat tadi. Jadi maksud kebinasaan yang sebenar di dalam ayat ini ialah sibuk menjaga harta dan meninggalkan peperangan.

Abu Ayyub sendiri sentiasa berada dalam medan peperangan fi sabilillah sehingga dia dikebumikan di Kostantinopal. Jadi dapatlah kita nyatakan perbuatan seorang sahabat tadi yang masuk ke tengah-tengah musuh seorang diri bukanlah perbuatan membunuh diri sebagaimana yang disalahtafsirkan.


PENDAPAT DAN FATWA ULAMA’

Dalam merujuk pandangan dan fatwa para ulama’ berkaitan perbincangan ini, kita dapati terdapat pelabagai persepsi yang memerlukan huraian yang lebih panjang terutamanya syarat-syarat yang diletakkan oleh mereka. Hal ini demikian berikutan keanjalan hukum feqah itu sendiri yang berbeza-beza dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari seseorang dengan seseorang yan lain yang melambangkan kesesuaian hukum Islam di semua tempat dan zaman.

Oleh itu, kita hanya mengambil beberapa tokoh ulama’ yang terkenal sahaja sebagai asas dan bahan rujukan kita di sini. Menurut Dr Wahbah Zuhaili yang merupakan Ketua Jabatan Feqah dan Usulnya di Fakulti Syariah Universiti Damsyiq bahawa ia merupakan satu keharusan dengan izin Allah kerana perbuatan seumpama ini menjadi satu keperluan syara’ pada hari ini.

Manakala Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al Buthi Ketua Jabatan Aqidah dan Adyan Fakulti Syariah Universiti Damsyiq pula mengatakan bahawa kerja ini dibenarkan dalam Islam seratus peratus dengan syarat berniat untuk mengahapuskan musuh.

Dr Yusof al Qorodhowi menyebut kerja ini dikira sebagai sebesar-besar jihad di jalan Allah dan ia merupakan perbuatan menakutkan musuh yang dijelaskan dalam al Quran. Manakala Syeikhul Azhar Dr Muhammad Said Tantawi pula (selepas merujuk fatwa yang lama) mengatakan bahawa jangan kita kata kepada seseorang yang meletupkan dirinya adalah bunuh diri tetapi dia adalah syahid kerana telah meyerahkan jiwa raganya di jalan Allah.


PENUTUP

Kesimpulannya dapatlah kita nyatakan bahawa konsep istisyhadiah perlu kita fahami dengan sedalamnya kerana ia bukan suatu perkara yang baru dalam Islam tetapi telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam terdahulu. Kekeliruan kita dalam memahami perkara ini akan menyebabkan kesilapan dalam menilai dan kecelaruan dalam memberikan kenyataan.

FIQH MUNAKAHAT- JIMA' YANG HALAL DAN HARAM MENURUT ISLAM DAN SAINS

Manusia mempunyai nafsu serta kehendak dan Islam datang untuk menyalurkan nafsu dan kehendak itu ke arah kebaikan, melalui perkahwinan. Menerusi perkahwinan, jimak atau seks menjadi halal dan melakukannya berdasarkan batas-batas syariat dianggap sebagai ibadah. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah di dalam hadis yang bermaksud, “Sahabat-sahabat Nabi bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala?’ Bersabda Nabi Muhammad, ‘Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala’.” (Riwayat Muslim)

Ibn Qaiyim Al-Jauziyah berkata dalam Tibbun Nabawi, “Tabib-tabib yang mahir berpandangan jimak adalah di antara cara yang terbaik untuk memelihara kesihatan seseorang.”

Dari sudut spirituil, di antara kemanfaatan jimak ialah, ia memelihara penglihatan dari melihat sesuatu yang haram, memelihara nafsu, menjauhkan seseorang dari perbuatan haram dan dengan itu mendatangkan kemanfaatan bagi diri, dunia serta akhiratnya. Kemanfaatan yang sama juga akan diperolehi oleh para isteri. Seks yang mendatangkan kepuasan yang maksimum ialah yang berasaskan kasih sayang dan kemesraan dan tidak hanya wujud di dalam bentuk hubungan fizikal. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikanNya di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum ayat 21)

BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik adalah penting untuk menghasilkan seks yang bermanfaat, dan untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati di dalam hidup iaitu kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.


Cara Perlakuan Seks Yang Dihalalkan

Islam mengizinkan seseorang melakukan persetubuhan mengikut cara ataupun kedudukan yang digemarinya, namun memuaskan nafsu melalui saluran dubur atau anal sex adalah dilarang. Allah berfirman, “Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu.” (Surah Al-Baqarah ayat 223)

Wahyu ini diturunkan berhubung dengan sahabat Omar Al-Khattab yang menyetubuhi isterinya mengikut saluran biasa tetapi dari belakang, lantas beliau berasa takut dan terus menemui Nabi menceritakan tentang apa yang berlaku. Tidak berapa lama selepas itu, ayat ini pun diturunkan dan Nabi terus berkata kepada Omar, “Bersetubuhlah dari hadapan ataupun dari belakang asalkan tidak dilakukan pada waktu haid dan tidak melalui dubur.” (Riwayat Ahmad) Berhubung dengan persetubuhan melalui dubur, ia dianggap sebagai satu dosa besar. Nabi bersabda, “Allah tidak mahu melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki ataupun wanita di duburnya.” (Riwayat Tarmuzi)


Seks Yang Halal Dan Kesihatan

Kajian menunjukkan ketika syahwat memuncak, badan seseorang mengeluarkan bahan-bahan kimia seperti endorphins yang berfungsi mencegah kesakitan dan mendatangkan ketenangan. Di samping itu sentuhan di antara suami isteri merangsang pengeluaran bahan oxytocin yang menghasilkan rasa tenang dan damai. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Majlis Penyelidikan Sains Manusia seperti yang disebutkan dalam News24.com, bertarikh 12 Februari 2001, sentuhan juga merangsang pengeluaran hormon serotonin yang meningkatkan daya ketahanan badan dan sekali gus mencegah seseorang dari dijangkiti penyakit.

Seks juga berfaedah untuk kesihatan jantung. Dr. Paul Pearsall, Pengarah Perubatan Perlakuan atau Behavioural Medicine di Hospital Beaumont di Detroit, di dalam bukunya Sexual Healing berpendapat, kesihatan jantung tidak hanya bergantung kepada pemakanan, senaman dan genetik, malah ia juga bergantung kepada kesihatan emosi dan sosial. Kajian beliau menunjukkan ketidakpuasan di dalam hubungan seks sering kali mengakibatkan serangan sakit jantung di samping penyakit-penyakit yang lain seperti pening migraine dan radang sendi.


Bahaya Seks Ketika Haid

Islam mengharamkan seks ketika waktu haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya.” (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Nabi bersabda, “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum mandi wajib, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.”

Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan. Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans pada tahun 1995 melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita. Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda.

Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.

Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat. Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina. Ketika haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya jika berlaku persetubuhan ketika itu


Seks Bebas Dan Penyakit Jangkitan Seksual

Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa..... satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu.” (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar)

Penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari kumpulan ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Penyakit-penyakit ini boleh menyebabkan maut. Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion.

Kesemua ini menunjukkan ajaran Islam sememangnya relevan sampai ke hari Kiamat. Justeru, rugilah mereka yang mengutamakan hawa nafsu serta mengabaikan landasan Islam yang sememangnya saintifik lagi menyihatkan


Note: (Diterbitkan dalam Majalah i bagi bulan Septemberr, 2004, terbitan Karangkraf)

Nukilan,
Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan
Penulis bagi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Konsep Umum Pemikiran dan Pemikiran Islam

1.0 Pemikiran

Pemikiran berasal daripada kata 'fikir' menjadi 'berfikir' (thinking) dan akhirnya 'pemikiran' dalam Bahasa Melayu. Perkataan berfikir kini digunakan secara meluas. Walaubagaimanapun ia tetap memerlukan batasan pengertian dan penjelasan hakikatnya agar orang dapat memahaminya secara jelas.

Dasar perkataan fikir berkataan berasal dari perkataan Arab 'fakkara', 'yufakkiru', 'tafkiran'. Sebahagian ahli bahasa daripada wazan 'dharaba' iaitu 'fakara', 'yakiru', 'fakran' atau 'fikran'. Jelasnya perkataan fikir berasal daripada perkataan 'al-fikr'. Dalam al-Quran, perkataan fikr tidak disebut dalam bentuk kata nama. Tegasnya dalam al-Quran perkataan fikr disebut dalam bentuk fiil madhi (perbuatan yang telah lepas) dan mudhari' (perbuatan yang sedang dilakukan), sighah mukhatab dan ghaib (kata ganti diri kedua dan ketiga). Misalnya fakkara dan tatafakkarun. Jadi ketika al-Quran menggunakan cara ini seolah-olah Allah SWT ingin mengingatkan kita bahawa usaha berfikir adalah usaha yang sangat berkaitan dengan manusia.

Ringkasnya pemikiran bolehlah didefinisikan sebagai satu aktiviti kekuatan rasional (akal) yang ada dalam diri manusia, samada ia berupa qolbu, roh, atau dzihnun, dengan pengamatan dan penilitian untuk menemukan makna yang tersembunyi dari persoalan yang dapat diketahui, atau untuk sampai kepada hukum-hukum, atau hubungan antara sesuatu. Pemikiran juga boleh didefinisikan sebagai rangkaian idea yang berasosiasi (berhubungkait) atau daya usaha reorganisasi (penyusunan semula) pengalaman dan tingkahlaku yang dilaksanakan secara sengaja.

2.0 Pemikiran Islam
Definisi pemikiran Islam pula bolehlah disimpulkan sebagai gagasan atau buah fikiran pemikir-pemikir Islam atau ulama' bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah untuk menjawab persoalan-persoalan manusia dan masyarakat yang timbul disebabkan berbagai-bagai faktor. Antaranya ialah:

1. Sebagai usaha untuk memahami atau mengambil istinbath (intisari atau pengajaran) hukum-hukum agama mengenai hubungan manusia dengan penciptanya dalam masalah ibadah. Juga hubungan manusia sesama dalam masalah muamalah. Masalah-masalah ini menyangkut hal-hal ekonomi, politik, sosial, undang-undang dan lain-lain.

2. Sebagai usaha untuk mencari jalan keluar kepada persoalan-persoalan luar yang belum ada pada zaman Rasulullah SAW dan pada zaman sahabat atau untuk memperbaiki tindakan-tindakan tertentu berdasarkan roh Islam.

3. Sebagai penyesuaian antara prinsip-prinsip agama dan ajaran-ajarannya dengan pemikiran asing yang mempengaruhi pemikiran umat Islam.

4. Sebagai pertahanan terhadap akidah Islam dengan menolak akidah, kepercayaan lain yang bertentangan dengan ajaran Islam dan menjelaskan akidah Islam yang sebenarnya.

5. Untuk menjaga prinsip-prinsip Islam agar tetap utuh sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW sepanjang masa hingga ke akhir zaman.

3.0 Sejarah Pertumbuhan dan Perkembangan Pemikiran Islam

Menurut Prof. Dr. Muhammad al-Bahi, salah seorang ahli fakir Islam semasa dari Mesir, usaha-usaha berbentuk pemikiran ini tidak begitu ketara dalam sejarah masyarakat Islam pertama iaitu masyarakat pada zaman Rasulullah SAW dan Khulfa’ ar-Rasyidin kerana pada masa itu umat Islam menumpukan perhatian untuk menyeru penduduk Makkah dan sekitarnya menganut Islam, menyemaikan akidah, menanamkan unsur-unsur iman dan akhlak yang mulia di kalangan mereka berdasarkan bimbingan dan tunjuk ajar langsung daripada Rasulullah SAW.

Pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan wahyu masih diturunkan, umat Islam merujuk sebarang persoalan kepada wahyu atau pun mendapatkan penjelesan dari Rasulullah SAW sendiri. Jadi tidak timbul pada masa itu usaha-usaha untuk mendapatkan jawapan dengan pemikiran sendiri. Lebih-lebih lagi dalam masalah akidah dan persoalan-persoalan agama tambahan pula baginda melarang sebarang pertikaian dalam persoalan akidah dan tidak menggalakkan perdebatan di kalangan orang-orang Islam.

Sikap dan pendirian yang diperakui oleh Islam sejak pertumbuhannya ini telah memberi kesan besar dalam membimbing perkembangan pemikiran umat Islam pada zaman permulaan. Kerana itu pada umumnya mereka tidak suka berbahas dan berdebat dalam masalah akidah. Perbahasan dan perbincangan mereka hanya berkisar dalam persoalan amali.

Setelah Rasullah SAW wafat, memang wujud sedikit kekecohan pada awalnya tetapi dapat diselesaikan sebaik mungkin oleh Saidina Abu Bakar setelah beliau dilantik menjadi khalifah. Pada era dua khalifah pertama iaitu Abu Bakar dan Umar, tidak nampak banyak masalah sehinggalah membawa kepada zaman pemerintahan khalifah ketiga iaitu Uthman bin Affan apabila mulai ada bibit-bibit pertikaian dan tidak puas hati yang secara prisipalnya berkait dengan masalah politik tetapi cuba dikaitkan bersama dengan isu-isu akidah. Selepas Uthman dibunuh dan Ali dilantik sebagai khalifah, keadaan menjadi semakin serius dan berlakulah perang saudara sesama Islam. Selepas itulah berlakunya perkembangan perbezaan pandangan, khilaf, perbezaan politik dan membawa kepada kemunculan aliran akidah.

Sejarah mencatatkan bahawa keadaan ini terjadi ¾ akhir abad pertama Hijrah atau abad ketujuh Masihi. Dari tarikh inilah bermula perkembangan pemikiran Islam secara drastik hampir dalam semua bidang. Prof. Dr. Muhammad al-Bahi telah membahagikan perkembangan pemikiran Islam ini kepada tiga peringkat:

1. Peringkat Kemunculan
2. Peringkat Membina Kembali Masyarakat Islam.
3. Peringkat Pemikiran Islam Semasa


1. Peringkat Kemunculan

Pada peringkat kemunculan, kita dapati lahir berbagai-bagai aliran atau mazhab seperti aliran akidah, aliran fiqah, sufi, falsafah dan tafsir.
Kelahiran aliran dalam bidang akidah adalah disebabkan kesan yang timbul akibat perpecahan dan permusuhan yang berlaku di dalam masyarakat Islam. Faktor utama yang menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam ialah perselisihan pendapat dalam pemilihan ketua negara (Imamah) dan kerana masalah inilah lahirnya aliran-aliran Khawarij, Syiah, Murjiah, Mu’tazilah dan Asy’ariyyah.
Setiap aliran mengemukakan dalil-dalil atau bukti-bukti mereka masing-masing yang berbentuk pemikiran yang menyentuh masalah Imamah. Akhirnya lahir pandangan dan pegangan aliran mereka masing-masing dalam masalah usul dan i’tiqad (pegangan agama, keyakinan dan kepercayaan). Tegasnya perselisihan dalam masalah Imamah merupakan punca utama menolong terasasnya aliran berbentuk akidah. Faktor ini juga telah meninggalkan kesan yang negatif terhadap perpaduan dan kesatuan umat Islam seterusnya.

Sementara itu, sebab utama kelahiran aliran falsafah pula ialah akibat meresapnya pengaruh pemikiran-pemikirn asing seperti pemikiran berhala Mesir, pengaruh agama-agama Timur seperti Buddha, Brahma dan Zarodistar, di samping pengaruh dari agama Kristian dan Yahudi serta falsafah Greek. Akibatnya lahirlah dalam sejarah Islam alirang falsafah metafizik (didokong oleh Ibnu Sina dan Ibnu Rusyd), aliran falsafah fizik (Abu Bakar al-Razi) dan aliran falsafah Isyraqi (Illuminism) yang terpengaruh dengan aliran falsafah Neo-Platonism (asy-Sharawardi al-Maqtul).
Di samping itu kelahiran aliran dalam Tasawuf jug sebenarnya adalah akibat pengaruh daripada pemikiran-pemikiran asing. Antara aliran-aliran yang dikenali dalam bidang ini ialah:

(a) Aliran Tasawuf al-Zahudi (al-Harith al-Mahasibi)
(b) Aliran Tasawuf al-Falsafi (Imam al-Ghazali)
(c) Aliran Tasawuf al-Hindi yang dipengaruhi oleh Hindi, Kristin dan Neo-Platonism (didokong oleh Ibnu ‘Arabi dan al-Hallaj)

Kelahiran mazhab-mazhab fiqh pula adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama disebabkan perbezaan pendapat di antara fuqaha mengenai hukum-hukum cabang dan bukannya asas-asas hukum dalam Islam. Semua ulama fiqh berpendapat bahawa perselisihan pendapat dalam perkara yang jelas hukumnya terdapat dalam nas al-Quran dan Sunnah adalah haram. Sedangkan perselisihan pendapat di dalam perkara-perkara yang belum jelas hukumnya adalah dituntut serta dibenarkan pula berijtihad di dalam menentukan hukumnya.

Perbezaan pendapat dalam masalah hukum cabang ini pula adalah disebabkan antara lainnya kerana perbezaan maklumat yang mereka terima daripada Rasullah SAW. Sesetengah sahabat menerima lebih banyak hadis daripada sahabat yang lain. Perbezaan pendapat juga terjadi kerana perbezaan pemahaman seseorang sahabat terhadap nas-nas yang diterima daripada Rasullah SAW. Begitu juga suasana sekitar boleh mempengaruhi sesuatu pendapat. Perbezaan dalam sesuatu hukum adalah semakin jelas apabila sahabat-sahabat itu keluar ke kawasan-kawasan yang baru dibuka yang suasananya berbeza. Ini boleh melahirkan pendapat yang berbeza di antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain dalam satu masalah yang sama. Pendapat-pendapat mereka inilah yang akan menjadi sumber maklumat hukum bagi masyarakat setempat. Pendapat-pendapat merekalah yang akan menjadi ikutan penduduk-penduduk itu dan di sana akan bertapaklah pemikirannya. Misalnya pendapat-pendapat Ibnu Mas’ud telah bertapak di Iraq dan pendapat-pendapat Sa’id bin Musayyab bertapak di Hijaz sementara pendapat Abdullah bin Amr Ibnu ‘As bertapak di Mesir. Maka hasil daripada pendapat-pendapat dan buah fikiran sahabat-sahabat yang berada di pelbagai tempat di pusat-pusat negara Islam itulah yang menjadi bahan pemikiran fiqh pada zaman berikutnya dan akhirnya melahirkan pelbagai mazhab fiqh di negara Islam.

Suatu yang nyata dan amat dibanggakan ialah kita dapati dalam perkembangan pemikiran fiqh di peringkat awal, setiap ulama yang mujtahid menghormati pandangan ulama yang lain. Setiap pendapat dihormati orang pada zamannya dan diamalkan, tidak ada sikap fanatik terhadap pandangan tertentu atau golongan tertentu kerana mereka sedar bahawa perbezaan yang timbul itu adalah hasil daripada ijtihad masing-masing yang berasaskan kepada sumber-sumber yang diakui oleh syarak di samping mereka memandang kepada kemaslahatan yang diperlukan oleh masyarakat setempat. Pada dasarnya perbezaan pendapat yang berlaku dalam bidang fiqh ini memberi kemudahan kepada setiap Muslim untuk mengamalkan hukum-hukum yang dianggap lebih sesuai dengan keadaan masing-masing dan lebih sesuai dengan suasana setempat atau sesebuah masyarakat itu. Jadi perkembangan fiqh adalah berhubung rapat dengan perkembangan sesebuah masyarakat.
Perkembangan ijtihad ini berlaku dalam semua bidang fiqh dari akhir abad ketiga Hijrah (abad ke-9 Masihi) hingga ke kemuncaknya pada abad keempat Hijrah (abad ke-10 Masihi) yang membawa kepada tertutupnya pintu ijtihad. Akhirnya hanya empat Imam Mazhab sahaja yang diterima umum untuk diikuti yang secara kebetulan pada masa itu masih hidup dan mempunyai ramai pengikutnya iaitu Imam Hanafi (660 – 728 M), Imam Malik (712 – 802 M), Imam Syafi’ (767 – 830 M) dan Imam Ahmad bin Hanbal (782- 856 M). Maka dengan tertutupnya pintu ijtihad timbullah zaman taqlid dalam bidang fiqh (perundangan Islam).

Sikap taqlid yang lahir dalam masyarakat Islam memberi pengaruh besar terhadap perkembangan fiqh pada masa-masa berikutnya. Ternyata apabila sikap ini diterima, maka kegiatan-kegiatan fuqaha dalam menyelesaikan persoalan hukum adalah berasaskan pemikiran-pemikiran mazhab-mazhab yang dianutinya. Sikap prejudis terhadap mazhab mulai timbul dan sikap membela pandangan mazhab tertentu jelas kelihatan di samping terdapatnya tulisan-tulisan yang memuatkan kritikan-kritikan terhadap mazhab yang tidak dianutinya. Kerana itu perkembangan pemikiran fiqh pada masa itu tidak lagi objektif, malah ia merupakan usaha ke arah memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap imam-imam mazhabnya dengan membawa hujah-hujah baru demi untuk mempertahankan kebenarannya dan menimbulkan titik-titik kelemahan dalam mazhab yang lain. Jadi karya-karya yang lahir pada masa itu adalah berupa ulasan-ulasan ringkas kepada fikiran-fikiran dan buku-buku yang ditulis oleh fuqaha sebelum itu dengan dibuat sedikit perbezaan pada cara penyampaian, penganalisaan dan aliran bahasa.
Sikap taqlid yang dijadikan pegangan dalam kehidupan orang-orang Islam pada waktu banyak menjejaskan perkembangan fiqh secara objektif dan pendapat yang berbeza dalam bidang hukum dijadikan sumber perbalahan di kalangan pengikut-pengikut mazhab, dan ijtihad tidak ditonjolkan.

Maka hasil daripada perkembangan fikiran fiqh yang berlaku kebelakangan itulah yang banyak mempengaruhi perkembangan pemikiran fiqh di negara-negara Islam kini di mana ia banyak memberi rintangan terhadap perkembangan pemikiran fiqh dalam bentuk yang lebih luas. Sikap taqlid ini dapat melahirkan golongan yang fanatik kepada mazhabnya lebih daripada fanatiknya terhadap agama Islam itu sendiri.
Dalam sejarah Islam, terdapat sekurang-kurangnya dua aliran tafsir yang terkenal iaitu:

(a) Aliran Tafsir bi-al-Ma’thur
(b) Aliran Tafsir bi-al-Ra’yi
Tafsir bi-al-Ma’sur ialah penafsiran sepotong ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain atau dengan Sunnah atau perkataan Sahabah. Penafsiran ini dibuat untuk menjelaskan isi kandungan al-Quran dengan cara yang lebih tepat dan terperinci. Tafsir bi-al-Ra’yi pula ialah tafsiran ayat dengan menggunakan ijtihad atau dengan kata lain seseorang ahli tafsir menghuraikan al-Quran mengikut ijtihadnya. Untuk menceburkan diri dalam bidang tafsir bi-al-Ra’yi, seseorang itu hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
(a) Hendaklah berpegang kepada hadith yang diambil daripada Rasullah SAW atau sahabat.
(b) Mempunyai kepakaran dalam ilmu Bahasa Arab.
(c) Mengetahui hukum-hukum syariah.
Antara pengikut aliran tafsir ialah pengikut-pengikut Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’, Imam Sufyan ath-Thauri dan Imam Ahmad bin Hanbal. Sementara pengikut-pengikut aliran tafsir bi-al-Ra’yi terdiri daripada pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah an-Nu’man bin Thabit.
Tetapi malangnya terdapat golongan-golongan yang mengambil kesempatan menghuraikan ayat-ayat al-Quran berdasarkan pandangan, pendapat dan ideologi masing-masing serta tidak mengendahkan atau menghiraukan syarat-syarat yang telah digariskan. Oleh itu berlakulah tafsiran yang menyeleweng daripada tafsiran yang sebenarnya.
Ringkasnya pada peringkat ini umat Islam berada di puncak kemajuan dalam pelbagai bidang. Pada zaman ini ilmu-ilmu agama, falsafah dan sains berkembang pesat di dunia Islam. Zaman ini menyaksikan kelahiran tokoh-tokoh besar dalam sejarah pemikiran Islam seperti Imam Syafi’, Imam Malik, Imam Ahmad dan Abu Hanifah dalam bidang hukum, Imam al-Asy’ari dan Imam al-Maturidi dalam bidang Teologi, Zunnun al-Misri, Abu Yazid al-Bustami dan al-Hallaj dalam bidang tasawuf, al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina dalam bidang falsafah serta Ibnu Hayyan, al-Khawarizmi dan al-Razi dalam bidang ilmu pengetahuan dan sains.
Di samping perkembangan positif pada peringkat ini, berlaku juga perkembangan unsur-unsur negatif seperti berlakunya perpecahan di kalangan akibat perbezaan pendapat dalam masalah-masalah akidah, lahirnya sikap taqlid dan sikap ta’sub terhadap mazhab, lahirnya aliran batiniyyah dan ajaran-ajaran sesat, penafsiran al-Quran melalui ijtihad yang tidak menepati syarat-syarat yang digariskan dan pelbagai masalah lain yang turut timbul. Faktor-faktor ini menjadi antara punca yang membawa kepada kelemahan umat Islam kemudiannya.

2. Peringkat Membina Kembali Masyarakat Islam

Peringkat ini dimulai dengan kejatuhan kota Baghdad dan diakhiri dengan kesedaran umat Islam tentang kemunduran mereka iaitu dari tahun 1250 – 1800 M.
Pada peringkat terdapat ahli fikir Islam yang cuba mencari idea atau formula untuk membebaskan diri daripada faktor-faktor yang menyebabkan kelemahan umat Islam serta berusaha mengatasi faktor-faktor yang memecahbelahkan perpaduan atau kesatuan umat Islam di samping berusah kearah perpaduan dan ikatan baru yang lebih kuat dan teguh. Faktor-faktor yang mendorong ahli fikir Islam berusaha membina kembali masyarakat Islam ini ialah:

(a) Terdapat kesan-kesan yang negatif di dalam aliran atau mazhab-mazhab pemikiran Islam pada akhir peringkat pertama seperti berlakunya fanatik terhadap sesuatu mazhab, berlakunya taqlid terhadap sesuatu konsep atau idea dan hukum. Di samping itu berleluasanya amalan-amalan bid’ah dan khurafat di kalangan masyarakat serta lahirnya golongan cerdik pandai yang tidak menaruh kepercayaan terhadap kewibawaan orang-orang yang terkemudian. Tegasnya pada period ini orang Islam tidak banyak mengalami kemajuan khususnya dalam bidang pemikiran. Tidak ada lagi kemajuan ilmiah sebagaimana yang terjadi pada zaman klasik. Pintu ijtihad seakan-akan tertutup. Pemikiran menjadi mati. Umat Islam dalam keadaan mundur dan statik.

(b) Disebabkan kemundaran dan kelemahan umat Islam akibat kekalahan dan kejatuhan kota Baghdad ke tangan tentara Mongol. Pada tahun 1258 M tentera Mongol yang dipimpin Hulagul Khan telah berjaya memusnahkan kota Baghdad, iaitu pusat kerajaan Abasiyyah. Kejatuhan kota Baghdad ini merupakan malapetaka besar bagi umat Islam. Pada masa yang sama, umat Islam juga menghadapi peperangan dengan umat Kristian Eropah dalam siri peperangan yang diberi nama Perang Salib. Ia merupakan siri peperangan golongan Kristian Eropah dengan Kaum Muslimin sepanjang tahun-tahun 1097 – 1292 M. Sepanjang lebih kurang 2 abad itu, umat Islam menghadapi 7 kali perang Salib yang dari satu segi memperlihatkan kemenangan, tetapi dari segi yang lain merupakan satu kekalahan bagi umat Islam. Memang dari segi ketenteraan, umat Islam berjaya menewaskan puak Kristian tetapi dari segi jangka panjangnya, puak Kristian banyak mengaut keuntungan hasil dari pertembungan dan pertemuan mereka dengan tamadun dan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh orang-orang Islam. Meskipun mereka sentiasa tewas dalam peperangan ini, namun dengan berlakunya pertembungan dengan dunia Islam itu membolehkan mereka membawa pulang khazanah ilmu pengetahuan Islam ke Eropah. Tegasnya kita dapati bahawa selepas kejatuhan kerajaan Bani Abasiyyah, suasana politik dan pemerintahan orang-orang Islam berada dalam kehancuran. Memang selepas itupun masih ada orang Islam yang dapat mendirikan kerajaan-kerajaan. Umpamanya kerajaan Uthmaniyyah di Turki, kerajaan Safawi di Parsi dan kerajaan Moghol di India yang berkuasa dari 1500 – 1700 M. Sesudah tahun 1700 M kerajaan mereka mula menurun dan akhirnya kalah dalam persaingan dengan bangsa lain. Tetapi dari segi pembangunan material dan tamadun intelektual serta keagamaannya tidaklah lagi mampu memulihkan kegemilangan sebelumnya.

Oleh kerana fakta-fakta inilah lahir ahli-ahli fikir Islam yang merasa terpanggil untuk merubah keadaan ini. Antara usaha-usaha yang telah mereka laksanakan ialah:

(a) Menghindarkan sifat fanatik terhadap sesuatu mazhab. Menyeru umat Islam supaya kembali kepada ijtihad dan menolak taqlid serta cuba menghormati pandangan ulama-ulama lain dalam masalah-masalah cabang.

(b) Cuba memperjelaskan serta membezakan ajaran-ajaran serta pandangan hidup Islam yang sebenarnya dari yang bukan Islam dengan cara kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah yang sahih serta menjadikan kedua-dua sumber tadi sebagai asas berfikir dan asas dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan umat Islam.

Inilah antara usaha-usaha dan saranan yang dibawa oleh pemikir-pemikir Islam di peringkat ini. Di antara tokoh yang paling terkenal pada peringkat ini ialah Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah (1262 -1327 M)/(661 – 726 H). Beliaulah yang dianggap sebagai polopor gerakan Salafiyyah setelah umat Islam dibelenggu zaman keruntuhan mental dan fizikal sejak kejatuhan Baghdad. Aliran salafiyyah ialah satu aliran yang berjuang ke arah mengembalikan umat Islam kepada pegangan dan cara hidup generasi pertama Islam khususnya zaman Rasullah SAW dan para sahabat.

Ibn Taimiyyah telah cuba membangunkan semula kesedaran tentang pentingnya para ulama yang unggul melakukan ijtihad dalam perkara-perkara keduniaan yang timbul. Beliau telah mengecam dengan hebat sekali para ulama dan penganut mazhab yang bersifat fanatik kerana sikap yang sedemikian membawa kepada kebekuan atau kejumudan berfikir dan kerana itu juga fiqh Islam tidak dapat berkembang dan yang parahnya masyarakat Islam menjadi statik.

Seruan Ibn Taimiyah kepada ijtidah ini telah membuka fikiran dan menimbulkan kesedaran yang boleh mengendurkan ketegangan di antara pengikut-pengikut mazhab yang ada dengan mengendurkan sikap fanatik kepada mazhab tertentu dan bersikap toleransi terhadap mazhab-mazhab lain yang tidak diikuti. Tetapi sayangnya kesan ini ternyata tidak menyeluruh. Tulisan-tulisan yang bercorak mempertahankan mazhab-mazhab tertentu dan merendahkan mazhab lain berjalan terus menguasai masyarakat dan maklumat-maklumat demikianlah yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Islam dan berkekalan terus menerus sehingga kini, dan sumber maklumat demikian terus dipelajari dan diamalkan.

Namun begitu usaha-usaha yang dilakukan oleh Ibn Taimiyah serta tokoh-tokoh lain pada peringkat ini seperti Ibn Qayyim al-Jauzi dan lain-lain telah menyedarkan umat Islam tentang peri pentingnya berijtihad dalam masalah-masalah cabang dan silapnya fahaman bahawa pintu ijtihad sudah tertutup.

3. Peringkat Pemikiran Islam Semasa (1800 – hingga kini)

Menurut Prof. Dr. Kamal Hasan yang dimaksudkan dengan pemikiran Islam semasa ialah gagasan-gagasan, idea-idea dan fikiran dari perspektif Islam sebagai tindakbalas yang bersifat intelektual kepada persoalan-persoalan manusia dan masyarakat semasa.
Oleh itu, yang dimaksudkan dengan persoalan semasa (kontemporari) di sini pastinya merujuk kepada perkembangan dan persoalan yang berlaku hari ini atau berkisar kepada isu-isu terkini. Jadi pemikiran yang menjadi fokus subjek ini pastinya kepada perubahan-perubahan dan perkembangan-perkembangan yang berlaku dan menimpa umat Islam semasa dan reaksi atau jawapan-jawapan yang cuba dikemukakan oleh umat Islam melalui ijtihad mereka dalam menangani tuntutan dan keperluan semasa umat Islam seluruhnya.

Pemikiran Islam yang bersifat pembaharuan dan tajdid akan menjadi asas kepada kemajuan dan perubahan umat Islam. Peranan pemikir tidak kurang pentingnya sebagai pelaksana dan pengurus kepada pemikiran Islam dan tamadunnya. Islam turut terikut dengan tahap kemajuan dan kemampuan para pemikirnya sama ada berkembang ke arah kekuatan ataupun statik beku tanpa sebarang perubahan.

Faktor-Faktor Kemunculan Pemikiran Islam Semasa

Menurut Prof. Dr. Kamal Hasan lagi, antara faktor-faktor yang melahirkan pemikiran Islam semasa ialah:

(a) Pertembungan masyarakat Islam dengan kebudayaan dan peradaban Barat.

(b) Rasa terpanggil untuk menegakkan yang hak dan melenyapkan yang batil serta lahirnya rasa rindu umat Islam sendiri untuk menghayati cara hidup Islam seperti zaman Rasullah SAW dan para sahabat.

Pertembungan antara dua kebudayaan Barat dan Islam sebenarnya merupakan aspek penting dalam pemikiran Islam semasa. Pada peringkat Islam dan umat Islam menghadapi tantangan besar dari tamadun Barat sama ada dalam bentuk Kapitalisme-Sekularis atau Sosialisme-Materialis. Pertembungan antara Islam dengan tamaduan Barat ini telah membawa kesan yang besar dalam menentukan bentuk pemikiran umat Islam semasa. Pertembungan tersebut telah berlaku dalam suatu keadaan yang tidak seimbang. Barat lebih bernasib baik kerana kebetulan ia sedang menjalani zaman kegemilangannya tetapi malang bagi Islam yang kebetulan pula sedang mengalami zaman kemundurannya.
Tamadun Barat adalah merupakan adunan pelbagai unsur – baik dan buruk, kebenaran dan kepalsuan, manfaat dan mudharat. Ia membawakan hasil-hasil kajian ilmiah yang bersifat benar dan pasti di samping pemikiran-pemikiran khayal yang berdasarkan dugaan-dugaan serampangan belaka.

Satu lagi ciri penting tamadun Barat ialah kemunculan dan perkembangannya dalam suasana pemberontakan terhadap agama dengan segala bawaannya termasuk penolakan terhadap keimanan kepada yang ghaib dan pemberontakan terhadap pimpinan golongan agama yang telah sekian lama menyalahgunakan kuasa, menindas dan memeras rakyat untuk pemuasan nafsu dan egoisme sendiri.

Kehadiran tamadun Barat dengan segala fitnah pesonanya telah menimbulkan semacam dilema dalam pemikiran umat Islam sehingga mereka tidak sekata dan senada dalam menanggapinya. Meskipun ini bukanlah pertama kali umat Islam berhadapan dengan suatu tamadun asing, tetapi mereka tidak dapat menggunakan pengalaman zaman silam itu dalam menggarap cabaran baru kali ini kerana pengalaman zaman lampau itu (seperti pertembungan dengan tamadun Helenisme) telah berlaku ketika umat Islam merupakan pihak yang lebih kuat dan kerananya mereka dapat bertindak balas dengan sebagai pemegang kuasa pemutus. Cabaran baru kali ini tidak lagi berlaku dalam suasana demikian, malah kedudukannya adalah sebaliknya.

Sikap Umat Islam Dalam Menanggapi Tamadun Barat

Abul Hasan Ali Nadwi (1969) menyatakan bahawa segala ragam, sikap dan tanggapan umat Islam terhadap tamadun Barat umumnya dapat dirumuskan kepada tiga bentuk:

(a) Golongan yang menolok mentah-mentah kebaikan dan keburukan tamadun Barat. Sikap konservatif dan tradisionalis ini mahu bertahan dengan kedudukan atau status-quo mereka.

(b) Golongan yang menerima dan menyerah bulat-bulat segala kebaikan dan keburukan tamadun Barat. Ini ialah sikap golongan yang dianggap sebagai sekularis dan modenis yang melakukan itu semua atas nama kemajuan atau progres.

(c) Golongan yang tidak menolak mentah-mentah dan tidak pula menerima bulat-bulat tetapi melakukan penyaringan dan pengolahan semula menerusi orientasi dan penjiwaan Islam sehingga terjelma satu paduan yang harmonis iaitu sikap golongan reformis atau fundamentalis Islam yang pada prinsipnya masih kuat berpegang dengan tradisi tetapi pada waktu yang sama bersikap terbuka dan rasional terhadap unsur pendatang baru seperti sains dan teknologi Barat.

Perbezaan Antara Golongan Tradisionalis, Sekularis Dan Fundamentalis

Dalam konteks perkembangan Islam, golongan fundamentalis boleh ditakrifkan sebagai kumpulan yang berpegang kepada kepercayaan bahawa Islam adalah suatu agama yang lengkap dan sempurna dan Islam tidak patut diubahsuai mengikut kehendak atau tuntutan zaman. Hanya manusia dan masyarakat sahaja yang sewajibnya membentuk peribadi dan perlakuannya mengikut arahan dan seruan yang terkandung dalam syariat Islam.

Oleh itu setiap penganut Islam dilarang mengkompromi prinsip hidup keislaman mereka dengan mana-mana ‘-isme’ atau fahaman. Sekiranya mana-mana pihak, individu atau sebahagian daripada masyarakat telah meninggalkan ajaran agama, maka mereka wajib ditegur supaya kembali kepada kehidupan yang berlandaskan al-Quran dan al-Hadith. Mengikut perspektif golongan Fundamentalis atau Reformis ini, manusia dan masyarakat yang berjaya dan bahagia ialah manusia dan masyarakat yang diurus perjalanannya oleh undang-undang tuhan seterusnya.

Sungguhpun golongan Tradisionalis bersikap konservatif dan menolak semua bentuk pembaharuan dan seterusnya mahu mengekalkan setiap aspek Islam dalam bentuk aslinya, namun perjuangan mereka lebih bercorak penyisihan dalam memperjuangkan cita-cita Islamiyyah mereka. Ini menyebabkan mereka lebih banyak menumpukan perhatian kepada cara hidup Islam yang terhad iaitu sekadar semayang, zakat, haji dan puasa serta usaha memahami sejarah Islam sekadar untuk dijadikan pengetahuan semata-mata sedangkan persoalan berhubung dengan pelaksanaan undang-undang Islam dalam masyarakat dan proses politik tidak begitu dihiraukan.

Golongan modernis sebaliknya lebih menitikberatkan manusia beragama Islam dan tidak menghiraukan sangat tuntutan Islam. Yang menjadi matlamat mereka ialah kemajuan umat Islam tanpa mempedulikan agama mereka. Gerakan mereka lebih banyak menumpu kepada usaha menyesuaikan Islam mengikut tuntutan masa kerana bagi mereka undang-undang syariah yang dipakai pada masa lepas tidak begitu sesuai dengan kehendak zaman ini dan ia pula bersifat menyekat manusia yang beragama Islam dalam kehidupan mengejar kemajuan. Respons mereka memperlihatkan sikap yang liberal sehingga mereka sanggup melihat pemisahan antara agama dan negara.

Golongan sekular pula mempunyai pendirian lebih ekstrem. Mereka bukan sahaja berjuang untuk mengasingkan antara agama dan negara, tetapi mahu penganut Islam menjadikan kehidupan beragama hanya di peringkat peribadi sahaja dan mengenepikan tuntutan al-Quran dan al-Hadith yang berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat. Bagi mereka orang Islam patut bertindak seperti orang Barat yang telah meninggalkan agama Kristian untuk mendapat kejayaan duniawi dan kemewahan material.
Sementara itu Dr. Tahan Jabir al-‘Alwani (1995), berpendapat bahawa sikap kaum Muslimin terhadap pemikiran, kebudayaan dan pengetahuan Barat sejak pertama kali berhubugnan, telah melalui tahap.

Tahap Pertama

Tahap ini dikenali sebagai tahap kejutan pertama dan kehairanan langsng kaum Muslimin ketika melihat budaya dan tamadun Barat. Iaitu tahap di mana kedudukan pemikiran dan ilmu kaum Muslimin sangat tergugat. Ini mengakibatkan hilangnya kepercayaan kepada pemikiran Islam dan warisan budayanya. Pada tahap ini, di dalam benak kaum Muslimin, muncul anggapan bahawa pemikiran Islam dan budayanya tidak mungkin dapat berkembang. Akibatnya mereka meletakkan Islam ke dalam kandang tertuduh. Insan Muslim pada masa itu umumnya menjadi manusia kecewa. Dan secara psikologi mereka menderita kekalahan. Kekalahan jiwa inilah yang menjadikan orang Islam pada masa ini sedia menerima secara total segal alternatif atau pilihan kebudayaan yang datang dari Barat; pemikiran, kebudayaan, sains, pengetahuan, seni, sastera dan sebagainya tanpa syarat.
Pada masa kekalahan jiwa ini dunia Islam menyaksikan maraknya pengiriman pelajar-pelajar dan mahasiswa-mahasiswa ke Barat untuk mempelajari ilmu pengetahuan, pemikiran dan kebudayaan Barat dan sebagainya. Mereka mendapatkan semua itu dari universiti-universiti dan akademi-akademi Barat. Mahasiswa-mahasiswa tersebut melahap pemikiran dan kebudayaan Barat tanpa tapisan dan saringan tanpa persediaan sedikit pun.

Seiringan dengan itu di dunia Islam sendiri mulai dibangunkan badan pendidikan model Barat. Boleh dikatakan hampir semua kegiatan ilmiah, falsafah, pemikiran dan kebudayaan serta semua yang berhubungan dengan badan pendidikan dan ilmu pengetahuan menciplak Barat mentah-mentah. Satu-satunya keberanian yang dipandang hebat ketika itu ialah adanya orang Islam yang mengatakan “Islam tidak menafikan ilmu dan tidak bertentangan dengan tamadun”.

Dari sini, ramai kaum modenis memandang sinis, bahkan dengan pandangan penolakan terhadap kemunculan beberapa orang yang membawa pembaharuan. Tetapi orang yang memandang mereka dengan kaca mata kebenaran tertentu pada masa itu, masih dapat menangkap bahawa apa yang ditegakkan mereka adalah mungkin dan tepat, sesuai dengan keadaan pada masa itu. Kerja kuat kaum Muslimin yang tetap pendirian dengan Islam dan semangat para ulama pada waktu itu, mengukuhkan berbagai-bagai jawapan yang bersifat retorika. Mereka dengan sisa-sisa iman yang tertanam di dalam hati, dan dengan kelebihan kepercayaan, memastikannya untuk mendorong kaum Muslimin kepada suatu keseimbangan (tawazun) dan berdiri di atas kaki sendiri dalam menghadapi serangan yang hebat dan sengit itu.

Tahap Kedua

Pada masa tertentu, tahap ini mulai menampakkan kemantapan jiwa dan telah melalui tempoh kejutan budaya. Dalam tahap ini kaum Muslimin menemui kembali diri dan sikap keislamannya serta mulai berinteraksi dengan berbagai-bagai hasil pemikiran Barat. Mereka mulai mengulangkaji teori-teori, aliran-aliran dan hasil-hasil pemikiran dan menempatkan diri mereka sebagai seorang murid yang sedang memanfaatkan apa yang ada. Maka pemikiran-pemikiran yang seimbang mulai dilahirkan, kajian-kajian perbandingan digalakkan, perbahasan, pertemuan antara Islam dan kebudayaan Barat, dari pelbagai bidang, diulangkaji. Semua itu dengan dorongan yang berbeza-beza. Sebahagiannya untuk memantapkan sasaran-sasaran Barat dengan istilah yang disebut normalisasi hubungan antara Muslim, pemikiran dan buday orang-orang Barat. Dalam waktu yang sama ingin menunjukkan atau menghabiskan sisa-sisa pertentangan pemikiran kaum Muslimin. Sebahagiannya, dengan dorongan benar-benar ikhlas, membuka jendela atau tembok pemikiran dan kebudayaan Barat yang mengongkong kaum Muslimin. Melalui usaha-usaha ini diharapkan Islam dapat menembusi akal dan hati orang Islam.

Oleh itu pada masa itu dapat dibaca pelbagai tulisan tentang Islam yang menunjukkan pemikiran konsep-konsep seperti Barat memilikinya. Misalnya demokrasi Islam, sosialisme Islam, hak-hak buruh dalam Islam, hak wanita dalam Islam, hak asasi manusia dalam Islam dan persoalan lain yang menunjukkan bahawa kaum Muslimin telah melalui tahap kejutan dan ketakjuban terhadap budaya Barat dan sedang memasuki marhalah (tahap) berdepan (muwajadah). Tujuan akhir tahap ini ialah membuktikan bahawa kaum Muslimin memiliki seperti apa yang dimiliki Barat. Memang kadang-kadang Barat memiliki keistimewaan berbanding kaum Muslimin, tetapi orang Islam dalam hal-hal tertentu juga memiliki seperti apa yang dimiliki Barat

Tahap Ketiga

Iaitu tahap yang sedang kita jalani sekarang ini. Tahap yang disebut tahap kebangkitan Islam. Atau yang kita namakan tahap kesedaran dan menemukan diri. Tahap ini adalah tahap di mana kita mulai mengukuhkan keistimewaan, ciri dan keunggulan pemikiran, kebudayaan, sistem, akidah, jalan hidup, akhlak dan nilai-nilai Islam. Bahkan dalam tahap ini umat Islam mulai membuka beberapa peluang besar yang mengejutkan pemikiran dan kebudayaan Barat sendiri. Mendedahkan penipuan dan kebodohan Barat dan meyingkap bahawa kaum Muslimin telah lama tertipu, hidup dalam keadaan diserang dan dirampas kebudayaan dan pemikiran, serta telah lama kehilangan keseimbangan. Menyusul perampasan bidang politik dan ekonomi. Orang Islam mulai menyedari bahawa rangka pemikiran, teori-teori, kaedah dan kebudayaan Barat, dengan seluruh alirannya, tidak dapat diterapkan untuk menegakkan kemajuan umat.
Pada tahap ini kaum Muslimin mulai mengembangkan istilah dan pengertian kebangkitan Islam. Pelbagai persoalan penting mulai ditonjolkan dan para pemikir Muslim didudukkan di hadapan pilihan yang sukar dan tugas yang berat serta sangat berbahaya. Boleh jadi syiar dan seruan, “Islam sesuai untuk seluruh zaman dan tempat dan Islam mampu memulai hidup, Islam membangun kemajuan dan tamadun, mewujudkan daulah, menampilkan pelbagai pilihan”, tetap sihat dan selamat, atau boleh jadi sekali lagi kaum Muslimin mundur dari medan dan meninggalkannya kepada orang lain, untuk kemudian umat Islam kembali lagi ke tahap mundur.

Semua ini bergantung kepada kita umat Islam hari ini, sama ada mampu atau tidak menghadapi gelombang, cabaran dan tantangan dari mana saja yang sentiasa ingin menjatuhkan Islam dan umatnya.

Marhalah atau peringkat yang kita hadapi kini adalah peringkat yang boleh kita namakan “Cabaran Total”. Pada marhalah ini kita akan diuji, mampukah kita meyakinkan kaum Muslimin bahawa kita lebih mampu menampilkan pemikiran yang lurus, kebudayaan yang benar dan kebudayaan yang unggul? Mampukah kita meyakinkan generasi Muslim sekarang ini bahawa kita sesungguhnya memiliki kemampuan untuk meruntuhkan tembok kemunduran dan mewujudkan sasarannya dalam membangun, dalam mewujudkan kemajuan dan dalam meneguhkan kedudukan dan peranan kita di dunia? Atau kita akan terus mengukuhkan kelemahan kita?

Satu-satu wasilah atau jalan untuk memantapkan kebenaran yang kita serukan ialah menampilkan pilihan Islam bagi segala yang telah dikemukakan Barat, cuba merangka dan menjayakannya. Di dunia Barat berkembang pemikiran politik, ekonomi, sosial, hukum, pendidikan, kemanusiaan, falsafah, metodologi dan kebudayaan Barat. Di atas semua dasar pemikiran tersebut, tamadun Barat hari ni dengan seluruh bidangnya ditegakkan. Kenyataannya, beberapa bidang berjaya ditegakkan secara meyakinkan, tetapi bidang-bidang lainnya mengalami kemunduran bahkan kegagalan parah.

Cabaran Islam tidak akan dijangka kecuali dengan memberikan pilihan cemerlang dan unggul dalam seluruh bidangnya; pemikiran, kebudayaan, pengetahuan dan tamadun, selain harus mengukuhkan kejayaan dan keunggulan ini di dalam tamadun yang tegak di atas pemikiran, kebudayaan dan pengetahuan Islam. Dari celah-celah badan-badan, sistem dan wasilah ini kemudian pemikiran Islam wujud secara nyata yang di atasnya tamadun Islam tegak. Hanya dengan ini kita dapat berkata, “Inilah kami datang”. Dengan demikian kebangkitan kita menjadi kebangkitan sebenarnya, bukan sekadar impian.

PEMIKIRAN ISLAM DAN LIBERALISME -SUATU PERBINCANGAN RINGKAS

1.0 PENDAHULUAN.

Liberalisme adalah satu fahaman yang secara relatifnya baru berbanding dengan aliran-aliran lainnya. Ia dikatakan muncul secara khusus sebagai satu reaksi dan tindak balas kepada fenomena dialaf baru. Dari sudut lain, masyarakat dunia mendapati agama tampil sebagai utama dan sering dikaitkan dengan kegiatan radikal, militant, ganas dan ekstrem.

Tuduhan yang telah dilakukan oleh seorang penulis wanita berketurunan Islam Irshad Manji ialah beliau meminta uamt islam membuat pengakuan bahawa punca terorisme adalah karana al-Quran dan bukan sekadar tindakan umat islam.Sebaliknya kandungan ajaran agama yang menyebabkan umat islam bertindak ganas. Penafian terhadap ‘fakta’ tersebut menurutnya, hanya akan menambahkan korban pembunuhan.

Antara lain, Islam liberal berusaha untuk mempersembahkan islam secara rasional dan up to date. Selain itu ia juga dianggap sebagai anti-tesis kepada fenomena terorisme dan bermatlamat untuk mengubah imej islam kepada seakan-akan seiring dengan kehendak barat.Umumnya terdapat empat skop besar focus liberal islam iaitu islam, toleransi beragama, emansipasi wanita dan kebebasan berekspresi.



2.0 PENTAKRIFAN LIBERALISME ISLAM.

Dari sudut bahasa, terminology liberalisme adalah berasal dari bahasa latin liber (bebas) adalah satu fahaman atau aliran yang muncul di Eropah pada abad ke 18 dan 19 M. Aliran ini dirintis oleh Locke, Rousseau, Adam Smith dan J. S. Mill iaitu berasaskan kepada kebebasan individu dan berjuang kearah kebebasan.

Pada satu pihak, aliran ini dibezakan antara liberalisme politik dan rohani dan pada pihak yang lain pula, liberalisme ekonomi. Liberalisme politik dan rohani berdasarkan pada keyakinan, bahawa semua sumber kemajuan terletak pada perkembangan keperibadian manusia yang bebas, di mana masyarakat dapat meraih keuntungan sepenuhnya dari daya cipta manusia. Atas dasar ini, maka seorang liberal mendifinisikan liberalisme sebagai seseorang yang percaya akan kebebasan.

Secara umumnya, apa yang berlaku di Barat seperti orang-orang Kristian menuntut agar Bible dinilai semula turut berlaku dikalangan umat Islam yang menuntut agar al-Quran ditafsir semula. Dalam konteks dunia Islam, terdapat tiga wacana yang kerap kali ditanggapi oleh Islam Liberal iaitu:
i. Sekitar merosakkan akidah islamiah.
ii. Soal penolakan dan peminggiran syariat Islam.
iii. Usaha penghancuran Islam Fundamentalis atau Islam militan.

Menurut para penentang aliran ini, aliran liberalisme adalah antara usaha untuk menghapus dan menghancurkan Islam yang sudah lama diusahakan oleh tokoh-tokoh Zionis Israel dan ahli politik Amerika. Dalam konteks Indonesia, menurut Luthfie, perkembangan Islam Liberal ini telah wujud sekitar tahun 1950an, tetapi berkembang pesat pada tahun 1980an melalui tokoh rujukan “utama” kumpulan Jaringan Islam Liberal (JIL) iaitu Nurcholish Madjid atau Cak Nur.

JIL menyebutkan “kekuatiran akan bangkitnya ‘ekstremisme’ dan ‘fundamentalisme’ menjadikan orang ramai kuatir”. JIL merumuskan objektif gerakannya kepada empat iaitu:
i. Memperkukuhkan landasan demokratisasi melalui penanaman nilai-nilai pluralisme, inklusivisme dan humanisme.
ii. Membangun kehidupan keberagamaan yang berdasarkan penghormatan kepada perbezaan.
iii. Mendukung dan menyebarkan gagasan keagamaan (Islam) yang pluralis, terbuka dan humanis.
iv. Mengcegah pandangan keagamaan yang militan dan pro kekerasan agar tidak menguasai wacana awam.

Liberalisme Islam tidak seperti mesianisme Yahudi, juga bukan memaksa agar agama sentiasa releven dengan dunia moden, sebagaimana yang difahami liberalisme Kristian. Tetapi liberalisme Islam adalah menjiwai semangat al-Quran.
3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN MODENISME LIBERALISME BARAT DAN ISLAM.

Umat Islam dikejutkan dengan fenomena baru dalam pemikiran Islam sekitar akhir abad kedua puluh masehi. Golongan Islam liberalisme telah menggegarkan dunia dengan isu-isu yang controversial dan idea-idea yang berani. Gerakan ini amat terkenal di Indonesia, Mesir, Sudan dan mempunyai jaringan yang luas hamper di serata dunia seperti India, Pakistan, Amerikan dan lain-lain. Secara prinsipnya, gerakan ini mempunyai kesatuan visi dan misi walaupun menggunakan nama yang berbeza. Pada dasarnya, Islam liberal merupakan ‘produk’ baru untuk menjelmakan kembali modenisme di abad ke 21.

Modenisme islam sangat berkait rapat dengan modenisme barat. Kemunculan modenisme islam berlaku adalah sebagai satu kesinambungan interaksi antara dunia islam dengan tamadun barat. Umat islam sejak abad ke 16/17M telah dijajah oleh pemikiran dan budaya yang asing daripada pemikiran, budaya dan agama mereka. Reaksi dari umat pada ketika itu ada yang menerima dan menolak. Penjajahan terhadap umat islam lebih 400 tahun menyebabkan wujud sikap rendah diri apabila berhadapan dengan peradaban yang canggih dan hebat. Modenisme islam bukanlah aliran pemikiran yang tunggal dan jelas, tetapi ia menncakupi beberapa aliran yang sesuai dengan istilah modenisme yang kabur.

Gerakan ini telah mengalami banyak perubahan setelah kemunculan Fazlur Rahman (1919-1988) yang tela merangka framework pemikiran neo-modenisme pada awal 80an. Usaha beliau telah dimanfaatkan oleh orang-orang yang berkepentingan untuk menjustifikasikan lahirnya pemikiran yang lebih radikal, liberal dan berani. Kemudian ia diberi nama Islam Liberal. Manakala, modenisme Barat digerakkan oleh falsafah enlightenment-humanism yang berhasil mempengaruhi majoriti intelektual barat dan sebahagian masyarakat. Kemunculan ahli-ahli falsafah seperti Immanual Kant, David Hume, Nietzsche dan lain-lain telah memberikan penekanan terhadap rasionalisme dan liberalisme.

Anggapan yang mengatakan bahawa golongan islam liberal adalah golongan majoriti umat islam adalah tidak berasas dan boleh dipertikaikan. Ini kerana apa yang mereka ketengahkan berbeza dengan apa yang dimaksudkan. Dalam hal ini, istilah yang tepat bagi golongan yang mereka sebutkan ialah progresif, bukannya liberal.
4.0 KONSEP DAN CIRI ISLAM LIBERAL.

Fenomena Islam Liberal menuntut Islam agar akur dengan tuntutan yang merugikan Islam sebagai dasar atau cara hidup yang lengkap. Beberapa prinsip dan cirri umumnya dapat dilihat seperti yang telah dikemukakan oleh Leonard binder dalam bukunya “Islamic Liberalisme: A Critique of Development Ideologies” seperti berikut:
i. Pemerintah liberal merupakan produk kepada proses yang terus menerus hasil wacana rasional.
ii. Wacana rasional adalah mungkin bagi mereka yang tidak memiliki kultur (kesedaran bersama).
iii. Wacana rasional dapat menghasilkan pemahaman sebenar, konsensus kultural dan persetujuan dalam hal-hal tertentu.
iv. Konsensus membuka peluang adanya penataan politik yang stabil, dan merupakan asas rasional dari pilihan srategi politik.
v. Pilihan pada strategi rasional merupakan asas membaiki kondisi manusia melalui aksi kolektif.
vi. Liberalisme politik dalam pemahaman ini tidak dapat dibahagikan.
vii. Penolakan terhadap liberalisme di timur tengah atau mana-mana sekali punbukan merupakan persoalan moral dan politik.
viii. Liberalisme politik boleh wujud hanya di tempat dan di masa pensyaratan-pensyaratan intelektual.
ix. Pensyaratan-pensyaratan telah ada di beberapa bahagian Timur Tengah Islam.
x. Dengan terlibat dalam wacana rasional yang mempunyai kesedaran dalam kultur Islam, maka mereka berkemungkinan untuk meningkat prospek liberalisme politik di wilayah tersebut.








Seterusnya dikembangkan lagi wacananya kepada lima iaitu:

1) Dipercayai islam liberal pernah wujud tetapi secara terpisah dan bersifat tidak dominan. Secara prinsipnya, ia berakar umbi daripada modenisme islam yang telah bertapak kukuh sejak akhir kurun ke19 dan awal kurun ke20 apabila lahirnya tokoh-tokoh modenis seperti jamal al-din al-afghani (al-asabadi), syed ahmad khan, muhammad abduh dan lain-lain lagi.

Dalam tulisan Ulil Abshar-Abdalla, Koordinator (JIL) yang bertajuk ” menyegarkan kembali pemahaman islam” mendakwa ulama kini cenderung untuk me-’monumen’-kan islam sebagai patung indah yang tidak boleh disentuh dan mempersoalkan cara menafsirkan agama kini. Sekiranya mahu berubah beberapa hal mesti di beri tindakan.
i. Penafsiran islam yang non-liberal, subsantial dan sesuai dengan peradaban dunia yang sedang berubah.
ii. Penafsiran islam yang dapat memisahkan unsur-unsur yang merupakan budaya setempat, dan nilai fundamental (asasi).
iii. Umat islam hendaklah tidak memandang dirinya sebagai ”masyarakat atau umat” yang terpisah dari golongan lain.
iv. Perlu kepada struktur sosial yang jelas memisahkan kekuasaan politik dan agama.


2) Konsep agama dan akal. Islam liberal beranggapan bahawa gerakan yang mereka lakukan adalah satu-satunya altenatif yang melakukan usaha penyatuan antara agama dan akal fikiran.

3) Liberalisme dan modenisme islam menolak otoriti agama. Dalam wacana islam liberal banyak penekanan diberikan kepada kebebasan berpendapat oleh sesiapa saja tentang permasalahan agama.

4) Konsep pluralisme agama. Aliran medenisme dan ioslam liberal mendukung kuat idea ini dan promosi besar-besaran telah dilakukan.

5) Penolakan terhadap syariat islam. Penolakan hukum islam sebenarnya berakar daripada keengganan meletakkan agama sebagai dasar kehidupan masyarakat. Oleh kerana itu, penolakan syariat islam sebenarnya merupakan kesinambungan daripada sekularisme.


6.0 Penutup.
Dunia berubah dan berkembang dengan pantas sekali, masyarakatislam dilihat begitu perlahan dan lambat untuk mengubahsuai dan mengadaptasikannya sehingga ianya dianggap keterbelakang. Dalam fenomena ini, islam tidak ada pilihan kecuali untuk membetulkan fahamannya, pembaharuan atau kekal pada takluk lama. Namun ia tidak seharusnya menghapuskan dokrin dan prinsip asas islam. Dalam proses inilah lahirnya golongan dan aliran islam liberal yang dilabel oleh pengkritik indonesia sebagai sekularisme.


Rujukan.
Jaffary Awang, Kamarudin Salleh. 2007. Pemikiran Islam Dan Isu-Isu Semasa.
Selangor: Jabatan Usuludin Dan Falsafah UKM.

Jumaat, 18 Julai 2008

Cinta Dari Perspektif Syara’


Terdapat banyak ungkapan berkaitan cinta yang membawa sebahagian atau
keseluruhan makna sayang dalam berbagai darjat. Contohnya, kasih, sayang, suka, berahi dan sebagainya yang mempunyai hubung kait dengan perasaan cinta.

Dalam bahasa Arab, ia lumrah disebut dengan perkataan al-Hub (kasih atau cinta), al-mualah (saling setia), dan “al-‘isyq” (pendaman rasa kasih). Perkataan ini membawa makna cinta dalam berbagai darjatnya. Cinta adalah sebahagian daripada naluri atau intuisi yang ada dalam diri manusia yang dibekalkan oleh Allah S.W.T. Ia menjana kecenderungan dalam diri seseorang kepada orang lain yang menyebabkan dia memuja, menyanjung, dan beriltizam untuk membantu, menyanjung, mengambil hati serta membelai perasaan pihak yang dicintai.

“Cinta merujuk kepada perasaan jernih dan bersih yang berputik di hati. Ia menimbulkan suatu bentuk iltizam khusus, dan membawa makna lebih daripada sekadar redha atau puas. Orang mungkin redha dengan seseorang atau sesuatu, tetapi itu tidak bermakna dia mencintai, kasih atau menaruh hati kepadanya.

“Cinta teras kehidupan; ia pencetus rindu, yang mengukuhkan hubungan antara seseorang manusia dengan yang lain; baik manusia atau objek-objek lain. Sekiranya graviti adalah hukum alam yang mengikat antara bulan bintang dan planet .Ia menghalang pelanggaran antara planet-planet tersebut, maka cinta adalah rasa kasih sayang yang menambat dan menautkan hubungan kemanusiaan. Perasaan Cinta inilah yang menghalang mereka daripada bersengketa, dan melakukan pertarungan yang menumpahkan darah.

Menurut pengarang kitab “Mafahim Hadhariah:

الحبّ حالة نفسـيّة وعاطفية تنبع من أعماق الانسان لتمنحه السعادة والهناء ، وربطه بالمحبوب ارتباط الانسجام والرِّضى والتوافق ، حتى يكاد المحبّان أن يتّحدا ، إذا ترسّـخ الحبّ ، وتحوّل إلى شعور باحتواء المحبوب . فيشعر المحبّ ، فيما وراء الوعي أن لا إثنينيّة بينهما . فهما حقيقة واحدة ، وذاتان مندمجان في ذات النفس . والحبّ هو رابطة روحيّة، وإحساس نفسي ، وشعور وجداني يعيش في أعماق النفس ، ويتّخذ أشكالاً شتّى من التعبير ، كالثناء والتقبيل والتحيّة والمصافحة والنصيحة والمعانقة ورفع الأذى ، والهديّة والمصاحبة في السّير والزيارة، والاحتفاظ بالصّورة ، وبتبادل كلمات الود، والعيش في مكان مشترك .

Cinta adalah gejolak jiwa dan emosi yang terpancar dari batin manusia yang menampilkan kepadanya rasa bahagia dan damai. Perasaan ini memadukan seseorang dengan kekasihnya dalam perasaan suka, serasi dan sesuai hingga bertaut . Kalau cinta telah bercambah ia berubah menjadi perasaan mahu bersama dengan kekasih sehingga ia merasa fana dalam kesatuan. Tidak ada lagi perbedaan antara mereka berdua. Cinta adalah ikatan ruh dan hubungan kejiwaaan dan intuisi yang berkobar dalam diri. Ia mengungkapkan diri dalam berbagai bentuk expresi ; seperti memuji, mencium, menghurmati, menjabat tangan, memberi nasihat, mendakap, menghindarkan bahaya, memberi hadiah, menemani, menziarahi, menyimpan gambar ingatan, saling menghantar memo kasih hinggalah sampai ke taraf hidup bersama.

“Sebab itu di dalam Islam, cinta amat dititikberatkan dan sangat diberi perhatian,”.Di dalam al-Quran, perkataan al-Hubb disebut 88 kali,
tetapi hanya sekali yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan perempuan, iaitu dalam ayat 30 surah Yusuf;
وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبّاً إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ

“Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi . Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”

Manakala kebanyakan ayat-ayat lain merujuk kepada golongan yang disukai oleh Allah S.W.T atau golongan yang dimurkainya, contohnya dalam surah al-Baqarah: 195 (Allah suka orang-orang yang berbuat baik), al-Imran: 46 (Allah suka orang yang sabar), al-Imran: 159 (Allah suka orang yang bertawakal), at-Taubah: 108 (Allah suka orang yang mengamalkan budaya bersih), as-Saf: 4 (Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya), al-Baqarah: 205 (Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat), an-Nisaa:107 (Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa), al-Mumtahanah: 8 (Allah suka orang-orang yang adil), dan al-Imran: 31 (… “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu….”).

Perkataan sayang, kasih, yang diulang banyak kali ini membayangkan
cinta sememangnya suatu yang penting di dalam Islam. Malah ada ulama
berpendapat agama tidak lain adalah cinta atau kasih sayang. Jika tidak ada kasih sayang, seolah-olah tidaklah ada penghayatan agama.
“Cinta adalah suatu yang bersifat teras dalam Islam, malah iman itu tidak lain dari sayang, membenci, memberi kerana Allah S.W.T. Agama Islam adalah agama yang berteraskan kepada perasaan cinta dan kasih kerana Allah.”

Dalam hubungan ini terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang menekankan soal cinta dan kasih sayang. Di dalam sepotong hadis riwayat Muslim dinyatakan:

“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga
sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.”

Baginda juga bersabda, “Sesiapa yang sayang kerana Allah, benci kerana
Allah, memberi kerana Allah, dan menahan kerana Allah, maka telah
sempurna imannya.”

Rasulullah saw turut mengajarkan doa, “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku
rasa sayang dan kasih kepada-Mu, dan rasa kasih sayang kepada orang yang sayang kepada-Mu, dan jadikanlah kasih sayang kepada-Mu itu lebih aku sukai daripada air yang dingin.”
Jadi di dalam Islam, cinta dan kasih sayang adalah sesuatu yang amat
ditegaskan, ia adalah teras ajaran agama, malah menjadi asas ajaran
agama.

Kasih sayang kepada Allah, agama, rasul, dan al-Quran membentuk seorang
muslim.Tanpa cinta dan kasih sayang, masyarakat manusia tidak akan aman. Ia juga adalah asas kepada ketamadunan dan amat penting kerana mengikat hubungan suami isteri, anak dan ibu, kekeluargaan, masyarakat sebangsa dan sebagainya.Bagaimanapun, tegas Abdul Ghani, Islam mengajar kasih sayang dan cinta yang diluahkan dalam acuan yang diterima oleh syarak. Jika dilimpahkan dalam acuan yang melanggar batas syarak, ia adalah kasih sayang yang tidak sihat dan negatif. Contohnya berahi kepada sesama lelaki atau perempuan.

Dalam membicarakan cinta, para ulama telah membahagikannya kepada beberapa martabat. Yang tertinggi ialah cinta kepada Allah, rasul, agama dan jihad fisabilillah.Ini disebut al-hub ul a’la; lumrahnya apabila ajaran agama telah meresap ke dalam jiwa mukmin, keimanannya akan menjadi segar dan kental sehingga ia amat sayang kepada Allah S.W.T. Ini kerana dia yakin Allah S.W.T Maha Sempurna, Maha Agung dan tiada yang menyamai-Nya.

Mereka yang menikmati cinta tertinggi ini redha berbuat apa sahaja demi-Nya. Sebab itu, golongan yang mempunyai cinta tertinggi ini tidak akan memilih jalan yang tidak disukai-Nya kerana Allah S.W.T berfirman, “Tidaklah wajar bagi para mukmin lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menentukan sesuatu, mereka memilih yang lain….Sekiranya Allah menyatakan hukum-Nya adil maka mereka yang martabat cintanya tinggi kepada Allah akan mematuhinya dengan yakin.

Cinta di tahap kedua disebut al-Hub al-ausat atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Gerak hati dan perasaan manusia yang merasakan dirinya terpikat kepada orang lain dengan talian nasab, kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sesama manusia akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat dari itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh jalinan kemasyarakatan.

Jadi cinta di tahap ini amat penting untuk merealisasi keperluan
individu, keluarga, bangsa, bahkan warga dunia. Sebab itu juga syariat Islam menegaskan perlunya dicambahkan, dan diperkasa cinta serta kasih sayang kepada isteri, suami, anak kecil, binatang, jiran, bahkah kepada
seluruh manusia dan makhluk.,” Dalam hubungan ini terdapat
beberapa hadis Nabi saw yang menegaskan perkara ini;

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya
seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Sepotong hadis lain juga menyebut,
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.”

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia
berbuat baik dengan jirannya dan memuliakan mereka …”

Hadis lain juga menyebut,

“Makhluk ini seluruhnya adalah tanggungan
Allah, orang yang paling disayangi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada tanggungannya.”

Bagaimanapun, cinta ditahap kedua ini boleh ditamatkan untuk sementara waktu atau untuk selama-lamanya dengan sebab-sebab yang diperakukan oleh syarak. Jelasnya lebih lanjut, Dalam keadaan biasa, seseorang tidak boleh memboikot saudaranya, tetapi sekiranya orang berkenaan melakukan maksiat terang-terangan, dan berdegil untuk terus melaksanakan perkara yang haram, Islam menasihatkan agar dia diberi nasihat dengan menyatakan bahaya maksiat itu. Seterusnya Islam mengharuskan perbuatan memutuskan rasa cinta itu dengan syarat ianya kerana mematuhi perintah Allah. Di samping itu terdapat pula hadis menunjukkan, ‘Ikatan iman yang paling utuh adalah kesetiakawanan kerana Allah, bermusuh kerana Allah.’

“Pernah Nabi saw meminta umat Islam memulau Kaab bin Malik yang tidak
mahu ikut serta dalam peperangan Tabuk, sehinggalah 50 malam menyebabkan Kaab merasakan bumi ini sempit baginya. “Bahkan Rasulullah saw juga pernah memulau isteri-isteri baginda untuk mendisiplinkan mereka.”Justeru itu, adalah harus memutuskan hubungan dan kasih sayang dalam batas tertentu untuk mendisiplinkan orang yang terus menerus bertindak menentang agama dan syariat Allah S.W.T.

Ini diperkukuhkan dengan ayat di dalam surah al-Mujaadalah: 22;
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-suadara ataupun keluarga mereka….”

Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif, dan
memusnahkan manusia atau di sebut al-Hub al Adna. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator, atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.

Dalam surah al-Mumtahanah: 1, Allah berfirman;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu….”

Begitu juga kasih sayang, berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang
dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain
melebihi cinta kepada Allah, rasul dan jihad termasuk dalam kategori
cinta bertaraf rendah ini.

Ini ditegaskan oleh ayat al-Quran, surah at-Taubah: 24, “Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.”

Bahkan ada hadis menyatakan, “Tidak akan beriman seorang daripada kamu
sehingga aku lebih disayangi dari hartanya, anaknya dan orang lain,”

cinta yang buruk ini juga ialah cinta nafsu, patuh kepada
kehendak-kehendak nafsu amarah, dan berakhlak dengan bangga diri, egoistik sehingga Allah berfirman; “Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkannya pada hal dia berilmu….”

Cinta ditahap ketiga ini termasuk cinta kepada syaitan, dengan memuja
dan mematuhi perintah serta bisikannya. Sedangkan di dalam surah Yaasin
difirman secara jelas bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata, dan telah menyesatkan generasi-generasi terdahulu.

Dalam klasifikasi lain, cinta boleh
merangkumi cinta kepada Allah, rasul, kasih sesama manusia, cinta
kepada alam yang dicipta-Nya, termasuk gunung-ganang, sungai, laut dan
lain-lain makhluk.Malah Rasulullah saw pernah menyebut, “Bukit ini (Uhud) sayang kepada kami dan kami juga sayang kepadanya.”

Baginda bersabda demikian kerana umat Islam ketika itu marahkan bukit
tersebut selepas kalah dalam peperangan di sana. Tetapi baginda
meyakinkan bahawa bukit tersebut tiada kena mengena dengan kekalahan yang mereka hadapi.Selain itu tambahnya, kita juga disuruh menyintai kehidupan sebagai satu rahmat dari Allah S.W.T. Malah Nabi saw kerap menyebut di dalam doanya,
“Ya Allah kekalkanlah kehidupanku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagiku.”

Bagaimanapun di dalam Islam mati syahid juga adalah sesuatu yang
digalakkan Tetapi ia dilihat dalam konteks apabila menghadapi cabaran
dan keperluan semasa, apabila negara diceroboh oleh musuh-musuh Islam.
Ketika itu, walaupun kita menyintai kehidupan, kita juga disuruh
menyintai mati; cinta perjuangan, cinta untuk memerdekakan negara, cinta untuk bertemu dengan Allah, justeru Dia telah menjanjikan mereka yang mati syahid mendapat pahala yang amat besar,” .

Malangnya, individu dalam masyarakat kini ramai yang lebih cenderung memahami cinta dalam bentuk cinta tahap ketiga, yang lebih bersifat fizikal atau hissi, seperti cinta kepada wanita, kekasih, harta benda, pangkat atau kepentingan-kepentingan individu.“Cinta ‘asyik ma’syuk, menatang nafsu; inilah yang sering dilagu-lagukan.Cinta dan kasih sayang yang luas maksudnya diperkecilkan persepsinya, dan ini menunjukkan perkembangan menurun persepsi nilai dan akhlak masyarakat.
Cinta tidak boleh disempitkan sehingga menjadi cinta berkaitan asmara dana dan berahi sahaja.

Cinta dalam skop itupun mempunyai had, malah sesama suami isteri juga cinta sebegini terhad. Apabila usia meningkat cinta masih diperlukan tetapi bukan dalam bentuk cinta berahi atau sekadar seks, tetapi cinta dipertingkatkan dalam bentuk kemanusiaan yang lebih tinggi.“Malangnya, kita sekarang terlalu membesarkan soal cinta berahi seolah-olah itulah satu-satunya maksud cinta, kasih dan sayang. Padahal Islam memperkukuhkan pengisian cinta sehingga membawa manusia ke satu martabat kemanusiaan yang tinggi, kepada alam rohaniah yang lebih luhur. Mereka yang menikmati cinta sebenar ini menjadi manusia yang sebenar, pengasih dan menyayang sesama insan kerana itu adalah sebahagian sifat Allah S.W.T.

Dalam masa yang sama ada segolongan manusia yang terlalu mengutamakan cinta fizikal dan keseronokan diri sehingga tidak memikirkan kesannya kepada orang lain. Maka tidak hairanlah kalau ada yang sanggup merogol kanak-kanak. Orang sebegini menganggap cinta itu ialah tindakan untuk melepaskan nafsu syahwatnya semata-mata!

Ini membayangkan penyimpangan masyarakat mengenai pengertian sebenar
cinta dan kasih sayang; cinta yang terkeluar dari acuan syarak. Contohnya seorang lelaki menyintai isteri orang kerana tidak berhati-hati sejak awal. Kerosakan dalam masyarakat akibat ‘cinta’ yang tidak menepati acuan syarak yang mempunyai kaitan pula dengan persekitaran yang juga tidak mengikut syarak. Budaya menonjol dan mempamerkan tubuh yang boleh menyemarakkan cinta fizikal serta berahi ini perlu dibatasi oleh individu, media, mahupun pihak berkuasa. Budaya ini merupakan mukadimah-mukadimah yang melahirkan jenayah seksual seperti rogol, atau cinta melampaui batas.

Cinta berahi ditonjolkan sebagai keseronokan, kebahagiaan, dan sesuatu
yang didambakan setiap orang. Ini akan mewujudkan suasana yang mengobarkan berahi remaja, atau golongan yang ‘lapar dan dahaga’ tetapi tidak berkemampuan. Tanpa kawalan, ia akan menyebabkan berlaku penyimpangan dan kerosakan dalam masyarakat.

Dalam pada itu pendidikan dan kefahaman di kalangan umat Islam mengenai cinta dan tahap-tahapnya perlu diterapkan. Cinta kepada Allah, nabi, al-Quran dan agama perlu diutamakan agar mereka tidak membesar dengan sifat benci kepada titah perintahNya atau saranan agama. Bijak meletakkan perasaan, sama ada cinta atau benci kepada sesuatu yang membawa kelalaian, kemaksiatan dan kekufuran.

Pendidikan dalam segala peringkatnya harus diperkukuh. Manakala pendidikan itu bukan hanya di sekolah, tetapi termasuk pendidikan yang tidak formal. Keseluruhan masyarakat harus menjadi ruang yang ikut serta dan serba mendidik ke arah cinta positif. Janganlah suasana positif hanya diwujudkan di sekolah, tetapi di luar, pelajar dipengaruhi oleh nilai-nilai yang bertentangan dengan pendidikan yang mereka dapati di dalam sekolah.

Wallahu a'lam :)